ads

Isnin, 10 September 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sheera Iskandar Sudah Sedia Dirikan Rumah Tangga

Posted: 10 Sep 2012 09:50 PM PDT

Sheera sudah bersedia bergelar isteri.

PETALING JAYA: Pelakon Sheera Iskandar berhasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan dan mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Sheera yang juga anak kepada pelakon Aznah Hamid berkata, dia dan kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Syan sudah lima tahun bercinta dan sudah tiba masanya mereka melangkah setapak lagi dalam perhubungan mereka.

"Hampir lima tahun saya dan Syan bercinta, saya cukup selesa bersamanya dan berharap hubungan ini akan berakhir dengan sesuatu yang indah.

"Umur saya sekarang 27 tahun dan Syan 28 tahun, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami menamatkan zaman bujang dan melangkah ke alam perkahwinan," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sheera memberitahu kekasihnya itu belum melamarnya sebagai isteri tetapi mereka ada berbincang mengenai perkahwinan impian mereka.

Tambah Sheera Syan bukan seorang yang romantik namun senang dengan cara kekasihnya itu yang sering berada di sisinya ketika dia memerlukan.

"Memang dia tidak romantik tetapi dia sering menunjukkan rasa kasih dan sayang dengan cara berbeza. Itu menyenangkan saya.

"Walaupun dia belum melamar saya tetapi kami sering berbual mengenai perkahwinan dan merancang untuk menamatkan zaman bujang pada tahun hadapan, Insya Allah," katanya.

Tambah Sheera, dia bagaimanapun tidak mahu menekan soal perkahwinan terhadap kekasihnya itu kerana dia baru sahaja menamatkan pengajian dan membina kerjaya sebagai kontraktor.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan kerjaya seninya, Sheera memberitahu sepanjang Syawal dia akan berehat sebelum kembali ke beberapa lokasi penggambaran drama.

Hamil Tiga Bulan, Fasha Alah Pada Ubat Gigi

Posted: 10 Sep 2012 09:50 PM PDT

Fasha Sandha

PETALING JAYA: Pelakon Fasha Sandha mula alah kepada ubat gigi selepas hamil hampir tiga bulan.

Fasha, 28, berkata, walaupun alah terhadap bahan tersebut tetapi dia terpaksa bertahan kerana tidak berasa selesa jika tidak menggosok gigi setiap hari.

"Kalau muntah-muntah pada waktu pagi itu biasa tetapi sekarang mula alah pada ubat gigi.

"Bagaimanapun saya terpaksa tahan kerana kita memang perlu memberus gigi setiap hari," ujarnya selepas ditemui pada pelancaran drama Runtun Qalbu di sini pada Isnin.

Drama terbitan Excellent Pictures itu akan bersiaran menerusi slot Zehra pada 21 September ini pukul 9 malam setiap hari Jumaat di TV3.

Dalam pada itu, Fasha berkata, dia juga mudah kepenatan dan memerlukan rehat walaupun mendapat tidur secukupnya.

Atas alasan itu juga, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia lakonan sehingga kandungannya benar-benar stabil.

"Drama bersiri Runtun Qalbu adalah yang terakhir sebelum saya berehat sebentar sehingga November depan.

"Selepas itu saya akan mengambil satu projek drama sebelum bercuti sepenuhnya sehingga bersalin," ujarnya.

Tambah Fasha, dia belum mengidam sebarang benda-benda pelik sebaliknya suaminya iaitu Rizal Ashram Ramli (Jejai).

"Memang pelik tetapi itulah yang berlaku apabila suami yang mengidam nak makan macam-macam. Sehingga kini saya belum teringin apa-apa lagi," ujarnya.

Sementara itu, Fasha memberitahu seronok dapat berlakon dibawah arahan pengarah muda iaitu Khalid Nadzri yang juga adik kepada Ahmad Idham.

Jelas Fasha lagi, Runtun Qalbu juga akan menjadi fenomena dan akan mengangkat nama pelakon gandingannya iaitu Kamal Adli ke tahap yang lebih tinggi.

"Pertama kali saya berlakon dengan Kamal tetapi dia seorang pelakon yang bagus dan saya yakin menerusi drama ini namanya akan lebih menyerlah," jelasnya.

Afdlin Tubuh 'Akademi Bintang Afdlin Shauki'

Posted: 10 Sep 2012 09:49 PM PDT

Afdlin Shauki.

PETALING JAYA: Atas kesedaran mahu mengasah dan mengajar tentang industri hiburan tempatan buat bakat-bakat baru, pengarah dan pelakon Afdlin Shauki bakal menubuhkan Akademi Afdlin Bintang Afdlin Shauki pada tahun hadapan.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan berkata, selepas mengumpul pelbagai pengalaman dan selok belok dunia perfileman di negara ini, sudah tiba masanya untuk dia berkongsi ilmu yang dikumpul kepada golongan yang benar-benar serius dalam bidang lakonan.

"Saya mendapat banyak mesej di Facebook yang ingin menjadi pelakon sedangkan mereka tidak sedar apa perkara wajib yang mesti mereka tahu sebelum memasuki bidang ini.

"Sebab itu saya ingin menubuhkan Akademi Bintang Afdlin Shauki. Saya mahu mengumpulkan pelakon yang benar-benar faham dengan perniagaan industri hiburan.

Barisan pelakon dan penerbit filem 'Untuk Tiga Hari'

"Pada pendapat saya tidak ramai pelakon yang tahu mengenai selok belok industri kita tidak kiralah daripada segi lakonan sehinggalah ke bahagian pengurusan, sedangkan ia amat penting bagi para penggiat seni," katanya yang ditemui selepas tayangan filem Untuk Tiga Hari di GSC Pavillion, di sini, Isnin.

Bagaimanapun, sebelum itu, Afdlin akan mengadakan sebuah seminar khas iaitu Akademi Bintang Industri Afdlin Shauki Intensive selama 3 hari pada November depan.

Seminar tersebut akan dikendalikan oleh Afdlin sendiri bersama dengan beberapa penggiat seni lain dan selepas itu pihaknya akan menapis dua peserta terbaik untuk dibimbing sehingga menjadi pelakon yang berjaya.

Sementara itu, mengenai Untuk Tiga Hari terbitan Tarantella Pictures Sdn Bhd, ia merupakan filem adaptasi novel yang pertama diarahkannya.

Menurut Afdlin, filem tersebut agak mencabar daripada segi menjaga karya asal milik Ahadiat Akashah agar jalan penceritaannya tidak lari daripada cerita asal.

"Tidak mudah sebenarnya untuk mengadaptasikan semua cerita dalam novel ke filem. Jadi saya pilih babak-babak yang penting dengan mengolahnya kepada bentuk komedi sedikit.

"Kalau nak tahu filem yang dihasilkan telah melebihi jumlah masa yang biasa ditayangkan di pawagam, dan kami terpaksa memotong pelbagai babak-babak menarik untuk menjadikannya kepada 1 jam 30 minit.

"Sehinggakan watak Nabil (Raja Lawak) yang sepatutnya ada dalam filem ini pun kena buang. Mujurlah dia memahami dengan situasi ini," tuturnya.

Untuk Tiga Hari mengisahkan mengenai hubungan cinta Zafrin dan Ujie yang berada didalam persimpangan dilema apabila mereka terpaksa melupakan cinta untuk berkahwin dengan calon pilihan keluarga.

Zafrin mengahwini Juwita dan Ujie berkahwin dengan Armi seorang lelaki kaya yang romantik.

Untuk membuktikan cinta sejati mereka, Zafrin dan Ujie berjanji untuk meneruskan juga perkahwinan aturan keluarga itu tetapi akan berusaha bercerai setelah tiga hari berkahwin.

Selain Afdlin yang turut berlakon dalam filem ini, barisan pelakon lain ialah Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Zizan Nin, Zizan Razak, Dira Abu Zahar dan Ainul Aishah.

Ahmad Idham Latih Adik Kandung Jadi Pengarah

Posted: 10 Sep 2012 09:48 PM PDT

Ahmad Idham

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Ahmad Idham Ahmad Nadzri sedang berusaha membina nama adiknya iaitu Ahmad Khalid Nadzri sebagai pengarah berkaliber di negara ini.

Ahmad Idham berkata, ia merupakan tanggungjawabnya sebagai seorang abang untuk memperbaiki diri adiknya tidak kira dalam apa juga bidang.

"Kalau saya tidak membantu dia siapa lagi yang boleh menolongnya?

"Tambahan pula dia memang berminat dalam bidang pengarahan dan sebagai seorang abang rasanya tidak salah saya mengajarnya dalam mencapai cita-citanya itu," ujarnya selepas pelancaran drama Runtun Qalbu di sini pada Isnin.

Drama bersiri 13 episod itu diarahkan oleh Khalid sepenuhnya bakal menemui penonton menerusi slot Zehra mulai 21 September ini.

Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam setiap Jumaat di TV3.

Dalam pada itu, Idham memberitahu dia yakin dengan kebolehan adiknya mengarah selepas drama bersiri Apa Celop! mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Kata Idham, sebagai seorang pengarah yang telah berpengalaman dia perlu meletakkan kepercayaan kepada pengarah muda untuk berkarya dengan sentuhan berbeza.

"Budak muda sekarang lain bukan macam dulu kerana idea mereka berbeza dan lebih maju daripada orang lama macam saya.

"Mengapa tidak kita percayakan mereka kerana bakat yang mereka ada tambahan pula Khalid mempunyai ijazah dalam bidang pengarahan," jelasnya.

Tambah Idham, dia bukan sahaja mendidik Khalid tetapi mengambil dua lagi pengarah muda sebagai protegenya.

"Orang nampak saya angkat Khalid kerana dia adik kandung saya tetapi sebenarnya ada dua lagi pengarah muda yang sedang saya gilap bakat mereka," katanya.

Sementara itu, Idham memberitahu dia berpuas hati dengan hasil kerja Khalid namun masih memantau proses pasca produksi yang masih dijalankan.

Katanya, walaupun tidak menggangu kerja-kerja pengarahan di lokasi tetapi dia ingin memastikan produk yang dihasilkan adalah yang terbaik.

Dalam perkembangan lain, Runtun Qalbu membariskan pelakon terkenal seperti Fasha Sandha, Kamal Adli, Shah Iskandar dan Fida Ibrahim.

'Untukmu Loga' Imbas Memori Loga (Alleycats)

Posted: 10 Sep 2012 09:47 PM PDT

Datuk David Arumugam.

KUALA LUMPUR: Lebih 300 penonton memenuhi ruang Kelab Hits di Kompleks Scott Garden, Jalan Klang Lama, di sini, Ahad , menyaksikan persembahan artis-artis hebat pada persembahan 'showcase' Untukmu Loga.

Konsert yang dianjurkan oleh Karyawan itu diadakan bagi memperingati salah seorang pengasas kumpulan itu iaitu Datuk Loganathan atau lebih dikenali sebagai Loga yang telah meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 4 Jun 2007.

Isteri Loga iaitu Susan Lovie berkata, dia tidak sangka ramai yang akan menyaksikan persembahan yang diadakan selama empat jam itu dan bersyukur kerana masih lagi yang menghargai bakat mendiang suaminya dalam kumpulan Alleycats.

Dasha

"Terima kasih kerana masih lagi menyokong mendiang Loga walaupun dia sudah tidak ada. Kehadiran anda amat bermakna buat kami.

"Konsert ini sungguh bermakna kerana keluarga kami dikelilingi orang yang menyayangi dan benar-benar menghargai perjuangan Loga terhadap muzik," katanya sebelum persembahan artis dimulakan.

Tepat pada pukul 9 malam, persembahan dimulakan dengan nyanyian kumpulan Rabbit & Shezay, diikuti dengan Mista G, Alleycats, Ning Baizura, Havoc band, Datuk Leonard Tan, Darsha (anak perempuan Loga), Vishnu & Friends, Heavy Machine dan Vijay David.

Havoc Band

Ternyata, Untukmu Loga benar-benar mampu mengubat kerinduan peminat terutamanya bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu Alleycats.

Malah, sepanjang artis-artis mengimbas memori Loga dengan lagu-lagu popular Alleycats, para penonton masing-masing menyanyikan bersama.

Baru-baru ini, Yayasan 1MDB akan menyalurkan bantuan kewangan RM100,000 kepada keluarga Loga apabila rumah mereka terlibat dalam kebakaran pada 6 Ogos lalu.

Alleycats kini dibarisi Datuk David Arumugam(vokalis), Shanmugam(gitar), Frank Ong (bass), Khoo Fok Sin (keyboard), Tan Chin Hock (dram) and Chester Danielle Pasarella (saxophone).

Heidi Klum Nafi Pernah Curang

Posted: 10 Sep 2012 09:46 PM PDT

Heidi Klum

TUDUHAN Seal yang mengatakan bekas isteri Heidi Klum pernah berlaku curang terhadapnya membuatkan wanita itu marah.

Menurut laporan New York Post, ketika diwawancarakan dalam sebuah program televisyen, Heidi menegaskan bahawa tuduhan Seal langsung tidak benar.

"Sepanjang mendirikan rumah tangga dengan Seal, saya tak pernah berlaku curang walaupun sekali.

"Ia satu tuduhan yang mengarut dan saya sangat bengang dengan kata-katanya (Seal) itu," katanya.

Kontroversi tuduhan itu bermula sejak foto-foto mesra Heidi dan pengawal peribadinya tersebar.

Seal pula diminta untuk memberi komen berkaitan foto itu dan dia berkata pasangan itu sudah lama menjalinkan hubungan cinta.

Heidi dan Seal telah mengumumkan penceraian mereka pada awal tahun ini.

Bingbing tak lepas peluang

Posted: 10 Sep 2012 09:45 PM PDT

Bingbing...berada di Kuala Lumpur sempena promosi Resident Evil baru-baru ini.
Bingbing...berada di Kuala Lumpur sempena promosi Resident Evil baru-baru ini.

ADA Wong, watak srikandi yang cukup popular dalam permainan video Resident Evil, namun kehebatan dan kecekapannya dalam mengendalikan senjata api tidak pernah dipamerkan dalam filem.

Bagaimanapun, menerusi pembikinan Resident Evil - Retribution, Paul W S Anderson, selaku pengarah memunculkan Ada Wong serta beberapa karakter kegilaan peminat permainan video berkenaan seperti Leon Kennedy dan Barry Burton.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Namun seperkara yang menarik, pencarian untuk watak Ada Wong menggesa Anderson menjelajah hingga ke China dan akhirnya menemukan si jelita, Li Bingbing yang juga aktres terkenal di republik itu.

Khabarnya Anderson terpaut dengan kejelitaan wanita tinggi lampai yang mempunyai raut wajah seperti diukir selain 'filmography' pelakon berusia 39 tahun itu sendiri yang sememangnya tidak asing dengan deretan drama serta filem aksi.


Nyata pelawaan itu tidak ditolak Bingbing apatah lagi melihat ramai aktres dari Hong Kong, Taiwan dan China yang sudah pun melakar nama di peringkat antarabangsa.


"Saya berasa amat terharu dan bangga kerana terpilih untuk membintangi filem ini. Saya menerimanya kerana teringin untuk menimba pengalaman bekerja dengan produksi Barat yang mana umum di seluruh dunia tahu, mereka sering menghasilkan filem-filem hebat.

"Selain itu watak Ada Wong sendiri yang penuh tarikan kerana ia adalah karakter yang sangat popular dalam permainan video Resident Evil. Saya berbangga melakonkan watak ini yang mewakili karakter wanita China yang perkasa," katanya dalam temubual yang diadakan di Hotel Empire, Subang Jaya, Jumaat lalu.

Bingbing mengunjungi Malaysia, sempena menghadiri Tayangan Perdana Ekslusif Resident Evil - Retribution, yang berlangsung 7 September lalu di TGV Sunway Pyramid.

Tampak teruja saat berkongsi pengalamannya, peran Ada Wong itu berkata, untuk mendalami karakter yang diberi dia sempat menonton sendiri permainan video Resident Evil.

"Beberapa watak baru diketengahkan dalam filem ini melainkan Alice, yang dimainkan pelakon Hollywood, Milla Jovovich sejak Resident Evil pertama lagi.
Tidak seperti dia, saya pasti semua pelakon melakukan kajian untuk benar-benar memahami karakter yang diberi.

"Rujukan yang saya lakukan adalah dengan menyaksikan permainan video itu sendiri selain bermain permainan video dengan menguji ketangkasan Ada Wong untuk menghayati cara pergerakannya juga cara dia bertutur.

"Saya cuba mengingati kesemuanya sebaik mungkin supaya penonton yang terdiri daripada pencinta permainan video itu merasakan bahawa Ada Wong benar-benar hidup menerusi lakonan saya.

"Hampir kesemua babak aksi saya lakukan sendiri. Saya tidak tahu mengapa sejak dulu lagi orang menyangkakan saya pelakon aksi, walhal saya langsung tidak mendalami secara serius. Pun begitu, saya tetap suka untuk melakukan filem kung fu.

"Melalui filem ini, terdapat satu babak pertemuan dengan Milla di sebuah bilik kawalan, saya melakukan flip di udara. Ia hebat. Saya amat teruja melakukannya dan itulah juga kali pertama saya belajar menembak," katanya.

Ditanya, bagaimanakah pula pengalaman bekerja dengan Milla Jovovich, akui anak kelahiran The Forbidden Kingdom itu, wanita berkenaan sangat profesional selain seorang yang mesra.

"Di luar set kami berkongsi pelbagai cerita daripada lakonan, kerjaya, kisah keluarga hinggalah kecantikan. Dia juga banyak memberi 'input' kepada saya mengenai jalan cerita filem ini yang sudah pun dibintanginya sejak pertama kali difilemkan.

"Namun, sebaik memasuki penggambaran saya dapat merasakan bahawa dia adalah srikandi yang sebenar. Pergerakannya cukup sempurna dan tangkas.

"Ada satu hari, Milla membawa anak perempuannya ke set penggambaran lalu dia bertanya kepada anaknya itu, bila besar nanti mahu menjadi seperti apa? Lalu anaknya menjawab, mahu membesar sebagai gadis Cina seperti Ada Wong.

"Kata-kata anak kecil itu membuatkan saya amat terharu. Melihat Milla membuatkan saya kagum kerana dia bukan saja seorang pelakon yang hebat, tetapi juga mempesonakan sebagai seorang ibu. Dia membuatkan saya mula berfikir untuk mempunyai keluarga.

"Sepanjang beberapa bulan menjalani penggambaran filem itu, tiada seorang pun yang memperlekehkan pertuturan saya dalam bahasa Inggeris malah, mereka berkata, 'oh, bahasa Inggeris anda menakjubkan!.

"Semua orang memberikan galakan dan melayani saya dengan baik sekali hingga tidak terasa janggal langsung bahkan umpama bekerja dalam sebuah keluarga yang sangat selesa," katanya.

Sedikit gambaran mengenai plot konflik yang terjadi di sekuel ke-5 filem adaptasi francais permainan video terkenal itu, kewujudan T-Virus yang mematikan hasil ciptaan Umbrella Corporation terus menggugat bumi, merubah populasi global menjadi kumpulan mayat hidup pemakan daging.

Harapan terakhir dan satu-satunya manusia, Alice terbangun di tengah-tengah markas operasi Umbrella yang paling rahsia dan menemukan berbagai misteri masa lalunya.

Lewat aksinya kali ini, Alice terus memburu mereka yang bertanggungjawab atas musibah itu, dengan mengembara dari Tokyo ke New York, Washington dan Moscow, untuk menemukan sebuah pengungkapan yang memaksanya untuk memikirkan kembali semua perkara itu adalah benar.

Dibantu oleh teman baru dan lama, Alice harus bertarung untuk bertahan cukup lama untuk menyelamatkan diri dari dunia yang berada di hujung kehancuran.

Alice dibantu oleh teman-temannya seperti Ada Wong, Jill Valentina yang dilakonkan oleh Sienna Guillory, Luther West (Boris Kodjoe) dan James 'One' Shade (Colin Salmon). Sementara itu, Michelle Rodriguez kembali memerankan karakter Rain Ocampo, Shawn Roberts dengan karakter antagonis Albert Wesker yang pernah diketengahkan menerusi Resident Evil: Afterlife, turut ditampilkan kembali.

Kekaguman wanita persis perawan dari negara Siam itu tidak terbatas kepada Milla saja, bahkan juga cara kerja produksi Barat yang jauh lebih sistematik dan moden daripada negara Asia.

"Dulu saya mendengar cerita rakan-rakan artis mengenai kehebatan cara kerja pembikin filem di sana, kini saya sendiri mengalaminya. Bekerja dengan produksi Barat cukup teratur, teknologi yang digunakan mendahului industri perfileman lain.

"Semuanya yang termaktub dijelaskan secara hitam putih. Katakanlah masa bekerja dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan sekiranya terpaksa bekerja lebih masa katakan, pelakon termasuk semua yang terbabit akan menerima bayaran tambahan.

"Berbeza dengan produksi di China, jika baki penggambaran terpaksa ditambah atau bekerja sehingga lewat kami, tiada bayaran tambahan kerana ia lebih kepada konsep menjaga perhubungan," katanya.

Meskipun tidak putus memuji kehebatan produksi Barat, namun Bingbing mengakui, walaupun karier lakonannya sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, kecintaan masih tetap utuh buat industri perfileman di China.

Bukan saja selesa dari segi pertuturan, akan tetapi di negaranya sendiri dia memperoleh pelbagai watak yang memberikan Bingbing kepuasan berlakon.

"Sudah pasti, saya mahu kembali bekerja dengan produksi Barat namun, jika diberikan peluang saya memilih untuk membabitkan diri dalam pembikinan filem yang memerlukan saya bermain dengan emosi dalaman.

"Seperti Resident Evil ini, hampir kesemua babak adalah babak aksi jadi penonton hanya melihat saya dengan satu pandangan saja. Biar kini nama karier lakonan saya menembusi pasaran Hollywood, saya tetap akan berbakti pada industri perfileman di negara saya sendiri kerana di situlah saya bermula.

"Jika bukan kerana sokongan penggiat industri dan peminat, tidak mungkin saya memperoleh peluang sehebat ini," katanya.

Berbicara mengenai sesuatu di luar ruang lingkup kerjayanya, wanita sinonim dengan watak aksi itu yang menceburi bidang lakonan seawal usia 20 tahun, berkata, dia ingin melaksanakan impiannya iaitu memandu kapal terbang.

"Mungkin saya nampak seperti seorang wanita lembut secara luarannya namun, sebenarnya tidak pada dalaman saya. Sejak dulu, saya memang sukakan sesuatu yang mencabar. Impian, saya selepas acap kali berlakon filem aksi bilakah saya akan akan memandu kapal terbang pula," katanya.

Gelora nafsu songsang

Posted: 10 Sep 2012 09:44 PM PDT

PASANGAN SONGSANG...dua remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.
PASANGAN SONGSANG...dua remaja lelaki yang ditahan, kelmarin.

KUANTAN: Aksi jijik dua lelaki homoseksual yang asyik melepaskan gelora nafsu songsang mereka di kawasan rekreasi Taman Gelora, di sini, terbantut apabila mereka dicekup penduduk tempatan yang melakukan rondaan bagi mencegah perlakuan itu, awal pagi kelmarin.

Seorang daripada penduduk terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Fairuz, 30, berkata, dua remaja lelaki berusia 19 dan 20 tahun itu dicekup jam 2 pagi selepas intipan dilakukan 15 minit.

Menurutnya, penduduk kawasan perumahan berhampiran Taman Gelora kerap melakukan rondaan untuk mencekup pasangan homoseksual selepas tidak sanggup melihat taman rekreasi itu menjadi lubuk maksiat golongan terbabit.

Fairuz berkata, ketika dia dan seorang rakan melakukan rondaan awal pagi kelmarin, mereka mengesan aksi mencurigakan dua individu yang dilihat asyik memadu asmara.

30 pondan lari digempur

Posted: 10 Sep 2012 09:42 PM PDT

CEKUP...sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik ditahan, kelmarin.
CEKUP...sebahagian pondan yang menyertai pertandingan ratu cantik ditahan, kelmarin.

SUNGAI PETANI: Lebih 30 pondan bergaya dalam pertandingan ratu cantik mak nyah di sebuah hotel berhampiran Taman Ria Jaya, di sini, bertempiaran lari selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) menyerbu tempat berkenaan, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan anggota PADKM menerima maklumat orang awam yang memaklumkan satu pertandingan ratu cantik mak nyah berlangsung di dewan hotel berkenaan.


Pegawai Penguat Kuasa PADKM, Zaiferi Zainul Abidin, berkata serbuan membabitkan seramai 21 anggota terdiri anggota Cawangan Penyiasatan Khas (CPK), penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Jabatan Imigresen.

Katanya, kehadiran pihak berkuasa dikesan pengawal keselamatan yang berjaga di hadapan pintu dewan berkenaan yang segera bertindak memberitahu pihak penganjur menyebabkan semua pondan terbabit cuba meloloskan diri melalui pintu belakang.


"Ketika intipan dibuat semua pondan terbabit sedang bergaya bagi merebut beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Miss Favourite, Best Hair, Best National Costume, Body Beautiful, Miss Cute, Best Make Up dan Catwalk. "Dalam keadaan kelam-kabut itu hampir 30 pondan yang cuba meloloskan diri sanggup berkaki ayam serta terjun dari tangga bagi mengelak ditahan.


"Semua pondan itu lari ke kawasan padang golf dan tasik berhampiran hotel itu dan terus menghilangkan diri di dalam gelap, namun kami menahan lapan mak nyah terbabit dalam acara berkenaan selepas gagal melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dewan terbabit disewa penganjur terbabit bagi mengadakan Pertandingan Ratu Antarabangsa 2012, di mana pesertanya membabitkan mak nyah yang datang dari negeri ini dan negeri lain.


"Semua mak nyah yang ditahan itu dibawa ke pejabat PADKM dan diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin.

"Mereka akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1948 iaitu lelaki berpakaian perempuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Kereta jadi tilam

Posted: 10 Sep 2012 09:29 PM PDT

RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas  barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.
RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan ratusan ringgit, sebuah syarikat 'gores dan menang' mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sehari hasil penipuan.

Mereka menjanjikan hadiah kereta mewah seperti dipamerkan pada kad yang diserahkan kepada mangsa untuk mencuba nasib, bagaimanapun sebaik mangsa menyerahkan wang tunai, mereka menukarkan hadiah kepada tilam jed yang hanya bernilai RM200.


Itu antara taktik syarikat terbabit yang turut merekrut beberapa kakitangannya bagi mengaburi mata pelanggan mereka.

Namun, kegiatan mereka tumpas sebaik pejabat latihan dan stor simpanan di tingkat satu Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama, di sini, diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 12 tengah hari, semalam.


Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.


"Serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan, Amran Daud bersama empat anggota lain dan mendapatkan waran geledah berikutan premis terbabit tidak berpenghuni.

"Hasil serbuan, kami menemui sebuah stor simpanan yang ditempatkan tersorok di belakang almari. Anggota kami mengalihkan almari itu sebelum menemui pelbagai barangan seperti kad gores dan menang, tilam jed, mesin jahit, mesin urut kaki dan dapur elektrik," katanya.


Menurut Abu Samah, premis itu dijadikan pejabat urusan dan pusat latihan kakitangan syarikat terbabit berdasarkan dokumentasi yang ditemui selain dijadikan stor simpanan.

"Sebelum ini KPDNKK sudah menyerbu tiga premis di Bandar Tasik Permaisuri, Sungai Besi dan Kuchai Maju 8 yang dipercayai didalangi kumpulan sama berdasarkan modus operandi dan dokumen yang ditemui," katanya.

Gordon-Brown mahasiswa termuda

Posted: 10 Sep 2012 09:27 PM PDT

WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.
WALAUPUN bergelar mahasiswa, Gordon-Brown masih mengikuti kelas persekolahan seperti biasa.

LONDON: Seorang budak berusia 12 tahun yang mendapat markah A bagi subjek matematik dalam peperiksaan sekolah menengah kini menjadi mahasiswa termuda Britain.

Berdasarkan umurnya, Xavier Gordon-Brown mungkin terlalu muda untuk dibenarkan membuka akaun di Facebook, namun pada masa sama, dia kini mengikuti kursus matematik bagi peringkat ijazah.

Gordon-Brown layak mengikuti pengajian peringkat universiti selepas lulus ujian Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) pada 2009 dan menjadikan dia calon termuda memperoleh markah A dalam subjek berkenaan.

Kini, Gordon-Brown mengikuti kelas pengajian di Universiti Terbuka di Grinstead Timur dua atau tiga kali sebulan.


Disebabkan usianya juga, Gordon-Brown terpaksa ditemani ibunya setiap kali dia pergi ke dewan kuliah.


Berasal dari Haywards Heath di Sussex, Gordon-Brown masih meneruskan persekolahannya seperti biasa, selain menyertai pelbagai aktiviti seperti belajar bermain klarinet, piano dan biola.

Di sekolah, Gordon-Brown mempelajari empat bahasa asing dan aktif bermain bola.

Dia mengikuti kuliah apabila tiada sesi persekolahan atau aktiviti berkaitan dengannya.

Ibu Gordon-Brown, Erica, berkata dia amat bangga dengan pencapaian anak bongsunya itu.

Walaupun ada ibu bapa yang memastikan anak mereka membesar di kalangan rakan sebaya, dia berpendapat, Gordon-Brown boleh menyesuaikan diri bergaul dengan mahasiswa yang jauh lebih dewasa daripadanya.

"Adalah baik untuk Gordon-Brown dapat berkawan dengan seseorang yang memiliki tahap intelektual setara dengannya," katanya.

Minat Gordon-Brown kepada angka bermula sejak awal.

Kata Erica, anaknya itu mula menguasai kemahiran sifir sebelum berusia empat tahun dan mampu menyelesaikan soalan aritmetik mental walaupun belum bersekolah.

"Setahun selepas mencatat kejayaan di peringkat GCSE, Gordon-Brown lulus peperiksaan A-level," katanya.

Kajian ambil kira suara rakyat

Posted: 10 Sep 2012 07:43 PM PDT

DEMI ILMU...pelajar adalah aset paling berharga bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara, justeru transformasi yang dilakukan perlulah menitikberatkan kepentingan ilmu dalam kehidupan.
DEMI ILMU...pelajar adalah aset paling berharga bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara, justeru transformasi yang dilakukan perlulah menitikberatkan kepentingan ilmu dalam kehidupan.

MELANGKAH era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global.

Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar.

Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan.

Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?


Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar.


Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh.

"Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas.

"Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab.

"Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa," katanya.

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik.

"Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan," katanya.

Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan.

Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian.

Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam.

Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud masa kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa.

Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

"Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global.

"Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh," katanya.

Pelajar tempatan dan Nigeria didakwa tipu setiausaha RM200,000

Posted: 10 Sep 2012 07:37 PM PDT

pelajar IPT
Pelajar institusi pengajian tinggi swasta Fred Ajiri Okpeva, 27, (kiri) dari Nigeria bersama rakannya Siti Elfina Azyze Ezami Azyze, 23, didakwa atas tuduhan menipu.

MELAKA - Dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tiga tuduhan menipu seorang setiausaha sebuah syarikat swasta hampir RM200,000.

Siti Elfina Azyze Ezami Azyze, 23, dan Fred Ajiri Okpeva, 27, dari Nigeria didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menipu Teresa Fernandez, 56, dengan memperdayanya menyerahkan wang RM19,000, RM77,227.96 dan RM85,000 dengan cara memasukkan ke dalam akaun Ambank No 2120010025883.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bank RHB dan Ambank Jalan Melaka Raya antara 11 hingga 11.46 pagi pada 1,5 dan 7 Jun lepas mengikut Seksyen 420/109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Zaharah Hussain kemudian membenarkan ikat jamin terhadap Siti Elfina Azyze dan Fred masing-masing RM30,000 dan RM60,000 dengan dua penjamin setiap seorang serta menetapkan 11 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin sementara Siti Elfina Azyze dan Fred masing-masing diwakili peguam M. Tharuma Ratnam dan Krishnan Papoo.

Sementara di Mahkamah Majistret di sini, dua rakan Fred didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki gambar dan video lucah.

Majistret Nor Azizah Yusof turut memerintahkan Obia Elu Charles, 28, dan Akegwure Israel Okpure, 27, dari Nigeria menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Obia didakwa memiliki 23 gambar dan 13 video lucah manakala Akegwure dituduh memiliki 30 gambar dan lima video lucah masing-masing di dalam simpanan telefon bimbit jenis Blackberry 9800 dan 9810 di bilik soal siasat bahagian siasatan jenayah komersil, daerah Melaka Tengah di sini kira-kira 3.30 pagi pada 28 Ogos lepas.

Kedua-dua mereka yang juga merupakan pelajar di IPT swasta di ibu negara didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Insp Rosli Rasi sementara kedua-dua tertuduh diwakili Krishnan.

Gambar anak bawa rezeki

Posted: 10 Sep 2012 07:35 PM PDT

Gambar anak bawa rezeki
Mohd Sharizal bersama anaknya, Nur Qaisara menerima hadiah daripada Mohd Nazari.

IPOH – Gambar anaknya berusia empat tahun, membawa tuah kepada seorang juruteknik apabila dia muncul sebagai johan pertandingan fotografi anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasama Kelab Nikon Malaysia, di sini.

Mohd Sharizal Mat Sah, 30 tidak menyangka gambar anaknya, Nur Qaisara Saffiyah yang sedang membaca buku berjaya memikat hati juri yang menobatkan gelaran johan kepadanya.

Menurutnya, dia menyertai pertandingan berkenaan kerana terbacar dengan saranan majikannya sendiri yang mendesak agar dia menyertai pertandingan berkenaan, di samping minat mendalam dalam dunia fotografi.

"Majikan saya selalu memuji foto yang saya ambil tapi mempersoalkan kenapa saya tidak pernah memenangi apa-apa pertandingan. Saya ambil komen itu dari sudut positif dan menyertai pertandingan ini untuk membuktikan keupayaan saya.

"Ini merupakan kali pertama saya menang hadiah utama daripada banyak pertandingan yang disertai sebelum ini dan ia memberi semangat kepada untuk terus menyertai pertandingan fotografi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui, di sini.

Mohd Shahrizal muncul juara sulung pertandingan fotografi berkenaan yang berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos dan membawa pulang sebuah kamera DSLR jenama Nikon serta sijil penyertaan.

Pak Arab kebas RM150

Posted: 10 Sep 2012 07:32 PM PDT

Pak Arab kebas RM150
Mangsa kini bimbang didatangi individu tidak dikenali.

ALOR GAJAH - Kedatangan dua pelanggan warga Arab dipercayai sindiket Pak Arab Cepat Tangan untuk membeli 100 helai kertas hanya sekadar penyamaran sebelum melesapkan duit seorang pekerja di sebuah kedai alat tulis di pekan Masjid Tanah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, mangsa, Siti Khadijah Khalil, 19, berada di dalam kedai berkenaan didatangi suspek lelaki dan wanita berkenaan yang menyatakan mahu membeli 100 helai kertas namun tidak mempunyai duit pertukaran.

Menurut Siti Khadijah, suspek lelaki itu memintanya menunjukkan contoh wang kertas RM50, lantas dia ke belakang kedai untuk mengambil dompet.

"Suspek mengekori saya sementara majikan dan rakan melayan wanita terbabit di kaunter pembayaran. Sebaik saya mengeluarkan RM50, lelaki itu terus mencapainya dari tangan saya sambil membelek.

"Kemudian lelaki terbabit terus merampas dompet saya dan mengeluarkan kesemua wang," katanya.

Katanya, dia yang terkejut terus menarik dompet itu sebelum lelaki itu merampasnya semula dan membelek setiap helaian wang kononnya mahu melihat nombor siri.

"Disebabkan takut, saya terus mendapatkan majikan di kaunter pembayaran. Sejurus tiba di kaunter, lelaki itu turut memasuki ruangan kaunter dan menarik sekali lagi dompet pada tangan saya," katanya.

Menurutnya, dia yang takut diapa-apakan terpaksa membiarkan sahaja sebelum lelaki itu memasukkan sehelai kertas resit pembayaran.

"Menurut lelaki itu, dia akan datang semula ke kedai ini pada hari Isnin (semalam) sebelum beredar menaiki kereta Proton Wira," katanya.

Siti Khadijah yang berasa tidak sedap hati segera memeriksa dompetnya mendapati wang RM100 dan RM50 hilang tanpa menyedari bila lelaki berkenaan melesapkannya sedangkan dia memerhati pergerakan lelaki itu.

"Saya berasa seperti dipukau apabila tidak melawan apa saja tindakan lelaki itu, malah saya hanya memerhatinya," katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan laporan berhubung kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau terserempak dengan individu berkenaan diminta menghubungi balai polis cawangan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222," katanya.

Ejen insurans cuba lupus rangka motosikal curi dipenjara 10 bulan

Posted: 10 Sep 2012 07:28 PM PDT

Ejen insurans cuba lupus rangka motosikal curi dipenjara 10 bulan
Muhammad Arif dipenjara 10 bulan selepas mengaku salah melupuskan rangka motosikal curi.

KUALA TERENGGANU - Taktik seorang ejen insurans yang melupuskan semua rangka motosikal curi bagi mengelak dikesan pihak polis tidak menjadi apabila dia ditahan dalam satu serbuan Khamis lalu.

Padahnya, Muhammad Arif Mohd Ludin, 20, terpaksa meringkuk di penjara selama 10 bulan selepas dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.

Muhammad Arif mengaku dengan sengaja melupuskan sebuah rangka motosikal casis milik Mat Zaki Omar, 40, di kawasan semak di Kampung Bukit Koh, Marang kira-kira jam 10.30 pagi, 6 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala Muhammad Arif tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai guru hanya menyedari motosikalnya yang diletakkan di tempat letak motosikal di Lorong Pak Tijah 1, Jalan Tok Jembal, di sini, hilang kira-kira jam 6 pagi, 8 Julai lalu sebelum
membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.

Susulan laporan dibuat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu membuat serbuan di kediaman tertuduh kira-kira jam 8.30 pagi, 6 September lalu dan menahannya untuk tindakan lanjut.

Hasil soal siasat, Muhammad Arif mengaku sudah membuang casis dan enjin motosikal itu di kawasan semak di Kampung Bukit Koh, Marang, sebelum ke kawasan berkenaan untuk melihat barang kes dan menemui semula casis dan enjin di lokasi terbabit.

Caption: Muhammad Arif dipenjara 10 bulan selepas mengaku salah melupuskan rangka motosikal curi.

Anggota FRU dituduh rompak barang kemas RM40,000

Posted: 10 Sep 2012 07:27 PM PDT

Anggota FRU dituduh rompak barang kemas RM40,000
Mohamad Firdaus Azmi (kanan sekali) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) hari ini dituduh melakukan rompakan berkumpulan melibatkan barang kemas bernilai RM40,000.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Azmi, 22, yang bertugas di Johor Bahru sebagai anggota FRU, dituduh bersama tiga yang lain yang masih bebas kerana melakukan rompakan berkumpulan ke atas Siti Asa Ab Azizi pada 9 Mei lalu.

Dia yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen 4 Sungai Petani di sini hari ini, didakwa melakukan rompakan lebih kurang jam 11 pagi di Kampung Banggol Lahar, Kupang, Baling.

Firdaus didakwa di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan, pula dia dituduh cuba melakukan rompakan bersenjata yang menyebabkan cedera parah atau cuba menyebabkan kematian ke atas mana-mana orang, maka tertuduh boleh dikenakan sebat selain apa-apa seksaan yang boleh dikenakan.

Hakim Norsalha Datuk Hamzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hasnurliza Mohd Radzi.

Remaja dicekup bersama pasangan

Posted: 10 Sep 2012 07:26 PM PDT

Mohd Saiful Mohd Nor
Pelajar IPTA yang dicekup berkemban tanpa pakaian dalam bersama teman lelakinya dalam sebuah hotel masuk ke kamar mahkamah untuk proses pendakwaan.

DUNGUN - Seorang remaja perempuan yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian awam, bukan sahaja nyaris meringkuk di penjara, malah bakal berhadapan hukuman disingkir daripada universiti, apabila dia didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan jenayah syariah yang dilakukan bersama pasangannya.

Remaja terbabit, 19, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi semalam, atas tuduhan persediaan melakukan persetubuhan bersama pasangannya, seorang buruh, Mohd Saiful Mohd Nor, 24.

Pasangan ini didakwa mengikut Seksyen 29 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ditahan sepasukan pegawai penguatkuasa syariah (PPS) di sebuah bilik hotel, kira-kira jam 12.30 pagi, 6 ogos lalu.

Ketika serbuan dilakukan, pasangan lelaki yang didapati tidur dalam keadaan berselimut atas katil hanya memakai 'boxer' manakala tertuduh wanita berkemban dengan tuala tanpa memakai pakaian dalam.

Siasatan mendapati mereka bukan mahram.

Coli, seluar dalam wanita, seluar jeans serta tudung antara barang kes yang dirampas sebagai bahan bukti.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun nyaris bermalam di tirai besi apabila Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah memerintahkan mereka dikenakan hukuman denda RM2,700 atau penjara dua bulan.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Felda Kerteh Tiga itu yang mengaku bersalah sebelum membuat rayuan agar diringankan hukuman akhirnya menjelaskan denda masing-masing. .

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwaraya Syarie, Mustaffar Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Raudhah Di Hatiku kembali

Posted: 10 Sep 2012 07:04 PM PDT


BARISAN selebriti yang terlibat dengan Raudhah Di hatiku musim baharu bergambar pada majlis sidang akhbar pelancaran program tersebut baru-baru ini.


SEKALI lagi TV9 melalui jenama Raudhah Di Hatiku akan mengimarahkan masjid sekitar Lembah Klang dan Selangor di samping mengambil inisiatif memperkenalkan masjid sebagai hab komuniti para remaja dan masyarakat setempat.

Kata Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar mengenai acara itu: "Raudhah Di Hatiku akan menjadi acara tahunan stesen TV9 berikutan menerima impak positif ketika penganjuran kali pertama tahun lalu."

Pelbagai program menarik disediakan sepanjang acara padang Raudhah Di Hatiku buat penganjuran kali kedua tahun ini antaranya Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Halaqah, Semanis Kurma, Usrah dan Safiyya.

Menurut Pengurus Penjenamaan Kumpulan TV9, Mazliffah Ismail pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain dan paling utama untuk menjinakkan para remaja kepada masjid.

"Sepanjang acara berlangsung pelbagai aktiviti menarik boleh disertai pengunjung yang hadir antaranya siaran langsung Nasi Lemak Kopi O (NLKO), rakaman program 4 dan hafazan, pembukaan khemah Lin Nisa yang menyediakan pelbagai aktiviti khas untuk wanita sahaja, persembahan nasyid kumpulan Al-Mawlid, jualan bazar cufica, kanvas dan kaligrafi serta banyak lagi," katanya yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran Raudhah Di Hatiku di Sri Pentas baru-baru ini.

Menarik kali ini, pihaknya menyediakan khemah tertutup Lin Nisa khusus buat muslimah sahaja untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk peragaan fesyen tudung terbaharu, cara memakai tudung dan skaf, jubah malah beberapa aktiviti lain yang ternyata bermanfaat.

Sementara itu, Penerbit Program Dokumentari dan Majalah Primeworks Studios Sdn. Bhd., Ahmad Noor Sulaiman berkata, acara Raudhah Di Hatiku secara tidak langsung mengubah persepsi orang ramai terutama golongan bukan muslim akan kepentingan masjid sebagai hab sejagat yang bersifat penyatuan.

"Ramai yang kurang faham akan kepentingan masjid sebagai lokasi pertemuan yang menyatukan pelbagai kelompok masyarakat dan program seumpama ini memacu tujuan ke arah itu sebenarnya. Lantas ia mengetepikan persepsi masjid yang hanya dianggap sebagai tempat beribadat sahaja," ujarnya.

Tambahnya sokongan tidak jemu dan padu daripada golongan selebriti untuk menjayakan acara itu pada tahun lalu memberikan peluang sekali lagi tahun ini untuk pengunjung bertemu dengan beberapa orang selebriti tempatan yang akan hadir meluangkan masa sepanjang acara tahun ini.

Antara selebriti yang akan hadir terdiri daripada Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Lah VE, Zaf VE, Azan Ruffedge, Amer Ruffedge, Amer Munawer, Yatt Hamzah, Diana Amir dan kumpulan hijabista Scarlets yang diwakili Maria Elena.

Maka jangan ketinggalan untuk datang beramai-ramai ke tiga buah masjid terpilih sekitar Lembah Klang dan Selangor untuk merasai kemeriahan aktiviti yang telah disediakan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari Sabtu sepanjang tiga minggu.

Tiga masjid tersebut adalah Masjid Al-Hidayah Taman Melawati (8 September),Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya (29 September) dan Masjid As-Salam, Puchong Perdana (13 Oktober).

Kuasa Shah Rukh Khan

Posted: 10 Sep 2012 06:47 PM PDT


SHAH RUKH KHAN


PENGARUH dan kehebatan Shah Rukh Khan nampaknya bukan sekadar di layar televisyen atau filem, tetapi ia turut mempengaruhi masyarakat.

Buktinya, Shah Rukh telah berjaya membuat pihak polis di kawasan kediamannya menutup sebatang jalan yang dikenali sebagai Cement Road menuju ke sebuah gereja iaitu Mount Mary Church yang terletak berhampiran banglo miliknya bagi mengelakkan suasana bising sewaktu perarakan ke gereja tersebut berlangsung!.

Tindakan tersebut telah membuatkan banyak pihak tidak berpuas hati, terutamanya penganut agama Kristian yang mengikuti perarakan keagamaan tersebut. Ini kerana jalan yang ditutup pihak berkuasa itu merupakan jalan mudah ke gereja tersebut.

"Ia mengambil masa lima minit jika melalui jalan itu ke gereja, tapi ia telah ditutup atas permintaan Shah Rukh kerana tidak mahu diganggu bunyi bising," ujar satu sumber.

Justeru, para pengikut perarakan telah membuat bantahan terhadap tindakan Shah Rukh yang dianggap sebagai keterlaluan itu.

Wanita kecewa ugut mahu terjun hotel

Posted: 10 Sep 2012 06:43 PM PDT


ANGGOTA polis membawa wanita itu ke balai polis untuk membantu siasatan sebaik sahaja dia diselamatkan.


SANDAKAN – Kakitangan sebuah hotel di sini semalam gempar apabila seorang wanita yang gagal menagih cinta teman lelakinya bertindak nekad untuk terjun dari tingkat enam premis itu dalam kejadian di Bandar Labuk di sini semalam.

Drama hampir satu jam bermula pukul 9 pagi itu bukan sahaja mengejutkan kakitangan hotel malah orang ramai yang melalui kawasan tersebut turut tersentak dengan tindakan wanita berusia 33 tahun terbabit.

Difahamkan, wanita itu baru beberapa jam tiba dari Semenanjung sebelum mendaftar masuk di hotel berkenaan. Dia kemudian yang kecewa apabila teman lelakinya enggan datang dan menerima cintanya, bertindak berdiri di luar tingkap bilik.

Psy mahu jadi penyanyi Korea terhebat di AS

Posted: 10 Sep 2012 06:43 PM PDT


PENYANYI rap Korea Selatan, Psy bergambar di belakang pentas selepas menyampaikan satu anugerah pada Anugerah Muzik Video MTV di Los Angeles pada Khamis lalu.


LOS ANGELES - Artis rap Korea Selatan, Psy kini popular di Amerika Syarikat (AS) ekoran video muzik lagunya Gangnam Style kini melepasi 130 juta tontonan di YouTube.

Klip video lagu berkenaan mula disiarkan di laman perkongsian video tersebut pada pertengahan Julai lalu.

Pada minggu ini, Psy meneruskan usahanya untuk mendominasi dunia dengan muzik pop Korea atau K-pop apabila satu klip video pendek mengenai Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang diterbitkan di AS.

Klip video berkenaan diterbitkan oleh Scooter Braun yang merupakan pengurus kepada bintang remaja popular, Justin Bieber.

Bercakap mengenai klip video tersebut, Braun berkata, mereka merancang untuk menjadikan Psy sebagai artis Korea Selatan pertama yang mencapai kejayaan besar di AS.

"Kami keluar bersama di California selama empat hari dengan saya dan Psy kini merupakan kawan," kata Braun dalam klip video berkenaan.

"Kami bersetuju untuk mencipta sejarah bersama-sama," tambahnya.

Traktor berentap di Jerman

Posted: 10 Sep 2012 06:42 PM PDT


SEBUAH traktor yang diubah suai beraksi pada pertandingan traktor di bandar Fuechtorf, Jerman kelmarin.


FUECHTORF - Satu pertandingan traktor diadakan di sini, barat Jerman kelmarin.Dinamakan Tractor Pulling Euro Championships, acara tersebut disertai oleh 80 buah pasukan dari seluruh benua Eropah.

Pertandingan selama dua hari itu menyaksikan penyertaan pelbagai jenis traktor yang diubah suai dan berkuasa tinggi.

Traktor yang dapat menarik beban sejauh mungkin di atas trek sejauh 100 meter akan memenangi pertandingan tersebut.

Hospital di India upah kaki pukul kawal keselamatan

Posted: 10 Sep 2012 06:39 PM PDT


DUA kaki pukul beruniform berkawal di hadapan pintu masuk ke wad di Hospital Deen Dayal Upadhyay di New Delhi pada 21 Ogos lalu.


NEW DELHI - Sebuah hospital di India mengupah sejumlah kaki pukul bagi mengelakkan kakitangannya daripada menjadi mangsa keganasan di tempat kerja.

Seorang kaki pukul berkenaan, Pradeep Kumar dan lebih 20 rakan sekerjanya bertugas mengawal wad kecemasan dan bersalin Hospital Deen Dayal Upadhyay (DDU) di sini.

Mereka akan memastikan saudara-mara dan rakan pesakit tidak memenuhi dan mengganggu ketenteraman di kedua-dua wad berkenaan.

"Orang ramai yang datang bersama pesakit yang mengalami trauma atau wanita mengandung mudah hilang sabar," kata Pradeep.

"Sebab itu, kami hanya membenarkan seorang pelawat untuk seorang pesakit di wad kecemasan," tambahnya.

Kumpulan kaki pukul itu melayan pelawat ke wad berkenaan dengan sopan tetapi wajah garang dan tubuh sasa mereka membuatkan orang ramai berfikir dua kali untuk tidak menghiraukan arahan lelaki-lelaki berkenaan.

"Mereka kelihatan ganas seperti watak dalam filem aksi," kata seorang bapa, Pawan Desai semasa membawa anak perempuannya yang berusia empat tahun ke DDU bagi merawat luka pada tangannya.

Pekerja hospital di India berdepan risiko bahaya dengan beribu-ribu serangan berlaku pada setiap tahun.

Kebanyakan serangan itu ekoran rasa tidak puas hati saudara-mara dan rakan pesakit.

Pada April lalu, beberapa rakan seorang pesakit di wad kecemasan DDU menumbuk muka seorang doktor dan mematahkan hidungnya sebelum mengamuk dengan bersenjatakan beberapa kayu hoki.

Mereka menghayunkan senjata itu terhadap staf perubatan dan memecahkan sejumlah tingkap, lampu dan perabut hospital berkenaan.

Obsesi Braddy terhadap reptilia

Posted: 10 Sep 2012 06:38 PM PDT



SEDANG sekumpulan 120 murid-murid sekolah sedang asyik mendengar taklimat mengenai kehidupan reptilia di pekarangan Zoo Negara, Kuala Lumpur Jun lalu, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang meluru laju ke arah mereka.

Lelaki tersebut tidak bersendirian. Kelihatan ular sawa kuning terlilit leher dan badannya dan situasi tersebut ternyata mengejutkan mereka. Ada di antara mereka yang menjerit ketakutan tidak kurang pula ada yang begitu teruja dengan kehadiran pakar reptilia institusi sains dan pendidikan antarabangsa, National Geographic, Dr. Brady Barr yang tidak henti-henti memperagakan haiwan eksotik itu kepada mereka.

Brady, 49, ternyata tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalamannya sepanjang siri jelajah ke-70 buah negara di seluruh dunia menerusi siri ketujuh rancangan dokumentari National Geographic, The Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters yang disiarkan menerusi saluran Astro 553 (National Geographic) dan saluran Astro 550 (Nat Geo Wild)

Pertuturannya yang diselang-seli dengan lawak jenaka di samping persembahan video yang lucu jelas dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk mendengar kisah-kisah reptilia mahupun haiwan-haiwan lain yang pernah didekati Brady.

Lelaki ikon itu memberitahu, antara haiwan yang paling digemarinya ialah buaya dan beliau merupakan satu-satunya saintis haiwan yang telah berjaya menangkap 23 spesies buaya liar di seluruh dunia.

Dengan stail dan personaliti yang bersahaja, Brady membawakan banyak haiwan yang jarang didedahkan kepada umum kepada orang ramai secara akademik, sama ada secara berdepan ataupun melalui program televisyen.


BRADY gemar pada cabaran mendekati haiwan liar.


Minat dinosaur

Menurut Brady, minat terhadap buaya lahir sejak daripada zaman kanak-kanak apabila beliau pada awalnya taksub pada kehidupan dalam zaman dinosaur.

"Buaya sangat istimewa bagi saya. Walaupun ia telah wujud kira-kira 25 juta tahun lalu, haiwan tersebut masih boleh dilihat dan dikaji sehingga kini. Tidak seperti dinosaur, haiwan tersebut telah lama pupus dan generasi kini masih tidak jelas mengenai kewujudannya," ujar beliau.

Brady turut mendedikasikan kisah hidupnya bersama hidupan reptilia kepada orang ramai sebagai salah satu cara untuk mendidik mereka mengenai keajaiban alam.

Sepanjang penggambaran siri ketujuh Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters, Braddy ternyata mengharungi pelbagai cabaran untuk mendekati hidupan liar di 70 buah negara yang telah dijelajahinya.

Sepanjang penjelajahannya, Brady mengakui tidak gentar berhadapan dengan haiwan-haiwan liar seperti ular dan buaya di habitat liar, cuma beliau amat takut dengan jangkitan dan virus yang dibawa melalui air seperti parasit dan malaria.

"Jika terkena jangkitan, ia akan mengambil masa yang lama untuk sembuh dan berkemungkinan akan melumpuhkan sesi penjelajahan saya bersama krew National Geographic," jelasnya.

Telah muncul dalam lebih 100 buah filem terbitan National Geographic, Brady ternyata mempunyai kaedah tersendiri untuk mendekati haiwan-haiwan liar di hutan dan di air.

Beliau lazimnya menggunakan teknik penyamaran seperti memakai sut dan topeng buaya, badak sumbu, babun dan beruang malah kostum tumbuhan seperti lalang.

"Apabila saya memakai sut dan topeng menyerupai haiwan-haiwan tersebut, saya dengan mudah dapat menghampiri dan menyentuh haiwan tersebut. Selain itu, saya dapat menyelami kisah kehidupan haiwan-haiwan itu walaupun tanpa berkomunikasi dengan mereka.

"Kaedah ini merupakan pendekatan bukan ortodoks untuk saya menjalankan eksperimen terhadap haiwan liar dan penonton akan dapat melihat kehidupan sebenar haiwan-haiwan ini secara semula jadi," ujar pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang biologi di Universiti Miami pada tahun 1997 itu.


AKSI Brady bersama para petugas di Zoo Negara.


Babun cemas

Menceritakan pengalaman penyamarannya, Brady memberitahu, dia dapat mengetahui sifat haiwan yang sering menyelongkar rumah penduduk di Amerika Syarikat (AS) iaitu babun.

Dengan teknik penyamaran yang menyerupai ketua kumpulan babun, beliau ternyata memperoleh keputusan bahawa sekumpulan haiwan tersebut takut apabila disergah oleh ketua kumpulan spesiesnya.

Beliau juga dapat merungkai bahawa babun mempunyai sifat sama seperti manusia iaitu takut dan cemas apabila melihat ular.

Mempunyai 1,001 pengalaman pahit dan manis dalam usaha menerokai kehidupan reptilia, Brady sentiasa mendidik orang ramai untuk menghargai keajaiban kehidupan semula jadi.

Ketika ditanya mengenai idea beliau untuk melakukan teknik penyamaran itu, beliau memberitahu bahawa idea tersebut diperoleh ketika sesi ceramahnya bersama kanak-kanak pada suatu ketika dahulu.

"Kanak-kanak merupakan sumber inspirasi kepada saya dalam setiap tindak-tanduk penyamaran saya.

"Saya tidak seperti individu lain yang sering memandang remeh idea-idea yang dikemukakan oleh kanak-kanak. Sebaliknya, saya sentiasa mendengar idea-idea mereka kerana kanak-kanak mempunyai fikiran telus dan jujur yang lahir daripada hati dan perasaan," jelas beliau yang berada di bawah naungan National Geographic sejak 1997.

Pengalaman menarik

Selain daripada mempromosikan dokumentari The Most Dangerous Encounters & Dangerous Encounters itu, kehadiran Brady ke Malaysia turut mendapat sokongan Kementerian Pelajaran, Akademi Sains Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Brady sepanjang penjelajahannya menerusi siri berkenaan ialah beliau berusaha sedaya upaya untuk menangkap buaya di salah sebuah sungai tanpa menggunakan sebarang alat keselamatan.

Ketika itu, beliau yang ditemani oleh seorang jurukamera tidak mempunyai alatan seperti jaring dan perangkap untuk menangkap reptilia tersebut.

"Saya dan jurukamera hanya menggunakan kelengkapan peribadi kami dan apa yang terdapat di dalam kereta kami seperti tali pinggang keselamatan kereta, tali kasut, seluar dalam yang belum digunakan dan kabel pengecas bateri kenderaan.

"Apa yang merumitkan keadaan ialah dalam pada kami berdua menangkap reptilia itu, jurukamera juga mahu mendapatkan rakaman terbaik untuk momen tersebut. Walaupun kamera diletakkan secara statik, hasilnya amat mengagumkan dan rakaman tersebut jelas menunjukkan kegigihan kami berdua," ceritanya.


MURID-MURID sekolah ini tercuit hati melihat gelagat Brady yang gemar berjenaka.


Dalam pada itu, Ketua Penyelia di Zoo Negara, Mohd. Hafiz Thanabalan, 40, memberitahu, idea dan kaedah Brady dalam menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai reptilia merupakan kaedah yang terbaik untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa.

"Beliau sentiasa membantu kanak-kanak sekiranya mereka mempunyai keraguan mengenai haiwan. Segala persoalan juga dijawab bersama lawak jenaka untuk memudahkan pemahaman.

"Beliau bukan sekadar menunjukkan cara beliau menangkap reptilia seperti buaya malah turut menyelitkan maklumat mengenai haiwan tersebut," jelasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved