ads

Jumaat, 17 Ogos 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Janda ceria

Posted: 17 Aug 2012 08:31 PM PDT

KEDUA-DUANYA mempunyai cerita yang sama iaitu bercerai dengan suami masing-masing pada tahun ini.

Biarpun bergelar janda namun perwatakan Raja Azmi Raja Sulaiman dan Sasha Saidin tetap ceria kerana mereka sentiasa berfikiran positif.

Bagi mereka apa yang berlaku adalah qada dan qadar yang tidak dapat dielakkan dan sebagai manusia mereka perlu meneruskan kehidupan.

Meskipun cerita mereka dijaja di dada akhbar dan Internet namun sebagai selebriti yang sudah terbiasa dengan berita sebegitu, ia sedikitpun tidak memberi kesan kepada Raja Azmi mahupun Sasha.

"Apa yang berlaku tidak dapat diundur semula. Hidup mesti diteruskan dan masa depan perlu diatur kerana tidak ada siapa yang akan menolong kita, selain diri sendiri," demikian kata Raja Azmi.

Beraya di Taiping

Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri untuk merai Syawal. selalunya rumah ibu bapa di kampung yang sunyi sebelum ini akan menjadi riuh rendah dengan kepulangan anak cucu dari bandar.

Berkumpul adik beradik bersama keluarga masing-masing merupakan saat yang diidamkan kerana waktu raya sahaja suasana itu dapat dilihat kerana kebetulan semua dapat cuti serentak.

Namun cara penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, menyambut kedatangan Syawal berbeza kerana setiap kali raya dia sekeluarga mengambil kesempatan untuk bercuti.

"Setiap kali raya, kami sekeluarga akan bercuti di luar Kuala Lumpur. Bermula 2006, kami sekeluarga tidak balik kampung di Banting kerana ketiadaan arwah Haji Sidek (meninggal 17 Oktober 2005). Dulu masa arwah ada, memang tidak sabar-sabar untuk pulang ke sana.

"Tahun lepas kami sekeluarga beraya di Genting Highlands dan sebelum itu di Pulau Langkawi. Siapa kata tak seronok beraya di hotel, selain rumah. Bagi saya seronok lagi beraya di hotel kerana suasana raya tetap dirasa. Malah sebagai tetamu kita akan dilayan dengan istimewa. Lagipun makanan yang disajikan semua makanan raya," ceritanya.

Katanya, beraya di hotel bersama kakitangan hotel amat menyeronokkan kerana mereka seolah-olah berada di kalangan ahli keluarga yang besar.

Pada tahun ini, Raja Azmi bersama tiga anak-anaknya, Puteri Suraya, 27, bersama anak dan suami, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18 akan beraya di kampung halamannya di Kampung Jenna, Taiping, Perak.

"Tahun ini istimewa sikit sebab saya akan bawa anak-anak berkunjung ke rumah saya dibesarkan dulu di kampung.

"Kami akan bertolak dari Kuala Lumpur pada malam raya dan bermalam di chalet. Kiranya pagi raya kami berada di chalet dan selepas itu barulah ke rumah lama. Saya juga akan menziarahi kawan-kawan lama, Fauziah dan Zainab yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Treacher Methodist, Taiping, dulu," katanya tersenyum.

Ditanya, adakah bekas suami, Mohd. Jalani Mohd. Sidek, 49, akan turut serta beraya bersama mereka sekeluarga, katanya, walaupun sudah bercerai, Jalani tetap akan menyambut raya bersama dan bekas pemain badminton negara itu akan bersama pada hari raya.

"Saya sekeluarga bertolak pada malam raya dan mungkin abang Jack (Jailani) pergi bertemu kami selepas solat raya.

"Biarpun kami tidak ada ikatan tapi hubungan kami masih tetap baik dan sebab itulah apa-apa perancangan keluarga nama dia tetap ada," katanya jujur.

Jelas Raja Azmi, mereka sekeluarga tidak lama di Taiping. Pada hari raya kedua akan kembali ke Kuala Lumpur untuk bersama ahli keluarga lain.

Tumpu pada kerjaya

Jika selama ini kita mengenalinya sebagai penerbit tapi dalam diam Raja Azmi menyimpan impian untuk menjadi pengacara bual bicara seperti Oprah Winfrey.

Dia sudah ada judul untuk program yang bakal diterbitkan nanti iaitu Sembang Raja Azmi.

"Dah lama juga saya berhasrat untuk terbit program bual bicara. Jika tidak ada aral melintang program bual bicara yang turut mendapat kerjasama dari Signature Kitchen itu bakal dirakam hujung tahun ini.

"Untuk raya ini juga syarikat saya, Akid Production telah menghasilkan telefilem Aidiladha Baitulmaqdis untuk RTM atau Astro.

"Selepas raya nanti, saya akan mulakan sebuah lagi telefilem di Bali, Indonesia. Kalau tiada aral, penggambaran filem Anak Ikan akan menyusul pada hujung tahun," jelasnya.

Berubah demi kebaikan

KETIKA rambutnya didandan sewaktu sesi foto yang diadakan di kediaman Raja Azmi, Sasha tidak melepas peluang untuk membaca tafsiran Al-Quran.

Kata Sasha, sepanjang Ramadan ini, dia berazam membaca satu juz tafsiran untuk satu hari dan hingga penghujung Ramadan, dia berjaya melakukan misi tersebut.

"Semuanya bermula apabila Sha mengikuti siri ceramah Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe yang kebetulan datang ke Malaysia.

"Sebenarnya waktu itu Sha dalam dilema tentang rumah tangga.

"Setelah mendengar ceramahnya dan Sha sendiri dengan ikhlas ingin belajar mendalami ilmu agama, jadi perkara itu membawa perubahan besar dalam diri Sha. Alhamdulillah, Sha sudah habis khatam Al-Quran tapi disebabkan nak tahu tafsirannya, itu yang Sha berazam untuk selesaikan dalam bulan Ramadan ini," ceritanya.

Jelas Sasha, Al-Quran tafsiran yang dibaca sepanjang Ramadan adalah pemberian daripada bekas mertuanya yang dijangka akang datang menziarahinya September ini.

"Hubungan Sha dengan bekas mertua di Indonesia memang rapat dan mereka sayang sangat pada Arya. Biarpun kali ini beraya sendirian, Sha tetap seronok kerana semua yang rapat dengan Sha sentiasa memberi sokongan," katanya tanpa berselindung.

Telinga Digigit Serangga Musnahkan Sambutan Syawal Asmidar

Posted: 17 Aug 2012 08:25 PM PDT

Asmidar

PETALING JAYA: Penyanyi Asmidar melalui pengalaman buruk apabila telinga di sebelah kanannya digigit sejenis serangga ketika menyambut Syawal di rumahnya di Melaka ketika berusia 10 tahun.

Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad, 26, berkata, hal itu membuatkan seluruh keluarganya membatalkan hasrat meraikan lebaran kerana terpaksa mencari klinik yang dibuka pada hari itu.

"Ia satu pengalaman yang agak tragis serta menyedihkan. Yalah, elok-elok saya dan saudara mara leka bermain bunga api di tepi pokok, tiba-tiba ada serangga gigit.

"Habis seluruh keluarga tidak dapat beraya gara-gara saya. Sudahlah, tidak ada klinik yang dibuka. Sampaikan ayah saya terpaksa merawat kesakitan saya dengan menggunakan minyak," selorohnya.

Tambah juara program "Vokal Bukan Sekadar Rupa" ini, peristiwa itu membuatkan dia lebih berjaga-jaga setiap kali bermain bunga api kerana risau sekiranya insiden itu berulang semula.

Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Syawal pada tahun ia, ia merupakan pengalaman pertamanya sebagai seorang penyanyi.

"Perasaan menyambut Aidilfitri kali ini banyak bezanya kerana ia merupakan tahun pertama saya sebagai seorang penyanyi. Syukur Alhamdulillah, dengan rezeki lebih yang dikurniakan oleh Allah, saya mahu berbelanja besar untuk keluarga," katanya yang berada di Kampung Gadik, Melaka.

Muhibah raya Malaysia, Indonesia di Diva Universal

Posted: 17 Aug 2012 08:25 PM PDT


IKLAN raya terbitan Diva Universal yang memaparkan tiga bintang terkenal Malaysia iaitu Sam Bunkface, Tiz Zaqyah dan Fatimah Abu Bakar turut diserikan dengan lakonan bintang Indonesia, Nicholas Saputra (dalam gambar dua dari kiri).


MERAIKAN Aidilfitri yang bakal tiba, pakar permotoran Honda membawakan mesej sejagat ke arah memupuk nilai bersatu padu melalui saluran Diva Universal kepada seluruh pelanggan Astro.

Menurut Pengarah Urusan Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, kerjasama menyiarkan iklan sempena Aidilfitri kali ini bersama stesen penyiar Astro merupakan langkah sulung mereka untuk menyemarakkan perpaduan, muhibah dan ukhuwah antara dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Tambahnya, iklan khas Aidilfitri itu akan menampilkan kereta jenis MPV kompak terbaharu keluaran Honda yang sesuai untuk keluarga urban iaitu Honda Freed.

Iklan hari raya Honda di saluran Diva Universal (702 Astro) menampilkan bintang Indonesia Nicholas Saputra, Shamsul Annuar (Sam Bunkface), Fatimah Abu Bakar dan aktres jelita tanah air, Tiz Zaqyah.

Menurut Pengurus Universal Networks International (Malaysia), Nini Yusof: "Kami berharap empat nama besar itu akan menarik lebih ramai penonton untuk mengikuti saluran ini. Ia merupakan iklan dan kolaborasi yang istimewa khusus buat semua."

Sementara itu, bintang filem Ada Apa Dengan Cinta, Nicholas Saputra, tidak menolak kerjasama yang terjalin memberikannya peluang untuk lebih dikenali di Malaysia.

"Saya sudah beberapa kali datang ke Malaysia tetapi untuk penggambaran filem, saya bersama produksi Indonesia. Kali ini saya datang untuk berlakon dalam iklan di bawah produksi negara ini. Nyata saya sangat senang.

"Ini kali pertama saya digabungkan bersama Tiz (Zaqyah) dan Fatimah (Abu Bakar), mereka pelakon filem yang sangat bagus dan saya menanti-nantikan peluang untuk bekerja bersama mereka lagi pada masa akan datang," katanya yang pernah bertemu dengan Sam Bunkface beberapa kali sebelum ini.

Tiz turut berasa teruja apabila dapat terbabit dalam iklan khas sempena raya itu.

Iklan yang diarahkan oleh Nik Amir Mustapha itu diterbitkan oleh Diva Universal dan Liquid Thread untuk Honda Malaysia dan disiarkan bermula 17 Ogos.

Aizat beraya di United Kingdom, England

Posted: 17 Aug 2012 08:24 PM PDT


AIZAT rela berkorban beraya dalam tempoh yang singkat di Malaysia pada tahun ini demi menimba ilmu di dada.


PENYANYI Aizat Amdan bakal meninggalkan tanah air pada malam raya demi mengejar ilmu di Garnish School of Sound di Hackney, England selama dua setengah bulan.

Bagaimanapun sebelum terbang ke United Kingdom, Aizat dan keluarganya terlebih dahulu meraikan Aidilfitri di kediaman bapanya di Ampang, Kuala Lumpur pada sebelah pagi dan di kampung halamannya, Raub, Pahang pada petang hari.

"Sebelum meninggalkan Malaysia, saya masih sempat meraikan raya seperti biasa, cuma tempoh sambutan saya lebih singkat berbanding kebiasaannya.

"Pada sebelah malam, seluruh keluarga akan menghantar saya ke lapangan terbang. Abang saya, Anas akan menemani saya di United Kingdom selama 10 hari sebelum saya tinggal sendirian di sana," ujar Aizat yang ditemui di Masjid As-Syakirin Kuala Lumpur City Centre baru-baru ini.


SAYANG ibu. Aizat di samping bonda kesayangannya, Fina Zaman.


Teruja dan disulami perasaan gementar, kata Aizat dia lebih memikirkan tentang pelajarannya di sana berbanding debaran menyambut Aidilfitri.

"Mestilah pelbagai perasaan bermain di hati saya kerana buat pertama kalinya saya akan meninggalkan keluarga dan tanah air dalam tempoh yang agak lama.

"Namun, demi meningkatkan diri, saya harus pergi belajar. Mungkin di sana saya mendapat inspirasi untuk meningkatkan muzik saya kerana berada di negara orang tidak sama seperti berada di negara sendiri," balasnya yang gemarkan kerepek bawang pada hari raya.

Kejar ganjaran Ramadan, rai kemenangan raya

Posted: 17 Aug 2012 08:22 PM PDT



IRONI, sudah saban tahun Datuk Siti Nurhaliza berkongsi cerita Ramadan dan Aidilfitrinya kepada khalayak. Ini bukan tahun pertama, tetapi sudah memasuki tahun ke-18, sejak beliau pertama kali menjadi penyanyi pada tahun 1995.

Saban tahun, tanpa jemu beliau ditanya dan menjawab persoalan raya. Namun setiap kali disua topik yang serupa, mata bintang tersohor ini sentiasa bersinar dan teruja bercerita. Sama seperti tahun ini.

Siti rancak bercerita tentang nikmat Ramadannya. Beliau yang kini berada di tanah suci Mekah sejak 9 Ogos lalu memberitahu, Ramadan yang paling digemarinya tentulah sewaktu zaman kanak-kanak.

"Kalau dapat putar waktu, saya ingin kembali ke zaman kanak-kanak. Berpuasa pada zaman kanak-kanak lain keseronokannya.

"Selain sibuk berniaga dan bertemu ramai orang sewaktu menjual kuih, saya juga akan dapat habuan duit upah sebab berpuasa penuh. Selalunya mak akan bagi kami upah bergantung kepada berapa banyak hari kami berpuasa. Sebagai kanak-kanak, itu adalah hadiah sebelum raya yang dinanti-nanti," cerita Siti bersulam tawa.

Sementara apabila meningkat dewasa, persepsi Ramadan Siti sudah berubah. Ia tidak sekadar bulan untuk mengumpul upah dan menjaja kuih, sebaliknya digunakan sepenuhnya sebagai bulan menambah amal ibadat.

Lebih-lebih lagi selepas beliau diberi keizinan Allah untuk sering bertamu ke tanah suci kota Mekah. Cerita Siti, Kaabah selalu menggamit rasa untuk beliau kembali ke sana.

"Alhamdulillah, sejak lebih lima tahun lalu, saya dan suami, Datuk Khalid, berkesempatan kembali menunaikan umrah pada bulan Ramadan.

"Kaabah adalah perkara teragung dan selalu menggamit saya untuk beribadat di hadapannya setiap kali Ramadan. Selalu kita sujud pada sejadah dengan gambar Kaabah, tetapi di Mekah, Kaabah berada di depan mata kita, Subhanallah.

"Bukan saya menafikan ibadat umrah pada bulan lain, tetapi nikmat dan suasana berada di Mekah pada bulan Ramadan cukup berbeza," ujarnya bersungguh-sungguh.

Tambah Siti, suasana berbuka puasa walau hanya dengan menikmati yougart dan kurma serta tidak mewah seperti di Malaysia, itu antara perkara yang menjadi satu kerinduan dan kepuasan buatnya setiap kali berada di sana.

Katanya lagi: "Di sana (Mekah) juga, manusia itu sama, tak mengenal darjat, selebriti atau siapapun kita. Semua berlumba-lumba membuat ibadat. Sebab itu saya sentiasa menunggu Ramadan supaya saya akan terus dapat dijemput ke sana."

Percutian waktu raya

SITI gembira kerana tahun ini beliau dan suami sekali lagi dapat berpuasa di Mekah.


Beralih cerita tentang sambutan Aidilfitri, Siti memberitahu beliau hanya akan berhari raya di Kuala Lumpur pada hari pertama memandangkan beliau dan suami pulang ke tanah air sehari sebelum raya.

"Kami akan berhari raya di Kuala Lumpur dahulu, sebelum memutuskan untuk pulang berhari raya di kampung saya dahulu iaitu Kuala Lipis, Pahang, atau sebelah suami di Kedah," ujarnya.

Ditanya tentang tradisi masa kini yang menyaksikan semakin ramai memilih untuk melancong pada hari raya berbanding pulang ke kampung halaman, Siti melontar persepsi dengan bernas.

Beliau melihat perkara tersebut dilakukan atas sebab dan pilihan masing-masing.

Ujarnya, mungkin segelintir orang yang memilih melancong sewaktu hari raya kerana sudah tidak mempunyai orang tua, justeru melancong menjadi pilihan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan yang ada.

"Bagaimanapun, untuk saya, hari raya tak lengkap kalau tak pulang ke kampung. Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya dan keluarga tidak pernah lagi pergi melancong pada hari raya.

"Suami juga amat mementingkan sambutan raya di kampung. Raya kami jadi sempurna dengan beraya di kampung," ujarnya yang menjadikan musim perayaan sebagai medan bertemu sanak saudara kerana kesibukan pekerjaan masing-masing.

Diminta memberi satu perkara yang tidak pernah terlepas daripada menyentuh kalbunya, Siti pantas menjawab saat mendengar takbir raya dan sesi bermaafan bersama keluarga.

Hal itu ujar Siti lagi adalah satu momen klasik yang hanya dirasai setahun sekali.

Berebut beli daging murah

Posted: 17 Aug 2012 08:20 PM PDT


ORANG ramai membeli daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM18 sekilogram
di gerai program Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi, Seremban malam kelmarin.


SEREMBAN – Program tahunan Mantai Perdana di tapak bekas Kem Paroi, di sini sekali lagi mendapat sambutan hangat apabila ia dibanjiri orang ramai yang mahukan bekalan keperluan hari raya seperti daging, ayam serta bahan masakan pada harga murah.

Tumpuan tentunya di gerai daging yang menawarkan harga RM18 sekilogram berbanding harga siling RM22 di bawah Skim Kawalan Harga Hari Raya Aidilfitri 2012.

Turut dijual murah ialah ayam bersih pada harga RM5.90 sekilogram.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan sehingga bekalan peniaga habis pada malam pelancaran sedangkan program jualan dijadual berakhir semalam.

"Untuk tahun ini kita sediakan bekalan 200 ekor lembu, kerbau, kambing dan rusa masing-masing 50 ekor, ayam daging sebanyak 3,000 ekor dan itik salai pula 1,000 ekor," katanya pada sidang akhbar Program Mantai Perdana Aidilfitri 2012 di sini malam kelmarin.

Katanya, program dua hari yang dijalankan sejak lima tahun lalu itu kini sudah menjadi acara tahunan yang semakin mendapat sambutan di negeri ini.

"Malah program ini sudah menjadi trademark bagi kita sebab itu kita sudah buat dua hari berbanding pada tahun pertama hanya buat satu hari. Ketika itu ramai orang yang tidak berpeluang mendapatkan daging kerana sudah habis.

"Maka kita buat dua hari, malam ini (malam kelmarin) dan hari ini (semalam), itupun bergantung kepada bekalan peniaga kerana jika sudah habis, mereka akan tutup gerai lebih awal," ujarnya.

Pergerakan balik raya lancar

Posted: 17 Aug 2012 08:20 PM PDT


PERGERAKAN trafik lancar menghala ke utara (kanan) yang dirakam dari jejantas Hentian Rehat Sungai Buloh pada pukul 6.45 petang semalam.


KUALA LUMPUR - Bahang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut esok kian terasa apabila semakin ramai warga ibu kota mula pulang ke kampung halaman masing-masing sejak pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan pihak pengendali lebuh raya memperkenalkan cadangan waktu perjalanan telah berjaya mengatur pergerakan masuk trafik secara berperingkat-peringkat dan berjaya mengelak kesesakan di laluan utama khususnya Lebuhraya Utara-Selatan.

Maklumat Twitter Plustrafik setakat pukul 9.40 malam tadi tidak melaporkan sebarang kesesakan luar biasa melainkan aliran kenderaan yang meningkat dari Sungkai hingga ke Tapah.

Laporan LLMinfotrafik pula mendapati aliran trafik meningkat dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah untuk perjalanan ke Pantai Timur tetapi pergerakan kenderaan masih lancar.

Keadaan yang sama juga dapat dapat dilihat di hentian-hentian bas utama khususnya Hentian Pudu Raya, Hentian Putra dan Hentian Jalan Duta semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati walaupun jumlah penumpang lebih ramai daripada biasa, ia tidak menyebabkan kesesakan di luar jangkaan.

Guru tadika, Munirah Hashim, 23, terpaksa meminta pelepasan kerja separuh hari daripada majikannya untuk pulang ke Kamunting, Perak pada sebelah petang.

"Saya terpaksa berbuat demikian kerana tiket pada waktu malam sudah habis dijual di Hentian Pudu Raya walaupun saya telah cuba membelinya sejak awal Ramadan lagi," katanya.

Bagi Saizzah Salim, 26, pula, dia lebih selesa menggunakan pengangkutan awam untuk pulang berhari raya di Kuala Terengganu walaupun mempunyai kenderaan sendiri.

Katanya, dengan menaiki pengangkutan awam, dia tidak perlu risau untuk menempuhi kesesakan jalan raya.

"Walaupun terpaksa bersesak untuk membeli tiket bas, ia lebih berbaloi dan menjimatkan. Saya hanya naik dan tunggu untuk tiba sahaja ke destinasi," jelasnya.

Di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh, pasangan warga emas, Abdul Wahab Saksi, 63, dan Rokiah Hassan, 63, dari Kampung Gajah mahu beraya di rumah anak mereka, Abdul Fathil Sham, 30, yang tidak mendapat cuti di Setapak, Kuala Lumpur.

"Tiga lagi anak kami juga menetap di Kuala Lumpur, tak sedap rasanya menyambut Aidilfitri tanpa semua anak dan cucu.

"Baik kami beralah dengan pergi ke rumah anak agar raya lebih meriah," katanya.

Di Terminal 1, Seremban, pelatih Kolej Hospital Pakar Nilai (KPJ), Nurul Hazmah Naman, 20, sudah tidak sabar untuk balik raya di Johor.

"Saya pun sudah lama tidak pulang ke kampung halaman sejak belajar di Nilai, pastinya esok (hari ini) saya dapat membantu keluarga membuat persiapan terakhir dan bertemu adik-beradik," katanya.

Di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam, pelajar Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Nurul Hidayah Ismail, 18, berkata, inilah tahun pertama dia balik raya sebagai perantau.

"Semoga perjalanan pulang ke kampung di Pendang, Kedah berjalan lancar, terasa rindu sangat kepada ahli keluarga," katanya.

Di Melaka, warga Indonesia yang beragama Islam membanjiri Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) Melaka, Banda Hilir semalam untuk menaiki feri pulang beraya.

Peniaga di Kajang, Yus Kudin, 42, memberitahu, suasana menyambut hari raya di kampung halaman sendiri di Paya Kumboh, Sumatera Barat jauh berbeza berbanding menyambutnya di negara ini.

"Suasana hari raya dirasakan lebih meriah dan seronok jika menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga dan saudara-mara," katanya.

Rakan senegara, Sri Purwanti, 33, sudah tidak sabar untuk kembali ke Dumai, Indonesia selepas lima tahun beraya di Malaysia.

"Setiap kali hari raya, saya sedih kerana terpaksa menyambutnya di tempat orang. Tahun ini saya gunakan cuti yang diberi majikan untuk pulang beraya bersama keluarga," katanya.

Di Kuching, perkhidmatan bot ekspres menjadi pilihan orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman kerana menjimatkan masa dan tambang.

Mekanik, Halippuma Mudah, 25, berkata, perjalanan bot ke kampungnya di Sibu hanya mengambil masa lima jam berbanding lapan jam jika menaiki bas ekspres.

"Sepanjang enam tahun lepas, saya dan isteri memilih bot ekspres untuk balik berhari raya sebab ia lebih cepat, murah, selesa dan selamat," katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Bot Ekspres Kuching semalam.

Mohd. Sabri Serah, 31, pula memilih bot ekspres kerana perjalanan melalui jalan raya lebih terdedah kepada kemalangan.

"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan sering hujan, naik bot lebih selamat daripada guna Lebuhraya Pan Borneo," katanya.

Empat rentung kelab malam terbakar

Posted: 17 Aug 2012 08:19 PM PDT


SALAH seorang pelancong Perancis yang cedera.


BANGKOK - Sebuah kelab malam yang popular dalam kalangan pelancong di Thailand terbakar awal semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang mati manakala 20 orang lagi cedera, kata beberapa pegawai.

Beberapa pekerja hospital dan warga asing merupakan antara mangsa dalam kebakaran kelab malam itu, Tiger di Phuket.

Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat-mayat mangsa yang rentung dari dalam timbunan kelab malam tersebut selepas api berjaya dipadamkan.

"Empat orang disahkan mati. Kami percaya mereka merupakan pelancong asing tetapi ia masih belum dapat dipastikan," kata Timbalan Gabenor Phuket, Chamroen Tipayapongtada menerusi telefon.


SEORANG lelaki melintasi kelab malam Tiger selepas kebakaran dipadamkan.


"Kebakaran berlaku selepas sebuah transformer di kelab malam berkenaan dipanah kilat dengan api merebak ke seluruh premis itu," tambahnya.

Beberapa petugas hospital di resort tepi pantai Patong memberitahu, mereka yang cedera termasuk warga tempatan dan pelancong asing.

"Kami menerima lebih 20 orang yang cedera dalam kebakaran di pub Tiger. Kebanyakan mereka mengalami sesak nafas," kata seorang pekerja hospital itu.

"Dua lagi berada dalam keadaan kritikal akibat tubuh mereka yang teruk melecur," tambahnya.

Menurut petugas berkenaan, mayat empat orang yang terkorban rentung sehingga sukar untuk pihak berkuasa mengecam identiti mangsa.

Maradona tuntut RM10.02 juta

Posted: 17 Aug 2012 08:18 PM PDT


MARADONA


BEIJING - Bekas pemain bola sepak terhebat dari Argentina, Diego Maradona hadir di sebuah mahkamah di sini semalam bagi menuntut ganti rugi sebanyak AS$3.2 juta (RM10.02 juta) daripada dua syarikat internet China kerana menggunakan nama dan gambarnya dalam laman perjudian online tanpa mendapatkan kebenarannya.

Sebuah mahkamah mendengar kes tuntutan itu ke atas syarikat Beijing Sina Internet Information Service Co. Ltd dan Shanghai No. 9 City Information Technology Co Ltd.

Menurut agensi berita Xinhua, imej kartun Maradona, 51, yang memakai jersi pasukan bola sepak Argentina masih boleh dilihat di laman qiuqiu.9c. com pagi semalam.

Bagaimanapun, imej itu kemudian telah dialihkan pada hari yang sama.

Mata wang khas di bandar Britain

Posted: 17 Aug 2012 08:18 PM PDT


GAMBAR menunjukkan beberapa mata wang kertas Bristol Pound yang digunakan di Bristol. - AFP


BRISTOL - Ketika masyarakat Britain mengalami tekanan ekonomi ekoran krisis mata wang euro, pihak pentadbiran bandar ini merancang untuk memperkenalkan mata wang sendiri yang dikenali sebagai pound Bristol.

Inisiatif itu bertujuan untuk mengelakkan hasil kekayaan tempatan daripada mengalir ke tangan pihak luar.

Mata wang tersebut yang hanya boleh digunakan di bandar barat daya England ini akan dilancarkan September depan.

Pengasas bersama pound Bristol, Ciaran Mundy berkata, pihaknya menerima sambutan yang amat menggalakkan apabila ratusan perniagaan di sini bersetuju untuk menggunakan mata wang berkenaan.

"Persepsi mengenai perbankan dan wang adalah ia satu sistem tanpa belas kasihan. Orang ramai akan menggunakan mata wang yang memberi manfaat kepada mereka," kata Mundy.

Menurutnya, wang kertas pound Bristol mempamerkan simbol kemegahan tempatan termasuk imej penulis kurun ke-19, Hannah More dan pesawat supersonik Concorde.

Sebahagian pesawat berkenaan dibina di bandar ini.

Jelas Mundy, pemilik perniagaan boleh membayar cukai tempatan dengan menggunakan pound Bristol manakala 17,000 kakitangan majlis perbandaran di sini boleh memilih untuk menerima sebahagian gaji mereka dengan menggunakan mata wang itu.

Program realiti tawar tiket ke Marikh

Posted: 17 Aug 2012 08:17 PM PDT


GAMBAR lakaran artis menunjukkan kapsul yang menjadi tempat penempatan angkasawan di Marikh pada April 2023.


THE HAGUE, Belanda - Sebuah program realiti televisyen akan menghantar empat angkasawan ke planet Marikh pada April 2023.

Penghantaran itu tujuh tahun lebih awal daripada rancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS).

Projek itu dikenali sebagai Mars One dan pencarian angkasawan tersebut akan bermula pada tahun depan.

Menurut jurutera mekanikal, Bas Lansdrop, 35, kos untuk melaksanakan misi itu ialah AS$6 bilion (RM18.79 bilion) dua kali lebih tinggi daripada kos kenderaan robotik Curiosity milik NASA.

Kehidupan angkasawan itu akan dirakamkan dan mereka tinggal dalam kapsul yang berasingan.

Kapsul, makanan dan kenderaan robotik akan dihantar antara 2016 dan 2022.

Berdasarkan rancangan Lansdrop, kumpulan pertama melibatkan empat angkasawan itu akan disertai oleh beberapa orang lagi sehingga terdapat satu koloni manusia seramai 20 orang sedekad kemudian di Marikh.

Eksperimen saintifik termasuk mencari petunjuk kehidupan akan turut dilakukan.

Planet itu mempunyai suhu - 55 darjah Celcius manakala ruang udaranya dipenuhi dengan karbon dioksida.

Menurut Landsdrop, bekalan oksigen akan diperoleh daripada air yang ditemui di bawah permukaan Marikh.

Ketika ini Curiosity berada di Marikh selepas mendarat pada 5 Ogos menerusi penerbangan sejauh 566 juta kilometer ke Marikh selepas dilancarkan dari Florida, AS pada 26 November tahun lalu.

Sambut 1 Syawal di negara orang

Posted: 17 Aug 2012 08:16 PM PDT

Ketiga-tiga krew kabin MAS berkongsi pengalaman mereka menyambut 1 Syawal ketika bertugas di awan biru.



KETIKA sebahagian besar umat Islam bertakbir memuji kebesaran Allah dan sesetengahnya bersorak kegembiraan apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri, Norzaitulina Abd. Raham, 40, pula tidak dapat menyembunyikan emosinya.

Hatinya sebak. Kesayuan semakin menghimpit hati apabila van Malaysian Airline System Bhd. (MAS) tiba di depan pintu rumahnya pada petang raya. Biarpun berat hati untuk meninggalkan ahli keluarga dan saudara-mara pada hari yang cukup istimewa itu, namun demi tugas Norzaitulina tabahkan hati.

"Tahun ini merupakan kali kelapan saya beraya di dalam pesawat. Jika tahun lepas saya ke Melbourne, Australia tetapi malam ini saya dijadualkan ke Frankfurt, Jerman.

"Penerbangan yang mengambil masa 13 jam ini dijangka tiba pada keesokan harinya. Kalau diikutkan memang sedih kerana menyambut hari raya di dalam pesawat dan di negara orang," luah Norzaitulina yang merupakan Ketua Pramugari MAS kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini di Pusat Latihan MAS di Kelana Jaya.

Menurut anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, pada awalnya agak sukar baginya menyembunyikan perasaan sedih apabila perlu bertugas pada hari lebaran. Namun lama-kelamaan dia dapat membiasakan diri.

Norzaitulina yang sudah dua dekad berkhidmat sebagai pramugari memberitahu, tahun 1991 merupakan pengalaman pertamanya menyambut Aidilfitri jauh dari kampung halaman.

Tuntutan tugas membawanya ke Kuching, Sarawak pada pagi raya sekali gus meraikan lebaran di Bumi Kenyalang.

"Meskipun masih beraya di Malaysia tetapi suasana raya di sana tidak sama seperti di rumah kita sendiri. Kemeriahan raya di Sarawak dan di Semenanjung juga banyak bezanya dari segi budaya, etnik dan makanan.

"Namun saya bersyukur kerana berpeluang mempelajari adat dan budaya masyarakat setempat. Pada masa yang sama masih berkesempatan menikmati ketupat, rendang dan kuah kacang," kata anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu.


MOHD. SAIFUL dan Norzaitulina tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih setiap kali dijadualkan bertugas pada hari lebaran.


Selain di Kuching, Norzaitulina juga pernah merasai pengalaman beraya di dalam pesawat yang menuju ke Hong Kong, India, Taipei, Taiwan dan London. Kerinduan kepada keluarga dan sanak saudara semakin menebal apabila mendengar koleksi lagu raya yang diputarkan di dalam pesawat.

Bagaimanapun, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di dalam pesawat kerana mereka terlalu sibuk melayan penumpang. Namun salah satu cara untuk memujuk hati, krew kabin akan menjamu selera dengan juadah raya yang dibawa dari Malaysia. Antaranya lemang, nasi himpit, kuah kacang, rendang dan biskut raya.

"Biarpun sambutannya ala kadar tetapi ia sudah memadai buat kami mengisi kemanisan Syawal. Bagaimanapun, bekalan juadah raya yang dibawa bergantung pada negara yang dikunjungi.

"Misalnya, menu berasaskan daging sukar dibawa masuk ke London dan ia memerlukan beberapa prosedur wajib di bahagian kastam di negara tersebut. Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, saya hanya membawa nasi himpit dan kuah kacang. Rendang daging atau ayam hanya dinikmati selepas kembali ke Malaysia," jelas ibu kepada seorang anak lelaki remaja yang berumur 15 tahun itu.

Bercerita mengenai memori sepanjang bertugas pada hari lebaran, Norzaitulina menyifatkan pengalaman di Taipei pada tahun 2008 sukar dilupakan. Sepatutnya dia dijadualkan pulang sehari sebelum raya namun lain pula jadinya.

"Ketika itu kami berada di Taipei selama tiga hari selepas penerbangan dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Jadi sehari sebelum pulang ke Kuala Lumpur saya sudah pun mengemas beg pakaian dek terlalu teruja dan tidak sabar menyambut hari raya bersama keluarga.

"Maklumlah, bukan senang untuk luang masa bersama keluarga pada bulan Syawal. Namun, manusia merancang Allah menentukan. Penerbangan ke Malaysia terpaksa dibatalkan ekoran taufan teruk yang melanda Taiwan pada masa itu," luah Norzaitulina yang berpeluang pulang ke Kuala Lumpur pada hari raya ketiga.

Tidak mengeluh


KREW kabin menyifatkan hari raya di dalam pesawat disambut ala kadar sahaja.


Sementara itu, ketua pramugara Mohd. Saiful Daud, 39, menyifatkan tiada apa yang istimewa beraya di dalam pesawat berbanding di rumah sendiri mahupun lokasi transit. Sebahagian besar masanya diperuntukkan untuk memberi khidmat kepada para penumpang.

Meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai pengalaman pahit, semua itu sedikit pun tidak menyebabkan Mohd. Saiful menyerah kalah dengan kerjaya tersebut, bahkan dia terus meneroka bidang perkhidmatan pelanggan bahagian pesawat.

"Sebelum menyertai MAS pada tahun 1994, saya pernah bekerja di salah sebuah bank terkemuka tetapi pada satu tahap saya ingin mencuba pekerjaan lain. Berkat dorongan dan saranan kawan-kawan saya memilih untuk menjadi pramugara.

"Jadi tiada sebab untuk saya mengeluh apatah lagi merungut apabila perlu bekerja pada hari lebaran. Ini jalan yang saya pilih dan pendapatan yang diperoleh membantu menyara kehidupan. Lagipun bukan setiap tahun saya perlu bertugas pada hari raya kerana MAS mempunyai sistem jadual bekerja yang sistematik," tegas Mohd. Saiful yang dilahir dan dibesarkan di Kajang, Selangor.

Jelas anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu, sepanjang bertugas sebagai pramugara dia pernah beraya di Jepun, Sydney, Australia dan Rom, Itali. Baginya setiap destinasi yang dikunjungi mempunyai keistimewaan masing-masing.

Tahun ini sekali lagi nama Mohd. Saiful tersenarai untuk bertugas ke luar negara pada hari raya pertama.

"Destinasi penerbangan kali ini ke Seoul, Korea Selatan dan dijadualkan berlepas pada petang 1 Syawal. Sempatlah saya menunaikan solat sunat hari raya dan bermaaf-maafan bersama keluarga dan saudara-mara.

"Ibu pula bekalkan kuih biskut Arab hasil air tangannya. Sekurang-kurangnya dapat juga menikmati kuih raya ketika berada di dalam pesawat," jelas Mohd. Saiful yang sudah 18 tahun berkhidmat sebagai pramugara.

Tambah Mohd. Saiful yang berdarah Pakistan di sebelah ibu dan Melayu di sebelah bapa, setibanya di negara transit, krew kabin akan berehat seketika selepas menempuh perjalanan yang kadangkala melebihi 10 jam.

Menikmati juadah


BERTUGAS dalam bidang perkhidmatan pelanggan memerlukan krew kabin memenuhi dan melayan kerenah penumpang sebaik mungkin.


Pada sebelah petang atau malam barulah mereka berkumpul dan meraikan hari raya secara sederhana.

"Kami akan berkumpul bersama-sama dan menikmati juadah raya yang dibawa khas dari Malaysia. Suasana semakin ceria apabila masing-masing memakai baju raya yang sempat ditempah atau dibeli dua bulan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfiltri," ujar Mohd. Saiful yang turut memberitahu Malaysia Hall sentiasa menjemput krew kabin MAS meraikan hari raya bersama bersama rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar tinggal di sana.

Juruterbang MAS, Mohd. Seth Anuwa, 25, juga tidak terkecuali meraikan hari raya di dalam pesawat. Masih segar dalam ingatan anak kelahiran Kuala Lumpur itu bagaimana dia terpaksa terbang ke Medan, Indonesia sewaktu umat Islam yang lain berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya.

"Pengalaman lima tahun lalu benar-benar mengajar saya erti ketabahan. Secara tidak langsung ia membuatkan saya sentiasa bersedia untuk bertugas tanpa mengira masa walaupun pada hari raya.

"Jika dikenang kembali, perasaan sedih memang menyelubungi diri namun memikirkan tanggungjawab yang dipikul saya tabah mengharunginya. Sekurang-kurangnya saya telah memberi peluang kepada juruterbang kanan dan mereka yang sudah berkeluarga meraikan hari lebaran bersama keluarga," jelas anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu yang bergegas memandu ke Johor Bahru, Johor untuk bersama keluarga selepas tugasannya selesai.

Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu menyatakan walaupun beraya di dalam pesawat tetapi mood raya masih dirasai apabila dikelilingi krew kabin yang sudah dianggap sebagai keluarga kedua.

Tetamu duduk di atas tilam

Posted: 17 Aug 2012 08:16 PM PDT

Tradisi orang Afghan menyambut tetamu pada Aidilfitri sememangnya ringkas. Tilam nipis disediakan kepada para tetamu untuk duduk dan tuan rumah akan mencuci setiap tangan tetamu sebelum makanan dihidang.



SAMA seperti masyarakat Melayu yang menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan ketupat, rendang dan serunding, suasana itu turut dinikmati oleh Zuraidah, seorang guru bujang yang menyewa rumah di bahagian pinggir bandar Kuala Lumpur.

Meskipun begitu, dia berjiran dengan sebuah keluarga pelarian dari Afghanistan. Hubungannya tambah akrab kerana Zuraidah juga merupakan guru bahasa Inggeris kepada kedua-dua anak perempuan keluarga itu. Sejak tiga tahun lalu, sambutan raya Zuraidah tambah unik.

Setiap tahun, wanita yang berasal dari Klang, Selangor itu pasti akan meluangkan masa sehari dalam bulan Syawal khusus untuk bertandang ke rumah keluarga Afghanistan itu.

Keluarga yang telah berada di Malaysia lebih kurang lima tahun itu terdiri daripada lapan orang ahli keluarga. Ibu bapa, empat orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan.

Sebaik ucapan salam yang diucap oleh Zuraidah, ketua keluarga itu, Farouk, 54, dan isterinya, Aminah menyambut dengan penuh teruja sambil memintanya duduk dengan menyebut perkataan beishi.

Farouk dan Aminah bukanlah nama sebenar mereka yang pernah melalui jerih-perih ketika berada bawah pemerintahan Taliban di negara asalnya.

Namun, ia hanyalah sebagai identiti samaran kerana status yang dipegangnya sering menjadi sasaran orang yang mahu mengambil kesempatan atas kekurangan yang ada pada mereka sekeluarga.

Zuraidah dijemput duduk bersila di atas sebuah tilam nipis sebelum hidangan tradisional dibawa dan diletakkan di atas bentangan kain bergelar daster khan.

Budaya masyarakat Afghanistan

Tradisi orang Afghan sememangnya ringkas, tilam disediakan kepada para tetamu untuk duduk manakala tuan rumah menjamu makanan pada bentangan seluas kira-kira 2 meter persegi.

Sebanyak 16 jenis makanan yang terdiri daripada lauk-pauk, roti dan nasi sebagai tanda meraikan tetamu. Kemudian, Zuraidah dialu-alukan dengan sepotong ayat berbunyi, burfa moin kepadanya.

Jika diterjemah secara terus, perkataan tersebut bermakna selamat menjamu selera.

"Makanan Afghanistan berbeza dengan makanan India atau Arab walaupun kelihatan lebih kurang sama. Saya paling suka makan roti dan naan," terang wanita itu sambil menambah makanan kegemarannya dipanggil kufta.


SUDAH menjadi amalan orang Afghan, menghormati tetamu adalah keutamaan tuan rumah dengan menjamu makanan.


Terdapat pelbagai jenis roti dihidangkan kepada Zuraidah seperti rot yang diperbuat daripada gula, tepung, susu dan mentega, kulcha iaitu susu, tepung gandum dan serbuk ketumbar serta nan.

Makanan merupakan satu-satunya tradisi yang mampu dikekalkan oleh keluarga Afghan yang berasal dari wilayah Parwan, Afghanistan itu.

Itu pun disebabkan ramuan asas makanan seperti tepung, susu, mentega, daging dan banyak lagi boleh didapati di Malaysia. Pakaian tradisi pula jarang bertukar dengan yang baharu, cukup sekadar dapat menutup aurat.

Dalam budaya masyarakat Afghanistan, kaum wanita sahaja yang berhempas-pulas di dapur menyiapkan makanan untuk hari raya.

Menurut isteri Farouk, dia mula memasak sehari sebelum sambutan hari raya terutama membakar roti, biskut, kuih-muih dan naan.

"Saiz roti yang dibuat bergantung pada saiz tanur, saya pernah membakar roti sepanjang 1 meter," katanya yang dibantu oleh anak lelaki sulungnya, Ali dalam menterjemah. Tanur merupakan bekas membakar roti.

Pada hari pertama lebaran, kaum wanita Afghanistan akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk memasak lauk-pauk untuk roti seperti kufta, lola kebab dan kqobli polo.

Kedengaran sangat asing tetapi mempunyai rupa yang sama. Kufta adalah sejenis lauk yang dibuat daripada daging, bawang putih dan merah serta telur. Kemudian, daging yang dibentuk bulat itu dimasak menjadi lauk.

Lola kebab pula jika diterjemah secara terus ialah kebab lipat. Ia dibuat daripada daging, telur dan rempah-ratus. Rasanya agak pedas kerana rempah yang digunakan.

Cerita Ali lagi, berdasarkan gambaran yang diberikan oleh ibu bapanya, tetamu yang hadir akan dilayan oleh tuan rumah sama ada lelaki atau perempuan bergantung kepada tetamu yang hadir. Di Afghanistan, ia bagi mengelakkan percampuran antara lelaki dan wanita.

"Selepas habis solat sunat Aidilfitri, semua orang akan menziarah setiap rumah yang terdapat di sesebuah kawasan.

"Ziarah hari pertama bermula dengan rumah yang terdapat kematian ahli keluarga pada tahun tersebut. Hari kedua pula untuk rumah-rumah yang ada individu paling tua di kampung pula," terang anak lelaki Farouk sambil menambah hari ketiga ialah peluang kepada kaum wanita keluar berziarah.

Tradisi menziarah


ROTI dan nan merupakan makanan ruji orang Afghanistan.


Selalunya tradisi tersebut akan berlangsung selama seminggu dan setiap kali menziarah pasti ramai yang akan datang iaitu antara 20 hingga 30 orang.

Tuan rumah mesti menyambut setiap tetamu dengan menyuruh mereka duduk di atas tilam dan mencuci setiap tangan tetamu sebelum makanan dihidang.

Disebabkan bilangan tetamu yang datang agak ramai pada satu-satu masa, bilangan makanan yang dihidangkan kepada Zuraidah itu dianggap kecil.

Tambah isteri Farouk, makanan seperti stik daging dan ais krim tradisional Afghan turut dibuat di Afghanistan terutamanya dalam kalangan mereka yang agak berada.

"Suasana begitulah yang dirindui olehnya apabila berada di sini kerana perkara tersebut tidak berlaku sepanjang dia berada di Malaysia," ujarnya dengan wajah sayu.

Orang Afghanistan bukan keturunan Arab mahupun Parsi. Negara itu mempunyai antara 15 hingga 20 keturunan yang berbeza dialek. Namun, kaum yang menjadi majoriti di situ ialah Pashtun, Tajik dan Hazara.

Keluarga Farouk berketurunan Tajik, Presiden Afghanistan dan Taliban berketurunan Pashtun. Orang Hazara mempunyai ciri-ciri kecinaan seperti mata yang sepet dan mereka banyak berada di utara negara itu.

Terang Farouk lagi, tiada perbezaan dari segi agama, pakaian dan makanan antara kaum Pashtun, Tarjik dan Hazara. Cuma, terdapat perbezaan pertuturan antara Tarjik dan Pashtun.

Farouk dan keluarganya menjadi pelarian akibat ditindas. Mereka juga didakwa bukan orang asal Afghanistan dan mereka ditekan oleh pihak-pihak tertentu bahawa mereka sepatutnya berada di Tajikistan.

Perjalanannya ke Kuala Lumpur begitu jauh kerana terpaksa transit di beberapa negara seperti di Dubai sebelum sampai ke Malaysia.

Memegang status pelarian amat sukar sekali. Hanya mereka yang mengalaminya akan faham mengenai halangan dan keperitan yang terpaksa ditempuhi.

Anak lelaki sulung Farouk, Ali yang baru berusia 20 tahun terpaksa menerima kenyataan tidak boleh melanjutkan pelajaran lebih tinggi dalam jangka masa yang tidak pasti.

Masa depan


KAUM wanita sering bekerja di dapur manakala lelaki berada di ruang tamu melayan tetamu yang mempunyai jantina sama.


Memang terdapat pusat-pusat pelarian yang menyediakan kelas pembelajaran terutamanya subjek-subjek asas seperti bahasa Inggeris dan matematik.

Namun, tidak mungkin Ali boleh belajar di tempat yang menyediakan pendidikan asas bagi kanak-kanak itu.

Begitu juga apabila dia mahu mencari pekerjaan. Dia sukar mendapat kepercayaan majikan kerana ada yang takut kemungkinan mereka ialah pendatang tanpa izin.

"Jadi, saya terpaksa bekerja dari sebuah tempat ke tempat secara separuh masa seperti ayah," keluh Ali lagi.

Mungkin secara semula jadi naluri orang yang terdesak sangat mudah menerima pelajaran. Ali mampu bertutur dengan menggunakan perkataan-perkataan ringkas dalam lima jenis bahasa. Biarpun ringkas tetapi boleh difahami dengan mudah.

Bahasa yang dituturnya ialah Inggeris, Melayu, Tajik, Urdu dan Pashtun. Semua itu dipelajari hasil pergaulan dengan masyarakat tempatan dan perbualan bersama ibu bapanya.

Suasana hilai tawa tiba-tiba sunyi seketika apabila diajukan persoalan kepada Farouk dan isterinya serta Ali mengenai harapan mereka pada masa hadapan. Barangkali, amat berat beban yang mereka terpaksa tanggung.

"Itu bergantung kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk menentukan hala tuju kami?

"Tarikh dan masa juga kami tidak tahu, mungkin minggu hadapan, mungkin tahun hadapan tetapi kami sudah empat tahun berada di sini," ungkap Ali menyampaikan kata-kata bapanya. Suasana sunyi kembali bertandang dan renungan matanyapergi jauh walaupun jasad masih di tempat sama.

Faktor boleh dikawal terletak dalam diri

Posted: 17 Aug 2012 08:15 PM PDT


MENGHANTAR khidmat pesanan ringkas dan berFacebook merupakan tabiat pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.


SETIAP kali menjelangnya musim perayaan, seolah-olah telah menjadi satu ingatan kepada kita semua supaya memandu dengan cara yang berhemah dan selamat.

Apa tidaknya, jalan raya kita sudah menjadi medan pertumpahan darah setiap kali menjelang musim perayaan, malah anggaran rekod kemalangan maut sebanyak 6,000 kes setiap tahun patut mengingatkan kita semua agar sentiasa memandu dengan bertimbang rasa di jalan raya.

Benarlah, bukan semata-mata pemandu yang harus dipersalahkan sekiranya sesuatu kemalangan itu terjadi. Keadaan jalan, cuaca dan sebab-sebab luaran lain juga mungkin menyebabkan kemalangan berlaku.

Bagaimanapun, harus diingat tatkala ada faktor yang tidak mampu kita kawal, masih banyak lagi faktor yang sebenarnya boleh kita pantau bagi mengelakkan kemalangan terjadi.

Kajian-kajian mendapati bahawa mereka yang terlibat dengan kemalangan jalan raya ini biasanya memandu secara laju khususnya di jalan yang lengang, lebih banyak memotong kenderaan lain dan sangat jarang orang lain memotong mereka.

Semua ini ada kaitannya dengan personaliti individu itu sendiri. Ahli psikologi mendapati terdapat trait personality tertentu yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Antara yang selalu disebut ialah excitement seeking personality atau sensation seeking personality. Mereka yang ada personaliti itu biasanya sangat teruja untuk mendapatkan sensasi dengan memandu lebih laju, apatah lagi kalau dapat memotong kenderaan lain.

Mereka berasa hebat apabila memintas kenderaan lain, walaupun dalam keadaan pemandu yang dipintas tadi tidak pun bersaing.

Kajian-kajian lain pula mendapati ada individu yang mempunyai sifat pemarah yang cepat. Mereka ini biasanya tidak sabar. Apabila berlaku kesesakan jalan raya, mereka akan mengambil jalan mudah dengan memotong di lorong kiri yang membawa kepada kejadian kemalangan.

Semua itu berpunca daripada faktor-faktor yang ada dalam diri individu itu sendiri. Ia sepatutnya boleh dikawal.

Menjadi kelaziman pemandu kita untuk berbual-bual melalui telefon, malah ada yang mengambil masa yang panjang 'berborak' mengenai pelbagai hal ketika memandu.

Mutakhir ini, muncul pula kehadiran teknologi navigasi yang membolehkan kita melihat peta jalan ke satu-satu destinasi.

Beban visual dan fizikal

Mungkin ramai tidak menyedari, bahawa kedua-dua alat itu sebenarnya adakalanya boleh menyebabkan musibah kepada pemandu.

Dalam kajian terkini di Jepun menunjukkan bahawa memandang ke tempat lain (looking elsewhere) dan berfikir mengenai sesuatu (thinking about something) telah menyumbang kepada 27 peratus kes kemalangan maut di Jepun.

Apabila seseorang pemandu menggunakan sistem navigasi, mereka sebenarnya telah menyebabkan berlakunya beban visual dan fizikal kepada manusia.

Beban visual berlaku kerana kita terpaksa mengalihkan perhatian kepada perkara lain, sedangkan pada masa yang sama kita perlu memberi fokus kepada pemanduan.

Beban fizikal pula berlaku kerana kita perlu menggerakkan mata dan badan bagi melihat perkara lain yang di luar aktiviti pemanduan.

Sebaliknya, apabila bercakap di telefon, minda kita akan berfikir mengenai perkara lain. Ini dikenali sebagai beban mental (mental workload). Jika dengan hanya berbual di telefon sahaja ia telah mengubah kapasiti mental manusia, bayangkan pula sekarang ini ada yang masih sempat untuk menghantar khidmat pesanan ringkas dan berFacebook ketika memandu.

Semua ini merupakan tabiat pemanduan yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri, tetapi pengguna jalan raya yang lain.

Dalam banyak keadaan, semua faktor itu akan menyebabkan proses masa reaksi (reaction time) yang berlaku di minda kita menjadi perlahan, menyebabkan kita tidak mampu bertindak dengan lebih cepat apabila ada kejadian tidak diingini.

Semua itu merupakan aspek psikologikal yang biasa kita hadapi, walaupun tidak kita sedari. Kita perlu mengubah tabiat dan cara kita memandu di jalan raya.

Ingatlah, pemandu yang hebat ialah pemandu yang selamat sampai ke destinasi dengan cara yang paling berhemah. Memandulah dengan selamat!

Amal artis buat OKU

Posted: 17 Aug 2012 08:14 PM PDT



TIBA sahaja bulan Ramadan, pastinya banyak pihak akan membuat sumbangan terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Banyak pihak tertentu akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama golongan ini dan kebiasaannya, kehadiran artis tempatan akan menyerikan lagi suasana dengan persembahan atau tidak kurang juga yang akan beramah mesra dengan mereka.

Antara golongan yang kerap dijemput termasuklah dari rumah-rumah kebajikan seperti anak-anak yatim, golongan orang-orang tua serta ibu tunggal.

Namun, apa yang pasti, jemputan terhadap golongan ini sangat kerap dan masih ada yang lupa akan kehadiran golongan orang kelainan upaya (OKU) yang juga memerlukan bantuan banyak pihak.

Menyedari hakikat ini, sekumpulan artis termasuk tiga penyanyi iaitu Yantzen, Ayie dari kumpulan Arrow dan Wan Chaps telah mengambil keputusan untuk merencanakan satu program demi melihat golongan OKU juga tidak dilupakan ketika menyambut Ramadan kali ini.

Pertubuhan bukan kerajaan yang dinamakan OKU Sayang telah ditubuhkan baru-baru ini yang mana presidennya merupakan Wan Chaps atau nama penuhnya, Ridzwan Abd. Rahman.

Jelas Wan Chaps ketika ditemui di rumah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Gombak, Selangor, dia mempunyai sebab tersendiri mengapa memilih untuk membantu golongan OKU.

"Saya dan isteri sebenarnya pernah melalui kesukaran yang mana kami mempunyai seorang anak yang dikategorikan sebagai OKU iaitu spastik (kurang upaya fizikal). Jadi, apabila kami berdua keluar bekerja, kami hanya tinggalkan dia dengan anak kami yang lain di rumah. Terfikir semula, jika terjadi apa-apa bahaya juga. Jadi, saya bercadang untuk mendapatkan penempatan atau rumah penjagaan untuk jaga anak saya itu.


AYIE (kanan) perlukan bantuan para selebriti terkenal yang mampu meringankan beban yang mereka hadapi.


"Saya sanggup pergi jauh untuk mencari rumah penjagaan yang baik. Tempat yang ada kini, mereka mengenakan yuran yang terlalu mahal. Selepas itu tempat ia tidak terjaga seperti yang dibuat PDK.

"Dari situ saya terfikir daripada saya perlu keluarkan duit untuk ini, baik saya cetuskan idea untuk buat satu asrama secara percuma untuk anak-anak OKU ini, terutamanya bagi keluarga yang kurang berkemampuan," tutur Wan Chaps.

Program Ramadan dan raya bersama OKU

Niat murni Penubuhan OKU Sayang diteruskan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bersama PDK yang ada seperti PDK Selayang, Rawang dan Kelang bagi memeriahkan golongan ini walaupun tidak ditaja mana-mana pihak.

Atas usaha mereka, program pertama telah pun dijalankan dengan jemputan seramai 50 orang OKU yang punya masalah fizikal ke program sulung yang telah pun diadakan Taman Metropolitan, Kepong.

"Berbuka puasa ini antara salah satu aktiviti untuk kami bersama dengan warga OKU ini. dan sebelum ini, kami pernah adakah aktiviti pada bulan Julai tempoh hari yang mana tiada penglibatan dari pihak menteri atau sesiapa.

"Kami berbesar hati dan berbangga kerana walaupun tiada sumbangan atau apa-apa daripada pihak luar namun Alhamdulillah, kami berjaya meraikan mereka.


YANTZEN terharu dikerumuni kanak-kanak OKU di rumah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Gombak, Selangor baru-baru ini.


"Insya-Allah, selepas ini ada lagi program yang bakal menyusul dan sebagai sebuah pertubuhan sendiri, kami mengalu-alukan sumbangan dari pelbagai pihak untuk membantu merealisasikan program yang ingin kami jalankan," jelas Wan Chaps tentang program Terjah OKU yang bakal dilaksanakan Januari depan.

Bercerita lanjut tentang Terjah OKU. katanya, suatu perancangan dibuat untuk menjelajah ke seluruh Malaysia bagi mencari golongan OKU kategori yang terlantar terutamanya bagi keluarga yang tidak mampu menempatkan mereka di asrama yang bakal disediakan itu secara percuma.

Selain memberi penempatan secara percuma, sumbangan peralatan seperti kerusi roda, tongkat atau peralatan lain juga akan diberikan kepada anak-anak OKU ini dengan harapan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa yang susah ini.

"Dalam masa terdekat ini, kami akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak OKU dari kategori fizikal terlantar pada 16 Ogos ini yang bertempat di Hotel De Palma, Ampang dari beberapa PDK yang terpilih.

"Alhamdulillah, kami telah mendapat sumbangan daripada beberapa pihak iaitu seperti pihak Hotel De Palma sendiri, jenama Cap Ayam, gedung pakaian Hari Hari dan City Toys dari Pulau Pinang yang sentiasa bersama kami.

Tidak lupa juga kepada The Pesona Club.com (TPCC) yang akan turut serta ke jelajah Terjah OKU kelak," jelas Wan Chaps yang begitu komited dengan program tersebut.

Aktiviti Ramadan selebriti Indonesia

Posted: 17 Aug 2012 08:13 PM PDT


INDAH DEWI PERTIWI


JIKA selebriti Malaysia sibuk dengan program-program yang dianjurkan seperti berbuka puasa dan sebagainya, artis di negara seberang iaitu Indonesia juga mempunyai aktiviti yang lebih kurang sama.

Namun, mungkin ada juga yang membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tawaran kerana mahu meluangkan masa dengan orang yang tersayang.

Berikut senarai artis-artis Indonesia aktiviti mereka sepanjang bulan Ramadan ini.

Olga Syahputra syukur rezeki mencurah

Antara artis yang paling sibuk di bulan Ramadan ialah Olga Syahputra. Menurut laporan Kapanlagi.com, sepanjang Ramadan ini Olga banyak tampil dalam program televisyen harian mahupun program televisyen istimewa.

Apabila menonton TV sahaja, wajah aktor ini muncul dari waktu bersahur sehinggalah waktu berbuka, malah wajahnya juga sering menghiasi layar perak.

Walaupun kelihatan sibuk dan nampak keletihan, bagi Olga sendiri, apa yang dilakukannya ini merupakan rezeki dari Tuhan yang harus disyukuri olehnya.

"Alhamdulillah, saya diberikan rezeki oleh yang Maha Esa. Tidak lupa juga ucapan terima kasih buat orang-orang yang sentiasa percayakan Olga dengan memberi peluang untuk saya tampil dalam program mereka," tuturnya yang tidak pernah mengadu dengan kesibukan yang dialaminya itu.

Walau begitu, Olga akui memang rasa keletihan menghampiri diri kerana jika melihatkan jadual kerjanya, memang jejaka ini tidak punya begitu banyak waktu untuk istirehat. Namun, Olga tidak pernah mengeluh dan kelihatan dia seronok dengan apa yang dilakukannya.

"Memang saya rasa sangat letih, dapat tidur sebentar dan setelah itu terus sambung ke program lain. Tetapi, walaupun letih, saya mahu juga meneruskan apa yang dilakukan saya kini kerana ia karier yang saya pilih dan harus saya nikmati serta tidak merungut," tambahnya.

Alexa Key banyak berehat

Bulan Ramadan sememangnya menjadi bulan mulia kepada sesetengah penggiat seni atau pemuzik khususnya bagi mereka yang punya lagu-lagu keagamaan. Namun bagi penyanyi Alexa Key, hal itu berlaku sebaliknya.

Dia mengakui bulan Ramadan ini merupakan bulan rehat baginya kerana tidak mempunyai sebarang aktiviti atau acara nyanyian sepanjang bulan mulia ini. Sementelah, dia sememangnya tiada sebarang lagu keagamaan.


ALEXA KEY


Katanya, sepanjang bulan Ramadan ini memang dia akan banyak mempunyai waktu lapang. Namun, jika ada tawaran yang ditawarkan kepadanya, wanita ini tidak kisah untuk terimanya atau terlibat dalam sebarang acara.

"Bulan puasa adalah bulan keagamaan, jadi bagi artis yang tiada lagu-lagu keagamaan seperti saya, kami banyak berehat. Namun, saya ada juga menghadiri beberapa program berbuka puasa yang diadakan jika dijemput penganjur," jelasnya.

Sepanjang berehat di bulan Ramadan ini, wanita kacukan Jerman-Indonesia ini memilih untuk bersama teman-temannya oleh kerana keluarga terpisah jauh iaitu di Bali.

Katanya: "Jadi saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah dengan berkumpul bersama rakan-rakan, kerana keluarga saya semuanya berada di Bali."

Indah Dewi Pertiwi

susun jadual dan fesyen

Seorang lagi artis wanita Indonesia yang dilimpahi rezeki sepanjang bulan Ramadan ini. Ini kerana, Indah kini sedang dalam proses merakam beberapa single yang berduet bersama Bimbo. Jadi, itu juga antara aktiviti yang membuatkan gadis ini sibuk sepanjang Ramadan.

"Kadangkala satu hari itu saya perlu hadiri dua atau tiga acara. Alhamdulillah, jadual saya tahun ini lebih penuh dengan tawaran. Alhamdullillah sekali ini, bulan Ramadan tahun ini memberi rezeki buat diri," ujarnya.

Bagi pemakaian dan penampilannya pula, dara yang berusia 21 tahun ini menyesuaikan fesyen diri dengan bulan mulia ini. Bahkan, Indah telah memilih untuk berhijab selama sebulan sepanjang Ramadan sekali gus mempromosi singlenya terbaharunya bersama Bimbo itu.

"Bagi fesyen diri, saya dan pereka fesyen berbincang mengenai pakaian yang akan dikenakan, dan jika pakaian itu sesuai, saya akan memilihnya. Saya juga menunjukkan jadual-jadual saya supaya, pakaian yang direka langsung sesuai dengan majlis yang ingin dihadiri," katanya.

Namun demikian, walaupun berfesyen, Indah pasti memberi suntikan unsur etnik Indonesia kepada busananya.

Konsert Ramadan di Indonesia

Di bulan mulia ini, para artis terkenal Indonesia juga tidak ketinggalan mengadakan konsert bagi mengisi program televisyen setiap hari. Antaranya, program yang disiarkan secara langsung melalui saluran RCTI pada 1 Ogos lepas iaitu Konsert Kemuliaan Ramadan.

Penyanyi dan komposer terkenal Ahmad Dhani juga tidak ketinggalan membuat persembahan dengan menyampaikan sebuah lagu yang berjudul Surga dan Neraka yang mengisahkan tentang dua sisi berbeza yang dipilih manusia.

Namun, apa yang menariknya, konsert secara langsung ini dilakukan di dua lokasi berbeza dengan kehadiran para artis ternama iaitu di Plaza Pemerintahan Kabupaten Bekasi semasa bahagian pertama.

Di pentas yang sama, Rossa juga menyampaikan sebuah lagu yang berjudul Tak Kan Berpaling Dari-Mu.

Kris Dayanti pula menyampaikan lagu Ya Rahman Ya Rahim, dengan membuat persembahan di Monumen Nasional, Jakarta.

Antara artis lain yang turut diundang membuat persembahan ialah Yuni Shara, Vicky Shu, The Titans, Ungu, ayu Tingting, Nassar serta Opick yang dipilih sebagai persembahan penutup konsert tersebut.

AES bantu kurangkan kemalangan

Posted: 17 Aug 2012 08:13 PM PDT

JUMLAH kenderaan di atas jalan raya meningkat dengan mendadak sewaktu musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri.


SISTEM Penguatkuasaan Automatik (AES) yang hangat diperkatakan sejak tahun 2005 akhirnya memulakan operasinya pada Ahad lalu.

Idea penggunaan AES dilaksanakan memandangkan bilangan anggota penguat kuasa sedia ada tidak dapat ditingkatkan lagi semata-mata untuk menampung pertambahan volum trafik di jalan raya.

Untuk pengetahuan, jumlah terkumpul anggota penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terlibat dengan kawalan lalu lintas di Malaysia adalah seramai 24,000 orang.

Angka tersebut sudah pasti tidak mencukupi untuk mengawal aliran trafik harian di lebuh raya atau jalan raya, apatah lagi sewaktu musim perayaan seperti Aidilfitri.

Merujuk statistik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak satu juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada hari biasa. Jumlah itu melonjak kepada 1.4 juta kenderaan ketika Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada satu majlis pelancaran kempen keselamatan di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini menyatakan AES diperlukan demi keselamatan para pemandu dan orang ramai.

"Mereka (penguat kuasa) perlu mengawal sebanyak 22 juta kereta atas raya di seluruh negara. Ini merupakan satu tugas yang mustahil untuk disempurnakan," katanya.

AES membantu memainkan peranan penguatkuasaan menerusi kaedah automatik 24 jam sehari tujuh kali seminggu. Ia berupaya mengesan dan merakam kesalahan lalu lintas menerusi paparan gambar dan video.

Pengenalannya seiring dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010 yang bermatlamat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan. Tahun lalu sahaja, sebanyak 6,877 nyawa melayang dalam kemalangan jalan raya.

Tuan punya AES ialah Kementerian Pengangkutan. Tugas itu dikongsi oleh tiga agensi di bawahnya iaitu JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

JPJ bertanggungjawab melaksanakan AES secara langsung dan merupakan pengguna akhir sistem itu. JKJR memikul tugas menjalankan advokasi dan kempen kesedaran jalan raya mengenai AES.

Sementara Miros pula menentukan lokasi pemasangan kamera di kawasan blackspot (kawasan yang sering berlaku kemalangan) dan kajian keberkesanan sistem kamera berkenaan.

Kontrak lima tahun

Projek itu kemudian dianugerahkan kepada dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. (Beta Tegap) dan ATES Sdn. Bhd. (ATES). Kedua-dua syarikat tersebut berfungsi menyediakan kamera tetap serta mudah alih di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Beta Tegap dipertanggungjawab menyediakan kamera di kawasan selatan Semenanjung Malaysia. Sementara ATES pula menguruskan kawasan di negeri utara sehingga Sabah dan Sarawak.

Kedua-dua syarikat itu juga bertanggungjawab memasang, mengoperasi, menyelenggara semula peralatan dan sistem tersebut. Kontrak yang diberikan adalah selama lima tahun. Tempoh itu mungkin dilanjutkan atau diambil alih oleh kerajaan.

Kamera yang dibekalkan kedua-dua syarikat itu adalah jenis definisi tinggi 11 megapiksel dan menggunakan teknologi radar untuk mengesan pesalah-pesalah lalu lintas.


PENGGUNA jalan raya akan diberitahu terlebih dahulu bahawa di hadapan mereka ada kamera AES.


Sebagai permulaan, AES digunakan untuk mengesan dua kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat dan pemanduan melebihi had laju.

Ejen pemerhati itu boleh ditingkatkan penguatkuasaannya bagi kesalahan-kesalahan lain pada masa hadapan.

Antaranya, memotong di garisan berkembar atau di sebelah kiri jalan, membawa lebih muatan, sekatan terhadap kenderaan berat memasuki kawasan bandar dan penguatkuasaan laluan bas.

Kamera AES tetap dipasang di jalan persekutuan, jalan negeri, lebuh raya dan persimpangan lampu isyarat seluruh negara

Bagi kamera mudah alih pula, ia digunakan JPJ di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai kemudahan elektrik atau kemudahan telekomunikasi.

Perlu diingat, sistem penguatkuasaan itu bukan bersifat hukuman. Ia lebih cenderung untuk memupuk kesedaran, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan serta kematian.

Buktinya, papan tanda peringatan ditempatkan pada jarak dua kilometer (km) sebelum lokasi kamera AES berada. Jika pemandu masih berdegil, silalah bersiap-sedia untuk membayar saman.

Maklumat menerusi AES akan dihantar ke Pusat Kawalan AES di bilik kawalan PDRM dan JPJ. Ia sukar diceroboh kerana memiliki kawalan ketat yang menepati standard global dalam industri.

Bagi memastikan kecekapan sistem berkenaan, kamera dengan alat-alat mengukur kelajuan itu telah menjalani pemeriksaan berdasarkan standard pengujian tertinggi yang ditetapkan SIRIM Berhad setiap lapan bulan sekali.

Penggunaan AES sudah terbukti keberkesanannya di beberapa negara luar. Contohnya, kadar kematian di Perancis menurun 27 peratus dalam tempoh tiga tahun. Di United Kingdom pula, kadar pelanggaran peraturan trafik menurun sebanyak enam peratus.

Ternyata pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kematian dan kemalangan sudah diambil. Kini, hanya anda dan saya sebagai pengguna jalan raya yang menentukan sama ada sistem berkenaan berjaya atau sebaliknya. Sama-samalah kita menghargai nyawa yang dikurniakan Tuhan.

Nissan Almera

Posted: 17 Aug 2012 08:12 PM PDT


ETCM yakin Almera berupaya menjadi pilihan pengguna tempatan dan model popular Nissan selepas MPV Grand Livina.


SELEPAS beberapa ketika berteka-teki, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pada Jumaat lalu memperkenalkan pesaing terbaharu dalam sedan segmen B, Nissan Almera dalam satu prebiu eksklusif kepada media di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Bakal dipasarkan bermula suku keempat 2012, Almera merupakan model pemasangan komponen terurai (CKD) yang dipasang di Malaysia, iaitu di kilang ETCM di Serendah, Selangor. ETCM telah melabur sebanyak RM10 hingga RM15 juta untuk program CKD tersebut.

Almera yang dikenali sebagai Sunny di pasaran lain ialah sedan global paling laris Nissan. Sehingga kini, lebih 430,000 unit telah terjual sejak ia dilancarkan pada 2010. Menurut Nissan, Almera cukup berjaya di pasaran seluruh dunia terutama di China dan Thailand.

Berbeza dengan Thailand yang menawarkan Almera bersama varian enjin bersesaran 1.2 liter, ETCM bagaimanapun memilih untuk membawa Almera berenjin lebih besar iaitu 1.5 liter.


RAMAI yang bercanggah pendapat mengenai reka bentuk bahagian belakang Almera.


Enjin yang sama pada model Latio itu akan dipadankan dengan dua pilihan transmisi, automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan. Pengenalan Almera juga menjadi petanda bahawa model sedan Nissan yang sudah lama berada di pasaran seperti Sentra dan Latio akan dikeluarkan daripada tawaran ETCM tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng menyatakan, pihaknya yakin Almera mampu meningkatkan peratusan penguasaan pasaran Nissan dengan signifikan di Malaysia yang kini berada pada tahap 5.3 peratus (keseluruhan volum industri, TIV).

"Di China, sebanyak 15,000 unit dijual sebulan. Di Thailand pula, lebih 7,000 unit sebulan berjaya dijual. Saya optimis bahawa Almera akan menjadi model nombor satu Nissan di Malaysia. Buat masa sekarang Grand Livina adalah model paling popular Nissan," kata Ang.

Menyentuh mengenai kelebihan Almera, sedan itu menyerlah dari aspek ruang kabin yang terbaik dalam kelasnya. Almera turut dipasang dengan ciri tambahan seperti butang penghidup enjin (Start/Stop) dan meter iluminasi sendiri atau lebih dikenali sebagai Multi Information display (MID).

Orang ramai boleh melihat secara dekat sedan global itu di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Ogos. Almera dijangka dijual pada harga antara RM70,000 hingga RM85,000 seunit.

Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Almera, mereka boleh mendaftar di Pavilion dan di semua lokasi siri jelajah Almera.

Ikan cantik redakan cemas

Posted: 17 Aug 2012 08:10 PM PDT



AKTIVITI menyelam merupakan suatu kegiatan yang asing bagi penulis. Namun baru-baru ini, Rakyat Travel Sdn. Bhd. (Rakyat Travel) yang menguruskan 10 peserta bagi mengikuti kursus PADI Open Water Diver telah mempelawa penulis menyertai aktiviti berkenaan bertempat di Pulau Redang, Terengganu selama empat hari tiga malam.

PADI (Professional Association of Diving Instructors) adalah organisasi terbesar di dunia yang menyediakan latihan kepada orang ramai khususnya bagi peminat aktiviti menyelam.

Ia ditubuhkan oleh John Cronin dan Ralph Erickson pada 1966. Di negara ini, aktiviti menyelam semakin berkembang dan terdapat banyak pihak yang menawarkan kursus berkenaan.

Penulis yang pertama kali bertandang ke Pulau Redang mengakui lokasi eksotik itu amat mempesonakan lebih-lebih lagi apabila melihat pasir pantainya yang memutih serta air laut yang membiru. Namun, tujuan utama ke pulau berkenaan bukanlah untuk menikmati keindahan di darat sebaliknya menyelami keindahan alam lautan.

Justeru, keputusan untuk menjadi penuntut dalam program ini amat tepat kerana penulis berpeluang menikmati keindahan alam laut ciptaan Allah yang tersembunyi pelbagai hidupan termasuk dunia kompleks terumbu karang.

Namun, bukanlah kerja mudah untuk mengambil lesen menyelam. Setiap orang perlu mengikuti kelas teori selain melakukan teknik-teknik tertentu ketika menyelam pada kedalaman yang berbeza.

'Akuarium' besar

Bagaimanapun, kesemua teori yang dipelajari itu amat berbaloi apabila seseorang dapat bernafas buat kali pertama di dalam laut menggunakan kelengkapan menyelam.

Ketika itu, sukar hendak menggambarkan perasaan yang bermain dalam fikiran. Memang ada rasa cemas, namun ia segera hilang apabila dapat melihat suasana menakjubkan dalam laut yang seumpama sebuah akuarium besar.

Dengan penglihatan yang agak terhad, mata penulis meliar mencari hidupan lain terutama ikan-ikan cantik yang berada dalam jarak yang dekat dengan kumpulan kami. Semua itu cukup meredakan perasan cemas pada awal rutin menyelam tadi.

Jurulatih kami dari Scuba Amigo, Eric Liow Sin Yuu sebelum itu mengingatkan perkara paling penting ketika berada di dalam laut iaitu jangan berhenti bernafas.


SEBELUM melakukan selaman, penyelam perlu memastikan peralatan berfungsi dan selamat untuk digunakan.


Selepas pertama kali berjaya bernafas di dalam air, masih banyak perkara yang perlu dipelajari tetapi dengan mengikut petunjuk dan bantuan jurulatih agar ia menjadi lebih mudah.

Akhirnya, kumpulan kami mampu menyelam sehingga paras 18 meter di dalam laut sekali gus menikmati keajaiban suasana yang sebelum ini hanya dapat disaksikan di televisyen, akhbar atau buku.

Keterujaan itu lebih bermakna apabila rakan-rakan senior merakamkan aksi-aksi kumpulan kami menggunakan kamera dan kamera video kalis air.

Apabila kembali ke daratan, kegembiraan dan kepuasan terpancar pada wajah masing-masing. Meskipun baru berkenalan, kami tidak kekok berkongsi pengalaman masing-masing hingga mengundang hilai tawa.

Rakan sekelas, Shahriman Azmi, 31, seorang pegawai bank memberitahu, menyelam skuba merupakan impiannya sejak kali pertama menyertai simulasi menyelam di Pulau Tioman, Pahang, tiga tahun lalu.

"Sejak itu, saya terus jatuh cinta dengan aktiviti ini sehingga mendorong saya mengambil lesen Open Water Diver di sini. Walaupun tidak berapa pandai berenang, saya gagahkan hati dan segalanya menjadi lebih mudah dengan sokongan rakan serta bantuan jurulatih.

Pengalaman

"Tidak dinafikan, saya pernah berdepan kesukaran, antaranya ketika membuka dan memasang kembali topeng muka di dalam laut dan membuka BCD (Buoyancy Control Device) di permukaan laut," katanya yang memiliki Ijazah Sarjan Muda Perbankan dari Universiti Malaya.

Sepertimana penyelam lain, Shahriman yang masih bujang turut terpukau dengan keindahan alam laut dan berhasrat meneruskan aktiviti menyelam pada masa akan datang.

Menurut Mohamad Haniz Mohd. Yusoff, 23, selepas dirinya tahu berenang, dia berhasrat mencuba aktiviti lain berkaitan dengan air. Akhirnya, dia tertarik untuk mengikuti aktiviti selaman skuba.

"Bagi saya, tidak susah belajar menyelam. Yang penting, ikut prosedur dan teknik yang diajar jurulatih serta jangan panik.

"Jadi, saya rasa berbaloi belajar dan mengambil lesen menyelam, selepas ini hendak menyelam di Mabul, Sabah," katanya yang bekerja sebagai pembantu pegawai teknik.

Seorang peserta wanita, Hirtine Yasim, 25, yang berasal dari Kota Belud, Sabah pula tidak dapat menyembunyikan perasaan takut apabila kali pertama hendak turun ke laut.


ERIC memberi taklimat kepada para pelatih sebelum aktiviti menyelam dilakukan.


Ia gara-gara hanya ada sedikit pengalaman berenang, ditambah pula tong skuba yang digunakan mempunyai berat 17 kilogram (kg).

Kemudian, dia menukar tong tersebut kepada yang lebih kecil iaitu tong seberat 10kg.

Ketika berada di laut, Hirtine turut berdepan beberapa insiden antaranya apabila orang lain sudahpun berada di dalam laut sedangkan dirinya masih terapung-apung di permukaan.

Masalah tersebut dapat diatasi apabila jurulatih memberi bantuan dan selepas itu ia menjadi lebih mudah dan menyeronokkan baginya.

"Tangki skuba rasa sangat berat di darat tetapi sebaliknya di dalam laut tidak rasa apa-apa. Saya juga ada terminum air laut tetapi biasalah bagi yang baharu belajar, ia satu pengalaman berguna.

"Ketika di dalam laut saya tidak dapat melupakan saat bermain-main dengan pelbagai jenis ikan terutama ikan anemone yang popular dalam filem Finding Nemo. Teruja sangat!" Katanya.

Perkhidmatan menyelam

Menurut Pengurus Operasi Cawangan Rakyat Travel, Wan Azwan Amin Wan Fakhruddin, agensi pelancongan tersebut mempunyai bahagian pengurusan aktiviti selam skuba. ia merupakan satu-satunya agensi pelancongan di negara ini yang terlibat secara langsung dengan aktiviti tersebut.

Sebelum ini, ia dikenali sebagai Shahaz Travel and Tour Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 1993 sebelum ditukar kepada Rakyat Travel pada 2007.

Sejak itu, agensi pelancongan itu menyediakan perkhidmatan seperti mengambil lesen menyelam skuba, aktiviti menyelam skuba selain menjual peralatan berkaitan aktiviti berkenaan.

"Kami menyediakan pakej-pakej bermula RM1,200 dan ke atas yang merangkumi penginapan, makan minum, mengambil lesen atau menyelam skuba dan pengangkutan.

"Ketika ini, sambutan terhadap aktiviti menyelam skuba agak menggalakkan dan kami tawarkan pakej secara berkumpulan kerana ia lebih menyeronokkan selain peserta dapat menambah kenalan baharu," katanya.

Setiap peserta kemudiannya didaftarkan sebagai ahli kelab agensi tersebut dikenali sebagai Scubarac sekali gus membolehkan mereka mendapat maklumat atau kemudahan tertentu berkaitan aktiviti menyelam skuba.

Bagi yang berminat untuk mengambil lesen atau mengikuti aktiviti menyelam skuba boleh menghubungi talian 03-2681 2761 atau e-mel kepada info@rakyatravel.com.my.

Istirehat dalam gaya sihat

Posted: 17 Aug 2012 08:10 PM PDT


TETAMU bersantai di pantai buatan sambil menikmati keindahan kolam dan tasik.


SEBELUM pergi bercuti, adalah lebih baik untuk mengetahui terlebih dahulu maklumat tentang kedudukan lokasi, penyediaan kemudahan serta serba-serbi aspek keperluan penginapan yang ditawarkan.

Hal itu penting bagi memastikan percutian itu berlangsung dengan dipenuhi aktiviti yang menyeronokkan tanpa berlaku perkara yang mampu menjejaskan mood.

Sekiranya anda merancang bercuti di sekitar Lembah Klang, terdapat pelbagai pilihan hotel atau resort boleh dipertimbangkan.

Kebiasaannya, orang ramai pasti inginkan suasana persekitaran hotel yang damai dan kemudahan terbaik.

Kunjungan ke Mines Wellness Hotel yang terletak di Seri Kembangan, Serdang, Selangor. Tetamu bukan sahaja disajikan pemandangan indah berhadapan tasik yang berkeluasan 60 hektar malah hotel berkenaan agak unik kerana berasaskan kesihatan.

Naik taraf

Lebih menarik, pengendali hotel berkenaan, Country Heights Holdings Bhd. (CHHB) telah menaik taraf hotel tersebut membabitkan nilai RM1.3 juta yang dilancarkan baru-baru ini.

Sebelum ini hotel berkenaan dikenali sebagai Palace Beach & SPA,

Sebanyak 168 bilik terdapat di hotel ini yang berkonsepkan reka bentuk tropika dengan pemandangan berlatarbelakangkan tasik.


SEBAGAI hotel berasaskan kesihatan, turut disediakan bantal organik dan katil sabut kelapa yang baik untuk postur badan.


Perubahan tersebut bagi meningkatkan imejnya sebagai hotel berasaskan kesihatan sekali gus menjadi satu-satunya hotel yang menawarkan perkhidmatan itu di Lembah Klang.

Antara perkhidmatan dan pakej kesihatan yang disediakan adalah hipnoterapi, pengurusan tekanan, terapi yoga, terapi sukan serta lengkap dengan penyediaan menu makanan yang menyihatkan.

Justeru, melalui penggabungan hospitaliti dengan program penyembuhan kesihatan alternatif, para tetamu dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan ini selain dapat mengambil berat tentang kesihatan masing-masing.

Selain kemudahan itu, tetamu hotel turut disediakan bantal organik, katil sabut kelapa yang baik untuk postur tubuh, lampu garam kristal dan laluan refleksologi di balkoni hotel.

Pastinya, segala kemudahan itu dapat membebaskan penginap daripada tekanan kerja sekali gus menjadikan percutian mereka lebih bermakna.

Pusat rawatan

Selain itu, para tetamu juga boleh menikmati perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Golden Horses Health Sanctuary seperti kemudahan Pusat Perubatan Tradisional Cina, pusat Ayurvedic (sistem penyembuhan penyakit dan pelanjutan usia purba) dan pusat pemulihan kesihatan.


MINES WELLNESS HOTEL yang telah dinaik taraf membabitkan nilai RM1.3 juta dilancarkan baru-baru ini.


Di pusat Ayurvedic yang terletak di tingkat satu, para tetamu akan menerima minyak Shirodara yang mampu menenangkan fikiran dan merehatkan badan. Terdapat juga pakej urut, rawatan muka dan menguruskan badan.

Pihak hotel juga tidak melupakan tanggungjawabnya dalam memelihara alam.

Sehubungan itu, langkah Amalan Hijau telah dipraktikkan dan para tetamu dapat sama-sama menyumbang dalam memelihara bumi.

Kesemua itu dapat disaksikan apabila mentol-mentol lampu lama digunakan semula sebagai pasu bunga, tong sampah untuk aktiviti kitar semula, penanaman pokok-pokok dan lain-lain aktiviti.

Pendekatan yang diambil pihak hotel turut mendapat penghargaan apabila dianugerahkan Asean Green Hotel Recognition Award 2012, yang merupakan kali kedua dimenangi hotel berkenaan.

Berniaga sambil melabur

Posted: 17 Aug 2012 08:08 PM PDT


LATIF (kiri) dan Hanizah menunjukkan produk kraf serta aksesori emas sadur yang boleh dijual oleh rakan niaga yang berdaftar dengan mereka.


TIDAK dinafikan bahawa melibatkan diri dalam perniagaan menjanjikan pulangan yang berganda berbanding bekerja makan gaji.

Sungguhpun begitu, tidak ramai yang mampu menyediakan modal bagi memulakan sesuatu perniagaan selain pada masa yang sama tidak berani menanggung risiko kerana khuatir berdepan dengan kegagalan.

Hakikatnya modal dan ilmu perniagaan perlu ada bagi menjamin kelestarian sesuatu perniagaan. Namun bagi yang berminat berniaga, tetapi tidak mempunyai modal, kini penyelesaian terbentang di depan mata.

Koperasi Jaringan Usahawan Selangor Berhad (Kojaring) dengan kerjasama syarikat pengeluar produk kraf logam bumiputera D'or Rue Sdn. Bhd. merupakan syarikat pertama yang menyediakan modal niaga bagi perniagaan berkonsepkan kraf serta emas yang disalurkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

"Kita tidak akan berikan modal berupa wang tunai, tetapi dalam bentuk barangan.

"Contohnya, dalam pembiayaan pinjaman RM30,000, pihak kami akan memberikan produk dalam bentuk emas tulen 999 seberat 70 gram dan produk-produk kraf emas sadur yang bernilai RM17,600 untuk diniagakan selain simpanan tunai RM7,500," kata Pengerusi Kojaring, Latif Kachong.

Latihan perniagaan


D'OR RUE mengeluarkan pelbagai produk hiasan termasuklah aksesori fesyen, cenderamata korporat dan perhiasan berkonsep tradisional serta kontemporari.


Ujarnya, modal berupa jongkong emas tulen itu digunakan bagi tujuan cagaran kepada pinjaman dan akan disimpan oleh koperasi sebelum dipulangkan kepada usahawan selepas selesai pembayaran pinjaman.

Dalam hal ini, usahawan bukan sahaja berniaga, tetapi turut membuat pelaburan dengan emas yang nilainya semakin meningkat saban tahun.

Menurut Latif, pihaknya menawarkan dua jenis rakan niaga iaitu Rakan Niaga Perunding Emas (akan memperoleh pembiayaan modal niaga RM5,000) dan Rakan Niaga Pengurus Emas (akan memperoleh pembiayaan modal niaga RM30,000).

"Selain daripada itu, terdapat 16 kelebihan sebagai rakan niaga antaranya khidmat tebus gadai, insentif memperkenalkan rakan usahawan baharu, dividen tahunan, diskaun pembelian kepada usahawan dan khairat kematian.

"Kita mencari 50 rakan niaga dan sesiapa yang mendaftar awal serta lulus permohonan pembiayaan akan mendapat hadiah menarik.

"Ia berupa percutian lima hari empat malan ke Bali atau Phuket dan tiga hari dua malam sama ada ke Langkawi, Port Dickson atau Kuantan," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan D'or Rue, Hanizah Zainudin memberitahu, usahawan akan mendapat 50 peratus diskaun belian produk kraf.

"Latihan perniagaan turut diberikan kepada mereka selain menyediakan khidmat selepas jualan.

"Sebagai contoh, kita ajar usahawan bagaimana cara untuk mencuci emas. Mereka hanya membeli cecair pencuci emas dalam botol kecil yang berharga RM15 dan percaya atau tidak, mereka mampu mendapat untung antara RM600 hingga RM1,000," jelasnya.

Katanya lagi, jika mereka tidak boleh menjual emas, mereka boleh menjual aksesori fesyen untuk mereka jana pendapatan.

Pek menu sejuk beku Sri Kulai

Posted: 17 Aug 2012 08:07 PM PDT

NASI lemak antara pek sedia makan yang ditawarkan Sri Kulai.


MESKIPUN Syawal bakal menjelma dalam beberapa hari lagi, jenama perintis makanan sejuk beku yang halal, Sri Kulai masih memanjangkan tempoh promosi menu edisi khas Ramadan sehingga bulan September 2012.

Kepada mereka yang mungkin merancang untuk menunaikan puasa enam pada bulan Syawal, menu ayam gulai lemak tradisional dan ayam kurma tradisional sesuai disajikan untuk bersahur atau berbuka puasa.

Kedua-dua menu tersebut yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna sudah tiga kali diperkenalkan di pasaran. Dijual sejak awal Ramadan lalu, produk tersebut boleh didapati di stesen-stesen (RTE) Ready To Eat Sri Kulai.

Setiap pek lauk seberat 360 gram hingga 400 gram boleh dikongsikan bersama tiga orang dan boleh dimakan selepas dipanaskan selama enam minit dalam ketuhar. Enak dimakan bersama nasi atau roti, kedua-dua menu tersebut dijual pada harga RM7.90 setiap pek sepanjang promosi hingga September ini.


PRODUK Sri Kulai boleh didapati di pusat beli-belah dan pasar raya besar terpilih.


Sebagai bonus, Sri Kulai turut memperkenalkan kad kesetiaan ideal buat mereka yang ingin mendapatkan produk tersebut tanpa memeningkan kepala. Kepada pemegang kad, anda berpeluang mendapat dua pek menu percuma bagi setiap pembelian enam pek produk Sri Kulai atau empat menu percuma yang lengkap untuk setiap pembelian 10 pek produk Sri Kulai.

Sebagai memberi pilihan kepada pelanggan, anda boleh terus ke stesen Sri Kulai yang menawarkan 30 pilihan menu yang sedia dimakan. Produk Sri Kulai bebas pengawet, monosodium glutamnate (MSG) dibungkus menggunakan bahan yang mesra alam dan disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia boleh didapati di pusat beli-belah Aeon Jusco, pasar raya besar Tesco, Giant, Village Grocer dan Cold Storage pada harga runcit bermula dari RM5.90.

Pandelela terima RM300,000

Posted: 17 Aug 2012 08:06 PM PDT


NAJIB bersalaman dengan Pandelela sambil diperhatikan ibu bapanya, Hartini (kiri) dan Pamg, pada majlis meraikan kemenangan pingat gangsa Sukan Olimpik di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meraikan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 dalam acara terjun 10 meter platform di pejabatnya di sini.

Sebagai penghargaan kerajaan, Najib menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 iaitu Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) sebanyak RM100,000 dan Amanah Saham Wawasan sebanyak RM200,000 kepada Pandelela atas kejayaan mengharumkan nama negara pada kejohanan berprestij itu.

Perdana Menteri juga menyerahkan surat tawaran biasiswa penuh kerajaan daripada Yayasan Tun Abdul Razak untuk membolehkan atlet negara itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan pilihannya di Universiti Tun Abdul Razak.

Dalam pertemuan selama 10 minit itu, Najib memberi jaminan kerajaan sedia menghulurkan segala jenis bantuan bagi membolehkan atlet muda itu meningkatkan prestasi dan seterusnya mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Adakah kamu komited untuk Rio (Kejohanan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016) dan apa lagi yang kamu perlukan? Semua sudah cukup?" tanya Najib dengan senyuman kepada Pandelela.

Najib juga bertanya perasaan Pandelela sewaktu melakukan terjunan dari ketinggian 10 meter pada pertandingan itu.

"Kamu gementar tak ketika hendak mula," tanya Najib.

"Ya, tetapi selepas itu saya rasa teruja," kata Pandelela.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Kontinjen Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong.

Hadir sama, ibu bapa Pandelela, Hartini Lamim dan Pamg ak Joheng, serta jurulatih, Yang Zhuliang.

Pada Sukan Olimpik London 2012, gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata pada acara 10m platform di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan 422.30 mata manakala Britanny Broben dari Australia meraih pingat perak selepas mengutip 366.50 mata.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved