Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Disingkir produksi: Hanez tutup mulut!
- Pelekat peti sejuk punca kanser?
- Demi nyanyian Aril tinggalkan Era fm
- FFM: Ellie dinobat pengarah harapan
- Rezeki dari buah keranji
- Uniknya Kampung Kelantan di Muar
- Siti Nurhaliza Kecewa Sikap Peniaga Produk 'Penipu'
- Penanggal & Tanda Putera Raih 2 Anugerah FFM 26
- Ariffin Janji Tidak Tinggalkan Hijjaz
- Nurul Wahab Kecil Hati Kandungannya Ditegur
- Wafa Abdul Kadir Bertarung Nyawa Jalani Pembedahan
- Artis veteran dapat kasut tajaan
- Jiwa jantan Farid dan Bront
- Pihak penganjur tidak profesional – Raja Azmi
- Zhang Jian akhirnya diberkas
- Kaki, tangan diikat pengasuh
- Murid perempuan maut digilis kereta di hadapan sekolah
- Bela harimau di belakang rumah
- Signifikan Welcome To The Railworld Japan
- Saling ‘curi’ kepakaran
- Berhutang dalam Islam
- Belajar subjek Sejarah SPM cara kreatif
- Penangan Bila Hati Berbicara
- 'Malam Solidariti Switch Off'
- Ultraman turun ke Malaysia
Disingkir produksi: Hanez tutup mulut! Posted: 29 Oct 2014 10:34 PM PDT
GARA-gara kontroversi yang tercetus sebelum ini, karier seni Hanez Suraya kini dilihat semakin malap. Bukan sahaja hilang tawaran seni bahkan dia juga semakin hilang peminat. Lebih buruk lagi, bintang Autumn Di Hatiku ini khabarnya telah digam oleh stesen TV tempatan sekali gus menjejaskan periuk nasinya sebagai seorang pelakon. Biarpun pernah merayu agar diberi peluang kedua, namun nasib tetap tidak berpihak kepada pelakon berusia 27 tahun ini. Mana tidaknya, kegembiraan berkongsi berita mengenai penglibatannya dalam telefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar, bertukar sebaliknya apabila bekas duta Aura White ini dikatakan telah disingkirkan daripada projek tersebut. Malah tempatnya itu digantikan pula dengan pelakon lain. Hanez yang dihubungi bagaimanapun enggan mengulas perkara tersebut dan nampaknya lebih selesa untuk berdiam diri. "Saya tidak mahu komen lagi mengenai isu ini," tegasnya. Menerusi temu bual sebelum ini, Hanez pernah meluahkan hasratnya untuk kembali aktif berlakon dan memohon agar semua pihak memberi peluang kepadanya. "Memang saya akui isu yang timbul telah menggelapkan karier saya. Namun apa berlaku sebelum ini membuatkan saya lebih kuat untuk teruskan hidup. "Saya yakin Tuhan sentiasa ada di sisi. Biarlah apa orang nak cakap, satu hari nanti orang akan tahu cerita sebenar," katanya. Dalam tempoh 'dihukum', Hanez bagaimanapun tidak pernah putus asa untuk bangkit kembali. Buktinya, dia telah berjinak dalam bidang perniagaan dan menghasilkan syampu jenama sendiri iaitu VLasy. Meskipun ada yang memandang rendah terhadap usahanya itu, namun Hanez tetap optimis dan yakin produknya itu mampu pergi jauh. "Buat masa ini, saya jual secara online dan respons yang diberikan sangat positif," katanya. | |||
Pelekat peti sejuk punca kanser? Posted: 29 Oct 2014 10:33 PM PDT
AUTA Satu kajian daripada Universiti Princeton mendakwa pihaknya menemui kesan menakutkan apabila pelekat magnet peti sejuk boleh menyebabkan penyakit kanser. Laporan itu dikongsikan beberapa blogger serta fanpage terkenal yang mempunyai jutaan pengikut. Walaupun sudah lima bulan kajian itu dibuat namun sehingga semalam masih ada pemilik akaun Facebook berkongsikan perihal penemuan kajian tersebut. Sehingga kini lebih 6,000 pengikut laman Fanpage itu berkongsi laporan mengenai bahayanya pelekat magnet peti sejuk itu. Laporan itu mendakwa makanan seperti ayam, daging, ikan dan sayuran yang disimpan di dalam peti sejuk itu akan dicemari oleh pancaran sinaran elektromagnet hasil daripada pelekat magnet yang diletakkan di pintu peti sejuk itu. Malah, orang yang memakan makanan daripada peti sejuk itu berpeluang menghidap penyakit kanser apabila sel aktif hasil elektromagnet itu akan merebak secara senyap. FAKTA Menurut Pakar Sains Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Aminah Abdullah, fakta yang dikemukakan itu adalah palsu. Beliau berkata, tidak mungkin pelekat magnet itu mampu menembusi pintu sesebuah peti ais dan mempengaruhi keadaan makanan di dalamnya. "Pelekat hiasan yang hanya diletakkan di luar pintu peti ais, tidak mungkin boleh masuk dalam makanan. "Apatah lagi keadaan suhunya yang sejuk menyukarkan makanan itu bertindak balas dengan faktor yang lain," katanya. Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mendengar penemuan seumpama itu dilakukan mana-mana universiti setakat ini. "Saya harap orang ramai tidak mudah percaya dan menyebarkan perkara yang tidak sahih," katanya. | |||
Demi nyanyian Aril tinggalkan Era fm Posted: 29 Oct 2014 10:31 PM PDT
"SEBENARNYA sebab utama mengapa saya berhenti sebagai penyampai radio di stesen Era FM adalah kerana mahu beri fokus sepenuhnya terhadap karier nyanyian saya," jelas penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 7, Aril yang menamatkan kontraknya sebagai penyampai radio Era FM baru-baru ini. Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus mengakui kerjayanya sebagai penyampai radio juga merupakan antara faktor utama lagu-lagunya tidak diputarkan di stesen radio lain. "Saya nampak ia menjadi satu persaingan dan sekali gus menyulitkan karier nyanyian saya daripada terus berkembang. "Jadi saya ambil keputusan yang tepat untuk berhenti kerana karier nyanyian adalah fokus utama saya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya, 'Aril' di No Black Tie, Kuala Lumpur, Isnin lalu. Mengulas lanjut mengenai album penuhnya itu, Aril memberitahu selain memuatkan single yang pernah dinyanyikan sebelum ini, ia turut diselitkan sebuah lagu nyanyian semula berjudul 'Kembali Senyum' yang pernah dipopularkan oleh abangnya, Allahyarham Izwan Pilus. "Mungkin orang akan bandingkan nyanyian saya dengannya, tapi saya percaya ramai peminat yang merindui dirinya. "Jadi sebagai seorang adik apa lagi yang boleh saya lakukan untuk menghargai jasa dia selain mendoakan yang terbaik untuknya," ujarnya. Pada masa sama, Aril menjelaskan dia mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sebuah album bukan kerana tidak serius namun perlu memilih produk yang berkualiti untuk dimuatkan dalam album tersebut. "Selama saya berada dalam industri ini banyak percubaan yang saya lakukan dan bukannya dalam bidang nyanyian semata-mata. "Selepas beberapa tahun, saya rasakan sekarang adalah waktu yang tepat untuk keluarkan album dan ini adalah hadiah istimewa buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya," katanya sebelum mengakhiri perbualan. Album Aril memuatkan sebanyak 9 buah lagu antaranya Cari Aku, Menggeletar, Bangkit, Kembali Senyum, Ganjil, Bintang & Kelompang, Anugerah Terindah, Tulus dan Menatap Wajahmu. | |||
FFM: Ellie dinobat pengarah harapan Posted: 29 Oct 2014 10:30 PM PDT
PENGARAH filem 'Penanggal', Ellie Suriati dinobatkan sebagai Pengarah Harapan pada malam perasmian Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kuala Lumpur, malam tadi. Festival berkenaan yang bertemakan Transformasi Sinema Malaysia itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Jailani Johari. Sebanyak 11 anugerah diberi kepada penggiat seni belakang tabir, iaitu Anugerah Poster Terbaik yang dimenangi oleh Primeworks Studios (Grand Brilliance) menerusi filem bertajuk 'Kil', manakala Anugerah Penataan Seni Terbaik disandang oleh Nazrul Asraff menerusi filem 'Penanggal'. Anugerah Pereka Kostum/ Busana Terbaik dijuarai oleh Hasnan Yaccob dan Fadzilah Abdullah menerusi filen 'Tanda Putera', manakala Sharon Paul menjadi pemenang bagi Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik menerusi filem yang sama. Sementara itu, Anugerah Penataan Bunyi Terbaik disandang Syamsul Yusoff dan Hisham Jupri (KL Gangster 2), Anugerah Lagu Tema Asal Terbaik pula dimenangi Tomok dan Rafidah Abdullah (Istanbul Aku Datang). Anugerah Penggiat Belakang Tabir dimenangi oleh Ali Husin manakala Anugerah Pelakon Kanak-kanak Terbaik dimenangi oleh Rykarl Iskandar (Ajiboy), dan Anugerah Filem Pendek Terbaik dimenangi Reservoir Production Sdn Bhd menerusi filem 'Jahit'. Anugerah Filem Animasi Terbaik pula tidak mempunyai pemenang. Acara kemuncak FFM26 akan diadakan pada Sabtu ini di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadot, Seremban, Negeri Sembilan. | |||
Posted: 29 Oct 2014 10:27 PM PDT
KUALA BERANG - 'Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, suruh makan engkau makan, suruh mengaji engkau tidak mahu'. Bait-bait pantun tersebut pastinya sering didengari, namun begitu hakikatnya mungkin masih ramai yang tidak mengenali spesies buah nadir ini. Bagaimanapun, bagi pengunjung pasar pagi atau lebih dikenali sebagai Hari Giliran di Kuala Berang, buah keranji atau turut dipanggil buah keradih sudah tentu mengetahui buah hutan ini memandangkan ia dijual kebanyakan peniaga warga emas apabila tiba musimnya. Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, terdapat kira-kira lima peniaga yang menjual buah hutan ini sebagai sumber rezeki di samping sayur-sayuran kampung biarpun sekadar beralaskan tikar dan bersila menunggu kehadiran pembeli. Berkongsi kisah, seorang peniaga dari Kampung Sekayu, Minah Omar, 62, berkata, sejak 20 tahun lalu mencari rezeki berniaga di Hari Giliran, dia tidak ketinggalan turut menjual buah keranji apabila tiba musimnya. "Biasanya buah ini akan ada selepas musim buah-buahan berakhir dan sebagaimana sebelum ini, makcik beli dengan orang kampung yang panjat pokok tersebut di kawasan hutan lalu dijual di Hari Giliran ini sebagai tambahan kepada sayur serta hasil kampung yang dijual di sini. "Sekali beli, makcik ambil sekitar 20 gantang dan kalau dibandingkan, harganya memang meningkat berbanding dulu. Sekarang ini, makcik jual RM6 secupak dengan beratnya sekitar 500 gram tetapi banyak diperoleh kerana buah keradih ini ringan. "Rasa buah ini masam-masam manis dan senang untuk dimakan iaitu dengan hanya memicit kulitnya sahaja sebelum dikemam seperti makan gula-gula. Keistimewaan buah ini ialah tahan lama sekali gus kurangkan risiko rugi kerana ia tidak busuk. "Walaupun pelbagai peringkat umur datang beli buah keradih ini namun tidak dinafikan kebanyakan generasi muda tidak mengenali buah ini dan bertanya pada makcik. Malah, ada dalam kalangan mereka sekadar tahu buah keranji daripada pantun empat kerat sahaja," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, nenek lapan cucu ini berkata, demi mencari rezeki halal dia ke Kuala Berang berniaga di Hari Giliran (Rabu dan Sabtu) menaiki Toyota Hilux termasuk peralatan dengan kadar bayaran RM30 memandangkan dia tidak mempunyai kenderaan sendiri. | |||
Uniknya Kampung Kelantan di Muar Posted: 29 Oct 2014 10:24 PM PDT
MELEWATI Jalan Tunku Bendahara, Muar, di sini, pasti akan menimbulkan persoalan kepada sesiapa sahaja apabila terlihat papan tanda yang tertulis Selamat Datang Ke Kampung Kelantan di persimpangan jalan tersebut. Pastinya mereka akan tertanya-tanya bagaimana sebuah negeri di pantai timur boleh dijadikan sebagai nama kampung di Muar. Memang agak sukar untuk membongkar sejarah kampung itu kerana ramai generasi lama untuk dijadikan rujukan mengenai Kampung Kelantan sudah meninggal dunia. Penulis mendapatkan bantuan daripada seorang kanak-kanak untuk menjejaki satu-satunya orang lama kampung tersebut yang masih hidup iaitu Pak Andak, yang telah sudi menceritakan serba sedikit sejarah Kampung Kelantan. Pengasas kampung asal Kelantan Pak Andak atau nama sebenarnya, Muhammad Jambul, 85, memberitahu, nama kampung berkenaan adalah bersempena dengan negeri kelahiran pengasas kampung itu iaitu arwah bapanya yang berasal dari Kampung Pecah Durian, Pasir Mas, Kelantan, berhijrah ke Muar untuk mencari pekerjaan. Bapanya, Jambul Othman, berhijrah ke daerah ini bersendirian sebelum diikuti adik beradik dan saudara mara yang lain. "Arwah bapa meneroka kawasan ini yang dahulunya hutan belantara dan membina rumah menggunakan kulit kayu serta upih pinang. "Di sinilah arwah bapa bertemu dengan arwah ibu yang juga berasal dari Kelantan. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam cahaya mata dan semua anak dilahirkan di sini (Kampung Kelantan, Muar)," katanya kepada Sinar Harian. Katanya lagi, peringkat awal selepas diteroka, kampung ini hanya terdapat kurang daripada 10 rumah yang semuanya saudara mara arwah bapa. Bagaimanapun Muhamad berkata, lama kelamaan bilangan penduduk semakin bertambah dan kini mencecah kira-kira 400 orang selepas hampir 100 tahun usia kampung tersebut. Penduduk kerja kampung "Pada masa itu, semua penduduk melakukan kerja kampung seperti menebang balak dan memungut hasil hutan untuk dijual di bandar bagi memperoleh wang. "Walaupun keadaan ketika itu agak teruk ditambah pula dengan kehadiran penjajah, namun disebabkan banyak sumber yang boleh dijadikan mata pencarian mendorong ramai penduduk negeri Kelantan berhijrah ke sini," katanya. Bapa tujuh anak itu berkata, semua penduduk yang menetap di kampung berkenaan adalah berasal dari Kelantan dan di antara mereka mempunyai pertalian persaudaraan. Menurutnya, dia juga melalui zaman sukar sewaktu kecil dan remaja kerana kehadiran penjajah British dan komunis menyulitkan lagi kehidupan penduduk Kampung Kelantan ketika itu. "Penduduk tidak boleh bebas bergerak kerana takut dengan ancaman komunis serta tidak ketinggalan lihat ramai penduduk meninggal dunia akibat dibunuh komunis dengan kejam. "Saya menebang balak bersama rakan di kawasan Air Hitam sehingga Pagoh. Kami beramai-ramai menarik balak menggunakan pengangkutan khas untuk dijual ke bandar," katanya. Kawasan kampung kini membangun Muhammad berkata, suasana kampung itu berbeza berbanding dahulu yang dikelilingi dengan pokok getah dan kini dipenuhi pula dengan perumahan baharu. Katanya, Muar semakin membangun dan turut mengenai tempiasnya ke kawasan itu apabila banyak petempatan baharu berhampiran kampung ini dibuka menyebabkan Kampung Kelantan kelihatan sedikit terpinggir. "Saya bangga dengan kemajuan ini, namun kadang-kadang berasa khuatir mengenangkan nasib kampung ini pada masa akan datang. Adakah kewujudan kampung ini dapat dikekalkan atau sebaliknya,"katanya. Katanya, meskipun komuniti Kelantan di kampung tersebut kebanyakkan membesar di daerah itu dan bukan negeri asal mereka, tetapi budaya masyarakat negeri itu yang mementing tali persaudaraan tetap sama. "Kesemua penduduk kampung ini adalah saudara dan sebab itu hubungan mereka sangat akrab. "Jika dahulu kebanyakkan penduduk di sini keturunan negeri Kelantan tetapi situasi hari ini sudah berbeza yang sebahagian berasal daripada negeri lain serta berhijrah ke kampung tersebut,"katanya. Pak Andak berkata, sebagai generasi paling tua di kampung berkenaan, sudah tentunya dia mengharapkan Kampung Kelantan akan terus kekal di daerah itu sebagai satu kampung unik yang terdapat di Muar. | |||
Siti Nurhaliza Kecewa Sikap Peniaga Produk 'Penipu' Posted: 29 Oct 2014 03:45 PM PDT | |||
Penanggal & Tanda Putera Raih 2 Anugerah FFM 26 Posted: 29 Oct 2014 03:44 PM PDT | |||
Ariffin Janji Tidak Tinggalkan Hijjaz Posted: 29 Oct 2014 03:42 PM PDT | |||
Nurul Wahab Kecil Hati Kandungannya Ditegur Posted: 29 Oct 2014 03:41 PM PDT | |||
Wafa Abdul Kadir Bertarung Nyawa Jalani Pembedahan Posted: 29 Oct 2014 03:38 PM PDT | |||
Artis veteran dapat kasut tajaan Posted: 29 Oct 2014 03:03 PM PDT SERAMAI 55 orang artis veteran terpilih untuk menerima penajaan kasut yang bernilai RM34,000 daripada sebuah jenama kasut untuk kesihatan, Medifeet. Penyampaian tajaan itu disampaikan kepada Yayasan Artis Veteran Malaysia apabila salah seorang artis veteran, pelawak Hamid Gurkha bekerjasama dengan mereka untuk promosi produk tersebut. Timbalan Pengerusi Yayasan Artis Vetaran Malaysia, pelakon Kismah Johar, 62, berkata, persatuan itu telah ditubuhkan pada Januari tahun lalu oleh Allahyarham Datuk Aziz Satar. Menjadi pemangku presiden yayasan itu, Kismah memberitahu, pelbagai aktiviti telah dilakukan untuk membantu artis veteran termasuklah tajaan kasut yang diberikan oleh jenama MediFeet. "Pihak MediFeet berbesar hati menaja kasut bernilai RM34,000 kepada ahli-ahli yayasan. Kasut jenama ini baik untuk orang veteran yang mengalami pelbagai penyakit seperti kencing manis. Ini adalah salah satu usaha yayasan untuk membantu golongan ahli sekali gus mengeratkan hubungan antara kami," ujar Kismah. Pemberian penajaan kasut kesihatan kepada ahli-ahli Yayasan Artis Veteran Malaysia itu merupakan satu program besar yang berjaya dilakukan oleh yayasan terbabit. Sepanjang dua tahun penubuhan, Yayasan Artis Veteran Malaysia setakat ini telah mengumpul seramai 100 orang ahli dan merupakan antara yayasan yang aktif melakukan pelbagai aktiviti. "Tujuan menubuhkan persatuan ini bukan untuk kepentingan diri sendiri, sebaliknya untuk semua artis veteran yang berusia 50 tahun ke atas. Kami mengumpulkan dana untuk membantu ibu tunggal serta artis veteran kerana apabila tua mereka tidak banyak mendapat tawaran lakonan dan nyanyian," ujar Kismah mengenai misi penubuhan yayasan berkenaan. Disoal adakah persatuan seni yang sedia ada tidak memadai untuk golongan artis veteran sehingga mereka terpaksa menubuhkan sebuah persatuan lain, jawab Kismah, penubuhan Yayasan Artis Veteran Malaysia bukan untuk bersaing dengan persatuan seni yang lain. "Kami tubuhkan yayasan ini bukan untuk bersaing dengan persatuan lain, tetapi kami ada alasan tersendiri. Persatuan lain mempunyai perjuangan yang lebih besar, sebaliknya, yayasan ini memberi fokus untuk membantu golongan artis veteran dan ibu tunggal sahaja. "Saya juga masih ahli kepada beberapa persatuan seni lain tetapi, apabila sudah berusia, aktiviti kami tidak sama dengan aktiviti orang muda. Setakat ini kebanyakan ahli memberi respon yang positif terhadap aktiviti yang diadakan," tutur Kismah. Selain menganjurkan aktiviti melibatkan dunia seni, pihak yayasan juga berhasrat untuk menaja dua orang ahli menunaikan umrah pada tahun hadapan. "Setiap tahun pihak kami akan membuat cabutan dua nama ahli secara rawak untuk menunaikan umrah," kata Kismah yang memberitahu, yayasan itu mendapat dana daripada pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan. Salah seorang artis veteran yang menjadi ahli persatuan ialah pelakon Norlia Ghani. Ujarnya, apabila semakin kurang tawaran berlakon, masanya banyak dipenuhi dengan aktiviti yang dianjurkan oleh yayasan berkenaan. "Pihak yayasan tidak sahaja menganjurkan aktiviti kesenian yang memberikan pendapatan kepada ahli, tetapi juga aktiviti keagamaan. Biasalah bila sudah berusia, kita mahu ubah diri menjadi lebih baik serta memperbanyakkan ilmu agama," kata Norlia. | |||
Posted: 29 Oct 2014 03:02 PM PDT FARID KAMIL dan Bront Palarae, dua aktor yang sering menjadi sandaran kepada retorik sesebuah filem. Populariti, kredibiliti lakonan dan kuasa tarikan milik dua nama itu merupakan pakej dan tuntutan yang harus ada dalam sesebuah karya komersial. Berikan mereka apa sahaja karakter dan hasil yang dipersembahkan, jarang mengecewakan. Watak hero sudah menjadi makanan buat Farid dan Bront. Watak jahat, ganas dan dibenci juga permainan mudah buat mereka. Tidak hanya karakter berat dalam filem-filem drama, aksi atau romantis, waima Bront sendiri pernah diangkat sebagai Pelakon Komedi Terbaik dalam Anugerah Lawak Warna 2014 menerusi filem Sejoli. Lantas apa lagi janji Farid dan Bront menerusi filem terbaharu mereka, Anak Jantan yang mula menyerang pawagam hari ini. Berseteru dan bertentangan personaliti, dua pelakon itu ternyata protagonis dan antagonis kacak dalam filem yang meminjam kisah kegiatan pengganas di negara jiran sebagai penggerak plot. Banyak bermain konsep imbas kembali, filem arahan Faizul A. Rashid itu menjalani penggambaran kebanyakannya di wilayah Sadao, Thailand. Sesuai dengan kepakaran yang ada dalam industri perfileman di Thailand, Anak Jantan sendiri banyak diperkuatkan dengan aksi pertarungan. Filem cetusan idea oleh Latiff Mohaideen yang bertindak selaku penerbit itu turut memuatkan isu tanggungjawab seseorang lelaki sejati dalam mempertahankan maruah dan keselamatan orang tersayang. Atas permintaan Farid dan Bront, Anak Jantan menjanjikan suatu kelainan apabila kesemua aksi lagak ngeri dalam filem dilakukan sendiri oleh mereka dan kebanyakan pelakon lain. Hadir pada majlis pratonton filem itu di Mutiara Damansara, Damansara, baru-baru ini, Kosmo! mendekati kedua-dua pelakon tinggi lampai tersebut bagi menyingkap perihal penjiwaan dan peranan karakter mereka dalam naskhah Anak Jantan. Farid teruja Walaupun cukup terkenal dengan keberkesanan pembawakan watak utama dalam filem-filemnya sebelum ini, Farid Kamil, 33, tetap tidak mengambil mudah peranannya dalam menjayakan perjalanan filem Anak Jantan. Ilmu dan pengalaman aksi lagak ngeri yang pernah ditimba ketika menuntut di Australia Stunt Academy sebelum ini digunakan sebaik mungkin oleh Farid dalam menterjemahkan perjalanan karakternya dengan baik. "Selepas sahaja selesai penggambaran, sememangnya saya sendiri mengakui teruja dan tidak sabar untuk menonton filem ini. Bukan apa, cuma saya tidak sabar mahu menonton perjalanan sebuah filem yang penuh dengan aksi-aksi berat. Tambahan pula, semua aksi itu dilakukan sendiri oleh saya dan Bront. "Jika diikutkan, perasaan suspen itu sangat tinggi dalam jiwa saya kerana penggambaran filem ini sangat menguji mental dan fizikal sebagai seorang pelakon. Babak-babak aksi lagak ngeri dalam filem ini sangat banyak. Ini termasuklah babak berlawan yang memerlukan tenaga yang sangat banyak. "Dari segi aksi, apa yang saya boleh katakan di sini adalah, secara keseluruhannya memang saya berpuas hati dan ternyata filem ini mempunyai kelainannya dengan filem-filem saya yang lain," ujar Farid yang sekali lagi digandingkan dengan pelakon cantik Nora danish dalam filem berkenaan. Retak rusuk kiri Mengakui melakonkan aksi lagak ngeri tidak akan terlepas daripada bahana kemalangan kecil atau besar, pelakon yang pernah membintangi filem Anak Halal itu menambah, kecelakaan yang menimpanya semasa penggambaran merupakan salah satu cabaran yang perlu diterimanya sebagai anak seni. "Antara cabaran yang saya perlu tempuh ialah pada ketika melakukan satu babak dalam filem ini, saya mengalami keretakan tulang rusuk kiri. Insiden ini berlaku ketika penggambaran diadakan hujung tahun 2012. Ketika itu, tarikh pernikahan saya begitu hampir. "Jika diikutkan, banyak lagi cabaran dalam filem ini yang sukar. Contohnya, dalam satu babak melibatkan letupan bom. Perasaan takut memang terasa kerana letupan itu adalah letupan sebenar," ujar suami kepada pelakon Diana Danielle itu dengan bersungguh. Bront puas hati Pembawaan wataknya yang begitu menjadi bagi mana-mana filem atau drama lakonannya membuatkan kredibiliti Bront Palarae atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 35, cukup disegani. Diketahui umum sebagai aktor Melayu yang fasih berbahasa Siam, itu juga merupakan satu kelebihan yang ada kepada pelakon yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem baharu yang berjudul Terbaik Dari Langit itu. Berpeluang bertemu dengan pelakon tinggi lampai yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu, memberi peluang yang lebih khusus untuk berkongsi perasaan serta pandangannya mengenai filem Anak Jantan. "Sejujurnya, selepas menonton filem ini, saya sangat berpuas hati. Pertamanya, sebab mesej yang terkandung dalam filem ini sampai kepada penonton dengan baik. Mesej kasih sayang dan pengorbanan seorang lelaki dalam berjuang mempertahankan haknya. Kedua, saya juga sangat berpuas hati dengan keberhasilannya apabila semua jalan cerita yang kami usahakan sebelum ini berjaya dinukilkan menjadi satu bentuk penceritaan yang penuh emosi. "Sejujurnya, melakonkan filem yang sarat dengan aksi bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi, saya akui sangat seronok ketika berlakon filem ini. Bergandingan pula dengan Farid, jadi segala kerjasama berjalan lancar," ujarnya tersenyum menutup bicara. | |||
Pihak penganjur tidak profesional – Raja Azmi Posted: 29 Oct 2014 03:01 PM PDT Setelah dilarang untuk mengadakan pertemuan bersama pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor pada 18 Oktober lalu, penerbit filem dan penulis novel sensasi, Raja Azmi sekali lagi menerima nasib yang sama apabila penyertaannya untuk memberi ceramah sempena ArtFest iaitu satu festival seni di Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini dibatalkan. Terkejut dengan pembatalan pada saat-saat akhir itu, Raja Azmi meluahkan rasa kecewanya apabila pihak pengurusan UiTM tidak memberi sebarang alasan kukuh berkaitan pembatalan tersebut. Haknya dinafikan oleh pihak UiTM atas alasan dia seorang selebriti yang penuh dengan kontroversi peribadi. Mengakui sangat terkilan, Raja Azmi menyifatkan sesetengah pihak tidak profesional dalam menangani perkara berkenaan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama penulis novel Black Widow yang pernah mencecah jualan sebanyak 70,000 naskhah pada tahun 1993 itu. Kosmo!: Bolehkah Raja Azmi ceritakan apakah yang sebenarnya berlaku mengenai pembatalan penyertaan anda dalam festival seni UiTM? Raja Azmi: Saya diundang untuk berdialog dengan pelajar UiTM dan berkongsi pengalaman terutamanya dalam bidang penulisan sempena ArtFest anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist UiTM di Shah Alam. Namun, setelah saya tiba ke pekarangan lokasi festival tersebut pada 26 Oktober lalu, saya menerima sepucuk surat memaklumkan bahawa penyertaan telah dibatalkan. Saya tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang sesi dialog bersama pelajar-pelajar tersebut. Saya berasa sangat terkilan dan tidak dihormati apabila pihak pengurusan bertindak sedemikian dengan membatalkan slot saya pada saat-saat akhir. Adakah anda diberikan alasan kukuh oleh pihak pengurusan UiTM mengenai pembatalan tersebut? Tidak ada sebarang alasan kukuh yang diberikan, cuma, setelah saya sampai, salah seorang wakil daripada pihak pengurusan datang kepada saya dan memberitahu bahawa pihak atasan tidak mahu saya memberikan sebarang ceramah. Dia juga memberitahu bahawa kontroversi peribadi saya sebelum ini merupakan antara faktor kenapa saya dibatalkan untuk menyertai program tersebut. Apakah reaksi anda setelah diperlakukan sebegitu rupa? Saya rasa pembatalan ini merupakan sesuatu yang sungguh tidak adil. Selain daripada tidak menghormati saya sebagai seorang tetamu jemputan, mereka juga menjejaskan kredibiliti saya sebagai seorang penulis novel. Apakah tujuan sebenar anda bersetuju untuk menyertai dialog tersebut? Saya diminta oleh wakil pelajar untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penulisan sejak 10 tahun lalu. Selain itu, saya juga bersetuju untuk memberi ulasan terhadap karya filem saya iaitu …Dalam Botol dan mempromosikan novel terbaharu saya berjudul Karkuma. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman kepada golongan muda yang merupakan golongan pelapis dalam memperjuangkan seni negara. Setelah perkara itu berlaku, adakah anda serik untuk menerima jemputan ceramah daripada mana-mana institusi pengajian tinggi lagi? Saya tidak akan sesekali berputus asa. Bagi saya, biarlah sesetengah orang cuba untuk menutup periuk nasi saya, namun, hanya saya sahaja yang tahu perkara sebenar dan niat ingin berkongsi pengalaman. Selain daripada sibuk dengan aktiviti promosi untuk novel Karkuma, apa perkembangan terbaharu anda dalam cabang seni lain? Setakat ini saya ingin berehat dalam menerbitkan filem, saya menumpukan sepenuh konsentrasi terhadap bidang penulisan. Saya juga kini dalam rangka untuk mengadakan konsert jelajah yang melibatkan beberapa penggiat seni tanah air. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:59 PM PDT KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China yang diburu pihak berkuasa dari tiga buah negara iaitu China, Malaysia dan Thailand kerana menjadi dalang penipuan skim cepat kaya mencecah RM1 bilion akhirnya tersungkur apabila diberkas oleh polis Negara Gajah Putih itu Isnin lalu. Lelaki tersebut, Song Miqui, 37, yang lebih dikenali dengan nama Zhang Jian di negara ini ditahan polis Thailand bersama rakan subahatnya, Wang Wenfang, 29, di sebuah kondominium di daerah Pathumwan, Bangkok, manakala seorang lagi suspek, Geng Lianbao, 29, diberkas di kediamannya di daerah Muang dekat Phuket. Menurut portal berita Thailand, The Nation, turut ditemui ketika Zhang Jian dan Wenfang ditahan ialah mata wang pelbagai negara berjumlah kira-kira RM100,696. "Selain itu, lima kontrak penjualan tanah di Phuket bernilai 22.3 juta baht (RM224,553), surat hak milik tanah, wang 1.5 juta baht (RM151,044) dalam akaun milik Wenfang dan kad pengenalan Thailand suspek turut dirampas pihak berkuasa. "Polis juga merampas wang tunai 5 juta baht (RM503,481) dalam pelbagai mata wang, sembilan surat hak milik tanah bernilai 200 juta baht (RM20.1 juta), perhiasan emas bernilai 2.2 juta baht (RM221,532), tiga buah kereta serta kad pengenalan Thailand milik Lianbao," menurut portal berkenaan. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:58 PM PDT SEBERANG PERAI – Demi menyara hidup, seorang ibu terpaksa meninggalkan anak lelakinya yang berusia empat tahun untuk dijaga seorang pengasuh yang juga jirannya sewaktu dia keluar bekerja sejak setahun lalu. Namun, kepercayaan ibu tunggal yang bekerja kilang itu dibalas dengan perbuatan jahat apabila tangan dan kaki anaknya diikat oleh pengasuh tersebut. Kejadian disedari wanita itu, Nalita Ahmad, 38, semasa mengunjungi rumah pengasuh itu di Flat Taman Sri Pinang, Butterworth di sini kelmarin. Sumber polis memberitahu, Nalita pergi ke rumah pengasuh berusia 39 tahun itu yang terletak di tingkat lapan flat berkenaan kira-kira pukul 10 pagi kelmarin selepas mengesyaki sesuatu tidak kena berlaku pada anaknya. Nalita tinggal di tingkat lima di flat yang sama. | |||
Murid perempuan maut digilis kereta di hadapan sekolah Posted: 29 Oct 2014 02:56 PM PDT KAPIT – Seorang murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapit di sini maut selepas digilis sebuah kereta yang tiba-tiba menggelongsor menuruni Bukit Goram di sini kelmarin. Mangsa, Susanna Athey, 9, ketika kejadian dipercayai sedang berjalan kaki bersama kakaknya Cecilia, 11, sebelum dilanggar kereta jenis Proton Saga Flx yang meluncur laju menuruni jalan berbukit di hadapan sekolah berkenaan kira-kira pukul 1 tengah hari. Pemangku Ketua Polis Daerah Kapit, Asisten Superintendan Chua Su Wan berkata, sebelum kejadian, kereta dipandu seorang wanita berusia 38 tahun yang membawa bersama empat orang anaknya itu sedang mendaki jalan bukit yang agak licin kerana hujan. "Bagaimanapun, kereta tersebut tiba-tiba hilang kawalan dan menggelongsor laju menuruni bukit di hadapan sekolah berkenaan lalu merempuh dua beradik yang sedang berjalan kaki itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam. | |||
Bela harimau di belakang rumah Posted: 29 Oct 2014 02:53 PM PDT TALLAHASSEE, Amerika Syarikat – Seorang lelaki membela enam ekor harimau dan dua ekor singa di belakang rumahnya sebagai salah satu cara untuk mendidik orang ramai mengenai spesies terancam itu. Lelaki tersebut, Carl Bovard menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Single Vision bagi menggalakkan orang ramai datang ke rumahnya di negeri Florida untuk melawat haiwan berkenaan. Selain harimau dan singa, Bovard juga membela dua ekor anak beruang, seekor harimau bintang serta dua ekor buaya. Bovard berkata, ketika pengunjung melawat kediamannya, dia akan bermain-main termasuk memeluk haiwan berkenaan bagi meningkatkan kesedaran berhubung pentingnya memastikan kewujudan haiwan terancam tersebut terus terpelihara. "Membela haiwan seperti ini di belakang rumah anda memang sangat bahaya dan saya mengambil beberapa langkah untuk memastikan keselamatan saya serta orang ramai terjamin. "Haiwan ini walaupun jinak tetapi mereka masih mempunyai naluri pembunuh dan saya perlu berhati-hati ketika bermain bersama mereka," katanya. | |||
Signifikan Welcome To The Railworld Japan Posted: 29 Oct 2014 02:51 PM PDT Cuaca di Jepun pada pertengahan Oktober lalu tidak menentu. Pada hari rombongan media Malaysia tiba di negara Matahari Terbit itu tanggal 13 Oktober lalu, penduduk Tokyo disarankan untuk tidak melakukan aktiviti luar kerana jabatan kaji cuaca meramalkan Taufan Phanfone akan melanda bandar raya tersebut. Namun, ada sepasukan produksi yang bergabung tenaga menerbitkan sebuah program travelog berjudul Welcome To The Railworld Japan perlu melunaskan beberapa episod mereka di sana. Pasukan tersebut terdiri daripada empat individu rakyat Malaysia daripada produksi Primeworks Studio Sdn. Bhd.. Mereka ialah Penerbit, Ahmad Khairi Zulkifli, 33, Penolong penerbit, Mohd. Zahir Zainuddin, 30, Penulis skrip, Widyawati Sharkawi, 29 dan hos program, Henry Golding, 27 tahun. Mereka dibantu dari segi teknikal oleh 10 orang lagi merupakan rakyat Jepun yang begitu teruja dan antusias untuk menyudahkan baki penggambaran program tersebut. Mereka ialah Pengarah Eksekutif AX-ON Inc merangkap Penerbit Bersekutu Welcome To The Railworld Japan, Hajime Sato, Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Nippon TV, Taro Ozawa, Penerbit, Jun Fujii dan Tetsuzan Aomi, Penolong Penerbit, Sumiyo Kobayakawa, Haruka Ui dan Ken Ouura, Pengarah Fotografi, Tsutomu Yokose, Penolong Fotografi, Koki Ikehara dan dua orang jurualih bahasa, Aileen Chang dan Susie Yang. Kehadiran empat media Malaysia ke negara itu adalah untuk sama-sama terlibat menyaksikan mereka menyudahkan beberapa episod yang dirakamkan di sekitar Tokyo termasuk di Tokyo Skytree yang merupakan menara tertinggi di Jepun yang dibina pada tahun 2010. Ironi, ada banyak perkara yang istimewa mengenai program yang dihoskan oleh Henry Golding tersebut. Antara yang membanggakan ialah ia merupakan program terbitan Malaysia dengan jenama Welcome To The RailWorld yang diterbitkan produksi sama pada tahun 2010. Travelog tersebut bagaimanapun telah menarik minat dua syarikat gergasi di Jepun iaitu Nippon Television Network Corporation dan Sumitomo Corporation untuk diterbitkan dalam versi pengembaraan di Jepun yang kemudian dinamakan sebagai Welcome To The Railworld Japan selepas formatnya dipersembahkan kepada mereka. Sementelah ia begitu mirip dengan program sedia ada yang diterbitkan dan ditayangkan di Nippon TV selama 22 tahun sejak tahun 1992, Next Stop, Discovery. Program 10 episod yang dirancang tayangannya pertengahan Januari tahun depan ini juga dijadikan sandaran oleh dua syarikat tersebut untuk ditayangkan di saluran 8TV sebagai platform memperkenalkan Jepun kepada Malaysia khususnya dan negara Asia lain seperti Singapura amnya. Selama empat hari mengikut produksi tersebut melunaskan kerja mereka, dapat dilihat ia bukan sekadar kerjasama yang tidak melibatkan emosi. Sebaliknya, keakraban yang terbina di antara mereka dapat dilihat sangat harmoni, tidak ubah seperti keluarga. Ternyata, budaya atau komunikasi tidak pernah membataskan sebuah kerjasama yang dijalinkan dengan cukup baik. Jalinan tersebut dipintal kemas selama lebih sebulan bekerjasama menyudahkan Welcome To The Railworld Japan yang membawa mereka bergerak ke seluruh pelusuk negeri Jepun, merentas utara dan selatan negeri itu demi menyajikan sebuah program travelog yang berbaloi untuk ditonton. "Komunikasi tidak pernah menjadi halangan untuk kerjasama kami berjalan lancar, biarpun diakui kami menggunakan dua juru alih bahasa untuk memudahkan kerja. Saya kira, satu-satunya faktor yang selalu mengganggu kelancaran kerja kami ialah cuaca yang tidak menentu. Selebihnya, kami sudah menjadi seperti keluarga," ujar Pengarah Eksekutif AX-ON Inc merangkap Penerbit Bersekutu Welcome To The Railworld Japan, Hajime Sato dalam pertemuan bersama media Malaysia mengenai program tersebut. Bagaimanapun jelas Hajime, faktor cuaca yang tidak menentu juga bukan alasan untuk mereka membatalkan hasrat menjalankan rakaman seperti biasa. Tempoh sekitar 45 hari penggambaran, jadual disusun dengan baik. Sebanyak sembilan destinasi terbaik di Jepun yang dapat dikunjungi menerusi perkhidmatan kereta api seperti Hokkaido, Shikoku, Kanto, Okinawa dan Tokyo dapat dirakamkan seperti yang telah dirancang. Bercakap lebih lanjut tentang signifikan program tersebut diadaptasi ke dalam versi Jepun, Pengarah Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Nippon TV, Taro Ozawa memberitahu kerana negara Jepun memang cukup terkenal dengan penggunaan perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan awam paling popular di negara mereka. Justeru, pihak Nippon TV dan Sumitomo melihat melalui travelog tersebut, ia akan menjadi tarikan utama buat pelancong mengunjungi Jepun dan menggunakan perkhidmatan kereta api mereka yang efisyen. "Dalam masa yang sama, selain menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama, travelog ini juga diselitkan dengan banyak perkara seperti budaya atau makanan Jepun kepada audiens," katanya lagi. Ditanya mengapa tidak menggunakan tenaga produksi sendiri dan hos dari negara mereka untuk mengendalikan program tersebut, Taro yang mengakui Malaysia merupakan negara nombor satu pilihan rakyat Jepun melancong menjelaskan, mereka sengaja memilih orang luar kerana persepsi khalayak luar dan penduduk tempatan terhadap negara mereka sendiri berbeza. Katanya: "Sejak awal memang kami tertarik untuk mengekalkan tenaga produksi asal dan Henry sebagai hos kerana mahu orang luar meneroka sendiri keistimewaan yang ada tentang negara kami dari segi pengangkutan, budaya serta makanan. "Jika kami menggunakan anak tempatan misalnya, barangkali pada mata mereka sesebuah destinasi yang ingin ditonjolkan itu tidak menarik pada mata mereka kerana sudah berasa ia satu perkara biasa, tetapi tidak bagi orang luar seperti pengunjung yang selalu melihat destinasi yang mereka kunjungi dalam konteks yang berbeza. Malah, melalui Welcome To The Railworld Japan, kami memaparkan banyak destinasi yang tidak disarankan oleh pihak agensi pelancongan misalnya sebagai destinasi wajib singgah jika ke negara kami." Ubah persepsi Sementara itu, bagi Khairi, peluang yang diberi pihak Nippon TV dan Sumitomo kepada mereka untuk menerajui program tersebut dilihat sebagai satu penghormatan buat anak tempatan meneroka dan belajar tentang ilmu bekerjasama dengan produksi luar. Lebih membanggakan, mereka diberi kebebasan untuk menentukan fokus program tersebut dan dua pihak syarikat itu hanya membantu dari segi teknikal. Menyifatkan kolaborasi mereka sebagai satu kerjasama yang menguntungkan kedua-dua belah pihak, dia menjelaskan perkara yang mengujakan tentang Welcome To The Railworld Japan ialah bagaimana penonton atau pelancong boleh menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai akses utama untuk sampai ke seluruh pelusuk negara tersebut termasuk menggunakan perkhidmatan kereta api paling laju di dunia, Shinkansen. "Perkhidmatan kereta api Shinkansen yang dipaparkan dalam program ini merupakan antara tarikan utama Welcome To The Railworld Japan selain bagaimana kami membawakan banyak pengalaman di Jepun yang mengujakan bagi menarik minat penonton melancong ke sini," ujarnya. Ditebak Jepun selalu disifatkan sebagai sebuah negara yang mahal untuk dikunjungi, pantas dia menjawab: "Saya percaya perkara utama yang perlu dilakukan oleh semua pelancong ke mana-mana negara sekali pun ialah dengan mempunyai pengurusan kewangan dan perancangan yang betul. "Tunggu sehingga kalian saksikan Welcome To The Railworld Japan dan kalian akan tahu bahawa untuk melancong ke sini dengan menggunakan kereta api, menginap di hotel atau menikmati makanan mereka, tidak semahal seperti yang disangkakan. Kami juga menyelitkan banyak tip tentang bagaimana untuk menikmati negara Jepun dengan sebaiknya," katanya. Pengalaman baharu Tidak dapat disembunyikan, individu yang paling teruja mengenai program ini ialah Henry. Katanya yang tidak sabar untuk menanti tayangan travelog tersebut, pengalaman menggunakan perkhidmatan kereta api terutama Shinkansen begitu bernilai buatnya. Sementelah kesempatan untuk berada di sesebuah lokasi yang mempunyai latar cerita berbeza memberi banyak kenangan manis buatnya. "Biarpun ia berlandaskan konsep yang sama seperti saya kendalikan dahulu, hakikatnya Welcome To The Railworld Japan membawa saya mengembara lebih jauh daripada satu negeri ke negeri yang lain dengan latar budaya yang berbeza. Lebih menarik pengalaman mengembara menaiki Shinkansen. "Di Hokkaido misalnya, kami bertemu dengan suku masyarakat kuno mereka di sana, manakala tentulah pengalaman yang berbeza saya perolehi di bandar raya seperti Tokyo yang serba moden. "Ya, biarpun penat kerana waktu kerja kami sangat padat dan hampir hanya menginap sehari di sesebuah hotel sebelum bergegas ke destinasi seterusnya, hubungan baik umpama keluarga yang terjalin di antara kami menghapuskan rasa lelah itu. Saya tidak sabar untuk melihat hasilnya kelak dipertontonkan kepada umum nanti," ujar Henry yang kini menetap di Singapura. Bakal ditayangkan selama setengah jam, Welcome To The Railworld Japan dijadualkan menemui penonton pada pertengahan Januari 2015 di saluran 8TV setiap hari Khamis pukul 9.30 malam. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:50 PM PDT Berbeza budaya, latar belakang dan cara kerja nyata tidak menjadi satu kekangan buat dua produksi ini bergabung. Empat daripadanya dengan diketuai oleh penerbit dan pengarah dari Malaysia, Ahmad Khairi Zulkifli, manakala 10 lagi dari Jepun yang juga bukan calang-calang orang di belakang tabir, kolaborasi mereka berjalan sempurna dalam melunaskan projek adaptasi Welcome To The Railworld kepada Welcome To The Railworld Japan. Berbicara dengan Pengarah Fotografi yang terlibat merakamkan syot-syot menarik di dalam program travelog tersebut, Tsutomu Yokose memberitahu secara amnya tidak banyak perbezaan budaya kerja di antara kedua-dua buah negara ini. Namun, akuinya, dalam kerjasama yang dijalinkan, dia dapat 'mencuri' kepakaran mengendalikan kamera jenis C300 yang jarang digunakan pekerja di sebalik tabir di negara tersebut selain penggunaan sistem Atomos yang melancarkan kerja mereka. "Jika mahu dicakap tentang kekangan komunikasi, ia tidak menjadi masalah besar. Budaya kerja kami juga tidak banyak berbeza. Hanya dari segi teknikal, saya dapat mencuri ilmu baharu apabila menggunakan kamera jenis C300 yang tidak pernah digunakan di sini. Pada kebiasaannya, kami menggunakan kamera jenis HD 7 untuk merakamkan syot-syot di dalam program yang dilakukan. "Selain penggunaan kamera yang berlainan jenis, sistem Atomos iaitu sistem yang lebih efisyen di mana rakaman terus dapat disunting di dalam kamera memudahkan kerja kami. Ini merupakan satu pengalaman yang bagus untuk kami di sini," ujar Tsutomu yang telah 15 tahun menjadi jurukamera. Ditanya tentang lokasi paling sukar untuk dirakamkan sepanjang program tersebut menjalani penggambaran, jurukamera yang pernah mendapat pendidikan di Amerika Syarikat ini memberitahu dengan kerjasama yang baik dari semua kru, tidak terdapat kesukaran besar untuk melakukan penggambaran, termasuk penggambaran di kawasan Gunung Fuji yang menjadi salah satu destinasi yang dipaparkan di dalam Welcome To The Railworld Japan. Sementara itu, bagi produksi dari Malaysia, mereka mengakui bahawa disiplin dan ketepatan masa menjadi pokok utama mereka begitu menghormati rakan produksi dari Jepun itu. Ujar Khairi, mereka hanya berhubung melalui aplikasi Skype selama sebulan sebelum memulakan penggambaran. "Sebaik semua perkara dipersetujui, kami berangkat ke Jepun sejak penghujung Ogos lalu dan melakukan penggambaran di semua lokasi yang telah dipilih dan ia berjaya dijalankan mengikut perancangan serta jadual asal. Hanya sesekali jadual penggambaran dirombak atas faktor cuaca termasuk taufan," ujarnya. Terdapat sembilan buah destinasi menarik yang dirakamkan untuk Welcome To The Railworld Japan. Di beberapa destinasi termasuk Tokyo sendiri, produksi tersebut memilih beberapa pusat tarikan pelancong seperti menara kedua tertinggi di dunia, Tokyo Skytree yang terletak di Sumida, Tokyo dan makan malam di dalam Yakatabune Hirai iaitu rumah bot Jepun yang memberi peluang pengunjung menikmati panorama malam bandar raya Tokyo. Selain dua destinasi tersebut, pihak media Malaysia yang berkunjung ke sana turut dibawa melawat ke muzium kereta api The Railway Museum di Onari, Saitama City sekali gus menjadi signifikan dengan program Welcome To The Railworld Japan yang berteraskan pengangkutan ini. Ini kerana muzium itu mempunyai koleksi kesemua kereta api yang pernah digunakan sebelum ini termasuk kesemua kereta api peluru Shinkansen yang menjadi pengangkutan utama dan kebanggaan rakyat di negara Matahari Terbit itu. Tidak cukup dengan hanya merakamkan penggambaran di beberapa tempat bersejarah, Welcome To The Railworld Japan turut memaparkan satu-satunya destinasi wajib singgah bagi pelancong yang datang ke Jepun untuk mencari hiburan santai, Robot Restaurant. Terletak di daerah Shinjuku, konsep yang ditonjolkan restoran ini cukup sesuai untuk kelompok peminat anime dan karakter animasi Jepun. Semua paparan tersebut dapat disaksikan sebaik Welcome To The Railworld Japan mula disiarkan pada pertengahan Januari tahun hadapan sebanyak 10 episod di saluran 8TV. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:48 PM PDT DEWASA ini, manusia berlumba-lumba mengejar kemewahan dan kesempurnaan hidup sehingga memerlukan mereka berhutang. Golongan ini berpegang kepada prinsip gaya hidup mewah meskipun hutang keliling pinggang. Punca utama mereka berhutang adalah untuk menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah kepada rakan-rakan serta memiliki harta yang lebih daripada orang lain. Sikap pembaziran tanpa keperluan ini adalah dilarang sama sekali oleh Allah SWT sebagaimana disebut dalam surah Al-Isra' ayat 27: Ertinya: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya". Namun, pada zaman moden yang mencabar ini, kos hidup dan harga barang keperluan semakin mencanak naik. Rentetan itu, kita terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ia secara tidak langsung menjadikan berhutang sebagai lumrah dalam kehidupan manusia. Kita terpaksa berhutang untuk membeli kenderaan, rumah, perabot dan untuk memulakan sesuatu perniagaan. Justeru, berhutang sebagai perkara yang tidak dapat dihindarkan pada hari ini. Konsep berhutang Jika dilihat dari perspektif syariah, secara umumnya tidak ada halangan untuk berhutang dalam memenuhi keperluan masing-masing. Antaranya, firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah yang menyebut: Ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)". (Al-Baqarah: 282) Ayat di atas menunjukkan bahawa konsep berhutang adalah dibenarkan dalam kehidupan manusia. Ia juga menggariskan beberapa syarat dalam berhutang seperti mestilah direkodkan bagi mengelakkan pertelingkahan bagi pihak berkontrak pada masa depan. Bagaimanapun, Allah telah menjelaskan bahawa berhutang mestilah bersandarkan kepada beberapa kontrak yang diiktiraf syariah dan bukannya dengan cara yang tidak diredai Allah seperti riba. Ini dapat dilihat dalam firman Allah tentang pengharusan jual beli dan pengharaman riba dalam ayatnya: Ertinya: "Allah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba.Allah kurangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan melalui) sedekah. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa." (Al-Baqarah: 275 hingga 276). Berdasarkan ayat-ayat yang dikemukakan di atas, meskipun Islam membenarkan konsep hutang tetapi Islam telah menggariskan beberapa penekanan utama perlu diperhalusi dalam hal ini. Hutang itu dibolehkan tetapi mestilah melalui mekanisme yang dibenarkan oleh Islam iaitu melalui kontrak yang berlandaskan syarak dan menjauhi elemen riba. Di samping itu, Islam juga menegaskan supaya kita bersegera dalam membayar hutang untuk mengelakkan hutang berpanjangan dalam kehidupan kita. | |||
Belajar subjek Sejarah SPM cara kreatif Posted: 29 Oct 2014 02:47 PM PDT MEMAHAMI keperluan pelajar yang inginkan kaedah mengulang kaji yang lebih efektif, menarik dan mudah difahami, Astro Tutor TV SPM melancarkan sebuah program televisyen pendidikan baharu iaitu Infografik SPM Sejarah bermula 1 Oktober lalu. Program yang disiarkan setiap hari pada pukul 6.30 petang di Saluran 603 itu menampilkan cara pembelajaran melalui gabungan infrografik kinetik, penceritaan animasi yang turut dibantu dengan penerangan oleh suara latar. Berdurasi selama 15 minit, ia memaparkan persembahan visual rangkuman bab-bab utama mata pelajaran Sejarah berdasarkan sukatan pengajian yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Vickie Lai berkata, program tersebut memudahkan proses pembelajaran dan ulang kaji, terutamanya bagi golongan pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kaedah moden dan kreatif. "Kami memahami situasi segelintir pelajar yang menghadapi kesukaran untuk memahami dan mengingati fakta-fakta mata pelajaran Sejarah dan ia adalah kertas wajib lulus. Lantaran itu, kami di Astro telah bekerjasama dengan barisan Guru Cemerlang Sejarah yang berpengetahuan luas bagi merangka kandungan akademik yang relevan dan efektif," ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Vickie menambah, program tersebut menggunakan konsep infografik visual kinetik yang lengkap dengan ikon-ikon sebagai isyarat visual dan adunan pelbagai warna untuk membantu daya memori para pelajar. Infografik mata pelajaran Sejarah memfokuskan kepada bab-bab pilihan untuk peperiksaan SPM, antaranya, Kemerdekaan: Lahir negara berdaulat, Malayan Union: Satu penjajahan, Pilihan raya: Hak dan tanggungjawab rakyat dan Globalisasi satu cabaran. Selain penerangan dan nota, tahap pemahaman para pelajar juga akan diuji melalui rangkaian soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang disertakan skema jawapan di setiap penghujung segmen. Pada penghujung rancangan, satu 'soalan hangat' yang terdiri daripada soalan subjektif berdasarkan struktur soalan peperiksaan sebenar akan diajukan kepada para penonton dan mereka boleh mendapatkan skema jawapan dalam laman sesawang rasmi Astro Tutor TV, www.tutortv.com.my. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:44 PM PDT
PELAKON baru yang kini sedang giat menempa nama di Malaysia, Atikah Suhaime mengakui berdebar menantikan respons penonton terhadap drama terbaru lakonannya, Bila Hati Berbicara. Selain Atikah drama ini turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Hafreez Adam, Azwan Kombos dan Raja Ilya. Drama adaptasi dari novel Bila Hati Berbicara, terbitan Buku Prima, Grup Buku Karangkraf ini mula menggamit penonton di slot Akasia, TV3 bermula semalam, setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam. Merupakan hasil karya Antasya Balkhis, drama bersiri 32 episod ini diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, dan diarahkan oleh Amy Maziah. Menurut Atikah, Bila Hati Berbicara merupakan drama pertama yang menyaksikan dia membawakan watak utama. "Saya membawa watak sebagai Tania Katsura, seorang gadis setinggan yang lemah lembut, namun tegas dalam mempertahankan haknya selepas Emir Qasya (Syafiq) seorang pemaju hartanah yang berjaya dan amat mementingkan darjat serta keturunan, mahu membangunkan tempat yang didiami Tania. "Saya akui amat berdebar menantikan respons daripada penonton apatah lagi, drama ini diadaptasi daripada novel terkenal, jadi tentulah ia akan mempunyai golongan peminat yang tersendiri. "Secara tidak langsung, saya hanya akan menerima dua sahaja maklum balas, sama ada orang suka atau tidak. Apa pun saya sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan andai watak Tania itu tidak seperti apa yang mereka bayangkan," katanya kepada Zass. Bagaimanapun ujar Atikah, dia tidak membawakan watak ini sambil lewa, apatah lagi, pengarah banyak membantunya membina karakter dan memastikan dia dapat membawa watak Tania dengan baik. "Mula-mula berlakon, saya sering dimarahi kak Amy, kadang-kala saya rasa geram dan tertanya-tanya, apa yang dia mahu? Tapi selepas mereka tunjukkan sedikit sedutan episod satu kepada saya, barulah saya faham apa yang kak Amy mahu. "Walaupun dimarahi, saya puas hati kerana sekurang-kurangnya kak Amy berjaya membentuk watak Tania dengan baik. Paling penting, saya berharap drama ini diterima dengan baik kerana ia diolah sedikit agar setiap punchline dalam drama ini sampai kepada penonton," katanya yang bakal muncul dengan filem terbaru, Kelibat pada 6 November depan. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:43 PM PDT
PADA 21 Oktober lalu, satu pertemuan dan sidang media untuk menjelaskan pelaksanaan kempen, Switch Off 14, yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan pengamal industri. Walaupun ada segelintir persatuan yang tidak menyatakan sokongan, namun kempen ini akan terus diadakan pada 11 November ini. Tambahan pula, ada dalam kalangan ahli persatuan yang tidak menyokong turut menghulurkan tangan tanda sokongan kepada gerakan Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) ini. Turut berdepan dengan pelbagai bentuk kontroversi dan tuduhan, Presiden Gafim yang juga Presiden Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, teguh berdiri dalam menegakkan usaha terhadap industri tempatan. Bukan sekali dua menegaskan kempen ini bukanlah demonstrasi mahupun piket, namun Jurey sedia menelan segala kenyataan yang dimanipulasi mahupun tuduhan yang tidak berasas. Berbicara mengenai Switch Off 14, Zass menemu bual Jurey bagi berkongsi hala tuju dan pelaksanaan kempen ini dalam masa dua minggu lagi. SINAR HARIAN: Setakat ini, bolehkah anda kongsikan mengenai perkembangan Switch Off 14? JUREY: Kami sepakat memilih tanggal 11 November untuk menunjukkan solidariti kami terhadap industri. Dalam pertemuan itu, kita akan menyanyi, bersajak, bersyair dan membuat persembahan dengan barisan pemuzik. Ini adalah masa yang sesuai untuk kita bersatu dan berkumpul dalam suasana yang santai. Pun begitu, kami masih lagi mencari beberapa tempat untuk berkumpul beramai-ramai. Antara lokasi yang dipilih termasuk Dataran Karyawan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Sentral Market. Kami memikirkan faktor bilangan peserta yang datang dan sekali gus menyediakan tempat yang lebih luas dan selesa. Pun begitu, lokasi sebenar masih belum diputuskan lagi. SINAR HARIAN: Bagaimana pula pandangan anda bila ada segelintir pihak masih menganggap kempen ini sebagai demonstrasi atau piket? JUREY: Saya tidak tahu bagaimana lagi untuk menjelaskan perkara ini sedangkan pada awalnya, saya sudah menjemput mereka-mereka yang tidak faham akan pelaksanaan kempen ini untuk datang dengar pada sidang media lalu. Namun, jemputan saya hanya dipandang sepi. Kalau mereka rasa kita ingin membuat kecoh atau melanggar undang-undang negara, buktikan tuduhan itu. Ianya hanyalah perhimpunan yang mengumpulkan penggiat seni termasuk pelakon, kru produksi dan penerbit dalam satu majlis yang aman. Saya tidak nampak di mana negatif dan salahnya perhimpunan ini. SINAR HARIAN: Adakah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, akan turun bersama-sama dalam kempen ini? JUREY: Saya mengalu-alukan kedatangan menteri pada perhimpunan berkenaan sekiranya ada kelapangan. Namun, saya akan memenuhi undangan pada 30 Oktober ini (esok) untuk sesi dialog bersama penggiat seni. Ketika itu, difahamkan menteri juga turut hadir. Dalam sesi dialog itu, saya akan mengutarakan 11 masalah industri yang diketengahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan. SINAR HARIAN: Bagaimana pula dengan sokongan daripada Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima)? JUREY: Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa surat daripada pihak Profima. Sekiranya tiada apa-apa kenyataan mahupun surat, kami menganggap Profima masih menyokong usaha ini. Apatah lagi, Profima adalah persatuan yang mencadangkan agar Switch Off 14 ini diadakan. Selain daripada 10 persatuan di bawah naungan Gafim, tiga persatuan lain turut menyokong iaitu Persatuan Artis Veteran Malaysia, Persatuan Penerbit Filem dan Televisyen India Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Artis Artis Pelapis (Perkap). SINAR HARIAN: Boleh anda jelaskan apa matlamat kempen ini? JUREY: Kami susun 'Malam Solidariti Switch Off', ini bertujuan untuk berkumpul dalam menyatukan hati dan suara atas isu industri supaya mendapat perhatian stesen televisyen. Ia merupakan suara solidariti bagi keseluruhan warga kerja industri televisyen tempatan yang mahukan pembelaan seterusnya perubahan positif demi masa depan industri agar lebih berdaya saing dan maju. Kita berkumpul ramai-ramai pada malam itu dalam sebuah perhimpunan aman demi menunjukkan kebersatuan dalam perkara ini. SINAR HARIAN: Sejak memperkenalkan kempen ini, anda sering dikaitkan dengan kontroversi hebat. Adakah ini tidak melemahkan semangat anda dalam memperjuangkan hak industri? JUREY: Sekali lagi saya tekankan, kempen ini bukanlah gerakan individu mahupun bersifat kepentingan peribadi. Saya tidak dapat apa-apa imbuhan pun kalau perkara ini berjaya untuk diselesaikan. Saya cuma memikirkan tanggungjawab pada industri yang saya sendiri ceburi. Malah, perkara yang berbangkit bukanlah masalah baharu, ianya sudah lama menghantui golongan pengamal seni tempatan. Lagipun, sebagai individu yang berada di kerusi ini (Presiden Gafim dan PTVM), sayalah yang perlu menggerakkannya. Sejujurnya saya 'lemas' dengan serangan kiri kanan daripada pihak yang tidak memahami erti perjuangan ini, namun saya berpegang kepada prinsip, bila saya sudah mula, saya tidak akan berhenti sekerat jalan. SINAR HARIAN: Akhir sekali, apakah yang anda harapkan dalam kempen ini? JUREY: Kami tidak mengharapkan penyelesaian ini akan dibuat dalam jangka masa yang singkat. Mungkin proses ini akan mengambil sedikit masa untuk menyelesaikannya. Namun, perhatian daripada kerajaan itu sudah cukup menggambarkan keprihatinan dalam membantu industri seni tempatan. Sebagai anak seni, saya ingin memastikan industri terbela dan mengharapkan perubahan dalam ekosistem industri tempatan. Ini adalah permulaan kepada industri yang lebih sihat dan usaha dalam penambahbaikan yang lebih maju. | |||
Posted: 29 Oct 2014 02:40 PM PDT BERMULA 27 Oktober hingga 9 November 2014, karakter adiwira terkenal Jepun, Ultraman dan watak jahat siri tersebut, akan membuat penampilan khas di Pavilion Kuala Lumpur, sempena persembahan 'Ultraman Live in Genting 2015' di Resorts World Genting pada 19 Februari 2015 nanti. 'Roadshow' selama dua minggu ini akan menampilkan ahli keluarga terbaru Ultraman yang baharu menyambut ulang tahun ke-50 siri terbitan Tsuburaya Production, iaitu Ultraman Ginga. Selain itu, dua lagi karakter siri tersebut, Ultraman Zero dan Ultraman Tiga akan turut serta sebagai satu pasukan untuk beramah mesra bersama peminat. Sepanjang 'roadshow' berlangsung, peminat boleh menonton siri kegemaran mereka itu di skrin plasma yang disediakan. Malah, peminat berpeluang mengambil gambar bersama karakter siri berkenaan di lokasi terpilih Pavilion pada masa yang ditetapkan. Selain itu mereka juga berpeluang menyertai peraduan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. Persembahan 'Ultraman Live in Genting 2015' yang bakal berlangsung pada 19 Februari hingga 22 Mac 2015 itu membawa keseluruhan produksi daripada Jepun. Malah akan menampilkan ramai lagi watak Ultraman termasuk Ultraman Seven, Taro, Mebius dan Cosmos, serta dua raksasa kaiju. Peminat siri ini boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan tersebut semasa road show itu nanti. Harga tiket bermula daripada RM48 sehingga RM88, dan pembeli terawal akan menerima diskaun sehingga 30 peratus. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
0 ulasan:
Catat Ulasan