ads

Khamis, 20 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Diana Danielle minta maaf

Posted: 19 Nov 2014 05:20 PM PST


  • Diana Danielle

"SAYA minta maaf pada media yang terasa hari itu. Saya bukannya lari, tapi saya dapat arahan dari pegawai perhubungan awam (PRO) majlis tersebut untuk pulang kerana kerja saya sudah tamat," ujar Diana Danielle tatkala di tebak mengenai tindakannya meninggalkan sebuah majlis pelancaran produk secara terburu-buru, baru-baru ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Diana berkata, dia memang sedia maklum ada media mahu menemu bualnya selepas majlis berkenaan, namun selesai sesi fotografi, dia dimaklumkan kerjanya sudah selesai dan boleh pulang.

"Saya memang tertanya- tanya juga apa yang terjadi dengan media yang nak menemu ramah. Kebetulan pula saya baru balik dari Jakarta dan saya memang penat. Jadi mungkin mereka (PRO) fikir saya penat dan tidak mengapa untuk memberikan saya pulang terlebih dahulu.

"Tapi saya tak pernah minta balik awal ke apa dan saya memang bersedia untuk bekerjasama. Namun saya telah diberikan arahan untuk balik dan saya ikut sahaja apa yang mereka cakapkan," jelasnya yang ditemui pada sesi pratonton filem terbaru lakonan suaminya, Farid Kamil berjudul Kaki Kitai di Puchong, Selangor, semalam.
Aktres berusia 23 tahun ini menambah, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana masing-masing mempunyai alasan yang tersendiri mengenai insiden itu.

"Saya tak salahkan mana-mana pihak. Malah, saya tidak kecewa dengan laporan negatif terhadap saya. Semua ini adalah salah faham sahaja. Saya kalau boleh tidak mahu untuk memanjangkan isu ini.

"Cuma saya berharap jika inginkan lebih penjelasan, pihak media yang melaporkan itu boleh bertanya kepada pihak PR terbabit," ujarnya.

Sementara itu, Farid Kamil yang turut di tebak mengenai isu yang melanda isterinya itu, Farid berkata mempunyai alasan dan prinsip yang tersendiri untuk tidak mencampuri urusan isterinya itu.

"Saya rasa itu semua orang perlu ada prinsip ini kerana saya rasa tidak adil untuk saya menjawab ataupun menjelaskan perjalanan seni bagi pihak seseorang. Jadi saya mengambil langkah untuk menjawab apa sahaja yang berkaitan dengan diri saya. Perjalanan karier seseorang itu, bergantung pada artis itu sendiri.

"Masalah yang ditimbulkan oleh artis seperti lari tidak menjawab dengan media adalah sebahagian daripada hidup sebagai artis. Jadi saya sebagai suami merasakan itu adalah sebahagian daripada kerjaya seni dia," katanya.

Zizan Razak & Faizal Ismail Hos AIM 21

Posted: 19 Nov 2014 02:51 PM PST


Zizan dan Faizal bakal bertindak sebagai hos Anugerah Industri Muzik ke 21 pada 6 Disember depan.
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Zizan Razak dan bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail diumumkan sebagai hos Anugerah Industri Muzik ke 21 (AIM21) yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 6 Disember depan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim dan Pengurus Saluran Astro Ria dan Maya HD, Raqim Ahmad dalam satu sidang media yang diadakan di Hotel Istana pada petang Selasa.
Pasangan itu sebelum ini bergandingan sebagai pengacara program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) yang baharu sahaja berakhir dua minggu lalu.
Raqim ketika mengulas mengenai pemilihan kedua-dua selebriti terkenal itu berkata, keserasian ketika mengemudi AF 2014 menjadi faktor utama pasangan itu dipilih bagi mengendalikan AIM 21 selain kredibiliti mereka sebagai pengacara.
"Sepanjang 10 minggu mereka bersama dalam AF 2014 keserasian itu jelas kelihatan dan atas faktor itu juga kami mahu mengekalkan mereka berdua untuk AIM 21.
"Bagaimanapun tidak dinafikan pemilihan mereka juga adalah atas dasar untuk mendapatkan rating bagi acara itu ketika ia disiarkan secara langsung nanti," katanya.
Dalam pada itu, Rosmin ketika mengulas mengenai pemilihan kedua-dua pengacara tersebut berkata, pihaknya menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak Astro dalam memilih hos sesuai untuk acara berprestij itu.
Barisan artis yang bakal menjayakan Anugerah Industri Muzik ke-21 pada 6 Disember depan.
Jelas Rosmin, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan gandingan Zizan dan Faizal kerana yakin mereka mampu mengendalikan AIM 21 dengan baik pada 6 Disember nanti.
"Keputusan untuk memilih pengacara kami serahkan sepenuhnya kepada pihak Astro dan berpuas hati dengan pemilihan Zizan dan Faizal sebagai pengacara," katanya.
Penyampai radio Era FM, Haniff dan hos Hlive, Dahlia Shazwan bertindak sebagai pengacara di red carpet sebelum acara sebenar bermula.
Sementara itu, Rosmin memberitahu AIM 21 turut diserikan dengan beberapa persembahan istimewa daripada barisan artis seperti Sleeq, Dayang Nurfaizah, Hazama, SonaOne, Joe Flizzow, Haleeda, Datuk Khadijah Ibrahim dan Akim & The Majistret.
Manakala penyampai anugerah yang bakal membuat kemunculan pada malam itu adalah Adibah Noor, Aisyah Aziz, Alif Satar, Amyra Rosli, Amar Baharin, Nurul, Mizz Nina dan Noh Salleh.
Dalam perkembangan sama, Zizan dan Faizal yakin keserasian yang wujud diantara mereka dapat digunakan dengan baik ketika mengacarakan AIM 21 nanti.

‘Bukan mudah jadi Hang Jebat’

Posted: 19 Nov 2014 02:47 PM PST


  • Beto KusyairyBeto Kusyairy

TIDAK dinafikan, bukan semua pelakon mampu menggalas tanggungjawab yang baik dalam pementasan teater lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan naskhah sejarah.

Mengakui perkara yang sama, pelakon Beto Kusyairy yang menggalas watak Hang Jebat menerusi teater Takhta 3 Ratu bagaimanapun komited memberi persembahan yang terbaik.

"Ini kali pertama saya terlibat dengan pementasan teater di Istana Budaya di bawah arahan Erma Fatima.

"Terus terang saya katakan, bukan mudah untuk melakonkan watak Hang Jebat tambahan pula kita hanya didedahkan dengan karakternya semata-mata.

"Tapi saya dan Erma akan lebih berbincang secara khusus bagaimana untuk terjemahkan watak ini dengan cara yang berlainan. Saya anggap ini sebagai cabaran untuk dipikul," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai tawaran itu, Bintang Istanbul Aku Datang ini yakin pengisian teater yang mengisahkan sejarah Kesultanan Melayu Melaka mampu menghasilkan pementasan yang berbaloi.

"Salah satu sebab utama mengapa saya bersetuju untuk terlibat sama adalah pengisian jalan cerita yang diangkat.

"Tidak ada sebab untuk saya tolak tawaran ini tambahan pula bekerja di bawah arahan Erma yang kita sudah tahu kehebatan karyanya.

"Penglibatan saya dalam bidang teater pun sedikit sebanyak dapat mengasah bakat saya dalam lakonan. Jadi ini peluang terbaik buat saya," ujarnya yang bakal tampil dengan lakonan filem terbaharu, Gila Baby, yang bakal ditayangkan awal Disember ini.

Akhiri zaman solo

Posted: 19 Nov 2014 02:45 PM PST


  • Keith Foo

SEJAK awal lagi, aktor tampan ini tidak pernah merahsiakan sisi peribadinya daripada peminat seni tempatan. Malah dia juga sering berkongsi gambar peribadi bersama tunang tercinta, Kim Raymond di laman sosial Instagram miliknya.

Mengakui bakal mengakhiri zaman solonya tahun hadapan, bintang drama bersiri Ariana Rose ini memberitahu, dia sudah bersedia menempuh alam rumah tangga.

"Umur semakin meningkat dan rasanya saya tidak perlu menunggu lebih lama untuk bertukar status," katanya bertunang dengan Kim, Jun lalu.

Jelas pelakon yang dikenali sebagai Keith Foo ini, dia yakin tahun hadapan adalah yang terbaik baginya menamatkan zaman bujang.

"Perancangan telah dibuat dan saya harap semuanya berjalan lancar," katanya hubungannya dengan Kim baik-baik sahaja.

Di aju pertanyaan adakah dia tidak bimbang kariernya mungkin terjejas selepas berkahwin, jelas pelakon berdarah China - India ini, dia percaya kepada rezeki.

"Sekarang peminat menilai kita dari sudut kebolehan dan bakat lakonan, bukan kerana rupa semata-mata.

"Ramai artis yang sudah berkahwin masih mencipta populariti dan nama dalam bidang diceburi.

"Saya yakin, jika itu yang menjadi pilihan peminat, saya akan terus diterima dalam industri ini," ujarnya ketika ditemui pada program Suzuki Mega Roadshow baru-baru ini.

Tolak sikap 'demand'

Beralih mengenai perkembangan terbarunya, Keith sempat meninggalkan pesan buat peminat supaya tidak lupa menantikan filem terbarunya Langit Cinta yang akan ditayangkan Mei 2015.

"Walaupun masih dalam proses pembikinan tetapi saya sangat teruja menantikan pelancaran filem ini. Lebih-lebih lagi ia gandingan sulung saya bersama Fazura.

"Bagi saya dia pelakon yang hebat dan pengalaman berlakon dengannya sangat menarik," katanya.

Selain itu, ujar Keith dia juga sedang menjalani penggambaran beberapa buah drama. Malah dia juga tidak pernah bersikap 'demand' dalam menerima apa-apa tawaran, baik drama mahupun filem.

"Saya mula dikenali dengan drama di negara ini. Bagi saya, peminat sudah selesa dengan kehadiran saya menjadi hero-hero drama.

"Untuk filem pula, jika ada tawaran yang baik, saya akan terima. Itu pun jika ia tidak bercanggah dengan mana-mana tawaran drama atau kerja lain yang sudah diterima," katanya.

Berkongsi mengenai pembabitannya menerusi Suzuki Mega Roadshow, akui Keith Foo, ia merupakan kesempatan terbaik baginya memandangkan dia salah seorang peminat Suzuki.

"Apabila diberi peluang menyertai program ini memang saya tidak menolak.

"Sementelah lagi Suzuki adalah kenderaan pertama yang saya miliki," katanya.

Jelasnya, menerusi siri jelajah tersebut, selain berkesempatan bertemu peminat, dia juga akan berkongsi pengalaman peribadinya, tip dan nasihat kepada pengguna Suzuki.

Ewal komersialkan Iqwal

Posted: 19 Nov 2014 02:42 PM PST

EWAL atau Iqwal, anak muda yang juga anak bongsu kepada bekas vokalis Wings, Mel ini membuktikan kecintaannya terhadap muzik sedang membuahkan hasil.


EWAL, beberapa tahun sebelum ini dikenali dengan nama komersial Iqwal. Namun, maaf cakap, memang tidak banyak yang menyedari kewujudan Iqwal. Siapakah dia? Penyanyi atau pelakon? Itu antara persoalan klise, namun menghiris hati.
Sejak beberapa bulan lalu, situasi itu berubah suhu. Nama Ewal begitu akrab dalam kalangan peminat seni tempatan. Ewal atau Iqwal kedua-duanya masih individu sama, cuma jiwanya sahaja yang berbeza. Empunya nama sebenar Iqwal Hafiz Ismail, 22, itu berevolusi. Kompas hidupnya berubah 360 darjah, dia menjadi penghibur yang sarat emosi dan sedar realiti.
Penyanyi yang menduduki tangga ketiga program realiti Akademi Fantasia 2014 itu bukannya baharu dalam dunia seni, malah anak bekas vokalis kumpulan Wings, Mel itu terlebih dahulu melakar nama di persada antarabangsa dengan memenangi pelbagai pengiktirafan di luar negara, misalnya di Hollywood.
Buktinya, pada usia 12 tahun, Ewal sudah mampu menggubah sendiri lagu-lagunya. Pada usia 16 tahun pula, dia dianugerahkan empat pingat emas pada acara World Championship of Performing Arts di Los Angeles, Amerika Syarikat dan pada usia 21 tahun, dia sudah memiliki empat buah album solo.
Bagaimanapun, populariti tidak selari dengan perjuangannya dalam berkarya. Harus diakui, Ewal tidak diperhatikan sehingga detik dia berdiri di pentas Akademi Fantasia.
"Secara teknikalnya, Akademi Fantasia telah mengubah kehidupan saya secara optimum dan perubahan itu saya rasakan paling drastik sepanjang hayat saya dalam dunia seni. Saya ibaratkan diri saya dilahirkan semula dengan nama baharu dan genre muzik yang berlainan. Saya bukan lagi Iqwal yang dahulu yang bersifat keanak-anakan, malah tiada lagi Iqwal yang berambut panjang," lentur bicaranya.
Kesilapan dan kejayaan
Empat album Ewal, kebanyakan daripadanya dimonopoli oleh genre sama iaitu pop dance dan R&B. Ewal kini lebih terbuka dan mencuba kesesuaian genre berdasarkan usia dan keupayaan vokalnya. Kata anak jati Teluk Intan, Perak itu, sepanjang berada di Akademi Fantasia, dia dibenarkan meneroka dan bereksperimentasi dalam da segala sudut.
"Bukan sahaja bidang muzik, malah saya belajar banyak perkara ketika di Akademi Fantasia. Saya seorang yang suka meneroka perkara baharu dan saya dapat rasakan perubahan diri sendiri, terutama­nya Ewal yang sekarang. Orang pun lebih sukakan imej saya terkini dan sejujurnya saya mahu dikenali sebagai Ewal dan bukan lagi Iqwal.
"Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya dan kehidupan, saya mahu mencari di manakah kesilapan saya sebelum ini dan setelah memasuki fasa baharu saya mahu memuaskan hati orang berbanding diri sendiri. Mungkin dahulu, pendengar di Malaysia sukar menerima cara dan muzik saya, tambah pula nasib saya kurang baik ketika itu.
"Apa pun, saya tidak pernah kecewa dengan kesilapan lalu kerana saya sentiasa dikelilingi individu yang tidak jemu memberikan sokongan seperti ibu dan bapa saya. Mereka banyak memberikan nasihat supaya saya ber­­tahan dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang penyanyi," katanya yang pernah menjual hanya 15 unit album ketika menerbitkan album sulungnya beberapa tahun lalu.
Menyifatkan dia kini diasah dan dilahirkan menjadi seorang penghibur yang bukan hanya mampu menyanyi bahkan juga menari, kata Ewal, dia tidak membiarkan dirinya hanyut dihentam komen negatif yang menyifatkan dia tiada faktor istimewa.
"Itu hak orang untuk bercakap dan sudah menjadi lumrah untuk orang suka atau tidak. Saya mengambil kritikan yang positif untuk memperbaiki segala kekurangan saya. Kehidupan ini berkisar risiko, sama seperti keputusan untuk menyertai Akademi Fantasia, seandainya rezeki saya tidak berpihak untuk rancangan ini, saya akan tetap terus mencuba perkara baharu," ujar Ewal.
Sekat rezeki orang
Anak bongsu daripada dua beradik itu pernah didakwa menyekat rezeki orang yang belum pernah merasai dunia artis apabila mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Fantasia 2014. Berbalik pada soal rezeki dan peluang, Ewal menegaskan, dia percaya pada bakat dan keupayaannya.
"Saya sekadar mencuba nasib, tersenarai untuk 12 terbaik pun sudah memadai bagi saya kerana dalam rancangan realiti, apa sahaja boleh berlaku. Saya berserah pada rezeki dan saya tahu saya berbakat.
"Di Malaysia pun jarang-jarang ada penyanyi yang boleh bertahan lama, jadi saya melihat anugerah yang Tuhan pinjamkan kepada saya harus diguna dengan cara yang betul seperti menyertai Akademi Fantasia.
"Akademi Fantasia mengete­ngah­kan bakat, dapat atau tidak saya ber­serah pada takdir," tegasnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Harapan dalam Festival Suara Emas ASEAN di Vietnam pada tahun 2011.
Membesar dalam keluarga seni, Ewal mengakui kehidupannya banyak dipengaruhi oleh bidang muzik apabila sering mengikuti bapanya, Ismail Zainudin (Mel Wings), 48, membuat persembahan dan menggubah lagu di studio milik keluarganya.
"Keluarga saya tidak pernah memaksa saya menjadi penyanyi, sebaliknya memang saya meminati bidang muzik sejak kecil. Apabila keluarga melihat saya cenderung dalam bidang ini, jadi mereka memberikan soko­ngan kepada saya.
"Pada usia 14 tahun saya berhenti sekolah dan mengikuti pembelajaran dari rumah sahaja (home school). Kemudian saya melanjutkan pelajaran di The Singing Shop, Subang Music School hingga memperoleh Diploma Muzik dari institusi berkenaan.
"Saya tidak menolak bahawa kecenderu­ngan ini disebabkan oleh persekitaran saya membesar. Saya tidak se­perti kanak-kanak lain ketika kecil. Keba­nyakan masa dihabiskan di studio di rumah saya untuk menyanyi dan mencipta lagi, malah kawan-kawan saya juga terdiri daripada golo­ngan dewasa. Saya mahu mencetuskan fenomena dalam bidang muzik, bertahan lama dan menghasilkan karya yang berkualiti," singkap Ewal yang dahulunya lebih cenderung dalam genre muzik rock.
Kembalikan Semula
Sementara itu, tuah Ewal sekadar menduduki tempat ketiga pada final Akademi Fantasia beberapa minggu lalu tidak menghalangnya untuk terus berkarya. Menerusi lagu ciptaan Adeeb Nahar berjudul Kembalikan Semula, Ewal melihat ke­sesuaian vokalnya kini lebih kepada genre muzik balada dan pop sebelum dia benar-benar yakin mene­roka muzik berbeza selepas ini.
"Lagu itu kena dengan jiwa dan kekuatan vokal saya. Mungkin buat masa sekarang saya akan lebih memberikan tumpuan dalam genre muzik pop dan balada supaya peminat boleh menerima perubahan ini perlahan-lahan. Pada masa akan datang mungkin saya akan beralih pada genre saya sebelum ini atau mencuba sesuatu yang baharu pula.
"Apabila diumumkan mendapat tempat ketiga, saya akur dengan keputusan tersebut. Hal pertama yang saya sematkan dalam fikiran, saya sudah melakukan sehabis baik dan berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir adalah kemenangan besar kepada saya. Juara itu bonus sebenarnya.
"Buat masa sekarang, saya akan terus menghasilkan lagu dan sudah ada 10 buah lagu dalam simpanan saya yang sudah siap dibikin bersama lirik. Antaranya Dusta, Never Let You Go dan Baby Girl (sudah berada di Youtube)," tambah Ewal.


Mas Idayu tidak malu

Posted: 19 Nov 2014 02:41 PM PST



MAS IDAYU menganggap kritikan sebagai asam garam dunia artis.


HARGA diri dan nilai profesionalisme seseorang artis tidak mudah punah hanya disebabkan oleh kritikan. Masak dengan 'sindrom peminat ialah juri', Mas Idayu tidak jatuh reputasi hanya kerana dikritik secara terbuka oleh seorang individu yang mahu menjadi penyanyi.
Ceritanya bermula apabila ratu dangdut yang terkenal dengan kelantangan bersuara itu terlibat dalam uji bakat sebuah program realiti nyanyian kendaliannya. Fokus rancangan itu memaparkan Mas Idayu yang tidak berminat untuk mengambil salah seorang peserta uji bakat tersebut untuk digilap menjadi anak muridnya. Tidak seperti situasi biasa, alasan penolakan Mas Idayu tidak boleh diterima oleh peserta uji bakat terbabit sehingga mencetuskan suasana tegang.
Tidak puas hati dan berang ekoran tidak terima masuk ke dalam program berkenaan, peserta itu secara terang-terangan mempersoalkan kredibiliti Mas Idayu. Lebih dramatik, penyanyi yang sudah 22 tahun berada dalam industri muzik itu diherdik peserta berkenaan.
Padahnya, atas nama realiti, Mas Idayu harus menahan telinga apabila diselar sebagai bukanlah seorang penyanyi hebat, bahkan ton suaranya juga tidak sedap.
Adegan itu disiarkan dalam program realiti terbitan sebuah stesen televisyen swasta.
Menurut Mas Idayu, sepanjang pengalamannya menjadi juri pelbagai program nyanyian, itulah kali pertama dia berhadapan dengan peserta yang sungguh biadab.
KOSMO!: Apakah perasaan Mas Idayu apabila dikritik suara tidak sedap oleh peserta uji bakat program realiti nyanyian?
Saya tidak rasa malu dan tidak terasa hati pun dengan kritikan yang diberikan kerana saya sudah berada di tahap berbeza dengan peserta itu. Siapa dia untuk pandang rendah kepada saya yang mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam industri seni, sedangkan dia baru berusia 22 tahun dan bukan siapa-siapa. Jika saya tidak bagus, kenapa dia datang uji bakat program kendalian saya?
Adakah komen itu menjejaskan reputasi anda sebagai ratu dangdut Malaysia?
Itu gelaran yang diberi oleh peminat bukan saya yang minta. Saya sendiri segan untuk mengaku sebagai ratu dangdut atau penyanyi legenda, kerana berasa masih terlalu kecil.
Selepas episod saya dikritik itu disiarkan, ramai yang menganggap peserta itu mempunyai masalah kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa dia tidak boleh menyanyi. Saya masih seperti biasa, tiada apa pun yang terjejas.
Sebenarnya apakah yang berlaku sehingga peserta uji bakat itu berani mengeluarkan kritikan yang sebegitu biadab?
Peserta itu kecewa kerana saya tidak terima dia sebagai anak didik dalam program realiti berkenaan. Dia minta untuk saya ajar dia, sudah cukup baik saya ajar dia sekejap ketika proses uji bakat tersebut
Hakikatnya, dia memang tidak boleh menyanyi dan sebab tidak puas hati, dia mula mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengar serta mula bersikap biadab
Apabila saya kata, cuba nyanyikan lagu asli, dia menjawab saya bukan Orang Asli! Jika bukan biadab, apa lagi yang saya boleh kategorikan peserta itu?
Sepanjang menjadi juri pelbagai program nyanyian, adakah ini kali pertama anda bertemu dengan peserta yang biadab?
Ya, ini kali pertama. Saya tidak pernah jumpa orang seperti itu. Selalunya, peserta merayu minta untuk dipilih, bukannya melepaskan geram kepada juri. Ikutkan hati, mahu sahaja saya baling kasut tinggi yang saya pakai ke mukanya, sebab terlalu geram tetapi saya fikir balik, buat apalah saya mahu jadi seperti dia. Lebih baik saya bersabar, nanti imej saya pula yang buruk. Inilah asam garam dunia artis, harus banyak bersabar.
Adakah anda berbangga apabila sering dipanggil menjadi juri program nyanyian?
Saya bersyukur dan berbangga berada di tahap sekarang kerana perjalanan seni saya bukan mudah. Apa yang boleh saya cakap, satu penghormatan kepada saya apabila diberi kepercayaan untuk menilai vokal dan menggilap bakat orang lain.
Selain sibuk menjadi juri, apakah perkembangan terbaharu kerjaya nyanyian anda?
Saya akan bekerjasama dengan penyanyi dangdut Amelina yang bakal membuat kemunculan semula tidak lama lagi
Komposer, Ajai yang buat lagu untuk projek tersebut. Bagaimanapun, saya tidak boleh dedahkan butirannya secara terperinci.
Selain itu, saya juga sedang menunggu lagu genre pop dan balada. Bukan sebab lagu dangdut tidak laku tetapi ramai peminat yang minta saya menyanyikan sebuah lagu balada. Apa salahnya saya memenuhi permintaan tersebut.


Filem Villa Nabila milik Syafiq

Posted: 19 Nov 2014 02:39 PM PST


PENGGAMBARAN filem Villa Nabila hanya mengambil masa selama dua minggu.


PengHujung tahun lalu, satu Malaysia digemparkan dengan berita kehilangan seorang remaja lelaki di sebuah banglo lama bernama, Villa Nabila.
Banglo lama yang terletak di Johor Bahru itu sememangnya cukup popular dengan pelbagai kisah seram dan rumah tersebut diiktiraf sebagai salah satu tempat paling 'keras' di Malaysia.
Melihat fenomena yang tercipta oleh Villa Nabila sehingga ceritanya muncul di muka depan akhbar arus perdana, pengarah Syafiq Yusof merasakan jenama Villa Nabila itu cukup kuat untuk dijual di panggung wayang.
Sehari selepas berita kehilangan remaja itu dilaporkan akhbar, Syafiq terus merangka perjalanan cerita dan merancang penggambaran filem tersebut.
Menariknya, selain Syafiq, terdapat dua syarikat produksi lain yang turut berminat membikin filem berkisarkan Villa Nabila. Bagaimanapun, judul filem itu menjadi milik Syafiq memandangkan dia merupa­kan orang pertama yang menghantar sinopsis serta borang kebenaran untuk keluar penggambaran atas judul Villa Nabila kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
"Alhamdulillah, walaupun saya tahu ada produksi lain yang turut berminat untuk menghasilkan filem Villa Nabila, akhirnya rezeki itu berpihak kepada saya," jawab Syafiq yang ditemui baru-baru ini pada majlis sidang akhbar filem Villa Nabila dan Desolasi di Restoran Has­ lam, Kuala Lumpur.
Menurut Syafiq, idea untuk menghasilkan filem berkenaan muncul apabila dia bertemu dengan dua pembikin filem bebas, Daniel Martin dan Rosalli Azrin yang telah memuat naik satu dokumentari tentang kehilangan remaja terbabit.

AKSI Pekin dalam salah satu adegan filem Villa Nabila.


"Apa yang menarik, Daniel dan Rosalli telah menjumpai notis merobohkan banglo tersebut. Selepas bertemu de­ngan kontraktor yang bertanggungjawab merobohkan banglo itu, pelbagai kisah seram dikongsi kontraktor tersebut," tutur Syafiq.
Kisah benar
Tambah Syafiq, 80 peratus daripada filem Villa Nabila merupakan kisah benar hasil kajian mereka dan hanya 20 peratus sahaja ditambah untuk mencantikkan lagi filem tersebut.
"Apa yang saya baca di akhbar, realiti­nya sungguh berbeza apabila saya bertemu sendiri remaja yang hilang, keluar­ganya dan pihak polis yang terlibat dalam kes mencari remaja itu.
"Banyak kisah lain yang tidak diceritakan kepada umum. Begitu juga dengan kisah dua kontraktor itu. Apa yang boleh saya janjikan, filem Villa Nabila sebuah filem dokumentari cereka seram yang berbeza kerana ceritanya diangkat daripada kisah benar," kata Syafiq.
Filem yang menjalani penggambaran selama dua minggu di lokasi sebenar ba­nglo itu berjalan dengan lancar. Ba­gaimanapun, sepanjang penggambaran bermula, dari hari pertama sehingga hari kelapan, ada sahaja tragedi kemalangan jalan raya berhampiran banglo tersebut. Salah satu daripada tragedi tersebut membabitkan kemalangan maut.
"Tidak tahu sama ada secara kebetulan atau kerana gangguan, saya tidak berani komen. Mungkin juga jalan di situ agak bahaya.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, seorang ustaz sentiasa ada bersama kami sepanjang penggambaran berlangsung. Alhamdulillah, kami tidak mengalami sebarang kejadian mistik sehinggalah pulang ke Kuala Lumpur," tutur Syafiq.

SYAFIQ (kiri) bersama pelakon utama filem Villa Nabila, Pekin dan Tisha. Filem Villa Nabila mengambil masa selama setahun untuk disiapkan.


Memilih pelakon Pekin Ibrahim dan Tisha Shamsir sebagai teraju utama filem Villa Nabila, tegas Syafiq, kedua-dua pelakon berkenaan dipilih kerana mereka berdua cukup mirip dengan karakter sebenar dalam kisah yang di­terokai.
"Filem Villa Nabila sebuah kisah benar, jadi saya harus mencari pelakon yang mempunyai wajah dan perwatakan yang hampir sama karakter dalam kisah itu.
"Mereka berdua juga memberi lakonan yang cukup memuaskan. Bagi saya, gan­dingan mereka cukup menjadi," kata Syafiq.
Pekin ketika ditemu bual membe­ritahu, filem Villa Nabila cukup berbeza berbanding filem seram yang pernah dilakonkan sebelum ini.
"Saya memegang watak seorang kontraktor bernama Amar. Sebelum berla­kon, saya terlebih dahulu berjumpa de­ngan lelaki yang juga kontraktor yang terbabit dalam operasi merobohkan Villa Nabila. Saya tiru cara pakaian, bercakap dan gerak-gerinya. Bagi saya, agak sukar untuk melakonkan watak Amar kerana sa­ya harus melakonkan watak individu yang sebenar.
"Lebih mudah melakonkan watak ciptaan tetapi melakonkan semula sebuah kisah benar satu perkara yang sukar. Banyak aspek yang harus saya teliti supaya lakonan saya mencerminkan kebenaran kepada penonton," luah Pekin.
Filem Villa Nabila arahan anak bongsu penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam itu bakal menemui penonton di 70 buah pawagam seluruh negara bermula 15 Januari tahun depan.


Doktor rugi RM75,750 angkara Khalisya Najwa

Posted: 19 Nov 2014 02:37 PM PST


Siti LATIPAH dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka semalam selepas didakwa atas enam pertuduhan menipu seorang doktor lelaki.


MELAKA – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas enam pertuduhan menipu seorang doktor lelaki membabitkan kerugian berjumlah RM75,750 pada Oktober dan November lalu.
Tertuduh Siti Latipah Mohd. Said, 27, dari Telok Mas, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ke­semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin.
Mengikut pertuduhan, Siti Latipah yang bekerja sebagai jurutera aplikasi komputer sambilan didakwa memperdayakan seorang doktor berusia 26 tahun dengan menggunakan nama Khalisya Najwa sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak enam kali yang kesemuanya berjumlah RM75,750.
Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu di tiga lokasi iaitu Pejabat Pos Besar Bukit Baru, Pasar Raya Aeon Ayer Keroh dan Bank Rakyat di Jalan Hang Tuah, di sini antara 7 Oktober hingga 3 November lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Norina menetapkan ikat jamin RM11,400 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Disember ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. Tertuduh membayar wang ikat jamin tersebut.


Bekas vokalis Exist ditahan

Posted: 19 Nov 2014 02:35 PM PST


EZAD ditangkap bagi membantu siasatan kes dadah di IPD Gombak di Selayang, Selangor semalam.


KUALA LUMPUR – Ezad, bekas vokalis kumpulan Exist ditahan bagi membantu siasatan kes dadah di pekarangan tempat letak kereta di kompleks beli-belah Selayang, Selangor dekat sini semalam.
Satu sumber mem­beritahu, Ezad atau nama sebenarnya Mohd. Rohaizad Mohamad Lazim ditahan pada pukul 1.30 petang ketika dia berada di dalam sebuah kereta Toyota Wish oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurut sumber itu, pihak polis cuba menyelesaikan satu siasatan kes selepas menjumpai satu paket plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu.
"Sebelum menahan Ezad, polis menerima aduan orang awam yang mengatakan penyanyi itu berada di kawasan pusat beli-belah tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


Budak lelaki Mexico buang ketumbuhan sebesar bola sepak

Posted: 19 Nov 2014 02:32 PM PST



Serrano telah menjalani pembedahan selama 12 jam bagi membuang ketumbuhan sebesar sebiji bola sepak pada bahagian leher dan bahunya


ALBUQUERQUE, New Mexico – Seorang budak lelaki Mexico berumur 11 tahun yang menghidap ketumbuhan besar telah menarik perhatian antarabangsa selepas beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) membantunya mendapatkan rawatan di negeri New Mexico, AS, kata seorang jurucakap sebuah gereja kelmarin.
Ketumbuhan itu dibuang dalam satu pembedahan yang panjang baru-baru ini.
Jurucakap berkenaan, Kristean Alcocer berkata, Antonio Ramirez Serrano menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan sebesar sebiji bola sepak pada leher dan bahunya di Hospital Kanak-Kanak Universiti New Mexico, Isnin lalu.
Pembedahan sukar itu mengambil masa lebih 12 jam dengan melibatkan seramai 25 petugas perubatan profesional.
"Proses penyembuhan akan memakan masa yang panjang dan banyak cabaran menanti budak lelaki tersebut," kata Alcocer.
Gereja berkenaan mengambil masa dua tahun untuk mengumpul dana bagi membantu Serrano menjalani pembedahan membuang ketumbuhannya di AS.
Kisah sedih kanak-kanak tersebut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa selepas tersebar di internet.


Cahaya misteri terangi bandar Rezh di Rusia

Posted: 19 Nov 2014 02:30 PM PST



Agensi - CAHAYA tersebut menyebabkan keadaan jalan raya yang gelap tiba-tiba terang seperti waktu siang.


MOSCOW – Satu cahaya cerah berwarna oren yang muncul selama 11 saat di bandar Rezh dekat sini mencetuskan misteri dalam kalangan penduduk setempat.
Cahaya berkenaan berjaya dirakam oleh sebuah kamera video milik seorang pemandu kereta pada Jumaat lalu yang menunjukkan langit yang gelap ketika itu tiba-tiba menjadi terang seperti waktu siang selama beberapa saat.
Lelaki tersebut berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Rezh sebelum satu cahaya terang tiba-tiba muncul di bandar berkenaan.
"Cahaya itu sungguh terang sehingga menyebabkan keadaan yang gelap ketika itu menjadi cerah seperti waktu siang," katanya.
Sementara itu, akhbar The Siberian Times melaporkan bahawa beberapa pakar mengesyaki cahaya tersebut mungkin berpunca daripada pelancaran peluru berpandu atau sebuah tahi bintang yang jatuh ke bumi.
Bagaimanapun, saksi yang melihat kejadian berkenaan tidak mendengar sebarang bunyi dan pihak berkuasa Rusia juga enggan memberikan sebarang komen.


Menguji kekuatan otot tubuh penari

Posted: 19 Nov 2014 02:29 PM PST

Penari-penari perlu bersiap sedia sebelum memulakan latihan tarian balet.


SESIAPA yang pernah menonton persembahan tarian balet, pasti terpegun dengan lenggok badan penari-penari yang penuh lemah gemalai.
Namun, kelembutan yang dipamerkan kepada penonton itu hanya ilusi dan mainan mata.
Dari kaca mata penonton, tarian balet tampak mudah dan penuh kelem­butan, hakikatnya penari-penari terbabit terpaksa berlatih dengan gigih selama beberapa bulan untuk mendapatkan lompatan dan pusingan yang sempurna.
"Lembut itu sebenarnya terletak kepada kekuatan fizikal dan mental se­seorang kerana tarian balet tidak semudah yang disangka. Ia me­rupakan tarian yang paling sukar berbanding tarian-tarian lain."
Demikian pendapat seorang penari balet lelaki, Imran Syafiq Mohd. Affandi, 23, yang merupakan pelajar tarian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
"Balet tidak seperti tarian-tarian lain kerana tarian ini menggunakan keseluruhan otot-otot tubuh yang kita sendiri tidak tahu kewujudannya.
"Dalam balet, meskipun hanya se­kadar berdiri, kita mampu mengeluarkan peluh dan ia dapat membantu membentuk semula struktur badan kita," katanya sambil menunjukkan cara berdiri dengan betul.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, bagi penari yang berjaya mempelajari atau mela­ku­kan tarian balet, lazimnya dia mampu me­lakukan pelbagai jenis tarian lain.
Balet merupakan kursus tarian teras bagi pelajar di Aswara dan mereka perlu menjalani latihan balet sekurang-kurangnya dua kali seminggu selama dua jam.
Misalnya, jika seorang pelajar mengambil tarian India sebagai kursus utama, dia masih perlu mengikuti latihan kelas balet.
Menurutnya, teknik-teknik tarian balet lebih membantunya menguatkan otot-otot berbanding melakukan senaman di gimnasium.
Balet juga merupakan satu tarian tradisional yang kini telah berkembang menjadi sebuah tarian antarabangsa. Ia diperkenalkan pada abad ke-17 oleh golongan elit dari Itali.
Selepas abad ke-17, balet telah ber­kembang ke negara-negara lain seper­ti Perancis dan Rusia malah terdapat banyak pertunjukan diadakan di negara-negara tersebut.
Apatah lagi, ramai penari balet yang terkenal berasal dari ketiga-tiga negara itu seperti Anna Pavlova, Marie Salle dan Auguste Vestris.
Pudar
Namun, di negara kita kewujudan tarian balet semakin pudar. Senario ini berlaku kerana kos untuk mengikuti kelas tarian balet agak tinggi selain kostum penari balet mencecah ratusan ringgit sepasang.
Imran Syafiq anak bongsu daripada tiga beradik berkongsi pengalamannya sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang tarian untuk menjadi seorang penari.
"Keluarga saya terdiri daripada ahli-ahli akademik dan bidang profesional seperti usahawan dan guaman tetapi saya mempunyai kecenderungan yang lain.
"Saya amat minat bidang ini dan bercita-cita mahu pergi jauh," katanya yang banyak mengisi masa lapang dengan menari.
Kesungguhan dan minat Imran Sya­fiq terhadap tarian telah membuahkan hasil apabila dia sering mendapat tempat ketiga teratas dalam kebanyakan pertan­dingan tarian sehingga ke tahap antarabangsa.
Menurutnya, bidang tarian juga banyak membawanya mengembara ke luar negara seperti Australia dan England. Terbaharu, beliau menyertai Festival Tarian Antarabangsa di ibu negara. Kini, dia sedang menyiapkan diri untuk persembahan seterusnya.
"Seperti tarian balet, saya mengambil jurusan tarian India sebagai bidang utama kerana saya amat meminati tarian tradisional bahkan saya juga ingin menghidupkan kembali tarian-tarian tradisional di Malaysia," ujarnya.
Sementara itu, pelajar jurusan tarian balet neoklasik, Aswara, Raziman Sarbini, 23, mengakui bahawa dia tidak pernah tahu tentang kewujudan tarian balet sehinggalah melanjutkan pelajaran di Aswara.
Anak kelahiran Limbang, Sara­wak itu merupakan bekas olahragawan yang tidak pernah me­ngenal dunia tarian tetapi kini dia merupakan satu-satunya penari dalam keluarganya.
Mencuba

PUTERI AISYA MARISSA dan Imran Syafiq bergandingan dalam latihan balet.


"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang penari. Secara tiba-tiba saya rasa ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang tarian.
"Saya tidak seperti penari-pe­nari lain yang mempu­nyai minat dalam bidang ini. Pada mulanya saya sekadar ingin mencuba dan meluaskan pengetahuan. Akhirnya, di sinilah saya berada sekarang," ujarnya.
Minat yang mendalam terhadap ba­let, menyebabkan Raziman melanjutkan pelajarannya di Aswara. Jurusan tarian balet neoklasik masih mempu­nyai elemen-elemen balet yang asal tetapi tarian ini juga mempunyai sedikit sentuhan moden tetapi tempo dan ritmanya lebih laju berbanding balet asal.
Seperti penari-penari lelaki lain, Raziman tidak terlepas daripada kecaman orang ramai ekoran penglibatannya dalam dunia tarian.
"Orang ramai selalu beranggapan bahawa apabila lelaki menjadi seorang penari, secara keseluruhannya dia menjadi seorang yang lembut.
"Tanggapan tersebut salah sama sekali malah kerana mereka tidak tahu mengenai latihan-latihan yang perlu kami lalui setiap hari," tegas­ anak bongsu daripada lapan beradik ini.
Menurut Raziman, selain orang ramai, kenalan rapat dan ahli keluarga juga berasa tidak selesa dengan penglibatannya dalam dunia tarian pada peringkat awal. Sama seperti Imran Syafiq, Raziman turut mendapat tenta­ng­an daripada keluarga masing-ma­sing apabila mereka membuat keputusan melibatkan diri dalam bidang tarian.
"Peringkat awal memang susah kera­na mereka beranggapan menjadi seorang penari tiada masa depan tetapi kami membuktikan bahawa setiap orang mempunyai masa depan tanpa mengira apa pun pekerjaan," kata Raziman. Kedua-duanya bersependapat, selain kekangan dan cemuhan, masyarakat sukar menerima kerjaya penari kerana beranggapan pakaian yang dipakai menjolok mata.
Bagaimanapun, baik Imran Syafiq mahupun Raziman menafikan tidak semua penari-penari mengenakan pakaian yang menjolok mata sebaliknya mereka memakai pakaian yang bersesuaian.
"Masyarakat perlu faham baha­wa tidak semua produksi dan persembahan tarian kami perlu la­ku­kan kerana kami hanya terpilih dalam sesetengah acara.
"Apabila menjalani sesi latihan, kami tidak akan memakai kostum balet tetapi pakaian yang lebih bersesuaian dan selesa," tegasnya.
Universal
Secara amnya, penari lelaki dikehendaki memakai seluar sendat sehingga menampak bentuk tubuh mereka. Bagaimanapun, situasi itu hanya berlaku di negara luar sebaliknya di negara ini mereka mengenakan pakaian yang lebih sopan.
Dua tahun lalu, negara digemparkan dengan larangan pemakaian tutu oleh penari-penari balet dari Singapura. Akhirnya mereka tidak meneruskan hasrat melakukan persembahan.
"Tutu dan balet memang tidak dapat dipisahkan kerana pakaian tersebut cukup sinonim dalam tarian balet," ujar Raziman. Tutu ialah skirt pendek yang dipakai oleh penari balet wanita.
Walaupun dalam dunia tarian yang sama, keadaannya agak berbeza bagi penari balet wanita, Puteri Aisya Marissa Rusli, 18. Pelajar Eximius School of Performing Arts, Petaling Jaya itu menceburkan diri dalam tarian balet sejak berumur tiga tahun.
"Ibu bapa di negara kita selalunya akan menghantar anak-anak perempuan mereka mengikuti kelas tarian balet dan muzik berbanding kelas-kelas lain.
"Namun, saya mempunyai cabaran tersendiri iaitu perlu bersaing dengan penari balet perempuan yang lain supaya para pengajar dapat melihat potensi sebenar saya," katanya yang tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan tarian balet.
Di Malaysia, terdapat lebih ramai penari balet wanita berbanding lelaki yang menyebabkan persaingan antara penari wanita lebih tinggi.
Tambahan pula, hanya segelintir sahaja penari-penari balet yang berjaya meneruskan profesion ini sehingga ke tahap penari profesional dan selebihnya menjadi tenaga pengajar.
Pada bulan Ogos lalu, anak sulung daripada dua beradik ini berpeluang melakukan persembahan balet bersama penari-penari antarabangsa dalam acara World Ballet Superstar Gala di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Dia berasa cukup bertuah kerana dapat menari bersama penari-penari yang hebat bahkan mereka juga sempat berkongsi pengalaman dan petua untuk menari lebih baik.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang bercita-cita untuk menjadi seorang Prima Ballerina, berazam untuk tidak terikat dengan tarian balet sahaja. Prima Ballerina ialah penari balet wanita utama dalam industri.
"Saya sangat menyukai tarian balet tetapi saya cuba untuk meluaskan pengalaman dengan menceburkan diri dalam tarian-tarian lain seperti tarian moden dan latin," ujarnya ketika ditemui di Aswara.
Bagaimanapun, ketiga-tiga pelajar tari itu mengakui bahawa tarian balet perlu diterapkan sebagai senaman memanaskan badan kerana ia dapat membantu menguatkan otot dan ketahanan seseorang.
Tarian balet secara keseluruhannya merupakan tarian universal dan boleh dinikmati oleh semua golongan.


Basikal mewah simbol status elit Paris

Posted: 19 Nov 2014 02:26 PM PST



TAYAR rekaan khas menjadi keistimewaan kepada basikal Hermes.


MENUNGGANG basikal de­ngan tempat duduk yang diperbuat daripada kulit buaya, rangka bingkai emas 24 karat atau dua buah tayar direka khas mengikut tempahan merupa­kan fenomena baharu yang mula me­nular dalam kalangan golo­ngan elit di Paris, Perancis.
Pereka dari Paris, Tokyo hingga ke Milan berlumba-lumba mencipta rekaan paling menarik berharga ribuan ringgit yang menjadi rebutan pengguna kaya bagi mendapatkan sebuah basikal berjenama mewah.
Basikal mewah tersebut menjadi simbol status seperti mempunyai se­buah kereta berjenama di Paris. Ia menjadi rebutan kepada golongan muda profesional hingga kepada pe­nyandang jawatan-jawatan besar da­lam dunia perniagaan.
Situasi itu menyebabkan pereka bersaing antara satu sama lain bagi menarik perhatian pengguna dengan model mewah dan bergaya.
Jenama Hermes yang terkenal se­­bagai pengeluar barangan kulit ber­kualiti tinggi merupakan antara syarikat yang mempunyai pasaran luas dalam memperkenalkan basikal mewah. Model Flaneur dari jenama itu dijual dengan harga bermula RM37,821.
Untuk itu, pemilik membawa bersama kehebatan nama jenama, lapan jenis gear, rangka karbon monoblok, tempat duduk kulit kalis air dan cengkaman pemegang terbaik.
"Basikal ini mendapat sambutan yang menakjubkan daripada penggemar jenama Hermes dan penunggang basikal profesional. Mereka mendapati basikal ini terdapat keistimewaan yang tersendiri diberikan.
"Kami mahu mencipta satu trend menjadikan basikal sebagai pengangkutan kepada masyarakat moden," ujar Ketua Pengarah Hermes Horizon, Francois Dore.
Di satu kawasan yang lain, sebuah syarikat pengeluar kereta Itali, 43 Milano menghasilkan model yang dipanggil Fuoriserie.
Ia menggunakan krom keluli, di­lengkapi motor elektrik di bahagian belakang tayar dan mengambil inspi­rasi rekaan kereta tahun 1930-an sya­rikat itu. Sebuah basikal Fuoriserie dijual dengan harga RM35,134.
Inspirasi
"Rekaan kulit berpintal pada keru­si dan pemegang basikal diambil ins­pirasi daripada rekaan asal kereta kami," ujar Presidennya, Paolo Pininfarina.
Fuoriserie hanya mempunyai 30 unit dan disasarkan kepada golongan berpendapatan tinggi yang tinggal di tengah-tengah ibu kota.
Mengikut fakta sejarah, basikal didakwa dicipta pereka kelahiran Jerman, Karl von Drais pa­da tahun 1817. Sehingga pertengahan abad ke-20, ia mudah didapati dengan harga murah dan menjadi pengangkutan utama kepada sebilangan penduduk di serata dunia.

PEMILIK basikal mewah berpendapat harga yang mahal amat berpatutan dengan teknologi dan rekaan yang berkualiti.


Hari ini, ia juga menjadi aksesori mewah kepada pengeluar-pengeluar kereta termasuk Mercedes-Benz, Porsche, Maserati, Lamborghini dan Ferrari. Mereka menghasilkan basikal berkualiti dan berharga lebih mahal berbanding jenama komersial.
"Dengan menunggang basikal, pengguna berasa bebas. Mereka mampu mengelak daripada kesesakan lalu lintas. Pada masa sama, mereka boleh bersenam sambil menghirup udara se­gar dan menghayati kehidupan yang lebih bebas," ujar pakar pemasaran, Bruno Urvoy yang turut mempunyai sebuah kedai basikal di Paris, En Selle Marcel.
Menjual basikal dari jenama me­wah, kedai itu mempunyai model keluaran Itali, Britain dan Jerman.
Meskipun harga basikal mewah itu di luar kemampuan pengguna yang berpendapatan sederhana, terdapat banyak pilihan yang boleh dipertimbangkan.
Dengan harga RM6,064, pengguna boleh memiliki model Siegfried daripada jenama Schindelhauer yang direka dengan rangka aluminium atau jenama Ludwig 18 yang lebih mahal.
Ubah suai
Bagi Urvoy, definisi mewah adalah selepas pengguna melakukan pengu­bahsuaian. Pengguna mengubah ba­si­kal yang dimiliki sejak zaman kanak-kanak dan menukar bahagian-bahagian tertentu, menambah aksesori dan mengecatnya kembali.
"Sebelum ini, kereta dikatakan sebagai simbol status seseorang. Namun kini, ia mula diambil alih oleh basikal-basikal mewah.
"Mereka mendakwa ia sebagai sa­lah satu gaya hidup dan imej yang menjadi kebanggaan kepada diri sen­diri. Ia sama seperti menyarungkan kasut-kasut daripada jenama mahal," ujar Urvoy.
Fenomena sama turut merebak ke Tokyo kerana terdapat banyak syarikat yang menawarkan basikal kepada penggemar khusus.
Sueshiro Sano, generasi ke sembilan syarikat pengeluar kapal layar mencipta basikal yang dikatakan mem­punyai rekaan dan material ber­teknologi terkini.
"Setakat ini, basikal kami mendapat respons yang positif dalam kala­ngan pengguna," ujarnya.
Sano berkata, sebanyak 20 basikal dijual kepada pelanggan dari Jepun, Belanda, Taiwan dan China. Ia dijual dengan harga RM60,649 yang menawarkan gaya dan nilai eksklusif setanding dengan harganya. – AFP


Selebriti ASEAN selami budaya rakyat Malaysia

Posted: 19 Nov 2014 02:23 PM PST



PARA peserta yang mengikuti program ASEAN Explore Quest Malaysia 2014 kelihatan berpeluh-peluh dan tercungap-cungap selepas bermain tarik upih pinang.
Permainan tradisional zaman kanak-kanak itu sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu tetapi kini, segelintir sahaja yang masih bermain permainan tersebut.
Seorang peserta dari Singapura, Nur Amirah Nur Yahya, 21, me­ng­akui, dia teruja apabila diberi peluang untuk mencuba permainan tersebut.
"Rasa gementar pun ada kerana saya tidak pernah main permainan tradisional ini. Saya kena bersaing dengan pasukan-pasukan yang lain," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Setiap pasukan juga dikehendaki menarik pasangan masing-masing menggunakan upih pinang dan pe­menang ditentukan berdasarkan catatan masa terpantas.
"Susah rupanya menarik pasa­ngan ketika dia duduk atas upih pinang ini... sangat memenatkan," kata Nur Amirah.
Upih pinang merupakan pelepah atau pangkal daun pokok pinang. Pelepah yang digunakan dalam permainan ini adalah pelepah yang sudah tua.
Ia boleh boleh dimainkan bersama dua atau tiga orang. Salah seorang daripadanya perlu menjadi penarik dan yang lain duduk di atas upih pinang tersebut.
Permainan ini sangat menyeronokkan terutamanya jika menjadi penunggang. Namun, awas punggung anda pasti terasa sakit apabila terlanggar permukaan keras seperti batu.
Mengacau dodol

Kehangatan api ketika mengacau dodol membuatkan para peserta berpeluh dan mengeluh kepenatan.


Selain permainan menarik upih pinang, para peserta juga menyertai pelbagai aktiviti tradisional seperti menumbuk kacang menggunakan lesung tangan kayu, memasak dodol dan menyertai istiadat perkahwinan Melayu.
"Saya berasa teruja apabila mendapat tahu akan mengacau dodol kerana selama ini saya hanya pernah memakannya.
"Baru saya tahu bahawa tidak mudah untuk menghasilkan dodol. Lengan saya berasa le­nguh kerana perlu sentiasa mengacau dodol di dalam kuali. Malah, asap juga menganggu tumpuan saya ketika mengacau dodol," katanya sambil mengesat peluh.
Kesemua aktiviti berkonsepkan tradisional itu dijalankan di kawasan Homestay Kampung Lonek, Negeri Sembilan.
Ia merupakan an­tara program yang terkandung dalam ASEAN Explore Quest Malaysia yang yang dijalankan buat kali kedua oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Ia berlangsung selama seminggu bermula 14 sehingga 21 November 2014.
Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada selebriti terkenal dan agensi media dari negara-negara ASEAN mengikuti program ini buat pertama kalinya.
Program tersebut membawakan konsep seperti program realiti di kaca televisyen, The Amazing Race dengan para peserta akan melawati pelbagai lokasi seperti Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.
Peserta juga berpeluang melihat lokasi-lokasi menarik seperti melawat taman tema Hello Kitty World dan Legoland, Johor Bahru dan di Pulau Pinang pula, mereka akan me­lawati kilang penghasilan batik.
Sebelum itu, pada hari kedua program tersebut dijalankan, para peserta dibawa menyertai cabaran telematch di Taman Tema Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor.
Antara cabaran tersebut terma­suklah mencari harta karun, menaikkan bendera menggunakan tali, Bomb Remover dan Tube Fi­ling. Konsep cabaran tersebut lebih kepada sesi suai kenal dan santai.
Dalam kesemua cabaran itu, setiap ahli perlu memainkan peranan dan bekerjasama antara satu sama lain dalam menyelesaikan cabaran dalam tempoh masa terpantas.
Bagi cabaran Bomb Remover, peserta perlu memegang kain kanvas sambil membawa 'bom' atau botol yang berisi air di tengah-tengah kanvas itu. Peserta membawa kanvas tersebut ke garisan penamat.
Peserta dari Filipina, Isabelle De­leon, 20, yang juga merupakan seorang pelakon dan penyanyi berkata, aktiviti yang dijalankan sangat mencabar walaupun tampak senang.
"Kesemua cabaran memerlukan sokongan daripada setiap ahli kumpulan," ujarnya.

Duc VIET (dua dari kanan) menjadi pengantin lelaki dalam cabaran adat perkahwinan Melayu.


Bagi Isabelle Tube Filing atau mengisi air ke dalam bekas yang berlubang merupakan aktiviti yang pa­ling mencabar.
"Lubang-lubang di dalam bekas itu sangat besar berbanding jari-jari kami. Kami terpaksa menggunakan jari kaki dan lidah untuk menutup­nya.
"Lebih-lebih lagi apabila salah seorang daripada kami terpaksa me­nutup mata sambil berlari mendapat­kan air untuk diisi ke dalam bekas berlubang ini," katanya.
Gelagat
Pelbagai gelagat dapat disaksikan dalam acara itu termasuk peserta basah kuyup kerana disimbah air serta bertembung sesama sendiri.
Cabaran-cabaran yang diadakan bukan ternyata menguji minda dan fizikal para peserta, namun ia dapat mengeratkan talian persahabatan antara peserta.
Bagi Tran Duc Viet, 23, yang berasal dari Vietnam memberitahu, dia sangat gembira kerana mengikuti program ASEAN Explore Quest Malaysia ini.
"Pengalaman paling indah saya adalah ketika menjadi pengantin lela­ki dalam cabaran me­ngenali istiadat per­kahwinan kaum Me­layu.
"Dalam adat per­kahwinan ini, pengantin perlu menjalani aktiviti merisik, bertunang, nikah, ber­inai dan bersanding," ujarnya.
Duc Viet berkata, pengalaman pertama kalinya menjejakkan kaki di Malaysia ter­nyata sangat manis dan dia teruja mene­rokai pelbagai destinasi dan aktiviti yang menarik.
"Banyak perkara ba­haru yang saya pe­lajari dan saya berasa sangat bertuah kera­na dapat mengikuti program ini. Sua­tu hari nanti, saya pasti akan datang semula bersama keluarga dan kenalan," ujarnya.
Para peserta program ASEAN Explore Quest Malaysia akan menamatkan aktiviti mereka pada hari esok di Kuala Lumpur.


Pengembaraan dunia fotografi di Guilin

Posted: 19 Nov 2014 02:21 PM PST


Para peserta merakamkan kenangan di puncak pergunungan padi Longji.


Berpeluang mengikuti Photocamp siri lapan di Guilin, Guangxi, China selama enam hari merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Ia disertai oleh 15 jurugambar anjuran Saiful Nang Academy of Professional dan penulis mewakili Perbadanan Filem Nasional (Finas).
Dari lapangan terbang, kami terus menuju ke lembah pergunungan padi Longji yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam dengan menaiki bas. Dinamakan Longji kerana apabila sawah penuh dengan air pada musim panas, ia dikatakan menyerupai skala pada badan naga.
Sebaik memasuki perkampungan tersebut, kami bertukar bas kecil menyusur lorong jalan yang sempit dan jurang setinggi 1,000 meter untuk sampai ke stesen kereta kabel dan menuju ke Golden Buddha Peak.
Merentasi lembah yang telah wujud lebih ratusan tahun itu dengan menaiki kereta kabel memberikan satu pemandangan yang sangat menakjubkan.
Tiba di puncak, perjalanan diteruskan dengan pendakian menyusur lereng pergunungan padi lebih kurang dua jam untuk sampai ke hotel yang terletak di perkampungan Tian Tou.
Pemandangan menakjubkan terasa seolah-olah kembali ke zaman dahulu tatkala melihat perkampungan mereka yang diperbuat daripada kayu dan cara hidup yang masih kekal seperti dulu.
Rambut panjang

Aktiviti mengambil gambar nelayan yang menangkap ikan secara tradisional dengan menggunakan burung dendang air.


Perkampungan Tian Tou adalah perkampungan di lereng bukit paling dalam dan tertinggi di lembah pergunungan padi Longji dan kebanyakan penduduk kampung ini adalah daripada keturunan etnik Yao.
Wanita Yao terkenal dengan mempunyai rambut terpanjang di dunia. Mereka tidak pernah memotong rambut sebaliknya membalut rambut itu dalam ban di atas kepala menyerupai serban India.
Keunikan seni reka rumah tradisi di perkampungan Tian Tou yang sebahagian besar diperbuat daripada kayu dengan ketinggian antara tiga hingga empat tingkat.
Tiket untuk masuk ke perkampungan padi berharga sekitar RM50 seorang, bas dari pintu masuk perkampungan padi ke kereta kabel berharga RM20 seorang dan tiket kereta pula RM35.
Sekiranya membawa barang yang banyak, perkhidmatan mengangkut barang oleh penduduk di sini adalah bermula daripada RM30 untuk sebuah beg.
Pengembaraan diteruskan ke bandar Yangshuo, bandar yang dikelilingi oleh pergunungan batu kapur dan sungai yang menjadikan pemandangan indah seperti lukisan Cina yang biasa kita lihat.
Pada sebelah malam, peserta meneruskan pencarian gambar di sekitar West Street yang dikatakan jalan tertua di Yangshuo dan mempunyai sejarah lebih 1,400 tahun lalu. Terdapat pasar malam di sekitar West Street yang menawarkan pelbagai jenis barangan.

pengunjung boleh membeli pelbagai jenis barangan untuk dibawa pulang di sekitar West Street.


Kami turut berpeluang berbasikal pada hari keempat merentasi perkampungan di sekitar Sungai Yulong sambil merakam keindahan tapak bekas perkampungan lama, dusun limau bali, deretan pokok bunga teratai di perkampungan lama.
Di sebelah petang, kami bergerak ke Sungai Li yang terletak di pekan Xingping, utara Guangxi kira-kira 27 kilometer dari Yangshuo untuk sesi merakam potret nelayan yang menangkap ikan menggunakan cara tradisional dengan sejenis burung dendang air atau lebih dikenali sebagai cormorant.
Nelayan-nelayan ini juga merupakan ikon bagi Guilin dan hanya boleh dijumpai di kampung kecil Xingping. Kami meneruskan bidikan kamera sehingga lewat senja iaitu pada waktu golden dan blue hour. Cahaya petang menyapa wajah nelayan tua mewujudkan gambar yang mempunyai efek yang lebih tinggi.
Rakit buluh
Basikal adalah antara salah satu pengangkutan popular untuk mengelilingi Yangshuo dan kadar sewaan bermula dari RM20. Untuk mengambil gambar nelayan tersebut, kadar yang dikenakan lebih kurang RM180 untuk sesi lima hingga tujuh orang.

Bandar Yangshuo dikelilingi oleh pergunungan batu kapur dan sungai yang menjadikan pemandangan indah.


Meneruskan pengembaraan dengan mengelilingi Sungai Yulong dengan menaiki rakit buluh. Sepanjang perjalanan mengelilingi sungai ini, kami memotret gambar pemandangan yang sangat indah dan terdapat khidmat fotografi mengambil gambar pelancong di laluan arus sungai yang deras.
Selain itu, peserta singgah sebentar di salah satu tebing sungai untuk merasai ikan bakar dan jagung rebus mereka. Sewaan rakit buluh adalah sekitar RM90 untuk satu rakit yang boleh memuatkan dua orang.
Di sebelah petang, sekali lagi peserta menuju ke pekan Xingping. Kali ini kami dipecahkan kepada dua kumpulan bagi mendaki Gunung Lao Zhai Shan dan satu lagi kumpulan bergerak ke sekitar perkampungan lama Xingping yang berusia beratus tahun.
Pendakian gunung setinggi lebih kurang 220 meter itu memakan masa lebih kurang satu jam. Walaupun hujan mula turun ketika pendakian, kami tidak putus semangat dan terus mendaki sambil berbaju hujan.
Tiba di puncak, segala kepenatan tadi terasa amat berbaloi dengan keindahan matahari petang melukis landskap Guilin dengan cahayanya. Masing-masing kemudiannya mengeluarkan tripod dan mula mengambil gambar matahari terbenam.
Rata-rata mengakui bahawa pengembaraan ini memberikan satu pengalaman yang berbeza daripada mengikuti agen pelancongan biasa kerana tempat-tempat yang dilawati adalah bukan tempat biasa pilihan agensi pelancongan.
Guilin mampu memberi nostalgia dan nilai fotografi yang tinggi dan unik.


Rosak kerana cinta terhadap wang

Posted: 19 Nov 2014 02:18 PM PST


Ibu bapa sanggup memarahi anak-anak apabila mereka menghabiskan wang belanja sekolah dalam sekelip mata. – Gambar hiasan


SEJAK kebelakangan ini, kita digemparkan dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kes penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang.
Dua bulan sebelum itu, kita dikejutkan dengan soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dibocorkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kes-kes salah laku seperti ini sebenarnya akan berterusan dan menjadi barah dalam sektor perkhidmatan awam.
Dalam istilah psikologi, gejala-gejala buruk dan menghinakan ini dinamakan sebagai counter productive behavior atau lencongan.
Dalam kata mudah, ia melibatkan gejala songsang yang tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi apabila ia dilakukan oleh mereka yang diberikan kepercayaan untuk menjaga amanah rakyat dan negara.
Isu mengapa seseorang boleh tergamak melakukan gejala menyimpang dalam pekerjaan ini sudah banyak dibincangkan. Secara umumnya, rata-rata pengkaji menyifatkan perbuatan seumpama ini sebenarnya lebih berkait dengan kecenderungan untuk melakukannya secara 'sukarela'.
Ini bermakna, sekalipun individu tadi melakukan sesuatu yang boleh menguntungkan diri sendiri, pada masa yang sama mereka juga tahu bahawa apa yang dilakukan itu adalah satu perbuatan salah.
Kajian-kajian cuba memberikan pelbagai jawapan mengapa orang sanggup melakukan gejala songsang di tempat kerja. Antaranya ialah sebagai satu bentuk sabotaj terhadap organisasi apabila mereka merasakan berlaku ketidakadilan terhadap mereka.
Jadi, salah satu cara untuk membolehkan mereka merasa tenteram ialah dengan melakukan sesuatu yang dianggap boleh merosakkan imej atau reputasi organisasi berkenaan.
Bagaimanapun, ada satu penemuan lain yang sangat menarik dan berkemungkinan besar ia relevan dalam banyak situasi yang melibatkan salah laku dan gejala rasuah di Malaysia.
Boleh dikatakan bahawa sesetengah individu ini sememangnya memiliki sikap 'kecintaan terhadap wang' atau dalam istilah bahasa Inggeris, the love of money.
Motivasi
Sifat ini tidak semestinya negatif dan kadang-kadang ia adalah sesuatu yang normal. Jadi, sebab itulah ada orang sanggup bekerja lebih masa untuk mendapatkan wang yang lebih banyak dan ada pula yang terangsang motivasi mereka sekiranya dijanjikan dengan bonus berbentuk wang dan bukannya dalam bentuk yang lain.
Ia mula menjadi satu masalah apabila kecintaan terhadap wang ini tidak dapat dikawal. Ada orang yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka mendapat wang.
Dalam erti kata lain, wang dianggap mempunyai makna yang sangat besar dalam kehidupan seseorang.
Ada orang yang sanggup membunuh sesama sendiri semata-mata kerana wang tetapi mereka mungkin boleh bersabar sekiranya ia melibatkan isu lain.
Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat mengawal kemarahan terhadap anak-anak sekiranya diberitahu bahawa mereka telah menghilangkan wang belanja sekolah atau berbelanja sewenang-wenangnya.
Ironisnya, ibu bapa tadi mungkin tidak berasa gelisah pula sekiranya anak tadi tidak mendapat markah yang baik dalam peperiksaan.
Kajian-kajian yang dilakukan di Barat setakat ini menunjukkan ada kecenderungan untuk mereka yang mempunyai sikap kecintaan terhadap wang dengan beberapa isu salah laku
di tempat kerja.
Berdasarkan kepada tanggapan bahawa sikap itulah yang membentuk tingkah laku, ahli psikologi percaya bahawa sekiranya sikap kecintaan terhadap wang ini tinggi, maka secara tidak langsung ia mendorong seseorang itu untuk melakukan apa sahaja bagi mendapatkan ganjaran.
Dalam kebanyakan kes yang berlaku di Malaysia misalnya, ada kemungkinan mereka yang terbabit dengan gejala salah laku dan rasuah ini mempunyai kaitan dengan sikap ini.
Mereka merasakan wang adalah segala-galanya. Ini menyebabkan apabila mempunyai kesempatan, mereka akan terangsang untuk menjadikan kesempatan itu dalam habuan wang.
Keuntungan
Dalam kes UPSR misalnya, secara logiknya ia hanya ujian untuk menilai prestasi pelajar sekolah rendah sebelum ditempatkan ke sekolah menengah. Bagaimanapun, ada individu yang sanggup bertindak membocorkan kertas ujian itu untuk keuntungan yang lain.
Sekiranya sekadar untuk keuntungan diri sendiri, soalan tadi mungkin akan diberikan kepada anak-anak sendiri atau kepada ahli keluarga yang terdekat.
Namun, apabila melihat kepada kebanyakan soalan peperiksaan yang bocor dan tersebar itu, pada akhirnya ia mungkin dijadikan sebagai satu peluang untuk mencipta wang.
Mungkin sudah tiba masanya pihak yang terbabit melakukan saringan ke atas kakitangan dengan melakukan ujian kecintaan terhadap wang ini.
Mereka yang terlibat dengan agensi-agensi tertentu, khususnya penguat kuasa tidak boleh meletakkan pegawai yang mempunyai kecenderungan tinggi terhadap wang. Ia mungkin memberikan natijah yang lebih buruk.
Wang mungkin penting dalam hidup manusia. Bagaimanapun, kerosakan yang dicetuskan oleh kecintaan melampau terhadap wang juga patut dibimbangkan bersama.


Sirkit pancing meriahkan Putrajaya

Posted: 19 Nov 2014 02:16 PM PST


Bahanuddin (tengah) membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 berserta hamper selepas muncul juara Sirkit Pancing Putrajaya baru-baru ini.


suasana hujung minggu di Putrajaya cukup meriah baru-baru ini apabila Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan Sirkit Pancing Putrajaya siri 3/2014.
Pertandingan yang diadakan di Pesisiran Tasik Putrajaya berhampiran dengan Monumen Alaf Baru di Presint 2 itu berjaya menarik lebih 3,000 peserta.
Hampir 5,000 pengunjung hadir ke program yang turut menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya pertandingan memasak, mewarna, memancing udang bagi kanak-kanak dan reka cipta bot.
Penyertaan pertandingan memancing yang terbuka kepada orang ramai, khususnya penduduk pusat pentadbiran kerajaan itu bermula pada pukul 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM10 bagi setiap joran dan pemenang ditentukan berdasarkan sistem mata serta berat ikan yang berjaya dipancing.
Johan pertandingan memancing itu, Bahanuddin Mohd. Salleh, 63, berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali ini membuahkan hasil apabila muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM7,000 berserta hamper.
Dengan hanya bermodalkan RM20 dan menggunakan umpan dedak, Bahanuddin berjaya mengalahkan 3,000 peserta lain selepas 15 minit berusaha menjinakkan ikan temoleh seberat 7.6 kilogram.
Bahanuddin yang merupakan seorang pesara kerajaan bersyukur dengan kemenangan tersebut setelah beberapa kali menyertai pertandingan memancing di pusat pentadbiran kerajaan itu, namun gagal meraih tempat.

Aktiviti memancing udang untuk kanak-kanak.


Bapa kepada tiga orang anak itu merancang untuk menggunakan wang kemenangan tersebut bagi membeli peralatan memancing selain kegunaan keluarga.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi Hamzah Hamid, 40, dan Roslan Mohamed, 26, masing-masing membawa pulang RM5,000 dan RM3,000.
Memasak
Dalam pada itu, pertandingan memasak pula dimenangi oleh seorang peniaga makanan, Juamrizam Mohamad, 32, yang berjaya menewaskan 25 peserta lain termasuk 14 orang wanita.
Dia yang mengetengahkan menu berkonsepkan Asia Barat, dikenali sebagai udang skewer siamee sauce berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 berserta hamper dan dua tiket menaiki cruise.
"Udang tersebut saya perap bersama limau, serai, bawang sebelum digoreng dan dihidangkan dengan sos istimewa. Tidak sangka hidangan itu berjaya memikat hati juri," katanya.
Setiap peserta pertandingan memasak dibekalkan dengan kotak rahsia yang mengandungi pelbagai jenis bahan masakan dan bahan utama adalah udang serta labu.
Kesemua peserta diberi masa selama satu jam setengah untuk menyiapkan dua hidangan iaitu menu utama dan pencuci mulut.
Pengarah Jabatan Perancangan Bandar PPj, Datuk Omairi Hashim berkata, sirkit pancing yang dimulakan pada tahun 2012 itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Katanya, program tahunan ini akan diteruskan kerana selain dapat memperkenalkan keistimewaan pusat rekreasi di Putrajaya, ia juga mampu mengeratkan hubungan antara rakan dan keluarga.
"Pengisian yang terdapat pada sirkit ini bertujuan untuk mengisi masa lapang pengunjung daripada pelbagai peringkat umur," katanya.


Subhanallah .. Langit Mekah tiba tiba berubah menjadi gelap malam saat siang hari

Posted: 19 Nov 2014 06:02 AM PST

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved