Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Jarak Jauh Punca Hubungan Sabhi Saddi & Vienna Fridiana Retak
- Bingkisan terbaik Fara
- Ayu Raudhah Anggap Rita Rudaini Bersikap Melampau
- Tiket 'Lawak Ker Der 2' Laris 2,000 Keping Dalam 4 Hari
- Konsert Kemuncak Suria FM Kembali 29 September Ini
- Tunang lari ikut janda
- Jangan terus mendesak
- Udang galah pemanis mi bandung
- Ciclista bertaraf antarabangsa
- Tradisi etnik Bisaya
- Sheera menjamin masa depan
- Muzium gelas Amrul
- Duta muda seni digital
- Rela cerai demi bisnes
- Bina imej menarik
- Berintegriti didik anak bangsa
- Pelajar SMAP Kajang, sekolah Jepun kongsi idea sains teknologi
- Kaji hutan Endau-Rompin
- MAHSA lancar kampus baru
- Impian tercapai
- Pencapaian Dr. Dahlia
- Timba pengalaman hospitaliti di Australia
- UniMAP universiti pertama sedia kemudahan Internet dalam bas
- Anak Terengganu pertama ditawar Ph.D ke Oxford
- Projektor baru Canon
Jarak Jauh Punca Hubungan Sabhi Saddi & Vienna Fridiana Retak Posted: 11 Sep 2012 07:21 PM PDT KUALA LUMPUR: Faktor jarak jauh menjadi punca keretakan hubungan penyanyi Sabhi Saddi dengan penyanyi dari Indonesia, Vienna Fridiana yang terjalin pada tahun lalu. Penyanyi berusia 28 tahun itu berkata, kesibukan dengan komitmen nyanyian di negara masing-masing membataskan pertemuan mereka dan sekali gus menyebabkan hubungan tersebut menjadi renggang. "Hubungan kami sudah berakhir pada tahun lalu kerana faktor jarak jauh. Susah sebenarnya apabila menjalin hubungan dengan orang yang jauh kerana kami tiada masa untuk kerap bertemu. "Saya sibuk di sini dan begitu juga dengan dia. Tiada apa konflik yang timbul cuma hubungan itu menjadi renggang begitu sahaja selepas hampir setahun berkawan," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Hubungan Sabhi dengan Vienna terjalin sejak mereka bergandingan dalam lagu Seperti Dulu Lagi pada tahun lalu. Ditanya adakah dia masih berhubung dengan wanita berusia 29 tahun itu, Sabhi berkata, mereka tidak pernah berhubung sejak berpisah kerana tidak sempat untuk berbuat demikian. "Sejak putus, saya tidak pernah menghubunginya langsung. Saya pun tiada penjelasan kenapa hal itu terjadi tetapi kami tidak bergaduh atau menaruh dendam. "Mungkin kerana jarak jauh dan waktu membuatkan kami terus berenggang. Malah, pada waktu ini saya sudah malas untuk memikirkan soal kekasih," katanya. Mengenai kerjaya, penyanyi yang popular dengan lagu Nadiku itu berkata, dia bakal melancarkan lagu terbaru berjudul Waktu pada Oktober atau November depan. "Lagu Waktu yang berentak balada itu akan saya pertaruhkan pada pertandingan ABU Song Festivals 2012 di Korea Selatan pada 10 hingga 16 Oktober depan. "Saya juga akan siapkan klip videonya bagi memeriahkan kemunculan semula saya dalam industri," katanya yang mahu menumpukan semula pada industri muzik di Malaysia pada tahun ini. Terbaru, Sabhi sedang terlibat dalam penggambaran drama bersiri pertama lakonannya berjudul Laut China Selatan sejak Ahad lalu. Drama sebanyak 26 episod itu turut membariskan Aiman Hakim Ridza dan Adeline Tsen. |
Posted: 11 Sep 2012 07:19 PM PDT Farawahida Razali HAMPIR sedekad berkecimpung dalam bidang seni sudah cukup mematangkan penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu dan Semuanya Ada Di Sini, Farawahida Razali untuk belajar erti berdikari dalam menguruskan karier seninya. Gadis yang mesra disapa Fara dan mendapat jolokan 'Kajol Malaysia' ini juga percaya, dia sudah cukup ilmu dalam selok-belok dunia hiburan sekali gus menentukan hala tujunya dalam bidang hiburan tanah air. "Bila sudah tiada pengurus artis, semua urusan karier seni termasuk undangan persembahan daripada penganjur, saya lakukan sendiri. Kalau dulu, saya hanya menyanyi saja kerana semuanya diuruskan pengurus artis. Kini, tidak lagi.
|
Ayu Raudhah Anggap Rita Rudaini Bersikap Melampau Posted: 11 Sep 2012 07:17 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Ayu Raudah menyifatkan Rita Rudaini yang membuat tuduhan kandungannya gugur pada tahun lalu adalah satu balasan Tuhan sebagai perbuatan yang melampau dan amat kasar. Malah Ayu, 27, berkata, tuduhan melalui entri Twitter Rita itu juga telah menyebabkan orang ramai menganggap dia mengalami keguguran kali kedua sedangkan kandungannya sekarang yang berusia dua bulan berada dalam keadaan sihat dan selamat. "Saya tak faham kenapa dia (Rita) masih lagi beria-ia nak menghentam saya. Walaupun entri tersebut tidak meyebut nama, tapi rasanya semua orang tau dia tujukan luahan itu kepada saya. "Tambahan pula ia telah mengelirukan sesetengah orang yang anggap saya telah keguguran sekali lagi," katanya. Bagaimanapun tambah Ayu, dia tidak berasa tertekan dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan padanya, cuma masih tertanya-tanya apakah punca Rita terlalu bencikan dirinya sedangkan mereka tidak pernah berjumpa. Sementara itu, bercerita mengenai kandungannya, Ayu begitu teruja dengan cahaya mata sulung yang dikandung malah tidak sabar mahu menunggu kelahiran bayi itu. Ayu memberitahu dia lebih berjaga-jaga daripada segi penjagaan diri agak kejadian dia keguguran tahun lalu tidak berulang lagi. "Saya memang teruja dengan kehadiran bayi ini. Lebih seronok lagi apabila saya mendapat perhatian lebih daripada suami (Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak). "Terasa macam permaisuri pula kerana saya tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja rumah walaupun hanya mahu sapu sampah. Doktor tidak membenarkan saya membuat apa-apa pun. "Seronok juga, kerana inilah masanya untuk kita berhat sebaik-baiknya, cuma kadang-kala saya berasa sedikit bosan kerana tidak tahu nak buat apa," selorohnya. Dalam perkembangan lain, Ayu bakal muncul di layar perak menerusi filem Untuk Tiga Hari yang akan ditayangkan pada 20 September ini. Kemelut Ayu dan Rita berlaku apabila Ayu dikatakan menjadi penyebab kepada keretakan rumah tangga yang dibina Rita bersama kembar kepada Zaquan Adha iaitu Aidil Zafuan. |
Tiket 'Lawak Ker Der 2' Laris 2,000 Keping Dalam 4 Hari Posted: 11 Sep 2012 07:15 PM PDT KUALA LUMPUR: Tiket pementasan 'stand-up comedy' Lawak Ke Der musim kedua yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 28 September hingga 3 Oktober depan berjaya dijual sebanyak 2,000 keping hanya dalam masa empat hari. Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, perkembangan baik itu menunjukkan persembahan daripada pelawak terkenal itu sememangnya dinanti-nantikan oleh penonton walaupun jualan tiket baru dibuka. "Ini adalah tanda-tanda bahawa persembahan itu nanti akan menjadi perhatian daripada penonton dan tiket dijangkakan akan habis dijual seperti mana yang berlaku semasa musim pertama. "Perkembangan ini adalah bukti pementasan berkonsepkan komedi mula mendapat perhatian ramai dan keputusan untuk membawa kembali mereka ke pentas IB adalah daripada permintaan peminat," katanya kepada media selepas majlis sidang media Lawak Ke Der 2 di sini pada Selasa. Persembahan yang dianjurkan oleh Istana Budaya dan NRG Enterprise Sdn Bhd itu akan memperlihatkan kehebatan peserta daripada Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Jozan (Johan dan Zizan) serta Harith Iskander. Dalam pada itu, Mohamed Juhari turut menyarankan pada pementasan itu nanti para pelawak memasukkan elemen nilai-nilai murni yang berguna kepada penonton terutama peminat dikalangan kanak-kanak. Mohamed Juhari berkata, pihaknya juga amat tegas dengan etika persembahan itu dengan memastikan semua pelawak tidak menyentuh isu-isu sensitif, kaum dan menggunakan kata-kata lucah semasa persembahan. "Pada musim pertama kesemua pelawak mengikut semua peraturan dengan baik dan saya berharap untuk musim terbaru ini mereka akan mengekalkan perkara itu," jelasnya. Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, untuk musim terbaru ini, pihak IB akan menambah dua persembahan siang pada 29 dan 30 September yang bermula pada pukul 3 petang dan penambahan itu adalah sebagai menghargai sokongan penonton. Harga tiket adalah RM193, RM173, RM123, RM83 dan RM43 manakala harga persembahan petang pula adalah RM123, RM83, RM73, RM53 dan RM33. Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ticket2u.biz atau menghubungi 03-4147 8600. |
Konsert Kemuncak Suria FM Kembali 29 September Ini Posted: 11 Sep 2012 07:12 PM PDT KUALA LUMPUR: Stesen radio Suria FM bakal mengadakan konsert Kemuncak Suria FM pada 29 September ini. Menurut pembantu pengurus program Borhanuddin Abdullah, konsert tahunan itu akan menjanjikan kelainan dengan konsep ceria berbanding konsert tahun-tahun sebelumnya. "Tahun ini pihak kami mahu konsert Kemuncak Suria FM lebih ceria di mana penyampai radio akan digandingkan dengan pelawak-pelawak popular tempatan. "Malah kami akan tampilkan seramai 14 orang penyanyi popular menghiburkan penonton-penonton yang hadir," katanya yang ditemui pada majlis rumah terbuka stesen radio tersebut di Restoran Sri Melayu di sini, Selasa. "Menarik lagi konsert ini akan bermula dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam. "Pada siang hari, beberapa aktiviti menerusi mini karnival turut diadakan bagi memeriahkan lagi acara ini," ujarnya. Sebelum hari konsert tersebut, siri jelajah 'Suria FM Rancak Tour' akan diadakan di empat lokasi iaitu Taiping Sentral, Perak (15 September), Kuantan Parade, Pahang (16 September), Kluang Mall (22 September) dan Metro Kajang (23 September). Sementara itu, pada majlis rumah terbuka Suria FM berlangsung, seramai 500 pendengar terpilih diraikan dengan persembahan barisan artis seperti Amanda Imani, Black, Azlan The Typewritter, Daniel Lee dan Aliff Aziz. |
Posted: 11 Sep 2012 07:10 PM PDT HILANG...Zainab menunjukkan gambar Harun dan tunangnya. KANGAR: Seorang ibu langsung tidak menyangka bahawa kata-kata anak bongsunya agar tidak mengedarkan kad perkahwinan dengan pasangannya, Nur Mazera Mansor, 22, sebenarnya membawa makna dia ingin melarikan diri. Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan, Harun Aris, 24, yang membantu perniagaan keluarganya dikatakan menghilangkan diri bersama seorang wanita berstatus janda berusia 40-an yang baru dikenalinya sejak sebulan lalu. |
Posted: 11 Sep 2012 07:05 PM PDT TIADA KESAN...siapa saja tidak suka dileteri termasuk anak-anak. PERNAHKAH anda didatangi seorang jurujual yang gigih dan peramah dalam usaha menjual barangannya? Jika ya, pasti ada yang meminta supaya jurujual itu pergi tambahan pula sekiranya anda sedang makan. Bagi mereka yang memberi ruang untuk mendengar, masa diberikan tidak sampai lima minit mungkin kerana bosan atau tidak berminat dengan ayat dikeluarkan jurujual itu. Ada pula yang berceloteh tidak henti-henti dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan sesiapa saja mengenai kualiti produk yang dibawa mereka sambil memberikan pelbagai sebab orang ramai mesti membelinya dengan kadar segera. Namun kesannya agak bertentangan. Ini kerana ketika timbul minat untuk memiliki produk yang dikatakan 'berkualiti' itu celotehnya yang panjang lebar membuatkan sesiapa juga mulai bosan. Apatah lagi bagi jurujual yang sering mengulangi kata-kata yang sama.
|
Udang galah pemanis mi bandung Posted: 11 Sep 2012 07:04 PM PDT MI gulung BILA sebut udang galah, terbayang kenikmatan menghabiskan nasi putih yang panas bersama lauk udang galah masak lemak cili api mahupun sambal. Namun Restoran Bisik-Bisik menyuntik kelainan apabila menggabungkan udang galah bersama masakan terkenal dari Muar iaitu mi bandung. Gabungan yang janggal tetapi ternyata memberikan kenangan manis kepada pelanggan semanis rasa kuah mi bandung dek kerana kesegaran udang galah yang datang dari sungai di Sabah itu. Ujar pemilik restoran yang terletak di Shah Alam, Norhaliza Md. Yusop, 29, resipi mi bandungnya adalah asli dari kampungnya, Muar, tetapi diolah sedikit dengan menambah udang galah bagi memberikan pengalaman luar biasa menikmatinya. "Rencahnya masih sama dan asli dari Muar. Udang kering, cili, bawang serta bahan lain dijadikan pes lalu dimasak bersama air rebusan daging yang kemudian turut ditambah udang galah yang memberikan rasa manis pada kuahnya. "Udang galah yang menggantikan daging dalam resipi asal didapatkan dari Sabah kerana ia lebih besar dan segar berbanding udang galah di sini yang dibela. "Udang galah turut digunakan dalam resipi tom yam kami yang memberikan rasa istimewa kepada sesiapa yang menikmatinya," ujar Norhaliza yang menyediakan sendiri mi bandung resipi keluarganya di Muar setiap hari bagi menjaga rasanya. Restoran Bisik-Bisik turut mengangkat beberapa hidangan istimewa lain dari selatan seperti asam pedas daging tetel dari Melaka dan mi gulung yang terkenal di Batu Pahat, Johor. Terangnya, asam pedas tersebut resipi yang diperturunkan oleh ibunya yang juga orang Melaka dengan mengekalkan keaslian terutamanya pada kepekatan kuahnya serta penggunaan daun limau purut yang mengeluarkan aroma menyelerakan. Daging tetel yang merupakan campuran daging cincang digunakan bagi memberikan pengalaman baru kepada pemburu asam pedas sekitar Lembah Klang yang sudah bosan dengan penggunaan ikan di dalamnya. Jangan lupa memesan mi gulung kerana ia jarang ditemui di restoran-restoran di sini. Rasa pedas dan manis pada mi gulung yang dibalut dengan telur lalu dituang sos ayam lada hitam pasti membuatkan anda mahu berkunjung sekali lagi ke restoran tersebut. |
Ciclista bertaraf antarabangsa Posted: 11 Sep 2012 07:03 PM PDT Shahirudeen Seeni Mohamad bersama pakaian jenama Ciclista di kedainya di Shah Alam, Selangor. BUAT peminat sukan berbasikal, jenama Ciclista pastinya tidak asing lagi kerana ia sering dilihat dipakai pelumba bertaraf antarabangsa dan amatur. Melihat pakaiannya sahaja sudah memadai untuk mengetahui jenama ini ditempah khas untuk sukan berbasikal dan kualitinya setanding dengan jenama luar negara. Jenama ini sesuai dipakai tidak kira apa jua jenis basikal yang digunakan sama ada dari jenis basikal bukit (MTB), fixie, triathlon dan sebagainya. Malah fabriknya amat bersesuaian dengan apa jenis cuaca dan basikal yang digunakan serta dihasilkan dalam pelbagai saiz. Ciclista dalam bahasa Itali bermakna basikal. Melihat nama pada pakaian ini sudah tentu ia memberi fokus kepada jersi-jersi lengkap bersama aksesori sukan berbasikal. Bekas Pelumba Negeri Perlis dan Pengarah Eksekutif Ciclista, Shahirudeen Seeni Mohamad, berkata, sehingga kini jenama Ciclista telah menerima tempahan daripada hampir 350 kelab basikal tempatan dan luar negara. "Kami juga mendapat tempahan dari kelab basikal luar negara seperti Singapura, Indonesia, Australia, Ireland dan sebuah kelab basikal Dublin EuroSpace," jelasnya ketika ditemui di Butik Ciclista yang terletak di No. 22-G, Jalan Opera B U2/B, TTDI Jaya, Seksyen U2, Shah Alam, Selangor. Katanya, pakaian daripada jenama itu dihasilkan menggunakan bahan-bahan serap peluh dari jenis kain polister. "Kami menawarkan dua jenis kain polister iaitu yang berkain lembut dan yang satu lagi berlubang bagi memudahkan pengudaraan manakala seluar pula kami menawarkan dari jenis kain lycra dan spendex. "Dari segi saiz pula, kami menyediakan saiz dari XS hingga ke XXL dan ia sesuai dipakai kanak-kanak berusia tiga tahun hingga orang dewasa berusia 50 tahun," katanya. Menurutnya, idea penghasilan baju jenama Ciclista bermula daripada hobi berbasikal sekadar suka-suka ketika menyertai Bukit Jelutong Cycling Club (BJCC). Peluang itu dilihat sebagai satu platform terbaik dalam aspek pemasaran bagi jenama jersi basikal Ciclista ke tahap yang lebih tinggi. "Secara kebetulan saya berpeluang melawat ke kilang fabrik di China dan ia memudahkan kami untuk mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. "Selepas pulang ke tanah air, saya dan rakan kongsi (Cheah Seng Ho) telah menghasilkan beberapa helai jersi untuk digunakan oleh ahli kelab basikal kami. "Bermula dari saat itu, tiba-tiba sambutan datang luar jangkaan dan banyak pula kelab basikal lain datang bertanyakan di mana kami menghasilkan baju tersebut. "Sejak dari itu, kami mula menubuhkan sebuah syarikat penghasilan pakaian sukan berbasikal dan beroperasi secara komersial," ujarnya. Bermula dengan modal RM150,000, Ciclista mula beroperasi sehingga kini dan diharapkan dengan adanya butik pakaian tersebut jenama Ciclista mudah dibeli pelanggan. "Sebelum ini kami hanya bergerak secara kecil-kecilan secara tempahan berkumpulan (minimum 10 jersi) dan syukur sambutan yang diberikan amat menggalakkan sehingga membolehkan kami membuka sebuah butik. "Kebetulan juga kawan-kawan sezaman dahulu kini kebanyakannya bertugas sebagai jurulatih kelab-kelab basikal taman dan negeri seperti Perlis, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak. "Secara tidak langsung mereka banyak membantu kami dalam usaha untuk mempromosikan jenama Ciclista," jelasnya. Setiap jersi tulen keluaran Ciclista mempunyai imej korporat yang lebih baik seperti plastik beserta logo, tag baju dan bib serta getah grip pada bawah jersi dan bib dengan logo yang sama. Selain pakaian jenis jersi, Ciclista turut menawarkan rekaan jenis baju T yang sama rekaan dengan jersi berbasikal. "Baju T ini sesuai dipakai sebelum dan selepas aktiviti atau perlumbaan basikal. Ia bukan sahaja kelihatan lebih sepadu dalam sesebuah kelab malah pada masa yang sama anda bakal tampil lebih bergaya. "Apa yang menarik , untuk semua rekaan, pelanggan bebas menempah sebanyak warna yang mereka mahu tanpa had dan caj tambahan kerana harga yang diberikan telah ditetapkan," katanya. Untuk jersi basikal, Ciclista tampil dengan tiga gred jersi iaitu Gold (RM300), Silver A (RM 270) dan Silver B (RM190) mengikut bajet pelanggan. Bahan yang berbeza dapat dirasai apabila pelanggan menyentuh kain tersebut kerana untuk jersi Gold ia diperkukuhkan lagi dengan bahan berciri pelindung lembayung ungu (UV). Bagi penempahan, pelanggan hanya perlu menghasilkan logo kelab masing-masing terlebih dahulu sebelum ia direka. Setelah siap, pelanggan akan menerima e-mel untuk mereka meneliti corak reka bentuk jersi yang bakal dihasilkan. Selain rekaan yang menarik, kualiti baju jenama ini juga sentiasa dikawal dan dalam meluaskan lagi penghasilan produk-produk baharu seperti jaket hujan, botol air, kemeja dan bermacam barangan lain. Dalam perancangan terdekat ini, Ciclista bakal menghasilkan kasut dan topi keselamatan menggunakan jenama berkenaan. Selaku Pengurus Pasukan Berbasikal Paralimpik Malaysia, Shahirudeen berbangga dengan pasukannya kerana berjaya melayakkan diri ke Sukan Olympik, London pada tahun ini. "Ini merupakan kali pertama pasukan basikal orang kelainan upaya (OKU) dari Malaysia mewakili negara ke temasya sukan dunia. "Peluang ini membolehkan mereka menimba pengalaman di negara orang dan mengharumkan nama negara," ujarnya. |
Posted: 11 Sep 2012 07:02 PM PDT Perarakan kereta kerbau berhias menjadi tarikan para pelancong sempena Pesta Babulang. GEDEBUK! Seorang pelumba berusia lewat 20-an jatuh tergolek di atas padang berdebu apabila kerbau yang ditunggangnya gagal dikawal dan mula berpusing tidak tentu arah. Lelaki itu enggan mengalah. Dia cepat-cepat memanjat semula ke atas belakang kerbaunya sebelum tercampak sekali lagi sebaik sahaja haiwan ternakan itu berpusing-pusing sambil melompat-lompat. Sementara itu, seorang peserta veteran pula kelihatan marah-marah. Saya kurang pasti apa yang diperkatakan kerana dia bercakap dalam loghat Bisaya yang pekat. Apa yang pasti, peserta lain sudah jauh di hadapan sedangkan lelaki tersebut masih berada di garisan permulaan kerana kerbau miliknya langsung tidak mahu berganjak. Dia terpaksa turun dan cuba menggerakkan kerbau itu dengan menepuk-nepuk belakang pinggul haiwan berkenaan. Tanpa disangka-sangka, sang kerbau dengan selamba membuang najis sehingga hampir terkena kaki tuannya yang masih tidak henti-henti berleter. Gelagat mereka sememangnya mencuit hati sehingga mengundang tawa para penonton. Seketika kemudian, keadaan bertukar kecoh apabila beberapa penonton yang bersorak di tepi padang bertempiaran lari gara-gara seekor kerbau tiba-tiba menerpa ke arah mereka. Bayangkan kerbau jantan bertanduk panjang melengkung dan bersaiz besar dengan berat mencecah 700 kilogram meluru ke arah mereka. Sesiapa pun pasti kecut perut! Mujurlah pemiliknya dan beberapa petugas perlumbaan bertindak pantas mengawal dan menenangkan kerbau jantan berkenaan. Itu antara secebis pengalaman ketika bersama lebih 1,000 pengunjung menyaksikan pertandingan lumba kerbau di Limbang, Sarawak baru-baru ini. Bertempat di Batu Danau, kira-kira 45 minit dari bandar Limbang, pertandingan itu merupakan acara kemuncak Pesta Babulang yang berlangsung selama tiga hari . Pengerusi Acara Lumba Kerbau, Kamis Apong berkata, ia merupakan aktiviti santai golongan lelaki yang diwarisi sejak turun temurun khususnya etnik Bisaya di wilayah utara Sarawak. Katanya, aktiviti tersebut tidak pernah luput ditelan zaman kerana terus diamalkan penduduk baik generasi muda mahu pun yang tua. "Dulu, bermain dengan kerbau adalah sebahagian daripada hiburan penduduk yang rata-ratanya adalah petani. "Mengikut nenek moyang saya, orang lelaki ketika itu sering berlumba kerbau sesama sendiri untuk membuktikan kehebatan masing-masing. "Pemuda yang menjadi juara lumba kerbau boleh diibaratkan seperti artis. Popularitinya meningkat mendadak serta menjadi rebutan ramai anak gadis tempatan," ujarnya. Memandangkan ia hanya dilakukan secara kecil-kecilan di kampung-kampung, aktiviti tersebut kurang diketahui masyarakat luar. Pada 2004, Pesta Babulang diadakan buat julung-julung kalinya oleh Persatuan Bisaya Sarawak bagi menonjolkan keunikan warisan seni dan budaya etnik Bisaya di Limbang dengan pertandingan lumba kerbau dipilih sebagai acara kemuncak. Pilihan itu ternyata tepat apabila ia mula menjadi buah mulut orang ramai sehingga berjaya menarik kehadiran pelancong dari luar Limbang. Kamis yang juga Ketua Kampung Ulu Meresam memberitahu, beberapa peraturan ditetapkan bagi memastikan perlumbaan berjalan lancar. "Setiap pelumba tidak boleh memasang sebarang pelana atau peralatan tambahan pada kerbau tunggangan masing-masing. "Mereka hanya dibenarkan menggunakan tali untuk mengawal kerbau. "Selain itu, mana-mana kerbau yang berhenti terlalu lama, menyimpang dari haluan asal atau gagal dikawal sehingga membahayakan orang ramai akan dibatalkan penyertaan," katanya. Antara peraturan lain termasuklah bilangan pelumba dan kategori yang sering berubah untuk disesuaikan dengan situasi semasa. Kali ini, kategori dipertandingkan adalah Kategori Bisaya dan Kategori Terbuka satu pusingan, kategori Bisaya dan Terbuka dua pusingan serta kategori Juara Antara Juara yang memerlukan setiap peserta menghabiskan tiga pusingan. Tambah Kamis, satu lagi syarat terpenting yang tidak boleh diabaikan adalah hanya kerbau jantan dibenarkan bertanding. Malah katanya, kerbau betina dilarang sama sekali berada berdekatan dengan kawasan perlumbaan. "Pada mulanya, kami memandang ringan perkara ini sehinggalah satu insiden berlaku beberapa tahun lalu. "Semua kerbau jantan yang menyertai perlumbangan menjadi tidak tentu arah secara tiba-tiba. Semua gagal dikawal. "Rupa-rupanya seorang peserta membawa seekor kerbau betina. Kehadirannya membuatkan semua kerbau jantan resah," katanya sambil ketawa. |
Posted: 11 Sep 2012 07:01 PM PDT WAJAHNYA mesra lensa dan gayanya juga ternyata tidak kekok apabila berdepan dengan kamera. Namun, pemilik nama Farah Shasheera Rosli ini menyatakan dia tidak mahu mengejar kerjaya glamor sedemikian walaupun peluang ada di depan mata. Sekadar menjadikan bidang peragaan sebagai kerjaya sampingan, dia yang mesra digelar Sheera, tetap mengutamakan kerja tetap. Sheera yang bakal mencecah usia 25 tahun pada November ini ialah pegawai eksekutif perniagaan di sebuah syarikat swasta. "Dunia peragaan memang menyeronokkan tetapi saya memilih bidang profesional bagi jaminan masa depan. "Sekurang-kurangnya saya tidak perlu risau kerana mempunyai gaji bulanan yang tetap. "Lagipun ia lebih memberi kepuasan apabila dapat mengaplikasikan apa yang kita pelajari ketika di universiti," ujarnya yang kini menyambung pelajaran peringkat sarjana dalam bidang pengurusan projek secara sambilan. Menariknya, wanita kecil molek ini juga pandai bermain gitar dan menyanyi. Namun alasannya tetap sama. dia tidak mahu terjebak dalam bidang nyanyian kerana hendak melakukan sesuatu yang pasti dalam hidupnya. Mendaki tangga Walaupun saiz badannya sememangnya kecil, Sheera tetap mengutamakan penjagaan kesihatan sejak dari awal. Akuinya, kerjaya di ibu kota ini membuatkan dia sering tidak cukup masa untuk bersenam seperti berjoging kerana masa lebih banyak habis di dalam kereta akibat kesesakan lalu lintas. Sebagai ganti, dia menjalani gaya hidup sihat dengan menggantikan masa yang telah 'dicuri'. Contohnya, dia akan cuba menaiki tangga ketika berjalan-jalan di pusat beli-belah dengan mengelak lif bagi mengekalkan kecergasan. Selain itu, dia mengamalkan rawatan wajah lengkap produk Nano V Skincare kerana percaya dengan rumusan emas di dalamnya yang membekalkan kolagen untuk kulit dan bersifat antioksida. "Produk yang diperbuat daripada hablur emas tulen amat sesuai terutamanya untuk kita yang terdedah dengan pencemaran kota kerana ia mampu menyingkirkan toksin di dalam kulit serta melancarkan peredaran darah," ujarnya yang gemar membaca buku-buku motivasi. |
Posted: 11 Sep 2012 07:00 PM PDT AMRUL menunjukkan almari kaca yang disediakan khas untuk mempamerkan koleksinya. ALMARI kaca besar yang diletakkan di hadapan ruang makan rumah milik Amrul Ahmad ini menangkap mata penulis sebaik saja memasuki kediamannya di Bandar Seri Putra, Bangi itu. Kagum menyaksikan kesungguhan Amrul dalam memelihara koleksi miliknya terutama gelas jenama minuman dengan menyediakan almari yang ditempah khas lengkap dengan lampu sorot bagaikan berada di muzium. Cerita Amrul, dia rasa puas melihat koleksi kesayangannya itu tambahan apabila ia disusun atur dengan kemas sebegitu. "Saya dan isteri sengaja meletakkan almari tersebut di hadapan meja makan kerana setelah seharian penat di tempat kerja, hilang tekanan apabila makan sambil melihat koleksi kesayangan kami. "Lagipun, gelas kaca lebih menyerlah apabila diletakkan di dalam kabinet kaca yang berlampu kerana ia menyerlahkan lagi kilauan kaca walaupun ia sudah berusia. "Idea membina almari ini muncul apabila melawat muzium yang terletak di Cameron Highland," ujarnya yang turut gemar mengumpul barangan tembaga dan set pinggan mangkuk lama. Menurut Amrul, dia sudah lama suka memburu barang antik bersama isterinya, Roszana Abdul Salam tetapi tertarik untuk menjadikan gelas jenama minuman sebagai koleksinya selepas menjejakkan kaki ke Amcorp Mall, Petaling Jaya, pertama kalinya pada 2009. KenanganEmpat biji gelas jenama F&N keluaran 1950-an menarik minatnya kerana terkenangkan gelas yang pernah dilihatnya sewaktu kecil ketika bapanya membuka kedai makan. Tanpa berlengah, dia terus membelinya dan sejak itu matanya sentiasa meliar mencari gelas jenama minuman setiap kali dia ke lokasi yang menjual barangan antik seperti Amcorp Mall, Anggerik Mall, Shah Alam dan Loken, Ipoh. Kesungguhannya memburu gelas-gelas tersebut membuatkan dia kini memiliki lebih 150 biji gelas jenama minuman yang terdiri daripada pelbagai jenama seperti F&N, Sprite, Pepsi dan pelbagai lagi. "Jika diperhatikan, gelas lama ini lebih kualiti buatannya kerana kacanya lebih tebal. "Malah mengagumkan apabila cop jenama minuman yang tertera pada gelas tersebut masih ada dan sukar dikikis berbanding gelas sekarang," ujarnya sambil membelek-belek koleksinya itu. Tambahnya, kesukaran mendapatkan koleksi gelas jenama minuman berbanding barangan kaca lain membuatkan dia lebih teruja memburunya. |
Posted: 11 Sep 2012 06:58 PM PDT Proses karya Muid bermula dengan penyelidikan kandungan, kemudian melakar menggunakan pen penanda atau pensil dan buku lakar. Mungkin tidak ramai mengenali Muid Latif tetapi karya seninya banyak berlegar bukan saja di sekeliling kita bahkan hingga ke luar negara dalam seni digital. Kalangan peminat seni digital, siapa yang tidak pernah melihat laman web Puteri Gunung Ledang, menonton animasi Saladin, muka depan album penyanyi tempatan seperti Atilia Haron atau menggenggam karyanya dalam sarung telefon pintar Blackberry atau Samsung - popmycase. Sebenarnya jejaka kelahiran Kuala Lumpur, berusia 33 tahun lulusan Seni Halus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini banyak membantu menyumbangkan idea kreatif bagi kempen atas talian. Antaranya Maxis Hotlink, Pusat Petrosains dan Toyota, malah Microsoft Singapura pernah menggunakan khidmatnya. Anak pasangan tentera dan polis ini meminati bidang seni sebelum ke bangku sekolah lagi. "Ketika itu saya mula mengumpul kertas dan kadbod lalu 'menukarnya' kepada robot atau apa saja barang permainan," katanya semasa ditemui di tempat lepaknya - Urban Village Bangsar. Di zaman remaja, selepas mengenali permainan komputer seperti Quake, Muid berjinak-jinak dengan perisian Photoshop untuk mendalami seni digital. "Ketika itu saya amat teruja untuk mengetahui bagaimana grafik dicipta dan digunakan," katanya. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di UiTM sehingga 2001. Di sana, beliau mendapat didikan daripada seniman dan karyawan seni digital seperti Ramlan Abdullah dan Jailani Abu Hassan. "Saya juga mendapat pendedahan seni elektronik daripada seniman seni digital lebih senior seperti Hasnul Jamal Saidon, kini Pengarah Galeri Seni dan Muzium Tunku Fauziah juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM). "Ketika itu saya guna komputer untuk berinteraksi dan bereksperimen secara digital dan gunakan media campuran," katanya. Pengasas Tidak lengkap rasanya bercerita tentang obsesinya itu jika meninggalkan nama pengasas seni komputer negara Allahyarham Ismail Zain yang bertanggungjawab memperkenalkan seni digital pada akhir 80-an. "Allahyarham Ismail Zain ialah idola saya," kata Muid. Tamat belajar, Muid menceburi bidang rekaan dan aturcara laman web secara komersial dengan menjadi pereka laman web sejak 2002 di syarikat Webguruasia. Beliau kemudian menceburi bidang animasi bersama kumpulan praproduksi Saladin di Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) selama dua tahun bermula 2006. Muid berkata, MDeC banyak memberi peluang kepada usahawan kreatif tempatan memulakan usaha mereka dengan geran seperti Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC). "Animasi Saladin memenangi pelbagai anugerah dan pengalaman manis bersama mereka apabila tercalon dalam International Emmy 2011. "Dari situ saya banyak belajar mengenai seni digital bersama rakan artis konseptual digital," katanya. Proses karyanya bermula dengan penyelidikan kandungan, kemudian beliau akan melakar pen penanda atau pensil pada buku lakar sebelum menggunakan mesin pengimbas dan mewarnakan ilustrasi, corak serta warna menggunakan perisian Adobe Photoshop. "Selepas 13 tahun menceburi dunia kreatif, saya dipilih sebagai duta rangkaian kreatif 'Behance' yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dua tahun lalu. Di sana peranan saya adalah mengembangkan bakat kreatif, memberi nasihat dan mendidik serta memberi peluang kerjaya kepada mereka," katanya. Behance Malaysia, tambah Muid turut mengadakan pameran secara berkumpulan antaranya di PUBLIKA, Solaris Dutamas dan Galeri Shah Alam baru-baru ini. Di samping memberi ceramah kreatif di kolej, Muid juga bercadang mengadakan pameran dan memberi inspirasi kepada golongan kreatif yang baru menceburkan diri dalam bidang ini agar mereka dapat menghasilkan hasil seni digital dan grafik berkualiti serta menjadi usahawan kreatif berjaya. |
Posted: 11 Sep 2012 06:56 PM PDT WALAUPUN Hari Raya hampir ke penghujungnya, panas dalam dada ini masih belum reda lagi. Semakin difikirkan semakin terbakar hati ini. Segalanya berlaku semasa kami balik kampung beraya baru-baru ini. Sebenarnya ini bukan kali pertama, tahun lepas pun demikian juga,'' demikian cerita Nor Najwa dalam e-melnya. ''Berumur dekat 40 tahun, sudah empat tahun saya jadi ibu tunggal kepada tiga anak yang sudah bersekolah. ''Saya kahwin dalam usia agak muda. Jodoh saya rakan sekampung yang tiga tahun lebih tua. Bercinta memang lama, sampaikan emak bapa susah hati kerana jadi buah mulut orang kampung. Puncanya JJ selalu bertandang ke rumah, semakin ditegah semakin galak dia datang, alasannya ajak adik main bola, memancinglah dan macam-macam lagi. Tapi sebenarnya dia nak tengok muka saya. ''Akhirnya kami ditunangkan sebab emak bapa JJ pun naik malu bila jiran tetangga selalu bertanya. Bila dah bertunang semakin kerap JJ ke rumah. Namun segalanya terhenti bila masing-masing dapat kerja di bandar. Saya dapat kerja kerajaan dan JJ kerja dengan swasta. ''Walaupun pendapatan tak seberapa, tetapi saya simpan sedikit untuk buat belanja kahwin. Sebab emak cakap dia tak suka saya bertunang lama, saya berusaha menabung supaya kami segera kahwin. ''Bila JJ kata dia tak cukup duit, saya bantu setakat mampu untuk buat hantaran. Saya juga bersyukur emak JJ berusaha satukan kami segera. ''Selepas kahwin, kami menyewa di bandar di negeri kami jugalah. Hidup kami awalnya aman bahagia, walaupun tak ada kereta dan tak semewah orang lain. Kami bersyukur tak berhutang. ''Tetapi setelah mempunyai dua orang anak, JJ yang bercita-cita besar tak mahu lagi makan gaji. Katanya kalau makan gaji habis bulan habislah duit. Dia nak cuba jadi kontraktor mana tahu boleh hidup senang macam abang Karim sepupunya. ''Walaupun saya nasihatkan tetapi JJ tetap dengan niatnya. Berkat kerja kerasnya, pertolongan kawan-kawan dan abang Karim, JJ mencapai apa yang dihajatinya. Tetapi biasalah orang berniaga, dia sibuk kerja siang malam dan sering ke luar daerah. ''Awalnya nak mulakan perniagaan, saya terpaksa pinjam bank sebab JJ minta tolong bantu. JJ janji tidak akan lupakan jasa saya dan lebih penting akan bayar balik pinjaman. Saya yakin. ''Hampir setahun juga saya menderita bila kerja dah siap tapi terlewat dapat bayaran. Namun saya bersyukur emak bapa saya turut bantu. Bila dapat bayaran projek barulah saya lapang sikit, sebab JJ beri duit untuk bayar bank. Masa itu perniagaan merangkak tapi JJ rajin berusaha. Itu yang buat saya percaya dan saya buat pinjaman tambahan atas permintaannya. ''Untuk buat pinjaman kedua, saya minta JJ jelaskan dulu pinjaman pertama. Lega bila JJ dengar nasihat. "Namun bila bisnes dah maju sikit, suara JJ mula meninggi. JJ bukan JJ yang saya kenal dahulu. Ketiak mula mengepak, hidung semakin kembang, hati mula tak jujur. Penampilannya banyak berubah. Berbeza dari dulu. ''Dipendekkan cerita, setelah beberapa tahun perubahan JJ disedari oleh saudara mara kami. Maklum dulu motor buruk dah pakai kereta, lepas tu dua tiga kali tukar kereta, terbaru pikap kemegahannya sebagai kontraktor. ''Oleh kerana saya tak mahu dia lupa anak bini, saya tegur JJ. Niat saya supaya dia cepat sedar diri. ''Tapi dalam diam, JJ rupanya sudah terikat dengan ibu tunggal yang sering membantu uruskan bisnesnya. Tanpa selindung dia minta saya terima kekasihnya jadi isteri keduanya. Katanya itu semua untuk masa depan kami sebab wanita itu banyak membantunya. Habis, saya tak bantu? ''Apa pun alasan JJ saya tak mahu bermadu. Sejak itu rumah tangga kami berantakan. Perang sentiasa meletus. JJ lari nikah ke Siam. Kerana saya bantah, saya diceraikan. JJ tak mahu korbankan perniagaan yang sedang meningkat. Dia lebih rela berpisah dengan kami anak beranak. ''Janji beri nafkah anak-anak cuma tinggal di bibir sahaja. Awalnya memang dia bagi setiap bulan, lepas setahun, sebulan bagi lagi dua bulan terlupa. Alasannya tak ada duit sebab syarikatnya kena bayar hutang bank. ''Bila saya bising, dia suruh saya buat pilihan nak nafkah ke atau bayar hutang bank yang saya pinjam. Dia lupa dua-dua tanggungjawab dia. Nafkah anak wajib, sementara hutang bank dia yang suruh saya pinjam untuk dia buat bisnes. ''Yang menyakitkan hati, nafkah anak dia tak mahu bayar, tapi dua anak tirinya dia boleh tanggung. ''Raya dua tahun lepas anak-anak pergi beraya rumah emak JJ, saya pakaikan baju raya, tak ada duit pun pasal anak-anak saya dulukan. Tapi nenek mereka puji JJ kerana beri nafkah walaupun sudah bercerai. Sedangkan JJ sesekali beri nafkah. ''Cerita raya tahun lepas lain pula. Saya tak beri anak-anak pakai baju raya, pakai baju biasa, nenek mereka komen, ''tak beli baju raya ke? Habis nafkah ayah kamu bagi emak kamu buat apa? Lain kali biar ayah kamu belikan baju tak payah bagi duit?'' Sakitnya hati. Ceritanya tak sudah di situ satu kampung bercerita. ''Tahun ini sebelum raya saya suruh anak-anak ke rumah nenek mereka minta belikan baju raya, kalau nenek tanya mengapa, ceritakan ayah tak bagi nafkah. Anak sulung dan kedua malu dan takut nak cakap, tapi yang kecil bukan saja berani tapi dengan muka 10 sen minta duit pada nenek belikan kasut sekolah sebab yang ada dah buruk. ''Mereka terkejut dengar cerita anak saya, tapi tetap tak belikan baju raya. Pengajaran yang saya cuba tunjukkan, jangan banyak cakap, nasihatkan anak dulu sebelum kutuk bekas menantu. Sepatutnya jadi tanggungjawab datuk nenek juga ibu dan ayah saudara bantu anak saudara, bukan menghina mereka. Nasihatkan JJ bagi nafkah anak-anak itu wajib, walaupun lepas kahwin baru. Bukannya mengumpat bekas menantu. ''Saya kecewa JJ dan keluarganya langsung tak pedulikan anak-anak saya, darah daging mereka. Sedihnya mereka anggap anak-anak saya macam budak-budak datang minta duit raya. Sakitnya hati ini! ''JJ ingatlah anak-anak ada hak mereka juga. Rezeki yang ada bila-bila masa Allah boleh tarik. Ingatlah sesal kemudian tak ada gunanya,'' keluh Nor Najwa mengenangkan nasibnya teraniaya dan ditinggalkan bekas suami tanpa nafkah. |
Posted: 11 Sep 2012 06:55 PM PDT Model memperagakan pakaian rekaan Wanpa. TAHUKAH anda, satu kajian telah diadakan di Amerika Syarikat (AS) dengan mengekori kehidupan 700 orang graduan. Selepas 10 tahun, keputusan menunjukkan graduan yang mempunyai penampilan imej lebih baik memperoleh gaji yang lebih tinggi dan lebih banyak mendapat promosi untuk kenaikan pangkat. Jelaslah betapa imej dapat mempengaruhi kehidupan. Sesiapa pun pasti ingin memiliki personaliti menarik dan penampilan meyakinkan. PenampilanJusteru itu, Persatuan Perunding Imej Antarabangsa ( AICI) Malaysia menganjurkan ceramah pendidikan dan peragaan fesyen untuk untuk membantu wanita memperbaiki penampilan dan menjalankan perniagaan internet. Bertempat di Restoran Zest, Bangsar South, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, AICI turut menampilkan pertunjukan fesyen kebaya Malaysia dan rekaan Wanpa. Peserta juga berpeluang mendengar pengalaman blogger Hafiz Mustapha menjana pendapatan menerusi laman web, CuteCarry.com. Paling menyeronokkan apabila mendapat tahu ada yang mendapat manfaat selepas mengikuti ceramahnya. Secara keseluruhannya, bengkel seperti ini dilihat dapat meningkatkan keterampilan, pemahaman dan kesedaran, merebut peluang dan motivasi untuk meningkatkan imej diri. |
Berintegriti didik anak bangsa Posted: 11 Sep 2012 06:54 PM PDT Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Shaari Osman (tiga kiri) bersama sebahagian daripada peserta Seminar Integriti Warga Pendidik menunjukkan simbol 1Malaysia di institut itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Bakal guru digesa supaya tidak melihat isu integriti sebagai sesuatu yang remeh sebaliknya konsep itu perlu dipertingkatkan apabila memulakan tugas sebagai pendidik kelak. Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Shaari Osman berkata, dalam usaha melonjakkan prestasi pendidikan, aspek integriti tidak dapat dipisahkan malah saling berkait rapat dalam menjana modal insan yang cemerlang. Justeru, katanya, konsep itu juga bukan sekadar dilihat dalam aspek pencegahan penyelewengan dan rasuah semata-mata malah ia meliputi keberkesanan dalam mendidik dan kebolehupayaan melaksanakan tugas mereka. "Kita ingin melihat bahawa konsep integriti ini bukan hanya dilihat sebagai usaha untuk mencegah rasuah dan sebagainya sebaliknya ia dilihat sebagai satu elemen yang mampu memberi kesan mendalam kepada bakal guru-guru di institut ini. "Pelbagai usaha yang dijalankan oleh semua pihak dengan penuh integriti, kita yakin ia mampu melonjakkan tahap pendidikan negara," katanya. Belia berkata demikian ketika berucap pada majlis Seminar Integriti Warga Pendidik IPG Kampus Ilmu Khas di kampus itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Shaari berkata, tugas menyemarakkan integriti dalam masyarakat perlu dipikul oleh semua pihak terutamanya warga pendidik. "Kita mahu melihat supaya sekolah dijadikan sebagai tempat lahirnya golongan berintegriti hasil didikan bakal-bakal guru di institut ini . Kita yakin sekiranya komitmen ini diberikan usaha ini akan mencapai matlamatnya," katanya. Beliau berkata, guru juga perlu bersedia melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan seiring keperluan semasa yang mencabar. |
Pelajar SMAP Kajang, sekolah Jepun kongsi idea sains teknologi Posted: 11 Sep 2012 06:52 PM PDT Pelajar SMAP Kajang berinteraksi dengan delegasi dari Mukogawa Women's University High School, Jepun yang melawat sekolah itu di Kajang, Selangor baru-baru ini. Buat kali kedua berturut-turut, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang menerima kunjungan delegasi Mukogawa Women's University High School dari Hyogo, Jepun, baru-baru ini. Pengetua SMAP Kajang, Sakijan Muri berkata, jalinan yang mula terbentuk pada tahun lalu itu menjurus kepada perkongsian pintar tentang sains serta teknologi melibatkan kedua-dua institusi dari Malaysia dan Jepun. "Melalui program seperti ini, pelajar kedua-dua negara juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta berinteraksi menggunakan bahasa Jepun dan bahasa Inggeris," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Dalam pada itu, menurut Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Akademik, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Izzudin Ibrahim, program berkenaan diadakan sebagai aktiviti pengukuhan ko- akademik bahasa Jepun yang diajar di sekolah tersebut. "Pengalaman serta kecemerlangan sekolah Jepun itu diharap dapat dipelajari dan dijadikan contoh oleh SMAP Kajang untuk lebih cemerlang sebagai sekolah berasrama penuh bertaraf Sekolah Kluster Kecemerlangan," tegasnya. Sepanjang tempoh lawatan selama tiga hari itu, pelajar SMAP Kajang telah menyampaikan pembentangan, tayangan serta pameran sampel getah dan produk-produk daripada getah. Manakala pelajar Jepun pula membuat pembentangan tentang negara dan senario kehidupan di sekolah mereka. Selain itu, delegasi Jepun itu turut didedahkan dengan makanan tempatan, pakaian baju kurung, permainan tradisional dan demonstrasi menganyam ketupat. |
Posted: 11 Sep 2012 06:51 PM PDT SEBAHAGIAN daripada penyelidik UTHM merentasi sebatang anak sungai bagi menjalankan kajian di hutan Endau-Rompin. SERAMAI 50 peserta yang sebahagiannya terdiri daripada penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) meneroka hutan Taman Negara Endau-Rompin selama sembilan hari untuk menjalankan pelbagai kajian selain mencari dan merekod maklumat penting berkaitan hutan dan alam semulajadinya. Ekspedisi Trans Selai-Peta merupakan program anjuran pihak Perbadanan Taman Negara Johor, UTHM dan juga Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Penyelidik UTHM yang diketuai oleh Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed memulakan ekspedisi sejauh 44 kilometer bermula dari Selai, Segamat menuju ke Peta, Mersing pada 30 Jun hingga 8 Julai lalu. Ekspedisi itu dianggap antara penjelajahan paling mencabar pernah diadakan berikutan denai digunakan peserta tidak pernah digunakan sejak sepuluh tahun lalu. Selain UTHM, ekspedisi tersebut turut membabitkan penyelidik dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Universiti Putra Malaysia (UPM),Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perikanan, dan dibantu oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kakitangan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan masyarakat tempatan iaitu Orang Asli suku Orang Hulu. Menyusuri denai yang juga laluan utama gajah dan berperang dengan serangan puluhan pacat antara cabaran utama yang dihadapi oleh peserta ekspedisi ini. Perjalanan turut melalui air terjun, mendaki cerun yang curam, menuruni lembah dan meredah hujan namun semua itu tidak menghalang penyelidik melakukan tugas-tugas merekod, mengumpul dan mengkaji. Dr. Maryati berkata, ekspedisi itu bertujuan mengumpulkan bahan kajian flora dan fauna serta melakukan beberapa kajian berkaitan air merangkumi hidrologi, kualiti dan petunjuk bio. "Kajian ini memberi mengenai geologi, landskap, serangga, tumbuhan ubatan, etnoentomologi (serangga penting dalam kehidupan), kepelbagaian orkid, kulat dan perikanan. "Segala maklumat dan penemuan baru yang direkodkan semasa ekspedisi ini diharap dapat dijadikan panduan berguna dan membantu pihak-pihak tertentu untuk sebarang usaha memulihara hutan semulajadi di negara kita," katanya. Sementara itu, satu sesi pembentangan hasil kajian peringkat awal yang diperolehi pengkaji UTHM juga telah diadakan di kampus induk UTHM baru-baru ini. Dalam sesi pembentangan tersebut, Dr. Maryati berkata, kumpulan penyelidik UTHM akan meneruskan kajian masing-masing melalui sampel yang dikutip serta juga akan terus ke lapangan, bagi mengetahui biodiversiti di taman yang dianggarkan berusia 248 juta tahun ini. Hadir sama mendengarkan pembentangan tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin. |
Posted: 11 Sep 2012 06:48 PM PDT CANSELOR Kolej Universiti MAHSA, Tun Zaki Tun Azmi (kiri) bersama Pro Canselor Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican (dua dari kiri) dan Prof. Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah bersama pelajar-pelajar kolej berkenaan yang menerima Biasiswa Haji Abdullah. MAHSA akan mempunyai kampus baru di Bandar Saujana Utama yang akan dilancarkan hari ini. KUALA LUMPUR 9 Sept. - Malaysia Allied Health Science Academy College (MAHSA) melakar satu lagi sejarah dengan pelancaran kampus terbarunya di Bandar Saujana Utama dekat sini. Kampus terbaru yang bakal menempatkan bangunan fakulti, canselori, penempatan untuk 15,000 pelajarnya, kemudahan sukan dan masjid itu merupakan satu daripada pelan pembangunan lima tahun MAHSA yang telah dirangka sebelum ini. "Pembinaan kampus ini merupakan tahap pertama dalam pelan perkembangan institusi ini. Bagi fasa kedua pula, MAHSA akan membina hospital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran," kata MAHSA dalam kenyataan di sini hari ini. Pelancaran kampus terbaru kolej universiti itu akan dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok. Menurut MAHSA, fasa terakhir pelan lima tahun itu pula adalah bagi membina kemudahan hotel untuk mengambil faedah populariti dan lonjakan industri pelancongan perubatan di negara ini. "Pendek kata, projek yang diusahakan MAHSA itu mengandungi beberapa sektor penting iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan dan industri perkhidmatan bagi menjana pembangunan di Selangor selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh," kata kenyataan itu. MAHSA berkata, semua usaha yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh kolej universiti itu adalah selari dengan apa yang digariskan Perdana Menteri sebelum ini bagi membangunkan sektor pendidikan negara ke arah lebih cemerlang. "Ini kerana MAHSA menyedari pendidikan adalah komponen penting bagi mencipta ekonomi negara yang berpendapatan tinggi. Maka kunci bagi memenuhi matlamat Wawasan 2020 bergantung pada pembangunan modal insan melalui aspek pendidikan," katanya. Sehubungan itu, MAHSA telah berkembang dengan jayanya dalam industri pengajian tinggi dengan menggabungkan kemahiran akademik yang cekap selain tenaga pekerja yang memiliki personaliti terbilang. |
Posted: 11 Sep 2012 06:48 PM PDT NOR Sabrina Nordin (bertudung) antara pelatih wanita pertama terpilih menyertai program Skim Jurutera, BHIC. NOR Sabrina Nordin, 24, merupakan pelatih wanita pertama terpilih menyertai program Skim Jurutera Muda atau Young Engineers Scheme (Yes) ditawarkan syarikat perkapalan, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang sebelum ini dimonopoli oleh kaum lelaki sejak diperkenalkan syarikat terbabit bermula tahun lalu. Anak sulung daripada tiga beradik pasangan suami isteri, Nordin Mohd. Noh, 51, dan Esah Abdul, 55, tidak pernah menyangka terpilih mengikuti program itu selepas menjalani beberapa peringkat ujian temuduga bersama-sama tiga calon wanita daripada 70 peserta yang ditemuduga di bawah program tersebut. ''Pada mulanya, saya hanya mahu mencuba nasib dan tidak merancang untuk menyertai program Yes namun Alhamdulilah, siapa sangka akhirnya saya jatuh cinta dengan kerjaya kejuruteraan di Boustead," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Shah Alam baru-baru ini. Sabrina kini menjawat jawatan sebagai jurutera eksekutif mekanikal BHIC yang spesifik dalam kerja-kerja penstrukturan paip selepas diserap masuk ke dalam jawatan tersebut baru-baru ini. ''Selama tujuh bulan saya mengikuti latihan di bawah program Yes di BHIC setelah menjalani pelbagai ujian temuduga selama dua bulan dan selama tempoh latihan, saya terpaksa bekerja dalam bidang yang dikuasai sepenuhnya kaum lelaki," ujarnya. Katanya, ketika menjalani latihan di BHIC, hanya dia menjadi pelatih jurutera wanita dalam kalangan 19 pelatih lelaki dan walaupun terpaksa bekerja dalam kawasan kapal serta agak lasak namun dia tidak pernah merasa dibeza-bezakan oleh rakan sekerjanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Korporat Komunikasi (BHIC), Mimi Marina Mansoor berkata, pihaknya mula memperkenalkan program itu pada tahun lalu khusus untuk graduan kejuruteraan yang berminat melibatkan diri dalam bidang perkapalan. Beliau menjelaskan, program yang ditawarkan pihaknya merangkumi pembelajaran dalam kelas dan latihan amali di limbungan kapal seperti latihan membaiki kapal, mekanikal, mereka bentuk sistem paip dan kemahiran komunikasi. ''Setakat ini, kumpulan pertama telah berjaya menamatkan kursus baru-baru ini melibatkan seramai 19 orang peserta. ''Mereka telah mengikuti latihan selama setahun dan selepas tamat kursus, mereka ditawarkan peluang pekerjaan dalam bidang operasi bersama syarikat. ''Kita mensasarkan seramai 50 orang peserta bakal menamatkan pengajian mereka menjelang September tahun depan dan selepas tahun 2013, kami bercadang untuk melatih sekurang-kurangnya 25 pelajar dalam masa setahun," katanya. BHIC merupakan sebuah syarikat perkapalan yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan membaiki kapal, kejuruteraan, maritim dan penyedia perkhidmatan pertahanan. Selain itu, menurut beliau, BHIC mempunyai kelengkapan di limbungan kapal (shipyards) yang terletak di Pulau Pinang, Lumut dan Langkawi dan terlibat secara aktif dalam bidang maritim yang memerlukan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran. |
Posted: 11 Sep 2012 06:47 PM PDT Dr. Dahlia Janan (kanan) bersama David Wray pada majlis United Kingdom Literacy Association Research Student Award 2012 di University of Roehampton, London baru-baru ini. PENSYARAH Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Dahlia Janan berjaya mengharumkan nama negara apabila diumumkan sebagai penerima anugerah tesis terbaik bidang literasi seluruh United Kingdom. Dr. Dahlia menerima anugerah itu daripada Convenor of Research of UKLA Professor Guy Merhant pada majlis Anugerah United Kingdom Literacy Association Research Student Award 2012 di London baru-baru ini. Tesis Dr.Dahlia yang memenangi anugerah itu diiktiraf apabila berjaya menghasilkan satu inovasi baharu dalam bidang kebolehbacaan iaitu menggunakan gabungan kaedah penyelidikan kuantitatif dan kualitatif untuk mengkaji bidang berkenaan. Ia juga meliputi kejayaan menghasilkan model baharu kebolehbacaan yang kini menjadi rujukan para penyelidik antarabangsa. Dr. Dahlia yang juga Ketua, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu UPSI berkata, tesis yang dihasilkan melalui model baharu kebolehbacaan yang kini menjadi rujukan para penyelidik di peringkat antarabangsa. "Bidang kepakaran dan kecenderungan di dalam bidang pedagogi dan proses bacaan dalam literasi kanak-kanak dan dewasa, kebolehbacaan dan pendekatan-pendekatan inovatif dalam meneliti kekompleksan dan kesukaran teks serta kajian bandingan proses bacaan dan literasi. "Saya sangat bersyukur dengan anugerah ini kerana ia bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi untuk universiti dan dunia pendidikan negara dan perjuangan saya masih belum selesai tetapi baru sahaja bermula. "Saya berazam untuk membayar kembali segala jasa dan sokongan daripada pihak kerajaan dan rakyat Malaysia yang telah menyediakan pelbagai kemudahan belajar sejak saya di bangku sekolah sehinggalah berjaya di peringkat Doktor Falsafah," katanya," katanya. |
Timba pengalaman hospitaliti di Australia Posted: 11 Sep 2012 06:45 PM PDT Bergambar kenangan bersama kakitangan dan pelajar dari Sekolah Pengurusan Hotel Antarabangsa Blue Mountains, Australia baru-baru ini. KEJAYAAN industri hospitaliti bukan hanya bergantung kepada infrastruktur yang selesa dan kemudahan yang lengkap, tetapi juga didorong oleh kualiti pelajarnya yang mampu bersaing di peringkat global. Sehubungan itu, Kolej Universiti Antarabangsa INTI baru-baru ini telah menghantar tiga pelajarnya bagi menjalani latihan amali di Institusi Sekolah Pengurusan Hotel Antarabangsa Blue Mountains, Australia. Mereka terdiri lnino Patero Anak Engkabi, Amelia Chew Wan Ying dan Teoh Lee Horng diberi pendedahan dengan pelbagai latihan amali serta peluang kerjaya dalam bidang hospitaliti di negara berkenaan. Program yang dibiayai sepenuhnya oleh INTI itu diadakan selama empat hari itu dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti dan sesi penerangan mengenai fungsi dan peranan setiap jabatan di institusi berkenaan. Pelajar Diploma Pengurusan Hotel Kolej INTI Cawangan Sarawak, Elnino Patero berkata, peluang yang diberikan INTI itu dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai perjalanan operasi sekolah perhotelan ini. "Saya diberi penerangan mengenai cara menguruskan hotel seperti persiapan makanan dan minuman, kaedah mengemas bilik dan bahagian penyambut tetamu. "Lawatan ini membolehkan saya memahami dengan lebih mendalam mengenai konsep kerjasama yang dipelajari di dalam kuliah selain memastikan kecemerlangan dalam perkhidmatan perhotelan," katanya. Sementara itu, Pemangku Presiden dan Dekan Eksekutif, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan & Pengurusan INTI berkata, program di Australia ini dapat membantu ketiga-tiga pelajar berkenaan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan perhotelan. "Mereka didedahkan dari bahagian menyambut tetamu, dapur, makanan dan minuman. Ini semuanya amat penting dalam melatih nereka untuk menjadi pengurus di hotel, pusat peranginan, restoran, bar atau syarikat pengurusan acara," katanya. |
UniMAP universiti pertama sedia kemudahan Internet dalam bas Posted: 11 Sep 2012 06:44 PM PDT TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mendengar penerangan daripada Saiful Bahrin Abd. Ghaffar (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Dr. Kamarudin Hussin (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran WiFi Internet Dalam Bas di Kampus Tetap Pauh Putra, Ulu Pauh, Arau, Perlis, semalam. ARAU 2 Sept. - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul sebagai universiti pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan Internet secara terus di dalam bas bagi kemudahan para pelajarnya menyediakan tugasan. Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, projek perintis kemudahan perkhidmatan portable - WiFi Internet itu adalah kerjasama di antara UniMAP Holdings Sdn. Bhd. dengan Celcom Axiata Berhad. Beliau berkata, sebanyak 17 buah bas milik UniMAP kini dilengkapi dengan kemudahan itu. ''UniMAP berharap dengan perkhidmatan yang disediakan, ia akan memberikan manfaat yang cukup besar kepada pelajar UniMAP kerana ia boleh digunakan ketika dalam perjalanan berulang-alik dari asrama ke kampus setiap hari," katanya semasa berucap pada majlis Program Taklimat Waris Ambilan Pelajar Sesi 2012/2013 di Kampus Tetap Pauh Putra, di sini hari ini. Berkenan hadir ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP. Turut hadir Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Pengarah Pemasaran Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abd. Ghaffar. Tuanku Syed Faizuddin juga berkenan melancarkan perkhidmatan WiFi Internet di dalam bas itu. Kamarudin berkata, sempena dengan usia Sedekad Gemilang UniMAP juga telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila sebanyak 2,581 pelajar ditawarkan mengikuti program pengajian peringkat Ijazah. ''Lebih bermakna lagi apabila pada sesi pengambilan kali ini UniMAP menerima kehadiran pelajar perintis untuk empat program Kejuruteraan Teknologi," katanya. Tambahnya, turut mendaftar pada hari ini termasuk 104 pelajar antarabangsa yang mengikuti program ijazah Sarjana Muda dan 110 pelajar lagi mengikuti program ''International English Course''. Katanya, pada Jun lalu juga UniMAP mula menawarkan pengajian peringkat diploma dengan kemasukan 431 pelajar. ''Secara keseluruhannya dengan jumlah pelajar yang mendaftar hari ini maka UniMAP memiliki tambahan sebanyak 3,226 orang dan menjadikan jumlah keseluruhan pelajaran UniMAP kini melebihi 9,005 orang," katanya. |
Anak Terengganu pertama ditawar Ph.D ke Oxford Posted: 11 Sep 2012 06:42 PM PDT KUALA TERENGGANU 1 Sept. - Pelajar cemerlang yang sedang menuntut di Universiti Oxford, United Kingdom, Mohd. Firdaus Samsudin (gambar), 24, sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul anak negeri pertama ditawarkan mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) di universiti paling berprestij di dunia itu. Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu akan memulakan pengajian peringkat Ph.D bermula bulan ini. Kejayaan anak kepada seorang pesara kerajaan itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu, Razali Mahmud, di sini hari ini. Menurut Razali, Mohd. Firdaus mendapat tawaran itu berdasarkan keputusan cemerlang yang diperolehi melalui tugasan kajian serta penyelidikan yang dijalankannya pada awal pengajian peringkat sarjana. "Kita percaya kejayaan Mohd. Firdaus menyambung pengajian ke peringkat Ph.D dalam masa begitu singkat menjadikannya anak Terengganu pertama menerima tawaran itu di Universiti Oxford itu," katanya. Beliau seterusnya berharap, kecemerlangan yang diraih pelajar berkenaan bukan sahaja membanggakan seluruh rakyat negeri ini malah akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan serupa. Mohd. Firdaus, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini sebelum ini berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membolehkannya merangkul anugerah Pelajar Cemerlang SPM Peringkat Kebangsaan 2005. Pelajar itu kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang bioteknologi di Imperial College London selama tiga tahun dan berjaya mencapai keputusan kelas pertama. Selepas itu, dia mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat sarjana selama dua tahun dalam bidang biokimia di Universiti Oxford hujung tahun lalu atas tajaan Yayasan Terengganu sebelum terus ditawarkan ke peringkat Ph.D di universiti yang sama. |
Posted: 11 Sep 2012 06:40 PM PDT Sandy Lee menunjukkan projektor baru yang dilancarkan Canon di Kuala Lumpur, baru-baru ini DALAM masa kewujudan banyak peralatan pengimejan di pasaran, Canon meningkatkan pengalaman pengguna dalam mengadakan pembentangan, perkongsian maklumat dalam persidangan dan penayangan filem di rumah dengan pelancaran siri produk multimedia terbarunya. Sebagai peneraju dalam pengimejan digital, Canon menggunakan kepakarannya dalam memperkenalkan pelbagai projektor yang sesuai untuk mana-mana gaya hidup dan keperluan tayangan kepada pelanggan. Pengurus Pemasaran Kanan, Pencetak Laser dan Projektor Canon, Sandy Lee berkata, projektor Canon LV terdiri daripada tiga siri yang berbeza iaitu Siri A dengan model LV-8227A, LV-7392A, LV-7297A dan LV-7292A sesuai untuk pengguna yang mahukan tayangan berkualiti dalam persekitaran cerah. "Siri M dengan model LV-8227M sesuai untuk kegunaan dalam pejabat kecil atau rumah pejabat dan ruang pejabat yang terhad. "Manakala Siri S model LV-7392S, LV-7297S dan LV-7292S sesuai untuk mereka yang memerlukan projektor yang mempunyai fungsi asas dengan harga berpatutan," katanya semasa sesi soal jawab di pelancaran Teknologi Projektor dan Pengimejan Terkini di Kuala Lumpur. Kesemua model, menurut Sandy adalah mudah alih disebabkan reka bentuk yang menjadikannya ideal untuk pengguna yang sentiasa bergerak. Rangkaian projektor LV juga mempunyai ciri penyelenggaraan yang diperbaharui dan disertakan dengan pengiraan penapis bagi membolehkan pengguna menggantikan penapis apabila sampai masanya. "Bagi menggantikan penapis, pengguna hanya perlu membalikkan projektor, tanggalkan penapis lama dan gantikan dengan yang baru. Semuanya boleh dilakukan sendiri," katanya. Semua siri A dan M direka dengan penghubung HDMI di dalam yang membolehkan penayangan video digital berkualiti tinggi dengan mudah. Selain itu Canon juga menampilkan projektor XEED WX6000 bagi mereka yang mementingkan paparan berkualiti tinggi, pembaharuan teknologi dan prestasi diperbaharui. WX6000 adalah projektor pemasangan yang direka bagi mempertingkatkan pengalaman menonton. Ciri ini menjadikannya sesuai digunakan di dunia lebih berpengaruh seperti institusi penyelidikan, perubatan, perbadanan besar, muzium serta galeri seni. WX6000 memberikan penyambungan yang lebih baik kerana ia direka dalam pengurusan rangkaian terbina dalam dan port pelbagai yang menyokong input DHCP, HDMI dan DVI-D serta terdapat pangkalan yang direka khas untuk alat kawalan jauh. Ia juga dilengkapi dengan dua lampu, alat kawalan jauh WX2000 juga boleh digunakan tanpa wayar pada jarak yang lebih jauh. Canon LV dan projektor multimedia WX6000 boleh didapati di rangkaian Canon sah terpilih dan stok boleh didapati mulai Ogos dengan harga RM2,028 ke atas untuk projektor LCD siri LV manakala WX6000 akan berada di pasaran pada November dengan harga RM18,999 seunit. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan