ads

Jumaat, 3 Ogos 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Shahrizal Jaszle Jauhkan Diri Untuk Elak Kontroversi

Posted: 03 Aug 2012 10:07 PM PDT

Wajah terbaru Shahrizal Jaszle ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran program Kita Punya Raya anjuran bersama TV9 dan Hot FM di sini, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pelakon Shahrizal Jaszle memilih untuk menjauhkan diri daripada perhatian umum bagi mengurangkan kontroversi yang diperkatakan secara meluas terhadapnya sebelum ini.

Shahrizal atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 24, berkata, pendedahan yang berlebihan mengenai kisah peribadi berbanding kerjaya sebelum ini boleh menjejaskan reputasinya sebagai orang baru.

"Saya memang sengaja mahu mengurangkan cerita-cerita peribadi kepada khalayak. Bukan sebab saya mahu lari daripada media tetapi pendedahan yang keterlaluan terutamanya mengenai hal peribadi boleh menjejaskan perkembangan kerjaya.

"Secara kebetulan, saya memang sibuk dengan beberapa penggambaran drama kebelakangan ini, mungkin sebab itu saya sukar dilihat di tempat-tempat umum atau majlis hiburan," katanya ketika ditemui mStar Online, di sini.

Hero filem Azura 2012 itu berkata, 'kehilangan' dirinya sejak beberapa bulan ini juga berpunca daripada kesibukannya dengan urusan pertunangan dengan Redzwani Puteri yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.

Shahrizal dan kekasihnya, Redzwani Puteri.

"Saya baru sahaja merisik kekasih saya, Redzwani Puteri pada 1 Julai lalu dan juga sibuk dengan persiapan majlis pertunangan kami pada hujung tahun ini.

"Kalau tiada aral, pada awal tahun depan kami akan melangsungkan perkahwinan kerana keluarga kami sudah lama bersahabat. Atas sebab itu, saya yakin memilih Putri sebagai teman kerana ibu kami saling mengenali," jelasnya kini mengalami kenaikan berat badan.

Mengenai sambutan Ramadan pada tahun ini, Shahrizal berkata, dia bakal menghabiskan baki bulan yang mulia ini bersama keluarga di rumah dan memenuhi undangan fotografi Hari Raya bersama pihak media.

"Saya baru sahaja menamatkan penggambaran telefilem Raya komedi berjudul Raya Tanpa Wayar untuk TV9. Kini, saya mahu berehat seketika bagi memberikan tumpuan pada ibadah berpuasa dengan keluarga dan memenuhi undangan fotografi Raya pihak media.

"Insya-Allah, selepas cuti Raya, saya akan terlibat dalam drama bersiri untuk slot Lestary TV3 dan dijangka terbang ke India untuk penggambaran," kongsinya yang sibuk menjaga neneknya yang semakin uzur di rumah keluarga di Kampung Baru di sini.

Ally Iskandar Ambil Cuti Raya Selepas 10 Tahun

Posted: 03 Aug 2012 10:05 PM PDT

Ally dan isterinya Farah Lee akan berhari raya di Kuala Terengganu selama seminggu.

SHAH ALAM: Personaliti TV3, Ally Iskandar Mohd Mardzi telah pun mengambil cuti selama seminggu bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas 10 tahun tidak berbuat demikian.

Ally, 36, berkata, sebelum berkahwin lagi dia telah menyuarakan hasrat untuk bercuti Hari Raya sekiranya dia berumah tangga bagi meraikannya bersama isteri dan keluarga.

"Selama 10 tahun saya tidak pernah mengambil cuti raya kerana bekerja pada 1 Syawal untuk program Malaysia Hari Ini (MHI). Tahun ini saya mahu peluang untuk menyambut lebaran bersama isteri tersayang," ujarnya kepada mStar Online.

Ally ditemui selepas rakaman program Mentor Raya 6 di Plaza Alam Sentral pada malam Rabu lalu.

Tambah Ally, sebelum ini dia bukan tidak pernah memohon untuk bercuti tetapi komitmen terhadap kerja telah membuatkan dia perlu berkorban untuk bertugas.

Dalam pada itu, Ally berkata, dia sangat terharu dapat menyambut bulan Ramadan pertama sebagai suami kerana Farah Lee yang sedang bercuti selama tiga bulan daripada pengajiannya di Universiti In Ha, Korea Selatan.

Ally memberitahu kesempatan itu diambil sebaik-baiknya untuk menghabiskan masa bersama selain memastikan mereka dapat berbuka puasa berdua.

"Jika dulu sebelum kahwin saya tidak pernah peduli di mana hendak berbuka tetapi selepas ada isteri ni, memang saya sentiasa ternanti-nanti untuk berbuka puasa dengannya," ujar Ally.

Sementara itu, Ally memberitahu kehadiran Farah Lee telah banyak mengajarnya untuk mengimbangi pelbagai perkara dalam hidup yang sebelum ini banyak tertumpu kepada kerjayanya sahaja.

"Saya lebih utamakan isteri saya dan jika terlalu sibuk saya akan bawa kerja balik ke rumah. Sekurang-kurangnya saya dapat bersama dia.

"Dia juga masih belajar di luar negara dan apabila dia berada di tanah air saya cuba sedaya upaya untuk membuatkan dia gembira," ujarnya.

Ally dan Farah Lee bernikah pada 20 Januari lalu dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.

Adam (AF) Sudah Boleh Ubati Penyakit Misteri

Posted: 03 Aug 2012 10:04 PM PDT

Adam mampu merawat pesakit yang terkena sihir.

PETALING JAYA: Penyanyi Adam (AF) mengakui dia sekarang sudah mampu merawat beberapa penyakit misteri selepas mendalami ilmu perubatan Islam berkenaan sejak dua tahun lalu.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 29, berkata, kebolehan itu membuatkan dia merancang untuk membuka sebuah klinik perubatan Islam di sekitar Kuala lumpur tidak lama lagi.

"Selain penyakit sihir, saya juga boleh merawat pesakit darah tinggi dan kencing manis.

"Alhamdulillah, setakat ini rawatan penyakit asas sudah boleh saya lakukan. Banyak lagi ilmu perubatan Islam yang harus saya pelajari. Namun saya merancang untuk membuka klinik sendiri dalam masa terdekat ini," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, tambah Adam, dia berharap agar masyarakat tidak tersalah tafsir mengenai rawatan yang dilakukan kerana ia bukanlah syirik di sisi Islam ataupun mahu menjadi bomoh.

Sebaliknya teknik rawatan yang dibuat mengikut garis panduan berpandukan kitab Al-Quran selain berdoa kepada Allah.

"Ada yang beranggapan, mengubat penyakit sihir adalah syirik tetapi harus diingat perubatan saya tidak menggunakan kaedah memakai tangkal atau memanggil makhluk halus kerana cara itu sudah dikira menduakan Allah," tuturnya.

Dalam pada itu, Adam juga menegaskan perubahan yang berlaku terhadap dirinya yang lebih bersifat Islamik sejak kebelakangan ini bukan bermaksud dia sudah berhijrah, namun ia adalah sebahagian tanggungjawabnya sebagai umat Islam yang pernah lalai sebelum ini.

"Saya harap orang luar tidak menganggap perubahan diri ini sebagai satu penghijrahan, sebaliknya ia ada adalah tanggungjawab saya sebagai orang Islam yang harus diamalkan sejak dahulu lagi.

"Pada mulanya, saya berjumpa dengan Ashraf Muslim menerusi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk mendalami ilmu agama. Kemudian saya memecahkan cabang ilmu itu kepada mempelajari hal-hal perubatan Islam pula.

"Alhamdulillah, setakat ini saya cuba memperbaiki kelemahan saya untuk menjadi manusia yang lebih baik.

"Dan sebagai manusia biasa, biasalah, lebih dekat kita mahu mendekati diri kepada Allah, lebih banyak dugaan yang muncul. Bagaimanapun saya cuba mengharunginya dengan baik," tuturnya yang bakal muncul album solo terbaru berkonsepkan balada pada tahun depan.

Tuah Imam Muda Jabar

Posted: 03 Aug 2012 04:42 PM PDT

KEJAYAAN meraih juara program Imam Muda musim ketiga membakar semangat buat Imam Muda Jabar untuk menghadapi arena dakwah yang mencabar.


SETELAH sembilan minggu para peserta atau Imam Muda berada dalam program realiti yang masih menjadi fenomena di negara ini, Iman Muda, perjuangan mereka telah berakhir semalam.

Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (INSPENS), Bangi menjadi saksi Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28, atau Imam Muda Jabar dinobatkan juara ketiga program realiti tersebut selepas Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hassan sebagai juara untuk dua musim sebelum ini.

Ternyata keputusan lelaki dari Selangor itu meninggalkan keluarga terutamanya isteri dan dua orang anak kecil serta menolak tawaran kenaikan jawatan semata-mata untuk menyertai program Imam Muda musim ketiga nampaknya tidak sia-sia.

Mengulas tentang kemenangannya, Jabar melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi. Dia menyifatkan kemenangannya sebagai permulaan buat dirinya berdakwah.

"Saya memanjatkan kesyukuran yang tiada terhingga kepada Allah Taala. Rasa syukur dan terima kasih atas segala doa dan sokongan peminat Imam Muda, terutamanya ibu bapa dan keluarga.

"Kemenangan ini adalah permulaan untuk menghadapi arena dakwah yang lebih mencabar. Biarpun melalui pelbagai cabaran sebelum dan semasa berada dalam program ini, saya nekad untuk terus berjuang atas nama dakwah.

Naib juara disandang oleh Mohammad Hafiz Abdul Khodir, 27, sementara Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21, menduduki tempat ketiga.

Terdahulu, Kemuncak Imam Muda yang bersiaran di Astro Oasis (Saluran 106) dan serentak di Mustika HD (Saluran 134) pada malam Jumaat lalu buat pertama kalinya menyaksikan tiga peserta bersaing pada pusingan final.

Mereka ialah Mohammad Hafiz dari Kuala Lumpur, Abdul Jabbar (Perak) dan Abdul Rahman Naufal (Johor).

Juara Imam Muda musim ketiga membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro manakala naib juara pula membawa pulang wang tunai RM35,000 sumbangan Astro, RM15,000 sumbangan Bank Islam dan sebuah piala.

Tempat ketiga turut memenangi wang tunai RM15,000 sumbangan Astro dan RM10,000 sumbangan Bank Islam dan sebuah piala.

Bagi yang ketinggalan menonton final Imam Muda, anda masih boleh mengikuti siaran ulangan hari Sabtu, 4 Ogos ini pukul 5.30 petang atau hari Ahad 5 Ogos 2012 pukul 10 pagi di Astro Oasis (Saluran 106).

Ella selepas bergelar isteri

Posted: 03 Aug 2012 04:41 PM PDT


MENURUT Ella, suaminya tiada melarang dirinya untuk berubah.


DIA kelihatan tidak berubah sama seperti zaman bujang, biarpun dirinya kini sudah bergelar isteri orang. Sikapnya masih ceria dan manja seperti kebiasaan.

Sudah biasa hidup membujang, Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin,46, sebenarnya beberapa hari lagi bakal genap sebulan menjadi isteri kepada juruterbang, Anuar Husaini Ghazali,31. Mereka berkahwin pada 7 Julai lepas.

Sehubungan itu, sudah pasti ramai yang ingin mengetahui apakah perasaan Ella ketika ini. Ikuti temu bual Kosmo! bersama insan yang bergelar Ratu Rock Negara ini.

Kosmo!: Apa perasaan Ella selepas bergelar isteri sekarang ini?

ELLA: Saya cuba untuk belajar lagi dan sesuaikan diri saya sebagai seorang isteri. Saya memang dalam proses belajar. Memang kita akan rasa kita mempunyai kehidupan yang berbeza ketika solo dan setelah berumah tangga.

Bagaimana perjalanan proses tersebut, adakah ia menyukarkan atau Ella teruja untuk menempuh semua itu?

Dia membawa kita kepada perkara positif yang mana ia memang bagus, Alhamdulillah. Seperti apabila kita keluar rumah perlu minta kebenaran, itu merupakan perkara yang harus. Banyak juga yang perlahan-lahan saya melakukannya dan biasakan diri.

Ella kelihatan tetap Ella yang manja dan ceria. Jadi, adakah suami menerima seadanya sikap Ella yang sebegitu?

Saya juga tidak pasti namun dia kata dia sayang kepada saya. Dia tiada melarang saya untuk berubah atau minta itu dan ini. Mungkin apabila dia nampak kelemahan Ella, dia akan tegur secara perlahan-lahan. Tapi, setakat ini, katanya dia suka.

Apa perkara yang kekok untuk anda lakukan selepas berkahwin?

Saya tidak boleh untuk fikir bagi mengisi perut sendiri kerana kini sudah berdua. Dua itulah kita hendak jadikan satu. Tapi yang bagusnya, dia tidak paksa dan dia lebih semangat untuk perkara yang menggembirakan saya.

Bagaimana penerimaan pihak lelaki terhadap Ella semasa sesi suai kenal?

Alhamdulillah, sangat baik. Kedua-dua belah keluarga juga memberi respons yang baik.

Perasaan Ella menyambut Ramadan tahun ini?

Sudah tentu gembira kerana pada Ramadan kali ini Ella dapat mengerjakan solat tarawih bersama suami.

Bagaimana persiapan raya Ella dan suami?

Ringkas sahaja kerana kami berdua kerja. Ella pun tidak ambil cuti lama, mungkin dalam sehari atau dua. Kami hanya akan ke rumah saudara-mara yang terdekat dan mula kerja semula. Kami belum putuskan mahu pulang ke rumah siapa dahulu. Kelak kami akan duduk berbincang untuk menentukan perkara itu.

Farrell membaik pulih kehidupan

Posted: 03 Aug 2012 04:40 PM PDT



"SAYA mahu hidup lama dan melihat kedua-dua anak saya membesar dengan sempurna!" tegas pelakon Colin Farrell mengenai matlamat hidupnya terkini.

Ketika ditemu ramah oleh media antarabangsa baru-baru ini, pelakon kelahiran Dublin, Ireland itu menilai kehidupannya sebagai seorang bapa kepada dua orang cahaya mata James Padraig, 9, dan Henry Tadeusz, 2, adalah sebab untuk perubahan dramatiknya itu.

Sebelum ini Farrell, 36, pernah dimasukkan ke pusat rehabilitasi akibat penyalahgunaan dadah iaitu ubat penahan sakit selepas terlibat dengan kecederaan tulang belakang sekitar tahun 2005.

Menutup kisah silam yang disifatkannya liar, dia kini menikmati detik indah dan gaya hidup sihat bersama dua orang anaknya.


INSAF. Colin Farrell mengakui kesilapan yang dilakukannya sebelum ini sudah banyak menyusahkan dirinya sendiri.


"James membenarkan saya menjaga sesuatu yang sangat penting dalam dunia ini pada ketika saya tidak mampu menjaga diri saya sendiri. James penyelamat saya," jelasnya.

Faktanya, anak sulung Farrell itu menghidap sindrom Angelman yang merupakan sejenis penyakit genetik. James dilahirkan hasil perkongsian hidup Farrell bersama model Amerika Syarikat, Kim Bordenav yang berpisah pada tahun 2003.

Henry pula dilahirkan ketika Farrell menjalinkan hubungan bersama pelakon Alicja Bachleda-Curus sekitar tahun 2009 dan pasangan itu juga berpisah selepas Henry berusia setahun.

"Saya tidak meletakkan kudrat yang serupa seperti kehidupan lampau untuk kehidupan sekarang sebaliknya corak penjagaan kesihatan saya kini telah berubah.

"Kalau dulu saya menghabiskan banyak tenaga untuk 'memusnahkan' tubuh badan saya dan jika masih melakukan perkara sama saya akan jatuh sakit. Asasnya saya makan makanan seimbang, minum banyak teh hijau dan mengambil vitamin," dedahnya mengenai rejim penjagaan kesihatan dirinya.

Sementara itu, untuk memperoleh bentuk badan sempurna demi menjayakan filem terbaharunya, Total Recall, dia berjoging sejauh tiga kilometer sehari selama enam kali seminggu sebelum tiga bulan penggambaran.

"Saya kini menjadi seseorang yang beberapa tahun sebelum ini tidak pernah berlari walau satu kilometer pun," katanya yang kini lebih tenang dan banyak menghabiskan masa bersama anak-anaknya itu.

Filem bikinan semula


HEBAT. Colin dalam beberapa babak filem Total Recall yang pernah dilakonkan aktor veteran, Arnold Schwarzenegger menerusi filem dengan judul yang sama.


Sebelum tumpas dalam kehidupan akibat bahana dadah, Farrell pernah menampilkan aksi bertenaga menerusi filem pecah panggung, Minority Report (2002). Dia mengakui haluan berliku yang dipilih banyak merugikan dirinya sendiri.

"Saya telah memusnahkan jambatan-jambatan dalam industri filem yang sebenarnya banyak menyediakan peluang untuk periuk nasi saya sebelum ini, memang ada penyesalan tapi saya pasrah dengan rentetan hidup saya akibat kesilapan lampau," getusnya.

Begitu pun, dia masih bersyukur kerana diberikan tawaran membintangi sebuah filem yang dibikin semula berdasarkan naskhah yang ditayangkan pada tahun 1990 dengan judul yang sama, lakonan aktor pujaannya, Arnold Schwarzenegger.

Bercerita dengan lebih lanjut berhubung filem itu, pelakon yang masih dihujani banyak tawaran berlakon itu menyatakan Total Recall berbeza daripada filem asal dari segi penyampaian dan pengolahannya.

"Saya rasa tidak perlu untuk saya memakai saiz kasut yang sama seperti Arnie (Arnold Schwarzenegger) untuk mengambil alih wataknya. Filem itu berbeza mengikut gaya dan cara saya," tegasnya.

Filem itu memulakan tayangan seluruh Malaysia pada 2 Ogos lalu dan diarahkan oleh Len Wiseman yang merupakan pengarah siri filem Underworld.

Ciuman

Farrell mendedahkan adegan bercium dengan Kate Beckinsale merupakan bahagian yang paling canggung sepanjang membintangi filem Total Recall memandangkan suami Beckinsale yang juga pengarah filem itu sentiasa berada di hadapannya.

"Momen itu sangat kelakar! Babak yang paling canggung dan menggelikan hati ketika saya bercium dengan Beckinsale sambil diperhatikan suaminya di monitor. Salah satu perkara paling tidak menyelesakan yang pernah saya lakukan sepanjang 15 tahun bergelar pelakon," tuturnya.

Selain adegan janggal dan kurang selesa itu, Farrell mengakui penggambaran babak aksi bersama Beckinsale turut menyeronokkan sehinggakan pada akhir penggambaran dia sudah boleh membaca gerak-geri pelakon wanita itu begitu jua sebaliknya.

"Babak berlawan dengan Beckinsale sangat menyeronokkan. Kami memperoleh bentuk pergerakan yang luar biasa dan dikoreografikan sehingga ke hujung penggambaran.

"Jadi, saya tahu pergerakannya dan dia tahu pergerakan saya. Alang-alang sepanjang berlatih, saya dapat bercuti sekali ke Toronto sebulan sebelum mula penggambaran.

"Secara keseluruhannya filem ini menguji fizikal saya dan saya menantikan tawaran sedemikian untuk filem akan datang," ungkapnya.

Perak pasti milik Chong Wei

Posted: 03 Aug 2012 04:37 PM PDT

CHONG WEI akan menentang Lin Dan pada aksi final esok.


PINGAT perak Sukan Olimpik 2012 sudah pasti berada dalam genggaman Datuk Lee Chong Wei selepas kejayaan melangkah ke final acara badminton perseorangan lelaki yang berlangsung di Arena Wembley, London semalam.

Laluannya ke final diperoleh selepas meraih kemenangan straight set 21-13, 21-14 ke atas Chen Long dari China pada perlawanan separuh akhir semalam.

Hanya 51 minit diperlukan oleh Chong Wei untuk menjinakkan Chen Long pada perlawanan tersebut yang menyaksikannya tampil dengan rentak permainannya yang sebenar.

Apa yang dirancangnya pada perlawanan tersebut semuanya menjadi iaitu untuk menjarakkan kedudukan mata daripada lawannya itu yang sememangnya terkenal dengan corak permainan pantas dan agresif.

Pada set pertama, ketika Chong Wei sudah selesa mendahului 7-0, ia sudah mematikan rentak permainan Chen Long yang selepas itu berterusan melakukan kesilapan sekali gus memberi mata mudah kepada jaguh perseorangan negara itu.

"Hari ini (semalam) saya hanya fikirkan untuk menamatkan saingan dia (Chen Long) pada temasya ini. Saya anggap ini sebagai perlawanan terakhir dan saya tampil memberikan yang terbaik.

"Perancangan saya berkesan dan saya pun tidak sangka boleh beraksi dengan baik hari ini (semalam)," kata Chong Wei.

Menurutnya, 11 mata pertama pada perlawanan tersebut sangat penting dan dia berjaya melakukan seperti apa yang di rancang oleh jurulatih sebelum perlawanan tersebut bermula.

"Sebelas mata pertama penting kerana ia akan mematikan rentak Chen Long.

"Bukan mudah untuk menjinakkan dia (Chen Long) kerana dia seorang pemain yang agak tenang. Saya cuba untuk bermain secara lebih tenang untuk mengawal permainan dan taktik tersebut cukup efektif. Saya berjaya mematikan fokusnya sejak set pertama lagi," katanya.

Menanti Chong Wei di final ialah seteru utamanya dari China, Lin Dan yang menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-il 21-12, 21-10 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Aksi final antara Chong Wei dan Lin Dan akan berlangsung malam esok.

Suspek kes samun ditembak mati

Posted: 03 Aug 2012 04:36 PM PDT


suspek yang melarikan diri dan cuba menyerang polis, mati ditembak di Loji Air Puncak Templer, Selayang semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang suspek kes samun yang baru dilanjutkan reman enam hari di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini semalam ditembak mati selepas lelaki itu cuba menyerang polis menggunakan parang selepas dia berjaya melarikan diri daripada tahanan polis.

Sebelum kejadian pada pukul 3 petang, suspek warga tempatan berumur 26 tahun itu berjaya melarikan diri sewaktu dia dan beberapa suspek lain sedang beratur bersama lapan tahanan lain untuk masuk ke dalam kenderaan polis untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

"Namun, ketika beratur, suspek tiba-tiba menghilangkan diri sebelum polis menyedari kehilangannya dan terus melancarkan gerakan mencari," kata satu sumber.

Sebaik melarikan diri, suspek yang juga berjaya membuka garinya terus memecah masuk ke dalam sebuah stor milik Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang terletak bersebelahan mahkamah.

Suspek kemudian masuk ke stor tersebut dan menukar pakaian lokap dengan memakai pakaian seorang kontraktor Syabas yang ditemui di dalam stor.

Suspek turut mengambil sebilah parang di dalam stor itu dan melarikan diri ke Loji Air Puncak Templer.

Kedudukan Loji Air Puncak Templer kira-kira satu kilometer dari mahkamah.

Sumber itu berkata, setengah jam selepas gerakan mencari, polis berjaya mengesan suspek berada di Loji Air Puncak Templer, namun suspek enggan menyerah diri sebaliknya cuba menyerang polis menggunakan parang.

Selepas beberapa kali dipujuk tetapi suspek terus agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sehingga menyebabkan lelaki itu mati di tempat kejadian.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Samun ikut jadual ilmu hitam

Posted: 03 Aug 2012 04:31 PM PDT


ANTARA barangan curi dan senjata yang dirampas daripada empat lelaki Indonesia bergelar Geng Kerinchi dipamerkan polis pada sidang akhbar di Kajang semalam.


KAJANG - Sekumpulan empat penjenayah warga Indonesia bergelar Geng Kerinchi yang menggunakan ilmu hitam bagi memukau mangsa nampaknya tidak menjadi apabila kesemua mereka ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu kelmarin.

Suspek-suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun tersebut ditahan pada pukul 8.30 pagi di rumah kongsi sebuah kilang papan dekat Semenyih pada 27 Julai lalu.

Kegiatan mereka berjaya ditumpaskan selepas mereka memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Teknologi, Kajang.

Suspek juga didapati berjalan kaki melalui hutan sejauh 10 kilometer dari kawasan kilang ke rumah mangsa untuk mengelak daripada terserempak dengan sesiapa.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, pengurus kilang berusia lingkungan 30-an kerugian RM10,000 apabila barangan berharga milikinya dilarikan suspek.

Difahamkan, suspek menyapu minyak pukau pada badan masing-masing sebelum memecah masuk rumah supaya penghuni yang terhidu cecair itu berada dalam keadaan khayal. Minyak itu berbau wangi.

Sebelum itu, suspek menilik kad ilmu pelangkah yang dibawa khusus dari kampung halaman mereka di Kerinchi, Jambi, Indonesia untuk mengetahui sama ada mereka berjaya atau gagal memecah masuk rumah yang disasarkan.

Selepas itu, keempat-empat suspek yang masuk ke negara ini sejak seminggu lalu menghubungi ketua dukun bergelar Kiai di kampung mereka sebelum lelaki tersebut menyalakan lilin di dalam bilik untuk membuat ramalan.


AB. RASHID menunjukkan minyak pukau (kiri) dan kad ilmu pelangkah yang digunakan Geng Kerinchi untuk menyamun di kawasan Kajang.


Jika api bergoyang maka rancangan untuk merompak akan ada aral yang melintang.

Siasatan polis setakat ini mendapati suspek telah tiga kali keluar masuk ke negara ini dan mereka dipercayai menghantar hasil samun pulang ke kampung.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab memberitahu, pihaknya yakin dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah membabitkan suspek dan modus operandi yang sama dengan tertangkapnya keempat-empat penyangak tersebut.

Kerugian keseluruhan daripada lima kes pecah rumah dianggarkan RM60,000.

Wartawan selidik kapal selam Britain

Posted: 03 Aug 2012 04:30 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan kapal selam HMS Poseidon.



SCHWANKERT


BEIJING - Seorang wartawan warga Amerika Syarikat yang tinggal di Beijing membuat satu penemuan yang mengejutkan di dalam buku dan filemnya yang akan diterbitkan.

Wartawan itu, Steven Schwankert membuat penyelidikan dalam buku dan filem tersebut mengenai sebuah kapal selam tentera British yang karam di perairan China pada tahun 1930.

Beliau mendapat tahu bahawa China menaikkan semula kapal selam tersebut, HMS Poseidon pada tahun 1972.

China menaikkan kapal selam tersebut tanpa memberitahu pihak Britain.

Pendedahan itu terdapat dalam bukunya, The Real Poseidon Adventure: China's Secret Salvage of Britain's Lost Submarine dan sebuah filem dokumentarinya.

Kapal selam itu karam pada 9 Jun 1931 selepas ia berlanggar dengan sebuah kapal kargo China dalam satu latihan.

Buku tersebut juga dijangka diterbitkan pada tahun 2013 oleh Hong Kong University Press.

Beliau melakukan penyelidikan itu sejak tahun 2006 selepas mendapati maklumat di dalam talian bahawa China telah menaikkan kapal selam tersebut.

Schwankert kemudian mencari akaun operasi untuk menaikkan kapal selam tersebut menerusi senaskhah majalah China pada tahun 2002.

Namun, persoalan timbul kenapa China memilih untuk menaikkan kapal selam itu.

Penyelidikan Schwankert itu menyebabkan Kementerian Pertahanan Britain meminta maklumat lanjut tentang kapal selam tersebut.

China kemudian mengesahkan bahawa kapal selam itu telah dinaikkan dari dasar laut namun maklumat lanjut itdak diberikan kerana rekod simpanan maklumat yang tidak teratur.

Schwankert menganggap terdapat banyak motif kenapa China menaikkan kapal tersebut.

Menurutnya, antara motif itu ialah China mungkin mengkaji pembinaan kapal selama tersebut atau mengitar semula besi kapal berkenaan.

Kapal selam itu dianggap yang paling moden milik Tentera Laut Diraja Britain.

Ia karam dalam tempoh empat minit dan terdampar sedalam 30 meter di dalam laut dekat sebuah pangkalan tentera Britain di Weihai, China.

Seramai 18 kru mati semasa ia karam.

Tanam bangkai gajah

Posted: 03 Aug 2012 04:27 PM PDT


ORANG ramai menolak bangkai gajah untuk ditanam dekat stesen kereta api Panbari kelmarin.


GUWAHATI - Penduduk-penduduk dari sebuah kampung menanam bangkai seekor gajah betina dekat stesen kereta api Panbari, 50 kilometer dari sini kelmarin. Gajah itu mati pada Rabu lalu selepas haiwan tersebut dirempuh sebuah kereta api penumpang semasa ia menyeberangi landasan.

Penguat kuasa dan penyelamat di lautan

Posted: 03 Aug 2012 04:21 PM PDT



BERADA beratus-ratus kilometer di tengah laut dan dibuai ombak berhari-hari lamanya serta dibakar terik mentari, kerja sebagai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bukanlah satu tugas yang mudah.

Terpisah dengan daratan, misi anak kapal adalah untuk menjalankan tugas sebaik mungkin dalam mencari dan menyelamat serta menjaga wilayah maritim daripada sebarang pencerobohan.

Baru-baru ini, pihak APMM telah membawa media untuk bersama-sama ke tengah laut bagi melihat sendiri prosedur mencari dan menyelamat mangsa yang mengalami musibah di lautan.

Walaupun ia cuma lakonan, namun, gambaran sebenar tugas yang dilakukan APMM bersama 19 agensi dan jabatan lain dapat disaksikan dan debaran yang dirasakan seolah-olah berada di tengah-tengah misi menyelamat yang sebenar.


PIHAK Maritim bertanggungjawab menjaga keamanan perairan negara daripada dicerobohi pihak tertentu.


Berlokasi di perairan Besut, Terengganu dan perairan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, Latihan Mencari dan Menyelamat (Sarex) Wilayah Maritim Timur (Wiltim) 2012 disertai oleh 400 anggota.

Ia melibatkan sebuah helikopter AS N3 Dauphin milik APMM, sebuah kapal terbang Cessna milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua kapal dan lima bot APMM, sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah jet ski dan empat bot milik Jabatan Bomba, satu pasukan gerakan Marin, dua buah ambulans Hospital Tengku Anis Pasir Puteh dan lima ambulans Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Pihak media berpeluang menaiki kapal KM Nusa yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Izwanhadi Idrus dengan 19 anak kapal.

Feri terbakar



Senario misi menyelamat itu ialah sebuah feri dengan 40 penumpang termasuk tekong dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian yang mengalami kebakaran di bahagian enjin dan hampir karam.

Penumpang-penumpang feri tersebut mengalami kecederaan yang pelbagai dan perlu diselamatkan segera. Memandangkan kejadian dalam wilayah Maritim Timur, maka pusat penyelamat APMM yang terlibat ialah Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan, Pahang. Selain di Kuantan, terdapat empat lagi MRSC di seluruh Malaysia iaitu Johor Bahru, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Dalam situasi sebenar, setelah sesebuah MRSC menerima aduan mengenai sesuatu kecemasan atau malapetaka di lautan, MRSC akan mengaktifkan semua aset dari pelbagai agensi untuk bergerak ke lokasi kejadian. Sebelum itu, mereka menghubungi Maritime Rescue Coordinating Centre (MRCC) di Putrajaya bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Perkara yang paling penting dalam misi menyelamat adalah mencari mereka yang masih hidup dan membawa mereka ke darat secepat mungkin supaya rawatan lanjut boleh dijalankan.

Sekiranya mangsa mengalami kecederaan parah, khidmat pesawat udara diperlukan untuk memindahkan mangsa dengan segera.

Bagi Leftenan Muda Maritim Muhammad Haris Azmi, 25, perkara utama yang perlu dibiasakan dalam tugasan mencari dan menyelamat di lautan adalah mengatasi mabuk laut serta bau mayat.

"Dalam operasi menyelamat, perkara yang paling mencabar adalah untuk memastikan mangsa berjaya diselamatkan dengan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Mula-mula saya tak biasa dengan bau busuk mayat mangsa sehingga perlu melumur minyak angin di hidung tapi lama-lama saya dah terbiasa dengan bau itu dan cekalkan hati demi tugas," cerita beliau.

Muhammad Haris yang baru dua tahun menyertai APMM memberitahu, antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah sebuah misi sekitar tahun lalu. Ia adalah tragedi bot asing yang karam.

Apabila sampai di tempat kejadian, mayat-mayat sudah bergelimpangan di permukaan air dan mereka terpaksa mengangkat mayat-mayat naik ke atas kapal.

"Kami letakkan mayat semua di bahagian belakang kapal dan disusun bersebelahan.


BEBERAPA anggota Maritim sedang membuat pencarian lokasi dalam latihan yang melibatkan kerjasama 24 buah agensi.


"Mayat kalau terlalu lama berada dalam air dia akan mengembang dan kembung. Mayat mangsa telah berbau dan muka pun susah hendak dicam," imbas beliau.

Bagi anggota Leftenan Maritim, Mohammad Zaini Zainal menggalas tugas menyelamat di laut bukanlah mudah.

"Kami perlu sentiasa bersedia bila-bila masa dan bersedia berhadapan dengan apa sahaja situasi.

"Apa yang lebih menyukarkan dalam setiap operasi, kadangkala kita tidak tahu sejauh mana keadaan mangsa, sama ada masih hidup ataupun tidak," ujar beliau.

Rondaan berterusan

Menurut Mohammad Zaini, pasukan penyelamat APMM akan ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan wilayah maritim dan akan berada di laut sehingga seminggu lamanya sebelum ke darat secara bergilir-gilir.

"Pekerjaan seperti ini berlainan berbanding pekerjaan lain. Walaupun orang lihat ia sebagai sesuatu kerja yang mencabar atau membosankan kerana perlu berada di laut hampir setiap masa, bagi saya tugas menyelamat dan menjaga keamanan samudera adalah sesuatu yang amat membanggakan," ujar beliau.


ANGGOTA Maritim sempat berkumpul bersama untuk menikmati iftar pada hari latihan.


Dalam pada itu, Pengarah Operasi Wiltim, Kapten Maritim Syed Mohd. Fuzi Syed Hasan, memberitahu latihan Sarex diadakan setiap tahun bagi memupuk keserasian dan kerjasama antara semua agensi yang terlibat.

Syed Mohd. Fuzi menerangkan Wilayah Maritim Timur merangkumi tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan yang mempunyai keluasan perairan 200,000 kilometer persegi.

APMM secara rasminya telah mengambil alih tanggungjawab menyelaras tugas mencari dan menyelamat pada 6 Jun 2006 yang selama ini dilaksanakan oleh Jabatan Laut.

"Sepanjang APMM mengambil alih tugas mengawal Wilayah Maritim di kawasan Timur, kita berjaya mengurangkan pencerobohan dan melakukan misi menyelamat dengan jayanya.

"Memandangkan pengangkutan laut merupakan aktiviti utama bagi mendokong pelbagai aktiviti sosioekonomi, industri maritim dan pelancongan bagi Kerairan Pantai Timur, maka sekali gus tanggungjawab dan peranan kami juga besar untuk memastikan keselamatan semua dan memberi lebih keyakinan kepada pengunjung pulau-pulau sekali gus meningkatkan industri pelancongan.

"Buat masa ini, APMM Wilayah Timur mempunyai dua buah kapal yang beroperasi dalam satu masa. Pada pertengahan tahun ini, kami akan menambah sebuah lagi kapal bagi memperkuatkan pasukan bagi mengawal wilayah ini," terang beliau.

Apa yang mustahak kata beliau, hubungan rapat antara agensi dan jabatan amat diperlukan kerana setiap daripadanya mempunyai kepakaran khas sekali gus menjadi tunjang kepada kejayaan sesuatu operasi menyelamat.

Model asas Freed S

Posted: 03 Aug 2012 04:21 PM PDT


HONDA Freed S ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.


HONDA Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) baru-baru ini menambah satu lagi varian kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam rangkaian Freed iaitu Freed S. Sebelum ini, syarikat automotif dari Jepun itu menawarkan varian Freed E di Malaysia.

Model yang diimport dari Indonesia itu ialah sebuah model asas. Beberapa komponen pada model baharu itu telah ditiadakan jika dibandingkan dengan Freed E.

Sebagai contoh, anda perlu membuka pintu gelongsor tepi secara manual untuk masuk ke ruang kabin. Model itu tidak didatangkan dengan pintu gelongsor kuasa dengan alat kawalan.

Sistem pendingin hawa juga perlu dikawal secara manual. Turut ditiadakan ialah spoiler belakang, isyarat membelok pada cermin pandang sisi, pengelap cermin depan tanpa kawalan kelajuan dan pemain cakera video digital Alpine.

Freed S menggunakan enjin sama seperti versi Freed E iaitu 1.5L i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan dan sistem Drive-By-Wire. Enjin tersebut mampu menjana kuasa maksimum 118PS @ 6,600rpm. Tork maksimum dicapai pada 146Nm pada 4,800rpm.

MPV asas itu bagaimanapun tetap dilengkapi aspek keselamatan beg udara berkembar SRS pada bahagian hadapan, sistem amaran peringatan tali pinggang keledar, ABS, EBD, BA dan Grade Logic Control.

Freed S ditawarkan pada harga RM99,800 seunit (di atas jalan). Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau laman web: www.honda.com.my.

Mengukuhkan segmen kompak Suzuki

Posted: 03 Aug 2012 04:20 PM PDT

MASIH ramai yang kurang menyedari kehadiran SX4 di pasaran tempatan.


TINDAKAN merealisasikan pemasangan kenderaan kompak jenama Jepun di Pekan, Pahang ternyata satu strategi perniagaan bijak dilaksanakan oleh DBR-Hicom Bhd. Langkah itu berjaya merancakkan penerimaan model kereta kompak Suzuki Swift dalam kalangan pengguna tempatan.

Buktinya, Swift nyata mudah dilihat di atas raya di Malaysia. Penerimaannya sudah pasti didorong oleh faktor utama iaitu pakej harga munasabah dan rekaan sporty yang menawan hati.

Secara jelas, itulah antara kekuatan sebenar pengedar rasmi kenderaan Suzuki di pasaran tempatan, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (Suzuki Malaysia). Memang dikenali kerana fokusnya kepada segmen kompak, Suzuki Malaysia sebenarnya sentiasa cuba untuk meneroka kategori lain.

Contoh paling mudah adalah pengenalan model sedan segmen D iaitu Kizashi yang membuat penampilan sekitar bulan Mac lalu. Namun begitu, Suzuki Malaysia tidak lupa untuk mengukuhkan kekuatan sedia ada yang dimilikinya.


CROSSOVER kompak ini didatangkan dalam bentuk CBU dari Jepun.


Buktinya, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2004 itu baru-baru ini memberi nafas yang lebih segar kepada model SX4 Sport Crossover (SX4). Model lima pintu itu diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia pada Disember 2007.

Suzuki SX4 yang menerima sentuhan rekaan studio Italdesign kendalian pereka terkenal Itali, Giorgetto Giugiaro mula dipamerkan pada Geneva Motor Show kira-kira enam tahun lalu. Produk itu adalah hasil kerjasama di antara Suzuki dan Fiat bagi menggantikan model Suzuki Aerio SX.

Pada awalnya, SX4 dibina untuk pasaran Eropah. Namun disebabkan oleh penerimaan yang memberangsangkan, ia kemudian ditawarkan di beberapa pasaran lain seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS), Australia dan India.

Tiga tahun selepas membawa masuk SX4 yang diimport sepenuhnya (CBU), Suzuki Malaysia tampil dengan model naik taraf pada tahun 2009. Penambahbaikan signifikan diberikan membabitkan peningkatan kuasa sebanyak 9hp dan tork enjin mencecah 10Nm.

Baru-baru ini, sempena majlis berbuka puasa bersama pengamal media, Suzuki Malaysia mendedahkan jSX4 dengan wajah lebih segar. Secara amnya, transformasi kali ini lebih cenderung ke arah kemasan bahagian luaran.

Enjin M16A


GRIL radiator krom yang menyerlahkan lagi penampilan SX4.


Jentera itu dipasang enjin M16A. Sama seperti varian tahun 2009, spesifikasi enjin petrol 1.6 liter DOHC VVT (Variable Valve Timing) dan transmisi automatik empat kelajuan automatik dikekalkan. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa sehingga 110PS @ 5,600rpm dan tork 150Nm @ 3,800rpm.

Diletakkan di bawah pembangunan konsep X-over revolution, reka bentuk luaran SX4 boleh disifatkan sebagai menarik walaunpun keliharan ringkas. Lampu utama multi reflector yang kini lebih melengkung diintegrasi bersama gril radiator dan bampar baharu. Rim 16 incinya juga rekaan baharu.

Kali ini, salutan krom ditambah pada bahagian tertentu seperti gril hadapan. Lampu kabus dikekalkan di lokasi lama. Bahagian belakang pula dilengkapi spoiler nipis, lampu brek ketiga dan lampu belakang bersaiz sederhana.

Masuk sahaja ke dalam kabin SX4, ruang itu nampak lebih cantik dan kemas berbanding varian sebelumnya. Tona gelap dengan kemasan krom mendominasi ruangan konsol tengah. Fabrik baharu kini membalut tempat duduk.

Kluster instrumen meter dengan lampu merah dan biru disatukan dengan skrin digital. Skrin itu memaparkan maklumat seperti jam, suhu di luar kenderaan dan penggunaan bahan api. SX4 juga dilengkapi unit audio MP3/WMA yang terletak kemas di bawah corong pendingin hawa.

Penukaran siaran radio atau lagu boleh dibuat dengan hanya menekan butang kawalan pada stereng. Ini membolehkan pemandu lebih fokus ketika memandu. Tuil gear jenis gated shifter dikekalkan sebagaimana yang terdapat pada model terdahulu.


SUZUKI mengekalkan penggunaan material berkualiti pada papan pemuka dan kabin SX4.


SX4 dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan. Antaranya ialah sistem brek antikunci, Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA) dan dua unit beg udara.

Model itu ditambah dengan ciri keselamatan baharu iaitu Brake Override System. Ia merupakan mekanisme yang membolehkan SX4 diberhentikan jika pedal minyak tersangkut pada bahagian lantai.

Sistem tersebut juga berperanan memintas fungsi pedal dan memberhentikan kenderaan sekiranya pedal minyak dan brek dipijak secara serentak.

Suzuki Malaysia menawarkan dua varian SX4 iaitu standard dan premier. Standard dijual pada pada harga RM91,888 seunit di atas jalan termasuk insurans. Sementara varian premier yang memiliki kelebihan seperti tempat duduk dibalut kulit dan pelindung cahaya V-Kool pula dijual pada harga RM96,888 sebuah.

Pengenalan SX4 disifatkan suatu permulaan baharu buat Pengarah Urusan Suzuki Malaysia, Keiichi Suzuki. Beliau memberi jaminan tahun 2012 adalah tahun yang menarik untuk Suzuki Malaysia. Sama-sama kita nantikan pengumumannya.

Tema warna, pelekat baharu Suzuki Belang

Posted: 03 Aug 2012 04:15 PM PDT


JIKA mahukan Belang yang lebih menonjol, sudah pasti warna merah menjadi pilihan.


SUZUKI Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) kini memperkenalkan model Suzuki Belang R150 berwajah lebih segar dengan penampilan tema warna dan pelekat grafik baharu.

Jentera dalam kategori motosikal sport itu didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu merah hitam, biru putih dan kelabu putih. Sebahagian besar tubuh motosikal itu dilekatkan dengan pelekat yang menyerlahkan elemen kontemporari.

Suzuki Belang R150 dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 147cc berserta aci sesondol atas berkembar (DOHC). Ia dipasang bersama sistem karburator jenis Mikumi BS26SS. Enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan bersama klac tangan.

Jentera itu turut dipasang dengan suspensi jenis tunggal (monoshock) pada bahagian belakang. Fork teleskopik pula digunakan pada bahagian hadapan motosikal. Sistem breknya terdiri daripada jenis cakera pada roda hadapan dan belakang.

Dengan setiap pembelian Suzuki Belang R150, Suzuki Assemblers akan memberikan topi keledar full face dan jaket jenis perlumbaan secara percuma. Promosi itu bermula pada 1 Julai hingga 30 November depan.

Harga jualan Suzuki Belang 150 ialah RM7,570 seunit tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran, insurans dan caj-caj lain.

Variasi di bawah satu bumbung

Posted: 03 Aug 2012 04:14 PM PDT



DI sekitar Lembah Klang, hampir kesemua pusat beli-belah tidak terkecuali daripada sama-sama memeriahkan suasana sambutan kedatangan Aidilfitri yang melambangkan sebuah ganjaran selepas berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

Pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya juga turut tidak melepaskan peluang mempamerkan motif perayaan umat Islam sepanjang bulan ini menerusi dekorasi-dekorasi istimewa yang diilhamkan oleh pasukan kreatif pusat beli-belah itu.

Berdiri sebagai sebuah pusat beli-belah berstatus urban dan moden, 1Utama bukan sahaja menawarkan pilihan beli-belah yang lengkap, malah turut memastikan persediaan buat kelompok pelanggan yang menyambut perayaan tertentu.


BOLING adalah pilihan riadah keluarga yang paling popular.


Sempena kedatangan Syawal, gedung besar itu tidak ketinggalan untuk memeriahkan suasana melalui aspek dekorasi.

Berlatarkan bangunan mewah ala seni bina Arab, lampu-lampu gantung juga teliti dipasang di dalam kubah. Struktur bangunan berciri Asia Barat itu mempamer elemen eksotik Islam moden.

"Kami memastikan struktur binaan ini berkonsep geometri supaya ia berpadanan dengan cita rasa urban. Walaupun berpusat di ruang tingkat bawah, Oval, kami turut memanjangkan rekaan hiasan hari raya ke Old Wing 1 Utama," kata Pengurus Besar Pengiklanan dan Promosi 1 Utama, Patrick So.

Tambah beliau, hiasan dan rekaan dalaman pusat beli-belah yang menelan belanja kira-kira RM2 juta itu diharap dapat membuatkan pelanggan teruja dan berpuas hati.

"Kami juga turut menempatkan 40 kaunter dengan tema dekorasi yang sama, Warisan dan Budaya Hari Raya. Kesemua kaunter ini akan menjual pakaian, aksesori, biskut Raya dan lain-lain berkaitan hari raya," ujar Patrick.

Hiburan dan rekreasi

Sebagai menambah keseronokan membeli-belah, pihak 1Utama juga turut menawarkan pementasan hiburan dan rekreasi menjelang Aidilfitri.

Bermula 27 Julai lalu, struktur binaan hiasan itu menjadi pentas bagi pelbagai persembahan seperti tarian, muzikal, bengkel aksesori, peragaan fesyen oleh Parkson, dokumentari Putera Sulong dan Putera Bongsu, persembahan Bulola dan banyak lagi sehingga 26 Ogos 2012.


PANGGUNG wayang dengan teknologi dan pilihan tayangan terkini menjadi tumpuan ramai.


"Setiap minggu, kami menganjurkan persembahan mengikut tema. Minggu pertama ialah Irama Muda, diikuti dengan Permata Aidilfitri (minggu kedua), Opera-ya (minggu ketiga), Pentas Sandiwara (minggu keempat) dan Rentak Budaya (minggu kelima dan terakhir)," kata Patrik merujuk kepada tempoh sambutan Aidilfitri di 1Utama.

Tawaran 1Utama tidak terhenti di situ sahaja. Gedung itu turut menyediakan pulangan nilai yang cukup berbaloi seperti Hadiah Hari Raya kepada pelanggan yang berbelanja RM300 ke atas dalam satu atau dua resit pada hari yang sama dan baucer makanan RM5 di Food Street.

Penat berjalan-jalan selepas rutin beli-belah, 1Utama menyediakan puluhan restoran, kafe dan pusat makanan yang boleh dijadikan lokasi berbuka puasa yang ideal.

Daripada pilihan makanan segera, Barat, Jepun, Korea, Peranakan, Melayu, Cina hinggalah kepada kafe berkonsep sajian organik, kek, bakeri ataupun makanan segera, semuanya sedia menyambut pelanggan yang mahu menjamu selera.

Selain pengalaman gastronomi dan beli-belah, 1Utama juga turut beroperasi sebagai ruang untuk berlibur, berekreasi dan santai, mengikut pilihan aktiviti pelanggan.

"Mereka yang mengunjungi 1Utama bukan sekadar membeli pakaian, aksesori atau barangan, ia lebih daripada itu," ujar Patrick.

Rekreasi lasak dan santai

Camp 5 di 1Utama adalah gimnasium memanjat tembok tertutup yang pertama dan terbesar di Asia. Ia menduga ketangkasan dan stamina peserta melalui cabaran seni memanjat tembok setinggi 24 meter.

Sesuai untuk mereka yang baru saja berjinak-jinak dengan sukan itu hinggalah kepada kelompok yang lebih berpengalaman, kemudahan yang disediakan di Camp 5 dipastikan antara yang terbaik.


PADANG yang dibina di aras puncak 1Utama membawa konsep riadah dan rekreasi yang baharu.


Di samping itu, pusat besbol juga satu lagi tarikan kesukanan di 1Utama yang berlokasi di Rooftop New Wing. Dengan keluasan 1,672 meter persegi, pusat besbol menyediakan pelbagai kemudahan seperti sangkar-sangkar perlawanan, sangkar anggul Bulpen, kawasan T-Ball, kedai Pro, kafe dan tayangan perlawanan secara langsung.

Tidak ketinggalan, Padang di 1Utama yang menawarkan ruang untuk pelanggan yang mahu bermain futsal pula. Berlokasi di tingkat atas Rooftop, terdapat dua set disediakan iaitu Set A dengan lima gelanggang dan Set B dengan tiga gelanggang futsal.

Jika ketiga-tiga itu adalah kepada mereka yang memilih aktiviti lasak, 1Utama turut menawarkan pelanggan yang mahu pendekatan yang lebih holistik.

Secret Garden, taman di atas bumbung pertama seumpamanya dengan keluasan lebih 2,787 meter persegi itu dibuka kepada umum secara percuma. Ia mendekatkan pengunjung kepada kepelbagaian flora yang mungkin tidak pernah dikenali sebelum ini.

Seperti kebanyakan pusat beli-belah yang lain, 1Utama turut menyediakan kemudahan rekreasi lain seperti pawagam dan pusat boling, U-Bowl dengan 36 lorong.

Galeri khas seorang negarawan

Posted: 03 Aug 2012 04:14 PM PDT


RUANG di bahagian depan galeri ini dihiasi dengan pelbagai perabot antik yang melambangkan latar belakang zaman Datuk Onn.


KUNJUNGAN ke Batu Pahat, Johor pasti tidak merugikan kerana daerah itu mempunyai pelbagai tarikan suasana tradisional, kembara budaya mahupun gastronomi.

Memakan masa perjalanan kira-kira tiga jam dari ibu negara, pengunjung dapat menyaksikan bandar Batu Pahat yang kian pesat membangun.

Namun, bagi mereka yang biasa mengunjungi daerah berkenaan pastinya hidangan istimewa seperti asam pedas dan nasi beriani gam menjadi tumpuan utama ketika menjamu selera.

Kunjungan ke daerah tersebut bukan bernoktah di situ sahaja kerana kini pelbagai tarikan baharu menanti anda.

Antaranya adalah bangunan Memorial Dato' Onn yang terletak berhampiran kawasan Kelab Golf Batu Pahat di Jalan Kluang iaitu kira-kira 1.2 kilometer dari pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat.

Sebelum ini, ia merupakan bangunan kuarters kediaman pegawai kerajaan yang dibina pada tahun 1938 dengan kos pembinaan pada masa itu ialah RM15,500. Ia berkeluasan 417 meter persegi.

Menariknya, bangunan ini dipilih berikutan ia pernah menjadi kediaman rasmi Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat suatu ketika dahulu.

Selain menjadi kediaman negarawan itu, bangunan tersebut pernah digunakan oleh Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) Regimen 501 Askar Wataniah sebagai markas latihan.

Ekoran mempunyai kaitan dengan Onn, bangunan itu memang layak dipilih dijadikan memorial untuk mendedahkan kepada umum tentang sumbangan besar beliau dalam sejarah negara ini.

Bangunan tersebut telah dibaik pulih dan diubah suai menjadi memorial dengan kos sebanyak RM600,000 oleh JKR sebelum diserahkan kepada Yayasan Warisan Johor dengan rasminya pada 6 Ogos 2007.

Di dalam bangunan ini terdapat beberapa bahagian seperti galeri utama, ruang-ruang pameran, bilik tayangan, kedai cenderahati, bilik solat, bilik mesyuarat, pejabat, tandas, dapur dan stor.

Pejuang kemerdekaan

Dilahirkan pada tahun 1895, Onn bukan sahaja terkenal sebagai ahli politik terkemuka malah sebagai pentadbir yang hebat, tokoh wartawan, ahli pemikir dan pejuang kemerdekaan.

Kehebatan arwah semasa hayatnya boleh dirasai pengunjung menerusi gambar-gambar lama yang tergantung di dinding.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung boleh mendapat maklumat menerusi tayangan video yang boleh ditonton di bilik tayangan yang disediakan.

Bahkan, pengunjung yang memasuki bangunan itu pasti terpesona dengan ruang atur dan hiasan dalaman menggunakan perabot bertema klasik.

Kewujudan bangunan memorial itu adalah untuk memelihara segala warisan bersejarah termasuk rekod surat, cenderamata, dokumen, anugerah, bingkisan ucapan dan barangan kebesaran sepanjang hayat kepunyaan tokoh tersebut.

Sebagai tempat pengumpulan, penyimpanan, pemuliharaan dan pameran khazanah serta koleksi beliau, pengunjung pasti teruja menyaksikan rutin kehidupan hariannya.

Secara tidak langsung, kunjungan itu dapat mengenang jasa dan mengiktiraf pengorbanan serta sumbangan beliau dalam pelbagai bidang. Ia sekali gus menjadi inspirasi buat anak bangsa dan generasi muda.

Antara bahan-bahan yang dipamerkan termasuklah gambar-gambar peristiwa, lukisan, cenderamata, keris, bendera, buku-buku, majalah dan keratan akhbar.

Gamitan Pulai Desaru

Posted: 03 Aug 2012 04:13 PM PDT


BILIK jenis Standard Superior begitu selesa dalam rekaan moden kontemporari.


JALAN-JALAN makan angin bersama keluarga atau rakan-rakan di pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor sentiasa memberikan pengalaman percutian yang menyeronokkan bagi tetamunya.

Tambahan pula, jika dahulu perjalanan mencecah masa dua jam dari bandar raya Johor Bahru, kini masa perjalanan tidak sampai sejam menggunakan Lebuh Raya Senai-Desaru.

Nama Desaru diambil sempena pokok ru yang banyak tumbuh meliar di tepi pantai di situ. Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) membuka Desaru sekitar tahun 1970-an.

Lokasi istimewa itu mempunyai pantai yang memutih dan menjadi destinasi percutian popular dalam kalangan pelancong Singapura terutamanya pada hujung minggu.

Seiring dengan reputasi tumpuan percutian, lokasi penginapandan tempat menjamu selera juga wujud silih berganti sejak lima dekad lalu untuk menyahut keperluan persinggahan serta selera pengunjung.

Setibanya di Desaru, regangkan dulu anggota tubuh dengan berjalan-jalan di tepi pantai yang berlatarbelakangkan Laut China Selatan.

Sambil disambut hembusan angin yang menyegarkan tubuh, bunyi deruan ombak yang memecah pantai mampu merungkai segala kekusutan fikiran. Perasaan turut terhibur apabila melihat keletah kanak-kanak yang seronok bermain di atas pasir pantainya.

Jika bernasib baik, anda juga dapat menyaksikan aksi menarik kumpulan pemuda yang mencabar ombak di atas papan luncur.

Naik taraf

Pulai Desaru Beach Resort & Spa, Johor di Desaru menawarkan penginapan yang selesa kepada para tetamu.

Resort yang telah siap dinaik taraf membabitkan kos RM10 juta kini mempunyai 210 buah bilik yang menggabungkan rekaan kontemporari, seni bina yang elegan bersama sentuhan artistik moden dan unik.

Jenis-jenis bilik yang ditawarkan merangkumi jenis Standard, Standard Superior, Superior dan Deluxe. Bagi pasangan yang ingin berbulan madu, bilik-bilik yang dihiasi warna-warna terang dan susun atur perabot yang menarik memberikan satu kenangan yang istimewa.

Bagi yang datang bersama ahli keluarga, Loft Room dan Junior Suite merupakan pilihan yang terbaik.

Kesemua bilik yang ditawarkan pada kadar bermula dari RM280 dan ke atas itu lengkap dengan sarapan pagi untuk dua orang di Restoran Palm Brasserie.

Sementara menunggu urusan daftar masuk di bahagian lobi utama, pengunjung pasti tidak melepaskan peluang beristirehat atau mencuri sedikit masa menikmati keindahan suasana pantai berhampiran resort itu.

Jika perut sudah berbunyi tanda kelaparan, Restoran Palm Braserrie sentiasa bersedia menghidangkan juadah berbentuk ala carte atau bufet.

Bukan itu sahaja, pengunjung boleh memilih pelbagai menu masakan tempatan ala kampung atau hidangan Barat.

Tidak dilupakan juga, penggemar makanan Jepun boleh menjamu selera di Restoran Teppan yang merupakan satu-satunya restoran Jepun di kawasan percutian berkenaan.

Lebih menarik, pengunjung boleh menyaksikan chef memasak Teppanyaki secara langsung di depan anda.

Sesi bersantai

Di kolam renang pula, terdapat Lobby Bar dan Coco Bar yang membolehkan anda bersantai sambil menikmati minuman.

Setelah puas bersantai, bagi penggemar persembahan band live, boleh berkunjung ke Pulai Lounge untuk menyaksikan persembahan kumpulan muzik secara langsung sambil menikmati moktel yang dihidangkan.

Bagi yang mahu memanfaatkan kesempatan percutian dengan membelai tubuh dan melaras keseimbangan dalam diri, mereka boleh mencuba rawatan spa yang disediakan.

The Pulai Spa yang menawarkan set spa lengkap bersama bilik rawatan yang berkonsepkan Bali Spa di samping menggunakan produk-produk yang berkualiti tinggi.

Bagi ibu bapa, sambil memanjakan diri di spa berkenaan, anak-anak pula boleh berkunjung ke bilik Kid's Club yang direka khas untuk mereka.

Jabatan Rekreasi & Sukan di resort berkenaan juga bersedia memenuhi impian anda melakukan aktiviti seperti sukan air, jet ski, bot pisang, tenis, berbasikal, bola tampar, bola sepak pantai dan lain-lain permainan pantai.

Laksa tarikan Pulau Legenda

Posted: 03 Aug 2012 04:12 PM PDT



SIAPA sangka, bintang terkenal Hollywood yang juga pengarah filem, Mel Gibson pernah menyatakan antara makanan kegemarannya ialah laksa.

Laksa ialah sejenis makanan mi daripada tepung beras dan berkuah. Hidangan itu sungguh unik kerana terdapat unsur campuran budaya Cina dan Melayu dalam bahan-bahannya. Ada dua jenis laksa yang popular iaitu laksa kuah kari atau laksa kuah asam.

Dihidangkan panas, laksa ialah antara hidangan wajib bagi mereka yang berkunjung ke negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Di negeri-negeri itu, laksa asam begitu popular. Di Johor pula, terdapat laksa Johor yang menggantikan mi dengan spageti manakala kuahnya merupakan kari bersantan.

Di negeri Pantai Timur pula terutama Kelantan, ia dikenali sebagai laksam. Kuahnya dibuat menggunakan santan putih dan ditambah cili untuk menambahkan rasa pedas. Sementara itu di Sarawak, kuahnya lebih berempah dan menggunakan mihun sebagai ganti laksa tepung beras.

Walau apapun jenis laksa, asas kuahnya adalah menggunakan isi ikan.

Keenakannya yang tiada tandingan telah melebarkan populariti makanan tempatan itu. Bukan sekadar di kampung dan kedai kaki lima, ia turut menjadi hidangan utama di hotel bertaraf lima bintang.

Baru-baru ini Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menganjurkan Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi (Lilac) selama tiga hari bermula 25 Mei, sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu.


PARA peniaga sedang sibuk menyediakan hidangan laksa yang dipesan pelanggan di gerai masing-masing.


Selain tarikan lokasi dan kebudayaan yang istimewa, makanan tempatan juga berpotensi besar mencuri perhatian pelancong. Ini berdasarkan laporan, sektor makanan dan minuman di Malaysia menyumbang 17.2 peratus kepada pendapatan industri pelancongan tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata industri pelancongan menjana pendapatan lebih RM1 bilion setiap minggu dengan 17.2 peratus daripadanya dibelanjakan untuk makanan pada tahun lepas.

Atas faktor itu, kementerian menganjurkan pelbagai karnival makanan seperti Fabulous Food 1Malaysia (FF1M), sebagai platform mempromosi keistimewaan makanan tempatan kepada pelancong.

Namun, kebiasaannya karnival makanan yang diadakan menggabungkan pelbagai masakan tradisional negara ini seperti rendang, kuih-muih, lemang dan sate.

Berlainan pula dengan Lilac, tumpuan khusus diberikan kepada laksa tanpa adanya gabungan makanan tempatan lain.

Identiti negeri

Boleh dikatakan hampir setiap negeri mempunyai laksa yang tersendiri yang membuatkannya bertambah eksotik. Selain itu, kaedah memasak laksa juga pelbagai bagi menghasilkan keunikan rasa masing-masing.

Penganjuran julung-julung kali diadakan itu disertai sekumpulan penyedia laksa yang menyajikan laksa Johor, laksa Pahang, asam laksa Pulau Pinang, laksa Thailand, laksa Perlis, laksam (Kelantan), laksa Sarawak dan laksa Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli berkata, karnival seperti Lilac bukan sahaja memberi nilai tambah kepada Langkawi malah menjadi platform dalam mengiktiraf makanan tradisional atau tempatan di mata dunia.

"Lada akan meneruskan penganjuran acara bertaraf antarabangsa dalam mempromosi Langkawi menerusi makanan tradisional yang menjadi kegemaran pelancong.

"Saya amat berpuas hati dengan sambutan Lilac. Saya melihat ramai pelancong luar terutamanya sudah berada di tapak karnival sejak pagi. Ada pelancong dari Eropah yang makan hingga lima jenis laksa," katanya.


GERAI laksa Kelantan juga boleh ditemui di Langkawi kini bagi memberi peluang kepada pelancong dari seluruh pelusuk negara merasai keistimewaan rasanya.


Biarpun penganjurannya dilihat sebagai satu langkah positif, namun ramai juga yang keliru dengan maksud atau nilai antarabangsanya.

Menjelaskan perkara itu, Khalid berkata, skop antarabangsa bukan hanya dilihat dari mana datangnya makanan itu, namun ia berlandaskan kepada konteks penyediaan laksa.

Tambahnya, laksa disesuaikan mengikut cita rasa dan standard antarabangsa. Biarpun begitu, rasa asal dan bahan asas dalam penyediaan laksa akan tetap dikekalkan.

"Apabila saya beritahu pelakon Mel Gibson menyukai laksa, ia adalah bercitarasakan antarabangsa. Selain itu, karnival ini juga turut menjemput chef antarabangsa untuk bersama chef selebriti tempatan mengendalikan kelas masakan laksa.

"Ini memberi peluang kepada pengunjung mempelajari cara penyediaan hidangan laksa," katanya.

Dihoskan oleh Chef Redzuawan Ismail atau Chef Wan, karnival yang berlangsung selama tiga hari di Laman Padi itu berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung domestik dan luar negara.

Pengisian karnival

Karnival itu bukan sahaja mempamerkan jualan pelbagai jenis laksa, malah pertandingan membuat laksa, pertandingan masakan antara sekolah dan pertandingan makan laksa turut diadakan.

Bagi pemandu pelancong, Adrian Tan, platform sedemikian bukan sahaja memperkenalkan pelbagai jenis laksa di Malaysia kepada pelancong luar, malah pengunjung tempatan yang jarang sekali dapat merasai pelbagai jenis laksa mengikut negeri di Malaysia.

"Hari ini baru saya tahu laksa Johor menggunakan spageti. Sebelum ini, saya sangkakan laksa Johor seperti biasa sahaja. Selain itu, banyak lagi jenis laksa yang tidak pernah saya cuba sebelum ini dapat dirasai di sini," katanya.

Penginapan ala Mediterranean

Posted: 03 Aug 2012 04:10 PM PDT


RUANG dalaman dan tata hias perabot yang ringkas namun tetap menjanjikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.


BAYANGKAN anda berada di tepi pantai yang memutih sambil dikelilingi pokok-pokok kelapa yang melambai. Sambil bersantai, tubuh disapa siliran udara laut yang menyegarkan.

Impian percutian sebegitu boleh dinikmati sekiranya berkunjung ke Residence Desa Lagoon Resort.

Terletak di Batu 5, Jalan Pantai, Port Dickson, resort itu menjanjikan pengalaman percutian yang bakal terakam dalam ingatan.

Sebaik melangkah ke pekarangannya, pengunjung disambut dengan pokok-pokok kelapa yang menghiasi landskapnya. Pada mulanya terasa seperti resort tropika biasa, namun perasaan itu berubah seumpama berada di sebuah perkampungan Mediterranean. Mood itu nyata disumbangkan suasana reka bentuk vila yang memukau pandangan.

Secara keseluruhan terdapat 35 penginapan jenis vila yang ditawarkan di santuari pesisiran pantai ini. Pengunjung boleh memilih untuk menginap Vila Superior (18 unit) atau Vila Deluxe (17 unit).


JIKA berkesempatan, ambil peluang membelai tubuh di Ledang Spa.


Berkonsepkan resort keluarga, semua vila mempunyai bilik tidur, ruang tamu yang luas, ruang dapur dan ruang makan.

Tambah menarik, penginap bakal disajikan dengan keindahan panorama Laut Selat Melaka yang mengasyikkan. Keterujaan itu juga dapat dirasai saat menghayati pemandangan taman dan kolam renang dari pintu atau balkoni masing-masing.

Menggabungkan rekaan kontemporari, setiap bilik tampak elegan dengan gabungan ton warna bumi pada dinding dengan ton warna lembut perabot yang direka khas secara eksklusif.

Sajian antarabangsa


RESIDENCE Desa Lagoon Resort juga menawarkan kemudahan untuk acara seminar dan mesyuarat.


Jika mahu menikmati sajian tempatan dan antarabangsa yang lazat dan menyelerakan, atur saja langkah ke Laguna Cafe.

Terletak bersebelahan lobi dan ruang legar utama, ia menawarkan sajian tempatan dan antarabangsa yang dihindangkan secara bufet atau ala carte.

Dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 11 malam ia mempunyai dua ruang makan iaitu berhawa dingin dan terbuka.

Bagi yang datang secara berkumpulan, Laguna Cafe juga menyediakan tempahan untuk sajian barbeku, stimbot atau tempahan bertema untuk majlis keraian atau korporat.

Pengunjung juga berpeluang menggunakan pelbagai kemudahan riadah yang disediakan. Antaranya, kolam renang, gimnasium, gelanggang bola tampar pantai, gelanggang tenis serta bilik karaoke.

Selepas seharian beriadah, badan pasti berasa letih. Untuk itu, susun sahaja langkah ke Ledang Spa yang menawarkan rawatan tubuh dari hujung rambut ke hujung kaki.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved