ads

Sabtu, 11 Oktober 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Memey tak sanggup bermadu

Posted: 11 Oct 2014 09:23 PM PDT


  • Memey Suhaiza

TERAJU utama drama bersiri Pulang Sayang ini mengakui tidak pernah menyalahkan peminat yang mendoakan hubungan suaminya pelakon Norman Hakim bersama bekas isterinya Abby Abadi kembali bersatu.
Menurut Memey Suhaiza, 26, peminat akan terus memberikan macam-macam pandangan mengenai hubungan mereka.

"Sebenarnya selain yang menyokong mereka kembali bersama, ada juga yang marah dan meminta supaya Kak Abby tidak mengganggu rumahtangga kami.

"Ada lagi perkara lain yang orang sampaikan pada saya, tetapi itu hak mereka dan saya sendiri rasa ok jer sebab pernah berhadapan dengan perkara yang lebih teruk," katanya kepada Zass menerusi aplikasi WhatsApp.

Jelas Memey, dia tidak pernah memikirkan perkara tersebut (bermadu) kerana bahagia dengan kehidupan kini.

"Apa yang penting bagi saya adalah menjaga suami. Lagipun dia yang paling sedih apabila perkara ini berlaku.

"Dia sering minta supaya saya kuat dan jangan biarkan perkara ini mengganggu rumahtangga kami. Lagipun, saya percaya bukan sesiapa menentukan kehidupan kita kerana semua yang berlaku urusan ALLAH SWT," ujar Memey yang sedang hamil tiga bulan anak
keduanya.

Dalam pada itu, Memey memberitahu, dia yakin semua maklum akan hubungan baik antaranya dan juga Abby.

"Kami memang sentiasa berhubung, jika bukan saya, suami yang akan menghubunginya bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat.

"Bila dia tertekan, tidak salah kami menasihatinya supaya terus kuat demi anak-anak. Lagipun suami tidak pernah berselindung sebaliknya dia sentiasa memberitahu saya apa sahaja perkembangannya bersama bekas isteri," jelasnya hairan apabila perkara tersebut
diperbesarkan.

Memey juga meminta peminat mendoakan yang terbaik buat mereka kerana hubungan baik tersebut demi anak-anak tercinta.

Cendol Bakar turun harga

Posted: 11 Oct 2014 09:17 PM PDT


  • Kain rentang yang dipasang di hadapan premis menarik perhatian ramai.Kain rentang yang dipasang di hadapan premis menarik perhatian ramai.

DALAM  pada rakyat berdepan kenaikan harga minyak, Cendol Bakar telah melakukan  satu perubahan drastik iaitu menurunkan harga 20 sen, sebagai salah satu kelainan terbaru yang ditawarkan untuk pelanggannya.

Promosi  potongan harga 20 sen untuk semangkuk cendol dari RM2 menjadi RM1.80 itu diberikan kepada semua pelanggan sehingga 30 Oktober ini melalui kain rentang yang dipasang di hadapan premis yang cukup popular di Kuala Selangor.

Lebih menarik, cendol dengan pelbagai jenis perisa itu turut diberikan secara percuma kepada golongan fakir miskin dengan hanya menunjukkan kad Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kaunter.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lokasi premis jualan Cendol Bakar yang terletak di persimpangan berhampiran Assam Jawa itu cukup sesak dipenuhi orang ramai lebih-lebih pada hujung minggu sehingga terpaksa menggunakan khidmat anggota Rela untuk mengawal lalu lintas.

Bercakap mengenai promosi istimewa itu, pemilik Cendol Bakar, Rifhan Farhan Mohamad Arif, 25, berkata, inisiatif itu dibuat selepas mengambil kira kesusahan rakyat yang berdepan pelbagai bebanan kos hidup, selepas subsidi minyak RON95 dikurangkan. Sebagai peniaga katanya, dia perlu prihatin dengan masalah yang membebani pengguna termasuk mengurangkan harga makanan itu sebanyak 20 sen berbanding harga asal.

"Promosi ini juga boleh memperkenalkan produk cendol kami dengan lebih meluas dan ternyata sambutan diberikan cukup menggalakkan.

"Kain rentang di depan premis memang banyak bantu. Pelanggan pun dapat nikmati cendol dengan harga yang rendah dan berpatutan.

"Kami ini orang biasa saja tapi kena main peranan buat perubahan seperti ini. Dengan cara menurunkan harga boleh bantu kurangkan beban pelanggan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tarikan utama gerai

CENDOL Bakar bijak menggunakan promosi. Kain rentang yang mempromosikan pelbagai tawaran kepada pelanggan menjadi nadi utama selain namanya yang unik.

Malah bukan sekadar berniaga, soal kebajikan pelanggan menjadi keutamaan pemiliknya. Cendol Bakar tidak melupakan nasib golongan kurang berkemampuan apabila meneruskan pemberian cendol percuma kepada orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin.

Menurut Farhan, sejak dari awal pembukaan Cendol Bakar cendol percuma kepada golongan itu tidak dilupakan sehingga sekarang.

"Saya mahu beri peluang kepada golongan ini menikmati cendol seperti pelanggan lain...biar mereka dapat nikmati produk kami.

"Sebagai peniaga, kita kena saling bantu tangani masalah kenaikan harga minyak ini. Apa yang penting, mesej untuk tidak membebankan orang kurang berkemampuan ini diharapkan 'sampai' sekali gus dapat membantu.

"Kita mahu semua pihak buka mata dengan bebanan yang terpaksa ditanggung disebabkan kenaikan minyak," katanya.

Sejarah Cendol Bakar

CENDOL Bakar penuh dengan keunikannya tersendiri. Bukan sahaja namanya yang mampu mengelirukan pelanggan, namun tawaran demi tawaran yang dibuat pemiliknya kepada pengunjung gerai menjadikan premis tepi jalan ini begitu menyerlah dan popular.

Di Kuala Selangor, Cendol Bakar sudah begitu sinonim. Pendek kata, penduduk di kawasan itu sudah biasa merasa malah mungkin menjadi pelanggan tetap.

Cendol Bakar tiada kaitan dengan cara pembuatannya. Ia tidak dibakar malah cara penyediaannya sama seperti cendol lain. Sebaliknya, pemilik gerai menggunakan nama datuknya Bakar (Abu Bakar Saidin) untuk perniagaannya itu.

Cendol Bakar tidak 'menipu' pelanggan itu diakui beberapa pelanggan. Mereka tertarik kerana keunikannya yang menyediakan konsep pandu lalu.

Tindakan pemilik Cendol Bakar menyediakan laluan pandu lalu kepada pelanggannya dipuji kerana pelanggan tidak perlu beratur panjang di kaunter untuk dapatkan cendol.

Bagi seorang pengunjung, Tengku Suzila Tengku Ismail, 39, dia tertarik untuk membeli cendol di situ disebabkan ada khidmat pandu lalu.

"Saya langsung tak terfikir cendol di sini dibakar. Memang dah dapat agak mungkin itu nama pemiliknya. Lagipun tak ada kesan terbakar...tapi saya adalah tertanya-tanya kenapa namanya Cendol Bakar.

"Bila datang, saya jadi seronok sebab ada pandu lalu...itukan satu yang baru dan memang buat saya tertarik untuk datang. Tempat pun menarik, ada macam-macam jenis," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Noraini Abd Hamid, 47, akui  tidak tertipu dengan nama cendol yang mungkin telah mengelirukan orang ramai.

"Saya memang tahu itu nama bukannya dibakar. Tapi tak tahulah kalau orang lain anggap cendol itu dibakar.  Kalau betul dibakar memang ajaiblah. Saya dah pernah makan memang sedap. Memang tak ada kesan terbakar pun," katanya berseloroh.

Pokok berusia 200 tahun masih wujud

Posted: 11 Oct 2014 09:16 PM PDT


  • Abdul Rahim (kanan) menunjukkan pokok asam kumbang.Abdul Rahim (kanan) menunjukkan pokok asam kumbang.

BAGI masyarakat luar, nama Kampung Asam Kumbang di Benut, Pontian sesuatu yang asing, namun bagi penduduk tempatan, kampung yang terletak dalam Mukim Sungai Pinggan ini cukup dikenali kerana berasal dari sebuah pokok iaitu pokok asam kumbang.

Lebih menarik, pokok terbabit yang berusia hampir 200 tahun terletak berhampiran kawasan tanah perkuburan.

Tidak seperti kebanyakan kampung lain, nama asal Kampung Asam Kumbang yang diambil daripada sebuah pokok masih dapat dilihat di kampung tersebut.

Ketua Kampung, Abdul Rahim Laberahimah, 52, berkata, penduduk di sekitar Pontian tidak mengetahui kewujudan pokok asam kumbang tersebut.

Katanya, ramai beranggapan nama Kampung Asam Kumbang diambil hanya sekadar nama yang digunakan generasi terdahulu yang kemudiannya dikekalkan sehingga sekarang.

"Ramai tidak mengetahui kewujudan pokok asam kumbang yang masih hidup di sini dengan ketinggian hampir 300 meter," katanya.

Menurutnya, pokok tersebut masih mengeluarkan buah asam seperti pokok asam lain, namun kini buah yang dihasilkan tidak banyak.

"Pokok ini cukup besar sehingga memerlukan lima orang untuk memeluk bahagian batang pokok," katanya.

Katanya, meskipun tidak ada sebarang kajian dilakukan terhadap pokok terbabit, namun beliau percaya pokok tersebut sudah hidup hampir 200 tahun di situ berdasarkan cerita-cerita penduduk lama di situ.

"Dahulu, kawasan ini mempunyai banyak pokok asam kundang atau asam kumbang, namun bilangan semakin berkurangan dan sehingga ke hari ini hanya tinggal sebatang sahaja," katanya.


Akan terus jaga pokok

Katanya, ada pihak menawarkan RM1,000 untuk tebang pokok ini dan ramai berminat mendapatkan kayu pokok ini, namun sebagai salah satu warisan di kampung ini, pokok terbabit akan terus dikekalkan dan tidak boleh ditebang.

Katanya, ini kerana bagi memastikan generasi akan datang dapat melihat pokok yang menjadi nama kampung terbabit.

"Penduduk kampung akan menjaga pokok sebaik yang mungkin bagi tatapan generasi akan datang memandangkan ia merupakan satu-satunya pokok asam kumbang yang masih wujud," katanya.


Kolam air tidak pernah kering

Bercerita mengenai keunikan Kampung Asam Kumbang, terdapat sebuah kolam air didakwa penduduk tidak pernah kering dan sentiasa jernih.

Menurutnya, kolam tersebut pernah digunakan suatu masa dahulu oleh jemaah surau mengambil wuduk dan membersihkan diri selepas selesai urusan pengebumian di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan surau.

"Suatu ketika dahulu, pernah terjadi kemarau di sini, namun air kolam tidak pernah kering dan sentiasa dipenuhi air.

"Selain itu, air kolam ini juga tidak keruh dan berbau seperti kolam tadahan air hujan yang lain," katanya.

Difahamkan, kolam terbabit telah wujud sebelum surau dibina di situ dan tidak dipastikan usia sebenarnya.

Jerami padi jana pendapatan petani

Posted: 11 Oct 2014 09:11 PM PDT


  • Keadaan jerami padi disimpan di sebuah gudang bagi mengekalkan mutu kualiti.Keadaan jerami padi disimpan di sebuah gudang bagi mengekalkan mutu kualiti.

ALOR SETAR – Proses kitaran semula sisa buangan tanaman padi, khususnya jerami padi mampu menangani masalah pencemaran dan gangguan ekologi.

Usaha tersebut lebih bermakna jika jerami padi dikumpulkan dengan menggunakan mekanisme moden untuk penghasilan makanan ternakan, produk kraf tangan, bahan utama dalam penghasilan baja kompos dan sumber pelet bahan bakar.

Penghasilan produk hiliran dan industri bahan bakar daripada jerami padi adalah alternatif baharu untuk mengurangkan masalah pembakaran terbuka.


Potensi sisa buangan

Pemprosesan sisa buangan pertanian daripada industri padi berpotensi untuk berkembang memandangkan pengeluaran sisa buangan daripada industri padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dianggarkan mencecah sehingga 300,000 tan.

Pembangunan aktiviti hiliran kerajaan dan swasta dalam perkara ini dapat membantu menambah pendapatan petani dan penduduk sekitarnya.

Di Malaysia, pemprosesan kelapa sawit menghasilkan lebih 100 juta tan metrik sisa buangan setiap tahun.

Manakala, pembuangan gula daripada tebu pula menghasilkan lebih daripada sejuta tan metrik hampas setahun.

Ini bermakna kitar semula bahan buangan mampu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar yang semakin meruncingkan.

Menerusi projek-projek baru dan kajian daripada pelbagai pihak, bahan buangan pertanian boleh dijadikan sebagai bahan asas bagi menghasilkan suatu komposisi yang setanding dari segi ciri-ciri mekanikalnya dengan bahan yang sedia ada di pasaran.

Dianggarkan bahawa Malaysia menjana sehingga 80 juta tan sisa buangan setiap tahun daripada ladang kelapa sawit yang sebahagian besarnya adalah tandan kosong kelapa sawit, pelepah, tempurung dan dedak isirung sawit.


Seminar kesedaran

Itu antara topik akan dibincangkan bersama pelbagai agensi kerajaan menerusi seminar From Waste to Wealth yang akan diadakan hari ini dan esok di Hotel Grand Alora, di sini.

Seminar terbabit dianjurkan bersempena mempromosikan program Malaysia Agriculture, Holticulture and Agrotourism Shows (Maha) yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 30 November nanti.

Ia akan menjadi platform pertemuan antara penggiat utama sektor pertanian, pengilangan, pekebun kecil, usahawan, pendidik, pegawai kerajaan, pelajar serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia.

Difahamkan, program itu turut memberi penekanan khusus kepada pengurusan sisa buangan pertanian dan juga biomas (sisa buangan dari sumber asli) seperti kelapa sawit, hampas jagung, jerami padi yang selama ini dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah global.

Objektif penganjuran seminar itu adalah bagi meningkatkan kefahaman dan pengetahuan masyarakat berkenaan pengurusan sisa buangan pertanian.

Selain itu, ia juga bertujuan memartabatkan industri sisa buangan melalui pendedahan dan peluang perniagaan.

Antara topik utama yang bakal dibincangkan pada seminar itu adalah potensi sisa buangan berasaskan pertanian, teknologi terkini pengurusan sisa buangan pertanian, hala tuju Malaysia ke arah memartabatkan industri dan perkongsian pengalaman pengeluaran produk komersial berjaya.

Ikan eksotik cecah ribuan ringgit

Posted: 11 Oct 2014 08:48 PM PDT



SEBUT sahaja nama ikan empurau, pasti ramai kaki pancing di negeri Sarawak mula terbayang-bayang rezeki lumayan yang bakal dituai.
Ini kerana, habuan yang diperoleh daripada 'raja ikan sungai' itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mana-mana kaki pancing yang bertuah mendaratkan ikan bernilai tinggi tersebut.
Tidak cukup dengan itu, ada kaki pancing menyifatkan kejayaan menangkap ikan empurau yang membiak dalam habitat tersendiri iaitu di lokasi terpencil di hulu-hulu sungai diibaratkan sebagai baru lulus lesen sebagai pemancing tegar.
Justeru, tidak dapat disangkal lagi empurau atau nama saintifiknya tor tambroides merupakan ikan eksotik yang sememangnya cukup terkenal dalam kalangan kaki pancing disebabkan nilainya yang tinggi.
Situasi ini menyebabkan ikan empurau kini menjadi buruan ramai, malah ada yang berani mencuba nasib untuk mem­biaknya secara komersial keran­a ia mampu menjana pendapatan lumayan.
Empurau merupakan ikan daripada spesies kelah, namun yang membezakannya dengan kelah di Semenanjung adalah terdapat lebihan cuping panjang di bawah mulutnya.
Bukan omongan kosong, ikan empurau mempunyai nilai komer­sial yang tinggi dengan harga antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram di pasaran tempatan pada masa kini.
Saintis Alam Se­kitar, Dr. Elli Luhat berkata, empurau bukan calang-calang ikan kerana ia bukan sahaja dianggap sebagai 'raja ikan sungai', malah dilabel sebagai ikan untuk orang kaya sahaja.

ELLI memberi makanan untuk ikan empurau yang diternaknya.


Habitat
Katanya, kaki pancing yang bernasib baik menangkap empurau sanggup menjual ikan itu daripada memakannya kerana mereka pasti menuai 'durian runtuh' hasil daripada jualan ikan tersebut.
"Habibat utama ikan empurau di Sarawak ialah di Kapit, Belaga, Limbang dan Lawas. Ikan ini lazimnya membiak di dalam air tawar yang bersih tanpa keladak dengan dasar sungai yang berbatu.
"Ikan ini juga memerlukan habitat yang sunyi untuk membiak disebabkan ia begitu sensitif terhadap pencemaran. Pembiakannya juga akan terjejas sekiranya terdapat unsur-unsur pencemaran sungai," katanya ketika ditemui kru Jurnal di kediamannya di Taman Satria Jaya, Kuching baru-baru ini.
Elli yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam dunia penternakan ikan empurau memberitahu, hidupan spesies air tawar itu boleh hidup dan membiak sekiranya memenuhi tiga syarat ketat.
Pertama katanya, suhu air mesti antara 19 dan 33 darjah Celsius. Kedua, kadar larut oksigen dalam air ialah antara 3.5 dan 9 miligram seliter serta air yang bersih.
"Walaupun mesti memenuhi syarat-syarat tersebut, saya yakin pembiakan ikan empurau di dalam persekitaran tiruan (tangki konkrit) tetap boleh dilakukan.
"Sebagai testimoni, saya sendiri memulakan proses penghasilan anak-anak ikan empurau menggunakan empat induk yang ditangkap di Kapit dan Limbang di sebuah tangki konkrit.
"Selepas menjalankan proses pembiakan ke atas dua pasangan ikan itu, saya dapati seekor daripadanya bersedia untuk membiak. Hasilnya, kira-kira 2,000 anak empurau berjaya dihasilkan dalam uji kaji pertama tersebut," katanya.
Menceritakan pengalamannya, Elli berkata, beliau telah memperkenalkan satu teknologi yang dinamakan Doktor Luhat Teknologi (DLT) dalam usaha memacu proses pembiakan empurau di Sarawak.
Katanya, proses inovasi menerusi DLT itu penting bagi memastikan kemapanan dan kualiti ikan empurau yang dihasilkan sekali gus memenuhi permintaan pembeli dari dalam mahupun luar negara.
"DLT merupakan salah satu jenis inovasi yang kita mahu lihat, satu inovasi yang dapat memastikan ikan empurau dibiak secara sistematik dan bersepadu.
"Tanpa prosedur operasi standard pembiakan yang betul, kelangsungan spe­sies ikan ini pasti tidak lagi terjamin pada masa hadapan," katanya sambil memberitahu, menerusi DLT, seekor induk ikan empurau boleh menghasilkan 10,000 hingga 20,000 anak ikan, tetapi ia tidak termasuk bilangan yang mati.

ELLI menunjukkan ikan empurau yang diternak di rumahnya.


Buah engkabang
Berbicara lanjut, Elli memberitahu, ikan empurau hanya memakan buah-buahan engkabang yang gugur ke dalam sung­ai.
Pokok engkabang atau nama saintifiknya shorea macrophylla ialah sejenis tumbuhan yang tumbuh di tebing hulu sungai.
Tumbuhan itu banyak tumbuh di kawasan pedalaman Sarawak termasuk di sekitar Sungai Rajang.
Menariknya, engkabang mempunyai keunikan tersendiri kerana berbuah tiga hingga lima tahun sekali.
Pun begitu, ujar Elli, banyak perkara harus diselidik seperti mengkaji jenis makanan yang sesuai untuk ikan tersebut memandangkan proses pembesarannya yang agak lambat.
"Sudah pasti anda pernah terdengar ada orang menangkap ikan empurau seberat 20 hingga 30 kilogram (kg) yang hidup liar di kawasan sungai yang bebas daripada unsur pencemaran.
"Namun begitu, kita sebenarnya tidak tahu berapa tempoh yang diperlukan oleh ikan terbabit untuk membesar sebesar saiz itu," katanya sambil menambah, berat ikan yang dapat dihasilkan menerusi DLT ialah antara 1.5 hingga 2kg dalam masa lima tahun.
Dalam pada itu, Elli membe­ritahu, terdapat tiga spesies ikan empurau iaitu putih, merah dan hitam dengan spesies berwarna putih lebih laris dan mahal di pasaran.
Katanya, harga pasaran ikan empurau bergantung kepada saiznya dan boleh mencecah sehingga RM1,000 sekilogram jika saiznya besar dan bagi yang lebih kecil atau sederhana ialah sekitar RM500 sekilogram.
"Harga ikan empurau yang saya tawarkan sedikit berbeza dengan tiga pakej harga iaitu pakej eksekutif, pakej VIP dan pakej di raja.
"Harga bagi pakej eksekutif ialah RM850, RM1,000 untuk pakej VIP dan RM1,200 bagi pak­ej diraja. Harga ini adalah termasuk daun gaharu bagi masakan istimewa ikan itu," katanya.
Elli turut mengakui, ikan empurau bukan sahaja menjadi kegilaan masyarakat tempatan, malah sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengusaha restoran di Hong Kong dan China.
Khasiat
Katanya, permintaan tinggi terhadap empurau antara faktor yang menyebabkan spesies itu semakin sukar diperoleh serta jarang dijual selain yang diternak di dalam tangki konkrit.
"Selain rasa yang enak dan boleh dimasak dengan pelbagai cara, empurau turut digemari kerana sisiknya boleh dimakan tidak seperti ikan-ikan air tawar lain.
"Tekstur dagingnya juga begitu berbeza dengan spesies ikan air tawar lain seperti ikan semah, lampam, tilapia, lais dan baung.
"Cara terbaik untuk menikmati kelembutan isinya adalah dengan mengukusnya bersama sos soya cair, halia dan daun bawang muda. Isinya tercerai dengan mudah dari tulang dan esen halia serta daun bawang akan meningkatkan rasa ikan air tawar itu," tambahnya.
Apa yang pasti katanya, khasiat ikan empurau sememangnya diakui kerana memiliki kan­­­du­ngan asid lemak omega-3 yang berfaedah membantu merembeskan asid eikosapentaeonik (EPA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) dalam tubuh manu­­sia.
Elli memberitahu, kandungan omega-3 yang terdapat dalam ikan eksotik itu juga dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol dalam darah, melawan keradangan dan pelbagai penyakit lain.
"Antara lain, pengambilan asid lemak omega-3 bagi kanak-kanak yang sedang membesar didapati dapat membantu dalam proses pembelajaran mereka.
Dalam perkembangan lain, Elli memberitahu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta kepada Jabatan Pertanian negeri bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan ikan empurau di Stesen Pertanian Tarat, Serian.
Katanya, fokus utama dana tersebut adalah untuk menternak ikan empurau memandang­kan potensi besar ikan ber­kenaan yang bernilai tinggi bagi tujuan komersial.
"Meskipun ikan ini berjaya diternak di dalam persekitaran tiruan, namun penyelidikan lanjut masih diperlukan bagi mendapatkan teknologi yang berdaya maju sekali gus me ningkatkan pengkomersialan empurau," katanya.


Gajet canggih ancam mata

Posted: 11 Oct 2014 08:46 PM PDT



Pak SEONG (kanan) menunjukkan jarak ideal antara mata dan peranti digital.


MATA Nur Iman Zahra Muhammad Basir, 4, terkebil-kebil melihat skrin televisyen di hadapannya.
Sekali-sekala dia mengecilkan kedua-dua belah matanya supaya objek pada skrin itu kelihatan lebih jelas.
Menurut ibunya, Noor Azlina Jaafar, 36, anak sulungnya itu terpaksa mengenakan cermin mata sejak dua bulan lalu akibat masalah penglihatan.
"Kami menyedari Zahra mengalami masalah penglihatan apabila dia sering mengecilkan mata ketika menonton televisyen. Dia juga se-ring mengadu pening jika terdedah kepada cuaca panas," kata Noor Azlina.
Paparan sinar
Bukan Nur Iman Zahra seorang sahaja yang mengalami masalah penglihatan pada usia kanak-kanak, malah akhbar melapor-
kan hampir 30 peratus atau tiga juta kanak-kanak bawah usia 12 tahun di negara ini kini menggunakan cermin mata akibat masalah daya penglihatan berpunca daripada keturunan dan persekitaran.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira sejuta kanak-kanak mengalami masalah itu akibat terdedah kepada gajet elektronik seperti telefon bimbit, tablet dan permainan video dalam tempoh masa yang lama.

CERMIN mata digunakan bagi mengatasi masalah rabun jauh dan rabun dekat.


Ahli optik dari Vision Space Optometrist, Woon Pak Seong, berkata, walaupun kebanyakkan kes berkaitan penglihatan terutamanya rabun adalah di­sebabkan faktor genetik, kecen­derungan kanak-kanak terhadap permainan berbentuk visual se­perti yang terdapat pada peranti digital juga antara penyebab utama kerosakan penglihatan.
Katanya, pancaran cahaya biru yang dikeluarkan oleh peranti digital menjadi penyumbang utama kepada gejala seperti keletihan mata.
"Apabila mata terlalu lama tertumpu kepada skrin tablet, ia boleh menyebabkan mata kanak-kanak cepat letih dan penat. Ini kerana fokus mata terarah kepada objek yang bergerak terlalu cepat dalam permainan komputer selain disebabkan paparan sinar terang pada skrin yang bukan datang daripada sumber semula jadi.
"Hal ini seterusnya menyebabkan seseorang menjadi rabun jika tidak menggunakan cermin mata yang dapat menapis cahaya tersebut. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal penggunaan gajet dalam tempoh yang disarankan iaitu sekitar 30 minit sehari dengan pengisian permainan yang berfaedah se-perti aplikasi pembelajaran," katanya.
Kurang responsif
Sementara itu, menurut Pakar Kanta Sentuh di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib, kuasa kanta cermin mata yang digunakan kanak-kanak hari ini juga pada tahap membahayakan iaitu sehingga -8.00 Diopter yang merupakan kategori rabun tahap tinggi.
"Secara purata, tiga dari-
pada 10 pesakit mengalami masalah penglihatan akibat penggunaan gajet elektronik secara berpanjangan.
"Dahulu masalah begini jarang berlaku. Perkembangan teknologi membolehkan kanak-kanak membawa gajet ke merata tempat menyebabkan mereka turut terdedah kepada risiko masalah kesihatan khususnya kejang 'otot siliari mata' seperti juga orang dewasa," katanya.
Tambah Haliza, terdapat ibu bapa yang membenarkan anak seawal usia setahun bermain gajet elektronik tanpa mempedulikan kesan negatif terhadap fisiologi anak dalam jangka masa panjang khususnya kesihatan deria penglihatan.
Katanya, penggunaan gajet dalam tempoh yang panjang akan menyebabkan otot akomodasi mata lumpuh sementara dan kurang responsif akibat keletihan melampau.
"Kanak-kanak yang terdedah terlalu lama dengan gajet juga cenderung mendapat masalah kesihatan lain seperti sering sakit kepala, sakit mata dan kekeringan mata.
"Masalah penglihatan yang timbul boleh dirawat jika dikesan daripada pe­ringkat awal melalui gejala seperti kabur penglihatan atau kanak-kanak tersebut mengecilkan mata akibat rasa silau dalam pencahayaan biasa," jelasnya.
Dalam pada itu, kajian di Asia Timur, Singapura dan Taiwan mendapati, peratusan kanak-kanak yang mengalami masalah rabun meningkat sehingga 85 peratus manakala di Amerika Syarikat pula menunjukkan peratusan itu semakin meningkat dari-
pada hanya 25 peratus kepada 41.6 peratus.
Di China, kajian dilakukan menunjukkan 69 hingga 77 peratus kanak-kanak di bandar meng-alami masalah berkenaan berbanding 37 hingga 55 peratus di luar bandar.


Cipta rekod dunia jalan mengundur

Posted: 11 Oct 2014 08:40 PM PDT


PARA peserta Imagine Retrowalk bersiap sedia untuk berjalan kaki secara mengundur sejauh satu kilometer di Tebingan Kuching, Sarawak semalam.


KUCHING – Malaysia mencipta nama dalam The Guinness Book of Records melalui acara jalan kaki secara mengundur teramai sejauh satu kilometer selepas menghimpunkan lebih 1,918 orang peserta menerusi program Imagine Retrowalk di Tebi­ngan Kuching di sini semalam.
Pengerusi pengelolanya, Winnie Lim memberitahu, mereka berjaya memecahkan rekod sebelum ini yang dicatat oleh Jerman dengan peserta seramai 1,509 orang pada 23 Ogos lalu.
"Jumlah 1,918 peserta itu merupakan senarai yang direkodkan pada malam semalam (kelmarin). Kami optimis akan ada lebih 2,200 peserta keseluruhan menyertai acara hari ini (semalam) memandangkan penyertaan dibuka sehingga pagi tadi (semalam).
"Pengesahan rasmi oleh The Guinness Book of Records akan mengambil sedikit masa kerana mereka perlu menerima laporan lengkap daripada para panel penilai. Namun, kami percaya program ini
telah mencapai sasaran," katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu di sini semalam.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved