ads

Sabtu, 6 Disember 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Album Terbaik AIM 21 Milik Siti Nurhaliza

Posted: 06 Dec 2014 06:27 PM PST


Siti Nurhaliza berjaya meraih album terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-21.
KUALA LUMPUR: Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM 21) menyaksikan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menggondol tiga anugerah termasuk Album Terbaik pada acara yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Sabtu.

Menerusi album Fragmen penyanyi berusia 35 itu turut menerima anugerah Vokal Terbaik Wanita menerusi lagu Lebih Indah dan Rakaman Album Terbaik melalui Konsert Lentera Timur Bersama Orkestra Tradisional Malaysia.

Dalam pada itu, penyanyi rap baharu SonaOne memenangi anugerah Lagu Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi lagu No More.


Manakala, kolaborasinya bersama Joe Flizzow dalam lagu Apa Khabar diumum sebagai Lagu Hip Hop Terbaik.

Sementara itu, anugerah Vokal Terbaik Lelaki dimenangi oleh penyanyi Akim Ahmad menerusi lagu Mewangi.

Bagi Anugerah Sri Wirama AIM 2014 diberikan kepada Datuk Ramli Sarip atas kesetiannya selama 45 tahun berjuang dalam industri seni tanah air.

Persembahan nyanyian Tam Spider dan Aweera melalui dua lagu popular Papa Rock iaitu Bukan Kerana Nama dan Teratai sebagai tanda penghargaan kepada penyanyi lagenda itu.

Dalam pada itu, penyanyi Alyah menggondol anugerah Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu popularnya Sesal Separuh Nyawa.

Kumpulan Azhael memenangi kategori Persembahan Vokal Kumpulan Terbaik Di Dalam Lagu hasil menerusi lagu Hujung Waktu.

Bagi kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik dalam lagu dimenangi oleh Nora Feat Mosyi, Alif & Putri menerusi lagu Selamanya Bahagia.

Lagu Mahligai Kayangan yang dipersembahkan oleh Salamiah Hassan dipilih sebagai pemenang dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Artis Baru Terbaik pada tahun ini diterima oleh penyanyi Poova.

Sementara itu, Amy Search masih membuktikan keunggulannya apabila menerima anugerah Lagu Rock Terbaik bersama kumpulan Bunkface menerusi Rentak Laguku.

AIM 21 dihoskan oleh Faizal Ismail dan Zizan Razak.

Acara pada malam itu turut diserikan oleh persembahan mantap daripada Sleeq, Dayang Nurfaizah, Akim & The Magistrate, Haleeda & Ayai (Ilusi), Sheda, Haiza, Fakhrul Razi, Joe Flizzow dan SonaOne.

Ia disiarkan secara langsung di Astro Ria (104) dan Astro Maya HD (135).

Berikut adalah senarai pemenang penuh anugerah AIM 21

Album Terbaik : Fragmen - Dato' Siti Nurhaliza
Lagu Terbaik :  No More - SonaOne

Vokal Terbaik Lelaki Dalam Lagu : Akim Ahmad - Mewangi

Vokal Terbaik Wanita Dalam Lagu: Datuk Siti Nurhaliza - Lebih Indah

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Salahkan - Hafiz Suip & Datuk Rossa

Video Muzik Terbaik: Yuna - Yuna & Zul Luey

Vokal Terbaik Berkumpulan Dalam Lagu: Azhael - Hujung Waktu

Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu: Selamanya Bahagia -Nora Feat Mosyi, Alif & Putri

Lagu Pop Terbaik: Alyah - Sesal Separuh Nyawa

Lagu Hip Hop Terbaik: Joe Flizzow feat SonaOne - Apa Khabar

Lagu Rock Terbaik: Bunkface feat Amy Search - Rentak Laguku

Artis Baru Terbaik: Poova

Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: SonaOne - No More

Lagu Nasyid Terbaik: Rindu Allah Sayang Allah - Iwan Syahman & Iwan Junior

Lagu Pop Etnik Terbaik: Ihab Ismail - Akar Kita Zapin

Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu: Mahligai Kayangan - Salamiah Hassan ( Aubrey Suwito)

Rakaman Album Terbaik: Konsert Lentera Timur Bersama Orkestra Tradisional Malaysia - Datuk Siti Nurhaliza

Kulit Album Terbaik: #1 - Stacy (Wan Izhar)

Anuar Zain Simpan Impian Buka Pusat Dialisis

Posted: 06 Dec 2014 06:26 PM PST


Anuar Zain menyampaikan 11 buah lagu pada majlis tersebut
KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain memberitahu impiannya adalah untuk membuka sebuah pusat rawatan dialisis bagi membantu masyarakat  yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan penyakit buah pinggang.

Anuar berkata, hasrat tersebut disimpan apabila melihat ramai ahli keluarga dan rakan-rakannya yang meninggal dunia sebelum mendapatkan rawatan di pusat dialisis.
"Sejak lama dahulu saya menyimpan impian mahu membuka sebuah pusat dialisis bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan.

"Ini kerana ramai ahli keluarga dan rakan-rakan rapat saya yang meninggal dunia kerana sukar untuk menerima rawatan di pusat dialisis. Namun itu dulu, sekarang saya lihat sudah banyak dan mudah juga untuk dapat rawatan tersebut," katanya kepada mStar Online.

Turut memeriahkan majlis Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Anuar berkata demikian ketika ditemui selepas Showcase Dinner Bersama Anuar Zainyang dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN), bagi mengutip dana meringankan beban kumpulan sokongan PCHC.

Majlis bertemakan Sempurnakan Aku ini diadakan di The Majestic Hotel, malam Jumaat.

Sementara itu, Anuar mengakui gembira apabila malam amal tersebut berjaya mengumpul sebanyak RM863,300 hasil sumbangan daripada 32 badan korporat.
"Alhamdulillah rezeki pada malam ini sangat bagus dan ia adalah kerja keras pihak IJN. Pada saya kita berjaya untuk memberi kesedaran kepada masyarakay tentang kumpulan sokongan ini.
"Kita boleh salurkan bantuan dengan pelbagai cara dan bukan hanya dengan wang ringgit semata-mata tetapi juga kepakaran yang ada," ujarnya.

Pada majlis hampir dua jam itu, Anuar menyampaikan 11 buah lagu popularnya termasuk Keabadian Cinta, Sempurnakan Aku, Ajari Aku, Ketulusan Hati dan Sedetik Lebih.
Seramai 700 tetamu yang hadir terhibur dengan persembahan dan kemesraan penyanyi tersebut apabila bertindak turun dari pentas bagi melayan tetamu yang ingin bergambar dengannya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Beberapa rakan artis turut memeriahkan majlis tersebut ialah Misha Omar, Jaclyn Victor dan Salamiah Hassan.

Fauziah Latiff Enggan Peduli Tuduhan Tak Boleh Menyanyi

Posted: 06 Dec 2014 06:23 PM PST


Fauziah Lattif janji akan keluar lagu baharu untuk peminat.
KUALA LUMPUR: Penyanyi Fauziah Latiff menganggap dakwaan tidak lagi boleh menyanyi sebagai perkara biasa apabila dia sudah lama tidak mengeluarkan lagu baharu.

Fauziah atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 44, berkata, dia enggan mengambil pusing perkara tersebut dan menganggap ia sebagai pandangan masing-masing.

"Itu perkara biasa bila ada suara negatif bahawa saya tidak boleh menyanyi kerana mungkin saya sudah lama tidak keluar lagu baru.

"Saya tidak boleh puaskan hati semua orang dan saya tidak ambil hati dengan kritikan sebegitu, biarlah apa mereka ingin cakap kerana bagi saya ia adalah pandangan peribadi mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Sementara itu, Fauziah berkata, dia berjanji untuk menunaikan permintaan peminat untuk muncul dengan lagu baharu.

Katanya, buat masa ini, dia masih mencari lagu yang sesuai dan memberi impak kepada peminat.

"Saya akan tunaikan janji kepada peminat untuk keluar dengan lagu baru, tapi sekarang masih belum dapat lagu yang sesuai.
"Saya tidak mahu membuat sambil lewa atau asalkan ada single baru. Lagi pun, single baru saya nanti bukan kerana saya mahu buat kemunculan semula tetapi mungkin ia adalah projek khas," ujarnya.

Kamal Adli Anggap Tuduhan Malas Promosi Filem Tidak Berasas

Posted: 06 Dec 2014 06:22 PM PST


Kamal Adli nafi malas mempromosikan filem lakonannya.
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli menyelar dakwaan kononnya dia enggan mempromosikan filem lakonannya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram sehingga menjejaskan kutipan di pawagam.
Kamal berkata, tuduhan tersebut tidak berasas kerana sebagai artis dia menjalankan tanggungjawab untuk mempromosikan filem lakonannya kepada peminat di laman sosial dan mempersoalkan tujuan pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.
"Saya tahu filem mana yang dimaksudkan dan saya menafikan tuduhan kononnya saya tidak pernah mempromosikan filem dimaksudkan di laman sosial milik saya. Anda boleh semak sendiri di Isntagram saya.
"Saya pelik bagaimana isu sebegini boleh timbul sedangkan saya tidak lakukan seperti mana didakwa," katanya kepada mStar Online.
Kamal mengulas laporan ruangan gosip sebuah akhbar mingguan pada minggu lalu yang mendakwa dia malas mempromosikan filem lakonannya walaupun telah diminta oleh pihak penerbit untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, Kamal memberitahu, sekiranya pertikaian itu dibuat oleh pihak produksi mereka sepatutnya lebih memahami bahawa tugas promosi bukan tanggungjawab pelakon malah ia tidak termaktub dalam kontrak yang ditandatangani.
Bagaimanapun kata Kamal, sebagai pelakon dan orang yang terlibat dalam sesuatu tersebut adalah menjadi perkara biasa apabila artis turut sama-sama mempromosikan sesebuah karya itu tidak kira secara bertemu peminat atau pun menerusi laman sosial.
"Setiap produksi mempunyai bajet tersendiri untuk mempromosikan filem mereka dan tidak boleh hanya bergantung harap kepada artis sahaja untuk melariskan filem.
"Apabila ia gagal mendapat perhatian penonton di pawagam pelakon pula disalahkan," katanya.
Sementara itu, Kamal berkata, dia enggan memanjangkan isu berkenaan kerana tidak mengetahui dalang disebalik penyebaran fitnah berkenaan terhadapnya. 
"Sekiranya pihak produksi filem berkenaan merasakan saya bersalah, saya mohon maaf dan telah mencuba sedaya upaya untuk mempromosi filem berkenaan," katanya.

Lelaki patah kaki dirempuh mat rempit

Posted: 06 Dec 2014 06:17 PM PST


  • Antara individu yang diperiksa dalam operasi awal pagi semalamAntara individu yang diperiksa dalam operasi awal pagi semalam

SERDANG – Sekumpulan mat rempit bertindak meloloskan diri dalam satu sekatan jalan raya sebelum merempuh seorang penunggang motosikal hingga menyebabkan kecederaan.

Ops Samseng Jalanan yang dilakukan kira-kira jam 2 pagi di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), semalam, membabitkan keanggotaan seramai 158 orang dari Pasukan Trafik Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Operasi Trafik Kontinjen Bukti Aman Deputi Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, akibat rempuhan tersebut, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami patah kaki tangan.

Menurutnya, lebih malang lagi, wang milik mangsa berjumlah RM500 serta dokumen penting turut disamun sebelum kumpulan berkenaan berjaya menghilangkan diri.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut," katanya.

Untung jual jeruk mangga asam boi

Posted: 06 Dec 2014 06:13 PM PST


  • Nur Shazwani menunjukkan jeruk mangga asam boi yang begitu polular sekarang ini.Nur Shazwani menunjukkan jeruk mangga asam boi yang begitu polular sekarang ini.

MELIHAT mangga jeruk asam boi yang padat tersusun di dalam bekas sudah ada yang kecur air liur.

Apatah lagi sekarang sedang hangat viral jeruk mangga asam boi di laman sosial menjadikan ia begitu popular sekali.

Rasanya yang masam masin, manis dan sedikit pedas membangkitkan selera bagi peminat jeruk ini.

Peniaga, Nur Shazwani Mohd Norizan, 24, berkata, untuk membuat jeruk mangga asam boi tidaklah sukar kerana bahan yang diperlukan ialah mangga muda, asam boi, gula dan cili padi.

Menurutnya, dia menggunakan mangga lemak manis dari Thailand untuk menghasilkan jeruk ini.

"Sekarang ini bukan musim buah mangga muda, jadi saya gunakan mangga lemak manis yang masih putik," katanya yang baru tamat pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis.

Nur Shazwani berkata, ketika menjeruk mangga ini dia meletakkan beberapa biji asam boi, gula, cili, dan bagi menambahkan rasa enak lagi dimasukkan sedikit serbuk asam boi.

Nur Shazwani dari kampung Morak menjual jeruk mangga asam boinya dengan harga RM5 sebekas di sebuah butik di Kota Bharu dan juga melalui Facebook.

Sejak memulakan perniagaan ini yang pada asalnya secara sambilan dua bulan lalu, Nur Shazwani memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Nurul Amirah bangkit daripada kesedihan

Posted: 06 Dec 2014 06:11 PM PST


  • Nurul Amirah menunjukkan antara jubah yang dijual di butiknya.Nurul Amirah menunjukkan antara jubah yang dijual di butiknya.

BANGKIT daripada kesedihan dialami dalam hidupnya dua tahun lalu, Nurul Amirah Mohd Razali, 29, tidak pernah menyangka jalan dipilih untuk menutup rasa kecewa kini menjadi sumber rezeki walaupun pada asalnya dia mahu bergelar pendidik.

Bermula dengan perniagaan atas talian dan mengikuti pesta konvokesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), siapa sangka graduan Sarjana Muda Sains dan Komputer serta Pendidikan (Matematik) itu kini telah berjaya memiliki butik sendiri yang dinamakan SA Bloom hasil usahanya yang tidak putus asa.

Nurul Amirah memberitahu, modal permulaan berjumlah RM600 diberikan suaminya, Azizul Azman, 29, yang mencadangkan supaya dia berniaga atas talian selepas keguguran anak sulung mereka.

"Ketika itu, saya belum bekerja dan temu duga untuk menjadi guru juga saya tolak kerana mahu menyambung pengajian di peringkat sarjana di UTM. Jadi, suami cadangkan saya berniaga daripada terus melayan perasaan sedih.

"Saya mula beli stok jubah cotton terkini daripada Indonesia menerusi ayah saudara yang mempunyai perniagaan di negara jiran dan dimuat naik dalam laman Facebook, namun sedikit hampa kerana tidak mendapat respons. Ketika itu saya sudah mula putus asa dan rasa mahupun pulangkan semula barang-barang itu kepada ayah saudara.

"Tetapi, peluang untuk berniaga dalam satu pameran di UTM telah membuka rezeki saya apabila produk tersebut mendapat sambutan dengan modal tambahan kira-kira RM2,000 daripada dinar emas iaitu hantaran kahwin saya dahulu. Saya nekad sahaja dan syukur rezeki berpihak kepada saya," katanya.

Nurul Amirah berkata, kemudian peluang memasuki pesta konvokesyen di UTM digunakan sebaik mungkin sebagai medium menarik pelanggan untuk membeli secara dalam talian sekali gus mengukuhkan perniagaannya.

Kemudian, dia berpeluang membuka sebuah kedai di kolej UTM dan dari situ dia mula mengatur strategi untuk melangkah jauh dalam perniagaan ini.

"Syukur empat bulan lalu, dengan modal daripada hasil jualan selama ini, saya kumpul dan buka butik dan turut mendapat sambutan.

"Selain jubah cotton, saya turut mempelbagaikan produk jualan saya dan yang pastinya sesuai untuk mereka yang gemar bergaya sopan serta menutup aurat. Saya turut galakkan rakan lain yang berniaga atas talian untuk letakkan barang jualan mereka di butik ini," katanya.

Ibu kepada Ayra yang berusia setahun tiga bulan berkata, dorongan suaminya Azizul membawanya sampai ke tahap itu berikutan beliau sentiasa berfikiran positif dalam setiap yang dilakukan selain membantu memberi idea untuk memantapkan perniagaannya walaupun sibuk dengan kerjanya sendiri sebagai pegawai inovasi.

Berpegang kepada prinsip bukan senang untuk senang, rezeki daripada ALLAH SWT dan buat baik kepada semua orang memberitahu insiden pekerja menipu wang jualan sehingga RM4,000 adalah antara cabaran yang dialami selain hampir putus asa di awal pembabitannya dalam dunia perniagaan yang penuh berliku ini.

"Walaupun terdapat banyak butik lain yang turut menawarkan pelbagai fesyen, namun saya anggap itu adalah sebuah persaingan sihat. Kini, saya telah mula menghasilkan tudung dan jubah kanak-kanak sendiri dengan pemilihan material yang sesuai setelah ia dilihat mendapat permintaan.

"Kini saya senang menguruskan perniagaan walaupun pada mulanya saya mahu menjadi guru kepada pada saya perniagaan ini lebih mudah untuk saya uruskan masa bersama keluarga dan menjaga anak sendiri," katanya yang merancang untuk menghasilkan produk lain atas jenamanya sendiri pada masa akan datang.

Adik Ilyas beransur pulih

Posted: 06 Dec 2014 06:10 PM PST


  • Kesihatan Ilyas yang menghidap penyakit Biliary Atresia kini, beransur pulih selepas hampir tiga minggu menjalani rawatan dan pembedahan pemindahan hati di India.Kesihatan Ilyas yang menghidap penyakit Biliary Atresia kini, beransur pulih selepas hampir tiga minggu menjalani rawatan dan pembedahan pemindahan hati di India.

CHEMOR - Tahap kesihatan Putra Muhammad Ilyas Rahizalkhiri, 2, yang menghidap penyakit Biliary Atresia kini, beransur pulih selepas hampir tiga minggu menjalani rawatan dan pembedahan pemindahan hati di Hospital Gangga Ram, India.

Ibu, Sazariah Abdul Aziz, 32, berkata, pembedahan 11 November lalu itu berjalan lancar meskipun dia dimaklumkan bahawa Putra Muhammad Ilyas disyaki menghidap radang paru-paru.

"Saya juga dimaklumkan anak mempunyai masalah pada urat di bahagian hatinya yang agak halus.

"Namun doktor pakar bedah meyakinkan semuanya akan selamat. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH ianya berhasil," katanya ketika ditemui di kediamannya di Medan Klebang Restu, di sini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki yang mesra dipanggil Ilyas mula dikesan mempunyai masalah saluran hempedu dari luar hati setelah mengalami pendarahan tanpa henti sejak Mac lalu.

Keadaan itu menyebabkan anak bongsu dari enam beradik itu berubah menjadi lesu dan sering menangis.

Sazariah berkata, pembedahan yang diketuai Dr Naimish N Mehta itu memakan masa 14 jam.

"Anak saya dimasukkan ke dalam bilik pembedahan bagi menentukan tahap kesihatannya sebelum pemindahan 20 peratus hati saya kepada Ilyas.

"Seminggu selepas dibedah, Ilyas menunjukkan perubahan positif khususnya aspek fizikal, warna matanya sudah kembali cerah, kulitnya tidak lagi gatal-gatal dan dia sudah boleh berguling-guling atas katil wad," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu dalam usaha menyelamatkan Putra Muhammad Ilyas.

"Saya amat berterima kasih kepada semua yang sudi membantu dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anak kami ini," katanya.

Sementara itu, Bapa, Rahizalkhiri Rahim, 39, berkata, Putra Muhammad Ilyas masih perlu menjalani rawatan susulan di India.

"Selain kena ambil darah tiga hari sekali bagi menentukan tahap kesihatannya di Hospital Pantai Ipoh, kami juga terpaksa berulang-alik ke India setiap tiga bulan sekali bagi menjalani rawatan susulan.

"Malah, kami juga perlu membiayai kos perubatan Ilyas yang mencecah lebih RM1000 setiap bulan. Ubat yang diperlukan Ilyas agak mahal kerana ia perlu dibeli di India dan tidak di jual di sini," katanya.

Justeru katanya,  dia berharap ada pihak yang sudi membantu khususnya bagi meringankan sedikit beban perbelanjaan yang ditanggung.

Bagi mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sazariah Abdul Aziz 558435103162.

Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan mengenai Muhmmad Ilyas  menerusi laman facebook, Putra MuhammadIlyas- Billiary Atresia.

Menjejak Rafflesia di Pos Jedip

Posted: 06 Dec 2014 06:08 PM PST


  • Peserta program Ekspedisi Menjejak Bunga Rafflesia bergambar di Pos Jedip, Lojing.Peserta program Ekspedisi Menjejak Bunga Rafflesia bergambar di Pos Jedip, Lojing.

GUA MUSANG - Seramai 65 ahli Kelab Kebajikan, Sukan dan Sosial (Kesuma) Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengadakan Program Ekspedisi Menjejak Bunga Rafflesia di Pos Jedip, Lojing dekat sini, Rabu lalu.

Turut sama, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Hutan Kelantan, Pemaju Bandar Utama Gua Musang dan kakitangan Majlis Daerah Bachok (MDB) yang mengambil masa sehari meninjau kawasan berkenaan.

Setiausaha Kesuma, Kamarudin Idris berkata, program itu julung kali diadakan bagi memberi peluang kepada ahli kelab dan agensi lain menikmati persekitaran yang mempesonakan dan melihat sendiri bunga Rafflesia yang tercantik di negara ini.

Beliau mengakui sebahagian ahli tidak pernah melihat dengan lebih dekat bunga Rafflesia atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai bunga pakma yang tumbuh di kawasan tertentu sahaja dan Pos Jedip ada keistimewaan itu.

"Kita sedia menganjurkan program serupa selepas ini jika ada pihak atau agensi kerajaan yang berminat menyertainya kerana ia memberi banyak pengalaman dalam pendakian bukit untuk ke kawasan berkenaan.

"Mereka yang menyertai program pertama ini jelas gembira apabila dapat melihat keindahan alam semula jadi yang boleh dijadikan pusat pelancongan menarik di hulu Kelantan," katanya.

Kamarudin berkata, bukan mudah untuk masuk ke kawasan berkenaan kerana ia mengambil masa beberapa jam untuk sampai dengan berjalan kaki.

"Sepanjang berjalan kaki, kita dapat menghayati suasana keindahan alam semula jadi dengan laluan di lereng bukit dan air terjun," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPBD, Anispekri Muhyiddin berkata, program seumpama  itu sekali gus dilihat platform mempromosikan produk pelancongan yang ada di Pos Jedip kepada penduduk dari dalam dan luar negara.

Katanya, bunga Rafflesia di Pos Jedip  adalah spesies berbeza daripada yang terdapat di Borneo kerana corak dan warnanya luar biasa serta jarang ditemui.

Pemuda usia 20 tahun antara peserta khatan

Posted: 06 Dec 2014 06:07 PM PST


  • Walaupun gementar dan segan Azuan tetap meneruskan niat untuk dikhatankan bersama kanak-kanak yang jauh lebih muda darinya.Walaupun gementar dan segan Azuan tetap meneruskan niat untuk dikhatankan bersama kanak-kanak yang jauh lebih muda darinya.

MARAN - Seorang pemuda Orang Asli berusia 20 tahun yang berhasrat menganut agama Islam pada hujung tahun ini antara 46 peserta program khatan perdana anjuran Parlimen Maran di Balai Raya Kampung Berkat, semalam.

Anak Orang Asli Kampung Paya Sendayan, Temerloh, Azuan a/l Eh yang mendirikan rumah tangga dengan gadis seusia dari Kampung Orang Asli Batu 55 itu juga bakal menerima cahaya mata kedua tidak lama lagi.

Azuan berkata, meskipun gementar dan segan dikhatankan bersama kanak-kanak yang jauh perbezaan umur namun perasaan itu tidak menjadi penghalang untuk dia berbuat demikian.

"Saya tinggal bersama ibu dan bapa mertua yang sudah beragama Islam maka sedikit sebanyak, ia menjadi dorongan kepada saya serta isteri untuk mengikut jejak langkah mereka.

"Kakitangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Maran banyak membantu malah mereka yang menguruskan pendaftaran khatan ini dan turut menyediakan kemudahan kenderaan.

"Pada mulanya memang risau kerana saya berkhatan pada usia tua tetapi selepas semua selesai, saya rasa seperti orang baru dengan kehidupan lebih baik," katanya.

Pengantin hanya pakai baju kasual, seluar denim

Posted: 06 Dec 2014 06:05 PM PST


  • Mozil (kiri) bersama Abdul Yunus ketika majlisnya kelmarin.Mozil (kiri) bersama Abdul Yunus ketika majlisnya kelmarin.

PARIT BUNTAR - Santai dan bersahaja. Itulah perlakuan pengantin lelaki apabila hanya mengenakan baju kasual dan berseluar denim serta menjadi penyambut tetamu sepanjang majlis perkahwinannya yang berlangsung di Kampung Parit Sungai Baru Tengah, di sini, kelmarin.

Pengantin Mozil Janudi, 38, yang juga seorang penyampai radio di sini berkata, dia cuba membuat kelainan sempena majlis resepsinya dan dalam masa sama tetamu akan tercari-cari pengantin.

Menurutnya, disebabkan dia hanya berpakaian biasa, ada tetamu menyangka mereka tersalah rumah.

"Ramai tetamu bertanya kenapa saya tidak pakai baju pengantin dan saya memberitahu ingin membuat kelainan supaya wujud suasana lebih ceria," katanya.

Mozil berkata, dia hanya memakai pakaian pengantin yang ditempah semasa menyambut kunjungan rombongan pengantin perempuan dan upacara makan beradab.

Majlis perkahwinan Mozil bersama isteri Siti Haisah Tukiran, 38, meriah dengan menerima kehadiran lebih 5,000 tetamu.

Tetamu Hamzah Yahaya, 68, berkata, ini kali pertama dia melihat pengantin menyambut tetamu dengan pakaian biasa.

"Saya tidak sangka Mozil mempunyai idea berbeza untuk memeriahkan lagi majlis resepsinya," katanya.

Turut hadir menyerikan majlis tersebut adalah Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.

Pengacara perlu versatil – Zizan, Nabil

Posted: 06 Dec 2014 06:03 PM PST



Selepas serasi mengacarakan program AF2014, Zizan Razak dan Faizal Ismail digandingkan sekali lagi dalam AIM21


JIKA dihitung perjalanan karier pengacaraan dua jejaka ini, mereka bukanlah seorang pengacara tersohor seperti Datuk Aznil Nawawi atau Datuk AC Mizal.
Bagaimanapun, kedua-dua pengacara yang lahir daripada program Raja Lawak ini mempunyai portfolio pengacaraan yang sangat memberangsangkan.
Penyampaian Zizan dan Nabil yang 'menjadi' setiap kali mengacarakan majlis, mungkin melenyapkan pandangan skeptikal khalayak yang tidak suka melihat pelawak menjadi pengacara.
Dua pelawak ini membuktikan keikhlasan dalam bekerja dan toleransi antara satu sama lain dalam pengacaraan, mencambahkan rezeki buat mereka.
Zizan yang melambangkan dirinya sebagai versatil sudah terbiasa dengan pandangan sinis sesetengah pihak terhadap bakat dan perjalanan hidupnya sebagai anak seni.
Bekas naib juara program Raja Lawak musim pertama itu sering kali mendatangkan keraguan terhadap sesuatu yang dinamakan pakej bergelar pengacara dan penghibur sebenar.
Hakikatnya, setelah tujuh tahun mengacarakan program Raja Lawak bersama Johan, kekasih kepada Emma Maembong ini pernah menerima anugerah personaliti TV Kegemaran di Shout Award pada 2010 dan 2012.
Ia satu bukti kerja keras pengacara berusia 30 tahun ini yang mungkin hanya dilihat sebagai pelawak di atas pentas.
Berasa terpukul dengan komen sesetengah pihak yang memandang rendah golongan pelawak menjadi pengacara, Nabil pula mendedahkan, golongan itu (pelawak) mampu mendapat lebih banyak tawaran pengacaraan berbanding pengacara yang hanya mampu mengeluarkan fakta semata-mata.
Buktinya, mereka (pelawak) bukan sahaja pandai bercakap di atas pentas, sebaliknya mereka mampu menarik perhatian penonton dengan lawak bersahaja, nyanyian mahupun fakta yang ditimba atas usaha sendiri.
Kepada Sensasi Bintang, Zizan dan Nabil mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Panel 1 NABIL AHMAD Ahmad Nabil Ahmad merupakan seorang pelawak, penyanyi dan pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan. Nabil terkenal selepas menjuarai program Raja Lawak musim kedua. Nabil juga berjaya merangkul Anugerah Bintang Popular pada 2008.


Setiap kali menjadi pengacara, anda berdua dikatakan berjaya mengendalikan majlis dan menarik perhatian hadirin dengan lawak spontan. Disebabkan itu, tawaran dalam bidang tersebut tidak pernah putus. Komen?
ZIZAN: Saya bersyukur dan anggap ia perkara positif dalam karier pengacaraan saya. Lebih-lebih lagi apabila gandingan saya dan Faizal Ismail dalam program Akademi Fantasia 2014 (AF2014) dan Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) dianggap serasi. Bukan apa, sekarang ini tengah kecoh pasal isu ada pihak yang tidak berpuas hati pelawak jadi pengacara. Bagi saya, kalau gandingan kami ini tidak menjadi, masakan kami menerima tawaran untuk mengacara lagi. Begitu juga pelawak lain seperti Johan, Nabil dan Jep Sepah. Tawaran pengacaraan sentiasa ada kerana mereka ada bakat menjadi pengacara.
NABIL: Alhamdulillah, ikhlas dalam bekerja itu kena ada. Sebagai seorang pengacara kita ada tanggungjawab mengendalikan acara tersebut dengan lancar bukan semata-mata hanya melawak.
Apakah pendapat kalian mengenai kenyataan Awal Ashaari yang kesal apabila stesen televisyen di negara ini dilihat lebih cenderung memilih pelawak sebagai pengacara?
ZIZAN: Terus terang saya cakap, kalau tidak boleh mengacara, saya tidak akan buat. Walaupun tidak sempurna seperti pengacara profesional, saya mampu melakukannya.
NABIL: Pada saya, itu hak dia (Awal) sebagai pengacara mahu mengeluarkan pendapat. Mungkin dia tertekan dengan lambakan pelawak yang jadi pengacara dan ia membuatkan pengacara sepertinya kurang mendapat perhatian. Hakikatnya, banyak syarikat yang senang mengambil pelawak menjadi pengacara kerana mereka versatil. Sebagai contoh, saya pernah diminta oleh sebuah syarikat untuk mengendalikan majlis secara protokol kerana kehadiran orang kenamaan (VIP). Sebaliknya, selepas VIP tersebut pulang, mereka meminta saya mengendalikan majlis secara santai dengan melawak atau menyanyi pula. Alhamdulillah, saya boleh mengikut permintaan syarikat tersebut.
Bagaimana kalian membina keserasian dengan pasangan pengacara lain di atas pentas?
ZIZAN: Bagi saya, kalau ikhlas bekerja, perjalanan akan lancar. Saya melihat Faizal Ismail atau FBI seorang yang baik. Dia tidak mengejar glamor dan tiada niat untuk mencaras rakan gandingannya di atas pentas. Saya juga sepertinya. Mungkin disebabkan itu, gandingan kami ini menghasilkan sesuatu yang baik di mata penonton.
NABIL: Kalau bergandingan dengan pengacara lain, saya akan bina keserasian dengan berkawan dengan dia terlebih dulu. Kita juga kena menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap pasangan pengacara kita. Kita kena lihat apa kebolehan yang dimiliki oleh pasangan dan kemudiannya seimbangkan dengan diri kita, barulah keserasian itu dapat dibina.

Panel 2 ZIZAN RAZAK Mohd. Razizan Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Razak merupakan seorang pelawak, pengacara, pelakon dan penyanyi. Merupakan anak bongsu daripada dua beradik, Zizan dikenali selepas dinobatkan sebagai naib juara Raja Lawak musim pertama bersama pasangannya, Johan.


Apakah cabaran bergandingan dengan pasangan?
ZIZAN: Kalau saya dengan Faizal, kami memang dari dunia pekerjaan yang berbeza. Saya pelawak dan dia bekas penyampai radio tetapi Alhamdulillah, perbezaan itu yang menyatukan kami di atas pentas. Penonton menyukainya dan setakat ini kami belum lagi menerima komen negatif.
NABIL: Kalau kita dapat pasangan pengacara yang datang tepat pada masanya dan mahu duduk berbincang bersama sebelum majlis tersebut dijalankan, itu sesuatu yang bagus. Sebaliknya, jika pasangan pengacara kita itu lambat datang dan tidak melakukan 'homework' mengenai majlis yang diacarakannya, ia akan menimbulkan masalah.
Apakah yang paling ditakuti kalian ketika mengacarakan majlis secara langsung?
ZIZAN: Saya paling takut kalau lawak saya tidak menjadi. Contohnya, saya buat lawak tetapi penonton tidak rasa kelakar. Bagaimanapun, saya sentiasa mengikut panduan dan mendengar secara terbuka pandangan orang.
NABIL: Saya takut kalau saya melawak tetapi orang di sekeliling ambil serius. Saya takut gurauan saya itu tidak disukai. Jika ada yang ingin bergurau atau mengenakan saya dengan perkara sama berulang kali, saya tidak kisah. Saya tidak akan melenting di laman sosial. Bukan apa, sebagai artis kita kena hadapi semua perkara itu.
Perkembangan terkini kalian?
ZIZAN: Saya sedang menjalani penggambaran telemovie sambungan Hantu Selfie iaitu Hantu Wefie bersama dengan Emma. Selain itu, saya juga masih dalam Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014).
FAIZAL: Buat masa ini cerita lakonan saya, supertelefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris sedang bersiaran di saluran Astro First Eksklusif (Saluran 480). Selain itu, saya juga mengacarakan program 'Gegar Vaganza' dan masih bertarung secara solo dalam MLM 2014.


Semangat baharu Juliana Evans

Posted: 06 Dec 2014 06:01 PM PST



SETELAH agak lama menyepi dalam dunia lakonan kerana melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media dan Perfileman di Amerika Syarikat (AS), Juliana Sophie Johari Evans kini kembali ke tanah air bagi mengukuhkan portfolio kerjayanya sebagai seorang pelakon, pengacara dan model.
Siapa sangka selama tiga tahun bertungkus-lumus mengabdikan diri sebagai pelajar di Universiti Western Michigan, AS, Juliana atau lebih mesra disapa sebagai Jue memaklumkan, cintanya terhadap bidang lakonan masih didambakan sehingga kini.
Usai menamatkan pengajian di AS, Jue telah mengikuti program jangka pendek selama enam bulan di Akademi Filem New York yang membuatkan adrenalinnya semakin meluap-luap untuk kembali aktif berlakon di Malaysia.
Bertemu pelakon berusia 25 tahun ini, ada keterujaan yang masih membara dalam kotak hatinya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Sepanjang tiga tahun menetap di negara orang, banyak pengalaman berharga yang saya timba. Di samping mengenali diri dengan lebih mendalam, saya juga mencari kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang bergelar sebagai anak seni.
"Saya mahu kehadiran kali ini dilihat lebih matang tatkala bereksperimentasi dalam dunia seni lakonan," kata Jue yang baru dua minggu tiba di Kuala Lumpur.
Tambah anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini, cintanya terhadap bidang lakonan masih belum berkubur. Dia mahu memfokuskan kepada pembinaan semula kerjaya seninya selepas beberapa tahun menyepikan diri.
"Saya mengambil keputusan kembali ke tanah air kerana sepanjang berada di AS, ada banyak tawaran menanti di sini. Rugi sekiranya saya tolak peluang yang sudah terbentang di depan mata.

JUE menghabiskan masa tiga tahun melanjutkan pelajaran dalam bidang perfileman di Michigan, AS.


"Selain itu, saya juga mahu mengasah bakat lakonan supaya menjadi lebih baik. Berbekalkan ilmu yang ditimba, saya yakin mampu melangkah lebih jauh dan memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap watak.
"Lagipun, saya sangat rindu untuk kembali berlakon kerana bidang ini banyak melonjakkan nama saya dalam persada seni. Tambahan pula, kerjaya ini memang jiwa saya dari dahulu lagi," luah wanita berdarah kacukan Melayu-British itu.
Artis naungan
Benarlah kata pepatah Melayu, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah gambaran perjalanan hidup aktres jelita yang memulakan karier dalam industri seni sejak tahun 2001.
Apa tidaknya, kemunculan semula pelakon yang popular menerusi filem remaja, Kami The Movie itu dilamar menjadi artis naungan syarikat pengurusan, Uprising Entertainment.
"Bagi saya, semua yang diterima ini anugerah daripada Yang Maha Esa. Saya bersyukur walaupun sudah tiga tahun tidak melibatkan diri dalam aktiviti seni, namun sehingga kini masih ada yang berminat untuk mengambil saya menjadi artis naungan.
"Uprising Entertainment sudah lama berhajat untuk saya berada di bawah syarikat pengurusannya. Saya percaya dengan pertolongan mereka kemunculan semula saya dalam industri seni akan membantu menaikkan karier saya," ujar Jue.

Mengakui dirinya masih solo, Jue belum berfikir untuk menjalin hubungan cinta dengan manamana lelaki.


Perkembangan Terkini
Menyentuh mengenai perjalanan karier seninya, kepulangan ke negara tercinta sejak dua minggu lalu nyata telah membuahkan hasil. Apa tidaknya, terbaharu wanita yang pernah menjalin hubungan cinta dengan pelawak terkenal, Zizan Razak itu bakal menjalani satu penggambaran filem.
Kata Jue, dia sangat terkejut kerana terdapat produser yang sanggup menunggu kepulangannya dari AS untuk memulakan penggambaran.
"Pada mulanya saya fikir, mungkin orang sudah tidak ingat kepada saya lagi. Bagaimanapun, sangkaan itu meleset apabila sekembalinya di sini, saya menerima beberapa tawaran lakonan.
"Jika tiada aral melintang, pada bulan ini saya bakal menjalani sebuah penggambaran filem berjudul Tujuh Dimensi Alif terbitan Astro Shaw.
Filem tersebut bakal diarahkan oleh Faizal Ishak dan saya bakal digandingkan dengan aktor popular, Izzue Islam.
"Bercakap mengenai pemilihan watak, saya teringin memikul karakter yang lebih berat dan mencabar. Saya mahu menguji kemampuan lakonan saya. Sebagai contoh. menjadi wanita yang berlatarbelakangkan daripada keluarga yang berpecah," kongsi Jue lagi.
Menurut Jue, selain mengintai peluang lakonan dalam industri seni tanah air, dia juga turut meletakkan sasaran untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa.
"Ketika saya berada di AS, saya pernah membintangi dua muzik video. Walaupun watak yang ditawarkan itu kecil, namun saya anggap semua itu sebagai titik permulaan untuk mengintai pasaran antarabangsa.
"Saya percaya, pengalaman serta ilmu saya pelajari sepanjang di AS akan digunakan sebaik-baiknya untuk meluaskan prospek kerjaya seni supaya nama saya terus bertakhta di hati peminat," jelas Jue.
Masih solo
Sebelum mengakhiri sesi temu-bual bersama Jue, penulis sengaja bertanyakan tentang kisah peribadi yang pastinya ramai peminat seni tanah air ingin mengetahui statusnya pada masa ini.
Sebelum ini, anak kelahiran Shah Alam , Selangor itu pernah berpacaran dengan vokalis kumpulan Bunkface, Sam dan naib juara program Raja Lawak musim pertama, Zizan, namun ketika ditebak tentang pertanyaan tersebut, Jue memberitahu, dia masih solo dan belum terfikir untuk menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.
Bagaimanpun, Jue tidak menafikan sepanjang berada di AS dia sering didekati oleh jejaka-jejaka kacak di sana.
"Saya akui ramai mat saleh yang ingin mendekati. Apa tidaknya, mereka seakan tertanya-tanya dari mana saya datang disebabkan wajah saya yang berdarah campuran.
"Sejujurnya saya ada bertemu dengan jejaka yang ingin mendekati hati saya dengan lebih dekat tetapi tidak rasa hubungan tersebut mampu untuk ke fasa seterusnya. Disebabkan itu, saya memilih untuk solo kerana saya mahu lebih fokus kepada pelajaran," jelasnya.


Tiga bulan menganggur – Indah Ruhaila

Posted: 06 Dec 2014 06:00 PM PST




BUKAN mudah untuk terus berada di atas. Semuanya perlu bermula dari bawah. Atas nama usaha dan kesungguhan tanpa mengenal erti putus asa sahaja yang mampu meletakkan seseorang mencapai apa yang dihajati.
Begitu juga dengan apa yang dilalui oleh penyanyi Indah Ruhaila.
Mana tidaknya, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu sebenarnya sudah pernah memiliki album terlebih dulu pada tahun 2009 sebelum menyertai Akademi Fantasia (AF) 2013.
Cuma sayangnya ketika itu rezeki masih tidak berpihak kepadanya lagi.
Atas rasa kecintaan yang tinggi untuk terus menempa nama dalam industri, penyanyi berusia 27 tahun itu kemudian mencuba nasib dengan menyertai program realiti tersebut.
Hari ini, dia mampu menarik nafas lega kerana kesungguhan dan kesabaran yang dipupuk selama ini mula membuahkan hasil.
Bagaimanapun, menurut Indah, apa yang dikecapi sekarang bukan semudah yang disangka.
Katanya, biarpun tahun 2014 boleh dikatakan tahun rezeki buatnya, masih ada kenangan pahit yang terpatri dalam hidupnya.
"Sebenarnya selepas saya keluar daripada AF, saya menganggur selama tiga bulan. Saya tidak ada menerima tawaran untuk membuat persembahan atau undangan nyanyian.
"Ketika itu saya terfikir apalah nasib saya. Memandangkan sebelum ini pun saya pernah menjadi penyanyi, tetapi tidak begitu menyerlah dan selepas keluar daripada AF jadi perkara sama, saya agak terkilan pada mulanya," ujar penyanyi yang popular menerusi lagu Percayalah itu.

INDAH kini lebih memberi keutamaan kepada kerjaya seni daripada memikirkan soal tarikh perkahwinannya.


Segala-galanya kemudian berubah selepas Indah membuat persembahan di majlis Anugerah Bintang Popular.
"Daripada situlah baru ramai yang mengenali diri saya. Jika selama ini orang hanya tahu lagu itu sahaja," katanya.
Mengakui pada masa sama, lagu Percayalah banyak memberi tuah kepadanya, Indah memberitahu, dia bersyukur dengan limpahan rezeki yang diperoleh kini.
"Ramai orang memberikan respons positif pada lagu tersebut. Kekuatan lirik dan melodi yang indah membuatkan lagu itu mudah diterima," katanya yang bakal membawakan lagu tersebut di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-29 yang akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 18 Januari tahun depan.
Ditanya mengenai kisah sisi peribadinya yang bergelar tunangan orang, menurut Indah, buat masa sekarang dia masih belum menetapkan tarikh perkahwinannya.
Katanya, buat masa ini, dia lebih memberikan fokus kepada perkembangan kariernya sebagai penyanyi terlebih dulu.
"Baru setahun kami bertunang. Bukan tak terfikir untuk mempercepatkan ikatan perkahwinan, cuma ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu," ujarnya.
Menurut Indah, dia sudah mengenali tunangannya yang berusia 31 tahun itu sejak empat tahun lalu.
"Saya bersyukur kerana dia seorang yang memahami kerjaya saya. Kami pun jarang berjumpa memandangkan saya tinggal di Kuala Lumpur, manakala dia pula di Johor Bahru," katanya.
Dalam perkembangan lain, menurut Indah, dia kini dalam perancangan untuk menghasilkan single kedua yang dijadual bakal dilancarkan pada awal tahun depan.
"Ada tiga pilihan lagu yang sedang dibuat. Salah satunya akan ada lagu duet bersama kumpulan HyperAct," kongsinya.


EXO catat jualan album tertinggi di Jepun

Posted: 06 Dec 2014 05:57 PM PST


KUMPULAN EXO


BAND yang berasal dari Korea Selatan, EXO mencatat pencapaian luar biasa dalam carta perjualan album K-Pop di Jepun apabila jutaan unit albumnya telah terjual dan mendahului jualan tahun ini.
Album Overdose yang dilancarkan pada Mei lalu itu merupakan yang paling laris jualannya di Jepun dan jumlah itu terus meningkat hingga bulan lalu.
Sementara itu, anggota kumpulan 2PM, Junho berada di tempat kedua menerusi album solonya berjudul Feel, sementara tempat ketiga pula milik album Girl's Generation, The Best.
Secara keseluruhan, syarikat jualan album, Tower Records memaklumkan, pihaknya telah mendaftarkan 20 album terlaris K-pop. Selain tiga kumpulan yang mencatatkan jualan album tertinggi terdapat juga kumpulan Korea Selatan yang mengungguli carta tersebut. Antaranya ialah SHINee, Super Junior, VIXX, dan CN Blue.


Bayi ditinggal depan pintu rumah

Posted: 06 Dec 2014 05:56 PM PST



INILAh bayi perempuan yang ditinggalkan di hadapan pintu sebuah rumah di Rumah Pangsa Bukit Tinggi, Klang, Selangor semalam.


SHAH ALAM – Seorang wanita warga Indonesia terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan ditinggalkan di hadapan pintu rumahnya di Rumah Pangsa Bukit Tinggi, Klang dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, bayi itu ditemui dalam kea­daan berbalut dengan kain selimut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Goh Lee Fook berkata, wanita tersebut kemudian membawa bayi berkenaan masuk ke dalam rumahnya sebelum bertindak menghubungi pihak polis.
"Siasatan awal kita dapati bayi tersebut cukup sifat dan tidak mempunyai sebarang kecederaan. Bagaimanapun kita tidak pasti bangsa bayi perempuan itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Tiga ekor buaya ancam penduduk ditangkap

Posted: 06 Dec 2014 05:53 PM PST



Salah seorang penduduk Kampung Maranek, Kota Samarahan, Sabah duduk di atas buaya sepanjang empat meter yang berjaya ditangkap kelmarin.


KOTA SAMARAHAN – Tiga ekor buaya sepanjang dua hingga empat meter berjaya ditangkap Jabatan Perhutanan, Bahagian Perhilitan negeri di Sungai Kampung Maranek di sini kelmarin.
Kesemua buaya berkenaan ditangkap ekoran kebimbangan kira-kira 1,000 penduduk kampung berkenaan berhubung populasi buaya yang semakin bertambah di situ yang dilaporkan melebihi ratusan ekor selain tragedi seorang kanak-kanak berusia lapan tahun maut dibaham buaya di sungai itu September lalu.


Lelaki tergemuk di dunia mati

Posted: 06 Dec 2014 05:51 PM PST



INDIVIDU tergemuk di dunia, Keith Martin disahkan meninggal dunia akibat mengalami masalah penyakit radang paru-paru. 


LONDON – Seorang lelaki di sini yang merupakan individu tergemuk di dunia di sahkan oleh pihak hospital mati ketika berusia 44 tahun kelmarin.
Lelaki tersebut, Keith Martin yang mempunyai berat badan 444 kilogram (kg) pada tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan di bahagian usus bagi mengurangkan tabiat makan berlebihan.
Dia sebelum ini mengambil lebih 20,000 kalori setiap hari termasuk makan enam biji telur goreng bersertakan piza dan kebab pada waktu pagi serta mengamalkan pengambilan makanan segera selain minum minuman bergas sehingga dua liter.
Martin meninggal dunia selepas dua minggu menghidap radang paru-paru.
Menurut seorang doktor di Hospital Homerton yang membedahnya, Dr. Kesava Mannur, lelaki itu kemungkinan mampu hidup lebih lama jika dia boleh menurunkan berat badan sebanyak 45kg dan kembali melakukan aktiviti harian.
"Dalam kes ini, Martin telah berjaya menjalani pembedahan usus walaupun keadaannya saiz badannya yang berisiko tinggi," jelasnya.
Masalah kegemukan menyebabkan Martin 'terperangkap' di dalam kediamannya sendiri selama lebih 10 tahun selain dibantu oleh dua kakaknya Sharon dan Tina.
Dia pernah me–nyalahkan kematian ibunya ketika berusia 16 tahun sebagai punca masalah kesihatannya terganggu termasuk berasa tertekan dan kemurungan dengan masalah itu
"Martin seperti orang lain juga mempunyai masalah emosi, tetapi dia telah menjadikan makanan untuk berasa lebih selesa," kata Mannur.


Lupa gayat kerana minat

Posted: 06 Dec 2014 05:49 PM PST


FAKTOR cuaca menjadi cabaran kepada mereka yang menjalankan pekerjaan mencuci bangunan tinggi.


BERULANG kali kru Jurnal mendengar pemilik Crystal D' Anne Enterprise, Aszemi Arip, 47, memberikan peringatan berkenaan langkah keselamatan kepada pekerjanya yang ditugaskan untuk mencuci bangunan tinggi.
Peringatan itu diberi bagi memastikan setiap pekerjanya mengikuti arahan dalam melaksanakan kerja-kerja mencuci bangunan tinggi dengan hanya menggunakan tali.
Aszemi yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang itu memberitahu, dia sangat tegas dalam melaksanakan tugas mencuci bangunan tinggi yang diberikan kepada setiap pekerjanya kerana jika tersilap percaturan, ia boleh membawa ajal.
"Idea untuk menjalankan perniagaan jenis ini diperoleh selepas saya merasakan sudah puas bekerja. Saya pernah bekerja sebagai tukang sapu sehinggalah menjadi pengawal peribadi tetapi itu semua tidak memberikan kepuasan kepada saya.
"Saya merupakan seorang individu yang menggemari aktiviti-aktiviti lasak dan kerana itu, saya tercari-cari pekerjaan yang betul-betul dapat memenuhi kehendak serta minat saya.
"Ketika saya berusia 20-an, saya menjadi sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kerana tidak berpeluang untuk menjadi tentera. Dari situlah, saya mendapat pendedahan berkenaan kemahiran menggunakan tali dan timbul minat terhadap pekerjaan berisiko tinggi menggunakan tali," jelasnya yang berpangkat Sarjan dan merupakan jurulatih tali tinggi di JPAM.

TEKNIK mencuci bangunan tinggi biasanya dimulakan pada bahagian atas terlebih dulu.


Gayat
Aszemi yang pernah gagal dalam perniagaan memberitahu, untuk menjadi seorang pencuci bangunan pencakar langit, minat dan keberanian perlu ada dalam diri seseorang.
"Saya merupakan seorang yang gayat tetapi disebabkan minat, saya gemar mencabar diri dengan melakukan pekerjaan yang lain daripada lain selain gemar melakukan aktiviti-aktiviti lasak.
"Boleh dikatakan, saya menjadi gian untuk memanjat bangunan tinggi sejak mula membabitkan diri dalam bidang yang dahulunya banyak didominasi oleh kaum Cina.
"Jika dilihat, saya lebih gemar menggunakan khidmat daripada sukarelawan JPAM bagi membantu saya melakukan kerja-kerja mencuci kerana mereka sudah mempunyai asas dan sijil dalam melakukan kerja-kerja berkaitan penggunaan tali.
"Penggunaan tali atau rope access ini mampu melaksanakan tugas yang tidak dapat disempurnakan dengan penggunaan kren, gondola atau skylift bagi membersihkan bangunan tinggi," ujarnya yang mempunyai lesen kerja di tempat tinggi.
Jelas Aszemi, seramai tiga hingga lima orang sahaja yang akan berpaut pada tali bagi menjalankan kerja-kerja mencuci manakala ada juga yang akan memantau di bahagian atas dan bawah bangunan.
"Pada kebiasaannya, sebelum kami melakukan kerja-kerja mencuci bangunan tinggi, saya sendiri akan meninjau lokasi bangunan yang bakal dicuci. Malah, saya juga akan memastikan peralatan yang digunakan ketika proses mencuci seperti topi keselamatan, tali dada keselamatan, stopper knot (tali simpul sebagai penahan), carabiner (cangkuk khas), walkie talkie dan bosun chair (kerusi khas diikat pada tali untuk duduk) serta tali berada dalam keadaan selamat dan baik sebelum mengarahkan pekerja untuk mencuci bangunan tersebut.
"Tidak terkecuali juga kelengkapan mencuci seperti batang mop, bahan pencuci dan baldi yang digantung di bahagian pinggang menggunakan carabiner.
"Pekerja akan diajar terlebih dulu berkenaan fungsi peralatan yang digunakan, teknik mencuci dan teknik untuk menggunakan tali. Selain itu, saya juga akan memberi taklimat ringkas kepada pekerja-pekerja yang akan melakukan kerja-kerja mencuci.
"Pekerja akan dibahagikan kepada beberapa bahagian sepanjang kerja-kerja mencuci dilakukan dan mereka diletakkan pada jarak yang tidak terlalu berjauhan," ujarnya sambil memberitahu, proses mencuci sebuah bangunan tinggi memakan masa selama 10 hingga 30 hari bergantung kepada ketinggian dan berapa lama bangunan tersebut tidak dicuci.
Tambahnya, setakat ini, bangunan yang paling mencabar untuk dicuci ialah Muzium Negara kerana bahagian anjungnya yang mendatar dan sukar didaki.
"Kadar bayaran pula ditentukan melalui tahap kekotoran, ketinggian dan kerumitan proses mencuci dilakukan dengan lingkungan harga RM15,000 hingga RM95,000," ujarnya yang kini dalam proses mencuci bangunan CP Tower di Petaling Jaya setinggi 22 tingkat.

ASZEMI (tengah) bersama sebahagian pekerja yang membantunya mengendalikan kerja-kerja mencuci bangunan.


Tali statik
Jelasnya, komunikasi sangat penting dalam melakukan pekerjaan itu dan pekerja perlu patuh pada arahan yang diberikan oleh ketua bagi mengelakkan berlaku kemalangan.
"Faktor-faktor seperti ingkar arahan, cuai, peralatan tidak diselenggara dengan baik selain ego menjadi punca berlakunya kemalangan ketika proses mencuci tingkap bangunan tinggi dilakukan.
"Disebabkan itu, saya sangat mementingkan keselamatan kerana pekerjaan ini membabitkan nyawa, malah saya sendiri pernah berdepan situasi terjatuh dari tingkat dua akibat kecuaian ketika mencuci sebuah bangunan setinggi 18 tingkat sehingga menyebabkan buku lali saya retak," jelasnya sambil memberitahu, pihaknya memperuntukkan tiga hingga lima projek mencuci bangunan tinggi dalam setahun.
Aszemi memberitahu, kerja-kerja mencuci itu dilakukan dengan menggunakan tali jenis statik berukuran 11 milimeter (mm) yang boleh menampung berat sehingga 3,500 kilogram.
"Tali jenis ini lebih sesuai digunakan berbanding tali jenis dinamik yang digunakan untuk tujuan rekreasi kerana ia boleh menganjal dan semakin mengecil sekiranya mempunyai beban yang ditarik tetapi itu tidak berlaku kepada tali jenis statik.
"Setiap pekerja akan dilengkapi dengan dua tali iaitu tali utama dan tali keselamatan sepanjang 200 meter. Saya sendiri akan menyelenggara tali tersebut sebelum dan selepas digunakan.
"Tali boleh digunakan untuk tempoh masa yang lama bergantung kepada cara penjagaannya selain tidak dicampuradukkan bersama peralatan lain," tambahnya sambil menyatakan, pihaknya memperuntukkan kos peralatan sebanyak RM22,000 untuk setiap seorang pekerja.


Senaman dengan leher tergantung

Posted: 06 Dec 2014 05:48 PM PST



LIANGBIN mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menguasai senaman pelik ini.


SEORANG guru seni mempertahankan diri kung fu menunjukkan kemampuannya melakukan beberapa gerakan senaman dalam keadaan lehernya digantung pada sebatang pokok.
Guru kung fu tersebut, Li Liangbin yang berasal dari kampung Lizhuang di wilayah Shandong, Beijing, China mendakwa, dia mampu melakukan senaman dengan gaya berbahaya tersebut kerana mempunyai otot leher yang kuat.
Lebih menarik, lelaki hebat berusia 49 tahun itu juga boleh mengawal pernafasannya seperti biasa tanpa rasa tercekik ketika lehernya tergantung.
Rasa bebas
Jelas Liangbin, walaupun lehernya diikat dengan tali dan digantung pada sebatang pokok tetapi otot lehernya yang kuat membolehkan dia bernafas seperti biasa.
"Saya berlatih kung fu sejak kecil lagi dan kemahiran tersebut membantu saya untuk menguatkan mana-mana bahagian tubuh yang diingini.
"Untuk menguatkan otot leher ini, saya perlu menjalani rutin latihan secara berdisiplin dengan melakukan pelbagai bentuk senaman dan meditasi," katanya seperti dipetik portal Mirror.
Menurutnya, melakukan senaman dalam keadaan leher tergantung itu memberikannya kekuatan dan perasaan bebas.
"Biarpun sudah menguasai seni mempertahankan diri ini, saya mahu mencabar kemampuan diri dengan pelbagai cabaran baharu bagi mendisiplinkan tubuh," ujarnya sambil memberitahu, senaman itu boleh membawa maut sekiranya dilakukan dengan teknik yang salah.
Berbicara lanjut, Liangbin memberitahu, dia mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menguasai senaman pelik itu.
"Kung fu merupakan sebahagian daripada hidup saya dan adalah sangat penting untuk melakukan sesuatu cabaran baharu.
"Jika dilihat, ramai guru kung fu yang boleh memecahkan blok konkrit dengan tangan mereka atau melompat daripada bangunan yang tinggi. Namun, buat masa ini, masih belum ada lagi yang boleh melakukan senaman dengan leher tergantung. Ia sesuatu yang baharu dan mencabar," katanya.


Belajar curi motosikal daripada rakan

Posted: 06 Dec 2014 05:48 PM PST


AZEEM melupuskan rangka motosikal yang dicurinya ke dalam sebuah tasik berdekatan rumah. – Gambar hiasan


Walaupun pernah terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal seawal usia 13 tahun, itu tidak dijadikan penghalang buat diri seorang remaja lelaki yang berada di hadapan kru Jurnal ketika pertemuan di Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka itu untuk berubah.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Azeem memberitahu, akibat mahu mendapatkan wang dengan cara mudah menyebabkan dia terjerat ke dalam kancah jenayah terbabit.
Memulakan bicara, Azeem berkata, dia mula mempelajari teknik mencuri motosikal daripada seorang rakan yang sudah mahir melakukan kegiatan tersebut.
"Saya pernah terlibat di dalam jenayah curi motosikal, pecah rumah dan menghisap dadah, malah kesemua jenayah yang dilakukan itu merupakan kemahuan dan kehendak diri sendiri selepas melihat seorang rakan hidup mewah hasil mencuri motosikal.
"Sejak berada di alam sekolah rendah lagi, saya sememangnya seorang pelajar yang mempunyai masalah disiplin selain kerap terlibat dengan pergaduhan dan ponteng kelas.
"Keadaan itu berlanjutan sehingga saya memasuki alam sekolah menengah. Bayangkan, se­­jak berusia 13 tahun lagi, saya sudah berjinak-jinak di dalam jenayah mencuri motosikal sehinggakan adakalanya saya kerap ponteng sekolah tanpa penge­tahuan keluarga hanya untuk mengikut rakan melakukan aktiviti jenayah terbabit," jelasnya yang berasal dari utara tanah air.
Wang haram
Tambahnya, dia mempelajari teknik untuk mencuri motosikal daripada seorang rakan hanya menggunakan spanar untuk menanggalkan nat pada motosikal selain menggunakan sebuah alat lain yang boleh diperoleh dengan mudah di kedai perkakasan.
"Bermula dengan mencuri sebuah motosikal, saya menjadi ketagih untuk mencuri motosikal lain. Lokasi sasaran saya ialah di sekitar kawasan perumahan dan pusat beli-belah. Pada permulaan, saya akan menggunakan motosikal yang dicuri untuk kegu­naan sendiri selepas menukar nombor plat motosikal terbabit. Setelah beberapa minggu, dia menjualnya di pasaran gelap pada lingkungan harga RM400 hingga RM1,800 mengikut warna, enjin dan jarak perjalanan motosikal yang dicuri.

UJAR Azeem, kesemua kegiatan jenayah yang dilakukannya merupakan kehendak dan kemahuannya sendiri tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.


"Lama-kelamaan, saya mampu membeli motosikal sendiri menggunakan wang haram terbabit ketika berusia 14 tahun sehinggakan ibu dan bapa juga tertanya-tanya di mana saya memperoleh wang untuk membeli motosikal sendiri.
"Pada permulaan, saya menipu ibu dengan memberitahu motosikal itu milik seorang rakan yang berpindah ke Kuala Lumpur dan mereka mempercayainya. Melihatkan gelagat saya yang gemar bertukar motosikal menyebabkan keluarga mula mengesyaki sesuatu tetapi teguran demi teguran tidak saya endahkan kerana saya merupakan seorang yang degil selain keras kepala," katanya yang turut melakukan kegiatan pecah rumah dan terlibat dalam penagihan dadah pada usia 17 tahun.
Ujar anak kedua daripada lima orang adik-beradik ini, dia juga semakin berani meleraikan komponen-komponen motosikal untuk dijual tetapi rangkanya akan dibuang ke dalam sebuah tasik berdekatan rumahnya.
Cuci tangan
Azeem berkata, dia hanya akan melakukan kegiatan mencuri motosikal itu sekiranya mendapat permintaan daripada pe­langgan dan dia pernah mencuri tiga buah motosikal dalam sehari.
"Kegiatan jenayah ini tetap diteruskan walaupun saya dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur ketika saya menuntut di tingkatan empat.
"Saya juga pernah dibuang dari sekolah ketika berada di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta bagi mengelakkan tindakan saya dihidu keluarga yang menyangka saya masih bersekolah.
"Pada penghujung tahun 2010, kami sekeluarga berpindah semu­la ke rumah lama di utara tanah air tetapi keadaan tetap sama, malah sikap saya juga tidak pernah berubah dan masih meneruskan aktiviti mencuri motosikal dan pecah rumah sehingga berusia 18 tahun sebelum menyambung pelajaran ke sebuah kolej swasta.
"Walaupun begitu, saya bersyukur kerana memperoleh keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan keluarga meminta saya menyambung pengajian. Ketika itu, saya berazam untuk cuci tangan daripada melakukan aktiviti-aktiviti itu tetapi belum sempat azam saya itu dilaksanakan, saya ditahan polis ketika berada di rumah beserta bahan bukti," jelasnya sambil memberitahu, sebelum ini dia pernah ditahan polis sebanyak lima kali tetapi dibebaskan kerana tiada bukti yang mengaitkannya.
Tambahnya, pihak polis menjumpai bahan bukti komponen motosikal yang dileraikan seperti enjin dan rim di rumahnya ketika dia ditahan.
"Saya dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun disebabkan mencuri, memiliki dan melupuskan komponen motosikal pada tahun 2012 sebelum dihantar ke sekolah pemulihan ini. Sepanjang dua tahun berada di sini, saya benar-benar menyesal kerana mensia-siakan zaman remaja.
"Walaupun begitu, saya tetap mempu­nyai azam untuk berubah dan mahu melanjutkan pelajaran ke menara gading apabila dibebaskan kelak dan bercita-cita untuk terlibat dalam pasukan unit beruniform," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved