Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain
- Tangkap ikan layar gergasi di Hawaii
- Ikan paus muncul di tepi bot
- Lelaki gigit ular tedung hingga mati
- Stor simpanan gading gajah di Zimbabwe
- Hidup bergelandangan di kaki lima
- Nasib bahasa pribumi Filipina
- Televisyen hapus amalan ziarah?
- Boleh potong kuku ketika haid
- Kata-kata ibu itu doa
- Sabun Sulit ilham Rosniza
Ustaz Don: Kami sama seperti pasangan lain Posted: 23 Aug 2012 07:49 PM PDT "BOLEH tak saya skrip jawapan itu." Itulah jawapan ringkas penceramah popular, Ustaz Don ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan isteri, Husna Zahry. Abdul Hamid berkata, sebagai bapa saudara dia begitu seronok anak saudaranya itu akan melalui alam perkahwinan. Dia yang juga abang kepada ibu Ustaz Don berkata, apa yang menarik mengenai Don Daniyal ialah adab sopannya. | |||||
Tangkap ikan layar gergasi di Hawaii Posted: 23 Aug 2012 06:17 PM PDT
HONOLULU - Seorang wanita berusia 28 tahun, Molly Palmer menangkap seekor ikan layar seberat lebih setengah tan di Kailua-Kona di Hawaii pada 18 Ogos lalu, lapor agensi berita AFP semalam. Ikan seberat 463 kilogram (kg) dan sepanjang 3.65 meter itu ditangkap semasa Pertandingan Jemputan Ikan Layar Pulau Besar. Penganjur pertandingan, Jody Bright berkata, tangkapan itu mengatasi rekod yang dibuat seorang wanita yang berjaya menangkap ikan sama dengan berat 430.91kg. Bagaimanapun, Palmer tidak diisytiharkan pemenang dan memenangi hadiah wang tunai kerana dia menaikkan ikan tersebut dengan bantuan rakan-rakannya di atas kapal. Berdasarkan undang-undang pertandingan menangkap ikan antarabangsa, pemenang perlu menangkap dan menarik ikan tersebut di atas kapal tanpa bantuan rakan-rakan. Menurut kapten kapal, Neal Isaacs, ikan itu ditangkap selepas 40 minit Palmer mula memancing. Beliau berkata, ikan tersebut mati di bawah kapal selepas pertarungan untuk menangkapnya berlaku. Kapten kapal dan suami Palmer kemudian memutuskan untuk membawa naik ikan tersebut di atas kapal kerana berat wanita tersebut hanya 72.57kg kurang enam kali ganda berat ikan itu. | |||||
Posted: 23 Aug 2012 06:16 PM PDT SAN LUIS OBISPO, California - Seorang jurugambar amatur, Bill Bouton merakamkan gambar kepala seekor ikan paus humpback yang muncul di tepi sebuah bot dan kayak dekat pantai di sini pada 18 Ogos lalu. Beberapa pelancong yang menaiki bot itu turut merakamkan gambar ikan tersebut. Ikan itu kerap berenang dekat bot dan kayak semasa ia makan ikan sardin. "Saya berasa amat bertuah," kata Bouton selepas dia berjaya menangkap gambar tersebut. | |||||
Lelaki gigit ular tedung hingga mati Posted: 23 Aug 2012 06:16 PM PDT
KATHMANDU - Seorang petani Nepal menggigit seekor ular tedung sehingga haiwan itu mati, kata polis semalam. Petani itu, Mohamed Salmo Miya melakukan perbuatan itu bagi membalas dendam selepas haiwan tersebut mematuknya, lapor agensi berita AFP semalam. Ketua polis tempatan, Uma Prasad Chatrubedi menyatakan Mohamed sedang bertani dekat kampungnya yang terletak 200 kilometer ke tenggara Kathmandu ketika dia dipatuk ular tersebut. "Seorang petani di Kampung Bardanga telah membunuh seekor ular tedung putih dengan giginya kerana marah. "Ular tersebut mematuknya semasa dia sedang bekerja di sawah padi miliknya pada Selasa lalu. "Lelaki itu kemudian berlari dan membunuh ular tersebut," katanya. Mohamed turut dirawat di sebuah klinik tempatan dan dia kini berehat di rumahnya. "Saya berasa amat marah selepas ular itu mematuk saya. Kemudian saya mengekori haiwan itu, menangkap dan menggigitnya sehingga mati," dakwanya yang berusia 55 tahun kepada akhbar Annapurna Post. "Saya mungkin membunuhnya dengan kayu tetapi saya menjadi 'gila' kerana marah dan mahu membalas dendam. "Saya membunuhnya dengan gigi saya," tambahnya. Nepal mempunyai pelbagai jenis ular berbisa dan tidak berbisa. Salah satu ular berbisa itu dikenali sebagai ular batu India sepanjang 10 meter. Menurut agensi berita Reuters, seorang pegawai polis, Niraj Shahi berkata, lelaki itu tidak akan didakwa membunuh ular tersebut. Menurutnya lelaki itu tidak didakwa kerana haiwan tersebut tidak disenaraikan sebagai spesies terancam. | |||||
Stor simpanan gading gajah di Zimbabwe Posted: 23 Aug 2012 06:14 PM PDT HARARE, Zimbabwe - Pihak berkuasa Zimbabwe menyimpan 50 tan gading gajah yang dirampas daripada pemburu haram. Gading itu juga diperoleh daripada gajah yang ditemui mati. Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Hidupan Liar dan Taman Negara Zimbabwe, Vitalis Chadenga mahu melelong gading tersebut. Chadenga juga meminta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dan Spesies terancam Fauna dan Flora membenarkan gading itu dilelong. Menurutnya, hasil lelongan itu akan digunakan untuk membiayai projek pemuliharaan haiwan. | |||||
Hidup bergelandangan di kaki lima Posted: 23 Aug 2012 06:13 PM PDT
SEBAIK menuruni tangga bas ekspres di Stesen Bas Pasay, Abdul Manan Abas terkejut dengan pemandangan di sekitar terminal itu. Deretan rumah setinggan berbentuk kotak dan dibina rapat-rapat umpama menjemput kedatangannya. Sistem kebersihan kawasan tersebut juga boleh dipersoal. Timbunan sampah kelihatan di mana-mana manakala lopak-lopak air yang mengeluarkan bau tidak menyenangkan menjadi pemandangan biasa. Pengangkutan di Metro Manila amat mudah dan murah dengan bayaran 8 Peso (RM0.57), pelancong boleh menaiki jeepney iaitu sejenis trak yang berfungsi seperti bas untuk ke mana-mana di Manila. Destinasi pertama lelaki yang berusia 25 tahun itu ialah Intramuros, kota zaman penjajah Sepanyol. Ia dianggap sebagai kawasan yang menjadi asas Metro Manila kini. Sebagai sebuah tempat sejarah yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), gereja tertua Filipina San Agustin berusia lebih 400 tahun itu adalah buktinya. Berkeluasan 0.67 kilometer persegi, Intramuros turut memuat banyak bangunan sejarah lain yang memiliki pengaruh barok (baroque) yang terdapat di gereja, universiti dan biara. Namun, Abdul Manan berasa sedikit terkilan kerana persekitaran kota berdinding itu agak kotor. Kanak-kanak gelandang menjadikan dinding kota yang tebal sebagai kawasan permainan malah di sesetengah kawasan terselindung, terdapat longgokan najis manusia. "Intramuros masih lagi memiliki penempatan penduduk dan pelajar menjadikan kawasan tersebut terdedah kepada kekotoran hasil buangan manusia," ujar Manan yang melawat Filipina beberapa bulan lalu. Perkara yang mengejutkan lelaki itu tatkala dia menahan sebuah teksi di luar tembok Intramuros pada pukul 11 malam. Pemandu teksi tersebut memberitahu, kawasan Intramuros sama ada di luar atau dalam tembok merupakan kawasan berbahaya kepada pelancong pada waktu malam. "Pelancong asing terutama orang Eropah diperas ugut dengan pistol atau pisau kerana kawasan tersebut sangat gelap," kata pemandu teksi memberi amaran kepada Abdul Manan. Pemeriksaan ketat Bagaimanapun, pemandu teksi itu menambah, barangkali Abdul Manan dan penulis mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding pelawat dari Eropah. Itu disebabkan saiz badan kami yang agak kecil terutamanya penulis dengan ketinggian 170 sentimeter. Keselamatan memang menjadi isu penting di Metro Manila. Setiap restoran dan kedai waima restoran makanan segera seperti McDonald's memiliki seorang pegawai keselamatan yang lengkap bersenjata pistol. Stesen pengangkutan rel ringan (LRT) Manila mewajibkan semua orang menjalani pemeriksaan beg dan badan manakala di pusat beli-belah mega pula, memiliki alat pengesan metal bagi memeriksa badan pengunjung. Rumah-rumah di sekitar Manila memiliki pagar yang dibina daripada batu seakan-akan sebuah kubu bagi menghalang pencuri masuk. "Prosedur keselamatan tersebut adalah untuk menunjukkan kepada pelanggan keselamatan mereka terjamin apabila berada di dalam premis kami," ajuk Abdul Manan ketika diberitahu oleh salah seorang pelayan restoran makanan segera tempatan, Jolibee, yang dikenali sebagai James. Lawatan Abdul Manan ke kawasan hiburan terkenal, Malate memberi lebih kejutan kepadanya. Malate sebuah daerah lama yang terletak di Metro Manila. Akuinya, lokasi tersebut sememangnya dipenuhi dengan tempat-tempat untuk berhibur. Kuantiti kelab-kelab malam, kasino, karaoke dan kompleks beli-belah cukup banyak malah ejen-ejen tukang urut dan kelab bogel sentiasa berada di kaki lima menawarkan perkhidmatan kepada para pelancong. Namun, sebaik jarum jam menunjukkan angka 12 tengah malam, penduduk Filipina yang bekerja sebagai penjual dan pengayuh beca akan mula 'berumah' di tepi jalan. Kaki-kaki lima dan laman depan premis menjadi tempat tidur mereka sekeluarga. Di tepi jalan itu juga menjadi tempat orang gelandangan memasak dan membersihkan diri. Pemandangan orang sedang kencing pada sebatang pokok bukan satu perkara luar biasa. Bau hancing juga perkara biasa di Manila. Kanak-kanak kecil dibiarkan tidur beralas kertas kadbod dan berselimut plastik. Bagi mereka yang beruntung, pondok-pondok kecil umpama reban haiwan dibina di celah-celah bangunan untuk menjadi tempat melelap mata. Kepayahan hidup "Selain tempat hiburan, terdapat juga kawasan tarikan pelancong di Malate seperti gereja Malate dan dataran Rajah Suleyman. "Tetapi kawasan tersebut menjadi penempatan orang gelandangan berumah dan anak-anak mereka bermain selain berniaga kecil-kecilan pula," ujar Abdul Manan lagi. Kepayahan hidup mereka begitu jelas tatkala dia melihat seorang ibu muda yang kelihatan kurang bersih menyusu badan anaknya di tepi jalan tanpa menghiraukan orang lalu-lalang. Minuman yang dibawa oleh Abdul Manan turut diminta oleh mereka walaupun sudah separuh botol diminum. Kehidupan miskin memaksa anak-anak muda Filipina mula bekerja seawal usia remaja. Penjaja di tepi jalan dan konduktor bas merupakan pekerjaan yang dikuasai mereka. Anak-anak kecil mengemis tanpa mempedulikan alam persekolahan. Lebih suku daripada populasi rakyat Filipina seramai 100 juta orang hidup di bawah garis kemiskinan. Keadaan di Manila umpama gambaran jelas situasi kemiskinan yang dihadapi rakyat negara tersebut walaupun ekonomi Filipina berkembang. Kami berada di Manila selama tujuh hari dan enam malam bermula dengan lawatan di Manila City dan Makati. Kemudian, kembali semula ke Malate. Agak mudah bercuti di Manila. Bandar sejarah itu juga mempunyai banyak hotel bajet terutamanya di kawasan Malate tetapi di Makati, agak susah mencari penginapan sedemikian kerana status bandar itu sebagai kota kewangan. Negara bekas jajahan Sepanyol dan Amerika Syarikat itu perlu bertindak untuk mengurangkan ketidaksamaan yang teruk dan meluaskan manfaat pengembangan ekonomi kepada semua pihak. Antara usaha yang dijalankan oleh pemerintah Filipina bagi memastikan anak-anak muda negara tersebut terus belajar ialah dengan memperkenalkan Skim Pemindahan Tunai Bersyarat yang dikenali sebagai Pantawid Pamilya (Sara Hidup Keluarga). Skim tersebut memberi peluang kepada tiga juta isi rumah yang berpendapatan rendah untuk memastikan anak-anak mereka ke sekolah dan mendapat rawatan kesihatan. Isu kemiskinan Pantawid Pamilya yang dimulakan pada tahun 2007 merupakan sebuah skim perlindungan sosial terbesar di Filipina. Sebanyak AS$33 (RM100.35) diberikan kepada ibu atas faktor golongan wanita lebih banyak membelanjakan wang untuk makanan, ubat dan barangan sekolah. Ia menjadi bantuan segera kepada keluarga miskin selain memecah kitaran kemiskinan dengan cara mempertingkatkan kualiti kesihatan, pendidikan dan peluang. Pengenalan sistem terbaharu itu mula diguna pakai di Brazil dan Mexico dan terbukti sangat efektif. Pada mesyuarat tahunan Bank Pembangunan Asia (ADB) di Manila yang dihadiri oleh pegawai kerajaan, pemilik bank dan kumpulan masyarakat awam dari 67 negara telah menjadikan isu jurang kemiskinan sebagai tema perbincangan mereka. Ketidaksamaan taraf hidup meningkat di 11 buah negara dengan jumlah peratusan sebanyak 82 peratus populasi Asia. Senarai negara termasuk China, India dan Indonesia yang juga merupakan negara dengan ekonomi yang pesat membangun. "Berbanding wilayah-wilayah lain, jangka waktu pengembangan (ekonomi) tidak memasukkan dan tidak promiskin (golongan miskin)," kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan yang dikeluarkan. Menurut Ketua Pengarah Urusan ADB, Rajat Nag, ketidaksamaan yang mengembang menjadi ancaman dan menjejaskan kestabilan wilayah Asia. Kerajaan-kerajaan di Asia mempunyai sumber untuk pembangunan secara menyeluruh. Kata Nag pada pertengahan bulan April lalu, mereka sepatutnya mengambil kira perbelanjaan golongan miskin. "Banyak negara selalu berasa mereka perlu berkembang dengan pantas. Prinsip peningkatan air pasang surut akan mengangkat semua bot dengan menganggap tiada bot yang berlubang," ujarnya. Skim Pemindahan Tunai Bersyarat di Filipina dan Indonesia selain Bangladesh, Pakistan serta Kemboja dilihat sebagai cara terbaik dalam menyasarkan perbelanjaan negara. "Dari peringkat awal, program tersebut direka sangat baik. Dari segi kecanggihan program bersepadu itu, kawalan ketat dalam sasaran kemiskinan pangkalan data dan potensi pada keselamatan sosial tiada bandingan dalam wilayah ini," kata wakil Bank Dunia untuk Pantawid Pamilya, Nazmul Chaudhury kepada Reuters. Pantawid Pamilya juga berdepan cabaran besar seperti korupsi, individu-individu berkepentingan dan sistem pendidikan serta kesihatan yang teruk. Biarpun begitu, ujar Chaudhury, skim tersebut telah menunjukkan impak kuat pada bidang pendidikan. | |||||
Posted: 23 Aug 2012 06:12 PM PDT Sebelum ini, ramai murid ditegur agar tidak menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah. Namun, semua itu bakal berubah apabila akta pembelajaran baharu yang membenarkan bahasa tempatan dituturkan.
ARNEL VALENCIA berasa terhina di sekolah apabila tidak dibenarkan menggunakan bahasa yang selalu dituturkannya di rumah. Tindakan itu sudah berdekad-dekad lamanya menjadi paten pemusnahan linguistik di seluruh Filipina. "Berhenti bercakap seperti burung. Kamu sepatutnya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan," herdik seorang tenaga pengajar kepada Arnel. Arnel berketurunan puak pergunungan Ayta Magindi yang sudah berabad-abad mendiami kawasan pergunungan Zambales. Kawasan hutan tebal itu hanya tiga jam perjalanan menaiki kereta dari ibu negara, Manila. Penduduk puak itu kini tinggal seramai 3,000 orang dan mendiami persekitaran pekan pertanian, Porac. Puak itu merupakan penjaga bagi salah satu daripada berpuluh-puluh bahasa terpencil yang diancam kepupusan di kepulauan Asia Tenggara. Filipina yang memiliki populasi seramai 95 juta orang memiliki sebanyak 175 laras bahasa tetapi sesetengahnya hanya mempunyai sedikit penutur. Lebih malang, banyak juga yang sudah pupus lantaran tiada penutur. Migrasi dan asimilasi Menurut ketua antropologi Muzium Kebangsaan Filipina, Artemio Barbosa, lebih 50 bahasa terpencil di negara itu boleh hilang dalam tempoh 20 tahun. "Apabila mereka migrasi ke tempat lain dan mengalami asimilasi, mereka tidak lagi bercakap dalam bahasa ibunda kerana yang menjadi kepentingan ialah bahasa yang mudah difahami dan boleh ditutur setiap hari," kata Barbosa. Pakar berkata, masalah lain yang menyumbang perkara tersebut adalah apabila hanya dua bahasa yang diajar di sekolah iaitu bahasa Inggeris dan Filipina. Bahasa Filipina memiliki asas bahasa Tagalog dan ditutur oleh penduduk sekitar Manila. Bapa Arnel, Valencia yang merupakan ahli jawatankuasa majlis kampung tempatan merungut tentang anaknya yang dilarang menggunakan bahasa Ayta Magindi di sekolah. Sementara itu, orang dewasa pula terpaksa belajar bahasa Pampangan iaitu bahasa tempatan yang perlu dikuasai untuk mendapat kerja di kilang atau ladang. "Bahasa bukan sahaja satu-satunya perkara yang kami akan hilang tetapi budaya turut berdepan risiko sama. Diskriminasi yang kami tanggung tidak pernah reda," keluhnya. Kelangsungan bahasa Namun, pakar bahasa terancam dari Institut Linguistik Summer, Amerika Syarikat, Catherine Young berkeyakinan masih ada harapan untuk bahasa-bahasa tersebut terus hidup. Dia banyak menghabiskan masa mengkaji banyak bahasa yang kurang dikenali di Filipina. "Kesedaran terhadap harga sebuah bahasa di Filipina semakin meningkat berbanding negara-negara Asia lain (yang memiliki bahasa minoriti) yang tidak menggalakkan bahasa lain dalam khalayak terbuka," kata Young. Dia menyatakan bahawa keputusan kerajaan melaksanakan pembelajaran bahasa ibunda bermula pada tahun ini sebagai langkah penting dalam menyelamatkan bahasa-bahasa terpencil. Pada tahun akademik baharu bermula pada 12 Jun lalu, bahasa yang paling banyak digunakan akan menggantikan bahasa Inggeris dan Filipina sebagai bahasa perantara daripada peringkat tadika sehingga gred ketiga. Gabungan penutur bagi 12 laras bahasa ibunda itu membentuk jumlah lebih 63 juta orang atau dua pertiga populasi kebangsaan. Jabatan Pendidikan berkata, polisi terbaharu itu kesan daripada keputusan yang pernah dilakukan oleh Institut Linguistik Summer pada pertengahan tahun 90-an. Kajian institut tersebut adalah dengan mengajar guru-guru tempatan menggunakan bahasa percakapan Lilubuagan yang ditutur seramai 14,000 orang di pergunungan utara. Pakar lingusitik Amerika, Diane Dekker pernah tinggal di pergunungan Cordillera bersama-sama suami dan empat orang anaknya pada tahun 1987 untuk memulakan program itu. Pada peringkat awal, dia menghadapi sifat skeptikal oleh penduduk tempatan. Skeptikal "Ibu bapa berasa khuatir ia akan memberi efek negatif terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Bahasa itu amat penting bagi mereka dan perlu dikuasai semata-mata untuk mendapat pekerjaan," kata Dekker. Bagaimanapun, katanya, bahasa pengajaran Lilubuangan yang diajar kepada kanak-kanak sebenarnya menjadikan anak mereka seorang pelajar yang lebih baik kerana tidak perlu 'menyeksa kerongkong' untuk menyebut bahasa Inggeris dan Filipina sebaik sahaja memasuki sekolah. Masalah paling jelas adalah pada program kerajaan yang hanya memberi perhatian pada bahasa paling banyak digunakan dan ia akan terus bernyawa manakala yang kurang bilangan penutur akan terbiar. Bagaimanapun, kerajaan akan mula memperkenalkan arahan bahasa ibunda untuk bahasa-bahasa paling terancam. Sementara itu, pastor Protestan bagi komuniti Ayta Magindi di banjaran Zambales, Benny Capuno berkata, sekolah bantuan kerajaan di situ akan memulakan sesi pembelajaran menggunakan bahasa ibunda pada bulan Jun ini. "Langkah ini akan memulihkan rasa bangga orang muda seterusnya mereka akan menggali muzik, bahasa dan budaya unik mereka," kata Capuno. | |||||
Televisyen hapus amalan ziarah? Posted: 23 Aug 2012 06:12 PM PDT
PAGI 1 Syawal lalu, suasananya amat berbeza. Jika pada hari-hari biasa, Mohamad Akmal Firdaus Iskandar, 29, bersiap-siap ke tempat kerja, namun hari itu dia segak berpakaian baju Melayu bersiap sedia untuk ke masjid bagi menyempurnakan solat sunat Aidilfitri bersama keluarganya. Usai solat, dia bersama keluarganya menikmati hidangan raya dan kemudian menghabiskan detik-detik hari pertama Syawal dengan menonton rancangan-rancangan menarik yang dihidangkan oleh stesen-stesen televisyen. Begitulah rutin keluarga jejaka tersebut pada Hari Raya Aidilfitri sejak beberapa tahun sebelumnya. Ia bukan sahaja berlaku pada hari pertama Syawal, malah berlanjutan selama beberapa hari. Rutin tersebut tentu tidak asing bagi segelintir keluarga lain di negara ini dan mungkin keluarga anda salah satu daripadanya. Kesempatan 1 Syawal yang sepatutnya diisi dengan amalan ziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat handai kini dilihat semakin terhakis gara-gara mengutamakan 'berziarah' di depan kaca televisyen terlebih dahulu. Boleh dikatakan daripada celik mata hinggalah ada yang terlena terus di depan televisyen pada lewat malam kerana terpaku dengan sajian hiburan program-program televisyen yang pelbagai. Bagi segolongan masyarakat yang menyedari perkara itu, mereka menganggapnya sebagai budaya lebaran yang menghakis elemen perayaan tradisi dan amalan ziarah sempena Aidilfitri.
Begitupun, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar memberitahu, adalah tidak wajar menggunakan istilah 'budaya' dalam isu ini kerana ia seolah-olah menghukum semua ahli masyarakat melakukan perkara tersebut sedangkan hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian. "Kita hidup dalam persekitaran yang tidak menekankan silaturahim. Kini, semua orang sibuk dan tidak mempunyai masa, Bagi mereka, masa cuti digunakan sepenuhnya untuk berehat. "Sungguhpun masih ada yang mengamalkan tradisi ziarah, memang tidak dapat dinafikan tentang golongan yang terikat di ruang tamu keluarga lantaran mahu menonton televisyen. Bagi mereka ziarah tidak penting," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Sejak kecil Tambahnya, kesalahan tidak seharusnya diletakkan di bahu mereka kerana mereka tidak dipupuk dengan nilai silaturahim sejak kecil dan akhirnya amalan ziarah tidak menjadi rutin Syawal. Soalnya, siapa yang harus dipersalahkan? Adakah hal ini disebabkan stesen-stesen televisyen yang menyajikan pengisian siaran menarik sehingga ramai yang 'melekat' di depan televisyen atau ibu bapa hari ini 'gagal' memupuk nilai-nilai silaturahim? "Tidak perlu menuding jari mencari salah siapa kerana kita perlu sedar bahawa nilai-nilai hidup kini memang begitu. "Keluarga sibuk dan tiada masa untuk bawa berjalan dan berziarah. Bukan salah sesiapa," ujarnya. Katanya, hendak disalahkan stesen-stesen televisyen pun tidak boleh kerana mereka beroperasi bertunjangkan sasaran perniagaan. Mereka berlumba-lumba antara satu sama lain bersaing untuk mengejar rating paling tinggi.
"Oleh kerana itu, ramai orang yang lebih cenderung untuk mengadakan rumah terbuka. Dahulu mana ada rumah terbuka macam sekarang? Kalau dahulu, mereka yang hendak datang beraya boleh datang pada bila-bila masa sahaja. "Inilah realiti hidup. Kekurangan masa dan tenaga yang terhad menyebabkan mereka mengambil jalan selamat dengan mengadakan rumah terbuka. Sekurang-kurangnya penat mereka hanya sehari," jelasnya. Nilai tradisional Jas Laile memberitahu, kalau sesebuah negara bergerak ke arah negara maju, orang lebih bersikap individual dan nilai-nilai tradisional semakin terhakis. Itu merupakan suatu yang normal. "Sungguhpun begitu, ia terpulang kepada keluarga masing-masing. Jika semangat ziarah itu kuat, rancangan televisyen hebat macam mana sekalipun, mereka tetap akan berziarah. "Biasanya, orang tua-tua sahaja yang ambil berat mengenai amalan ziarah ini kerana masa hari rayalah kita berjumpa dengan sanak saudara. Bukan selalu, setahun sekali sahaja, nanti tak kenal saudara sendiri pula," katanya. Ditanya sama ada kebergantungan terhadap teknologi menyebabkan nilai-nilai tradisi terhakis? Jas Laile memberitahu, teknologi tidak wajar dijadikan alasan dalam hal ini. "Pokok pangkalnya diri sendiri dan cara didikan yang dipupuk oleh ibu bapa masing-masing. Tidak dinafikan teknologi menyumbang kepada kemerosotan nilai-nilai dan sifat-sifat kekitaan. "Bagi mengekang trend menonton televisyen ketika lebaran, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memupuk semangat kekitaan kepada anak-anak ketika mereka kecil lagi," ujarnya. Pesannya, ibu bapa sepatutnya mengajak anak-anak mereka menziarahi rumah saudara-mara dan jadikan ia sebagai amalan. "Jika mereka menjadikan rancangan televisyen sebagai alasan, pujuk mereka bahawa rancangan tersebut akan ada siaran ulangan dan ia boleh ditonton kemudian. "Aidilfitri setahun sekali sahaja dan amalan ziarah-menziarahi perlu dijadikan kemestian setiap kali lebaran," katanya. | |||||
Posted: 23 Aug 2012 06:11 PM PDT
ADA sesetengah pendapat mengatakan, seseorang itu tidak boleh memotong kuku dan perlu menyimpan rambut yang gugur ketika sedang haid. Tetapi, ada sesetengah pula yang membenarkannya. Boleh ustaz perjelaskan mengenai pertikaian pendapat ini. JAWAPAN: RAMAI yang masih tertanya-tanya tentang isu memotong rambut dan kuku ketika dalam haid. Di sini saya sisipkan jawapan Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya Ghiza' al-albab, 1/382). Beliau berkata: "Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati", malah Nabi memberitahu: "Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam)." Maka jelaslah bahawa dibenarkan, bahkan tidak dilarang untuk mencukur atau membuang apa-apa yang lebih daripada kebiasaannya yang tumbuh di tubuh kita. Oleh kerana arahan Rasulullah tidak menunjukkan sebarang penangguhan cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Mudah-mudahan jelaslah kepada sidang pembaca tentang persoalan ini. | |||||
Posted: 23 Aug 2012 06:10 PM PDT
APAKAH yang perlu dilakukan oleh seorang anak yang berdepan dengan ibu yang suka memaki hamun anaknya dengan perkataan yang amat mengguris hati seperti celaka, sial, binatang, jahil, laknatullah dan sebagainya hanya kerana kesilapan kecil seperti terlupa untuk menyapu sampah, menutup paip air dan seumpamanya. Walhal ibu tersebut telah mengerjakan haji dan umrah beberapa kali. Apa yang perlu dilakukan selain bersabar dan berdoa? JAWAPAN: PERTAMANYA, saya ucapkan tahniah kepada yang bertanya kerana masih bersabar atas kerenah ibu anda yang menyakiti hati anaknya, namun anda masih bersabar dan tetap berterusan berdoa. Di sini saya mengingatkan para ibu khususnya, ingatlah yang sesungguhnya bukan anak sahaja yang dikira derhaka jika menyakiti hati ibunya, tetapi ibu juga dikira berdosa dan zalim jika menyakiti hati anaknya. Sesungguhnya, doa ibu ialah doa yang paling makbul maka setiap perkataan ibu itu merupakan doa. Bayangkanlah wahai para ibu jika salah satu ucapan yang buruk sang ibu menjadi doa yang dimakbulkan Allah? Bukankah merana hidup si anak? Wahai para ibu janganlah ditukar syurga yang berada di telapak kaki ibu itu menjadi neraka kepada para anak! Adapun bagi si anak, tiada jalan melainkan jika mampu menegur si ibu, namun jika tiada jalan untuk menegur, teruskanlah berdoa dan bersabar. Janganlah pula berputus asa dan bertindak menderhakai ibu. Insya-Allah pasti akan terbit jalan bahagia untuk si anak di dunia mahupun akhirat. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 23 yang bermaksud:"...maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun). Persoalan ibu telah mengerjakan haji atau umrah itu berkaitan tentang ibadahnya kepada Allah. Maka, barang siapa yang baik hubungannya dengan Allah, tetapi masih buruk hubungannya dengan makhluk maka ia dikira buruklah hubungannya dengan Allah walaupun ibadah bergunung banyaknya. Mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada ibu anda agar dapat memperbaiki hubungan dengan anda. | |||||
Posted: 23 Aug 2012 06:07 PM PDT
MENDENGAR keluhan rakan-rakan sekelilingnya yang mengadu mengenai kulit mereka yang menjadi kemerah-merahan selepas menggunakan produk kosmetik pemutih kulit yang mengandungi hidrokinon, wanita ini tergerak untuk melakukan sesuatu. Rosniza Said, 43, yang berasal dari Pahang mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mengkaji dan melakukan eksperimen sendiri sebelum tampil dengan formula yang akhirnya melahirkan satu produk bersifat alami, Sabun Sulit. Sebelum memasarkan produk Sabun Sulit yang dihasilkan daripada 100 peratus bahan semula jadi, Rosniza memberikannya kepada rakan-rakan serta saudara terdekat untuk mencubanya. Selepas mendapat respons yang baik, anak kedua daripada lima beradik ini mengorak langkah untuk meluaskan lagi pasaran Sabun Sulit hasil eksperimennya sendiri. "Sabun ini sudah ada di pasaran setahun tujuh bulan. Sebelum ini, sudah tujuh tahun saya hanya menjual produk kecantikan dan kesihatan milik orang lain. terfikir juga, sampai bila hendak jual produk orang sahaja? "Bermula dari situlah, tercetus idea untuk mengeluarkan produk Sabun Sulit ini. Ia istimewa kerana tidak mengandungi bahan kimia hidrokinon yang banyak didapati di dalam produk pemutih," katanya yang ditemui baru-baru ini. Tona kulit sekata Tambah Rosniza, Sabun Sulit bukan sekadar bertindak untuk memutih malah mencerah dan menjadikan tona kulit lebih sekata. Ia juga boleh digunakan bagi membantu meredakan masalah ekzema. Penggunaan Sabun Sulit ini juga boleh digunakan bersama produk lain tanpa menyebabkan kerengsaan pada kulit kerana dibuat daripada ramuan semula jadi seperti kelapa, isi kelapa, minyak kelapa dara, bahan-bahan herba terpilih Malaysia selain asas sabun. "Ramai yang salah faham kerana namanya Sabun Sulit dan beranggapan ia digunakan untuk tujuan membersihkan alat sulit. "Sabun ini boleh digunakan untuk jerawat, memudarkan jeragat, mencerahkan celah paha dan ketiak," ujarnya sambil memberitahu bahawa ia sesuai untuk semua jenis kulit selain boleh digunakan di seluruh bahagian badan,
Seseorang itu perlu menggunakan Sabun Sulit ini sebanyak dua kali sehari. "Bagi tujuan cucian muka, lembapkan muka dan tangan dengan air dan kemudian sapukan buih sabun di seluruh muka dan leher. "Biarkan selama satu hingga dua minit untuk tujuan penyerapan sebelum dibilas. Ulang rutin tersebut semula bagi penyerapan yang lebih baik," katanya lagi. Pengguna akan dapat melihat perubahan selepas dua minggu penggunaan secara berterusan. Dijual pada harga RM39.90 seketul, Sabun Sulit ini mampu bertahan selama sebulan. Sabun Sulit ini juga boleh digunakan oleh mereka yang berumur 13 tahun ke atas dan wanita mengandung. Andai selepas penggunaannya kulit muka menjadi kering, Rosniza memberitahu seseorang itu boleh menggunakan apa jua pelembap bagi melembapkan kulit. "Jika sabun ini digunakan pada kulit muka, ia akan menjadi cerah dalam masa seminggu dan pigmentasi menjadi pudar dengan syarat penggunaan yang konsisten," jelasnya. Raih keyakinan "Ketika mula-mula mengeluarkan produk Sabun Sulit ini, ada kedengaran kata-kata sinis daripada orang sekeliling yang kurang yakin dengan kemampuan sabun ini kerana namanya yang kurang popular," ujar Rosniza. Wanita itu mengakui bahawa bukan mudah untuk meyakinkan pengguna. Dia terpaksa memberikan produk secara percuma terlebih dahulu bagi meraih keyakinan mereka dan terbukti ia membuahkan hasil. Berkat kesabaran dan melalui promosi mulut ke mulut, Sabun Sulit mula dikenali. Rosniza kini mengalu-alukan orang ramai yang berminat menjadi stokis dan ejen bagi memasarkan produk tersebut. Mungkin nama Sabun Sulit agak janggal dan ia mengundang konotasi negatif yang mengaitkannya dengan alat sulit tetapi pemilik DK Kosmetik Sdn. Bhd. ini punya alasan tersendiri. "Sulit merupakan idea spontan dan ia kedengaran lebih klasik daripada jenama-jenama produk kecantikan lain di pasaran. "Apabila orang mendengarnya, orang akan berminat nak mengetahui dengan lebih lanjut mengenainya," jelasnya yang melantik penyanyi dan pelakon Azzarima Zawari (Azza Elite) sebagai jurucakap produk tersebut. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan