ads

Sabtu, 22 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Tiz Zaqyah kahwin sebelum usia 30 tahun!

Posted: 22 Nov 2014 10:58 PM PST

  • Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama layarnya Tiz Zaqyah.Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama layarnya Tiz Zaqyah.

KISAH cinta pelakon yang juga model cantik ini bukan lagi rahsia di kalangan peminat seni tempatan. Namun dia mengakui belum bersedia menamatkan zaman solonya dalam masa terdekat.

Akui Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama layarnya Tiz Zaqyah, dia bagaimanapun tidak pernah menolak jika jodohnya sudah tiba.

"Bagi saya, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Sampai masanya saya juga akan mendirikan rumah tangga seperti wanita lain.

"Cuma untuk memberikan tarikh yang sebenar memang belum diketahui lagi.

"Apa yang boleh saya katakan, saya akan berkahwin sebelum usia 30 tahun," kata pelakon berusia 26 tahun ini.

Akui bintang Kusinero Cinta ini, dia bagaimanapun kurang selesa berkongsi perkara peribadi kepada umum.

"Lebih baik bercerita mengenai karier dan perkara yang berkaitan dengannya. Lagipun itu fokus utama saya buat masa kini," jelas kekasih kepada Daniel Haziq ini.

Berkongsi perkembangan terbarunya, pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu dia bakal muncul dengan drama terbaru arahan Jehan Miskin iaitu Seludup yang akan disiarkan di Astro Prima bermula 4 Disember.

Menurut Tiz Zaqyah, Seludup merupakan drama yang sangat mencabar dan sebuah projek yang sangat dinantikan olehnya.

"Apabila mendapat tahu ia adalah projek Jehan, saya memang teruja lebih-lebih lagi selepas menonton projeknya sebelum ini, What If.

"Saya benar-benar kagum dengan dia, jadi saya fikir mengapa perlu saya menolak sedangkan ini peluang terbaik untuk menimba pengalaman daripadanya," ujarnya Seludup drama pertamanya yang mengangkat genre aksi.

Katanya, walaupun menerusi drama itu dia tidak perlu melakonkan pelbagai aksi, tetapi adegan peluknya bersama Pekin Ibrahim tetap dirasakan sukar.

"Bukan peluk penuh perasaan, sebaliknya peluk kerana ketakutan, pun begitu saya masih berasa janggal sementelah ia kali pertama saya berlakon dengannya," katanya turut mengagumi Namron dan Raja Ilya.

Dalam pada itu, Tiz Zaqyah mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon teater kerana tidak yakin dengan kebolehannya dalam bidang itu.

"Bukan takut mencuba, tetapi saya memang kurang yakin untuk berlakon teater," katanya lagi.

Sharnaaz luah rasa kecewa!

Posted: 22 Nov 2014 10:56 PM PST


  • SharnaazSharnaaz

SELEPAS filem, Dollah Superstar, aksi pelakon kacak ini bakal ditonton menerusi filem, Gila Baby, di pawagam bermula 4 Disember depan.

Walaupun peluang dalam industri masih berpihak kepadanya, namun sebagai anak seni yang mula berkecimpung dalam industri sejak 2009 lagi, Sharnaaz mengakui keadaan industri perfileman hari ini bukanlah di tahap yang memuaskan.

Malah, sebagai pelakon, Sharnaaz turut melahirkan kekecewaan apabila industri perfileman hari ini bukanlah sehebat yang disangka apabila terus disogok dengan filem-filem yang kurang berkualiti.

"Saya menyedari jumlah penonton di pawagam kini mula berkurangan malah, ia memberi impak yang teruk terhadap kutipan filem di panggung.

"Mana tidaknya, kebanyakan karya filem kita kini hanya boleh disamakan dengan telefilem sahaja. Bila penonton tak tertarik untuk menonton, kita bising. Tapi, tengoklah apa yang kita hidangkan kepada mereka sedangkan kita memiliki barisan pelakon yang hebat-hebat.

"Penonton kini semakin bijak dan boleh menilai mutu sesebuah filem itu sama ada berbaloi untuk ditonton ataupun tidak. Pihak produksi perlu peka terhadap perkara ini dan jangan hanya tahu mengejar kuantiti sahaja," katanya yang memilih untuk lebih selektif dalam menerima tawaran lakonan.

Tambah Sharnaaz, dalam hal ini pelakon turut terkena tempiasnya walaupun kesalahan ini harus diletakkan di bahu produksi dan badan yang bertanggungjawab dalam mengawal serta menapis filem-filem berkualiti.

"Sepatutnya badan yang dipertanggungjawabkan itu perlu meneliti perkara ini sejak dulu lagi. Jangan biarkan perkara ini menjahanamkan industri kita," jelasnya lagi.
Terpalit isu buli

Pernah melalui kontroversi ekoran watak Lan Todak yang dikaitkan dengan kegiatan buli dan pukul dalam kalangan remaja sekolah, Sharnaaz menegaskan bahawa kes salah laku itu tidak seharusnya dikaitkan dengan filem.

Sharnaaz berkata, kes sebegini bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita malah, tidak menafikan ianya terus berleluasa seiring peredaran zaman.

"Kes buli ini, sejak zaman nenek kita lagi sudah ada. Cuma, waktu itu, ianya tidak berlaku di zaman serba canggih seperti sekarang.

"Kini, ianya semakin berleluasa kerana kecanggihan teknologi dan kemudahan dalam mengakses Internet untuk disebarkan. Bila ada kes, ada pihak yang rakam dan sebarkan di Internet.

"Sebab itu ianya dilihat seperti perkara baharu sedangkan ianya sudah lama berlaku di kalangan remaja. Jangan salahkan filem kita kerana kita ada akta. Sekiranya filem itu tidak layak untuk ditonton untuk remaja, klasifikasi ia dalam kategori yang sepatutnya," katanya yang menggesa kerajaan untuk lebih peka dalam situasi ini.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharunya, Sharnaaz memberitahu dia akan terbang ke Okinawa, Jepun pada 25 November ini untuk karya terbaharu, Cinta di Okinawa.

"Masih terlalu awal untuk bercerita lebih lanjut mengenai karya ini. Tunggulah tahun hadapan. Yang boleh saya katakan, karya itu menarik dan ianya turut dibarisi pelakon, Hanis Zalikha.

"Yang penting, ianya bukan adaptasi novel yang kini menjadi 'trend' di kalangan produksi. Saya bukanlah mahu memanaskan isu ini namun berilah peluang penulis skrip kita untuk berkarya.

"Apa yang saya nampak kini, kerja penulis skrip semakin disempitkan dengan novelis apabila produksi lebih memilih novel untuk diangkat sebagai produk baharu. Drama kita bagus dan saya sayangkan penulis-penulis kita," katanya.

Pertandingan Bantu Artis Lama Jadi Lebih Baik-Dayang Nurfaizah

Posted: 22 Nov 2014 04:53 PM PST


Dayang tidak fikir tentang ketelusan Anugerah Juara Lagu yang sering diperkatakan segelintir artis lama.
PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah melihat sesebuah pertandingan yang disertai adalah sebagai salah satu cara untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik.

Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 32, berkata, biarpun sebagai artis berpengalaman dia tidak mahu menjadi terlalu selesa dengan hanya melakukan persembahan pentas.

"Bagi saya pertandingan menjadikan seorang artis itu menjadi lebih baik dan boleh memperbaiki diri mereka untuk terus maju.

"Jika hanya buat persembahan biasa sahaja ia hanya menjadikan saya terlalu selesa dan malas. Apabila ada persaingan dalam pertandingan kita akan lebih banyak berfikir untuk jadi terbaik," ujarnya kepada mStar Online.

Dayang berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pendapat segelintir artis berpengalaman yang sudah tidak mahu menyertai sebarang pertandingan melibatkan artis-artis baharu.

Dayang turut bersaing dalam malam minggu kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 29 yang diadakan di Sri Pentas 2, Shah Alam, malam Jumaat.

Lagu nyanyian Dayang berjudul Di Pintu Syurga turut diumum sebagai lagu terbaik pada malam tersebut mengalahkan 11 buah lagu yang bertanding pada malam tersebut.

Jelas Dayang, dia menganggap persaingan dengan artis-artis baharu merupakan perkara yang sihat bagi menjadikan dirinya masih releven.

Katanya, kesemua artis-artis baharu mempunyai bakat dan kehebatan mereka tersendiri.

"Semua artis baru bagus-bagus dan mempunyai kehebatan mereka sendiri. Saya rasa ia merupakan perkembangan yang sihat untuk bersaingan dengan mereka.
"Pada awalnya memang agak gementar juga untuk bersaing dengan mereka kerana saya rasa sudah tidak releven lagi, tetapi saya juga tidak mahu mengalah dan cuba beri yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang ketelusan penjurian Anugerah Juara Lagu yang sering dipertikaikan segelintir artis, Dayang berkata, dia tidak memikirkan tentang hal tersebut.

Jelasnya, dia hanya bertanggungjawab untuk menyampaikan lagu yang diamanahkan oleh komposer dan penulis lirik dengan baik.

Lagu Di Pintu Syurga dicipta oleh Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran.

Indah Ruhaila Tidak Anggap Diri Lebih Menyerlah Daripada Juara AF2013

Posted: 22 Nov 2014 04:52 PM PST


indah AF 2013
Indah akui lagu Percayalah bawa namanya pergi lebih jauh.
PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Indah Ruhaila tidak pernah menganggap dirinya lebih menyerlah daripada juara program itu iaitu Faizul Sany.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 26, berkata, kedua-dua mereka mempunyai kelebihan dan mempunyai peminat tersendiri yang memberi sokongan selepas keluar daripada rancangan tersebut.

"Susah nak cakap tentang populariti atau kejayaan kerana bagi saya pertandingan sebenar adalah selepas keluar daripada program tersebut.

"Namun saya lihat kami masing-masing ada kelebihan berbeza, dia ada pengikut sendiri dan begitu juga saya. Pada saya itu semua rezeki masing-masing," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Indah yang turut bertanding di malam kedua Separuh Akhir Muzik Muzik 29, pada malam Jumaat itu berkata, nasib lebih menyelebahinya berikutan kekuatan laguPercayalah.
Jelasnya, lagu tersebut telah membawanya terus dikenali serta pergi lebih jauh berbanding rakan-rakan AF 2013 yang lain.
"Saya yakin disebabkan tuah lagu Percayalah ini yang sebenarnya membawa saya pergi lebih jauh daripada kawan-kawan lain.

"Bagaimanapun, saya yakin kawan-kawan yang lain juga mempunyai rezeki mereka sendiri selepas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang pertandingan Muzik Muzik 29, Indah berkata, dia agak gementar kerana pertama kali beraksi di pertandingan besar selepas AF 2013.

Katanya, dia sentiasa menganggap pertandingan tersebut sebagai sebuah persembahan bagi mengurangkan rasa gugup ketika di pentas itu.

"Susah nak cakap macam mana perasaan saya di atas pentas dan bersaing dengan penyanyi penyanyi popular terutamany ada Datuk Hattan dan Dayang Nurfaizah.

"Saya hanya anggp ia sebagai satu persembahan sahaja dan bukan pertandingan kerana kalau tidak saya akan gugup," ujarnya.

Abam (Bocey) Cari Isteri Guna Paku Pontianak

Posted: 22 Nov 2014 04:50 PM PST


PETALING JAYA: Pelawak Abam (Bocey) menggunakan paku ajaib sebagai inisiatif mencari seorang isteri daripada kalangan hantu pontianak dalam sebuah telefilem komedi berjudulTerpaku Pontianak. 
Abam bakal memainkan watak sebagai Salman Al-Farisi yang berhadapan dengan kesukaran mendapat jodoh kerana tabiat buruknya yang kerap terkentut sehingga sering ditinggalkan teman wanita.
Setelah berputus asa Salman pulang ke kampung bagi mencari jodoh dengan cara tradisional.
Salman mendapat bantuan daripada pakciknya Safuan yang memberi sebatang paku ajaib iaitu Paku Pontianak.
Kemudian, Salman memulakan pencarian pontianak untuk dipaku dan dijadikan isteri. Perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan kaum pontianak.
Sebagai balasan pontianak telah menganggu Salman dan keluarganya sebagai amaran.
Telefilem ini dibarisi pelakon seperti Abam Bocey, Nur Risteena Munim, Hairi Safwan dan Razak Ahmad bakal menemui penonton menerusi slot Skrin Di 9 pada 24 November ini, pukul 8.30 malam di TV9.

Tinggal emak macam buang kucing tepi jalan

Posted: 22 Nov 2014 04:42 PM PST


  • Milah membuat laporan polis di Kuala Nerang.Milah membuat laporan polis di Kuala Nerang.

KUALA NERANG - Seorang ibu tunggal dari Anak Bukit sedih dengan tindakan anaknya yang sanggup meninggalkannya di tepi jalan rumah adiknya di Kampung Padang Nyior, dekat sini, semalam.

Wanita ibu tunggal, hanya mahu dikenali sebagai Milah, 74, berkata, apabila sampai di rumah adiknya itu, anaknya mengeluarkan beg pakaian serta barangannya dari kereta dan terus beredar.

"Saya sedih kerana mereka buang saya macam anak kucing di tepi jalan. Saya sudah 20 tahun tak jumpa dengan adik. Nasib baik rumah itu milik adik saya sendiri.

"Jika tidak, tak tahulah ke mana saya nak pergi.

"Sepatutnya mereka perlu berjumpa dengan adik saya dan memaklumkan tujuan mereka menghantar saya ke rumah itu," katanya ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.

Menurutnya, dia pernah tinggal bersama anak bongsunya itu kira-kira tiga bulan lalu, namun kehadirannya itu kurang disenangi.

"Saya tak tahu di mana lagi saya nak tinggal kerana empat-empat anak tak mahu saya tinggal dengan mereka. Ada yang terima, tetapi menantu pula tak suka," katanya.

Sementara itu, adik Milah, Sulaiman, 71, berkata, dia kecewa dengan sikap anak saudaranya yang membuang ibu mereka di tepi jalan.

"Saya terkejut dengan kedatangan Milah. Selepas mendengar rintihannya, saya terharu dan tetap akan menjaganya kerana dia adalah dari darah daging saya.

"Atas permintaan kakak saya, saya akan hantar dia ke pondok untuk belajar agama di Bukit Pinang," katanya.

Kisah pulau ‘kapal perang’

Posted: 22 Nov 2014 04:38 PM PST


  • Kisah pulau 'kapal perang'

PULAU HASHIMA - JEPUN. Dari jauh kelihatan seperti kapal perang yang siap sedia melancarkan serangan, hakikatnya ia hanyalah salah sebuah dari 505 pulau tidak berpenghuni di Wilayah Nagasaki di Jepun.

Terletak 15 kilometer daripada Nagasaki, Pulau Hashima atau dikenali sebagai Gunkanjima dikatakan menyimpan sejarahnya yang tersendiri.

Ditemui pada tahun 1887, pulau yang didiami oleh 5,259 penduduk ini dibangunkan oleh syarikat Mitsubishi Corporation.

Pulau yang begitu kaya dengan sumber arang batu ini menjadi gemilang pada tahun  1959 dengan pembinaan bangunan serta kemudahan awam yang lengkap.

Oleh kerana ruang daratan yang begitu sempit, pemaju mengambil langkah membina bangunan tinggi untuk didiami pekerja arang batu yang bekerja di pulau tersebut.

Selain itu, kemudahan lain seperti pusat perubatan, bar, panggung wayang dan restoran turut dibina.

Ia menjadikan pulau tersebut sebagai petempatan yang mencatatkan jumlah penduduk paling padat di dunia dengan nisbah 835 orang dalam satu kilometer persegi.

Sebaik berakhirnya Perang Dunia Kedua, kemudahan di pulau tersebut ditambah baik dengan adanya kemudahan kabel, radio dan sebagainya.

Selain itu, penanaman taman-taman dan tanaman sayuran mula diwujudkan di atas bangunan-bangunan tinggi di pulau tersebut.

Namun pada  tahun 1974, penggunaan arang baru mengurang dengan wujudnya sumber tenaga utama dari minyak, menyebabkan lombong di Pulau Hashima ditutup dan penduduk akhirnya mula meninggalkan pulau tersebut.

 Kegemilangan pulau mewah ini surut perlahan-lahan. Pulau Hashima dibiar tanpa berpenghuni dan segala-galanya ditinggal sepi begitu sahaja.

Bangunan-bangunan tinggi di pulau tersebut mulai reput, buruk, runtuh dan rosak manakala tumbuh-tumbahan mulai menjalar liar.

Pulau tersebut masih menerima kunjungan daripada pelawat yang mahu menyaksikan sendiri tinggalan bangunan dan runtuhan di sana.

Sehingga kini tiada rancangan dibuat untuk membangunkan semula pulau tersebut.

Nenek buta hidup sendirian

Posted: 22 Nov 2014 04:34 PM PST


  • Keadaan nenek berkenaan yang tinggal bersendirian.Keadaan nenek berkenaan yang tinggal bersendirian.

SAYU hati sepasukan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tatkala menjejakkan kaki mereka di perkampungan Orang Asli Kuala Mu, di sini baru-baru ini apabila bertemu seorang nenek buta yang hidup dalam kedaifan.

Apatah lagi, di kala mata mereka menyaksikan nenek itu sedang sibuk mengais saki baki beras dalam guni kosong untuk dimakan.

Hanya setelah yakin guni itu benar-benar kosong, dengan mata yang gelap gelita serta tangan tiada bertenaga, dia meletakkan guni itu ke tepi.

Bertambah pilu apabila melihat tangan si nenek teraba-raba mencari cawan, sedangkan cawan yang dicapai kosong apabila diteguk.

Penduduk setempat yang ditemui memaklumkan, usia nenek itu sudah mencecah 100 tahun dan hidupnya sebatang kara serta hanya mengharap ihsan jiran tetangga.

Kata penduduk itu lagi, dengan mata yang tidak dapat melihat sejak beberapa tahun lalu, kehidupan nenek itu sangat mencabar.

Siapa sangka ALLAH menemukan pasukan NGO terbabit dengan nenek tua itu untuk merawat hati mereka dengan sinar keinsafan dan kesyukuran di Kuala Mu, Sungai Siput, Perak.

Untuk itu, bagi mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah berhubung dengan penganjur kembara 'Xtreme Amal 4x4' di page rasmi Muslim Volunteer Malaysia di laman Facebook dan Instagram.

Tidak sedar ‘bela’ cacing pita dalam otak

Posted: 22 Nov 2014 04:30 PM PST


  • Imbasan menunjukkan gambar cacing pita dalam otak pesakitImbasan menunjukkan gambar cacing pita dalam otak pesakit

SEORANG warga emas berusia 50 tahun terkejut apabila mengetahui seekor cacing telah hidup di dalam otaknya selama empat tahun.

Kehadiran parasit yang dikenali sebagai cacing pita itu hanya dikesan setelah saintis daripada Hospital St Thomas di London melakukan biopsi ke atas otaknya.

Menurut warga emas itu, dia sering berulang alik ke hospital sejak tahun 2008 setelah dikatakan hilang ingatan dan mengalami sakit kepala yang agak teruk.

"Saya sering mengadu sakit di bahagian tangan kanan. Saya dapat mengingat semula peristiwa lampau dan deria bau saya berubah.

"Saya pernah didiagnos dan diperiksa untuk pengesahan HIV, sifilis, dan batuk kering, namun semuanya negatif," katanya seperti yang dipetik melalui portal Metro.co.uk pada semalam.

Pakar perubatan kemudiannya melakukan pembedahan bagi mengeluarkan parasit tersebut dari otaknya.

Menurut pakar bedah, semasa melalui prosedur tersebut, cacing pita sepanjang 1 cm itu bergerak sejauh 5 cm ke bahagian kanan otak, menjadikan proses pembedahan lebih sulit dari jangkaan doktor.

Semasa pembedahan dilakukan, pakar bedah melaporkan turut menemui sebilangan telur cacing di dalam otak warga emas terbabit.

Menurut ketua pasukan saintis Institut Wellcome Trust Sanger, Dr Hayley Bennett, cacing pita jenis Spirometra erinaceieuropaei, adalah spesis parasit yang jarang ditemui.

Katanya, spesis itu hanya dilaporkan sebanyak 300 kali dalam tempoh 60 tahun lepas.

"Penemuan ia (cacing pita jenis ini) sangat  jarang berlaku tetapi yang paling biasa dijumpai di Asia Tenggara, China dan Jepun.

"Pesakit terdedah kepada parasit jenis ini dengan memakan makanan tercemar atau melalui bahan yang digunakan dalam perubatan Cina khusus untuk sakit mata termasuk katak mentah," katanya.

Menurut doktor, mangsa mempunyai latar belakang dari keluarga Cina dan menetap di UK selama 20 tahun namun mangsa didapati sering melawat negara China.

Soo Wincci timba ilmu di tempat orang

Posted: 22 Nov 2014 04:25 PM PST



WANITA bernama Soo Wincci punya pakej yang cukup lengkap, baik dari segi fizikal mahupun mental. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu boleh dikatakan punya ciri-ciri idaman setiap wanita di luar sana.
Memiliki paras rupa yang cantik, berpendidikan, punya kerjaya stabil, ia mungkin boleh dianggap tuah kepada empunya diri. Mana tidaknya, hari ini penyanyi dan pelakon berusia 29 tahun itu mampu menghela nafas lega. Ini kerana, pengorbanan dan jerit perih yang dilaluinya kira-kira enam tahun lalu sudah mula menampak­kan hasil.
Bukan mahu mendabik dada, jauh sekali pernah terbit rasa puas dengan apa yang dimiliki. Cuma, bagi bekas ratu cantik Miss World Malaysia 2008 itu, saat ini sekurang-kurangnya dia sudah mampu melirikkan senyuman apabila melihat kepada catatan perjalanan karier­nya sebagai anak seni.
Menariknya, Wincci berjaya membuktikan perbezaan kaum sedikit pun tidak menjadi penghalang untuk dia diterima, lebih-lebih lagi dalam industri hiburan Mela­yu. Berlakon dan menyanyi dalam naskhah Melayu, itu semua antara kelebihan yang cuba ditonjolkan bekas juara program realiti Masterchef Selebriti Malaysia itu.
"Sejak saya menyertai program Masterchef itu, rezeki dan peluang semakin terbuka luas. Boleh dikatakan bahawa program itu menjadi titik perubahan dalam hidup saya.
"Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah me­nyangkakan bahawa penglibatan dalam program itu mampu membawa saya sejauh ini," ujar pelantun lagu Musim Asmara itu.
Apa yang pasti, menurut Wincci, program itu benar-benar meninggalkan satu memori yang cukup indah. Biarpun ada pihak yang melihat Wincci hanya sekadar mengambil peluang yang ada di hadapannya kerana kurang sambutan dalam industri hiburan Cina tempatan, Wincci menafikan perkara itu.
Jelas penyanyi yang pernah menerbitkan single Terus Teranglah bersama Joe Flizzow itu, pada mulanya dia berada dalam fasa dilema.
"Sebenarnya semasa mendapat tawaran menyertai Masterchef, pada masa sama, saya menerima satu tawaran yang cukup besar daripada sebuah produksi Cina tempatan. Bagaimanapun, selepas berfikir panjang, saya tekad melepaskannya biarpun ada yang melihat itu sebagai satu risiko," ceritanya.

KINI Wincci menyambung pengajian di peringkat PhD di Universiti Terbuka Malaysia.


Takluk asia
Usai kejayaan sulungnya membina nama di tanah air sendiri, sekitar tahun lalu, pelakon drama Bini-Biniku Gongxi itu sudah mula memikirkan hala tujunya untuk pergi lebih jauh. Misinya cukup besar, wanita yang cukup fasih berbahasa Melayu itu merencana menakluk pasaran muzik di Asia.
Membawa diri berkelana di negara orang, Wincci mencuba nasib membawa namanya dan Malaysia di Taiwan. Belum sempat ditanya mengenai kehidupannya di sana untuk mencari sesuap nasi, Wincci lantas menggelengkan kepala. Bukan sebagai tanda ada perkara yang perlu dikesalkan, cuma kata Wincci, "Ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan pengorbanan cukup tinggi."
Malah, sewaktu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang dijalankan, getus pelakon drama Injustice itu, sebenarnya sudah enam bulan lamanya dia tidak menghirup udara bumi Malaysia. Bukan sengaja tetapi menurut Wincci, dia terikat dengan komitmen kerja yang menghalangnya untuk berbuat demikian.
Ditambah pula budaya kerja di Taiwan jauh berbeza dengan Malaysia, kata Wincci, pada mulanya dia sendiri berasa sukar untuk mengikut rentaknya. Jelasnya lagi, di sana tiada istilah bereksperimentasi dengan muzik. Semuanya dilakukan secara terperinci demi memastikan sesebuah lagu itu diterima umum.
Katanya, bagi menerbitkan sesebuah lagu juga, ia melibatkan satu pasukan khas yang akan menilai kualiti dan tahap penerimaan orang ramai.
"Di sana, tiada istilah cuba-cuba. Mereka tidak akan memasarkan lagu berdasarkan tuah. Semuanya telah dilakukan secara terperinci. Atas sebab itu juga, bagi menerbitkan satu-satu lagu ia mengambil masa yang agak lama.
"Ini kerana, ada banyak sesi tapisan lagu dilakukan. Misal kata, mereka akan pilih 100 buah lagu pada awalnya.Bagaimanapun, daripada angka itu mereka akan tapis hingga 10 buah lagu yang terbaik mengikut kehendak pasaran muzik semasa," katanya.
Kata Wincci, teknik tersebut yang membuatkan rata-rata lagu yang diterbitkan di sana memenuhi kriteria yang diinginkan pendengar, sekali gus menjadikan ia sebuah naskhah hit.
"Cara mereka menghasilkan lagu di sana memang cukup sistematik dan wajar diaplikasikan di negara ini. Satu hari nanti, saya merancang untuk mengguna pakai kaedah itu di sini, " ujarnya yang baru sahaja menerbitkan album keduanya di Taiwan berjudul Wincci.

Pelakon Iqram hanyalah rakan baik Wincci yang banyak mendengar luahan hatinya.


Berpendidikan
Melihat kepada rutin setiap hari yang dilaluinya, tanpa kesungguhan dan iltizam yang tinggi, bukan mudah untuk menjadi diri insan bernama Wincci.
Mana tidaknya, selain sibuk menguruskan kerjaya yang sedang berada di puncak, pada masa sama, dia juga ada tanggungjawab sebagai pelajar. Apatah lagi mengambil kursus Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia, ada kalanya dia menghela rasa letih.
"Sekarang saya dalam tahun akhir untuk menyiapkan tugasan diberikan. Kadang- kadang ada terdetik rasa penat juga sebab perlu beri komitmen kepada banyak perkara. Bagaimanapun, saya selalu berfikiran positif. Apa yang dilakukan hari ni demi masa depan," luahnya.
Menurut Wincci, laptop juga merupakan antara gajet yang sentiasa menjadi penemannya. Ujarnya, jika ada masa terluang, dia akan pastikan ia digunakan sebaik-baiknya.
"Jika ingin tunggu betul-betul masa terluang memang susah. Jadi ke mana-mana sahaja saya akan bawa laptop. Contohnya, apabila berada di dalam kapal terbang, saya akan guna waktu itu untuk menyiapkan tugasan PhD, " ujar bekas graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Reading, United Kingdom itu.
Jodoh
Dalam kesibukannya mengejar cita-cita, Wincci seperti wanita lain di luar sana yang kerap kali ditanya mengenai soal rumah tangga. Apatah lagi memandangkan usianya yang semakin meningkat, soal jodoh antara yang menjadi topik antara dia dan ahli keluarga.
"Sebenarnya sebelum ini hati saya pernah terluka. Luka itu yang masih berbekas membuatkan saya lebih cenderung untuk menyibukkan diri dengan kerja," ceritanya.
Pernah dikaitkan dengan pelakon Iqram Dinzly, sejujurnya menurut Wincci, sebenarnya hubungan mereka tidak lebih daripada kawan.
"Saya dan Iqram hanyalah sebagai seorang kawan. Apa yang saya boleh katakan, dia antara lelaki yang memang rapat dengan saya buat masa sekarang. Jika ada masalah, Iqram merupakan individu yang banyak mendengar luahan saya," katanya.
Ditanya mengenai kriteria lelaki yang ingin dicari, ujar Wincci, dia tidak pernah meletakkan kriteria khusus dalam mencari cinta.
Cuma seboleh-bolehnya, kata Wincci, apa yang penting ialah lelaki itu perlu faham dengan kerjayanya.
"Kalau tanya pasal kaya, semua orang mahukannya. Saya tidak pandang lelaki yang kaya kerana mewarisi harta keluarga. Biarlah dia berharta kerana usaha sendiri. Orang yang berusaha sendiri mengumpul harta lebih tahu erti susah perit dan erti pengorbanan," katanya menutup bicara.


Faralyna nikah 12 Disember

Posted: 22 Nov 2014 04:23 PM PST



FARALYNA belum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon selepas berumahtangga.


KURANG tiga minggu dari sekarang, pelakon genit, Faralyna Idris bakal bergelar isteri kepada tunangnya, Muhammad Fikri Abdullah.
Menyemai rasa cinta selama dua tahun, pastinya telah membibitkan kasih sayang antara mereka.
Faralyna yang mengikat tali pertunangan pada 31 Mei lalu memberitahu, dia berasa teruja menantikan saat bahagia yang bakal diadakan di Putrajaya itu. Bagaimanapun, lokasi sebenar majlis itu terpaksa dirahsiakan buat masa ini.
"Alhamdulillah, persiapan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sudah 90 peratus siap dan Insya-Allah, saya akan bernikah pada 12 Disember ini di Putrajaya.
"Buat masa ini, saya terpaksa merahsiakan lokasi sebenar majlis akad nikah kerana dewan yang ditempah terpaksa ditukar pada saat-saat akhir. Bagaimanapun, majlis resepsi akan diadakan pada keesokan harinya di One City, Subang, Selangor," ujar Faralyna kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.
Siapa sangka, pada usia 23 tahun, pelakon yang popular menerusi drama Ryujin Juwara itu bakal menamatkan zaman bujangnya.
Kata Fara, dia sudah bersedia berdepan dengan alam perkahwinan pada usia muda. Sementelah tempoh enam bulan menjadi tunangan kepada jejaka berusia 24 tahun itu, dia sudah semakin mengenali hati budi bakal suaminya.

BAGI Faralyna, Fikri seorang yang memahami dirinya.


"Tidak salah rasanya saya memberikan dia peluang untuk mengenali hati ini dengan lebih dekat. Terus terang saya katakan, sudah bersedia untuk menempuh fasa hidup seterusnya.
"Walaupun saya baru berusia 23 tahun tetapi sudah melalui banyak pengalaman pahit manis bekerja dan berdikari sejak berumur 17 tahun. Saya juga telah mengenali erti kehidupan lebih awal berbanding rakan yang sama umur dengan saya. Bagi saya, sudah tiba masanya untuk melangkah ke satu fasa baharu iaitu memulakan sebuah keluarga," katanya.
Persiapan perkahwinan tanpa ibu tersayang yang telah lama pergi menghadap Ilahi, pastinya memberi tamparan hebat dalam hidup pelakon popular kelahiran Taiping, Perak itu. Ketika ditanya mengenai perkara itu, Faralyana tidak dapat meneruskan kata-katanya.
"Apabila tarikh nikah semakin dekat, jantung saya seakan mahu terhenti. Sukar untuk menggambarkan suasana yang bakal terjadi pada hari perkahwinan saya nanti. Arwah ibu telah enam tahun pergi meninggalkan kami, sementara ibu Fikri baru meninggal dunia tahun lalu. Kami hanya mampu berdoa agar majlis tersebut berjalan lancar.
"Bercakap mengenai persiapan, semuanya saya lakukan sendiri. Biarpun agak terkejar-kejar, namun berkat pertolongan ibu saudara, sedikit sebanyak itu meringankan beban saya hari perkahwinan yang berbaki tiga minggu lagi," kongsinya.
Tambah Faralyna lagi, dia bersyukur kerana dipertemukan jodoh dengan Fikri yang merupakan seorang lelaki matang dan peramah.
"Saya percaya bahawa Fikri akan menjaga saya sebaik mungkin. Ini kerana, sewaktu dia mengajak saya berkahwin dahulu, saya sudah yakin dengan pendiriannya. Dia seorang lelaki yang peramah dan matang. Saya suka melihat cara dia berfikir dan menyelesaikan masalah apabila kami bergaduh atau berbeza pendapat.
"Orang kata tempoh bertunang itu adalah fasa darah manis. Bagaimanapun, saya menganggap dugaan itu akan hadir selepas saya sah bergelar isteri. Jujur saya katakan, saya mengagumi dirinya kerana dia mampu mengawal situasi dan kerenah saya," seloroh Faralyana.
Menyentuh mengenai perjalanan karier seninya selepas berkahwin, Faralyna memberitahu, dia masih belum memutuskan sama ada mahu memperlahankan aktiviti seni ataupun tidak.
"Saya baru selesai menjalani penggambaran drama Dari Kerana Mata untuk terbitan Astro. Selain itu, saya juga bakal membintangi drama Sedalam Mananya Cinta dan Milik Kita untuk siaran TV3.
"Buat masa ini, saya belum memutuskan lagi untuk berhenti dalam dunia lakonan. Ini kerana, berlakon adalah minat saya. Bagaimanapun, mungkin selepas berkahwin saya akan memperlahankan aktiviti seni untuk memberi sepenuh komitmen kepada keluarga. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan," ujarnya.


Fathia impi bergelar penyanyi

Posted: 22 Nov 2014 04:21 PM PST


FATHIA mengharapkan hubungannya dengan kekasih hati membawa ke jinjang pelamin.


ALAM percintaan pastinya merupakan antara pengalaman yang amat menggembirakan buat sesiapa sahaja yang sedang dilamun asmara.
Begitu juga dengan si empunya nama Nur Fathia Abdul Latiff yang sedang menyulam cinta dengan aktor kacak Aiman Hakim Ridza, 25.
Bibit perkenalan yang bermula ketika sama-sama membintangi drama Diandra pada tahun lalu, kini sudah bertukar fasa menjadi sebuah perhubungan serius.
Ketika berpeluang bertemu dengannya pada sesi fotografi yang diatur di Ibu Pejabat Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini digunakan sebaik-baiknya oleh penulis untuk mendekati perjalanan kisah karier dan cintanya.
Ketika ditebak tentang hala tuju hubungan dengan kekasih hatinya, Fathia mengakui, sasaran untuk membawa hubungan mereka berdua ke gerbang perkahwinan sedang dalam perbincangan.
"Saya percaya dengan kenyataan jodoh itu di tangan Allah. Apa yang boleh saya kongsikan, hubungan saya dan Aiman memang serius. Kami mahu hubungan yang terjalin ini berkekalan hingga ke alam perkahwinan.
"Buang masa jika suatu perhubungan itu sekadar mahu berseronok atau bersifat sementara. Saya cuba membawa hubungan yang terbina selama dua tahun ini ke fasa seterusnya. Tidak dinafikan kami ada berbincang mengenai hal ini, namun saya tidak tahu bila masa itu akan tiba. Saya serah semuanya pada takdir Ilahi," kongsi Fathia yang kini berusia 27 tahun.
Tambahnya, dia masih belum merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan pelakon drama Vanilla Coklat itu dalam waktu terdekat.
"Biar keadaan menentukan. Bagi saya, tumpuan pada kerjaya lebih penting sekarang kerana banyak perkara yang belum saya laksanakan. Sejujurnya, kami belum bercadang untuk bertunang dalam waktu terdekat. Kalau ada jodoh tak ke mana," katanya lagi.
Sementara itu, Fathia memberitahu, Aiman merupakan jejaka hebat dan menepati ciri-ciri lelaki idaman yang dicari-cari selama ini.
"Orang kata, kalau nak tengok personaliti seseorang itu, kita harus melihat bapanya terlebih dahulu. Tidak dinafikan dia memang seorang lelaki yang matang dan penyayang.
"Dia juga lelaki yang tidak mudah melatah. Maksudnya, dia boleh menyelesaikan masalah dengan tenang. Perkara yang lebih saya tertarik ketika mengenalinya ialah dia seorang yang prihatin dengan masalah orang. Dia akan pastikan saya sentiasa dalam keadaan selamat dan sihat. Dia banyak memberi sokongan ketika saya mempunyai masalah," kongsi Fathia.
PEMUJA ELLIE SURIATI
DALAM industri seni lakonan tanah air, siapa yang tidak kenal dengan Ellie Suriati. Dia adalah antara pelakon yang sering dijadikan sumber ramai pelakon baharu sekarang.
Dikenali sebagai seorang pelakon drama, filem dan teater. Kini, isteri kepada pelakon Azri Iskandar itu telah melangkah setapak dalam mengembangkan portfolio kerjayanya sebagai seorang anak seni apabila berjaya mengarahkan filem pertama berjudul Penanggal. Baru-baru ini, dia telah dinobatkan sebagai Pengarah Harapan pada Malam Perasmian, Festival Filem Malaysia ke-26.
Tanpa berselindung, Fathia mengakui, dia mengagumi bakat lakonan yang dimiliki aktres yang sudah hampir 16 tahun berkecimpung dalam industri seni lakonan itu.
"Saya mengikuti perkembangan karier lakonan Ellie sejak di bangku sekolah lagi. Kalau boleh, saya mahu berlakon sepertinya. Dia begitu handal ketika beraksi dalam setiap naskhah yang ditawarkan, malah lakonannya tidak pernah mengecewakan penonton.



"Jujur saya katakan, sejak kecil saya hanya menonton cerita lakonannya sahaja. Jika diberikan peluang, saya teringin untuk berlakon dengannya," kata Fathia yang turut meminati hasil lakonan selebriti antarabangsa seperti Drew Barrymore dan Cameron Diaz.
GITAR
KETIKA ditanya tentang aktiviti masa lapang, Fathia berkata, dia gemar bermain gitar.
Katanya lagi, sejak di bangku sekolah, dia lebih berminat untuk menjadi penyanyi berbanding bergelar pelakon.
"Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya saya lebih berminat untuk menjadi penyanyi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rezeki lakonan datang dahulu. Kalau diberikan peluang bergelar penyanyi, saya pasti akan pertimbangkannya.
"Bercakap mengenai aktiviti masa lapang, saya suka bermain gitar apabila bosan di rumah. Sejak kecil, saya sudah dihantar ke kelas muzik," kongsi Fathia yang tidak menyukai aktiviti sukan.
PEGUAM
SELAIN berlakon, Fathia memberitahu, jadual hariannya juga agak padat sejak bergelar pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.
Bagaimanapun, hasrat untuk menamatkan pengajian pada akhir tahun ini nampaknya tidak kesampaian memandangkan dia terikat dengan jadual lakonan yang padat.
"Alhamdulillah, saya hanya tinggal satu semester lagi. Malangnya, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu kerana terikat dengan jadual kerja yang padat sehingga bulan Mei tahun depan.
"Sebelum ini, saya akui mampu membahagikan masa dengan sebaiknya. Sejak akhir-akhir ini, jadual lakonan saya semakin padat dan sukar untuk melakukan dua kerja dalam satu masa. Saya juga manusia normal yang perlukan rehat secukupnya. Oleh itu, saya terpaksa menangguhkan pengajian buat sementara waktu bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier," kata Fathia.
Ditanya apa yang membuatkan dia menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan, pelakon itu menyatakan, ia sebagai langkah jangka panjang dalam karier seninya.
"Saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian kerana sebagai selebriti, saya tidak tahu bila jangka hayat saya akan berakhir dalam industri seni.
"Disebabkan itu, saya percaya dengan adanya segulung ijazah, jaminan untuk masa depan akan lebih cerah. Seandainya saya tidak lagi diterima dalam industri seni, saya memilih untuk menjadi peguam hartanah suatu hari nanti," jelas Fathia.


Eddie Peng tertekan bawa watak hero

Posted: 22 Nov 2014 04:20 PM PST



EDDIE agak tertekan ketika melakonkan watak hero legenda Wong Fei Hong menerusi filem Rise of The Legend.


LEBIH sedekad menjadi anak seni, bakat pelakon kelahiran Taiwan, Eddie Peng nyata tidak mampu dipertikaikan. Dia antara bintang yang cukup versatil dalam membawakan pelbagai watak.
Terbaharu, pelakon berusia 32 tahun itu tampil dengan sebuah filem baharu berjudul Rise of The Legend.
Diarahkan oleh pengarah Roy Chow, selain Eddie, filem yang bakal ditayangkan pada 27 November itu turut dibintangi oleh pelakon Sammo Hung, Tony Leung Ka Fai dan Angelababy.
Eddie yang memegang watak utama sebagai Wong Fei Hung yang merupakan legend terkenal dalam dunia seni mempertahankan diri itu sempat berkongsi pengalamannya dalam menjayakan watak tersebut.
Masihkah ingat ketika anda berbincang dengan pengarah mengenai watak anda dalam filem ini buat pertama kali?
EDDIE: Ketika pertemuan kami, pengarah telah menyediakan pelbagai bahan, buku, cakera video digital (DVD) dan juga shot uji supaya saya dapat memahami gaya lakonan watak tersebut. Pada pendapat saya, gayanya cenderung ke arah komik dan merupakan sesuatu yang baharu dan bersifat eksperimental. Ia kelihatan agak gila tetapi beliau ingin mencuba dan ingin tahu sekiranya saya berminat untuk melibatkan diri.

FILEM Rise of The Legend berlatarbelakangkan kisah hero pujaan ramai, Wong Fei Hung yang menegakkan keadilan dengan cara tersendiri.


Berapa lamakah tempoh dari peringkat awal hingga akhir?
EDDIE: Pengarah dan saya memulakan perbincangan kami pada hujung Januari dan enam bulan selepas itu, saya masih lagi tidak mengetahui apa-apa mengenai skrip tersebut. Saya cuma tahu bahawa filem ini adalah filem hero Wong Fei Hung yang baharu dan sangat eksperimental, sangat menarik dan sangat moden. Filem ini bakal menjadi filem seni mempertahankan diri yang belum pernah dipertontonkan kepada umum.
Apakah yang membuatkan anda menerima tawaran tersebut akhirnya?
EDDIE: Saya banyak berbincang dengan pengarah dan bos. Kami kerap berjumpa bagi membincangkan perihal watak itu dan amat berbesar hati William Kong mahu saya terlibat dalam filem ini.
Masih ingat lagi, empat atau lima tahun lepas, beliau telah menasihati saya bahawa untuk menjadi pelakon yang baik perlu serius dan melibatkan diri dalam filem secara kerap dan sanggup bereksperimen dengan watak berbeza.
Saya juga turut mengingati nasihat beliau bahawa perlu berlakon dalam 50 filem dalam tempoh lima tahun.
Apakah perasaan anda sepanjang proses pembikinan filem ini?
EDDIE: Setelah mencapai suatu peringkat penggambaran, saya boleh menjadi tenang. Keseluruhan penggambaran tersebut memakan masa selama tiga bulan.
Ketika separuh tempoh pertama penggambaran, terdapat pertindihan dengan jadual latihan menyebabkan saya berasa tidak puas hati.
Ini disebabkan saya tidak mampu mengatur jadual latihan sendiri, terutamanya perkara melibatkan seni mempertahankan diri.
Saya terpaksa mengimbangkan antara masa penggambaran yang panjang dengan melakonkan pelbagai babak dramatik serta berat.
Anda memegang watak Wong Fei Hung yang sedang meningkat dewasa. Adakah watak ini telah mengubah diri anda?
EDDIE: Secara peribadinya, saya amat menghormati Wong Fei Hung. Membawa watak sebagai seorang hero kebangsaan yang saya kenali sejak kecil dengan Jet Li sebagai perintisnya dan juga sebab saya mengetahui Kung Fu, bukanlah suatu perkara yang mudah.
Watak ini amat dihargai. Apabila mengetahui bahawa saya akan membawa watak tersebut, saya berasa sangat tertekan dan tidak bersedia.
Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar serta langkah demi langkah yang diberikan oleh pengarah dan bos, melalui latihan dan komunikasi yang berkesan, saya dapat mengharungi semua itu dengan baik.


Judika hasilkan lagu dalam 10 minit

Posted: 22 Nov 2014 04:19 PM PST



Judika


KEDENGARAN agak pelik tetapi itulah yang diberitahu penyanyi Judika apabila mendedahkan lagu berjudul So Beautiful dihasilkan dalam tempoh cukup singkat iaitu 10 minit.
Katanya, lagu tersebut dicipta khas untuk anaknya, Cleo Deora Sihotang yang selamat dilahirkan pada 20 Oktober lalu.
"Saya tengah mengalami fasa bahagia sekarang. Jadi, saya menghasilkan sebuah lagu bersama seorang kawan dari Sweden," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Hati & Cinta di Kemang, Jakarta Selatan, Indonesia baru-baru ini seperti yang dilapor portal hiburan Cumicumi.com.
Menurut Judika, kehadiran Cleo memberi inspirasi kepadanya untuk berkarya dalam menghasilkan sebuah lagu Inggeris dalam tempoh singkat.
"Sebelum anak saya lahir, saya tidak menghasilkan lagu untuknya. Saya hanya berbuat demikian selepas dia selamat dilahirkan ke dunia. Lagu itu khas untuk Cleo," ujar penyanyi berusia 36 tahun itu.


Tasik bercahaya Jambi

Posted: 22 Nov 2014 04:14 PM PST



TASIK Kaco terkenal dengan airnya yang jernih dan berwarna biru.


Di Kampung Lempur, Kerinci, provinsi Jambi, Indonesia terdapat sebuah tasik menakjubkan yang dikenali sebagai Tasik Kaco.
Tasik seluas 90 meter persegi itu merupakan sebahagian daripada Taman Nasional Kerinci Seblat yang mempunyai air berwarna biru dan jernih.
Tasik Kaco bererti 'tasik kaca' kerana kejernihannya, malah batang-batang pokok mati yang berada di dalam tasik itu jelas kelihatan.
Walaupun begitu, kedalaman tasik itu masih tidak diketahui, malah ramai penyelidik yang cuba menyelam ke dasar tasik itu tetapi masih belum dapat mencapai dasar tersebut kerana kebanyakan mereka kehabisan oksigen untuk meneruskan penerokaan.
Jika diperhatikan, Tasik Kaco seakan-akan sama dengan pemandangan di Tasik Wuhua atau lebih dikenali sebagai Tasik Bunga Lima yang menjadi lokasi wajib dilawati oleh pelancong sekiranya berkunjung ke Jiuzhaigou, Sichuan, China.

PEMANDANGAN Tasik Kaco seakan-akan sama dengan Tasik Wuhua yang terletak di Sichuan, China.


Air biru
Ukuran Tasik Kaco juga jauh lebih kecil daripada Tasik Wuhua tetapi apa yang menjadikan tasik itu istimewa adalah airnya yang bercahaya pada waktu malam terutama ketika bulan penuh.
Keistimewaan itu juga menarik ramai pelancong untuk berkhemah di sekitar tasik tersebut ketika bulan penuh bagi melihat sendiri kebenaran yang diceritakan oleh penduduk setempat mengenai air di Tasik Kaco.
Menurut mitos, keindahan air di Tasik Kaco yang berwarna biru itu berasal daripada aura kecantikan seorang puteri raja yang jelita dan menjadi kegilaan ramai pemuda ketika itu.
Puteri raja itu dilamar oleh seorang pemuda dan pemuda tersebut memberikan permata kepada puteri raja tersebut sebagai hantaran untuk memperisterikannya.
Disebabkan tamak, Raja Gagak yang juga bapa kepada puteri itu bertindak menodai anaknya sendiri sebelum membenamkan puterinya itu ke dalam tasik tersebut beserta permata yang diterimanya sebagai hantaran.

IKAN semah banyak terdapat di Tasik Kaco dan hanya boleh ditangkap menggunakan mata kail manakala penangkapnya mesti mempunyai niat yang baik ketika menangkap ikan tersebut.


Ikan semah
Ada pula versi cerita memberitahu, cahaya yang terpancar pada tasik itu berpunca daripada berlian disimpan di bahagian bawah tasik.
Berlian itu pernah dimiliki oleh Raja Crow pada zaman dahulu. Berlian dan emas merupakan bentuk perjanjian bagi raja-raja yang ingin berkahwin dengan puteri Raja Crow iaitu Puteri Napal Melintang yang sememangnya terkenal dengan kecantikan pada masa itu.
Disebabkan berlaku kekeliruan, akhirnya Raja Crow membawa anaknya bersama-sama berlian dan emas itu terjun ke dalam Tasik Kaco untuk menghilangkan diri.
Sehingga kini, penduduk setempat masih percaya berlian tersebut masih berada di bahagian bawah tasik.
Selain itu, terdapat juga kepercayaan lain mengenai ikan yang hidup di Tasik Kaco kerana menurut penduduk setempat, ikan semah yang banyak terdapat di tasik itu hanya boleh ditangkap menggunakan mata kail tetapi penangkapnya mestilah mempunyai niat baik ketika menangkap ikan di Tasik Kaco, jika tidak, mereka tidak akan mendapatkan hasil tangkapan sama sekali.

Klinik Sosial bantu komuniti Desa Mentari

Posted: 22 Nov 2014 04:12 PM PST




TIGA orang kanak-kanak itu melompat keriangan tatkala melihat susuk tubuh Lee Hock Heng memasuki pekarangan flat Desa Mentari di Petaling Jaya, Selangor.
Mereka berlari-lari anak meluru masuk ke Klinik Sosial yang terletak di tingkat bawah blok 10 flat berkenaan.
Masing-masing mengambil tempat di dalam ruang yang disusun atur seperti bilik darjah itu dan mula menyalin tugasan yang diberikan guru mata pelajaran Bahasa Ing­geris tersebut.
Riak ceria bercampur teruja jelas tergambar pada wajah comel mereka biarpun secara lahiriah keadaan flat di kawasan Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) itu kelihatan tidak terurus dan sesak sehingga gagal mencetuskan suasana pembe­lajaran yang harmoni.
Namun, bagi Hock Heng yang juga bekas jurutera perisian serta pensyarah di sebuah kolej swasta di ibu negara, kekurangan itu tidak menjadi masalah buat dirinya, malah dia menganggap penduduk di flat itu lebih bertuah lantaran nasib mereka mendapat perhatian sehingga wujudnya Klinik Sosial.
Lahir dan dibesarkan dalam keluarga miskin di Teluk Intan, Perak, lelaki berusia 56 tahun itu berkata, dia melakukan kerja sukarelawan bersama Klinik Sosial sejak awal tahun ini bagi membantu golongan kanak-kanak miskin di kawasan itu untuk berjaya dalam pelajaran sekali gus mengubah nasib ke­luarga mereka.
"Saya juga bukanlah datang dari keluarga yang senang. Perjalanan hidup kanak-kanak di sini mengingatkan tentang diri saya suatu ketika dahulu yang terpaksa menolong datuk menjual gula-gula bagi menyara kehidup­an. Jadi saya faham apa yang dilalui mereka dan sebab itu saya tergerak hati untuk membantu de­ngan menjalankan kelas tuisyen," ujarnya tersenyum.
Keazaman belajar
Hock Heng memberi­tahu, mendidik kanak-kanak di situ menuntut kesabaran yang lebih tinggi selain memerlukan pendekatan berbeza memandangkan ada dalam kalangan pelajar yang buta huruf dan lambat dalam meng­uasai satu-satu mata pelajaran.
"Jumlah pelajar di sini tidak menentu. Kadangkala ramai dan ada masanya sedikit sahaja yang datang.
"Jujur saya sendiri pernah berasa putus asa apabila melihat kedatangan yang sedikit sebegini, namun apabila melihat keazaman mereka untuk belajar, saya kuatkan semangat untuk mendidik anak-anak ini," katanya.
Berbeza dengan Hock Heng, Nurfatin Anera Alias, 21, akan menaiki komuter dari stesen Pantai Dalam ke stesen Seri Setia pada setiap hari Ahad untuk mengajar kelas agama kepada kanak-kanak di flat tersebut.
Biarpun jadual kelasnya agak padat, tiada apa yang menghalang penuntut jurusan Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor itu daripada menjalani rutin hari minggunya.

PROGRAM pemeriksaan kesihatan merupakan antara aktiviti anjuran Klinik Sosial untuk komuniti Desa Mentari.


Menurut anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu, dia mula menjadi sukarelawan Klinik Sosial kira-kira tiga ming­gu yang lalu selepas terlihat iklan mengenainya di laman sosial Facebook.
"Pada hari pertama saya tiba di sini, saya terkejut apabila melihat hanya ada tiga orang pelajar di sini. Biarpun hanya berbekalkan sebuah buku latihan dan sebatang pensel, mereka sangat teruja untuk belajar.
"Saya terfikir kalau mereka sanggup datang setiap minggu untuk mengikuti kelas ini, masakan saya tidak boleh berkorban masa dan tenaga untuk me­nyalurkan ilmu serta kebaikan kepada mereka," katanya yang menyediakan khidmat bim­bingan mengaji dan Iqra' selain mengajar subjek Pendidikan Islam kepada golongan kanak-kanak supaya mereka dapat mempelajari asas agama Islam dengan baik.
Bagi seorang pelajar, Irfan Idraki Abdul Jamal, 11, dia sangat gembira setiap kali mengikuti kelas tambahan itu lebih-lebih lagi ia dijalankan secara percuma.
"Saya dapat memahami pelajaran yang diajar di sekolah de­ngan lebih baik selepas mengikuti kelas tuisyen ini. Selain itu, saya dapat memanfaatkan hari minggu dengan perkara berfaedah," katanya yang bercita-cita untuk menjadi anggota polis apabila dewasa kelak.
Kelas bimbingan Bahasa Inggeris dan kelas mengaji itu adalah sebahagian daripada aktiviti anjuran Klinik Sosial sejak ia ditubuhkan oleh organisasi bukan kerajaan, Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM) pada November 2009.
Selain di blok 10, kelas tui­syen juga turut dijalankan di blok 4 dan 5 flat Desa Mentari, Kampung Lindungan serta Kampung Minangkabau dengan bantuan sukarelawan dari UIAM.
Di samping itu, Klinik Sosial yang bertindak sebagai pusat sehenti itu turut menjalankan aktiviti lain seperti gotong-royong, senamrobik, pemeriksaan kesihatan selain menyediakan khid­mat nasihat undang-undang keluarga secara percuma tanpa perlu mendapat khidmat guaman daripada pihak mahkamah.

KELAS bimbingan agama anjuran Klinik Sosial dapat membantu golongan kanak-kanak mempelajari asas agama Islam dengan baik.


Hubungan etnik
Pengarah Klinik Sosial PPPM, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, tujuan penubuhan klinik itu adalah bagi meningkatkan perpa­duan kaum dan mengeratkan hu­bungan etnik menerusi pelbagai aktiviti supaya masyarakat dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Cerita beliau, idea untuk menubuhkan Klinik Sosial timbul selepas dia mengunjungi kawasan perumahan flat Desa Mentari bagi mengumpul maklumat untuk salah satu projek penyelidikannya.
"Agak sedih apabila melihat konflik hubungan etnik di sini meskipun kawasan kejiranan ini dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, masalah kemiskinan yang membelenggu majoriti penduduk menjadikan persekitaran lebih tegang dan bermasalah," katanya sambil memberitahu, komposisi penduduk di flat Desa Mentari adalah terdiri daripada 60 peratus berketurunan Melayu dan ba­kinya kaum India dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 40,000 orang.
Sebahagian besar penduduknya berasal dari Kampung Medan dan Kampung Gandhi yang dipindahkan selepas kes pergaduhan antara kumpulan masyarakat India dan Melayu di kedua-dua kampung terbabit pada bulan Mac 2001.
Menurut Fatimah, kunci untuk mewujudkan komuniti yang sihat dan berjaya adalah menerusi pendidikan, interaksi positif dan persekitaran hidup yang bersih.
Beliau yang juga Presiden PPPM berpendapat, kelas tu­­i­syen misalnya, dapat membantu golongan ibu bapa yang tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tambahan.
"Kadar buta huruf dalam kalangan pelajar di kawasan ini agak tinggi. Apabila kanak-kanak tidak boleh membaca dan menulis, mereka akan hilang minat untuk belajar.
"Ini akan menyebabkan pe­luang untuk ke peringkat pengajian lebih tinggi terbantut sekali gus mengakibatkan pilihan kerjaya agak terhad. Justeru, kami amat menitikberatkan aspek pendidikan kerana ia adalah kunci untuk mengubah nasib diri dan keluarga," jelasnya.
Ujar Fatimah, sejak klinik itu dibuka, ia telah memupuk kerjasama yang lebih baik antara kaum khususnya dalam ka­langan masyarakat Melayu dan India yang hidup di kawasan kejiranan itu.
Pun begitu, beliau berkata, lebih banyak usaha diperlukan untuk mengukuhkan hubungan masyarakat di kawasan tersebut agar integrasi nasional dapat direalisasikan sepenuhnya.

Teruja bertemu pengayuh Indonesia

Posted: 22 Nov 2014 04:09 PM PST


Kharleez ketika berada di Stesen Kereta Api Hua Lamphong sebelum bertolak ke Chiang Mai, Thailand.


Pejam celik-pejam celik sudah masuk minggu kelima saya berkayuh secara solo dalam misi Kayuh Adventure ke negara Tembok Besar dengan jarak sejauh 3,200 kilometer.
Walaupun berdepan dengan masalah cuaca yang tidak menentu pada minggu lalu sehingga menjejaskan rancangan perjalanan, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan pengembaraan bagi menjayakan misi yang dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.
Selepas bertolak dari Bangkok, Thailand, pada Sabtu minggu lalu, kayuhan saya ke Chiang Mai merentasi beberapa bandar kecil yang menarik seperti Lumphini dan Lampang. Perjalanan saya berjalan lancar.
Di bandar Lumphini, saya berkesempatan mengunjungi Masjid Indonesia yang terletak di Polo 5 Alley.

Kharleez sempat berkongsi maklumat dengan pengayuh dari Amerika Syarikat, Marcy dan Anita yang mengayuh di Vietnam, Kemboja dan Thailand ketika berada di Chiang Mai, Thailand.


Antara perkara menarik tentang masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Polo itu ialah ia menjadi simbol kepada kedatangan Islam ke negara Gajah Putih itu.
Menurut catatan sejarah, rumah ibadat itu didirikan oleh sekumpulan masyarakat Jawa beragama Islam yang berhijrah ke Bangkok sekitar tahun 1949 dan digunakan untuk tujuan kelas serta upacara keagamaan.
Sementara itu, di Lampang, saya sempat mengunjungi Pusat Konservasi Gajah yang membolehkan orang ramai mengenali dan melihat gajah dengan lebih dekat.
Sinonim dengan jolokan negara Gajah Putih, pusat perlindungan gajah itu bertujuan untuk melindungi dan merawat mamalia itu.
Lebih teruja, saya berkesempatan untuk bertemu dengan tiga orang pengayuh dari Indonesia iaitu Tasman Jen, Waskito Joko dan Yosef Sitor di Stesen Kereta Api Hua Lamphong dekat Bangkok.
Mereka kini menyertai misi Tour de Asia iaitu mengayuh dari Indonesia ke China menerusi Singapura dan lebih menarik, ketiga-tiganya berusia dalam lingkungan 60-an.
Mengikut rancangan asal, saya sepatutnya mengayuh ke Khon Kaen dan Udon Thani kemudiannya memasuki Laos menerusi sempadan Nong Khai.
Kharleez bergambar dengan tiga pengayuh dari Indonesia, Tasman Jen, Waskito Joko dan Yosef Sitor yang menyertai Tour de Asia iaitu pengembaraan mengayuh dari Indonesia ke China menerusi Singapura.


Bagaimanapun, saya mengambil keputusan untuk mengubah perjalanan saya dengan menaiki kereta api dari Hua Lamphong ke Chiang Mai memandangkan penduduk setempat dan pelancong yang saya temui sebelum ini berkata bandar itu merupakan satu destinasi yang harus saya kunjungi.
Untuk minggu ini, saya telah merentasi Chiang Mai, Lampang dan Uttadarit. Selepas itu, saya akan meneruskan perjalanan ke Phitsanulok dan Loei sebelum tiba di sempadan Nong Khai.
Ketika berada di Uttadarit, tayar basikal saya buat pertama kalinya pancit ekoran terkena paku, namun ia merupakan satu pencapaian yang bagus kerana ia hanya berlaku selepas saya mengembara sejauh 2,000 kilometer sejak 25 Oktober lalu.
Sehingga hari ini, saya bersyukur kerana berpeluang untuk bertemu dengan ramai individu yang mengagumkan. Bagi saya, misi kayuhan ini adalah sesuatu yang sangat menarik kerana membuka minda serta memberi pengalaman yang berharga.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved