ads

Selasa, 4 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Cef Riz, Shikin Maembong kahwin Disember ini

Posted: 04 Nov 2014 03:55 PM PST



HUBUNGAN di antara Cef Riz dan Shikin Maembong telah berjalan selama setahun. Kini mereka menanti Disember ini untuk disatukan sebagai suami isteri.


Enggan lagi berselindung mengenai hubungan percintaannya dengan seorang wanita berusia 31 tahun, Shikin Maembong, tukang masak selebriti, Cef Riz tekad untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Shikin menjelang penghujung tahun nanti.
Anak kepada cef selebriti terkemuka, Cef Wan itu mengakui, sudah sampai masanya buat mereka melangsungkan perkahwinan selepas bercinta selama setahun.
Semalam, pasangan itu bertunang selepas Cef Riz mewakilkan ayahnya, Cef Wan untuk masuk meminang Shikin.
Jelasnya, peminangan tersebut tidak dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya mereka memang telah merancang untuk bertunang pada April lalu. Namun, kekangan masa ayahnya menyebabkan majlis pertunangan ditangguhkan sehingga semalam.
Terdahulu, Cef Riz atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Redzuawan sempat menyulam kasih dengan pelakon Ana Dahlia dalam bahtera rumah tangga yang hanya bertahan selama 11 bulan sebelum mereka berpisah pada 8 November 2012.
Menyifatkan kehidupan lampau sebagai sebuah cerita yang tidak perlu diungkit semula, lelaki berusia 32 tahun tersebut tidak berpaling terhadap keputusan untuk menamatkan zaman duda de­ngan kakak pelakon Emma Maembong itu.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya mengenai perancangan perkahwinan mereka dan keistimewaan Shikin yang berjaya membuka pintu hati Cef Riz untuk kembali berumah tangga.
Kosmo!: Cef Riz, adakah benar anda merancang untuk melangsungkan perkahwinan dengan Shikin Maembong dalam masa terdekat ini?
Cef Riz: Saya tidak mahu lagi berselindung mengenai khabar gembira itu. Ya, saya akan me­langsungkan perkahwinan dengan dia (Shikin) tidak lama lagi. Kami pun sudah berbincang dan bersedia untuk melangsungkan perkahwinan seboleh-bolehnya menjelang penghujung tahun ini.
Bagaimanakah persiapan perkahwinan anda setakat ini?
Sehingga kini, kami masih lagi dalam proses perbincangan melibatkan keluarga masing-masing. Alhamdulillah, keluarga dia bersetuju dan berbincang mengenai tarikh perkahwinan. Bagaimanapun, hanya saya belum mampu memberikan kata putus memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan. Insya-Allah, saya akan memaklumkan tarikh ini kepada umum secepat mungkin.
Boleh anda ceritakan sedikit mengenai bibit awal percintaan anda dengan Shikin?
Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah lagi. Kemudian hubungan kami tidak rapat selepas tamat persekolahan. Namun sejak setahun lalu, hubungan kami menjadi semakin rapat melalui laman sosial Instagram. Tidak sangka akhirnya kami menjadi pasangan kekasih dan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Anda sudah pernah mengalami episod kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini. Justeru, apakah keistimewaan yang terdapat pada Shikin sehingga dia dipilih sebagai calon isteri anda untuk perkahwinan kedua ini?
Dia merupakan seorang yang sangat memahami dan penyayang. Dia juga seorang yang berdikari dan tidak sepenuhnya bergantung kepada seseorang. Saya sangat selesa bersamanya. Mengenai status saya sebagai duda pula, bagi saya, perkara lepas tidak sepatutnya diungkit lagi. Mungkin apa yang berlaku sebelum ini iaitu penceraian saya dan Ana Dahlia menjadi pengalaman kepada saya untuk mengharungi kehidupan rumah tangga yang baharu dengan lebih baik.
Bolehkah anda ceritakan mengenai perkembangan terbaharu anda?
Saya kini lebih fokus kepada restoran saya iaitu Flavours yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, saya juga sibuk melatih pekerja di restoran saya supaya mereka mahir dalam bidang kulinari dan masakan.


Populariti berganda Haha

Posted: 04 Nov 2014 03:53 PM PST

SELAIN sibuk dengan program Running Man, Haha juga akan muncul dengan album terkini pada bulan Disember depan.


LUCU, mesra dan suka melawak sudah terpampang sebagai karakter asli yang dimiliki oleh Ha Dong-hoon atau mesra dipanggil Haha. Melihat dirinya, sukar untuk mencari perbezaan di mana letaknya karakter yang dicipta untuk program hiburan popular Running Man, yang mana pula karakter sejatinya di sebalik lensa kamera.
Buktinya, Kosmo! berkesempatan me­ne­mu bual Haha usai sidang akhbar Hotlink Race Start Season 2 In Malaysia di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Pada awalnya, bapa kepada seorang anak lelaki ini ditegah oleh pihak pengurusannya untuk tidak bergambar bersama pihak media.
Walau bagaimana­pun, Haha dengan selamba mencapai te­lefon salah seorang petugas media dan terus sedia diajak bergambar.
Kata Haha ketika ditemu bual: "Saya sangat menghormati peminat. Apa yang saya miliki hari ini (populariti) kerana sokongan mereka.
"Tanpa mereka tiadalah saya di sini hari ini. Oleh itu, saya sangat menghargai penghormatan yang diberikan oleh peminat."
Ironi, karier seni Haha tidak secantik hari ini sewaktu dia pertama kali menjadi anak seni pada tahun 2001. Sebenarnya dia tidak bermula sebagai seorang pelawak, sebaliknya dia terjun ke dalam bidang seni sebagai penyanyi bersama kumpulan hip hop, Z-kiri.
Malangnya, belum sempat dikenali peminat, kumpulan itu berkubur. Demi kelangsungan hidup, Haha menjadi pe­ngacara dalam program What's Up YO! pada tahun 2002.
Bakat komedinya pula diasah ketika dia menyertai sitkom Nonstop musim ketiga. Disebabkan populariti sedang meningkat naik pada tahun 2004, Haha menjadi penyampai radio di SBS Power FM dan mengendalikan program Haha and Mong Journey.
Sungguhpun begitu, Haha tidak pernah melupakan cita-cita asalnya untuk menjadi penyanyi. Pada tahun 2005, Haha muncul dengan album solo berjudul The Beautiful Rhyme Diary.
Namun, sekali lagi album itu gagal menarik perhatian peminat. Bahkan single daripada album itu, Love Song juga tidak berjaya me­ma­suki carta muzik.
Tidak berputus asa, akhirnya pada tahun 2007, Haha muncul de­ngan la­gu single You Are My Destiny. Lagu itu berjaya mendaki tempat pertama beberapa buah carta muzik di Korea Selatan.
Bintang Haha mula menyinar pada tahun 2010 sebaik sahaja dia keluar daripada latihan ketenteraan. Penyertaannya dalam Running Man berjaya menaikkan nama Haha dalam industri seni, sekali gus menyelamatkan kerjaya nyanyi­annya.
Album keduanya bergenre reggae, Quan Ninomarley aka Haha Reggae Wave yang dikeluarkan pada tahun 2011 diterima dengan baik oleh peminat.
Ujar Haha, selepas berjaya mencipta nama sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan penyam­pai radio, hanya satu sahaja impiannya yang masih tertinggal iaitu memantapkan lagi namanya sebagai seorang penyanyi yang disegani.
"Selepas semua yang saya miliki, sekarang saya mahu lebih fokus kepada kerjaya nyanyian. Saya mahu dikenali sebagai salah seorang penyanyi yang bagus.
"Perancangan terbaharu tentang nyanyian ialah saya dan sahabat, Skull akan bekerjasama dalam sebuah album yang dijangka keluar dalam masa sebulan. Sudah pasti lagu dalam itu bergenre reggae," kata Haha yang kali terakhir mengeluarkan album berjudul Acoustic Tuning Time pada tahun 2012.
Disoal kenapa genre reggae begi­tu dekat dengan jiwanya, sedangkan dia bermula dengan genre hip hop, sambil tersenyum Haha menjawab, reggae sebuah irama yang menggembirakan se­tiap orang yang mendengarnya.
"Reggae sebuah irama yang menenang dan menyeronokkan. Ia sesuai untuk dinyanyikan di mana sahaja dan yang penting orang yang mendengar irama itu pasti terhibur walaupun saya menyanyi dalam bahasa Korea tanpa mengira di negara mana sekali pun.
"Sejujurnya, saya masih mempelajari untuk menjadi seorang penyanyi reggae yang baik. Namun, bezanya saya menyanyi rap dalam irama reggae. Buat masa sekarang, saya cukup selesa dikenali sebagai penyanyi Korea yang memperjuangkan irama reggae," tuturnya.
Popular kerana Running Man
Beralih bicara kepada program Running Man, Haha mengakui program yang turut disertai barisan artis seperti Lee Kwang-soo, Song Ji-hyo, Kim Jong-kook, Jee Seok-jin, Yoo Jae-suk dan Gary itu telah mencipta sensasi luar biasa.
Dia sendiri tidak menyangka program itu akan berjaya mena­rik perhatian peminat di Korea Selatan serta peminat seluruh Asia.
"Saya tidak pernah menjangka akan meraih populariti seperti hari ini. Sebelum ini, saya bekerja keras dan melalui hari-hari yang sukar.
"Apabila program Running Man diterima ramai, saya cukup terharu. Sebenarnya, kami dalam Running Man sendiri tidak menjangka yang program itu akan menjadi besar di Korea Selatan, apatah lagi di luar negara.
"Dalam Running Man, kami sa­ling mengingati antara satu sama lain, apa yang dilakukan demi pe­minat kerana mereka (peminat), kami dikenali sehingga ke luar negara," ujar Haha merendah diri.
Bercakap tentang saat paling sukar dihadapi sepanjang berlangsungnya program popular itu, Haha mengakui yang episod pertama penggambaran Running Man dirasakan paling sukar, bukan sahaja untuk dirinya bahkan untuk oleh seluruh produksi program itu.
Terangnya, dia dan rakan-rakan yang lain tidak tahu perjalanan sebenar program itu sehingga memaksa mereka melakukan penggambaran tanpa henti.
"Bagi saya, saat paling sukar ialah pada awal episod Running Man. Waktu itu semua orang masih keliru tentang hala tuju program tersebut. Kami juga tidak membina karakter seperti hari ini, jadi semua orang tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
"Tidak tidur dan tidak cukup rehat kerana penggambaran berlangsung lebih 24 jam. Rasanya episod pertama paling meme­ritkan bukan sahaja untuk saya tetapi semua orang termasuk kru produksi," jawab Haha.
Sambungnya lagi, demi rating program tersebut, dia pernah menahan sakit akibat ke­cedera­an yang berlaku ketika penggambaran.
"Penonton lihat kami gembira, tersenyum dan bergelak ketawa dalam program itu. Bagaimanapun, mereka tidak tahu kesukaran yang kami hadapi ketika penggambaran.
"Saya pernah cedera di kaki dan tangan. Demi tidak mengganggu perjalanan penggamba­ran, saya hanya menerima rawatan yang ringkas.
"Bayangkan, dalam keadaan sakit saya terpaksa senyum dan ketawa di hadapan kamera. Semuanya demi penonton. Saya tidak mahu kerana kecederaan itu, saya menyusahkan semua pi­hak kerana penggambaran Running Man melibatkan jumlah kru produksi yang besar," akui Haha sambil menunjukkan kaki dan tangannya yang pernah tercede­ra ketika penggambaran.
Diserbu peminat
Sementara itu, pada malam hari yang sama temu bual berlangsung, bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur, peminat setia program Running Man berkumpul semata-mata mahu menatap wajah Haha, Lee Kwang-soo, Song Ji-hyo, Kim Jong-kook dan Jee Seok-jin di depan mata. Walaupun hanya dapat melihat dari jarak yang jauh, kegilaan peminat fanatik Running Man tidak dapat dinafikan.
Hanya dua hos Running Man iaitu Yoo Jae-suk dan Gary tidak dapat hadir pada acara bertemu peminat yang diberi nama Hotlink Race Start Season 2 In Malaysia itu.
Acara bertemu peminat yang dibikin seperti konsert itu bermu­la pada pukul 6.30 petang. Dalam keadaan hujan lebat dan terdapat beberapa acara besar pada hari yang sama seperti Final Piala Malaysia menyebabkan kehadiran penonton tidak seramai konsert penyanyi K-Pop yang lain.
Hotlink Race Start Season 2 In Malaysia hanya berjaya mengumpul sekitar 2,500 peminat membanjiri stadium. Walaupun ada ketika sukar untuk memahami butir bicara mereka kerana berkomunikasi dalam bahasa Korea, namun mereka bijak menggunakan bahasa badan untuk membuatkan peminat di Malay­sia rasa begitu dekat dengan se­tiap hos Running Man.
Paling menghiburkan pada konsert itu sudah pasti persembahan solo setiap hos. Walaupun ada di antara mereka bukanlah penyanyi, namun persembahan mereka tetap menarik perhatian. Salah seorang hos Running Man, Kwang-soo mengejutkan ramai peminat apabila menyanyi de­ngan baik.
Bukan itu sahaja, persembahan Kwang-soo dan Seok-jin juga menjadi satu detik yang paling menggamatkan suasana. Kwang-soo tampil persis seperti wanita lengkap berambut palsu manakala Seok-jin pula menari sambil diiringi lagu Troublemaker.
Stadium berubah suasana se­perti konsert sebenar apabila Haha pula muncul di atas pentas. Menyanyikan tiga buah lagu tanpa henti, Haha membuktikan dia merupakan seorang penyanyi yang hebat apabila persembahannya berjaya menarik perhatian penonton.
Menutup acara, kesemua hos Running Man bergandingan me­nyanyikan lagu Hands Up dan Busan Acane. Secara keseluruhan, persembahan mereka berjaya menghiburkan peminat yang hadir.
Bagi mereka yang ingin menyaksikan keletah hos Running Man, anda boleh menonton mereka di saluran One HD (Astro 393) yang bersiaran setiap hari Jumaat.

Jalan solo Noh Salleh

Posted: 04 Nov 2014 03:52 PM PST


NOH bersama Pengurus Besar Sony Music, Hermond Cheng dan Pengarah Sony Music, Julius Ng (kanan) pada majlis pelancaran Angin Kencang.


ARAH angin antara band Hujan dan vokalisnya, Noh Salleh secara solo nyata berbeza. Jika band Hujan tampil dengan aliran muzik rock alternatif, Noh yang berdiri solo pula mengalih perhatian dengan wangian muzik bergenre French pop dengan pengaruh elemen melodi Melayu klasik nusantara.
Kata Noh, 29, perbezaan jelas ketara antara pergerakan berkumpulan bersama Hujan dan perjalanan solo menerusi album EP sulungnya yang diberi judul Angin Kencang. Selain meniupkan genre muzikaliti berbeza, album yang mengandungi enam lagu itu juga bersifat peribadi baginya.
"Hujan dikenali dengan genre muzik rock alternatif. Kebanyakan lagu digubah dengan paduan lima kepala daripada setiap anggota kumpulan Hujan, jadi bunyinya tidak sama seperti saya yang berdiri solo. Hujan adalah sentuhan hujan manakala Noh sentuhan saya tanpa bunyi Hujan.
"Proses penghasilan lagu atau album Hujan juga berbeza. Biasanya kami akan pilih, misalnya 10 buah lagu, masuk studio dan rakamkan instrumen demi instrumen, malah proses itu sebenarnya boleh memakan masa cuma seminggu.
"Untuk Angin Kencang ini, prosesnya mengambil masa lebih kurang dua tahun. Bermula dengan single solo pertama saya berjudul Angin Kencang yang dikeluarkan sejak dua tahun lepas, kemudian perlahan-lahan tanpa ada sebarang tekanan pun satu demi satu lagu berjaya disiapkan sehingga terhasil album ini," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran album EP Angin Kencang di White Box, Publika baru-baru ini.
Dedikasi Noh
Album EP Angin Kencang memuatkan enam buah lagu termasuk single Angin Kencang yang dimainkan dalam versi piano secara langsung oleh komposer terkenal, Loke U Uzir. Empat lagu lain ialah Gelung, Biar Seribu, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam.
Kata Noh, beberapa lagu misalnya Gelung, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam ditujukan khas buat isterinya, Mizz Nina dan sebuah lagu diciptakan khas sempena ulang tahun perkahwinan ke-50 ibu dan bapa mentuanya berjudul Biar Seribu yang membawa metafora hubungan yang bertahan lama.
"Paling istimewa bagi saya adalah lagu pada trek ketiga dalam album ini berjudul Biar Seribu kerana lagu ini dihasilkan khusus buat kedua ibu dan bapa mentua saya. Kebanyakan lagu daripada album ini dibuat tanpa ada tekanan dan perjalanan itu mengalir secara semula jadi. Jujur saya katakan, menghasilkan lagu untuk kedua-dua orang tua saya lagi susah berbanding mencipta lagu untuk isteri saya.
"Berbicara soal penerimaan dan kepuasan peminat, saya perlu dahulukan kepuasan saya sebelum peminat. Saya hasilkan album ini untuk kepuasan saya dan sekiranya pendengar boleh menerimanya saya bersyukur," katanya yang tidak pernah menyasarkan sebarang target untuk melahirkan album EP tersebut.
Sementara itu, jelas Noh, lagu Angin Kencang sebenarnya diinspirasi daripada karya solo John Lennon yang menceritakan kerinduan terhadap kekasih dan angin yang membawa bayu-bayu rindu. Ironinya, lagu itu juga ditujukan kepada Mizz Nina yang sedang sibuk dengan promosi jelajahnya selama sebulan di Amerika Syarikat dua tahun lalu.
Sore
Kebanyakan lagu yang dihasilkan Noh dengan kerjasama beberapa pemuzik terkenal dari Indonesia seperti Adink Permana, Ramondo Gascaro dan Dono Firman merupakan impian Noh.
Dia menyifatkan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album EP Angin Kencang berlandaskan melodi French pop dan Swedish pop sekitar era 1970-an dan 1980-an.
"Rujukan saya adalah band Sore dari Indonesia kerana saya mengagumi muzik mereka sejak dari awal band Hujan ditubuhkan. Masih saya ingat lagi kali pertama Hujan dijemput untuk membuat persembahan pembukaan mereka, itu merupakan pengalaman pertama saya berkongsi pentas dengan band tersebut.
"Malah, saya juga berpeluang untuk mendapatkan khidmat ahli bekas kumpulan Sore, Ramondo Gascaro untuk menerbitkan album ini. Jadi, kalau ada antara lagu kedengaran persis band tersebut saya tidak boleh elak dan jika ada yang mahu membandingkan kami, saya tidak kisah kerana itu saya mahukan.
"Sepanjang proses menghasilkan album ini pun kami berkomunikasi secara Whatsapp dan e-mel sahaja tetapi segalanya berjalan lancar. Paling penting, kami tidak terlalu mencuba dan 150 peratus saya berpuas hati dengan album ini," katanya.
Noh yang telah menandatangani kontrak bersama Sony Music Malaysia untuk pengedaran album EP Angin Kencang memberitahu, dia tidak menggunakan jenama dan populariti Hujan untuk mempromosikan singlenya daripada album tersebut di stesen radio, malah dia memulakan kembali langkahnya seperti artis baru bertapak.
"Saya bekerja dan berusaha dengan sendiri. Daripada proses promosi album saya tidak mahu menggunakan nama Hujan untuk diberikan prioriti, eloklah saya bermula dari asas dan menggunakan laluan yang sama seperti artis baharu lain.
"Saya juga akui saya bukan seorang vokalis yang baik dan penulis lirik yang sempurna. Saya juga perlu bermula dan berusaha untuk mendaki tangga atau memperkenalkan produk yang saya ada," simpul Noh.


Harga 6 jenama rokok naik kembali

Posted: 04 Nov 2014 03:50 PM PST



SENARAI harga baharu enam jenama rokok BAT Malaysia yang disebarkan di laman sosial semalam.


KUALA LUMPUR – Penghisap rokok terpaksa mengeluarkan wang tambahan mulai hari ini apabila harga enam jenis rokok keluaran British American Tobacco (M) Berhad (BAT Malaysia) mengalami kenaikan sebanyak RM1.50 sekotak.
Harga baharu untuk setiap sekotak rokok yang mengan­dungi 20 batang itu diumumkan oleh syarikat BAT Malaysia menerusi satu pengumuman di laman sosial.
Pengumuman tersebut me­maparkan satu senarai harga rokok baharu yang dikeluarkan oleh Commercial Marke­ters and Distributors Sdn. Bhd. melibatkan enam jenama rokok keluaran syarikat tersebut.
Kenaikan itu menyebabkan harga sekotak rokok Lucky Strike dan Rothmans International yang mengandungi 20 batang kini dijual pada harga RM14.
Ekoran kenaikan itu, sekotak rokok Dunhill, Benson & Hedges dan Kent pula berharga RM13.50.
Sekotak rokok Peter Stuyvesant juga mengalami kenaikan harga yang menyebabkan ia dijual pada harga RM12.
Syarikat BAT Malaysia itu merupakan syarikat pengeluar rokok yang terbesar di Malaysia.
Ia merupakan sebahagian daripada syarikat British American Tobacco yang merupakan pengeluar rokok kedua terbesar di dunia.
Dalam pada itu, sumber industri memberitahu, kerajaan Malaysia telah menaikkan cukai eksais rokok pada 1 November lalu menyebabkan harga rokok me­ningkat kira-kira 3 sen sebatang.
"Kenaikan ini tidak dapat dielak dan syarikat-syarikat pengeluar rokok terpaksa menaikan harga rokok masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit di Serdang yang cuma ingin dikenali sebagai Akhbar berkata, dia telah menerima pengumuman yang dikeluarkan oleh syarikat rokok berkenaan.
"Saya akan mula menjual rokok pada harga baharu yang berkuat kuasa tengah malam ini (semalam)," katanya.

Kudapan bersaiz jari

Posted: 04 Nov 2014 03:45 PM PST

PELBAGAI pilihan pastri ditawarkan Tasty Touch.


AROMA pastri yang dibakar di dalam ketuhar begitu menusuk deria bau sekali gus membuatkan perut terasa mahu diisi.
Bunyi desiran masakan digoreng dan ketakan pisau yang pantas menghiris bawang besar, cili serta kentang di dapur menyambut ketibaan penulis yang berkunjung ke dapur milik katering Tasty Touch Finger Food (Tasty Touch).
Di dapur, kelihatan seorang tukang masak dan empat pembantunya begitu asyik menggaul bahan masakan selain menyusun atur bahan yang digunakan untuk menghasilkan hidangan pastri Tasty Touch.
Deretan talam bufet juga tersedia untuk menempatkan hidangan. Bagaimanapun, sebelum setiap hidangan disusun, kualiti, kesegaran pastri dan rasanya diuji terlebih dahulu.
Di sinilah tugas utama Rinawati Rhosky Mohd. Nasir, 34. Pemilik bersama Tasty Touch yang bertindak sebagai ketua tukang masak di dapur mencuba setiap pastri dan hidangan.
"Saya mahu memberikan yang terbaik kepada para pelanggan. Sebab itulah saya akan memantau pergerakan pekerja di sini. Setiap bahan dan ramuan masakan yang digunakan berkualiti," kata Rinawati Rhosky sambil mengawasi pekerjanya di dapur Tasty Touch di Kajang, Selangor.
Rinawati Rhosky yang mesra disapa sebagai Rina memberitahu, kateringnya sentiasa beroperasi. Malah musim cuti persekolahan adalah tempoh yang amat sibuk. Perniagaan Rina menyasarkan pelanggan syarikat korporat sama ada untuk majlis minum petang, kudapan selepas tamat mesyuarat mahupun pelancaran majlis sesebuah syarikat.
Parti

BERSAIZ kecil, sasaran Tasty Touch mahu menyediakan hidangan pastri yang mudah untuk dijamah pelanggan.


Selepas dua tahun beroperasi sejak tahun 2012, Tasty Touch mula dikenali di sekitar Lembah Klang dan beberapa lokasi di Negeri Sembilan.
Julat pelanggannya juga semakin meningkat. Ia melibatkan parti seperti sambutan hari jadi dan majlis pertunangan.
Keunikan Tasty Touch ialah menumpukan makanan bersaiz jari yang boleh dijamah dengan mudah. Hidangan yang sering menerima tempahan ialah taco bar berinti krim masam dan hirisan tomato, pai ayam mini dan nachos.
Selain pastri, sajian seperti spageti turut disediakan mengikut kehendak pelanggan.
"Kita berusaha mempelbagaikan pilihan hidangan untuk pelanggan. Tasty Touch mengamalkan sistem perniagaan secara bertolak ansur terutamanya yang melibatkan harga dan pakej," katanya.
Tutur Rina, bajet pelanggan adalah aspek utama yang dititikberatkan. Sebagai usahawan, beliau berpegang pada prinsip bahawa pelanggan mempunyai keputusan mutlak dalam setiap aspek.
"Contohnya, pastri salmon salai bersama timun, krim dill dan sayur kaper iaitu sejenis sayuran berbentuk kekacang yang dijeruk dijual pada harga RM3.20 satu kepala. Jika pelanggan mahukan bajet minimum RM2 satu kepala, penyelesaiannya kita kurangkan kuantiti salmon," jelasnya.
Hala tuju perkhidmatan katering Tasty Touch menumpukan hidangan dan pastri ala Barat sebagai forte mereka. Jelas Rina, mereka tidak mahu tamak dalam menguasai pasaran perkhidmatan katering makanan dengan menyediakan makanan berlauk.
Walaupun mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan hidangan lauk-pauk, Rina lebih selesa Tasty Touch dikenali dengan sajian ala Barat dan pastri.
Variasi pastri dan hidangan Tasty Touch menyediakan pelbagai pilihan buat pelanggan seperti kanape iaitu makanan bersaiz kecil, daging, makanan laut, salad dan vegetarian. Pakej yang ditawarkan bermula pada harga serendah RM6 hingga RM20++.
Setiap tempahan yang diambil melibatkan minimum untuk 20 orang tetamu membabitkan lima hingga 10 jenis pastri.
Tempahan

RINAWATI RHOSKY (tengah) memantau tukang masak dan pembantunya di dapur katering Tasty Touch.


Dalam tempoh seminggu, Tasty Touch perlu memenuhi maksimum enam tempahan membabitkan hari dan tarikh yang berbeza.
Tasty Touch hanya menerima maksimum empat tempahan sehari kerana khuatir tidak mampu mengekalkan rasa dan kualiti makanan.
Kepada Rina, kepercayaan pelanggan menjadi keutamaannya.
"Dalam perniagaan seseorang usahawan sering berpegang pada kata-kata jualan yang baik tidak akan dipulangkan. Ia menjadi pegangan saya.
"Kali pertama seorang pelanggan mengatakan ya terhadap perkhidmatan Tasty Touch, saya akan memastikan pelanggan setia memilih kami untuk majlis seterusnya," tuturnya.
Seperti usahawan perkhidmatan makanan yang lain, Rina melakukan beberapa percubaan untuk menguji kemampuan pastri buatannya sebelum memasuki pasaran.
"Jika saya dijemput untuk menghadiri majlis sambutan hari jadi rakan-rakan, saya pasti membawa pastri dalam kuantiti sehingga 20 pastri untuk dijamah hadirin.
"Kemudian mereka akan memberikan maklum balas sama ada ia mendapat sambutan atau sebaliknya jika dijual," jelasnya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komputer dan Program, Universiti Asia Pasifik itu memberitahu, kejayaan menerima tempahan menjadi penanda aras prospek perniagaan pastrinya.
Pada peringkat awal memperkenalkan Tasty Touch, Rina menyediakan sampel makanan percuma ketika bertemu pelanggan yang berminat untuk mengambil tempahan.
Namun, hari ini urusan mempromosi Tasty Touch banyak dibantu oleh laman sosial seperti Facebook. Bagaimanapun, beliau lebih selesa bersemuka dengan pelanggan.
"Secara peribadi saya memilih promosi melalui lisan kerana lebih berkesan. Ia juga memberi ruang kepada pelanggan menilai kredibiliti dan perkhidmatan kami," katanya.
Sebagai majikan, Rina seorang yang tegas tetapi sangat bertolak ansur dengan pekerjanya. Walaupun baru dua tahun menceburi perniagaan perkhidmatan katering, pengalamannya dalam bidang perniagaan berasaskan makanan bermula sejak empat tahun lalu.
Ketika itu, beliau dan rakan kongsinya mengeluarkan produk makanan sejuk beku popia yang dijual di sekitar Lembah Klang, stesen minyak dan restoran.
Walaupun hasil jualannya begitu memberangsangkan, impian Rina untuk memiliki sebuah perniagaan katering berasaskan pastri tidak pernah pudar.
Selepas mempromosikan Tasty Touch, Rina mula sedar sebagai usahawan perkhidmatan katering menuntut seseorang mempunyai ketahanan mental yang tinggi, bijak menguruskan masa dan memperoleh kepercayaan pelanggan.
"Saya mempunyai asas dalam bidang perniagaan sebelum ini, tetapi cabaran dalam perniagaan katering menuntut kesabaran dan tekanan mental yang tinggi.
"Ia melibatkan kepercayaan, kualiti produk dan ketahanan kesegaran makanan terutama sepanjang sesebuah majlis berlangsung," katanya.
Tidak kekok menguruskan Tasty Touch, Rina memberitahu, sejak usia remaja dia gemar membuat kuih. Kepenatan sepanjang memasak, mengurus dan menghidang sajian hilang apabila menerima maklum balas positif daripada pelanggan.
Ujarnya dalam nada bergurau, jika peminat kucing menganggap haiwan itu sebagai comel, beliau pula melihat pastri sebagai sesuatu yang unik, comel dengan rasa yang enak.
Bagi memastikan kelangsungan Tasty Touch, Rina terlebih dahulu membuat kajian penguasaan katering bumiputera dalam perkhidmatan makanan jemari dan Barat.
Katanya, kesedaran golongan masyarakat bukan Islam terhadap kepentingan makanan halal antara faktor utama beliau tekad menyuntik modal dalam perniagaan itu.
Menyentuh tentang perancangan akan datang, Rina berharap untuk menambah jumlah kenderaan penghantaran katering. Buat masa ini, Tasty Touch mempunyai tiga buah van yang digunakan untuk perkhidmatan di sekitar Lembah Klang.


Tikar kelasah identiti Bumi Kenyalang

Posted: 04 Nov 2014 03:42 PM PST


SANDRA menunjukkan kemahirannya menganyam tikar kelasah.


"UNIKNYA tikar kelasah kerana dianyam menggunakan rotan dan kulit kayu, jika kamu melihat corak anyaman pada tikar ini, ia jelas menunjukkan ciri-ciri masyarakat di sini," kata Sandra Trinata, 29.
Wanita berketurunan Bidayuh itu ternyata bangga memperkenalkan produk kraf tangan Sarawak itu.
Dia ternyata begitu komited untuk mengkomersialkan produk tersebut dengan mengambil langkah berani menubuhkan syarikat Nangdee Resources.
"Bapa saya mengusahakan tikar kelasah secara kecil-kecilan pada awal tahun 90-an untuk pelapik lantai. Pada waktu itu, kami kumpulkan tikar yang telah siap di hadapan rumah untuk dijual kepada penduduk sekitar pekan Serikin.
"Melihat situasi itu, penduduk Kalimantan yang berhijrah ke sini turut meletakkan barang-barang kraf tangan mereka untuk dijual. Sejak itu, aktiviti jual beli bermula yang akhirnya menjadikan pekan Serikin antara tempat tumpuan pelancong," jelasnya.
Menceritakan tentang proses penghasilan tikar kelasah, Sandra berkata, ia bukanlah satu proses yang mudah kerana pembuatannya menggunakan seratus peratus kerja tangan, ketelitian dan ketekunan.
Selain itu katanya, rotan dan kulit kayu perlu diraut halus sebelum dianyam untuk dijadikan tikar. Rotan tua digunakan bagi mendapatkan tikar kelasah berkualiti tinggi. Rotan pula mestilah daripada rotan segar putih dan segar emas.
Motif
"Untuk menghasilkan tikar kelasah gred A, kami gunakan rotan tua berumur sekitar lapan hingga 20 tahun.
"Tidak semua tempat ada rotan-rotan ini. Saya mendapat bekalan rotan dari kampung-kampung berhampiran selain diimport dari Kalimantan," katanya.
Selain rotan, kulit kayu pokok boyuh turut digunakan untuk menghasilkan tikar kelasah.

Serikin, pekan kecil yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia di Borneo terkenal sebagai destinasi membeli-belah terutama dalam kalangan pembeli dari Semenanjung.


Gabungan rotan dan kulit kayu itu bukan sahaja menghasilkan anyaman tikar yang halus tetapi tahan lama sehingga 40 tahun.
Menurut Sandra, setiap pekerja mampu menyiapkan tikar kelasah berukuran 21 meter persegi dalam tempoh empat hari bergantung pada motif dan corak yang dihasilkan.
Setiap tikar kelasah mempunyai pelbagai motif yang menggambarkan budaya dan identiti masyarakat bumi Kenyalang.
Menggunakan empat orang tenaga kerja, Sandra berkata, dia akan memastikan setiap tikar keluarannya mempunyai motif yang berbeza daripada tikar kelasah Sarawak yang lain.
"Selain memastikan tikar kelasah kami berbeza, motif tempatan tetap tidak akan dilupakan. Saya suka menyelitkan unsur masyarakat Bidayuh dan Sarawak termasuk motif Pua Kumbu.
Motif lain yang diketengahkan adalah seperti tumbuh-tumbuhan dan geometri.
"Ada juga pembeli terutama dari Semenanjung mahu corak tikar lain daripada yang lain seperti masjid atau Kaabah.
"Ada masanya kami juga mengalami kesukaran untuk membuat anyaman motif atau corak yang diminta, tetapi kami menganggap ia satu cabaran bagi memenuhi permintaan pelanggan," ujar anak sulung daripada tiga beradik yang memasang impian untuk memasarkan produknya ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, buat masa ini dia hanya menumpukan pasaran dalam negara dan impian itu diharapkan dapat dicapai dalam tempoh sedekad. Harga yang ditawarkan bagi setiap tikar kelasah ialah RM200 hingga RM800 bergantung kepada kualiti dan motif tikar berkenaan.
Kesungguhan Sandra mengusahakan perniagaan tikar kelasah milik keluarganya telah mencuri perhatian Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bagi membantu mengembangkan perniagaannya.
Melalui bantuan itu, Sandra berharap perniagaan tikar kelasah yang diusahakan akan lebih dikenali.
"Saya mengambil inisiatif me­nyertai Kraftangan Malaysia sejak empat bulan lalu dan banyak yang saya pelajari berhubung selok-belok mempromosikan perniagaan. Sebelum ini, pendekatan promosi mulut ke mulut saja, sekarang saya gunakan sepenuhnya laman sosial untuk tujuan itu," tambah Sandra.
Selain promosi, Kraftangan Malaysia turut membantu menyalur idea dan nasihat berkaitan perniagaan kepada Sandra.


Jarr kongsi cerita seram

Posted: 04 Nov 2014 03:41 PM PST


Jarr menulis cerita-cerita seram bukan untuk menakut-nakutkan pembaca.


BERMULA dengan menulis cerita-cerita seram yang pernah dilalui di laman sosial, Twitter miliknya, Mohammed Nadjmuddean Mohd. Ris atau lebih dikenali sebagai Jarr, 33, mengorak langkah mencuba nasib untuk menerbitkan cerita-cerita tersebut dalam bentuk buku.
Keputusan itu diambil selepas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengikut-pengikutnya di laman sosial tersebut.
Ternyata langkah yang diambil oleh bapa kepada seorang cahaya mata itu sangat berbaloi apabila buku pertamanya, #CeritaSeram diterima pembaca.
Buku yang diterbitkan pada tahun 2011 itu berjaya dijual sehingga 6,000 naskhah.
Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu, pada mulanya dia hanya menulis cerita seram yang pernah dilaluinya secara suka-suka di laman sosial Twitter.
Kemudian, selepas bertemu dengan penerbit buku DuBook Ceritera, dia dipelawa untuk menerbitkan cerita-cerita tersebut dalam bentuk buku.
"Alhamdulillah, buku ini mendapat sambutan yang di luar jangkaan. Saya tidak sangka ramai yang meminati buku ini.
"Kejayaan jualan buku ini mungkin juga disebabkan para pembeli yang terdiri daripada pengikut-pengikut saya di Twitter," katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya, hampir 90 peratus cerita seram yang terdapat di dalam buku setebal 124 muka surat itu merupakan pengalaman sendiri manakala selebihnya daripada ahli keluarga terdekat.
Dalam buku tersebut terdapat 20 buah cerita seram antaranya Hantu Genting View, Arwah Mak Kinah, Hantu Mek Kerinting dan Pintu ke Alam Ghaib.
Selepas melihat kepada kejayaan buku pertamanya, Jarr tampil dengan buku keduanya iaitu #CeritaSeram 2: Angker pada pertengahan tahun lalu.
Naskhah baharu itu ternyata lebih memikat hati pembaca apabila dalam tempoh satu tahun ia telah memasuki cetakan keempat.
Perbezaan
Menurut Jarr, buku keduanya itu mempunyai sedikit perbezaan berbanding sebelum ini.
Perkara itu berlaku kerana hampir separuh daripada kisah seram yang terdapat dalam buku tersebut adalah hasil sumbangan para pembaca dan pengikut Twitternya.
"Buku ini berbeza berbanding buku pertama. Selepas buku pertama dikeluarkan, saya mendapat maklum balas daripada pembaca bahawa mereka juga mempunyai pengalaman seram untuk dikongsi.
"Jadi, saya mengambil keputusan untuk gabungkan pengalaman sendiri dengan cerita-cerita mereka," kata Jarr yang merupakan seorang pekerja swasta di ibu negara.
Antara kisah menarik yang terdapat di dalam buku berharga RM20 senaskhah itu ialah Hantu Berbadan Manusia Berkepala Beruk, Gangguan Roh Mati Ditikam Suami, Hantu Muka Bernanah Di Tingkap dan Hospital Lama Cheras.
Mengulas mengenai kisah Hantu Berbadan Manusia dan Berkepala Beruk, Jarr memaklumkan bahawa peristiwa tersebut berlaku di rumah salah seorang ahli keluarganya.
Katanya, hantu itu sering memasuki rumah tersebut dan mengganggu penghuninya. Kejadian itu masih berlaku sehingga kini dan rumah tersebut dibiarkan kosong tanpa berpenghuni.
Dalam pada itu, Jarr memaklumkan bahawa dia memilih untuk menulis cerita genre seram bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai.
Sebaliknya, dia ingin menyampaikan mesej bahawa makhluk ghaib juga merupakan sebahagian daripada ciptaan Tuhan dan orang ramai perlu mempercayai kewujudannya.
"Saya tulis buku ini, bukan hendak menakut-nakutkan pembaca, sebaliknya ia untuk mengajak pembaca supaya mempercayai kewujudan alam ghaib," katanya dengan penuh yakin.
Mengimbau penglibatannya dalam bidang penulisan serius, Jarr memberitahu, ia bermula sejak Februari tahun 2008 selepas dia mempunyai blog sendiri.
Melalui blog tersebut, dia menulis mengenai kisah kehidupan peribadinya dan cerita-cerita komedi.
Berdasarkan potensi yang dimiliki dalam bidang penulisan, dia mengambil keputusan untuk menjadikan hobinya itu sebagai sumber mencari pendapatan sampingan.
"Pada mulanya, saya menulis sekadar untuk mengisi masa lapang, kemudian ia bertukar menjadi hobi," katanya.
Kini, Jarr sedang dalam proses akhir untuk menyiapkan buku cerita seram terbaharunya. Tambah membanggakan, cerita-cerita di dalam buku itu telah dipersetujui oleh syarikat produksi untuk disiarkan di layar kaca.


1 ulasan:

Blogger on 7 Jun 2017 pada 5:16 PTG berkata...

Are you paying more than $5 for each pack of cigs? I buy my cigarettes over at Duty Free Depot and this saves me over 70%.

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved