ads

Isnin, 17 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pemilik bingung nombor plat kereta sama

Posted: 17 Nov 2014 04:27 PM PST


  • Pemilik bingung nombor plat kereta sama

TELUK INTAN - Entah di mana silap, siapa yang melakukan kesalahan menjadi tanda tanya.

Semua persoalan itu pastinya mengundang kebingungan bukan sahaja kepada pemilik dua kenderaan, malah menjadi perhatian orang ramai yang mempersoalkan kenapa nombor pendaftaran sama boleh didaftarkan untuk dua kenderaan berbeza.

Itu yang yang berlaku kepada seorang ejen insurans yang tertanya-tanya bagaimana nombor pendaftaran AJK8033 yang didaftarkan ke kereta jenis Volkswagen Golf miliknya dikongsi bersama pemilik lain. 

Dalam kejadian di Jalan Speedy di sini, Sabtu lalu, dua kereta jenis Volkswagen yang mempunyai nombor pendaftaran sama mengejutkan orang ramai dan mula menjadi viral di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes kini dalam siasatan termasuk mencari punca sebenar persamaan nombor pendaftaran tersebut setelah pengadu (ejen insurans) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Teluk Intan, pada hari yang sama.

Katanya, berdasarkan keterangan pengadu berusia 34 tahun (ejen insurans) terbabit, dia memberitahu menerima maklumat menerusi aplikasi sosial WhatsApp dari rakan-rakannya yang mengatakan terlihat sebuah kereta jenis Volkswagen Golf menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengannya.

Mohd Suhaily berkata, apabila pengadu sampai Jalan Speedy, dia mendapati ada sebuah kereta jenis dan nombor pendaftaran sama namun dimiliki oleh orang lain.

"Pihak polis dihubungi dan bergegas ke tempat kejadian. Pihak kami juga menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang mengaku menggunakan kereta bernombor pendaftaran sama di tempat kejadian dan kereta dirampas," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemilik asal kereta sebelum dibeli pemilik sedia ada.
Bagaimanapun, pengadu iaitu ejen insurans berkenaan tidak ditahan dan hanya diambil keterangan.

Atikah, dunia fantasi & realistik

Posted: 17 Nov 2014 04:23 PM PST

NAMA Atikah Suhaime kini mula meniti di bibir peminat seiring drama rantaian Bila Hati Berbicara yang kini hangat ditayangkan.


KELOPAK bunga bernama Nurul Atikah Mohd. Suhaime mulai memancarkan seri dan haruman wanginya. Ada warna-warna ceria tercalit dalam setiap kuntum mekar untuk dipetik produser dan dituai intipatinya. Bagi gadis yang diterbangkan angin harapan merentasi Selat Tebrau sejak tiga tahun lalu, tunjang yang dibinanya kian kukuh, malah ada segudang impian yang sedang dikendongnya mula menjulang ke puncak.
"Perjalanan saya tiga tahun lalu sangat sukar. Pada mulanya saya fikir senang untuk menjadi pelakon dan selepas tamat belajar saya mencuba nasib mengikuti beberapa sesi uji bakat berlakon di Singapura, namun kebanyakannya gagal. Sekali lagi mencuba akhirnya saya dipilih berlakon dalam dua buah drama iaitu Dikir Puteri dan Delicattessen.
"Kemudian saya bekerja dalam bidang pengiklanan di sebuah syarikat di sana (Singapura) selama setahun, namun saya fikir bukan kehidupan sebegitu yang saya mahukan. Saya melihat kedua-dua ibu bapa saya menjalani rutin sama setiap hari, jadi saya nekad berhijrah dan mengintai peluang di Malaysia.
"Akhirnya saya mengikat kontrak dengan pengurusan Metrowealth (MIG) pada usia 20 tahun dan sehingga kini saya diberikan peluang mencari rezeki di Kuala Lumpur," kata pemegang Diploma Komunikasi Media dari Politeknik Singapura itu.
Singapura ke Malaysia
Setibanya di Malaysia, dia tidak diberikan banyak tawaran berlakon filem di bawah syarikat pengurusannya memandangkan dia berdepan kesukaran bertutur bahasa Melayu dengan baik.
"Saya tidak percaya kelas bahasa, memang pada mulanya ada yang menyarankan saya mengikuti kelas bahasa Melayu, namun saya lebih selesa belajar secara praktikal di set penggambaran. Belajar bahasa di kelas akan menyebabkan saya menjadi kaku dan bertutur seperti robot," ujarnya yang baru memasuki set penggambaran filem Suamiku Jatuh Dari Langit bergandingan bersama Nora Danish.
Anak gadis tunggal kepada pasangan Mohd. Suhaime Jamali, 49, dan Yan Mansor, 49, itu percaya dia tidak perlu terburu-buru membina namanya, malah dia percaya kepada restu ibu bapanya untuk mencari rezeki di tempat orang. Biarpun berjauhan, hampir setiap hari dia berkomunikasi bersama ibunya walaupun hanya dengan panggilan telefon.
"Kalau dahulu ketika saya tidak terlalu sibuk dengan penggambaran, saya akan pulang menjenguk keluarga setiap bulan, namun sekarang kami berhubung melalui panggilan telefon sahaja. Perkara wajib yang saya lakukan setiap hari adalah bercakap dengan ibu saya kerana suaranya sahaja yang mampu memberikan saya motivasi untuk bekerja.
"Saya ditanya kenapa berani datang ke Malaysia demi mencari rezeki dan jawapan saya, keberanian itu diperoleh daripada restu ibu dan bapa saya yang akan mendoakan kesejahteraan saya setiap hari. Masih saya ingat, ketika awal-awal saya di Kuala Lumpur, saya menangis setiap hari apabila ibu saya pulang ke Singapura," singkapnya.
Essence of Atikah
Atikah diusik persoalan antara rupa dan bakat yang pastinya menjadi percaturan hidup atau mati kerjaya seseorang artis pada masa sekarang. Jawab gadis berusia 23 tahun itu, dia memilih kedua-dua elemen tersebut dalam menjamin survival seseorang pelakon.
"Rupa dan bakat, kedua-duanya penting. Kalau ada bakat sahaja tanpa ada rupa orang mungkin akan ingat tapi akan mudah dilupakan sama juga sekiranya ada rupa sahaja. Cantik mesti diiringi bakat dan kebolehan berlakon, namun saya tidak nafikan bakat yang akan menjamin kedudukan seseorang pelakon dalam industri hiburan," jelasnya.
Berkisar soal rupa juga, Atikah realistik dan mahu menempatkan dirinya seadanya. Sering kali dia disamakan dengan beberapa wajah persis pelakon senior, Atikah enggan mengambil pusing dan melihat perkara tersebut sebagai satu cabaran baginya untuk menjadi yang lebih baik.
"Saya adalah Atikah Suhaime dan bukan klon sesiapa. Kalau ada yang menyamakan saya dengan beberapa artis senior, saya tidak boleh elak kerana masing-masing berhak memberikan pandangan atau meluahkan pendapat.
"Saya mengambil persamaan itu sebagai satu cabaran dan persaingan yang sihat untuk menyedarkan saya bahawa saya perlu berusaha untuk menjadi diri saya sendiri tanpa perlu menumpang sesiapa. Memang kalau selalu dibandingkan, saya akan rasa jelik tetapi hal itu adakalanya baik untuk memberikan tamparan kepada diri sendiri.
"Begitu juga soal personaliti, memang seseorang pelakon perlu punyai idola apabila bekerja tapi saya juga punyai karakter tersendiri dan mahu setiap lakonan saya mempunyai 'sentuhan Atikah'," tegasnya.
Tania Katsura
Dua buah karya lakonannya kini sedang hangat ditayangkan di layar perak dan layar kaca. Filem Kelibat arahan Hashim Rejab menuntut kredibiliti mental dan fizikalnya mendukung peranan Azalea bersama pelakon prolifik, Ellie Suriaty dan Fauzi Nawawi manakala karakter Tania Katsura dalam drama rantaian Bila Hati Berbicara menuntut perahan keringat emosi tanpa henti selama empat bulan.
"Penggambaran Bila Hati Berbicara dimulakan sejak bulan Ramadan lalu dan ketika itu fizikal saya sangat kurus.
"Mungkin secara kebetulan badan saya menepati situasi sebagai gadis setinggan bernama Tania Katsura yang perlahan-lahan berubah menjadi individu berbeza daripada episod ke episod.
"Saya menangis pada mulanya kerana watak itu menuntut permainan emosi dan karakter yang berat, malah berbeza dengan wataknya dalam novel. Tania dibentuk semula oleh pengarah, Amie Maziah untuk menyalurkan emosi berdasarkan pandangan mata sahaja dan mendalam daripada hati.
"Ini kali pertama saya diberikan peranan utama untuk drama, ia tidak sama seperti berlakon filem kerana saya perlu mengunci karakter sama selama berbulan-bulan.
"Untuk menjadi gadis setinggan juga sangat susah kerana saya dibesarkan dengan persekitaran moden. Jadi, saya diubah dan dipaksa menjadi individu baharu daripada cara bercakap, berjalan, makan, bekerja dan sebagainya.
"Semua jiwa urban saya dibuang dan sejak membintangi drama itu saya mulai jatuh cinta untuk memakai baju kurung. Sekarang pun saya sudah pandai memasak dan menyiang ikan serta melawan perasaan takut memegang katak," tambahnya yang banyak diajar tentang kehidupan ketika di set penggambaran Bila Hati Berbicara.
Bercinta dan dicintai
Lima tahun dari sekarang, Atikah mahu dirinya terus dicintai oleh peminat di Malaysia dan Singapura. Malah, Atikah memasang impian untuk membawa keluarganya berhijrah dan menetap terus di Kuala Lumpur.
"Insya-Allah saya mahu dicintai peminat di kedua-dua buah negara, mungkin akan sampai masanya untuk saya menetap di Malaysia dan membawa bersama keluarga saya ke sini. Ketika itu kedua-dua orang tua saya tidak perlu bekerja lagi seperti sekarang.
"Kalau soal hati dan perasaan, saya rasa sukar untuk mencari teman yang tepat kerana selalunya lelaki yang saya suka sudah menjadi milik orang (ketawa). Saya mahu mencari yang betul-betul jujur dan memahami saya sebagai seorang perempuan yang tidak gemar lepak atau membazir masa.
"Saya sentiasa terbuka untuk bercinta, cuma saya cuba elakkan berjumpa dengan lelaki yang salah. Mungkin putera impian saya yang berwajah rupawan, tinggi lampai, punyai kewangan yang stabil, menghormati keluarga saya dan setia belum muncul lagi. Izinkan saya berfantasi terlebih dahulu," tuturnya berderai ketawa.


Siti memang sasar anugerah AIM

Posted: 17 Nov 2014 04:22 PM PST


KEJAYAAN Siti dalam bidang seni dan perniagaan melayakkan beliau menerima anugerah Inaugural Malaysia Women Of Excellence Awards.


Bermula dengan lagu Jerat Percintaan pada tahun 1995 sehingga ke hari ini, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah gagal tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).
Sepanjang penglibatannya dalam AIM, sudah lapan anugerah berada dalam genggamannya. Tahun ini, Siti cukup cemerlang apabila album terbaharunya Fragmen menerima lapan pencalonan dalam AIM 21.
Meskipun berdebar menunggu keputusan AIM 21 yang bakal berlangsung pada 6 Disemberdepan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Siti tidak ketinggalan disoal tentang kontroversi terbaharu membabitkan AIM.
Baru-baru ini, penyanyi dan komposer, Ajai secara terang-terangan memuat naik status di akaun Twitternya bahawa dia sudah tidak percaya kepada penjurian AIM.
Kata Siti apabila diminta mengulas mengenai perkara itu: "Soal ketelusan penjurian AIM yang disuarakan oleh Ajai, saya tidak mahu sentuh. Apa yang boleh saya katakan, sepanjang 19 tahun terlibat dalam AIM, cara penjurian berubah, dinilai oleh juri berbeza dan perkara itu akan sentiasa berlaku.
"Pihak juri terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada antara mereka memang pakar dalam bidang muzik dan ada antara mereka hanya pemerhati dan tidak tahu langsung tentang ilmu muzik.
"Pada hemat saya, jika boleh, kategori yang membabitkan muzik seperti susunan muzik misalnya, berilah kepada orang yang pakar dan mempunyai ilmu muzik untuk menjadi juri," jawab Siti yang ditemui pada majlis sidang akhbar kempen SimplySiti Di Hati 2014 yang berlangsung di Connexion@Nexus, Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selain itu, Siti juga berharap pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang menganjurkan AIM agar membantu pemenang kategori Artis Baru Terbaik untuk lebih menyerlah dalam industri seni.
"Selalunya, siapa yang memenangi kategori Artis Baru Terbaik tidak mempunyai masa depan yang cerah dan hilang begitu sahaja daripada industri seni.
"Walhal, mereka mempunyai bakat yang hebat. Saya harap RIM harus melihat jauh ke hadapan, bukan hanya beri anugerah, sebaliknya membantu kerjaya artis baharu. Sayang sangat, bakat yang bagus tetapi kurang mendapat perhatian. Bantu selepas menang lebih penting," tutur Siti memberi buah fikiran.
Album terbaik
Beralih bicara tentang album Fragmen yang mendominasi senarai pencalonan AIM 21 menerusi kategori Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu, Lagu Pop Terbaik, Kulit Album Terbaik dan dua pencalonan dalam kategori Rakaman Album Terbaik (Fragmen dan Konsert Lentera Timur), Siti mengucapkan rasa syukur.
Akuinya, setiap kali menggarap album, beliau telah meletakkan sasaran untuk dicalonkan dalam AIM dan memenangi anugerah.
"Jujur saya katakan, setiap kali merakamkan album, saya telah meletakkan sasaran untuk masuk AIM dan menghasilkan album yang terbaik.
"Bagi saya, setiap penyanyi harus ada sasaran dalam apa yang dilakukan. Walaupun sudah lama menjadi penyanyi, sasaran itu akan meletakkan kerja saya di landasan yang betul," balasnya.
Bertambah manis buat Siti ialah album Konsert Lentera Timur yang dirakam ketika konsert yang diadakan di Istana Budaya pada September tahun lalu, turut dicalonkan dalam kategori Rakaman Album Terbaik.
"Konsert Lentera Timur merupakan sebuah konsert idaman. Apabila album konsert itu mendapat pencalonan, saya cukup terharu kerana akhirnya usaha keras saya terbayar dengan pengiktirafan.
"Walaupun belum menang tetapi sudah tercalon dalam AIM 21, cukup memuaskan hati saya. Masih terbayang cabaran yang dihadapi untuk menjayakan konsert tersebut. Alhamdulillah, saya sempat membuat rakaman dan menjadikannya dalam bentuk album buat peminat yang tidak dapat hadir di Istana Budaya," kata Siti.
Dalam pada itu, Siti juga telah melakar sejarah tersendiri apabila menerima dua anugerah iaitu Inaugural Malaysia Women Of Excellence Awards dan Jewel Of Muslim World Awards atas kejayaannya dalam bidang seni serta perniagaan.
"Saya bersyukur menerima pengiktirafan tersebut kerana ia menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih kuat lagi. Walaupun saya masih terlalu baharu dalam bidang perniagaan, menerima anugerah itu memberi makna yang cukup besar pada diri saya.
"Produk SimplySiti merupakan sebuah produk tempatan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna. Saya berharap pada masa hadapan produk SimplySiti akan menembusi pasaran antarabangsa," balas Siti.
SimplySiti bantu pesakit jantung
Sibuk dengan kerjaya nyanyian dan perniagaannya, Siti tidak pernah melupakan mereka yang memerlukan bantuan.
Menerusi kempen SimplySiti Di Hati dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), pihak SimplySiti telah menaja pembedahan tiga pesakit jantung kanak-kanak pada tahun ini dengan nilai RM41,000.
"Kempen SimplySiti Di Hati ini bermula pada tahun 2011. Pada mulanya pihak SimplySiti hanya menaja dua orang pesakit tetapi bermula tahun 2012, kami mula menaja tiga orang kanak-kanak.
"Alhamdulillah, kempen ini akan diteruskan pada masa hadapan. Melihat pesakit jantung kanak-kanak itu kembali sihat dan ceria cukup menggembirakan saya," katanya yang hanya memberi bantuan kepada pesakit yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah.


Doakan saya – A. Rahman Hassan

Posted: 17 Nov 2014 04:21 PM PST



DATUK A. RAHMAN HASSAN bakal menamatkan zaman dudanya pada penghujung tahun ini bersama pelakon Fadilah Mansor.


Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja nama penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A. Rahman Hassan menjadi sebutan sejak hujung minggu lalu. Semuanya gara-gara laporan sebuah akhbar yang melaporkan penyanyi itu bakal menamatkan zaman dudanya dengan pelakon senior, Fadilah Mansor pada penghujung tahun ini.
Pada mulanya penyanyi berusia 67 tahun tersebut enggan berkongsi cerita mengenai perancangan pernikahannya dengan pelakon berkenaan kerana beranggapan itu adalah privasi yang tidak perlu dikongsi bersama umum. Sementelah, pada usianya yang bukan lagi seperti orang muda yang ghairah untuk berkongsi hal-hal sedemikian.
Bagaimanapun, A. Rahman yang menduda sejak pemergian isterinya, Allahyarham Datin Azizah Mohamad pada 26 April tahun lalu akibat penyakit kanser akhirnya mengaku bahawa Fadilah Mansor merupakan wanita pilihan hatinya.
Ujarnya, Fadilah yang merupakan ibu tunggal selepas bercerai dengan pengarah filem veteran, Ahmad Ibrahim atau Mat London, seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
Kosmo!: Adakah benar berita bahawa Datuk A. Rahman Hassan bakal menamatkan zaman duda bersama pelakon Fadilah Mansor pada penghujung tahun ini?
A. Rahman Hassan: Insya-Allah, majlis itu akan berjalan pada penghujung tahun ini mengikut laporan berita yang telah keluar.
Apakah keistimewaan Fadilah Mansor sehingga berjaya menambat hati anda?
Fadilah orang yang sesuai untuk dijadikan teman hidup.
Mengapakah sebelum ini anda enggan mendedahkah berita perkahwinan ini?
Bukan tidak mahu beritahu tetapi saya lebih suka beritahu berita baik ini kepada semua orang termasuk pihak media secara serentak. Cara itu lebih manis kerana tidak ada yang ketinggalan dan terasa hati dengan saya.
Tambahan pula, saya belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan. Jika sudah hampir dengan majlis perkahwinan, barulah saya bersedia untuk bercerita secara terperinci tentang majlis tersebut.
Bagaimanakah penerimaan anak-anak anda terhadap perkahwinan yang bakal berlangsung?
Alhamdulillah, anak-anak saya semuanya memberi restu. Ikutkan, mereka mahu saya berkahwin segera supaya saya ada teman. Sebelum ini berjalan ke mana sahaja berdua, sekarang seorang diri. Atas dasar prihatin, anak-anak mahu saya mencari teman hidup yang sesuai.
Sudah usia begini, saya lebih memerlukan seorang teman yang serasi untuk berbual dan lakukan apa sahaja bersama. Anak-anak pun tidak bimbang kerana akan ada orang yang menjaga bapa mereka.
Apakah kriteria anda dalam memilih teman hidup?
Saya bercakap secara umum. Dalam memilih teman hidup, orang itu haruslah sesuai bukan sahaja dengan saya tetapi juga keluarga dan rakan-rakan sekitar saya. Tidak kisah siapa sahaja wanita yang menjadi pilihan saya, dia harus menepati kriteria tersebut.
Adakah anda segan apabila pada usia begini ditanya soal hati dan perkahwinan?
Saya tidak segan kerana pada saya, apabila membuat kenyataan ia memberi panduan kepada orang yang membaca. Saya bukan beri kenyataan untuk glamor kerana waktu itu sudah berlalu dan saya juga sudah tua.
Cuma saya terkejut apabila menerima banyak panggilan daripada pihak media yang bertanya tentang perkahwinan tersebut sebab saya bukannya orang popular untuk bercerita kisah peribadi.
Jadi, bilakah tarikh pernikahan itu?
Buat masa sekarang saya tidak dapat kongsi tentang tarikh kerana semuanya masih lagi dalam peringkat perbincangan dan ada perkara yang masih belum selesai. Insya-Allah, saya akan umumkan tarikh itu dalam masa terdekat. Buat masa ini, saya hanya boleh beritahu majlis itu akan berlangsung pada penghujung tahun. Doakan yang terbaik buat saya.

Cipta selimut untuk tidur di pejabat

Posted: 17 Nov 2014 04:18 PM PST



Agensi - POSTER iklan yang mempromosikan selimut berbentuk cengkerang yang dicipta oleh Lew.


NEW YORK – Seorang pelajar universiti di sini mencipta sehelai selimut yang membantu seseorang itu tidur atau berehat di mana sahaja tanpa gangguan.
Selimut berbentuk cengkerang itu dicipta oleh seorang pelajar, Eden Lew dan bakal dipasarkan bulan depan sempena perayaan Krismas.
Lew berkata, dia mendapat idea untuk menghasilkan selimut tersebut selepas mendapati dia susah untuk berehat atau tidur sebentar pada waktu siang kerana terdapat banyak gangguan.
"Saya sebelum ini sukar untuk berehat atau tidur pada waktu siang apabila berada di tempat awam kerana terasa terganggu.
"Bagaimanapun, selimut ini membantu sesiapa sahaja tidur atau mahu berehat bersendirian ketika berada di dalam kenderaan awam atau di pejabat," katanya.
Menurutnya, selimut yang diberi nama Nutshell itu boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam beg galas bagi membolehkan dibawa ke mana sahaja.


Magis konduktor Norman

Posted: 17 Nov 2014 04:16 PM PST

NORMAN tegas ketika memimpin pancaragam Puzida yang terdiri daripada anggota tentera darat.


SELEPAS sebulan Tatu Antarabangsa Kuala Lumpur (Tatu) 2014 melabuhkan tirainya ­dengan penuh gilang-gemilang, rasa debar bersulam bangga masih belum hilang dalam dirinya.
Berdiri gagah di hadapan 13 kumpulan pancaragam dari 12 negara, beliau tampil yakin mengemudi barisan kontinjen pemuzik dalam menyampaikan enam buah lagu itu.
Rasa debar Lt. Kol. (DOM) Norman Kamarudin kerana Tatu 2014 itu turut disaksikan hampir 40,000 orang yang memenuhi Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Oktober lepas.
Namun, situasi itu tidak menjadikan Komandan di Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) itu berasa gentar untuk menggalas tanggungjawab sebagai konduktor muzik malah lebih bersemangat mencipta magis dalam tugasnya.
"Memikul amanah untuk kali ke­dua merupakan satu penghormatan ­tertinggi dalam kerjaya saya," ujar­nya.
Kali pertama beliau menyandang tugas itu adalah pada tahun 2007 dan tahun ini sekali lagi diberi kepercayaan untuk memimpin kumpulan pancaragam angkatan bersenjata antaranya dari United Kingdom, Turki, New Zealand, Indonesia dan Si­ngapura.
Proses persediaan untuk me­nyertai Tatu 2014 mengambil masa selama tiga bulan yang merangkumi pemilihan lagu, latihan dan raptai penuh sebelum acara sebenar.
Norman berkata, selepas lagu-lagu dipilih, nota muzik diberikan kepada negara-negara yang menyertai Tatu 2014 untuk membuat latihan di tempat masing-masing.
Begitu juga dengan pasukan pancaragam negara yang mendapat senarai lagu pada Jun lalu sebelum membuat latihan secara berperingkat-peringkat pada Julai sehingga September lalu di Puzida yang terletak di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Menurut Norman, pada awalnya beliau mengalami kesukaran akibat kekangan jarak dan masa tetapi cabaran tersebut mampu ditempuhi kerana setiap ahli menonjolkan dedikasi yang tinggi bagi mendapatkan persembahan terbaik.
"Selain itu, gerak latihan bertambah mudah kerana semua ahli kontinjen boleh membaca nota muzik dengan baik. Maka, saya hanya perlu menghalusi cara permainan di samping meningkatkan lagi tahap keyakinan mereka," jelas Norman.
Dunia muzik

NORMAN (kiri) ketika mengikuti kursus muzik di Army School of Music, Abbottabad, Pakistan.


Dunia muzik sudah sebati dalam diri Norman kerana arwah bapanya, Kamarudin Ahmad juga merupakan salah seorang anggota pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja selama 28 tahun dengan pangkat terakhirnya sebagai Pegawai Waran 1 (PW1).
Norman memberitahu, bapanya antara yang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada tahun 1957.
"Pada Hari Kemerdekaan yang pertama, bapa merupakan salah seorang anggota pancaragam yang memainkan lagu Negaraku buat pertama kalinya di Stadium Merdeka," kongsi bapa kepada tiga orang anak itu.
Walaupun belum dilahirkan ketika itu, arwah bapanya banyak bercerita tentang peristiwa bersejarah tersebut. Perasaan hiba berbaur bangga menguasai dirinya sebaik menyaksikan bendera negara dinaikkan dan bendera Union Jack diturunkan bagi menandakan negara bebas sebagai tanah merdeka.
"Bezanya kali ini, saya pula me­mimpin kontinjen negara di Stadium Merdeka dan menjadi konduktor muzik kepada kontinjen-kontinjen luar dalam sebuah acara besar dan penuh gilang-gemilang ini," kongsi Norman yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Beliau juga merupakan konduktor muzik yang sama memimpin pancaragam pada Sukan Komanwel (Sukom) 1998 yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara.
"Bermain ketika Sukom 98 meninggalkan memori indah kerana dapat bertemu Ratu England, Ratu Elizabeth II selain kehadiran Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman dan beberapa pemimpin besar negara," kongsi Norman.
Minat Norman dalam bidang muzik banyak dipengaruhi oleh bapanya kerana setiap kali Kamarudin membawa pulang alat muzik klarinet, beliau akan cuba untuk meniup walaupun tercungap-cungap bagi membunyikan alat woodwind daripada kayu yang berpipit tunggal itu.
Pertandingan

PERSEMBAHAN menarik daripada Pasukan Gimnastik Fearless Hawk dari Institut Latihan Tentera Udara, Ipoh.


Melihat kepada kesungguhan anaknya itu, Kamarudin memberi dorongan kepada Norman untuk menceburi dunia muzik dan sokongan kepadanya setiap kali mengikuti persembahan-persembahan pentas.
Seawal usia 11 tahun, Norman sudah mengikut pertandingan bakat dan membuat persembahan pentas di sekolah mahupun peringkat kebangsaan.
"Saya masih ingat lagi ketika berusia 12 tahun, saya pernah mengikuti pertandingan Bakat TV di Radio Te­levisyen Malaysia pada tahun 1974.
"Waktu itu, saya bermain klarinet dan mendendang sebuah lagu Jepun iaitu Sukiyaki oleh Kyu Sakamoto dan lagu tradisional, Sri Sarawak," kata Norman yang hanya melepasi satu peringkat ketika itu.
Sebagai seorang konduktor, Norman mempunyai cara yang tersendiri dalam memimpin pasukan pancaragam supaya mudah difahami oleh setiap ahli kontinjen.
Menuntut di Defence Force School of Music, Melbourne, Australia dan Army School of Music, Abbottabad, Pakistan banyak mengajarnya menjadi seorang pemuzik dan konduktor yang baik.
"Seorang konduktor perlu peka dengan rentak lagu yang dimainkan, Jika pantas, pergerakan tangan, siku dan bahu perlu tegas. Begitu juga ketika memainkan lagu perlahan seperti lagu kebangsaan, Negaraku.
"Tangan dihayun perlahan dan lembut seperti melayang-layang bagi mengikut rentak lagu," terang Norman yang juga merupakan pelajar terbaik ketika menuntut di Pakistan.
Kepada ahli kontinjen negara yang menyertai Tatu 2014, beliau sering kali menasihatkan pasukannya melakukan yang terbaik kerana mereka tidak bermain untuk kepuasan individu semata-mata tetapi membawa nama negara memandangkan ia turut disertai oleh negara-negara luar.
"Apa yang boleh saya katakan, saya amat berpuas hati dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh kontinjen negara sepanjang tiga hari acara itu diadakan. Mereka telah melakukan yang terbaik bagi mengangkat nama negara sebagai tuan rumah Tatu 2014.


Legasi 40 tahun Hello Kitty

Posted: 17 Nov 2014 04:15 PM PST



Hello Kitty menjadi fenomena sejak diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1974.


SELAKU seorang pelajar pada era 1970-an, Kazumi Kaminaga tidak pernah melihat anak patung secomel Hello Kitty sebaik melontarkan pandangan ke arah boneka yang tidak bermulut itu di sebuah kedai di Jepun.
"Susah untuk mencari anak patung yang sangat comel ketika saya masih di bangku sekolah rendah.
"Patung Hello Kitty sangat mengujakan saya kerana ia terlalu comel," kata wanita berusia 51 tahun itu.
Sempena sambutan 'hari kelahiran' Hello Kitty yang ke-40 pada tahun ini, Kaminaga dianggap sebagai pengumpul tegar jenama yang menjadi satu fenomena itu.
Sehingga kini, lebih 50,000 produk diperkenalkan termasuk dres yang dibuat untuk artis pop Amerika Syarikat (AS), Lady Gaga. Anak patung itu juga membentuk industri dengan anggaran bernilai berbilion dolar.
Karakter itu muncul menerusi pelbagai jenis produk lain termasuk barangan elektronik dan corak pesawat di 130 buah negara dan wilayah seluruh dunia.
Hello Kitty diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1974 dan menjadi penghias pada dompet duit syiling setahun selepas itu.
Namun, pada hari ini, Hello Kitty tidak hanya menjadi ikon buat si kecil tetapi juga golongan dewasa. Syarikat pengeluar Hello Kitty, Sanrio Co. Ltd. mendedahkan karakter itu terus dihidupkan dalam kalangan orang dewasa seperti Kaminaga.
Hadiah
Peminat setia Hello Kitty itu memberitahu, dia membeli boneka tersebut sebagai hadiah kepada bosnya yang merupakan seorang lelaki.
"Ia adalah trend yang lahir di Jepun dan negara-negara Asia lain pada tahun 1990. Meminati dan memiliki koleksi Hello Kitty bukan perkara yang bersifat keanak-anakan.
"Ia adalah satu perubahan besar yang mempunyai nilai dan fenomena ini turut berlaku di AS serta Eropah," kata jurucakap Sanrio, Kazio Tohmatsu.
Sementara itu, seorang ahli antropologi, Christine Yano yang pakar dalam karakter patung itu berkata: "Hello Kitty memberikan golongan dewasa 'lesen' untuk bermain dan meluahkan sisi lain diri mereka yang mungkin tidak ditonjolkan kepada orang ramai dalam kehidupan sebenar."
Legasi Hello Kitty diteruskan menerusi tarikan yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia melalui karakter comel yang memakai tali leher kupu-kupu berwarna merah jambu dan ukuran ketinggian seperti lima biji epal.
Sikap masyarakat Barat mengenai budaya comel juga telah berubah disebabkan populariti komik Manga dan Anime dari Jepun yang lebih digemari.
"Selama bertahun-tahun, Hello Kitty terus digemari berdasarkan rupanya yang comel. Di samping itu, menjadi penghias fesyen untuk pelbagai jenama turut membantu meningkatkan keyakinan," katanya penulis buku Pink Globalization: Hello Kitty's Trek Across the Pacific, Christine R. Yano.

Selain kanak-kanak, Hello Kitty turut menjadi ikon buat golongan dewasa.


Hello Kitty juga boleh disifatkan sebagai produk sepanjang zaman. Watak itu diperkenalkan kira-kira tiga dekad lalu apabila negara Jepun kembali stabil selepas kalah teruk dalam Perang Dunia II dan kanak-kanak negara itu mempunyai wang saku untuk dibelanjakan.
Karakter Hello Kitty juga mengikuti perkembangan semasa dan mempunyai teman lelaki, Dear Daniel apabila remaja Jepun mula bertemu janji secara terbuka serta kemunculan watak kucing Parsi bernama Charmmy Kitty selepas wanita pada semua peringkat usia mempunyai binatang peliharaan.
Namun, di sebalik karakter tersebut, watak yang membawa slogan 'Awak tidak boleh mempunyai kawan yang ramai' itu masih menerokai dunia baru.
Dalam pada itu, Sanrio merancang untuk melancarkan barisan produk terbaharu Hello Kitty untuk lelaki sebelum sambutan Hari Kekasih tahun depan.
"Itu adalah idea yang baik. Saya akan membelinya untuk suami dan anak lelaki saya," kata seorang pekerja pejabat, Niroko Hoshino, 56.
Hoshino yang menghiasi kukunya dengan corak Hello Kitty berkata, dia mengumpul koleksi karakter tersebut sebaik mencapai usia dewasa.
"Saya mempunyai semua produk Hello Kitty termasuk barang-barang untuk dapur, bilik air, seluar dalam dan beg tangan. Ia sangat banyak sehingga saya tidak boleh ingat berapa yang saya miliki,"katanya.
Namun, karakter Hello Kitty turut mengalami krisis identiti berikutan laporan yang mendakwa ia bukan watak seekor kucing tetapi seorang perempuan.
Karakter
Kenyataan yang mengejutkan itu berlaku pada Ogos lalu dan menjadi viral di internet. Ia mengejutkan ramai peminat Hello Kitty yang selama ini yakin bahawa karakter yang dibawa adalah seekor kucing.
Kejutan itu sampai ke kemuncaknya apabila Yano bertanya kepada wakil Sanrio untuk mendapatkan kepastian mengenai kapsyen bagi pameran sempena ulang tahun ke-40 tahun Hello Kitty di Los Angeles.
Namun, Sanrio menegaskan bahawa karakter itu merupakan seorang gadis ceria yang dilahirkan di pinggir bandar London walaupun mempunyai misai dan telinga runcing.
"Hello Kitty membuat panggilan telefon dan mempunyai kawan iaitu seekor ikan emas sejak dari mula ia diperkenalkan," kata Tohmatsu yang memegang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam Sanrio.
"Ia merupakan 100 peratus watak yang dipersonifikasikan... tanpa muka kucing itu, Hello Kitty melakukan semua yang dilakukan oleh manusia," katanya.
Bagaimanapun, kekeliruan karakter itu tidak mungkin akan menjejaskan jenama tersebut kerana ia sudah pun mencapai tahap 'kalis peluru'.
Bagi meraikan ulang tahun ke-40, pembuat patung Bandai mengeluarkan satu lagi produk berlesen Hello Kitty yang dipanggil 'smartpants'.
"Ia merupakan aksesori yang diselitkan di bahagian bawah telefon pintar untuk penggemar yang merasakan gajet mereka memerlukan seluar dalam Hello Kitty. Produk terbaharu itu dipanggil Hello Pantty.


Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Posted: 17 Nov 2014 04:13 PM PST

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.


"KALAU kita terlalu memandang tinggi orang lain, kita akan lupa dengan apa yang kita miliki. Jangan pandang rendah kemampuan diri," kata Farhanah Abu Samah itu untuk dirinya sendiri.
Ketika dia diselubungi kekecewaan dan hampir putus asa, Farhanah atau akrab dengan nama Ana mengingatkan dirinya bahawa setiap individu itu ada keistimewaannya.
Bagi Ana, hanya ada pilihan tunggal untuk melakar kejayaan iaitu meneruskan usaha dan menitip percaya penuh pada diri sendiri.
Pada usia 26 tahun, berpandukan gerak hati dan keyakinan, Ana yang mendukung jenama Anaabu kini selesa di landasan karier pilihannya.
Gadis mana tidak mengenali Anaabu? Popularitinya di laman sosial sejak empat tahun lalu pernah meledakkan fenomena dalam kalangan fesyenista.
Bermula secara kecil-kecilan dengan menjual baju-baju terpakai ibunya secara dalam talian pada penghujung tahun 2009, dia berjaya meraih perhatian masyarakat.
Ketika itu, Ana merupakan pelajar semester akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Perak.
Kerja sampingan 'suka-suka' itu diusahakan Ana secara solo. Kebetulan, item preloved (barangan atau pakaian terpakai) sedang menjadi trend hangat. Kesempatan itu digunakan Ana sepenuhnya. Dia yang bertanggungjawab memilih item untuk dijual, memberi idea suai padan dan menggayakan sendiri semua helaian itu.
Usai graduasi, haluan kerjaya Ana masih terarah kepada kelulusan akademiknya. Maka, menganggurlah anak kelahiran Kuantan, Pahang itu selama enam bulan sebelum dipanggil bekerja bersama Petronas.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh menganggur itu, Ana banyak mengisi waktunya dengan berkunjung ke kedai-kedai pakaian terpakai (bundle). Di situ, dia memilih dan menjual semula helaian-helaian vintaj kegemarannya.
Mungkin pengalaman zaman kanak-kanak yang sering mengikut bapa menjual barangan terpakai di pasar malam banyak menajamkan kemahirannya memilih item terbaik.
Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila hanya dalam masa enam bulan, baju-baju yang dijual di blog Anaabu laris dan mendapat permintaan tinggi. Namun, demi masa depan lebih terjamin, Ana memilih untuk bekerja sebagai jurutera.
Meskipun mempunyai pekerjaan tetap, dia masih aktif membuka gerai di bazar-bazar pada hujung minggu. Kekerapan penyertaannya itu mempertemukan Ana dengan ramai individu yang berkongsi minat dan visi serupa.
Bermulalah perancangan bisnes pakaiannya yang bermacam-macam. Dilemanya memuncak ketika sedang menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Hanya sempat menyudahkan satu semester, Ana nekad memilih bisnes bajunya sebagai profesion sepenuh masa. Keputusan berat itu dibuat selepas menimbang tara potensi dan kata hatinya.
"Biarlah tidak menerima gaji bulanan secara tetap asalkan saya dapat melakukan sesuatu yang melapangkan dada dan membahagiakan jiwa," katanya.
Pada peringkat awal, ibunya agak menentang dan mahu Ana bekerja dalam bidang profesional. Ayahnya pula yang kini mengusahakan kedai donat di Texas, Amerika Syarikat sangat menyokong pilihan Ana itu.
Berbekalkan modal hasil jualan di bazar-bazar yang disertai sebelum ini dan bantuan daripada keluarga, Ana membina jenamanya secara berperingkat-peringkat sehingga dia berjaya membuka kedai pertamanya pada Januari tahun lalu.
Cita rasa
Pencapaian berperingkat-peringkat yang dilaluinya menyebabkan Ana tidak menyesal dengan pilihannya. Risiko yang diambil ketika berhenti kerja dulu dirasakan sangat berbaloi.
Biarpun bermula agak perlahan, lama-kelamaan bisnesnya semakin stabil. Baginya, setiap usaha memerlukan kerja keras dan jika dilaksanakan bersungguh-sungguh, insya-Allah pasti berjaya.
"Sekarang saya fokus kepada pengukuhan imej termasuk penjenamaan semula. Perancangan kini lebih kepada membina label dengan rekaan sendiri. Jika dulu saya hanya bergantung kepada pakaian yang dibeli dari luar, kini saya sudah berjinak-jinak dalam rekaan pakaian.
"Item yang ditawarkan juga tidak mengikut trend semasa kerana saya lebih gemar mewujudkan gaya tersendiri. Anaabu adalah tentang keunikan dan item di sini dipilih berdasarkan cita rasa peribadi saya.
"Seronok bila melihat orang lain mengenakan idea saya dalam persalinan mereka. Matlamat Anaabu juga sebenarnya condong terhadap penciptaan gaya hidup dengan produk yang dihargai orang," penuh isi bicara Ana ketika ditemui Stailo di butiknya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu juga tidak mengehadkan itemnya kepada kelompok tertentu sahaja. Setiap item tawaran Anaabu bebas dieksperimentasi wanita tanpa dibatasi agama, bangsa mahupun usia.
Kesederhanaan menjadi kunci gaya label Anaabu. Item yang diperbaharui sebulan sekali di butiknya itu turut meliputi helaian ringkas seperti skirt fabrik kapas, kemeja berpotongan besar dan seluar berpotongan longgar/bercawat geleber yang merupakan antara helaian paling popular.
Inisiatif bergelar pereka kepada pakaian labelnya sendiri dimulai dengan kolaborasi bersama sepupunya, Nur Safira Syukri. Projek bermusim itu menyaksikan penghasilan dua rekaan dinamakan Eleanor dan Heidi di bawah koleksi AnaabuxSafiraSyukri.
Eleanor menampilkan skirt berpotongan duyung menggunakan material kapas bersulamkan lapisan dalaman (lining) untuk rekaan scallop, leaves dan classic.
Skirt Eleanor turut didatangkan dalam material broked dan labuci bersama variasi warna ceria seperti hijau dan ungu. Skirt Heide pula ditumpukan kepada rekaan anggun dengan potongan pinggang tinggi bersama baju ringkas menggunakan rona tanah.
Koleksi paduan Ana dan Safira itu dijual secara berasingan dengan skirt Eleanor ditawarkan pada harga RM249 manakala skirt Heidi dijual pada harga RM169.
Kesemua item itu boleh didapati di butik Anaabu atau dibeli secara dalam talian menerusi Fashion Valet. Item lain Anaabu pula ditawarkan pada lingkungan harga RM60 hingga RM150 melingkungi sandal, baju, skirt dan seluar.
Misi Safira
Sementara itu, Nur Safira yang kini aktif mempromosikan gelaran eponimnya, Safira Syukri RTW juga giat membina nama di persada fesyen tempatan.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu sebenarnya wajar diberi perhatian. Kejayaan awalnya adalah selepas memenangi tempat kedua pertunjukan fesyen pelajar tahun akhir jurusannya pada Januari lalu.
Langkahnya terus maju selepas menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2014 di bawah kumpulan UiTM8 pada Jun lalu.
Nur Safira kini masih membentuk dirinya sebagai pereka muda dan sedang berkhidmat sebagai konsultan imej di sebuah syarikat media tanah air. Begitupun, dia tetap aktif mereka helaian sedia pakai yang mempunyai perlambangan dan karakteristik tersendiri.
Memilih untuk bekerja sepenuh masa sebagai konsultan imej memberikan peluang kepada anak sulung daripada tiga adik-beradik itu untuk membina kenalan di pelbagai peringkat.
Ceritanya, dunia sebagai perunding tata gaya sangat berbeza dengan pereka fesyen. Profesion tetapnya kini terarah kepada keperluan komersial manakala pereka fesyen lebih tertumpu terhadap permintaan pelanggan.
Mengakui bahawa kerjayanya kini sangat membantu dalam pembinaan kemahiran industri fesyen, Nur Safira berasa beruntung kerana dapat merasai pengalaman dalam dua lapangan yang berbeza.
Bagaimanapun, mereka pakaian masih menjadi pilihan hatinya. Justeru, dia sanggup meluangkan hari-hari cutinya menghasilkan rekaan baharu dan bertemu klien semata-mata mahu memperkenalkan jenamanya ke peringkat lebih tinggi.
"Jenama saya dalam proses pembangunan dan masih mengenal pasti sasarannya. Arah tuju telah saya ketahui dan disebabkan itu, label saya banyak menumpukan kepada helaian kasual khususnya pakaian sedia pakai.
"Rekaan sarat bukanlah fokus saya dan jika adapun ia akan dihasilkan secara minimum. Namun, perincian eksklusif itu tetap ada," kongsi Nur Safira.
Biarpun masih hijau dalam industri ini, Nur Safira sudah menetapkan pencapaian besar dalam kariernya.
Melihat kepada industri pakaian sedia pakai berkembang dan diterima kelompok besar masyarakat Malaysia adalah keinginan dominan wanita berasal dari Rawang, Selangor ini.
Nur Safira berpendapat, mungkin disebabkan kos dan kekangan material, industri pakaian sedia pakai yang diusahakan pereka tempatan kurang mendapat sambutan.
Orang kita dilihat hanya menggunakan khidmat pereka fesyen apabila mahu menempah pakaian eksklusif untuk resepsi perkahwinan atau perayaan.
Pakaian harian ciptaan pereka tempatan kurang diberi perhatian. Tidak dinafikan, industri pakaian sedia pakai sudah pun membangun, cuma Nur Safira mahukan ia lebih maju pada masa akan datang.


Karnival kesihatan percuma di masjid

Posted: 17 Nov 2014 04:11 PM PST

KEMPEN menderma darah turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.


PERANAN institusi masjid dalam Islam bukan hanya sebagai rumah ibadat semata-mata tetapi merangkumi pelbagai aspek lain seperti pusat kegiatan ilmu dan kegiatan sosial masyarakat.
Masjid menjadi tunggak kepada kekukuhan dan keluhuran masyarakat setempat dan merupakan institusi pertama dibangunkan Rasulullah SAW.
Atas kesedaran akan peranan masjid yang begitu penting, Biro Pemuda Masjid India Muslim Tengku Kelana (MIMTK), Klang, Selangor menganjurkan aktiviti bertemakan kesihatan yang berlangsung pada 15 November lalu.
Terletak di Jalan Tengku Kelana, Klang, MIMTK dikelilingi oleh masyarakat majmuk dari pelbagai bangsa dan agama.
Program Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan 2014 di Dewan Serbaguna MIMTK itu memberi peluang kepada penduduk sekitar Klang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma, di samping menderma darah.
Aktiviti lain termasuklah pameran kesihatan, penerangan mengenai kanser payudara dan kaedah-keadah pencegahan awal serta penerangan mengenai pemakanan dan gaya hidup aktif.
Ia berjaya menarik lebih 400 orang pengunjung.
Menurut Ketua Nazir MIMTK, Md. Yousoff Noor Mohamed, penganjuran program seumpama itu bertujuan untuk menonjolkan keagungan dan kemanisan Islam sebagai satu gaya hidup yang syumul dan lengkap dari segenap aspek.
"Program ini membolehkan orang ramai memahami Islam yang bersifat sederhana dan tidak melampau. Islam juga tidak hanya eksklusif kepada individu tertentu atau bangsa tertentu kerana masjid juga tidak hanya eksklusif untuk ibadat semata-mata.
"Program ini juga bertujuan untuk menarik minat orang muda mendekati masjid dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas merasmikan pembukaan kempen tersebut.
Selain itu, Md. Yousoff berharap lebih banyak pihak menganjurkan program seumpama itu, sekali gus memupuk budaya harmoni dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Kempen yang bermula seawal 8 pagi hingga 1 tengah hari itu bermula dengan pendaftaran untuk para pengunjung sebelum memulakan pemeriksaan tekanan darah. Orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan paru-paru, pendengaran dan gigi.
Kempen kesihatan tersebut turut mendapat kerjasama daripada 1Malaysia For Youth, Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara dan Parenting2U.
Manfaat

Golongan warga emas tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tip-tip kesihatan.


Bagi Ketua Penerangan Kongres India Muslim Malaysia Kimma (Selangor), Iqbal Zainal Abidin, penganjuran kempen kesihatan tersebut mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
"Sebenarnya masalah kesihatan berpunca daripada orang ramai kekurangan maklumat mengenai penyakit-penyakit, simpton awal dan kaedah pencegahan yang sepatutnya.
"Program sebegini menjadi platform terbaik untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai," ujar Iqbal.
Sementara itu, pemilik Restoran Hakim Sdn. Bhd. merangkap Penasihat MIMTK, Hakimsa Abdul Karim memuji penganjuran program yang memasuki tahun keempat sejak penganjuran pertama dilakukan pada 2011.
"Program anjuran masjid ini menunjukkan sikap keterbukaan dan kesungguhan Islam yang menitikberatkan kesihatan dan kebajikan umatnya.
"Saya berharap, ia akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang agar lebih ramai anggota masyarakat menerima faedah daripada penganjuran seumpama ini," katanya.
Seorang pengunjung, Alice Soosay, 45, menyifatkan pemeriksaan secara percuma di masjid itu memudahkan urusannya tanpa perlu membuat pemeriksaan di hospital.
Alice juga mengakui, dia tidak kekok walaupun program itu diadakan di masjid yang merupakan pusat keagamaan bagi umat Islam.
Sementara itu, seorang jurujual, Intan Adlina Terance, 24, menyifatkan kempen itu mampu memberi kesedaran kepada golongan wanita untuk menjalani pemeriksaan kanser payudara yang merupakan musuh utama golongan Hawa.
"Selain mendapat maklumat berkaitan kanser payudara, pengunjung turut didedahkan dengan kepentingan penjagaan diri dan mengenali simpton-simpton awal penyakit berbahaya ini," katanya.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved