Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Tak sabar sambut ‘orang baru’
- Mental, emosi mesti kuat
- Hormati 1 Syawal
- Usah persoal status Haq - NK
- Jom spa di mana saja
- Gangguan tidur berjalan
- Memaafkan tapi sukar melupakan
- Insaf setelah sakit
- Selera rumah terbuka
- Kisah raya selebriti remaja
- Close up bersama Fatin Liyana
- Rona pesona 1 Syawal
- Noramalina teruja sambut Syawal
- Gaya tradisional sambut Syawal
- Evolusi IFF
- Kasut leper lebih selesa
- Rawatan bakal pengantin
- Susu 1Malaysia selamat diminum
- Malaysia tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN
- Sakit belakang di usia muda
- Mamogram atau ultrasound
- Kawal pemakanan ketika beraya
- Jaga kebersihan cegah penyakit
- Serangan paru-paru
- Obesiti - ibu segala penyakit
Posted: 21 Aug 2012 10:26 PM PDT TIADA apa lebih bermakna bagi seorang manusia melainkan ketenangan jiwa. Malah, menerusi rasa tenang yang ikhlas lahir dari hati dan minda itu, secara tidak langsung menzahirkan keceriaan wajah yang tampak muda dan kacak. Itulah yang dilihat pada wajah Norman Hakim, tatkala pertemuan dengannya ketika sesi fotografi khas sempena Aidilfitri ini di samping isteri tersayang, Memey Suhaiza, 24. Apakah ia rasa ceria lelaki yang akan bergelar bapa? Biarpun sebelum ini, Norman sudah memiliki tiga cahaya mata - Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 3, hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Abby Abadi, dia bakal menimang cahaya mata lagi. "Barangkali, seri di muka ini muncul kerana jiwa dan minda saya sekarang makin tenang. Selain itu, saya juga sentiasa menjaga hati dan berusaha memastikan ia (hati) bersih daripada perasaan hasad dengki. Itulah yang saya doakan setiap hari. "Pun begitu, Aidilfitri ini nyata cukup bermakna buat saya dan Memey kerana semua kemelut lalu sudah selesai. Malah, kini kami berdua sudah menjalin hubungan baik dengan Abby dan ia nampaknya amat menggembirakan anak-anak. "Selepas beberapa tahun, tanggal 1 Ogos lalu melakar sejarah tersendiri dalam kehidupan kami bertiga. Selain membincangkan soal giliran anak-anak beraya, kami juga dapat berbuka puasa serta menunaikan solat bersama-sama. "Lebih menyenangkan hati saya apabila Abby dan Memey juga sudah boleh berpelukan dan berbual mesra sesama sendiri. Bagi saya, ia adalah hikmah Ramadan tahun ini untuk kami bertiga apabila masing-masing terbuka hati bermaaf-maafan," katanya. Ujar Norman, Aidilfitri kali ini juga adalah giliran dia bersama anak-anak meraikannya di Kuantan, Pahang, lebih dulu. Malah, pada petang raya pertama kami sekeluarga pulang ke Kuala Lumpur untuk beraya bersama Abby pula. "Selepas itu, baru saya dan Memey akan pulang ke Johor. Tak dinafikan, ini Aidilfitri yang amat bermakna bagi kami bertiga kerana semuanya sudah selesai. Kami sudah berbaik dan semuanya dilakukan demi kegembiraan anak-anak. "Tak dinafikan, anak-anak adalah 'orang tengah' yang bertanggungjawab membuatkan kami dapat berbaik semula. Sebagai bapa dan ibu, sudah pasti kami mahu memberikan yang terbaik serta kebahagiaan kepada anak-anak yang kian membesar. "Apapun, saya nyata tidak sangka Abby juga bersikap terbuka menerima kami. Malah, kalau sebelum ini dia (Abby) tidak bertegur dengan Memey, sekarang nampaknya sudah selesai. Seronok saya melihat mereka sudah boleh berbual bersama dan mengukir senyum," katanya. Malah, Norman juga berkata dia merancang untuk pergi bercuti seisi keluarga yang turut disertai Abby. Ujarnya, selepas ini mungkin banyak aktiviti bersama akan dilakukannya, Memey, Abby dan anak-anak berikutan tiada lagi masalah lalu yang menghantui. Sibuk menjayakan penggambaran drama KL Drift The Series terbitan Skop dan Cinta Yang Satu (Suhan Movies), Norman akui dia selesa menjadi pelakon drama dan telefilem. Katanya dia tidak pernah pun berasa terkilan tidak membintangi filem. Memey masak nasi ambeng untuk mentua KEBAHAGIAAN dirasai seorang wanita yang bergelar isteri pastinya meraih peluang meraikan Aidilfitri di sisi insan tercinta. Itulah perasaan dirasakan Memey yang teruja menyambut lebaran sebagai isteri. Katanya, apatah lagi ini adalah yang pertama kali. Malah, dia juga akan memenuhi permintaan ibu mentuanya yang meminta dia memasak nasi ambeng. Kata Memey, dia tidak keberatan untuk menyediakan hidangan tradisi masyarakat Johor itu kerana sudah biasa membantu ibunya di dapur ketika anak dara dulu. "Apapun sebelum ini, saya tidaklah begitu teruja sangat beraya kerana meraikannya seorang diri. Namun, sekarang semuanya sudah berubah dan kini saya mempunyai tanggungjawab menguruskan suami dan keluarga. "Malah, saya akui sangat gembira untuk menyediakan pelbagai makanan istimewa Johor untuk dinikmati suami dan mentua. Apatah lagi, abang pun tahu minat saya yang suka memasak. Malah, saya pun memang memasak untuk dia setiap hari," katanya. Berehat seketika daripada lakonan kerana alahan mengandung, Memey juga mengakui Aidilfitri kali ini sangat menggembirakan buat dirinya dan suami. Sama seperti Norman, katanya sudah tiada lagi kekusutan harus difikirkan kerana semuanya sudah selesai. Ujarnya, dia memang tak sangka akan berbaik dengan Abby selepas empat tahun mengharungi segala kemelut yang melanda mereka. Jadi, apabila semuanya sudah selesai ia adalah perkara yang sangat disyukuri ke hadrat Ilahi. Berbicara mengenai kandungannya, Memey berkata pada awal perkahwinan, memang dia ada merancang untuk tidak mendapatkan cahaya mata terlalu awal. Kononnya mahu puas hidup berdua dulu. Namun, dua tiga bulan selepas bergelar isteri, tiba-tiba saja keinginan memiliki anak timbul. "Apatah lagi, saya seorang yang sukakan kanak-kanak. Jadi, secara tidak langsung saya juga sudah bersedia untuk bergelar ibu pada usia muda. Lagipun, tak seronok rasanya kalau rumah tangga yang dibina tiada kehadiran cahaya mata. "Oleh itu, saya sangat bersyukur selepas sembilan bulan kami berkahwin, akhirnya disahkan hamil. Saya sedar diri mengandung ketika sibuk dengan penggambaran drama. Malah, ketika itu pun sudah mula kena alahan," katanya. Menurut Memey, demi kesihatannya dan bayi dikandung, dia mengambil keputusan berehat seketika sehingga melahirkan anak. Katanya, Norman juga mahu dia lebih banyak berehat di rumah kerana tidak mahu terjadi apa-apa sepanjang di lokasi penggambaran. |
Posted: 21 Aug 2012 10:24 PM PDT RAYA...Siti Norizan dan suami, Zulkefle bersama anak-anak, Ahmad Muhaimin serta kembar Muhammad Affan dan Muhammad Afnan. SESIAPA juga pasti teruja melihat keletah si kembar yang sangat menghiburkan hati. Apatah lagi memandang wajah seiras mereka dengan padanan yang sama sekali gus sukar mengenali siapa abang, kakak atau adik. Selain kegembiraan dikurniakan anak kembar, ramai ibu bapa mengakui persiapan daripada segi mental dan emosi sangat penting bagi memastikan mereka dapat menjaga anak kembar dengan penuh rasa tanggungjawab dan bersyukur. Persiapan atau bajet yang perlu dikeluarkan melebihi kebiasaan malah mungkin bertambah menjelang hari raya.
|
Posted: 21 Aug 2012 10:23 PM PDT KEDATANGAN 1 Syawal seringkali dinantikan dengan pelbagai persepsi. Di Malaysia, keghairahan menyambutnya telah bermula pada hari pertama Ramadan lagi. Malah dari hari ke sehari, umat Islam seolah-oleh tidak sabar-sabar menunggu kehadiran Hari Raya Aidilfitri, lebih-lebih lagi di hujung-hujung bulan Ramadan. Warga Islam dari semua golongan di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Golongan dewasa sibuk memastikan sambutan raya kali ini adalah yang paling meriah berbanding tahun sebelumnya. Golongan remaja pula sibuk memastikan hari raya nanti terisi dengan aktiviti-aktiviti bersama teman-teman. Manakala, anak-anak kecil asyik menagih pakaian dan kasut baru serta memikirkan agenda mengutip duit raya terbanyak. Daripada senario yang berlaku pada setiap kali hari raya Aidilfitri di Malaysia, ia menunjukkan bahawa masyarakat Islam kita begitu meraikannya dalam suasana yang penuh kegembiraan. Namun, apa yang menjadi persoalannya adakah kegembiraan meraikan hari kemenangan itu disambut sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam. Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz menjelaskan, pada zaman Rasulullah SAW di Mekah, pada masa itu mungkin umat Islam belum ada hari raya kerana belum ada lagi kewajipan berpuasa atau mengeluarkan zakat. "Mengikut riwayat pada tahun yang kedua selepas hijrah Nabi ke Madinah iaitu pada bulan Syaaban, baru turun ayat yang diwajibkan puasa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183) "Jadi apabila diwajibkan berpuasa itu ia adalah tempoh sebulan sebelum Ramadan dan kebetulan pada masa itu, orang Islam masih terikut dengan cara orang Yahudi di Madinah berhari raya. Pada masa itu, termasuk di Mekah sendiri telah ada sambutan hari raya di kalangan masyarakat Yahudi iaitu yang dikenali dengan nama Nairus dan Mahrajan. "Jadi cara mereka menyambutnya lebih menjurus kepada kemaksiatan seperti, minum arak, berjudi, berzina atau lebih tepat seperti sebuah pesta maksiat. "Kemudian, apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, perayaan sebegini masih lagi diraikan. Ini menambah kesedihan Nabi SAW kerana umat Islam turut sama meraikannya," kata Abu Hasan yang ditemui di rumahnya, petang Ahad lalu. Lantas tambah Abu Hasan, apabila sahaja disyariatkan berpuasa maka dalam bulan puasa itulah Nabi bertanya kepada umat Islam ketika itu: "Hendakkah kamu kalau aku tukarkan dua hari raya kamu itu dengan dua hari raya yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri?" Maka dari situ, barulah bermulanya syariat dalam Islam tentang hari raya. Malah cara perayaan hari raya umat Islam itu jauh berbeza dengan sambutan Yahudi. Nabi tegaskan dengan kata-katanya: "Hiasilah raya kamu dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran." Dalam konteks ini, ia jelas menunjukkan seolah-olah hari raya ini dikaitkan dengan soal ibadah iaitu mengadap Allah SWT, mengingat Allah SWT dan mengagungkan Allah SWT. "Sebab itulah diutamakan mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Umat Islam turut digalakkan untuk menziarah pusara, melawat sanak-saudara dan saling bermohon kemaafan. "Sayangnya apa yang berlaku hari ini, menerusi pemerhatian saya, orang kita terlalu berlebihan terutamanya dalam soal makan. Biarpun ia tidak salah tetapi janganlah hingga sampai kepada riak dan pembaziran," tegas Abu Hasan. Kebimbangan beliau disuarakan dengan melihatkan cara hari raya diraikan hari ini iaitu terlalu ke arah hiburan semata-mata dan ini terang-terangan telah menyalahi ruh Syawal itu sendiri. "Dibimbangi akan kembali seperti bagaimana orang Yahudi menyambutnya iaitu menerusi dua perayaan mereka iaitu Nairus dan Mahrajan. Ia seolah-olahnya pada hari kemenangan tersebut kita seperti berpesta. Contohnya paling mudah apa yang dihidangkan oleh stesen televisyen, radio dan panggung wayang. "Sepatutnya, saya mencadangkan pada 1 Syawal itu seharusnya isikan dengan slot-slot rancangan atau program dalam konteks agama, kalau boleh apa sahaja bentuk penerbitannya biarlah berunsur ibadat. "Malah pada zaman baginda Rasulullah SAW juga Aidilfitri hanya disambut sehari sahaja tidak seperti di negara kita ini yang menyambutnya sebulan dengan alasan telah berpuasa sebulan," ujarnya itulah kesilapan masyarakat Melayu Islam di sini. Hari kemenangan Menurut Abu Hasan lagi, Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu. Mengulas definisi sebenar kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan dalam konteks ini, terang Abu Hasan bagi orang yang berpuasa, dia layak menerima dua kegembiraan iaitu, ketika menyambut hari raya dan kedua ketika balik mengadap tuhan. "Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan. "Jumhur ulama berkata bergembira menurut hadis di atas ini iaitu farhatun. Dari segi bahasa ialah farhah dan perkataan ini berbeza dengan hiburan atau dalam bahasa Arabnya, lahwun. "Jadi menerusi hadis ini jelas perbezaan ketara antara perkataan farhah dan lahwun. Oleh sebab itu, pada hari raya kita bukannya ke arah hiburan tetapi lebih tepat ialah bergembira," kata Abu Hasan. Jelas beliau lagi, Allah SWT tidak mahu umat Islam pada saat itu bersedih, maka itu kita digalakkan bersedekah terutamanya pada sepanjang Ramadan. Ini supaya semua insan tidak kira, kaya atau miskin akan dapat meraikan Syawal mengikut kemampuan masing-masing. Pesan Abu Hasan, umat Islam perlu memahami, sekali gus dapat membezakan antara dua istilah ini dengan sebenar-benarnya. "Harapan saya agar semua pihak dapatlah menghormati satu hari ini sahaja iaitu pada 1 Syawal dengan benar-benar memeriahkannya secara Islamik," katanya. |
Posted: 21 Aug 2012 10:21 PM PDT UTUSAN MALAYSIA menjadi pilihan pelakon asal Singapura ini untuk merungkai segala misteri. Ini adalah temu bual pertama Norish Karman atau NK bersama media untuk menjelaskan segala-gala yang selama ini menjadi bualan banyak pihak, terutamanya tentang kehadiran orang baru dalam kehidupan keluarganya, Muhammad Haq Lutfie Alexander. Petang Rabu lalu, kami dipelawa untuk singgah ke lokasi di mana dia dan anak-anak kini menetap - sebuah perumahan elit di Mont Kiara, Selangor. Setelah berbulan-bulan sabar menanti dia berkata "ya" untuk temu bual ini, akhirnya kami berjaya menangkap NK. "Ini adalah masanya untuk saya bercerita. Jadi, saya jemput anda untuk datang kerana saya mahu mengotakan janji akan bercerita apabila sudah sampai masanya," demikian katanya pada awal bicara. Menurut NK, ketika hal dirinya hangat diperkatakan, dia lebih senang memilih diam. Ini kerana tidak mahu memberi kenyataan pada ketika rasa amarah sedang menguasai diri. Jauh sekali untuk melayan mulut-mulut tidak berperikemanusiaan yang hanya pandai membuat tuduhan. Fitnah, tidak boleh dilayan atau diberi perhatian yang menggunung, kelak akhirnya si penyebar akan semakin 'naik lemak', makin menjadi-jadi. "Nah, sekarang fikiran saya sudah okey. Saya sudah boleh ke depan. Alexander pun sudah besar, tak ada masalah untuk ambil gambar kami sekeluarga," katanya dalam senyuman yang ramah. NK memperkenalkan bayinya kepada kami, bayi yang selama ini dikatakan muncul dalam kehidupan pelakon ini secara misteri. Bayi comel berwajah bulat dan berambut ikal itu hadir ke dunia tanggal 24 September 2011. Melalui kaedah pembedahan, Haq lahir di sebuah hospital swasta di Subang Jaya. Bagaimanapun bagi NK, kehadiran bayi yang turut disapa 'baby Alex' itu bukanlah 'semisteri' kisah yang diperdebatkan di alam maya. Tidak juga seperti mana dalam catatan para blogger tidak beretika sebelum ini, yang menulis dengan niat memporak-perandakan kehidupan orang lain. "Haq anak saya. Saya yang mengandungkan selama lebih sembilan bulan dalam perut ini. "Ini anak saya, hidup mati saya. Bagaimana ia boleh hadir, itu urusan antara saya, keluarga dan Allah kerana saya tidak mahu mengenang lagi perkara yang sudah lepas," katanya tegas. Melihat sendiri bagaimana Haq dilayan, diusik, diulik dan dikelek, ternyata benarlah kehadiran bayi itu memberi nafas baru buat keluarga NK. Si kecil yang tidak banyak meragam, banyak ketawa dan disayangi kakak dan abang-abang, membawa ceria yang sarat. Selain Haq, tiga anak NK hasil pernikahan pertamanya ialah Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8. Dalam pertemuan ini, kedua ibubapa NK turut bersama. Sherifah Salmah Aljunied, 66, dan Karman Sukarjo, 74, turut dilihat memberi kasih sayang yang sarat buat cucu bongsu mereka itu. Kedua-duanya memberi dokongan bukan sedikit kepada NK, yang merupakan anak kedua dalam tiga beradik perempuan. "Saya selalu pesan kepada Norish, jaga diri elok-elok. Soal jodoh, berkahwin dan bercerai semula itu urusan Allah, kita kena terima segala-galanya. "Apa pun, rezeki yang Allah bagi kena terima, walau dalam apa juga keadaan. "Jaga anak-anak dengan baik, Insya-Allah, masa depan kita sempurna," demikian Sherifah mencelah, menitipkan pesan. Rancak bercerita tentang si kecil, perhatian beralih kepada pelbagai kisah yang dipersoalkan. Sudah pasti apa yang diceritakan orang terlalu banyak, ditokok tambah dengan "wartawan' tidak bertauliah di dunia maya, NK dilihat sebagai wanita tidak berhemah. Kata NK, terlalu banyak fitnah yang tersebar dan kebanyakannya tersasar jauh sehingga mengundang fitnah. "Cukup untuk saya katakan, saya seorang anak, wanita dan ibu. Saya tidak akan membuat sesuatu perkara yang tidak elok. "Saya tidak akan memberi contoh tidak baik kepada anak-anak saya sendiri. "Selepas ini apa sekalipun orang mahu fikir, saya sudah tidak peduli kerana saya tahu apa yang saya buat. Mempertahankan Haq adalah kerana anak ini rezeki Allah untuk saya juga," katanya. Gugurkan kandungan Berkongsi kegigihannya untuk mengandung dan melahirkan anak ke-empat, NK tanpa bersembunyi memberitahu bahawa dia pernah berhadapan dengan dilema. Ini ekoran pada usia awal kandungan sehinggalah kepada tujuh bulan, ada pihak seperti memaksa dirinya supaya tidak terus menyimpan zuriat berkenaan. Berkali-kali dia dipaksa supaya menggugurkan sahaja kandungan itu atas apa jua alasan mereka. Bagaimanapun naluri keibuan nekad mengatakan sesuatu yang memberi bahagia akan hadir bersama dengan kelahiran bayi itu. "Ramai yang di luar sana inginkan anak, kenapa saya perlu ikut kehendak mereka? Prinsip saya, biarlah kalau saya mati beranak, saya rela. Daripada mati kerana membuang anak sendiri, saya tak sanggup. "Saya seorang ibu, naluri keibuan saya sangat kuat. Saya berani pertahankan kandungan ini meskipun saya tahu hidup saya akan susah kerana akan menjaganya seorang diri. "Tak apalah, manusia boleh tidak suka kepada saya lagi. Manusia boleh membuang saya dan membenci saya. Ya, soal jodoh pada ketentuan Tuhan. "Tidak apalah. Terimakasih atas kesakitan yang diberikan kerana di situ saya semakin kuat, semakin dekat dengan Yang Maha Esa. "Allah SWT masih bersama saya. Ada doa daripada ibu bapa untuk saya. Doa itulah yang kekal membantu dan memberi sokongan pada ketika saya dihina dan dikeji. "Itu sudah memadai bagi saya sebagai seorang insan untuk meneruskan kehidupan," katanya. |
Posted: 21 Aug 2012 10:20 PM PDT SIBUK? tiada masa? tiada siapa yang boleh jaga anak? Itu semua bukan lagi alasan untuk wanita memanjakan diri. Dengan adanya spa bergerak, semuanya boleh direalisasikan hanya dengan berkata 'ya'. Memang diakui wanita kini majoriti memegang pelbagai tanggung jawab seperti pekerja, ibu, isteri, pelajar dan anak. Ini membuatkan mereka sukar meluangkan masa untuk memanjakan diri sendiri sedangkan ia juga penting bagi memastikan diri bersedia untuk mengharungi semua tanggung jawab tersebut dengan baik. Inisiatif yang diambil oleh Seri Spa yang melancarkan perkhidmatan spa bergerak, Seri's Mobile Spa adalah satu usaha yang amat bermanfaat untuk wanita hari ini. Pemiliknya, Seri Shamsidatul Safrun Mohamad Thani, 31, berkata, konsep itu seperti parti spa yang bertujuan memenuhi kehendak wanita yang ingin ke spa tetapi lebih selesa melakukan di rumah sendiri. "Ini disebabkan halangan kesukaran memandu, ada anak yang perlu dijaga atau menyusu badan, ingin berkongsi waktu lapang bersama teman dengan aktiviti penjagaan diri. "Parti spa ini juga boleh memberikan gambaran awal tentang rawatan diri bagi mereka yang mungkin tidak pernah ke spa atau ada tanggapan yang tidak tepat tentang spa," jelas Seri. Selain itu, menurut Seri, konsep itu boleh mencipta kelainan bagi bakal-bakal pengantin, remaja yang meraikan hari jadi dan ibu-ibu untuk meraikan hari istimewa. "Ahli keluarga seperti pengantin dan sepupu-sepupu dapat bersama dan eratkan silaturrahim di samping berkongsi kegembiraan menjalani rawatan bersama. "Perkhidmatan disediakan memang ada persamaan seperti yang ditawarkan di spa, tetapi bergantung pada kesesuaian. Ia lebih ringkas, tidak menggunakan mesin atau rawatan yang kompleks," jelas Seri yang mempunyai spa sendiri yang terletak di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor. Antara rawatan yang boleh dilakukan adalah facial, manicure, pedicure, urut badan, handspa, footspa, bodymask, bodyscrub dan sebagainya. Sesiapa yang berminat mencuba Seri Mobile Spa ini boleh lawati di facebook Seri's spa atau hubungi 0289263207. |
Posted: 21 Aug 2012 10:19 PM PDT BERJALAN semasa tidur, walaupun bukan sejenis gangguan yang mengancam nyawa, namun memberi risiko kepada individu berkenaan dan orang lain. Lebih-lebih lagi tidur berjalan ini bukan gangguan yang terpencil tetapi biasa dihidapi golongan kanak-kanak dan awal remaja. Mereka bukan sahaja boleh berjalan semasa tidur, tetapi juga boleh melakukan perbuatan seperti membuang air di dalam tandas, memandu kereta, bercakap, membuka pintu almari atau lebih bahaya lagi boleh mencederakan orang lain dan membunuh tanpa menyedarinya. Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pantai, Dr. Daniel Zainal Abdul Rahman, penyakit berjalan semasa tidur ini biasanya berlaku pada kanak-kanak dan awal remaja yang berumur lingkungan tiga hingga 14 tahun. "Kebiasaannya penyakit itu hilang dengan sendirinya ketika pesakit berusia lewat remaja," katanya. Beliau berkata, kanak-kanak dan awal remaja lebih mudah mendapat masalah ini berbanding orang dewasa disebabkan kitaran tidur mereka yang masih belum matang seperti orang dewasa. Kebiasaannya satu kitaran tidur yang lengkap dengan pergerakan mata pantas atau Rapid Eye Movement (REM) dan bukan REM, mengambil masa selama kira-kira 90 hingga 100 minit dan setiap malam seseorang itu melalui beberapa pusingan tidur REM dan bukan REM. Setiap pusingan itu dibahagikan kepada lima fasa dan tidur berjalan dikatakan berlaku semasa nyenyak di dalam tidur bukan REM (fasa tiga atau empat) di awal malam. Kata Dr. Daniel Zainal, seseorang itu kebiasaannya melalui kitaran tidur hingga peringkat empat dan lima secara puratanya. Namun apa yang berlaku pada kanak-kanak dan awal remaja, putaran tidur mereka hanya sampai ke peringkat empat. Tambahan pula, putaran peringkat tiga dan empat kanak-kanak dan awal remaja itu tidak sama dengan dewasa. "Terdapat perkara-perkara sensitif yang berlaku pada fasa tiga dan empat yang menyebabkan kecenderungan untuk berlaku sleepwalking. " Sebab itu pada peringkat akhir remaja, kebanyakan 80 hingga 90 peratus penyakit tidur berjalan yang dihadapi hilang sebab putaran fasa tidur mereka telah matang," katanya. Tingkah laku Dr. Daniel Zainal berkata mereka yang mengalami masalah tidur berjalan, kebiasaannya tidak akan mencederakan dirinya sendiri. Selain sukar untuk bangun, mereka juga tidak memberi tindak balas ketika bercakap. "Ketika ia berlaku, mata pesakit akan terbuka dan kelihatan berkaca-kaca namun tidak ada memori ketika itu yang menyebabkan mereka tidak ingat apa yang berlaku. "Kalau dia bercakap pun, butiran perkataan yang keluar itu perlahan dan sukar difahami. Senang kata, istilahnya, bercakap merepek," katanya. Kebiasaannya, mereka akan duduk di atas katil dan kemudian berjalan serta melakukan perbuatan yang berulang-ulang. Ketika itu jangan dikejutkan mereka, sebaliknya perlahan-lahan tunjukkan mereka supaya kembali tidur. "Penderita juga tidak melaluinya setiap malam, sebaliknya berlaku secara berkala, mungkin seminggu sekali, atau sebulan sekali," katanya. Cara atasi Mengenai diagnosisnya, Dr Daniel berkata kebiasaannya doktor akan mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlaku masalah bagi memudahkan dirujuk pada pakar tertentu. Sebagai contoh, sekiranya berpunca daripada denyutan jantung yang tidak teratur, beliau akan menasihatkan pesakit merujuk kepada pakar jantung. Namun sekiranya membabitkan tekanan perasaan, trauma yang dahsyat atau masalah tidur yang tidak teratur, beberapa langkah perlu diambil untuk menangani tekanan. Teknik-teknik menenangkan jiwa yang boleh dilakukan antaranya ialah meditasi, yoga atau zikir bagi orang beragama Islam. Untuk membantu penderita tidur berjalan, aspek keselamatan harus dititik beratkan di dalam bilik atau di dalam rumah bagi mengelakkan kecederaan. "Walaupun mereka tidak akan mencederakan dirinya, namun dibimbangi barang-barang di dalam rumah yang tidak selamat boleh mencederakan mereka seperti benda tajam dan yang mudah pecah seperti kaca yang perlu dijauhi," katanya. Langkah lain dengan memasang pintu keselamatan di luar bilik mereka atau di tangga serta menambah kunci keselamatan pada pintu bagi mengelakkan seseorang yang tidur berjalan ini keluar dari rumah. |
Memaafkan tapi sukar melupakan Posted: 21 Aug 2012 10:16 PM PDT SEMPENA hari baik bulan baik ini maka eloklah kita mengambil kesempatan mengeratkan hubungan silaturahim dan bermaaf-maafan. Lupakan segala kekurangan dan kesilapan serta jalinkan semula hubungan yang putus, dingin atau renggang. Apabila sebut tentang bermaaf-maafan ini, satu perkara yang sering mengganggu fikiran adalah bagaimana mahu memaafkan sedangkan ia sukar dilupakan. Ramai orang memendam rasa, makan hati dan hidup dengan kecederaan emosi selama bertahun-tahun kerana tidak mampu atau tidak sanggup memaafkan. MindaMinda menarik apa yang ada dalam fikiran. Minda yang lemah dan negatif akan menarik perkara buruk dan negatif kepadanya. Mata nampak apa yang hati mahu lihat. Apabila hati mengiyakan seseorang itu sebagai tidak baik maka mata nampak apa sahaja keburukan dan kekurangan yang ada pada orang tersebut. Segala kebaikan yang cuba dilakukan akan dianggap sebagai tidak ikhlas atau pura-pura. Sebaliknya hati yang bersih disertai minda positif akan menarik segala kebaikan, rezeki dan peluang kepadanya. Sebab itulah ada orang yang kita lihat sentiasa murah rezeki dan bernasib baik. Sebenarnya mereka ini bukan mencari rezeki sebaliknya menarik rezeki. Allah izinkan rezeki itu datang kepadanya tanpa henti. Semuanya kerana hatinya bersih dengan meminta maaf pada semua orang dan setiap malam memaafkan pula semua orang tanpa syarat. Saya teringat waktu mengambil Ph.D di Australia dahulu. Disebabkan kesusahan hidup, saya telah amanahkan duit elaun yang masuk ke akaun setiap bulan kepada ibu saya. Saya tinggalkan kad ATM kepadanya kerana bimbang jika beliau memerlukan duit secara terdesak sedangkan saya pula berada di luar negara. Sekurang-kurangnya dapatlah ibu mengeluarkan duit itu bagi menampung keperluannya dan adik-adik. Entah di mana silapnya, tanpa pengetahuan saya dan ibu, ada orang lain mengeluarkan keseluruhan duit tersebut yang jumlahnya hampir RM20,000. Bagi saya, yang ketika itu berusia awal dua puluhan dan peristiwa itu berlaku dalam tahun awal 80-an, jumlah sebanyak itu adalah sangat besar. Tambahan pula saya datang dari keluarga yang miskin. Ketika itu hati saya sakit, hinggakan saban hari saya mendoakan agar Allah berikan balasan yang setimpal ke atas si pelaku. Hati dan fikiran saya penuh dengan rasa dendam, marah dan tidak pernah tenang. Hinggalah satu hari, di pagi raya, saya maafkan si pelaku dan berdoa agar Allah berikannya petunjuk dan hidayah. Di saat itu juga saya rasa bagaikan satu beban yang besar diangkat oleh Allah daripada diri ini dan jiwa serta-merta menjadi tenang, reda dan syukur. Nikmatnya ketika itu hanya Allah sahaja tahu. Memadamkan perasaanSebenarnya melupakan peristiwa yang telah berlaku atau orang yang melakukannya itu bukanlah syarat bagi memberikan kemaafan. Yang perlu dihilangkan atau dikikis adalah perasaannya bukan memorinya. Perasaan negatif seperti kecewa, marah, benci, dendam dan seumpamanya perlu digantikan dengan perasaan positif seperti memaafkan, reda, sabar dan syukur. Inilah yang akan memberikan kita kekuatan dan ketenangan. Malah apabila teringat semula apa yang berlaku, perasaan sudah tidak merasa apa-apa. Sebaliknya memori tentang apa yang pernah berlaku itu biarlah disimpan sebagai pengalaman yang mematangkan dan mendewasakan kita. Yang penting peristiwa atau perbuatan itu tidak diungkit atau tidak disebut-sebut lagi. Ada yang beranggapan bahawa bagi memadamkan perasaan maka perlu dipadamkan juga memori. Tanggapan sebegini silap. Misalnya kalau kita pernah ditipu oleh orang hingga kita rasa marah dan dendam, maka yang perlu dipadamkan adalah perasaan marah dan dendam itu lalu digantikan dengan perasaan sabar dan reda. Memori usah dipadam sebab ia pengalaman yang amat berharga dan mahal nilainya. Kalau dipadam juga memori hingga lupa apa yang telah berlaku maka mudahlah kita ditipu oleh orang yang sama atau cara yang sama berkali-kali. Pastinya kita tidak mahu hingga berlaku sebegitu. Memaafkan pula bukanlah bermakna tidak boleh mencari keadilan atau menuntut hak kita. Dengan sabar dan reda, tetap boleh dicari keadilan bagi mendidik si pelaku agar tidak menjadikan orang lain pula sebagai mangsa. |
Posted: 21 Aug 2012 10:15 PM PDT KESETIAAN isteri kepada suami, tidak boleh dipersoalkan kecuali ada kes-kes terpencil isteri sanggup menduakan suami. Itupun mungkin hatinya telah hancur tertipu oleh suami. Macam saya, berbelas tahun berkorban, akhirnya ditipu suami yang menyimpan kekasih gelap.'' Itu cerita Noorizani dalam e-melnya dan ketika kami berbual panjang. ''Walaupun perkahwinan saya awalnya tidak direstui ibu bapa kerana perangai suami saya Harry kurang sopan, atas desakan saya, mereka akur. Dalam waktu sama, ibu bapa Harry pun tak sukakan saya sebab mereka sudah ada calon dan takut saya membolot wang ringgitnya. ''Ibu bapa Harry izinkan kami nikah dengan syarat mesti tinggal di rumahnya. Dua tahun saya bersabar, lepas itu saya nekad cari rumah sewa. Bukan memilih tapi saya tak sanggup tinggal di rumah kecil dengan sembilan adik beradik Harry, tak termasuk ibu bapanya. ''Kerana ingin ringankan beban suami, saya minta dia bayar ansuran kereta, sewa rumah, bil air dan letrik, yang lain semua saya pikul. Makan minum, upah pengasuh anak, duit tadika dan tambang bas. ''Habis hutang kereta saya fikir Harry akan bantu tapi dia kata itu bukan tugasnya. Bila ada duit lebih, bukan dia nak simpan tetapi enjoy. Oleh kerana saya sibuk menguruskan rumah, anak-anak selain membantu mereka belajar, saya tak ambil kisah setiap kali dia kata nak keluar jumpa kawan-kawan. Masa berlalu membuatkan Harry bebas bagaikan burung terbang. ''Bila anak-anak semakin membesar dan saya sedikit lapang, saya perasan gaya hidup Harry banyak berubah. Pada 2007 saya syak Harry ada kekasih gelap. Itu pun bila anak terbaca SMS dalam telefon Harry. ''Anak saya hairan di skrin telefon keluar nama lelaki Karl tetapi SMS itu berbau cinta, rindu, ajak Harry segera ke rumahnya. Saya pun biasa lihat nama tersebut di telefonnya, tetapi fikirkan lelaki saya tak ambil kisah. Takkan suami saya gay? Puas saya desak Harry, akhirnya dia mengaku Karl singkatan Kartini. Ibu tunggal tiga anak berumur 40 tahun. Namun Harry dakwa dia kawan biasa. ''Saya tak yakin lalu cari jawapan sendiri. Saya dapati Harry selalu gunakan kad kredit. Saya selidik bilnya - makan di hotel, beli beg tangan, kasut, pergi Jakel, membeli-belah barang keperluan dapur di Tesco. Tapi sejak kahwin Harry tak pernah keluar duit untuk beli barang makan kami anak beranak, beli beg tangan saya atau sebagainya. Jadi ke mana barang tersebut? Untuk siapa? ''Bila Harry tertinggal telefon saya hantar SMS tanya apa hubungannya dengan Harry. Dia tak jawab. Tapi bila saya hantar SMS guna telefon saya, dia jawab. Katanya kalau nak tahu siapa dia, tanyalah B (Harry). Katanya lagi, dia hendak tumpang kasih yang berlebihan dan menutup mana yang kurang, katanya dia tak pernah jumpa lelaki sebaik Harry. ''Bila balik saya desak lagi Harry supaya bercerita, dia mengaku hendak berkahwin dengan janda tersebut. Alasannya kesian janda tu anak yatim. Macam nak putus jantung saya. Anak yatim? Kalau anak yatim saya pun akan bantu. Tapi janda tu dah tua dekat sebaya saya dan bekerja? Saya sedih dia tak pernah kesiankan saya yang berkorban lebih 20 tahun untuknya. Dia sanggup beri anak orang makan, anak sendiri suruh saya tanggung. ''Tak cukupkah pengorbanan dan layanan saya selama ini? Nak makan nasi mesti disenduk ke pinggan, dicedokkan lauk pauk untuknya. Itu bukan layanan ke? Sejak kisah cintanya terbongkar, dia tak makan di rumah, minum teh waktu sarapan pun dia tolak, takut saya mandrem. ''Saya ceritakan halnya pada mertua tapi Harry lebih dulu burukkan saya, katanya saya suka baca SMS dia, suka buka dompetnya dan periksa semua panggilan telefonnya. Jadi tentu emaknya tak percayakan saya. Hubungan kami sentiasa tegang tapi dia tak mahu ceraikan saya. ''Anak saya pernah nampak kereta mewah ayahnya penuh makanan ringan bertaburan, tisu dan barang mainan. Sedangkan mereka tahu ayah mereka tak suka keretanya kotor. ''Sejak skandal Harry terbongkar Karl sentiasa hantar SMS mengutuk saya. Dia uji saya dengan letakkan tisu kesan gincu dalam kereta, tanda pada kolar baju Harry. Walau pelbagai cara dilakukan, saya masih tak bergaduh dengan Harry dan tidak diceraikan. Karl hantar gambar dia berpeluk dengan Harry dan surat layang mengutuk saya, bukan sekali tapi tiga kali. Dia gunakan nama orang lain. Semua surat dan gambar saya tunjuk pada Harry. Harry tuduh orang buat fitnah tapi saya bukan bodoh. ''Ada gambar dia poskan, ada yang diselit celah pintu rumah. Kali ketiga dia ketuk pintu rumah pukul 2 pagi. Anak saya belum tidur dia buka pintu dan nampak gambar itu. ''Oleh kerana dia berani masuk ke pekarangan rumah saya tengah malam, saya beritahu mertua bahawa saya akan buat laporan polis. Manalah tahu kerana tak dapat kahwin dia simbah asid ke muka kami. Saya beritahu mertua, saya rela bercerai daripada bermadu dengan wanita separuh gila seperti ini. ''Selepas peristiwa itu Harry dan Karl bergaduh besar. Tak tahu apa kesudahannya tapi yang jelas Harry jual kereta mewah kesayangannya. Dia tak ada masalah ke tempat kerja kerana ada motor. Kereta mewah untuk dia bertandang rumah kekasih. ''Walaupun peristiwa ini sudah lama berlalu, tetapi kenangan hitam tetap kekal di hati saya. Lebih menyakitkan bila teringatkan sikap mertua yang memenangkan anaknya dan salahkan saya dalam kes tersebut. Namun Allah maha besar, peristiwa sama terkena ipar saya, yang akhirnya bercerai. ''Kini rumah tangga saya aman sedikit kerana Harry jatuh sakit. Sejak itu dia insaf. Dua minggu dia terlantar di hospital kerana tekanan darah tinggi. Nasib tak kena strok. Baru Harry sedar siapa yang membantunya selama ini. Siapa di sisinya ketika dia susah. "Saya semakin takut dengan ujian Allah. Pada saya inilah balasan orang yang menganiaya saya. Kata Harry dia tak mahu kahwin dengan janda itu sebab tak mahu bela anak orang. Setelah jatuh sakit baru dia sedar diri. ''Biarpun peristiwa pahit itu telah lama berlaku, bukan mudah untuk saya lupakan. Perbuatannya mengikis kepercayaan dan kasih sayang yang saya curahkan selama 24 tahun hidup bersamanya.'' Demikian cerita Noorizani. Selamat hari raya, maaf zahir batin kepada pembaca semua. |
Posted: 21 Aug 2012 10:14 PM PDT HARI raya akhirnya tiba. rendang tok, ketupat palas, lemang, sate, sambal kacang, dodol dan lontong, antara juadah yang bakal menjadi buruan di setiap rumah terbuka. Kenapa perlu membasahkan baju raya baru yang indah dipakai pada hari raya dengan beraksi di dapur menyediakan semua itu, sedangkan kini pelbagai promosi rumah terbuka sudah tersedia. Sama ada mengadakan majlis rumah terbuka di restoran atau dewan hotel, terdapat juga yang menawarkan perkhidmatan ke rumah lengkap dengan pelayan, dekorasi raya, sistem PA malah pengacara majlis bagi memeriahkan suasana. Berikut beberapa restoran dan hotel yang ada menyediakan perkhidmatan majlis rumah terbuka sepanjang Syawal ini. |
Posted: 21 Aug 2012 10:08 PM PDT SETIAP kali menjelang lebaran, pasti ada kenangan yang tidak boleh kita lupakan. Ada yang mencuit hati, ada yang hiba, malah ada juga cerita yang agak sukar dipercayai namun ia berlaku. Baru-baru ini, .com sempat bertemu janji dengan empat selebriti remaja untuk berkongsi kisah raya mereka. Setiap mereka punya cerita yang sama, iaitu kenangan hari raya walaupun lapangan kerjaya mereka berbeza-beza. Berikut antara bingkisan kisah yang sempat .com coretkan untuk bacaan pembaca .com. Pertama kali beraya tanpa nenek RAYA mungkin tidak semeriah dulu, lebih-lebih lagi pemergian nenek yang sangat dikasihi pada tahun ini. Itulah luahan pertama yang diucapkan, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, 21, apabila diajukan soalan mengenai kenangan hari raya bagi dirinya. Mungkin ramai yang tidak tahu di sebalik kecekalan dan perjuangan pelumba motosikal negara ini dia merupakan seorang cucu yang begitu rapat dengan neneknya. "Boleh dikatakan bahawa saya ini anak nenek, sebab saya dijaga oleh nenek sejak dari kecil dan tinggal juga dengannya di kampung saya di Banting. "Tahun ini, keadaan raya mungkin tidak sama macam dahulu, kerana nenek sudah tiada. "Dia merupakan orang yang paling tua dan paling dihormati oleh semua ahli keluarga, jadi semua akan berkumpul dan meraikannya dengan meriah bersama-sama. "Apabila dia sudah tiada, mungkin suasana itu tidak akan sama dan saya amat rindukan nenek saya," katanya. Beliau yang juga pelumba Moto3 ditemui ketika pulang bercuti baru-baru ini di Sepang, turut berkongsi kemeriahan raya ketika zaman kanak-kanaknya. Seperti kanak-kanak lain, Fahmi juga bermain bunga api dan mercun. Kadang-kala dia turut bermain meriam buluh walaupun tahu ia adalah salah di sisi undang-undang. "Dahulu saya sering juga bermain permainan ini, tetapi kini tidak lagi. Kadang-kadang masih terasa rindu untuk melakukannya lagi. "Remaja zaman sekarang tidak merasai suasana seperti itu terutama di bandar, mungkin berbeza di kampung kerana permainan seperti meriam buluh, mercun dan pelita masih lagi dipraktikkan ketika menyambut hari raya," katanya. |
Posted: 21 Aug 2012 10:07 PM PDT BLOGGER Pilihan .com pada kali ini bukan calang-calang orang, kerana sekitar Mac lalu, gadis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu telah memenangi Anugerah Penulis Blog dan Media Sosial 2012 untuk kategori Blog Selebriti Terbaik. Bayangkan, semenjak blog peribadi milik Nur Fatin Liyana Asri atau lebih mesra dengan panggilan Fatin, 23, dibuka pada 2009 ia telah menunjukkan paparan skrin atau pageview sebanyak 13.4 juta pembaca sehingga Isnin lalu. Jadi tidak hairanlah, pelajar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu kini digelar blogger selebriti tanah air biarpun pada awalnya dia hanya menulis blog untuk berkongsi tentang suka duka hidup di perantauan. Pada pertemuan singkat di Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, .com telah berkesempatan mencungkil beberapa rahsia pemilik blog http://honeykoyuki.blogspot.com yang tidak didedahkan kepada pengikut-pengikut setianya selama ini. Anak kedua daripada empat adik-beradik ini juga berkongsi cerita persiapannya menyambut 1 Syawal kali ini. - LYNN / AMIN FARIJ HASAN & NADZIRAH .COM: Ceritakan mengenai idea untuk membuat blog? FATIN LIYANA: Pada mulanya, saya sekadar mahu menulis diari tentang kehidupan sebagai pelajar di Bandung, Indonesia tetapi apabila menyedari tulisan tangan saya agak buruk, niat untuk menulis diari terpaksa dilupakan. Bagaimanapun, salah seorang sahabat karib saya mencadangkan agar saya menulis blog dan terciptalah blog yang bernama 'honeykoyuki'. Perangai pelik yang tidak diketahui pengikut-pengikut blog… Baik buku, drama atau filem saya lebih cenderung membaca atau menontonnya sekiranya mengandungi genre misteri, teori konspirasi atau kisah pembunuhan tapi yang paling penting, ia adalah berdasarkan kisah sebenar. Sebabnya, jika saya berasa sangsi tentang kes tersebut saya akan terus membuat carian di Google hingga ke akar umbinya. Apabila mula membuat carian di Internet, saya boleh leka hingga dua atau tiga hari dan hanya akan berhenti, setelah berasa puas dengan maklumat yang diperolehi. Apakah cita-cita Fatin semasa kecil? Percaya tak, semenjak kecil saya sebenarnya tidak mempunyai cita-cita. Kalau orang tanya mengenai cita-cita, saya akan berikan macam-macam jawapan. Selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berada dalam dilema kerana tidak tahu nak buat apa pada masa hadapan. Ada kalanya, saya terfikir untuk bekerja sahaja di kedai perkakas milik ibu sahaja. Ketika berada di matrikulasi barulah saya yakin bidang perubatan itu sebenarnya telah ditakdirkan untuk saya. Sebenarnya, semasa di matrukulasi saya tidak suka mata pelajaran biologi tetapi disebabkan guru yang mengajar itu sangat garang, saya jadi pelajar yang rajin. Lama-kelamaan, saya jatuh cinta dengannya! Persiapan Syawal Fatin? Sebenarnya, sudah tiga tahun berturut-turut pakaian raya saya abah yang belikan. Maknanya, sudah tiga tahun juga pakaian raya saya sedondon dengan ibu. Kesibukan menghadiri kuliah membuatkan saya kesuntukan masa untuk membuat persiapan hari raya. Melihatkan keadaan itu, abah dengan rela hati membelikan pakaian saya. Apabila makin dewasa ini, saya menjadi tidak kisah tenang persiapan raya. Apa yang ada, saya akan pakai sahaja. Tapi semenjak blog 'honeykoyuki' dikenali ramai, selalu juga pakaian raya saya mendapat tajaan. Bagaimanapun pada Syawal kali ini, saya begitu teruja untuk membuat kuih raya sendiri memandangkan pada tahun lalu, saya langsung tidak 'enjoy' beraya kerana dibebani dengan tugasan. Ucapan untuk pengikut-pengikut blog Fatin… Buat pengikut-pengikut blog 'honeykoyuki', saya ingin mengucapkan selamat hari raya. Di kesempatan ini, saya ingin menyusun 10 jari memohon maaf sekiranya ada penulisan saya selama ini yang melukakan hati mana-mana pihak. Selamat hari raya! Berhati-hati ketika memandu, ingatlah orang tersayang… ;) Penghargaan: Pakaian ditaja oleh Arlene Boutique (www.arlene.my) |
Posted: 21 Aug 2012 10:05 PM PDT SETIAP kali tiba Aidilfitri, busana baru dan cantik tidak akan dilupakan. Tidak kira berhari raya di kampung atau di bandar, muda atau tua, semuanya menyediakan busana baru. Ia sebagai tanda keceriaan dan keseronokan menyambut Aidilfitri setahun sekali. Antara yang mencuri perhatian koleksi batik kontemporari Rubaq yang diperagakan pelakon, Natasya Hudson. Rubaq yang bermaksud rumah batik menghasilkan busana batik lukisan tangan yang eksklusif. FesyenJenama ini membawakan fesyen yang mewah, eksotik, terkini dan versatil. Pengasasnya, Profesor Zaharah Ahmad Osman dan anaknya, Shazmin Kushairi ingin menjadikan Rubaq sebagai rumah batik eksklusif. "Kami di sini akan menjadi ilham gaya hidup dan peribadi anda," ujar mereka penuh yakin. Citarasa pakaian sedia pakai yang mewah ini juga sesuai untuk gaya kasual dan rumah terbuka Aidilfitri. Selain menarik, secara tidak langsung koleksi ini mengetengahkan ciri warisan negara. Tidak terikat dengan corak batik tradisional, potongan serta rekaan kontemporari penting untuk mengangkat martabat batik negara. Tidak terhad pada warna lazim seperti hitam, putih atau semula jadi, Rubaq turut mengetengahkan warna ceria dan muda. |
Noramalina teruja sambut Syawal Posted: 21 Aug 2012 10:03 PM PDT BAGAIKAN satu kemestian, selain ayah bonda, sinar Syawal pertama ditemani ahli keluarga. Pasti terasa syahdu di hati jika tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman dek tuntutan tugas. Noramalina Ab. Rahman, 22, antara insan bertuah kerana dapat meraikan lebaran bersama ahli keluarga. "Namun berbanding orang lain yang seronok merancang perjalanan balik ke kampung, bagi kami sekeluarga, Kuala Lumpur adalah kampung. Kelebihannya, kebanyakan ahli keluarga tiada masalah untuk berkumpul pada hari raya pertama di sini. Bagi saya, ia lebih bermakna berbanding 10 pasang baju baru,'' ujar gadis hitam manis ini. Menurut Noramalina, ikatan kekeluargaan akan dipupuk lebih mesra pada hari raya. "Kita jarang dapat berkumpul dan bersembang, jadi kesempatan yang ada pada cuti raya pasti digunakan sepenuhnya untuk mengeratkan tali kekeluargaan,'' ujarnya. Rutin Bercerita tentang rutin hari pertama Syawal, mereka sekeluarga sibuk mengemas rumah, kemudian sembahyang sunat Aidilfitri. "Selepas menunaikan solat, kami sekeluarga akan menziarahi pusara. Setelah itu, kami pulang ke rumah untuk bertemu dengan saudara-mara dan saling bermaaf-maafan,'' katanya. Bagi pramugari ini, juadah wajib di hari raya adalah ketupat dan rendang. "Selain dapat berkumpul dengan keluarga, hari raya juga adalah masa untuk kita menikmati juadah tradisional. "Kalau dulu, masa kanak-kanak, saya seronok mendapat duit raya tetapi kini saya gembira bertemu serta bergurau dengan saudara-mara,'' ujarnya yang gemarkan fesyen ringkas. |
Gaya tradisional sambut Syawal Posted: 21 Aug 2012 10:03 PM PDT KOMPLEKS Kraf Kuala Lumpur merupakan pusat kraf setempat yang memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat lagi keindahan dan keunikan produk tempatan. Hasil kraf yang ditonjolkan oleh usahawan-usahawan kraf tempatan membuktikan bahawa nilai estetika yang beridentiti nasional memiliki daya tarikan tersendiri. Pelbagai produk kraf yang ditawarkan meliputi cenderamata dan hadiah, busana dan aksesori, perhiasan rumah serta perabot. Semestinya busana dan aksesori menjadi keutamaan kaum Hawa, lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang menjelang tiba. Butik Karyaneka yang terletak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur menampilkan aneka busana, kain ela, hiasan rumah, aksesori hiasan diri dan lain-lain kraf termasuk tekstil batik, tenunan dan songket yang bercorak eksklusif. Fesyen anggun lagi menawan yang ditawarkan ini amat sesuai digayakan untuk ke majlis rasmi ke pejabat mahupun bersantai. Busana lelaki dan wanita yang diperagakan itu berjumlah 40 pasang. Ia ditampilkan pada majlis pra-pelancaran promosi kraf Aidilfitri 2012 baru-baru ini dan kelihatan begitu mempesonakan. Sulaman dan tenunan yang dipersembahkan berkonsepkan pop art dan kontemporari. Usahawan kraf seperti Anizz Amaizing, Unique Works, Kraf Holdings, Pua Indah Enterprise, Zul Azizul Enterprise, Shadow Of Pink, Dimu Designs Sdn. Bhd., Seem Noor Batek, IReka, SMSB Jaya Edar, Nie Batik, Unique Touch Enterprise, Karyaneka, Sanggar Layar Galeri Sdn. Bhd., Bujin L Batik, RM Batik, Batik Aziz CB dan YNR Collections menampilkan tekstil yang menggunakan batik seperti baju kurung tradisional dan moden, set pario dan shawl, kebaya serta baju Melayu. Hasil buatan tangan tempatan seperti busana dan aksesori tidak kurang hebatnya. Tekstil yang digunakan ini mempunyai kualiti dan keunikan serta menyerlahkan keanggunan si pemakai. |
Posted: 21 Aug 2012 10:01 PM PDT "IFF paling jelas untuk memberitahu seluruh dunia mengenai keindahan fesyen dalam konteks agama Islam. Saya mahu membantu mengelakkan salah faham setengah pihak bahawa Islam ada pertalian dengan keganasan. "Kerana itu IFF mengembara dari satu kota ke satu kota untuk menyatakan bahawa evolusi fesyen Islam sentiasa berlaku. Secara tidak langsung, ia akan mudah menarik perhatian bukan Islam untuk mendekati dan memahami dengan lebih jelas budaya umat Islam," kata Raja Rezza merumuskan penganjuran IFF 2012 yang baru-baru ini berlangsung di kota percutian popular, Bali. Kehadiran IFF 2012 ke Bali jelas beliau, merupakan janji penganjur untuk meluaskan lagi pengaruh fesyen Islam di destinasi-destinasi liburan popular antarabangsa. Ini kerana, kunjungan sedemikian akan membantu membuka pasaran fesyen Muslim di peringkat yang lebih luas. Apa lagi kehadiran IFF kali ini ke Bali dianggap cukup istimewa kerana pentas peragaan itu turut berjaya menarik kehadiran pereka fesyen ternama, Milo Migliavacca iaitu salah seorang daripada pereka bukan Muslim yang tidak asing dalam industri fesyen Indonesia. Milo merupakan nama yang sangat gah di pentas fesyen Indonesia. Persetujuan beliau memperagakan fesyen berteraskan tema The Splendour of Bali disifatkan Raja Rezza sebagai satu kejayaan bagi IFF edisi ke-22. "Saya secara peribadi menganggap penglibatan Milo dalam IFF memberi sinar dan warna lebih ceria dalam gaya busana Muslimah. "Untuk seorang pereka berpengaruh seperti beliau menyokong penuh objektif IFF merupakan satu hal yang menarik kerana selama ini beliau bukannya menghasilkan busana Muslimah, tetapi di IFF Milo telah memberikan sentuhan yang luar biasa," ujar Raja Rezza lagi. Rekaan dinamik Sejak IFF diperkenalkan pada 2006, keindahan busana Muslimah memperlihatkan betapa fesyen berkenaan semakin diterima di peringkat antarabangsa. Melalui penyertaan pereka-pereka fesyen ternama tempatan dan antarabangsa, evolusi fesyen Islam berlaku dengan pantas. Tiada lagi identiti busana Muslimah yang stereotaip, sebaliknya, suntikan baru yang diberikan oleh pereka-pereka fesyen membuatkan rekaan Islam semakin dinamik dan segar tanpa mengenepikan tuntutan-tuntutan Islam. Tentu sekali, pereka-pereka yang dijemput memberikan komitmen dalam IFF sudah diberi peringatan awal-awal bahawa mereka tidak boleh mengabaikan tuntutan syariat Islam. Kerana itu, pada IFF edisi Bali baru-baru ini, kehadiran nama-nama besar dalam industri fesyen seperti Datuk Farah Khan dan Datuk Tom Abang Saufi dari Malaysia, Milo dan Paul Ropp (Indonesia) serta pakaian renang berteraskan Islam rekaan Nuraini Mohd. Ariffin dan Nor Aini Shariff telah memberikan justifikasi terhadap apa yang diharapkan oleh penganjur. Bagi Farah Khan, penyertaan kali pertama beliau dalam IFF memberikan satu perspektif baru kepadanya mengenai keindahan fesyen Islam yang boleh diteroka dengan pesat lagi pada masa depan. "Pada saya, menghasilkan fesyen Islam merupakan satu cabaran kerana setiap pereka harus memelihara kesucian agama itu dalam segenap aspek. "Paling utama ialah bagaimana untuk memberikan sentuhan yang tidak terlalu menonjolkan tipikal Islam. Sebaliknya, perlu ada gabungan rekaan yang dinamik dan segar tetapi menepati kehendak syariat," ujar pereka ternama Malaysia itu. Apa yang menariknya, IFF yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga sentiasa mendapat sokongan padu daripada keluarga diraja Melayu terkenal di Malaysia, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah. Pasangan diraja itu yang tidak pernah putus memberi sokongan pada IFF berpandangan, acara fesyen sedemikian boleh memberi perspektif baru kepada masyarakat Malaysia mengenai perkembangan fesyen tempatan ke peringkat global. "Apatah lagi dengan teras Islam yang ditonjolkan dalam IFF boleh membuka ruang perniagaan yang luas bagi pereka fesyen khususnya pereka tempatan untuk meneroka pasaran industri fesyen dunia yang selama ini didominasi oleh rekaan moden dan berpaksikan barat," titah baginda kepada Utusan Malaysia mengenai acara fesyen yang juga bakal dibawa ke Arau, Perlis menjelang hujung tahun ini. Paling relaks Berbeza dengan penganjuran IFF sebelum ini, pentas peragaan festival fesyen berkenaan di pulau percutian Bali ini dianggap paling relaks dan berjaya menawan hati pencinta-pencinta fesyen. Berlangsung di tepi pantai, acara ini masih tidak mengabaikan persembahan bertaraf lima bintang bersesuaian dengan hasrat menjadikan IFF salah satu daripada pentas peragaan popular dunia. Buat kali pertama, Raja Rezza dan seluruh pasukan kerjanya memilih mengadakan IFF di luar dewan seperti kelazimannya sebelum ini. "Oleh kerana lokasi penganjuran di pulau peranginan jadi tentulah lebih molek kalau pentas peragaan di adakan di luar ballroom dan di tepi pantai. "Kami mahu penggemar fesyen menikmati satu pertunjukan yang bersifat santai dan relaks," kata Raja Rezza menjelaskan rasional penganjuran IFF berkonsep pentas terbuka. IFF sebelum ini telah dibawa menjelajah ke Abu Dhabi, New York, Monte Carlo, London, Astana, Manila dan beberapa destinasi lain di Indonesia. Sepanjang dianjurkan, IFF sudah membuka ruang kepada 250 pereks fesyen dan jenama yang menjangkau latar belakang yang berbeza tetapi disatukan atas nama fesyen Islam. |
Posted: 21 Aug 2012 10:01 PM PDT KEDATANGAN 1 Syawal pastinya ditunggu-tunggu umat Islam di seluruh dunia. Dalam membuat persiapan untuk menyambut hari raya, sudah pasti penyediaan pakaian baru termasuk kasut untuk digayakan di pagi raya merupakan agenda paling atas di dalam senarai. Yang pasti, pemakaian baju kurung di pagi raya turut diiringi dengan kasut yang cantik dan menarik. Namun faktor keselesaan tetap jadi keutamaan apatah lagi pada hari raya di mana banyak berjalan untuk berkunjung ke rumah sanak-saudara. Ketika ini pilihan paling sesuai mungkin kasut leper atau kasut bertumit rendah yang dapat menampung beban tubuh dengan lebih baik Begitupun, kasut leper lazimnya kurang digemari kerana dikatakan tidak cukup anggun dan rekaannya terhad. Pencarian kasut leper mungkin tidak terlalu sukar jika ke Tiamo, gedung kasut yang agak berbeza jika hendak dibandingkan dengan yang lain. Ini kerana ia hanya memberi tumpuan serta menawarkan kasut jenis leper serta kasut sarung balerina yang boleh digayakan dalam apa jua majlis dan ke mana-mana sahaja. Dengan pelbagai pilihan kasut leper serta kasut sarung yang selesa, jenama ini menampilkan gabungan gaya pereka, bahan klasik, perincian yang tidak diduga dan seni kraf berkualiti. Satu lagi keistimewaan ia dihasilkan dengan tangan dengan tapak yang berkualiti dan bergaya. Bagi peminat fesyen pastinya mendapati gedung kasut Tiamo merupakan tempat di mana seni dan cinta menyatukan peminat kasut yang mencari kelainan dan keselesaan. Pelbagai jenis himpunan kasut yang ditawarkan termasuklah kasut moden dan bergaya untuk golongan muda, kasut yang kemas untuk ke pejabat, kasut yang anggun dan artistik untuk majlis malam, kasut kasual yang selesa dan tidak ketinggalan kasut kanak-kanak. Reka bentuk kasut berasaskan kehalusan seni kraf untuk mengekalkan strukturnya yang teguh agar tidak kehilangan bentuk selepas beberapa kali dipakai. Memandangkan hari ini trend fesyen adalah gabungan pelbagai warna ataupun dihasilkan daripada warna-warna terang, Tiamo tidak ketinggalan mengikuti arus tersebut. Untuk itu, ia dihasilkan daripada pelbagai gabungan tekstur, bahan dan warna untuk ia lebih kelihatan menarik. Di Tiamo setiap pelanggan akan diberi perhatian dan dalam usaha tersebut ia diberikan menerusi aksesori seperti lapik tapak kasut, lapik tumit belakang dan aksesori lain untuk menjaga kaki si pemakai. Tiamo juga berusaha untuk memastikan setiap pasang kasut yang meninggalkan gedung akan mengiringi perjalanan pelanggan selama yang boleh dan kekal selesa buat selama-lamanya. |
Posted: 21 Aug 2012 09:55 PM PDT MEMILIKI wajah yang berseri dan segar pada hari persandingan adalah idaman setiap wanita yang bakal berkahwin. Wajah yang berseri bukan sahaja akan membuatkan pengantin cantik di mata tetamu, ia sekali gus menyerlahkan aura kecantikan luaran dan dalaman. Pemilik Spa D' Daun, Zalina Ibrahim, 46, berkata sesibuk mana sekalipun wanita itu, menjelang tiga bulan sebelum tarikh perkahwinan seeloknya pengantin perempuan mengunjungi pusat kecantikan untuk membuat rawatan khusus bakal pengantin. "Antara yang khusus adalah rawatan badan sauna herba, lulur badan herba, mandi lulur yogurt dan rawatan untuk membuang kulit mati. "Rawatan ini bertujuan membuang toksid dalam badan, menghilangkan sel mati pada kulit, melancarkan perjalanan darah supaya pengantin kekal segar dan mempesona pada hari persandingan," katanya. Beliau berkata, bagi mendapatkan hasil yang baik, bakal pengantin juga disarankan membuat rawatan susulan dalam tempoh tiga hari sebelum bersanding. "Rawatan susulan ini bertujuan memberi ketenangan dan menaikkan aura pengantin dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi untuk rawatan tradisional. "Pakej rawatan Rahsia Seri Ayu mempunyai enam peringkat iaitu Ikal mayang, urut seri ratu, manggir ratu, lulur herba ratu, mandian susu ratu dan mandian bunga buyung ratu," katanya. Tambahnya, penggunaan bahan semulajadi seperti beras pulut, halia, kunyit dan temulawak untuk lulur badan. "Bagi urutan tradisional dan aroma terapi kami menggunakan minyak geranium bertujuan menaikkan seri pengantin. "Untuk mandi susu pula, bunga-bungaan segar dan berbau harum diguna seperti bunga mawar dan melur," katanya. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-365661 atau terus berkunjung ke No 1-121 , Jalan Prima Sg-5, Gombak Prima, Sri Gombak, Gombak, Selangor. |
Susu 1Malaysia selamat diminum Posted: 21 Aug 2012 09:54 PM PDT Bekalan susu ke sekolah menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu telah dijamin selamat oleh kerajaan dan terbukti tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan murid. Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross berkata, antara tujuan utama pelaksanaan program itu adalah untuk melahirkan generasi baru negara yang lebih kuat, tegap dan cerdas. Menurutnya, di bawah program itu, pihaknya sudah mengedarkan 15.34 juta peka susu kepada 1,353 buah sekolah membabitkan seramai 295,738 murid di kawasan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka. "Pihak kami akan terus mempergiatkan bantuan kepada semua murid sekolah di seluruh Malaysia bagi menyemarakkan program kesedaran mengenai kepentingan susu yang menjadi asas kepada tumbesaran kanak-kanak," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan sesi taklimat PS1M bagi tahun 2012 dan majlis berbuka puasa bersama media di Carcosa Seri Negara baru-baru ini. Hadir sama wakil-wakil syarikat susu dari Sabah International Dairies Sdn. Bhd. (SiD), Konsuma Sdn. Bhd. dan Hybrid Allied Sdn. Bhd. yang merupakan pembekal susu di bawah skim PS1M yang dilantik Kementerian Pelajaran, selain Dutch Lady. Turut hadir wakil dari syarikat pemprosesan dan pembungkusan makanan utama, Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menjalin kerjasama dengan pembekal-pembekal tersebut. Bagi syarikat pembekal susu SiD membabitkan 3,392 buah sekolah dengan seramai 580,306 pelajar di kawasan Sabah, Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. Konsuma pula membekalkan sebanyak 22.72 juta pek susu di 1,409 buah sekolah melibatkan 272,289 pelajar di kawasan Johor dan Pahang. Hybrid Allied mengedarkan 18.94 juta pek susu bagi kawasan Perak, Perlis dan Kedah melibatkan 1,465 buah sekolah dengan bilangan pelajar seramai 288,865 orang. Menurut Mohd. Afizi, bekalan susu PS1M sudah bermula Mac lalu dan melalui pemerhatian yang dijalankan sebelum ini berlakunya simptom lactose intolerance atau masalah pengambilan diet menyebabkan berlakunya cirit-birit. "Ada sesetengah kumpulan murid yang tidak bersarapan (perut kosong) dan minum susu selepas mengambil makanan yang pedas dan berminyak, sama ada mereka ini tidak pernah didedahkan untuk minum susu atau jarang mengambilnya. "Program ini perlu diteruskan memandangkan ia membantu pelajar untuk lebih matang dalam cara pengambilan susu yang betul," katanya. Pada masa depan, kata beliau, pihaknya akan menjalankan penyelidikan terhadap keberkesanan susu terhadap murid dari semasa ke semasa bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut. Katanya, kempen nutrisi kepada doktor muda mengenai kebaikan susu turut digerakkan dengan melantik golongan doktor muda sebagai duta kecil bagi kempen tersebut selain melaksanakan kempen interaktif dikenali 'Cabaran Kitar Kreatif'. |
Malaysia tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN Posted: 21 Aug 2012 09:49 PM PDT MALAYSIA memenangi tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN 2012 kali ke-5 di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini. Negara diwakili tiga pelajar sekolah menengah terdiri daripada Brandon Ling Kie Chai, 17, dan rakan sekelasnya Emilia Muhd. Arif Stephen dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu, Sarawak serta Nabil Ersyad Mohd. Noor Eddie Putera, pelajar tingkatan Lima Sekolah Sultan Alam Shah. Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu turut dijayakan bersama Kementerian Pelajaran yang merupakan salah satu daripada aktiviti Jawatankuasa Budaya dan Informasi ASEAN (ASEAN-COCI) yang diadakan setiap dua tahun. Ia bermula pada 2002, 2004, 2006 dan yang keempat pada tahun 2009, bertujuan mempromosikan ASEAN di kalangan belia di rantau ini. Turut mengiringi tiga pelajar terlibat adalah guru pengiring Wong See Chiong dan Pegawai Jabatan Penerangan, Sharifah Anita Wafa Syed Munir Wafa. Pelajar menjalani empat peringkat saringan sebelum ke pertandingan itu bermula Mac lalu yang turut disertai kira-kira 7,700 pelajar berusia 15 hingga 17 tahun di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Pemilihan Brandon, Emilia dan Nabil Ersyad dibuat selepas ketiga-tiga mereka muncul johan, naib johan dan tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2012 yang diadakan Mei lalu. Pada pertandingan itu Brandon memperolehi markah tertinggi apabila menguasai pertandingan yang diadakan dalam dua segmen iaitu segmen pertama melibatkan soalan kategori sosial, alam sekitar, sains dan teknologi, politik, ekonomi dan sejarah manakala segmen kedua merupakan soalan pantas. KPM menjadi AJK Induk Kuiz ASEAN 2012 Peringkat Kebangsaan kali ke-5. Program itu turut meletakkan matlamat untuk mempertingkatkan tahap kefahaman dan kesedaran berkaitan ASEAN dalam aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial dalam kalangan generasi muda kini. |
Posted: 21 Aug 2012 09:47 PM PDT DOKTOR, saya selalu mengalami sakit belakang pada usia menjangkau 25 tahun ini. Adakah saya mengalami osteoporosis. Adakah penyakit tulang ini boleh sembuh? JAWAPAN: Sakit belakang adalah masalah biasa pada semua lapisan umur kecuali kanak-kanak. Boleh dikatakan setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika masalah ini berlarutan, mereka yang mengalaminya perlu segera berjumpa doktor. Setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan pandangan doktor berkenaan punca sakit belakang yang dialami. Kadang-kadang sakit belakang boleh disebabkan oleh masalah biasa seperti mengangkat barang, postur semasa bekerja di pejabat dan sebagainya. Apabila mengangkat barang, ramai yang lazimnya membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan. Pekerja pejabat pula duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan. SeriusWalaupun penyakit serius seperti kanser dan jangkitan kuman tulang belakang, jarang berlaku dalam kalangan wanita muda namun penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit belakang seperti batu karang perlu dipertimbangkan. Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangkamasa panjang seperti kerosakan pada buah pinggang dan risiko mendapat sakit gastrik. Penyakit osteoporosis jarang berlaku dalam kalangan wanita muda tanpa penyebab lain yang mungkin dialami pada masa sama. Faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi mendapat osteoporosis adalah dalam kalangan atlet profesional yang menggunakan tenaga pada tahap optimum seperti pelari maraton, wanita kurang bersenam dan diet kalsium yang rendah, wanita yang terlalu kurus dan memiliki kerangka tulang badan kecil, wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap osteoporosis, wanita yang merokok, mengalami masalah penyerapan nutrien, mempunyai aras hormon estrogen yang rendah mungkin disebabkan menopaus pramatang (menopaus pada usia muda), rawatan kemoterapi dan mengalami kekurangan vitamin D. PerubahanSakit belakang secara umumnya dibahagikan kepada dua kumpulan. Hampir 90 peratus kes adalah dalam kumpulan 'fungsi' iaitu sakit belakang tanpa perubahan dikesan dalam X-Ray atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Ramai daripada pesakit ini wanita bekerja atau berumahtangga. Kebanyakan mereka bekerja dan duduk di kerusi terlalu lama. Seperti yang saya telah maklumkan bahawa postur duduk yang tidak sesuai menyumbang kepada sakit belakang. Satu lagi ciri kumpulan ini ialah mereka yang kurang bersenam atau aktiviti rekreasi kerana sibuk dengan kerja pejabat dan rumah. Mereka tidak sihat secara fizikal dan mental. Kepenatan, stres dan sedikit sebanyak tekanan menyebabkan mereka merasa sakit belakang lebih daripada orang biasa. Kerja mengangkat benda berat yang jarang dilakukan mencetuskan gejala sakit belakang yang teruk kerana teknik yang salah dan kelemahan fizikal. Dalam pada itu, 10 peratus yang lain menghidap sakit belakang asli dengan perubahan dikesan dalam X-Ray dan MRI. Kebanyakan mereka mengalami masalah kemerosotan struktur tulang rawan tulang belakang yang dikenali sebagai degenerative disk disease dan kadang kala slip disk (prolapse Intervertebral disk). Disk adalah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang. Ia berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang. Ia merosot dengan umur iaitu disk kehilangan kelembapannya. Ini boleh dikesan dengan MRI. Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang. Ini kerana slip disk berlaku apabila disk yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya adalah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut. Dari pengamatan saya, insya-Allah sakit belakang yang dialami anda adalah tidak serius kerana besar kemungkinannya disebabkan sakit belakang daripada kumpulan pertama iaitu 'fungsi'. Sudah tentu sakit ini boleh sembuh. Ia bukanlah disebabkan masalah osteoporosis. Elok berjumpa dengan doktor pakar tulang (ortopedik) bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan sudah tentu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan. |
Posted: 21 Aug 2012 09:46 PM PDT STATISTIK menunjukkan peningkatan kes kanser payudara di kalangan wanita. Insiden penghidap kanser payudara adalah 1:19 di negara ini menjadikannya kanser yang biasa di kalangan semua etnik di negara ini. Imbasan biasanya dapat mengesan kanser pada peringkat 1 dan 2 dan kemungkinan besar masih boleh diubati. Pakar Runding Radiologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Datin Dr. Fatimah Moosa berkata, bagi kanser peringkat 1, hampir 90 peratus boleh dipulihkan. "Menurut piawaian Amerika Syarikat (AS) wanita yang berusia lebih 40 tahun disarankan membuat pemeriksaan mamogram setahun sekali sehingga berusia 50 tahun bagi pemeriksaan dua tahun sekali. "Selepas berusia 70 tahun, mamogram boleh dilakukan pada bila-bila masa diperlukan," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini. Semua wanita mempunyai risiko mendapat kanser payudara bagaimanapun lebih 70 peratus kes yang berlaku tidak dapat dikenal pasti punca. Dr. Fatimah menambah, biasanya risiko mendapat kanser payudara bertambah dengan peningkatan usia tetapi wanita dengan keluarga yang mempunyai sejarah kanser mempunyai peluang yang tinggi menghidapinya. Wanita yang pernah diserang kanser mempunyai risiko yang tinggi untuk diserang sekali semula. Wanita yang mempunyai lobular carcinoma juga lebih kerap diserang kanser serta mereka yang datang haid awal dan menopaus lewat selepas usia 55 tahun. Selain itu wanita yang tidak melahirkan anak atau melahirkan selepas usia 35 tahun lebih terdedah kepada kanser payudara. Mereka yang mengambil diet tinggi lemak, alkohol dan merokok juga terdedah kepada risiko kanser payudara. Justeru bagi mengelakkan kanser payudara, ujian perlu dilakukan bagi mengesannya. Biasanya mamogram digunakan untuk mengesan kanser di peringkat awal yang potensi pemulihan adalah lebih tinggi. Imbasan penting kerana rawatan awal boleh dilakukan dan biasanya mereka yang didiagnos dengan kanser payudara tidak mempunyai risiko. Mamogram pula hanya dilakukan pada wanita yang berusia 40 tahun ke atas kerana sel lemak telah mula berkurangan. Jika mamogram hanya untuk wanita berusia 40 tahun ke atas bagaimana untuk mendiagnosis wanita 40 tahun ke bawah? Dr. Fatimah berkata, wanita berusia bawah 40 tahun disarankan menggunakan teknik ultrasound jika disyaki menghidap kanser payudara. "Bagaimanapun ultrasound hanya mengimbas kawasan tertentu saja dan bergantung kepada operator mahir serta hanya untuk kawasan sasaran," katanya. Ultrasound sangat sensitif tetapi tidak spesifik seperti mamogram. "Ultrasound tidak boleh mengimbas sebuah bahagian payudara," katanya. Bagaimanapun jangan bimbang menjalani ujian berkenaan kerana dos radiasinya adalah rendah dan boleh dilakukan setiap tahun. Justeru pesan Dr. Fatimah, jika terdapat kelainan di bahagian payudara, jangan segan untuk berjumpa doktor walaupun belum berusia 40 tahun. |
Posted: 21 Aug 2012 09:45 PM PDT YURGA makanan." Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba 1 Syawal. Selagi tidak penuh makanan di meja, seperti tidak lengkap menu di pagi raya. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman disediakan untuk hidangan keluarga di pagi raya. Ada yang bertanya, "cukup tak makanan kita hari ni?" Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk." Selepas tiga hari menyambut Aidilfitri, timbul pula persoalan. Adakah berat badan akan bertambah atau kenapa badan semakin letih? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Syawal. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, badan kita baru sahaja melalui proses detox secara semula jadi sepanjang Ramadan. Sekiranya, amalan pemakanan kita bertukar, ada kemungkinan badan tidak dapat melakukan proses detox dengan baik. Apa itu detox?Menurut Pakar Diet, Nurul Husna Abdul Karim dari Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Selangor, amalan puasa dapat membantu individu mengawal pemakanannya. Sebaliknya, ramai yang terlupa amalan ini perlu diteruskan sepanjang Syawal. "Detox adalah proses penyingkiran bahan toksik atau buangan dari sistem tubuh badan. Ramai mengandaikan detox boleh dilakukan dengan kaedah luaran sahaja seperti mengambil jus detox, teh herba, sauna dan lain-lain. "Sebenarnya badan sendiri mempunyai sistem detox semula jadi iaitu organ hati, usus dan ginjal. Apabila kita berpuasa, badan akan melakukan detox secara semula jadi. Apabila tiba Aidilfitri, kita mungkin tidak berjaya melakukannya secara semula jadi kerana faktor hidangan makanan yang pelbagai. Justeru, saya menyarankan umat Islam melakukan diet detox di bulan ini," katanya. Secara ringkasnya pembuangan toksin dan nyah toksin menerangkan tentang proses penyingkiran toksin dari dalam tubuh badan. "Manusia memilih untuk melakukan detox untuk memastikan sistem penghadaman usus bekerja dengan sepatutnya, memastikan kulit bersih dan segar serta memastikan sistem buah pinggang dan hati berjalan lancar. "Apabila semua organ penyingkiran toksin ini berjalan dengan sepatutnya barulah tubuh kita boleh mengeluarkan toksin secara berkesan dan maksimum," jelasnya. Menambah lanjut, menurutnya, pembuangan toksin amat penting bagi memastikan kesihatan tubuh badan. Tubuh badan mestilah menjalani pembuangan toksin setiap hari atau seseorang itu mungkin berhadapan dengan risiko penyakit Tambah Nurul, diet detox tidak perlu dilakukan dalam tempoh yang panjang kerana ia memadai dilakukan dua hingga tiga hari sahaja sama seperti amalan puasa enam. "Sebenarnya proses pembuangan toksin adalah lebih mudah sekiranya kita mengamalkan pemakanan sihat dengan mengambil makanan berserat tinggi, diet organik semula jadi dan menjalani kehidupan secara natural," katanya. Siapa yang perlukan diet detox?Mereka yang kerap berasa letih akibat tekanan kerja, tidak menjaga pemakanan (kerap makan makanan segera atau proses), kerap sakit seperti selesema atau demam perlu mengamalkan diet detox. "Selain itu, mereka yang mengalami masalah penghadaman atau sering sakit kepala juga perlu melakukannya. Namun, orang ramai perlu tahu bahawa amalan ini bukan untuk rawatan atau menyembuhkan penyakit. Ia bertujuan meningkatkan kecekapan organ detox badan. Sementara itu, golongan berpenyakit kronik, ibu mengandung atau ibu menyusu tidak sesuai melakukan diet detox," ujarnya. Tempoh masaTambah Nurul, bagi merangsang, meningkatkan aktiviti dan kecekapan organ detox, diet ini boleh dilakukan dua hingga tiga hari berturut-turut. "Ia bukan untuk jangka masa panjang. Bagi mereka yang berminat melakukan diet ini, tiga prinsip utama perlu diamalkan iaitu pertama, buah-buahan dan sayur-sayuran (kaya dengan fitokimia dan vitamin C). Kedua, kita mengamalkan produk bijiran seperti fosforus dan laksatif. Prinsip yang terakhir sayur-sayuran hijau termasuk brokoli, kubis, kubis bunga, kubis daun, kubis brussels termasuk sulfur baik untuk detox hati," ujarnya. Persediaan diet detox perlu dilakukan satu hingga dua minggu sebelum melakukan diet detox. Selain itu, walaupun hidangan Syawal mungkin menguji kesabaran selera anda, Nurul menasihatkan orang ramai mengurangkan pengambilan kafein, gula dan makanan karbohidrat. Anda juga tidak digalakkan mengambil makanan berminyak dan berlemak selain makanan segera atau proses. Hanya satu benda digalakkan mengambil secara berlebihan iaitu air! |
Jaga kebersihan cegah penyakit Posted: 21 Aug 2012 09:44 PM PDT HARI ini bermulanya amalan kunjung-mengunjung dan rumah terbuka Aidilfitri yang pastinya berterusan hingga sebulan Syawal. Tentu sahaja kita disajikan pelbagai juadah. Dalam kita seronok beraya, kebersihan jangan dilupakan. Amalan ini penting untuk menjaga kesejahteraan dan kesihatan keluarga serta sahabat handai. Kebersihan diri adalah penyelesaian yang mudah dan berkesan untuk membantu mengurangkan jangkitan penyakit yang mengancam nyawa, namun masih ramai ambil mudah tentang kepentingannya. Tahap kebersihan diri yang rendah memberi peluang kepada bakteria membiak dan mengancam kesihatan kita secara keseluruhannya. Setiap tahun, terdapat dua bilion kes penyakit cirit-birit dilaporkan. Penyakit ini merupakan punca kedua utama kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyebabkan kematian anggaran 1.5 juta kanak-kanak setiap tahun. Ia sebenarnya boleh dicegah dan dirawat. Dalam usaha menghapuskan penyakit berjangkit serta meningkatkan amalan kebersihan diri, Majlis Kebersihan Global, dengan kerjasama Dettol menjalankan dua penyelidikan utama tahun ini, iaitu kajian Cross-contamination dan Back to School, serta mengkaji perkaitan secara saintifik antara jangkitan dan perkembangan kognitif. Kajian yang dijalankan ini bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara penyebaran bakteria dan mengenal pasti titik perubahan positif dalam amalan kebersihan diri di kalangan rakyat Malaysia. Menurut Pengerusi Majlis Kebersihan Global, Prof. John Oxford, kajian mendapati orang ramai amat terdedah kepada ancaman penyakit bawaan makanan walaupun mereka makan makanan yang dimasak di rumah mereka sendiri. "Ini kerana perhatian yang kurang terhadap penyediaan makanan, menyebabkan bakteria mudah berpindah daripada makanan mentah kepada permukaan sekunder seperti makanan yang sedia untuk dimakan, serta pelbagai permukaan lain di dapur," ujarnya. Dalam pada itu, kajian mendapati 87 peratus daripada permukaan sekunder akan diliputi bakteria sekiranya langkah menjaga kebersihan tidak diamalkan. Ini menunjukkan bahawa makanan sedia untuk dimakan termasuk epal, anggur, lobak merah dan salad boleh membawa ancaman jangkitan penyakit kepada ahli keluarga. Selain itu, bakteria boleh merebak ke kawasan lain di rumah melalui sentuhan tangan. "Sehingga 90 peratus daripada permukaan sentuhan tangan, seperti radio, kotak mancis dan botol tercemar. Selain itu, barangan ini biasanya tidak dicuci dengan kerap dan menjadi tempat pembiakan bakteria. Ini mendedahkan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak, kepada risiko penyakit bawaan makanan dan penyakit berjangkit yang lain," jelasnya. Pada bahagian kedua kajian iaitu Back to School', ia mengenal pasti amalan kebersihan diri dalam rutin harian yang boleh dipupuk oleh para ibu kepada anak-anak mereka. "Kajian menunjukkan bahawa memberikan pendidikan tentang kebersihan kepada kanak-kanak di peringkat awal usia adalah penting kerana penerimaan mereka di peringkat awal lebih tinggi. Kajian ini melibatkan anggaran 14,000 ibu kepada kanak-kanak sekolah rendah yang berumur antara lima hingga 12 tahun di 14 negara. Di Malaysia, satu pertiga daripada ibu-ibu risau bahawa anak mereka akan dijangkiti penyakit berjangkit di sekolah. Kebimbangan utama mereka ialah anak-anak akan dijangkiti penyakit tangan, kuku dan mulut. Ini diikuti dengan penyakit bawaan makanan dan selesema bermusim," tambahnya. Justeru, kita perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatan anak-anak kita dan menggalakkan mereka mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Menurut Prof. John, perkembangan kognitif mendapati pendedahan kepada penyakit berjangkit ketika zaman kanak-kanak boleh mendatangkan implikasi kepada pertumbuhan dan perkembangan otak apabila meningkat dewasa. Oleh itu, penanaman sikap kebersihan diri yang baik ketika masih kecil menjadi langkah penting bagi membantu mereka kekal sihat. Ini membolehkan kanak-kanak meneruskan pembelajaran mereka tanpa diganggu oleh penyakit-penyakit berjangkit dan mereka dapat menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak dengan sepenuhnya. Secara keseluruhannya, keputusan kajian mendapati tangan menjadi salah satu penyebab utama pencemaran silang di rumah. "Membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun antibakteria ketika menyediakan makanan adalah penting untuk mencegah penyakit bawaan makanan. Pembersihan permukaan dan penyahjangkitan juga penting untuk memutuskan rantaian jangkitan. "Ini kerana amalan membersihkan tangan merupakan pertahanan barisan pertama yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan penyakit berjangkit," jelasnya. |
Posted: 21 Aug 2012 09:44 PM PDT Satu kaji selidik epidemiologi dan kesan COPD di Asia (Epic) yang dijalankan oleh Takeda, sebuah syarikat farmaseutikal global mendapati kira-kira lima peratus daripada kalangan penduduk negara ini yang berusia 40 tahun ke atas menghidapi COPD. Bagi yang baru mendengar tentang COPD, ia adalah sejenis penyakit paru-paru kronik di mana pernafasan tersekat akibat kerosakan dan radang dalam paru-paru. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia merupakan masalah kesihatan utama dengan kira-kira 65 juta orang di seluruh dunia menghidapinya. Malah COPD kini merupakan punca kematian kelima paling utama dunia dan WHO meramalkan ia akan meningkat menjelang 2030. Di Asia pula ia dianggarkan dialami oleh 3.8 peratus daripada penduduknya tetapi kekal sebagai penyakit yang kurang disahkan dan rawatannya juga kurang optimum. Jejas kualiti hidup Kaji selidik Epic itu juga memberi penekanan terhadap kesan sosiologi serta sosioekonomi yang dialami oleh penghidapnya. Di Malaysia lebih tiga daripada 10 responden hanya bekerja separuh masa atau langsung tidak dapat bekerja kerana penyakit yang dihadapi. Di kalangan mereka yang bekerja sambilan pula, enam daripada 10 pernah tidak hadir ke tempat kerja kerana COPD yang dialami sejak 12 bulan lalu. Pengarah Institut Perubatan Pernafasan Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif, berkata, COPD boleh menjadikan seseorang pesakit itu sukar melakukan kegiatan harian biasa seperti kerja rumah dan mandi. "Meskipun ia bergantung kepada tahap keseriusan penyakit tersebut, apa yang pasti ia sudah tentu menjadi penghalang kepada keupayaan untuk bekerja apabila penyakit yang dihidapi menjadi bertambah teruk. "Seringkali kita dapati pesakit COPD mengambil keputusan tidak keluar rumah kerana merasa sukar untuk menjalani kehidupan normal," jelasnya. Katanya, beban COPD menjadi semakin meningkat apabila pesakit mengalami serangan paru-paru. Serangan paru-paru COPD atau keadaan di mana penyakit bertambah teruk adalah aspek COPD yang paling memudaratkan. Antara gejala yang lazim berlaku pada tahap ini termasuk batuk pada waktu siang dan pengeluaran kahak apabila batuk. "Serangan paru-paru COPD dikaitkan dengan radang saluran pernafasan dan sistemik perubahan fisiologi dalam paru-paru. "Ini termasuk sesak nafas dan batuk kronik, pengeluaran mukus, kelesuan yang amat sangat dan ada wujud tanda-tanda kemerosotan kesihatan lain. "Serangan paru-paru COPD juga merupakan punca kemasukan hospital yang utama dan ia boleh menyebabkan kadar penyakit dan kematian yang tinggi," ujar beliau. Beliau menambah data pada kaji selidik memang amat diperlukan bagi membantu pihak profesional penjagaan kesihatan mengesahkan diagnosis dan menguruskan COPD dengan lebih berkesan. Pengurusan COPD Sementara itu, Ketua Unit Pernafasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Roslina Abdul Manap berkata, rawatan dan pengetahuan tentang COPD telah berkembang maju dalam beberapa tahun ini. "Kami sedar bahawa serangan paru-paru COPD meningkatkan kadar kesakitan dan kematian pesakit. "Sehingga kini banyak ubat COPD dihasilkan memberi penumpuan untuk melegakan gejala. "Satu kajian Inisiatif Global Bagi Penyakit Paru-Paru Obstruktif Kronik (GOLD) juga telah menekankan betapa pentingnya mengurangkan risiko penyakit COPD daripada bertambah kronik. "Roflumilast ialah sejenis rawatan kelas baru steroid dan ia menyediakan pendekatan baru yang boleh menambah baik cara kami merawat COPD sekarang," katanya yang juga merupakan Presiden Persatuan Thoracic Malaysia. |
Posted: 21 Aug 2012 09:43 PM PDT SAYA mempunyai berat badan yang obes kira-kira 90 kilogram (kg) dengan ketinggian 165 sentimeter (sm). Adakah saya perlu mengurangkan pengambilan makanan manis, berlemak dan berminyak yang kebanyakannya dihidangkan pada musim perayaan ini? Adakah hidangan ini punca utama kolesterol yang sekali gus mengganggu kesihatan? * Farah, Kuala Lumpur. JAWAPAN: Dengan berat badan 90 kg dan ketinggian 165 sm, indeks jisim badan Farah adalah 33.3 kg/ m2. Memang tepat sekali Farah dikategorikan mengalami obesiti. Obesiti adalah penyakit bukan keadaan. Ramai tidak menganggap obesiti sebagai perkara serius atau punca utama penyakit. Dalam hal ini, kita perlu meletakkan obesiti dalam kedudukan pertama, diikuti masalah diabetes melitus, aras kolesterol yang tinggi, hipertensi dan hati berlemak, strok, sakit jantung, barah hepar dan barah usus. Dalam erti kata lain, obesiti adalah punca utama segala penyakit lain. Masalah timbul apabila orang ramai dan pesakit tidak menganggap obesiti sebagai satu penyakit. Mereka menganggap ia lebih kepada satu keadaan bukan penyakit yang perlu diberi perhatian serius. Jika orang ramai merawat obesiti, mereka melakukannya hanya untuk tujuan kosmetik dan bukan perubatan. Sekiranya pesakit yang datang ke klinik untuk menyambung ubat, tidak banyak perubahan yang dicapai dari segi tahap kesihatan. Mereka akan mengambil empat hingga lima jenis ubat dan bacaan gula atau tekanan darah dalam keadaan normal tetapi berat badan semakin bertambah. Maka keadaan mereka yang sihat adalah sementara. Tidak terkawalApabila ubat dikurangkan, penyakit akan menjadi tidak terkawal semula. Jadi ubat perlu disambung, mereka datang ke klinik hanya sekadar menyambung ubat dan bukan untuk berubat. Golongan yang datang untuk berubat adalah lebih proaktif. Terdapat beberapa rawatan obesiti termasuk mengurangkan kekerapan makan terutama waktu malam, kurang memakan makanan berlemak, bersantan dan bergoreng. Cara pemakanan atau menu juga perlu ditukar seperti mengamalkan makanan rebus, kukus atau panggang serta berserat dan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan kurang manis dan kurang lemak seperti epal, jambu dan lain-lain. Golongan obes juga perlu banyak bersenam. Justeru anda tidak perlu suplemen atau ubat untuk mengurangkan berat badan sekiranya mengamalkan nasihat di atas. Obesiti adalah satu penyakit dan bukan keadaan yang boleh diambil ringan. Ini kerana obesiti adalah antara punca utama diabetes melitus, hipertensi, hiperkolesterol, kanser usus (kolorektal) dan lain-lain. Oleh itu, hendaklah mengelak daripada mengambil makanan yang manis, berlemak dan berminyak pada setiap masa dan bukanlah semasa musim perayaan sahaja. Ingat! pemakanan yang tidak sihat adalah punca utama pelbagai penyakit. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan