ads

Ahad, 23 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Akim Ungguli Anugerah Komposer Muda Berpotensi MACP

Posted: 23 Nov 2014 07:00 PM PST


Akim
KUALA LUMPUR: Undian peminat membolehkan penyanyi dan komposer Akim mengungguli Anugerah Komposer Muda Berpotensi pada malam ulang tahun Jubli Perak Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) di sini, Ahad malam.
Peminat juga memilih Yuna untuk menerima Anugerah Persembahan Terbanyak bagi kategori lagu Inggeris 'I Wanna Go' manakala kategori lagu Melayu dimenangi gandingan Zizan dan Kaka menerusi lagu 'Bawaku Pergi'.
Mereka adalah antara 11 penerima anugerah MACP termasuk Anugerah Khas kepada Pelesen dan Ejen badan itu bagi menghargai penglibatan mereka.
Syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penerbit Tempatan dengan Pendapatan Terbanyak manakala Syarikat EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd menerima Anugerah Penerbit dengan Pendapatan Terbanyak.
Karyawan terkemuka negara Habsah Hassan memenangi Penulis Lirik dengan Pendapatan Terbanyak sementara anggota KRU iaitu Edry Abd Halim mengungguli anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak.
Anugerah lain ialah lagu Cina Persembahan Terbanyak yang dimenangi oleh Fuying dan Sam dengan lagu 'Fen Kai Yi Hou', Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi diungguli Michael Wong dengan lagu 'Tong Hua'.
Anugerah Lagu Luar Negara Persembahan Terbanyak diberikan kepada lagu 'I Got A Boy' nyanyian kumpulan Girl's Generation dari Korea Selatan dan komposer terkemuka Saari Amri pula dipilih memenangi Anugerah Nadi Cipta.
Anugerah MACP merupakan penghargaan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri seni negara.
Hasil royalti yang dikutip oleh MACP adalah daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen dan radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang dilesenkan oleh badan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi MACP Habsah Hassan berkata sambutan ulang tahun Jubli Perak MACP membuktikan industri muzik Malaysia berpotensi untuk berkembang.
Sambil meminta anggota-anggota MACP supaya terus menghasilkan karya terbaik, beliau berharap mereka dapat membuktikan anak Malaysia dapat menghasilkan karya-karya bertaraf dunia yang mengharumkan negara.
"MACP juga akan berusaha memastikan anggota kami diberikan bayaran setimpal dengan usaha dan kreativiti mereka," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Pengerusi MACP Ahmad Izham Omar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima.

Aizat Amdan Sedia Bergelar Pelakon

Posted: 23 Nov 2014 06:59 PM PST


Aizat Amdan
PETALING JAYA: Selepas tujuh tahun membabitkan diri dalam dunia muzik, penyanyi Aizat Amdan kini sudah bersedia untuk mengembangkan bakat ke dalam dunia lakonan pula.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 25, berkata, sejak terlibat dengan filem Istanbul Aku Datang, dia mula berminat mendalami kerjaya lakonan dan ingin mendalami bidang tersebut.

"Seronok juga berlakon, kerana ia sebahagian dunia seni dalam indutsri hiburan. Tetapi itulah, muka saya tak serupa pelakon. Hahaha..

"Tetapi saya bersedia menerima sebarang tawaran sekiranya ada pihak yang berminat," katanya.

Tambah Aizat, dia percaya, kerja lakonan juga mampu mengasah bakat seni muzik daripada segi cara penyampaian ketika persembahan dilakukan walaupun muzik dan lakonan adalah dua bidang yang berbeza.

Sementara itu, Aizat memberitahu, dia bakal menerbitkan album ketiganya pula pada tahun depan dan ia kini masih lagi dalam proses pembikinan.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Susun Silang Kata itu, album tersebut akan memberi kelainan berbanding lagu-lagunya yang pernah diterbitkan sebelum ini.

"Saya sedar, kebanyakan lagu yang dihasilkan sebelum ini tidak sekuat Hanya Kau Yang Mampu, atau Lagu Kita, ketika di awal kemunculan saya.

"Jadi untuk album kali ini saya ingin menghasilkan lagu-lagu yang boleh menimbulkan fenomena seperti dulu, InsyaAllah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aizat juga muncul dengan single lagu baharu berjudulKembali, sebagai lagu tema drama bersiri Seludup, yang bakal disiarkan bermula 4 Disember depan.

"Apabila peminat mendengar lagu ini, mereka pasti aku terkejut dengan muzik yang saya bawakan yang berkonsep Alternatif Rock, belum pernah saya bawakan lagi. Saya harap mereka menerima lagu tersebut," tuturnya.

Fasha Sandha Tolak Buat Ulasan Produk Di Instagram

Posted: 23 Nov 2014 06:57 PM PST


Fasha Sandha suami, Rizal Ashram Ramli dan anak keduanya, Putri Raysha Jemyma.
PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha menegaskan tidak akan menerima sebarang tawaran bagi membuat ulasan jualan produk di Instagram tidak kira sama ada ianya dibayar atau tidak.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 30, menyifatkan perkara itu tidak sesuai dilakukannya memandangkan ia bukanlah satu tugasan yang wajib dibuat sebagai seorang pelakon.

"Ada sesetengah artis menerima bayaran untuk membuat IG Review (ulasan produk), tetapi ada juga yang tidak berbuat sedemikian. Bagi saya, terpulang pada pendapat masing-masing.

"Tetapi saya tidak mengenakan sebarang bayaran atau menerima tawaran membuat IG Review kerana itu bukanlah kerjaya saya," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun tambah Fasha, dia tidak mempunyai masalah sekiranya mana-mana pihak ingin mempromosi barangan pada setiap gambar-gambar di akaun Instagram miliknya itu.
Fasha bersikap terbuka pada mana-mana pihak peniaga yang ingin mempromosikan barangan jualan di akaun Instagram miliknya.
Kata Fasha, promosi jualan di laman sosial itu sedikit sebanyak pasti dapat membantu peniaga-peniaga online untuk meningkatkan jualan masing-masing.

"Jujurnya, ia sedikit pun tidak menganggu saya. Menerusi konsep 'visit my IG' di setiap gambar-gambar saya itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk berniaga.

"Ianya tidak menganggu rezeki saya, maka saya benarkan. Asalkan ia tidak keterlaluan.

"Andaikata saya kekurangan modal untuk mempromosikan barangan, dan sekiranya seseorang artis itu membenarkan saya meletakkan komen di laman Instagram mereka, saya juga akan buat perkara yang sama," ujarnya.

Ditanya apakah pandangan Fasha mengenai segelintir artis yang meletakkan harga yang tinggi bagi membuat ulasan produk, katanya, ia terpulang kepada cara pihak peniaga dan seseorang artis berkenaan berurusan.

"Setiap artis berhak membuat apa sahaja di laman sosial masing-masing dan saya percaya ramai peniaga memerlukan khidmat artis bagi tujuan promosi. Jika ia membantu, tak salah untuk mereka berbuat demikian.

"Cuma saya pula tidak terlalu 'tunduk' pada laman sosial dan kerana itu tidak banyak gambar yang saya kongsikan di Instagram.

"Apa-apapun, saya mendoakan agar mereka (peniaga) berjaya dalam bidang masing-masing dan hormatilah laman sosial artis. Jika mereka tidak membenarkan pihak peniaga mempromosikan barangan di laman sosial itu, buat promosi dengan cara lain pula. Insyaallah, saya percaya banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk tujuan promosi," tuturnya.

Amber Chia Pasrah Keguguran Anak Kedua

Posted: 23 Nov 2014 06:56 PM PST


Amber Chia
PETALING JAYA: Kegembiraan model terkenal Amber Chia untuk menimang cahaya mata kedua diakhiri dengan berita sedih apabila dimaklumkan mengalami keguguran akibat kandungan luar rahim.
Amber, 33, berkata, dia mengalami komplikasi dalam rahim dan disebabkan itu dia perlu menjalani rawatan di Hospital Pantai Kuala Lumpur dekat sini.
"Sebenarnya pada tahun 2008, saya telah pun menjalani satu pembedahan. Ketika itu, doktor kata peluang untuk saya mengandung agak tipis akibat pembedahan itu.

"Tetapi saya bersyukur dapat melahirkan anak sulung, Ashton Wong yang kini berusia 4 tahun. Cuma tidak sangka pula saya terpaksa berhadapan dengan pembedahan itu lagi.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika itu apabila doktor memberitahu saya mengandung. Kemudian doktor mengatakan kandungan itu gugur. Perasaan itu bercampur baur, saya pasrah," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad.
Foto Amber bersama rakan-rakan yang melawatnya yang dimuat naik dalam Instagramnya.
Tambah Amber, pada mulanya dia berasa sedih kerana komplikasi yang dialaminya membuatkan dia menyangka tiada lagi harapan untuk mengandung lagi.
Tambah pula dia dan suaminya, Adrian Wong sedang berharap untuk mendapatkan anak perempuan pula.
"Tetapi doktor kata, saya boleh mengandung lagi. Bagaimanapun saya tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Biarlah keadaan saya sihat sepenuhnya. Lagipun kita perlu meneruskan hidup seperti biasa.
"Dan tidak perlu terlalu bersedih kerana saya masih boleh bersyukur kerana sudah pun mempunyai seorang anak berbanding segelintir pasangan lain yang masih berusaha untuk mendapatkan anak," ujarnya.

Madu Ghaib: Mentua Reda Walau Terkejut Menantu Bernikah Lagi

Posted: 23 Nov 2014 06:52 PM PST

PETALING JAYA: "Pakcik reda walaupun terkejut apabila mendapat tahu dia berkahwin lagi," kata bapa kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang hilang dalam tragedi pada Mac lalu itu mengenai tindakan menantunya itu.
Warga emas berusia 60 tahun ini mengakui tidak dimaklumkan lebih awal mengenai hasrat menantunya untuk melangsungkan perkahwinan.
"Mungkin kalau bagi tahu, dia bimbang pakcik tak benarkan dia berkahwin lagi.
"Tetapi mungkin dia ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian dan pakcik tak berhajat untuk bertanyakan perkara itu kepadanya kerana ia sesuatu yang sensitif," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Ditanya perasaannya berhubung tindakan menantunya yang kini mempunyai pengganti anaknya, beliau hanya menjawab ringkas:"Kalau kamu ditempat pakcik apa kamu rasa, mesti kamu sedih...jadi pakcik pun begitu jugalah."
Hanya mahu dikenali sebagai Pak Rahim, beliau tidak mahu bersangka buruk terhadap tindakan menantunya itu walaupun tahu masyarakat mempunyai persepsi tersendiri berhubung perkara itu.
"Itu hak dia (untuk kahwin lagi), kalau dia kurang ajar mungkin pakcik marah tetapi setakat ini hubungan kami baik.
"Lagi pun empat cucu pakcik ada padanya," katanya yang tidak menghadiri majlis perkahwinan menantunya itu.
Malahan difahamkan, keluarga penumpang pesawat malang itu telah mengambil barang peribadi anaknya di kediaman pasangan itu selepas mendapat tahu madu anak mereka akan menetap di rumah sama.
Baru-baru ini, mStar Online melaporkan mengenai pernikahan suami salah seorang penumpang MH370 yang terpaksa dilakukan di negara jiran kerana masalah ketiadaan sijil kematian isterinya.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikatakan memberitahu lelaki berkenaan bahawa dokumen itu akan hanya dikeluarkan selepas empat tahun, manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula mengakui pihaknya menerima pelbagai aduan daripada waris penumpang pesawat berkenaan yang berhadapan masalah kerana ketiadaan dokumen penting itu.

Ilham dari kisah lalu

Posted: 23 Nov 2014 06:47 PM PST

  • Jac bersama album barunya Unleashed. Jac bersama album barunya Unleashed.

SELEPAS melancarkan album Ikut Rentakku pada Julai tahun lalu, penyanyi bersuara lunak, Jaclyn Victor tidak perlu menunggu lama untuk melancarkan album Inggeris pertamanya, Unleashed.

Menariknya mengenai album keenam yang menampilkan lima buah lagu termasuk sebuah lagu bonus track ini, tiga dari lima buah lagu itu ditulis sendiri oleh pemilik nama sebenar, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor.

"Ada lima buah lagu baharu, dua daripadanya iaitu Remedy dan Pinnacle ditulis oleh Yusry, manakala Over and Over, Delirious dan Sweeter Than a Dream liriknya ditulis oleh saya. Edry bertindak sebagai komposer bagi kelima-lima lagu.

"Manakala lagu bonus track adalah lagu Magical Moment, duet bersama Az Yet," katanya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai albumnya ini, Jaclyn atau lebih mesra di sapa Jac berkata, pada asalnya dia menyediakan beberapa buah lagu sebagai demo untuk single terbarunya.

Bagaimanapun ketiga-tiga lagu itu disukai oleh ramai dan KRU Music seterusnya membuat keputusan untuk menerbitkan album berbahasa Inggeris.

"Apa yang boleh saya katakan, ketiga-tiga lagu ini saya cipta berdasarkan pengalaman. Idea itu dari pengalaman. Tapi ketika menulis lirik, saya suka membayangkan satu situasi seperti Over and Over adalah sebuah lagu yang catchy seperti lagu 80-an, ia mengisahkan suasana di dalam kelab, di mana dua orang yang pada mula tidak mengendahkan dan kemudiannya saling jatuh cinta.

"Berbeza dengan lagu Delirious, lagu tersebut lebih gelap, bagaimana seorang wanita duduk dalam bilik yang gelap, paranoid. Manakala lagu Sweeter Than A Dream lebih kepada lirik yang bersifat positif. Namun keseluruhannya album ini masih berentak pop," katanya.

Jac berkata, walaupun ada sesetengah pihak menyifatkan lagu yang dinyanyikan Jac senang, namun untuk album kali ini, dia merasakan semua lagu ada cabaran yang tersendiri.

"Orang dengar senang, tapi bagi saya, saya tak suka nyanyi lagu yang senang. Bagi saya setiap lagu ada cabaran tersendiri.

"Macam album ini, ambil masa yang agak lama untuk disiapkan, memandangkan ia akan menembusi pasaran luar, jadi Edry agak teliti dalam proses rakaman dan sebagainya," katanya.


Meniti saat bahagia

Sementara itu, di tebak perihal kehidupannya selepas mendirikan rumah tangga pada 19 Julai lalu dengan penyanyi kumpulan R&B Az Yet, Shawn Rivera, 43, Jac berkata, kehidupannya kini bertambah lengkap.

Ujar Jac, walaupun terpaksa berpisah buat seketika memandangkan Rivera kini berada di Amerika Syarikat (AS) kerana album yang diterbitkannya akan dilancarkan, namun mereka tetap berhubung setiap hari menerusi telefon.

"Agak susah jelaskan kehidupan saya kini, tapi apa yang boleh saya katakan, selepas berkahwin, saya rasa lebih bahagia kerana kini ada orang menjaga saya, malah kehidupan semakin stabil. Pendek kata, rasa seperti sudah dimiliki.

"Shawn (Rivera) baru sahaja pulang ke AS kerana kini dia terlibat dengan penerbitan album dan album tersebut akan dilancarkan.

"Walaupun jauh, ia tidak menjadi masalah buat kami kerana kami akan berhubung menerusi telefon setiap hari, malah dalam sehari dia akan telefon banyak kali.

"Buat masa ini, masing-masing sedang sibuk, kalau saya tak sibuk, saya akan terbang ke AS. Tapi yang pasti, kami akan merayakan Hari Jadi saya dan Hari Natal di sini bersama-sama buat kali keduanya," katanya yang sering memasak buat suaminya itu jika berkesempatan.

Di tanya mengenai perancangan karier bersama suaminya selepas ini, Jac berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berduet dengan suaminya buat masa ini, namun seandainya diizinkan syarikat rakaman, dia bersedia berduet sekali lagi bersama suaminya itu.

"Saya tak berani nak letak sebarang jangkaan kerana saya terikat dengan syarikat rakaman. Andai mereka tawarkan atau berikan keizinan untuk kami berduet, mengapa tidakkan?" katanya.

Tuah nama 'Merpati Putih'

Posted: 23 Nov 2014 06:46 PM PST

  • Tuah nama 'Merpati Putih'

PERNAH menggunakan nama pena, Merpati Putih, bagi Asnidar Shafie, 41, gelaran itu nyata membawa tuah buatnya. Akui Asnidar, dengan nama itulah kariernya dalam bidang penulisan semakin menyerlah, sementelah pernah menyandang gelaran juara ketika menyertai pertandingan sajak sekitar 2000. 

"Saya terlibat dalam dunia penulisan buku secara tidak sengaja apabila didesak kenalan rapat.

"Mulanya saya aktif dengan dunia blogging kemudiannya saya semakin teruja menyertai beberapa siri bengkel anjuran Karangkraf. "Dari situlah saya mengenali dunia baharu ini," katanya.

Yakin peluangnya semakin cerah, Asnidar nekad menghasilkan buku pertamanya, Novelog Mimpi Adif, yang dihasilkan khas untuk golongan kanak-kanak. Sejak itu juga dia selesa menggunakan nama sendiri, berbanding nama pena.

Bercerita mengenai karyanya itu, Asnidar menjelaskan hampir kesemuanya berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya yang berlaku di sekeliling masyarakat.

"Saya suka menyelami isu-isu hangat yang berlaku dalam satu masa. Ada juga kisah yang saya petik dari pengalaman hidup sendiri. Sebagai contoh, saya bawakan kisah penyeludupan dan memperdagangkan kanak-kanak dalam Novelog Mimpi Adif.

"Begitu juga dengan isu penyalahgunaan ubat-ubatan yang bertajuk Isabel Nak Kurus, Mak!," kata wanita kelahiran Kedah ini.

Projek 100 Buku

Dalam pada itu, dia turut berkongsi karya baharunya yang akan dilancarkan bermula Januari depan iaitu Projek 100 Buku.

Katanya, projek ini melibatkan 100 tajuk buku cerita kanak-kanak bergambar yang melalui beberapa proses yang sangat rumit.

"Saya mempertaruhkan buku cerita di bawah tajuk, Beluncas Saya! dan Tentera Kutu.

"Sokongan padu daripada semua untuk projek yang harap dapat menggegarkan dunia buku. Nantikan kemunculannya dan doakan kejayaan saya," katanya yang mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk menghasilkan manuskrip.

Kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang projek ini, boleh mengikuti hashtag projek #100buku atau melayari laman Facebook Unit Teen @Prima & Kids @Prima Grup Buku Karangkraf.

Seret pelajar kerana enggan jalani latihan renang

Posted: 23 Nov 2014 06:43 PM PST


  • Seret pelajar kerana enggan jalani latihan renang

SEORANG pelajar perempuan mengalami detik memalukan apabila seorang guru lelaki bertindak mengheret dan memaksanya untuk masuk ke dalam kolam renang untuk menjalani latihan renang.

Menerusi rakaman telefon bimbit dari rakannya yang berada di tempat kejadian, gadis yang tidak mahu dinamakan itu dikatakan enggan menjalani latihan renang seperti biasa, menyebabkan guru tersebut menarik dan mengheret kedua belah tangannya serta cuba menolaknya masuk ke dalam kolam renang tersebut.

Menurut laporan yang dipetik melalui portal berita Metro.co.uk, gadis berusia 14 tahun dipercayai enggan menjalani latihan pada hari tersebut kerana baharu sahaja membuat rawatan rambut.

"Saya sangat kecewa dengan tindakan dia (guru lelaki tersebut). Ia buat saya rasa mahu menangis bila saya lihat video itu.

"Saya rasa malu dan marah kerana dia memperlakukan saya sebegitu di hadapan semua pelajar. Dia juga telah sentuh saya," kata pelajar itu seperti yang dipetik melalui laporan portal tersebut.

Menerusi rakaman telefon bimbit durasi 95 saat, mangsa dilihat diheret ke kolam renang oleh gurunya sementara rakan-rakannya yang lain cuba menghalang dan membantunya dengan memaut lengan dan tangan pelajar itu.

Berang dengan tindakan guru yang menyentuh dan mengheret remaja terbabit, keluarga pelajar akhirnya tampil membuat laporan.

"Kita (ibu bapa) tidak akan terfikir seorang guru akan melakukan tindakan seperti itu kepada anak kita bila anak kita ke sekolah," luah ibu pelajar tersebut.

Guru lelaki, Denny Peterson kini berhadapan dengan tindakan tatatertib dan undang-undang membabitkan pelanggaran undang-undang dan mendatangkan kecederaan kepada pelajar.

Peterson juga dikatakan bakal di saman oleh keluarga pelajar terbabit.

'Kelahiran Norsyafiqah istimewa'

Posted: 23 Nov 2014 06:37 PM PST

  • Norsyafiqah (tengah) bersama ibu bapanya hadir pada Majlis Sambutan Hari Bayi Pramatang Sedunia 2014 peringkat HPSF, di sini, baru- baru ini.Norsyafiqah (tengah) bersama ibu bapanya hadir pada Majlis Sambutan Hari Bayi Pramatang Sedunia 2014 peringkat HPSF, di sini, baru- baru ini.

MUAR – Melihat bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (bayi pramatang) membesar dengan sihat adalah kegembiraan dan pengalaman berharga buat pasangan suami isteri terlibat.

Bagi Norhasini Ishak, pelbagai pengalaman dilalui bermula ketika isterinya, Mariam Othman mengandungkan anak bongsu mereka, Norsyafiqah sehingga kelahirannya pada 8 Mac 2004 di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Norhasini yang juga Guru Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat, Jalan Salleh berkata, Norsyafiqah merupakan bayi pramatang paling kecil yang dilahirkan di HPSF serta menjalani rawatan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) hospital berkenaan.

"Norsyafiqah terpaksa dilahirkan awal melalui proses pembedahan akibat masalah tekanan darah tinggi dihadapi isteri sepanjang kehamilan.

"Dia dilahirkan pada usia kandungan 28 minggu dengan berat 505 gram dan perlu menjalani rawatan di NICU kira-kira 100 hari," katanya selepas Majlis Sambutan Hari Bayi Pramatang Sedunia 2014 peringkat HPSF, baru-baru ini.

Norhasini berkata, sokongan keluarga dan pihak hospital terutama doktor serta jururawat menjadikannya kuat dan tabah berhadapan situasi kelahiran anaknya itu.

Menurutnya, dia lega apabila Norsyafiqah menunjukkan perkembangan baik dengan pertambahan berat badan kepada 1.6 kilogram pada usia tiga bulan.

"Masa Norsyafiqah empat bulan, sekali lagi saya cemas apabila dia salin kulit yang mana kebiasaannya proses ini berlaku ketika bayi dalam kandungan.

"Memang sangat mencabar, setiap hari saya dan isteri akan sapukannya  krim khas diberikan pihak hospital," katanya.

Norhasini berkata, penjagaan Norsyafiqah sedikit rumit berbanding tiga anaknya yang lain kerana antibodinya lemah dan mudah terkena penyakit serta perlu segera dirujuk ke klinik apabila sakit atau demam.

Guru diarak naik kereta klasik

Posted: 23 Nov 2014 06:34 PM PST


  • Kamaludin diarak menaiki kereta klasik pada majlis persaraannya.Kamaludin diarak menaiki kereta klasik pada majlis persaraannya.

SEGAMAT - Sebagai mencipta kelainan majlis persaraan wajib seorang pembantu guru besar pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sepinang, di sini, beliau diraikan dengan menaiki kereta klasik Forris Minor 1954.

Kamaludin Mohd Isin, 56, yang juga guru cemerlang berkata, mengakhiri kerjaya selama 32 tahun bukanlah sesuatu yang menyedihkan baginya, tetapi apabila memikirkan dia akan semakin jauh dengan pelajar, hatinya mudah tersentuh.

"Bimbinglah generasi kini tanpa jemu kerana pelajar dan ibu bapa sentiasa percaya perubahan sikap dan masa hadapan bermula dari zaman persekolahan. Tugas kita sebagai guru adalah mendidik dengan ikhlas.

"Walaupun ada masalah, tangani ia dengan bijak tanpa menjejaskan hubungan baik bersama masyarakat sekeliling kerana tidak dinafikan sepanjang perkhidmatan saya ini terlalu banyak pengalaman yang diperoleh," katanya ketika berucap pada majlis di dewan sekolah itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai guru, beliau hanya mengajar di dua sekolah iaitu SK Sungai Dua, Sarawak, selama tujuh tahun kemudian di SK Sepinang sebagai guru Bahasa Malaysia selama 25 tahun.

Bapa tiga anak itu berkata, beliau adalah guru paling lama berkhidmat di sekolah berkenaan dan salah seorang anak muridnya kini menantunya.

"Walaupun sekolah ini dikategorikan sekolah kurang murid dengan hanya 121 pelajar, saya harap semua pelajar dapat terus belajar bersungguh-sungguh, meningkatkan disiplin diri dan menghormati guru," katanya.

Mesin potong rumpai ciptaan DBKL

Posted: 23 Nov 2014 06:30 PM PST


  • Ahmad Phesal (kiri) melihat keberkesanan fungsi mesin potong rumpai ketika ujian cubaan dibuat di Taman Tasik Titiwangsa selepas pelancarannya, kelmarin.Ahmad Phesal (kiri) melihat keberkesanan fungsi mesin potong rumpai ketika ujian cubaan dibuat di Taman Tasik Titiwangsa selepas pelancarannya, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mereka cipta mesin pemotong rumpai yang juga merupakan sistem pertama dibangunkan di rantau Asia Tenggara, hasil idea inovasi kakitangannya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya sendiri sebelum ini berdepan masalah dengan pertumbuhan rumpai yang begitu cepat di tasik rekreasi sehingga menjejaskan aktiviti tasik.

Bagaimanapun menurutnya, menerusi mesin dinamakan 'Weed Buster' ini, kerja-kerja pembersihan rumpai dapat dilaksanakan dengan lebih mudah serta menjimatkan kos dan masa bagi penyelenggaraan tasik.

"Kita bangunkannya secara prototaip dengan kos RM200,000 yang direalisasikan oleh Axis Stream Sdn Bhd.

"Ia berupaya memotong rumpai di kedalaman satu meter di bawah paras air namun kita akan lihat balik agar kedalamannya ditingkatkan. Dalam masa sama ia berupaya membawa naik sebanyak 500 kilogram rumpai setiap kali pembersihan dibuat," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Idea Inovasi 'Weed Buster', di Taman Tasik Titiwangsa, kelmarin.

'Weed Buster' direka cipta oleh Kumpulan Inspiration  yang juga pemenang tempat pertama anugerah inovasi sempena Hari Inovasi peringkat DBKL pada 2013, terdiri daripada dua kakitangan wanita dari Jabatan Lanskap dan Rekreasi iaitu Pegawai Pertanian, Norliana Jamalludin dan Penolong Pegawai Tadbir Kanan, Latipah Saad.

Ahmad Phesal menambah, Weed Buster telah dipatenkan di Perbadanan Harta Intelek.

"Ia sudah boleh dikomersialkan sekiranya ada berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat cara penggunaannya," katanya.

Siput gondang penawar buasir

Posted: 23 Nov 2014 06:27 PM PST


  • Nordiana menunjukkan isi siput gondang untuk merawat buasir.Nordiana menunjukkan isi siput gondang untuk merawat buasir.

BENTONG - Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa siput gondang bukan sahaja enak dimakan malah turut menjadi penawar buasir.

Seorang peniaga, Nordiana Shahbuddin, 33, berkata, siput ini mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana rasanya yang enak dan berkhasiat.

Menurutnya, namun begitu, kebelakangan ini siput semakin sukar diperoleh di pasaran kerana tidak ramai dalam kalangan peniaga yang mencarinya.

"Ia bergantung kepada peniaga itu sendiri, macam kami orang kampung, kami akan pergi ke anak-anak sungai untuk mencarinya.

"Walaupun tidak semua orang tahu cara untuk makan siput ini, tapi masih ada segelintir yang tahu akan khasiatnya lalu mencari siput ini untuk tujuan perubatan," katanya.

Nordiana berkata, siput gondang sememangnya dikenali masyarakat kampung sebagai ubat tradisional untuk buasir sejak dahulu lagi.

"Rasanya seakan-akan pedal ayam, namun lebih enak dan kebiasaannya ia dimasak gulai lemak cili api atau goreng berlada.

"Namun untuk mengubati buasir, siput ini kebiasaannya dibakar terlebih dahulu, kemudian dimakan begitu sahaja," katanya.

Katanya, siput yang lebih mudah diperoleh terutama ketika musim tengkujuh ini menjadi sumber rezeki buatnya untuk menyara keluarga.

"Saya jual siput gondang pada harga RM5 sepinggan di Pasar Awam Bentong yang dibuka setiap hari kecuali Isnin.

"Inilah sumber pendapatan harian saya selain turut menjual produk kampung lain seperti kijing dan sayuran kampung," katanya.

Nordiana menunjukkan isi siput gondang untuk merawat buasir.

MH17 'pembunuhan beramai-ramai yang dirancang'

Posted: 23 Nov 2014 06:16 PM PST

  • mh17

SHAH ALAM -  Tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan kru disifatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Emirates Airline, Sir Timothy Charles Clark sebagai 'pembunuhan beramai-ramai yang dirancang'.

Oleh itu Clark berkata, beliau berharap dalang yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu di bawa ke muka pengadilan supaya mereka dikenakan hukuman sewajarnya atas tindakan itu.

"Kapal terbang tersebut ditembak jatuh. Ada yang menyatakan ia satu kemalangan, tapi saya tidak mempercayainya. Kapal terbang itu ditembak dengan pengetahuan sepenuhnya apa yang dilakukan.

"Pihak Belanda menyatakan bahawa insiden ini adalah satu tindakan jenayah dan pelakunya perlu dibicarakan di mahkamah antarabangsa.

"Ia memang jenayah. Saya menyifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai yang dirancang dan dalang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan." kata Clark dalam satu temu bual bersama wartawan Andreas Spaeth yang diterbitkan di Sydney Morning Herald.

Mengulas lanjut, Clark berkata, tragedi MH17 perlu menjadi satu 'game changer' kepada industri penerbangan di mana perlu ada perkongsian maklumat yang lebih baik supaya syarikat penerbangan boleh memilih laluan penerbangan yang selamat.

"Komuniti syarikat penerbangan kadang-kadang perlu melalui zon-zon konflik dan ada yang terus mengelakkan kawasan tersebut. Setakat ini, kami telah hentikan penerbangan ke Erbil, Damsyik dan Tripoli.

"Terbaru kami hentikan penerbangan ke Sana'a dan kami masih menimbangkan kemungkinan penghentian penerbangan ke atas Peshawar, Pakistan juga.

"Pengurusan penerbangan perlu mengimbangi perkara sebegini sepanjang masa. Jadi, kerja ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan jika kami mendapat lebih maklumat," katanya

Emirates telah menghentikan penerbangan menerusi ruang udara Iraq semenjak kejadian MH17.

Sementara itu, apabila ditanya tentang masa hadapan  MAS, Clark berkata, cabaran yang dihadapi MAS sangat berat kerana setakat ini tiada syarikat penerbangan yang mendepani dua tragedi berturut-turut dalam tempoh beberapa bulan.

Oleh itu, katanya buat masa ini MAS mungkin perlu menilai semula modal perniagaan mereka dan mempertimbang untuk menjenamakan semula syarikat.

"Malaysia Airlines melambangkan jenama Malaysia. Ia merupakan duta perniagaan (Malaysia). Sememangnya amat sukar untuk mendepani stigma. MAS perlu menilai semula modal perniagaan dan penjenamaan semula."

"Industri penerbangan tidak harus duduk dan melihat (MAS) 'hilang' berikutan dua insiden tersebut. Kami perlu cuba menolong mereka mendepani masalah-masalah yang dihadapi." katanya.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.

Harga minyak: KJ jawab pakar ekonomi mi segera

Posted: 23 Nov 2014 06:13 PM PST


  • Harga minyak: KJ jawab pakar ekonomi mi segera

SHAH ALAM - Lantaran kemunculan ramai pakar ekonomi mi segera yang tidak memahami cara mengira harga petrol, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini melalui laman Facebooknya menjelaskan perkara itu.

Khairy berkata, ramai pengguna laman Facebook yang hanya tahu berkongsi sesuatu perkara terutamanya mengenai teori kenaikan harga minyak ini tanpa mengambil kira fakta dan kesahihan maklumat tersebut.

"Contoh pakar mi segera seperti gambar di bawah. Dengan penuh keyakinan beliau kata "ini fakta..." Saya juga yakin ramai yang membaca post tersebut dan terus share secara membuta tuli tanpa sebarang usul periksa. "Mesti mamat ni betul." "Logik juga dia tulis."

"Apa yang beliau tulis itu salah sebab harga minyak dunia itu yang diambil sebagai contoh adalah harga minyak mentah. Untuk pengetahuan semua, petrol yang kita guna untuk kenderaan kita bukan minyak mentah. Itu minyak yang sudah diproses, ditapis, diangkut, diedar, diniaga dan lain-lain.," katanya.

 Mengulas lanjut, Khairy berkata, fakta yang dibawa oleh 'pakar ekonomi'  itu adalah tidak  betul.

 "Kalau beliau konfiden dengan 'fakta' beliau, saya sarankan beliau mengisi kenderaannya dengan minyak mentah. Tengok jauh mana boleh jalan.

"Mungkin di sini ada yang nak tulis, "OK lah KJ. Jangan sembang je bro. Tunjuk lah cara nak kira petrol ni." katanya lagi .

Untuk itu Khairy berkata, harga petrol di Malaysia dikira mengikut formula yang dikenali sebagai Automatic Pricing Mechanism atau APM dan beliau menunjukkan cara pengiraannya.

  Untuk menguatkan lagi hujahnya Khairy berkata 'pakar ekonomi' atau mana-mana pihak boleh merujuk penjelasan yang sama dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Kita guna formula di atas, purata harga MOPS untuk RON95 dari 1 hingga 19 November adalah 195.15 sen. Campur dengan kos lain diatas = 226.88 sen atau kurang lebih RM2.27. Maksudnya, bila kita apungkan harga petrol pada 1 Disember dan tren penurunan harga pasaran minyak berterusan, ada kemungkinan besar harga petrol RON95 turun. Subsidi dijimat, harga pun boleh turun.

"Kesimpulannya, semak semua 'fakta' dulu. Jangan cepat share. Think first," tulisnya.

Nostalgia Hati Emas dirungkai

Posted: 23 Nov 2014 06:09 PM PST




"Aku bosan dengan lagu cinta yang mendayu-dayu, lagu itu buat masyarakat kita lemah. Aku mahu buat lagu untuk rakyat, sekali gus memperjuangkan akar Melayu kita." Itulah bait kata yang terngiang di kepala tatkala menunggu konsert bersejarah kumpulan legenda Kembara di Panggung Sari Istana Budaya 'memecahkan' Istana Budaya malam 20 November lalu.
Bait kata tersebut dipetik dalam sebuah filem Kembara Seniman Jalanan yang diterbitkan pada tahun 1986. Watak Jebat yang dilakonkan oleh M. Nasir pada ketika itu mempamerkan prinsip vokalis kumpulan tersebut apabila berbincang mengenai muzik.
Jebat yang bermula sebagai seorang pemain muzik jalanan berjuang dengan muzik rakyat menghiburkan setiap manusia yang lalu-lalang. Kaki lima Kompleks Pertama, Kuala Lumpur dan ba­ngunan Dayabumi menjadi saksi kepada perjuangan seorang wira seni.
Demam cetak rompak yang tiada kesudahan pada ketika itu menjadi musuh utama Jebat dalam perjuangannya. Kelesuan itu membuatkan dirinya mahu bangkit memartabatkan industri muzik ke satu tahap yang lebih tinggi tanpa melupakan asal-usul adat Nusantara.
Begitulah, sejarah yang dibuku ringkas dalam bentuk filem mengenai jasa yang ditabur oleh vokalisnya, Datuk M. Nasir serta kumpulan kembara terhadap industri seni muzik negara.
Kumpulan ini bukanlah sebuah band biasa, sebaliknya tidak keterlaluan jika dilabelkan sebagai pencetus revolusi dan pembawa suara rakyat melalui karya-karya mereka. Kumpulan ini betul dipandang sebagai seorang perwira pada era 80-an.

SUDAH berusia 28 tahun, Kembara membuktikan usia yang makin 'tua' bukan satu lambang buat mereka tidak lagi mampu beraksi dengan baik. Sebaliknya, 'tua' mereka penuh kredibiliti yang tidak mungkin ada pada kumpulan generasi baharu sekarang.


Keriuhan dek ratusan peminat yang datang seawal pukul 7 malam membuktikan keterujaan mereka me­nunggu saat konsert bermula. Melihat wajah-wajah yang hadir pada malam pembukaan konsert tersebut, jelas terpancar rasa dahaga mereka yang ingin melihat Kembara beraksi setelah hampir satu dekad kumpulan itu tidak beraksi di Malaysia.
Mengambil tempat masing-masing pada pukul 8.30 malam, hampir setiap ruang lompong kerusi dalam panggung Sari Istana Budaya dipenuhi. Masing-masing ingin menjadi sebahagian daripada sejarah yang ingin dicipta bersama kumpulan pujaan mereka.
Tepat pukul 9 malam, kanvas putih yang menutupi ruang depan pentas disingkap perlahan-lahan, dalam samar-samar, muncul kumpulan le­genda itu yang dikepalai oleh M. Nasir, A.Ali (Hamdan Atan) S. Sahlan (Ros­lan Tajuddin), Md. Shah, Che Man dan Zoul melalui pentas hidraulik.
Tampil ringkas mengenakan kemeja berkolar berona merah sulaman label British India, Tanpa berbicara, figura itu terus menyampaikan lagu hit sepanjang zaman berjudul Ekspres Rakyat.
Penonton yang tidak mampu menahan keterujaan bagaikan dirasuk semangat perjuangan wira itu apabila kesemuanya dilihat menggerakkan bibir turut ikut menyanyi bersama.
Walaupun kedengaran judul lagu tersebut agak ganjil, namun bas eks­pres rakyat merupakan pengangkutan utama masyarakat ketika itu.
Adrenalin konsert diteruskan lagi dengan beberapa buah lagu kerakyatan yang menjadi asas utama konsep perjuangan kumpulan itu. Lagu se­perti Impian Anak Jalanan, Siapa Orang Kita dan Sesat di Kuala Lumpur menjadi santapan buat penonton yang hadir.

Zoul (kiri) dan S.Sahlan dalam salah satu aksi mereka menerusi Konsert Hati Emas Kembara berlangsung sukses di Istana Budaya, minggu lalu.


Secara jelasnya, tempoh 28 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat namun, gabungan penyanyi tersebut bersama kumpulan asal Kembara menggamit kembali nostalgia kegemilangan kumpulan ini.
"Bagaikan baru semalam kumpulan ini (Kembara) ditubuhkan, masa berlalu begitu pantas tanpa sedar 28 tahun Kembara berdiri sebagai sebuah kumpulan memperjuangkan irama Nusantara," lontar M.Nasir usai menyampaikan lagu Sesat Di Kuala Lumpur.
Kesinambungan konsert diteruskan lagi dengan nukilan berjudul Ada Sepasang Mata. Lagu yang disampaikan oleh salah seorang anggota asal kumpulan tersebut, A.Ali begitu puitis maksudnya. Ditambah pula dengan kenyaringan vokalnya, membuktikan beliau masih mampu menyampaikan lagu tersebut dengan sempurna.
Tidak membiarkan penonton me­nunggu lama, mata audien yang hadir terus tertancap kepada susuk tinggi lampai yang dikenali sebagai Zoul. Terus menyanyikan lagu berjudul Bas No.13, Zoul menyampaikan lagu tersebut dengan gaya yang tersendiri berlainan dengan abangnya, M. Nasir.
Sinergi konsert diteruskan dengan beberapa buah lagu termasuk Kolar Biru, Nusantara dan Rupa Tanpa Wajah. Lagu-lagu ini pernah menjadi saksi kemunculan awal kumpulan ini sekitar awal tahun 80-an.
Energi yang dilontarkan melalui vokal luar biasa M. Nasir cukup me­ngagumkan sehingga mampu membuatkan penonton bersorak setiap kali selesai persembahan.
Memasuki segmen ketiga konsert, M. Nasir terus membawa penonton larut dalam emosi melalui lagu-lagu balada yang disampaikan. Lagu se­perti Malam, Oh Bulan, Kiambang te­rus membuai keasyikan penonton.
Ruang konsert bertukar menjadi gamat apabila lagu Keroncong untuk Ana dan Kepadamu Kekasih diperde­ngarkan. Sorakan itu membuktikan lagu tersebut menjadi titik tumpuan pendengar apabila bercerita mengenai seleksi pilihan lagu Kembara.

A.ALI turut mendendangkan sebuah lagu yang mempamerkan mutu vokalnya masih baik.


Barangkali, ia saat paling indah dalam konsert berkenaan kerana ke­dua-dua lagu berkenaan disampaikan M. Nasir dengan penuh penghayatan sehingga berjaya menyentuh perasaan penonton.
Sentuhan lagu Kepadamu Kekasih yang disulam dengan bunyi trumpet berjaya mengubah susunan muzik lagu tersebut menjadi sedikit moden. Ternyata pengalaman meniup trumpet oleh Jaring diluahkan sepenuhnya dalam konsert tersebut.
Menambahkan lagi rencah dalam konsert tersebut, bantuan pemuzik instrumental yang diketuai oleh pe­ngarah muzik Zamberi Shah atau Bombay ternyata berjaya memberi nafas baharu dalam setiap rangkap-rangkap lagu yang disampaikan.
Konsert pada malam itu turut di­iringi oleh 12 pemuzik dan empat pe­nyanyi latar, Secara keseluruhannya Kembara menyampaikan 27 buah lagu yang diambil daripada album-album hebat mereka.
Berkongsi perjalanan mereka terutama pada awal kemunculan sebagai penyanyi di Malaysia, M. Nasir bijak mencuri perhatian penonton dengan jenaka dan kisah sebenar di sebalik penubuhan kumpulan Kembara.
Tidak membiarkan penonton terbuai terlalu lama dengan lagu balada,beliau kembali bertenaga de­ngan menyampaikan lagu rancak seperti Kutu, Duit, Hati Emas.
Tepat pukul 11.30 malam, konsert tersebut melabuhkan tirai dengan persembahan sebuah lagu epik kumpulan itu yang pernah dinyanyikan semula oleh Datuk Hattan berjudul Gerhana.
Secara keseluruhan, konsert ini di­lihat sebuah untaian kisah perjalanan kumpulan Kembara. Segala tanda soal mengenai kumpulan ini terjawab secara lengkap sepanjang tiga jam konsert tersebut berlangsung. Biarpun ia disampaikan dalam sebuah kembara muzik, namun isi kembara itu dapat divisualkan dengan jelas dan dapat dihadam dengan baik oleh semua penikmatnya. Selamat terus mengembara, Kembara.


Konsert tetap diteruskan

Posted: 23 Nov 2014 06:07 PM PST


AMY mengakui kesal dengan syarikat-syarikat korporat yang enggan menaja Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014 pada 4 Disember depan, namun positif dan optimis konsert tersebut mendapat sambutan hangat peminat.


Dalam iklim industri hiburan, tidak semua konsert berbayar berskala mega berjaya direalisasikan dalam nafas lega. Faktor kewangan dan kurangnya sokongan sektor korporat yang terpanggil terbabit selaku penaja menjadi keluh resah yang berpanjangan.
Suatu masa, ada penggiat industri menyalahkan kemasukan penyanyi dari Indonesia sebagai punca diskriminasi terhadap artis tempatan. Konsert-konsert percuma juga pernah dikatakan menyumbang kepada musnahnya keyakinan karyawan muzik untuk mengambil risiko penganjuran konsert besar.
Situasinya begitu, tetapi pada masa yang sama, masih ada pihak yang berani mengambil risiko untuk menganjurkan konsert. Sepanjang tahun, ada sahaja konsert artis tempatan berlangsung di lokasi-lokasi tertentu. Sukar untuk memenuhkan stadium, Istana Budaya menjadi alternatif yang mampu memaksimumkan kepuasan.
Istana Budaya sendiri sudah menjadi 'pentas rasmi' untuk Wings, Datuk Jamal, Datuk Ramli Sarip, Datuk M. Nasir dan terkini Kembara. Akan datang, kumpulan le­genda Search juga sudah menandakan kalendar konsert hujung tahun dengan Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014.
Bakal mencipta sejarah buat grup yang sudah 33 tahun memperjuangkan rentak rock itu, namun nama yang gagah dan pengaruh besar kumpulan yang dianggotai oleh Amy, Din, Kid, Nasir dan Yazid itu tidak terlepas daripada kelesuan sokongan sektor korporat untuk turut serta sebagai rakan penaja.
Tinggal tidak sampai 10 hari menjelang tirai pembukaan pada 4 Di­sember nanti, konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn. Bhd., itu sebenarnya akan diteruskan tanpa bantuan penaja utama.

Kumpulan Search bersama band iringan, Paladin, yang akan beraksi di Istana Budaya pada 4 Disember depan menerusi konsert julung-julung kali band rock itu dalam siri Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014.


Search bukan kumpulan biasa, muzik mereka sudah menawan rumpun Nusantara termasuklah Si­ngapura, Brunei dan Indonesia. Persoalannya, kenapa nama segah itu pun masih sukar untuk mendapat kerjasama daripada sektor korporat.
"Saya pelik juga, kenapa susah sangat untuk kami dapat sokongan penajaan. Kata nama besar, tapi tak banyak pihak yang peduli dalam bab-bab begini," luah vokalis Search, Amy kepada Kosmo!.
Kali terakhir membikin konsert, Search pernah menzahirkan Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Mines Convention Centre, Seri Kembangan, Selangor, tiga tahun lalu.
Tidak menya­lahkan syarikat penganjur konsert atas kegagalan meraih sokongan penajaan, Amy sendiri maklum bahawa pihak UCS sudah menjalankan kerja dengan sebaik mungkin.
"Perancangan konsert sudah berjalan agak lama, tetapi setiap kertas kerja yang dihantar kepada pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja, tetapi maklum balas yang diterima tidak seperti yang diharapkan," ujar Amy kecewa.
Tidak membiarkan dilema penajaan meranapkan semangat untuk Search beraksi buat pertama kali di Istana Budaya, kumpulan itu sudah giat menjalani sesi latihan.
"Konsert tetap berjalan, apabila sudah habis nanti, habislah. Setakat ini, jualan tiket juga tiada masalah. Cuma, kami mengharapkan penajaan agar dapat memberikan kesempurnaan. Penajaan pihak juga satu bentuk publisiti ke atas jenama yang kami bawa," jelas Amy.
Memperhebatkan kemunculan sebuah grup berusia tiga dekad itu, Search memilih untuk membawakan kumpulan rock cello tempatan, Paladin untuk bersama-sama memperkaya rock moden dan klasik sepanjang konsert berkenaan.
"Saya mencari kelainan dalam persembahan kali ini. Setelah berbincang dengan penganjur, saya memilih Paladin untuk bersama kami di pentas. Mereka bukan pemain cello yang hanya duduk di atas kerusi, mereka benar-benar boleh menyampaikan persembahan," tambah Amy yang mahu lari daripada kebiasaan menghidangkan penonton dengan konsep konsert rock bersama orkestra penuh seperti yang kerap dilakukan sebelum ini.
Tiket-tiket konsert berharga RM109, RM209, RM309, RM409 dan RM799 masih dijual secara atas talian di www.ticketpro.com.my.
Sebahagian daripada kutipan jualan tiket konsert ini juga akan disalurlan kepada tabung bantuan penduduk di Gaza dan pemain drum Search, Yazit berdepan penyakit kegagalan fungsi buah pinggang.


Facebook mahu terbit akhbar digital

Posted: 23 Nov 2014 06:02 PM PST





TENNESSEE, Amerika Syarikat – Laman sosial popular dunia, Facebook bakal menerbitkan akhbar digital kepada lebih berbilion pengguna laman tersebut, sekali gus bakal memberi saingan kepada agensi media tradisi.
Langkah itu diambil sejajar dengan peningkatan penggunaan media sosial selain masyarakat masa kini yang telah beralih mendapatkan maklumat melalui media digital.
Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam satu forum pada awal November lalu berkata, beliau bercita-cita untuk menjadikan Facebook sebagai medium berita dan akhbar terbaik kepada setiap individu di dunia.
Katanya, sebelum ini akhbar menyediakan maklumat yang sama kepada semua pembaca tetapi Facebook boleh menyesuaikannya mengikut minat seseorang selain membawa pelbagai berita dari seluruh dunia, aktiviti komuniti dan berita terkini mengenai rakan atau keluarga.
"Pendekatan yang dibawa oleh Facebook berbeza dengan akhbar. Sama ada usaha itu suatu yang baik atau buruk, ia merupakan sesuatu yang akhbar tradisi tidak dapat lakukan," kata bekas editor akhbar USA Today, Ken Paulson yang kini bertugas sebagai Dekan Fakulti Komunikasi Universiti Middle Tennessee.
Berita yang bakal dipaparkan oleh Facebook kelak tidak lagi ditentukan oleh wartawan, sebaliknya mengikut kecenderungan dan minat seseorang pengguna Facebook itu sendiri.

FACEBOOK yang merupakan laman sosial paling popular bakal menerbitkan akhbar sendiri kepada penggunanya.


Perkara ini dilihat mungkin akan memberi impak besar kepada masyarakat kewartawanan, namun pakar-pakar media berpendapat, konsep berita Facebook adalah lebih kepada menyampaikan apa yang seseorang mahukan.


Ikan aneh ditemui di California

Posted: 23 Nov 2014 06:00 PM PST



Ikan ini dianggap luar biasa memandangkan mampu mengeluarkan sejenis cahaya untuk menarik perhatian mangsa. 


SACRAMENTO – Sejenis ikan yang dikenali sebagai Black Seadevil dikesan buat kali keenam dalam sejarah di sebuah perairan di sini, lapor Daily Mirror semalam.
Pusat Penyelidikan Akuarium, Monterey Bay yang merakam gambar hidupan laut itu berkata, haiwan itu merupakan sejenis spesies ikan yang luar biasa.
Ikan yang hidup di laut dalam Monterey Canyon itu memiliki wajah yang menakutkan selain boleh mengeluarkan cahaya untuk menarik perhatian mangsanya.
Malah, ikan itu akan menangkap mangsanya dengan menikam menggunakan sebatang sengat tajam yang keluar daripada kepalanya. Sengat itu mirip seperti mata kail.
Lazimnya, ikan pelik itu makan ikan-ikan lain yang lebih kecil dan sotong dengan menyambar menggunakan gigi yang tajam.

Ikan ini memiliki wajah yang menakutkan


Sementara itu, seorang saintis Pusat Penyelidikan Akuarium, Monterey Bay, Dr. Bruce Robison berkata, ikan itu merupakan antara ikan yang paling jarang ditemui di laut dalam.
"Walaupun kelihatan mengerikan, namun ikan itu hanya sepanjang 8.8 sentimeter," katanya.
Gambaran mengenai ikan itu dirakam secara video buat pertama kali di sebuah laut dalam pada awal bulan ini.


Seni kombinasi aksi akrobatik

Posted: 23 Nov 2014 05:57 PM PST




SETIAP kali mempunyai masa terluang, Mohd. Ata' Aillah Aman Shah, 21, pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menonton laman perkongsian video, YouTube.
Pada suatu hari, ketika sedang asyik melayari laman tersebut, dia terpandang sebuah video berdurasi empat minit lima saat.
Video bertajuk tricking style (seni bela diri) itu menampilkan beberapa individu sedang melakukan aksi ekstrem hasil kombinasi sepak, lipat dan putar di jalanan.
Video berkenaan meninggalkan impak yang besar dalam hidup anak kelahiran Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur itu.
Apa tidaknya, selepas menonton video tersebut, timbul minat dalam diri Mohd. Ata' untuk cuba melakukan aksi-aksi yang ditontonnya itu.
"Saya mula berkecimpung dalam dunia tricking sejak tahun 2007.
"Sebagai remaja, naluri untuk mencuba sesuatu yang luar biasa ketika itu sentiasa membuak-buak," kata penuntut Politeknik Shah Alam, Selangor dalam jurusan kejuruteraan itu.
Helah seni bela diri atau lebih dikenali sebagai tricking merupakan kombinasi aksi akrobatik yang berasal daripada karate, capoeira, wushu, taekwondo dan kalarippayattu. Ia selalunya dimainkan di atas permukaan landai seperti padang, lantai simen dan jalan.
Menurut anak ketiga daripada enam adik-beradik itu, pada awal pembabitannya dalam dunia tricking, tidak ramai anak muda di negara ini yang menceburi sukan ekstrem berkenaan.
Bersendirian
Ketika itu, kebanyakan mereka lebih gemar kepada sukan ekstrem seperti papan selaju, basikal BMX, parkour dan senaman palang.
Situasi itu memberi kesukaran kepada Mohd. Ata' kerana dia terpaksa belajar memahirkan diri melakukan pergerakan dalam tricking secara bersendirian menerusi video.
"Dahulu, orang yang bermain sukan ini boleh dikira dengan jari.
"Jadi, setiap pergerakan yang ingin dilakukan hanya berpandukan kepada video dalam YouTube semata-mata" katanya sambil memaklumkan, bagi memahirkan diri dalam satu-satu pergerakan ia memerlukan masa selama enam bulan.

Tricking bukan sahaja hobi yang menyihatkan, malah mampu menjana pendapatan sampingan kepada trickers iaitu sebagai pelakon aksi.


Bagi bergelar pemain tricking atau tricker yang berjaya, seseorang individu itu perlu menguasai beberapa pergerakan asas sukan tersebut iaitu sepak, lipat dan putar.
Selepas berjaya menguasai pergerakan tersebut, barulah seseorang tricker itu boleh mendalami pergerakan seperti tendangan 540, cheat 720, jack knife, Raiz dan lain-lain.
Sepanjang tempoh penglibatannya dalam tricking, Mohd. Ata' tidak lari daripada menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.
Antaranya, patah tangan kanan sewaktu mencuba aksi flip di atas permukaan padang basah.
"Kejadian itu berlaku pada tahun 2008 ketika saya dan kawan-kawan berlatih di padang sekolah.
"Bagaimanapun, kejadian berkenaan tidak mematahkan semangat saya kerana ia lumrah bagi penggemar sukan ekstrem," katanya sambil menunjukkan parut jahitan sepanjang 10 sentimeter di tangan kanannya.
Walaupun sukan ekstrem di negara ini majoritinya dikuasai oleh golongan lelaki, wanita juga tidak terkecuali untuk terlibat dalam tricking.
Salah seorang tricker wanita, Samantha Kok Juan Yen, 20, berkata, dia mula menceburkan diri dalam sukan tersebut sejak tiga bulan lalu.
Menurut anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, matlamat utamanya menyertai tricking adalah untuk memastikan tubuh badannya sentiasa cergas.
"Tricking merupakan salah satu acara sukan yang mampu mengeluarkan peluh dengan banyak.

Trickinglazimnya dilakukan di atas permukaan landai.


"Jadi, ia mampu membantu menyihatkan tubuh dan menurunkan berat badan saya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Gimnasium
Ujar pelajar Universiti Sunway, Subang Jaya itu, dia akan menghabiskan masa selama dua hingga tiga jam seminggu untuk memahirkan diri dalam pergerakan tricking.
Samantha menambah, dia lebih selesa melakukan latihan di gimnasium Art Of Extreme Movement (AOXM), Sunway, Selangor berbanding tempat lain.
"Sebagai pendatang baharu dalam sukan ini, saya selesa berlatih di gimnasium kerana ia lebih selamat.
"Saya juga mendapatkan bantuan jurulatih dengan yuran bulanan RM80. Ia bagi membantu memudahkan saya mempelajari setiap pergerakan dalam tricking," katanya.
Ujar Samantha, walaupun tidak ramai wanita di negara ini menceburi sukan tricking, ia bukan halangan kepada dirinya.
Ujar gadis bertubuh langsing itu, wanita yang ingin mencuba sukan tersebut perlu mempunyai minat mendalam atau sekurang-kurangnya asas dalam seni mempertahankan diri, gimnastik dan tarian.
"Sukan ini tidak terhad kepada lelaki sahaja, kaum wanita dan kanak-kanak juga boleh turut serta.
"Dengan semangat yang ada dan latihan mencukupi, kaum wanita juga mampu melakukan semua aksi yang dilakukan oleh lelaki," katanya.
Sementara itu, jurulatih tricking di AOXM , Muhammad Lokman Hakim Abdullah, 24, berkata, sukan itu tidak mempunyai banyak perbezaan dengan sukan ekstrem lain seperti parkour atau senaman palang.
Menurut anak kelahiran Cheras itu, ia cuma dibezakan dengan objek sekeliling yang digunakan untuk menjayakan sesuatu aksi.
"Tricking lazimnya dilakukan di atas permukaan yang landai.
"Ia berbeza dengan parkaur dan senaman palang yang menjadikan bangunan dan palang besi sebagai platform untuk melakukan pergerakan," katanya yang mempunyai pengalaman hampir lima tahun dalam tricking.

Tricking mula memasuki negara ini pada tahun 2007.


Ujarnya lagi, walaupun sukan yang memerlukan kekuatan kaki itu masih baharu di Malaysia, jumlah komunitinya telah mencecah hampir 150 orang di seluruh negara.
Potensi besar
Angka tersebut jelas menunjukkan bahawa tricking mempunyai potensi besar untuk berkembang pada masa hadapan.
"Kami membuka laman sosial Facebook dengan Trickelaysia sejak tahun 2011 bagi memudahkan tricker di negara ini berkongsi video aksi mereka.
"Melalui laman ini, kami mendapati, tricking semakin diminati, melihat kepada peningkatan jumlah ahli aktif," katanya sambil memaklumkan bahawa kebanyakan tricker terdiri daripada golongan remaja.
Tambah menarik, tricking bukan sahaja hobi yang mampu menyihatkan badan, malah mampu menjana pendapatan sampingan kepada tricker.
Menurut penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Kejuruteraan itu, kebanyakan tricker di negara ini mendapat tawaran sebagai pelakon aksi.
"Pihak produksi selalu memberi tawaran kepada tricker untuk melakonkan aksi tricking dalam filem, drama atau iklan mereka.
"Walaupun bayaran yang diterima tidak setimpal dengan masa dan tenaga yang dihabiskan untuk melakukan latihan, ia cukup untuk memberikan satu kepuasan," katanya.


Ambulan Hilang Akal

Posted: 23 Nov 2014 05:34 PM PST

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved