ads

Isnin, 20 Ogos 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Bernikah pada hari lahir

Posted: 20 Aug 2012 07:46 AM PDT

pix_middle

SEPANJANG Ramadan kita berjuang, hari ini umat Islam di seluruh dunia meraikan hari kemenangan. Pastinya di sini, 1 Syawal disambut meriah di samping keluarga dan sanak saudara. Tidak ketinggalan rakan taulan. Kebiasaan amalan kunjung-mengunjung menjadi agenda berterusan bagi mengeratkan silaturahim sepanjang sebulan hari raya.

Kemesraan dan usaha mengeratkan persaudaraan turut dirasai tiga bintang yang semakin menyinar dalam industri hiburan tempatan, Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah, Izreen Azminda Aznam (Izreen) dan Hanez Suraya Abd Aziz (Hanez).

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Mereka bertiga berbesar hati untuk memeriahkan majlis rumah terbuka yang dianjurkan Pengarah Urusan Jamu Mak Dara (JMD) Sdn Bhd, SM Gadaffi Syed Ali atau Habib di kediaman barunya di Beverly Hills, Hulu Klang.

Pelbagai hidangan tersedia di atas meja bagi meraikan tetamu dan menikmati juadah istimewa disediakan Habib tidak dilepaskan peluang oleh Shila, Izreen dan Hanez.


Dalam kehangatan berbual dan bertanya khabar, ketiga-tiga mereka sempat berkongsi cerita istimewa sempena sambutan Aidilfitri. Yang pasti, Hanez dan Shila mahu mengeratkan lagi persaudaraan yang sedia terjalin dengan ahli keluarga kekasih hati.


Khabarnya, Hanez yang popular menerusi drama bersiri Suri akan ke Singapura untuk melawat keluarga Awi Rafeel dan Shila pula akan melawat keluarga kekasih hatinya juga pelakon popular, Sharnaaz Ahmad di Pulau Pinang.

Berbeza Izreen, Syawal tahun ini sangat istimewa apabila dia bakal bergelar raja sehari. Sepanjang Ramadan lalu, Izreen tidak menang tangan menguruskan segala persiapan diperlukan bagi memastikan majlis pernikahan dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos di tanah kelahirannya di Alor Setar, Kedah dan diikuti majlis persandingan keesokan harinya berjalan lancar.

Kata Izreen, dia bertuah apabila bakal suami, Muhamad Riza Baharudin (Riza), videografer turut membantu melaksanakan apa yang patut bagi memastikan apa dirancang direalisasikan.

"Tarikh 30 Ogos dipilih memandangkan ia ulang tahun kelahiran saya. Ia secara tidak langsung memudahkan saya mengingati ulang tahun perkahwinan selepas ini.

"Saya teruja tetapi dalam waktu sama, bimbang juga memikirkan persiapan hinggakan setiap malam saya tidak dapat tidur lena.

"Ibaratnya, selagi majlis tidak selesai, selagi itu saya berasa tidak tenang.
Mujur keluarga membantu dan mengenai konsep pula, saya serahkan segala-galanya kepada bakal suami.

"Sekali fikir, saya memang bertuah kerana bakal suami sangat bagus. Maklumlah orang kreatif, mata lebih tajam. Dia yang tentukan hiasan dewan dan pelamin bagaimana yang dimahukan. Saya pula sebaliknya dan tidak suka pening-pening kepala. Yang penting, majlis cepat habis," katanya.

Bercerita lanjut mengenai hari bersejarahnya, kata Izreen, majlis nikah diadakan secara kecil-kecilan di kediamannya dengan dihadiri keluarga dan sanak-saudara kedua-dua pihak, sementara majlis persandingan pula dibuat di dewan sebuah hotel di Alor Setar berkonsepkan tradisional dan sedikit sentuhan Inggeris.

Mendirikan rumah tangga di saat nama berada di puncak, tegas Izreen, dia akur dengan jodoh dan ketentuan, walaupun sudah bernikah, kerjaya seni tetap berjalan seperti biasa.

"Sejak merancang untuk bernikah, rezeki saya melimpah ruah hinggakan tawaran untuk berlakon drama dan filem datang tidak putus-putus.

"Harap selepas berkahwin, rezeki saya tetap murah seperti sebelum kahwin. Saya tiada masalah untuk terus aktif kerana bakal suami juga terbabit dalam bidang sama. Jadi kami faham kerjaya masing-masing," katanya.


Shila nafi bertunang Aidilfitri ini

SAAT fotografi ini dijalankan, penyanyi muda yang popular dengan lagu Patah Seribu ini belum membuat keputusan untuk menutup rambut. Dia memakai tudung pada pertengahan Ramadan lalu, sedangkan sesi fotografi dilaksanakan awal sebelum itu.

Seperkara menarik mengenai Shila Amzah, apabila dia mengambil keputusan bertudung, ada yang cuba mengaitkannya dengan soal nikah dan kahwin. Apatah lagi sebelum ini Sharnaaz pernah membuat kenyataan bersedia untuk bertunang dengan kekasihnya itu pada akhir tahun ini dan rancang bernikah tahun depan.

Sebelum ini, Shila mengaku sewaktu mengadakan persembahan di Pulau Pinang baru-baru ini, dia dan ibunya sempat bercuti beberapa hari di sana dan mengunjungi keluarga Sharnaaz.

Ibaratnya, hubungan kedua-dua keluarga terjalin baik. Jadi jika mereka mahu mengambil keputusan selangkah ke depan iaitu bertunang dan bernikah, rasanya tidak ada banyak masalah.

Kenyataan Shila bagaimanapun membuatkan ramai pihak membuat andaian, keputusan untuknya dinikahi Sharnaaz semakin hampir, apatah lagi keluarga kedua-dua pihak akan saling berkunjung sempena Aidilfitri ini. Bertudung juga sebahagian langkah membuat persiapan untuk bergelar isteri.

"Semua itu tidak ada kena mengena dengan soal bertunang atau bernikah. Saya bertudung kerana menjadi tanggungjawab untuk menutup aurat. Ia bukan disuruh sesiapa, sebaliknya hati terbuka untuk melaksanakan suruhan-Nya.

"Setakat ini tiada pula kami merancang untuk bertunang pada hari raya ini.
Khabar angin dihebohkan itu tidak benar. Memang hubungan keluarga saya dan Sharnaaz baik, jadi tidak salah kalau kami saling kunjung mengunjungi.

"Bukankah dalam meraikan Syawal, kita memang dituntut untuk kunjung mengunjungi bagi mengeratkan silaturahim. Ibarat yang jauh didekatkan, dan dekat dirapat-rapatkan. Saya senang kerana hubungan kami merapatkan lagi persaudaraan dua keluarga. Alhamdulillah," katanya.

Tegas Shila, dia tidak menolak jika ditakdirkan jodohnya tiba dalam masa terdekat dan menganggap sebagai manusia biasa, dia tidak mampu menolak takdir dan segala yang bakal berlaku dalam hidupnya tertulis di Loh Mahfuz.


Hanez rapat dengan ibu Awi Rafael

Cinta yang terjalin enam bulan lalu semakin erat, malah pelakon utama drama bersiri Suri, Hanez Suraya Abd Aziz dan penyanyi lagu popular, Bila Aku Jatuh Cinta, Awi Rafael tidak boleh dipisahkan lagi.

Buktinya, kebelakangan ini mereka sering dilihat menghadiri majlis iftar bersama. Malah, lebih membanggakan apabila mereka menemukan peminat dalam satu majlis berbuka puasa, baru-baru ini.

Yang bagusnya, hubungan mereka turut diterima baik peminat dan kebanyakannya memberi komen positif bahawa Hanez dan Awi adalah pasangan secocok, ibarat pinang dibelah dua.

Akui Hanez, dia malu apabila ada yang memuji sedemikian rupa. Katanya, mereka memang rapat tapi kalau boleh tidak mahu hubungan itu menjadi bahan tatapan keterlaluan kerana takut ia memberi kesan kepada kedua-dua pihak.

"Setakat ini hubungan saya dan Awi baik dan masih dalam proses mengenali.
Hubungan kami juga diketahui keluarga kedua-dua pihak dan saya juga membawa Awi bertemu ibu bapa saya.

"Bagi saya, untuk berkawan, penting untuk seseorang lelaki itu bertemu ibu bapa saya supaya jika ada apa-apa berlaku, mama dan babah senang nak cari orang yang sepatutnya bertanggungjawab.

"Selain itu, dalam berkawan, restu ibu bapa juga penting. Kalau ibu dan ayah tidak suka, saya tidak akan berkawan dengan lelaki itu," katanya.

Hanez tidak menafikan, ibu bapa menyenangi Awi, begitu juga sebaliknya, pelakon yang memulakan karier dengan filem Bicara Hati itu juga bertemu keluarga Awi.

"Saya juga rapat dengan ibu Awi, malah ada ketika ibunya menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai peribadi mahupun kerjaya.

"Pada saya, syukur kerana persahabatan terjalin juga diterima baik keluarga kedua-dua pihak.

"Bagaimanapun, tidak bermakna kami mula memikirkan soal kahwin. Sebaliknya, kami mahu berkawan terlebih dulu di samping mengukuhkan kedudukan kerjaya serta kewangan," katanya yang akan melawat keluarga Awi di Yishun, Singapura.

Hanez juga akan terbang ke Kedah bagi menghadiri majlis persandingan Izreen.
Untuk peminat, sempena Aidilfitri ini Hanez banyak membintangi drama yang bersiaran, antaranya Raya Tanpa Wayar yang akan disiarkan pada raya pertama di TV9 dan 48 Jam di TV3.

Lebaran paling manis

Posted: 20 Aug 2012 07:45 AM PDT

CERIA... Omar (dua dari kiri)  melihat baju  raya bersama Wahab (kiri) serta ahli keluarga lain.
CERIA... Omar (dua dari kiri) melihat baju raya bersama Wahab (kiri) serta ahli keluarga lain.

KUALA LUMPUR: "Aidilfitri kali ini sungguh bermakna kerana selepas 30 tahun menyambut lebaran ibarat anak yatim, tahun ini saya dapat berkongsi kegembiraan sebagai seorang bapa dan anak sekali gus.

"Memang terkilan kerana pertemuan kami tidak dapat disaksikan adik perempuan yang meninggal dunia 10 tahun lalu, tapi sekurang-kurangnya anak dan anak saudara saya masih sempat menatap wajah datuk mereka," kata Abdul Wahab Omar, 49.

Dia yang terpisah dengan bapa kandung, Omar Muhammad, 82, tidak pernah mengimpikan untuk mengucup semula tangan ayahnya pada hari lebaran, terutama selepas mereka terpisah ketika dia berusia 19 tahun dan kematian ibu pada awal 1990-an.

Menurutnya, selepas ketiadaan ibu dan bapa tiri, dia umpama hilang arah dan berusaha mencari bapa kandung, namun gagal hinggalah dia terbaca laporan Harian Metro 27 April lalu sebelum pertemuan bersejarah dua beranak itu dicatatkan sehari selepas itu.


Hingga kini dia tidak putus-putus memanjat syukur terhadap Ilahi atas pertemuan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyatukan mereka dua beranak.

Ratu cantik seluruh dunia berkumpul di Ordos

Posted: 20 Aug 2012 07:44 AM PDT

RATU Cantik dari Kazakhstan, Evgeniya Klishina bergaya dengan gaunnya ketika sesi latihan.
RATU Cantik dari Kazakhstan, Evgeniya Klishina bergaya dengan gaunnya ketika sesi latihan.

ORDOS (China): Ratu cantik di seluruh dunia membuat persiapan terakhir untuk bertanding merebut gelaran Ratu Cantik Dunia di bandar perlombongan berdekatan padang pasir Gobi, semalam.

Sejumlah 116 peserta, bilangan tertinggi buat masa ini, dijadualkan bersedia untuk kategori gaun malam dan pakaian mandi yang disaksikan kira-kira satu bilion penonton di seluruh dunia.

Tahun ini, pertandingan ini diadakan di kawasan kontang dan bandar berpenduduk sedikit di pedalaman Mongolia, di Ordos yang terletak kira-kira 700 kilometer dari pantai yang berdekatan.

Ratu Cantik Dunia Ivian Sarcos dari Venezuela, akan menyerahkan mahkotanya di stadium futuristik Ordos, yang terletak di sebelah dataran bandar itu yang didedikasikan untuk wira Mongol, Genghis Khan.


Sejak dekad lalu, penduduk di bandar itu bertambah makmur selepas perlombongan arang batu dan menjadikannya satu daripada bandar terkaya di China.

Tisu sistem saraf membentuk barah

Posted: 20 Aug 2012 07:43 AM PDT

AMBIL BERAT... sambil melayan kerenah kanak-kanak, guna peluang itu bagi meneliti sebarang perubahan pada gerak-geri dan tubuh mereka.
AMBIL BERAT... sambil melayan kerenah kanak-kanak, guna peluang itu bagi meneliti sebarang perubahan pada gerak-geri dan tubuh mereka.
JANGAN BERLENGAH... bawa kanak-kanak menjalani pemeriksaan CT scan untuk kesan neuroblastoma.
JANGAN BERLENGAH... bawa kanak-kanak menjalani pemeriksaan CT scan untuk kesan neuroblastoma.

TAWA dan keletah mereka sungguh menghiburkan. Perasaan itu lumrah bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Namun, jangan mudah dibuai keseronokan kerana usia mentah seperti itu memerlukan pengawasan dan penelitian rapi.

Perhatikan gerak-geri dan perubahan pada mereka dengan teliti. Sekali lihat, mereka nampak sihat tetapi jika diperhatikan betul-betul, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Ini yang paling dibimbangi ibu bapa ketika anak berusia bawah dua tahun.

Jika anak anda mempunyai simptom seperti lesu, berat badan berkurangan, bengkak pada leher serta lemah anggota kaki, segera bawa mereka berjumpa doktor kerana dikhuatiri ia tanda awal penyakit kanser saraf atau neuroblastoma.

Neuroblastoma adalah kanser pada tisu saraf di dalam badan. Ia adalah kanser kanak-kanak dalam lingkungan usia dua tahun ke bawah.


Kira-kira 50 peratus kanser ini cepat merebak dan jika tidak dirawat, ia mampu meragut nyawa.


Perunding Pakar Bedah Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Zuraidah Ibrahim, berkata hingga kini punca sebenar neuroblastoma tidak diketahui.
"Pakar perubatan masih tidak dapat mengetahui punca sebenar, oleh itu cara mencegah atau mengelak juga tidak ditemui.

"Gangguan itu biasa berlaku kepada kira-kira 4.6 peratus daripada sejuta kanak-kanak di Malaysia dan tiada kecenderungan pada kanak-kanak lelaki atau perempuan," katanya.

Kanser saraf boleh berlaku di beberapa bahagian badan. Ia terbentuk daripada tisu yang membentuk sistem saraf iaitu sebahagian daripada sistem saraf yang mengawal fungsi badan seperti denyutan jantung dan tekanan darah, penghadaman dan tahap hormon tertentu.

Barah ini boleh berlaku pada kelenjar adrenal di perut. Kelenjar ini kedudukannya di atas buah ginjal dan fungsinya adalah mengawal tekanan darah dan tekanan individu.

Selain itu, ia boleh merebak ke tisu saraf dalam dada, saraf tunjang, leher, tulang muka, tengkorak, pinggul, bahu, lengan, kaki, tulang sumsum, hati, kelenjar limfa, kulit dan di sekeliling mata.

Menurut Zuraidah, pada peringkat awal, adalah sukar mengenal pasti tanda bahawa kanak-kanak diserang barah ini.

Katanya, kanak-kanak terbabit mungkin mengalami simptom lesu, kurang makan atau demam dan ia juga bergantung pada bahagian yang terkena barah.

"Pemeriksaan doktor harus dilakukan jika ada gejala seperti di atas. Neuroblastoma dapat dikesan melalui ujian darah, air kencing dan radiologi seperti Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) dan ujian imbasan (MRI).

"Jika ada bengkak di bahagian seperti leher, perut dan dada, ia harus diambil sedikit isinya, iaitu 'biopsy' di mana ia akan diperiksa pada bawah mikroskop untuk mengenal pasti nueroblastoma menerusi sel yang dilihat," katanya.

Menurutnya, selepas dikenal pasti ia neuroblastoma, doktor akan mengkelaskan penyakit ini sama ada di peringkat awal atau sebaliknya.

"Ini penting untuk panduan rawatan neuroblastoma. Jika masih peringkat awal, ia boleh dirawat melalui pembedahan tetapi jika peringkat akhir, harus dirawat dengan kaedah kemoterapi atau radioterapi dulu sebelum dibedah," katanya.

Neuroblastoma membabitkan enam hingga 10 peratus kanser kanak-kanak dan 15 peratus daripada kes berkenaan membawa kepada kematian.


Sejarah

Ia ditemui doktor berasal dari Jerman bernama Rudolf Virchow yang menerangkan satu tumor pada kanak-kanak dikenali sebagai glioma pada 1846.


Gejala

  • Demam
  • Hilang selera makan
  • Susut berat badan
  • Sakit sendi


    Gejala lain

  • Sakit tulang (jika kanser merebak ke tulang)
  • Kesukaran bernafas atau batuk kronik (jika kanser merebak ke dada)
  • Abdomen diperbesarkan (daripada tumor yang besar atau cecair berlebihan)
  • Kulit kemerah-merahan
  • Pucat dan kulit warna kebiruan di sekeliling mata
  • Berpeluh yang berlebihan


    Masalah otak dan sistem saraf mungkin termasuk:

  • Ketidakupayaan untuk mengosongkan pundi kencing
  • Lumpuh kaki
  • Pergerakan mata yang tidak terkawal atau pergerakan kaki tidak normal dipanggil sindrom opsoclonus-myoconus


    Rawatan

    Setiap rawatan berbeza bergantung kepada tahap neuroblastoma seperti:

  • Lokasi kanser
  • Berapa banyak dan di mana ia merebak
  • Umur pesakit

    Dalam kes tertentu, pembedahan sudah memadai. Bagaimanapun, lazimnya terapi lain turut diperlukan. Ubat anti kanser (kemoterapi) boleh disyorkan jika tumor merebak selain terapi radiasi juga boleh digunakan.

    Kemoterapi berdos tinggi dan pemindahan sel stem autologous masih dikaji untuk digunakan di kalangan kanak-kanak dengan tumor yang sangat berisiko tinggi.
  • Kerjasama, disiplin teras kejayaan

    Posted: 20 Aug 2012 07:42 AM PDT

    KENANGAN...anggota pancaragam Sekolah Menengah Lembah Bidong bergambar kenangan selepas pertandingan.
    KENANGAN...anggota pancaragam Sekolah Menengah Lembah Bidong bergambar kenangan selepas pertandingan.

    MINAT, ditambah dengan kegigihan, mendorong sekumpulan remaja menghabiskan masa berjam-jam setiap hari menelaah nota muzik selain mendalami pergerakan dalam pancaragam sekolah bagi membentuk persembahan menarik.

    Berbekalkan peralatan pancaragam seperti dram, trompet, klarinet, saksafon, tuba, trombon, simbal dan gamelan besi, mereka mampu menghasilkan pelbagai melodi serta formasi harmoni.

    • Foto

      BERLATIH...kumpulan pancaragam berlatih.

    • Foto

      CUCI...peserta mencuci peralatan muzik mereka.

    • Foto

      GEMBIRA...kumpulan pancaragam SMK Chukai, Kemaman bersorak sebelum membuat persembahan.

    • Foto

      PERSIAPAN...sekumpulan ahli pancaragam melakukan persiapan sebelum memasuki gelanggang pertandingan.

    • Foto

      TIUP...beberapa peserta berlatih meniup sebelum pertandingan.

    Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Terengganu, Adib Zainordin, 17, berkata keputusannya memilih kokurikulum pancaragam adalah tepat kerana melodi dan pergerakannya mencabar serta bukan semua orang boleh lakukan.

    Menurutnya, aktiviti pancaragam memerlukan disiplin tinggi dan sikap bertanggungjawab semua ahli boleh membentuk persembahan pancaragam yang harmoni daripada semua aspek.


    "Lima tahun bersama pasukan pancaragam sekolah banyak membantu saya membentuk keperibadian, terutama dalam aspek persahabatan.


    "Latihan dijalankan tiga kali seminggu tapi jika ada pertandingan, kami lebih kerap berlatih dan banyak masa dihabiskan di sekolah," katanya ketika ditemui pada Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan (PPSSMPK) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

    Rakannya, Syahida Zamri, 17, berkata menyertai kumpulan pancaragam bukan saja meningkatkan disiplin diri, malah memupuk semangat setiakawan dan saling menghormati kerana ia elemen penting dalam pasukan.

    "Kami bukan saja bermain alat muzik, malah menambah kenalan baru melalui pertandingan disertai apabila berjumpa ahli kumpulan pancaragam lain," katanya yang menyertai pancaragam sekolah sejak lima tahun lalu.

    Menurutnya, ibu bapa, guru dan rakan banyak memberi inspirasi walaupun pada peringkat awal dia sukar menyesuaikan diri dengan pergerakan dan melodi.

    Katanya, dia mengambil masa enam bulan untuk memahirkan diri bermain klarinet dan bersyukur kerana berjaya menguasainya walaupun tiada asas muzik.

    Wan Yuzree Rajan, 16, pelajar Sekolah Menengah Derma, Perlis, berkata pancaragam kini bukan saja mengendalikan alatan muzik, malah pelbagai unsur diselitkan, antaranya pergerakan dalam persembahan.

    "Pancaragam sekolah kami kini di kedudukan kelima terbaik di Malaysia dan menjadi ahlinya adalah sesuatu yang istimewa kerana bukan semua pelajar boleh menyertainya.

    "Minat dan kesungguhan membolehkan saya mengetuai pancaragam ini sebagai drum major dan pemain trompet," katanya yang menyertai pancaragam sekolahnya sejak empat tahun lalu.

    Rakannya, Nur Asma Hanim Badri, 17, berkata sesebuah kumpulan pancaragam memerlukan persefahaman berikutan pelbagai formasi dan pergerakan perlu dibuat secara serentak.

    "Latihan mencukupi perlu dalam membentuk pasukan mantap dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi seperti kebangsaan.

    "Lagu yang dibawa perlu bersesuaian dengan pergerakan tanpa mengira sama ada ia lagu rakyat, Latin atau patriotik," katanya.

    Konduktor pasukan pancaragam SMK Keat Hwa, Alor Setar, yang muncul juara Piala Menteri Pelajaran Malaysia Divisyen I, Ang Jia Wei, 19, berkata kejayaan memasuki peringkat kebangsaan dan bergelar juara terhasil apabila ahli pasukannya berjaya memberi komitmen kepada keseluruhan pergerakan dengan baik.

    "Usaha kami selepas berlatih di bawah pancaran terik matahari selama tiga bulan berbaloi apabila berjaya merebut gelaran juara kebangsaan dan membawa pulang piala pusingan," katanya.

    Pelajar SMK Elit Lembah Bidong, Amir Khirul Anwar, 17, berkata walaupun ibu melarang kerana takut menjejaskan pelajaran, dia bertekad menyertai pasukan pancaragam itu kerana minatnya yang mendalam.

    "Sejak empat tahun lalu saya tidak pernah memaklumkan ibu mengenai penyertaan dalam pasukan pancaragam sekolah kerana takut dimarahi berikutan ibu khuatir prestasi pembelajaran saya.

    "Bagaimanapun, saya membuktikan kepada ibu bahawa menyertai pasukan ini tidak menjejaskan pembelajaran saya apabila memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.

    "Selain itu dengan menyertai pasukan pancaragam ini, saya dapat melatih diri menjadi lebih berdisiplin dan bersistematik dalam menjalani kerja seharian," katanya yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

    Sementara itu, Pegawai Media dan Komunikasi PPSSMPK, Malik Ridhwan berkata, PPSSMPK dipecahkan kepada dua kategori iaitu Piala Menteri Pelajaran Malaysia Divisyen I disertai 16 pasukan dan Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia Divisyen II membabitkan 18 pasukan.

    "Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa, Kedah menggondol lima anugerah dan membawa pulang piala pusingan Menteri Pelajaran Malaysia.

    "Antara anugerah berjaya dibawa pulang pasukan berkenaan ialah Anugerah Color Guard Terbaik, Percussion Terbaik, Brass dan Woodwind Terbaik dan General Effect Terbaik," katanya.

    Kategori Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia Divisyen II dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis.

    Antara pasukan lain yang bertanding ialah SMK St John, Kuala Lumpur; SMK Victoria, Kuala Lumpur, Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah; SMK Chung Hwa Wei Seng, Kuala Terengganu; SMK Lembah Bidong, Kuala Terengganu; SMK Tinggi Klang, Selangor dan SMK Perempuan Sultan Ibrahim, Johor.



    >PROFIL 1:

    Nama: Syahida Zamri
    Umur: 17 tahun
    Asal: Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu
    Sekolah: SMK Chukai, Kemaman
    Alat muzik: Klarinet


    >PROFIL 2:

    Nama: Adib Zainordin
    Umur: 17 tahun
    Asal: Kampung Mak Cili, Kemaman, Terengganu
    Sekolah: SMK Chukai, Kemaman
    Alat muzik: Klarinet


    >PROFIL 3:

    Nama: Nur Asma Hanim Badri
    Umur: 17 tahun
    Asal: Jejawi, Perlis
    Sekolah: SM Derma, Perlis
    Alat muzik: Trompet


    >PROFIL 4:

    Nama: Wan Yuzree Rajan
    Umur: 16 tahun
    Asal: Beseri, Perlis
    Sekolah: SM Derma, Perlis
    Alat muzik: Trompet


    FAKTA:

    KEPUTUSAN PPSSMPK (Piala Menteri Pelajaran Malaysia Divisyen I)

  • Johan - SMK Keat Hwa, Kedah
  • Naib Johan - SMK St John, Kuala Lumpur
  • Ketiga - SMK Victoria, Kuala Lumpur
  • Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia Divisyen II
  • Johan - SMK Perlis, Perlis
  • Naib Johan - SMK Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor
  • Ketiga - SMK Derma, Perlis
  • Mudah masuk Mexico

    Posted: 20 Aug 2012 07:40 AM PDT

    MENARIK...sebuah gereja yang menjadi antara mercu tanda bandar Tijuana.
    MENARIK...sebuah gereja yang menjadi antara mercu tanda bandar Tijuana.

    KETIKA saya memikirkan apa perlu dibuat untuk menghabiskan baki dua hari selepas membuat liputan perkembangan animasi War of the Worlds: Goliath hasil usaha sama syarikat Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan di Konvensyen Komik Antarabangsa (Comic-Con) San Diego, baru-baru ini, seorang rakan dari Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) mencadangkan kami pergi menyeberangi sempadan ke Mexico.

    Saya mengangguk setuju kerana berpendapat, bila lagi mahu berjalan jauh sikit, apatah lagi peluang mengunjungi negara seperti Mexico jarang diperoleh.
    Hasrat kami bertambah mudah apabila seorang rakan warga negara AS bersetuju menjadi pemandu dan menemani kami ke bandar sempadan AS dan Mexico iaitu Tijuana.

    • Foto

      MERIAH...suasana kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan pelancong di Tijuana.

    • Foto

      BERATUR...kenderaan beratur memasuki Mexico.

    • Foto

      MUDAH...hanya melalui pintu berpalang, anda sampai ke wilayah Mexico tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

    • Foto

      BERATUR...orang ramai beratur panjang sementara menunggu pemeriksaan imigresen untuk memasuki AS.

    • Foto

      SEMPADAN...penulis bergambar di depan batu sempadan AS dan Mexico.

    • Foto

      MERCU TANDA...rekaan seni yang menyambut pelancong di Tijuana.

    • Foto

      SESAK...pemandangan kawasan penduduk di Mexico dapat dilihat di Tijuana.


    Bagaimanapun, saya kembali teragak-agak dengan keputusan ke Tijuana selepas rakan dari AS itu memberi pelbagai peringatan serta kemungkinan yang boleh berlaku apabila melintasi sempadan.Menurutnya, kedatangan kami sebagai orang asing mudah dikenali penduduk di situ dan ada kemungkinan menjadi sasaran penyeluk saku.

    Dia berkata, kami perlu berjalan dalam kumpulan, tidak membawa beg atau kamera besar serta memakai pakaian yang tidak menarik perhatian, malah dia yang enam tahun tidak menjejakkan kaki ke Tijuana tidak mahu ke sana pada waktu malam kerana risiko lebih tinggi.

    Peringatan sebegitu mengingatkan saya mengenai sebuah filem Hollywood yang pernah saya tonton mengenai pertempuran dua kartel dadah Mexico tetapi disebabkan ada benda yang saya mahu cari di sana, saya bertawakal saja.

    Perjalanan dari San Diego ke Tijuana hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Bagaimanapun, kami terpaksa meletakkan kereta di tempat letak kereta berhampiran sempadan kerana kenderaan AS tidak dapat memasuki terus ke Mexico disebabkan isu insurans.

    Dari tempat letak kereta, kami berjalan selama 15 minit melalui dua pintu berpalang. Sangat mudah, tidak ada polis atau pegawai imigresen yang berkawal, seolah-olah kami memasuki laluan pasar raya.

    Di pekan Tijuana, saya dapati berpuluh farmasi dan klinik gigi bersusun di deretan rumah kedai. Saya kemudian difahamkan, ramai rakyat AS memasuki Tijuana kerana pelbagai jenis ubat dan pil boleh dibeli tanpa preskripsi doktor, termasuk yang dilarang.

    Klinik gigi yang bersepah pula disebabkan permintaan tinggi warga AS kerana rawatan gigi di negara mereka mahal.

    Selepas dua jam berjalan di sekitar pekan Tijuana, kami mengambil keputusan pulang. Kami mudah memasuki sempadan tetapi untuk pulang ke AS, kami terpaksa beratur dua jam untuk pemeriksaan imigresen.

    Ketika beratur, ada rakyat Mexico menghampiri kami kononnya menawarkan perkhidmatan van sapu untuk terus ke pejabat imigresen.

    Mujur pemandu pelancong kami rajin bertanya dan mendapat tahu, jika menaiki kenderaan, kami akan tersekat dalam kesesakan jalan raya, malah dalam situasi van yang bercermin gelap, macam-macam boleh berlaku.

    Kami mengambil keputusan beratur dan kembali semula ke AS tanpa masalah. Cuma saya tersenyum sendirian apabila mengingati tujuan memasuki Mexico hanya semata-mata mahu membeli cenderahati magnet peti ais untuk rakan di Malaysia.

    Daki hingga ke puncak

    Posted: 20 Aug 2012 07:39 AM PDT

    TIDAK KEKOK... Herr menggunakan kedua-dua kaki palsu untuk memanjat tebing batu.
    TIDAK KEKOK... Herr menggunakan kedua-dua kaki palsu untuk memanjat tebing batu.

    TIADA apa yang lebih menggembirakan hati Hugh Herr selain memanjat tebing batu - walaupun kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dalam satu kemalangan ngeri ekspedisi memanjat ketika beliau masih remaja.

    Menawan tebing batu setinggi 200 kaki itu bukan kerja mudah, malah satu daripada kaki palsunya jatuh dalam ekspedisi terakhirnya. Namun, Herr dengan tenang menunggu dan menarik kaki palsunya dengan tali sebelum meneruskan memanjat hingga ke puncak.


    Herr mempunyai makmal membuat kaki bionik palsu di Institut Teknologi Massachusetts dan menegaskan, mempunyai kaki palsu adalah satu kelebihan.

    • Foto

    • Foto

    Katanya: "Apa yang kita lihat dalam kurun ini adalah kecanggihan sistem manusia dan mesin, interaksi manusia dan mesin dan teknologi yang semakin baik.


    "Kita akan menghapuskan kurang upaya. Ia satu batu loncatan untuk pergi lebih jauh dan menambah kebolehan." Herr berkata: "Pada satu tahap, anggota palsu boleh menjadi peranti kenderaan, seperti kereta. Mereka yang kudung kaki boleh berjalan menggunakan tenaga yang kurang berbanding mereka yang mempunyai kaki biasa.


    "Sebenarnya, kasihan kerana mempunyai kaki biasa kerana anda terhad oleh sifat semula jadinya dan tidak boleh meningkatkannya, tetapi anggota palsu adalah untuk selama-lamanya." Pada 1982, ketika Herr berusia 17 tahun, beliau memanjat Gunung Washington di New Hampshire bersama seorang teman.

    Mereka terperangkap di dalam ribut salji dan kecederaan dialami menyebabkan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.


    Katanya: "Ketika kami meneruskan pendakian, cuaca menjadi semakin buruk. Angin kuat dan kami hampir tidak boleh berdiri. Ribut dan salji turun semakin lebat.

    "Kami membina gua salji dan memeluk satu sama lain untuk mengekalkan kehangatan dan terus hidup. Kaki kami terasa kebas. Apabila anda mengalami hipotermik, anda tidak boleh berfikir secara waras." Herr berkata: "Kami berjaya berjalan beberapa batu dan tiba di satu jalan tapi kami tidak berdaya lagi dan hilang harapan. Kami sudah tidak berpelukan dan berfikir, lebih cepat kami mati, lebih baik." Menurut Hugh, seseorang terjumpa tapak kaki mereka dan menjejakinya hinggga menemui gua ais mereka, lalu mereka berdua diselamatkan dengan helikopter.


    "Kami berada di hospital buat beberapa bulan sebelum kedua-dua kaki saya dipotong," katanya.


    Kisah penuh inspirasi Herr dipaparkan menerusi siri televisyen di Amerika Syarikat, "Who Says I Can't" (Siapa Kata Saya Tidak Boleh) iaitu kisah insan yang kurang upaya tetapi berjaya mengatasi kekurangan mereka untuk mengambil bahagian dalam sukan.


    Ia dihoskan oleh Jothy Rosenberg, penghidap kanser yang dipotong sebelah kakinya ketika berusia 16 tahun.

    22 kali kahwin

    Posted: 20 Aug 2012 07:38 AM PDT

    Utila, Honduras
    Utila, Honduras

    SEBAGAI hari paling menggembirakan dalam hidup, memang tiada yang aneh apabila Alex Pelling, 32, dan Lisa Grant, 30, membuat perancangan rapi untuk majlis perkahwinan mereka kecuali ia diadakan secara bersiri di banyak negara berbeza.

    Pasangan dari Yorkshire Timur itu mengembara ke serata dunia sejak musim panas lalu untuk meraikan cinta mereka dengan menganjurkan 22 majlis perkahwinan.


    Tidak cukup dengan itu, Pelling dan Lisa bersiap sedia mengadakan majlis itu di lapan tempat lain. Lebih penting, pasangan itu mendakwa cinta mereka semakin hangat dari sebelum ini. Setakat ini, mereka meraikan perkahwinan itu bersama ikan lumba-lumba di Hawaii, berpakaian seperti pontianak di Los Angeles, selain pelbagai aksi di pulau di Honduras, di Tasik Michigan, ladang anggur di Quebec, di pantai Mexico, kawasan kampung Banff dan 15 lokasi lain di sekitar Amerika Utara, Selatan dan Tengah.

    • Foto

      Ecuador

    • Foto

      Alberta, Kanada

    • Foto

      Peru

    • Foto

      Costa Rica

    Menurut Pelling, idea mengadakan majlis perkahwinan di merata-rata tempat itu timbul ketika mereka - yang saling mengenali selama 11 tahun sebelum berpacaran enam tahun - mencari tempat sesuai untuk mengikat hubungan sebagai suami isteri.


    Bagi memastikan lokasi itu benar-benar memuaskan hati, mereka mengembara ke pelbagai negara selama dua tahun.


    "Ada pihak menawarkan kami di Britain tetapi tidak sesuai dengan apa yang diimpikan.

    "Justeru, kami mencari tempat paling sempurna sambil mengembara," katanya. Tidak lama kemudian, kata Pelling, mereka mendapat idea untuk mengadakan majlis perkahwinan itu secara kecil-kecilan di setiap negara dilawati.


    Majlis itu, katanya, diadakan dengan gabungan unsur kebudayaan dan tradisi setempat. "Pada kunjungan terakhir, kami akan memilih lokasi paling sesuai untuk majlis perkahwinan rasmi," katanya. Sejak perkahwinan pertama mereka di Manchester (yang dianjurkan Pelling secara rahsia dan menjadi kejutan kepada Lisa), pasangan itu mengendalikan blog yang menceritakan pengalaman pengembaraan berkenaan.

    Sekumpulan jurugambar profesional pula membantu mendokumentasikan pengalaman itu secara visual. Sesiapa yang ingin menghadiri satu daripada majlis perkahwinan Pelling - Lisa boleh membuat permohonan jemputan di blog berkenaan. Untuk membiayai perjalanan, Pelling menjual bengkel membaiki kenderaan miliknya, serta rumah yang didiami bersama Lisa.


    Mematuhi syarat ketat perbelanjaan untuk tempoh secara seminggu, Pelling dan Lisa melakukan perjalanan serta tinggal dalam van Dodge berusia 25 tahun - dinamakan Peggy - bagi mengurangkan kos. Kata Pelling, perbelanjaan untuk perjalanan mereka memang sangat terhad tetapi dia berjaya menguruskannya.


    "Kos terbesar kami ialah minyak, tentunya, dan kami berbelanja barang keperluan harian secara mingguan di pasar tempatan untuk berjimat," katanya. Dalam keadaan begitu, kata Pelling, dia sangat terhutang budi kepada pelbagai pihak yang bermurah hati - seperti jurugambar, pembekal, ahli keluarga dan orang awam - yang menyumbang bagi memenuhi keperluan perjalanan mereka. "Semua pihak membantu secara percuma atau sekadar menerima bayaran minimum kerana ingin menyebarkan kasih sayang yang menjadi sebahagian daripada pengembaraan kami," katanya. Ditanya mengenai masalah dihadapi, pasangan itu berkata, membaik pulih Peggy adalah halangan utama. Kata Lisa, mereka membeli Peggy di Kanada dan sejak itu, kenderaan berkenaan melakukan perjalanan lebih 55,000 kilometer.


    "Kami menghadapi masalah minimum, tetapi berdepan kesukaran mengatasinya kerana perbezaan bahasa," katanya. Mengenai majlis perkahwinan dijalankan di sesebuah lokasi, Lisa berkata ia juga tidak menjadi masalah besar.


    "Hanya sekali permohonan kami ditolak kerana tidak sealiran dengan fahaman agama gereja terbabit," katanya. Walaupun ditolak, kata Lisa, gereja terbabit tetap menjemput menghadiri majlis diadakan dan berdoa untuk kesejahteraan mereka.


    Selepas mengadakan 22 majlis perkahwinan, pasangan itu menganggap majlis di Belize sebagai "sangat beremosi, mengharukan dan terlalu indah," menjadikan ia mungkin paling digemari. Di situ, pasangan Pelling - Lisa mahu melangsungkan perkahwinan di daerah Toledo dengan bantuan kaum Maya setempat.


    Namun demikian, disebabkan kawasan itu mengalami hujan lebat seminggu, ia mungkin dilangsungkan ketika jurugambar terkandas 600 kilometer dari situ.


    Tiba-tiba, kata Lisa, ketika mereka hampir berputus asa, hujan berhenti dan matahari bersinar pada hari perkahwinan dilangsungkan. Di sebalik 'keajaiban' itu, Lisa berkata, mereka belajar sesuatu.


    "Tiada sesuatu pun yang boleh diambil mudah," katanya. Mengenai majlis yang tidak menggembirakan, Lisa berkata, ia berlaku sekali di Pulau Utila, Honduras.


    Di situ, katanya, mereka menghadapi masalah apabila majlis dianjurkan 'diceroboh' ribuan labah-labah pisang.


    "Pengalaman berdepan tetamu di kalangan nelayan mabuk di Chile juga boleh dianggap tidak menyenangkan," katanya. Menjelang berakhirnya misi mereka, Pelling dan Lisa mendakwa, rasa cinta mereka tetap menebal seperti detik awal pengembaraan bermula. Kata Pelling, dilihat dari aspek tertentu, rasa cinta itu mungkin lebih mendalam berbanding sebelum ini. "Kami bersama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan tinggal dalam van.


    "Kami merancang majlis perkahwinan, bertukar-tukar memandu, mengagihkan tugasan dan bergilir menyiapkan sarapan setiap hari," katanya.


    Walaupun begitu, kata Pelling, dia berasa mereka diciptakan memang untuk bersama kerana setiap hari dilalui tanpa sekali pun bertengkar.


    "Kami tetap gemuruh setiap kali majlis perkahwinan dilangsungkan," katanya.

    Masjid Agung jadi kebanggaan

    Posted: 20 Aug 2012 07:37 AM PDT

    MASJID AGUNG...seakan-akan Masjid Nabawi di Madinah dengan enam payung gergasi.
    MASJID AGUNG...seakan-akan Masjid Nabawi di Madinah dengan enam payung gergasi.

    SEMARANG sinonim dengan gelaran 'kota batik', namun sebenarnya ia turut memiliki pelbagai keistimewaan lain yang pasti memikat hati pelancong.

    Apatah lagi ibu kota Jawa Tengah, Indonesia ini yang mempunyai 1.5 juta penduduk lebih tenang dan nyaman berbanding bandar lain di Indonesia, terutama Jakarta, Surabaya dan Bandung yang terkenal dengan kesesakan jalan raya dan kesibukan penduduknya sepanjang masa.

    • Foto

      KENANGAN...penulis berpeluang bergambar kenangan di Masjid Agung.

    • Foto

      GEDUNG BATU SAM PO KONG...tempat pendaratan pertama Laksamana Tionghua beragama Islam bernama Cheng Ho.

    • Foto

      CANDI...satu daripada Candi Gedong Songo peninggalan budaya Hindu di lereng Gunung Ungaran.

    • Foto

      SEJARAH...bangunan dua tingkat peninggalan Belanda dikenali Lawang Sewu atau Seribu Pintu.

    Penulis yang berpeluang mengikuti rombongan 'Fam Trip to Semarang' anjuran AirAsia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Jawa Tengah pada mulanya beranggapan bakal melihat suasana hiruk-pikuk seperti itu, namun ternyata tanggapan itu meleset.

    Sebaik menjejakkan kaki ke Semarang, suasananya tenang dan nyaman. Walaupun bahasa digunakan berbeza sedikit berbanding komuniti Indonesia lain, masyarakatnya peramah, sopan-santun dan tidak lokek dengan senyuman serta sentiasa menghulurkan bantuan jika diperlukan, menyebabkan pelancong tidak kekok berada di kota ini.


    Majoriti penduduknya Islam, tetapi mereka tetap bertolak ansur dengan penganut agama lain.


    Malah, bertitik-tolak daripada silaturahim yang erat sesama penduduk menjadikan Semarang terkenal dengan kota keamanan, malah penduduknya dikatakan tidak pernah mengadakan rusuhan, tunjuk perasaan dan demonstrasi jalanan seperti di beberapa wilayah lain.

    Suasana aman itu menjadikan kemajuan ekonomi dan taraf hidup penduduknya lebih tinggi, menyebabkan kota ini maju dengan industri batik, perindustrian kecil dan sederhana serta pembuatan jamu.

    Mempunyai keluasan 373,67 kilometer persegi, ia dianggap istimewa kerana terletak di sebuah teluk, selain mempunyai dua bahagian dikenali sebagai 'Kota Atas' dan 'Kota Bawah'.

    Kota Atas lebih dikenali dengan penempatan golongan atasan kerana di situ tersergam pusat pentadbiran dan banglo mewah milik usahawan berjaya, manakala Kota Bawah pula sering dilanda banjir hinggakan penduduknya lali dengan masalah banjir.

    Ia turut dikenali sebagai kota ilmu kerana memiliki banyak pusat pengajian tinggi terkemuka yang dihormati di seluruh Indonesia.

    Berikutan majoriti penduduknya beragama Islam, masjid terbesar di Asia Tenggara dibangunkan di Jalan Gajah Semarang yang pastinya menjadi kebanggaan masyarakat setempat, khususnya Jawa Tengah.

    Masjid Agung yang dibina pada 2001 dan siap lima tahun kemudian tersergam
    di kawasan seluas 10 hektar dan memiliki pelbagai kemudahan lengkap.

    Menariknya, masjid ini seakan-akan Masjid Nabawi di Madinah dengan
    enam payung gergasi yang dikawal secara elektronik. Masjid Agung dirasmikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 14 November 2006.

    Selain dijadikan tempat ibadah, di kawasan itu dibina sebuah bangunan yang dijadikan hotel, pejabat dan pusat jualan cenderamata.

    Lebih unik, bangunan utama masjid adalah menara setinggi 99 meter, bersesuaian dengan 99 nama Allah. Menara itu sering digunakan untuk melihat anak bulan bagi menentukan tarikh awal Ramadan dan Syawal.

    Pengunjung hanya dikenakan bayaran RM2 (Rp3,000) untuk naik ke tingkat sembilan menara yang dilengkapi kafe berputar untuk menjamu selera dan menikmati pemandangan Kota Semarang.

    Di atas menara itu juga, pengunjung yang mahu melihat Kota Semarang lebih jelas boleh menggunakan teropong dengan hanya memasukkan syiling Rp500.

    Pengunjung turut berpeluang melihat sejarah peradaban Islam di Semarang dengan mengunjungi muzium di tingkat satu menara itu.

    Pelancong juga berpeluang melihat Gedong Batu, iaitu sebuah kuil atau Kelenteng Cina. Dikenali sebagai Kelenteng Gedung Batu Sam Po Kong, ia menjadi tempat pendaratan pertama Laksamana China Islam Cheng Ho yang terletak di daerah Simongan.

    Ia digelar Gedong Batu kerana bangunan di kuil berkenaan sebenarnya adalah gua batu.

    Selepas ke kuil, penulis berpeluang ke Candi Gedong Songo atau rumah sembilan iaitu sebuah kompleks candi peninggalan tamadun Hindu di lereng Gunung Ungaran.
    Candi ini terletak pada ketinggian 1,200 meter dari aras laut dengan suhunya sejuk.

    Tempat bersejarah yang ditemui Stamford Raffles pada 1804 ini sebenarnya peninggalan zaman Wangsa Sailendra sejak abad kesembilan.

    Kompleks yang mempunyai sembilan candi itu memiliki pemandangan indah yang dijaga rapi selain mata air mengandungi belerang.

    Pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang ke lereng bukit untuk melihat peninggalan candi yang masih kukuh selain menikmati cuaca sejuk seakan-akan
    Cameron Highlands. Mereka boleh berjalan atau menunggang kuda yang disediakan.
    Tidak lengkap berkunjung ke Kota Semarang jika tidak singgah ke Lawang Sewu atau dikenali Seribu Pintu, iaitu sebuah pejabat peninggalan penjajah Belanda.
    Bangunan yang dibina pada 1904 dan siap sepenuhnya pada 1907 ini terletak berhampiran Tugu Muda atau Wilhelminaplein.

    Lawang Sewu pernah menjadi lokasi pertempuran pemuda Angkatan Muda Kereta Api (AMKA) dengan tentera Jepun, menyebabkan pemerintah Kota Semarang memilihnya sebagai satu daripada 102 bangunan bersejarah di Kota Semarang yang patut dilindungi.

    Bangunan dua tingkat yang mampu menggamit memori pengunjung ini memiliki dua menara yang menempatkan tangki air. Setiap satu menara mampu menampung 5,000 liter air.

    Selepas penat berjalan, pasti tekak haus dan perut berkeroncong minta diisi.
    Tidak rugi jika singgah sebentar ke Kampung Laut yang dikenali sebagai rumah makan terapung terbesar di Semarang.

    Restoran itu menawarkan pelbagai menu seperti bandeng saus kampung laut, cah baby kailan, salad buah dan minuman jus jagung. Sambil makan, pengunjung boleh menikmati pemandangan laut yang indah.

    Pada akhir lawatan, tidak rugi membeli pelbagai makanan popular di sini seperti wingko babat, lumpia, tahu serasi, bandeng presto, moci yang dibungkus kemas dan boleh dibawa pulang ke Malaysia, selain beberapa cenderamata popular seperti kain batik.

    Ibarat rumah kebajikan

    Posted: 20 Aug 2012 07:35 AM PDT

    pix_middle
    MASA LAPANG...bekas pesakit yang berkemampuan turut dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti, termasuk berkebun.
    MASA LAPANG...bekas pesakit yang berkemampuan turut dibenarkan melakukan pelbagai aktiviti, termasuk berkebun.

    RUPA hodoh, tidak mempunyai hidung atau telinga serta cacat anggota badan itu kesan penyakit kusta satu ketika dulu hingga menakutkan masyarakat.

    Beberapa dekad berlalu, stigma dan persepsi masyarakat terhadap pesakit kusta boleh dikatakan belum berubah meskipun kini kusta tidak lagi berjangkit dan ada pelbagai antibiotik khas untuk mengawalnya.

    Ini jelas kelihatan apabila pesakit kusta disisih dan terpaksa tinggal berjauhan daripada masyarakat.

    Malah, ketika penulis melawat mereka di Kompleks Kediaman Dormitori, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh, bekas pesakit kusta masih menghuni pusat itu walaupun mereka disahkan sembuh sepenuhnya.


    Difahamkan, kebanyakan bekas pesakit tidak diterima keluarga disebabkan penyakit yang pernah dihidapi. Pendapat bahawa penyakit ini masih berbahaya turut membelenggu fikiran keluarga mereka.


    Penulis beranggapan, sedangkan ahli keluarga sukar menerima kekurangan yang ada pada mereka, inikan pula jiran dan masyarakat setempat yang pasti memandang serong bekas pesakit ini.

    Kini jumlah bekas pesakit dan pesakit kusta yang menghuni PKKN semakin berkurangan. Disebabkan tiada kes berbahaya direkodkan mengenai kusta, mereka yang menghuni pusat ini seawal ia dibuka pada 1926 adalah penghuni tetapnya.

    Jumlah penghuni PKKN kini hanya 204 dan majoritinya kaum Cina. Ia merangkumi 59 lelaki, 44 wanita dan selebihnya pula ditempatkan di kawasan lain kerana mereka mampu berdikari dan bekerja.

    Seramai 103 pesakit di wad PKKN adalah bekas pesakit yang tidak mampu berdikari. Kebanyakan mereka cacat atau lumpuh secara kekal kerana kusta.

    Malah, rata-ratanya bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dan
    segelintirnya masih memerlukan perhatian jururawat dan bantuan perubatan.

    Begitupun, selama empat hari berulang-alik ke sana, hati penulis diraut pilu kesedihan. Sekali imbas, penulis tidak melihat PKKN sebagai pusat pesakit kusta, jauh sekali sebagai hospital.

    Bagi penulis, PKKN kini hampir sama tarafnya dengan rumah kebajikan orang tua.
    Masakan tidak, hampir semua bekas pesakit yang ditempatkan di wad berkenaan disahkan sembuh bertahun-tahun lamanya.

    Kenapa mereka masih menghuni pusat berkenaan? Di manakah keluarga mereka?
    Tidakkah mereka ada anak, adik-beradik atau saudara mara yang boleh menjaga mereka?

    Persoalan demi persoalan bermain di fikiran. Namun, semuanya terjawab apabila penulis mendekati seorang demi seorang bekas pesakit yang jelas mempunyai pelbagai cerita tersendiri.

    Rata-rata tidak diterima keluarga. Malah, ada yang dibuang sanak saudara kerana penyakit mereka. Selain itu, ada yang tidak mengenali keluarga kerana ditempatkan di pusat berkenaan sejak kecil.

    Di sebalik senyum dan tawa penghuni PKKN, pelbagai kisah sedih disembunyikan.
    Tidak hairan kenapa mereka masih berada di situ walaupun disahkan sembuh daripada kusta.

    Walaupun dibuang keluarga serta tiada saudara mara di luar, kehidupan mereka di PKKN sebenarnya tidak seperti pesakit lain yang ditempatkan di wad kerana penyakit kronik.

    Membabitkan bekas pesakit berumur awal 50-an sehingga paling tua iaitu 90 tahun, kehidupan mereka di sini tidak membosankan.

    Bagi yang sembuh dan tidak mengalami kesan atau kecacatan teruk akibat kusta, mereka dibenar melakukan pelbagai aktiviti, antaranya berkebun, bercucuk tanam dan membuat pelbagai hasil kraftangan yang kemudian dijual kepada orang luar.

    Kerana tiada kerja, aktiviti sampingan disediakan PKKN sedikit sebanyak dilihat sebagai cara memberi pendapatan kepada bekas pesakit. Pada masa sama, ia dilihat sebagai aktiviti sampingan untuk mengisi masa lapang penghuni.

    Selama 'berkampung' di PKKN, penulis mendapati hampir setiap hari warga PKKN menerima lawatan daripada masyarakat luar.

    Penulis difahamkan, mereka daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat lawatan dan memberi bantuan kepada bekas pesakit di sini, selain mengadakan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan mereka dan jururawat bertugas.

    Selain aktiviti NGO, PKKN menyediakan pelbagai aktiviti untuk penghuninya, termasuk proses pemulihan di pusat fisioterapi selain ceramah agama khas setiap malam Isnin dan Khamis.

    Terpelanting banyak kali

    Posted: 20 Aug 2012 07:32 AM PDT

    TERBALIK... dua gerabak tergelincir di Kampung Sungai Yu, dekat Gua Musang.
    TERBALIK... dua gerabak tergelincir di Kampung Sungai Yu, dekat Gua Musang.

    GUA MUSANG: "Kami tidak ingat perkara lain kecuali mati selepas terpelanting beberapa kali dalam gerabak yang terbalik," kata Nor Hazliza Mohd Noor, 22, seorang daripada hampir 100 penumpang yang terperangkap dalam dua gerabak kereta api Ekspres Wau yang terbalik, awal pagi semalam.

    Kejadian jam 6.45 pagi itu berlaku di Kampung Sungai Yu antara Stesen Kuala Lipis dengan Gua Musang ketika Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat dalam perjalanan membawa hampir 1,000 penumpang menaiki 14 gerabak untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung.

    Dipercayai dua gerabak penumpang kelas satu dan gerabak tempat tidur yang dinaiki hampir 100 penumpang terletak di bahagian belakang terputus dari sambungan gerabak depan, menyebabkannya tergelincir sebelum terbalik di tepi bukit.

    Seramai 11 penumpang cedera, lapan lagi parah, termasuk seorang luka di muka manakala dua lagi patah tangan dan patah pinggang, dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Merapoh untuk rawatan.


    Pemandu yang menyedari dua gerabak penumpang belakang terputus terpaksa memberhentikan kereta api terbabit sejauh hampir satu kilometer sebelum mengundur semula ke tempat kejadian bagi menyelamatkan penumpang dalam gerabak terbalik itu.

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

    Copyright 2010 All Rights Reserved