Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Dedah perut : Hanis Zalikha dikritik!
- Bertuahnya Lara Alana
- Pekin: 'Keluarga mahu kami berbaik'
- ‘Solat buat saya tenang’
- Giliran Kembara gegar Istana Budaya
- Gunung berapi berlava biru?
- DTree buka peluang dropship
- Cawangan baharu Fareeda di LTSAAS
- Mengapa ais kiub tiada sijil halal?
- Misteri sungai jadi kampung
- Sisi matang Tomok
- Setelah empat tahun berehat
- Lari maraton guna kasut tumit tinggi
- Suara hati Romli Mahmud
- Malaysia Mahu Bawa Balik Bangkai Pesawat MH17
- Banduan Dilatih Jadi Pemandu Bas Profesional
- Jururawat Dihukum Penjara Lapan Tahun Guna Duit Palsu
Dedah perut : Hanis Zalikha dikritik! Posted: 02 Nov 2014 06:29 PM PST
PENGACARA popular ini sememangnya menjadi perhatian peminat kerana penampilannya sentiasa terkini. Namun baru-baru ini dia sekali lagi menjadi perhatian gara-gara pakaian yang dikenakan sewaktu penggambaran bagi sebuah majalah tempatan menampakkan sedikit bahagian perutnya. Perkara itu menyebabkan pemilik nama Hanis Zalikha ini dikritik hebat oleh pengikutnya di laman sosial Instagram. Tertekan dengan kritikan tersebut, Hanis bagaimanapun bertindak menyekat beberapa pengikutnya kerana tidak mahu melayan komen-komen yang keterlaluan. Pun begitu, sehingga kini pelakon Gangster Celop ini masih belum memberikan kenyataan berhubung kontroversinya itu. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:29 PM PST BUKAN sahaja ayah dan ibunya menjadi tumpuan, sebaliknya anak mereka Lara Alana yang baru sahaja berusia 3 bulan turut mendapat perhatian hebat daripada peminat. Sehinggakan laman sosial Instagram yang dibuka khas untuk si cilik itu awal minggu lalu telah mencecah 169 ribu pengikut (sehingga Jumaat lalu). Menariknya, selain mempunyai peminat sendiri Lara juga sering menerima pelbagai hadiah daripada mereka. Menurut Awal Ashaari, dia tidak sangka kelahiran Lara benar-benar mendatangkan tuah dan kegembiraan buat dia dan Scha. "Tidak dapat saya bayangkan apabila anak kami dihadiahi pelbagai barangan berjenama dan mahal seawal usianya ini. "Malah dia juga telah mempunyai sebuah kereta BMW mainan yang direka khas untuk kanak-kanak hasil pemberian seorang kenalan," katanya. Tambah Awal, selain alat permainan, mereka juga sering menerima pelbagai koleksi pakaian untuk Lara. "Setakat ini dia telah mempunyai lebih 200 pasang baju termasuklah yang dihadiahkan oleh peminat," katanya lagi. | ||
Pekin: 'Keluarga mahu kami berbaik' Posted: 02 Nov 2014 06:28 PM PST
KISAH cinta kedua pelakon popular ini pernah menjadi tumpuan awal tahun lalu apabila ianya menemui jalan buntu. Meskipun sudah beberapa bulan berlalu, namun masih ramai yang tertanya-tanya apakah hubungan mereka masih mampu diselamatkan lagi. Ditemui di majlis kesyukuran dan pelancaran poster filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan kelmarin, jelas Pekin, hubungannya dengan Uqasha Senrose bukan lagi seperti dahulu. "Kami dah tiada apa-apa, kalau bertemu pun hanya di majlis seni. Sebab itulah, apabila keluarga mahu kami berbaik, saya terpaksa menolak. "Lagipun sekarang bukan masa yang sesuai," katanya yang masih akrab dengan keluarga Uqasha. Mohd Iznan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pekin Ibrahim ini turut menegaskan, dia masih belum memikirkan soal mencari cinta baharu. "Kalau ikutkan memang saya nak akhiri zaman bujang tahun ini, tapi nak buat macam mana jodoh tak kesampaian. "25 Oktober lalu merupakan hari lahir saya yang sepatutnya menjadi hari bahagia saya. Apa pun, saya tidak mahu memikirkan perkara itu lagi," katanya. Tambah Pekin, dia tidak menolak jodoh sekiranya bertemu wanita yang tepat. "Kali ni kalau saya jumpa yang berkenan, memang saya ajak kahwin terus," katanya yang selesa mencari jodoh sendiri dan bukan atas pilihan keluarga. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:27 PM PST
KEBIASAANNYA, persepsi negatif amat mudah dijadikan senjata untuk golongan wanita yang tidak bertudung litup, apatah lagi jika mereka dalam kalangan dunia selebriti yang penuh glamor. Malah, ada segelintir pihak beranggapan, kehidupan selebriti tidak terurus dan sering mengabaikan suruhan Ilahi termasuk rukun Islam kedua. Namun, pendedahan pengarah drama popular, Shahrulezad Mohameddin, mengenai tiga selebriti ini amat mengejutkan ramai pihak apabila dia memberitahu ketiga-tiga pelakon berkenaan adalah selebriti yang sentiasa menjaga solat. Mana tidaknya, tiga pelakon wanita berkenaan iaitu Rita Rudaini, Lana Nordin dan Rosnah Mat Aris, bukanlah di kalangan artis bertudung malah kehidupan mereka disusuli dengan kontroversi yang pelbagai. Bertanya hal ini kepada pelakon cantik, Rita Rudaini, dia memberitahu bahawa tuntutan kerja tidak pernah melalaikannya untuk mendirikan solat walau di mana sahaja dia berada. "Ramai yang fikir negatif pada artis yang tidak bertudung kononnya tak bagus dan tak jaga solat. Tapi, saya tak kisah apa pandangan orang. Kadang-kadang macam-macam komen dan pandangan hina yang saya dapat kerana tidak berhijab. "Pada saya, Islam itu tidak susah, sesetengah orang bermula dengan perlahan-lahan untuk berubah. Kita sesama Islam kena bagi semangat, bukan mengutuk. "Saya tenang dalam situasi ini dan sekarang pun saya dapat lihat perbezaan pada diri setelah jadi ibu iaitu tidak lagi berbaju ketat. Alhamdulillah, solat membuatkan saya tenang dalam mengharungi cabaran dunia dan membesarkan anak seorang diri di ibu kota ini," katanya yang mengakui banyak belajar daripada pengalaman. Jangan ganggu emosi mereka! Menurut ibu kepada Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 3, ini, walaupun bergelar ibu tunggal, namun dia mendekatkan anak-anak dengan didikan agama sejak kecil lagi. "Saya ajar mereka solat dan mengaji sejak kecil agar bila dewasa, mereka boleh nilai mana yang baik dan tidak. Mereka adalah saham dan pencen saya di akhirat nanti. "Saya mengharapkan dia mereka bila saya tiada nanti. Saya mahu menjadi seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dalam soal mendidik anak-anak. Malah kini, saya bangga kerana mereka sudah dapat menghafal surah-surah pendek. Sejuk perut saya mengandungkan mereka," kata pelakon drama, Sehangat Asmara ini. Tambah Rita, anak-anak sering mengikutnya solat bersama malah Arjuna sudah dilatih sejak usia dua tahun lagi. Paling membuatkan dirinya terharu, setiap kali tidur, Rayyan akan mendoakannya agar panjang umur. "Saya terkejut kerana saya tidak pernah ajar dia lagi untuk mendoakan saya. Tapi, dia cakap dengan saya, 'Mummy, tolong ajar Rayyan doakan mummy tak tua dan panjang umur?' "Jadi, setiap kali sebelum tidur, akan jadi rutin anak-anak baca Al Fatihah dan surah pendek serta doa. Ia membuatkan saya lagi sedih. Sejujurnya, saya susah hati kalau tak dapat jadikan mereka anak-anak yang baik," jelas bekas isteri pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan Razak, ini. Mengakui bukan mudah untuk membesarkan anak-anak seorang diri, Rita meminta agar orang sekeliling tidak mengganggu emosi anaknya dengan pertanyaan yang bukan-bukan. "Pernah sekali, anak-anak saya bercerita, ada kawan-kawan tanya ayah mana? Jadi, saya tanya dia jawab apa. Katanya, Rayyan ada mummy, mummy pergi 'shooting'. "Saya sedih dengan manusia yang tidak tahu sensitiviti mereka sedangkan mereka masih kecil. Tolong jaga emosi budak-budak. Walaupun mereka tidak pernah tanya di mana ayah mereka, namun saya tidak pernah mengajar mereka perkara yang tidak baik. "Jiwa mereka terlalu sensitif dan saya tahu ianya terlalu sukar untuk mereka hadapi kerana saya juga pernah berada di tempat mereka ketika usia dua tahun," katanya yang mengakui anak-anak tidak menggemari sukan bola sepak. Bukan masa cari pengganti Mengakui mungkin tiada ruang buat lelaki untuk memenuhi kekosongan di hati buat masa ini, Rita lebih mementingkan anak-anak daripada berbicara mengenai hati dan perasaan. Katanya, tidak perlu memperkatakan mengenai lelaki lain, malah dengan bekas suaminya sendiri, anak-anak menunjukkan riak sebenar. "Masa Aidil datang pun mereka tak boleh tengok Aidil borak dengan saya, tambah-tambah Rayyan. Dia akan buat perangai dan lari sambil hempas pintu. Susah nak pujuk. "Sebenarnya, kami lebih bahagia bertiga dan mereka tidak boleh berenggang dengan saya. Masa tidur pun berhimpit-himpit berebut nak dekat. Untuk anak, saya sanggup tak kahwin lagi kerana saya lebih pentingkan kebahagiaan anak-anak dari diri sendiri," katanya lagi. Ditanya mengenai kontroversi cinta bersama pelakon kacak, Remy Ishak, Rita memberitahu perkara itu langsung tidak mengganggu emosinya namun turut kesal di atas tuduhan itu. "Ia boleh menjejaskan maruah saya sebagai seorang ibu bila orang tuduh saya macam-macam sedangkan saya bukan jenis wanita yang kejar lelaki. "Siapa yang kenal saya akan tahu saya macam mana. Saya susah nak suka orang tapi kalau dah suka dan jatuh cinta, saya akan setia," katanya mengakhiri perbualan. | ||
Giliran Kembara gegar Istana Budaya Posted: 02 Nov 2014 06:26 PM PST MUNGKIN nama mereka jarang didengari mahupun dikenali di kalangan generasi muda masa kini, namun bagi peminat muzik yang membesar seiring era 80 an, 'Kembara' mungkin antara kumpulan yang dirindui. Sekembalinya grup yang mengetengahkan muzik harmoni ini, sudah tentu bakal mengimbau semula nostalgia era kegemilangan mereka. Pengasas Kembara yang juga vokalis utamanya, Datuk M. Nasir bersyukur biarpun penubuhan kumpulan ini sudah lama, tetapi masih lagi diingati sehingga hari ini. "Bermula dengan saya, A.Ali dan S. Sahlan, Kembara akhirnya berkembang dengan kemasukan anggota baru yang lain iaitu Zoul, Cheman, Md Shah dan Shahrom. "Muzik Kembara juga turut berkembang di mana pada awalnya kami bawakan muzik berelemen kerakyatan atau folk dan selepas digantikan generasi baru ia turut beralih pada muzik rock seni dan pop rock. "Alhamdulillah, biarpun ketika itu kami meneroka alternatif baru, kehadiran kami diterima baik dan lagu-lagu kami disenangi peminat muzik waktu itu," katanya. Menurutnya, selepas 28 tahun tidak beraksi menghiburkan peminat tempatan, Kembara mahu konsert kali ini menjadi persembahan yang bermakna buat penyokongnya. "Untuk konsert kali ini, kami akan tonjolkan persembahan yang tersendiri di mana secara keseluruhan kami masih lagi mementingkan vokal harmoni, muzik kerakyatan dan alunan gitar akustik yang tidak lari dari genre yang kami ketengahkan sebelum ini. "Lebih menarik, kami turut akan dibantu dari segi visual yang lebih menarik oleh pemuzik profesional yang akan diketuai oleh pengarah konsert, 'Bombay'. "Selebihnya, kami cuba untuk kerahkan semangat dan tenaga untuk menjadikannya lebih menghiburkan," katanya. Pada masa yang sama, salah seorang anggotanya dikenali sebagai S. Sahlan turut berkongsi keterujaan yang sama. "Bila ada perancangan untuk mengadakan konsert ini, saya memang bersemangat tambahan pula karya-karya kami masih diingati sehingga hari ini. "Kami akan cuba lakukan yang terbaik agar ia mampu memberi kepuasan pada penonton yang hadir. "Sepanjang konsert kami akan sajikan penonton dengan susunan lagu daripada tujuh album yang pernah kami hasilkan sebelum ini seiring dengan pengembaraan kami dalam industri muzik ini. Semoga semuanya dapat berjalan dengan baik," katanya sambil tersenyum. Tiket konsert yang berharga RM68, RM98, RM188, RM258, RM328 dan RM388 mula dijual sejak 22 September lalu menerusi www.ticket2u.biz dan di kaunter Box Office di Istana Budaya. Album buat peminat Dalam perkembangan lain, M. Nasir turut memberitahu, selain sibuk dengan persiapan konsert, Kembara juga sedang giat menghasilkan buah tangan terbaru buat peminatnya. "Untuk album kali ini, terdapat beberapa lagu baharu yang kami rekodkan di mana ia masih mengekalkan identiti Kembara. "Pada masa yang sama, ada juga lagu-lagu lama yang kami rakamkan semula tapi dengan susunan muzik yang sedikit berbeza. "Kami berharap, dengan kemunculan album ini tidak lama lagi, ia akan mengubati rindu peminat yang mungkin sudah lama menantikannya," ujarnya. Sebelum ini, Kembara pernah tampil dengan tujuh album iaitu Kembara pada 1981; Perjuangan (1982), Generasiku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986). | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:23 PM PST KABUPATEN BANYUWANGI - INDONESIA. Pelik tetapi ajaib! Gunung berapi biasa mungkin mengeluarkan lava merah panas dalam keadaan aktif. Namun bagi Gunung Berapi Ijen yang terletak di Jawa Timur Indonesia, gunung ini mempunyai pemandangan yang cukup indah dan juga mengalirkan lavanya yang berwarna biru. Terhasilnya lava berwarna unik itu disebabkan terhasilnya asid sulfurik yang dikatakan mengalir dan membentuk sebuah tasik semula jadi terbesar di dunia. Tasik tersebut dinamakan sebagai Kawah Ijen oleh penduduk setempat. Kawah Ijen juga dijadikan sebagai lombong sulfur dan menghasilkan 160-200 kilogram sulfur setiap hari. Menurut laporan yang dipetik melalui beberapa blog, nyalaan api biru yang terhasil daripada asid tersebut boleh mencapai sehingga lima meter. Dengan ketinggian 2,443 meter, gunung ini telah dikatakan meletus sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1796, 1817, 1913, dan 1936. Difahamkan, Gunung Berapi Ijen merupakan satu-satunya gunung berapi yang mengeluarkan lava biru di Indonesia. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:21 PM PST
FAR East Gold menerusi kedai emas milik penuh Bumiputera, DTree membuka cawangan keempat di Senawang, Negeri Sembilan, selepas lima tahun beroperasi dalam industri barangan kemas. Pengarah Urusannya, Rosmihaiza Rusly berkata, Dtree adalah hasil kerjasama strategik yang dijalinkan di antara Far East Gold dan Am Gold Resources. "Baru-baru ini, kami membuka peluang kepada mereka yang berminat menceburi dunia perniagaan barangan kemas melalui ejen-ejen yang dilantik ataupun sistem perniagaan Dropship. "Bagi yang berminat untuk menjadi rakan niaga DTree, mereka akan diberikan latihan serta tunjuk ajar dan selok-belok mengenai dunia perniagaan terutamanya barangan kemas," katanya. Menurutnya, ejen-ejen turut dibekalkan peralatan-peralatan untuk memulakan perniagaan barangan kemas seperti timbangan emas serta pengukur ukur lilit untuk cincin. Katanya, bagi mereka yang berdaftar menjadi ejen, mereka juga akan mendapat tawaran harga yang istimewa dan keuntungan 100 peratus. Rosmihaiza berkata, pihak pengurusan DTree kini bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang benar-benar ingin menceburi bidang perniagaan ini. "Pihak kami akan memberi tunjuk ajar serta latihan bagi mereka yang serius dalam bidang perniagaan ini daripada tunjuk ajar dan selok-belok perniagaan barangan kemas yang kami sediakan". katanya. | ||
Cawangan baharu Fareeda di LTSAAS Posted: 02 Nov 2014 06:20 PM PST
SYARIKAT pengeluar tudung eksklusif, Fareeda Global Resources Sdn Bhd menerusi jenama Fareeda membuka cawangan baharu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), semalam. Pengarahnya, Mawar Abdul Karim berkata, pembukaan itu merupakan cawangan pertama milik Fareeda di lapangan terbang. "Kami mahu lihat sejauh mana sambutan pelanggan di sini terlebih dahulu sebelum membuka cawangan di lapangan terbang lain di seluruh Malaysia. "Mungkin selepas ini, kami merancang membuka cawangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya selepas pembukaan cawangan keenam Fareeda di Subang. Mawar berkata, pihaknya sudah merancang membuka cawangan di lapangan terbang ini sejak dua tahun lalu. Fareeda mempunyai enam cawangan termasuk di Shah Alam, Kelantan dan Pulau Pinang serta dua di Bangi. Fareeda juga bakal membuka cawangan ketujuh di Alamanda, Putrajaya sebelum akhir tahun ini. Mengulas perancangan syarikat pada 2015, Mawar berkata, syarikatnya bakal membuka empat lagi cawangan baharu termasuk di Johor selain merancang menembusi pasaran Brunei dalam tempoh dua tahun akan datang, berikutan permintaan yang menggalakkan di negara itu. Sempena pembukaan cawangan baharu itu, Fareeda menawarkan lapan koleksi dengan corak baharu yang terhad antaranya Nour Sara Printed, Nour Sofea dan Aisya. Pembeli berpeluang menikmati harga pengenalan bagi koleksi tudung Fareeda bermula RM120 sehingga RM200 sehelai selagi stok masih ada. Sementara itu, pembeli pertama Fareeda, Nur Ziela Fara Hanis Burhan, 21, ketika ditemui berkata, dia sudah berada di butik itu sejak jam lapan malam kelmarin, bersama rakan-rakan yang lain. | ||
Mengapa ais kiub tiada sijil halal? Posted: 02 Nov 2014 06:15 PM PST
SHAH ALAM - Khamis lalu, sebuah kilang ais di Pulau Pinang diarah tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan tidak mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sama ada sedar atau tidak, kebanyakan syarikat pengeluar ais batu kiub tidak mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Sijil halal bukan hanya untuk menentukan sama ada makanan atau minuman mengandungi bahan yang dilarang dalam Islam tetapi ia juga untuk mengukur tahap kebersihan sesuatu makanan. Ini termasuk status air yang digunakan, dari sumber mana ia diambil dan sama ada air tersebut diproses terlebih dahulu? Sudah pasti, sijil halal adalah senjata utama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti penggunaan air kotor yang boleh mengundang pelbagai penyakit. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:14 PM PST
SABAK BERNAM - Siapa sangka, sebelum tahun 1950-an, Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap dulunya adalah sebuah sungai yang merbahaya disebabkan pusaran airnya yang berpusing-pusing dengan deras hingga menenggelamkan kapal dagangan dan mengorbankan banyak nyawa. Tidak hairanlah, apabila nama kampung itu berasal daripada perkataan 'lubuk pusing' yang diambil sempena sebuah kawasan sungai yang mempunyai sebuah lubuk dengan airnya berpusing-pusing. Mengikut sejarahnya pula, sebahagian besar Kampung Lubuk Pusing asalnya dari Sungai Bernam yang menjadi laluan kapal-kapal besar menjalankan aktiviti perdagangan, namun terdapat misteri disebalik sungai itu!. Kisah sungai berpusing-pusing ini menjadi igauan ngeri kepada penduduk kampung dan kapal dagang setiap kali melalui kawasan ini ia seolah-olah tak ubah seperti kawasan Segi Tiga Bermuda yang seringkali dikaitkan sebagai kawasan misteri berikutan ratusan kapal laut dan kapal terbang dilaporkan hilang di kawasan yang menjangkau keluasan sehingga 1.2 kilometer persegi. Diasaskan pada tahun 1914 Kampung Lubuk Pusing terletak di Mukim Sungai Panjang ini diasaskan Tuan Haji Chik atau namanya sebenar Sheikh Ahmad Marzuki pada 1914. Sheikh Ahmad Marzuki berasal dari Kepulauan Sumatera, Indonesia dan dipercayai bersama 40 rombongannya terdiri dalam kalangan ahli keluarga dan rakannya datang ke kampung itu bagi mewujudkan penempatan baharu ketika itu. Sheikh Ahmad Marzuki yang terkenal sebagai seorang alim dan berbudi pekerti luhur amat dihormati penduduk setempat. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Lubuk Pusing Bagan Terap, Mohd Razif Md Maini berkata, terdapat dua dakwaan yang menyebabkan pusaran air itu menjadi surut seperti yang diketahuinya melalui pembacaan dan ceritaan lisan daripada penduduk lama. "Menjadi kebimbangan penduduk dan pedagang setiap kali melalui sungai berpusing ini, maka mereka minta kewalian Sheikh Marzuki ini untuk hentikan pusaran lubuk. "Maka, Allahyarham Sheikh Marzuki bersama penduduk mengadakan solat hajat bagi menghentikan pusaran air berpusing di sungai terbabit yang menenggelamkan beberapa buah kapal dagang yang melalui sungai ini. "Ada satu cerita lagi, Sheikh Marzuki dipercayai melontarkan serbannya ke dalam lubuk pusaran sungai itu hingga Allahyarham memberitahu dengan rakan dan saudara terdekat bahawa suatau masa kawasan ini akan jadi daratan," katanya. Menurut Mohd Razif, sejak peristiwa itu, berlaku perubahan pada aliran sungai dan dasar sungai yang menyebabkan pusaran air semakin cetek. "Dengan mendapan demi mendapan berlaku, akhirnya kawasan pusaran air atau lubuk pusing ini menjadi daratan dan menjadi kawasan pertanian subur. "Kini pusaran air tersebut sudah tiada lagi disebabkan bentuk muka bumi yang berubah. Air sungai tersebut juga sudah kering dan kini menjadi daratan. Yang tinggal kini hanyalah empat tempat yang berbentuk kolam-kolam air," katanya. Masjid berusia 100 tahun Di sebalik cerita pusaran itu, Mohd Razif memberitahu, terdapat beberapa cerita menarik kampung itu seperti pembinaan masjid yang turut diasaskan Sheikh Marzuki di sebelah tapak rumahnya sejak kedatangannya ke kampung berkenaan. Nazir Masjid Marzukiah Kampung Lubuk Pusing, Norrodin Khalil, 55, berkata, di masjid itu terdapat sebuah bangunan kayu lama yang suatu ketika dahulu pernah dijadikan tempat pengikut tarikat Naqshabandariah dari Sumatera bersuluk iaitu membersihkan hati dengan berzikir. Katanya, bangunan itu kini kosong, namun ia masih dikekalkan bagi memastikan ia terus menjadi bahan sejarah kepada generasi akan datang termasuk sebuah perigi tempat mengambil air solat yang terletak bersebelahannya. "Jemaah suluk suatu ketika dahulu dari segenap pelusuk tanah air setiap kali bulan Rejab dan Syaaban akan tinggal beberapa hari di pondok ini untuk berkumpul beramai-ramai dengan menunaikan ibadah dan berzikir," ujarnya. Pengunjung singgah ambil air kolam Selain itu, Norrodin yang juga sebahagian daripada keturunan Sheikh Marzuki memberitahu, di sisi kiri hadapan masjid, terdapat makam Sheikh Marzuki dan anaknya, Muhammad Ilham atau lebih dikenali sebagai Haji Ikhsan. "Sheikh Marzuki berkahwin dua iaitu seorang isterinya di kampung ini dan seorang lagi di Indonesia. Beliau mempunyai dua anak iaitu Muhammad Sulamuddin dan Haji Ikhsan. Muhammad Sulamuddin berhijrah ke Kampung Terjun Pelabuhan Keli Sumatera, manakala Haji Ikhsan terus menetap ke kampung," jelasnya. Berhadapan makam itu, Norrodin berkata, terdapat sebuah kolam yang didakwa pernah digunakan Sheikh Marzuki untuk mengambil wuduk dan mandi. Kata Norrodin, air dari kolam itu dipercayai mampu menyembuhkan pelbagai penyakit dan ramai pengunjung yang datang dari jauh semata-mata ingin mengambil berkat air dari kolam terbabit. "Setiap hari pasti ada yang singgah ke sini untuk mengambil berkat air kolam yang pernah digunakan Sheikh Marzuki. Mungkin ini ikhtiar kita untuk merawat tetapi kuasa ALLAH yang menyembuhkan," jelasnya yang memberitahu masjid yang berusia 100 tahun itu masih mengekalkan ciri-ciri binaan tradisionalnya sehingga sekarang. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:09 PM PST PEMBABITAN awal Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail dalam industri muzik tanah air bermula sekitar tahun 1990-an. Ketika itu dia vokalis kumpulan remaja popular, New Boyz yang cukup digilai ramai. Lagu-lagu tangkap leleh dan 'jiwang karat' daripada kumpulan itu, ada yang masih menjadi siulan sehingga ke hari ini. Apa yang pasti, lagu-lagu dendangan New Boyz seperti Sejarah Mungkin Berulang akan kekal dalam ingatan peminat yang membesar pada zaman tersebut. Mengambil keputusan untuk memacu prestasi kerjayanya secara solo, Tomok yang juga merupakan juara program One In A Million (OIAM) pada tahun 2009, kini melebarkan sayapnya untuk terbang lebih tinggi dalam perjalanan seninya dengan kehadiran album kedua. Tomok optimis bahawa karya tersebut mampu meraih sambutan yang baik daripada peminat seluruh negara. Turut diakui Tomok, album itu menampilkan sisi matangnya sebagai seorang penyanyi berdasarkan pemilihan lagu yang dimuatkan di dalam album berkenaan. Diberi judul Tomok: Aku Datang, album yang mengandungi tujuh buah lagu kesemuanya itu selamat dilancarkan dalam satu majlis yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara lagu yang terkandung dalam album itu adalah Padam, Aku Datang, Penipu, Maafkan Aku, Cintalah Aku Pula, sebuah lagu nyanyian bersama pelakon Yana Samsudin, Cinta Jangan Pergi dan sebuah lagu daripada kumpulan New Boyz yang diberi nafas baharu iaitu Hiasan Di Laman Rindu. Jadi penerbit Memulakan bicara, lelaki berusia 30 tahun itu cukup berbesar hati apabila diberi kepercayaan oleh syarikat rakamannya iaitu Monkey Bone untuk berdiri sebagai penerbit kepada album sendiri. Walaupun tugas itu memberikan Tomok satu cabaran baharu dalam mewarnai perjalanan kariernya, namun kepercayaan yang diberikan kepadanya tidak mahu dipersia-siakan begitu sahaja. "Saya akui, menggalas tugas selaku penyanyi dan penerbit untuk album sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Saya menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab yang besar buat saya. Namun, setelah album ini dilancarkan, saya cukup berpuas hati dengan hasilnya. "Walaupun album ini sebenarnya mengambil masa yang agak lama iaitu empat tahun untuk dihasilkan, tempoh itu sebenarnya ada kebaikan. Tempoh yang panjang itu memberi ruang kepada saya untuk lebih bersedia untuk menghasilkan kualiti terbaik," ujar penyanyi yang berasal dari Kuala Lumpur optimis. Sebagai salah satu langkah dalam mempromosikan album terbaharunya, penyanyi yang pernah menjuarai program realiti Versus itu juga dijadualkan akan mengadakan beberapa jelajah ke beberapa buah negeri di seluruh negara bermula pada 9 November depan. Jelajah tersebut akan mula menemui peminat di Hard Rock Cafe, Melaka pada 9 November, diikuti dengan Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur (16 November), The Bed, Kota Kinabalu, Sabah (18 November), Beyond 2000, Wilayah Persekutuan Labuan dan Paragon Superclub, Kuching, Sarawak pada 24 November depan. Kurangkan aktiviti publisiti Mengakui wajahnya jarang muncul dalam mana-mana media cetak mahupun elektronik, Tomok yang pernah membintangi filem Istanbul Aku Datang dengan rendah diri mendedahkan perkara sebenar. Menafikan sering mengelak daripada ditemu bual atau menjalani sesi fotografi, penyanyi yang juga pelakon itu memberitahu, dia lebih selesa untuk menghadiri fotografi sekiranya ada produk yang mahu dihebahkan. "Sejujurnya, saya bukan mahu mengelak, sebaliknya, saya lebih selesa membuat publisiti sekiranya ada produk atau album baharu untuk dikongsikan dengan peminat. Jika sekadar dipanggil untuk berkongsi cerita mengenai hidup, gosip atau sebagainya, kalau boleh saya tidak mahu. "Kisah hidup dan gosip itu sudah lama saya lalui. Saya tidak mahu lagi menjaja cerita publisiti yang sebegitu. Saya mahu sesuatu yang lebih bermakna jika muncul membuat publisiti. "Lagi pun, pada usia yang sudah menjangkau 30 tahun begini, biarlah saya berehat daripada melakukan banyak aktiviti mencari publisiti. Sebelum ini pun, sejak bersama kumpulan New Boyz lagi, hari-hari saya dipenuhi dengan aktiviti fotografi. Saya sudah lama melalui semua itu. "Sekarang pun, semakin ramai artis baharu muncul memeriahkan dunia seni, jadi apa salahnya jika saya beri peluang kepada muka baharu pula untuk menonjolkan karya mereka kepada media," ujarnya jujur. Timang anak kedua Menyelami kehidupan berumah tangga, Tomok sedang meniti hari bahagia apabila isteri tercinta, Siti Rahayu Abas, 35, kini hamil anak kedua. Kandungan Rahayu kini berusia lima bulan dan mereka dijangka akan menyambut kehadiran anak kedua pada bulan Februari tahun hadapan. Bersyukur atas kurniaan rezeki itu, Tomok semakin bersedia untuk melengkapkan keluarga kecilnya dengan kehadiran orang baharu. Apatah lagi, bayi dalam perut isterinya itu juga bakal menjadi kawan kepada putera sulungnya, Arrianshah Akid yang sudah menjangkau usia tiga tahun. "Walaupun kandungan isteri sudah masuk bulan kelima, jantinanya belum diketahui kerana tidak berapa lama lagi kami akan ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut. Saya tidak kisah tentang jantina bayi kedua saya itu sama ada lelaki atau perempuan. "Sebenarnya tidak banyak persiapan besar kami lakukan untuk menyambut kelahiran bayi ini nanti. Apa yang penting, saya juga tidak sabar mahu menunggu kehadiran orang baharu dalam keluarga. "Sekarang saya agak sibuk, namun, keselamatan isteri yang semakin sarat tetap menjadi keutamaan. Jika saya terpaksa keluar bekerja untuk tempoh yang lama, saya akan hantar isteri dan Arrianshah ke rumah ibu bapa atau mentua saya. Barulah hati rasa lega sekiranya ada keluarga yang dapat berada di sisi mereka," ujarnya ceria mengakhiri perbualan. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:07 PM PST LAMA benar rasanya kelibat pengacara dan bekas penyampai radio itu tidak kelihatan dalam kaca televisyen. Sejak mendirikan rumah tangga bersama Mohamed Raqeem Brian Abdullah, 40, dan melahirkan dua orang anak, tumpuan Nurul Hana Che Mahazan atau lebih popular dikenali sebagai Nana Mahazan, 31, terhadap dunia hiburan dilihat tidak selincah seperti ketika zaman bujangnya dahulu. Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu lebih gemar menghabiskan masa di rumah sambil menguruskan dua orang buah hatinya, Althea Raqeem Brian, 3, dan Aaqib Raqeem Brian, 11 bulan. Namun, siapa sangka, rasa rindu terhadap bidang yang telah lama ditinggalkannya itu mengatasi segala-galanya. Memutuskan untuk menyambung karier sebagai pengacara, pada 14 November depan, anak jati kelahiran Muar, Johor itu bakal kembali beraksi di hadapan kamera bagi mengendalikan pertandingan realiti terbaharu TV9 berjudul Pop Krew. Program pencarian bakat berkumpulan remaja yang bakal bersiaran pada pukul 8.30 malam itu turut menampilkan penyampai radio Hot FM, Deen sebagai rakan setugas. Terdapat dua orang jurulatih yang telah dilantik untuk membimbing para peserta program tersebut iaitu Stacy dan Tomok. Tawaran "Setelah empat tahun berehat daripada dunia pengacaraan, rasa rindu untuk kembali mengacara itu tiba-tiba datang. "Jadi, apabila ditawarkan untuk mengendalikan Pop Krew, saya berasa sungguh teruja dan terus menerima tawaran itu. "Lagi pun, anak-anak sudah besar dan program ini juga tidak memerlukan saya berjauhan dengan mereka dalam tempoh yang terlalu lama," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut di The Terrace, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambah Nana, dia tidak perlu gusar tentang keadaan anak-anak kerana ibunya akan datang ke Kuala Lumpur setiap minggu untuk menggantikan tempatnya menjaga Althea dan Aaqib sepanjang ketiadaannya. "Saya tidak mempunyai orang gaji apatah lagi pengasuh. Saya tidak mudah percaya kepada orang asing. "Bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, ibu saya menawarkan diri untuk menjaga kedua-dua anak saya," ujarnya lagi. Instagram Kehidupan bekas penyampai radio Era FM itu sering menjadi perhatian peminatnya menerusi platform media sosial. Selain menulis blog, Nana juga aktif memuat naik gambar-gambar rutin harian ke akaun Instagram miliknya. Walaupun gemar berkongsi cerita dengan peminat, akui Nana, dia tidak pernah terlepas daripada menerima komen-komen negatif daripada pengikut di laman sosial. "Kadang-kadang, saya berasa sangat pelik kenapa pengguna media sosial di Malaysia berperangai sungguh kejam. "Jika bukan saya, anak-anak saya akan jadi mangsa. Sehinggakan ada yang pernah menyamakan rupa anak-anak saya seperti tupai. "Memang perasaan marah itu akan muncul, tetapi, saya mengambil jalan mudah dengan tidak menghiraukan komen itu dan menyekat akses mereka ke akaun Instagram saya," katanya dengan nada kesal. Namun, bagi Nana, dia tetap berasa bersyukur kerana masih ada peminat yang memahami dan sentiasa menyokongnya dari belakang. "Sebab itu, saya sentiasa menjadi diri sendiri. Saya tahu masih ada yang menyokong dan positif dengan apa yang saya kongsikan dengan mereka," ujarnya mengakhiri perbualan. | ||
Lari maraton guna kasut tumit tinggi Posted: 02 Nov 2014 06:04 PM PST LONDON – Seorang wanita di sini berazam mencipta rekod dunia sebagai individu pertama menamatkan larian maraton dengan memakai kasut tumit tinggi. Wanita itu, Natalie Eckert, 37, merancang menyertai larian Maraton London pada April tahun depan sejauh 42 kilometer dengan memakai sepasang kasut yang mempunyai tumit setinggi 12.7 sentimeter. Ibu kepada dua orang anak itu berkata, dia menjalani latihan berlari dengan memakai kasut tumit tinggi selama dua hari seminggu sebagai persediaan menyertai pertandingan maraton tersebut. Walaupun tidak pernah menyertai larian maraton sebelum ini, Eckert yakin dia mampu menamatkan larian tersebut dengan memakai kasut tumit tinggi dan berazam menamatkan larian dalam tempoh empat jam. "Saya sangat menyukai kasut tumit tinggi dan ketika di sekolah rakan-rakan pernah mentertawakan saya kerana memakai kasut tumit tinggi ketika menyertai sukan di sekolah," katanya. Menurutnya, dia merancang untuk mengutip dana berjumlah £5,000 (RM26,437) ketika menyertai larian tersebut dan wang berkenaan akan didermakan kepada sebuah badan amal. | ||
Posted: 02 Nov 2014 06:02 PM PST KETIKA lantunan muzik mula bersatu, riak wajah kumpulan kanak-kanak yang mendahului barisan hadapan penonton sedikit kehairanan. Dahi yang berkerut berbaur teruja melihat gelagat lelaki separuh abad lincah memukul-mukul tembaga besi sambil keasyikan bercerita kisah Awang Ada Duit Semua Jadi. Selang beberapa ketika, kedengaran hilai tawa mereka apabila sang pelipur lara mula bertukar-tukar prop berupa topeng kayu sebagai tunjang utama jalan ceritanya. Dikenali sebagai Awang Batil dalam kalangan penduduk setempat, persembahan seni verbal itu diibaratkan sebagai ikon penghibur yang sudah mencipta nama sejak berkurun lamanya. "Dahulu, Awang Batil selalu dimainkan ketika upacara keramaian seperti perkahwinan. "Meskipun diselang-selikan dengan alunan muzik tradisional tetapi jenaka Awang Batil yang paling dinanti-nantikan," ujar salah seorang penduduk senior di Kampung Telok Jambu, Bintong, Kangar, Perlis Sariah Saad mengimbas kembali detik kegemilangan persembahan klasik itu. Tambah wanita berusia 45 tahun itu, ketika Awang Batil dimainkan, seluruh lapisan masyarakat akan berkumpul di sekeliling pentas kecil bagi mendengar celoteh tukang cerita sehingga larut malam. Buai emosi "Bayangkan, ada persembahan yang bermula dari pukul 8 malam berlanjutan hingga pukul 6 pagi tetapi penonton sanggup menunggu sehingga tamat jalan cerita," terangnya lagi. Terkenal di beberapa negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Pulau Pinang dan khususnya di Perlis, Awang Batil bak televisyen atau radio kepada penduduk setempat ketika itu. Bertemankan sebuah tembaga yang dipanggil batil, tukang cerita akan membuai emosi dan berkongsi jenaka nasihat melalui cerita-cerita lama termasuk seperti Raja Bersiung, Jabat Jabit dan Anak Lang Pak Belang. Namun begitu, peralihan masa melenyapkan gemilap cahaya lampu pentas Awang Batil hingga membuatkan generasi baharu kini berasa asing dengan corak persembahan tradisi itu. Diakui sendiri oleh Sariah apabila anak-anaknya tidak pernah mendengar lawak jenaka Awang Batil yang banyak dimainkan di negeri Indera Kayangan itu. "Jarang ada persembahan terbuka diadakan bagi memperkenalkan Awang Batil kepada anak-anak muda mungkin kerana gaya hiburan masa kini berbeza dengan tahun ke belakang," luah ibu kepada dua anak itu. Tumpuannya dikembalikan kepada lelaki warga emas separuh abad itu yang ligat beraksi di atas pentas dewan serbaguna Kampung Ujung Bukit, Kangar. Titis keringatnya membasahi topeng rona merah lengkap berkopiah dipanggil Wak Nujum yang dipakai di sepanjang persembahan singkat 30 minit. Selera hiburan Pantas dia membuka topeng itu apabila mendengar keriuhan dewan dengan tepukan gemuruh. Ia seperti memberi tanda hadirin terhibur mendengar kisah seorang lelaki bernama Awang yang menyahut cabaran daripada Sultan untuk berkahwin dengan puterinya. Perubahan selera hiburan masa kini tidak menghentikan pukulan gendang Romli Mahmud yang setia memalu khazanah seni yang diturunkan sejak lima generasi keluarganya. Tidak termaktub dalam kamus hidupnya untuk mematikan seni budaya itu biar ramai yang tidak peka dan mengambil peduli usaha survival dilakukannya bersama rakan-rakan seperjuangan lain. "Sebenarnya ada yang berminat tetapi ramai yang berhenti separuh jalan sahaja," ungkap lelaki yang memasuki usia 59 tahun itu. Kesabaran Pada hematnya, anak-anak muda hari ini tidak sabar dalam mempelajari seni Awang Batil yang bukan sahaja memerlukan si pemain bercerita tetapi juga memerlukan kemahiran alat muzik. Setiap persembahan akan disertai alat-alat muzik lain seperti gendang, gong, serunai dan biola yang akan dimainkan bersama Awang Batil. Ketangkasan mengenali alat dan nota muzik perlu dikuatkan dengan pengkisahan cerita yang menarik bagi memahat tumpuan penonton sehingga bait terakhir. "Kesemua intipati tersebut perlu diselarikan dengan sebaiknya bagi mencipta perjalanan persembahan yang menarik. "Sayangnya, sebilangan daripada mereka hanya menguasai satu bidang sahaja sama ada bercerita atau bermain menyebabkan sukar untuk mencari pelapis baharu," katanya. Kerisauan kehilangan Awang Batil turut berbekas dalam hati Prof. Madya Mohariff Shariff ketika ditebak persoalan kelangsungan seni tradisi itu. Beliau mengakui ia bakal hilang dari radar adat dan budaya negara jika tiada langkah memartabatkannya dilakukan dengan lebih menyeluruh. "Jika ada usaha untuk memasukkan Awang Batil dalam silibus pembelajaran di institusi pengajian tinggi, mungkin ia boleh diteruskan ke peringkat yang lebih jauh," ujarnya ketika ditemui pada Program Sahabat Media di Perlis baru-baru ini. Selain itu, beliau yang merupakan bekas pensyarah di Pusat Bahasa Antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, gaya penceritaan persembahan Awang Batil perlu diselarikan dengan persekitaran semasa. Mengambil contoh persembahan wayang kulit yang turut mengadaptasi cerita dan rekaan menurut bahasa moden bagi mencapai khalayak tontonan baharu. "Tidak ramai yang memahami cara persembahan yang dikekalkan dalam Awang Batil. Dari segi bahasa, lawak dan persembahan, ia perlu digubah mengikut alur semasa," kongsi Mohariff. Generasi muda yang tidak menjadi penyambung budaya tidak boleh disalahkan sepenuhnya, kata Mohariff kerana permintaan Awang Batil semakin berkurang. "Bagaimana mahu berkarya jika tiada permintaan biar pentas dan idea sudah tersedia?" soalnya. Pembaharuan tersebut sudah dilakukan oleh Romli melalui beberapa penambahbaikan bagi memantapkan persembahan Awang Batil era moden. Memasukkan peralatan muzik baharu seperti biola antara solusi yang dilakukan anak jati Kampung Pokok Sena, Chuping, Perlis itu bagi menambah rencah persembahannya. Selain itu, sketsa pendek dan penggunaan bahasa mudah difahami juga diatur bagi memastikan aura Awang Batil meresap ke dalam jiwa penonton baharu. Semuanya direncana supaya ia tidak pupus selagi hayatnya masih dikandung tanah sementelah dia merupakan satu-satunya figura yang tinggal sebagai penerus seni tersebut. Bagi Dekan Pusat Tradisional Aswara (Putra) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Nik Mustapha Nik Mohd. Salleh, seorang Awang Batil perlu mempunyai kesungguhan dan minat yang mendalam bagi mewarisi seni budaya tersebut. "Mereka perlu memahami dan menyelami semangat yang ada dalam diri seorang Awang Batil bagi melahirkan magis dalam persembahan mereka," ujarnya ketika dihubungi. Tambahnya, pelapis-pelapis baharu perlu mencontohi gaya rentak yang disampaikan oleh Mahmud Wahid atau dikenali sebagai Pak Mud yang merupakan pejuang asli muzikal rakyat tersebut. Pernah menonton persembahan Pak Mud di Kompleks Budaya Negara sekitar 70-an, Nik Mustafa berpendapat sayang jika Awang Batil dimatikan begitu sahaja. "Jika tidak, kita akan kehilangan warisan budaya seperti yang berlaku kepada kesenian Awang Kelampit di Kelantan yang tiada penerusnya," luah Nik Mustafa. Beliau turut bersetuju jika ada usaha untuk membawa persembahan klasik seperti Awang Batil ke institusi pengajian tinggi. Melalui institusi tersebut, ujar Nik Mustafa, pelajar mudah mengenali sejarah dan rentak budaya yang melingkungi kesenian tinggalan nenek moyang. Romli sendiri mengambil masa lama untuk menggalas peranan sebagai Awang Batil. Mewarisi Selepas pemergian arwah bapanya, Pak Mud pada tahun 1991, Romli berhijrah ke Pulau Pinang untuk menyertai kumpulan muzik tradisional. Semua peralatan persembahan Awang Batil diserahkan ke pihak Muzium Perlis kerana beliau tidak lagi berminat untuk bermain yang ketika itu sudah menghampiri zaman kegelapan. Hanya selepas pelawaan daripada penulis buku dan novel terkenal, Rejab Ismail atau lebih dikenali menerusi nama pena Rejab F.I sekitar tahun 1997, perlahan-lahan Romli membuka hatinya menyambung legasi sebagai sang penglipur lara. "Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan teruskan? Biarlah ada yang memandang enteng, yang penting persembahan Awang Batil terus bernyawa di bumi Perlis," luah Romli. Pernah beliau terasa hati sewaktu membuat persembahan jalanan sekitar Kuala Lumpur. Niat untuk berkongsi budaya seperti dipandang hina apabila ada yang menghulur wang syiling. "Terasa seperti peminta sedekah pula," seloroh bapa kepada empat orang anak itu. Tekadnya, dia tidak akan kembali ke tempat itu daripada integritinya berterusan tercalar. Namun, jauh di sudut hatinya, beliau masih berharap ada penyambung yang terus mempersembahkan alunan denting tembaga dan seloka topeng Wak Nujum dan hulu balang. | ||
Malaysia Mahu Bawa Balik Bangkai Pesawat MH17 Posted: 02 Nov 2014 05:58 PM PST | ||
Banduan Dilatih Jadi Pemandu Bas Profesional Posted: 02 Nov 2014 05:56 PM PST | ||
Jururawat Dihukum Penjara Lapan Tahun Guna Duit Palsu Posted: 02 Nov 2014 05:53 PM PST |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
0 ulasan:
Catat Ulasan