ads

Jumaat, 5 Disember 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Raja Ilya Lalui Pengalaman Seram Di Indonesia

Posted: 05 Dec 2014 07:39 PM PST


Raja Ilya cerita pengalaman diganggu makhluk halus ketika penggambaran
PETALING JAYA: Pelakon Raja Ilya mendedahkan diganggu makhluk halus ketika penggambaran filem seram berjudul Jelmaan yang dilakukan di Yogjakarta, Indonesia awal November lalu.

Raja Ilya, 29, berkata, makhluk halus tersebut mengganggunya ketika dia sedang berehat di bilik hotel sehingga menyebabkan dia meracau dan tidak boleh melelapkan mata kerana ketakutan.

"Kami menjalani penggambaran selama sepuluh hari di tempat-tempat yang memang dikenali sebagai berhantu seperti di Borobudur, Candi Prambanan, Parangtritis dan Gunung Merapi.

Ketika dua hari terakhir iaitu di Gunung Merapi ibu jari kaki saya kebas dan ketika di hotel saya meracau-racau dan menangis kerana ketakutan," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, situasi tersebut dikawal oleh seorang pengamal perubatan tradisional yang disediakan khas untuk menjaga kru produksi sepanjang pengambaran berlangsung.

Tambah Raja Ilya, perkara yang sama terjadi sekali lagi ketika dia diminta melakukan adegan dirasuk di sebuah bangunan lama peninggalan penjajah Belanda.

"Hari terakhir penggambaran saya diminta melakukan adegan seperti dirasuk ketika itu pula berada dalam bangunan lama tempan rakyat Indonesia dibunuh oleh penjajah.

"Suasana bangunan itu memang seram, selepas saya selesai adegan itu, seluruh anggota badan saya menggigil tidak boleh berhenti. Saya terus berlari meminta bantuan," ujarnya.

Ia merupakan pengalaman pertamanya diganggu makhluk halus ketika menjalani penggambaran.

Filem yang akan disiarkan di Astro First Eksklusif itu dibintangi oleh Keith Foo, Mia Sara dan Rayqal Iskandar.

Betty Banafe Puas Lihat Anak Membesar Depan Mata

Posted: 05 Dec 2014 07:38 PM PST


Betty puas dapat membesarkan anaknya Julia biarpun terpaksa memperlahankan karier seninya.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Betty Banafe tidak melihat tindakannya memperlahankan karier seninya sejak melahirkan puteri sulungnya, Julia Claire Dargus setahun lalu sebagai sesuatu merugikan.
Betty sebaliknya berkata, sepanjang tempoh itu dia puas dapat melihat tumbesaran Julia dihadapan matanya dan meletakkan soal karier di tangga kedua.
"Tidak dinafikan banyak tawaran yang terpaksa saya tolak sepanjang tempoh itu namun ia berbaloi kerana Julia membesar dihadapan mata saya.
"Kebanyakkan masa saya adalah bersamanya dan saya cukup puas dapat membesarkan sendiri Julia," katanya kepada mStar Online.
Betty ditemui pada majlis sambutan hari jadi pertama Julia yang diadakan di Restoran Hadramawt The Curve di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Betty berkata, faktor Julia masih menyusu badan turut menjadi penyebab dia tidak boleh berenggang dengan anak kesayangannya itu.
Jelas Julia, buat masa ini dia masih belum berhasrat untuk berhenti menyusukan Julia dan menggantikan dengan susu formula kerana susu ibu memberi kesan luar biasa kepada perkembangan anaknya.
"Banyak kebaikan susu ibu yang membuatkan saya tidak terfikir untuk menggantikan dengan susu formula.
"Malah saya tidak fikir Julia menyukainya kerana dia sudah biasa menyusu badan," jelasnya.
Sementara itu, Betty sempat membuat pelancaran jenama fesyen kanak-kanaknya pada petang itu yang diberi nama Julia Betty.
Jelas Betty, jenama itu mengkhususkan kepada pengeluaran pakaian kanak-kanak khususnya perempuan yang direka khas olehnya bersama kolaborasi dengan pereka fesyen muda iaitu pereka fesyen, Amaleena Yusoff dan Adam Muzaini Schneider.
"Pakaian yang dikeluarkan adalah untuk bayi berumur setahun sehingga kanak-kanak empat tahun.
"Menerusi projek ini juga saya berkolaborasi dengan pereka muda dalam mengetengahkan bakat mereka sebagai pereka fesyen dengan idea-idea terkini," katanya.
Peminat yang ingin mendapatkan koleksi daripada Julia Betty boleh mengikuti akaun @juliabettybanafe di Instagram.

Shahriza Mahmud Hampir Putus Asa Teruskan Karier Lakonan

Posted: 05 Dec 2014 07:36 PM PST


Shahriza rindukan dunia lakonan namun rezeki tidak memihak kepadanya.
PETALING JAYA: Dramatis Shahriza Mahmud hampir berputus asa untuk meneruskan kariernya sebagai pelakon selepas hampir 15 tahun tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.
Shahriza, 48, berkata, speanjang tempoh itu dia pelbagai perkara telah dilakukannya termasuk menghadiri sesi uji bakat dan bertemu dengan penerbit namun usahanya itu sia-sia.
"Hanya Allah yang tahu betapa tebalnya muka saya apabila sampai terpaksa merayu untuk mendapatkan watak dalam sesuatu projek drama atau drama bersiri tetapi semuanya tidak mendatangkan sebarang hasil.
"Oleh sebab itu juga saya pernah berputus asa untuk meneruskan karier dalam lakonan kerana merasakan rezeki saya bukan lagi dalam bidang tersebut," katanya kepada mStar Online.
Shahriza ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri lakonannya berjudul #Antidot di Sri Pentas Bandar utama pada Isnin lalu.
Selain Shahriza, drama bersiri arahan Kabir Bhatia itu turut menampilkan pelakon seperti Kamal Adli, Remy Ishak, Nad Zainal dan Nabila Huda.
Ia bakal disiarkan bermula 9 Disember ini pada setiap hari Selasa pada pukul 10 malam di TV3.

Shahriza harap akan menerima lebih banyak peluang selepas kemunculannya dalam #Antidot.

Dalam pada itu, Shahriza berkata, dia sukar melafazkan kata apabila namanya terpilih untuk berlakon dalam drama bersiri tersebut dan memberitahu doanya dimakbulkan oleh Allah.

Jelas Shahriza, perasaan rindu untuk berlakon dalam drama bersiri sudah lama dipendam namun ekoran rezeki tidak memihak kepadanya dia terpaksa mengalah.

"Alhamdulillah doa saya selama ini akhirnya dimakbulkan Allah dan perasaan teruja itu sukar digambarkan apabila dapat kembali berlakon dalam drama bersiri selepas sekian lama.

"Kali terakhir saya muncul dalam drama bersiri untuk siaran TV3 adalah kira-kira 20 tahun lalu dan sudah tentu saya teruja," jelasnya.

Sementara itu, Shahriza berkata, dia berharap kemunculannya dalam #Antidot akan membuka lebih banyak ruang kepadanya selepas ini untuk bergiat lebih aktif sebagai pelakon.

Malah kata Shahriza, peluang berlakon dibawah arahan Kabir adalah satu penghormatan kepadanya dan menyifatkan lelaki itu sebagai berkaliber dan profesional ketika di set penggambaran.

"Insya Allah harap-harap selepas #Antidot ditayangkan peluang saya untuk terus aktif sebagai pelakon kembali sinar kerana perasaan rindu untuk berlakon itu menebal sangat.

"Peluang diberikan TV3 dan Kabir memang saya gunakan sebaik-baiknya dan berharap kemunculan saya dalam drama tersebut diterima baik oleh penonton," katanya.

Pelakon itu sebelum ini pernah popular menerusi drama bersiri Pendekar dan Memori Berarak Jingga menerusi slot Spektra yang pernah disiarkan di TV2.

Rise Of The Legend sarat aksi

Posted: 05 Dec 2014 07:32 PM PST


  • Rise Of The Legend sarat aksi

NAMA Wong Fei Hung sememangnya cukup dikenali di China. Apatah lagi, semasa hayatnya beliau merupakan seorang tokoh lagenda seni mempertahan diri terkenal di sana.

Kini tokoh itu difilemkan dan divisualkan menerusi filem Rise Of The Legend arahan Roy Chow Hin-Yeung.

Filem ini juga menjadikan filem ke-90 yang mengangkat Fei Hung sebagai kisah utamanya.

Diterajui oleh Eddie Peng yang membawakan watak lagenda itu, Rise Of The Legend adalah sebuah filem aksi memfokuskan kehidupan Wong ketika muda dalam mengecapi cita-citanya.

Selain Eddie filem ini juga menampilkan Wong Cho-lam, Sammo Hung, Tony Leung Ka Fai, Angelababy dan sudah ditayangkan semenjak 27 November lalu.

Pada zaman Dinasti Qing, kumpulan kongsi gelap The Black Tiger geng secara aktif menjalankan kegiatan penyeludupan manusia di pelabuhan Guangzhou Pearl River.

Wong Fei Hung menganggap kegiatan itu satu jenayah kejam yang tidak boleh dimaafkan. Dengan bantuan beberapa rakan Fei Hung, mereka merancang untuk membuat serangan hendap terhadap kumpulan itu dan menyelamatkan mangsa.

Mereka berharap bantuan itu membolehkan penduduk tempatan memiliki masa depan lebih baik. Itulah permulaan kepada Fei Hung untuk menaikkan namanya sehingga menjadi legenda.

Begitulah antara sebahagian jalan cerita filem Rise Of The Legend ini.

Bukan itu sahaja, filem yang melihatkan Sammo Hung sebagai penerbit ini juga memasukkan perjalanan kehidupan Fei Hung sebelum dikenali.

Biarpun ada yang ditokok tambah, namun secara keseluruhannya ia adalah sebuah filem yang cukup menarik.

Apatah lagi, filem yang sarat dengan aksi pertarungan ini akan membuatkan anda tidak senang duduk melihat Eddie Peng selaku Fei Hung mengalahkan musuh-musuhnya.

Biarpun tampak klise bagi sebuah filem aksi Hong Kong dengan babak pertarungan yang tidak pernah melihatkan heronya kalah, namun secara keseluruhannya ia tidak menjengkelkan dan seronok untuk ditonton.

Dengan gerak kerja kamera yang cukup cantik, dan beberapa faktor teknikal lain menjadikan setiap babak pertarungan tanpa hidup dan mendebarkan.

Ditambah pula dengan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) yang membantu mencantikkan lagi aksi pertarungan dan beberapa babak di dalam filem itu secara keseluruhannya.

Selain itu, jalan cerita filem ini juga mudah difahami membuatkan anda tidak perlu pening untuk memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya dan seterusnya.

Sebaliknya anda hanya perlu duduk dan menikmati keseluruhan jalan cerita filem ini tanpa memeningkan kepala.

 Eddie berjaya

Bukan sahaja babak pertarungan yang hebat, lakonan Eddie juga begitu bersahaja menjadikan watak Fei Hung itu berjaya disampaikan dengan baik.

Dia berjaya menghayati emosi dan pendirian Fei Hung dalam menegakkan keadilan dan paling penting, usahanya menjalani latihan seni mempertahankan diri tampak berhasil.

Segala gerak langkahnya tidak sedikit pun tampak sumbang dan secara keseluruhannya watak Fei Hung tampak hidup hasil lakonannya.

Bagaimanapun pada pandangan penulis, kelibat pelakon tambahan yang agak ramai sedikit memeningkan, namun ada berpendapat ia adalah perkara lumrah dalam filem aksi Hong Kong.

Justeru bagi anda yang belum menonton filem yang berada di dalam top 10 filem terlaris minggu ini, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan anda.

Nasib pelarian Syria tidak terbela

Posted: 05 Dec 2014 07:31 PM PST


  • Lebih 1.1 juta pelarian Syria kini mendapatkan perlindungan di kem penempatan sementara di Lubnan. Foto: AFPLebih 1.1 juta pelarian Syria kini mendapatkan perlindungan di kem penempatan sementara di Lubnan. 

LONDON - UNITED KINGDOM. Badan hak asasi manusia, Amnesty International menyelar masyarakat antarabangsa kerana didakwa gagal untuk melindungi jutaan pelarian Syria.

Susulan daripada itu, Ketua Hak Pelarian dan Migran, Sherif Elsayed-Ali menggesa semua pihak supaya menyediakan lebih banyak penempatan semula kepada golongan tersebut yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berlarutan di Syria sejak lebih tiga tahun lalu.

"Kekurangan jumlah penempatan semula yang ditawarkan negara antarabangsa adalah benar-benar mengejutkan. Ketika ini, hampir 380,000 pelarian memerlukan tempat perlindungan, namun nasib kebanyakan daripada mereka masih tidak terbela sehingga kini.

"Kegagalan negara 'kaya' untuk meringankan beban kumpulan pelarian itu telah meletakkan tekanan yang besar kepada negara jiran Syria," jelasnya dipetik Press TV.

Bagi mengatasi masalah itu, Amnesty bertindak mengumumkan pelan penempatan semula melibatkan 5 peratus pelarian Syria menjelang akhir 2015.

Awal minggu lalu, Program Makanan Dunia turut mengumumkan bahawa mereka terpaksa menggantung bantuan makanan kepada 1.7 juta pelarian kerana berdepan krisis pembiayaan berikutan tidak mendapat bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

Menurut laporan statistik, kira-kira 3.8 juta pelarian Syria kini mendapatkan perlindungan di Turki, Lubnan, Iraq, Jordan dan Mesir manakala hanya 1.7 peratus daripada mereka ditawarkan tempat perlindungan di negara lain.

Nenek ditangkap jual daun ketum 53 kilogram

Posted: 05 Dec 2014 07:29 PM PST


  • Sejumlah sembilan bungkus daun ketum seberat 53 kg dirampas dalam serbuan tersebut, kelmarin.Sejumlah sembilan bungkus daun ketum seberat 53 kg dirampas dalam serbuan tersebut, kelmarin.

JITRA - Kegiatan menjual daun ketum dipercayai didalangi seorang wanita warga emas berusia 65 tahun dan anak saudaranya kira-kira enam bulan lalu terbongkar selepas mereka ditahan polis, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi di belakang sebuah rumah di Kampung Pida 6 Baru, Kodiang, dekat sini, dua suspek ditahan bersama sembilan bungkusan daun ketum seberat 53 kilogram (kg) bernilai RM954.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, hasil maklumat orang awam, pihaknya melakukan siasatan seterusnya menyerbu rumah suspek.

"Kita merampas daun ketum dan menahan seorang wanita warga emas dan anak saudara perempuannya berusia 29 tahun kerana disyaki terlibat menjual daun ketum tersebut," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya daun ketum itu adalah untuk dijual kepada pihak lain yang akan memprosesnya menjadi air ketum.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari bermula kelmarin dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dipenjara maksimum empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Lokasi yang sama juga pernah diserbu kira-kira enam bulan lalu dan kita turut menahan seorang wanita berusia lingkungan 30-an," katanya.

Gadis kena toreh sedia buat rawatan luar negara

Posted: 05 Dec 2014 07:28 PM PST


  • Wajah Eqa selepaskejadian.Gambar kecil: Wajah Eqa sebelum kejadian.Wajah Eqa selepaskejadian.Gambar kecil: Wajah Eqa sebelum kejadian.

PASIR PUTEH - Gadis mangsa samun dan toreh di bahagian muka, Nur Shafiqa Lah, 22, bersedia menimbang mendapatkan rawatan di luar negara sekiranya ada mana-mana pihak yang sanggup menajanya.
  
Beliau berkata, sehingga ini tiada mana-mana pihak yang menawar pembiayaan itu selepas kejadian yang berlaku terhadapnya pada Ahad lepas.
  
"Bagaimanapun saya akan berunding dengan keluarga terlebih dahulu sebelum menerima tawaran jika ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Aman 3 di sini hari ini semasa kunjungan rombongan Wanita Umno Kelantan yang diketuai ketuanya, Datin Rahimah Muhammad.
   
Pada kejadian itu beliau mengalami kecederaan pada bawah mata sebelah kanan dan luka kesan ditoreh pada pipi sebelah kiri oleh dua lelaki bertopi keledar yang menceroboh rumahnya dan turut mencederakan ibunya, Hat Tema Mat Zin, 58.
  
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Krian untuk rawatan lanjut.
  
Nur Shafiqa berkata, pada masa ini beliau merasa kesihatannya semakin pulih hanya sekali sekala merasa trauma dengan kejadian itu terutama apabila melihat lelaki yang memakai topi keledar.
  
"Pihak HUSM memberi jaminan kesihatan saya akan pulih dalam tempoh enam bulan lagi," katanya.
  
Sementara itu, Rahimah ketika bercakap kepada pemberita selepas itu berkata, pihaknya bersedia membantu dan menaja perbelanjaan termasuk kos perubatan Nur Shafiqa ke luar negara sekiranya keadaan memerlukan bagi memulihkan kesihatannya seperti sediakala.
  
"Saya akan kemukakan masalah yang dihadapi oleh Nur Shafiqa ke pihak atasan untuk mendapatkan dana bagi tujuan itu," katanya.
  
Bagaimanapun, beliau yakin pihak USM mampu memulihkan kesihatan remaja itu memandangkan keadaannya kini semakin pulih dan mula bercakap dengan sesiapa yang mengunjunginya.

Tubuh mengecil hanya tinggal tulang

Posted: 05 Dec 2014 07:25 PM PST


  • Laili Hanim (kiri) menerima kunjungan Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim (tiga, kiri) dan ahli Segamat Fans Club ke rumahnya.Laili Hanim (kiri) menerima kunjungan Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim (tiga, kiri) dan ahli Segamat Fans Club ke rumahnya.

SEGAMAT – Ketika remaja seusia mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, pasangan adik beradik di Kampung Paya Lang 2, di sini, terlantar menderita penyakit saraf.

Laili Hanim Md Yatim, 46, berkata, anak kedua dan kelimanya, Mohd Azrin Faqim, 22, dan Mohd Hamka, 19, mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri.

"Sebelum menghidap penyakit ini, kedua-duanya menjalani kehidupan sama seperti kanak-kanak lain.

"Segalanya berubah sekelip mata apabila Faqim dan Hamka dikesan menghidap penyakit saraf semakin mengecut (duchenne muscular dystrophy)," katanya.

Laili Hanim berkata, Faqim menghidap penyakit ini seawal usia 12 tahun manakala adiknya pada usia 11 tahun.

"Mereka terpaksa berhenti sekolah kerana penyakit semakin lama semakin melarat," katanya.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia membelanjakan sejumlah wang yang besar mencari penawar bagi penyakit anak-anaknya itu dan terpaksa berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan.

Katanya, dia bimbang sekiranya anak-anaknya yang lain menghidap penyakit tersebut meskipun doktor memaklumkan penyakit tersebut bukan penyakit keturunan dan tidak berjangkit.

Namun, katanya, dia tetap risau kerana sebelum ini tidak ada lagi ahli keluarga menghidap penyakit tersebut.

"Air mata saya seperti sudah kering melihat tubuh Faqim yang semakin lama semakin mengecil dan tinggal tulang.

"Nafas Faqim semakin lama semakin pendek dan memerlukan penjagaan rapi.

"Setiap dua minggu kami akan membawanya ke Hospital Daerah Segamat untuk memasukkan oksigen," katanya.

Laili Hanim berkata, berbeza dengan Hamka, tubuh badannya semakin membesar, namun tidak boleh bergerak dan hanya duduk sahaja.

"Persamaannya, kedua-duanya boleh bercakap dengan jelas dan mengingati setiap perkara dan peristiwa yang berlaku." katanya.

Menurutnya, dia dan suaminya, Anuar Idon, 52, terpaksa bergilir-gilir setiap malam untuk menjaga anak-anaknya yang sakit.

"Pernah satu ketika saya dan suami terlelap akibat kepenatan sehingga tidak sedar mulut Faqim telah berbuih-buih kerana sesak nafas. Mujur salah seorang anak saya tersedar dan kami terus membawanya ke hospital..

"Pada Jun lalu, sewaktu Faqim menerima rawatan di HDS, doktor beritahu nafasnya telah terhenti selama setengah jam dan selepas melakukan ikhitiar, Faqim akhirnya bernafas kembali," katanya.

Menurutnya, setiap bulan dia memperuntukkan RM1,200 untuk rawatan dan keperluan anak-anaknya termasuk susu khas.

Katanya, dia bergantung sumber kewangan daripada anak- anaknya yang telah bekerja dan menerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebanyak RM250 sebulan dan daripada JKM sebanyak RM 600 untuk kedua-dua anaknya itu.

"Suami saya tidak bekerja selepas melakukan pembedahan membuang beberapa tulang leher akibat penyakit strok pada tahun 2011," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke akaun Anuar Idon, nombor akaun 151052250230 (Maybank) bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Rantai hadiah Hari Ibu diragut

Posted: 05 Dec 2014 07:24 PM PST


  • Nageswary menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan kejadian ragut di Taman Koperasi KSNS, Pedas, pagi kelmarin.Nageswary menunjukkan laporan polis yang dibuat susulan kejadian ragut di Taman Koperasi KSNS, Pedas, pagi kelmarin.

REMBAU – Seorang ibu terkilan apabila rantai emas bernilai RM1,500 yang dihadiahkan anak kembarnya berusia enam tahun sempena sambutan Hari Ibu lalu diragut penyamun di hadapan sebuah pasar mini di Taman Koperasi KSNS, Pedas, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, N Nageswary, 34, singgah sebentar di kedai berkenaan bagi membeli beberapa barangan setelah selesai membeli barangan basah di Pasar Awam Pedas.

Menurutnya, sebaik turun dari kereta dan ingin masuk ke kedai berkenaan, dia berselisih dengan seorang lelaki yang bertubuh kurus dan lelaki berkenaan sempat merenungnya sebelum meragut rantai lehernya.

"Saya yang terkejut sempat mengejar motosikal yang dinaiki suspek namun motosikal berkenaan ditunggang laju oleh rakannya.

"Saya lihat ada sebuah lagi motosikal menunggu di belakang dan saya syak mereka adalah rakan subahat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Chembong Jaya, di sini, kelmarin.

"Sebaik gagal mengejar, saya terus masuk ke kedai runcit dan bertanyakan sama ada kedai berkenaan ada kamera litar tertutup (CCTV) atau tidak dan mengecam suspek yang meragut rantai saya.

"Namun difahamkan suspek baru sahaja datang dan dilihat turun dari motosikal sebaik saya memarkir kereta," katanya.

Nageswary yang juga pekerja teknologi maklumat berkata, dia tidak akan melupakan muka suspek yang kelihatan seperti budak belasan tahun dan agak rendah.

"Namun, saya rasa agak sedih memandangkan rantai berkenaan adalah hadiah sempena Hari Ibu daripada anak kembar saya dan baru sahaja dipakai dalam tempoh enam bulan.

"Rantai berkenaan tidak setebal mana kerana hasil dari duit tabungan anak kembar saya iaitu sekitar harga RM1,500.

"Sebelum ini saya memang tidak suka memakai perhiasan sejak dari kecil, namun apabila anak kembar saya menghadiahkan saya rantai emas itu, saya penuhi permintaan mereka dan sanggup memakainya kerana ada nilai sentimental," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan.

Penguat kuasa kena tumbuk

Posted: 05 Dec 2014 07:22 PM PST


  • Suspek ditahan polis selepas menumbuk anggota MPKj. Gambar kecil: Cermin lori milik MPKj dipecahkan dua lelaki bertindak samseng.Suspek ditahan polis selepas menumbuk anggota MPKj. Gambar kecil: Cermin lori milik MPKj dipecahkan dua lelaki bertindak samseng.

KAJANG – Seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) cedera di pipi selepas ditumbuk seorang lelaki yang berang apabila PBT itu mengambil tindakan menangkap lembu berkeliaran di Seksyen 6, Sungai Long, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, seorang pegawai dan 10 anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan orang ramai berhubung lembu berkeliaran di sekitar kawasan pekan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKj, Shariman Md Nor berkata, daripada empat ekor lembu, pihaknya berjaya menangkap dua ekor yang kemudian dinaikkan ke atas lori milik majlis.

Ketika dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat kira-kira jam 5.30 petang, lori membawa muatan lembu dan dinaiki tujuh anggota penguat kuasa itu ditahan dua lelaki.

"Mula-mula dua lelaki itu tahan lori guna motosikal sebelum menghalang laluan menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira berdekatan bulatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Long," katanya.

Kedua-dua lelaki itu katanya menyuruh anggota melepaskan kembali lembu ditangkap sambil membuat provokasi dengan cuba memecahkan cermin lori.

Perbuatan samseng tersebut tidak terhenti di situ, sebaliknya mereka memecahkan cermin sisi lori dan menarik keluar anggota penguat kuasa sambil mengacukan sebilah parang.

Bimbang dicederakan dan sebagai langkah mempertahankan diri, anggota mengeluarkan sebilah parang yang memang diletakkan dalam lori untuk tujuan operasi menurunkan iklan haram sebelum ini.

"Lelaki tersebut terus paksa supaya lembu dilepaskan namun anggota tidak menuruti kehendaknya menyebabkan seorang daripada mereka terus  menumbuk muka kakitangan MPKj tersebut," katanya.

Beliau berkata, ketegangan yang berlaku berakhir apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas itu.

Empat lelaki ditahan dan beliau dimaklumkan dua daripadanya direman pihak polis selama beberapa hari untuk membantu siasatan.

Search, yang tak pernah tua

Posted: 05 Dec 2014 07:15 PM PST



Tempoh 33 tahun merupakan satu jangka hayat yang panjang. Jika ia dikaitkan dengan manusia, kita akan melihat proses seorang bayi menjadi kanak-kanak, remaja, dewasa dan kemudian beranjak tua. Kalau mahu menyangkutkan ia kepada persekitaran, metamorfosisnya akan menyaksikan sesuatu yang baharu bertukar menjadi lama. Jika mengaitkan ia dengan proses sebuah revolusi pula, kita akan melihat banyak perubahan yang terjadi, jatuh dan bangun serta kemuncak yang telah dicapai.
Proses-proses itu, dapat dilihat dalam pertumbuhan sebuah kumpulan yang megah memegang nama Search sejak 33 tahun lalu. Lima anggotanya semua sudah tua. Itu realiti. Vokalisnya sendiri, Amy sudah berusia 56 tahun. Si penabuk drum yang kondisi kesihatannya sangat meruncing kerana masalah buah pinggang, Yazit pula 52 tahun, sementara pemain gitarnya, Kid, 47, abangnya, Din, 52, juga pada posisi gitar serta pemain bassnya, Nasir berusia 50 tahun.
Namun, pada malam pertama mereka mempertontonkan aksi untuk konsert empat hari Search Live Di Istana Budaya yang bermula Khamis lalu sehingga Ahad ini (7 Disember), tidak seorang pun di antara mereka nampak tua. Search sendiri berdiri sebagai kumpulan yang tidak pernah tua apabila menggembalikan nostalgia lagu-lagu hit mereka sejak ditubuhkan pada tahun 1981.
Energi Amy, Din, Kid dan Nasir masih berbisa. Masih bertenaga, seperti zaman belasan tahun mereka mula bermain sebagai pemuzik yang belum tahu percaturan hidup mereka di dalam bidang seni menjadi atau 'tergolek'.

SEARCH yang menampilkan pemain Cello, Paladin sebagai pemuzik sokongan mereka nyata telah memberi bunyi dan kesan yang lebih baik terhadap muzik yang dipersembahkan di dalam konsert Search Live Di Istana Budaya.


Permainan muzik Kid, Din dan Nasir juga kemas. Sebagai orang lama, mereka tidak perlu terlalu bersungguh-sungguh untuk menonjolkan kebolehan mereka dengan aksi-aksi tidak perlu, sebaliknya hanya tampil berdiri dan memainkan peranan masing-masing, dengan sesekali ikut 'menggila' pada beberapa irama rock keras yang dimainkan, itu sudah cukup membuktikan kredibiliti mereka.
Menyentuh kualiti vokal Amy, seperti yang diakui beliau dalam sesi sidang akhbar selepas usai konsert mengenai kebimbangannya 'koyak' sewaktu menyanyi, penyanyi tersebut lebih rileks dan 'bermain dengan selamat' apabila diselamatkan oleh nyanyian gerombolan peminat tegar kugiran itu.
Bagaimanapun, energi yang diberi Amy barangkali tidak mampu menjadi begitu konsisten jika beliau tidak berdiri di atas garis seorang penyanyi profesional.
"Sebenarnya saya bimbang vokal koyak. Jadi saya perlu menjaga stamina untuk marathon tiga malam lagi," ujarnya yang berjanji bahawa momentum persembahan dan energi yang diberikan di dalam dua malam terakhir persembahan mereka tidak akan mengecewakan.
Satu-satunya anggota Search yang perlu diberi perhatian dan penghormatan kerana keazamannya biar sedang uzur ialah Yazit.
Biarpun beliau hanya bermain di dalam set lagu-lagu melankolik, namun bagi seorang individu yang dilarang bekerja dan baru keluar hospital pada petang hari kejadian, memukul drum dengan pergerakan yang banyak pada tangan dan kaki bukan kerja mudah.
Walaupun dengan hanya sedikit sentuhan, Yazit membuka dan menutup hit seperti Rozana dan Fantasia Bulan Madu dengan kemas.
Malah, saat mereka membuka segmen tersebut dengan lagu pertama yang dirakamkan Search lebih 30 tahun lalu, Kejora, ia seperti membawa peminat kembali ke masa lampau mereka.

AMY mempamerkan mutu vokal yang masih konsisten biar sudah berusia 56 tahun.


Rock sejati
Ironi, jika banyak yang terbuai dengan puluhan untaian melankolik mereka, Search sebenarnya sebuah kumpulan rock sejati. Di sebalik populariti hit seperti Isabella yang masih wangi baunya atau Gadisku, jangan pernah lupa kugiran yang berasal dari Johor Bahru ini punya bekalan rock kental seperti Diari Habil & Qabil, Kereta Merah atau Honky Tong Kosong yang diperdendangkan pada malam itu.
Dalam konsert yang menyaksikan mereka berkolaborasi dengan kumpulan pemain cello, Paladin, Search mengejutkan kembali lena sebahagian peminat mereka yang barangkali hanya kecanduan dan tahu lagu-lagu balada mereka, bahawa kugiran mereka merupakan sebuah kugiran yang 'berat' permainan muziknya.
Lebih hebat, bagaimana tulang belakang yang menggerakkan kugiran ini berjaya dalam padang komersial, Datuk M.Nasir menumpahkan banyak pesan dan mesej tersirat di dalam dentuman kuatnya muzik rock yang menyaksikan khalayak bukan sekadar dapat menikmati aliran muzik yang digemari, tetapi menghadam mesej tentang realiti kehidupan dan ketuhanan dalam satu sama.
Lihat sahaja Pawana yang dimainkan dengan cukup baik pada malam itu sehingga menenggelamkan nyanyian Amy sendiri apabila peminat turut berdendang sama, ironinya bercakap tentang kehancuran tamadun manusia yang tamak. Begitu juga dengan Pelesit Kota yang menyampaikan pesan terhadap sikap manusia yang leka.
Bersama lagu-lagu tersebut, Search mendendangkan 21 buah lagu yang pada hemat mereka sebagai antara yang paling baik dan melekat di dalam hati peminat. Sedar mereka mempunyai katalog lagu yang cukup besar, sementalah mempunyai lebih lapan buah album studio yang dimulakan dengan Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1985, sehingga yang terakhir Gothic Malam Edan (2006), memuaskan hati peminat dengan memilih lagu-lagu yang mereka gemari adalah sukar.
Jika ramai peminat yang berpuas hati dengan seleksi lagu yang dimainkan pada malam tersebut seperti Isabella atau Fenomena, segelintirnya pula dahagakan lagu-lagu yang kurang popular tetapi punya cerita tersendiri seperti Pembakar Perasaan atau sekurang-kurangnya Mentari Merah Di Ufuk Timur yang tidak terdapat di dalam senarai lagu.
Begitu juga ramai yang berpendapat paduan empat anggota asal Search bersama pemain drum gantian, Paie sedikit gagal untuk 'bersanding sama' di atas sebuah pentas yang gah itu, namun ia juga masih boleh diterima baik oleh sebahagian peminat yang hadir tanpa mahu memikirkan aspek teknikal secara mendalam.
Sebaliknya, apa yang mereka mahukan ialah mendengar dendangan lagu-lagu seperti Kejoraku Bersatu, Gelora Cintaku, Isi Atau Kulit, Langit Dan Bumi serta Fenomena secara langsung, sekali gus menghiburkan mereka.

Nasir (kanan) dan Din bersama salah seorang pemain cello dari grup Paladin.


Memang, jika kesempurnaan yang dicari dalam sesebuah persembahan, itu tidak dapat kita temui di dalam konsert ini, waima konsert bintang antarabangsa sekali pun kerana setiap manusia mempunyai cita rasa berbeza.
Namun percayalah, jika kita tidak meletakkan ekspektasi yang terlalu tinggi dan hadir dengan berlapang dada demi menyokong survival anak seni tempatan, hadir ke Search Live Di Istana Budaya tidak akan membuatkan kalian rugi.
Sementelah yang ditonton itu Search, satu-satunya kurigan rock tempatan yang tidak ada duanya. Mereka adalah khazanah muzik rock negara. Menyaksikan legenda yang masih hidup beraksi di hadapan mata, tidak sama dengan sekadar mengenali 'oh inilah kumpulan legenda dulu, yang semuanya tidak lagi ada'.
"Tidak ada apa yang mahu kami buktikan, selain berasa bangga dapat bermain pertama kalinya di Istana Budaya untuk berkongsi momen jatuh bangun Search sepanjang tempoh 33 tahun di dalam dunia seni melalui eksperimen kami di sini dengan persembahan yang membawa penonton kembali kepada asas dan kesederhanaan Search dahulu. Kami mahu berkongsi rasa dengan khalayak menerusi lagu-lagu kami dan perjalanan yang panjang ini, itu sahaja," ujar Amy.
Untuk generasi yang membesar dengan untaian mereka, ia akan mengembalikan nostalgia zaman rock kapak kalian, sementara untuk generasi baharu yang baru ingin mengenal rock, konsert ini adalah salam perkenalan untuk kalian menikmati pesona Search, sebuah kumpulan yang tidak pernah tua.

Momentum dan mahalnya Fahrin

Posted: 05 Dec 2014 07:10 PM PST


SIBUK dengan kerjaya bukan menjadi punca utama kepada lelaki berusia 35 tahun ini belum bertemu teman hidup.


WAJAH Fahrin Ahmad masih bersinar dalam radar hiburan tanah air. Saban ketika, kelibatnya terlihat dalam mana-mana program sama ada iklan komersial, drama mahupun pengacaraan. Berdiri sebagai artis senior, namun Fahrin belum tenggelam walaupun ada sahaja ahli baharu yang mencuba nasib menjadi sebahagian daripada angkatan aktor Malaysia.
Disayangi peminat menerusi drama-drama lakonannya, kredibiliti Fahrin sebagai ikon positif juga masih mahal di mata pengamal sektor korporat. Buktinya, Fahrin yang masih menyandang komitmen tugas duta Shell dan produk minuman tenaga Ali Cafe Tongkat Ali itu menerima kontrak sebagai duta produk yang lain. Baru-baru ini, dia dilantik menjadi jurucakap sebuah model terbaharu telefon pintar keluaran syarikat multinasional dari Korea, Samsung Electronics.
Dipilih menjadi menjadi duta Samsung Galaxy Note 4 pada 15 Oktober lalu, pelakon dan pengacara berusia 35 tahun itu berkongsi rasa gembira dan terujanya.
"Memang saya tidak sangka akan dipilih oleh pihak Samsung Malaysia untuk menjadi duta kepada Samsung Galaxy Note 4. Sejak dari dulu lagi saya pengguna setia jenama Samsung. Sudah bermacam model telefon Samsung pernah saya guna.
"Tiba-tiba rezeki dipilih menjadi duta kepada produk yang saya gunakan, itu memang merupakan peluang dan rezeki yang tidak perlu saya fikir dua tiga kali untuk terima.
"Sebagai seorang selebriti dan ditambah pula dengan kemajuan teknologi moden pada masa kini, setiap aktiviti yang dilakukan tentunya mahu dikongsi di laman sosial. Bagi individu yang gemar mengambil gambar, tentunya akan berpuas hati dengan kualiti kamera telefon ini. Ambillah gambar dari sudut mana sekali pun, gambar anda tentunya nampak cantik tanpa perlu diedit," ujar pengacara Dunia Pencetus Ummah itu mesra.
Berkongsi perkembangan terkini, pelakon yang akan menamatkan khidmatnya sebagai duta produk penjagaan wajah, Garnier itu meluahkan rasa syukur atas rezeki yang dinikmati.
Meskipun jadual kerjanya sudah tersusun sehingga suku pertama tahun hadapan, Fahrin tidak mahu berasa selesa dengan kestabilan kariernya. Dia mahu mengekalkan momentun dicapai hari ini, kalau boleh untuk satu jangka masa yang panjang.
"Jadual kerja memang padat. Ada sahaja tawaran yang saya terima sama ada dalam bidang lakonan, pengacaraan mahupun sebagai duta produk.
"Selepas selesai mengacarakan malam anugerah Festival Filem Malaysia baru-baru ini, aktiviti seni saya berterusan seperti biasa.
"Dalam masa terdekat, saya akan menjalani penggambaran dua buah telemovie. Pada Januari tahun hadapan, saya akan memulakan penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Eksperimen Cinta bergandingan dengan pelakon Izreen Azminda.
"Kerja dalam bidang hiburan memang memenatkan tetapi inilah jalan yang saya pilih dan sudah menjadi sumber rezeki saya sejak dari dahulu," ujar jejaka berasal dari Johor itu mesra.
Bicara bekas pengacara Sehati Berdansa itu lagi, dia juga aktif memenuhi undangan sebagai penceramah motivasi kepada generasi muda.
Figura bersosok tegap itu bakal ke Terengganu bagi menghadiri ceramah motivasi di enam lokasi berbeza di negeri tersebut.
Sementelah pencapaian kerjaya yang cemerlang, jejaka yang masih belum mendirikan rumah tangga itu sesekali ditebak mengenai sisi peribadi dan isi hatinya.
Sambil tersenyum, pelakon drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu mesra membalas bidik soalan yang pastinya menyentuh nurani lelakinya.
"Saya masih begini. Kekal berseorangan, solo tanpa ada sesiapa yang istimewa buat masa kini. Saya tidak mengharap apa-apa tetapi cukuplah sekadar doakan yang terbaik agar saya cepat bertemu jodoh, " ujarnya bercanda namun penuh pengharapan.


Fitri nikah tanpa restu keluarga?

Posted: 05 Dec 2014 07:09 PM PST


Fitri dan bakal suaminya, Hendra.


MEMUTUSKAN untuk berkahwin di daerah kelahirannya di Banyuwangi, Jawa Timur, kebahagiaan penyanyi dangdut, Fitri Carlina yang bakal menjadi isteri kepada seorang juruterbang, Hendrawan Sumendap pada 14 Disember nanti sedikit terganggu apabila diminta membuka cerita tentang dugaan yang dihadapi sepanjang percintaan.
Tiba-tiba sahaja wajah ceria saat mencuba gaun pengantinnya di sebuah butik di Jakarta baru-baru ini berubah. Air matanya jatuhnya jatuh berderai-derai dan dia bercerita dalam keadaan teresak-esak. Rupa-rupanya, Hendra merupakan calon suami yang langsung tidak dipersetujui oleh kedua-dua orang tuanya.
"Faktor kerjaya Hendra menjadi masalah utama buat keluarga saya. Kerjanya sebagai juruterbang akan menyebabkan aku selalu ditinggalkan. Ibu bapa saya sekadar orang biasa, mereka begitu bimbang tentang perkara itu. Kakak-kakak saya juga ada kawan-kawan yang bekerja dalam bidang penerbangan dan selalunya kisah anak kapal banyak yang negatif," memetik luahan penyanyi berkenaan kepada KapanLagi,com.
Fitri juga diberi beberapa syarat ketat oleh keluarga jika terus mahu berhubungan dengan Hendra. Selain harus sukses dalam karier masing-masing, keluarganya turut mengupah seseorang untuk menyiasat latar belakang kekasihnya itu bagi memastikan Hendra benar-benar lelaki budiman.
"Meyakinkan keluarga bukanlah hal yang mudah. Saya tidak boleh ke luar rumah, kalau ada janji temu harus di rumah. Kalau keluar, harus pulang sebelum pukul 9 malam," kata Fitri yang akan mengadakan resepsi perkahwinannya di Jakarta.



Berdebat dengan ilmu, bukan emosi – Azhan Rani

Posted: 05 Dec 2014 07:07 PM PST



Azhan


Membawa karakter bernama Cina di dalam filem Lelaki Harapan Dunia, Azhan Rani dihubungi Kosmo! untuk bercakap tentang polemik yang melanda filem arahan Liew Seng Tat itu. Lelaki Harapan Dunia kini sudah masuk dua minggu ditayangkan di pawagam. Sejak ia pertama kali dipertontonkan kepada media sekitar dua minggu lalu, ia telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan penonton yang terdiri daripada karyawan tempatan sendiri.
Filem yang sudah dijaja dalam pelbagai festival hampir di seluruh dunia itu disifatkan sebagai naskhah yang menyinggung sentimen bangsa Melayu, selain didakwa mencuit soal agama Islam dalam babak seperti sembelihan unta yang menyaksikan percikan darah yang memancut kepada penduduk kampung yang menanti dengan payung sebagai benteng. Beberapa babak lain juga dilihat mempunyai satiranya tersendiri yang dianggap memperlekeh bangsa Melayu.
Kata Azhan, dia tidak kisah dikritik, namun tegasnya, jangan sampai naskhah seumpama itu yang sepatutnya diterima sebagai sebuah naskhah untuk sinema Malaysia secara umumnya menjadi medan perseteruan sesama karyawan seni sendiri.
Kosmo!: Azhan, anda sedar bahawa Lelaki Harapan Dunia mengandungi unsur-unsur sindiran yang tajam kepada bangsa Melayu dan menyentuh isu Islam sewaktu pertama kali bersetuju terbabit di dalam filem ini?
Sejujurnya, pada awal diberi peluang berlakon di dalam filem ini, saya menolaknya. Saya tidak suka, namun perasaan itu bertukar sebaik saya membaca naskhah dan jalan ceritanya. Saya faham dan sedar tentang keseluruhan isi naskhah ini dan saya menafikan ia menjatuhkan bangsa Melayu atau mempermainkan Islam. Ia hanya sebuah satira masyarakat. Sebagai pelakon, saya menjalankan tanggungjawab saya membawa watak Cina dan terpulang kepada kupasan yang mahu diberikan oleh penonton.
Adakah anda sedar risiko dan kontroversi yang bakal tercetus berikutan beberapa babak yang disifatkan sebagai agak sensitif sebaik ia ditayangkan di Malaysia?
Secara peribadi, saya tidak menjangka langsung ia menjadi kontroversi. Interpretasi setiap orang berbeza dan saya tak boleh halang pemikiran atau penilaian orang terhadap naskhah ini. Hanya apa yang boleh saya katakan, jangan terlalu dalam menilai sesuatu perkara seperti kita mahu berenang di dalam kolam yang cetek airnya. Ya, saya faham khalayak penonton terbahagi kepada dua. Satu golongan yang membayar untuk berfikir dan menilai, sementara satu lagi hanya mahu berhibur. Seharusnya kita jangan cepat melatah. Ia tidak memperkecil bangsa atau agama. Terimalah ia sebagai sebuah sinema Malaysia.
Anda kecewa dengan polemik yang berlaku?
Sedikit kecewa, lebih-lebih lagi apabila ada yang melabelkan kami pelakon Melayu yang terbabit di dalam filem arahan seorang lelaki Cina ini sebagai 'Melayu bodoh'. Saya rasa itu satu hukuman yang agak keras. Sebenarnya, saya tidak kisah jika orang tidak suka dengan filem ini sebab ia macam sebuah hidangan yang kalau kita suka, kita makan dan sebaliknya. Hanya kalau boleh biarlah cara penyampaiannya beradab. Ini kerana pada pemahaman saya, kritikan dan kutukan ialah dua perkara yang berbeza. Kritikan perlu diusul dengan ilmu, tetapi kutukan akan membunuh semua perkara yang kita tidak suka. Cuma macam saya cakap tadi, saya tidak boleh paksa orang untuk suka atau sokong naskhah ini. Hanya harapan saya, jika ia mahu diperdebatkan, perdebatkanlah ia secara sihat.

BABAK penduduk kampung bermain kompang untuk menghalau 'orang minyak' disifatkan sebagai masyarakat Melayu yang selalu terpengaruh dengan perkara tahyul.


Maksudnya, anda kurang gemar apabila pertentangan pendapat tentang filem ini disebarkan secara meluas dan diperdebat di laman sosial?
Ya. Pada saya kalau mahu berdebat, kita berkumpul dan berbincang. Itu lebih matang. Bukan menulis di laman sosial dan memberi perspektif kurang sihat bagi yang belum menontonnya, macam budak-budak. Sebab itu juga saya tutup laman sosial saya kerana selepas membaca komen atau pandangan negatif tentang filem ini, saya punya kecenderungan untuk membalas atau cuba menegakkan duduk perkara. Saya tak mahu itu terjadi dan saya pilih untuk berdiam kerana saya tak punya apa untuk diperdebatkan. Saya menghormati pandangan semua pihak.
Bagaimana dengan sambutan filem ini selepas dua minggu ditayangkan?
Saya rasa memang tidak ada sambutan. Saya ada pergi menonton semula filem ini dan hanya ada 10 orang di dalam panggung. Sama ada kerana penonton kita memang sudah tidak punya budaya menonton filem lagi atau pun terpengaruh dengan polemik yang ditimbulkan. Walaupun ia gagal di pawagam Malaysia, namun naskhah ini tetap terus berjalan di seluruh dunia.
Apa yang anda boleh simpulkan tentang polemik ini?
Saya harap kita semua menilai sesuatu perkara dengan ilmu, bukan bercakap kosong dan penuh emosi. Jangan sampai sesama kita bergaduh hanya kerana sebuah interpretasi yang berbeza tentang naskhah seumpama ini. Sekurang-kurangnya kita punya sebuah naskhah Melayu yang diberi perhatian dalam banyak perspektif untuk dibicarakan. Walaupun saya mengaku kami agak tertekan dengan apa yang berlaku, namun kami mahu maju ke hadapan. Biarlah karya ini yang berbicara sendiri.


Ketagihan telefon membimbangkan

Posted: 05 Dec 2014 07:05 PM PST

SEMAKIN ramai rakyat negara ini mengalami ketagihan terhadap telefon pintar sehingga sering mengabaikan perbualan bersemuka baik ketika bersama rakan mahupun keluarga.


KUALA LUMPUR – Kegilaan rakyat Malaysia terhadap penggunaan telefon pintar menimbulkan kebimbangan pakar psikologi, pensyarah akademik dan tokoh wartawan negara yang melihat obsesi tersebut sudah mencapai satu tahap ketagihan.
Menurut Tokoh Wartawan Negara 2011, Datuk A. Kadir Jasin, ketagihan te lefon pintar sudah pun berlaku dalam segenap lapisan masyarakat negara ini terutamanya generasi muda.
Malah, tegasnya, apa yang lebih membimbangkan sudah ramai orang di Malaysia yang tidak ubah seperti 'hamba kepada telefon pintar'.
Katanya, walaupun tiada satu kayu ukur untuk mengklasifikasikan seseorang itu mengalami masalah ketagihan telefon pintar namun apabila seseorang, individu tidak lagi menghiraukan persekitaran, taksub untuk melihat gajet pada hampir kebanyakan masa dan hilang kuasa berfikir, maka itu sudah boleh dianggap satu ketagihan.


Situasi sebenar zaman perang

Posted: 05 Dec 2014 07:02 PM PST



BOM, bom, bom!!! Kepulan asap memenuhi ruang legar Muzium Negara di Kuala Lumpur. Beberapa orang yang memegang senjata dan lengkap berpakaian tentera tiba-tiba muncul di khalayak ramai.
Kelihatan beberapa orang tentera meniarap sambil mengacukan senjata kepada beberapa orang di hadapan. Situasi itu kelihatan seperti pertempuran antara tentera dan musuh kerana beberapa tembakan dilepaskan. Suasana cemas itu turut mencetuskan debaran kepada para pengunjung.
Bagaimanapun, situasi itu hanya sekadar lakukan sempena Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia 2014 yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium Negara dan Muzium Tentera Darat.
Nor Syamimi Mohd. Sharif, 14, antara pengunjung yang teruja dan terkejut ketika menyaksikan kejadian tembak-menembak di hadapannya.
Kagum
Meskipun pengelola telah mengumumkan bahawa kejadian tersebut adalah demonstrasi untuk menunjukkan bagaimana anggota keselamatan negara menjalankan tugas pada saat genting, pelajar Sekolah Menengah Taman Selayang, Selangor itu tetap berasa takut.
"Saya berasa takut apabila mendengar bunyi tembakan dan letupan. Nampak asap dan pergelutan berlaku namun, pada masa yang sama timbul perasaan kagum kepada anggota tentera yang menjalankan tugas.
"Situasi itu berlaku di depan mata walaupun sekadar lakonan, ia cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengorbanan anggota beruniform ini.
"Ketika menyaksikan demonstrasi misi menyelamatkan mangsa tebusan yang ditawan oleh pengganas, ia kelihatan sangat hidup. Seperti benar-benar berlaku. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa dalam menjalankan tugas. Semua orang perlu menghargai jasa pasukan keselamatan negara," jelasnya.
Situasi tersebut turut memberikan satu pengalaman baharu kepada jurufoto pelatih Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Amirul Ashraf Mohd. Solihan, 18, yang ditugaskan untuk mengambil gambar pada pameran itu.
Dia ditawarkan oleh pengendali demonstrasi untuk menjadi pelakon tambahan dalam teater hidup yang bertemakan misi menyelamat oleh anggota keselamatan negara.
Pada awalnya, Amirul Ashraf menolak pelawaan untuk menyertai lakonan khas bagi dipertontonkan kepada para hadirin kerana berasa gementar dan tidak yakin.
"Saya diminta untuk melakonkan watak petugas media yang bertugas di kawasan yang diserang pengganas. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana situasi tersebut akan berlaku.
"Bagaimanapun, selepas mendapat penerangan daripada penganjur, saya bersetuju untuk menyertai lakonan tersebut," katanya yang diminta untuk melakonkan watak itu pada saat akhir tanpa sebarang skrip.
Kongsi remaja kelahiran Klang, Selangor itu, dia dikehendaki berada di tengah-tengah pengunjung yang ramai dan berlagak biasa sebelum beberapa orang lelaki bersenjata datang dan menangkapnya.
Amirul Ashraf diberkas sambil matanya ditutup dengan kain. Lelaki-lelaki bersenjata tersebut telah membawanya ke lokasi persembunyian.

PEMILIK replika pesawat pejuang yang dipamerkan dalam pameran tersebut turut memberi penerangan kepada pengunjung kanak-kanak.


Menjiwai
Tambahnya, disebabkan berada dalam kalangan pengunjung ketika ditangkap pengganas, dia mendengar jeritan pengunjung yang terkejut.
"Dengan cara itu, sketsa yang dipaparkan nampak lebih realiti dan tidak kelihatan seperti dirancang. Apa yang lebih penting, setiap lakonan yang dipersembahkan tidak berorientasikan pentas semata-mata.
"Saya sendiri dapat menjiwai watak pada masa itu. Lelaki yang berpakaian pengganas dan membawa senjata tiba-tiba muncul dan mengheret saya ke kawasan persembunyian. Berdasarkan aksi-aksi yang dipaparkan, ia menghasilkan satu debaran buat penonton," kongsi Amirul Ashraf yang seronok menyertai lakonan itu.
Tegasnya, selepas mengikuti sketsa itu, wujud satu tanggapan yang berbeza tentang peranan yang dimainkan oleh anggota keselamatan negara, sekali gus mengingatkannya tentang peristiwa berdarah di Lahad Datu, Sabah tahun lalu.
"Pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan ini perlu dihargai dan tidak boleh dipertikaikan. Tugas mereka sangat berat dan tidak semua orang boleh melakukannya," kongsi remaja itu.
Peristiwa berdarah itu berlaku pada Februari tahun lalu apabila 10 wira negara terkorban di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna, Sabah.
Walaupun lebih setahun berlaku, kesan dan parutnya masih terasa terutamanya dalam kalangan ahli keluarga yang terkorban selain seluruh rakyat di negara ini.
Di sebalik peristiwa yang cuba mencalar kedaulatan negara itu, banyak perkara yang boleh diperhalusi. Antaranya tidak berasa selesa dengan keamanan yang dimiliki selain menghargai nikmat kemerdekaan yang diperjuangkan orang-orang terdahulu.
Insiden itu menyaksikan kesungguhan para perajurit mempertahankan negara hingga ada yang terkorban nyawa.
Peristiwa itu juga menguji ketangkasan dan kredibiliti anggota keselamatan negara seperti Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Komando VAT 69 dalam Ops Daulat tersebut.
Demonstrasi yang dipersembahkan itu dapat melahirkan semangat patriotik dalam diri para penonton khususnya golongan muda yang tidak pernah merasai kehidupan di era kesusahan negara.

KESUNGGUHAN para pelakon melakukan aksi menampakkan demonstrasi tersebut kelihatan hidup.


Situasi sebenar
Bagi presiden Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia, Megat Azmil Khalil, 34, sketsa itu dipersembahkan untuk menggambarkan situasi sebenar yang berlaku pada zaman peperangan selain pameran model skala ketenteraan.
"Orang awam perlu hadir dan menyaksikan sendiri sketsa ini untuk merasai peranan yang dilakukan oleh para perajurit tanah air. Sebanyak 31 pempamer yang terlibat selain 150 bahan pameran termasuk senjata, pakaian dan kenderaan untuk peperangan sepanjang pameran ini.
"Sebagai golongan yang menikmati kesenangan menerusi kesusahan orang terdahulu, kita perlu teruskan legasi yang ditinggalkan. Pertahankan kedaulatan negara melalui cara masing-masing," jelas guru bahasa Melayu itu.
Megat Azmil merupakan salah seorang daripada petugas pameran yang mempunyai minat mendalam dalam bidang ketenteraan dan sejarah.
Guru yang pada awalnya bercita-cita untuk menjadi tentera ini sangat obses dengan perkara yang berkaitan tentera. Dia mewarisi darah pejuang daripada neneknya yang menjadi polis dan bertugas semasa zaman darurat menimpa negara ini.
"Minat yang mendalam terhadap ketenteraan mendorong saya untuk menubuhkan persatuan ini. Ia menjadi platform kepada saya dan rakan-rakan lain yang mempunyai kecenderungan sama.
"Bagi pameran kali ini, ada dalam kalangan ahli yang menjadi petugas pameran dan pelakon selain turut menyumbangkan pelbagai bahan seperti pakaian dan barangan berkaitan ketenteraan sebagai bahan pameran," jelas lelaki ini.
Pertubuhan yang diasaskan oleh Megat Azmil ini ditubuhkan secara rasmi pada Oktober 2010. Pertubuhan itu banyak menjalankan aktiviti bersifat patriotik seperti Jejak Patriotik dan mempromosikan buku-buku ketenteraan.
Penggerak kepada persatuan Malaya Military Memorabilia Collector, Mohd. Faisal Mohd. Razi, 35, pula memberitahu, setiap pakaian yang dipakai oleh petugas ketika pameran tersebut adalah pakaian asal tentera.
"Pakaian tersebut diperoleh melalui ahli-ahli yang dikenali dalam persatuan ini. Kami akan membeli, menjual atau menjadi orang tengah untuk mendapatkan pakaian dan barangan ketenteraan.
"Seragam tersebut bukan sahaja seragam tentera Malaysia, sebaliknya pakaian tentera negara luar seperti Amerika Syarikat yang diperoleh melalui ahli yang terdapat di seluruh negara dan beberapa buah negara luar.
"Dengan adanya pameran yang mempamerkan barangan asal ketenteraan, setidak-tidaknya orang awam boleh kenal dan tahu jenis pakaian ketenteraan serta fungsi setiap unit tentera," jelas kakitangan Tenaga Nasional Berhad itu.
Demonstrasi yang berlangsung sempena Pameran Evolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia 2014 itu menunjukkan beberapa situasi dan fasa peperangan yang berlaku, termasuklah zaman prapeperangan Vietnam yang berlaku sekitar 1950-an selepas Perancis kalah kepada Vietnam.
Lakonan yang ditonjolkan menunjukkan perjuangan golongan petani Vietnam dalam usaha melawan tentera Vietnam dan Amerika Syarikat menentang ideologi Komunis yang dibawa oleh Ho Chin Minh.

KERETA kebal yang menjadi jentera peperangan turut dipamerkan dalam pameran ini.


Peralatan
Menurut salah seorang pelakon yang memegang watak petani Vietnam, Rosdi Harun, 50, demonstrasi yang dilakukannya menunjukkan bagaimana petani dan rakyat Vietnam cuba untuk menyatukan negara tersebut.
"Selepas kekalahan Perancis, Vietnam terbahagi kepada dua iaitu Vietnam Utara yang dipengaruhi ideologi Komunis manakala Vietnam Selatan yang dibantu Amerika Syarikat menentang ideologi tersebut.
"Bagaimanapun, ada sebahagian penduduk di Vietnam Selatan, dikenali sebagai Viet Cong membantu Vietnam Utara menentang Amerika Syarikat dengan tujuan menjadikan Vietnam kembali menjadi sebuah negara," ujar bekas tentera ini.
Memakai pakaian serba hitam, Rosdi memegang senapang dan melakonkan aksi berperang dengan musuh. Bunyi letupan dan tembakan dibunyikan melalui letupan mercun serta sistem bunyi yang disediakan khas oleh pihak yang pengelola.
Antara persatuan yang terlibat dalam menjayakan teater hidup ini selain Muzium Tentera Darat ialah Military Collector Group (MCG), Pertubuhan Panggilan Pertiwi Malaysia dan Malaya Military Memorabilia Collector. Persatuan-persatuan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai minat yang mendalam dalam perkara berkaitan ketenteraan.
Ahli-ahli yang menyertai pameran itu memakai pakaian tentera dan menjadi pelakon dalam sketsa yang dipersembahkan kepada para pengunjung.
Rosdi yang menyertai MCG memberitahu, aksi peperangan yang dilakonkannya adalah untuk menunjukkan kesungguhan penduduk tempatan iaitu pasukan Viet Cong yang bersatu melawan kuasa besar demi menyatukan negara mereka.
Namun, perang ini memberi kemenangan kepada Vietnam sekali gus mencatat sejarah penting buat negara tersebut.


Kombinasi kepakaran KHI

Posted: 05 Dec 2014 07:00 PM PST



Penganalisis industri dan syarikat pengeluar motosikal global mula memberi tumpuan kepada setiap pergerakan Kawasaki Heavy Industries (KHI) sejak berlangsungnya pameran Tokyo Motor Show 2013 di Jepun.
Semuanya disebabkan KHI ada menayangkan seunit model enjin empat silinder yang diintegrasikan bersama komponen sistem pengecas lampau (supercharger) pada pameran automotif edisi ke-43 itu.
Ia seolah-olah memberi petanda awal bahawa KHI sedang merangka pelan untuk membangunkan sebuah motosikal supercharger.
Spekulasi mengenai pembangunan enjin itu bertiup kencang sehingga ada yang percaya unit rangkaian kuasa itu akan digunakan pada model Ninja ZX-14. KHI masih memilih untuk mendiamkan diri pada waktu itu.
Beberapa bulan lalu, KHI memberi bayangan model motosikal baharunya menerusi laman web www.ninja-h2.com. Sebanyak 21 klip video durasi pendek dipaparkan untuk tontonan umum.
Bertempat di Pameran Antarabangsa Intermot 2014 di Cologne, Jerman, KHI akhirnya memperkenalkan model supercharger itu. Nama motosikal itu ialah Ninja H2R.
Selang sebulan selepas itu, KHI sekali lagi mengejutkan industri motosikal apabila memperkenalkan varian kedua supercharger iaitu Ninja H2 pada Pameran Motor Milan (EICMA) 2014 di Itali.
Kawasaki Ninja H2 dan H2R adalah jentera ikonik KHI. Ia juga merupakan siri motosikal produksi pertama dunia yang dilengkapi komponen pengecas lampau. KHI menetapkan penanda aras baharu dalam segmen motosikal berkuasa tinggi global.
Kedua-dua model motosikal itu membuktikan kemampuan, kepakaran dan kecemerlangan kejuruteraan serta teknologi milik KHI.
Motosikal yang tergolong dalam kelas hypersport itu dicipta dengan adanya perkongsian kepakaran daripada tiga buah subsidiari utama KHI iaitu Aerospace Company, Gas Turbine & Machinery Company dan Corporate
Technology Division.

UNIT ekzos tunggal Ninja H2R sah digunakan di litar-litar lumba sahaja.


Kedua-dua motosikal itu dibina untuk tujuan berbeza. Model Ninja H2R dicipta untuk kegunaan di litar lumba. Kawasaki Ninja H2 pula adalah model yang dihasilkan untuk kegunaan di jalan raya.
Kedua-dua motosikal itu menggunakan unit enjin satu liter yang dibangunkan daripada model ZX-10R. Jurutera KHI mengkaji semula unit rangkaian kuasa itu untuk membolehkan pemasangan pelbagai komponen baharu termasuk komponen pengecas lampau.
Unit pengecas lampau yang ditempatkan di belakang silinder enjin mampu berputar pada kelajuan 130,000 pusingan dalam tempoh seminit dan memampatkan kemasukan udara ke dalam kebuk pembakaran.
Bagaimanapun, kedua-dua motosikal itu mempunyai data kuasa output berbeza. Model H2 berupaya meledakkan kuasa sebanyak 200hp manakala H2R boleh menghamburkan kuasa setinggi 300hp.
Perbezaan kuasa output yang signifikan itu disebabkan faktor talaan enjin berbeza yang melibatkan padanan komponen berbeza termasuk pemetaan semula unit kawalan elektronik Ninja H2R.
Jentera litar itu didatangkan dengan konfigurasi sistem ekzos berbeza dan mampu membantunya mencapai kadar kelajuan sehingga 330 kilometer sejam.
Bagi memastikan motosikal itu kekal stabil pada tunggangan kelajuan tinggi, jurutera KHI memasang dua unit sayap lawi masing-masing pada bahagian kiri dan kanan jentera. Rekaan sayap lawi itu mengaplikasi teknologi aeroangkasa KHI.
Objektifnya adalah untuk memastikan tayar hadapan kekal menyentuh permukaan tar. Selain itu, reka bentuk fairing hadapan kedua-dua motosikal itu menitikberatkan faktor aerodinamik.
Begitu juga dengan cermin pandang sisi Ninja H2, ia juga direka untuk membantu motosikal itu membelah angin sewaktu pecutan kelajuan tinggi.
Kotak gear model H2 dan H2R adalah jenis Dog Ring yang lazimnya digunakan pada jentera perlumbaan MotoGP dan Formula Satu.
Kawasaki Ninja H2 mempunyai tiga mod pemetaan enjin iaitu litar (circuit), jalan raya (street) dan hujan (rain). Model perlumbaan H2R juga dilengkapi tiga mod iaitu dua mod untuk litar dan satu mod jalan raya.

INSTRUMEN meter model H2 dan H2R menggunakan paparan skrin analog digital berwarna.


Aspek kestabilan motosikal sewaktu meredah laluan lurus dan berselekoh ditingkatkan menerusi penggunaan casis jenis trelis ketegaran tinggi.
Sokongan kesimbangan dibantu menerusi sistem fork perlumbaan Kayaba AOS II dan penyerap hentak tunggal Kayaba bersama sambungan Pro-Link pada bahagian belakang motosikal.
Kedua-dua sistem suspensi motosikal H2 dan H2R boleh diselaras mengikut selera penunggang. Tambahan lain diberikan ialah padanan lengan ayun tunggal bersama set rim tempaan khas.
Tugas mengawal pecutan diserahkan kepada set brek cakera kembar bersama angkup jenama Brembo pada roda hadapan. Rim aluminium belakang pula dipasang dengan brek cakera tunggal.
Ergonomik tunggangan motosikal H2 dan H2R adalah sama seperti Ninja ZX-10R tetapi dengan kadar keselesaan yang telah ditingkatkan.
Bahagian belakang pelana tunggal direka untuk membantu menahan punggung penunggang daripada menggelongsor ke belakang apabila pendikit minyak dipulas ke tahap maksimum.
KHI juga menyuntik tiga teknologi bantuan tunggangan iaitu KTRC (Kawasaki Traction Control), KLCM (Kawasaki Launch Control Mode) dan KEBC (Kawasaki Engine Brake Control).
KTRC membantu meningkatkan cengkaman tayar manakala KLCM pula membantu mengelakkan daripada berlaku gelinciran atau tayar hadapan terangkat. KEBC pula mengurangkan tekanan pada unit enjin sewaktu melepaskan pulasan pendikit.
Bagi pasaran tempatan, Kawasaki Malaysia dijangka membawa masuk kedua-dua model itu pada tahun hadapan.
Tag harga anggaran bagi Ninja H2 adalah di bawah paras RM154,000 seunit dan H2R pula dijual pada harga sekitar RM300,000 sebuah. Tempahan untuk siri H2 dan H2R kini dibuka menerusi pengedar-pengedar Kawasaki Malaysia terpilih di seluruh negara.

Pelukis jalanan Jalan TAR

Posted: 05 Dec 2014 06:56 PM PST


ORANG ramai teruja menyaksikan bakat Mohd. Shofi melukis.


SIAPA sangka, hobi boleh menjana pendapatan lumayan. Apatah lagi, jika hobi yang melibatkan kemahiran dan bakat yang boleh ditonton oleh ramai orang.
Bagi pelajar Kejuruteran Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Mohd. Shofi Asrozi, 21, kerja yang dilakukannya kini merupakan salah satu daripada cabang hobinya. Bermula dengan melukis menggunakan cat air di Pusat Akademik UiTM, kini beliau menggunakan semburan angin berwarna.
Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur merupakan lubuk rezeki bagi Mohd. Shofi. Jalan tersebut merupakan laluan pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong dari dalam mahupun luar negara sama ada untuk mencuci mata atau membeli-belah.
Sejak kecil, beliau begitu meminati bidang lukisan, namun tiada ruang untuknya mempamerkan bakat.
Kini, beliau mampu memberikan persembahan lukisannya menggunakan semburan angin di khalayak ramai.
"Saya seronok melihat orang ramai datang bersama keluarga untuk melihat lukisan saya, adakalanya saya berikan percuma kepada warga emas untuk tatapan mereka pada masa akan datang," katanya yang menjual lukisan pada harga RM10 sekeping.
Proses pertama sebelum beliau melukis menggunakan semburan udara itu ialah membersihkan papan kayu yang digunakan dan membuat tanda pada papan tersebut. Adakalanya, beliau ditemani beberapa rakan sekelas sehingga larut malam.


Tanda-tanda si comel sakit

Posted: 05 Dec 2014 06:55 PM PST


SEBAIK-BAIKNYA kucing yang menunjukkan gejala tidak sihat dibawa ke klinik veterinar.


BOLEH dikatakan setiap jenis baka kucing mempunyai jenis penyakit, simptom, kesan dan akibat yang sama.
Setiap kucing yang diserang penyakit atau sedang sakit akan menunjukkan reaksi dan karakter yang berlainan. Perubahan reaksi, karakter dan perangai mungkin merujuk kepada tanda-tanda kucing anda sedang sakit.
Berikut tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan si comel mengalami masalah kesihatan.
1.Kurang selera makan : Semua kucing yang sihat mempunyai selera makan yang tinggi. Jika kucing menunjukkan tanda-tanda hilang selera atau makan terlalu sikit daripada biasa, anda perlu mengambil tindakan segera dengan mengenalpasti masalah yang dihadapi. Antara faktor-faktor yang menyebabkan pengurangan selera makan ialah:
- Jemu dengan makanan harian yang sama tetapi campuran pelbagai jenama makanan juga tidak disarankan.
- Menginginkan makanan yang lembik/basah.
- Makan yang diberi sudah rosak. Mungkin lemau, basi dan sebagainya.
- Ada gangguan luar seperti kehadiran kucing lain.
- Makanan tidak menepati cita rasa.
- Jika kucing anda dalam kategori luar rumah, ada kemungkinan ia telah memakan sesuatu yang ditangkap seperti hasil buruan.
- Tidak menggemari kedudukan tempat makannya.
- Musim mengawan/ingin mengawan/tidak dapat mengawan kerana dikurung.
Sekiranya semua faktor di atas sudah diambil kira tetapi masih tidak berselera, kemungkinan besar kucing anda sedang mengalami masalah kesihatan. Jika ini berlaku, anda disaran membawanya segera ke klinik veterinar yang berdekatan.
Antara faktor-faktor kucing yang sedang sakit hilang selera makan ialah demam dan mengalami masalah pernafasan yang teruk, tidak dapat menghidu makanan, dehidrasi (minum air lebih daripada biasa boleh mengurangkan selera makan kucing), mengalami masalah atau penyakit dalam mulut dan mengalami masalah penyakit hati serta penyakit buah pinggang yang serius.
2.Sukar makan: Hilang selera makan dan susah hendak makan merupakan dua perkara yang berbeza.
Kucing yang mengalami kesukaran untuk makan bukan disebabkan kurang selera makan tetapi berkemungkinan mengalami sakit di mulut, dalam mulut, gigi, gusi, lidah, lelangit, kerongkong serta sakit organ-organ dalamannya yang lain. Penyakit gigi dan gusi sering berlaku pada kucing yang sudah berumur
Jika perkara ini berlaku, sila rujuk pada veterinar.
3.Penurunan berat badan: Parasit luar dan parasit dalaman seperti kutu, hama atau cacing, jangkitan virus (FIV/FeLV) penyakit usus, penyakit hati, diabetes, penyakit buah pinggang, stres dan perubahan hormon antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini.
4.Muntah: Muntah boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya termasuklah gumpalan bulu yang terperangkap dalam usus, makan terlalu cepat, gopoh, gelojoh dan makan sesuatu yang tidak boleh di hadam. Selain itu, sering menukar makanan, alahan pada makanan atau bahan-bahan dalam makanan, jangkitan atau serangan penyakit, kecacingan yang teruk dan keracunan juga menyebabkan kucing muntah.
5.Darah dalam air kencing atau najis: Darah dalam air kencing kucing berlaku disebabkan pelbagai penyakit serius atau sesuatu yang serius telah berlaku pada kucing anda.
Keadaan ini di panggil hematuria. Salah satu penyebab hematuria ialah batu karang atau jangkitan dalam pundi (Flutd). Jika keadaan ini berlaku pada si comel, tindakan segera ialah membawa kucing anda kepada veterinar yang terdekat.
Bagi permasalahan najis berdarah kemungkinan kucing anda mengalami masalah cacing yang teruk, penyakit usus, keracunan dan cirit-birit yang serius.
6.Demam: Kucing akan demam apabila tindak balas atau reaksi tubuhnya kepada sesuatu jangkitan atau penyakit yang menyerangnya. Suhu normal tubuh kucing ialah antara 37.7 hingga 39.1 darjah Celcius.
Bagi menyukat suhu badan kucing mungkin sukar kepada yang kurang mahir tetapi kucing demam akan menunjukkan beberapa tanda seperti, keletihan atau lesu atau tidur lebih lama dari kebiasaan, hilang selera makan, bernafas dengan laju secara konstan (mencungap) dan menggigil. Suhu badan yang tinggi boleh mengakibatkan si comel kita berada dalam keadaan tidak stabil seakan-akan menggigil.
Selain itu, simptom-simptom lain seperti bulu-bulu badan yang menegak atau serabai, tidak memberikan reaksi ketika diajak bermain, ada kalanya air liur meleleh tanpa sebab dan pucat pada bahagian hidung, mata, gusi serta tapak kaki.
7.Minum dalam kuantiti yang banyak dan kerap: Antara punca kucing terlalu kerap minum, mungkin mereka sedang mengalami masalah seperti serangan virus parvo, kelenjar tiroid, diabetes dan buah pinggang.
Jika si comel anda menghadapi tanda-tanda tersebut, tindakan segera untuk dibawa ke klinik veterinar berdekatan amatlah disarankan.


Hasilkan 2,000 karipap sehari

Posted: 05 Dec 2014 06:53 PM PST


SELEPAS tiga tahun, Karipap Gedabak sudah mempunyai tujuh cawangan di sekitar Shah Alam dan Klang di Selangor.


"PERSAINGAN dalam kalangan graduan untuk menembus pasaran pekerjaan pada hari ini terlalu tinggi. Disebabkan itu, mereka perlu berfikir ke hadapan agar tidak bergelar penganggur.
"Alam perniagaan dan bergelar usahawan merupakan antara bidang yang boleh mereka ceburi," saran Muhd. Syukri Shariffhudin, 24, pemilik dan pengusaha jenama Karipap Gedabak yang diusahakan sejak tiga tahun lalu.
Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang, Klang di Selangor itu terjun dalam dunia pekerjaan sejurus tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan menjadi ejen insurans.
Dua tahun menceburi dunia pekerjaan insurans, dia menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota dalam diploma perniagaan.
Namun, selepas kira-kira setahun, pengajiannya terkandas dek kerana masalah kewangan. Tidak mahu berputus asa dan dibelenggu rasa sesal, Muhd. Syukri memberanikan diri terjun dalam dunia perniagaan bermodalkan dana sebanyak RM1,000.
"Waktu itu saya memang buntu kerana ingin sekali menggenggam segulung diploma. Apatah lagi bidang perniagaan sememangnya jurusan yang saya minat. Namun, saya anggap ia sebagai tiada rezeki," katanya yang masih ingin menyambung pengajian.
Kali pertama terbabit dalam perniagaan, modal sebanyak RM1,000 itu dilaburkan untuk membeli peralatan seperti payung, meja, dulang dan bahan mentah seperti tepung gandum.

KARIPAP Gedabak turut membuka ruang kepada individu yang mahu menambah pendapatan dengan pakej RM350.


Selama enam bulan berniaga di pasar malam, Muhd. Syukri sering mengalami kerugian. Sungguhpun begitu dia tidak pernah mengalah sebaliknya berusaha menghasilkan makanan yang unik.
Akhirnya dia bersama adiknya, Muhd. Zhafir, 23, memperkenalkan Karipap Gedabak sebesar tapak tangan dewasa.
Sering mengelak melakukan sebarang pinjaman, dia menggunakan wang simpanan peribadi untuk membeli bahan mentah seperti tepung, mentega, daging dan ayam.
Bermula dengan 100 biji karipap berintikan ayam dan daging, ia meningkat secara berperingkat sehingga mencecah 400 biji sehari.
Kini, setelah berumah tangga dan mempunyai seorang anak lelaki berusia empat bulan, Muhd. Syukri tidak lagi aktif berniaga di pasar malam sebaliknya membuka cawangan di sekitar Shah Alam dan Klang di Selangor.
Jika dahulu karipapnya sebesar tapak tangan dewasa dijual pada harga RM2.50 sebiji tetapi kini, ia diolah kepada saiz sederhana.
Sehingga kini, dia mempunyai tujuh cawangan di sekitar Shah Alam seperti Seksyen 7, Puncak Perdana, dan Klang membabitkan penghasilan karipap sehingga 2,000 biji sehari.
Lima jenis inti
Dijual pada harga RM1 sebiji, Karipap Gedabak menyediakan lima inti berbeza. Anehnya Karipap Gedabak tidak menyediakan inti kentang.
"Ramai pelanggan meminta saya menghasilkan karipap berinti kentang. Walaupun permintaan tinggi, saya tidak mahu menanggung risiko.
"Sukar untuk menjaga kesegaran kentang dalam tempoh lama. Disebabkan itu, saya mengolah inti supaya kesegaran inti dan karipap terpelihara," katanya sambil memantau 14 pekerja di kediamannya di Batu Belah, Klang.
Lima inti tersebut mempunyai peminatnya yang tersendiri dan laris dijual. Ia membabitkan inti sardin, piza, telur dan filet, telur dan ketam serta telur dan sosej. Karipap Gedabak juga bakal memperkenalkan inti makaroni keju.
Dalam sehari, Muhd. Syukri memerlukan 50 kilogram tepung gandum dan 350 biji telur gred A untuk diadun menghasilkan sehingga 2,000 karipap.
Dia sering melakukan lawatan ke setiap cawangan secara mengejut. Dalam lawatan itu, Muhd. Syukri gemar mendapatkan maklum balas daripada pelanggan untuk menambah baik karipapnya.

BAHAN yang segar diperlukan agar kesegaran inti karipap sentiasa terpelihara selain rasa yang enak.


Malah, bagi membantu golongan yang mahu menambah pendapatan, Muhd. Syukri memperkenalkan pakej memulakan perniagaan dengan kos RM350.
Pakej tersebut menawarkan 200 biji karipap, dulang dan kain rentang promosi. Kos selebihnya seperti payung dan meja perlu disediakan sendiri pengusaha.
Berbicara mengenai pelan jangka masa panjang, dia mahu Karipap Gedabak dijual di pasar raya dan runcit dalam produk makanan sejuk beku.
Sebelum mencapai impian itu, dia perlu memastikan jumlah cawangannya bertambah bagi mengumpulkan modal yang cukup untuk beralih kepada perkhidmatan makanan sejuk beku.
"Ada yang berminat untuk menjadikan Karipap Gedabak sebagai perniagaan francais tetapi saya lebih berminat menjalinkan usaha sama dan menghasilkan produk sejuk beku.
"Idola saya dalam industri ini ialah Ramly Burger," katanya kini sedang mengumpulkan modal membeli sebuah kilang selain menambah jumlah cawangan kepada 15 lokasi.


Raih Pingat Emas Berganda BIS 2014

Posted: 05 Dec 2014 06:47 PM PST

ZAWATI (kiri) menerima Pengiktirafan Emas Berganda daripada Pengerusi Juri BIS, Jeffrey Woolf di London baru-baru ini.


SEBAGAI seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor, Profesor Madya Dr. Norzila Othman, 41, tidak lekang melakukan pelbagai kajian dan penyelidikan.
Ia selaras dengan visi UTHM sebagai sebuah universiti bertaraf dunia dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi untuk pembangunan mampan. Justeru itu, penyelidikan Norzila dan ahli kumpulannya merupakan satu sumbangan besar kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Pencapaian Norzila bersama Profesor Madya Dr. Zawati Harun, 41, dan Dr. Soon Chin Fhong,40, yang mewakili UTHM dalam pertandingan The British Invention Show (BIS) di Pusat Pameran Barbican, London, Oktober lalu boleh dibanggakan apabila mengangkat nama universiti itu di mata dunia.
Ketiga-tiga penyelidik itu berjaya meraih tiga anugerah Grand Final Double Gold dengan Pengiktirafan Emas Berganda dan Pingat Emas menerusi hasil penyelidikan masing-masing.
Norzila bersama dua rakan penyelidik yang merupakan Ketua Pusat Penyelidikan Pencemar Mikro (MPRC) FKAAS, Prof. Madya Dr. Aeslina Abd. Kadir dan Dr. Rafidah Hamdan serta 26 orang penyelidik Pusat Penyelidikan Bahan Cemar Mikro (MPRC) termasuk pelajar pascasiswazah telah memenangi anugerah menerusi inovasi produk bahan penjerap untuk menjerap logam berat.
Penyelidikan tersebut bertujuan menghasilkan bahan sebagai penjerap logam berat dalam perawatan air dan air sisa di loji.
Air larian permukaan merupakan sumber utama air di negara ini. Air tersebut terdedah kepada pelbagai jenis pencemar organik atau bukan organik sebelum dirawat di loji. Pencemar yang rencam (bercampur) dan kos yang tinggi merupakan satu kekangan besar dalam usaha untuk merawat air dan air sisa di negara ini.
Menerusi hasil penyelidikan Norzila, beliau telah menggunakan pelbagai bahan buangan akuakultur, pertanian dan industri bagi menjerap logam berat. Norzila telah membuktikan bahawa bahan terbuang akan memberikan nilai tambah untuk diguna semula sekiranya dilakukan proses prarawatan.
Nilai tambah

NORZILA menunjukkan sisik ikan tilapia yang digunakan dalam produk Bahan Penjerap Untuk Menjerap Logam Berat.


Norzila telah membuktikan bahan terbuang merupakan satu aspek nilai tambah dalam rawatan air di negara ini.
"Pencemaran akan memberikan implikasi terhadap jasad air. Kesannya, keadaan fizikal jasad air akan berubah. Kehadiran bendasing seperti kulampair atau alga akan berleluasa di dalam sungai dan sumber air sekali gus menjadikan ia berbau busuk. Penggunaan bahan biopenjerap akan mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap perawatan kimia dalam merawat air dan air sisa.
"Kami mengambil bahan-bahan terbuang dari kilang-kilang di sekitar Parit Raja," ujar pemegang Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Awam (Kejuruteraan Air Sisa), Universiti Teknologi Mara itu.
Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan penjerap ialah sisik ikan tilapia, tempurung kelapa, sabut kelapa, kulit pisang, kulit tembikai, kulit tembikai susu dan kulit ubi.
Logam berat di dalam air seperti zink dan plumbum memberi impak kepada kesihatan manusia dan persekitaran kerana sifatnya yang kekal dan tidak terurai secara semula jadi. Produk yang dinamakan Bahan Penjerap Untuk Menjerap Logam Berat merupakan kaedah mesra alam kerana sistem rawatannya tidak menggunakan bahan kimia.
Bahan-bahan terbuang itu akan melalui proses prarawatan untuk ditukarkan kepada bentuk serbuk, berbutir atau karbon yang diaktifkan. Ia sesuai diaplikasikan selepas perawatan primer dengan dimasukkan ke dalam turus atau ditambah sebagai bahan pembantu pengentalan dalam proses rawatan air dan air sisa.
Kesannya, loji akan menghasilkan air terawat sebelum dilepaskan ke sistem saliran terbuka. Enap cemar yang terhasil daripada perawatan logam berat juga boleh digunakan sebagai baja untuk tumbuhan landskap atau tanaman yang bukan berasaskan makanan.
BIS merupakan sebuah pertandingan peringkat antarabangsa yang mempamerkan sebanyak 130 produk dari pelbagai negara antaranya, United Kingdom, Turki, Bahrain, Taiwan, Itali, Romania dan Malaysia. Sebanyak 51 produk dari beberapa IPTA dan institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang mengikut pengkelasan kluster seperti inovasi industri, ciptaan perindustrian dan bumi semula jadi bertanding di BIS pada tahun ini.
Dalam pada itu, Zawati memperkenalkan produk membran (selaput nipis berliang) antibakteria juga merupakan satu kaedah terbaik untuk tujuan perawatan dan penapisan air.
Malah, inovasi yang dihasilkan bersama ahli kumpulan penyelidiknya di Pusat Pembuatan dan Bahan Termaju (AMMC) iaitu Dr. Muhammad Zaini dan Dr. Hatijah serta penyelidik Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor merupakan rawatan lanjutan yang diperlukan bagi kebanyakan proses rawatan air yang berkualiti untuk digunakan bagi tujuan-tujuan tertentu.
Jelasnya, teknologi membran digunakan secara meluas di dalam pelbagai aplikasi dan medium seperti penyahgaraman air laut, perawatan air, pemisahan gas, perubatan dialisis, teknologi makanan, tujuan bioreaktor dan farmaseutikal.
Pengasingan

CHIN FONG


Secara umumnya, penapisan membran menggunakan teknologi pengasingan berdasarkan saiz liang pada strukturnya yang merangkumi aspek saiz mikron sehingga ke tahap nano. Teknologi penapisan ini hanya membenarkan jisim-jisim tertentu melaluinya.
Membran yang dihasilkan oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM itu, merupakan gabungan antara bahan polimer dan herba semula jadi yang digunakan untuk tujuan pemprosesan rawatan air dan tujuan-tujuan lain.
"Dalam produk ini, saya menggunakan 70 peratus polimer dan 30 peratus bunga cengkih. Kedua-duanya merupakan bahan organik dan mempunyai kekuatan tersendiri untuk menapis kotoran air. Dalam perubatan, bunga cengkih terbukti sebagai herba yang bertindak sebagai antibakteria," ujar pemegang PhD Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Wales, Swansea, United Kingdom itu.
Di Singapura, teknologi membran digunakan secara meluas untuk penapisan atau penyahgaraman air laut selain dalam proses perawatan air.
Dalam industri penapisan dan perawatan air masa kini, penggunaan bahan tambah daripada partikel inorganik atau logam oksida banyak digunakan dalam struktur penapisan membran untuk meningkatkan prestasi membran bagi tujuan-tujuan yang tertentu termasuklah bagi aplikasi antibakteria. Pengunaan bahan tambah yang berunsurkan partikel inorganik yang bertoksik ini walaupun dalam kuantiti yang sedikit boleh mencemarkan hasil penapisan air sekiranya berlaku kebocoran pada sistem ini.
BIS 2014 merupakan penyertaan kali keempat UTHM dalam pertandingan bertaraf dunia itu. Kejayaan yang dikecapi ketiga-tiga penyelidik itu merupakan bukti penerimaan industri antarabangsa terhadap penyelidikan universiti yang berteraskan industri seperti UTHM.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan penyelidik utama pusat penyelidikan nanoteknologi dan mikrolelektronik Shamsuddin (MiNT-SRC) UTHM, Chin Fhong turut memenangi pingat emas menerusi produk bioteknologi baharu untuk pengkulturan sel tiga dimensi (3D) berdasarkan kristal cecair.
Aspek utama penciptaan produk itu adalah untuk menyediakan satu kaedah perancah bebas bagi pengkulturan tisu mikro 3D dan mesin salutan penyeka untuk menghasilkan substrat (lapisan) kristal cecair untuk sel-sel dikulturkan di atasnya.
Menurut Chin Fhong, penghasilan mesin tersebut merupakan satu cara untuk menggalakkan pengkulturan sel 3D untuk industri ujian ubatan dan kosmetik tempatan.
"Pengkulturan 3D merupakan salah satu langkah untuk mengakses ketoksikan ketika menguji ubat-ubatan dan kinetik peresapan molekul ubat. Model yang dicipta juga lebih sesuai digunakan dalam perubatan untuk menjana semula sel tisu dalam skala mikro. Di Eropah, kaedah ini digunakan untuk menyasarkan pengurangan penggunaan haiwan dalam ujian kosmetik.
"Kristal cecair merupakan bahan yang digunakan dalam pengkulturan sel dalam 3D yang dahulunya digunakan dalam paparan skrin elektronik. Saya merupakan penyelidik pertama menemui kaedah baharu dengan menggunakan hablur kristal cecair dalam pengkulturan sel 3D.
"Mesin salutan penyeka digunakan untuk membentuk lapisan kristal cecair dengan kawalan ketebalan yang dikehendaki. Mesin dan teknik baharu ini telah dipatenkan," ujar pemegang PhD Kejuruteraan Molekul dan Bioperubatan, Universiti Bradford, United Kingdom.
Jelasnya, sel-sel yang dikultur mempunyai ciri-ciri biofizikal dekat dengan tisu semula jadi dan pelekatan sel-sel . Ia juga penting untuk sel-sel dikulturkan ke atas bahan yang bioserasi, tidak beracun dan mempunyai kestabilan haba.
Tambahnya, produk tersebut menyediakan satu kaedah yang mudah dan berkesan untuk pengkulturan sel 3D.
Ia berpotensi digunakan oleh kumpulan pakar dalam industri farmakologi, biologi sel, pelajar perubatan dan jurutera bioperubatan.


Touch N Go sumbang 630 anak pokok

Posted: 05 Dec 2014 06:45 PM PST


SUKARELAWAN membawa pokok-pokok ke kawasan penanaman.


SABAN hari, media massa se­ring mendedahkan berita me­ngenai aktiviti penerokaan hutan yang dilakukan oleh pihak-pihak ti­dak bertanggungjawab.
Sekiranya aktiviti itu tidak diben­dung lebih awal, ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada kehidupan manusia.
Antara kesan penerokaan hutan kepada ma­nusia ialah ke­jadian bencana alam sehingga menjejaskan kualiti hi­dup.
Setiap kali hujan lebat, runtuhan dan banjir lumpur pasti berlaku kerana permukaan tanah terdedah kepada ejen hakisan iaitu air.
Fenomena tersebut akan menyebabkan kawasan pertanian dan penempatan manusia musnah. Kejadian yang lebih dahsyat apabila ia meragut nyawa.
Contohnya, tragedi banjir dan tanah runtuh di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang yang meragut tiga nyawa baru-baru ini.
Dalam kejadian pada 5 November lalu, ia dipercayai berpunca daripada aktiviti pene­rokaan tanah secara ha­ram oleh penda­tang asing tanpa izin (PATI) di kawasan tersebut untuk pertanian.
Selain itu, penerokaan hutan boleh menjejaskan bekalan makanan dan air, habitat semula jadi flora dan fauna serta perubahan suhu bumi.
Menyedari hakikat kepenti­ngan hutan kepada hidupan, Pertubuhan Perlindu­ngan Khazanah Alam Ma­nusia (Peka) telah menganjurkan Program Penanaman Semula Pokok di Hutan Simpan Sungai Lalang, Hulu La­ngat, Selangor.
SEBAHAGIAN daripada kawasan Hutan Simpan Sungai Lalang diteroka untuk projek pertanian sejak sedekad lalu.


Dalam program setengah hari itu, sebanyak 1,500 anak pokok yang terdi­ri dari­pada meranti, balau, cengal dan merawan ditanam di sekitar hutan ber­kenaan.
Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, keempat-empat spesies anak pokok yang ditanam itu dibekalkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Selangor (JPS).
Pemuliharaan
Menurutnya, program yang melibatkan lebih 120 sukarelawan itu turut menda­pat kerjasama Persatuan Pe­ngakap Malaysia dan Touch N Go Sdn. Bhd.
"Saya gembira melihat sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah khususnya ahli-ahli pe­ngakap menunjukkan komitmen dan minat yang mendalam terhadap program pemuliharaan alam semula jadi.
"Program seperti ini diharap mampu menjadi titik permulaan dalam usaha memupuk generasi kini dan akan datang supaya mengamalkan konsep suasana hijau," katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Penolong Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Harman Baharudin dan Penolong Pesuruhjaya Persatuan Pengakap Malaysia Negeri Selangor, Md. Arrif Hairoman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch N Go, Abdul Karim Md. Lassim berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Peka dalam menjayakan program tersebut.
Katanya, program tersebut diharap dapat menjadi perintis kepada agensi korporat lain agar sama-sama bergan­ding bahu dengan badan bukan kerajaan seperti Peka dalam memulihara hutan di negara ini.
"Ini merupakan kali pertama pihak kami terlibat dalam aktiviti berkaitan alam semula jadi.

Seramai 120 orang sukarelawan daripada Persatuan Pengakap Malaysia terlibat dalam program tersebut.


"Sempena program ini, kami telah menyumbang sebanyak 630 anak pokok dengan kos keseluruhan mencecah RM19,000," katanya sambil memaklumkan harga setiap pokok ialah RM3 sebatang.
Dalam pada itu, Herman memberitahu, Hutan Simpan Sungai Lalang mempunyai keluasan 17,027.77 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 1907.
Bagaimanapun, sebahagian kawasan itu telah diteroka dan dimajukan untuk projek pertanian sejak sedekad lalu.
"Oleh itu, pihak Jabatan Perhutanan Selangor mengambil pendekatan menghijaukan kembali kawasan itu dengan menanam anak pokok yang mempunyai daya tahan tinggi," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai Peka dan program-program penanaman pokok, sila hubungi talian 03-5513 3803 atau layari laman web http://pekamalaysia.org.


Rawat air secara BioFil

Posted: 05 Dec 2014 06:44 PM PST



AZNI menunjukkan model sistem penapisan air Biofil dalam sebuah pameran baru-baru ini.


SEORANG Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan sistem rawatan air dan sungai menggunakan sistem BioFil iaitu proses rawatan air semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia.
Inovasi yang dihasilkan oleh Prof. Dr. Azni Idris itu menggunakan bio-media cosmoball untuk menyingkirkan bahan organik dan ammonia dalam air secara biofiltrasi.
"Inovasi ini dibuat daripada plastik khas untuk membolehkan pertumbuhan mikrob berkumpul di atas permukaan cosmoball supaya dapat mengurangkan kadar pencemaran organik di dalam air.
"Rawatan air ini berfungsi dengan air yang tercemar melalui fixed bed yang terdiri daripada cosmoball sarat mikrob," katanya yang merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar.
Menurut beliau, selepas beberapa jam, mikrob itu kemudiannya akan memakan sisa kompleks di sekitarnya sebelum menukarnya kepada karbon dioksida dan air.
Inovasi tersebut tercetus apabila beliau mendapati kebanyakan proses rawatan air menggunakan rawatan kimia yang mahal dan menghasilkan sisa toksik.
Beliau yakin jika rawatan biologi digunakan, proses rawatan air akan menjadi lebih selamat, murah dan mampu digunakan oleh industri penting di Malaysia seperti industri kilang pembuatan, makanan, sektor kumbahan dan projek rawatan air sungai.

Cosmoball digunakan untuk menyingkirkan bahan organik dan ammonia dalam air secara biofiltrasi.


Mengimbas penyelidikan yang bermula pada tahun 1990 itu, ia memasuki fasa skala pilot pada tahun 2007 sebelum siap sepenuhnya pada tahun 2009 dengan bantuan beberapa pelajar Kejuruteraan Kimia.
"Rawatan air ini lebih berkesan berbanding rawatan sedia ada kerana ia dapat dihasilkan dalam jangka masa yang pendek dan memerlukan udara yang sedikit untuk proses pengudaraan.
"Rawatan ini juga memerlukan keluasan tanah yang kecil dan berkesan dalam proses penyingkiran ammonia nitrogen," katanya yang merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran dari Universiti Newcastle, England dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar pada tahun 1989.
Sistem Biofil yang dihasilkan sepenuhnya oleh UPM itu turut menjalani ujian makmal di UPM manakala ujian lapangan skala penuh pula dilakukan dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.
Melalui usaha beliau, inovasi itu dikomersialkan kepada Pakar Management Technology (M) Sdn. Bhd. pada 2012 dengan termeterainya memorandum perjanjian (MoA) dengan UPM Inovasi Sdn. Bhd dan mempunyai paten MY 127825A untuk versi anarobik.
Beliau berkata, kos inovasi itu dianggarkan bernilai RM8 juta sekiranya dibangunkan untuk kumbahan perbandaran, RM3 juta untuk kilang manakala kos loji rawatan sungai pula boleh mencecah RM20 juta.


Projek robotik pelajar ke Rusia

Posted: 05 Dec 2014 06:43 PM PST

REKA bentuk dan pembuatan struktur robot merupakan kaedah terbaik untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains serta teknologi bermula di peringkat sekolah.


MEMINATI bidang sains dan kejuruteraan mekanikal sejak daripada kecil menjadi batu loncatan kepada Zahin Arif Saiful, 14, untuk meneroka bidang robotik di peringkat sekolah.
Sejak di tahun enam, dia terpilih untuk mewakili Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, Kota Kinabalu, Sabah ke Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC).
Zahin Arif menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Sasbadi Holdings Berhad (Sasbadi Holdings) itu buat kali ketiga berturut-turut pada tahun ini.
Lebih manis, anak sulung daripada empat orang adik-beradik yang mewakili Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kota Kinabalu, Sabah itu membawa sekolahnya ke peringkat antarabangsa apabila terpilih menyertai Pertandingan Robotik Dunia (WRO) 2014 di Sochi, Rusia pada 21 hingga 23 November lalu.
Sebanyak 18 pasukan sedang sibuk mengadakan persiapan terakhir di kem Persediaan Teknikal Kontinjen Malaysia ke WRO 2014 di Pusat Sains Negara, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Zahin Arif yang mewakili pasukan Aramaitee FC, MRSM Kota Kinabalu bersama rakannya, Mohd. Fawwaz Zakwan Mohd. Noor, 15, turut memperkemaskan robot yang bakal berentap dalam kategori Gen II Bola Sepak.
Seramai enam orang pelajar mewakili pasukan Aramaitee FC. Setiap pasukan terbahagi kepada dua orang untuk tiga kategori berbeza.
Zahin Arif memberitahu, kem tersebut merupakan peluang terbaik untuk melihat projek robotik yang dihasilkan oleh sekolah-sekolah lain yang turut terpilih untuk mewakili negara ke Sochi.
"Guru pembimbing Aramaitee FC yang juga jurulatih skuad bola sepak sekolah, Mohd. Shamsul Haq banyak memberi tunjuk ajar mengenai strategi robot kami untuk menjaringkan gol dalam pertandingan sebelum ini.
"Selain strategi, pengaturcaraan sensor robot juga mesti tepat untuk memastikan ia mengesan sensor inframerah pada bola di kawasan gelanggang," ujarnya ketika ditemui Kosmo!.
Empat kategori

PESERTA menggunakan perisian pengaturcaraan asas, Lego Mindstorm NXT untuk menggerakkan robot mereka.


Seramai 49 orang peserta daripada 18 pasukan menjalani latihan intensif sepanjang kem tersebut sebelum berangkat ke Rusia. WRO 2014 mempertandingkan sebanyak empat kategori iaitu Kategori Regular (biasa), Terbuka dengan tema Robot dan Angkasa, Gen II Bola Sepak dan Kolej.
Kategori Regular, Terbuka dan Gen II Bola Sepak terbahagi kepada tiga acara iaitu sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas. Sebanyak 450 pasukan daripada 52 negara mengambil bahagian pada edisi ke-11 pertandingan WRO itu.
Dalam kategori Gen II Bola Sepak, Zahin Arif dan rakan-rakan sepasukan di Aramaitee FC melakukan persiapan sejak September lalu iaitu sejurus merangkul gelaran juara kebangsaan pada pertandingan RoboFair MRSM.
Baginya, cabaran yang paling utama dalam robotik ialah menghasilkan sistem pengaturcaraan untuk menggerakkan robot. Format kategori Gen II Bola Sepak sama seperti perlawanan sebenar sukan tersebut. Dua buah robot bertindak sebagai penjaga gol dan penyerang digunakan akan mengasak kubu lawan. Pemenang dikira berdasarkan jumlah jaringan.
"Guru pembimbing kami sering mengingatkan bahawa asas robotik tidak tepat dan tidak stabil sepenuhnya kerana ia hanyalah sebuah alat. Kami perlu memperbaiki setiap kelemahan robot menerusi pengaturcaraan terutama bahagian sensor inframerah agar ia lebih cekap mengesan bola di gelanggang.
"Penyertaan dalam pertandingan ini banyak memberi peluang kepada saya untuk mempelajari aspek robotik. Kami diajar perisian bahasa pengaturcaraan asas seperti C++ dan Lego Mindstorm NXT.
"Pelatih dari Sasbadi Holdings berkunjung ke setiap sekolah untuk mengajar dan memantapkan kaedah mengendalikan sistem pengaturcaraan pada robot kami," ujarnya.
Badan robot yang dibina berteraskan kepingan set permainan Lego yang dicantum itu akan bergerak dengan mengesan sensor yang dipasang pada bola. Situasi itu membolehkan pengaturcaraan menjadikan sistem elektronik robot bergerak lebih laju.

MOHD. SHAMSUL (kanan) sedang menguji kelajuan robot anak-anak murid yang menyertai pasukan Aramaitee FC di atas gelanggang.


Kontinjen Malaysia mempunyai reputasi yang baik pada pertandingan WRO. Dalam tempoh lima tahun lalu, Malaysia telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan sebanyak empat kali.
Pada pertandingan WRO Jakarta, Indonesia tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Sarawak memenangi pingat emas dalam kategori Gen II Bola Sepak.
Selain penglibatan para pelajar dan murid-murid, guru pembimbing turut memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju pasukan robotik sekolah.
Bagi guru pembimbing atau mentor Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China, Georgetown, Pulang Pinang, Chan Huan Zhi, 26, beliau mementingkan komitmen dan disiplin murid-murid setiap kali sesi latihan diadakan.
SJKC Perempuan China terpilih menyertai kategori Regular sekolah rendah dalam acara Roket pada pertandingan WRO 2014 di Sochi. Kategori Regular terbahagi kepada tiga acara iaitu Roket, Sputnik (satelit buatan) dan Stesen Angkasa.
Huan Zhi yang membimbing sekolah berprestasi tinggi itu sejak empat tahun lalu memberitahu, anak-anak muridnya diajar untuk menyelesaikan masalah robotik dalam tempoh masa yang singkat.
Kepemimpinan
"Bagi kategori ini, peserta perlu menyiapkan robot dalam kadar segera mengikut tema yang akan diberi semasa pertandingan kelak. Justeru, saya amat menekankan aspek masa dalam setiap sesi latihan termasuk pada kem ini.
"Pihak sekolah juga menyediakan set robotik yang lengkap untuk kami berlatih dan menyertai pertandingan. Bukan sekadar pengetahuan dalam bidang robotik, murid-murid belajar mengenai aspek kepimpinan dalam kumpulan, terutamanya ketika menyelesaikan masalah," ujarnya yang membimbing tiga orang murid dari sekolah itu.
Sebanyak 1,500 buah sekolah iaitu 700 sekolah rendah dan 800 sekolah menengah menyertai pertandingan NRC yang dianjurkan bagi memilih pasukan yang layak mewakili negara pada pertandingan WRO. Sebanyak 3,096 buah pasukan dibentuk daripada 1,500 sekolah itu.

KONTINJEN Malaysia diraikan dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang untuk WRO 2014 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Sufa'at Tumin di Pusat Sains Negara baru-baru ini.


Sementara itu, wakil pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor dalam kategori Gen II Bola Sepak, Muhammad Aiman Hafiz Mohd. Nazri, 16, memberitahu, pasukannya bertambah yakin untuk bertanding pada peringkat antarabangsa selepas memenangi acara kebangsaan di Port Dickson, September lalu.
Pada saingan di peringkat kebangsaan, pasukan Gen II Bola Sepak Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi atau Sakti Tigers berjaya menumpaskan juara WRO 2013, SMK Bintulu 6-5.
"Kem Persediaan Teknikal Kontinjen Malaysia ke WRO 2014 merupakan lapangan terbaik untuk kami memantapkan aspek teknikal robotik. Guru pembimbing, Mohd. Ahir Samsuri memberi panduan agar kami mencipta robot dengan alat membawa bola yang besar.
"Selain itu, sistem pengaturcaraan juga telah dipertingkatkan agar robot kami bergerak lebih laju untuk menjaringkan gol. Rekaan robot Sakti Tigers lebih besar agar ia tidak mudah jatuh apabila dirempuh pihak lawan.
Namun, saiznya masih mengikut spesifikasi yang ditetapkan," ujarnya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera petroleum.
Walaupun sibuk dalam pertandingan robotik peringkat sekolah, kebangsaan dan antarabangsa, Muhammad Aiman Hafiz tidak pernah mengabaikan pelajarannya.
Pelajar yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu menjelaskan, dia akan memastikan pelajaran dan penyertaannya dalam pertandingan robotik sentiasa seiring tanpa sebarang masalah.


Pemandu Teksi Melayu Memukul Polis Melayu

Posted: 05 Dec 2014 04:26 AM PST

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved