ads

Ahad, 16 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Madu Ghaib: Suami Mangsa MH370 Terpaksa Kahwin Di Luar Negara

Posted: 16 Nov 2014 10:32 PM PST


Lelaki yang didakwa suami kepada seorang mangsa MH370 ketika melangsungkan majlis perkahwinan di Muar, Johor baru-baru ini.
PETALING JAYA: Status penumpang dan kru MH370 yang hingga kini masih belum dimuktamadkan bukan sahaja menyebabkan kepiluan kepada waris mangsa, malah ia turut menjadi 'penghalang' untuk mereka meneruskan kehidupan.
Antara masalah yang didepani waris mangsa terlibat ialah untuk membina rumahtangga dengan pasangan baharu.
mStar Online difahamkan, keadaan ini dialami sekurang-kurangnya seorang waris mangsa apabila dia terpaksa bernikah di negara jiran, sebelum mendaftarkan perkahwinannya di negara ini.
Malahan, pasangan ini juga mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana mengamalkan poligami tanpa kebenaran kerana isteri baharunya bermadukan seseorang yang tidak diketahui statusnya sama ada meninggal dunia atau ghaib.
Sumber memberitahu mStar Online,  suami salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Mac lalu terpaksa memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah awal November.
Bapa kepada empat anak itu menghadapi kesukaran kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isterinya untuk membolehkan dia bernikah kali kedua.
"Sijil kematian isterinya juga tidak dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah dalam negara, oleh itu pasangan itu ke Songkla, Thailand dan kini memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami," katanya kepada mStar Online.
Menurut sumber itu lagi, lelaki berkenaan mengahwini seorang wanita yang berasal dari Muar, Johor dan bekerja di ibu negara.
"Majlis meraikan pasangan pengantin baharu ini juga dilangsungkan secara kecil-kecilan di sebuah homestay di Langat bulan lalu," kata sumber itu.
Isteri lelaki terbabit merupakan antara 239 penumpang yang berada dalam pesawat MH370 yang sedang dalam perjalanan ke Beijing apabila hilang awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.
Bagaimanapun, usaha mengesan pesawat itu terus buntu kerana tiada sebarang bukti ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan.
Baru-baru ini, seorang ahli Parlimen meminta mufti dan pihak berwajib mengeluarkan fatwa bagi menjelaskan kekeliruan dialami waris penumpang dan kru pesawat MH370 yang masih hilang sehingga kini.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, fatwa itu perlu untuk mencari penyelesaian dan tidak timbul lagi kekeliruan dari segi harta, wasiat, insurans dan sebagainya berkaitan anggota keluarga mereka.
Ikuti penjelasan pihak mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung situasi yang menimpa waris penumpang MH370 ini, Selasa.

Foto Sheera Suap Makanan Kepada 'Zac Efron' Jadi Isu

Posted: 16 Nov 2014 09:18 PM PST


Sheera Iskandar
PETALING JAYA: Gambar mesra bersama seorang lelaki yang dimuat naik oleh pelakon Sheera Iskandar di Instagram miliknya telah mengundang salah faham di kalangan pengikut-pengikutnya.

Sheera, 29, berkata, foto tersebut telah disunting seolah-olah dia sedang menyuap makanan kepada pelakon Hollywood Zac Efron dan tidak sangka pula ramai yang keliru dengan gambar berkenaan kononnya lelaki itu merupakan kekasihnya.

"Jujurnya saya tiada niat untuk mengelirukan siapa-siapa. Ketika foto itu diambil, saya menemani adik berjumpa dengan bakal tunangnya itu.

"Memandangkan saya sendirian, adik mengambil gambar saya seolah-olah sedang menyuap seseorang. Kemudian saya meletakkan wajah Zac Efron di sebelah. Tak sangka pula ramai yang menganggap lelaki itu kekasih saya. Alangkah seronoknya jika kekasih saya adalah pelakon itu... hahaha," katanya kepada mStar Online.

Pada malam Ahad, Sheera telah memuat naik sekeping gambar mesra dengan seorang lelaki di Instagram miliknya.
Foto Sheera dan Zac yang telah disunting menjadi perbualan di kalangan pengikut-pengikutnya di Instagram.
Foto tersebut menunjukkan Sheera sedang menyuap makanan kepada lelaki itu dan ia mengundang persoalan daripada ramai pengikutnya adakah lelaki itu merupakan kekasih Sheera.
Ada juga yang mengucapkan tahniah kerana akhirnya Sheera sudah pun berjumpa dengan pasangannya manakala ada juga yang sedar gambar lelaki tersebut merupakan Zac Efron yang sudah disunting.

Sementara itu, Sheera menyifatkan, komen-komen yang diberikan oleh pengikutnya itu sangat lucu kerana tidak sangka ia menjadi tanda tanya kebanyakan pihak.

"Aduh... serba salah pula sedangkan niat saya saja-saja nak sunting gambar. Malu pula rasanya," ujar Sheera.

Dalam pada itu, ditanya adakah Sheera sudah pun memiliki kekasih hati, dia memberitahu masih belum menemui lelaki yang sesuai.

"Setakat ini saya belum jumpa sesiapa lagi. Jodoh belum sampai nak buat macam mana.

"Mujurlah ibu saya bukan jenis yang memaksa. Yang penting saya berdoa bukan sekadar  cepat dapat jodoh tetapi biarlah lelaki itu merupakan jodoh yang baik dunia akhirat," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Sheera baru saja selesai penggambaran telefilem berjudulSheikh Gugelya Al Masehi, siaran TV Al Hijrah.

"Gosip Bercinta Dengan Remy Ishak Tidak Logik" - Nad Zainal

Posted: 16 Nov 2014 04:15 PM PST


Nad menyangkal dakwaan kononnya dia sedang bercinta dengan aktor Remy Ishak.
PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal menyifatkan gosip terbaharu mengenainya yang dikatakan sedang menjalinkan hubungan dengan aktor Remy Ishak sebagai tidak logik.
Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 24, berkata, dia tidak mengenali aktor tersebut secara peribadi dan hanya bertemu ketika berada dilokasi penggambaran drama lakonan mereka iaitu Jalan Mati dan AntiDOT.
"Gosip berkenaan tidak logik kerana hubungan kami bukannya rapat dan sekadar teman sesama artis sahaja.
"Baik saya atau pun dia, kami tidak pernah berhubung selepas selesai penggambaran melibatkan kami berdua dan hubungan yang wujud sekadar di set penggambaran," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.
Nad yang terkejut dengan gosip tersebut mengulas laporan sebuah ruangan gosip akhbar mingguan pada Ahad yang mengatakan dia sedang menyulam cinta dengan Remy.
Remy Ishak.
Malah gosip itu turut menyebut cerita mengenai hubungan mereka didedahkan sendiri oleh salah seorang bekas kekasihnya kepada seorang kenalan rapatnya.
Dalam pada itu, Nad menegaskan dia tidak mengetahui siapakan 'bekas kekasih' yang dimaksudkan menyebarkan cerita berkenaan kerana gosip berkenaan bukan datang daripadanya.
Bagaimanapun kata Nad, jika benar gosip itu disampaikan oleh salah seorang bekas kekasihnya dia meminta lelaki berkenaan supaya meneruskan kehidupan dan tidak menganggunya dengan menyebarkan cerita buruk seperti itu.
"Saya tidak tahu 'bekas kekasih' mana dimaksudkan atau siapa kawan rapatnya yang bercerita kerana gosip berkenaan bukan datang dari saya tetapi orang lain yang mengata.
"Namun jika benar ia datang daripada 'bekas kekasih' tersebut saya minta teruskanlah hidup daripada melakukan perkara tidak berfaedah," ujarnya.
Sebelum ini, Nad bercinta dengan Hefny Sahad yang dikatakan menjadi punca keretakan hubungan cinta Nad dengan aktor Azwan Kombos, 29, apabila mereka dikatakan menjalin hubungan cinta selepas terbabit dalam telefilem Mengintai Syurga Mama diterbitkan oleh Zeel Production.
Dalam perkembangan lain, Nad berkata, dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri yang diangkat daripada sebuah novel popular berjudul Street Vendettauntuk siaran RTM.

Fizo Omar Terbuka Kritikan 'Kaku' Kendalikan Pencetus Ummah 2

Posted: 16 Nov 2014 04:13 PM PST


Fizo turut mengendalikan Pencetus Ummah musim kedua bersama Zulkefli Hamat.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Fizo Omar minta diberi ruang dan peluang dalam memperbaiki mutu persembahannya sebagai pengacara program realitiPencetus Ummah musim kedua (PU2) yang baharu sahaja memasuki minggu pertama.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Omar, 29, berkata, dia terbuka dengan komen dan kritikan daripada penonton dan peminat yang merasakan kemunculannya mengendalikan PU2 agak kaku memandangkan ini adalah kali pertama dia mengacarakan program siaran langsung dengan kehadiran penonton.
"Saya ambil komen daripada penonton dan peminat sebagai ruang untuk saya perbaiki diri dan kelemahan dalam mengendalikan program tersebut.
"Insya-Allah kekurangan tersebut akan diperbetulkan dan berharap diberi masa untuk menyesuaikan diri kerana ia program pertama saya sebagai pengacara," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.
PU2 disiarkan secara langsung pada setiap hari Khamis pada pukul 9 malam di saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).
Dalam pada itu, Fizo berkata, dia kelihatan kaku berkemungkinan besar kerana masih cuba menyesuaikan diri dengan konsep program berkenaan yang berbentuk keagamaan disamping perlu berhati-hati dalam penyampaiannya agar tidak terkeluar daripada konsep asal.
Fizo bakal muncul dengan drama terbaharu lakonannya berjudul Talak.
Bagaimanapun kata Fizo, dia cuba menjadi dirinya sendiri dalam mengendalikan program tersebut dan cuba menampilkan kelainan dalam PU2.
"Mungkin itu antara penyebab mengapa saya kelihatan kaku tetapi saya cuba menjadi diri sendiri dalam membentuk identiti saya sebagai pengacara program berkenaan," ujarnya.
Selain Fizo, PU2 turut dikendalikan oleh Ustaz Zulkefli Hamat.
Sementara itu, Fizo juga memberitahu dia kini kembali menerima tawaran berlakon selepas hampir dua tahun tidak berbuat demikian ekoran sibuk menguruskan perniagaannya.
Jelas Fizo, dia bakal muncul dengan sebuah telefilem untuk slot Cerekarama di TV3 iaituTalak disamping aktres Diana Danielle.
"Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan masih ada namun buat permulaan saya hanya terima tawaran yang tidak mengambil masa terlalu lama terlebih dahulu kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen penuh.
"Ini kerana saya masih mengutamakan bidang perniagaan dan berlakon apabila mempunyai masa terluang," katanya.

Anne Ngasri Tidak Idam Jawatan Politik

Posted: 16 Nov 2014 04:12 PM PST


Anne Ngasri.
PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri tidak pernah berhasrat untuk bergiat aktif dalam dunia politik sebagai wakil rakyat sebaliknya hanya mahu melakukan aktiviti kebajikan membantu golongan Melayu.
Anne atau nama sebenarnya, Nasriah Ngasri, 30, berkata, tugas sebagai seorang wakil rakyat bukan perkara ringan sebaliknya ia adalah satu amanah besar dan berat yang memerlukan persediaan mantap dalam menjadi suara kepada masyarakat.
"Biarpun saya aktif dalam Umno tetapi buat masa ini tidaklah sampai ingin menjadi wakil rakyat kerana ia tanggungjawab yang besar dan saya belum mampu memikul amanah tersebut.
"Biarlah saya hanya sekadar dibelakang tabir melakukan aktiviti kebajikan untuk membantu bangsa saya dengan ikhlas dan sepenuh hati," katanya kepada mStar Online.
Anne lebih selektif terhadap tawaran berlakon yang datang kepadanya.
Anne menyandang jawatan sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Bintang sejak tahun lalu manakala suaminya, Mohd Sumali Reduan adalah Setiausaha Kerja, Pergerakan Pemuda Umno.
Dalam pada itu, Anne berkata, biarpun dia kini dilihat semakin menyepi daripada lakonan namun dia tidak pernah berhasrat meninggalkan bidang tersebut.
Bagaimanapun Anne mengakui, tawaran berlakon yang diterimanya sejak akhir-akhir ini agak kurang selain dia lebih selektif memandangkan perlu memberi perhatian kepada empat cahaya matanya yang sedang membesar.
"Saya tidak pernah bersara daripada lakonan cuma kesibukan menguruskan rumah tangga dan anak-anak menjadi penyebab saya kurang berlakon sejak akhir-akhir ini.
"Tambahan pula tawaran agak kurang dan saya hanya menerima watak yang tidak memerlukan saya berjauhan dengan anak-anak kerana mereka masih kecil untuk ditinggalkan lama-lama," jelasnya. 

Sut robot bantu lelaki berjalan

Posted: 16 Nov 2014 04:07 PM PST


  • Gareth Herridge berjalan semula dengan bantuan sut robot.Gareth Herridge berjalan semula dengan bantuan sut robot.

LONDON - Seorang lelaki yang lumpuh selama sedekad mampu berjalan semula dengan bantuan sut robot.

Gareth Herridge, 32, lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2005 lapor Daily Mail.

Dalam satu demonstrasi di Universiti James Cook baru-baru ini, Herridge mampu berdiri dan berjalan selepas memakai sut tersebut.

Difahamkan, Herridge menjadi individu pertama di United Kingdom yang menjalani percubaan tersebut.

Sut robot berkenaan atau dikenali sebagai The Rex exosceleton direka dan dibangunkan oleh sebuah firma di New Zealand.

Ia juga bakal digunakan untuk tujuan fisioterapi bagi individu yang mengalami kecederaan belakang dan pesakit strok.

Harga sut robot itu dianggarkan bernilai 90,000 pound (RM471,000).   

Kamal memburu bahagia sendiri

Posted: 16 Nov 2014 04:02 PM PST



KETIKA hubungan cinta yang dibina selama enam tahun bersama kekasih hatinya, Intan Ladyana terlerai di pertengahan jalan, sebahagian besar jiwa jejaka ini terlilit dengan rasa kecewa.
Perasaan yang merundung Kamal Adli sejak dua bulan lalu itu bukan sahaja berat untuk dihadam oleh tuan empunya diri, malah, khalayak umum juga turut merasai tempias kejutan perpisahan mereka.
Ada antara peminatnya yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat menerusi laman sosial dan ada juga segelintir yang turut menyalahkan juara pertandingan Pencarian Hero Remaja 2007/2008 itu atas kemusnahan hubungan cintanya bersama Intan.
Ketika berpeluang bertemu dengannya pada sesi fotografi diatur di Ibu Pejabat Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 28, berkata, walaupun sukar untuk menjelaskan punca utama perpisahan tersebut, namun dia meletakkan kisah sedih yang dialaminya sebagai sebahagian daripada ketentuan yang telah tertulis oleh takdir.
"Saya faham, ramai yang menuding jari menyalahkan saya kerana menjalinkan hubungan terlalu lama bersama Intan tanpa sebarang ikatan yang sah. Tetapi, mereka tidak berada di tempat saya dan tidak faham tentang perkara yang sebenar.
"Saya mengenalinya ketika mula-mula bergelar pelakon. Ketika itu, saya masih hijau dan kehidupan saya masih belum stabil. Rasanya, tidak elok jika saya mendirikan rumah tangga ketika ekonomi dan karier masih kurang kukuh.
"Namun, semuanya telah tertulis dan saya reda dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah," tuturnya mempertahankan prinsip diri yang mahu berada dalam keadaan stabil ekonomi sebelum menyunting seseorang wanita menjadi isteri.
Walaupun terpaksa menelan rasa pahit perpisahan, namun kata Kamal dia kini belajar untuk meneruskan kehidupan dan tidak terpuruk dalam kesedihan.
Mengaku hatinya sedang dalam proses pulih daripada kekecewaan, kata Kamal: "Dalam sejarah hidup saya, tidak pernah saya menyayangi dan mencintai seseorang wanita untuk jangka waktu yang begitu panjang.
"Tipu jika saya langsung tidak berasa sedih. Ya, saya sangat sayangkan hubungan kami kerana tempoh percintaan yang terjalin selama enam tahun bersama Intan bukan satu senggang masa yang singkat.
"Seperti yang saya katakan, jika takdir telah tertulis sebegini, saya terima dengan seadaanya. Kehidupan harus diteruskan."

SEPANJANG bergelar pelakon, Kamal masih belum berpeluang menggenggam sebarang trofi kemenangan daripada mana-mana penganjuran majlis anugerah.


Kini, selepas dua bulan jejaka kelahiran Pekan, Pahang itu menjalani kehidupan solo, dia lebih fokus terhadap kariernya. Bukan sebelum ini Kamal tidak fokus, namun, kegagalan dalam bercinta langsung tidak mematahkan semangat atau membuat dirinya mengabaikan pekerjaan.
"Saya menjadikan apa yang telah berlaku sebagai pemangkin semangat untuk terus berkarya dalam bidang seni.
"Sekurang-kurangnya, apabila saya sibuk dengan kerja, saya tidak banyak berfikir tentang masa lalu," ujarnya yang kini baru sahaja memulakan penggambaran drama bersiri berjudul Pergilah Air Mata yang bakal ditayangkan di saluran RTM.
Pentingkan kualiti
Melanjutkan bicara mengenai kerjayanya, prestasi Kamal dalam bidang lakonan dilihat semakin memberangsangkan.
Terbaharu, lakonan jejaka itu dalam drama bersiri Syurga Tanpa Cinta bersama pelakon Emma Maembong yang disiarkan di TV1 pada setiap hari Sabtu dan Ahad pada pukul 7 malam mendapat pujian yang menggalakkan daripada penonton.
Ditanya apakah kriteria yang sering dicari dalam setiap watak lakonannya, Kamal memberitahu, dia tidak pernah bersikap memilih apabila menerima sebarang tawaran.
Cuma, apa yang ditekankan adalah kelainan yang dapat ditonjolkan setiap kali dia muncul menerusi kaca televisyen mahupun di layar perak.
"Saya gemar mencuba pelbagai jenis watak. Tidak kira watak berat atau komedi, saya akan cuba untuk melakonkannya sehabis baik.
"Apa yang penting adalah lakonan saya dapat meninggalkan impak yang mendalam kepada penonton," katanya penuh yakin.
Percaya atau tidak, percubaan anak muda ini untuk melakar kejayaan dalam bidang lakonan belum lagi ternoktah dengan sebarang pengiktirafan dan penerimaan anugerah.
Walaupun namanya pernah tercalon dalam Festival Filem Malaysia ke-23 untuk kategori Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem Niyang Rapik, namun, rezeki untuk menggenggam trofi kemenangan masih belum memihak kepadanya.

KAMAL dan Intan saat masih menjadi pasangan kekasih.


Begitupun, Kamal yang sentiasa percaya kepada rezeki tidak pernah berhenti daripada terus berusaha bagi meletakkan namanya sebaris dengan nama-nama pelakon hebat lain.
"Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, saya belum menerima sebarang pengiktirafan daripada mana-mana majlis anugerah.
"Buat masa ini, mungkin bakat dan persembahan saya masih tidak memuaskan hati para juri. Tetapi, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba pada masa akan datang," katanya yang mahu kekal relevan dan konsisten dalam bidang lakonan.
Relevan
Ketika membutirkan bicara mengenai konsistensi sebagai seorang anak seni, Kamal mengakui kurang menonjol jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain.Bagaimanapun, dia lebih selesa meletakkan dirinya di bawah radar populariti asalkan namanya masih kekal relevan dalam bidang lakonan.
"Saya akui, sesetengah pelakon cukup bertuah kerana berjaya mengecap populariti berdasarkan fenomena yang tercetus menerusi drama atau filem lakonan mereka.
"Mungkin masa saya untuk berada pada tahap itu masih belum sampai lagi. Justeru, buat masa sekarang, apa yang boleh saya lakukan adalah menggalas tanggungjawab yang diberikan sebaiknya," katanya mengakhiri bicara.


Aman motivasi diri dengan kritikan

Posted: 16 Nov 2014 04:00 PM PST


SEJAK bergelar peserta AF2014, Aman akui sifat pemalu yang ada pada dirinya semakin terhakis sedikit demi sedikit.


PEMBABITAN anak muda ini dalam program realiti terkenal Akademi Fantasia 2014 (AF2014) pada awalnya agak suram. Undian yang diterimanya merupakan antara yang paling rendah hampir setiap minggu.
Dikritik hebat kerana didakwa tidak mampu menyanyi dengan bagus, Aman atau nama sebenarnya Mohammad Razman Abdul Aziz bagaimanapun mampu menutup mulut orang ramai apabila berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga ke pentas final.
Pada malam 9 November lalu menyaksikan detik bersejarah buat anak muda berusia 21 itu apabila dinobatkan sebagai naib juara AF2014, sekali gus kemenangan bermakna tersebut mengenepikan calon lain yang disifatkan ramai mempunyai vokal yang lebih mantap daripadanya.
Pernah juga anak bongsu daripada enam beradik itu dikritik hebat oleh juri tetap AF2014, Datuk Ramli MS yang mengatakan bahawa tempatnya bukanlah dalam industri hiburan.
Segala tohmahan dan kritikan negatif dibuang tepi. Lantas, dia bangkit mengorak langkah meneruskan impian yang sudah terbentang luas di depan mata. Kepada Kosmo!, Aman memberitahu misinya di dalam bidang hiburan yang akan diteroka dengan baik.
Kosmo!: Pada ketika nama Aman diumumkan sebagai naib juara AF2014, sejujurnya apakah perasaan anda pada malam itu?
Aman: Jika diminta berkata benar, saya akui sangat terkejut apabila nama diumumkan menjadi naib juara. Sebenarnya, untuk meletakkan sasaran mendapat tempat tertinggi seperti itu bukanlah target saya pada malam final. Sebaliknya, dengan melayakkan diri ke final itupun sudah cukup membuatkan saya rasa bersyukur. Namun, keputusan pada malam itu semuanya ketentuan Tuhan. Saya tidak menolak bahkan sangat bersyukur atas rezeki yang diberikan. Jika ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, saya tidak mampu lakukan apa-apa.
Kemenangan anda pada malam itu mengundang banyak cakap-cakap yang tidak enak didengar. Apatah lagi ada yang mengatakan ada peserta lain yang lebih layak untuk dinobatkan sebagai naib juara. Apa komen anda mengenai perkara itu?
Apa yang boleh saya katakan, secara jujurnya, saya tidak ada rasa apa-apa mengenai perkara itu. Saya tidak rasa kecewa, bahkan mengambil segala perkara negatif tersebut sebagai pembakar semangat.
Jujurnya, saya lebih suka orang memberi kritikan berbanding pujian. Sebabnya, pujian itu kadang kala melalaikan. Berbeza dengan kritikan kerana perkara yang negatif sebenarnya menyedarkan saya tentang apa yang tidak kena dengan kemampuan diri sendiri.
Saya jadikan kritikan itu sebagai rujukan utama untuk mengenalpasti segala kelemahan saya.
Sama juga kisahnya pada malam semi final sebelum ini apabila saya menerima teguran keras daripada Datuk Ramli MS. Beliau katakan takdir saya bukan untuk dilahirkan sebagai penyanyi. Saya akui, ada sedikit kecewa pada awalnya, tetapi saya bangkit kembali dengan semangat baharu dan buang perkara yang sudah berlalu.
Saya cabar diri untuk lakukan apa yang saya mahu. Bidang nyanyian merupakan minat saya. Apabila sudah berpeluang, saya tanamkan dalam jiwa untuk lakukan yang terbaik pada malam final dan Alhamdulillah tuah dan rezeki berpihak kepada saya.

WALAUPUN menerima kritikan hebat apabila dinobatkan sebagai Naib Juara AF2014, Aman tidak meletakkan semua itu sebagai halangan buat dirinya menggapai impian bergelar seorang penyanyi yang berkaliber kelak.


Baiklah. Mengulas mengenai perjalanan anda selama lebih 10 minggu di AF2014, boleh Aman kongsikan apakah transformasi yang berjaya dilakukan pada diri sendiri?
Selama tempoh berada dalam AF2014, terlalu banyak pelajaran baik yang saya terima terutamanya daripada tenaga pengajar dan rakan-rakan yang lain.
Dari situ, saya belajar bagaimana menguruskan tahap keyakinan diri. Saya akui, sebenarnya saya memang seorang yang sangat pemalu. Tahap keyakinan yang kurang sehingga membuatkan saya malu untuk berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Kadang-kala saya mengambil masa yang agak lama untuk selesa dengan orang baharu di sekeliling. Namun, selama berada bersama tenaga pengajar di sana, merekalah yang membantu mengubah diri saya. Sehingga ke hari ini, tahap keyakinan saya sudah semakin baik dari hari ke hari.
Perjalanan anda dalam dunia seni baru sahaja bermula sebaik keluar dari pertandingan tersebut. Apakah perancangan anda untuk memastikan karier seni anda berjalan lancar pada masa akan datang?
Perancangan saya selepas ini selain sibuk dengan jadual yang diuruskan oleh Astro Talent Management, saya merancang untuk menghadiri kelas latihan vokal. Selain memantapkan mutu nyanyian dan persembahan, saya mahu kualiti vokal saya semakin baik. Saya sedar bahawa tahap vokal yang saya miliki tidaklah sehebat penyanyi lain tetapi saya tidak akan berhenti berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri.
Dengan single terbaharu yang dihasilkan Awi Rafael, Without You, adakah anda rasa diri mampu bersaing sebaris dengan artis-artis baharu yang lain?
Bercakap soal single pertama, saya akui sangat suka dengan lagu tersebut. Gubahan liriknya yang catchy, ringkas, ceria dan mesra pendengar membuatkan saya yakin lagu ini akan diterima dengan baik oleh semua peminat. Jika sesebuah lagu itu cepat mesra dengan pendengar, sekali gus nama penyanyinya juga akan diingati. Bagi memastikan nama dan karier saya bertahan dalam persada seni, saya tidak hanya menggunakan jenama AF2014 semata-mata, tetapi saya mahu orang kenal siapa Aman melalui nyanyian dan bakat yang ada pada saya.


Langkah kanan Syamin Jasmi

Posted: 16 Nov 2014 03:59 PM PST


KERJAYA nyanyian bukanlah pekerjaan sepenuh masa Syamin, sebaliknya dia juga bertugas sebagai seorang jururawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching.


MENGEJAR impian bergelar penyanyi atas usaha sendiri bukan satu perkara yang boleh dikecapi dalam sekelip mata. Apatah lagi, jika sanggup mempertaruhkan kerjaya tetap yang menjamin masa depan semata-mata bersandarkan benih dunia seni yang baru berputik.
Tidak memandang faktor itu sebagai tembok untuk dirinya, Syamin Jasmi, 24, seorang pendatang baharu dari Bumi Kenyalang tekad meneruskan hasratnya menjadi seorang penyanyi.
Mengakui dia kini bergelar jururawat dan penyanyi dalam masa yang sama, anak muda itu berpendirian teguh. Baginya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
"Saya tahu, meletakkan posisi kerjaya tetap sebagai gadaian untuk saya bergelar penyanyi ialah risiko yang sangat besar. Kerjaya jururawat itu merupakan pekerjaan tetap dan berstatus penjawat awam pula. Kerja itu lebih menjamin masa depan jika dibandingkan dengan bidang nyanyian yang kadang kala tidak menentu turun naik ini.
"Namun, antara kedua-dua bidang ini, minat dan impian saya lebih menjurus kepada bidang nyanyian. Tambahan pula, saya sendiri mula berjinak-jinak dengan bidang nyanyian seawal usia tujuh tahun lagi. Jadi, tidak menjadi satu halangan kepada saya untuk mencapai impian asalkan impian itu disertakan dengan kesungguhan," anak muda kelahiran Kuching, Sarawak itu mesra menyusun kata.
Syamin atau nama sebenarnya Mohd. Sahmin Jasmi yang kini sudah hampir tiga tahun bertugas di Hospital Umum Sarawak harus bijak membahagikan masa antara tugas hakiki dengan bidang nyanyian yang baru diceburinya.
Apabila disoal mengenai pilihan antara dua cabang yang berbeza itu, bicara Syamin, buat masa kini dia memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan tentang hala tuju masa depannya.
"Sejujurnya, kemasukan saya ke dalam bidang kejururawatan banyak didorong faktor survival hidup demi mempunyai satu pekerjaan. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya lanjutkan pelajaran di Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS), Tabuan Jaya, Kuching.
"Sejak melakukan dua kerja dalam satu masa, saya akui jadual sangat padat. Faktor logistik membuatkan saya terpaksa berulang-alik dari Kuching ke Kuala Lumpur dengan kerap. Namun, buat masa sekarang saya masih tidak boleh membuat apa-apa keputusan.
"Jika diikutkan. memang saya mahu berhenti kerja di hospital itu tetapi ibu dan bapa saya masih belum mengizinkan. Saya anak pertama dan merupakan harapan kepada keluarga. Saya juga tidak mahu terburu-buru dalam perkara ini. Jika ada rezeki, mungkin saya boleh fokus kepada bidang nyanyian sahaja," ujarnya mesra.

SYAMIN (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan orang kuat kerjaya seninya. Dari kiri, komposer Ajai, pengarah Urusan QC Music, Amin Aznizan dan wakil Sony Music, Othman Mahmood.


Mengimbas detik awal penglibatan dalam dunia muzik, bakat nyanyian yang ada dalam dirinya dikesan oleh komposer hebat tanah air, Ajai dalam satu sesi uji bakat nyanyian Spotlight di Kuching, tidak berapa lama dahulu.
Sejak itu, sebuah syarikat, QC Music Sdn. Bhd. yang berpangkalan di negeri tersebut berminat mengambil Syamin sebagai bintang baharu mereka.
"Namun saya sendiri tidak menyangka bahawa syarikat QC Music mempunyai jaringan kerjasama dengan syarikat Wake Up The Baby Records milik Abang Ajai.
"Pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada saya untuk menyertai bidang nyanyian. Apa yang saya impikan telah menjadi nyata," jelas Syamin.
Mungkin sudah tuah dan rezeki berpihak kepadanya, cita-cita Syamin untuk bergelar penyanyi terbentang luas. Peluang bekerja dengan nama besar seperti Ajai menguatkan tekad Syamin untuk optimis meneruskan langkah serius ke persada seni suara,
"Alhamdulillah, sejak bakat saya dikenalpasti oleh Ajai, saya kini sudah pun memiliki sebuah album mini. Kesemua lagu dalam album tersebut ialah hasil sentuhan Ajai sendiri. Single pertama saya, Lagi Dan Lagi juga sudah pun diedarkan di stesen radio dan laman perkongsian video seperti YouTube.
"Dalam album ini ada lima buah lagu kesemuanya. Antaranya Untuk Apa, Lagi dan Lagi, Cinta Yang Tak Mampu, Pelukis Cinta dan It's All About Tonight. Sekarang saya sedang sibuk dengan promosi album ini di semua stesen radio tempatan," ujarnya ceria menutup bicara.


Pusat pengajian al– Quran Sharifah Khasif

Posted: 16 Nov 2014 03:58 PM PST


SHARIFAH KHASIF berharap agar pusat pengajian al-Quran yang dibuka pada awal tahun depan bakal memberi manfaat kepada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu yang berkaitan kitab suci tersebut.


KITAB suci al-Quran merupakan sebuah mukjizat teragung yang pernah diturunkan oleh Allah S.W.T kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan umatnya.
Menerusi 30 juzuk yang terkandung di dalam kitab itu, pelbagai perkara yang merangkumi soal kehidupan dan agama telah disampaikan dengan lengkap untuk dijadikan pegangan dan rujukan buat umat Islam di seluruh dunia.
Menyedari tentang kelebihan yang terkandung dalam kitab suci al-Quran, pemenang Tilawah al-Quran Antarabangsa 2009, Sharifah Khasif bakal membuka sebuah pusat pengajian al-Quran pada awal tahun hadapan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab suci tersebut dengan lebih terperinci.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Surah-Surah Pilihan Tarannum di Restoran Al-Rawsha, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tuan empunya nama, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman Al–Yahya, 32, berkata, pusat al-Quran itu bakal menawarkan silibus pembelajaran al-Quran secara komprehensif, lengkap dengan ilmu-ilmu sampingan yang berkaitan kitab suci tersebut.
"Selepas menyertai Tilawah al-Quran, saya memang aktif mengajar secara bebas di merata tempat. Namun, atas sebab-sebab keterbatasan jantina serta keadaan saya yang kini sedang sarat hamil lapan bulan, saya memerlukan sebuah tempat untuk mengajar.
"Justeru, atas bantuan suami, sebuah pusat pengajian al-Quran bakal dibuka di Ampang Hilir, Selangor sekitar awal tahun hadapan.
"Pusat al-Quran itu bukan sahaja menampilkan silibus pengajian pembacaan al-Quran dan tarannum, malah ilmu-ilmu lain seperti pembelajaran hukum tajwid juga bakal diperkenalkan," jelas beliau yang bakal melahirkan bayi sulungnya pada penghujung bulan Disember depan.
Tambah Khasif, pembukaan pusat al-Quran itu sedikit sebanyak dapat mendidik khalayak umum tentang betapa pentingnya keseimbangan ilmu al-Quran dengan ilmu duniawi.
"Sejujurnya, ketika masih kecil, ayah saya memaksa saya untuk belajar al-Quran. Daripada sifat ketegasannya itu, saya belajar untuk mencintai al-Quran.
"Di samping memahirkan diri dengan ilmu akhirat, saya juga tidak ketinggalan untuk mendalami ilmu dunia. Apa yang penting adalah keseimbangan, Itu yang ingin saya terapkan dalam diri masyarakat di Malaysia," katanya yang turut membuka peluang kepada pelajar-pelajar luar negara yang ingin menyertai pusat al-Quran itu nanti.

MENAMPILKAN tujuh tarannum asas serta tiga surah panjang, Khasif menekankan kepentingan memahami lenggok bertarannum dalam album kedua terbitannya ini.


Album tarannum
Jika diteliti portfolio pemegang ijazah kewangan daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor itu, beliau terlebih dahulu pernah mengeluarkan sebuah album qasidah dan burdah pada tahun lalu berjudul Al-Husna.
Terbaharu, Khasif yang pernah menempa nama sebagai personaliti televisyen menerusi rancangan Akademi al-Quran itu muncul dengan album kedua berjudul Surah-Surah Pilihan Tarannum.
Melanjutkan perbualan mengenai buah tangan keduanya itu, Khasif memberitahu, beliau menerbitkan album tersebut kerana mahu pendengar di luar belajar cara-cara bertarannum dengan betul.
Selain memudahkan pendengar belajar, beliau juga mahukan pendengar menghargai seni nyanyian yang melibatkan ayat-ayat suci al-Quran.
"Dalam album ini, terdapat tujuh buah tarannum asas yang dirakamkan. Ia termasuklah sebuah alunan surah panjang yang mengandungi tiga buah surah iaitu surah al-Hasyr, al- Nasr dan al-Ikhlas.
"Saya berharap agar pendengar dapat memanfaatkan kandungan yang ada dalam album ini dan belajar melagukan cara-cara bertarannum dengan betul," katanya tidak pernah mementingkan keuntungan yang bakal diraih olehnya menerusi album berkenaan.
Dalam perancangan lain, Khasif memberitahu, dia mungkin akan menerbitkan album ketiga yang mengandungi tutorial tentang cara-cara pembelajaran al-Quran secara lisan.
"Insya-Allah, dalam album seterusnya nanti saya akan memberikan tutorial secara rakaman yang boleh didengar menerusi cakera padat,
"Ia mungkin memudahkan orang ramai untuk mempelajari hukum tajwid dan beberapa ilmu al-Quran lain ketika sedang memandu kereta atau berehat di rumah," katanya lagi.
Album terbitan SharifahKhasif Productions Sdn. Bhd. ini juga boleh didapati secara digital menerusi iTunes, Spotify dan Deezer.


Fosil dinosaur dalam bongkah batu

Posted: 16 Nov 2014 03:56 PM PST

FOSIL gigi dipercayai daripada spesies Iguanodon dijumpai di Sungai Chichir, Tasik Kenyir.


KUALA TERENGGANU – Fosil dinosaur termasuk kesan tapak kaki, tulang dan gigi di sekitar Gunung Gagau, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang ditemui dalam satu ekspedisi bulan lalu mencatat sejarah tersendiri buat negara ini.
Ekspedisi itu bukan sahaja membawa kepada penemuan fosil gigi dan kesan tapak kaki dinosaur Iguanodon malah turut menemui kesan tapak kaki kumpulan dinosaur Theropod dan Sauropod.
Bagaimanapun, tulang dinosaur yang ditemui di kawasan itu masih belum dikenal pasti spesiesnya. Kesemua fosil berkenaan ditemui di Sungai Chichir, Tasik Kenyir.
Turut ditemui dalam ekspedisi itu ialah fosil tumbuhan, kayu terpetri dan singkapan batu arang di Sungai Pertang.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata penemuan itu merupakan hasil Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014 yang dijalankan dari 13 hingga 23 Oktober lalu.


Tren terpantas catat kelajuan lebih 500kmj

Posted: 16 Nov 2014 03:53 PM PST



TREN Maglev yang mampu mencapai kelajuan lebih 500kmj kini dalam proses percubaan. 


YAMANASHI – Seramai 100 orang penumpang menjadi pengguna pertama menaiki tren terpantas di Jepun yang mampu mencapai kelajuan melebihi 500 kilometer sejam (kmj).
Tren Maglev yang masih dalam proses percubaan itu memulakan perjalanannya di antara dua bandar iaitu Uenohara dan Fuefuki.
Terdapat beberapa kamera yang diletakkan di dalam tren berkenaan untuk merakam respons para pengguna yang pertama kali menaiki tren Maglev yang menjalani latihan selama lapan hari.
Menurut jurucakap Syarikat Kereta Api Pusat Jepun, pihak mereka melakukan latihan di landasan tren di wilayah Yamanashi sebagai langkah permulaan.
"Kami ingin memastikan segalanya berjalan lancar sebelum tren ini boleh diguna pakai oleh penduduk tempatan," katanya.
Tren berkenaan bergerak dalam keadaan 'terapung' di atas landasan kerana menggunakan sistem pengangkat magnetik.
Maglev akan menjadi tren terpantas kerana tren laju lain di Jepun pada masa kini cuma mampu mencapai kelajuan sehingga 320kmj, malah tren paling laju di London cuma mencecah kelajuan 300kmj.


Barangan filem Frozen jadi rebutan sempena Krismas

Posted: 16 Nov 2014 03:52 PM PST



SEBAHAGIAN ibu bapa berasak-asak untuk membeli barangan keluaran filem Frozen untuk dijadikan hadiah sempena sambutan perayaan Krismas. 


NOTTINGHAM – Sempena menyambut perayaan Krismas tahun ini, ratusan penduduk Britain berebut-rebut membeli barangan cenderamata keluaran filem animasi terkenal dunia, Frozen yang habis dijual dalam masa 10 minit.
Menurut seorang kakitangan sebuah kedai menjual barangan tersebut, mereka terpaksa bergegas memenuhkan semula rak kosong dengan bekas minuman dan bekas makanan tengah hari serta kalendar iklan selepas habis dalam tempoh beberapa minit.
"Kesemua barangan yang kami letak di rak habis dijual dalam sekelip mata," jelasnya.
Keadaan yang berebut-rebut menyebabkan sebilangan kakitangan terpaksa membantu mengagihkan barangan Frozen kepada golongan ibu bapa yang tidak mampu berasak-asak di dalam kedai.
Terdapat golongan ibu bapa yang sebelum ini telah membeli pelbagai barangan Frozen di beberapa kedai Disney, namun masih mahu mendapatkan daripada kedai lain untuk dijadikan hadiah Krismas dan koleksi peribadi.


200 resipi untuk setiap cawangan

Posted: 16 Nov 2014 03:50 PM PST



KELIHATAN seorang lelaki memakai baju kemeja dan seluar slack sedang khusyuk mengelap meja sebaik melangkah masuk ke ruang restoran yang dipenuhi dengan palet merah di segenap dinding restoran itu.
Jari telunjuknya mengesat permukaan meja dan dahinya berkerut. Tidak berpuas hati dengan kebersihan meja tersebut, dia mencapai semula kain yang telah disangkutkan di kerusi berdekatan dan menyambung rutinnya itu.
Tanpa menghiraukan kewujudan lelaki tersebut, mata saya mengerling di segenap sudut untuk mencari pemilik restoran berkenaan.
Ketika leka memerhatikan suasana sekeliling, seorang wanita bertudung menyapa dan memaklumkan restoran tersebut masih belum dibuka kerana jarum jam baru menunjukkan pukul 11 pagi.
Apabila diberitahu temu janji sudah dibuat untuk menemu ramah Sharin Low Abdullah, lelaki yang sedang mengelap meja tadi menyapa saya.
"Assalamualaikum, saya ingat pelanggan tadi. Mohon ke dapur sebentar," katanya dengan penuh sopan.
Itulah Sharin Low, 68, pemilik Restoran Hj. Sharin Low yang mempunyai 24 cawangan selepas lapan tahun beroperasi. Setiap restoran mempunyai sekurang-kurangnya 15 pekerja.
Kejayaan membuka restoran di seluruh Malaysia kecuali Sarawak itu menyebabkan namanya dalam restoran gastronomi Cina Muslim semakin gah.
Ketika ramai pengusaha restoran yang sealiran mengalami kerugian, Restoran Hj. Sharin Low yang menjadikan makanan laut sebagai forte menu di restorannya masih mampu menambat hati pelanggan.
Walaupun menceburkan diri dalam perniagaan itu pada usia 60 tahun, beliau masih mampu menguruskannya seorang diri.
Malah, beliau akan melawat setiap cawangan secara berkala dalam tempoh sebulan bagi memastikan urusan kesemua restorannya berjalan lancar.
Menariknya, Sharin Low menceburkan diri dalam bidang tersebut ekoran niatnya ingin menyediakan ruang bagi golongan Cina Muslim menjamah makanan masakan Cina yang halal selain sebagai satu ibadah.

RESTORAN Hj. Sharin Low dihiasi tanglung dan cat berwarna merah yang sinonim dengan masyarakat Cina.


Penyediaan ramuan
Mesra disapa sebagai Tuan Haji, beliau yang memeluk Islam pada usia 21 tahun telah menghadapi kesukaran mencari restoran makanan Cina halal di negara ini.
"Sebagai Muslim dan saudara baru, menjadi tanggungjawab saya untuk menyediakan keperluan bagi penganut Islam yang lain.
"Tujuan paling utama ialah menyediakan tempat untuk saudara Cina Muslim seperti saya menikmati masakan Cina tanpa rasa was-was dan halal.
"Terdapat sesetengah masakan Cina menggunakan alkohol sebagai penambah rasa dan bahan utama seperti minyak daging khinzir dalam hidangan," katanya.
Halal bagi Sharin bukan sahaja bebas daripada penggunaan alkohol dan khinzir sebaliknya, melibatkan proses penyediaan ramuan dan aspek kebersihan.
"Jika sumber protein seperti ayam, saya lebih selesa mendapatkan bekalan dari pembekal Melayu atau beragama Islam.
"Mereka lebih faham kepentingan kita menjaga sumber makanan yang halal. Saya yakin, setiap bekalan yang dihantar disembelih terlebih dahulu" katanya ketika ditemui di Restoran Hj. Sharin Low Grand di Jalan Ampang, Wisma Chinese Chamber, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, hiasan dalaman Restoran Hj. Sharin di Wisma Chinese Chamber itu turut menampakkan pengaruh Cina yang amat kuat.
Tanglung yang digantung dan lukisan kaligrafi Cina memenuhi ruang restoran membuatkan pelanggan seakan-akan menikmati hidangan di China.

HIDANGAN ikan ketutu ini harganya mencecah ratusan ringgit.


Harga
Masa berlalu sangat pantas, tepat pukul 12 tengah hari, pintu restoran dibuka dan Sharin Low mempersilakan para pelanggannya yang telah setia menunggu di situ.
Sejurus pelanggan mengambil tempat masing-masing, para pekerja segera meletakkan menu dan memberi ruang kepada pelanggan memilih menu masing-masing.
Harga yang ditawarkan untuk ala-carte adalah berpatutan bermula daripada RM2.50 hingga RM10++.
Sekiranya menjamu secara berkumpulan iaitu maksimum 10 orang, terdapat sembilan hidangan berbeza yang menanti para pelanggan.
Harga yang ditawarkan boleh mencecah sehingga RM800++, namun terdapat juga hidangan lengkap pada harga bermula RM400.
Bagaimanapun, pelanggan boleh membuat tempahan awal mengikut bajet masing-masing.
Melihat pada harga yang dinyatakan, sesetengah pelanggan melabel hidangan di restorannya adalah mahal.
Namun, Sharin Low menafikan kenyataan itu dan memberitahu masakan Cina memerlukan bahan yang banyak dan kepakaran yang tinggi untuk menghasilkannya.
Ekoran itu, kos hidangan adalah tinggi dan menyebabkan harganya agak mahal.
Katanya, bukan sembarangan orang boleh menguasai teknik memasak hidangan Cina.
Dedahnya, sehingga kini, beliau hanya mempunyai seorang cef yang pakar dalam masakan Cina dan ditempatkan di Seremban, Negeri Sembilan.
Cef tersebut mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam kulinari masakan Cina manakala tukang masak di setiap cawangan pula perlu mempunyai pengalaman maksimum lima tahun.
"Menjadi tukang masak hidangan Cina perlu mempunyai pengetahuan. Apatah lagi makanan laut yang dimasak di restoran kami ada yang mencecah sehingga ratusan ringgit seperti ikan ketutu.
"Cabaran kami adalah memastikan rasa asli ikan itu tidak hilang sepanjang proses memasak," katanya.
Bagaimanapun, beliau sering memberi nasihat kepada pelanggan untuk memilih juadah yang sederhana agar tidak membazir.
Beliau pernah menerima tempahan mencecah harga sehingga RM1,000 melibatkan hidangan dua ekor ikan ketutu termasuk hidangan abalone dan sup sirip ikan yu untuk lima pelanggan.
"Mereka yang menggemari makanan Cina pasti beranggapan harga yang kami tawarkan jauh lebih murah berbanding di pasaran," jelasnya.

SHARIN LOW bersama isteri, Sofiah Chong (lima dari kanan) dalam satu majlis meraikan saudara baru Cina Muslim.


Resipi baharu
Bahan masakan seperti sayur kailan dan asparagus termasuk buah-buahan akan ditukar setiap hari bagi memastikan kesegaran bahan.
Kini, setiap cawangan restoran Sharin Low mempunyai maksimum 200 resipi berbeza. Setiap tahun, ia pasti ditukar dengan resipi baharu.
Bagaimanapun, masih terdapat 600 resipi yang belum diperkenalkan kepada umum.
Sharin Low mengambil langkah mudah untuk melupakan hidangan yang memerlukan penggunaan alkohol dan item yang tidak halal.
Ini kerana, beliau pernah mereka sendiri ramuan bagi menggantikan alkohol dengan jus buah dan jus sparkling tetapi tidak berjaya.
"Masakan asli Cina tidak boleh diubah. Jika diubah rasanya masih sedap tetapi ia tidak mampu bertahan lama sama ada dari sudut kesegaran ramuan ataupun rasa masakan," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Azmah Abdul Wahad, 33, berkata, makanan Cina menjadi pilihannya kerana berkhasiat dan lazat.
Hal ini kerana kebanyakan masakan Cina dimonopoli sajian secara stim dan rebus sekali gus melibatkan penggunaan minyak masak yang minimum.
Kewujudan restoran Cina Muslim, katanya, memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk menjamu selera.
Bagaimanapun, dia beranggapan harga hidangan Cina Muslim sebagai mahal tetapi masih mampu untuk dinikmati.
"Sekiranya untuk majlis tertentu rasanya berbaloi untuk menikmati hidangan Cina Muslim. Tetapi sebagai sajian harian ia luar daripada kemampuan bajet," katanya.


Kasut potongan kaki wanita Asia

Posted: 16 Nov 2014 03:48 PM PST



Mengikut keluarga yang bekerja ke luar negara iaitu Bosnia pada tahun 2000 memberi pelbagai pengalaman menarik dan manis kepada Nor Hidayah Hassan.
Walaupun ketika itu baru berusia 14 tahun, menetap di kejiranan berhampiran kilang kasut selama lima tahun telah membuka hatinya untuk mendalami teknik pembuatan kasut.
Ini kerana, pekerja-pekerja kilang itu merupakan mereka yang mahir dalam menghasilkan kasut berkualiti tinggi untuk jenama antarabangsa.
Lebih mesra dipanggil Hidayah, selama lima tahun di Bosnia, dia fasih berbahasa Croatia dan Serbia memudahkan pergaulan dengan masyarakat di sana.
"Saya teruja melihat para pekerja itu yang membuat kasut secara manual dengan teliti dan halus. Kemampuan mereka menghasilkan kasut yang cantik telah menimbulkan minat saya untuk mendalami bidang tersebut," katanya yang kini berusia 27 tahun.
Hidayah kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Perakaunan dan Perbankan di England pada tahun 2005. Di sana, dia berpeluang menjelajah benua Eropah dan pada masa sama membeli pelbagai kasut untuk dipakai sendiri.
Formula
Ekoran banyak membeli kasut termasuk rekaan kasut tumit tinggi dan rata daripada pelbagai jenama terkenal, dia akhirnya mula mengetahui kelebihan dan keunikan sesuatu rekaan kasut.
Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu telah menemui formula untuk menghasilkan kasut yang cantik dan selesa dipakai. Akhirnya, dia nekad menampilkan jenama kasut impiannya, Cipela Couture (Cipela) sekembalinya ke tanah air pada tahun 2011. Perkataan Cipela dalam bahasa Croatia dan Serbia bermaksud kasut.
"Kebanyakan pereka fesyen di Barat tidak mengambil berat mengenai sifat semula jadi bentuk kaki manusia. Akibatnya, ramai yang menderita kesakitan ketika menyarungkan kasut yang cantik semata-mata untuk kepuasan diri dan mendapat pujian orang ramai.

HIDAYAH menunjukkan dua rekaan kasut eksklusif yang menggunakan fabrik kain songket Terengganu (kanan) dan batik asli Kelantan.


"Sesetengah tapak bahagian dalam kasut tumit tinggi pula keras kerana dihasilkan menggunakan mesin berbanding kasut buatan tangan yang mempunyai tekstur lebih lembut ekoran kesan lenturan ketika proses pembuatannya. Inilah rahsia kejayaan Cipela di pasaran Malaysia," jelas Hidayah ketika ditemui di butiknya di Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, kebanyakan kedudukan jari kaki wanita Malaysia adalah terbuka kerana kebiasaan memakai selipar sejak kecil. Keadaan itu menyebabkan anak jari kaki terkeluar dari tapak kasut setiap kali memakai sandal terbuka. Pemandangan itu secara tidak langsung menggagalkan pesona seorang wanita. Wanita Asia sebaik-baiknya menggayakan kasut dengan bahagian hadapan tertutup supaya menampakkan kekemasan jari kaki.
Berpandukan kepada kesesuaian itu, kebanyakan kasut Cipela direka dengan bahagian hadapan tertutup dan tapak dalam kasut digunakan berbentuk D yang lebih lebar.
Selain itu, beberapa rekaan yang dihasilkan pengusaha muda itu menggabungkan elemen seni khazanah kontemporari. Dua rekaan eksklusif Cipela ialah kasut tumit tinggi menggunakan fabrik kain songket Terengganu dan kasut bertapak tebal batik asli Kelantan.
Gabungan istimewa tersebut harganya mencecah ribuan ringgit kerana ketulenan fabrik dan kualiti bahan digunakan. Kedua-dua kasut dengan ketinggian tapak empat inci itu turut dihiasi tiga butir batu Swarovski dengan setiap satunya mencecah harga RM300.
Hidayah memberitahu, signatur Cipela terletak pada penggunaan lapisan kulit kambing yang diselitkan dalam kebanyakan rekaannya. Warna-warna fabrik yang digunakan juga terdiri daripada tona terang yang lebih menonjol.
Menghasilkan produk terbaik, Hidayah menyediakan perkhidmatan tempahan kasut mengikut rekaan dan corak yang dikehendaki pelanggan. Ujarnya, proses paling rumit adalah memindahkan lakaran atas kertas kepada proses pemotongan paten dan menjahit.
"Kebanyakan corak dan rekaan diilhamkan daripada karakter orang di sekeliling saya. Sebagai contoh, rekaan polka dot melambangkan karakter segelintir teman rapat yang suka berdrama. Saya juga ada membuat sepasang kasut bertapak tebal inspirasi daripada penyanyi dan ikon kesayangan saya iaitu Yuna. Bahagian tapak tebal kasut ini mempunyai sentuhan bintik-bintik kecil yang berwarna-warni sesuai dengan perjalanan karier beliau.
Antigelincir

Cipela menawarkan lebih 30 rekaan kasut mewah.


"Namun, melakar idea pada sekeping kertas lebih mudah berbanding menghasilkan rekaan sebenar. Malah, proses menjadi semakin rumit jika rekaan terdiri daripada tali bersilang yang perlu dipindahkan kepada fabrik untuk potongan sebenar," jelasnya yang telah menghasilkan kira-kira 40 rekaan kasut mewah sejak tiga tahun lalu.
Sehingga kini, Cipela menawarkan koleksi kasut untuk kegunaan harian, acara petang, kasut pengantin dan aktiviti santai menerusi Cipela Espadrilles. Bagi penggayaan setiap hari, fabrik kulit kambing dan tapak kasut antigelincir diketengahkan. Antaranya, kasut Zana Peep-toe, kasut rata Hana 2.0, kasut tumit rendah Elayza, polka dot Wani bertali belakang dan kasut bertapak tebal Paris. Kebiasaannya, kasut bertapak tebal dicadangkan untuk acara-acara petang kerana ia cantik apabila dipadankan dengan dres atau skirt. Harga kasut bermula dari RM200.
Bagaimanapun, kasut bertapak tebal dengan rekaan kerongsang kristal di bahagian hadapan kasut sesuai digayakan untuk acara persandingan. Kasut tersebut dibuat menggunakan fabrik mewah satin dan pelapik kulit kambing. Sepatu elegan itu disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan ros merah jambu pada harga RM320 sepasang.
Sementara itu, kasut Cipela Espadrilles ditawarkan dalam empat rekaan iaitu kasut rata Crochet Espadrilles, kasut tapak tebal Espadrilles, Ribbon Denim Espadrilles dan kasut Espadrille bercorak untuk lelaki. Kasut ini dijual pada harga bermula dari RM68 hingga RM78.
Di samping menyediakan puluhan rekaan kasut buatan tangan, Hidayah juga memperkenalkan barisan pakaian Hidy Collection menggunakan fabrik kapas dan linen sebagai pelengkap penampilan golongan wanita.
"Hidy Collection dibahagikan kepada kategori iaitu HidyEssence yang merupakan koleksi tunik asas, tunik dengan gandingan corak dan rekaan fabrik (HidyFusion), tunik edisi terhad (HidyExclusive) dan tunik dengan rekaan yang berpadanan potongan badan wanita bersaiz besar (HidyLoveYourCurve).
"Kesemua rekaan baju ini menggunakan konsep kurta dengan elemen sulaman di bahagian leher dan tangan. Beberapa pakaian turut diperincikan dengan sulaman bersegi dan bunga-bungaan," jelasnya rekaan-rekaan tersebut ditawarkan pada harga antara RM80 sehingga RM350 sehelai.
Rekaan yang dihasilkan oleh Hidayah turut mendapat permintaan pembelian secara dalam talian daripada pelanggan luar negara seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Ringan selesa, tahan lasak

Posted: 16 Nov 2014 03:45 PM PST


Kasut DC signaturnya menjadi pilihan Miller setiap kali bermain papan selaju.


TAMPIL dengan warna biru dan hitam, kasut jenama DC Shoes (DC) signatur Matt Miller, 30, yang me­rupakan seorang pemain papan selaju terkemuka dari San Francisco, Ca­lifornia, Amerika Syarikat pastinya menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem.
DC melancarkan kasut terbaharu, Matt Miller S dalam siri jelajah DC Defyconvention di butik 100%, pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Kelihatan sedikit besar, kasut tersebut ternyata memberi keselesaan maksimum kepada pengguna terutamanya ketika bermain papan selaju. Lapisan kulit direka dengan teknologi daripada DC iaitu Super Suede untuk mengurangkan risiko bahagian luar kasut agar ia tidak mudah koyak.
Rekaan

MILLER menunjukkan kasut DC Matt Miller S semasa pelancaran produk itu di ibu negara baru-baru ini.


Menurut Miller yang menganggotai pasukan papan selaju DC sejak enam tahun lalu, kasut tersebut mempunyai ciri-ciri yang diinginkan oleh setiap pemain papan selaju iaitu rekaan luaran menarik, ringan, selesa dan tahan lasak.
"Setelah beberapa bulan memakai kasut ini, saya dapat merasakan ia sesuai untuk setiap ka­tegori dan teknik permainan pemain papan selaju sama ada di jalanan atau tanjakan. Saya mempunyai kedua-dua warna kasut ini dan sering menggunakannya setiap kali bermain papan selaju. Saya mahu kelihatan menarik apabila memandang ke bahagian kaki sewaktu bermain papan selaju," ujarnya yang terkenal de­ngan teknik lompatan Pop yang tinggi.
Selain rekaan luaran yang elastik dan menarik, bahagian dalaman kasut Matt Miller S juga direka dengan ciri-ciri selesa dengan menggunakan lapisan kusyen menerusi teknologi khusus untuk produk tersebut iaitu OrhoLite. Kusyen dalaman itu juga memberi keselesaan maksimum kepada pemakai.
Tapak kasut Matt Miller S juga di­cipta dengan rekaan Pill Pattern yang merupakan inovasi DC untuk me­ngukuhkan cengkaman pada papan selaju. Miller juga terlibat dalam pembikinan rekaan kasut tersebut bersama pasukan reka bentuk DC agar menepati kriteria dan citarasanya.
Dalam siri jelajah DC Defyconvention, sembilan pemain papan selaju pasukan DC berkunjung ke empat buah negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. Selain Matt, Wes Kremer, Evan Smith, Felipe Gustavo, Tommy Fynn dan Kota Ikeda merupakan antara nama-nama besar dalam arena papan selaju antarabangsa daripada pasukan DC terlibat dalam siri jelajah itu.
Demonstrasi

kasut DC Matt Miller S direka dengan dua warna berbeza iaitu biru dan hitam yang pastinya menjadi pilihan pemain papan selaju tempatan.


Sempena pelancaran kasut itu, pengedar barangan DC di Malaysia, RSH (Malaysia) Sdn. Bhd. turut menganjurkan acara bertemu peminat dan demonstrasi kemahiran papan selaju di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Pengurus Kanan Bahagian Penjenamaan RSH (Malaysia) Sdn. Bhd., Alicia Au Yong membe­ritahu, kasut Matt Miller S merupakan antara produk terbaik yang pernah dihasilkan oleh DC sepanjang 20 tahun jenama tersebut berada di pasaran dunia.
"Matt Miller merupakan seorang pemain papan selaju yang mempunyai stail tersendiri tidak kira daripada aspek fesyen atau skil permainannya. Pastinya kasut ini akan menjadi tumpuan para pemain papan selaju tempatan kerana Miller mempunyai pengikut ramai di seluruh dunia.
"Sukan ekstrem terutamanya papan selaju semakin popular di Malaysia. Pihak kami yakin bahawa pemain sukan ini akan menggunakan kelengkapan berkualiti yang dilengkapi dengan teknologi kasut yang terbaik untuk mereka. Kasut Matt Miller S pastinya menjadi pilihan tepat untuk pemain papan selaju," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kasut DC Matt Miller S boleh didapati di Butik DC, cawangan Royal Sporting House, butik Studio R, butik Stadium dan pengedar yang sah pada harga RM339. Maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/dcshoes.my.


Kreativiti pelajar wajar diiktiraf

Posted: 16 Nov 2014 03:42 PM PST


PARA pelajar dan guru SMK Datuk Ahmad Razali menunjukkan hasil eksperimen enzim sampah pada pameran YV4C di Kuala Lumpur baru-baru ini.


"KITA meminjam alam ini daripada generasi akan datang dan ia bukan hak kita," kata Masyitah Khairudin, 16, memetik kata-kata pemimpin terulung India, mendiang Mahatma Gandhi.
Masyitah menyampaikan kata-kata itu ketika ditanya mengenai kepentingan masyarakat dalam menjaga alam sekitar, sekali gus memastikan kelangsungan alam demi generasi pada masa akan datang.
Katanya, manusia perlu sedar bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan perlu memainkan peranan agar persekitaran dan hidupan semula jadi tidak dimusnahkan.
"Sekarang ini, wujud manusia yang tidak sensitif dengan kelangsungan kehidupan alam walaupun mereka sedar fungsi kewujudan alam semula jadi ini.
"Sedih apabila saya memikirkan semakin banyak pokok ditebang, bukit ditarah dan pembakaran secara terbuka hingga menyebabkan masalah udara seperti jerebu. Kami mewakili generasi muda perlu kembali memperjuangkan alam sebelum ia terlambat nanti," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Masyitah merupakan ketua kumpulan kepada 20 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, Cheras, Selangor yang mempersembahkan penanaman sayur-sayuran secara organik.
Pelajar tingkatan 4 Bestari itu berkata, penanaman secara organik ialah kaedah tanaman bebas racun dan kimia demi menjaga nilai pH tanah serta hidupan serangga yang membantu menyuburkan tanaman.
"Racun serangga yang kami gunakan adalah adunan daun pandan dan air. Sepanjang enam bulan lalu, ia disembur pada sayur untuk menghalau serangga perosak.
"Sayur yang rosak pula tidak dibuang sebaliknya sisa kebun itu dicampur dengan tanah dan dibiarkan mengering sebelum dijadikan baja," katanya sambil menunjukkan sayur terung, bayam dan cili yang ditanam di kawasan tanah terbiar di sekolahnya.
Program dan pameran yang dikenali dengan singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) itu merupakan inisiatif untuk menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar.
Ia mendapat kelulusan dan sokongan Kementerian Pelajaran dan Affin Bank Berhad (Affinbank).
Sebanyak enam buah sekolah terpilih untuk menyertai pameran tersebut iaitu SMK Engku Husain, SMK King George V, SMK Wangsa Melawati, SMK Datuk Ahmad Razali, SMK Cheras Jaya dan SMK Bandar Baru Sungai Buloh.
Hasil eksperimen kesemua sekolah itu berkaitan kaedah menjaga dan memulihara alam sekitar dipamerkan di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya Bangsar, Kuala Lumpur.

HASIL tanaman secara organik yang diusahakan kumpulan SMK Cheras Jaya, Selangor.


Cecair komposit pelbagai guna dari pasukan SMK Datuk Ahmad Razali, Ampang, Selangor mencuri perhatian pengunjung kerana dihasilkan melalui sisa komposit yang mudah diperoleh.
Menghasilkan enzim sampah (GET) bertujuan mengurangkan pembuangan sisa organik dan penggunaan kimia yang membebaskan gas metana menyumbang kepada pemanasan global.
Kandungan GET terhasil melalui campuran gula perang, sisa organik dan air dengan kiraan skala 1:3:10 direndam selama beberapa bulan.
Bahan organik
"Bahan organik yang digunakan ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayuran pula perlu segar dan buah citrus digunakan untuk menghasilkan bau yang wangi," kata ketua kumpulan sekolah itu, Muhammad Khairulnizam Madani, 16.
Katanya, GET juga boleh dijadikan sebagai baja dengan mencampurkan bahan tersebut bersama baja terpilih. Lebih lama GET direndam, ia akan menghasilkan kesan yang lebih optimum ketika digunakan.
Ujarnya, proses saringan dan tapisan antara faktor yang sering dititikberat olehnya bersama 20 ahli yang lain.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Datuk Ahmad Razali, Siti Zaharah Kadir menganggap program itu sebagai kaedah pembelajaran luar dari kelas yang sangat berkesan.
"Konsep pembelajaran hari ini menuntut murid bijak dari sudut teori dan teknikal. Program ini merupakan sebahagian daripada kaedah pembelajaran luar daripada bilik darjah.
"Sudah tentu kami memberi galakan kepada pelajar untuk melakukan aktiviti luar dari bilik darjah termasuk dalam usaha memulihara alam sekitar," katanya ringkas.
Katanya, dia bersama pasukan guru yang lain sering turun padang untuk menyaksikan sendiri gerak kerja kumpulan itu.
Mengulas mengenai program itu, Siti Zaharah berkata, ia wajar diteruskan.


Nabil tak gentar

Posted: 16 Nov 2014 05:05 AM PST


  • Nabil

TIDAK menerima pelawaan menyertai mana-mana kumpulan menerusi program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 bukan bererti pelawak popular yang juga penyampai radio Era FM ini sudah cukup hebat.

Tetapi bagi Nabil Ahmad, dia harus memperjuangkan lawak secara solo kerana mahu membezakan dirinya dengan pelawak sedia ada.

Malah, pelawak berusia 30 tahun ini mengakui kekurangan pelawak yang menyampaikan konsep jenaka stand up comedy antara faktor dia meneruskan konsep tersebut.

"Di negara luar, stand up comedy sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Meskipun persembahan hanya dilakukan di kelab-kelab, restoran dan tempat-tempat kecil namun ia mendapat tepukan gemuruh.

"Di sini pun sama, cuma hanya segelintir yang menerima penuh konsep lawak ini," katanya.

Jelas Nabil, walaupun ada yang menyifatkan persembahan stand up komedi agak malas, namun ia tidak pernah mematahkan semangat juara Raja Lawak musim kedua ini.

"Ada yang kata saya ambil jalan mudah sebab melakukan lawak sedemikian.

"Sebaliknya, stand up comedy lebih sukar kerana saya bertindak sendirian. Saya tiada kawan lain untuk membantu dan idea, konsep perlu difikirkan saya sendiri.

"Tetapi bagi yang berkumpulan mereka punya skala lebih besar untuk memikat hati penonton," tegasnya meneruskan penyertaan dalam MLM 2014 kerana minat bukan populariti semata.

Dalam pada itu, Nabil berharap penonton yang menyaksikan MLM 2014 memberi sokongan kepada semua peserta bukan tertumpu kepada segelintir sahaja.

"Bayangkan, apabila pelawak yang diminati masuk membuat persembahan, mereka akan berikan tepukan gemuruh sebaliknya jika tidak, pelawak tersebut disambut dengan suasana sepi tanpa sorokan dan tepukan daripada penonton yang hadir.

"Ini sekali gus membuatkan pelawak tersebut rasa tidak dihargai atau diterima sehingga boleh menjejaskan persembahan mereka," katanya kesal.

12 Peserta Dipilih Bersaing di Mentor Legend

Posted: 16 Nov 2014 05:05 AM PST


Amy Search (tengah ) bersama protegenya, Sarah dan Amy.
SUBANG JAYA: Seramai dua belas peserta terbaik diumum bakal bersaing di pentas Mentor Legend yang bakal bermula pada Ahad, 16 November, pukul 9 malam di TV3.

Peserta-peserta tersebut dipilih melalui ujibakat yang dilakukan oleh enam mentor yang terdiri daripada Dayang Nurfaizah, Ajai, Mas Idayu, Ella, Zainal Abidin dan Amy Search.

Dua belas peserta tersebut ialah Azmil & Sandra (Dayang Nurfaizah), Fahmi & Mal Imran (Ajai), Paan & Daus (Mas Idayu), Aina & Putera (Ella), Wada & Nadeera (Zainal Abidin), Sarah & Amy (Amy Search).

Pemilihan itu diumumkan pada showcase Mentor Lagend yang diadakan di One City Mall, di sini, malam Sabtu.

Penerbitnya, Ahmad Saifulizam berkata, setelah dua tahun berehat Mentor Legend menerima lebih ramai bakat baharu yang datang pada uji bakat yang diadakan.

"Kali ini ramai yang datang pada ujibakat ini, dan mereka adalah muka-muka baru yang tidak pernah menyertai mana-mana program nyanyian lain.

"Selain itu, mereka juga sudah mempunyai pengikut yang ramai biarpun belum menjadi selebriti," ujarnya.

Sementara itu, program Mentor Legend bakal dihoskan oleh pengacara Awal Ashaari, manakala Zuan Azmi dan  Shiha Mentor bertindak sebagai pengacara bersama dan Jurnal Mentor Legend.

Mentor Legend masih mengekalkan format pemarkahan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS, dan 20 peratus daripada juri awam.

Program ini bakal bersiaran dengan tayangan perjalanan sesi ujibakat pada 16 November, pukul 9 malam di TV3.

Manakala, pentas pertandingan akan bermula pada 30 November yang akan bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. 

Hydra Mampu Cipta Nama Di Peringkat Antarabangsa

Posted: 16 Nov 2014 05:03 AM PST


Kumpulan Hydra
PETALING JAYA: Kumpulan Hydra menyifatkan penglibatan mereka yang masih baru dalam industri seni muzik tempatan bukan satu penghalang untuk terus mencipta nama di persada antarabangsa.

Vokalisnya, Sayed Sahlan Sayed Hamid atau Lan berkata, kumpulannya itu sudah 10 tahun berkecimpung dalam muzik underground dan kerana itu mereka sudah pun mempunyai peminat tersendiri termasuklah di luar negara.

"Dari dulu sampai sekarang, kami membuat persembahan di rata-rata tempat termasuklah di luar negara. Dan sekarang kami cuba melangkah ke arus perdana pula untuk lebih dikenali.

"Walaupun masih baru, kami yakin muzik kami mampu menarik minat semua pihak termasuklah masyarakat luar negara.

"Pada hujung tahun ini kami akan ke Bandung dan Surabaya, Indonesia bagi memenuhi undangan persembahan manakala pada tahun hadapan di Amerika Syarikat dan Jerman pula," katanya kepada mStar Online.
Selain Lan, Hydra turut dianggotai  pemain bass, Boy (Mohd Faizul Azril Isa), drum, I-Zad (Ahmad Aizad Mohamed Fauzi), keyboard, Jezz (Kamas Jezzriq Eddie Kismilardy) dan gitar utama, G-Beng (Mohd Fadzil Abdul Wahab).

Sementara itu, Hydra turut mempertaruhkan album sulung mereka berjudulSinergi sebagai langkah pertama mereka di dalam dunia hiburan arus perdana.

Sinergi 
yang kini sudah pun berada di pasaran memuatkan sebanyak lima buah lagu termasuklah  Hujung Mentari (lagu runut bunyi filem Dampak), Damai, Pergilah, Precious Queen dan Waris.
Boy berkata, lagu-lagu tersebut telah dihasilkan dalam tempoh masa enam bulan dengan memberi fokus terhadap susunan muzik yang berkonsepkan rock.

"Setiap karya yang dihasilkan mempunyai nilai tersendiri, tidak seperti lagu saduran yang sering kami persembahkan di pub.

"Sebaliknya mesej yang dibawakan mengenai kedamaian, kasih sayang dan kesatuan kumpulan kami. Kami ingin menjadi pembakar semangat kepada generasi muda," ujarnya.

Sinergi telah diterbitkan oleh label persendirian kumpulan itu iaitu Hydranation dan diuruskan sepenuhnya oleh syarikat pengurusan bakat, Thrive Talent Tank.

Album berkenaan juga boleh didapati di semua laman muat turun utama seperti CDBaby, iTunes, Amazon manakala ia juga boleh dibeli di kedai-kedai muzik berdekatan.

Untuk maklumat lanjut layari laman Facebook Hydra di www.facebook.com/HydraMalaysia atau Twitter mereka www.twitter.com/HydraMalaysia.

Peminat juga boleh menonton koleksi klip video mereka di http://www.youtube.com/channel/UCiLufWIHFa2X_NLgNvDzL5Q

'Awak Kat Mana' Percintaan Dikongkong Kekasih - Taufik Batisah

Posted: 16 Nov 2014 04:40 AM PST

PETALING JAYA: Penyanyi berasal dari Singapura, Taufik Batisah memberitahu lagu terbaharunya berjudul Awak Kat Mana adalah inspirasi percintaan rakan-rakannya yang sering dikongkong kekasih.

Taufik, 32 berkata, dia mendapat ilham selepas mengejek mengenai pertanyaan  'awak kat mana'  kepada rakan-rakannya melalui laman sosial sehingga perkara tersebut menjadi viral.

"Pada mulanya saya sengaja suka-suka buat video Instagram bertanya awak kat mana dengan niat mengejek sahaja, namun tidak sangka perkara itu diikuti oleh artis lain termasuk Hisyam Hamid dan Aaron Aziz menyebabkan ia menjadi viral di laman sosial.

"Selepas itu barulah saya dapat idea untuk cuba buat lagu tersebut memandangkan ramai beri respons baik. Ia inspirasi daripada hubungan percintaan rakan-rakan di sekeliling saya yang rimas dengan pasangan kekasih mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Taufik Batisah akan lancarkan album terbaharunya berjudul Fique di Malaysia dalam masa terdekat.
Taufik berkata, dia membuat lagu tersebut dalam tempoh yang singkat supaya dapat dimasukkan ke dalam album terbaharunya yang sudah siap untuk dilancarkan.

Dia juga tidak menjangkakan lagu tersebut mendapat perhatian dan dijadikan parodi di laman sosial. "Sebenarnya album terbaharu saya Fique sudah siap 12 buah lagu dan tinggal masa untuk dilancarkan sahaja.

"Tapi saya minta mereka tangguhkan sekejap kerana ingin memasukkan lagu Awak Kat Mana ini, malah single pertama yang sudah dipromosi iaitu Menakluk Cinta turut ditenggelami dengan lagu  Awak Kat Mana ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Taufik berkata, dia tidak berkecil hati dengan segelintir masyarakat yang menganggap lagu itu menjengkelkan dan membuat pelbagai parodi mengenainya.

Malah, ujarnya, perkara itu dianggap sebagai promosi percuma kepada lagu tersebut.

"Saya akui ramai yang menyampah dan anggap lagu ini menjengkelkan, memang saya buat untuk buat orang gembira dan menyampah pun.

"Banyak parodi yang muncul selepas lagu ini dilancarkan, saya suka mereka buat parodi dengan cara tersendiri dan menghiburkan," katanya.

Taufik dipilih menjadi juri tetap Maharaja Lawak Mega 2014 yang sudah pun bermula pada Jumaat lalu.

Dia bakal melancarkan Fique di negara ini dalam masa terdekat.

Pengakuan suami curang

Posted: 16 Nov 2014 04:28 AM PST


  • Pengakuan suami curang

PAGI ini, emel saya diketuk seorang pembaca yang meminta namanya dirahsiakan untuk berkongsi kisah rumah tangga.Kisah ini wajar dijadikan pedoman buat para isteri yang merasa cukup bahagia dengan layanan romantis suami. Usah terlalu merasa bahagia, jika anda sendiri belum mempercukupkan diri untuk si dia. Selama ini, dia tidak menyangka sungai rumah tangganya yang beralun lembut, aman damai, tenang di permukaan telah bergolak hebat di dasarnya, tanpa sedar...

Suami seorang yang penyayang dan romantis. Anak anak ketawa ceria... malah sebagai suri rumah tangga dia seorang isteri yang menjaga batas pergaulan termasuk aurat dan akhlak.

Suami selalu membuat kejutan. memberi hadiah dan kata senyuman, namun dia yang selalu berasa hebat dapat menjaga keperluan suami dan anak anak tidak sedar bahawa ada wanita lain yang telah membahagiakan suaminya sekali gus menjadikan lelaki itu amat romantik di rumah untuk menutup kesalahan...

Saya terjumpa kad hari lahir berbaur cinta. Berkali-kali saya mengugut suami untuk berterus terang dan akhirnya tembelang pun pecah.

"Ya, abang sayangkan dia! Dia janda dan abang dah terlanjur banyak kali!"

Ya ALLAH... saya terduduk dengan pengakuan itu... kenapa janda? kenapa bukan anak dara? kenapa mudahnya lupakan pengorbanan saya... apa salah saya? air mata mengalir deras. Saya rasa ingin rebah, suami cuba menongkah tapi saya pantas menepis.

Tiada kekuatan untuk saya teruskan langkah tapi saya gagahi jua sehingga ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mak kata, kalau marah baca al-Quran. Kalau sedih solat sunat dan mengadu padaNYA.

Ya... Saya ingin mengadu... air mata saya mengalir laju walaupun sedang solat dan mengaji. Usai solat dan berdoa suami merebahkan kepalanya di ribaan saya. Dia merangkul pinggang saya dan mencium telapak tangan saya berkali-kali. Dia minta saya ampunkannya kerana menengking saya sebentar tadi. Dia akui terlalu marah kerana saya mendesak dan menjerit kepadanya.

Ya ALLAH, sesungguhnya lebih pada jerit ingin saya lakukan... S-aya ingin menetak suami dengan parang! Tapi saya tiada kekuatan. Hati saya hancur luluh. Saya kuatkan hati untuk bertanya...

"Berapa kali?"

"Banyak..."

"Sejak bila?"

"Sejak Mah mengandung Adan..."

Ya ALLAH... enam tahun lalu... kini Adan dah ada dua adik...

"Tak kahwin?"

"Tidak... abang sayangkan Mah..."

"Sayang?"

"Ya..."

"Ini tanda sayang?"

Soalan saya terbiar tanpa jawapan...

Saya tidak memandang wajah suami di ribaan, tidak juga mengelus rambutnya seperti kebiasaan dia bermanja dengan saya. Mata ini tidak berkedip. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Hati saya bungkam. Air mata tak mahu berhenti...

Minta terus terang

Saya minta suami terus terang kekurangan saya. Jika masih sayangkan perkahwinan kami dan mahu saya terus di sisinya, saya mahu tahu, apa kelebihan perempuan itu dan apa kekurangan saya. Suami menggelengkan kepala sesungguh hati. Mengongoi macam budak kecil. Dia seakan tahu yang saya mahu keluar dari rumahnya.

"Sepuluh tahun abang... sepuluh tahun Mah tertipu dengan permainan abang. Mah sangka rumah tangga kita aman dan bahagia. Rupanya Mah yang berangan-angan di rumah sendiri... abang tak bahagia dengan Mah... Abang cari lain-

"Tak! abang bahagia. Mah jaga abang dan anak-anak dengan baik... tak ada kurang satu pun... Abang tulis. Abang tulis apa yang abang tak suka tentang Mah. Abang tak sanggup nak kata tapi Mah janji jangan tinggalkan abang..."

Saya mengangguk. Saya tolak kepala suami dari ribaan dan melangkah longlai ke bilik anak-anak dengan telekung masih di kepala. Malam itu saya menangis di sisi anak-anak yang enak tidur. Entah bila saya terlelap langsung tak pasti.

Subuh lagi saya sudah bangun sediakan sarapan suami dan anak-anak. Saya kejut suami dan dia bangun seperti tiada apa-apa berlaku. Di hadapan anak-anak kami cuba berlagak biasa. Menjadi rutin, sebelum dia keluar menghantar anak ke sekolah saya bersalaman dan dia mengucup dahi saya; tapi pagi itu, saat ia hendak berlaku, saya palingkan muka. Saya tak mahu bibir yang pernah mencium wanita lain hinggap di dahi saya yang setia. Air mata melurut lagi.

Surat jadi penyebab

Saya tutup pintu dan saya menapak ke ruang tamu. Ada helaian kertas yang bertindih gelas kaca. Saya tahu itu pengakuan suami. Saya tarikh nafas dalam-dalam mencari kekuatan untuk membacanya. Dan isi surat suami, betul-betul buat saya rasa tertampar. Saya harap anda semua memahaminya. Jangan sesekali menyalahkan suami saya atau mana-mana lelaki yang pernah mencurangi anda juga. Ia fitrah seorang lelaki. Dan ia juga menjadi sebab untuk saya menerima dan memaafkannya.

Mah isteri abang yang solehah, isteri yang cantik... yang baik... dan ibu yang sempurna kepada Adan, Lili dan Nafisa...

Impian abang yang terakhir agar Mah menjadi sahabat sepanjang hayat... abang merayu sesungguh hati untuk Mah maafkan abang dan menerima abang semula. Sebelum abang tulis surat ini, abang dah hubungi Zulaikha untuk putuskan hubungan. Abang nekad, apa pun berlaku selepas ini, abang terima sebagai hukuman. Abang reda.. abang berdosa. Abang suami yang terkhilaf...

Mah...

Abang jenguk Mah di bilik anak. Mah tidur dengan air mata yang mengalir. Muka Mah polos tanpa solekan. Mata Mah bengkak dan ada lingkaran hitam. Abang menangis. Mah tak sedar betapa abang cintakan Mah. Tapi Mah lupa, kecantikan Mah yang pudar telah buat cinta abang berpaling.

Sumpah Mah! Sumpah abang rasa bertuah ada isteri sebaik Mah. Mah jaga makan pakai abang, makan minum anak-anak dan rumah tangga. Tapi Mah tak jaga diri Mah untuk abang. Mah tak jaga keperluan batin abang.

Kita kenal sejak sekolah. Sejak Mah jadi pujaan ramai lelaki dan kawan-kawan abang. Mah ramping, tinggi, bermata galak dan menggoda. Tapi sejak Mah lahirkan Adan, Mah biarkan kecantikan Mah hilang. Mah biarkan kuku Mah kecut.. rambut Mah busuk di sebalik tudung... kaki Mah bengkak dengan lemak... badan Mah berbau bila abang balik kerja. Abang terpaksa hipokrit setiap kali Mah sambut abang balik kerja di muka pintu dengan wajah kusam dan tak bermaya. Abang lemah tengok Mah lemah... Abang bagi Mah duit untuk Mah bersisir, tapi Mah habiskan dengan perhiasan rumah dan emas. Kenapa Mah tak gunakan untuk merapikan diri?

Mah abang tak pandang pakaian atau tudung cantik yang menutupi Mah, Abang juga tak pandang barang kemas yang berselirat di tangan atau leher Mah, tapi abang pandang tubuh dan wajah Mah. Kalau Mah sendiri tak menghargai diri bagaimana pula abang? Mana pergi diri Mah yang penuh keyakinan masa Mah bekerja dulu? Mana pergi wanita pujaan abang yang penuh dengan keanggunan masa kita sama-sama belajar dan bekerja dulu? Abang sungguh malu nak bercakap tentang hal ini, tapi jika ini peluang terakhir untuk abang memperbaiki rumah tangga kita, abang luahkan... dan Mah terimalah dengan lapang hati.

Mah... Zulaikha cantik. Dia janda anak ramai tapi bahasa tubuhnya tidak menggambarkan dia seorang janda. Dia menjaga setiap inci yang ada pada tubuhnya sehingga ke bahagian yang paling sulit. Abang minta ampun. Abang menyesal... Zulaikha hanya mahu berkawan dengan abang untuk mengisi kekosongan hidupnya. Dia tidak pernah meminta hubungan yang lebih tetapi kerana selalu bersamanya, abang terpesona. Abang rindukan isteri abang yang dulu. Jika Mah ingin berlalu dari hidup abang... abang tidak mampu menghalang.
Abang berdosa dengan Mah. Mah berubahlah. Cari semula kekuatan Mah sebagai seorang perempuan. Ampunkan abang... abang tak pergi kerja hari ini. Abang nak ke rumah ibu bapa Mah untuk akui semua kesilapan abang dan abang akan terima segala hukuman. Sekali lagi, dari lubuk hati yang paling dalam... abang merayu Mah pulangkan semula isteri abang yang cantik, yang menghargai dirinya luar dan dalam... abang merayu...

Tangan penyamun putus kena libas

Posted: 16 Nov 2014 04:26 AM PST


  • Mohd Rofik menunjukkan bagaimana dia melibas parang untuk selamatkan diri dan isterinya ketika biliknya dipecah masuk.Mohd Rofik menunjukkan bagaimana dia melibas parang untuk selamatkan diri dan isterinya ketika biliknya dipecah masuk.

SEREMBAN - Seorang penjenayah putus pergelangan tangan kanan akibat dilibas dengan parang oleh mangsa ketika cuba menyamun di sebuah rumah di Taman Sikamat Utama di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, suspek, dipercayai warga Myanmar, bersama tiga lagi rakannya memasuki rumah terbabit yang dihuni pasangan suami isteri warga Myanmar juga.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Hamzah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua suspek memasuki rumah berkenaan menerusi tingkap bahagian dapur ketika penghuni sedang tidur.

"Pasangan suami isteri itu dikejutkan dengan kehadiran kumpulan penjenayah terbabit yang menendang pintu biliknya sebelum masuk.

"Kesemua suspek yang menutup muka dengan baju dan kain terus meluru ke arah mangsa yang berada di atas katil lalu menumbuk mangsa lelaki bertubi-tubi.

"Mangsa yang melawan sempat mengambil parang miliknya yang diletakkan di bawah almari pakaian, untuk mempertahankan diri," katanya.

Menurutnya, libasan parang mangsa menyebabkan pergelangan tangan seorang suspek putus sebelum kesemua mereka melarikan diri dengan keluar mengikut pintu hadapan rumah.

Muhamad Zaki berkata, suspek berusia 26 tahun yang putus pergelangan tangan ditemui terbaring di kawasan semak berhampiran sebuah rumah iaitu lebih kurang 50 meter dari rumah mangsa.

"Difahamkan, tiga lagi suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah van warna putih. Kesemua mereka dipercayai merupakan warga Myanmar dan salah seorang daripada mereka dipercayai dikenali oleh mangsa,"katanya.

Miera Liyana mahu lelaki lebih berusia

Posted: 16 Nov 2014 04:22 AM PST


MIERA ingin mengubah persepsi seksi peminat terhadap dirinya selama ini.


BAKAT lakonan yang ada pada si empunya nama Miera Liyana sememangnya tidak boleh dipertikai. Apatah lagi dengan wajah cantik yang dimiliki, pelakon yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam industri seni itu jelas punya pakej yang cukup lengkap untuk pergi lebih jauh.
Bagaimanapun, dalam meniti perjalanan mengejar cita-citanya, pelakon berusia 21 tahun itu sudah banyak kali terpalit dengan cerita yang mengaitkan imej seksi dengan dirinya.
Apatah lagi dengan watak-watak aksi ghairah yang dibawanya, Miera bagaikan sudah cukup sinonim dengan label seksi yang sering diberikan kepadanya.
Sungguhpun begitu, selepas dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, perlahan-lahan dia cuba mengubah imej seksi itu. Baik dari segi penampilan mahu pun watak lakonan, semuanya sudah tidak 'segalak' dulu.
"Cukuplah dengan label seksi sebelum ini. Saya sudah tidak lagi seperti dulu. Malah, filem Dendam Orang Mati yang baru ditayangkan di pawagam itu juga membuatkan cerita sedemikian timbul sekali lagi.
"Agak rasa kesal kerana sebenarnya filem itu menjalani penggambaran tiga tahun lalu, cuma baru sahaja ditayangkan. Itu yang menyebabkan muncul semula kisah saya berbikini dan aksi ranjang," katanya kepada Sensasi Bintang.
Cerita pelakon filem Apokalips itu, dia kini lebih selektif dalam menerima tawaran watak yang diberikan kepadanya.
"Apabila ada pihak yang memberikan tawaran lakonan, saya akan menilai dari segi skrip dan watak yang ditawarkan. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dengan watak-watak seperti dulu. Saya nak lari daripada imej adegan ranjang dan seksi itu.
"Cukuplah dengan label seksi itu. Kadang-kadang saya rasa letih dengan persepsi imej sedemikian," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon yang dikesan bakatnya menerusi drama Luna Fantasiku itu memberitahu, dia kini sedang menjalani penggambaran telefilem melibatkan kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia berjudul Pacarku Kehabisan Ongkos.
"Ia merupakan pengalaman pertama saya bekerja di Indonesia. Apa yang boleh dikatakan, cara kerja di sana jauh berbeza iaitu dari pagi sampai lewat tengah malam. Itu satu pengalaman berharga buat saya," katanya.


Langit Cinta bakal cetus fenomena

Posted: 16 Nov 2014 04:21 AM PST


BABAK tegang antara Jalaluddin Hassan dan Keith dalam filem tersebut.


SELEPAS berjaya mengarahkan filem pecah panggung, Ombak Rindu pada tahun 2011, kini pengarah terkenal, Osman Ali sekali lagi tampil dengan buah tangan terbaharu bergenre cinta romantis berjudul Langit Cinta.
Apa yang menarik, filem Langit Cinta bakal menjadi fenomena yang akan mengheret penonton menyelami kisah cinta yang sarat dengan emosi dan air mata.
Memilih lokasi terpencil di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah sebagai salah satu lokasi penggambaran filem tersebut, ia ternyata memberi kelainan dan menyuntik unsur realistik bagi mencantikkan sinematografi filem romantik arahannya itu.
"Tidak dinafikan menjalani penggambaran di Pulau Tuba sangat mencabar. Cuba bayangkan, ketika kami mahu memulakan sesi penggambaran, terpaksa menggunakan kapal kargo untuk membawa kelengkapan penggambaran.
"Sebenarnya kami membayangkan untuk mencari sebuah pulau terpencil yang mempunyai rumah kampung di tepi laut. Bagaimanapun, konsep rumah kini sangat berbeza hingga kami terpaksa membina sebuah rumah baharu terletak di tepi pantai dan mempunyai jeti. Kami mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan rumah tersebut.
"Mungkin pada mata kasar, pembinaan rumah itu tidak penting tetapi saya percaya perkara-perkara inilah yang akan menyokong dan menghidupkan emosi penonton ketika menonton filem Langit Cinta kelak," ujar Osman Ali ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.
Menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Keith Foo, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Farid Kamil dan Siti Saleha, ternyata menjadi percaturan hebat kepada Osman membawakan filem itu ke layar perak.
Bercerita tentang pemilihan Keith sebagai teraju utama dalam filem berkenaan, Osman menjelaskan, secara keseluruhan dia amat berpuas hati dengan mutu lakonan dan komitmen yang diberikan pelakon itu.
"Saya sudah lama mengimpikan untuk berkerjasama dengan beberapa nama besar di Malaysia. Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan Keith Foo dalam sebuah filem.

OSMAN memberi arahan kepada kru bagi melicinkan perjalanan penggambaran filem tersebut.


"Pemilihan Keith untuk memegang watak Alif Zulkarnain dibuat berdasarkan pencapaian dan keberkesanan karakter yang pernah dibawanya dalam telemovie berjudul Tollgate Asmara.
"Terus terang saya katakan, dia memiliki aura tersendiri ketika membintangi watak tersebut. Cubaan saya untuk membentuk seorang lelaki Melayu bernama Alif Zulkarnain dalam filem ini sangat tepat. Saya sangat mengagumi bakat yang dimiliki Keith kerana kesungguhannya menghidupkan watak jelas terpancar. Dia juga berjaya menjiwai watak itu sepenuhnya melalui hasil didikan Ogy.
Tambah Osman, selain Keith, dia juga baru pertama kali bekerjasama dengan pelakon handalan, Ogy.
"Saya membesar dengan filem-filem lakonannya. Sudah lama berhajat untuk mengambil Ogy berlakon dalam filem saya. Oleh itu, sebagai pengarah baharu, saya nekad mencabar diri untuk bekerjasama dengan selebriti idola sejak dahulu lagi.
"Saya sangat terhutang budi dan berterima kasih dengan Ogy kerana dia banyak memberi tunjuk ajar. Lakonannya tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia juga seorang pelakon veteran yang tidak kedekut ilmu. Sepanjang berkampung di Pulau Tuba, dia banyak mengajar dan membantu momentum pelakon lain," katanya.
Ekspektasi penonton
Bercakap mengenai filem Ombak Rindu yang terbukti sukses setelah berjaya merangkul pelbagai anugerah dan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM10.9 juta di bawah Skim Wajib Tayang kelolaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, pastinya memberi satu tekanan hebat kepada Osman untuk menambat kembali filem bercorak romantik ke layar perak.
Bagaimanapun, kata pengarah filem tersebut, dia mengakui tidak tertekan dengan situasi itu kerana dia percaya melalui keikhlasan, pastinya akan melahirkan sebuah filem berkualiti.
"Kejayaan sesuatu perkara terletak kepada usaha seseorang itu. Jadi sebagai individu yang dipertanggungjawabkan, saya perlu berusaha keras dalam setiap filem yang dihasilkan. Filem Ombak Rindu yang saya arahkan pada tahun 2011 disahut sebagai satu cabaran dan pembakar semangat.

RUMAH kampung yang dibina pihak produksi bagi membangkitkan emosi kepada penonton.


"Untuk melihat filem ini berjaya, saya juga harus bekerja dengan ikhlas. Saya mahu filem Langit Cinta berdiri di atas nama sendiri tanpa bayangan mana-mana filem sentuhan saya sebelum ini. Saya mahu memikat penonton Ombak Rindu supaya menonton filem Langit Cinta," kata Osman.
Tambahnya, kali ini dia menggunakan pendekatan berbeza untuk memikat penonton filem tersebut dan dia memilih untuk menayangkan filem itu dahulu sebelum melepaskan novel Langit Cinta di pasaran.
"Strategi filem ini sedikit berbeza berbanding Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel. Kali ini, penulis novel terkenal, Damya Hanna akan menulis novel Langit Cinta dan ia akan dipasarkan selepas tayangan filem itu nanti," katanya.
Selain itu, Osman turut ditanya tentang pemilihan penyanyi yang diinginkannya dalam runut bunyi Langit Cinta.
Jika sebelum ini, Ombak Rindu mempertaruhkan Hafiz dan Adira, kali ini Osman memberitahu, dia menginginkan dua penyanyi terkenal iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain sebagai percaturan untuk menambahkan kehangatan pada tarikh tayangan filem tersebut.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu mengisahkan kisah percintaan antara Alif Zulkarnain (lakonan Keith Foo) dengan Khadijah. Alif adalah anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan keluarga. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadijah.
Dia juga mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah. Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan Khadijah. Bermula dari situ, kehidupan Alif dirundung pelbagai dugaan dan cabaran demi cabaran harus ditempuh dalam hidup dua insan itu.

SITI SALEHA yang turut menjayakan filem Langit Cinta.


Cuaca
Keith Foo yang berperanan sebagai pelakon utama dalam Langit Cinta mengakui, dia banyak belajar perkara baharu sewaktu bekerja dengan pengarah Osman Ali dan pelakon berpengalaman, Ogy.
"Sebelum penggambaran, saya disuruh untuk belajar menjiwai watak Alif dengan kak Ogy. Selama dua minggu, saya berulang-alik ke rumahnya, dia banyak mengajar saya tentang teknik lakonan.
"Ini merupakan kali ketiga saya bekerja dengan Osman Ali. Sepanjang perkenalan, kami tiada masalah untuk bekerjasama. Kami saling bertukar-tukar pendapat dalam mencantikkan lagi filem Langit Cinta," kongsi Keith Foo.
Tambah Keith, antara cabaran yang terpaksa diharungi ketika berada di lokasi penggambaran adalah keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Penggambaran banyak tergendala disebabkan hujan lebat. Banyak babak yang terpaksa ditangguhkan sepanjang saya berada di Pulau Tuba. Saya bersyukur walaupun cuaca tidak menentu, namun saya masih lagi sihat," ujar Keith yang mengakui perjalanan seninya masih jauh dan memerlukan usaha yang lebih keras untuk berjaya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved