Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Sharifah Sakinah Selamat Bertunang, Nikah Pada 28 Mac 2015
- Koleksi Baju Anak Scha-Awal Lebih 200 Helai
- Razak Mohaideen Kembali Mengarah Selepas 2 Tahun Menyepi
- Anak Jantan, pamer kehebatan pelakon tempatan!
- Dendam orang mati: Seram, mendebarkan
- Pekerja butik cari wali nikah
- Ilmu agama harta paling penting
- Akaun sudah cecah RM8,000
- Guru Quran, mualaf terima anugerah
- Terjerat berasmara, cemari sambutan Maal Hijrah
- Pemilihan Sara Ali kurang tepat?
- Relau besi disangka tempayan
- Keterbukaan hati Sakinah
- Bercinta di bumi Sarajevo
- Tagih kehidupan baharu
- Sentuh anjing hina Islam
Sharifah Sakinah Selamat Bertunang, Nikah Pada 28 Mac 2015 Posted: 25 Oct 2014 07:48 PM PDT | ||||||
Koleksi Baju Anak Scha-Awal Lebih 200 Helai Posted: 25 Oct 2014 07:47 PM PDT | ||||||
Razak Mohaideen Kembali Mengarah Selepas 2 Tahun Menyepi Posted: 25 Oct 2014 07:46 PM PDT | ||||||
Anak Jantan, pamer kehebatan pelakon tempatan! Posted: 25 Oct 2014 07:45 PM PDT PADA tahun lalu, pengarah ini pernah tampil mempertaruhkan filem seram pertamanya, Bisikan Syaitan, yang dibarisi pelakon hebat termasuk Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Wan Sharmila. Tidak menunggu lama dalam mencurahkan idea di layar perak, Faizul A Rashid, tampil memberikan kejutan dalam filem bergenre aksi, Anak Jantan, yang bakal menemui penonton pada 30 Oktober ini. Mengisahkan mengenai Darin yang ingin memulakan hidup baharu bersama kekasihnya Nara di ibu kota, jauh dari tragedi masa silam yang menimpa mereka. Namun malangnya, kebahagiaan mereka tidak bertahan lama apabila musuh lama Darin, Somchai muncul dan Darin terpaksa berdepan dengan sejarah hitamnya itu. Membariskan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Bront Palarae, Qi Razali dan Nora Danish, pastinya filem ini memberi pengalaman berbeza buat pengarah ini dan juga penonton. Akui Faizul, idea menghasilkan filem ini sudah lama tercetus bersama penerbit, Latiff Mohaideen dan Penerbit Eksekutif, Tengku Iesta Tengku Alaudin. "Idea ini bermula apabila menceritakan detik debaran ketika anak saya, Arissa Aqila, 2, hilang selama lima minit di pasaraya. "Keadaan panik dan cemas mencetuskan pelbagai persoalan dan senario yang bakal dihadapi malah saya dapat merasai perasaan seorang bapa yang terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan semula anaknya," katanya. Tambah Faizul, dia amat tertarik dengan seni mempertahankan diri yang diolah dalam filem ini serta kehebatan pelakonnya. Tambahan pula, Farid juga adalah kenalan lamanya sejak di UiTM satu ketika dahulu. "Kita sememangnya ingin mengilap bakat hero-hero tempatan dan kami berharap dengan menjayakan filem ini kita dapat mengembangkan bakat pelakon di Malaysia. "Saya mengikuti perkembangan karier Farid Kamil dan saya akui, dia sememangnya seorang pelakon berbakat besar walaupun saya bukanlah peminat tegarnya. "Pemilihan Pablo Amirul pula, dia sangat bertuah kerana dipilih dari 1,000 orang yang hadir ketika uji bakat," jelasnya yang sebelum ini telah menghasilkan banyak drama dan iklan TV. Cedera di lokasi penggambaran Mengakui turut menggemari filem-filem aksi, Faizul memberitahu, dia berasa sangat bertuah kerana dapat menjayakan dan menjadi sebahagian daripada filem, Anak Jantan. Katanya, ianya seperti batu loncatan kepadanya dan juga peluang yang sukar diperolehi memandangkan persaingan industri perfileman sangat sengit. "Saya berharap dapat melakukan sesuatu seperti Blood Diamond yang mana filem itu adalah salah satu filem kegemaran saya. "Malah, antara babak yang paling digemari adalah melibatkan tembakan dan juga penggunaan bom serta letupan! "Pengalaman ini adalah sukar diperoleh di Malaysia kerana kita tidak mempunyai kepakaran dalam kesan khas seperti di Thailand," katanya lagi. Jelas Faizul, walaupun penggambaran filem ini berjalan dengan lancar, namun ada babak yang paling sukar untuk dilakukan antaranya babak di lokasi sebuah kilang. "Ketika itu, Farid Kamil mengalami kecederaan ketika melakukan babak berlawan dengan Pablo. Kami tiada pilihan lain selain meneruskan penggambaran dan cuba menyelesaikan dengan cara yang lebih kreatif. "Filem ini kami bukan sahaja melakukan penggambaran dari babak ke babak malahan ada babak yang kami lakukan menggunakan adegan sebenar," katanya yang memaklumkan penggambaran kebanyakan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Langkawi dan Thailand. Tonton filem antarabangsa Berada di kerusi pengarah, selain memastikan kelancaran jalan cerita, Faizul juga banyak meluangkan masa dengan menonton drama dan filem aksi antarabangsa. Jelasnya, dari situ, dia belajar bagaimana caranya untuk menghasilkan karya yang terbaik dan mampu memikat selera penonton. "Menerusi filem yang ditonton seperti siri Bourne, Old Boy dan Ong Bak, saya banyak belajar teknik seni mempertahankan diri. "Untuk mendapatkan satu papan cerita yang lengkap, saya menggabungkan kesemua idea menjadi lakaran cerita dan draf-draf babak untuk di jadikan skrip. "Saya bersama ahli produksi berbincang mengenai lakon layarnya. Saya sukakan sesuatu yang jelas dan nyata kerana ia penting untuk penceritaan dalam setiap babak," katanya lagi. Berbicara mengenai intipati filem ini, Faizul menjelaskan elemen cinta, pengorbanan, kesetiaan dan cemburu diadun bersama dalam menghasilkan Anak Jantan. "Ia mengisahkan tentang kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Darin diculik dan dijadikan anak angkat sejak kecil oleh pihak militan pemberontak dan dia dibesarkan sebagai pemberontak. "Dia tidak tahu apa yang dia lakukan selama ini salah sehinggalah mengenali Nara yang memainkan peranan penting untuk mengubah kehidupan Darin. "Ini merupakan nilai-nilai positif yang harus kita miliki dan jika kita sanggup mengambil risiko untuk mengenali dan bergaul mungkin kita akan menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya," jelas Faizul. 'Import' pakar aksi Thailand Selaku penerbit, Latiff Mohaideen, mengakui kisah ini membuatkan kita berfikir sejenak mengenai hubungan kita dengan anak-anak. Katanya, ia mempamerkan pentingnya menjaga anak-anak kita yang bukan sahaja memerlukan tempat berteduh, kasih sayang, perlindungan dan bimbingan agar mereka berkembang dan matang di dunia ini. Jelas Latiff, jika tidak dididik dengan baik, mereka akan mudah terpengaruh ke arah lebih negatif dan nilai cerita ini mampu memberikan kita peluang untuk memberi bimbingan yang terbaik untuk anak-anak. "Walaupun Anak Jantan merupakan filem fiksyen semata-mata, watak-watak di dalam filem ini berdasarkan orang sebenar yang saya temui sepanjang hidup saya yang penuh dengan pengalaman hidup yang mendewasakan mereka. "Watak yang saya minati sudah tentu Somchai. Malah keseluruhan filem digarap melalui watak Somchai dan personalitinya. "Selain memaparkan aksi-aksi hebat pelakon-pelakon tempatan, kami membawa pakar aksi dari Thailand yang berpengalaman untuk aksi pergaduhan," katanya. | ||||||
Dendam orang mati: Seram, mendebarkan Posted: 25 Oct 2014 07:44 PM PDT SEJAK dahulu lagi, terdapat bermacam-macam jenis kepercayaan karut, mitos dan legenda yang dipegang atas alasan kepercayaan dari nenek moyang. Ada di antaranya adalah kepercayaan terhadap angka 4 (di Asia) dan 13 (di Barat) yang dianggap sebagai angka yang membawa malapetaka. Sebagai contoh banyak bangunan di negara-negara di Asia Timur dan Asia Tenggara, mengelak menggunakan tingkat 4 tetapi dinamakan sebagai tingkat 3A dan sebagainya. Mengikut kepercayaan sesetengah orang Cina di Malaysia, nombor 4 adalah angka yang harus dihindari kerana hampir dengan sebutan yang membawa maksud "mati". Kepercayaan sebegini dinamakan sebagai "Tetraphobia" dan diangkat menjadi tema di dalam filem terbaru terbitan KRU Studios yang diberi judul "Dendam Orang M4ti". Jason Chong (pengarah filem Belukar dan Ular) telah diberikan kepercayaan bagi menggarap filem ke-20 keluaran Kumpulan Syarikat KRU ini yang juga merupakan filem seram kedua terbitan KRU Studios (selepas Karak). Dengan lakonan mantap Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Miera Liyana dan ramai lagi, "Dendam Orang M4ti" menjanjikan satu kelainan bagi genre filem seram yang pasti membuat penonton rasa berdebar dari babak ke babak sehingga ke akhir. Misteri gangguan tingkat empat Seram dan mendebarkan. Itu gambaran yang dapat penulis berikan mengenai filem terbaru terbitan KRU, Dendam Orang Mati atau dieja dengan "Dendam Orang M4ti". Filem yang mengisahkan Lena tersedar dari koma selama dua tahun dan hilang ingatan akibat kemalangan. Keadaan bertambah mengelirukan apabila diperkenalkan kepada isteri baru Shahrul, Min di flat lamanya di tingkat 4 yang kini menjadi tingkat 3A. Lena mula mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku flat tersebut dan mula berdepan dengan kejadian-kejadian aneh yang menyeramkan. Gangguan seram ini memberikan lebih tekanan terhadap Lena yang terasa diabaikan oleh suaminya, Shahrul yang berbelah bahagi antara isteri mudanya dan Lena. Dengan mengangkat tema kepercayaan kaum Cina terhadap angka empat, tidak keterlaluan untuk mengatakan, filem Dendam Orang Mati berjaya digarap lebih seram dan mendebarkan daripada beberapa filem antarabangsa. Pendek kata, dari mula lagi, Jason telah berjaya 'menangkap' perhatian penonton dengan misteri seorang budak kecil yang akhirnya memberi ketakutan kepada Lena ketika dia terjaga dari koma. Menariknya mengenai filem ini, ia digarap dengan penuh tanda tanya dari awal filem hingga membuatkan anda terfikir, siapa kanak-kanak tersebut? Mengapa Lena koma? Apa kaitan Lena dengan flat tersebut? Siapa Sharul dan sebagainya. Persoalan demi persoalan yang ditimbulkan pada permulaan cerita inilah yang akan membuatkan anda berasa teruja untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya dan seterusnya. Penyusunan plot yang cukup teratur menyebabkan ia memberi satu dimensi baru terhadap filem seram di Malaysia. Lisa 'hidupkan' Lena Selain dari jalan cerita yang mantap, antara faktor lain yang menarik perhatian penulis adalah kelainan dalam lakonan aktres cantik, Lisa Surihani. Jika selama ini Lisa dilihat lebih selesa menjayakan watak lembut, antagonis, kali ini, Lisa keluar dari zon selesanya dengan membawa watak psiko. Tanpa solekan, berjalan tempang dan diselubungi pelbagai misteri dan tanda tanya, Lisa berjaya 'menghidupkan' watak Lena dengan begitu baik sehingga membuatkan orang simpati terhadap dirinya pada awal. Namun misteri-misteri yang dihadapi dan siapa Lena yang sebenarnya hanya diketahui pada pertengahan filem sehingga membuatkan anda terfikir, siapa yang jahat sebenarnya? Selain itu, lakonan Miera sebagai Min juga tidak perlu dipandang enteng. Mengemudikan watak antagonis dengan baik, percubaan Miera sebagai seorang isteri yang menggoda berjaya menarik perhatian penonton, biarpun Miera sendiri pertama kali membawakan watak sebagai isteri. Manakala Fizz pula, pada pandangan penulis, lakonannya seperti biasa, tidak ada kekurangan, namun tidak ada pula sebarang kejutan. Pendek kata, beri apa sahaja watak pada Fizz, dia berjaya membawanya dengan baik. Kekurangan sudut teknikal Dari sudut teknikalnya pula, biarpun cantik dari sudut sinematografi dan pencahayaan yang cukup sesuai dengan mood seram, namun kekurangan dapat dilihat jelas dari sudut teknik janaan komputer (CGI). Apatah lagi, dengan filem-filem hebat KRU sebelum ini yang pernah dihasilkan dengan CGI, sentuhan CGI dalam filem Dendam Orang Mati ini agak mengecewakan. Kekurangan ini sekali gus menjejaskan sedikit mood tatkala melihat roh orang mati dan perubahan suasana di tingkat empat yang menggambarkan betapa misteri, dan penuh dengan dendam. Namun, pujian boleh diberikan kepada krew terlibat dan Jason sendiri yang berjaya membina set tingkat empat yang sebenarnya di bina dalam sebuah gudang. Biarpun nampak kurang realistik, namun tetap berjaya memberi satu kelainan tanpa perlu berada di lokasi sebenar. Jadi bagi anda yang ingin mengetahui siapa Lena dan apakah jawapan kepada soalan-soalan yang menghantui Lena, jangan lupa menyaksikan filem Dendam Orang Mati yang sudah bermula sejak 23 Oktober lalu. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:42 PM PDT
MUAR - Seorang pekerja butik mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pada pernikahannya yang dijadualkan berlangsung 26 Disember ini. Norazlinda Jani, 26, dan tunangnya, Mohd Hafoz Ismail, 22, memerlukan kehadiran bapanya, Jani Panot, 53, sebagai wali pada pernikahannya nanti. "Saya tidak mempunyai maklumat tepat bapa yang menghilangkan diri sejak 2008. Pelbagai usaha sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak berjaya. "Ayah adalah seorang pemandu lori dan sebelum itu jarang pulang ke rumah kerana tuntutan kerja," katanya. Katanya, ibunya, Bedah Md Don, 60, ada membuat laporan polis apabila bapa keluar bekerja tetapi tidak pulang ke rumah pada 2008. "Saya bersama saudara mara pernah mencari bapa di kampung halamannya di Bekoh tetapi menemui jalan buntu. "Selain memerlukan ayah sebagai wali nikah, saya juga mahu kehadirannya pada hari bersejarah dalam hidup saya," katanya. Norazlinda berkata, dia mengharapkan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Jani boleh membantunya dengan menghubunginya di talian 011-23669681. | ||||||
Ilmu agama harta paling penting Posted: 25 Oct 2014 07:40 PM PDT
ALOR SETAR - Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Kedah yang pernah berkhidmat selama 16 tahun dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEIK) dipilih menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Kedah pada tahun ini. Syeikh Hassan Ariffin, 72, berkata, kesedaran dan minat mendalam terhadap ilmu agama datang dari diri sendiri bermula sejak dari kecil lagi. "Saya mula mengaji al-Quran ketika masih kanak-kanak sebelum melanjutkan pengajian di Pondok Padang Lalang dan Madrasah As Saadah, Tanjung Bedil, Kedah. Kemudian menyambung pelajaran ke Madrasah Khairiah Islamiyah, Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang. "Seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah dan kembali ke tanah air menjadi guru di Madrasah Khairiah, Pokok Sena serta Sekolah Menengah Agama Nahdah Hasanah, Melele, Kodiang," katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah, peringkat Kedah, di Dewan Seri Negeri, di sini, semalam. Hassan yang juga bekas Kadi Pendang dan Kubang Pasu selama 13 tahun berkata, ilmu adalah harta paling penting dan perlu disemai sejak dari kecil. "Ibu bapa perlu menitikberatkan soal agama, fardu ain, solat dan sentiasa memberi galakan serta semangat kepada anak-anak. "Jika boleh setiap hari luangkan masa hantar serta ambil anak dari sekolah," katanya. Beliau yang mempunyai lima orang cahaya mata iaitu dua menjadi guru, seorang doktor, seorang jurutera Petronas serta seorang lagi masih melanjutkan pelajaran sarjana di Universiti Malaya masih menyumbang bakti sebagai tenaga pengajar. "Saya masih menjadi penceramah, memberi kuliah, menjadi guru takmir di masjid dan surau sekitar Kubang Pasu kerana mahu menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang ramai. Di samping menjadi hakim menguruskan pelbagai kes rayuan melibatkan harta sepencarian, penceraian, jenayah syariah," katanya. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:39 PM PDT MELAKA - Bapa kepada kanak-kanak yang menderita akibat masalah usus sejak dilahirkan, Muhammad Akmarul Haikal Affizan, 8, kini sudah mempunyai kira-kira RM8,000 untuk menanggung kos menjalani pembedahan di Munich, Jerman. Menurut ibu kanak-kanak itu, Naima Yuzi, 31, jumlah itu didapati dalam akaun bank suaminya, Affizan Sarif dipercayai hasil sumbangan orang ramai selepas kisah penderitaan anaknya disiarkan dalam media. Naima melahirkan rasa syukur tidak terhingga atas keprihatinan masyarakat terhadap anaknya itu yang akan diterbangkan ke Munich bagi menerima rawatan di sebuah hospital pakar di sana. Menurut Naima, dia sekeluarga akan berangkat 3 November depan dengan kos perubatan ditanggung sepenuhnya hospital berkenaan hasil kerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). "Cuma yang kami perlukan adalah kos bagi membiayai perbelanjaan kami sekeluarga di sana yang dianggarkan berjumlah RM30,000," katanya yang tinggal di Taman Sri Duyong 2 di sini. Sinar Harian pada 19 Oktober lalu melaporkan penderitaan Muhammad Akmarul Haikal yang mengalami Chron's Disease iaitu sejenis penyakit usus terkeluar. Keadaan itu mengakibatkan dia tidak dapat membuang air besar secara normal, sementara perutnya membengkak serta punggungnya mengalami bengkak dan bernanah. Menurut Naima, sewaktu Muhammad Akmarul Haikal dilahirkan, dia mengalami muntah-muntah, manakala perutnya membuncit. Doktor yang merawatnya pada awalnya menyatakan ia adalah normal, bagaimanapun sehingga usianya enam bulan, dia kerap mengalami demam manakala setiap kali membuang air besar najisnya bercampur darah. Selepas menerima rawatan di Hospital Melaka akhirnya kes itu dirujuk kepada PPUM yang kemudiannya menjalinkan kerjasama dengan sebuah hospital pakar di Jerman. Kes Muhammad Akmarul Haikal juga dirujuk kepada Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Aziz yang kemudiannya mengaturkan pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan. Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 1540-2635-5020 (Affizan Sarif) atau menghubunginya di talian 018-3913380. | ||||||
Guru Quran, mualaf terima anugerah Posted: 25 Oct 2014 07:37 PM PDT
TUMPAT – Guru al-Quran yang juga pengasas Pusat Tahfiz al-Quran dan Pengajian Ilmu Islam di Banggol Kulim, Rantau Panjang, Abdullah Daud, 81, dinobatkan sebagai Tokoh Hijratul Rasul 1436H peringkat negeri Kelantan, malam kelmarin. Sementara itu, guru di Sekolah Kebangsaan Bertam, Gua Musang, Muhammad Taufiq Abdullah, 35 yang juga seorang mualaf dipilih untuk menerima Anugerah Saudara Baru Kita. Abdullah turut menerima hadiah wang tunai RM6,000 berserta sijil penghargaan manakala Muhammad Taufiq menerima RM3,000 serta sijil penghargaan, dan penyampaian anugerah disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz. Abdullah memaklumkan pemilihannya dinilai daripada kriteria ketua keluarga berjaya, tokoh berwibawa dan sumbangan besar kepada masyarakat kerana mendidik pelajarnya di sekolah pondok. "Saya tidak bersekolah tinggi tetapi saya ajar anak mengaji al-Quran. Mengajar anak-anak mengaji al-Quran sejak kecil adalah satu amalan di rumah saya. Kerana itu anak-anak mudah patuh," katanya yang berasal dari Kampung Rahmat, Rantau Panjang. Hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Che Rogayah Che Leh, Abdullah dikurniakan seramai 11 anak dan lima daripadanya dilahirkan di Makkah. Abdullah menerima pendidikan awal di Pusat Pengajian Pondok Banggol Kulim, Rantau Panjang bermula 1945 sehingga 1953 dan sempat berguru dengan ulama terkenal, iaitu Tuan Guru Haji Omar Banggol Kulim pada 1962 sehingga 1982. Setelah lapan tahun menuntut ilmu di tanah air, Abdullah berangkat ke Makkah pada 1953 untuk menuntut ilmu di Madrasah Tahfiz di sana selama hampir 20 tahun. Lebih 2,000 hadir pada sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri yang berlangsung di Masjid Al-Ismaili, bandar baru Pasir Pekan. Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud. | ||||||
Terjerat berasmara, cemari sambutan Maal Hijrah Posted: 25 Oct 2014 07:36 PM PDT
JOHOR BAHRU - Sambutan Maal Hijrah 1436H dicemari dengan kegiatan tidak bermoral segelintir pasangan yang disyaki berkhalwat di hotel-hotel bajet sekitar kawasan Skudai. Dalam operasi melibatkan 10 anggota dan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) awal pagi semalam, empat pasangan ditahan. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jaij, Mohd Zamri Kambari berkata, kesemua empat lelaki dan empat wanita terbabit ditahan sepanjang serbuan jam 11 hingga 2 pagi itu. Menurutnya, kesemua individu tersebut ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997 kerana disyaki melakukan khalwat. "Pada malam ini, biasanya ramai orang bercuti dan ambil kesempatan, jadi kita membuat operasi dengan memberi tumpuan di sekitar Taman Universiti serta Taman Ungku Tun Aminah iaitu hotel bajet. "Tujuan operasi adalah membanteras dan mencegah maksiat di hotel-hotel selain membersihkan imej sektor perhotelan daripada tanggapan negatif masyarakat bahawa premis berkenaan banyak mengundang gejala tidak bermoral," katanya. Mohd Zamri menasihatkan masyarakat Islam tidak pergi ke hotel untuk tujuan membuat perkara tidak bermoral khususnya perbuatan melanggar hukum Islam. Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah untuk proses dokumentasi sebelum ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jaij bagi tindakan lanjut. Dalam serbuan dilakukan, seorang wanita berusia 24 tahun meminta pihak berkuasa agar tidak melibatkan keluarganya sejurus didapati berkhalwat bersama lelaki Indonesia. Dia yang ditemui dalam keadaan hanya bertuala putih sementara pasangannya berusia 37 tahun dan berpakaian lengkap bagaimanapun memberi kerjasama ketika disoal siasat. Wanita itu dipercayai baharu sahaja kenal dengan lelaki warga asing terbabit yang mendakwa bekerja di Batu Pahat sebagai pembawa bot. | ||||||
Pemilihan Sara Ali kurang tepat? Posted: 25 Oct 2014 07:35 PM PDT LAMA menyepi daripada bidang seni pastinya kemunculan pelakon berusia 24 tahun ini dinantikan peminat seni tempatan. Namun, tidak seperti yang diduga, penampilannya menerusi drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna (MJATS) mendapat kritikan hebat daripada penonton drama tersebut. Malah, sebelum ini pernah timbul dakwaan yang mengatakan empunya nama Siti Sarah Hairi Ali atau lebih dikenali sebagai Sara Ali ini bermasam muka di lokasi penggambaran drama berkenaan. Turut diakui pengarah MJATS, Shuhaimi Lua bagaimanapun beliau enggan memajangkan lagi isu tersebut dan menyifatkan kelakuan aktres itu banyak dipengaruhi watak Mel yang angkuh dan dingin dengan orang di sekelilingnya. "Memang ada masalah sikit dengan krew apabila dia tiba-tiba bertindak begitu, tetapi tidak lama dan segalanya kembali lancar apabila dia mula bercakap dengan kami," katanya. Mengulas mengenai pemilihan Sara Ali sebagai teraju utama, akui Shuhaimi, pada awalnya memang pihaknya menyedari ia kurang menepati selera penonton dan sambutan drama itu agak dingin. "Kalau nak bandingkan dengan karya asal memang sukar. Kami memilih Sara Ali kerana yakin watak tersebut sesuai dengannya. "Mungkin minggu pertama dan minggu kedua, penonton masih menyesuaikan diri dengan setiap karakter yang dicipta. "Tetapi sekarang mereka sudah boleh menerimanya. Apa yang menggembirakan, pihak stesen televisyen memberitahu MJATS mendapat rating tertinggi sekarang iaitu sekitar 3 juta penonton. "Saya yakin kekuatan cerita ini banyak mempengaruhi rating," jelasnya drama tersebut sudah memasuki episod terakhir Isnin ini. MJATS disiarkan di slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3 dan turut dibintangi pelakon Tasha Shilla, Amy Mastura, dan Ika Nabila. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:33 PM PDT
ALOR SETAR - Penemuan terbaru khazanah purba di Kampung Chichar, Jeneri, dekat sini, dilihat terus membuktikan kehebatan industri pembuatan besi awal abad masihi di Kedah. Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, artifak sejarah ini dikenal pasti sebagai relau besi. "Melalui kaji selidik dilakukan PSMCK, kami dapati dua struktur yang mulanya disangka penduduk adalah tempayan besar sebenarnya relau besi. "Malah, objek terbenam dalam tanah berkenaan didapati memiliki nilai sejarah tinggi. Ia menyerupai relau ditemui berhampiran Sungai Batu, Lembah Bujang," katanya. Lebih mengagumkan, menurutnya, melalui pemerhatian, relau besi baru ditemui berkenaan dianggarkan berusia 1,000 tahun. Dr Wan Shamsudin berkata, faktor relau berbentuk bulat digunakan untuk melebur besi yang masih lengkap dilihat membuktikan kehebatan pembuatan besi Kedah. Oleh itu, katanya, mereka mengharapkan sokongan semua pihak khususnya kerajaan negeri dalam kaji selidik dilakukan demi menjejaki warisan tersembunyi Kedah. Malah, katanya, penemuan artifak sejarah sedemikian dilihat berpotensi dijadikan produk pelancongan dan tarikan terbaru negeri ini. Sebelum ini, penemuan terbaru khazanah purba dalam tanah dianggarkan berusia ratusan tahun mengejutkan rata-rata penduduk Kampung Chichar, Jeneri. Difahamkan, tujuh relau besi di Kampung Gading, Jeniang, kira-kira 17 kilometer (km) dari tapak penemuan lokasi terbaru diletakkan di bawah tapak tanah bersejarah Jabatan Warisan Negara. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:31 PM PDT BARANGKALI malam tadi, malam terindah buat si empunya nama, Sharifah Sakinah. Bergelar tunangan kepada lelaki yang berjaya mencuri hatinya, pelakon yang mesra disapa Sakinah itu kini sedang melewati fasa baharu dalam hari-hari yang mendatang. Hari ini juga, dia menjalani kehidupan hari pertamanya sebagai insan yang sudah ditanda untuk dijadikan peneman hati kepada jejaka kacak bernama Aliff Adha Jamil, 26. Perkenalan mereka boleh dikatakan cukup singkat. Sungguhpun begitu, tempoh dalam menyemai kasih yang cuba dibina bukanlah menjadi kayu ukur kepada keutuhan cinta mereka. "Saya mengenali dia menerusi seorang kawan. Ketika itu kami bertemu di satu set penggambaran pada awal tahun ini apabila dia mengikut kawannya ke lokasi. "Jadi dari situ, saya mula mengenali dirinya," kongsi pelakon berusia 25 tahun itu kepada Sensasi Bintang baru-baru ini. Bermula dari detik pertama melihat Aliff, dalam senyap-senyap, hati Sakinah sebenarnya sudah berbunga-bunga. Dia tidak tahu kenapa bayangan lelaki yang bekerja sebagai juruterbang di salah sebuah syarikat penerbangan tempatan itu sering menerpa dalam fikirannya. Apa yang pasti, Sakinah berasakan lelaki berkulit sawo matang itu ada daya pemikat tersendiri. "Sebenarnya, saya yang memulakan langkah pertama untuk berkenalan dengan dia. "Saya menghubunginya menerusi mesej. Ketika itu, dia terkejut apabila dapat tahu orang yang mesej itu merupakan saya. Mungkin dia pelik kenapa saya hantar mesej kepadanya. "Bukannya apa, saya beritahu dia yang saya boleh jadi jurulatih jika berminat untuk menyertai aktiviti kelas senaman zumba saya. "Tak sangka pula bermula dari situ, kami sering berhubungan. Itu yang tersangkut," seloroh Sakinah ketika menceritakan detik awal perkenalannya. Penampilan sederhana Daripada sekadar usik-mengusik menerusi panggilan telefon, pelakon Hotel Mania itu kemudian mula menyelami hati budi jejaka itu. Pertemuan demi pertemuan, saban hari momen itu membuatkan hati Sakinah semakin dekat kepadanya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan yang menerpa dalam dirinya ketika itu. Anggapannya mudah, barangkali itu erti bahagia. "Apa yang boleh saya katakan, saya tertarik dengan personaliti yang ada padanya. Dia seorang yang sangat sempoi dan merendah diri. "Bukan itu sahaja, dia juga jenis lelaki yang tak suka 'cover macho' seperti kebanyakan lelaki. Kalau saya keluar berjalan dengannya, dia pakai selipar jepun sahaja," luah anak kelahiran Kuala Lumpur itu. Ditanya adakah tunangnya itu memenuhi kriteria lelaki yang dicari selama ini, Sakinah memberitahu, dia tidak pernah meletakkan ciri khusus dalam mencari teman hidup. "Saya tak pernah pula nak letak ciri-ciri lelaki yang saya impikan. Saya jenis yang tidak kisah dari segi fizikal luaran. "Sama ada dia berjambang ke atau tidak, saya tidak pernah tetapkan. Bagi saya, apa yang penting hati budi seseorang itu yang betul-betul ikhlas dalam sebuah perhubungan," katanya. Serasi bersama Cerita Sakinah, Aliff yang dikenalinya tidak sampai setahun itu dilihat sebagai seorang yang cukup memahami dirinya. "Kalau tanya saya dari segi minat atau lain-lain, kami memang tidak ada persamaan. Apa yang seronoknya, saya berasakan kami ini 'satu kepala', mungkin ada keserasian. Saya pula jenis yang gila-gila, jadi kalau kami bertemu asyik nak gelak sahaja," katanya. Jelas Sakinah, Aliff juga disifatkan sebagai seorang yang cukup penyabar dan mampu bertahan dengan kerenah dirinya yang kadang kala membuatkan orang sekeliling pening. "Biasanya dalam perhubungan, memang kita tak boleh lari daripada momen bergaduh. Cuma, yang peliknya, sepanjang saya mengenali dirinya, kami belum pernah lagi bergaduh. "Kadang-kadang, saya sengaja buat perangai nak buat dia marah, konon-konon nak menguji dirinya, tetapi dia sikit pun tak pernah marah. Dia pandai mengawal diri saya," cerita Sakinah lagi. Bukan itu sahaja, menurut Sakinah, tunangnya itu juga seorang yang berperwatakan matang dan suka mengajaknya untuk menghadiri majlis-majlis yang sebelum ini jarang dihadirinya. "Perangai dia macam bapa-bapa. Suka pergi menghadiri majlis kenduri dan dia akan bawa saya sekali untuk mengikutinya. "Bukan apa, biasanya jarang orang lelaki muda nak jumpa jenis yang suka pergi majlis-majlis kenduri seperti dia. Jadi, sejak berkawan dengan dia, saya kerap kali juga mengikutinya," ujar pelakon Biar Mimpi Sampai ke Bintang itu. Alam rumah tangga Pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi akibat menayang perut di laman sosial itu memberitahu, dia kini sudah bersedia daripada segala aspek untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam waktu terdekat. "Sebenarnya kalau ikutkan, saya tak terfikir nak mengikat tali pertunangan pun. Kalau boleh terus bernikah. Perkara yang baik lagi cepat dilaksanakan, lagi baik. "Bagaimanapun, apabila difikir balik, kena jugalah ikut adat. Itu yang bersetuju untuk buat majlis pertunangan," kongsinya. Tambah Sakinah, dia juga merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada 28 Mac tahun depan. "Kami sudah bercadang untuk melangsungkan majlis perkahwinan nanti pada Mac tahun depan sempena genap setahun perhubungan kami. Angka 28 itu tidak mempunyai maksud apa-apa pun di sebaliknya. "Cuma kebetulan pada waktu itu merupakan masa yang bersesuaian untuk membuat tempahan termasuklah dewan yang bakal digunakan," katanya yang memberitahu, buat masa sekarang maklumat terperinci mengenai majlis perkahwinannya nanti akan diberitahu pada awal tahun depan. Sungguhpun keputusan untuk mengakhiri zaman bujangnya itu dilihat secara tiba-tiba, Sakinah merasakan ia satu keputusan yang tepat. "Bagi saya, pada umur saya sekarang, sudah cukup sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Sementara dah ada orang serius nak menjadikan saya isterinya, kenapa perlu saya ambil masa lagi. "Lagipun, di pihak saya sendiri, saya berasakan dialah orangnya kerana dia mampu kawal diri saya," katanya yang memberitahu tunangnya itu sentiasa menyokong kerjayanya sebagai pelakon. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:29 PM PDT DUKA yang terpalit dalam hati Remy Ishak sememangnya tidak boleh dibilang dengan jari. Sarat dengan kekecewaan terbesar dalam hidup, jejaka itu akhirnya membawa diri sejauh beribu-ribu kilometer ke bumi Sarajevo. Dalam hati yang tidak keruan, tidak pernah sekali pun terdetik di hati kecil Remy bahawa dia akan bertemu cinta baharu di ibu negara Bosnia-Herzegovina itu. Keletah comel dan misteri sikap yang dimiliki si gadis, Sara Ali akhirnya membuka pintu hati Remy untuk bercinta kembali, namun dia masih terikat dengan memori silam. Selepas terpaksa pulang semula ke tanah air, kesetiaan hati Remy kemudian diduga apabila kembali ditagih cinta lama. Adakah Remy kembali menyulam kenangan lalu atau kekal bersama cintanya bersama Sara yang ditinggalkan di Sarajevo? Apakah kesudahan kisah cinta mereka? Segala-galanya bakal terjawab dalam drama bersiri 14 episod Satu Hari yang bakal menemui penonton menerusi slot Ratu di saluran TV9 pada setiap Selasa dan Rabu pukul 8.30 malam bermula 2 Disember depan. Drama arahan Jamal Khan terbitan produksi Primeworks Studio Sdn. Bhd. itu yang buat julung-julung kalinya menggandingkan Remy dan Sara sebagai hero dan heroin di kaca televisyen kini sedang menjalani penggambaran kira-kira tiga minggu di negara yang pernah dilanda peperangan itu. Bersama Sensasi Bintang, kedua-dua figura itu berkongsi sesuatu mengenai drama berkenaan, selain suka-duka mereka sepanjang bergelar artis. SENSASI BINTANG: Boleh ceritakan sedikit mengenai watak kalian dalam drama Satu Hari? REMY ISHAK: Saya membawakan watak Isfahan yang membawa diri ke Sarajevo kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya, Lia (lakonan Rita Rudaini) curang dengan sahabat baiknya sendiri, Moez (Miller Khan) biarpun telah berkahwin selama sembilan tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Puteri. Saya kemudiannya bertemu Sabrina (Sara Ali) di sana sebelum terpaksa pulang semula ke tanah air gara-gara kematian Puteri. Konflik mula timbul apabila Lia kembali menagih cinta saya selepas diceraikan Moez. SARA ALI: Dalam drama ini, saya merupakan seorang penganalisa air mentah di Sarajevo. Sabrina seorang yang berdikari dan sering merantau ke negara orang kerana ingin mengenali dunia. Peluang menjejakkan kaki di bumi Sarajevo pastinya sukar dilepaskan. Komen kalian? REMY ISHAK: Kita semua tahu negara itu pernah bergolak sebelum ini kerana peperangan. Kini, saya mahu menyaksikan sendiri di depan mata berbanding mengetahui sesuatu mengenai negara itu menerusi bahan bacaan. Saya juga ingin berkongsi pengalaman dengan pelakon di sana termasuk bagaimana cara mereka menjalani penggambaran. SARA ALI: Sudah tentu saya teruja apabila dapat mengetahui bagaimana kehidupan mereka selepas perang. Saya ada membuat sedikit penyelidikan di internet dan apa yang saya tahu, ada tempat yang boleh dilawati dan ada juga tidak. Nama kalian bukan lagi satu jenama baharu yang perlu diperkenalkan dalam industri. Adakah ia satu tiket untuk berasa selesa? REMY ISHAK: Saya selalu fokus dan enggan menganggu konsentrasi setiap karakter yang dibawa. Sesi fotografi pun lebih baik beri kepada mereka yang memerlukan. Malas ada yang kata belakang-belakang apabila terpaksa menunggu lama nanti. Bukan maksud saya sesi fotografi tidak penting tetapi banyak hati yang saya kena jaga sebagai Remy Ishak. Saya bukan pentingkan diri sendiri, ini semua rezeki hasil kerja keras selama ini. Jadi apabila sudah ada, saya harus hargai. SARA ALI: Saya jarang ambil dua tawaran dalam satu masa, nanti saya sendiri penat badan, jadi bergantung pada situasi. Selama empat tahun dalam industri, saya sedar bahawa saya perlu lebih matang. Alang-alang dah berbual, nak tanya sikit. Bukan apa, industri tempatan kini semakin meriah dengan kehadiran pendatang baharu. Apa pandangan anda berdua mengenai situasi ini? REMY ISHAK: Sejujurnya, saya dah muak dengan pendatang baharu. Majoriti menjadikan lakonan sebagai batu loncatan untuk popular. Harus diingat bahawa industri kita kecil, bila jadi macam ini langsung orang yang betul-betul berbakat tiada tempat. Namun, saya menganggap itu semua hak masing-masing. Cuma satu pesan saya, bersyukurlah kerana segala-galanya lebih mudah sekarang berbanding zaman saya dulu. SARA ALI: Rezeki masing-masing, saya bukan bersaing dengan orang baharu. Sebaliknya, saya mahu bekerja bersama-sama mereka kerana industri kita bukan besar mana. Bunyinya macam ada sedikit perasaan kecewa dengan industri kita. Cuba komen sikit. REMY ISHAK: Produk kita nak pergi seberang pun bukan mudah. Saya bukan nak salahkan sesiapa tetapi inilah yang berlaku sekarang. Ada yang ambil pelakon Filipina yang nak cakap Bahasa Melayu pun tak reti. Senang-senang saja kita bagi orang luar masuk. Kita yang bunuh industri sendiri. Apapun, saya menganggap ini satu cabaran positif. SARA ALI: Percaturan kini berbeza, kalau nak berjuang macam 10 tahun lepas tidak akan sama. Saya sedih benda macam ini terjadi tetapi tidak boleh marahkan industri. Ramai yang berbakat, namun kenapa nak bising-bising. Sampai satu tahap saya tidak tahu hendak letak diri di mana. Industri muzik kita semakin bersatu tetapi industri filem memenatkan saya. Sepatutnya saya jadi penyanyi sejak dulu. Jadi, saya perlu ada pengaruh untuk mengubah segala-galanya. Ada sebarang perbezaan mengenai anda berdua sekarang berbanding ketika mula-mula terjun ke dalam industri sebelum ini? REMY ISHAK: Umur sudah meningkat, kena matanglah. Kalau masih macam umur belasan tahun, nanti tiada orang hormatkan kita. Dah nak 10 tahun dalam industri takkan nak bawa watak sama. Bukan skrip tak bagus tetapi tak sesuai dengan usia, jadi lebih baik beri orang lain. Walaupun watak lebih kurang sama, cara pembawakan berbeza, nak bercerita pun orang lain belum tentu faham. Pelakon tak pernah puas, kalau jadi gengster lima kali pun belum tentu sempurna. Susah nak terangkan benda ini. SARA ALI: Saya kini berdepan dua kelompok peminat yang berbeza. Jika dulu, pengikut saya di laman Instagram mencecah 90,000, kini bertambah lagi 20,000 pengikut. Saya akui ia penangan drama slot Akasia, Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Peminat dulu mungkin boleh terima saya seadanya, mereka bukan sekadar minat tetapi memahami saya. Kini, saya pernah ditampar seorang mak cik yang cukup menyampah dengan watak saya sebagai Melina dalam drama itu. Ini cabaran baharu buat saya. Saya tidak mahu peminat saya berpuak-puak. Kalau yang lama boleh minat, kenapa yang baharu tidak? Saya tak nak paksa orang suka saya kerana tahu orang perlu masa untuk kenal siapa Sara Ali. Saya mahu mengenali peminat, baru peminat boleh mengenali saya. Bagaimana pula dengan cinta? Boleh kongsikan sedikit bersama peminat? REMY ISHAK: Buat masa ini, saya bercinta dengan kerjaya. Saya tak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Apabila orang tanya, ia boleh menyebabkan saya terfikir. SARA ALI: Saya baru berusia 24 tahun, banyak lagi benda yang saya kena fikir. Buat masa sekarang, saya mahu menjaga nama dan reputasi serta tidak terlibat dengan gosip. Ia tanggungjawab saya sama ada mereka percaya atau tidak. Apa pula projek terbaharu kalian selepas ini? REMY ISHAK: Ini tahun paling sibuk buat saya kerana terlibat dengan beberapa projek sehingga hujung tahun. Mengenai 2015, ada memang ada tetapi lebih baik saya simpan sendiri dulu. Bila sudah rasmi nanti saya akan umumkan kepada semua. Saya memang seorang yang bekerja keras sampai terlupa bila kali terakhir bercuti gara-gara bekerja tanpa henti. SARA ALI: Saya tidak tahu. Dulu saya fikir satu-satu apa yang patut saya buat, cuma sekarang saya nak tengok sejauh mana saya boleh pergi. Saya pernah memasang impian untuk ke sekolah filem di luar negara satu ketika dahulu sebelum akhirnya sedar masih banyak yang harus saya lakukan di sini. Kini saya tengah belajar untuk mengendalikan banyak perkara dan tidak mahu cepat melatah. Permainan kini berbeza buat saya tetapi ini pilihan saya sendiri, jadi kena terima. Saya kini tengah membiasakan diri dengan solekan, pakaian, kasut dan sebagainya. Ini Sara Ali yang baharu tetapi sekurang-kurangnya saya mahu belajar. Percaya atau tidak, saya sendiri terkejut boleh menyolek wajah saya sendiri sekarang. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:21 PM PDT MUNGKIN benar kata orang, kisah silam yang berlaku dalam kamus kehidupan seseorang mampu mengajar mereka untuk menjadi insan yang lebih sempurna. Mengambil berkat kemuliaan Awal Muharam yang merupakan bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah), Zulkifli Mohd., 18, yang merupakan salah seorang penghuni rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) berikrar untuk berhijrah dari kehidupan lalu. Simbolik dengan kedatangan bulan baharu itu semalam, Zulkifli menjadikan tarikh tersebut sebagai titik tolak kepada permulaan kehidupan baharu dan berazam untuk memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik. Zulkifli dimasukkan ke pusat tersebut awal Februari tahun lalu akibat masalah ketagihan dadah yang serius. Menurut remaja yang berasal dari Negeri Sembilan itu, kedatangan Awal Muharam pada tahun ini diharap dapat membuka lembaran baharu dalam kehidupannya pada masa akan datang selain membuang jauh noda-noda hitam yang pernah menghantui kehidupan lampaunya. "Saya bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan normal seperti orang-orang lain. "Saya tidak sangka, saya kini seperti dilahirkan semula seperti sehelai kain putih yang suci, biarpun sebelum ini saya pernah hanyut dengan keseronokan dunia," katanya ketika ditemui di rumah Perkid, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini. Mengimbau kembali kisah tersebut, anak kedua daripada empat orang adik beradik itu menceritakan, dia terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah seawal usia 13 tahun. "Saya diperkenalkan dengan najis tersebut sewaktu hari pertama saya menjejakkan kaki di sekolah menengah. "Oleh kerana terpengaruh dengan ajakan kawan dan perasaan ingin mencuba yang begitu menebal dalam diri, saya akhirnya tewas dan sejak dari hari itu, saya mula berani mencuba pelbagai jenis dadah yang lain," jelasnya. Ujar Zulkifli, bermula dengan najis ganja, menghidu gam dan syabu, dia kemudian terus hanyut sehingga berani mengambil dadah jenis heroin. "Walaupun diri saya kotor dan penuh dengan najis, namun tiada seorang pun ahli keluarga berjaya menghidu kegiatan tidak bermoral saya ini. "Rahsia tersebut berjaya disimpan sehingga saya berumur 16 tahun, sebelum ditangkap dalam satu sekatan jalan raya kerana ujian air kencing menunjukkan saya positif dadah," ujarnya. Menyesal Jelas Zulkifli, disebabkan kejadian tersebut, dia meringkuk di dalam penjara selama tiga tahun sebelum dihantar ke pusat pemulihan. Bagaimanapun, disebabkan oleh najis dadah sudah sebati dalam diri, Zulkifli mula kembali ke tabiat lama sebaik sahaja dibebaskan daripada pusat tersebut. "Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana diberi peluang kedua dan mampu berubah selepas keluarga menghantar saya ke sini. "Jika dahulu saya langsung tidak ambil peduli tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim, namun kini saya mampu mengubah kehidupan saya menjadi insan yang lebih berguna," jelasnya. Apa yang pasti, Zulkifli berazam untuk menebus kembali segala kekecewaan yang dilakukan terhadap keluarganya dahulu. Sama seperti Zulkifli, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, Mohd. Naim, 29, juga pernah kecundang dalam hidup akibat penyalahgunaan najis dadah. Bagaimanapun, jelas Naim, dia bernasib baik kerana ketagihannya itu mampu dicegah awal dan tidak melarat sehingga terpaksa merempat di kaki jalan. "Saya membesar seperti remaja-remaja yang lain. "Namun, disebabkan saya mudah terpengaruh dengan apa yang dilakukan rakan, saya terpesong dan terpalit sama dengan najis dadah," ujarnya. Jelas Naim, biarpun terjebak dengan pengambilan pil kuda hampir 10 tahun, namun rahsia tersebut berjaya disimpan rapi. Bagaimanapun, ujar anak sulung daripada tiga beradik itu, dia nekad untuk berubah dan membayar kembali setiap kesilapan yang pernah dilakukan terhadap ibu bapanya. "Bayangkan angkara dadah, duit gaji yang saya perolehi lebih RM4,000 sebulan lebur begitu sahaja tanpa mengirimkan satu sen pun kepada ibu dan ayah di kampung. "Mana tidaknya, setiap hari saya membelanjakan lebih RM150 untuk membeli pil kuda. Jika sehari tidak dapat, hidup saya tidak keruan dan terasa seperti mahu mati," jelasnya. Disebabkan itu, dia nekad untuk mengubati penyakitnya dan menjadi penghuni pusat pemulihan itu sejak dua tahun lalu. Bagaimanapun, perubahan ketara dalam hidup selain pendedahan yang mendalam terhadap agama, Naim nekad untuk terus menetap dan berbakti di rumah tersebut sehingga kini. "Dahulu memang saya tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid, apatah lagi untuk menunaikan solat, namun kini semuanya mampu saya tunaikan dengan kerelaan hati," jelasnya. Batu loncatan Berbeza dengan remaja-remaja lain, Zulfadzli Muhammad, 16, pula menyambut kedatangan Awal Muharam melalui perspektif yang berbeza. Menurut remaja berkulit hitam manis itu, kedatangan tahun baharu pada tahun ini diharapkan mampu menjadi batu loncatan untuk dirinya memperbaiki hubungan kekeluargaan selain memperbaiki diri untuk menjadi anak yang berguna. "Saya mula berkelakuan liar selepas kematian ibu sewaktu berumur sembilan tahun. "Bermula dari saat itu saya mula terlibat dengan masalah sosial dan sering ponteng sekolah untuk melepak serta melibatkan diri dengan aktiviti lumba haram," jelasnya. Ujar anak kedua daripada empat beradik itu, dia juga pernah lari dari rumah dan memecah masuk rumah bapanya untuk mengambil barangan bernilai lebih RM5,000. "Saya malu untuk apabila memikirkan segala tindakan bodoh yang saya lakukan dahulu. "Disebabkan perkara itu, saya rasa terasing dan sehingga kini keluarga saya tidak mahu bercakap dengan saya," ujarnya. Bagaimanapun, anak kelahiran Johor Bahru itu percaya pada barisan ayat yang sering diungkapkan dalam peribahasa Melayu, air dicincang tidak akan putus. Ujar Zulfadzli, dia percaya lambat laun hasratnya untuk berbaik dan kembali semula semula ke pangkuan keluarga pasti tercapai. "Saya mahu jadi contoh kepada adik-beradik saya yang lain. "Saya tidak mahu ada di antara mereka yang mengikut jejak langkah saya sebelum ini," ujarnya. Insaf Kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan badan binasa. Begitulah yang dialami gadis kelahiran Banting, Selangor, Fatimah Ahmad, 16, yang menyesali perbuatannya, namun dia terpaksa akur kerana nasi sudah menjadi bubur. Fatimah hilang kehormatan diri disebabkan terlalu percaya dengan kekasih hati yang baru dikenali menerusi laman sosial. "Semua itu berlaku dengan pantas dan mungkin kerana terlalu sayang dengan lelaki yang pandai bermain kata-kata itu. "Bagaimanapun saya bernasib baik kerana ahli keluarga menyedari sikap liar saya dan kini beransur pulih daripada kegagalan hidup lalu," jelasnya. Cerita anak kedua daripada empat beradik itu, dia begitu menyesal kerana tidak menjaga kehormatan diri dengan betul. "Saya tidak tahu apa nasib saya akan datang. "Namun, apa yang pasti, saya berazam untuk membersihkan nama keluarga dengan membuat sesuatu yang boleh membanggakan mereka," jelasnya. | ||||||
Posted: 25 Oct 2014 07:20 PM PDT PROGRAM 'Saya Mahu Sentuh Anjing' yang berlangsung di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu telah mengundang kemarahan umat Islam kerana mereka berasa dihina dengan tindakan penganjur program tersebut. Mengikut laporan akhbar sebelum ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) didakwa telah meluluskan program tersebut kerana ketika menerima cadangan program itu, pihak penganjur hanya memaklumkan objektif program itu semata-mata untuk memberi pencerahan atau kefahaman tentang hukum berkaitan kedudukan anjing mengikut perspektif Islam. Namun, ketika berlangsungnya program itu, didapati objektif yang dinyatakan dalam cadangan yang diterima MAIS berbeza kerana orang Islam yang berada pada program itu seolah-olah digalakkan memegang dan membelai anjing sedangkan mengikut Mazhab Syafie, orang Islam tidak boleh menyentuh haiwan tersebut kerana ia dianggap sebagai najis berat. Program yang kali pertama dianjurkan itu disertai 1,400 peserta daripada pelbagai kaum dan ia berlangsung selama dua jam bermula pukul 8 hingga 10 pagi dengan membenarkan pengunjung termasuk masyarakat Islam memegang dan bermanja dengan anjing tanpa sebab. Jumaat lalu, akhbar melaporkan Muzakarah Fatwa Kebangsaan memutuskan isu umat Islam menyentuh dan memegang anjing adalah bertentangan dengan fahaman majoriti umat Islam di negara ini yang berpegang kepada Mazhab Syafie. Pegangan mazhab Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, penganjuran kempen itu menimbulkan keresahan awam terutama dalam kalangan umat Islam kerana secara jelas menyanggah pegangan mazhab dan uruf (adat) di negara ini. "Jakim telah membuat teguran kepada pihak penganjur yang mengadakan kempen memegang anjing secara sengaja dan terbuka kepada umum termasuk mereka beragama Islam tanpa sebab munasabah," katanya. Othman berkata, walaupun Islam meletakkan kaedah apabila seseorang boleh menyucikan diri dengan menyamak apabila terkena najis mughallazah (berat), namun ia bukan alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis berkenaan secara sengaja. Menurutnya, tindakan itu sama seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya. "Justeru, tindakan penganjur dikhuatiri mempunyai agenda terselindung dan secara jelas dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baharu dan boleh membawa kepada perbuatan menghina Islam," ujarnya. Katanya, Islam tidak memandang keji kepada anjing sebagai makhluk Allah, malah penyeksaan serta memukul atau membunuh haiwan itu tanpa sebab adalah bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. "Anjing tetap wajar diberi kasih sayang, belas ihsan dan dijaga kebajikannya. Bagaimanapun, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan itu sebagai binatang peliharaan," jelasnya. Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut memberitahu, perbuatan sengaja menyentuh anjing adalah haram kerana ia najis berat iaitu najis mughallazah. "Perkara ini dilarang kerana tiga perkara iaitu agama, kesihatan dan budaya yang bercanggah dengan Islam. Jangan cuba mencipta budaya yang bercanggah dengan Islam dan Mazhab Syafie, apatah lagi mempunyai unsur menghina ulama di negara ini. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
0 ulasan:
Catat Ulasan