ads

Selasa, 30 September 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Aliff Aziz Dedah Tidak Terlibat Curi Telefon Bimbit

Posted: 30 Sep 2014 08:40 PM PDT


Aliff menafikan dia mencuri dua buah telefon bimbit pada Mei lalu namun mengakui ditahan bagi membantu siasatan pihak polis di Singapura.
PETALING JAYA: Penyanyi Aliff Aziz menafikan dia telah mencuri dua buah telefon bimbit namun mengakui ditahan pihak berkuasa Singapura bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Aliff, 22, memberitahu, ketika kejadian dia berada di tempat yang salah dan menjadi polisi biasa pihak berkuasa di Singapura untuk menahan semua suspek yang berada di lokasi serbuan bagi menjalankan siasatan.

"Saya mengaku ditahan oleh pihak berkuasa ekoran kes kecurian telefon bimbit seperti mana didakwa tetapi saya tidak melakukan kesalahan itu.

"Saya berada pada waktu dan tempat yang salah ketika kejadian itu dan saya telah memberikan kerjasama kepada polis untuk mereka menjalankan siasatan sepanjang kes itu," katanya ketika menghubungi mStar Online di sini.

Akhbar Berita Harian Singapura pada Selasa melaporkan Aliff dikenakan denda sebanyak $2,000 dolar Singapura (RM5,138) pada Jumaat lalu atas kesalahan mencuri dua buah telefon bimbit dan boleh dipenjarakan selama 20 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Aliff bakal ke Malaysia selepas sambutan Hari Raya Aidiladha.


Menurut laporan itu lagi, Aliff melakukan kesalahan itu pada Mei lalu apabila dia dan seorang lagi rakannya dikatakan mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza.

Aliff dilaporkan telah didakwa pada 16 Ogos lalu atas kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Aliff berkata, akibat kejadian itu pasport perjalanan antarabangsanya dirampas pihak berkuasa Singapura sejak tiga bulan lalu namun ia akan dikembalikan dalam masa seminggu lagi.

"Akibat kes tersebut saya terpaksa dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah namun Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik.

"Orang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan telah pun menerima akibatnya dan pasport saya bakal dipulangkan dalam masa seminggu lagi," katanya.

Sementara itu, Aliff berkata, kejadian itu juga adalah antara sebab dia menghilangkan diri selama beberapa bulan kerana dia tidak dibenarkan meninggalkan negaranya selagi kes berkenaan tidak selesai.

Jelas Aliff, dalam tempoh itu juga dia banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai perkara termasuk pergaulannya dengan rakan-rakan yang memberikan impak negatif kepadanya.

"Bukan saya ingin salahkan kawan-kawan dengan apa yang terjadi tetapi sudah tiba masanya saya menjauhi mereka yang mampu memberi impak negatif kepada saya.

"Kejadian tersebut banyak mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa hadapan," jelasnya.

Aliff menjelaskan dia bakal kembali ke Malaysia selepas sambutan Hari Raya Aidiladha untuk menyiapkan proses rakaman album terbaharunya yang kini dalam proses akhir.

"Sudah tiba masanya saya kembali fokuskan kepada kerjaya nyanyian tambahan pula album terbaharu akan keluar tidak lama lagi.

"Saya kini sudah bebas dan akan kembali ke Kuala Lumpur dalam masa dua minggu lagi," katanya.

Pembedahan Jantung Ayah Punca Anuar Zain Bantu IJN

Posted: 30 Sep 2014 08:39 PM PDT


Anuar Zain tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak penyakit jantung di IJN.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mendedahkan pengalaman yang dilalui ketika pembedahan jantung yang dilakukan oleh bapanya Zain Abdullah, 76, di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira 10 tahun lalu menjadi salah satu punca dia setuju untuk membantu kutipan dana majlis makan malam di The Majestic Hotel, di sini, pada 5 Disember depan.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 44, berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika berada dalam situasi getir itu dan apa yang dirasai oleh ahli keluarga pesakit jantung yang sentiasa berhadapan dengan sebarang kemungkinan adalah antara hidup dan mati.

"Saya rasa dekat dengan IJN kerana bapa saya pernah melakukan pembedahan di sini 10 tahun lalu, ketika itu perasaan susah hati dan memang sukar untuk digambarkan apabila kita sentiada reda apa juga kemungkinan yang akan terjadi selepas pembedahan itu.

"Alhamdulillah, bapa saya selamat melakukan pembedahan tersebut dan sehingga kini dia masih mendapatkan rawatan susulan di IJN, saya juga selalu datang sini untuk menghantar bapa saya mendapatkan rawatan susulan." ujarnya kepada mStar Online, pada Selasa.

Anuar sempat melawat kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di IJN.

Anuar berkata demikian pada sidang media majlis makan malam amal bersama Anuar Zain yang diadakan di Auditorium, Institut Jantung Negara, di sini, Selasa.

Majlis makan malam tersebut bertujuan mengutip dana bagi mewujudkan sebuah kumpulan sokongan Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital IJN.

Pada majlis tersebut, Anuar berkesempatan membuat lawatan dan menziarahi kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu.

Sementara itu, Anuar berharap majlis amal berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.

"Saya harap dengan majlis makan malam ini sedikit sebanyak ada pihak yang akan tampil beri sumbangan dan membantu IJN dalam mengutip dana yang mereka perlukan.

"Saya juga berharap agar rakan-rakan artis lain yang mempunyai waktu terluang agar datang ke IJN untuk melawat pesakit-pesakit ini. Sekurang-kurangnya kita dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka," ujarnya.

Dia juga akan menyanyikan lebih 12 buah lagu sepanjang sejam persembahan  berlangsung pada majlis itu.

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Marshisham Che Mood berkata, pemilihan Anuar Zain adalah berikutan artis itu merupakan ikon kasih sayang.

Katanya, penyanyi itu bukan sahaja disayangi oleh golongan kanak-kanak, malah semula lapisan masyarakat.

"Kita nampak Anuar Zain seorang yang penyayang dan dia adalah ikon kasih sayang, semua golongan masyarakat suka dengan karekter dia.

"Kutipan ini adalah untuk dana kumpulan sokongan yang mana untuk membantu dan memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga sepanjang proses perawatan yang dilakukan mereka," ujarnya.

Turut hadir pada majlis sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Intitut Jantung Negara, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub dan Ketua Jabatan, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Hasri Samion.

Tiket untuk majlis makan malam ini boleh dibeli melalui TicketCharge di talian 03 92228811 atau melayari www.ticketcharge.com.my

Manakala pembalian meja korporat boleh dibuat terus melalui talian 03 26178430/8317/8465 (Aziee Jais).

Bela harimau untuk takutkan kera

Posted: 30 Sep 2014 08:30 PM PDT


  • Kehadiran patung harimau membolehkan hasil tanaman Azizah Saad sekeluarga tidak lagi dirosakkan oleh kera.Kehadiran patung harimau membolehkan hasil tanaman Azizah Saad sekeluarga tidak lagi dirosakkan oleh kera.

POKOK SENA - Setiap pengunjung yang datang ke rumah Azizah Saad, 52, di Kampung Pauh, dekat sini pasti akan terkejut dengan kewujudan seekor harimau di rumahnya itu.

Harimau itu dikatakan sering berada di hadapan dan belakang rumah serta di bawah pokok hingga pengunjung terpaksa menelefonnya terlebih dahulu jika ada temu janji berikutan bimbang keselamatan mereka setiap kali sampai ke rumahnya itu.

Difahamkan, harimau itu dikatakan menjadi penunggu rumahnya setiap kali dia dan suaminya, Johari Hanafiah, 56, bersama anak mereka keluar dan harimau itu menjaga hasil tanaman mereka agak tidak dicuri atau dirosakkan pihak tertentu.

Azizah berkata, sejak mereka berpindah 15 tahun lalu, kawasan rumahnya itu dahulunya adalah hutan dan banyak kera yang sering merosakkan tanaman mereka serta orang kampung hingga memaksa mereka mencari pelbagai cara untuk menghalaunya tetapi tidak berjaya.

"Sebenarnya harimau itu ialah patung yang digunakan untuk menghalau kera yang sering merosak dan mencuri hasil tanaman di rumah saya ini. Semenjak saya menggunakan teknik ini hasil tanaman kami tidak lagi dicuri oleh binatang perosak itu.

"Dahulunya terdapat kira-kira 50 hingga 100 kera sering datang ke kampung kami merosakkan tanaman. Malah pernah juga turut memasuki rumah jika kami sekeluarga keluar dan binatang itu mengambil kesempatan memasukinya," katanya.

Bagaimanapun sehingga kini, teknik yang digunakan itu telah memberi manfaat kepada keluarganya kerana semenjak itu binatang perosak tidak lagi berani mendekati halaman rumah mereka.

Menurutnya, dia mendapat idea meletak patung harimau itu selepas melawat rumah saudaranya di Pantai Remis di kawasan kelapa sawit yang turut menghadapi masalah sama.

"Teknik itu sangat berkesan hingga menyebabkan saya turut membeli anak patung harimau di Air Hitam, Johor Bahru dengan harga RM120 dan meletak di sekitar halaman rumah.

"Alhamdulillah, semenjak saya meletak di sekitar halaman rumah, binatang seperti kera dan babi hutan tidak lagi berani menghampiri kawasan rumah kami," katanya.

Malah katanya, bagi mengelirukan binatang perosak itu, dia turut sering mengubah patung harimau itu.

"Apa yang menariknya, semasa kami meletakkan harimau di bawah pokok, kami tengok gelagat kera yang datang sekumpulan berteriakan seolah-olah bimbang akan menjadi mangsa harimau itu," katanya.

Hardy, Kilafairy realistik

Posted: 30 Sep 2014 08:27 PM PDT




BIDUK asmara yang melalui tautan rindu yang terpisah antara Kuala Lumpur, Malaysia dan Jakarta, Indonesia bagai mengiyakan hakikat bahawa dua hati yang sedang bertaut ini berada dalam sebuah ikatan cinta.
Pola-pola keakraban dan kemesraan yang terjalin tatkala dua figura yang digandingkan untuk sesi fotografi khas kali ini bukan lagi suatu tanda tanya.
Kilafairy dan Hardy Hartono sudah lama menyimpan rahsia yang dirisik peminat dua negara Malaysia dan Indonesia; adakah benar mereka berdua yang sedang bercanda di hadapan penulis terselam dalam alam fana cinta?
Masih dengan ketetapan serupa, sama seperti temu bual terdahulu Kilafairy menjelaskan, Hardy merupakan lelaki yang paling rapat dan mengunci hatinya untuk setia.
"Kawanlah, lebih baik kekal dalam peringkat berkawan. Masanya belum sampai lagi untuk kami meletakkan hubungan ini sebagai pasangan kekasih.
"Lagipun perjalanan saya masih panjang, karier pun baru bermula. Adalah lebih baik untuk tidak terikat dengan sebarang komitmen cinta buat masa sekarang melainkan kerjaya.
"Kalau mahu bercinta perlu kenal lebih lama, proses sekarang saling mengenali dan saya tidak boleh sasarkan berapa lama tempoh tersebut. Untuk mengaku bercinta bukan sekarang dan saya tidak mahu rasa terpaksa.
"Mungkin pada usia 25 tahun kelak saya akan mula memikirkan soal cinta dan perkahwinan. Saya pun mahu memiliki aset sendiri terlebih dulu," lentur bicara Kilafairy serius.
Hardy lelaki paling rapat
Susah atau tidak perhubungan jarak jauh, hanya mereka yang faham kerana itu haluan yang dipilih. Ujar pelakon itu, telekomunikasi dan teknologi canggih pemudah cara.
"Whatsapp dan Skype ada untuk mendekatkan kami. Itu pun sekiranya masing-masing tidak sibuk, buat masa sekarang kami selesa dan mudah dengan perhubungan ini," katanya yang turut kerap ke Jakarta, Indonesia atas urusan perniagaan bersama ibunya, Rohana Jalil.

HARDY mengaku dirinya seorang pemalu, mana kala Kilafairy pula lebih bersifat terbuka.


Pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, 22, dalam pada itu memberitahu sepanjang tiga tahun usia perkenalan, Hardy satu-satunya lelaki yang membuatkan dia selesa.
"Dia matang dan penyabar dan faktor umurnya juga membuat dia banyak memberi nasihat kepada saya.
"Ini termasuklah perkongsian pengalaman tentang industri lakonan di Indonesia. Kami menyokong satu sama lain dan dia pun tidak menghalang kerjaya saya," katanya yang sudah berjumpa keluarga masing-masing namun belum pernah membincangkan soal perkahwinan mereka.
Terbang tinggi merentas Selat Melaka, baik Kilafairy mahu pun Hardy, masing-masing tidak meletakkan harapan tinggi untuk menembusi pasaran seni di negara asing.
Jelas Kilafairy, dia tidak pernah merancang untuk mencari makan di Indonesia memandangkan persaingan sesama pelakon di sana juga bukan calang-calang.
"Semua orang punya impian untuk masuk ke pasaran antarabangsa tapi saya tahu perkara itu bukannya senang. Kalau ke Indonesia pun bukan kerana Hardy, malah dia sendiri pun belum cukup terkenal apabila datang berlakon di Malaysia," jelasnya.
Bercumbu di KLIA
Menjentik soalan nakal berhubung gosip yang tersebar di internet mengenai perilaku Kilafairy dan Hardy yang didakwa bercumbu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa bulan lalu sebelum ke Hong Kong, wanita itu hanya tertawa.
Tegas, dia menafikan hal tersebut kerana menurutnya, tidak pernah terfikir untuk bertindak sedemikian yang kesannya akan menjejaskan kerjaya dan memalukan keluarganya.
Pertuduhan itu mengarut!
"Dalam gambar yang tersebar hanya ada saya, kakak saya dan keluarga saya. Lagi pun, tujuan saya ke sana atas urusan perniagaan dan bercuti, kebetulan pula Hardy dan beberapa kenalannya juga ke sana," tegasnya.
Hal itu ditegaskan sendiri oleh Hardy Hartono yang melihat gosip itu sebagai perkara enteng yang tidak akan menjejaskan karier atau kehidupan peribadinya.
"Saya tidak marah dan saya langsung tidak ambil pusing mengenai hal itu (bercumbu) kerana memang cara saya yang tidak menjenguk laman sosial atau internet.
"Dia ada memaklumkan kepada saya tetapi tidak pula ada foto kami berdua bercumbu pun. Secara azali, saya seorang yang pemalu.
"Berpegangan tangan pun saya segan apatah lagi untuk bercumbu di hadapan khalayak ramai. Cakaplah apapun, saya tidak kisah dan tidak menyusahkan saya pun," ujar Hardy membuka bicara.
KILAFAIRY dan Hardy tidak mahu meletakkan sebarang harapan besar dalam hubungan baik mereka.


Yin-Yang Hardy
Meluangkan waktu lima hari berada di ibu kota Kuala Lumpur, pelakon dan model terkenal Indonesia itu mengakui selesa untuk berkunjung lebih kerap ke Malaysia.
Kata pemilik nama penuh Hardy Hartono Danurussami, selain faktor persekitaran yang berbeza dari ibu negaranya, Jakarta, Kuala Lumpur tersimpan sebutir permata yang sedang berkilau di hatinya.
"Sepanjang tempoh tiga tahun ini saya memang kerap berkunjung ke Malaysia, selain atas tujuan kerja antara lainnya kerana mahu melawat kawan-kawan saya termasuk Kilafairy.
"Ya, saya dan keluarga dia juga rapat dan saya selesa berteman baik dengannya. Dia masih muda dan sering membuatkan saya gembira kerana keperibadiannya yang ceria.
"Bagi saya, dek kerana personaliti yang berbeza membuatkan kami boleh kekal bersama. Saya pemalu manakala dia suka bercakap.
"Antara lainnya, kami berdua tidak banyak memendam perasaan. Kalau ada ketidakpuasan hati kami akan berterus terang apatah lagi untuk membahaskan perkara remeh-temeh," jelasnya mengenai formula kekal berteman rapat bersama Kila.
Sama seperti Kilafairy, Hardy menyifatkan hubungan mereka sekadar berkawan.
Katanya: "Kami berkawan, tapi siapa tahu suatu masa nanti kalau ada jodoh mungkin akan ke peringkat selanjutnya."
Popular bertempat
Hardy, 31, pada masa sama menegaskan dia tidak kisah sekiranya hubungannya dengan Kilafairy memperkenalkan dirinya kepada khalayak di Malaysia.
Populariti tidak memandu hasrat Hardy untuk tampil lebih dikenali di negaranya sendiri, Indonesia. Ujar pelakon kacukan Belanda-Indonesia itu, dia lebih gemar mencipta satu ruang privasi buat diri dan keluarganya.
"Bersifat introvert (antisosial) dan protektif, itulah diri saya. Tidak kisahlah apa orang mahu gelarkan saya, asalkan tidak menyentuh privasi saya maka tidak perlulah melenting.
"Nama saya di Indonesia makin kukuh, cuma saya bukan seorang yang suka keluar rumah dan mencari perhatian di media.
"Selagi tawaran masih ada tandanya kerjaya saya tiada masalah," kata pemain sinetron Aqso Dan Madina, 1 Cinta Beda Rasa dan Dinda Kirana itu menutup bicara.


Baggio pentingkan integriti

Posted: 30 Sep 2014 08:26 PM PDT


BAGGIO menyifatkan jika dia menerima tawaran menyertai program realiti mempertaruhkan vokalis lama tersebut, dirinya setaraf dengan penyanyi baharu.


MENERUSI laporan yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar mingguan tempatan baru-baru ini, penyanyi rock era 90-an, Baggio dilaporkan telah menyelar tindakan sebuah stesen televisyen berbayar menerusi laman Facebook miliknya.
Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 43, menyifatkan ada stesen TV yang cuba merendah-rendahkan kredibiliti penyanyi-penyanyi rock otai era 1990-an apabila menawarkan mereka sebuah program realiti nyanyian yang tidak masuk akal.
Lebih mengecewakan, Baggio merasakan tawaran berkenaan tidak sesuai dengan usia mereka apabila format penjurian program berkenaan sama seperti pertandingan nyanyian bertaraf amatur. Menerusi program baharu itu, peserta yang tidak mencapai tahap yang memuaskan akan disingkir setiap minggu.
Ketika dihubungi Kosmo! untuk meminta penjelasan lanjut mengenai isu tersebut, pelantun lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu menyatakan, tindakan stesen televisyen berkenaan dilihat seperti mahu mengaut keuntungan di sebalik fenomena yang telah dibina oleh Baggio dan rakan-rakannya dahulu.
Tambahnya, banyak cara lain yang boleh dibuat untuk mengetengahkan produk-produk baharu penyanyi veteran selain daripada menjemput mereka untuk bertanding dalam sebuah program realiti.
Kosmo!: Bolehkah Baggio terangkan tentang tawaran yang diberikan kepada anda untuk menyertai program realiti tersebut?
BAGGIO: Saya mendapat tahu tentang perkara ini sekitar dua minggu lalu. Ketika itu, saya hanya mendengar khabar angin daripada rakan-rakan terdekat. Namun, tidak sangka pula saya menerima panggilan telefon daripada pegawai perhubungan awam stesen televisyen tersebut.
Apakah yang ditawarkan oleh mereka?
Menurutnya, nama saya telah tersenarai untuk menyertai pertandingan baharu yang akan diadakan tidak lama lagi. Justeru, panggilan tersebut dibuat untuk bertanya adakah saya berminat untuk ikut serta.
Apakah reaksi anda ketika itu?
Seperti dalam status saya tempoh hari, saya menolak mentah-mentah tawaran tersebut. Usaha mengumpulkan otai-otai muzik era 90-an dalam satu rancangan televisyen memang boleh dianggap positif. Namun, di sebalik usaha itu, ia seperti 'membunuh' integriti dan maruah saya sebagai penyanyi. Jika saya mahukan wang, sudah lama saya terima tawaran tersebut. Tetapi, saya masih sayang dan hargai karier saya sebagai penyanyi.
Bagaimanakah anda melihat ia membunuh integriti anda sebagai penyanyi?
Mereka tidak tahu bahawa sepanjang 24 tahun saya berkecimpung dalam industri seni, banyak halangan dan kepayahan yang telah saya lalui. Apa yang saya hadapi sepanjang tempoh tersebut telah banyak mendewasakan saya. Apabila dipelawa untuk menyertai pertandingan seperti ini, ia sama sahaja meletakkan saya sebaris dengan penyanyi baharu yang kosong dalam bidang muzik. Kenapa vokalis yang telah lama dalam industri dilayan seperti penyanyi yang masih baharu dan kosong. Saya berasa sungguh kecewa, lagipun, tindakan mereka menerbitkan banyak rancangan realiti dilihat hanya mahu mengaut keuntungan sahaja.
Anda menyatakan telah berada pada satu aras tersendiri dalam industri muzik. Boleh terangkan kenyataan itu dengan lebih lanjut?
Saya telah berjaya membina jenama Baggio Damasutra. Selain itu, saya telah mengecapi zaman populariti. Perkara itulah yang sering diimpikan oleh penyanyi-penyanyi baharu. Walaupun telah lama tidak mengeluarkan album, orang ramai masih tahu lagu-lagu lama saya bersama kumpulan Damasutra. Jadi, saya tidak faham rasionalnya mereka untuk mempertemukan saya dengan vokalis-vokalis kumpulan lama dalam satu pertandingan.
Mengapakah anda bermati-matian tidak menyokong tindakan stesen televisyen tersebut?
Bagi saya, jika mereka berniat untuk menampilkan kami dalam rancangan televisyen, apa salahnya mereka membantu memberi liputan kepada single baharu penyanyi lama yang masih lagi aktif. Pertandingan tersebut masih mampu untuk membuka peluang kepada penyanyi lama muncul kembali tetapi sampai bila? Panasnya akan reda dalam masa hanya beberapa bulan.
Apakah pula reaksi rakan-rakan seperjuangan anda?
Terpulang kepada mereka. Jika mereka mahu menyertai pertandingan tersebut, itu hak mereka. Apa yang pasti, masih ada banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk membantu penyanyi-penyanyi lama mencari ruang mempromosikan produk baharu mereka.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Selain sibuk mempromosikan single berjudul Hujan Pelangi, saya bakal merakamkan dua buah single di bawah usaha sama dengan Clixster Music bagi projek Tabung Harapan tidak lama lagi.


Lelaki kumpul 750 kotak piza dari seluruh dunia

Posted: 30 Sep 2014 08:22 PM PDT


WEINER bersama sebahagian daripada kotak piza dari seluruh dunia yang dikumpulnya sejak 15 tahun yang lalu.


NEW YORK - Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) yang juga peminat tegar makanan piza diiktiraf sebagai pengumpul kotak piza paling banyak di dunia apabila mempunyai koleksi sebanyak 750 kotak piza dari serata benua, lapor Mirror Online kelmarin.
Lelaki itu, Scott Weiner dari New York telah mengumpul kotak piza sejak 15 tahun lalu dan dia juga memiliki satu kotak piza yang dipercayai terbesar di dunia.
Weiner, 32, memiliki koleksi kotak piza dari 45 buah negara di seluruh dunia termasuk satu kotak piza yang ditandatangani oleh legenda pembuat piza terkenal, Ed Hardy.
"Saya tidak pernah jemu dan bosan untuk merasai setiap jenis piza dan mampu memakan sehingga 15 keping piza pada setiap minggu," katanya.
Ujarnya, kotak piza dari Brazil, Itali dan India mempunyai corak yang paling unik dan menarik.
Weiner turut memiliki sebuah kotak pizza paling besar di dunia bersaiz 137 sentimeter persegi yang dibeli pada harga AS$200 (RM654).
"Saya turut menerbitkan sebuah buku yang menceritakan tentang sejarah semua kotak piza ini dan saya juga merancang untuk membawa kira-kira 100 kotak piza saya untuk dipamerkan dalam satu pameran di London, Britain pada musim sejuk nanti," jelasnya.


Berzakat tanpa perlu tunggu status jutawan

Posted: 30 Sep 2014 08:19 PM PDT




UNTUK satu jangka masa, Nur Ashikin Azit menyangka berzakat hanya kepada pengeluaran zakat fitrah. Malah, apabila mula bekerja, dia langsung tidak tahu menahu tentang kewajipan melunaskan zakat pendapatan.
Mungkin kerana itu, gaji Nur Ashikin, 26, sering dirasakan tidak mencukupi. Pembahagian belanja juga tidak konsisten sehingga tiada lebihan wang dapat diberikan kepada ibu bapanya.
Selepas menukar pekerjaan, barulah Nur Ashikin tahu kewujudan tuntutan mengeluarkan zakat pendapatan. Biarpun kenaikan gaji yang diterimanya tidak banyak beza, tetapi duitnya cukup untuk menampung segala perbelanjaan. Malah, dia juga dapat memberi sedikit wang belanja kepada ibu bapanya setiap bulan tanpa sebarang masalah.
"Sebelum saya tunaikan zakat pendapatan, duit selalu tidak cukup. Sekarang Alhamdulillah, walaupun pendapatan tidak besar, hidup lebih berkat dan banyak rezeki tersembunyi yang Allah berikan," kongsi Nur Ashikin memanjat syukur.
Pada usia yang masih muda, Nur Asyikin berasa terpanggil untuk sama-sama menggiatkan galakan berzakat kepada rakan-rakannya. Meskipun cubaan awalnya banyak dugaan, namun lama-kelamaan rakan-rakannya terbuka hati untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu.
"Ramai individu terutama orang muda liat keluarkan zakat kerana takut duit berkurang walaupun nilai yang wajib mereka bayar hanya serendah RM10," begitu tanggapan Nur Asyikin.
Zakat secara konsepnya dibahagikan kepada dua iaitu zakat badan dan zakat harta. Zakat badan merujuk kepada zakat fitrah yang wajib ditunaikan sepanjang bulan Ramadan. Zakat harta pula meliputi zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, emas dan perak, saham, pertanian, penternakan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.
Di dalam syarat wajib zakat juga tidak menetapkan akal baligh sebagai tuntutan. Ini bermakna kanak-kanak juga wajib mengeluarkan zakat sekiranya syarat-syarat lain sudah dipenuhi.

KAUNTER bergerak salah satu inisiatif yang diperkenalkan untuk memudahkan orang ramai membayar zakat. -Gambar hiasan


Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Mohd. Rais Alias menjelaskan, kumpulan sasaran orang muda dibahagikan kepada tiga pecahan.
Ia melingkungi remaja berusia 17 tahun ke bawah, para pelajar pengajian tinggi berumur 18 hingga 25 tahun dan kelompok usia 25 hingga 35 tahun yang baru menjejak alam pekerjaan.
Bagi meningkatkan kesedaran generasi pelapis negara ini terhadap zakat, setiap kumpulan tersebut perlu didedahkan dengan pelbagai bentuk medium penyampaian informasi secara berterusan sehingga mereka benar-benar faham keutamaan memikul kewajipan tersebut.
Anak kecil yang mempunyai wang simpanan atau emas misalnya, wajib mengeluarkan zakat jika cukup syarat seperti haul dan nisab. Pada peringkat ini, tanggungjawab terletak di bahu ibu bapa. Penjelasan perlu disampaikan apabila anak sudah mampu mencerna maklumat.
Justeru, apabila mereka menginjak dewasa, amalan itu akan diteruskan tanpa sebarang kekeliruan. Sebagai peringatan kepada remaja 17 tahun ke bawah ini, penyampaian ilmiah yang menyeluruh amat ditagih daripada guru-guru subjek Pendidikan Islam di kesemua sekolah.
Pelajar
"Kami turut menjalankan program bernama Pesona Graduan yang disasarkan kepada pelajar-pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi. Pengisian program diberatkan terhadap persediaan mereka menempuh dunia pekerjaan yang turut diselitkan bersama informasi berkenaan zakat.
"Bagi kumpulan umur 25 hingga 35 tahun, kami lebih memfokuskan terhadap kesedaran mengeluarkan zakat pendapatan, saham dan KWSP. Pendekatan yang digunakan juga berbeza memandangkan mereka mempunyai sumber kewangan sendiri," jelas Mohd. Rais ketika ditemui Kosmo! di Wisma PPZ-MAIWP, Dataran Shamelin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

HASIL kutipan zakat banyak membantu golongan memerlukan termasuk anak-anak yatim. -Gambar hiasan


Begitupun, masih ramai anak muda di negara ini yang menganggap zakat harta tidak wajib ditunaikan melainkan mereka benar-benar kaya dan berstatus jutawan.
Nazirah Adnan, 24, antara anak muda yang peka terhadap kewajipan mengeluarkan zakat harta. Selain zakat pendapatan yang dilunaskan menerusi potongan gaji secara bulanan, Nazirah turut memahami keperluan pembayaran zakat simpanan melibatkan wangnya yang disimpan di dalam mana-mana institusi kewangan seperti bank.
Mengakui kerendahan pengetahuan teman sebayanya terhadap kewajipan zakat, Nazirah menyarankan agar program kesedaran zakat terhadap kelompok muda dipertingkatkan.
"Zakat sangat penting untuk pembangunan ummah. Ia juga dapat merapatkan jurang miskin dan kaya," berkobar-kobar Nazirah berbicara.
Mohamad Daniel Sani, 22, pula banyak menerima input tentang zakat daripada papan iklan di jalan raya, internet, laman sosial dan akhbar. Perkongsian maklumat tentang zakat khususnya di laman sosial seperti Facebook membolehkan penyebaran kesedaran berlaku dengan pantas.
Namun, beberapa kali juga Mohamad Daniel dapati informasi yang dikongsi di laman sosial kurang tepat. Jadi, menyaring maklumat yang tepat di internet amat penting. Sebagai langkah selamat, jadikan laman web rasmi PPZ-MAIWP sebagai rujukan sahih.
Edaran brosur atau ceramah berbentuk keagamaan serius kurang relevan untuk menangkap minat anak-anak muda. Mohamad Daniel menyarankan agar kolaborasi bersama kumpulan basking dan pemuisi muda diadakan bagi mencipta penyampaian maklumat bersifat kreatif dan menghiburkan.
HAIWAN ternakan yang cukup nisab diwajibkan zakat ke atasnya.- Gambar hiasan


Tingkat kefahaman
Sementara itu, Mohd. Rais tidak menafikan betapa pengaruh teknologi dan laman sosial banyak meningkatkan kefahaman orang muda terhadap kewajipan berzakat. Aplikasi iZakat misalnya antara inisiatif moden PPZ-MAIWP yang dilancarkan pada Disember tahun lalu bagi mendekati kelompok sasaran belia.
Menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar itu, orang ramai boleh mentaksir dan membayar zakat tanpa perlu ke kaunter. Kemudahan itu juga boleh dinikmati menerusi portal PPZ-MAIWP.
Aplikasi iZakat itu juga sedang melalui penambahbaikan dan bakal dilengkapi fungsi semakan bagi membolehkan pengguna melihat sejarah pembayaran.
Pengenalan ikon animasi, Ustaz Amil di laman perkongsian video, YouTube juga dilihat alternatif efektif bagi menarik minat kanak-kanak mempelajari maklumat ringkas zakat.
Promosi penggalakan zakat juga dipelbagaikan meliputi acara santai bersama selebriti di bazar lewat malam, pusat beli-belah dan lokasi tumpuan orang muda. Menurut Mohd. Rais, artis yang telah berhijrah banyak memainkan peranan positif terhadap impak kesedaran berzakat memandangkan kelompok ini mempunyai pengikut yang besar.
"Orang muda perlukan umpan. Menerusi perkongsian pengalaman hijrah artis-artis yang terlibat seperti Yatt Hamzah, Diana Amir dan Sham Kamikaze, golongan pendengar muda akan berasa lebih tergerak hati untuk sama-sama mencontohi artis tersebut," tambahnya.
Begitupun, ujar Mohd. Rais, tahap kepekaan anak muda Malaysia membayar zakat jauh lebih baik berbanding negara Islam lain. Pentadbiran Malaysia yang lebih kemas dan sistematik juga menjadikan negara kita sebagai rujukan negara lain.


Logo kuih baulu Politeknik Metro

Posted: 30 Sep 2014 08:18 PM PDT


PARA pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur menggunakan sistem giliran bertugas bagi menyiapkan kuih baulu.


SETELAH bertungkus lumus selama lapan hari dari pagi hingga lewat malam menghasilkan 30,000 biji kuih baulu, logo Politeknik Malaysia sepanjang 12 meter dan lima meter lebar itu akhirnya dapat direalisasikan.
Lebih manis, ia dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai logo terpanjang menggunakan kuih tradisional itu.
Kejayaan itu memberikan kepuasan kepada 50 pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Metro Kuala Lumpur.
Walaupun usaha itu nampak kecil, namun banyak perkara yang dipelajari mereka sepanjang menjayakan projek tersebut.
Di ruang dapur yang agak terhad, mereka mengadun 55 kilogram (kg) tepung gandum, 98kg gula dan 118 papan telur ayam yang menjadi bahan utama menghasilkan baulu cermai.
Perancangan gerak kerja perlu diatur dengan bijak terutama sistem giliran bertugas kerana masing-masing terikat dengan kuliah.
Kesemua cabaran yang ditempuhi pelajar semester lima itu bagi memenuhi keperluan mata pelajaran, Event Operation and Management.
Logo terbesar Politeknik itu dipamerkan semasa Karnival Cita rasa Malaysia 2014 di Muzium Negara kendalian pelajar-pelajar di bawah seliaan pensyarah Pengurusan Hotel dan Katering, Mas Azlina Mohd. Alias dan Mas Rehan Mahmudi.
Pengarah Projek karnival, Ain Nadirah Rozmi berkata, program sulung Politeknik Metro Kuala Lumpur itu menjadi cabaran buat pelajar mempamerkan bakat masing-masing dalam bidang pengurusan majlis.
"Kami memilih muzium sebagai lokasi karnival kerana ia menjadi tumpuan ramai terutama pelancong asing.
"Antara acara sepanjang program sehari itu ialah edaran makanan secara percuma hasil air tangan pelajar, pertandingan chef cilik, Waiter Race dan Riang Ria Warna," katanya.
Ain Nadirah berkata, karnival itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan makanan Malaysia malah mempromosikan Politeknik Metro yang masih baharu dan kurang dikenali dalam kalangan masyarakat.
"Pelbagai halangan dan rintangan dilalui untuk merealisasikan program ini yang menjadi satu pembelajaran yang cukup berguna kepada kami terutama mempraktikkan segala teori yang dipelajari sepanjang lebih dua tahun di sini," katanya yang bakal menamatkan pengajian pada tahun hadapan.
Transformasi pendidikan bagi melahirkan modal insan yang serba boleh dan benar-benar terlatih bagi memenuhi keperluan industri adalah antara teras penubuhan Politeknik Metro pada tahun 2011 oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

SEBANYAK 30,000 biji kuih baulu diperlukan bagi menghasilkan logo Politeknik Malaysia berukuran 12 meter panjang dan lima meter lebar.


Konsep
Berkonsepkan pengajian setempat, penubuhan pertamanya di Kuala Lumpur adalah bagi memenuhi keperluan industri di sekitarnya, menurut Pengarah Politeknik Metro Kuala Lumpur, Mohamad Abdullah.
"Latihan di lapangan antara kaedah terbaik untuk pelajar mempraktikkan ilmu yang diperoleh terutama bagi meningkatkan keyakinan diri sebelum berhadapan dengan dunia pekerjaan yang sebenar," katanya.
Sedikit berbeza dengan politeknik Premier dan konvensional yang sedia ada Politeknik Metro bersaiz agak kecil dengan jumlah pelajar sekitar 345 orang.
"Keutamaan diberikan kepada pelajar yang menetap di sekitar Kuala Lumpur kerana kami tidak menyediakan asrama. Dua kursus sahaja ditawarkan di Politeknik Metro Kuala Lumpur iaitu Diploma Peruncitan serta Diploma Pengurusan Hotel dan Katering," katanya.
Bagi Diploma Peruncitan, tempoh pengajian adalah dua tahun setengah manakala Diploma Perhotelan dan Katering selama tiga tahun.
Pemilihan kursus berdasarkan kaji selidik yang dijalankan sebelum pembukaan Politeknik Metro di satu-satu lokasi. Ia bagi mengetahui kehendak pasaran yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada pelajar yang akan menamatkan pengajian.
"Di sekitar kawasan Kuala Lumpur, banyak hotel dan pasar raya besar yang memerlukan tenaga kerja terlatih. Jadi, Kuala Lumpur kita mengkhususkan kepada kedua-dua bidang itu," katanya.
Selain Politeknik Metro Kuala Lumpur, cawangan lain ialah Kuantan (Pahang), Johor Bahru (Johor), Betong (Sarawak) dan Tasek Gelugor, (Pulau Pinang).


Kawal kereta melalui komunikasi

Posted: 30 Sep 2014 08:16 PM PDT



KETUA Jurutera dan Inovasi Honda, Kei Oshida menunjukkan cara operasi sistem pemanduan bebas tangan.


KERETA sedan Acura RLX sama seperti kereta normal lain, namun ia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.
Kereta tersebut merupakan kereta kedua yang mampu memandu sendiri mengikut arahan yang diberikan melalui teknologi terbaharu dalam industri automotif dunia.
Sistem yang membolehkan pemilik memberi arahan kepada kenderaan melalui sistem komunikasi itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Kini pengeluar dan pengedar berganding bahu bagi merealisasikan inovasi tersebut dengan meningkatkan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan lain.
Pemilik Acura RLX, General Motors Co., Honda Motor Co. Ltd. dan beberapa pembuat kereta lain sedang giat menjalinkan kerjasama dengan peneraju asal teknologi tersebut.
Syarikat gergasi, Google merupakan perintis kepada teknologi kenderaan bebas tangan dan Apple sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi kepada pembuat kenderaan.
"Ia merupakan gabungan syarikat-syarikat besar, Apple, Google, pengeluar kereta dan pengumpul data.
"Dua tahun lalu, ia hanya satu janji, namun kini sudah menjadi realiti," ujar Naib Presiden Pembangunan Perniagaan di Parkmobile serta Pengerusi BMW AG dan Ford Motor, Laurens Eckelboom.
Sebuah syarikat pembuat trak baru-baru ini telah membuat permohonan kepada syarikat Peloton Technology yang berpangkalan di Lembah Silikon, California untuk memasang teknologi yang menawarkan penjimatan bahan api dan mengurangkan kemalangan.
Melalui teknologi tersebut, dua buah trak dapat bergerak serentak di atas jalan raya apabila brek dan kelajuan dikawal melalui komunikasi tanpa wayar.

SISTEM pemanduan bebas tangan dikatakan mampu mengurangkan kemalangan.


Kos tinggi
Teknologi tersebut akan mula dijual pada akhir tahun depan sekali gus dapat menjimatkan kos operasi.
Bagaimanapun, harga untuk pemasangan sistem berkenaan mungkin menelan kos yang tinggi.
Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh Keselamatan Lebuhraya Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), menganggarkan pembuat kenderaan memerlukan kos berbilion-bilion dolar untuk memasang sistem pemanduan bebas tangan yang akan beroperasi menjelang tahun 2020.
Namun begitu, terdapat beberapa risiko dan isu lain yang harus diberi perhatian, ia termasuklah kebolehpercayaan, keselamatan siber dan undang-undang.
Apa yang akan terjadi apabila berlaku kemalangan? Siapa yang bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi? Adakah individu pemberi arahan yang bersalah atau pihak pembuat kereta?
Memetik laporan Pusat Polisi Insurans dan Penyelidikan AS, isu keselamatan dan undang-undang perlu diselesaikan sebelum kenderaan bebas tangan digunakan di atas jalan raya.
"Semua keseronokan yang dijanjikan oleh pengeluar dan pengawal selia kereta harus dianggap sebagai hadiah. Ia tidak akan menyebabkan berlakunya kemalangan," ujar Ketua Pegawai Teknologi GM, Jon Lauckner pada Kongres Sistem Pengangkutan Dunia ITS di Detroit, AS.
Penganalisis kenderaan, Michaeli berkata, pemusatan teknologi berkaitan automotif mampu mengurangkan pencemaran dan penggunaan bahan api, kos operasi serta insurans.
Sistem keselamatan aktif iaitu pemanduan bebas tangan dan sistem mengelak kemalangan turut dibincangkan oleh ramai juruteknik dalam Kongres ITS yang berlangsung baru-baru ini.
"Pengeluar kereta mula memperkenalkan teknologi baharu di atas jalan raya bagi melihat maklum balas pasaran serta kerajaan," ujar Ketua Pegawai Teknologi Delphi Automotif, Jeff Owens.
Menurut perbincangan awal yang dilakukan oleh sebuah program bual bicara, harga masih menjadi satu persoalan yang besar. Beberapa sistem canggih yang diperkenalkan akan meningkatkan kos dua atau tiga kali ganda lebih besar pada peringkat awal.
Walaupun pemasangan sistem semiautomatik tidak akan menyebabkan sebarang perubahan harga, namun kajian yang dilakukan menunjukkan pengguna perlu membayar kira-kira AS$3,000 (RM10,000) untuk teknologi terbaharu itu.

TEKNOLOGI pemanduan bebas tangan bakal beroperasi menjelang tahun 2020.


Sistem baharu
Kumpulan Chrysler, anak syarikat kepada Fiat, Itali mengenakan caj hampir RM11,400 untuk keseluruhan teknologi baharu dalam kereta Chrysler 200C yang akan diperkenalkan pada tahun 2015.
Antara sistem baharu yang terdapat dalam kereta tersebut termasuklah, penggunaan brek automatik, butang untuk jarak selamat, sistem amaran membelok dan meletak kenderaan serta sensor pengesanan kenderaan di hadapan.
Walaupun ia direka untuk pemanduan bebas tangan di atas jalan raya dan berfungsi secara automatik menggunakan sistem OnStar GM yang memberi maklumat lokasi, cuaca dan trafik, namun pemandu tidak boleh mengabaikan kenderaan mereka sepenuhnya.
"Kami bercakap mengenai ciri pemanduan automatik bukannya pemanduan bebas tangan.
"Kami mempunyai strategi untuk memastikan pemandu sentiasa berhati-hati," ujar Jim Cain.


Peraturan baharu selesai isu cermin gelap

Posted: 30 Sep 2014 08:14 PM PDT


  • Peraturan baharu selesai isu cermin gelap

KUALA LUMPUR - Pengenalan peraturan baharu cermin gelap yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyelesaikan isu cermin gelap yang timbul selama ini, kata Pengarah Urusan Driven Communications Sdn Bhd, Paul Tan.
 
Paul, yang juga penulis blog automotif terkenal paultan.org, berkata dengan pengenalan peraturan baharu ini, tahap keselamatan kenderaan dapat ditingkatkan serta pemandu dan penumpang akan berasa lebih selesa.
 
"Kita tidak dapat pastikan bahawa peningkatan cermin gelap akan mengurangkan jenayah, tetapi sebarang langkah yang berpeluang meningkatkan tahap keselamatan ke atas sesebuah kenderaan adalah baik," katanya kepada Bernama, hari ini.
 
Beliau berkata pada masa sama, peraturan baharu ini akan lebih memberi keselesaan kepada penumpang tempat duduk belakang kerana mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari pada waktu siang.
 
Pengenalan peraturan baharu ini menunjukkan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan keperluan keselamatan terutamanya untuk pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan, katanya.

Semalam, JPJ mengumumkan akan melaksanakan penguatkuasaan peraturan baharu berhubung penggunaan cermin gelap bermula 1 November depan.
 
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pelaksanaan peraturan baharu itu menetapkan kadar ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus.
 
Beliau berkata, kadar VLT bagi cermin hadapan dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70 peratus dan 50 peratus.
 
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Dr Tam Weng Wah berkata keputusan penetapan kadar cermin gelap itu diperoleh hasil perbincangan antara pihak terlibat dalam Bengkel Kajian Semula Peraturan Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang berlangsung Jun lepas.
 
"Dari segi signifikannya, penetapan kadar cermin gelap ini dibuat berdasarkan permohonan daripada pengguna selain mengambil kira faktor keselamatan," katanya.
 
Beliau berkata penetapan terbaharu ini adalah keputusan terbaik yang dapat dicapai dan sebarang maklum balas yang diterima selepas ini masih lagi boleh dipertimbangkan pihak JPJ untuk memperbaiki kelemahan di masa akan datang.

Pedang antik dalam tiang seri rumah

Posted: 30 Sep 2014 08:09 PM PDT


  • Mat Hussin menunjukkan pedang antik yang ditemuinya dalam tiang seri sebuah rumah lama dua minggu lalu.Mat Hussin menunjukkan pedang antik yang ditemuinya dalam tiang seri sebuah rumah lama dua minggu lalu.

BACHOK – Seorang lelaki yang membeli kayu sebuah rumah usang terkejut apabila menemui sebilah pedang lama yang ditanam di dalam tiang seri rumah berkenaan di Pasir Hor dua minggu lalu.

Mat Hussin Mat Ghani,48, berkata, ketika itu dia menjalankan kerja meruntuhkan sebuah rumah usang untuk mendapatkan kayunya.

Ketika kerja itu dijalankan, dia menemui beberapa barang lama termasuk sebilah pedang dipercayai milik tentera ketika zaman perang berdasarkan nombor kod yang ada pada bilahnya.

"Pada bilah pedang itu ada nombor siri HB-E dan nombor 1520, yang saya percaya milik tentera pada zaman perang dahulu.

"Ia juga mempunyai benet pada sarungnya yang saya percaya benet itu untuk diletakkan pada senapang. Saya juga percaya pedang itu pernah digunakan untuk memenggal kepala orang pada zaman dahulu," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mat Hussin berkata, selepas pedang itu dijumpai, rakannya yang bernama Yusri ingin membawa ia pulang ke kampungnya di Setiu, namun ketika di pertengahan jalan dia berpatah balik untuk memberikannya kepada Mat Hussin kerana dia gagal mencari jalan pulang.

Selain itu, pedang itu dikatakan perlu diletakkan secara menegak dan tidak boleh diletakkan mengiring.
"Saya rasa pedang antik ini ada keistimewaannya sendiri. Kalau ada orang yang berminat untuk tengok pedang ini pun boleh," katanya yang boleh hubungi melalui 014 5333482.

Naik Taraf Sistem Operasi ATM Cegah Digodam

Posted: 30 Sep 2014 07:37 PM PDT


Rakaman CCTV menunjukkan suspek kes godam mesin ATM baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil oleh bank untuk menghalang mesin juruwang automatik (ATM) daripada serangan siber, iaitu termasuk menaik taraf sistem operasi komputer.

Langkah pencegahan awal itu dapat menangkis kejadian yang tidak diingini seperti kejadian yang dilakukan satu sindiket dipercayai Amerika Latin menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Johor dan Melaka membabitkan kerugian hampir RM3 juta minggu lepas.

Kumpulan itu dipercayai menggodam sistem ATM menggunakan sim kad telefon dan teknologi telefon canggih tetapi tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka.

Sebuah syarikat keselamatan perisian komputer berpangkalan di Amerika Syarikat, Symantec, mencadangkan agar bank menaik taraf komputer mereka kepada sistem operasi komputer seperti Windows 7 atau 8.

Dalam laman webnya di www.symantec.com, syarikat itu berkata bank seharusnya menyediakan perlindungan fizikal yang mencukupi dan mempertimbang pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di ATM.

Symantec berkata langkah lain ialah dengan mengunci BIOS komputer untuk menghalang pengebutan semula media yang tidak dibenarkan, seperti CD-ROM atau USB stick.

"Menggunakan penyulitan cakera penuh bagi menghalang cakera diganggu dan menggunakan sistem kunci penyelesaian seperti Pusat Data Keselamatan Symantec: Server Advanced (sebelum ini dikenali sebagai Sistem Perlindungan Kritikal)," kata Symantec.

Ia berkata dengan menggunakan kaedah itu, penyerang mungkin berhadapan kesukaran untuk menggodam ATM tanpa bantuan orang dalam.

Menurut syarikat itu, mesin ATM lama menggunakan Windows XP terdedah kepada serangan siber oleh penjenayah siber menggunakan teknik canggih terutama apabila ditempatkan di lokasi yang jauh.

Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah keselamatan fizikal yang mencukupi bagi komputer di dalam ATM untuk menahan serangan tersebut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved