ads

Sabtu, 27 September 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tiru tudung?: Neelofa diminta beri penjelasan

Posted: 27 Sep 2014 10:10 PM PDT


  • NeelofaNeelofa

MINGGU ini dunia seni agak panas dengan tercetusnya pelbagai kontroversi dalam kalangan selebriti tempatan.

Selain isu penyanyi remaja Shila Amzah,24 yang gagal menjernihkan hubungan dengan pihak media Melayu, timbul pula isu pengacara jelita, Neelofa yang dituduh meniru rekaan tudung seorang designer.

Perkara itu tercetus apabila pemilik nama  Noor Neelofa Mohd Noor ini memuat naik video tutorial tudung yang menunjukkan cara menggayakan tudung rekaan syarikatnya di laman sosial Instagram miliknya.

Bagaimanapun, selepas tutorial tudung di bawah label Neelofar Hijab itu dimuat naik, seorang individu telah menulis komen mendakwa rekaan tudung tersebut adalah miliknya.

Lebih memburukkan keadaan, selepas komen tersebut ditinggalkan, juara Dewi Remaja 2009/10 ini dikatakan telah menyekat akaun Instagram pemilik rekaan tudung tersebut daripada menjadi pengikutnya.

Rentetan isu ini, pemilik rekaan tersebut tampil membuat kenyataan di sebuah portal berita tempatan dan meminta Neelofa membuat penjelasan mengenai perkara itu.

Malah usaha Zass untuk mendapatkan kenyataan Neelofa ketika majlis tayangan perdana filem Dollah Superstar baru-baru ini gagal, apabila pengacara Meletop ini  bertindak pulang awal tanpa bertemu media.

Mungkin teraju utama filem Lemak Kampung Santan ini ada alasan tersendiri, apa pun, Zass turut mengharapkan agar Neelofa tidak terus berdiam diri.

Christina Suzanne semakin 'demand'?

Posted: 27 Sep 2014 10:09 PM PDT


  • Christina Suzanne Christina Suzanne

BINTANG ini pernah mengalahkan nama-nama besar dalam industri termasuk Nora Danish dan Lisa Surihani apabila berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2013.

Menerusi filem KIL, bekas pramugari ini berjaya membawa namanya di tahap yang tersendiri walaupun berdepan dengan saingan sengit dalam industri seni.

Pun begitu, dalam melayari suka duka industri sepanjang penglibatan seni sejak 2006, pastinya ada kontroversi yang menghambat diri pemilik nama sebenar, Cristina Suzanne Stockstill, ini.

Selain kontroversi putus tunang, Cristina yang turut menggunakan nama, Kris Cempaka, ini juga turut berdepan dengan kontroversi lain apabila dia dikatakan semakin demand dan sukar memberikan kerjasama kepada media.

Pantas menyangkal dakwaan itu, Cris memberitahu bahawa pendiriannya itu bukanlah kerana demand atau sukar memberikan kerjasama, namun lebih kepada berhati-hati dalam berkongsi cerita.

"Sekiranya tiada perkembangan seni yang ingin dikongsi, saya agak berat untuk bertemu media.

"Saya bukan susah nak beri kerjasama, apatah lagi demand kerana saya sedar, saya bukanlah popular mana. Namun, saya lebih utamakan karier kerana tidak mahu anak cucu saya hanya tahu mengenai kontroversi diri saya sahaja," kata wanita kacukan Melayu-Jerman ini.

Turut tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Wanita, di Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM26) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Cris enggan meletakkan harapan tinggi untuk menang.

"Saya akan hadirinya tanpa apa-apa harapan. Menang atau tidak, saya terima dengan hati yang terbuka," katanya yang bakal muncul dalam telefilem terbitan Al Hidayah Production, Mr Istikharah, sempena sambutan Maal Hijrah pada 25 Oktober depan.

Abby Abadi: Saya memang sayangkan dia

Posted: 27 Sep 2014 10:09 PM PDT


  • Abby Abadi: Saya memang sayangkan dia

SEBUT sahaja nama selebriti ini, pastinya ramai yang mengaitkan dirinya dengan kisah-kisah kontroversi berhubung konflik antara bekas suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar.

Namun, di sebalik kisah penceraian dan tuntutan hutang, Abby Abadi tidak menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk mengecap kegembiraan.

Malah, sejak akhir-akhir ini, Abby tidak keberatan untuk berkongsi wajah insan yang rapat dengannya termasuk di laman sosial.

Walaupun sebelum ini, Abby pernah menegaskan bahawa kehadiran Ustaz Khairul Azli ini sekadar teman biasa, namun kemesraan mereka jelas terpancar.

Menerusi beberapa foto yang dirakam ketika sambutan hari lahir temannya baru-baru ini, Abby turut memberi kejutan buat Khairul Azli.

Melihat kepada belon-belon berbentuk love dengan tulisan u are my sunshine itu, pastinya ramai yang mengagak pasangan ini bukanlah sekadar kawan biasa.

Pun begitu, Abby turut menjelaskan perkara ini di laman Instagram, agar ianya tidak membawa spekulasi liar di kalangan masyarakat mahupun peminat.

"Kami kawan biasa tapi dia punya tempat istimewa di hati saya. Kerana apa? Kerana dia selalu ada di saat saya memerlukan teman bicara.

"Sejujurnya saya memang sayangkannya sebab kami kawan lama. Dari zaman 'lagha' sehingga saya berhijrah. Sampai saya berkahwin hinggalah saya bercerai. Dia tak pernah tak ada bila saya perlukan.

"Baiknya dia, tak pernah berburuk sangka kepada saya sehingga saya rasa bersalah sangat," katanya yang mengakui akan bercerita lebih lanjut sekiranya diizinkan ALLAH SWT satu hari nanti.

Tambah Abby, berkenaan sambutan hari lahir itu, dia tidak merasakan ia sebagai satu kesilapan.

"Di mana silapnya kalau saya meraikan hari jadi dia? Saya ada mengganggu sesiapa ke untuk menggembirakan hati teman saya ini? Bila kita sayang seseorang tak salah kita tunjukkan. Sekurang-kurangnya, kalau saya dah tiada nanti, ada kenangan untuk dia.

"Kenapa mesti berprasangka yang tak sudah-sudah ya? Orang lain pun ada kawan lelaki, siap berpeluk sakan lagi. Tapi kami tak sebab kami takutkan ALLAH SWT.

"Saya dah jelaskan, dia bukan teman lelaki baharu saya. Tapi, kalau ada jodoh, ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Tapi, di saat saya menulis tentang ini, kami berstatus kawan sahaja. Harap penjelasan ini sedikit sebanyak dapat menutup prasangka
yang bukan-bukan," tulisnya lagi.

Sebelum ini, Abby pernah memberitahu mereka sudah berkawan sejak empat tahun lalu di mana Khairul Azli merupakan tenaga pengajarnya dan anak-anak mengaji Al-Quran.

Pengantin cipta rekod dunia pakai gaun terpanjang

Posted: 27 Sep 2014 10:07 PM PDT


  • Gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang memerlukan 40 pengapit untuk mengangkatnya. - Foto: Metro.co.ukGaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang memerlukan 40 pengapit untuk mengangkatnya. 

BEIJING - CHINA. Kira-kira 40 pengapit diperlukan bagi mengangkat gaun pengantin sepanjang 4.8 kilometer yang dipakai oleh seorang pengantin perempuan yang melangsungkan hari bahagianya baru-baru ini.

Menurut laporan Metro.co.uk gaun pengantin yang seberat 50 kilogram yang dipakai oleh Jeng Mei yang berasal dari Chengdu, China.

Difahamkan, dia dan suaminya berhasrat memecahkan rekod dunia dengan memakai gaun pengantin terpanjang.

"Kami akan menghubungi World Guinness Record untuk mendapatkan pengikitirafan tersebut," katanya.

Dalam pada itu menurut suaminya, Yuan pula, baju pengantin tersebut dianggarkan bernilai £4000 (RM21, 277).

Remaja terkejut temui 80 labah-labah dalam pisang

Posted: 27 Sep 2014 10:05 PM PDT


  • Hannah John terkejut selepas mendapati pisang yang bakal menjadi santapan paginya mengandungi sekurang-kurangnya 80 labah-labah kecil di dalamnya.Hannah John terkejut selepas mendapati pisang yang bakal menjadi santapan paginya mengandungi sekurang-kurangnya 80 labah-labah kecil di dalamnya.

CARDIFF - WALES. Seorang remaja terkejut selepas mendapati pisang yang bakal menjadi santapan paginya mengandungi sekurang-kurangnya 80 labah-labah kecil di dalamnya.

Hannah John, 17, dikatakan membawa pisang tersebut sebagai bekalannya dari rumah ke sekolah.

Menurut laporan Metro.co.uk, gadis tersebut akan mengambil pisang tersebut sebagai salah satu snek sihat semasa di dalam kelas.

Namun dia terkejut lantas menjerit sebaik sahaja mendapati bahagian dalam pisang tersebut dipenuhi labah-labah.

"Saya bawa pisang itu ke sekolah untuk sarapan pagi, tapi saya ternampak makhluk kecil dalam pisang itu," katanya.

Jelasnya lagi melalui portal tersebut, terdapat satu lubang kecil pada pisang itu dan 80 labah-labah kecil hidup di dalamnya.

Kolam air panas Ulu Bendul terbiar

Posted: 27 Sep 2014 09:59 PM PDT


  • Kolam air panas pernah terkenal seketika dahulu tetapi kini dipandang sepi.Kolam air panas pernah terkenal seketika dahulu tetapi kini dipandang sepi.

KUALA PILAH – Keunikan kolam air panas di Kampung Ulu bendul, dekat sini yang terkenal seketika dahulu kini hilang daya tarikan selepas tiada inisiatif mana-mana pihak meningkatkan kualiti persekitaran lebih menarik dan selesa terutama dari segi prasarana yang lebih kondusif.

Kolam air panas yang satu ketika dulu menjadi destinasi masyarakat dari dalam dan luar negeri kini seolah tidak dipedulikan lagi.

Bahkan, persekitarannya dipenuhi semak samun serta sampah sarap, menyakitkan mata dan hati.

Pengerusi Jawatankuasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Bendul, Abu Bakar Sidek, 62, berkata, asalnya kawasan berkenaan hanya mempunyai sebuah perigi yang menjadi tempat takungan air panas.

"Tempat ini memang tidak dibina bumbung sebaliknya konsep terbuka. Tambahan pula, kolam ini sangat kecil dan sukar untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai, tidak seperti kolam air panas di Alor Gajah dan Pedas.

"Disebabkan ia mula menjadi tarikan pelancong, menaik taraf mula dilakukan pada awal 90-an dengan membina empat bilik persalinan serta membuat tempat takungan air panas yang jauh lebih baik," katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, kini kawasan tersebut menjadi semakin terbiar.

"Tidak ada daya tarikan membuatkan pengunjung tidak berminat datang ke sini. Situasi sekarang amat berbeza kalau hendak dibandingkan pada 90-an dulu," katanya.

Menurutnya, kolam ini mampu menjadi salah satu tarikan pelancong datang ke daerah ini, selain Hutan Lipur Ulu Bendul dan Muzium Diraja Seri Menanti.

Loklik: Dari lebihan nasi jadi kuih enak

Posted: 27 Sep 2014 09:55 PM PDT


  • Fatimah menunjukkan kuih loklik yang dijual di kedainya. Fatimah menunjukkan kuih loklik yang dijual di kedainya.

KUALA BERANG - Lazimnya, ramai di antara kita gemar membuat nasi goreng sekiranya ada nasi yang tidak habis dimakan di rumah atau lebih dikenali di sini sebagai nasi dingin.

Mungkin ramai tidak tahu, nasi dingin juga sebenarnya boleh dijadikan kuih loklik iaitu sejenis kuih tradisional Terengganu.

Bentuk dan rupanya boleh dikatakan kurang menarik, tetapi rasanya yang sedikit manis dan berlemak menjadikan loklik antara kuih yang sering menjadi pilihan penduduk di negeri ini.

Berkongsi cerita dan resipi loklik, peniaga kuih tradisional di Kuala Berang, Fatimah@Anang Ayob, 77, berkata, masa diambil menyediakan kuih tersebut antara 30 hingga 45 minit dan tempoh itu tidak termasuk proses bagi menggentel doh.

"Secara keseluruhan, kalau diikutkan ia ambil masa beberapa hari kerana nasi dingin itu perlu dijemur sehingga kering (nasi kering) terlebih dahulu lalu digoreng tanpa minyak sebelum ditumbuk.

"Tapi sekarang ini kita hanya guna mesin pengisar. Malah, sebagai salah satu pilihan, nasi kering itu juga boleh dikeringkan guna oven tanpa perlu lagi menjemurnya di bawah matahari, tetapi rasanya nanti berbeza," katanya.

Fatimah berkata, dia lebih gemar menggunakan cara tradisional dalam menyediakan kuih tersebut.

"Seeloknya, debu nasi kering ini disimpan dalam peti ais terlebih dahulu sebelum dimasak dan jika sukakan rasa lebih lemak, kita masukkan banyak kelapa muda. Namun, ia terpulang kerana cita rasa orang tak sama.

"Sekiranya adunan doh terlalu lembik, kita hanya perlu masukkan debu nasi kering. Seeloknya, kuih loklik digentel jangan terlalu besar saiznya kerana nanti tak cantik," katanya.

Kata nenek enam cucu yang sudah hampir 50 tahun berniaga kuih-muih tradisi ini, kuih loklik ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran nasi yang tidak habis dimakan.

'Jauhnya hendak bayar bil air'

Posted: 27 Sep 2014 09:54 PM PDT


  • Ramli (tiga, kanan) bersama penduduk Kampung Bukit Payong dan Bekok Hulu Besut merayu masalah pembayaran bil air dapat diselesaikan.Ramli (tiga, kanan) bersama penduduk Kampung Bukit Payong dan Bekok Hulu Besut merayu masalah pembayaran bil air dapat diselesaikan.

BUKIT PAYONG - Rata-rata penduduk di kawasan Hulu Besut merayu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) menimbang semula untuk ejen menerima bayaran bil air (utiliti) syarikat berkenaan, terutama di kawasan pedalaman termasuk Hulu Besut supaya tidak menyusahkan pengguna terutama penduduk kampung.

Seorang pengguna, Ramli Ismail, 58, mendakwa, sejak Satu tidak lagi melantik pihak lain untuk menerima bayaran bil bulanan air, ia telah menyulitkan rakyat khususnya pengguna yang tinggal di kawasan Pasir Akar hingga Keruak.

Dakwanya, sebelum ini pengguna boleh menjelaskan bil di mana-mana wakil yang dilantik Satu di Bukit Payong atau Keruak seperti di premis ejen Bank Simpanan Nasional (BSN) dan beberapa agensi lain, tetapi sejak dua bulan lepas pengguna diberitahu tidak boleh lagi
membuat bayaran di ejen berkenaan.

"Saya difahamkan sekarang bil tersebut hanya boleh dibayar di pejabat Satu di Jerteh atau Kampung Raja serta pejabat pos.

"Bayangkan bagaimana kesulitan terpaksa ditanggung rakyat atau pengguna di kawasan jauh dan hanya bekerja sebagai penoreh getah atau petani, yang terpaksa mengeluarkan wang banyak semata-mata untuk membayar bil air mereka," katanya.

Ramli berkata lagi, penduduk di Keruak misalnya terpaksa membayar tambang kereta sewa sebanyak RM12 sehingga RM16 pergi balik seorang untuk ke Jerteh, tidak termasuk ke Kampung Raja.

Sedangkan nilai bil yang perlu dibayar katanya, ada kalanya jumlahnya sedikit, tidak sampai RM10.

"Jadi jumlah yang perlu dikeluarkan penduduk untuk pergi membayar bil air yang tidak kurang RM30 setiap kali berurusan sedangkan sebelum ini, mereka boleh membayar di kawasan berdekatan kampung, apatah lagi mereka yang berkenderaan sendiri terpaksa
menanggung kos minyak RM20 pergi balik dari Keruak ke Jertih.

"Selain itu masa mereka banyak terbuang untuk pergi membayar bil ke lokasi yang jauh iaitu separuh hari sebelah pagi dan menyebabkan mereka hilang pendapatan kerana tidak dapat bekerja pada masa itu," katanya yang mahukan kata-kata yang disuarakan Menteri Besar
Terengganu iaitu 'Kecil Bagi Kita Besar Bagi Rakyat' diambil perhatian pihak berkenaan.

Pengerusi JKKK Kampung Keruak, Jafruddin Mat Zaid turut merayu Satu membenarkan semula pengguna membayar bil di mana-mana ejen lain termasuk BSN untuk kemudahan rakyat.

"Rakyat amat terbeban dengan masalah ini. Maklumlah mereka orang kampung dan kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Jodoh dan cinta sepejabat

Posted: 27 Sep 2014 09:51 PM PDT


  • Jodoh dan cinta sepejabat

SELEBRITI sering dikaitkan dengan cinta lokasi. Kita juga pasti terbiasa dengan cinta sepejabat. Mengapa tidak? Di pejabatlah tempat kita menghabiskan hampir seluruh waktu produktif. Di pejabatlah kita mengenal lebih ramai watak sekeliling.

Saat membicarakan soal kerja dan persekitaran, mungkin sekali kita menyelitkan soal perhubungan dan perasaan sehingga terjadinya cinta sepejabat.

Bagi sesetengah orang, tidak mustahil pejabat menjadi tempat nombor satu menemukan pasangan kekasih. Sekiranya situasi ini di pihak anda, bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan disenaraikan di bawah, malah anda perlu tahu menilai risikonya kelak.

Usah pertikai tentang kemungkinan anda terlepas daripada kebebasan dan kegembiraan bersosial dengan teman lain kerana anda perlu bertemu kekasih setiap saat. Yang pasti, bukan sahaja situasi tersebut, malah banyak lagi perkara buruk lain yang boleh mengecam perhubungan cinta anda.

Nasihat WOW, anda harus sentiasa bijaksana menjalankan kerja dan tanggungjawab. Jangan tergoda untuk menghabiskan masa kerja yang berkualiti dengan hanya membahagikan masa buat si dia, bahkan adalah lebih baik untuk anda tidak membuka mulut menceritakan soal perhubungan kalian.

Orang lain boleh mengira bahawa anda lebih memfokuskan urusan membina hubungan berbanding kerjaya. Tak perlu saling melempar pandangan atau saling bertemu di suatu sudut. E-mel dan telefon penuh dengan rayuan manis juga sepatutnya perlu dihindari. Lebih awas, jangan sampai tersalah kirimkan e-mel ke alamat kakitangan lain!

Pilih kasih

Sekiranya perhubungan kalian melbatkan seorang golongan atasan manakala seorang golongan bawaan, sudah tentulah ujiannya lebih hebat.

Usah sesekali terlibat secara langsung di atas penguasaannya. Bimbang penilaian menjadi tidak objektif kerana keterlibatan hubungan hati terhadap pasangan pasti menjejaskan penilaian yang jitu.

Jika penilaian tersebut positif sentiasa, boleh jadi rakan sekerja yang lain menganggap pasangan anda itu pilih kasih dan pasti menjadi isu yang tidak berkesudahan. Yang mungkin pula merosakkan hubungan baik kalian sebagai pasangan.

Bayangkan juga sekiranya anda bergaduh dan selisih faham. Tidakkah esoknya anda akan bertemunya semula dan menatap wajahnya lagi?

Sebagai rakan sekerja atau orang bawahan, nah penilaian yang baik pasti bertukar kepada negatif dan situasi ini pasti menjadi semakin mencengkam bukan? Hal-hal sebeginilah yang memicu kepada conflict of interest.

Dari sudut pandang yang lain, kemungkinan anda harus bersiap sedia untuk mengundurkan diri daripada jabatan atau syarikat itu, bila hubungan anda semakin serius.

Banyak syarikat tidak mengizinkan percintaan sepejabat jika ia melibatkan pasangan bawahan dan atasan. Boleh jadi salah seorangnya akan ditukarkan ke bahagian lain atau seeloknya andalah yang harus berundur secara berhemah.

Bersiap sedialah juga untuk selalu menjadi bahan gosip. Kerana itu pada awal perbincangan tadi disebutkan supaya anda tidak terlalu menyebut mengenai hubungan. Jagalah sikap profesional dan jangan terlibat dengan sesuatu yang memalukan anda dan pasangan.

Bersikap realistik dengan mengunjurkan perhubungan ke arah perkahwinan adalah lebih baik berbanding sekadar suka-suka atau membuat pasangan sebagai pendorong untuk rajin pergi kerja.

Bila mana hubungan tidak menjadi, anda harus memutuskan dan menjalani kehidupan seperti biasa sebagai rakan sekerja.

Jangan membenci sekiranya bekas pasangan mempunyai kekasih baharu yang juga rakan sepejabat. Ia semakin komplikated namun itulah hakikat yang perlu anda persiapkan diri jika memilih untuk memadu kasih dengan rakan sepejabast. Akan ada hati yang terluka, akan ada hati yang mengundurkan diri.

Ada pasang surutnya

Tahun ini usia perkenalan kami sudah hampir 10 tahun. Mungkin sudah tersurat di Loh Mahfuz dia jodohku. Kami berkenalan sekitar hujung 2004 ketika aku baru tamat Tingkatan Enam.

Aku berhijrah ke Kuala Lumpur bersama beberapa rakan untuk mencari pekerjaan sementara menunggu keputusan STPM. Kami mendapat pekerjaan sebagai juruwang di Pasaraya Giant di Bandar Puteri Puchong. Di situlah perkenalan aku dan suami bermula.

Suami seorang yang kelakar, suka mengusik dan mengambil berat tentang aku membuatkan aku jatuh cinta padanya. Adat orang bercinta ada pasang surutnya. Kami pernah bergaduh dan berpisah angkara orang ketiga.

Sikapnya yang penyabar dengan kerenahku akhirnya membuatkan aku mgmbil keputusan menerima lamaran darinya. Pada 26 sept 2009 kami bernikah disaksikan kedua ibubapa dan keluarga kami. Alhamdulillah jodoh kami kekal hingga hari iniTahun ini adalah ulang tahun perkahwinan kami yang kelima.

Suami bukan seorang yang cemburu orangnya. Semenjak di zaman bercinta sehingga ke hari ini dia memang seorang yang amat memahami. Paling seronok, suami seorang yang suka membuat kejutan.

Lima tahun melayari rumahtangga kami telah melalui pelbagai onak duri dan Alhamdulillah perasaan sayang itu semakin lama semakin mendalam di tambah pula dgn kehadiran sepasang cahayamata.

AMIZAH ZAINOL, 29, USAHAWAN POWERGOLD.

Cabaran lebih kuat

Sewaktu masih bekerja di tempat yang sama beberapa tahun dahulu, suami adalah ketua di tempat kerja saya. Ketika itu, kami berdua masing-masing ada kekasih hati.Antara saya dan suami ada kisah yang tersendiri.

Di tempat kerja, suami seorang yang tegas dan susah untuk senyum. Tapi suami sangat mengambil berat terhadap anak buahnya termasuk saya.

Saya dapat merasakan bahawa suami sememangnya menyukai saya melalui sikap ambil tahu yang dia pamerkan.  Perkenalan kami pada awalnya tidak lebih sekadar rakan sekerja tetai entah macam mana, perasaan sayang mula terbit apabila masing-masing kecewa dengan percintaan.

Pada mulanya saya sering menjauhkan diri namun setelah saya mengetahui daripada cerita rakan sekerja lain s perihal hubungan suami dengan teman wanitanya yang telah berakhir, baharulah saya tidak mengelak lagi.

Suami meluahkan perasaan kepada saya untuk menjalinkan suatu hubungan yang serius. Bagi saya pula, saya sudah serik dan tidak mahu terbuai-buai dengan perasaan cinta dalam tempoh yang panjang tanpa tujuan. Saya berterus-terang kepada suami jika dia berniat elok dan serius dengan perhubungan, terus datang merisik. Tidak perlu bercinta.

Suami berbincang dengan keluarganya dan ketika rombongan datang merisik, ibu mentua terus membuat keputusan untuk meminang. Saya dirisik dan dipinang pada hari yang sama. Kedua ibu bapa saya turut merestui perhubungan kami dan kurang enam bulan seterusnya majlis perkahwinan pun berlangsung.

Sesudah berkahwin, tentu sekali perasaan sayang mula bercambah. Saya gembira bekerja satu tempat dengan suami kerana di mana-mana sahaja saya boleh memberikan perhatian kepadanya. Di mana-mana sahaja dia adalah suami dan saya adalah isterinya.

Hubungan semakin akrab malah jika salah seorang tiada, kami rasa tidak saling melengkapi. Untungnya kami kerana bekerja di tempat yang sama. Namun ujian yang perlu saya hadapi adalah perasaan cemburu. Satu tempat kerja cabarannya lebih kuat. Saya akui, sebagai perempuan kadangkala kita tak dapat lari daripada berasa cemburu meski pun pada hal-hal yang kecil. Takut hati si dia beralih arah pun ada juga.

Selepas bernikah, kami berhenti kerja dan saya memilih kerjaya sebagai guru literasi anak-anak felda manakala suami bekerja di syarikat swasta lain. Memang ada bezanya apabila tidak bekerja di tempat yang sama. Taukeh tempat kami bekerja pernah berseloroh kepada saya bahawa saya bekerja hanya untuk mendapat jodoh kerana selepas berkahwin kami sama-sama berhenti kerja. Alhamdulillah menempuh pelbagai arus, suka duka dalam perkahwinan, ikatan kami kekal ke hari ini.

Terus terang, saya lebih suka juga keadaan begini kerana ia membendung perasaan cemburu tidak menentu. Kini, saya tidak lagi mengajar dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

FATIN GUSTI HASSAN, 26, SURI RUMAH

Terkandas di tengah jalan

Saya pernah melalui kisah cinta hati sepejabat tetapi jodoh kami tidak panjang. Ketika itu saya bekerja di sebuah syarikat swasta. Dia lelaki yang amat baik dan selalu mengambil berat terhadap saya. Berdasarkan tingkah lakunya, saya tahu dia sukakan saya.

Bagi diri saya pula, dia tidak lebih sekadar seorang sahabat kerana saya telah terlebih dahulu mempunyai kekasih.

Si lelaki ini pula seorang yang mengambil berat dan ketika dalam proses mengorat, setiap hari dia akan letak coklat dan coke atas meja saya untuk menarik perhatian.

Setiap hari tanpa jemu, tanpa saya tahu siapakah pengirimnya.

Terus-terang, ketika diberi layanan sebegitu saya tidak ambil pusing tetapi, apabila hubungan saya dan teman lelaki putus di tengah jalan, saya  mula ingin tahu siapa yang selalu meletakkan coklat dan coke itu atas meja saya. Rupa-rupanya si dia. Lalu saya terima dan kami menjalinkan hubungan.

Apa yang menyeronokkan bila bercinta satu tempat kerja adalah setiap hari perasaan semakin mekar dan berbunga-bunga. Setiap hari hati kita tenang dan boleh lihat orang yang kita sayang depan mata.

Siapa kata walau dekat hati tak rindu. Bercinta sepejabat tidak semestinya kita dapat bersama dia sepanjang masa. Dia dengan tugasnya, manakala saya dengan kerja-kerja saya.

Kami selalunya dapat berjumpa selepas habis waktu bekerja. Itu lah salah satu kelebihan bekerja di tempat yang sama. Boleh lebih memahami dan menjaga satu sama lain. Tetapi, apa yang kita rancang tak semuanya kan menjadi kenyataan. Begitu juga dengan hubungan kami yang akhirnya terkandas di tengah jalan.

Maziah Harun, 29, kakitangan swasta

Memahami jadual kerja

Saya dan suami sudah bekerja di tempat yang sama sejak lima tahun dahulu. Ketika itu masih belum berkahwin. Dalam percintaan sama tempat kerja, dapat saya kongsikan memang banyak pro dan kontra.

Positifnya adalah boleh jimat belanja kerana pergi dan balik kerja sama-sama, jadual kerja sama dan persekitaran yang sama membuatkan kami lebih memahami antara satu sama lain. Kami juga boleh rancang apa kami nak buat selepas habis kerja.

Di tempat kerja, kami saling memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing malah saya merasakan kami lebih profesional dalam menjalankan tugas. Ini kerana, kami perlu menjaga air muka dan maruah pasangan.

Saya sendiri, perlu menjaga etika dan tidak akan sesekali menjatuhkan maruah suami dengan perkara-perkara yang melanggar undang-undang tempat kerja.

Sebenarnya ia secara tidak langsung mendidik diri menjadi lebih berdisiplin. Pasangan adalah cermin peribadi kita.

Dia jugalah yang akan membantu membentuk peribadi kita menjadi lebih baik dan sempurna. Soal cemburu, saya bersyukur kerana cemburu saya tidak keterlaluan.

Saya memahami hati budi suami dan kami saling mempercayai. Saya seronok suami ada di depan mata. Jika ada apa-apa masalah lebih senang nak diselesaikan kerana kami berdekatan.

Apa yang kami amalkan adalah saling memberikan pandangan antara satu sama lain perihal kerja. Kami sudah masak sangat dengan tugas masing-masing. Balik lewat, balik awal, tidak pernah menjadi pertikaian kerana segala-galanya di depan mata.

Dari segi kontranya, mungkin akan hilang sedikit privasi lebih-lebih lagi dengan kawan seangkatan. Lebih-lebih lagi kalau nak buat kejutan hari lahir dan sebagainya sebab pergi dan balik kerja malah rehat pun sama-sama.

Ujian di sepanjang percintaan tidak pernah melibatkan soal orang ketiga. Saya bersyukur dan bahagia bersamanya. Mungkin dari sudut konomi keluarga ia menguji kerana kami bekerja di tempat sama dengan level yang sama. Semoga kami saling terus menghargai antara satu sama lain.

NOR FAZILAH ABDULLAH, 29, KAKITANGAN SWASTA

Pandangan agama: Segerakan perkahwinan elak fitnah
Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria

Bercinta telah menjadi gaya hidup zaman kini. Cinta dalam Islam adalah sesuatu yang unik, suci, jujur dan amanah. Ianya tidak akan ada melainkan dengan ikatan perkahwinan yang sah.

Islam mengajar umatnya supaya bercinta dalam bentuk yang sah dengan penuh jujur, amanah, menjaga maruah dan beradab. Semuanya tidak wujud dalam cinta sebelum berkahwin.

Jika ada cinta dan kasih di antara dua orang maka kasih itu tidak dapat menandingi hubungan perkahwinan yang di diri atas tuntutan syariat. Sebelum menyintai seseorang atau sesuatu, hendaklah cinta dan kasih kepada ALLAH terlebih dahulu. Jika ini ada, maka seseorang tidak akan berani menyintai sesuatu yang tidak harus baginya.

Kini yang banyak berlaku adalah jatuh cinta dengan rakan sepejabat. Mungkin disebabkan banyak masa dihabiskan di pejabat menyebabkan ramai anak muda tidak kisah bercinta sesama mereka.

Walaupun begitu cinta sebelum berkahwin mengundang pelbagai kemungkinan. Dari cara yang sederhana kepada yang lebih mesra. Daripada serius kepada gurau senda. Biarpun pada asalnya dia mempunyai niat yang baik namun, niat yang baik tidak sekali-sekali mengharuskan sesuatu yang tidak harus.

Biasanya apabila bercinta sepejabat tiap-tiap hari akan bersemuka dengan buah hati. Mungkin pelbagai perkara negatif timbul sehingga menyebabkan rakan lain kurang senang dengan tingkah laku pasangan terbabit.

Justeru bagi memastikan tidak timbul prasangka negatif dalam kalangan rakan sekerja lain ada baiknya menyegerakan perkahwinan kerana ia satu-satunya jalan terbaik. Jika hati sudah terpesona kepada seseorang atau apabila sudah sampai seru untuk berkahwin, mintalah keluarga pergi untuk merisik calon.

Ini lebih beradab dan bertanggungjawab. Oleh kerana perkahwinan melibatkan banyak aspek kepentingan, tanggungjawab, persaudaraan dan kekeluargaan maka sewajibnya ia dimulakan dengan cara yang betul dan penuh ketakwaan bukan terikut-ikut dengan budaya asing.

Perkahwinan bukan hanya didirikan atas dasar cinta sahaja tetapi tanggungjawab dan juga amanah. Malah ianya juga jalan lebih selamat untuk terus mengelak daripada sebarang fitnah.

Usah bertangguh kerana benda yang elok lebih baik dipercepatkan. Dalam masa yang sama dengan adanya ikatan yang sah setidak-tidaknya tiada lagi perkhabaran kurang elok dilemparkan. Mungkin juga melalui perkahwinan ia dapat memberi semangat baharu kepada pasangan itu untuk memberi komitmen lebih baik menjalankan tugasan di tempat kerja.

Pandangan kaunselor: Bersikap terbuka, profesional

Realitinya sukar untuk membahaskan cinta sepejabat ini kerana perasaan itu adalah anugerah tuhan yang hadir adakalanya tanpa dirancang. Terpulanglah kepada individu tersebut bagaimana dia bersikap profesional ketika bekerja.

Bercinta sepejabat ini mempunyai kebaikan dan keburukannya kepada seseorang individu.

Di negara kita purata bekerja ialah lima hari seminggu. Masa individu banyak dihabiskan di tempat kerja. Dapatlah dinyatakan seseorang individu itu banyak menghabiskan masanya di tempat kerja.

Keadaan itu secara tidak langsung menjadikan pejabat atau tempat kerja sajalah `ruang' kepada golongan yang sibuk bekerja untuk bertemu, berkenalan atau bersosial. Apatah lagi bagi mereka yang sibuk tidak berkesempatan untuk mencari calon suami atau isteri di luar daripada kehidupan pejabat.

Kebaikan cinta sepejabat ini ialah ia lebih selamat. Ini adalah kerana personaliti pasangan dapat dinilai dengan mudah. Seseorang itu tidak akan sentiasa memakai 'topeng'. Ia akan sentiasa berkomunikasi secara tulen.

Anda akan berkeupayaan melihat pasangan anda berkomunikasi, mengendali tekanan dan mengawal perasaan marah ketika di tempat kerja.

Di tempat kerja seseorang itu akan menjadi dirinya sendiri. Ia juga, menjimatkan masa dan anda mudah mengenali hati budi masing-masing jika bekerja sepejabat.

Meskipun begitu, hubungan cinta sesama pekerja bukan sahaja sarat dengan dugaan, malah anda juga terikat dengan polisi syarikat yang ketat. Jika tersilap langkah, mungkin berisiko untuk dipecat atau dipaksa meletakkan jawatan.

Walau bagaimanapun faktor bercinta dengan rakan sepejabat boleh menjejaskan masa depan kerjaya itu bergantung kepada polisi sesebuah pejabat. Ada sesetengah pejabat tidak melarang hubungan sesama pekerja.

Manakala ada sesetengah pejabat yang meletakkan syarat agar pekerjanya tidak terlibat dengan cinta sepejabat.

Ini kerana syarikat tersebut beranggapan cinta sepejabat boleh menjejaskan prestasi kerja seseorang. Polisi ini dibuat kerana organisasi yang terlibat menitikberatkan produktiviti dan komitmen daripada pekerja.

Pelbagai faktor yang menyumbang kepada keburukan hubungan sepejabat. Antaranya pasangan yang bekerja di satu bumbung dikhuatiri tidak fokus menjalankan kerja. Mereka boleh sentiasa bertemu dan keluar makan bersama-sama. Ada yang mencuri masa rehat untuk lambat masuk balik bekerja.

Selain itu, jika cinta sepejabat ini mengalami konflik mungkin terbawa-bawa ke tempat kerja. Ini adalah kerana terlalu kerap bertemu, di rumah dan tempat kerja setiap hari boleh menimbulkan rasa jemu yang mungkin menjadi punca pergeseran.

Seseorang individu itu mungkin berbeza dalam menangani masalah dan memerlukan masa untuk bersendiri.

Tambahan lagi perhubungan akan sentiasa menjadi perhatian rakan sekerja di sekeliling. Sedikit hal berbaur negatif cepat menjadi buah mulut sepejabat.

Masalah bertambah rumit lagi kerana perhubungan ini juga dibimbangi akan mengganggu profesionalisme pekerjaan. Misalnya, jika ada yang memegang jawatan tinggi dan pasangannya pula bekerja di bawah mereka, layanan terhadap pekerja lain mungkin akan berbeza. Ini akan menimbulkan cemburu di kalangan pekerja.

Bagi mengelak cinta sepejabat ini seseorang itu perlulah menanam azam dalam diri agar tidak terlibat dengan cinta sepejabat. Buka minda anda risiko-risiko yang anda bakal hadapi jika anda bercinta sepejabat. Selalu mengingatkan diri anda bahawa polisi di pejabat tidak membenarkan anda bercinta. Jika berdegil anda akan diberhentikan.

Selain itu, anda juga perlulah membataskan hubungan dengan rakan berlainan jantina. Bataskan hubungan kepada hubungan profesional sahaja. Ini mengurangkan risiko cinta sepejabat.

Suasana tempat kerja yang kadangkala tertekan, kompetitif atau menyeronokkan akan membuatkan perasaan seseorang menjadi celaru dan biasanya anda gemar meluahkannya kepada lelaki atau wanita menarik berdekatan.

Justeru itu elakkan berkongsi masalah atau kegembiraan anda dengan rakan berlainan jantina di pejabat.

Individu cenderung bekerja dengan orang yang menyamai diri mereka dari pelbagai aspek antaranya kelas sosial, pendidikan, pendapatan, minat dan sikap.

Hubungan rakan sekerja berupaya mewujudkan rasa cinta berdasarkan persahabatan rasa hormat. Oleh itu individu perlu jelas antara admire atau love. Adakalanya anda tidak dapat membezakannya. Jangan keliru dengan perasaan anda.

Akhir sekali, pasangan itu boleh bercinta sepejabat jika kedua-duanya bekerja di lain jabatan. Selain itu, dia bukan ketua atau anak buah kepada pasangan.

Semasa bekerja sukar bertemu di pejabat kerana syarikat itu besar. Apa yang paling penting kedua-dua memahami risiko hubungan ini dan sentiasa bersikap profesional walau apa pun berlaku demi kepentingan semua pihak.

Pandangan majikan: Perlu fahami polisi syarikat
Nor Sahida Mohd Said, Pengarah Urusan Dhiya Health & Beauty Sdn Bhd

Jika sudah jodoh bercinta dengan rakan sepejabat dan hubungan berakhir di jinjang pelamin tiada siapa dapat menghalang. Bagaimanapun dalam konteks polisi kerja selagi tidak mengganggu tugasan hakiki tidak menjadi masalah.

Pekerja seharusnya memahami polisi syarikat dalam membuat sesuatu tindakan. Jangan sesekali campur adukkan masalah peribadi sehingga terbawa-bawa ke tempat kerja.

Cuma apa yang ditakutkan oleh pihak majikan yang mempunyai pekerja yang bercinta atau berkahwin dalam satu pejabat adalah wujud ketidakseimbangan terutama dalam tugasan mereka.

Sebagai majikan seboleh-bolehnya saya akan memastikan pekerja tidak mengambil langkah mudah. Jika waktu kerja tumpuan harus diberikan sepenuhnya.

Perlu ada sikap tanggungjawab dan profesional dalam bekerja. Ini bukan sahaja dapat melahirkan pekerja produktif tetapi dalam masa yang sama memberi peluang lebih baik kepada individu itu untuk terus berjaya dalam kerjaya dan menjadi pemimpin untuk keluarga.

Ada sesetengah syarikat menetapkan polisi syarikat tidak membenarkan hubungan sesama pekerja kerana bimbang akan memberi kesan jangka panjang kepada produktiviti syarikat.

Dalam hal ini saya melihat ia seakan-akan menutup peluang kepada pekerja itu. Disebabkan perkara tersebut, salah seorang perlu mengalah dengan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun ada juga pasangan sepejabat ini tidak menghadapi sebarang kesukaran bekerja malah berjaya menunjukkan prestasi cemerlang.

Apa yang penting setiap individu yang terlibat dalam cinta sepejabat ini perlu sentiasa berfikiran matang dan bersedia dalam semua aspek bagi memastikan matlamat peribadi dan kerjaya berjaya dicapai dengan seimbang.

Liyana Jasmay Ingin Teraju Bisnes Fesyen Muslimah

Posted: 27 Sep 2014 09:50 PM PDT


Liyana mengakui seronok menceburi bidang rekaan fesyen.
PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay memberitahu kerjasama sulung bersama butik Bella Ammara menerusi rekaan jubah Bella Liyana Collection atau #BellaLiyana01 membuatkan dia ingin cuba menerajui di bidang fesyen pula.

Liyana berkata, sepanjang dua minggu menghasilkan busana tersebut bersama Bella Ammara, dia dapat merasakan keseronokan dalam mereka pakaian.

"Ini merupakan kerjasama pertama saya dengan butik Bella Ammara menghasilkan pakaian Muslimah.

"Sekiranya berjaya, mungkin kami akan menghasilkan rekaan lain pula. Bagi saya ini adalah satu permulaan buat saya menerajui bidang fesyen Muslimah," katanya.

Sementara itu, mengenai jubah Bella Liyana, ia mempunyai 10 warna berbeza seperti kelabu, hijau, merah jambu, jingga dan merah.

"Menariknya pada bahagian atas jubah terdapat jahitan gabungan 'tweed lace' dan 'beadswork Swarovski'.

"Ia agak ringkas tapi mewah," ujarnya.

Koleksi jubah Bella Liyana boleh didapati di butik Bella Ammara yang terletak di No. 17, Jalan Plumbum Q 7/Q, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Ia dijual dengan harga hanya RM294.

Dalam perkembangan lain, Liyana turut merancang untuk membuka kedai jualan pelbagai barangan yang dipanggil Mermaid Store. Ia akan dibuka di Desa Melawati pada November depan.

Afdlin Shauki Bakal Tunai Haji

Posted: 27 Sep 2014 09:49 PM PDT


Afdlin Shauki akan meneruskan kerjayanya di bidang seni tempatan selepas kembali menunaikan ibadat haji.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah filem Afdlin Shauki akan bertolak ke tanah suci Mekah pada Isnin (esok) bagi menunaikan ibadah Haji.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 43, berkata, dia merancang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu sejak Mei lalu dan akan ke tanah suci bersama ibunya, Fadilah Jailani, 67.

"Dah lama dah rancang untuk tunaikan Haji tetapi kena ikut giliran. Saya membuat rayuan kepada pihak Tabung Haji memandangkan ibu saya yang mempunyai penyakit strok.

"Alhamdulillah saya juga dibenarkan untuk pergi bagi menjaga ibu ketika di Mekah. Apa yang saya lihat ini adalah peluang kami berdua untuk beribadat di sana" katanya.

Afdlin ditemui pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan Seniman Ke-14 di Dataran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada Sabtu.

Dia juga berharap agar pemergiannya mengerjakan ibadah Haji dipermudahkan selain meminta orang ramai untuk mendoakannya.

"Saya harap dapat Haji yang mabrur dan berdoa segala dosa-dosa saya, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat negara ini diampunkan.

"Semoga saya dapat masuk syurga. Saya percaya, ini adalah permintaan kita semua sebagai umat Islam," ujarnya.

Sementara itu, Afdlin berkata, dia masih lagi akan meneruskan kerjayanya di bidang seni tempatan, namun mengikut kesesuaian diri.

Nadia Aqilah selami diri Saloma

Posted: 27 Sep 2014 09:46 PM PDT




CUACA pada pagi itu tampak redup sekali. Tiada lagi alur panahan cahaya mentari yang menyimbah bumi. Biarpun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi, suasana dingin masih tetap terasa sewaktu bertandang ke Golek-Golek Suasana Kampung, Gombak, Selangor baru-baru ini.
"Ini pertama kali saya datang ke restoran ini. Laluan jalan masuk ke sini agak bercerun dan berbukit. Saya ingatkan kereta tak boleh naik tadi. Oh ya, saya Nadia Aqilah," seloroh pelakon yang sedang meningkat naik itu sewaktu menyapa krew Sensasi Bintang dalam pertemuan sesi fotografi bersamanya.
Tanpa melengahkan masa, pelakon yang selesa membahasakan diri dengan panggilan Nadia itu kemudian duduk di satu sudut ruang makan di rumah kampung itu.
"Kalau kita mulakan hari pagi-pagi begini, banyak perkara yang boleh buat sepanjang hari. Jadi, tidaklah kita membuang masa yang ada kerana dipenuhkan dengan aktiviti berfaedah," ujar Nadia memulakan bicara.
Pada pertemuan kali ini, sengaja pihak Sensasi Bintang membawa Nadia ke teratak rumah kayu yang dijadikan premis niaga milik novelis terkenal, Ahadiat Akashah itu untuk menggamit momen nostalgia.
Sesekali, mata pelakon yang bakal memegang watak Allahyarham Puan Sri Saloma dalam pementasan teater P. Ramlee The Musical musim ketiga itu melilau melihat pemandangan luar dari jendela bingkai kayu rumah berkenaan.
"Cantik tempat ini. Rumahnya konsep rumah lama-lama. Sewaktu sampai tadi seolah-olah seperti saya kini sedang berada di kawasan kampung, walaupun hakikatnya ia terletak di kawasan bandar. Tak pernah tahu ada tempat seperti ini," katanya sambil wajahnya ditata rias jurusolek, Dr. Mukhlis Idris.
Dari tadi, Nadia banyak membutirkan bicaranya. Cukup ramah sifatnya. Riak wajah Nadia juga nampak tenang dalam berkongsi cerita, biarpun sebenarnya fikiran wanita berkulit sawo matang itu sudah jauh melayang mengenangkan watak Saloma yang bakal menguji kemampuan dirinya di pentas teater kurang seminggu dari sekarang.
"Kalau ingat balik sewaktu uji bakat yang saya jalani, rasa macam tidak percaya apabila diberi peranan memegang watak utama sebagai Saloma.
"Lagipun, ketika itu saya terfikir yang pihak produksi mesti mahu cari seseorang yang nampak lebih berusia dan matang, namun bersyukur apabila saya diberikan kepercayaan untuk menggalas watak berkenaan," cerita pelakon berusia 29 tahun itu.
Bagi Nadia, apa jua jenis watak yang didokong, tanggungjawab yang diberikan kepadanya perlu dilaksanakan dengan sehabis baik.
WATAK Saloma yang bakal digalas dalam pementasan teater P. Ramlee The Musicalmemberi cabaran yang cukup besar buat Nadia.


Dalami diri Saloma
Apatah lagi mengenangkan peranan yang digalas merupakan watak insan yang pernah memegang status biduanita negara, pemilik nama sebenar Nadia Aqilah Bajuri itu akui ada terbit rasa gementar dalam dirinya.
"Kalau ingin diukur perjalanan hidup saya dengan Saloma memang jauh berbeza, namun menganggap ini merupakan satu cabaran buat diri saya.
"Ini merupakan peluang yang baik bagi saya uji kemampuan diri untuk cuba menjadi dan menjiwai diri individu yang menjadi sanjungan dalam dunia seni tanah air suatu ketika dulu," tutur pelakon drama Tari Tirana itu.
Membawakan watak Saloma, tidak bermaksud Nadia cuba meletakkan nilai bakat yang ada pada dirinya setanding dengan biduanita tersebut.
Sejujurnya, kata Nadia, biduanita itu terlalu tinggi kedudukannya jika ingin dibandingkan dengan dirinya yang masih mentah dalam bidang seni.
"Dalam teater itu nanti, saya kena menggambarkan karakter diri Saloma. Pelbagai perkara yang perlu saya titik beratkan dari segi penampilan, cara percakapan dan juga ragamnya.
"Semua itu saya kena kaji sendiri kerana Saloma merupakan seorang individu yang mempunyai gaya tersendiri," cerita Nadia yang mula menceburi bidang teater sejak tahun 2006.
Cabaran
Selain perlu bermain dengan garapan emosi dan pembawaan watak yang baik, Nadia sedar aspek fizikal diri dalam sesebuah pembangunan karakter juga memainkan peranan penting.
"Saya selalu diingatkan bahawa Saloma merupakan seorang ikon. Jadi, untuk melakonkan wataknya, saya mesti mengikut caranya.
"Saya tidak boleh lari terlalu jauh dari segi karakter fizikal, termasuklah soal bentuk badan dan suara. Ini semua perlu diberikan perhatian serius," katanya lagi.
Menurut Nadia, antara perkara yang sukar dibuat adalah dari segi kemampuannya untuk meniru gaya suara Saloma.
"Ton suara saya tidak sama dengan Saloma. Vokal saya jenis suara yang besar seperti soprano berbanding suara Saloma yang kedengaran lebih seksi.
"Perkara itu yang agak mencabar buat saya untuk melunakkan suara sepertinya," kongsi anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Sungguh pun begitu, Nadia menganggap dirinya masih beruntung kerana terdapat bahan rujukan untuknya mengenali diri Saloma dengan lebih baik.
"Sebelum ini, sudah ada juga cerita berkaitan Saloma yang pernah ditayangkan di kaca televisyen seperti Biopik Saloma.
"Secara tidak langsung, saya boleh jadikan naskhah itu juga sebagai bahan rujukan, selain terfikir untuk berjumpa dengan anak saudaranya, Melissa Saila untuk mengetahui lebih dekat mengenai peribadi biduanita itu," cerita Nadia yang mengakui turut berasa teruja untuk melakonkan watak berkenaan.
SUDAH berkecimpung dalam industri hiburan seawal usia 14 tahun, Nadia mampu membuktikan kemampuannya untuk terus kekal sebagai anak seni.


Simpan kisah peribadi
Penglibatan Nadia untuk menjadi antara individu penting dalam pementasan teater itu secara tidak langsung melakar input baharu dalam portfolionya.
"Sebenarnya, saya mula berlakon sewaktu usia 14 tahun sebelum mengambil keputusan untuk lebih serius dalam dunia lakonan ketika berumur 19 tahun," kongsinya.
Lebih sedekad bertapak dalam industri hiburan, jika diamati nama Nadia mungkin tidak segah seperti rakan seperjuangannya yang lain.
"Perjalanan saya untuk bertahan sehingga sekarang bukan mudah. Saya pernah terfikir mahu berhenti dan cari kerja lain. Tak sangka dari mana kekuatan itu datang sehingga membawa diri untuk terus kekal sehingga sekarang," ujarnya.
Mungkin dek kerana namanya jarang sekali dikaitkan dengan kisah gosip, nama Nadia bukan antara yang sering disebut-sebut.
Apa yang pasti, menjadi diri Nadia, dia punya prinsip tersendiri.
Secara asas katanya, populariti bukan kayu pengukur sebenar untuk menilai bakat seseorang.
Biarpun rentaknya agak perlahan, bagi Nadia, dia mahu darah seni yang ada pada dirinya menjadi fokus sandaran utama mata di luar sana.
"Saya ini seorang yang agak berahsia sikit mengenai kehidupan peribadi kerana lebih selesa untuk berkongsi cerita mengenai kerja," ujar pelantun lagu hit Patah Sayap itu mengakhiri bicara.


Tiada resepsi dalam masa terdekat - Alyah

Posted: 27 Sep 2014 09:45 PM PDT


DATIN Alyah sudah bersedia menempuh hari-hari mendatang sebagai isteri kepada Datuk Ramli MS.


HADIR anggun dengan sepersalinan Gaya Alyah, saya menyapa penyanyi lagu Kau Yang Terindah itu dengan panggilan Datin. Sebaik mendengarnya, Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Alyah tergelak besar seraya menolak lembut panggilan tersebut.
"Janganlah, kenapa hendak panggil Datin? Tak payah," jawabnya dengan mesra ketika ditemui pada majlis penyampaian Hadiah Peraduan BuraqLube Power-Kosmo! 2014 di Hotel Corus, Jalan Ampang, Selangor baru-baru ini.
Tiada rasa kekok, jauh sekali berasa kurang senang, Alyah seterusnya membenarkan dirinya dirakam gambar dan ditemu bual.
"Panggilan itu (Datin) kalau di majlis formal, saya tidak boleh mengelak. Jika ada yang bertanya kepada saya hendak panggil Datin atau Alyah, saya lebih senang mereka panggil Alyah," jelasnya.
Tiga minggu lalu, kisah penyanyi berasal dari Gelang Patah, Johor itu menjadi perhatian ramai apabila beberapa pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu kediaman suaminya, Datuk Ramli MS bagi mengesahkan taraf pernikahan mereka.
Hasil serbuan tersebut, Alyah dan Ramli sah sebagai suami isteri dan mereka telah bernikah di Batam, Indonesia sejak setahun setengah lalu.
"Perkara itu (serbuan JAIS) di luar bidang kuasa saya. Kalau saya hendak marah atau tuduh orang itu dan ini, tiada guna. Benda sudah jadi.
"Kita (Alyah dan Ramli) memang merancang untuk beritahu tetapi benda seperti ini yang datang dulu. Saya tidak rasa bersalah sebab kami tidak buat benda yang salah," luahnya.
Perkahwinan direstui ibu
Selepas perkahwinannya bersama Ramli diketahui umum, tiada perkataan yang dapat diluahkan Alyah.
Sebaliknya, penyanyi yang lahir pada bulan Januari itu menjalani rutin hariannya sebagai isteri dan penyanyi seperti biasa.
"Bukan satu bebanan pun. Bukan juga sesuatu yang mengaibkan atau sesuatu yang menggembirakan. Saya tidak boleh huraikan benda itu (perkahwinan diketahui umum) dalam perkataan. Lagipun perkahwinan saya itu sudah berlangsung setahun lebih.
"Saya faham, ramai pihak yang menunggu apa yang berlaku selepas ini. Apa yang boleh dikatakan, perasaan sekarang, saya sudah bersedia untuk menjalani hari-hari mendatang. Dari segi apa pun. Sebagai penyanyi, sebagai wanita dan juga sebagai isteri," getus Alyah.
Bagaimanapun, Alyah mengakui, dia menerima respons positif daripada banyak pihak selepas perkahwinannya itu diketahui umum.
Alyah juga menyatakan sebab dia berdiam diri selama ini.
"Alhamdulillah, apabila saya balik ke Johor, ramai mak cik-mak cik yang memberi respons positif. Mengusik saya hendak panggil apa dan bilakah saya mahu mengadakan kenduri.
"Saya harap semua orang faham kenapa kami rahsiakan (perkahwinan). Ada peminat cakap selebriti adalah hak mereka. Pada pendapat saya, bakat nyanyian saya ya. Benda yang saya rasa ingin kongsikan, akan dikongsikan.
"Kita ada sebab dan ada rancangan sendiri kenapa tidak mahu beritahu. Cuma satu, kami tidak membelakangkan keluarga terutama sekali ibu saya. Disebabkan restu ibu, saya jalani perkahwinan bersama Datuk," ujarnya yang kini masih berulang-alik memindah barang dan menyusun atur kediaman suaminya di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.
ALYAH mengakui Datuk Ramli seorang yang pandai memasak. Antara masakan yang pernah dibuat Ramli untuk Alyah adalah gulai asam pedas.


Mengulas lanjut, Alyah memberitahu, perancangan untuk tinggal bersama dalam masa terdekat belum ada.
Katanya, ini disebabkan kediaman mewah milik suaminya di Bandar Kinrara itu masih dalam proses pengubahsuaian.
"Kami memang merancang mahu duduk bersama dan ingin mengumumkan mengenai perkahwinan kepada umum. Bagaimanapun, perkara itu (kes serbuan JAIS) sudah berlaku terlebih dahulu. Maka, ia menyebabkan perancangan kami sedikit kelam-kabut tetapi masih boleh dikawal.
"Buat masa ini, kadang-kadang saya pergi ke sana untuk proses pemindahan barang. Cuma untuk duduk bersama itu belum lagi," ungkapnya panjang lebar.
Ditanya mengenai resepsi yang didakwa bakal diadakan pada hujung bulan September ini, Alyah menafikannya.
Dalam nada serius, dia menjawab: "Itu (resepsi) memang saya tidak tahu. Kalau kata resepsi untuk meraikan benda itu (perkahwinan) memang tidak dibincangkan lagi.
"Lagipun, kita ada proses-proses yang perlu dilalui. Datuk ada keluarga, begitu juga saya.
"Bagaimanapun, daripada pengetahuan saya resepsi dalam masa terdekat memang tidak ada. Mungkin Datuk hendak buat kenduri masuk rumah baru tetapi saya tidak tahu."
Berita gembira
Menutup kisah rumah tangganya, ada berita gembira yang ingin dikongsikan Alyah. Setelah menanti selama lapan tahun, akhirnya album terbaharunya akan keluar pada penghujung bulan ini.
Sedar penghasilan album tersebut mengambil masa yang cukup lama, jelas Alyah, dia bergerak sendiri untuk menghasilkan album yang cukup teliti itu.
"Insya-Allah, album terbaharu saya akan siap pada hujung tahun ini. Sebenarnya sejak bulan lepas lagi, saya ingin keluarkan album ini tetapi terpaksa ditunda ke hujung tahun.
"Ini disebabkan saya bergerak sendiri untuk menghasilkan album. Satu perkara lagi, saya sangat teliti. Orang yang bekerja dengan saya juga adalah orang yang sangat teliti. Kita tidak rekod satu lagu sekali tetapi buat lima atau enam kali," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai album yang berkonsepkan pop tersebut, Alyah menjelaskan, ia mengandungi lapan buah lagu termasuk tiga lagu baharu seperti Sesal serta Ada Cinta.
Menganggap album tersebut penutup perjalanan hidupnya sebelum ini, dia juga berpuas hati dengan penghasilan albumnya itu.
"Saya sudah pakai tudung sejak dua tahun lalu. Saya mahu album itu menjadi penutup untuk perjalanan saya sebelum ini.
"Bermula daripada Kisah hati, Pesanmu, Kau Yang Terindah, Permata dan terbaharu, Sesal Separuh Nyawa. Maksud saya, selepas ini saya akan cuba konsep yang baharu untuk album atau single seterusnya," jelasnya lagi.
Masih giat menjalankan bisnes turban dan busananya dengan label Gaya Alyah, dia bakal tampil dengan busana saiz besar bagi memenuhi permintaan mereka yang memiliki tubuh yang agak besar.
Menariknya, kesemua rekaan yang ada dalam Gaya Alyah adalah daripada dia sendiri.
"Sejak bulan lalu, saya sibuk mempromosikan bisnes Gaya Alyah di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Johor. Insya-Allah, bulan depan, Gaya Alyah akan mengeluarkan busana bagi mereka yang memiliki tubuh besar," ujarnya mengenai bisnes tersebut yang kini semakin mendapat permintaan ramai.


Madeena milik Mizz Nina

Posted: 27 Sep 2014 09:43 PM PDT


MIZZ NINA kini boleh berbangga selepas memiliki butik busana muslimah sendiri.


PENGHIJRAHAN pelantun popular lagu Take Over, Mizz Nina kepada imej bertudung pada Oktober tahun lalu sememangnya memberi inspirasi baharu kepada dirinya.
Buktinya, selepas nekad memperlahankan aktiviti seni dan hanya akan menyanyi di hadapan kaum Hawa, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman mengakui, dia kini mahu memberi fokus terhadap butik baharu miliknya, Madeena yang berkonsepkan busana muslimah.
Bagi empunya diri yang kini berusia 34 tahun itu, dia bersyukur dan gembira kerana usaha kerasnya untuk membuka butik sendiri akhirnya tercapai.
"Saya sangat gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana impian untuk membuka busana muslimah jenama Madeena akhirnya tercapai.
"Hampir dua tahun saya bersama rakan-rakan terdiri daripada pereka fesyen berusaha keras untuk menyiapkan butik ini. Saya tidak sangka, butik yang berkonsepkan corak moden berjalan seperti diharapkan," ujar Mizz Nina ketika ditemui pada majlis pelancaran butik miliknya, Madeena di Empire Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tambahnya, selepas menerima sambutan menggalakkan menerusi perniagaan atas talian, dia nekad memperkenalkan fesyen busana muslimah yang bersifat mesra pengguna dan pada masa sama, mengekalkan elemen fesyen terkini dan gaya trendy kepada khalayak.
"Saya mula menjual pakaian menerusi atas talian dengan jenama Mizz Demeonor, namun selepas memperkenalkan jenama Madeena, baru saya sedar pasaran pakaian muslimah sebenarnya lebih besar.
"Disebabkan itu, saya tampil dengan jenama Madeena kerana ia lebih mendapat perhatian ramai. Buktinya, ketika mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen di KL Fashion Week, Pavilion baru-baru ini, saya lihat ramai yang terpegun dengan pakaian muslimah yang diperagakan untuk tatapan umum.
"Secara peribadi, ini adalah permulaan untuk saya menceburi bidang perniagaan. Idea berkenaan hadir tepat pada masanya dan kebetulan, saya mendapat lokasi strategik untuk orang ramai datang ke butik yang terletak di Heritage Lane, Empire Damansara, Petaling Jaya.
"Insya-Allah, selepas ini saya merancang untuk mengadakan bazaar di kawasan ini dan menjemput peniaga pakaian muslimah terlibat sama memandangkan pihak pengurusan di sini membenarkan saya berbuat demikian," jelas Mizz Nina sambil memberitahu, selepas ini dia akan banyak menghabiskan masa di butiknya.


Qi Razali pencinta haiwan

Posted: 27 Sep 2014 09:42 PM PDT



QI memahami beberapa sifat haiwan dan bagaimana caranya untuk mendekati haiwan tersebut.


GAYA santai lelaki ini mengacarakan program pengembaraan tidak pernah mengecewakan. Biarpun dia hanya mengenakan baju-T dan seluar pendek, namun Qi Razali mampu mencuri tumpuan.
Pernah muncul dalam pelbagai program pengembaraan seperti Destinasi Bajet, Jalan Jalan Cari Makan dan Field Trip USA, pengacara berusia 37 tahun itu diberi penghormatan untuk mengacarakan program pengembaraan sendiri yang dinamakan Kembara Qi.
"Kembara Qi ini lain daripada program yang saya pernah buat. Pertama, program ini dinamakan sempena nama saya. Kedua, dalam program ini, saya akan mengupas atau mendalami sesuatu topik atau subjek. Contohnya, kristal di Gunung Kriang dan juga pengalaman tinggal bersama suku kaum Semai di Kuala Lipis, Pahang," kongsi pemilik nama penuh Qushairi Mohammed Razali itu.
Tidak hanya berpeluang mempelajari perkara yang tidak pernah diketahui selama ini, Qi mengakui pengalamannya mengacarakan program Kembara Qi itu juga menguji dirinya sebagai seorang manusia.
Bekas pemain dram kumpulan OAG itu juga bersyukur kerana diberi peluang untuk melihat keindahan alam ciptaan Tuhan melalui kembaranya itu.
Luar daripada bidang pengacaraannya itu, Qi bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Anak Jantan yang ditayang di pawagam seluruh negara pada 30 Oktober ini.
Menerusi ruangan Santai Selebriti, Qi kongsikan lima perkara menarik tentang dirinya termasuk kecintaannya terhadap haiwan, koleksi jaket kegemarannya dan perkahwinan impian bersama wanita yang dicintai.
PENCINTA HAIWAN
MENGENALI sisi lain Qi, dia merupakan pencinta haiwan, malah Qi turut mempunyai seekor kucing betina bernama Sky yang kini di bawah jagaan kekasihnya, Nelydia Senrose.
"Saya terlalu suka dengan haiwan tanpa mengira jenisnya. Sebabnya, haiwan ini bertindak mengikut naluri, bukan emosi atau perasaan. Jadi, kita kena memahami sesuatu haiwan itu baru boleh dekat dengan mereka. Hakikatnya, setiap haiwan juga mempunyai karakter yang berbeza dan itu menarik minat saya," ujarnya.
Melalui program Kembara Qi, dia berpeluang mendekati beberapa ekor haiwan. Antaranya, gajah, penyu dan juga orang utan.
NELYDIA SENROSE
SURI hati Qi, Nelydia Senrose. Sekitar Julai tahun lalu, Qi akhirnya membuka mulut memberitahu, pelakon Setia Hujung Nyawa itu merupakan kekasihnya.
Antara kenyataan yang pernah dibuat Qi mengenai percintaannya itu:
"Sebelum ini hubungan kami memang hanya kawan tetapi sekarang ia telah menjadi cinta. Saya mengakui, Nelydia ialah kekasih saya.
"Bagaimanapun biarlah percintaan ini berjalan dengan perlahan-lahan kerana saya tidak mahu kegagalan dahulu (pernah bercinta dengan Yuna) berulang."
QI dan kekasihnya, Nelydia Senrose.


PERKAHWINAN
TIDAK mahu menjalinkan hubungan cinta yang lama bersama Nelydia, Qi bagaimanapun tidak mahu terburu-buru melangkah ke alam perkahwinan kerana ingin memberi ruang untuk kekasihnya menumpukan kepada kerjaya lakonan.
Begitupun, Qi tidak keberatan berkongsi mengenai perkahwinan impiannya.
"Setiap wanita ada perkahwinan impian dan idaman mereka. Jadi, saya berhasrat untuk menunaikan impian bakal isteri saya kelak. Saya mahu menjadikannya wanita yang paling bahagia dalam dunia dan akhirat. Insya-Allah," ujarnya secara terbuka.
FILEM
TIDAK hanya tertumpu pada bidang pengacaraan, Qi turut terlibat dalam dunia lakonan drama dan filem. Antara drama dan filem yang pernah ditunjanginya adalah seperti Blogger Boy, Kalau Itu Jodoh Kita dan Bencinta.
Terbaharu, adik kepada bekas pemain drum kumpulan Blackrose, Sha'arin Mohammed Razali itu bakal muncul menerusi filem Anak Jantan bersama pelakon Farid Kamil, Nora Danish dan Bront Palarae.
"Dalam filem Anak Jantan, saya memainkan watak pembantu sahaja tetapi ia merupakan pengalaman pertama saya terlibat dalam filem aksi. Ada adengan tembak-menembak dan seni mempertahankan diri," terangnya.
Menganggap filem Anak Jantan lain daripada filem gangster yang pernah ditontonnya, Qi mendedahkan, dia mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas ditumbuk Farid ketika menjayakan penggambaran filem itu.
Bagaimanapun, dia tidak menyalahkan suami kepada pelakon Diana Danielle itu kerana perkara itu tidak disengajakan.
"Ketika penggambaran, Farid terlepas tumbukan dan saya tidak sempat mengelak. Akibatnya hidung saya berdarah. Nasib baik hidung saya tidak mengalami sebarang keretakan," ceritanya.
JAKET
SEORANG penggemar jaket, Qi mengakui, dia mempunyai banyak koleksi jaket.
Mempunyai jenama pilihan, ujar Qi, keselesaan dan faktor tahan lama menjadi kriteria utama sebelum dia membeli jaket tersebut.
"Saya sanggup berbelanja untuk membeli sehelai jaket berkualiti. Maksud saya, kalau ada majlis yang perlu dihadiri, saya akan berusaha untuk tampil segak daripada biasa. Antara koleksi jaket yang saya ada adalah seperti Dolce & Gabbana, Armani Exchange, French Connection dan Adidas," kongsinya.
Qi turut mengakui, dia menyukai jaket daripada jenama Zara Couture Men.


iPhone mampu rekod semua pergerakan pemilik

Posted: 27 Sep 2014 09:39 PM PDT


PERISIAN Frequent Location telah tersedia dalam produk iPhone tanpa diketahui oleh ramai pengguna.


WASHINGTON - Ramai yang tidak mengetahui bahawa telefon pintar iPhone yang dimiliki turut disertakan dengan fungsi log yang mampu merekodkan setiap pergerakan pemiliknya setiap hari, lapor MailOnline semalam.
Sistem tersembunyi itu mampu menganalisis segala bentuk data seperti kedudukan atau lokasi tempat tinggal pengguna berdasarkan frekuensi dan tetapan masa yang dijalankan.
Fungsi itu yang dikenali sebagai Frequent Location telah direka secara rahsia dalam produk iPhone setahun yang lalu, namun tidak ramai pengguna yang mengetahui program itu.
Apple bagaimanapun mendakwa, perisian rahsia itu dicipta untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pemetaan kepada pengguna dan mereka boleh menghentikannya dengan membuat pilihan dalam menu privasi.
"Setiap tempat yang anda pergi, di mana anda membeli-belah dan sebagainya akan direkodkan, bagi saya itu adalah rahsia peribadi yang tidak wajar direkodkan," kata salah seorang daripada pakar komputer terkemuka Britain, Prof. Noel Sharkey.
Para pengkritik turut mempertikaikan perisian tersebut kerana bimbang boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak lain termasuk majikan yang mahu mengintip pekerja mereka dan isteri yang cemburu.


Awasi penggunaan perbankan Internet

Posted: 27 Sep 2014 09:37 PM PDT


CONTOH aplikasi laman web perbankan tiruan dalam telefon bimbit.


RABU lalu, polis berjaya membongkar taktik terbaru penjenayah siber melalui aplikasi telefon bimbit yang dikenali sebagai Phishing Malware Attack.
Taktik yang popular di negara-negara Eropah itu mula menyasarkan rakyat di negara ini berikutan peningkatan penggunaan sistem perbankan mobil internet di Malaysia.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, sepanjang September ini, pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung jenayah tersebut dengan jumlah kerugian mencecah RM60,000, termasuk kes terbaharu yang dilaporkan di Bukit Merah, Perak.
"Virus tersebut akan mula aktif sebaik mangsa mendaftar masuk di paparan utama internet dengan mengarahkan mereka memasukkan maklumat peribadi seperti nombor telefon dan jenis telefon bimbit yang digunakan.
"Mangsa kemudiannya akan menerima satu pautan melalui kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) dari satu nombor telefon antarabangsa sebelum diarahkan untuk menekan butang pautan berkenaan," jelasnya.
Pautan tersebut kemudian akan mengeluarkan satu penyata yang dipercayai dikeluarkan bank bersama nombor kad.
"Mangsa dikehendaki memasukkan nombor telefon dan kod yang diberi ke dalam laman perbankan internet palsu bagi tujuan pengesahan.
"Mereka bagaimanapun tidak akan menyedari program itu kemudiannya akan menghantar kod pengesahan urus niaga ke telefon bimbit suspek bagi pengeluaran atau pemindahan wang dengan mudah," jelasnya.
Tidak sedar
Ujar Hamza, mangsa tidak akan menyedari telefon mereka dimasukkan virus itu kerana paparan muka sebenar bank dipaparkan semula di skrin telefon mangsa sebaik proses selesai.
"Kebanyakan mangsa beranggapan mereka sudah menggunakan aplikasi perbankan internet itu tanpa menyedari mereka sebenarnya turut mendaftar dengan penjenayah.
"Duit mangsa akan dapat dikeluarkan dengan mudah oleh suspek dan mereka hanya akan menyedari akaun mereka dirompak selepas menerima nombor TAC daripada bank sedangkan mereka tidak menggunakan perbankan internet," jelasnya.
Tambah Hamza, siasatan awal pihaknya mendapati nombor telefon yang digunakan merupakan nombor antarabangsa.
Sementara itu, transaksi wang mangsa pula dimasukkan ke dalam akaun tempatan milik individu yang dijadikan 'keldai akaun' sebelum dikirimkan melalui Western Union ke Ukraine.

CONTOH SMS yang mengandungi pautan aplikasi perbankan internet tiruan.


"Kita telah mengenal pasti pemegang akaun tersebut dan dia mengaku bekerja sebagai pekerja sambilan dengan sindiket itu.
"Individu ini menerima tugasan kerja melalui kiriman e-mel dan akan dibayar komisen antara lima hingga 10 peratus," jelasnya.
Selamat
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Dr. Amirudin Abdul Wahab berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai penipuan itu dan sebaiknya mengabaikan SMS mahupun mesej di laman sosial yang meminta mereka tidak menggunakan perkhidmatan Maybank2u dan CIMB Clicks.
Ini kerana, pihaknya tidak pernah menyarankan mana-mana pengguna untuk berhenti menggunakan Maybank2U dan CIMB Clicks kerana kedua-dua perkhidmatan itu masih selamat.
"Pengguna masih boleh melakukan transaksi internet sama ada menerusi komputer atau telefon pintar tetapi mereka perlu berwaspada dengan ancaman malware atau virus Zues.
"Virus komputer ini yang sebenarnya mencuri maklumat ketika pengguna melakukan urusan perbankan internet tanpa mereka sedari dan ini punca sebenarnya," katanya.
Tambah Amirudin, virus Zues asalnya merupakan virus yang merebak dalam komputer untuk mencuri maklumat perbankan internet daripada mangsa dan seterusnya menipu pengguna bagi mendapatkan nombor telefon mudah alih mereka.
"Seterusnya, penjenayah siber akan menghantar SMS secara rambang kepada rangkaian yang mempunyai pautan untuk muat turun virus itu dalam telefon yang membolehkan maklumat perbankan internet dicuri.
"Virus tersebut akan mula berfungsi apabila mangsa melakukan transaksi secara dalam talian," katanya.
Sepanjang tahun ini polis telah menerima sebanyak 89 kes penipuan seperti itu melibatkan kerugian berjumlah RM619,617 berbanding 65 kes dengan jumlah kerugian RM324,594 tahun lalu.


Cahaya masyarakat Cina Muslim Malaysia

Posted: 27 Sep 2014 09:36 PM PDT




MENGAMBIL keputusan untuk memeluk agama suci Islam lebih sepuluh tahun lalu membuatkan Adam Lee, 65, begitu teruja untuk memperhalusi dan mengetahui dengan lebih mendalam isi-isi ayat yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran.
Biarpun dewasa kini lambakan al-Quran yang diterjemah dalam bahasa Mandarin banyak terjual di kedai-kedai buku, namun dakwa Adam, terjemahan yang dibuat menggunakan ayat yang rumit membuatkan isi kandungannya sukar untuk difahami.
Menurut beliau yang juga Naib Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), disebabkan itu, golongan Cina Muslim sepertinya tidak berkesempatan untuk mendalami dan memahami bait-bait maksud yang terkandung di dalam kitab suci tersebut.
"Sekarang ini, kebanyakan al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin di Malaysia datang dari luar negara dan sukar difahami.
"Ini kerana, kebanyakan ayat-ayat tersebut diterjemahkan oleh orang bukan Islam dan tidak dilakukan mengikut pemahaman serta falsafah yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam yang sebenar," jelasnya.
Ujar Adam, disebabkan itu, mesej-mesej yang diharapkan dapat diketahui dengan jelas tidak dapat disampaikan kepada mereka dengan baik.
Memahami permasalahan yang membelenggu diri masyarakat Cina Muslim, Yayasan Restu dengan kerjasama Macma mengambil inisiatif untuk menerbitkan al-Quran dengan terjemahan bahasa Mandarin.

SEBAHAGIAN daripada pelancong dari Vietnam melihat penulisan khat al-Quran yang dilakukan oleh salah seorang penulis mahir.


Penterjemah
Langkah tersebut dilakukan sebagai usaha menyebarkan dakwah Islam di negara ini, khususnya kepada masyarakat Cina Muslim yang tidak memahami bahasa Arab.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu, Vo Hu-Sin Bakar, bagi tujuan tersebut, pihaknya mengupah seramai empat orang pakar dan pensyarah yang mahir dalam terjemahan dari China serta negara ini bagi melancarkan usaha-usaha pembukuan kitab al-Quran di dalam bahasa Mandarin.
"Bagaimanapun, kita tidak mengambil sebarangan individu dalam proses penterjemahan kitab ini dan pemilihan individu tersebut dilakukan mengikut beberapa kriteria.
"Antara kriteria-kriteria itu ialah individu tersebut wajib pakar dalam kedua-dua bahasa Arab dan Mandarin selain bidang tafsir itu sendiri," jelasnya.
Melalui penekanan tersebut, teknik penterjemahan dapat dilakukan dengan betul dan jelas supaya keseluruhan isi kandungan berjaya difahami dengan mudah oleh si pembaca.
"Melalui usahasama yang dilakukan ini, Yayasan Restu akan menulis baris-baris ayat suci tersebut di bahagian kanan halaman kitab, manakala terjemahan pula akan dilampirkan pada bahagian kiri.
"Dari situ, setiap butir ayat akan diterjemahkan dengan teliti dan lebih jelas menggunakan bahasa Mandarin asas supaya dapat difahami oleh individu yang membacanya," jelas beliau.
Al-Quran tersebut mengambil masa kira-kira setahun lebih untuk disiapkan.
Ujar Vo Hu-Sin, selain bahasa Mandarin, Yayasan Restu sebelum ini juga pernah menerbitkan beberapa siri terjemahan al-Quran dalam bahasa lain seperti bahasa Melayu, Inggeris, Kemboja, Nigeria dan Kazakhstan.
BATANG pokok paku resam merupakan bahan utama dalam penulisan khat.


Pembukuan
Walaupun daripada pandangan mata kasar, proses pembuatan al-Quran itu tampak mudah, namun untuk membukukan kitab suci itu sahaja sebenarnya memerlukan tempoh lebih dari setahun.
"Ini kerana, kita perlu membuat penyelidikan dan pembangunan secara terperinci kerana ia melibatkan aspek penyebaran dakwah Islam.
"Perkara tersebut termasuk format kandungan, muka surat, ayat terjemahan, saiz tulisan dan lain-lain aspek di dalam penerbitan al-Quran ini," jelasnya yang berasal dari Vietnam.
Bukan aspek itu sahaja yang ditekankan, malah kitab suci yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin itu juga turut mengaplikasikan seni zukhruf indah dan berwarna penuh pada setiap halaman.
Bagi melambangkan kemakmuran identiti dan budaya warisan masyarakat tersebut di negara ini, Yayasan Restu menggunakan seni zukhruf yang berunsurkan kebudayaan dan sumber seni visual masyarakat Cina Islam, termasuk seni bina masjid, ukiran kraftangan tempatan, motif bunga serta tempat-tempat bersejarah sebagai hiasan dalam al-Quran tersebut.
Disebabkan itu, al-Quran tersebut masih lagi dalam proses untuk mendapatkan kelulusan penerbitan daripada Bahagian Kawalan Cetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri. Ia bagaimanapun dijangka siap sepenuhnya awal November tahun ini.
"Setakat ini, pihak Macma dan Yayasan Restu sasar untuk menerbitkan kira-kira 20,000 naskhah al-Quran terjemahan bahasa Mandarin di peringkat permulaan.
"Bagaimanapun, jika ia mendapat sambutan, kami bercadang untuk menerbitkan kitab suci tersebut sebanyak 100,000 naskhah lagi selain untuk diagihkan di luar negara," jelasnya.
Bagi memudahkan pembacaan di semua peringkat umur, naskhah al-Quran tersebut dibuat dalam dua saiz iaitu A4 dan A5.
Apa yang lebih unik mengenai terjemahan al-Quran itu ialah, ia dihasilkan menggunakan seratus peratus tulisan khat tangan.
Untuk tujuan itu, jelas Vo Hu-Sin, penerbitan tersebut menggunakan enam penulis khat profesional yang rata-ratanya merupakan graduan Diploma Seni Mushaf dari Kolej Restu.
Dalam pada itu jelas Adam, selain memudahkan golongan Cina Muslim untuk lebih memahami kandungan ayat al-Quran dengan lebih mendalam, ia secara tidak langsung mampu menarik minat golongan tersebut yang masih belum memeluk agama Islam.

SEBAHAGIAN daripada al-Quan yang dibukukan oleh Yayasan Restu sepanjang lebih 20 tahun lalu.


Dakwah
"Oleh yang demikian, terjemahan akan dilakukan menggunakan bahasa Mandarin yang asas dan mudah untuk fahami oleh golongan tersebut.
"Kami berharap agar terjemahan ini bukan sahaja berupaya untuk meningkatkan kefahaman orang bukan Islam terhadap ayat al-Quran itu sendiri, bahkan menarik minat mereka untuk mendalami Islam dengan lebih lanjut," jelasnya.
Bagi tujuan tersebut, al-Quran yang diterjemahkan dalam bahasa Mandarin akan diberi secara wakaf kepada pihak-pihak yang memerlukan di dalam dan luar negara.
"Pada peringkat permulaan ini, kami akan mengedarkan naskhah tersebut menerusi badan-badan bukan kerajaan Cina Muslim di Malaysia selain beberapa buah sekolah terpilih.
"Dari situ, mereka akan mengagihkan kitab suci itu kepada individu yang benar-benar ingin mendalami ilmu al-Quran dan cara tersebut dirasakan lebih berkesan," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang pelancong Taiwan, Sofy Weng, 40, berkata, susunan terjemahan yang kemas dan teratur membuatkan kandungan ayat tersebut mudah difahami, biarpun dia tidak begitu mahir dalam bacaan penulisan Mandarin.
"Saya dapati, terjemahan ini menggunakan bahasa Mandarin yang mudah seperti yang digunakan oleh masyarakat Taiwan.
"Jadi secara tidak langsung, ia dapat difahami oleh semua lapisan umur dan segala mesej yang hendak disampaikan mampu difahami dengan jelas," katanya.


Dapatkan Segera Tiket Konsert 'Hi-5 House Hits 2014'

Posted: 27 Sep 2014 04:54 AM PDT



PETALING JAYA: Tiket konsert Hi-5 House Hits 2014 yang akan berlangsung pada Disember depan sudah boleh dibeli mulai Sabtu (hari ini) dan Ahad.

Ia dijual di Rock Corner, The Gardens (Aras 3) dari pukul 12 tengah hari hingga pukul 6 petang.

Menurut jurucakap penganjurnya, Hi-5 House of Learning, Yoke Leng, bagi 300 pembeli tiket terawal, mereka berpeluang menerima barangan Hi-5, poster dan pelbagai lagi selain berpeluang memenangi pas untuk bertemu anggota kumpulan Hi-5.

"Bukan itu sahaja, semua pemegang kad kredit UOB Bank boleh menerima potongan sebanyak 15 peratus sekiranya tiket dibeli pada tarikh 29 September 2014 hingga 20 Oktober 2014.

"Bagaimanapun ia terhad kepada 2,000 orang sahaja," katanya.


Tiket yang dijual pada harga RM283, RM203 dan RM 113 juga  boleh dibeli menerusi talian Hotline di 03 - 4047 9000 (klpac) atau 03 - 7880 7999 (Ticketpro) atau layari www.ticketpro.com.my

Hi-5 House Hits 2014 akan berlangsung pada 10 hingga 14 Disember depan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dengan sembilan buah persembahan keseluruhannya.

Ia merupakan sebuah persembahan berbentuk nyanyian dan tarian khas untuk kanak-kanak dengan rangkaian lagu popular seperti L.O.V.E, Ready or Not dan Give 5 termasuk beberapa lagu baru.

Konsert tersebut akan dipersembahkan oleh kumpulan dari Australia yang dianggotai oleh Stevie, Ainsley, Mary, Dayen dan Tanika.

Hi-5 House Hits 2014 turut mendapat kerjasama daripada syarikat perbankan, UOB Bank.

Zed Zaidi Menang Rebut Jawatan Presiden Seniman

Posted: 27 Sep 2014 04:54 AM PDT



KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi berjaya kembali mendapat kepercayaan ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk menerajui kepimpinan sebagai presiden apabila mendapat 109 undian pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-14 persatuan itu.

Majlis berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu.

Zed berjaya mengalahkan pesaingnya, Datuk Mustapha Maarof yang hanya meraih 71 undi dan Afdlin Shauki (66 undian).

Timbalan presiden pula disandang oleh Zack (Kool) selepas meraih 103 undian menewaskan Sabri Fadil (30), Afdlin Shauki (71), Sofea Jane (32).

Pelakon Zahrin Ishak dipilih sebagai Setiausaha Kehormat, penolongnya disandang oleh Rena Tan manakala Vanidah Imran menyandang jawatan Bendahari.

Tujuh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Seniman pula disandang oleh Sofia Jane, Jamaludin Mat (Abang Jem), Khir Rahman, Sharifah Amani, Lisa Surihani, Arash Mohamad, dan Rashidi Ishak.

Pelakon Dira Abu Zahar dan Adlin Aman Ramli menyandang jawatan sebagai juruaudit.

AGM Seniman Ke-14 dikendalikan oleh Pengerusi Sementara iaitu Datuk Yusof Haslam dan Jurey Latiff Rosli sebagai pemerhati.

Ketika pemilihan sedang berlangsung, suasana menjadi sedikit tegang apabila beberapa ahli mempertikaikan kredibiliti calon yang dipilih oleh ahli.

Bagaimanapun keadaan masih lagi terkawal dan pemilihan berlangsung dengan lancar.

Kira-kira lebih 1,000 ahli Seniman hadir pada mesyuarat AGM tersebut dan ini merupakan perjumpaan yang dihadiri ramai selebriti lama dan baru.

Antara selebriti lain yang turut hadir termasuklah Bront Palarae, Hans Isaac, Fauziah Nawi, Nadia Nissa, Sherry Alhadad, Azhan Rani, Remy Ishak dan Susan Lancaster.

Terdahulu Zed pernah memegang jawatan presiden Seniman bagi AGM ke-14 hampir sepenggal sebelum ia dibatalkan atas perintah mahkamah pada 21 November tahun lalu dan jawatan itu adalah tidak sah.

Pada 25 Januari 2013, lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap Seniman termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang.

Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

Kemudian, pada 21 November 2013, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, dekat sini adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Seniman.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab).

Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved