Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Zizan rasa terhina di Jepun
- Episod bahagia Memey, Norman
- Siti kena tempias Gangnam Style
- 250 dikerah tolak motosikal
- Puting beliung landa pantai New York
- Filem Korea Selatan menang anugerah utama
- Pertandingan tebang batang pokok
- Menara Lego tertinggi di dunia
- Getaran tali sape jentik emosi
- Kisah Abil-Fauziah: Pembaca beri sokongan moral
Posted: 09 Sep 2012 09:36 PM PDT GARA-GARA dituduh tidak komited terhadap promosi filem-filem lakonannya, pengacara dan pelawak, Zizan, di katakan terpaksa mendisiplinkan diri dengan menerima tawaran tertentu sahaja dalam satu masa. Akui Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak, 28, buat masa ini dia hanya memberi tumpuan pada promosi filem Hantu Kapchai yang akan ditayangkan tidak lama lagi dan persiapan untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bersama Johan. "Saya terpaksa menerima tawaran tertentu sahaja selepas ini kerana tidak mahu lagi timbul tuduhan kononnya saya tidak beri kerjasama dan tidak komited pada promosi filem-filem lakonan saya kerana mengambil banyak kerja dalam satu masa," luah Zizan ketika ditemui selepas sidang akhbar program terbaharu berbentuk travelog di Astro Prima menerusi saluran 105 iaitu Jejak Jepun Bersama Zizan di Hotel Corus, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ditebak sama ada dia juga sudah selektif dalam setiap tawaran yang diberi, ujar Zizan, dia tidak memilih kerja tetapi mahu lebih fokus pada satu atau dua tawaran dalam satu masa sahaja. "Keputusan ini juga dibuat bukan kerana masalah kesihatan yang terjadi kepada saya sebelum ini akibat kuat bekerja," tuturnya lagi. Berkongsi rasa terujanya menjayakan program travelog pertamanya, akui Zizan, dia sudah lama mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke Jepun dan impian itu akhirnya terlaksana selepas ditawarkan menjadi pengacara program travelog Jejak Jepun Bersama Zizan. Namun, perasaan terujanya lenyap tatkala kakinya melangkah ke negara matahari terbit itu. Zizan berasa malu dan terhina apabila melihat budaya dan gaya hidup masyarakat di sana yang jauh lebih berdisiplin daripada masyarakat di Malaysia. "Sepanjang dua minggu menjalani penggambaran di sana, ada satu perkara yang cukup terkesan dalam diri saya. Saya rasa rendah diri dan terhina sangat bila tengok cara hidup masyarakat di sana. "Bayangkan, ketika saya pergi ke taman tema Disneyland, Tokyo, begitu ramai orang yang menyaksikan perarakan watak-watak animasi di situ, tetapi yang peliknya selepas sahaja tamat perarakan tersebut tidak ada sampah langsung di kawasan itu. "Masyarakat di sana juga mengamalkan cara hidup sistematik. Saya perasan ketika menaiki eskulator mereka berdiri di sebelah kiri manakala di lorong sebelah kanan eskulator pula digunakan untuk mereka yang ingin memotong atau memintas. "Bagi saya, kita kena belajar dan ambil contoh sikap dan budaya mereka untuk ditanamkan dalam diri kita. Jepun bukan saja terkenal dengan teknologinya yang canggih, tetapi sikap mereka juga begitu disiplin," ceritanya. Menurut Zizan, pengalaman pertama mengacarakan program travelog memberi satu dimensi dan pengalaman baharu kepadanya. "Ia merupakan sebuah program enam episod yang berkonsepkan diari kembara (travelog) di pelbagai destinasi menarik di sekitar Jepun. "Saya berpeluang pergi ke Osaka dan Tokyo. Antara destinasi menarik yang saya kunjungi ketika di Jepun ialah Osaka Aquarium Kaiyukan, yang merupakan salah satu akuarium terbesar di dunia. Selain itu, saya juga berpeluang melawat Osaka Castle, istana yang dibina pada abad ke-16 dan Floating Garden iaitu menara paling tinggi di Jepun," kongsinya. Dedah Zizan lagi, dia juga mula jatuh hati dengan gadis-gadis Jepun selepas mendapat layanan yang begitu baik ketika berada di Maid Cafe, restoran yang menempatkan pelayan wanitanya berpakaian watak anime. "Kini, saya sudah tidak minat dengan gadis berwajah Pan Asia lagi selepas melihat gadis Jepun. Mereka sangat comel dan baik. "Saya pergi ke sebuah restoran yang diberi nama Maid Cafe, di sana ramai pelayan wanita yang berpakaian watak animasi malah wajah mereka juga seperti di dalam kartun animasi. "Mereka bukan sahaja cantik, tetapi juga melayan tetamu begitu sopan dan baik," gurau Zizan yang sebelum ini sering dikaitkan dengan gadis Pan Asia seperti Juliana Evans. Zizan yang berkunjung ke Jepun dari 30 Jun hingga 13 Julai lalu juga memberitahu, banyak pengalaman yang diperolehnya ketika berada di Jepun. Dia juga berpeluang melawat Muzium Sumo dan belajar cara-cara bersumo. "Saya juga bernasib baik dapat berlatih menjadi ninja kerana bukan calang-calang orang boleh mempelajarinya. Program ini memang lain dari program-program travelog yang sedia ada. "Sukar untuk saya spesifikasikan apa perkara paling menarik yang saya tidak dapat lupakan sepanjang berada di sana kerana banyak sangat benda baharu yang saya jumpa dan belajar," ujarnya lagi. Sementara itu, menurut Pengurus Kumpulan Saluran Hiburan Astro Azlin Reza Azmi, Zizan dipilih sebagai pengacara program travelog itu kerana karakter yang 'gila-gila' dan bersahaja. "Karakter Zizan yang 'gila-gila' dan bersahaja mampu menarik hati penonton," jelasnya. Jejak Jepun bersama Zizan bakal ditayangkan bermula 12 September depan pada setiap Rabu pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105). | ||
Posted: 09 Sep 2012 09:35 PM PDT
AKTRES jelita Memey Suhaiza kini sedang dilambung bahagia bersama suaminya aktor Norman Hakim apabila dia kini hamil anak sulung yang telah memasuki usia empat bulan. Bakal menimang cahaya mata lelaki pada bulan Februari tahun depan, Memey telah bersedia untuk bergelar seorang ibu sementelah, dia juga mempunyai tiga orang anak tiri hasil perkongsian hidup Norman bersama aktres Abby Abadi. "Sudah pasti saya bersedia untuk menjadi ibu dan sebenarnya saya sudah tidak sabar untuk melahirkan anak sulung ini. Apabila hamil, saya rasa hidup telah lengkap sebagai wanita dan sekarang merupakan saat yang sungguh membahagiakan saya," ujarnya yang ditemui pada majlis ulang tahun ke-10 pusat beli-belah Great Eastern Mall, Ampang, Kuala Lumpur. Cerita Memey, Norman menjaganya dengan penuh teliti sepanjang tempoh kehamilannya, malah setiap hari mereka teruja dengan perkembangan bayi yang dikandungnya. "Setiap hari bila bangun tidur, saya akan pandang cermin dan lihat perut yang semakin membesar. Perasaannya sungguh bahagia bila tahu keluarga saya akan semakin membesar. "Norman juga walaupun sibuk tetap menjaga saya dengan baik rasa macam puteri pun ada (ketawa). Saya tidak mengidam makanan yang pelik-pelik, cuma jika saya mahukan sesuatu, saya mahukan makanan yang ada di depan mata contohnya, buah mangga yang bergayut-gayut di atas pokok rumah jiran. "Saya tidak mahu buah mangga yang lain, kecuali yang di atas pokok milik jiran. Kelakar pun ada, tetapi saya dengar cerita, wanita hamil mempunyai keinginan yang berbeza-beza, setiap orang tidak sama," tuturnya lagi. Sungguhpun tidak mengidam sebarang makanan, Memey mengakui dia mengalami alahan yang cukup teruk sehingga menyebabkannya terpaksa berehat buat sementara waktu daripada sebarang aktiviti seni. "Doktor beritahu, alahan biasanya dialami sehingga kehamilan mencecah usia tiga bulan, tetapi saya telah masuk bulan keempat masih mengalami alahan. "Uniknya, sejak 31 Ogos lalu, suami saya turut terkena tempias alahan yang sama seperti saya. Deria bau suami semakin sensitif dan katanya pergi mana-mana dia rasa ada bau busuk dan tekak loya-loya. "Pada mulanya saya pelik juga, tetapi apabila suami beritahu dia mengalami perkara yang sama ketika Kak Abby mengandungkan anak yang kedua, saya rasa memang perkara seperti ini boleh berlaku," cerita Memey yang terfikir untuk memberi nama anaknya, Muhammad Darwish Hakim. Sebagai isteri, kata Memey dia berasa kasihan melihat alahan yang terpaksa ditanggung suaminya kerana Norman harus keluar bekerja mencari rezeki seperti biasa. Norman pula yang berada di sebelah Memey mencelah: "Saya pun tidak tahu macam mana boleh terkena alahan orang hamil, tetapi saya tahu ada suami yang berkemungkinan besar akan terkena tempias alahan isterinya. "Sebagai lelaki, selepas merasai sendiri alahan orang hamil, saya lebih menghargai isteri saya kerana bukan mudah untuknya menghadapi alahan yang teruk setiap hari," ujar Norman. Meskipun sedang bercuti, kata Memey jika boleh dia mahu kembali bekerja sebaik sahaja kesihatannya mengizinkan. "Kalau boleh saya tidak mahu cuti panjang sangat, walaupun sedang hamil saya masih boleh bekerja jika alahan kehamilan ini sudah tiada," balas pelakon berusia 24 tahun itu. Enggan kongsi kasih Hubungan Memey dan bekas isteri Norman, Abby Abadi yang sebelum ini tegang kini telah pulih sepenuhnya. Memey menolak hubungan baik itu sebagai petanda suaminya merujuk bekas isterinya itu kembali. Malah kata Memey, Abby sendiri pernah memberitahunya, dia boleh berbaik semula, tetapi bukan untuk bermadu dengan Memey kerana menghormati hubungan suami isteri itu. Memey juga sebagai seorang wanita mengakui jika boleh, dia enggan berkongsi kasih dengan wanita lain dalam hidupnya. "Saya tidak mahu bermadu sebab sekarang ini kehidupan saya sangat bahagia. Secara umum, tanyalah mana-mana wanita pasti jawapan yang sama diberikan tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. "Ada sesetengah wanita yang boleh berkongsi kasih, itu hak masing-masing. Saya pernah menghadapi episod kehidupan yang sangat cukup menguji diri sebagai wanita dan apabila bahagia itu muncul, saya mahu derita itu hilang," tuturnya penuh makna. Ditanya tentang dirinya yang pernah dilabelkan sebagai perampas suami orang, tidak bimbang dan sudah bersediakah Memey jika karma yang sama akan berulang kepadanya, ini jawapan Memey. Katanya: "Kalau nak kata saya bersedia, tidak juga kerana saya memang tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. "Sejak kecil sehingga dewasa, saya sendiri tidak sangka saya akan terlibat dalam kontroversi yang cukup besar. Apa yang penting saya harus laluinya dengan tabah dan doa yang terbaik." | ||
Siti kena tempias Gangnam Style Posted: 09 Sep 2012 09:30 PM PDT
KUALA LUMPUR - Fenomena lagu dan tarian Gangnam Style yang dipopularkan penyanyi Korea Selatan, Psy kini menular ke Malaysia dan ia turut membabitkan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza. Selepas banyak parodi lagu tersebut dibuat, kini sebuah parodi Gangnam Style Datuk Siti Nurhaliza pula sedang mendapat perhatian di YouTube. Parodi ialah karya seni yang meniru gaya pencipta lain dengan cara yang melucukan. Klip video parodi dengan durasi lebih empat minit tersebut dihasilkan sekumpulan peminat fanatik Siti Nurhaliza yang dikenali sebagai Sitizoner. Ia menampilkan kompilasi klip video persembahan Siti Nurhaliza dari zaman muda sehingga terkini dengan variasi lagu pop, balada dan irama asli daripada penyanyi berusia 34 tahun tersebut. Mengulas tentang klip video Gangnam Style versi penyanyi itu yang dihasilkan peminatnya, Siti Nurhaliza menyifatkan penghasilan parodi itu sebagai sesuatu yang sangat kreatif. | ||
Posted: 09 Sep 2012 09:26 PM PDT GEORGE TOWN – Perbuatan 250 pelesit rempit termasuk 22 pelajar sekolah yang menjadikan jalan raya sebagai litar untuk melakukan aksi berbahaya dan berlumba haram berbalas apabila mereka ditahan polis sebelum dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer. Pelesit rempit berusia antara 16 hingga 30-an tersebut dipaksa menolak kenderaan itu dari Bukit Gambir ke Pengkalan Marin Batu Uban di sini sebagai 'hukuman' awal atas tindakan mereka yang bagaikan mencabar pihak berkuasa. Daripada jumlah itu, 150 merupakan penunggang manakala 100 lagi pembonceng terdiri daripada lelaki dan wanita. Selain polis, 'Ops Samseng Jalanan' yang bermula pukul 12 tengah malam itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Husin berkata, operasi tersebut dianggap berjaya kerana perancangan rapi mereka untuk melakukan sekatan jalan di kedua-dua arah dapat memerangkap pelesit rempit tersebut. | ||
Puting beliung landa pantai New York Posted: 09 Sep 2012 09:24 PM PDT
NEW YORK - Dua puting beliung melanda pantai di pinggir bandar raya ini kelmarin menyebabkan bekalan elektrik terputus di sebuah kawasan. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan apabila puting beliung tersebut melanda sebuah kawasan perumahan di tepi pantai. Satu lagi puting beliung berlaku 20 minit kemudian. Beberapa orang sempat merakamkan imej puting beliung itu. "Saya sedang menunjukkan video (yang dirakamkan menerusi telefon bimbit) tentang puting beliung kepada seorang anak lelaki saya berusia empat tahun. Dua minit kemudian puting beliung melanda," kata seorang penduduk di kawasan Breezy Point, Peter Maloney. Sebahagian atap bangunan rosak akibat puting beliung tersebut. Seorang penduduk dilaporkan mengalami kecederaan ringan semasa pentas runtuh pada Festival Rosslyn Jaz di daerah Arlington, Virginia. | ||
Filem Korea Selatan menang anugerah utama Posted: 09 Sep 2012 09:23 PM PDT VENICE, Itali - Filem pengarah Korea Selatan, Kim Ki-duk yang berjudul Pieta memenangi anugerah utama pada Festival Filem Venice kali ke-69 kelmarin. Kim-duk menyanyi lagu rakyat Korea, Arirang di atas pentas sebagai cara untuk mengucapkan terima kasih kepada juri kerana memilih filemnya memenangi Anugerah Golden Lion. Filem arahannya itu menceritakan tentang pemberi pinjaman wang haram di sebuah daerah di Seoul. Menurutnya, kos filem tersebut ialah AS$100,000 (RM311,342). Bagaimanapun, timbul kontroversi apabila terdapat dakwaan bahawa panel juri dikatakan mahu memilih filem The Master arahan Paul Thomas Anderson. Bagaimanapun, filem The Master itu telah memenangi pengarah dan pelakon lelaki terbaik. Peraturan festival itu menyatakan sebuah filem tidak boleh memenangi lebih daripada dua anugerah. Justeru, panel juri sekali lagi bermesyuarat dan memutuskan Pieta dipilih sebagai filem terbaik. Kim-duk yang berusia 51 tahun pernah memenangi anugerah pengarah terbaik pada tahun 2004 pada festival yang sama menerusi filem Bin-jip. Pelakon lelaki filem terbaik dimenangi Joaquin Phoenix dan Philip Seymour Hoffman dalam filem The Master. Pengarah filem terbaik dimenangi Anderson menerusi filem tersebut. Filem itu mengisahkan seorang juruterbang veteran yang mengetuai sebuah pergerakan yang dikenali sebagai The Cause. Pelakon wanita terbaik dimenangi Hadas Yaron menerusi filem tentang penduduk Yahudi di Tel Aviv, Lemale Et Ha'Chalal. | ||
Pertandingan tebang batang pokok Posted: 09 Sep 2012 05:53 PM PDT
LILLEHAMMER, Norway - Lebih 100 peserta mengambil bahagian pada pertandingan akhir Kejohanan Dunia Menebang Batang Pokok Stihl di sini kelmarin. Para peserta dari 24 buah negara itu menunjukkan kemahiran mereka menebang batang pokok dengan menggunakan kapak dan gergaji rantai. | ||
Menara Lego tertinggi di dunia Posted: 09 Sep 2012 05:51 PM PDT PRAGUE, Republik Czech - Sebuah menara yang diperbuat daripada bongkah kecil Lego dibina oleh sejumlah peminat permainan itu di sini kelmarin. Menara itu setinggi 32.5 meter sekali gus mencipta rekod dunia mengatasi ketinggian binaan yang sama di Britain. Ketinggian binaan di Winsdor, Britain pada 6 Julai lalu itu kurang 30 sentimeter daripada yang terdapat di sini. Pembinaan menara itu bermula pada Khamis lalu. Bongkah kecil yang paling tinggi itu diletakkan oleh pemenang pingat emas dari Republik Czech acara mendayung di Sukan Olimpik London pada Ogos lalu, Miroslava Knapkova. "Saya bermain pemainan Lego semasa kanak-kanak apabila bapa saya membawanya pulang ke rumah dari luar negara," katanya. Sebanyak setengah juta bongkah Lego digunakan untuk membina menara tersebut. | ||
Getaran tali sape jentik emosi Posted: 09 Sep 2012 05:38 PM PDT
KELUNAKAN bunyi sape seringkali diiringi tarian Orang Ulu di Sarawak untuk menyambut kedatangan tetamu. JIKA kanak-kanak lain lebih gemar menghabiskan usia mereka dengan bermain alat permainan seperti kereta dan patung, namun lain pula pengalaman Ainal Bustari Johari, 23, ketika zaman kecilnya. Pada usia lapan tahun, anak jati Kuching, Sarawak itu lebih gemar bermain alat-alat muzik tradisional memandangkan bapanya, Johari Morshidi, 50, seorang ahli muzik perkusi di Kampung Budaya Sarawak, Santubong, Sarawak. Biarpun tidak mahir mengendalikan alat-alat permainan itu namun dia tetap bermain secara bersendirian di rumah tanpa tunjuk ajar bapanya. Pada setiap hari, dia akan mengambil apa sahaja peralatan yang terdapat di dalam rumahnya. Tidak kira serunai, gendang, rebana, mahupun sape (instrumen petikan dalam masyarakat Ulu, Sarawak). Pendek kata, apa sahaja alat muzik yang ada di rumahnya, dia akan mencuba. Bagaimanapun, minat untuk mengenali alat-alat tradisional itu tidak pernah dipaksa bapanya. Keinginan itu terbit daripada pengaruh bapa dan pak ciknya yang gemar bermain alat muzik tradisional termasuk sape di rumah sebagai latihan sebelum mengadakan persembahan. Menceritakan lanjut mengenai alat muzik tradisional, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata, dia seringkali mendengar kelunakan petikan muzik sape yang dimainkan bapa dan pak cik-pak ciknya. "Mereka akan bermain sape secara ramai-ramai. Dari situlah, saya rasa sape mempunyai keunikan tersendiri kerana alunan muziknya membuatkan seseorang itu berasa lebih tenang," katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu negara baru-baru ini. Bertutur lanjut, Ainal memberitahu, sejak itu dia mula mendengar dan melatih dirinya belajar sape. Meskipun tidak begitu mahir, sekurang-kurangnya dia boleh memetik tali sape dan mampu mengeluarkan melodi yang sedap. Secara jujurnya, Ainal memberitahu, dia tidak pernah serius untuk belajar bermain sape sehinggalah dua tahun yang lalu. Dengan berbekalkan sedikit pengalaman, dia sekadar suka-suka menyertai persembahan menunjukkan bakat bermain alat muzik tradisional yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Beranikan diri Ainal yang juga merupakan pelajar jurusan Diploma Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu buat julung-julung kalinya mengadakan persembahan sape di UPM. Berikutan dorongan rakan-rakannya, dia memberanikan diri menjadi wakil Sarawak untuk membuat persembahan sape. "Majlis tersebut diadakan untuk memperkenalkan alat muzik tradisional. Tanpa berfikir panjang, saya menyertai persembahan itu sedangkan saya tidaklah terlalu mahir bermain sape," akuinya. Tambahnya, membuat persembahan tanpa mempunyai selok-belok teknik membuatkannya berasa gementar. Begitupun, dia mengetepikan perasaan itu demi kelancaran persembahan. "Saya sendiri tidak sangka apabila menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir ke persembahan itu. Nyata, mereka kelihatan teruja dengan persembahan alat muzik sape," katanya sambil tersenyum. Sebaik tamat persembahan, kawan-kawan tidak putus-putus menasihatkan saya supaya tidak lupa untuk bermain sape dan terus mempelajari tekniknya dengan lebih mendalam. Sejak hari itu, Ainal mula menumpukan alat permainan tradisional masyarakat Ulu yang dikatakan begitu unik dan mempunyai nilai seni yang tinggi. Keunikan sape Bagi Ahli Muzik Orkestra Tradisional Malaysia, Zamzaharman Mohamad Zambrin, 43, beliau mengakui petikan muzik sape mempunyai keunikan tersendiri. Biarpun dipetik dengan apa cara sekalipun, alunan dari alat muzik sape itu tidak akan menghasilkan bunyi sumbang sebaliknya setiap satu petikan sape mampu memberi getaran yang menyentuh perasaan pendengarnya. Beliau yang sudah berjinak-jinak dengan peralatan itu sejak 19 tahun berkata, alat muzik itu berbeza berbanding dengan alat muzik lain. Misalnya, alat muzik seperti gitar, jika tidak kena pada notnya, ia akan menghasilkan melodi yang tidak sedap. Bagi sape pula, walaupun menekan pada mana-mana bahagian pada tali sape, ia tetap menghasilkan bunyi lunak dan harmoni dengan not-not bunyi sebelum dan seterusnya. Beliau merupakan ahli pemuzik Flute dan Caklempong dan turut menjadi jurulatih di Istana Budaya. Menceritakan lanjut mengenai alat muzik itu, anak jati Lenggeng, Negeri Sembilan itu memberitahu, mempelajari sape sebenarnya mudah memandangkan tidak mempunyai banyak teknik. Beliau yang mempelajari sape menerusi seorang guru yang berasal dari Ulu dari kaum Kayan, Sarawak di Pusat Pinang Kasih, Pulau Pinang pada tahun 1993 berkata, seseorang individu itu boleh menguasai sape sekiranya mempunyai minat. Ubah suai Selain itu, beliau menjelaskan skil pentatonik yang digunakan juga menyebabkan ia tidak sukar untuk dipelajari. Pentatonik merujuk kepada tangga nada dengan skala skala lima not per oktaf. Jelas beliau, dengan menggunakan skil pentatonik sahaja ia sebenarnya tidak dapat berkembang dengan meluas. Menyingkap sedikit pengalaman ketika mengadakan persembahan Asean Korean Traditional Orchestra pada tahun 2010, beliau sedar alunan muzik sape dengan menggunakan skil pentatonik menyebabkan muzik tersebut tidak dapat menembusi keserasian dalam kebanyakan lagu. Sebaik pulang dari Korea, timbul idea untuk mengubah suai sape supaya alunan muzik dari peralatan itu boleh dibawa masuk ke dalam kesemua lagu baik moden mahupun tradisional. Dengan menggunakan kreativiti sendiri, beliau menukar sifat sape dari menggunakan skala pentatonik ke skala kromatik (skala yang berjarak setengah nada, seperti A,A#,B,C,C#,D, dan seterusnya) dengan menggunakan gitar. "Skil itu boleh digunakan untuk memainkan semua lagu sekali gus tidak membataskan instrumen istimewa itu untuk dimainkan dalam majlis besar terutamanya orkestra," jelas beliau yang merupakan satu-satunya pemilik sape yang menggunakan skil kromatik. Sementara itu, pemain sape terkenal, Jerry Kamit turut mengakui alat muzik tersebut kini diubah suai untuk menarik minat golongan muda. | ||
Kisah Abil-Fauziah: Pembaca beri sokongan moral Posted: 09 Sep 2012 05:35 PM PDT SHAH ALAM - Pengorbanan Abil Fikri Ahmad, yang berhenti kerja untuk menjaga isterinya sejak lebih setahun lalu, mendapat perhatian orang ramai dan turut menerima sokongan moral, dengan ada yang menyifatkan sebagai "cinta murni sebenar." Sokongan moral turut diberikan oleh pembaca bernama Zol Kharnai. Katanya, "semoga Tuhan memberikan kekuatan dan kesabaran terhadap kamu." "Sesiapa sahaja akan terhenti mindanya seketika bila membaca kisah kamu yang terpaksa berhenti kerja kerana mengurus dan menjaga isteri yang koma. "Itu bukan perkara yang mudah dan tidak semua orang dapat menghadapinya. Dengan penuh insaf, saya berdoa semoga ALLAH memberikan kamu kesudahan yang baik," kata beliau lagi. Pembaca bernama Noripz Aries Mazwan dari San Francisco pula menulis, "semua orang mahukan suami sebegini..." Di sebalik sokongan moral, seorang pembaca, yang menggunakan nama Mat Top berkata, "Mat Top amat bersimpati dengan pasangan ini yang menerima dugaan dengan tabah." "Cuma yang Mat Top muskilkan, adakah berhenti kerja untuk menjaga isteri dan berharapkan kepada bantuan Kebajikan Masyarakat, pencen isteri, simpanan dan simpati orang ramai lebih baik dari terus bekerja dan menjaga isteri di samping mengupah jurarawat terlatih menjaga isteri semasa keluar bekerja," katanya. Shaikh Mohamed Noordin menulis, "inilah yang dikatakan 'suami masali''." "Menjaga isteri juga merupakan tanggungjawab suami, dan syurgalah tempatnya bagi suami-suami yang memegang amanah dan tanggungjawab ini," kata beliau. Beberapa pembaca mendoakan agar isteri Abil Fikri cepat sembuh. John Labu berkata, "suami mithali, ALLAH akan bersama dengan tuan, semoga isteri cepat sembuh." "Semoga ALLAH merahmati pengorbanan si suami dan memberi kesihatan pada isterinya," katanya lagi. Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghubungi Abil menerusi talian 016-2634258. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan