ads

Sabtu, 15 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Amanda Imani Belum Sedia Bercinta Selepas Putus Dengan Syarif (Sleeq)

Posted: 15 Nov 2014 02:14 AM PST


Amanda menunjukkan album terbaharunya Black Heart.
PETALING JAYA: Penyanyi Amanda Imani belum bersedia untuk bercinta sejak putus hubungan pada hujung tahun 2011 dengan salah seorang ahli kumpulan Sleeq iaitu Syarif.

Amanda, 22, berkata, dia lebih senang hidup solo agar dapat memberi perhatian penuh terhadap karier nyanyiannya tanpa perlu memikirkan komitmen sebagai pasangan kekasih.

"Lebih senang hidup begini (solo) kerana saya tidak perlu berhadapan dengan masalah-masalah berkaitan hubungan percintaan.

"Dan ini memudahkan saya untuk memberi fokus terhadap karier nyanyian saya.

"Risau juga apabila berkasih, saya perlu memberikan komitmen terhadap dua perkara iaitu cinta dan kerjaya," katanya kepada mStar Online.
Amanda ditemui pada majlis pelancaran album Inggeris terbaharunya berjudul Black Heart di kedai buku Borders The Curve, di sini pada Jumaat.

Syarif yang berasal dari Singapura bakal menamatkan zaman bujangnya dengan Malaque Mahdaly pada 22 November ini.
mStar Default Image
Amanda (dua dari kiri) bersama mereka yang terlibat menjayakan albumnya.

Dalam pada itu Amanda mengakui ada juga beberapa lelaki yang cuba mendekatinya namun ia hanya bersifat sementara memandangkan kebanyakan mereka sukar menerima sikapnya yang berbeza berbanding wanita lain.

"Memang kalau ada yang nak cuba berkawan dengan saya, mereka hanya bertahan paling lama pun dua minggu.

"Sebabnya? Mereka kata saya pelik, tetapi memang pun. Saya suka melakukan perkara-perkara yang jarang dibuat wanita lain… haha," selorohnya.

Sementara itu, mengenai album Black Heart, ia memuatkan sebanyak tujuh buah lagu iaitu City Of Angels, Black Widow, Black Heart, Heart For Hire, Next Generation, Newlyweds dan I've Got It All.
Selain itu album tersebut turut menampilkan dua lagu bonus iaity Like A Boss danBillionaire Boy.
Kata Amanda, album ketiganya ini menampilkan sisi misteri mengenai hidupnya yang telah melalui pelbagai dugaan sebagai selebriti.

"Dalam album ini ia mengisahkan mengenai diri saya selain pandangan saya terhadap masyarakat di sekeliling.

"Saya menyampaikan lagu  mengenai sisi kehidupan sebenar manusia yang penuh rintangan berbanding kegembiraan," ujarnya.

Album Black Heart boleh dibeli di kedai buku Borders Malaysia, Tower Records Malaysia, Starbucks Malaysia, iTunes, Amazon.com dan Spotify.

Zizan Razak Tertekan Disaman Bekas Pengurus

Posted: 15 Nov 2014 02:12 AM PST


Zizan Razak
PETALING JAYA: Pelakon Zizan Razak berasa tertekan apabila timbul kontroversi terbaharu iaitu disaman lebih setengah juta ringgit oleh bekas pengurusnya, ketika dia sedang sibuk dengan kerjaya.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 30, berkata, dia turut terkilan apabila bekas pengursnya itu. Marina Juki mengambil pendekatan untuk mendedahkan perkara berkenaan kepada pihak media.

"Ikhlas saya nyatakan di sini bahawa saya mula mengetahui tentang tindakan saman ini ketika ia disiarkan melalui media.

"Saya berasa sedih dan kecewa apabila dia (Marina) berulang kali memilih untuk bercakap dengan pihak akhbar terlebih dahulu tanpa menghubungi saya atau peguam saya.

"Ini membuatkan saya benar-benar tertekan kerana ia dilakukan pada saat-saat saya sedang sibuk dengan pelbagai tugas kerja yang memerlukan saya memberi sepenuh perhatian," katanya kepada mStar Online pada petang Jumaat.

mStar Online pada Khamis melaporkan Marina  selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Zizan (defendan) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 6 November lalu dan menuntut ganti rugi lebih RM500,000.
Marina Juki

Saman tersebut difailkan selepas Marina yang merupakan Pengarah Urusan  Wire Fame Entertainment Sdn Bhd mendapati Zizan selaku rakan kongsinya melanggar syarat kontrak apabila dia bekerjasama dengan syarikat lain.

Sedangkan perjanjian pelawak itu dengan syarikat berkenaan masih belum tamat yang mana ia berakhir pada 5 Mei 2015.

Plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada meneruskan kontrak dengan syarikat pengurusan baru memandangkan dia masih lagi mempunyai kontrak yang sah bersama plaintif.

Sementara itu, Zizan menegaskan dia tetap yakin berada di pihak yang benar dan tidak melakukan sebarang kesilapan.

"Saya masih yakin bahawa saya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan demi kebaikan semua pihak.

"Memandangkan hal ini berkaitan dengan undang-undang, saya tidak berani memberikan komen lebih lanjut dan hanya menyerahkan perkara ini kepada peguam saya untuk melakukan yang terbaik," ujarnya.

Terdahulu, Zizan dikatakan sudah tidak berhubungan dengan pengurusnya gara-gara masalah peribadi dan perkara itu membuatkan syarikat Wire Fame yang ditubuhkan bersama akan dibubarkan.

Masalah itu berpunca apabila Marina yang memegang saham sebanyak 30 peratus dituduh menyeleweng wang syarikat dan Zizan yang memegang saham terbesar sebanyak 70 peratus telah menyekat akaun bank syarikat pengurusan itu.

Yuna Raikan Hari Jadi Bersama Pesakit Kanak-Kanak

Posted: 15 Nov 2014 02:10 AM PST


Yuna gembira hajatnya untuk gembirakan hati kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terlaksana sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke 28. 
PETALING JAYA: Penyanyi Yuna berkongsi kegembiraan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-28 dengan melawat kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada Jumaat.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai berkata, majlis tersebut dilakukan secara sederhana bersama 30 pesakit kanak-kanak di wad pediatrik pusat perubatan itu.

"Sebenarnya saya tidak rancang apa-apa pun cuma tiba-tiba saya rasa nak datang hospital dan menziarah kanak-kanak yang sakit.

"Saya beritahu perkara itu kepada ibu saya dan Alhamdulillah ibu saya merealisasikannya dengan menghubungi pihak hospital bagi meminta kebenaran lawatan tersebut," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
mStar Default Image
Kanak-kanak ini gembira menerima hadiah daripada Yuna.

Yuna lahir pada 14 November 1986.

Jelas Yuna, perkara tersebut dilakukan secara sembunyi tanpa mahu sebarang liputan media bagi mengelak dituduh riak.

Bagaimanapun secara kebetulan semasa lawatan itu, jurugambar The Star iaitu Azman Ghani berada di pusat perubatan berkenaan atas satu tugasan lain.

"Majlis ni memang saya tak beritahu media pun sebab hanya melibatkan keluarga sahaja, tetapi tidak sangka terserempak dengan wartawan The Star.

"Saya tidak mahu orang cakap saya menunjuk-nunjuk pula. Namun saya sangat bersyukur kerana dapat menggembirakan kanak-kanak selain melihat mereka semua tersenyum," ujarnya.

Yuna kini berada di Malaysia sehingga Disember ini bagi memperbaharui visa dan persiapannya untuk menunaikan umrah.

Nuha (AF 2014) Kurang Keyakinan Jadi Penyanyi

Posted: 15 Nov 2014 02:08 AM PST


Nuha AF 2014 kecewa lupa lirik hancurkan impian jadi juara AF 2014.
PETALING JAYA: Peserta tempat keempat racangan Akademi Fantasia 2014, iaitu Nuha menjelaskan dia kurang keyakinan diri dan belum bersedia untuk menjadi seorang penyanyi selepas berakhirnya program itu pada 9 November lalu.

Nuha atau nama sebenarnya, Syamila Nuhair Zainordi, 21, berkata, dia akan menamatkan pelajaran terlebih dahulu dalam jurusan Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai persiapannya sebelum menceburi industri seni.

"Saya kurang rasa yakin terhadap diri sendiri, hendak bercakap dengan media pun saya takut, ini pun sebab ada guru-guru dan ibu bapa saya beri semangat.

"Insya-Allah lepas ini saya sambung semula pengajian pada semester tiga dalam bidang muzik di UiTM yang tertangguh kerana menyertai program ini," katanya kepada mStar Online.

Nuha diumum tempat keempat pada malam kemuncak Akademi Fantasia 2014  yang diadakan di Auditoriun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada 9 November lalu dengan membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej percutian ke Korea Selatan dan trofi.

Selain itu, Nuha turut memenangi wang tunai RM10,000 daripada D'Herbs sebagai pelajar paling banyak perubahan.
Nuha

Remaja berasal dari Perak ini menyanyikan lagu ciptaannya berjudul Pertama Kalipada pusingan pertama, manakala lagu Beribu Sesalan pada pusingan kedua yang mendapat kritikan apabila dia beberapa kali terlupa lirik.

Dalam pada itu, Nuha menjelaskan kejadian lupa lirik berlaku apabila dia terlalu gementar sehingga menyebabkannya hilang fokus pada pentas akhir itu.

Dia juga mengakui terlalu kecewa kerana impian untuk menjadi juara program itu hancur berkecai.

"Perasaan saya memang sangat kecewa apabila lupa lirik itu dan memang perkara ini akan membuatkan saya menyesal semumur hidup. Saya memang nak sangat jadi juara tetapi mungkin usaha saya masih belum cukup untuk menerima gelaran itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Nuha berkata, wang kemenangan berjumlah RM25,000 itu akan digunakan untuk membiayai pengajiannya.

Katanya, sebahagiannya pula akan diberikan kepada keluarga untuk memperbaiki rumah mereka.

"Saya masuk program ini sebab nak bayar duit yuran pengajian, duit pinjaman saya dapat hanya RM100 sahaja setiap semester.

"Mungkin kerana pendapatan bapa saya tinggi, tetapi orang tidak tahu duit tersebut adalah untuk membiayai kos rawatan kesihatan nenek saya. Bukan saya ingin meminta simpati tetapi saya hanya jelaskan kenapa saya masuk program AF 2014 ini adalah untuk dapat duit sahaja," ujarnya.

Laksa Sri Bidan, Harum Kuahnya Menggoda

Posted: 15 Nov 2014 02:04 AM PST


KETIKA berada di Makloom, Georgetown baru-baru ini, Abang Fen tertarik terhadap nama kedai Laksa Sri Bidan.
Ia membuatkan Abang Fen berteka-teki dengan diri sendiri, sama ada kedai laksa itu diusahakan oleh seorang bidan atau kuah laksanya merupakan resepi seorang bidan.
Apabila tidak berpuas hati, Abang Fen ambil keputusan untuk singgah di kedai laksa tersebut untuk ketahui rahsianya, mungkin boleh dikongsikan dengan pembaca setiamStar Online.
Bila Abang Fen menghampiri kedai Laksa Sri Bidan itu, secara kebetulan tudung periuk kuah laksanya terbuka...aromanya menusuk hidung dan membuatkan Abang Fen begitu berselera.
Bau bunga kantan serta bahan asas dalam kuah itu antara yang menarik pelanggan yang singgah.
Niat awal Abang Fen hanya untuk tahu tentang asal-usul nama Sri Bidan, tapi kini telah bertukar untuk merasai kelazatan kuah laksanya.
Ketika sedang menunggu laksa yang dipesan, pelbagai persoalan bermain di fikiran Abang Fen, antaranya - adakah laksa Sri Bidan memang enak ataupun sekadar aromanya yang harum untuk dijadikan daya tarikan pelanggan.
Semasa Abang Fen asyik melayan persoalan yang bermain di fikiran, laksa yang dipesan sudah berada di depan mata, tersedar pun kerana baunya yang harum.
Abang Fen tak terus menjamah laksa ini sebaliknya memeriksa sayur-sayur, laksa dan kuahnya untuk mengetahui bahan-bahan yang diguna dalam menghasilkan kuah laksa tersebut.
Ada daun pudina, nenas, timun,  bawang, daun salad, cili dan bunga kantan segar yang dipotong halus sebagai penghias laksa bagi menaikkan harumannya.
You all jangan pula hairan kenapa kali ini Abang Fen begitu teliti hinggakan sayuran hiasan laksa pun diambil kisah. Ini kerana semua itu untuk dikongsikan dengan pembacamStar Online.
Kuah laksa Sri Bidan memang berbaloi kerana ia dihasilkan dengan menggunakan ikan segar sehingga pekat dan baunya juga harum.
Itu memang tidak dapat Abang Fen nafi setelah merasai kemanisan ikan daripada kuahnya.
Apabila melihat pada papan tanda, harga semangkuk laksa hanya RM2.50, ia sangat berbaloi untuk laksa sesedap itu.
Apabila sudah kenyang, Abang Fen tidak akan pulang begitu sahaja tanpa mengetahui apakah rahsia kuah laksa itu, siapa pemiliknya dan waktu operasinya.
Untuk pengetahuan, laksa Sri Bidan diusahakan oleh Abdul Aziz Mohamad, 58, (gambar)sejak tahun 1979 lagi iaitu ketika beliau berusia awal 20-an.
"Saya mula jual laksa pada tahun 1979, naik roda tiga (basikal roda tiga) dan pakai buyung, (periuk tanah) guna dapur arang saja," cerita pemilik kedai itu ketika Abang Fen bertanyakan mengenai laksa Sri Bidan.
Ketika itu, Abdul Aziz yang tinggal bersama bapanya menjual laksa di sekitar Georgetown hingga ke Sungai Pinang.
Bapanya merupakan seorang anggota polis di kawasan tersebut.
"Waktu tahun 1979 saya jual laksa dengan harga enam kupang (60 sen) semangkuk dan sehari boleh la jual dalam 5 kilogram," tambahnya.
Pada 1986, Abdul Aziz berpindah ke Permatang Tok Bidan, Penaga, Seberang Perai Utara kerana ayahnya telah bersara sebagai anggota polis.
Bagaimanapun, dia tetap meneruskan usahanya sebagai seorang peniaga laksa sehingga membuka sebuah warung di Simpang Tiga Makloom pada 1995.
Ketika itu jugalah, Abang Fen diberitahu bahawa nama laksa Sri Bidan ini diambil sempena nama kampung yang didiami Abdul Aziz iaitu Permatang Tok Bidan.
Abdul Aziz memberitahu, kuahnya laksanya tidak mempunyai rahsia istimewa atau resipi tertentu  selain menggunakan ikan segar yang diperolehi daripada nelayan di sekitar Penaga.
Jika 35 tahun lalu jualan laksa Abdul Aziz hanya sekitar 5 kilogram sehari, kini ianya mencecah 20 kilogram sehari.
Tetapi resepi dan kelazatan kuahnya tetap seperti 35 tahun dahulu, itulah keistimewaanya.
"Resepi dan rasa kuah laksa Sri Bidan ini masih asli dan sama seperti waktu saya mula-mula jual dulu, pasai (sebab) saya nak kekalkan kelazatan yang ada," jelasnya mengakhiri perbualan kami.
Bezanya, dia tidak lagi menggunakan periuk tanah seperti dahulu kerana kuah yang dimasak ketika ini lebih banyak berbanding dahulu.
Namun bagi penggemar laksa atau mereka yang ingin menikmati laksa yang mempunyai aroma serta rasa asli, Abang Fen cadangkan supaya ke laksa Sri Bidan.
Jika you all inigin tahu lebih terperinci mengenainya boleh berhubung terus dengan  Abdul Aziz di talian 019-4319166.

Awie, Erra terus diburu

Posted: 15 Nov 2014 02:00 AM PST


BARISAN pelakon teater Takhta 3 Ratu, dari kiri: Beto Khusyairi, Datuk Rahim Razali, Awie, Erra Fazira, Izreen Azminda dan Soo Winci bergambar selepas selesai sidang akhbar majlis tersebut, baru-baru ini.


MERENTAS masa dari era 1990-an hingga kini dua nama besar tanah air, Awie dan Erra Fazira sentiasa menjadi buruan ramai. Begitu juga pada majlis minum petang sempena pengumuman pementasan yang akan sekali lagi menggandingkan dua figura tersebut, teater Takhta 3 Ratu di Restoran Bora Ombak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementelah, kedua-duanya diekori isu panas yang menuntut penjelasan daripada mereka. Pertamanya, penarikan diri daripada menyertai peringkat separuh akhir acara pertandingan nyanyian sebuah stesen televisyen tempatan menerusi lagu duet mereka Cinta Makrifat dan keduanya berkait status terkini Erra yang kononnya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka.
Menjelaskan hal pertama, ujar Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, penarikan diri daripada acara berkenaan dianggap wajar memandangkan faktor pengalaman dan pembabitannya dalam industri seni suara sejak 28 tahun lalu. Kata Awie, dia tidak melihat pentas tersebut sebagai satu medan untuk bersaing dengan pe­nyanyi baharu.
"Bukan saya takut, tetapi saya tidak gemarkan format pertandingan nyanyi­an berkenaan dan paling tidak saya gemari adalah perkara baik misalnya persaingan sihat antara penyanyi itu dipolitikkan. Saya perhatikan perkara tersebut sering terjadi terutama yang melibatkan pertandingan nyanyian tidak kiralah program realiti sekali pun.
"Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak berada dalam situasi ber­kenaan dan pada pandangan saya setelah berpuluh-puluh tahun menjadi pe­nyanyi, ukuran saya bukan bergantung pada kredibiliti nyanyian semata-mata sebaliknya pada perasaan bergelar penyanyi itu sendiri.
"Keputusan untuk tidak menyertai pertandingan kali ini kerana merasakan sekarang bukan masanya lagi untuk bersaing tetapi sepatutnya saya menyokong mereka dan menyumbangkan idea sekiranya diperlukan. Hal ini tiada kena-mengena dengan kerisauan reputasi jatuh, saya mahukan industri kita dipenuhi dengan penyanyi yang berbakat dan serba boleh," jelasnya.
Keputusan Awie juga mempengaruhi Erra yang turut menegaskan kolaborasi menerusi lagu itu adalah tindakan dan hasil usaha bersama. Seandainya salah seorang memutuskan untuk tidak terbabit maka keputusan itu bersifat kolektif.
Sehubungan penarikan diri Awie dan Erra, lagu yang tercetus daripada pementasan Konsert Teaterikal Suara Kita awal tahun ini bakal digantikan oleh penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ketiga, Marsha Milan Londoh.
Lelaki bujang
Sementara itu, Erra ketika ditanya lanjut mengenai perkembangan hubungannya bersama jejaka yang masih enggan didedahkan identiti memberitahu, dia terpaksa membuat pengakuan ber­kenaan bagi mengelakkan timbul fitnah apatah lagi hal itu berkait rapat dengan status dirinya sebagai ibu tunggal sekarang.
"Sejarah saya berkawan tidak pernah saya memandang status sama ada golongan kenamaan mahu pun ahli politik, paling penting hati! Segala cerita saya keluar bersama golongan kenamaan adalah tidak tepat sama sekali.
"Pengakuan ini harus dibuat supaya mengelakkan impak itu lebih teruk pada masa akan datang dan menepis dakwaan yang menampakkan bahawa saya ini seorang kemaruk bercinta. Saya pun tidak mahu ada tekanan dalam proses berkawan dan atas alasan itu saya juga perlu menjaga perimeter privasi saya.
"Setakat ini, saya hanya boleh mendedahkan dia lelaki bujang dan fasa sekarang cuma berkawan. Bagi saya cukuplah lelaki itu bersederhana daripada segala aspek dan saya perlukan seseorang yang boleh membimbing saya, jadi pastilah dia itu berpengetahuan. Untuk ke peringkat selanjutnya saya serahkan pada jodoh dan takdir," katanya yang tidak mengambil pusing sekiranya jejaka yang berada di sam­pingnya itu berada dalam lapangan seni atau tidak.
Hang Tuah, Tun Teja
Dalam perkembangan lain, menerusi kerjasama sulung antara Rumah Karya Citra (M) Sdn. Bhd. (milik Erma Fatima), Awie Entertainment Sdn. Bhd. dan Erra Fazira Entertainment Sdn. Bhd., produksi itu bakal mementaskan sebuah karya epik yang mengangkat martabat wanita pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menerusi teater Takhta 3 Ratu.
Tiga watak ikonik yang merupakan isteri kepada Sultan Mansur Shah iaitu Tun Teja, Raden Galuh Chenderai dan Hang Li Po diangkat untuk dipentaskan di Istana Budaya bermula 13 hingga 22 Disember depan.
Walaupun berdepan dengan risiko mementaskan naskhah berat pada saat akhir, baik Awie mahupun Erra, mereka percaya bahawa kerjasama dan kekuatan pelakon yang bakal terbabit bakal menghasilkan sesuatu yang luar biasa pada pementasan tersebut kelak.
"Disember adalah waktu paling gen­ting untuk mana-mana produksi menerbitkan teater, tambah pula persiapan dibuat dalam tempoh yang singkat memandangkan slot yang ada di Istana Budaya juga hanya ada pada tempoh berkenaan. Walaupun berisiko, saya percaya berdasarkan senarai pelakon yang akan terbabit untuk teater Takhta 3 Ratu ini berkredibiliti dan mampu memberikan yang terbaik," tambah Erra.
Menerusi teater arahan Erma Fatima itu, Erra akan menjayakan peranan srikandi legenda wanita, Tun Teja manakala Awie diberikan tanggungjawab menggalas peranan Laksamana Melaka, Hang Tuah.
Selain Awie dan Erra, teater tersebut turut dibintangi oleh Azri Iskandar (Sultan Mansur), Izreen Azminda (Raden Galuh Chenderai), Soo Wincci (Hang Li Po), Beto Khusyairi (Hang Jebat), Remy Ishak (Megat Terawih), Ellie Suriaty (Mbok Kuriang), Tasha Shilla (Sekar) dan Michael Ang (Gui Ying).


Manisnya bergelar ibu

Posted: 15 Nov 2014 01:59 AM PST


EMPAT tahun mendirikan rumah tangga dengan Raja Kamarul Bahrin yang juga ahli politik di Terengganu itu, Noryn kini dikurniakan seorang putera, Raja Bariq Umar Shah.


SENADA dengan gerimis Sabtu minggu lalu, majlis aqiqah dan cukur jambul putera sulung Noryn Aziz dan pasangannya, arkitek terkenal, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu, berlangsung penuh harmoni. Sederhana namun masih menyempurnakan adat, bayi yang berusia dua bulan setengah itu diperkenalkan dan diraikan sebagaimana yang dituntut oleh syariah.
"Saya sangat bersyukur. Hasil perancangan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat, majlis ini terlaksana sempurna. Saya tidak berniat untuk mengadakan majlis yang besar, saya buat apa yang sepatutnya dan cukup sekadar untuk saudara-mara serta rakan-rakan terdekat. Itu pun ramai juga yang tidak dapat hadir sebab masing-masing ada urusan," jelas Noryn, 37, yang memilih tema Arab pada majlis yang dihadiri sekitar 200 orang berkenaan.
Sepanjang majlis, bayi yang diberi nama Raja Bariq Umar Shah itu tidak banyak ragam. Si kecil yang dipakaikan jubah lengkap dengan serban gaya Arab itu lebih banyak lena di pangkuan Noryn.
"Sepanjang dua bulan lebih ini, beginilah rutin saya, berkepit dengan anak sahaja. Dia tak banyak ragam tetapi nak selalu dipangku. Dia cepat terjaga dan pantang ada bunyi. Kadang-kadang, belum pun siap saya nak pakai bengkung, dia dah merengek. Malam barulah dia tidur agak lama, bolehlah saya rehat," cerita Noryn yang bergelar ibu sejak 25 Ogos lalu.
Teruja berkongsi pengalaman berpantang dan putaran rutin harian yang berubah 100 peratus, perasaan itu pasti bukan sesuatu yang luar biasa bagi ibu-ibu lain.
"Hampir sebulan juga kaki saya tidak jejak tanah. Pertama kali keluar rumah selepas bersalin pun sebab kena ke hospital untuk dapatkan suntikan buat Umar.
"Perasaan itu tidaklah sampai tertekan tetapi kebosanan. Bila sudah habis pantang 44 hari, pernah sekali saya keluar jalan-jalan dan membeli-belah bersama Umar. Sudahnya, sibuk melayan anak yang tidak mahu duduk dalam kereta sorong. Terpaksalah, menyusu pun sambil berjalan. Itulah manis dan kelakarnya bila ada anak," cerita Noryn.
Ditanya tentang trend anak selebriti yang meraih populariti di laman Instagram, Noryn tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang pelik.
"Saya jenis yang jarang mengemas kini gambar di Instagram. Gambar sendiri pun kurang apatah lagi gambar anak. Setiap orang cara masing-masing. Satu perkara yang saya perasan, setiap kali muat naik gambar anak, jumlah Like dan pengikut akan bertambah dengan cepat. Bagi saya, perkongsian gambar dalam Instagram, ia lebih kepada album digital. Sayang kalau momen itu hilang," jelas Noryn yang tidak berhasrat untuk membuka akaun khas untuk bayinya.
Masih menyesuaikan diri untuk kembali aktif dengan karier seni, Noryn sebenarnya sudah mula memenuhi jemputan persembahan sejak 10 November lalu.
"Sekarang saya kena 'kayuh' perlahan-lahan. Tapi ada juga cerita kurang sedap didengar apabila ada pihak menyebarkan khabar angin bahawa saya sudah mahu berhenti menyanyi. Sebenarnya tidak, saya masih menyanyi dan kini boleh kembali fokus," ujar Noryn yang turut menjalankan bisnes produk kesihatan yang diasaskannya, Delima Bella.


Kisah cinta klasik Rangga, Cinta

Posted: 15 Nov 2014 01:56 AM PST


ENAM pelakon AADC berkumpul dan kembali terbabit di dalam naskhah tersebut yang diterbitkan dalam bentuk drama mini #alumniAADC yang kini menjadi viral di internet . Dari kiri: Titi Kamal, Dian Sastrowardoyo, Adinia Wirasti, Ladya Cherill, Sissy Priscillia dan Nicholas Saputra.


Dua belas tahun adalah satu tempoh waktu yang cukup panjang. Pelbagai peristiwa dan perubahan boleh berlaku. Apa lagi jika ia berkaitan soal hati, kerana hati manusia senang berubah.
Namun, barangkali tidak untuk satu naskhah ini. Dua belas tahun berlalu, filem Ada Apa D\engan Cinta? (AADC) masih menjadi naskhah cinta paling agung dan berbekas kemas bagi kebanyakan khalayak yang membesar dalam era tersebut, sekali gus terhanyut jauh dengan visual-visual dan dialog cinta di dalam karya arahan sutradara Rudi Soedjarwo itu.
Dua karakter yang cukup ikonik, Rangga dan Cinta selalu menjadi mimpi buat anak-anak sekolah atau remaja yang meletakkan sosok diri mereka sebagai dua karakter tersebut. Nicholas Saputra sebagai Rangga membawa karakter itu luar biasa hebat dengan penuh misteri. Dian Sastrowardoyo pula sebagai Cinta cemerlang sebagai anak gadis remaja yang bijak, cantik dan terbuai keliru saat pertama kali jatuh cinta.
Maka tidak hairanlah apabila AADC yang filemnya 'dimatikan' tergantung dengan pemergian Rangga ke luar negara di Lapangan Terbang Soekarno Hatta meninggalkan Cinta di Jakarta, Indonesia disambung dengan hanya durasi 10 minit, ia telah kembali menyaksikan badai keterujaan penggemar tegar filem ini menjadi begitu penasaran.
Ironi, AADC 2014 dihasilkan untuk mempromosi sebuah aplikasi chat sosial Line kepada pengguna di Indonesia. Iklan yang dipanggil sebagai #alumniAADC itu hanya menelan durasi 10 minit dikemas dengan sinematografi yang cantik.
Namun, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia dilancarkan pada 7 Oktober lalu, #alumniAADC telah disaksikan oleh lebih satu juta pelayar di YouTube dengan lebih 2,000 komen positif yang ditinggalkan terhadap pembikinan kesinambungan filem tersebut.
Majoriti meninggalkan komen yang mengatakan nostalgia mereka akan kisah Rangga dan Cinta kembali tercuit. Melihat bagaimana Nicholas masih mampu mencairkan hati wanita dan Dian masih begitu menjadi dambaan, timbul kerinduan yang sangat tinggi terhadap versi asal AADC yang ditayangkan kepada umum pada 8 Februari 2002 itu. Malah, ada yang meminta AADC segera disambung dalam bentuk sekuel filem panjang.
Mengakui drama mini itu telah berjaya mencetuskan semula keghairahan khalayak terhadap filem tersebut, pemilik rumah produksi Miles Film dan penerbit AADC, Mira Lesmana memberitahu, pada dasarnya beliau sudah lama memikirkan untuk menggarap sekuel AADC selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada pelbagai pihak untuk menyambung kisah cinta Rangga dan Cinta.
Namun, itu bukan bererti selepas 12 tahun dan selepas kemunculan #alumniAADC ini khalayak akan dapat menonton sekuel filem tersebut dalam kadar segera.
"Ya, sejujurnya saya sudah lama mendapat permintaan dan memikirkan untuk menyambung sekuel filem ini. Namun saya tidak mengatakan bahawa saya akan menggarap sebuah sekuel berdasarkan sambutan luar biasa terhadap drama mini tersebut. Bagaimanapun, besar harapan saya dengan tayangan #alumniAADC ia mampu mengisi permintaan khalayak terhadap sambungan kisah cinta mereka," katanya sewaktu dihubungi Kosmo!, menerusi pesanan WatsApp awal minggu ini.
Mira kemudian menjelaskan bahawa beliau sebenarnya telah tersilap tebakan tentang menggarap iklan drama mini tersebut. Jangkaannya, ia tidak akan begitu membekas di jiwa, namun ternyata semua peminat kini kembali 'gila' dengan filem tersebut.
Katanya yang bakal muncul dengan filem Pendekar Tongkat Emas: "Saya telah tersilap tebakan tentang penerimaan khalayak terhadap drama mini ini. Sambutannya terlalu luar biasa dan saya kini mendapat permintaan tentang sekuel ini dengan lebih hebat sekarang!"
Sementara itu, Nicholas yang juga dihubungi menerusi WatsApp memberitahu, dia bersetuju dengan lamaran Line kerana melihat jenama tersebut sesuai dan relevan dengan sasaran khalayak mereka.
"Secara umumnya, Line Indonesia mahu mempromosikan aplikasi chat sosial mereka dengan satu elemen baharu yang dikenali sebagai Find Alumni. Jadi apabila pihak syarikat tersebut mengajak kami bergabung, kami bersetuju kerana melihat ia cocok dengan status Ada Apa Dengan Cinta? (AADC). Ya, kerana temanya sama, AADC dan alumni, yang kemudian menggerakkan kerjasama ini terjalin," ujar Nicholas.
Menjalani penggambaran selama dua hari di Seoul, Korea Selatan, Nicholas turut menjelaskan, jalan cerita dan konsep drama mini tersebut merupakan garapan idea bersama serta dimantapkan lagi oleh pihak Line.
"Kami kerjakan ia bersama, dari segi dialog dan skrip supaya ia dapat dihasilkan dengan baik dan sempurna dalam durasi yang singkat," katanya yang tercalon dalam kategori Aktor Terbaik menerusi karakter Rangga di dalam Festival Filem Indonesia 2004.
Ditanya adakah dia bersedia sekiranya AADC akan digarap dalam bentuk filem sekuel penuh, Nicholas hanya memberitahu, dia perlu menelaah skripnya terlebih dahulu dan ia bergantung kepada kehendak pengarah iaitu Mira.

POSTER filem Ada Apa Dengan Cinta? yang diterbitkan pada Februari 2002.


Sementelah aktor berusia 30 tahun itu kini teruja melakukan promosi dan menanti tayangan filem lakonannya yang diadaptasi daripada komik popular, Pendekar Tongkat Emas di bawah produksi Miles Film bulan hadapan.
Diusik dengan soalan adakah khalayak perlu menunggu sehingga 12 tahun lagi untuk menyaksikan penyudah cinta Rangga dan Cinta, Nicholas menjawab: "Secara jujurnya, saya tidak mempunyai jawapan untuk soalan tersebut."
Menerusi temu bual kiriman e-mel, Dian pula mengaku teruja kerana telah kembali dapat bekerjasama dengan teman-teman pemain asal filem tersebut.
Bercerita mengenai pembikinan drama mini tersebut, kata Dian mereka telah diberi kebebasan oleh pihak Line untuk duduk bersama memberi idea bagi menjayakan drama mini yang hanya berdurasi 10 minit itu.
"Walaupun ia merupakan idea asal daripada pihak Line, mereka memberikan kami ruang daripada sisi kreatif dan boleh memberi usulan-usulan yang diperlukan dalam cerita ini.
"Misalnya, saya dan Nico bersama-sama dengan Galuh (ketua produksi dari Line), duduk bersama membicarakan dialog yang cocok untuk dipakai oleh Rangga dan Cinta. Kami juga bersama-sama membuat puisinya.
"Pelakon lain juga memberi idea tentang pekerjaan mereka selepas 12 tahun. Karakter Alya yang dibawa oleh Ladya awalnya diusul pihak Line sebagai seorang barista (pembancuh kopi), namun Ladya memberi idea lebih bagus sebagai seorang pengusaha kedai bunga, kerana lebih sesuai dengan karakter Alya dan pelakon lain," ujar Dian yang juga memberitahu busana yang digayakan mereka di dalam drama mini tersebut juga merupakan pilihan mereka.
Ditanya perkara yang paling hangat untuk dilupakan selepas alumni tersebut, ibu kepada dua orang anak itu mengaku rasa rindu untuk bermain semula di dalam satu naskhah begitu membekas.
Mengaku tidak pernah terfikir mereka akan kembali bersama selepas 12 tahun untuk menghidupkan semula naskhah 'berhantu' itu, Dian yang sering berkumpul dengan rakan-rakan pelakon filem itu menyampaikan keinginannya untuk menjadikan #AlumniAADC dibikin dalam bentuk sekuel filem panjang.
"Kalau boleh saya ingin sekali berkumpul untuk menggarap filem ini dalam versi sebenar. Namun setakat hari ini, ia memang belum dibahaskan secara serius.
"Tapi siapa tahu, suatu hari nanti ia (sekuel) akan menjadi kenyataan bukan?," katanya.
Realiti kehidupan
#AlumniAADC meneruskan kisah dari dua anak manusia (Rangga dan Cinta) 12 tahun kemudian selepas Rangga terbang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan Dian pula menyambung kehidupan di Jakarta.
Ia dimulakan dengan Rangga kini sudah bekerja sebagai wartawan di New York, Amerika Syarikat dan Cinta bekerja dengan sebuah majalah di Indonesia.
Tidak ketinggalan, selain mereka berdua, para sahabat lama iaitu Alya (Ladya Cherill), Carmen yang dimainkan Adinia Wirasti, Titi Kamal sebagai Maura dan Milly (Sissy Priscillia), semua telah beranjak dewasa dan meneruskan kehidupan.
Rangga yang ditugaskan pulang ke Indonesia tiba-tiba teringat akan kisahnya bersama Cinta. Menggunakan aplikasi Find Alumni, dia memasukkan nama sekolah menengahnya dan mendapati nama Cinta turut berada di dalam senarai.
Berperang dengan keinginan dan ego, Rangga akhirnya menghubungi Cinta dengan pesan pertama yang serba canggung: "Cinta?"
Bermula dengan satu pesanan itulah, drama mini ini lantas bergulir. Khalayak yang pernah menonton AADC akan mendapatkan suasana yang akrab, lebih-lebih lagi dengan babak kilasan-kilasan masa lalu yang diambil dari adegan filem tersebut yang tetap mengingatkan para penonton mengenai pesona dari filem hebat itu.


Hospital Dungun disaman RM1 juta

Posted: 15 Nov 2014 01:53 AM PST


Wajah Nur Laila semasa sihat manakala gambar tengah dan kanan menunjukkan Nur Laila menjadi buta dan mengalami alahan kulit.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) memfailkan saman kecuaian RM1 juta terhadap Hospital Dungun kerana mendakwa menjadi buta dan mengalami reaksi alahan pada kulit selepas dirawat di hospital itu tiga tahun lalu.
Nur Laila Md. Yusof, 20, pelajar diploma jurusan pentadbiran awam di UiTM di Dungun, Terengganu memfailkan writ saman itu menerusi firma guaman Tetuan T.Vijay & Co. di kaunter pendaftaran e-Filing Mahkamah Sesyen di sini pukul 3 petang semalam.
Anak kedua daripada tiga beradik itu hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini ditemani ibu bapanya dengan diwakili peguam bela T. Vijayandran.
Dalam saman itu, Nur Laila selaku plaintif menamakan Pe­ngarah Hospital Dungun sebagai defendan pertama (tidak dinya­takan nama), pegawai perubatannya, Tan Kian Kheng sebagai defendan kedua dan Kerajaan Malaysia defendan ketiga.
Dalam pernyataan tuntutannya, pelajar yang berasal dari Kuang, Rawang, Selangor itu pergi ke hospital itu selepas demam pada 13 November 2011.
Selepas itu, Nur Laila mendakwa, dia telah diperiksa oleh pegawai perubatan Kian Kheng sebelum diberi enam jenis ubat termasuk ubat jenis T amoxycillin, syp benadryl, CMC eye dan hydrocortisone cream.
Bagaimanapun, selepas me-ngambil ubat-ubatan itu, plaintif mendakwa, keadaannya bertambah teruk dengan suhu badannya bertambah panas manakala kulitnya berbintik-bintik merah seperti cacar air atau seolah-olah melecur.
Nur Laila memberitahu, dia kemudian pergi ke Hospital Sungai Buloh pada 18 November 2013 bagi mendapat rawatan lanjut sebelum kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana keadaannya bertambah teruk.
Setelah diperiksa, Nur Laila didapati mengalami reaksi alahan toxic epidermal necrolysis (reaksi yang serius pada kulit) terhadap ubat antibiotik amoxy-cillin yang diberi oleh Kian Kheng.
"Kesan reaksi alahan tersebut telah menyebabkan fungsi kedua-dua belah mata plaintif terjejas teruk hingga mata kanan terpaksa dibuang, juga terdapat kesan lecuran dan kesakitan yang teruk akibat ke­cuaian defendan-defendan itu," kata plaintif dalam pernyataan tuntutan tersebut.
Berikutan itu, plaintif menun-tut ganti rugi am, ganti rugi teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Vijayandran berkata, bahawa writ saman itu akan di­serahkan kepada semua defen­dan pada minggu depan.
Sementara itu, bapa mangsa, Md. Yusof Abd. Kadir, 57, ketika ditemui pemberita berkata, dia sangat terkilan dan sedih dengan nasib yang menimpa anaknya itu yang sehingga lebih tiga tahun belum ada pembelaan sewajarnya.
"Sehingga kini, Nur Laila menjalani sekurang-kurangnya tiga pembedahan pada kedua-dua belah matanya namun anak saya tetap tidak dapat melihat selain dia terpaksa menangguhkan pengajiannya," katanya yang kesal dengan nasib menimpa Nur Laila.


Direman lima hari kerana rasuah seks

Posted: 15 Nov 2014 01:52 AM PST


Suspek direman lima hari selepas didakwa meminta rasuah seks untuk meluluskan permohonan rumah PPRT di Mahkamah Majistret Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Tindakan seorang pegawai kanan kerajaan yang didakwa meminta habuan rasuah dalam bentuk layanan seks daripada beberapa ibu tunggal untuk meluluskan permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akhirnya menerima padah apabila dia ditahan lima hari mulai semalam.
Mahkamah Majistret di sini semalam mengeluarkan perintah reman ke atas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan negeri Kedah itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek di sebuah hotel di Jalan Putra di sini kelmarin.
Dalam serbuan tersebut, pegawai kanan berusia 50-an itu ditahan di dalam bilik hotel ketika bersama seorang janda berusia 20-an yang dipercayai menjadi mangsanya.
Majistret Umzarul An-Nur Umar mengeluarkan pe­rintah reman itu ke atas suspek untuk ditahan sehingga 18 November ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ber­kenaan.
Berdasarkan rekod SPRM, kes berkenaan merupakan yang pertama di negara ini melibatkan rasuah seks bagi meluluskan permohonan rumah PPRT.
Kosmo! semalam me­laporkan SPRM menahan seorang pegawai kanan kerajaan selepas mendapat maklumat da­ripada orang ramai terutamanya ibu-ibu tunggal di sekitar Kedah sejak beberapa bulan lalu yang mendakwa suspek meminta habuan seks bagi meluluskan permohonan rumah PPRT.
Menurut sumber, jika sebelum ini kebanyakan kes ra­suah melibatkan wang, namun perbuatan suspek lebih keji kerana meminta rasuah dalam bentuk seks dengan menyasarkan golongan ibu tunggal yang terdesak me­merlukan PPRT.
Suspek kini direman di Pejabat SPRM Negeri Kedah untuk disoal siasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah melahirkan rasa kesal dengan kes tersebut sekiranya benar dan kerajaan negeri tidak akan melindungi mana-mana kakitangan yang menyalahgunakan kuasa.
Katanya, rumah PPRT di Kedah dijual pada harga sekitar RM40,000 seunit dengan syarat pemohon terdiri daripada golongan tua, cacat dan ibu tunggal.


Tarung nyawa cari sarang burung walit

Posted: 15 Nov 2014 01:49 AM PST



LELAKI berkulit agak gelap dan berbadan kecil itu berdiri di hadapan tali yang tergantung di Gua Niah, Taman Negara Niah, Miri, Sarawak.
Di sampingnya, terdapat tiga lagi lelaki yang membawa galah panjang, bekas berisi makanan dan minuman, beg bersaiz sederhana serta lampu suluh.
Dengan pantas lelaki yang berasal dari Mukah itu memanjat dua tali yang tergantung di gua tersebut yang panjangnya mencecah 30 meter. Aksinya umpama Spiderman dan tidak sampai lima minit dia telah berada di sebuah lubang di bumbung gua tersebut.
Di situ kelihatan banyak sarang burung walit dan rakannya yang berada di bawah menghulurkan sebatang buluh panjang. Jin Kasa, 46, lantas mencapai galah tersebut untuk memulakan kerjanya menjolok dan mengambil sarangsarang burung walit di lubanglubang di Gua Niah itu.
Begitulah rutin kerjaya Jin sejak tahun 1986 dan adakalanya dia terpaksa bermalam di dalam lubang tersebut sekiranya ia susah hendak diterokai dan sarang burung walit terletak agak ke dalam.
"Pernah saya berada di dalam lubang selama dua hari untuk mengambil sarang burung walit kerana ia terletak jauh ke dalam dan lubangnya agak sempit.
"Saya tidak turun kerana ia lebih memenatkan dan mengambil masa untuk naik ­semula. Saya akan menunggu waktu yang sesuai dan meneruskan usaha untuk mengambil sarang tersebut," cerita bapa kepada dua anak itu yang biasanya memasuki satu hingga tiga lubang sehari.
Jin daripada suku kaum Iban berhijrah ke Miri untuk menjadi pencari sarang burung walit setelah dipelawa oleh rakanrakannya. Meskipun pada awalnya perasaan bimbang dan takut menyelubungi dirinya, pendapatan yang lumayan hasil pekerjaan itu membuatkan Jin bertekad untuk meneruskan kerjaya tersebut.
Menurutnya, pada sekitar tahun 1990an, pendapatannya boleh mencecah sehingga RM8,000 sebulan. Namun, katanya, dia hanya mengambil upah mencari sarang burung walit berikutan setiap lubang di gua tersebut mempunyai tuan.
Setiap sarang yang diperoleh akan ditimbang dan diserahkan kepada majikannya sebelum diberi upah. Upah tersebut akan dibahagikan sama rata dengan rakanrakan yang turut membantu dalam proses pencarian tersebut.
Harga pasaran

LELAKI ini membersihkan sarang burung walit sebelum dijual kepada pembeli.


Sarang burung walit mempunyai nilai yang tinggi di pasaran sama ada dalam industri produk kecantikan atau kesihatan.
Sarang burung walit yang diternakpada tahun 2010 dijual dengan harga antara RM4,300 hingga RM4,500 sekilogram (kg) manakala sarang walit yang berada di gua mencecah RM1,300 hingga RM1,500 sekg.
Dari segi kualiti, sarang walit yang diternak mengandungi lebih banyak air liur manakala sarang walit gua mempunyai lebih banyak bulu berbanding air liur.
Bagaimanapun, sejak tahun 2010, harga pasaran sarang burung walit gua mulai jatuh ekoran kewujudan perusahaan ternakan sarang burung walit.
"Kini, harga sarang burung walit jatuh sehingga mencecah RM300 sekg. Hasil juga semakin berkurangan dan ia menjejaskan pendapatan kami.
"Kalau dahulu saya boleh dapat sehingga 20kg sarang untuk setiap bulan, namun sekarang untuk mendapatkan sekilo pun susah," ujarnya dalam seminggu bekerja selama empat hari.
Kerjayanya bukan sekadar berdepan ­dengan ketinggian tetapi dia perlu berhati­hati ketika berada di dalam lubang gua kerana gusar jika terleka, jasadnya mungkin boleh digigit serangga berbisa seperti kala jengking dan labahlabah.
Menceritakan detikdetik hitam sepanjang menjadi pencari sarang burung, Jin memberitahu, dia pernah terjatuh sebanyak dua kali ketika sedang bergayut pada tali untuk ke puncak bumbung gua.
"Kali pertama pada tahun 1990. Ketika itu saya berada pada ketinggian kirakira sembilan meter. Lukanya tidak banyak cuma sakitsakit badan.
"Kejadian yang paling saya tidak boleh lupakan berlaku 12 tahun lalu. Ketika itu, saya terjatuh pada ketinggian 18 meter ekoran tali yang licin," ceritanya mengenang kembali kejadian yang menyebabkannya mengalami kecederaan teruk pada badan terutama belakang, pinggang dan tulang rusuk patah.
Walaupun hampir ­menempah maut, Jin tidak serik dan meneruskan aktiviti itu demi keluarganya.
"Hidup saya untuk isteri dan anakanak. Saya mahu memastikan anakanak saya mendapat pendidikan yang tertinggi. Saya juga mahu memastikan kesihatan anakanak saya terjamin. Selagi terdaya, kudrat masih ada, gua inilah tempat saya mencari rezeki," ujarnya.
Anak Jin, Augistine Padin merupakan pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Miri manakala anak bongsunya, Elice Sulvia Susan Serney berumur 10 tahun.
Elice menghadapi masalah kesihatan berkaitan paruparu dan Jin perlu berkorban untuk mencari wang bagi membiayai kos perubatan anaknya itu.
Rawatan



Setiap dua bulan sekali, Jin perlu membawa anak perempuannya itu ke Hospital Miri untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan.
Dalam mengharungi kehidupan­nya, Jin berasa bertuah kerana anak sulungnya, Augistine juga turut sama membantunya ke gua mencari sarang burung walit.
Augistine berkata, dia hanya bertindak sebagai penunggu di bahagian bawah dan akan menghulurkan barang apabila diminta oleh bapanya yang panggil apai. Dalam bahasa Iban apai bermaksud ayah.
"Apai tidak mengizinkan saya untuk memanjat tali. Pernah saya meminta izin, namun tidak berjaya.
"Apai tidak mahu saya menempah bahaya. Dia ­hanya mahu saya membantu dan melihat bagaimana kesusahan dia bekerja," kata Augistine.
Augistine memberitahu, keperitan bapanya mencari rezeki membuatkan dia lebih bersemangat ke sekolah bagi mengubah nasib keluarganya pada masa depan.
Bercerita pengalaman membantu bapanya, Augistine ternyata bersyukur dan seronok kerana dapat membantu meringankan tugas tersebut.
"Saya rasa seronok kerana boleh mendekati alam dan melihat sendiri proses pencarian sarang burung walit berbanding orang lain yang tidak mempunyai peluang itu.
Rakan sekerja Jin, Julai Mawi, 47, turut bertindak sebagai pembantu di bahagian bawah gua.
Julai yang mengalami masalah kesihatan tidak mampu melakukan pekerjaan yang memenatkan.
"Tugas orang yang di bawah juga tidak kurang pentingnya kerana kami perlu menghulurkan galah dan mengambil sarangsarang burung yang telah dikutip," ujar Julai.


Cara betul nikmati minuman teh

Posted: 15 Nov 2014 01:47 AM PST


Teh Nutrima keluaran MARDI merupakan teh yang berkualiti tinggi.


Menunya mudah, hanya minuman teh yang dihidangkan bersama skon (makanan ala-ala kek dan roti yang diperbuat daripada susu serta tepung gandum yang dijadikan menu petang ala Inggeris) bersalut jem strawberi, namun ia mampu membangkitkan selera.
Selain rasa yang menyegarkan, menikmati teh di puncak pusat pelancongan tanah tinggi di Cameron Highlands, Pahang itu sambil dikelilingi pemandangan hijau dan keindahan flora, sudah pasti memberikan kedamaian.Apatah lagi, iklimnya yang dingin dengan suhu nyaman sepanjang tahun antara 14 hingga 24 darjah Celsius berdasarkan kepada kedudukannya yang berada di ke­tinggian 1,400 dari paras laut.
Ia turut menaikkan perisa minuman itu dan diakui sekumpulan media yang membuat liputan di Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.
"Teh di sini berkualiti tinggi, rasanya asli dan kaya dengan khasiat tersendiri. Umum sedia maklum bahawa terdapat pelbagai jenis teh seperti teh hitam (pilihan ramai), teh hijau, oolong (sejenis teh tradisional negara China), yang mempunyai
ba­nyak khasiat.
"Bagaimanapun, hampir sebahagian besar masyarakat mengamalkan cara penyediaan dan minum teh yang salah," kata Pembantu Penyelidik Kanan MARDI, Mohd. Noor Bahauddin.
Kesilapan amalan itu menyebabkan khasiat yang terkandung dalam teh tidak dapat diperoleh secara 100 peratus. Lebih menyedihkan, apabila amalan tidak betul itu menghapuskan atau menghilangkan terus khasiat teh tersebut.
Kajian
Walhal, teh yang menjadi sebahagian amalan seharian manusia hari ini sudah diakui di beberapa negara sebagai antara minuman berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan.
Dipetik daripada kajian seorang pakar dari University of Illinois, masalah gigi berlubang dan jangkitan gusi boleh dielakkan sekiranya mengamalkan meminum teh dengan cara betul.
Kandungan polyphenols di dalam­nya boleh mengurangkan bakteria di dalam mulut selain dapat mengurangkan nafas berbau yang menjadi masalah sebahagian orang.
Kajian kesihatan lain juga mendapati amalan minum teh baik untuk jantung, meningkatkan daya ingatan, melancarkan perjalanan darah, me­ngurangkan tekanan serta mengelak kanser.
Ini diperkukuhkan hasil kajian di Jepun, mendapati golongan warga emas yang mengamalkan minum teh hijau mempunyai daya ingatan lebih baik secara purata berbanding mereka yang jarang minum teh.
"Namun, semua ini hanya dapat diperoleh apabila meminum teh dengan cara dan kuantiti yang betul," jelasnya.
Minuman ini telah diamalkan sejak 5,000 tahun dahulu di China dan adalah antara minuman tertua yang menjadi kegemaran masyarakat tidak kira peringkat umur.
Malahan, turut dijadikan adat dalam sesuatu perkahwinan.
Justeru, tidak menghairankan pelbagai produk teh berada di pasaran ketika ini dengan perisa-perisa menarik seperti strawberi, epal yang ditambahkan lagi kesedapan dengan hirisan lemon.
Teh tarik

Daun teh yang dipetik akan melalui proses menggiling menggunakan mesin khas.


"Kebanyakan orang minum teh dengan cara yang salah kerana hanya mementingkan kesedapan. Apabila saya jelaskan kepada mereka (pengunjung Taman Agroteknologi)
me­ngenai khasiat teh, ramai terkejut.
"Mereka tidak tahu bahawa cara penyediaan teh yang diamalkan selama ini boleh menjejaskan khasiatnya mendedahkan kepada risiko penyakit," katanya.
Misalnya, teh tarik adalah minuman ke­gemaran hampir
majoriti besar masyarakat tempatan yang mana penggunaan susu berlebihan boleh mendedahkan mereka kepada risiko diabetes.
Teh kaya dengan khasiat dan sepatutnya membawa kebaikan kepada kesihatan akhirnya menjadi punca masalah kepada rangkaian penyakit.
Sedangkan dengan hanya me­minum teh sekurang-kurangnya dua kali sehari dapat menghindarkan penyakit seperti angin ahmar,
me­nguatkan tulang tetapi semuanya hanya berhasil apabila tidak mencampurkan bahan pemanis seperti susu dan gula.
"Bergantung cara hidup masyarakat. Kalau mereka mengamalkan hidup sihat, penyakit dapat dihindarkan.
"Masalahnya, masyarakat suka kepada benda sedap dan teh tarik itu adalah antara pengambilan tanpa kawalan boleh mendedahkan kepada penyakit," katanya.
Selain mengurangkan campuran dua bahan pemanis itu, kandungan khasiat teh dapat dirasai sebaiknya melalui kaedah manual atau cara lama dalam penyediaannya.
Dengan menggunakan serbuk teh yang dibancuh air panas dan kemudian ditapis, khasiatnya lebih terjamin. Namun, disebabkan agak leceh membuatkan ramai cenderung memilih teh uncang.
Selain mudah dan menjimatkan masa, teh uncang dianggap lebih selamat berbanding produk teh timbang yang dikesan mengandungi bahan pewarna berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan untuk tempoh jangka masa panjang.
Namun, di sebalik tanggapan ramai teh uncang adalah selamat, hakikatnya ia juga mempunyai kelemahan dan boleh mengundang kesan buruk.
Ini kerana, hampir sebahagian besar daripada kita suka merendam uncang teh terlalu lama dan hanya akan membuangnya setelah selesai menikmati minuman itu.
Mohd. Noor berkata, sebaiknya ia dicelup tidak lebih daripada lima minit kerana tempoh itu sudah cukup untuk mendapatkan warna sesuai, rasa dan aroma diingini.
"Kita khuatir kertas uncang digunakan berkualiti rendah yang turut mengandungi campuran lilin sehingga boleh menjejaskan khasiat teh apabila direndam lama.
"Bagi mereka yang sistem badannya tidak kuat, mungkin boleh mendapat sembelit. Ini kerana, teh adalah seperti herba lain yang mana apabila pengambilannya melebihi kapasiti penerimaan badan, tentu ada kesannya," jelasnya.

Mitos si comel berwarna hitam

Posted: 15 Nov 2014 01:45 AM PST


Kucing hitam merupakan kucing yang mudah untuk dijaga.


Assalamualaikum. Kali ini veterinar akan membincangkan topik yang agak santai berkaitan kepercayaan karut mengenai spesies kucing hitam. Kerapkali membaca ruangan kesihatan dan penjagaan si comel akan membosankan. Sekali-sekala, kita berbicara tentang stigma atau kepercayaan karut mengenai makhluk Allah yang kurang bernasib baik itu. Di negara-negara Barat, kucing hitam seringkali dikaitkan dengan unsur-unsur sihir atau magik.
Percaya atau tidak, menjelang perayaan Halloween, mereka akan menghasilkan rantai kunci (key-chain) yang berbentuk seekor kucing hitam.
Watak kucing sihir yang paling dikenali adalah Salem dalam rancangan televisyen Amerika Syarikat, Sabrina the Teenage Witch. Sebahagian masyarakat percaya bahawa kehadiran kucing hitam selalu dikaitkan dengan kehadiran makhluk ghaib atau hantu. Biasanya, kucing hitam tidak menjelma di tempat dan masa yang normal.
Hanya tempat-tempat gelap dan sepi menjadi lokasi kesukaan kucing hitam untuk muncul. Sebahagian masyarakat mempercayai bahawa kehadiran kucing hitam adalah petanda mereka sedang diperhatikan oleh ahli sihir.
Di mana kucing hitam dijumpai, di sekitar lokasi tersebut pasti ada hantu atau makhluk ghaib lain yang sedang menonjolkan diri atau sekadar melintas.
Kepercayaan mengenai kucing hitam bermula daripada sejarah di zaman kuno, Babylon. Pada ketika itu, kucing hitam dipersembahkan dalam upacara ritual untuk dibakar bersama dengan beberapa persembahan lain.
Mitos ini mula tercetus kerana kononnya ada seekor kucing hitam yang tidur di tengah-tengah seekor ular.
Pada masa itu, ular merupakan simbol kejahatan. Mitos itu berterusan sehingga kini dan beberapa negara serta bangsa menganggap kucing hitam sebagai:
1 Jerman: Dipercayai apabila ada seekor kucing hitam yang melompat ke tempat tidur orang sakit, kematian akan menghampiri pesakit.
2 Normandy, Perancis: Ketika dalam perjalanan, jika terlihat seekor kucing hitam yang sedang menyeberang di tengah bulan purnama, mereka percaya bahawa mereka akan diserang oleh sesuatu yang mengerikan.
3 Finland: Masyarakat di sana percaya bahawa kucing hitam membawa jiwa manusia ke alam ghaib. Juga dikenali sebagai The Transporter.
4 China: Kehadiran seekor kucing hitam merupakan petanda bahawa mereka akan terkena penyakit atau jatuh miskin.
5 India: Jiwa yang bergelora dapat dibebaskan dengan membaling kucing hitam ke dalam api.
6 Benggali, India: Bahawa ada seorang wanita yang dapat mengubah jiwa manusia menjadi seekor kucing hitam dan setiap kucing hitam yang disakiti akan menyakiti wanita itu juga.
7 Celts, Ireland: Percaya bahawa kucing hitam dapat meramalkan masa depan.
8 Druids, Ireland: Pada masa itu, orang-rang Inggeris kuno percaya bahawa kucing merupakan jelmaan seseorang yang berbuat jahat di masa lalunya sebelum disumpah menjadi seekor kucing hitam.
9 Melayu: Sekiranya jenazah seseorang tiba-tiba dilangkah seekor kucing hitam, jasad tersebut akan bangkit dan menjadi hantu.
Majoriti kepercayaan lain mendakwa bahawa kucing hitam ini merupakan salah satu penyamaran para ahli sihir.
Walaupun tidak ada saksi yang pernah menyaksikan ada ahli sihir yang berubah menjadi seekor kucing hitam atau sebaliknya.
Mereka mendakwa, suatu hari seorang wanita telah menyakiti seekor kucing hitam hingga terluka. Keesokan harinya, mereka mendapati wanita itu mengalami luka sama seperti yang dialami kucing berkenaan.
Kepercayaan lain mengatakan bahawa kucing hitam adalah rakan subahat para ahli sihir untuk menyelesaikan their evil deeds.
Mereka akan terbang menggunakan penyapu dan mula membuat kecoh tetapi kepercayaan yang satu ini diakhiri dengan memberikan mereka gula-gula yang manis untuk mengelakkan para ahli sihir itu daripada membuat kerosakan dan kejahatan.
Hakikatnya:
Stigma seperti itu mengakibatkan kucing-kucing hitam dibenci dan didera sesuka hati. Mereka dijadikan sebagai mangsa kepercayaan-kepercayaan tahayul.
Seringkali kita dapat lihat kucing-kucing berwarna hitam berkeliaran di kawasan-kawasan yang terpencil. Bukan kerana mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti sihir, sebaliknya dibuang oleh manusia yang masih hidup berlandaskan kepercayaan animisma.
Kucing hitam merupakan kucing yang mudah untuk dijaga sama seperti kucing-kucing warna lain. Adakalanya mereka menjadi sangat pasif dan sangat aktif untuk menarik perhatian kita.
Ramai orang berpendapat bahawa kucing hitam adalah lebih manja berbanding kucing lain dan secara peribadinya, veterinar bersetuju dengan pendapat itu.
Di seluruh dunia, kucing hitam merupakan penghuni terbanyak di setiap rumah-rumah perlindungan. Dek kerana stigma atau momokan kolot, kita mengabaikan hak mereka.
Ada antara baka kucing yang diiktiraf berwarna hitam keseluruhannya seperti Bombay. Baka ini memiliki bulu berwarna hitam berkilat dan mata berwarna keemasan.
Baka hibrid ini berasal dari Louisiana, Amerika Syarikat dan merupakan antara baka-baka yang menjadi pilihan di sana. Juga dikenali sebagai anak harimau kumbang (mini panther) dek kerana sifatnya yang aktif dan lasak. Sesuai dijadikan peneman di rumah bagi keluarga yang sukakan kucing.
Kucing hitam tetap kucing. Mereka wajar menerima layanan dan kasih sayang sama seperti kucing-kucing dari warna yang lain.
Tiada satu pun ayat dalam al-Quran yang menyentuh kucing hitam bakal membawa sial atau nasib malang. Malah, kepercayaan itu akan menempatkan kita sebaris dengan golongan-golongan yang khurafat. Marilah sama-sama kita mendidik generasi muda agar tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu yang karut.

Serena S-Hybrid pilihan keluarga

Posted: 15 Nov 2014 01:43 AM PST


Percutian bersama keluarga besar bukan lagi masalah kerana Serena S-Hybrid didatangkan bersama kemudahan lapan tempat duduk.


NISSAN Serena mula diperkenalkan pada tahun 1989 di Tokyo Motor Show, Jepun dengan kod nama C23 sebagai sebuah minivan. Ia mula dijual di Jepun dan Amerika Utara pada tahun 1991 sebelum disusuli Eropah setahun kemudiannya.
Selepas 10 tahun, generasi kedua kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang menggunakan nama kod C24 akhirnya tiba ke pasaran Malaysia. Pada ketika itu, ia dikenali sebagai Serena Highway Star dan tidak mengambil masa lama untuk mendapat sambutan daripada pembeli tempatan. Pada tahun 2005, model generasi ketiga diperkenalkan ke pasaran global namun, ia hanya dijual di Jepun, Hong Kong, Indonesia dan Brunei.
Lima tahun kemudiannya, Nissan meng­umumkan ketibaan Serena generasi keempat. Jentera itu didatangkan dengan enjin 2.0 liter berserta sistem hibrid yang dinamakan sebagai Smart Simple Hybrid atau S-HYBRID.
Pengedar dan pemasang kenderaan Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melancarkan model itu pada Julai 2013. Ia sebenarnya model MPV hibrid pertama Malaysia.
Serena S-Hybrid itu merupakan kende­raan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan menjadi pencabar utama dalam segmen MPV saiz sederhana tempatan.
Baru-baru ini, ETCM memperkenalkan model generasi keempat dan ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD).
Sesuai dengan popularitinya dalam kalangan mereka yang sudah berkeluarga, Serena S-Hybrid baharu menerima sentuhan rekaan semula pada bahagian luaran dan dalamannya agar tampil lebih bergaya.
Tayar gantian
Antaranya termasuk pemasangan gril hadapan krom tiga dimensi rekaan baharu, lampu utama jenis LED dengan lampu signatur LED, bampar hadapan yang dipasang bersama set lampu kabus dan rekaan bonet serta fender menawan.

MPV Nissan membolehkan pemilik menyusun semula susun atur kerusi untuk memuatkan dan membawa pelbagai barangan tambahan.


Bahagian belakang MPV itu dihiasi lampu kombinasi LED dengan gayaan garis berbentuk huruf S. Solekan itu menambah nilai elegan pada gaya luaran Se­rena S-Hybrid.
Penampilan itu disempurnakan dengan adanya acuan sisi baharu dan rim aloi berukuran 16 inci.
Serena S-Hybrid kini didatangkan bersama tayar gantian. Tayar itu disimpan di bahagian bawah tempat duduk barisan hadapan. Tayar gantian itu dijadikan ciri standard untuk MPV CKD itu. Sebelum ini, tiada tayar gantian diberikan untuk model CBU.
Sebanyak dua varian ditawarkan kepada orang ramai iaitu Premium Highway Star dan Highway Star.
Bagi varian Premium Highway Star beberapa komponen tambahan ditawarkan seperti spoiler bumbung dan visor pintu pula ditambah untuk menyerlahkan lagi elemen sporty. Varian itu turut dilengkapi beberapa aksesori lain seperti V-Kool Elite Security, Armorcoat dan Solar Gard.
Bahagian dalaman pada varian Pre­mium Highway Star menawarkan sentuhan sofistikated menerusi gabungan tempat duduk yang dibaluti material kulit, unit audio lengkap dengan skrin sistem navigasi multimedia berukuran 6.5 inci berserta kamera pandang belakang, pemain DVD, sambungan iPod, USB dan Bluetooth serta panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung.
Menurut Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng, selaku MPV hibrid CKD pertama Malaysia, Serena S-Hybrid baharu menandakan sokongan ETCM dalam merealisasikan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara mesra alam.
"Kami bangga untuk mengumumkan bahawa Serena S-Hybrid CKD baharu ialah Serena S-Hybrid pertama yang dipasang di luar Jepun. ETCM yakin Serena S-Hybrid baharu akan menerima maklum balas positif.
"Dengan MPV yang sebaik ini, kami harap dapat memainkan peranan dalam mencipta momen-momen indah untuk semua keluarga di seluruh negara," katanya pada majlis pelancaran model itu di Pusat Perdagangan Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Serena S-Hybrid kelihatan menarik dengan adanya beberapa garisan badan pada bahagian sisi dan belakang jentera.


Model itu menggunakan enjin Nissan MR20DD empat silinder DOHC bersesar­an 2.0L dengan sistem pancitan terus. Dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini dengan Adaptive Shift Control (ASC), enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa mencecah 147PS dan tork maksimum 210Nm.
Padanan enjin dan transmisi itu berfungsi secara efisien bagi menawarkan hantaran kuasa tork tinggi pada kelajuan pusingan enjin rendah sekali gus mengurangkan tekanan pendikit. Ia membantu menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan pembebasan kadar emisi. Model itu didakwa menggunakan satu liter petrol untuk mencapai jarak perjalan­an sejauh 15.2 kilometer dalam ujian Japan JC08.
Menggunakan sistem hibrid yang ringkas dan kompak, motor eletrik ECO bertindak sebagai sumber kuasa sokongan untuk membantu enjin dan proses menjana semula tenaga. Sistem hibrid itu mempunyai satu unit bateri ekstra untuk menyimpan kuasa tambahan.
S-Hybrid juga ada satu sistem melahu Start/Stop yang akan mematikan enjin secara automatik apabila kenderaan berhenti. Enjin dihidupkan semula apabila pedal brek dilepaskan. Teknologi itu membantu Serena S-Hybrid baharu mencapai penjimatan bahan api yang lebih baik.
Ruang kabin Serena S-Hybrid baharu adalah yang paling besar dan fleksibel dalam kelasnya. Ia mampu memuatkan sehingga lapan orang penumpang selain menawarkan 14 susun atur berbeza untuk tempat duduk dan kargo.
Pereka Nissan turut menyediakan ruang simpanan rahsia di bawah kerusi penumpang di barisan kedua. Ruang itu boleh dimanfaatkan untuk menyimpan barang-barang berharga semasa dalam perjalanan menuju destinasi.
Konfigurasi tempat duduk itu boleh disesuaikan dengan situasi semasa. Susun atur itu boleh diaturkan dengan mudah mengikut kehendak penumpang dan pemandu sama ada mahukan ruang yang luas untuk membawa barangan atau untuk keselesaan para penumpang.
Tempat duduk juga boleh laras mengikut keselesaan penumpang menjadi nilai tambah pada MPV itu. Serena S-Hybrid CKD juga mempunyai dua buah pintu gelongsor masing-masing pada bahagian kiri dan kanan yang dibuka menggunakan tenaga elektrik. Ia merupakan ciri-ciri sebuah MPV mewah.
Aspek keselamatan menjadi antara perkara yang diberi penekanan serius oleh ETCM kerana MPV itu adalah sebuah kenderaan untuk seisi keluarga. Maka tidak hairanlah jika ia sarat dengan pelbagai ciri keselamatan termasuk dua beg udara SRS, ABS, EBD dengan BA, VDC dan TCS.
Serena S-Hybrid ditawarkan dengan lima warna pilihan iaitu merah, biru, hitam, putih, dan perak. Ia turut hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Sempena pelancaran Nissan Serena S-Hybrid baharu, ETCM menawarkan yuran servis penyelenggaraan percuma selama tiga tahun serta peluang memenangi percutian tiga hari dua malam di Legoland Malaysia. Pakej itu termasuk penginapan dan akses ke taman-taman tema Legoland.
Bagi mereka yang ada hajat membeli sebuah MPV, mungkin ini masanya anda mengunjungi bilik pameran Nissan yang terdekat untuk membuat tempahan.


Mo-cap tingkat kualiti drama tempatan

Posted: 15 Nov 2014 01:41 AM PST



AKSI dan ketangkasan makhluk asing berbentuk robot dalam drama fiksyen sains kanak-kanak, Vektor 58 ternyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada Haziq Ali Hisham.
Walaupun drama bersiri yang disiarkan pada pukul 5.30 petang setiap hari Sabtu di sebuah syarikat penyiaran swasta itu tamat tayangannya sejak awal tahun ini, jalan cerita dan nama watak-watak masih tersemat rapi dalam ingatan Haziq Ali.
Pelajar berusia 10 tahun kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu berkata, sepanjang drama bersiri 13 episod itu ditayangkan di kaca televisyen, dia tidak pernah terlepas untuk menyaksikannya.
Selain daripada jalan ceritanya yang menarik dan mudah untuk difahami, dia turut tertarik dengan imej robot yang dipaparkan dalam drama tersebut.
Karakter-karakter robot yang terdapat dalam Vektor 58 juga kelihatan realistik ketika bergerak, berkomunikasi dengan manusia dan berlawan.
"Saya sangat meminati drama ini kerana robot-robotnya sangat menarik dan mampu melakukan pelbagai aksi luar biasa seperti terbang, meredah api dan melompat dari tempat tinggi.
"Kini, selepas drama ini tamat tayangannya di televisyen, saya masih boleh menontonnya menerusi telefon pintar iaitu dengan melayari YouTube," katanya.
Vektor 58 merupakan sebuah drama bersiri yang menyediakan hiburan ringan khususnya untuk golongan kanak-kanak dan remaja.
Makhluk asing
Ia mengisahkan mengenai seorang gadis remaja bernama Lia yang bertemu makhluk asing misteri yang hilang ingatan akibat kemalangan semasa mendarat di Bumi.
Lia mengambil keputusan untuk membantu makhluk asing tersebut memperoleh kembali ingatannya dan memanggilnya sebagai Arif.
Namun, pada masa yang sama, mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa lagi makhluk asing yang memburu Arif untuk bertarung dengannya di Bumi.
Antara pelakon yang terlibat menjayakan drama Vektor 58 ialah Ain Satar, Ku Mohd. Amirul, Nor Intan Bhaizura, Fazlina Datuk Ahmad Daud, Kamarulzaman Taib (Ce' Kem) dan Norman Hakim.

SETIAP babak yang menggunakan Mo-Cap perlu dilakonkan sebanyak dua kali.


Tambah membanggakan, drama bersiri Vektor 58 dihasilkan sepenuhnya oleh syarikat produksi tempatan iaitu Chain-FX Sdn. Bhd. (Chain-FX) yang diasaskan oleh empat anak muda yang mempunyai kelulusan dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya, Selangor.
Salah seorang Pengasas Chain-FX dan Pengarah Kesan Visual Vektor 58, Anuarul Ziad Suhut, 29, berkata, pihaknya sangat bersyukur di atas penerimaan masyarakat mengenai drama bersiri pertama keluaran syarikatnya itu.
Ujar anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, kejayaan tersebut tidak datang bergolek kerana pelbagai kesukaran dan rintangan terpaksa dilalui dalam menyiapkan drama bersiri tersebut.
Tambahan pula, hampir keseluruhan babak dalam drama bersiri Vektor 58 melibatkan robot. Oleh itu, bagi menghasilkan imej robot yang betul-betul sempurna dan realistik, pihaknya perlu menggunakan teknologi Motion Capture (Mo-cap).
Mo-cap adalah proses merakam pergerakan benda-benda atau manusia. Ia sering digunakan dalam aktiviti ketenteraan, hiburan, sukan, aplikasi perubatan dan robotik.
Dalam pembikinan filem atau pembangunan permainan video, Mo-cap merujuk kepada rakaman tindakan pelakon yang digunakan untuk menghidupkan model karakter digital dalam animasi dua atau tiga dimensi.
"Vektor 58 merupakan sebuah drama sains fiksyen yang menampilkan robot sebagai watak utama.
"Disebabkan pergerakan robot tidak banyak bezanya dengan manusia, maka kami menggunakan pelakon aksi atau stuntman untuk merekodkan pergerakan di dalam studio Mo-cap," katanya ketika ditemu bual Kosmo! di studio MoCap, Fakulti Multimedia Kreatif, MMU di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Ujarnya, bagi proses merekod pergerakan dalam studio Mo-cap, stuntman perlu memakai sut khas yang dipasang sekurang-kurangnya 37 penanda pasif di atas badan.

PENANDA pasif perlu dipasang pada sut stuntman bagi memantulkan cahaya yang dikeluarkan lensa kamera.


Penanda pasif merupakan sistem optik yang dilitupi dengan bahan retroreflective yang akan memantulkan cahaya yang dikeluarkan oleh lensa kamera.
Penanda-penanda tersebut akan bertindak balas dengan 24 buah kamera OptikTrack yang dipasang dalam studio seluas 30 meter persegi.
"Penanda yang dipasang pada otot-otot stuntman akan bertindak balas dengan kamera yang terdapat di sekeliling studio ini.
"Sekiranya semua kamera berfungsi dengan baik, setiap pergerakan yang dilakukan oleh stuntman dapat dilihat di skrin komputer ini," katanya sambil memaklumkan bahawa harga peralatan Mo-cap di studio tersebut dianggarkan berjumlah RM300,000.
Menurut Anuarul, pihaknya akan melakukan proses penyuntingan
dengan menggunakan perisian Autodesk Body Builder selepas memperoleh imej pergerakan.
Ketika ini, barulah pihaknya boleh mengubah imej yang terhasil daripada pergerakan stuntman kepada bentuk robot.
Bagi memastikan robot tersebut kelihatan lebih realistik dan menarik dalam setiap babak yang dilakonkan, pihaknya menggunakan perisian imej janaan komputer (CGI).
Karakter robot
CGI dalam konteks visual merupakan aplikasi grafik komputer tiga dimensi yang digunakan untuk mewujudkan kesan khas dalam filem atau drama.
"Drama Vektor 58 sarat dengan penggunaan CGI bagi memastikan karakter robot kelihatan seperti betul-betul hidup.
"Teknik Mo-cap dan CGI ini turut digunakan dalam beberapa buah filem terkenal antaranya Transfomers, Real Steel, Apes dan Avatar," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Chain-FX dan Penerbit Vektor 58, Muhammad Fasya Daud, 32, berkata, dia berbangga kerana drama keluaran syarikatnya berjaya diiktiraf sebagai drama bersiri pertama di negara ini yang menggunakan teknik Mo-cap sepenuhnya.

SEBANYAK 24 buah kamera OptikTrack digunakan untuk merekodkan setiap pergerakan stuntman.


Ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu, penggunaan teknik Mo-cap kelihatan amat mudah, namun bagi menjayakan sesuatu babak ia perlu dilakonkan sebanyak dua kali.
"Setiap babak yang menggunakan teknik Mo-cap perlu dilakonkan sebanyak dua kali iaitu di luar dan di dalam studio kerana ia melibatkan karakter animasi serta manusia.
"Jadi, ia memerlukan masa dan komitmen yang lebih daripada kru serta pelakon dalam menyiapkan
sebuah drama atau filem," ujarnya sambil memaklumkan drama bersiri Vektor 58 disiapkan dalam tempoh enam bulan.
Katanya lagi, penggunaan teknik Mo-cap dan CGI dalam sesebuah drama atau filem memerlukan bajet yang tinggi berbanding kebiasaan.
Perkara itu menjadi satu kekangan kepada penerbit-penerbit drama atau filem di negara ini untuk mengaplikasikan teknologi tersebut.
"Teknologi di negara ini sudah setanding dengan negara luar, namun disebabkan masalah bajet, tidak ramai penerbit yang ingin menggunakan kedua-dua teknik ini dalam filem atau drama mereka.
"Saya amat berterima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Multimedia yang telah memberi bantuan kewangan kepada kami dalam menjayakan drama bersiri Vektor 58," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved