ads

Jumaat, 14 November 2014

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Zahiril Adzim Beri Penjelasan Terpaksa Solat Di Parkir PWTC

Posted: 14 Nov 2014 03:11 AM PST


Zahiril menjelaskan terpaksa bersolat di kawasan letak kereta kerana sudah kesuntukan masa.
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan tindakannya menunaikan solat di parkir Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ke majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada 7 November lalu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Zahiril, 29, berkata, dia terpaksa menunaikan solat Maghrib di kawasan letak kereta tersebut berikutan sudah kesuntukan masa selepas berkejar-kejar dari lokasi penggambaran untuk menghadiri majlis berkenaan.

"Saya terpaksa menunaikan solat Maghrib di parkir kerana waktu solat sudah suntuk dan saya sudah mengagaknya. Jadi selepas selesai penggambaran saya pulang ke rumah untuk ambil isteri saya dan ketika itu saya sudah siap-siap ambil air sembahyang.

Gambar Zahiril yang tersebar di laman sosial selepas dimuat naik oleh seorang peminatnya.

"Selepas sampai sahaja di PWTC saya cari tempat tersorok untuk bersembahyang kerana kalau saya bergegas ke surau sudah tentu penuh, lagi pun saya takut air sembahyang terbatal jika ada yang ingin bergambar ketika dalam perjalanan ke surau," ujarnya kepada mStar Online.

Zahiril berkata demikian ketika diminta mengulas apabila gambarnya sedang bersembahyang di kawasan parkir sebelum bermula majlis ASK 2014 tersebar dan dibualkan di laman sosial.

Gambar dirakamkan oleh peminat yang melihat situasi itu menyebabkan Zahiril dituduh mahu menunjuk-nunjuk kerana tidak menunaikan solat di surau yang disediakan di PWTC.

Jelas Zahiril, dia sendiri terkejut apabila diberitahu tentang gambar itu tersebar dan diperkatakan di laman sosial.

"Saya rasa ia tidak elok untuk disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah seperti ini, saya pun tidak perasan siapa yang mengambil gambar tersebut. Kalau benar saya mahu menunjuk-nunjuk baik saya sembahyang di red carpet  sahaja.

"Saya sudah cari tempat paling sunyi yang tidak ada orang ramai, namun saya tahu ada pengawal keselamatan berhampiran kerana takut kalau ada apa-apa berlaku ketika sedang solat," katanya.

Lelaki Ganggu Masya (Ceria Popstar 2) Sehingga Di Sekolah

Posted: 14 Nov 2014 03:10 AM PST


Masya, juara Ceria Popstar musim kedua.
PETALING JAYA: Penyanyi remaja iaitu Masya atau nama sebenar Siti Nur Masyitah mendedahkan dia sering diganggu lelaki tidak dikenali selepas menjuarai program Ceria Popstar musim kedua lalu.

Masya, 14, berkata, lelaki tersebut menghantar hadiah setiap hari di rumahnya, malah pernah menganggunya di sekolah ketika sedang belajar.

"Selepas menang Ceria Pop Star musim 2 pada Jun lalu kehidupan memang banyak berubah kerana saya lebih dikenali berbanding dahulu. Setiap hari ada budak lelaki bagi hadiah hantar di rumah dan ada juga yang datang sekolah saya semata-mata untuk berjumpa," ujarnya kepada mStar Online, pada Khamis.

Masya ditemui pada majlis pelancaran album Ceria Popstar musim 2, di pejabat Warner Music, di Menara TSR, di sini, Khamis.

Katanya, gangguan tersebut membuatkan dia agak rimas apabila dijadikan bahan ejekan rakan-rakan di sekolahnya. Namun dia tidak membuat sebarang laporan polis kerana gangguan tersebut tidak mengancam keselamatannya.

"Bila ada lelaki datang ke sekolah untuk jumpa saya ramai kawan-kawan sekolah yang ejek saya hingga buat saya rasa tidak selesa dan rimas. Tapi gangguan itu belum lagi sampai tahap mengancam keselamatan, cuma saya lebih berhati-hati terutama bila berjalan bersendirian," ujarnya.

mStar Default Image
Finalis Ceria Popstar 2, bersama album terbaharu mereka terbitan Warner Music.


Masya yang merupakan anak didik kepada penyanyi Hazama dalam pertandingan itu belajar di sebuah sekolah di Kulim, Kedah.

Dalam pada itu, Masya berkata, pendapatan sebagai penyanyi agak mengalakkan apabila dia banyak mendapat tawaran persembahan di sekitar Kedah.

Dia juga pernah menerima bayaran RM1,500 untuk satu majlis di negeri itu.

"Alhamdulillah rezeki selepas menang Ceria Popstar agak baik dan banyak persembahan saya ambil di sekitar Kedah.

"Oleh kerana saya masih bersekolah dan keluarga tidak mahu saya abaikan pelajaran, saya hanya mengambil persembahan wakti cuti sekolah sahaja," katanya.

Selain Masya album kompilasi Ceria Popstar 2 memuatkan enam buah lagu baharu nyanyian finalis program tersebut termasuklah Iqbal, Erissa, Jomego, Putri Ain dan Sheikh Basir.

Syarikat rakaman Warner Music mengambil kesempatan menerbitkan album berkenaan selepas enam peserta terbaik itu mendapat tontonan yang tinggi sehingga mencecah lebih 1 juta.

Juri Tidak Telus Punca Awie Enggan Sertai Muzik-Muzik

Posted: 14 Nov 2014 03:07 AM PST


Awie
PETALING JAYA: Penyanyi Awie menjelaskan keengganannya menyertai separuh akhir Muzik-Muzik ke-29 (MM29) walaupun lagunya dicalonkan kerana tidak percaya dengan proses penghakiman yang disifatkannya sebagai tidak telus.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, berdasarkan pengamatannya, kebanyakan program berunsur pertandingan nyanyian sering dipolitikan manakala mereka yang menang dipilih berdasarkan kepada pilih kasih.

"Saya tidak suka dengan keadaan apabila pemenang diumumkan, peserta dan penonton akan memberikan wajah terkejut, wajah yang memberi erti 'betul ke dia menang?

"Keadaan itu juga membuatkan si pemenang tidak selesa bukan? Sebab itu saya tidak mahu sertai mana-mana pertandingan nyanyian termasuklah MM29. Saya takut pertandingan itu dipolitikkan," katanya kepada mStar Online.
Lagu Cinta Makrifat ciptaan sepenuhnya Eirma Fatima telah dicalonkan dalam MM29 dan akan bersaing pada 28 November ini (bahagian ketiga).

Ia bakal berentap dengan lapan lagu lain iaitu nyanyian Hafiz Hamidun (Jodoh Berdua), Akim & The Majistret (Mewangi), Indah Ruhaila (Percayalah), Alyah (Sesal Separuh Nyawa) serta Joe Flizzow dan Sona One (Apa Khabar).

Turut bertanding ialah Mawi dan Datuk AC Mizal (Al Haq Yang Satu), Yuna (Lelaki) dan Forteen (Tak Pernah Berjumpa).
Lagu Cinta Makrifat nyanyian Awie dan Erra Fazira tercalon dalam MM29.
Secara keseluruhannya, sebanyak 30 buah lagu yang akan ke peringkat separuh akhirMM29 sebelum berentap ke Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) yang dijadualkan pada Januari 2015.
Memandangkan Awie dan Erra tidak terlibat, penyanyi Marsha dan vokalis kumpulan Hyper Act iaitu Ronnie akan mengambil alih membawakan lagu tersebut.

Sementara itu tambah Awie, keengganannya tidak menyertai rancangan itu juga bukan kerana dia takut tewas dengan pesaing-pesaingnya yang terdiri daripada penyanyi muda.

"Sudah lama saya berada dalam industri ini dan saya sudah melalui rasa menang dan kalah dan perkara itu tidak perlu dilalui lagi. Bukan masanya untuk saya nak bersaing dengan mereka dan bukan juga kerana mahu menjaga reputasi.

"Tetapi cukuplah jika saya sekadar menjadi penyokong dari belakang. Saya mahu lihat industri seni muzik tempatan dipenuhi dengan orang berbakat. Jika orang lama terlibat dengan pertandingan seperti ini, maka sukarlah golongan muda mahu mengembangkan bakat mereka," tegasnya.

Ajai Persoalkan Cara AIM Pilih Pemenang

Posted: 14 Nov 2014 03:06 AM PST


Ajai tidak lagi mempercayai anugerah AIM.
PETALING JAYA: Komposer dan penyanyi Ajai memberitahu dia tidak lagi menghantar sebarang pencalonan bagi menyertai Anugerah Industri Muzik (AIM) sejak dua tahun lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kredibiliti penganjuran penganugerahan.

Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 39, berkata, perkara tersebut disedari selepas insiden kesilapan pemilihan Lagu Terbaik AIM 18 kepada Yuna terpaksa ditarik balik tiga tahun lalu yang benar-benar memberi kesan kepada penggiat industri muzik lain.

"Saya sudah tidak percaya AIM sejak kemenangan lagu Yuna berjudul Penakut sebagai Lagu Terbaik pada AIM 18 ditarik balik dan diberikan kepada lagu Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih.

"Di situ sahaja kita dapat lihat bagaimana cacatnya proses anugerah ini dilakukan, walhal mereka mempunyai juru audit dan komiti tersendiri. Adakah keputusan yang diterima daripada auditor dan komiti berbeza?," soal ajai ketika dihubungi mStar Online, di sini Khamis.

Jelas Ajai, perkara tersebut menjadi tanda tanya pelbagai pihak sehingga ramai pengiat muzik seangkatan dengannya tidak lagi menghantar pencalonan mereka.
Rosmin Hashim

Katanya, proses pengendalian anugerah tersebut yang diuruskan komiti baharu juga menyumbang kepada faktor yang membuatnya tidak lagi mempercayai anugerah berprestij tersebut.
"Ini hanya pandangan peribadi saya sahaja, ada sebab kenapa saya tidak percayakan AIM lagi selepas ia diuruskan oleh orang-orang baharu dalam industri.

"Ia tidak sama lagi seperti diuruskan oleh Jennifer Thomson dahulu yang mana kita lihat hasil pemenang yang diumumkan seiring dengan kejayaan artis itu dalam industri pada tahun tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun, Ajai berkata, dia tidak menghalang artis-artisnya untuk menghantar pencalonan ke anugerah tersebut.

Anugerah Industri Muzik dianjurkan sepenuhnya oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim berkata pihaknya tidak terlibat dalam proses penghakiman dan hanya menerima keputusan juri daripada firma audit pada malam penganugerahan itu berlangsung.

"Proses penjurian diuruskan Macomm Management Services iaitu sebuah pengurusan bebas dan pemarkahan juri dikira dan diaudit firma audit terkemuka KPMG.

"RIM tidak terlibat dlm proses penjurian dan hanya menerima keputusan juri daripada firma audit tersebut dan mengumumkannya pada malam acara anugerah berlangsung.

"Kebebasan firma audit memastikan pihak RIM tidak membuat sesuatu yang tidak beretika seperti mengubah keputusan juri," ujarnya.

Tambah Rosmin, dakwaan komposer tersebut tentang kekurangan pencalonan adalah tidak benar kerana pencalonan diterima meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

Malah, jumlah pencalonan yang diterima meningkat setiap tahun sejak AIM 18 daripada 400 kepada 600 pencalonan pada AIM 21 tahun ini.

AIM 21 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 6 Disember depan.

Bekas Pengurus Saman Zizan Razak Lebih RM500,000

Posted: 14 Nov 2014 03:03 AM PST


Zizan Razak
PETALING JAYA: Kemelut antara Zizan Razak dan bekas pengurusnya sampai ke kemuncak apabila pelawak itu disaman lebih setengah juta ringgit selepas dia didakwa melanggar kontrak pengurusan artis yang ditandatanganinya.

Marina Juki selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Zizan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dekat sini pada 6 November lalu.

Saman tersebut difailkan selepas Marina dari  Wire Fame Entertainment Sdn Bhd mendapati Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 30, melanggar syarat kontrak apabila dia bekerjasama dengan syarikat lain sedangkan perjanjiannya dengan Wire Fame masih belum tamat yang mana ia berakhir pada 5 Mei 2015.

Marina selalu plantif menuntut ganti rugi khas lebih RM500 ribu, ganti rugi am sebanyak 15 peratus ke atas semua pendapatan yang diperoleh defendan (Zizan) daripada syarikat pengurusan lain.
Gambar fail Marina membuat laporan polis terhadap Zizan Razak pada Jun lalu selepas akaun bank syarikat Wire Fame disekat.

Dalam pada itu, Marina juga menuntut faedah lain sebanyak 5 peratus setahun dari tarikh pemfailan saman berkenaan.

Beliau juga turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada meneruskan kontrak dengan pihak syarikat pengurusan baru memandangkan dia masih lagi mempunyai kontrak yang sah bersama plaintif.

Marina turut membuat tuntutan ganti rugi bagi pelanggaran kontrak tersebut termasuklah kos dan lain-lain tuntutan munasabah oleh pihak mahkamah.

Terdahulu, Zizan dikatakan sudah tidak berhubungan dengan pengurusnya gara-gara masalah peribadi dan perkara itu membuatkan syarikat Wire Fame yang ditubuhkan bersama akan dibubarkan.

Masalah itu berlarutan sehingga Marina yang memegang saham sebanyak 30 peratus dituduh menyeleweng wang syarikat dan Zizan yang memegang saham terbesar sebanyak 70 peratus telah menyekat akaun bank syarikat.

Bagi kes berkenaan, Marina akan diwakili peguam Harjit Singh Sandhu dan Wan Norliyana.

Izreen Azminda Buang Gambar Di Instagram Elak Hati Terluka

Posted: 14 Nov 2014 03:02 AM PST


Izreen ingin membuka buku baru untuk meneruskan kehidupannya tanpa memikirkan kenangan lalu. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Izreen Azminda memberitahu tindakan dia membuang gambar-gambarnya yang dimuat naik di Instagram kerana enggan mengenang kembali memori lama yang boleh menyebabkan hatinya berasa sedih.

Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 29, berkata, pada mulanya dia ingin membuang gambar-gambar tertentu sahaja, tetapi bimbang tindakan itu mengundang persepsi tertentu orang ramai menyebabkan dia membuat keputusan membuang kesemua gambar dalam Instagram miliknya itu.

"Saya memang seorang yang aktif memuat naik apa saja gambar di Instagram sejak tahun lalu lagi.

"Tetapi apabila melihat beberapa gambar lama yang sudah menjadi kenangan, perasaan saya jadi sayu. Kalau nak ikutkan hati, hanya beberapa gambar saja yang nak dikeluarkan, tapi saya buang semua. Yalah... takut jadi isu pula," katanya kepada mStar Online.
Tambah Izreen, dengan cara itu juga, sekurang-kurangnya dia dapat 'membuka buku baru' untuk meneruskan kehidupannya tanpa memikirkan kenangan lalu.

Setakat Khamis, akaun Instagram miliknya mempunyai tujuh keping gambar yang dimuat naik bermula 10 November lalu.

Sementara itu, Izreen turut meluahkan perasaan sedih kerana berjauhan dengan anaknya, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 16 bulan. Anaknya itu dijaga oleh keluarganya di Jitra, Kedah.
Izreen bersama anaknya, Umar

Tindakan itu kata Izreen adalah satu pengorbanan besar bagi memastikan anaknya menjalani kehidupan yang normal selain mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup.

"Saya risau, apabila Umar tinggal bersama saya, dia tidak dapat cukup perhatian kerana kesibukan saya bekerja.

"Sekurang-kurangnya di kampung, keluarga saya dapat memberi kasih sayang secukupnya selain dia dapat bergembira seperti kanak-kanak lain. Cuma risau juga, mana tahu dia dah tak kisah sangat dengan saya. Tetapi saya akan pastikan bertemu dengan Umar sekurang-kurangnya sebulan empat kali," tuturnya.

Izreen pernah berkahwin dengan seorang jurukamera, Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012 dan bercerai pada 9 Jun 2014.

Dalam perkembangan lain, Izreen bakal terlibat dengan pementasan teater Takhta 3 Ratu bersama Erra Fazira, Awie, Soo Wincci dan Datuk Rahim Razali yang bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember depan di Istana Budaya.

Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar)  terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terduduk apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.

Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau melayari lamanwww.airasiaredpix.com.

Budak Lima Tahun Pakar IT Termuda Dunia

Posted: 14 Nov 2014 02:58 AM PST



Ayan mencipta sejarah apabila bergelar pakar IT pada usia lima tahun.

AYAN Qureshi hanya berusia lima tahun, tetapi dia kini bergelar pakar teknologi maklumat (IT) bertauliah paling muda di dunia.
Budak lelaki pintar ini sebelum ini perlu mendapat kebenaran khas untuk menduduki ujian yang dikendalikan syarikat perisian komputer terkemuka, Microsoft.
Bagaimanapun, pencapaian Ayan sama sekali tidak mengecewakan apabila lulus cemerlang ujian Profesional Bertauliah Microsoft.
Biasanya ujian itu diduduki calon di kalangan graduan kerana ia kemahiran yang sering mendapat perhatian pihak majikan.
Ayan yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke enam sebulan lagi hampir terlepas peluang menduduki ujian itu kerana pemeriksa menganggap dia terlalu muda.
Bagaimanapun, pihak Universiti Birmingham terpaksa menghubungi ibu pejabat Microsoft di Amerika Syarikat untuk memastikan Ayan mendapat kebenaran bagi menduduki ujian itu.
Kanak-kanak berbakat dari Coventry, England membuktikan keupayaannya apabila dapat menjawab semua soalan yang dikemukakan lebih awal daripada tempoh dua jam yang ditetapkan.

Persembahan Hafiz Hamidun penuh pengisian

Posted: 14 Nov 2014 02:55 AM PST


  • Hafiz Hamidun

BEGITULAH suasana yang boleh digambarkan sepanjang persembahan eksklusif Hafiz Hamidun di Menara Kuala Lumpur.

Persembahan yang dihadiri seramai 300 penonton itu ternyata memiliki aura tersendiri apabila pengisian ilmiah yang disajikan pada malam itu benar-benar menyentuh jiwa.

Tepat jam 8.45 malam, Hafiz tampil dengan persembahan pertamanya dengan madley Ya Latif, Rabbi Zidni, Karimu Antallah dan Maghfirah serta diiringi Taubatan Nasuha.

Penonton bukan sahaja terpegun dengan kemampuan vokalnya menyampaikan lagu-lagu zikir, alunan instrumen piano oleh pemuzik hebat, Faizal Uzir atau lebih dikenali sebagai Lok U turut memberi kesan sepanjang persembahan yang dijalankan.

Suasana tenang yang menyelubungi dewan mula terhenti apabila Hafiz cuba  berinteraksi dengan penonton yang hadir menjadikan persembahan pada malam itu menjadi lebih menarik.

Di samping menceritakan pengalamannya memperjuangkan muzik ketuhanan dan pembikinan album zikirnya, Hafiz juga bijak menggunakan kesempatan yang ada berkongsi manfaat berzikir dan makna serta keindahan zikir-zikir yang disampaikan.

Hafizn turut  memberi kesempatan mengundang buat bekas vokalis kumpulan Raihan, Nazrey Johani membuat persembahan.

Menyampaikan dua buah lagu iaitu Zikir Bismillah dan lagu nasyid Suara Hidayah, persembahan itu juga sedikit sebanyak mengubat kerinduan penonton mendengar kelunakan suara Nazrey.

Persembahan pada malam itu diteruskan dengan beberapa lagu zikir Hasbi Rabbi, Ya Zaljala, Astaghfirullah, Ilahi Last, Kasih PadaMu dan Law Kana Bainana daripada Hafiz sendiri.

Acara kemuncak diteruskan dengan slot khas yang menampilkan pihak Menara Kuala Lumpur menghulurkan sumbangan zakat  berjumlah RM10,000 kepada pertubuhan Al Tahfiz Bayu Syahadah milik Nazrey yang dibangunkan di Ranau, Sabah.

Sebagai penutup, Hafiz sekali lagi menampilkan Nazrey di pentas untuk bersama menyampaikan lagu yang pernah dipopularkan Raihan, Iktiraf.

Hijrah Afdlin Shauki

Posted: 14 Nov 2014 02:54 AM PST


  • Afdlin ShaukiAfdlin Shauki

PELUANG menyertai misi bantuan ke Gaza pada Disember 2012, melonjakkan terus hasrat Afdlin Shauki untuk terus mengikut pelbagai misi kemanusiaan di wilayah bergolak.

Begitu pun, dek pelbagai kekangan yang dihadapi, niat baik bintang Papadom itu sering kali saja tertangguh!.

Rentetan itu, teraju utama Soal Hati itu mewujudkan program Umrah dan Misi Kemanusiaan Syria Bersama Afdlin Shauki bertujuan untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan serta sama-sama merasai keperitan hidup pelarian pada musim sejuk.

"Sebenarnya, saya agak terkilan kerana tidak dapat sama-sama menyertai Misi Bantuan Musim Sejuk anjuran Muslim Care Malaysia, itu yang saya cuba melakukan sesuatu agar dapat membantu.

"Selain menunaikan umrah, misi kemanusiaan ini turut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Syria dan penderitaan yang dialami oleh mereka dan juga pelarian.

"Kami turut mewujudkan alternatif untuk masyarakat di negara ini dalam menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan di Syria," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media Sebarkan Kasih Sayang 2014.

Meletakkan sasaran 55 peserta, umrah dan misi kemanusiaan ini dijangka akan berlangsung selama 15 hari pada Januari depan.

Katanya lagi, program seumpama ini dapat mengukuhkan lagi hubungan dan persahabatan serta meningkatkan kerjasama dengan rakan Pertubuhan Kemanusiaan yang berada di Syria.

"Usaha ini turut mendapat sokongan daripada agensi-agensi penting dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Ketika ditanya mengapa memilih Syria, Afdlin menjawab:

"Seramai 200,000 masyarakat Syria telah dibunuh dengan kejam, tidak kiralah kanak-kanak, wanita mahupun warga tua. Mereka terpaksa menjadi pelarian malah lebih teruk lagi  menderita di tanah air sendiri.

"Pengalaman ke sana nanti akan memudahkan lagi untuk bercerita apakah yang berlaku. Kita adalah pencerita dan kekuatan kita adalah apabila kita sampaikan cerita pada orang lain," katanya.

Jelasnya, setiap hidayah adalah daripada ALLAH SWT. Mana tahu, suatu hari dengan penceritaan yang dibawakan itu mampu membuatkan pintu hati seseorang itu terbuka.


Berkarya sambil berdakwah

Kepulangannya dari menyertai misi kemanusiaan juga membawa perubahan besar dalam hidup bintang Baik Punya Cilok ini sekali gus membuka pintu hatinya untuk berhijrah kepada yang lebih baik.

Malah, masanya banyak diluangkan dengan menimba ilmu keagamaan di samping mendapat tunjuk ajar daripada pendakwah supaya menjadi insan yang lebih bertakwa.

Seiring dengan penghijrahannya sementelahan pula baharu saja pulang dari menunaikan ibadah haji, Afdlin kini lebih selesa berkarya dengan cara berdakwah.

Tambahnya, dia cukup gembira dengan kejayaan aktor muda yang kini bergelar penerbit, Ashraf Muslim apabila drama terbitan syarikatnya, Al Hidayah Production Sdn Bhd iaitu Matahari Terbit Lagi berjaya diangkat sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2014.

"Alhamdulillah, saya tumpang seronok dengan kejayaan dia apatah lagi konsep dramanya itu adalah mengikut syariat Islam yang ditetapkan.

"Sekiranya terdapat garis panduan sebegitu, bukanlah bermakna karya yang dihasilkan tidak bermutu tinggi.

"Secara tidak langsung, kejayaannya itu adalah kemenangan bagi Islam dalam hiburan dan sesuatu yang patut dicontohi dan diikuti," katanya.

Jelasnya, menjadi kepentingannya kini agar setiap produk yang dihasilkan membawa pengajaran berguna kepada audiens.

Dalam perkembangan lain, Afdlin kini sedang mengarah filem pendek untuk projek Ikal Mayang dan bakal meneruskan filem Hollywood, Sandakan Tears tidak lama lagi.

Pada masa sama, Afdlin juga sedang sibuk bagi program Super Spontan Singapura di stesen televisyen Suria dan   beberapa perancangan lain.

Dajjal terikat di sebuah pulau

Posted: 14 Nov 2014 02:49 AM PST


  • Berdasarkan kepada kisah sahabat Nabi Muhammad SAW mengatakan Dajjal al-Masih dikatakan 'menghuni' di sebuah pulau.Berdasarkan kepada kisah sahabat Nabi Muhammad SAW mengatakan Dajjal al-Masih dikatakan 'menghuni' di sebuah pulau.

HARI ini ramai yang gemar berkongsi khabar angin mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sahih. Terutama khabar angin mengenai dajjal.

Ada sahaja khabar angin perihal dajjal dalam versi yang pelbagai. Ada yang mengandaikan dajjal itu seorang manusia, sesebuah negara, atau sebuah lambang adalah dajjal. Ada juga yang mengatakan dajjal akan dilahirkan, telah dilahirkan mahupun sedang dilahirkan.

Persoalannya, adakah hal ini benar?. Siapa dajjal dan bagaimana dajjal yang sebenarnya. Maka kembalilah kita kepada rujukan yang sahih tanpa was-was, iaitu al-Quran dan Sunnah.


Peringatan Nabi SAW

Diriwayatkan oleh Abu Salamah, beliau berkata: "Aku pernah mendengar daripada Abu Hurairah RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku bercerita mengenai dajjal sebagai suatu perbicaraan yang belum pernah seorang nabi menceritakan kepada kaumnya. Sesungguhnya dia itu buta sebelah matanya dan dia akan datang membawa seperti syurga dan neraka. Maka apa yang dikatakan syurga, itulah neraka. Dan sesungguhnya aku memberi peringatan kepada kamu dengannya, sebagaimana Nabi Nuh AS memperingati kaumnya. (Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi SAW selalu berdoa dalam sembahyang Baginda yang bermaksud: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada dugaan dajjal dan aku berlindung daripada ujian hidup dan ujian mati. Ya ALLAH, aku berlindung dengan-Mu daripada hutang dan dosa." (Riwayat al-Jama'ah kecuali al-Bukhari)

Dajjal adalah makhluk

Dajjal yang Nabi Muhammad SAW suruh kita berdoa minta perlindungan tersebut adalah satu makhluk yang berzat dan berjisim seperti manusia. Yang akan keluar pada akhir zaman dan diberikan kemampuan kepadanya untuk beberapa perkara luar biasa.

Antaranya menghidupkan orang mati yang sudah dibunuhnya, dimilikinya kehidupan dengan segala kemegahannya di dunia, kemakmuran, syurga, neraka, diperintahkan turunnya hujan, diperintahkan untuk tumbuhnya subur, maka tumbuhlah bumi dengan tumbuh-tumbuhan.

Jelaslah apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, dajjal itu adalah makhluk seperti manusia, berbadan besar, pendek, berkaki bengkok,  buta sebelah matanya, mata kirinya tidak nampak jelas dan yang sebelah kanannya kelihatan jelas seperti buah angur yang terapung, antara kedua matanya tertulis huruf  "kaf" "fa" "ro", berambut lebat dan kerinting.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS lalu membunuhnya.


Kisah Tamim Ad-Dari & dajjal

Kisah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bertemu dajjal ketika sesat dalam pelayaran di lautan selama sebulan bersama 30 orang daripada Bani Lakhm dan Bani Judzam, lalu berlabuh di sebuah pulau.

Di pulau tersebut mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya sehinggakan mereka sendiri tidak dapat membezakan antara bahagian depan dan belakang. Binatang tersebut mengatakan dia adalah mata-mata (jasasah).

Lalu haiwan itu berkata: "Wahai kaum pergilah kalian kepada orang yang berada dalam gua (dajjal), kerana dia merindukan berita dan kamu."

Tamim Ad-Dari dan sahabatnya lalu berangkat dan masuk ke gua. Di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangan dan lehernya disatukan dan diikat.

Lalu mereka bertanya: "Makhluk apakah kamu ini" dan dajjal menjawab: "Kamu mengetahui perihalku, kini beritahu kepadaku, siapakah kamu ini?." dan mereka menjawab: "Kami adalah manusia dari Arab."

Kemudian dajjal mula bertanya kepada mereka: "Beritahu kepadaku mengenai kurma Baisan." Mereka menjawab: "Sesungguhnya kurma itu hampir tidak akan berbuah."

Lalu si dajjal bertanya lagi: "Beritahu kepadaku tentang Tasik Thabaniyyah. Apakah tasik itu masih berair?." Jawab mereka: "Ya tasik itu masih banyak airnya. Sesungguhnya air tasik itu hampir habis."

Si dajjal berkata lagi: "Beritahu kepadaku tentang mata air Zughar." Jawab mereka: "Apa yang engkau hendak tanyakan? Apakah mata air itu masih memancarkan air? Dan apakah penduduknya masih bercucuk tanam dari mata air itu?" Dan jawab dajjal:

"Ya, mata air itu masih memancarkan banyak air dan penduduknya masih bercucuk tanam dari air berkenaan,"

Kata dajjal: "Terangkan kepadaku tentang nabi yang diutus kepada orang ramai adalah buta huruf, apa yang dilakukannya? Dia telah keluar dari Makkah menuju ke Yathrib." Apakah orang Arab memeranginya?, "Ya" jawab mereka,

Soal dajjal lagi: "Bagaimana caranya dia memperlakukan mereka? Dia telah menundukkan orang Arab terdekatnya. Adakah demikian?". Mereka menjawab: "Lebih baik bagi mereka untuk mengikutnya."

Lalu dajjal berkata: "Aku akan memberitahu kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah al-Masih. Aku hampir diizinkan keluar, maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggal selama 40 malam kecuali kota Makkah dan Thaibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap kali aku memasuki salah satu kota itu, aku dihadang malaikat yang memegang pedang untuk memenggalku. Di setiap celah kedua kota itu dijaga oleh malaikat."

Sesungguhnya cerita Tamim Ad-Dari ini diceritakan oleh Fatimah daripada Rasulullah SAW. (Riwayat Muslim)

Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesunguhnya cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu juga mengenai kota Makkah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya dajjal itu berada di laut Syam atau di laut Yaman, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur." (Riwayat Muslim)


Fitnah dajjal

Zaman dajjal adalah zaman fitnah yang besar, ramai orang yang beriman pada pagi hari kemudian pada petangnya menjadi kafir. Hal ini menunjukkan betapa hebat godaan dan fitnah dajjal melanda kita.

Pada saat itu, kita yang kuat iman kepada ALLAH berasakan menjaga keimanan tersebut seperti menggenggam bara api yang panas dan sangat berat.

Maka ramailah yang melarikan diri ke hutan dan gunung untuk menjaga diri, akidah dan iman mereka daripada godaan dan fitnah dajjal. "Saat itu manusia benar-benar melarikan diri dari dajjal ke arah gunung. (Riwayat Muslim)

Semasa kedatangan dajjal manusia lebih memilih untuk lari menyelamatkan diri daripada menghadapinya kerana dikhuatiri diri tidak mampu menjaga akidah dan keimanan terhadap ALLAH. Kerana dajjal akan menganiaya mereka yang ingkar kepadanya.


Surah al-Kahfi

Daripada Abu Darda', sesunguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada Surah al-Khafi, pasti terlindung daripada dajjal." (Riwayat Muslim)

Adapun untuk menyelamatkan diri daripada fitnah dajjal adalah menetapkan kesabaran dan membaca sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Khafi.

"Sesiapa antara kamu (yang hidup sampai) mendapati dajjal, hendaklah dibaca permulaannya Surah Al-Kahfi." (Riwayat Muslim)


Dajjal ujian ALLAH

Seluruh peristiwa yang menyalahi adat yang dilakukan dajjal itu bukan kerana kuasa dajjal. Melainkan kerana kekuasaan dan kehendak ALLAH untuk menguji kekuatan iman hamba-Nya.

ALLAH menciptakan dajjal sebagai makhluk penggoda dan menyesatkan umat yang beriman. Jika umat-Nya benar-benar teguh imannya, dia tidak mudah goyah akidahnya walaupun dirinya disakiti, dianiaya, difitnah bahkan dibunuh. Dia tetap teguh dengan keimanan dan ketaatannya kepada ALLAH SWT.

Segala kemampuan yang dimiliki oleh dajjal itu bersifat istidraj, bukan mukjizat atau bukan karamah. Kerana jelas dajjal itu adalah kafir yang menyesatkan, bukan nabi dan bukan orang yang soleh.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS dan membunuhnya.


Benteng fitnah dajjal

Nabi Muhammad SAW mengingatkan  umat Islam agar berwaspada dengan godaan dan fitnah dajjal di akhir zaman kelak. Antaranya:

- Memohon pertolongan daripada ALLAH SWT dengan perbanyakkan doa pelindung daripada fitnah dajjal ketika tasyahhadud akhir dalam solat.
- Menghafal sepuluh ayat pertama Surah al-Kahfi. Hendaklah menjauhkan diri daripada dajjal dan tidak sengaja mendekatinya. Hendaklah dia berusaha bermukim di Makkah dan Madinah.

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia

Posted: 14 Nov 2014 02:46 AM PST


  • Poveglia, pulau 'penjara' paling tragis di dunia

MUNGKIN ramai yang tidak tahu sejarah di sebalik keindahan Pulau Poveglia, iaitu salah satu pulau kecil yang terletak di Itali.

Terletak di antara sempadan Itali dan Lido, pulau in dikatakan menyimpan sejarah yang agak menakutkan.

Sejarah bagi pulau ini bermula pada tahun 1379 apabila ia dikatakan menjadi tempat persembunyian bagi pelarian perang ketika berlakunya siri peperangan di Eropah.

Pulau ini tidak didiami oleh sesiapa pada abad-abad berikutnya.

Kisah hitam pulau ini dicatatkan pada tahun 1793 apabila serangan wabak penyakit melanda Itali.

Dikatakan, pulau tersebut menjadi lokasi 'ideal' bagi kerajaan Itali untuk mengkuarantin pesakit bagi wabak bubonik, taun, denggi dan sebagainya daripada menjangkiti atau menyebarkan virus kepada penduduk di tanah besar Itali.

Menurut masyarakat tempatan, pesakit yang dihantar ke pulau itu akan dibakar hidup-hidup atau dibiarkan kelaparan sehingga mati.

Malah ada yang mengatakan, sebilangan pesakit yang dibawa ke pulau itu akan dicampakkan ke dalam sebuah lubang yang dipenuhi rangka dan tengkorak manusia.

Pada tahun 1922, sebuah rumah sakit jiwa dibangunkan di pulau indah itu.

Namun wujud pelbagai laporan mengatakan, kesemua pesakit jiwa yang mendapat rawatan di pulau tersebut mati akibat kekejaman doktor yang melakukan pelbagai uji kaji dan eksperimen kejam ke atas pesakit mereka.

Dikatakan, doktor yang merawat pesakit-pesakit di hospital sakit jiwa itu membunuh diri dengan terjun dari menara lama yang terdapat di hospital berkenaan.

Pulau itu terbiar tanpa penghuni sejak tahun 1968.

Sehingga kini, Pulau Poveglia seluas 68 kilometer persegi ini mencatatkan kematian sehingga 160,000 nyawa.

Menurut laporan portal The Telegraph pada April tahun ini, pulau tersebut sedang dilelong oleh kerajaan Itali untuk dibangunkan kepada pusat peranginan mewah.

Hasil carian Sinar Harian Online menerusi aplikasi satelit Google Map menunjukkan bangunan lama pulau tersebut masih dikekalkan sehingga kini.

Namun pulau itu dilaporkan mulai dikawal ketat oleh pihak kerajaan dan ditutup kepada pelawat mulai tahun ini.

Jangan ganggu kebahagiaan Nora

Posted: 14 Nov 2014 02:43 AM PST



Bahagia. Itulah ucapan yang terkeluar daripada mulut pelakon jelita Nora Danish saat ditanya tentang kehidupannya hari ini.
Sibuk bekerja di set penggambaran, mendidik anak tunggalnya Putera Rayqal Ramli, 5, dan menjadi kekasih hati Nedim Nazri melengkapkan rutin hidup wanita berusia 32 tahun itu.
Bagaimanapun, hubungan baiknya dengan bekas keluarga mertua sering disalah erti dan ada pihak yang menganggapnya terhegeh-hegeh dengan mereka. Walhal hubungan kekeluargaan mereka tidak pernah putus meskipun Nora tidak lagi bergelar menantu kepada keluarga Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Raja Puan Sri Datuk Noorasyikin Raja Abdullah itu.
Bukan itu sahaja, hubungannya dengan bekas suami Rizal Ashram Ramli atau Jejai serta isterinya, pelakon Fasha Sandha juga baik. Justeru, Nora berharap kebahagiaan mereka semua tidak diganggu gugat oleh pihak lain yang tidak senang dengan hubungan baik mereka,
"Orang boleh komen apa sahaja di Instagram saya, ada yang puji dan ada yang kutuk. Jika sentuh tentang diri saya sahaja, saya tidak kisah.
"Namun, tidak perlulah membangkitkan isu yang saya terhegeh-hegeh dengan keluarga mertua. Walaupun saya dan bekas suami sudah berpisah tetapi mereka tetap keluarga saya. Tidak salah untuk saya berkongsi kasih sayang dengan mereka.
"Mungkin dahulu kami mempunyai masalah tetapi hari ini, kami semua bahagia dengan kehidupan masing-masing. Jadi, tolonglah jangan ganggu kebahagiaan kami semua," ujar Nora tegas.

NORA DANISH berharap agar semua pihak boleh bersabar untuk melihat dia kembali mendirikan rumah tangga. Kata Nora, kegagalan pernikahan lampau membuatkan dia dan kekasihnya, Nedim mengambil langkah berhati-hati untuk bernikah.


Tambah Nora, selain ibu dan adik-beradiknya, keluarga bekas suami merupakan keluarganya di Malaysia kerana semua saudaranya berada di Myanmar.
"Sudah bertahun-tahun rutin hari raya saya di rumah keluarga bekas mertua, tidak mungkin saya mengubah tradisi itu.
"Sungguhpun begitu, saya faham Fasha juga memerlukan ruang sebagai menantu baharu dalam keluarga itu, jadi saya tidak perlu selalu ada bersama mereka. Jika ada acara yang penting dan memerlukan kehadiran saya, pasti saya akan datang," luah Nora.
Sambung bintang filem Bencinta itu, anaknya Rayqal merupakan penyambung kepada keakraban dia dan keluarga bekas suami.
"Rayqal merapatkan hubungan kami semua. Walaupun hak penjagaan diberi kepada saya tetapi Rayqal akan tinggal secara bergilir di tiga buah rumah iaitu rumah saya, Jejai dan bekas keluarga mertua.
"Jadi, kami selalu berhubung. Terbaharu, apabila Fasha melahirkan anak keduanya, Rayqal antara orang yang paling teruja. Walaupun dia agak manja tetapi dia langsung tidak cemburu sebaliknya cukup sayang dengan dua orang adik tirinya itu," ulasnya.

NORA kini menjadi wajah baharu produk kecantikan Safi Rania.


Bercuti di Bali
Nora yang baru sahaja pulang daripada penggambaran video muzik lagu terbaru penyanyi Nomad di Bali, Indonesia pada minggu lalu, dilihat tidak dapat berenggang daripada kekasihnya, Nedim.
Kekasihnya itu turut mengiringi Nora ke Bali. Ujarnya, sambil bekerja mereka mengambil kesempatan untuk bercuti memandangkan Bali merupakan destinasi kegemaran mereka berdua.
"Sebenarnya saya pergi selama tiga hari untuk penggambaran video muzik lagu terbaharu Nomad yang kebetulan menjadi lagu tema untuk telefilem Cikgu Timah lakonan saya.
"Kebetulan ke Bali, Nedim mengambil peluang menemani saya kerana kami memang sukakan Bali. Sambil bekerja, kami bercuti sekali. Kami berdua sangat sibuk, jadi kami terpaksa mencari ruang untuk berjumpa.Peminat boleh lihat gambar kami di Bali di akaun Instagram saya, tidak ada apa yang mahu saya sembunyikan," tutur bintang drama Puteri itu lagi.
Apabila disoal bilakah mereka bakal ke jinjang pelamin, sambil tersipu malu, Nora menjawab, perkahwinan bukan perkara yang kecil. Dia harus benar-benar bersedia sebelum membawa hubungan cinta itu ke fasa yang seterusnya.
"Saya pernah gagal dalam perkahwinan, begitu juga Nedim. Jadi, sebelum membawa hubungan ini ke peringkat yang lebih jauh biarlah kami benar-benar bersedia terlebih dahulu.
"Sekarang, masing-masing sedang sibuk dengan kerjaya dan anak saya juga perlukan perhatian yang lebih. Jika ada jodoh, kami akan berkahwin juga suatu hari nanti," katanya.
Beri Hanez peluang
Sebelum ini, Nora ada memuat naik beberapa keping gambar bersama pelakon Hanez Suraya di Instagramnya. Gambar itu diambil pada hari pertama penggambaran telefilem Cikgu Timah yang dibintangi mereka berdua.
Malangnya, sehari selepas penggambaran dan gambar itu dimuat naik, dikhabarkan Hanez terpaksa digugurkan daripada telefilem itu. Katanya, Hanez digugurkan kerana bimbang kontroversinya bakal memberi impak negatif terhadap rating drama tersebut yang akan disiarkan di Astro First.
Nora yang tidak menyedari hal berkenaan terkejut dengan berita tersebut dan menyangka gambar yang dimuat naik olehnya menjadi punca Hanez digugurkan daripada drama berkenaan.
"Saya terkejut apabila diberitahu yang kami harus melakukan penggambaran semula kerana Hanez terpaksa digugurkan daripada drama itu. Saya rasa bersalah kerana apabila membaca komen di Instagram, terlalu banyak komen yang negatif. Sangkaan saya, gambar itulah yang menjadi punca Hanez digugurkan, sebenarnya tidak, kerana itu keputusan pihak stesen televisyen bukannya produksi," kata Nora.
Sedih dengan perkara tersebut, Nora berharap Hanez diberi peluang untuk kembali mewarnai dunia lakonan sementelah dia merupakan seorang pelakon yang bagus.
"Saya sungguh gembira apabila jumpa dengannya di set penggambaran, bagi saya dia seorang pelakon yang bagus. Saya harap berilah dia peluang kerana dia pun sudah menyesal dengan apa yang berlaku," balas Nora.

AKRAB dengan bekas mertua, kata Nora silaturahim yang telah terjalin akan dijaga sebaik mungkin, bukan untuk mengambil kesempatan atau tidak dapat meneruskan kehidupan sendiri.


Idam Anugerah
Beralih bicara kepada kerjayanya, khalayak mungkin melihat, Nora hanya 'menjual' wajah cantiknya sebagai tarikan untuk filem dan drama lakonannya.
Sepuluh tahun bergelar pelakon, Nora yang sudah membintangi 15 buah filem dan puluhan drama masih tertinggal sesuatu, iaitu anugerah.
"Saya rasa semua pelakon mempunyai impian yang sama. Tipulah jika tidak mahu anugerah. Selama 10 tahun jadi pelakon, saya mengidam untuk terima anugerah kerana kualiti lakonan saya.
"Ya, dahulu saya mengaku tidak diberi kepercayaan untuk watak yang berat, tetapi hari ini senarionya telah berubah. Saya juga berusaha keras untuk memperbaiki mutu lakonan bukan sekadar jual wajah. Tidak kisah anugerah apa sekali pun asalkan ia mengiktiraf bakat lakonan saya," akui Nora penuh jujur.
Akuinya, sejak berada di bawah pengurusan pihak Metrowealth (MIG), bakat Nora lebih dipercayai apabila dia diberi peluang untuk menggalas watak yang berat dan sarat dengan emosi.
"Memang saya akui, sebelum ini saya hanya dikenali dengan watak ringan dan comel sahaja. Cuma sejak kebelakangan ini, saya diberi peluang untuk melakonkan watak berat.
"Saya kira, itu satu pencapaian yang baik sepanjang 10 tahun dalam industri seni. Jika boleh, saya mahu lakukan yang lebih baik dalam lakonan kerana peminat hari ini bijak menilai. Jika mahu bertahan lama, kualiti lakonan harus dijaga," ujar Nora.


Bina replika pesawat tempur Jerman

Posted: 14 Nov 2014 02:38 AM PST



FORD bersama sebuah pesawat tempur milik tentera Jerman ketika era Perang Dunia Pertama yang dikenali sebagai The Red Baron. 


CAMBRIGDE, Britain – Seorang lelaki membelanjakan £50,000 (RM263,168) dan mengambil masa selama 15 tahun untuk membina sebuah replika pesawat tempur tentera Jerman yang terkenal semasa era Perang Dunia Pertama.
Lelaki tersebut, Paul Ford, 52, membina replika pesawat tempur Jerman yang dikenali sebagai The Red Baron itu dan lebih menarik lagi pesawat berkenaan mampu terbang seperti pesawat sebenar.
Ford berkata, dia membina pesawat berkenaan di sebuah gudang milik keluarganya di kampung Cottenham di daerah Cambridgeshire dekat sini.
"Membina pesawat ini sangat sukar kerana semua kapal terbang yang asal telah musnah dan saya hanya berpandukan kepada gambar serta lukisan pesawat berkenaan.
"Saya terpaksa meminta bantuan anak dan beberapa rakan rapat untuk membantu dalam projek ini," katanya.
Menurutnya, dia kini membawa pesawat berkenaan di setiap pertunjukan udara di Britain dan sering mendapat pujian daripada orang ramai.

Wanita India mangsa kawalan populasi

Posted: 14 Nov 2014 02:36 AM PST



TENGAH HARI 8 November lalu, Soni Jangde tiba di sebuah klinik di Bilaspur, sebuah daerah dalam negeri Chhattisgarh yang terletak di bahagian tengah India. Kedatangan Jangde, 23, ke klinik itu didorong bagi menjalani prosedur tubektomi, pemandulan ke atas wanita melibatkan pengikatan salur Fallopio iaitu tiub yang membawa ovum yang dihasilkan oleh ovari ke dalam rahim. Lima pegawai perubatan terdiri daripada seorang doktor, dua jururawat dan dua lagi staf bantuan ditugaskan bagi melaksanakan pembedahan pada hari tersebut.
Sebelum operasi dimulakan, tekanan darah Jangde diperiksa. Kemudian, dia menyerahkan sampel air kencing dan darah. Bilik pembedahan yang dilengkapi dua katil digambarkan Jangde berada dalam keadaan bersih. Pembedahan dijalaninya berjalan lancar dan selesai dalam tempoh 10 minit sahaja.
Pada hari yang sama, Jangde dibenarkan pulang ke rumah. Girang sungguh hatinya kerana selain selamat menjalani pembedahan mengikat peranakan, dia turut menerima wang sebanyak 600 Rupee (RM32). Jangde yakin, keputusannya itu adalah tepat dan terbaik untuk keluarga mudanya.
Bagaimanapun, selepas beberapa jam, ibu kepada tiga cahaya mata itu mengalami pening kepala diikuti sakit pada bahagian abdomen dan muntah-muntah. Sangkaannya, ia mungkin efek sampingan normal. Mimpi ngerinya bermula selepas seorang pegawai rasmi kesihatan Chhattisgarh datang ke rumah dan membawanya segera ke hospital.
Kesemua wanita yang menjalani pembedahan tubektomi di klinik tersebut pada hari berkenaan menghadapi simptom yang sama seperti Jangde. Lebih mengejutkan, daripada 83 wanita yang terlibat, 13 daripadanya meninggal dunia dan beberapa orang lagi kritikal.

PEMBEDAHAN pemandulan di India lebih tertumpu kepada wanita berbanding lelaki.


Keracunan darah
Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Chhattisgarh, Amar Sing, mangsa yang meninggal dunia didakwa mengalami keracunan darah atau kejutan pendarahan. Situasi itu terjadi apabila seseorang itu kehilangan terlalu banyak darah.
"Saya dan wanita yang lain sangat takut. Ini membuktikan pemerintah mengambil mudah nyawa wanita miskin seperti kami. Saya tidak akan menggalakkan saudara-mara saya menjalani prosedur ini," tegas Jangde yang kesal kerana mempercayai program galakan pemandulan oleh pemerintah India sebagai langkah perancangan keluarga demi mengurangkan populasi rakyat.
Jangde dan suaminya bekerja di ladang dan mendapat upah harian sebanyak AS$3 (RM10). Mereka mempunyai tiga anak termasuk seorang bayi berumur enam bulan dan tidak mampu menyara lebih daripada itu. Justeru, apabila diberitahu oleh seorang pekerja kesihatan kampung tentang program tersebut, Jangde terus bersetuju.
"Kami membuat keputusan untuk tidak menambah anak. Lelaki tidak perlu menjalani prosedur pemandulan, kami (wanita) yang akan lakukannya," kongsi Jangde dan menambah, dia tidak pernah dipaksa menjalani pembedahan tersebut.
Tragedi yang menimpa Jangde dan 82 wanita lain di bawah umur 32 tahun itu telah mencemarkan inisiatif India dalam mengehadkan pertumbuhan populasi 1.3 bilion rakyatnya daripada terus bertambah dengan menawarkan prosedur pembedahan pemandulan percuma. Majoriti individu sasarannya ialah wanita miskin. Mereka turut dibayar insentif bernilai AS$10 (RM33) hingga AS$20 (RM66) selepas menjalani prosedur.
Golongan aktivis menyalahkan bayaran insentif tersebut termasuk kuota pemandulan yang ditetapkan. Badan-badan kesihatan juga didapati lebih memilih untuk menekan wanita menjalani pembedahan berbanding memberi nasihat berkaitan alternatif pencegah kehamilan lain.
"Kesemua wanita ini telah menjadi mangsa gara-gara pelaksanaan pendekatan kawalan populasi," Brinda Karat daripada Persatuan Wanita Demokratik Seluruh India berpendapat yang turut mendesak menteri kesihatan agar meletakkan jawatan.

SEORANG doktor menjalankan operasi pemandulan di sebuah klinik di Sonhoula, Bihar.


Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006, India mencatatkan kadar pemandulan wanita tertinggi di dunia dengan 37 peratus memilih untuk menjalani pembedahan tersebut berbanding 29 peratus di China. Pada tahun 2011 hingga 2012, seramai 4.6 juta wanita India menjalani operasi tersebut.
PBB menjangkakan, India akan mengatasi China sebagai negara berpopulasi tertinggi di dunia dalam tempoh 30 tahun. Pada tahun 2007, India meningkatkan insentif kepada wanita yang menjalani pemandulan dan fokusnya terarah kepada negeri-negeri kurang membangun. India kini mencatatkan prosedur pencegahan kehamilan wanita ketiga tertinggi di dunia selepas Republik Dominika dan Puerto Rico dalam kalangan 180 buah negara yang dikenal pasti PBB.
Tahun lalu, kira-kira 4.2 juta prosedur pemandulan dilakukan di negara tersebut dengan hampir 98 peratus daripadanya melibatkan tubektomi. Malah, India merupakan satu-satunya negara di dunia yang menyaksikan dominasi pembedahan pemandulan wanita berbanding alternatif pencegahan kehamilan lain.
Program sterilisasi (pemandulan) besar-besaran diperkenalkan bagi mengawal pertumbuhan populasi India pada tahun 1976, di bawah pimpinan Indira Gandhi sebagai Perdana Menteri yang menyaksikan negara tersebut berada di bawah undang-undang darurat. Gerakan tersebut telah meledakkan ketakutan dan kemarahan orang awam.
Berdasarkan laporan kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS), Human Rights Watch (HRH) pada tahun 2012, India telah menghentikan sasaran terhadap pemandulan wanita dan mengubah fokus kepada mendidik wanita ke arah alternatif pencegahan kehamilan berbeza sejak tahun 1996. Namun, ia tidak diimplementasi di peringkat negeri.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa sebahagian negeri di India melantik pegawai rasmi setiap tahun bagi mencapai sasaran prosedur pemandulan. Mereka yang dilantik dalam kalangan pekerja kesihatan dan kebajikan kanak-kanak juga diugut pegawai atasan dengan pelbagai kemungkinan buruk sekiranya sasaran gagal dicapai.
Pihak berkuasa negeri tidak hanya mendenda pekerja-pekerja kesihatan yang tidak mencapai sasaran dengan memotong gaji atau menggantung pekerjaan mereka tetapi turut meluluskan insentif seperti kereta dan emas kepada mereka yang secara sukarela menjalani operasi pemandulan.

SEBAHAGIAN wanita ditahan di wad selepas mengalami efek sampingan membimbangkan.


Tidak bersih
Prosedur pula selalunya dijalankan dalam suasana tidak bersih menggunakan peralatan pembedahan yang mendukacitakan. Ia melanggar garis panduan yang ditetapkan kementerian kesihatan dan kebajikan keluarga persekutuan bagi memastikan keselamatan operasi yang mensyaratkan teknik pembedahan, rawatan susulan selepas pembedahan dan langkah-langkah sekiranya terjadi komplikasi. Garis panduan berhubung pembedahan pemandulan juga menetapkan bahawa sekumpulan pakar bedah tidak boleh menjalankan lebih 50 operasi dalam sehari.
Kira-kira 37 peratus wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun yang berkahwin atau di dalam perhubungan menyatakan bahawa pemandulan merupakan pilihan pencegahan kehamilan terbaik. Jika dibandingkan hanya 3.1 peratus memilih mengambil pil perancang dan 5.2 peratus lagi menggunakan kondom lelaki bagi mengelakkan daripada mengandung.
Laporan HRH juga mendapati bahawa prosedur vasektomi, pemandulan lelaki dengan cara membuang sebahagian atau seluruh salur mani tidak diterima secara terbuka dalam konteks sosial di India. Malah, hanya satu peratus wanita dalam kategori usia 15 hingga 49 tahun di negara itu bergantung kepada pasangan mereka yang telah menjalani vasektomi. Ia disebabkan lelaki terikat dengan stigma bahawa pemandulan akan memberi kesan terhadap kelelakian mereka.
Berdasarkan laporan Kesihatan Keluarga Kebangsaan 2006 pula, wanita India berkahwin lebih berisiko tinggi menjalani tubektomi dan dianggarkan lebih sepertiga daripada mereka telah selamat dimandulkan.
"Terdapat ketidakseimbangan tekanan kepada wanita dalam isu pemandulan berbanding lelaki kerana pekerja kesihatan lebih cenderung mendekati wanita yang mempunyai anak. Lelaki di India tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan melibatkan perancangan keluarga" ujar Kerry McBroom, ketua Inisiatif Hak Reproduktif di Jaringan Perundangan Asasi Manusia New Delhi.
Sementara itu, Ketua Menteri Chhattisgarh, Raman Singh meletakkan kesalahan tragedi menimpa 83 wanita pada 11 November lalu ke atas pakar bedah, R.K. Gupta. Doktor itu kini digantung tugas dan berdepan siasatan jenayah. Gupta didakwa menggunakan peralatan tidak bersih yang dijangkiti kuman untuk kesemua 83 prosedur yang dilaksanakan dalam tempoh kira-kira enam jam.
"Insiden itu terjadi akibat kecuaian doktor-doktor bertugas," tegas Singh yang turut memberitahu bahawa kesemua keluarga mangsa akan menerima pampasan kira-kira AS$6,600 (RM22,017).
Bekas pengarah eksekutif Pusat Sumber Sistem Kesihatan Kebangsaan di bawah kesatuan Kementerian Kesihatan, Dr. T. Sundaraman pula berpendapat, pelaksanaan pembedahan laparoskopik yang kini menjadi pilihan kerana membantu mempercepatkan penyembuhan dan meminimumkan invasif berkemungkinan menjadi antara punca kepada kematian 13 wanita tempoh hari tersebut.
"Pembedahan laparoskopik memerlukan kepakaran tinggi menggunakan kaedah rumit pensterilan peralatan. Penggunaan peralatan kurang dinyahkuman akan mendorong kepada jangkitan," ujarnya kepada The Times of India.
Sundaraman turut melihat pengurangan efisiensi pegawai perubatan di pusat-pusat perubatan kerajaan sebagai punca terhadap insiden tersebut. Kematian akibat pembedahan kemandulan dicatatkan daripada 153 menjadi 184 dalam tempoh 2010 hingga 2012, dengan kes diakibatkan oleh komplikasi selepas pembedahan mencatatkan lebih dua kali ganda dalam tempoh empat tahun.


Rawatan konsep kalam petunjuk

Posted: 14 Nov 2014 02:34 AM PST



SEBAIK mendaftarkan diri di kaunter utama Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa, Saiful Bahari Abdul Manaf, 34, pantas mengambil tempat duduk di atas sofa yang disediakan.
Tidak sampai 10 minit menunggu, namanya dipanggil oleh jururawat yang bertugas untuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil.
Di dalam bilik tersebut, Mohamed Zaki Itam atau mesra disapa Ustaz Sheikh sudah sedia menunggu pesakitnya. Selepas tekanan darah Saiful Bahari diperiksa oleh jururawat, Ustaz Sheikh yang merupakan pengasas pusat rawatan itu memulakan rutin rawatannya.
Kaki pesakit diangkat dan tapak kakinya dipicit-picit di bahagian tertentu. Sesekali Saiful Bahari mengerutkan dahi tanda sakit apabila tapak kakinya ditekan. Kemudian, bahagian kaki yang sakit itu ditandakan dengan pen berwarna hitam.
Selesai melakukan pemeriksaan, Ustaz Sheikh lantas memberitahu Saiful Bahari: "Awak ni ada masalah sakit di bahagian belakang yang bermula dari pinggang hingga tulang belikat. Mungkin ia disebabkan awak terlalu banyak duduk daripada berjalan. Selain itu, awak juga selalu mengalami sakit kepala."
Mendengar diagnosis daripada Ustaz Sheikh itu, Saiful Bahari hanya mengangguk-anggukkan kepala. Beliau kemudian menjawab: "Betul ustaz sebab kerja saya sebagai penyelidik memang perlu menghadap komputer berjam-jam sehari."

PUSAT Rawatan Tradisional As-Syifa yang diusahakan oleh Ustaz Sheikh sejak tahun 2005 berjaya merawat ramai pesakit.


Kaedah rawatan
Itu antara rawatan ringkas yang dilakukan 'doktor' tradisional berusia 67 tahun. Beliau menggunakan kaedah pemeriksaan di tapak kaki untuk mengenal pasti penyakit seseorang yang dikenali sebagai konsep kalam petunjuk.
Ustaz Sheikh berkata, kalam boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, kalam yang bertulis dan berhuruf yang boleh dibaca yakni al-Quran manakala kalam yang tidak bertulis dan tidak berhuruf tetapi boleh dibaca.
"Kisah pertelingkahan anak Nabi Adam a.s iaitu Qabil dan Habil adalah salah satu contoh kalam petunjuk yang tidak bertulis daripada Allah. Apabila Qabil menjadi buntu dan gelisah menghadapi mayat saudaranya, Habil yang dibunuh, maka Allah memberi petunjuk kepadanya melalui peristiwa dua ekor burung gagak yang bergaduh.
"Kemudian, burung gagak yang hidup telah menolak kawannya yang telah mati ke dalam lubang yang digali dan mengambusnya semula. Inilah konsep yang dinamakan kalam petunjuk yang diguna pakai di pusat rawatan ini," ujar Ustaz Sheikh ketika ditemui Kosmo! di Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa yang terletak di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.
Dibuka pada tahun 2005, pada mulanya ia dikenali sebagai Pusat Kesihatan Tradisional. Namun, pada tahun 2007, Ustaz Sheikh mengambil keputusan menukar namanya kepada Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa.
Tambah Ustaz Sheikh, beliau mempelajari ilmu perubatan tradisional secara tidak formal di China sekitar tahun 1980-an. Sebelum itu, beliau juga ada mempelajari ilmu mengurut daripada arwah bapanya, Itam Mat yang merupakan tukang urut Sultan Perak, Sultan Idris Shah II.

RAWATAN bekam lintah turut disediakan di Pusat Rawatan Tradisional As-Syifa.


Secara umumnya, bapa kepada empat cahaya mata ini sudah mula merawat orang pada usia 30 tahun lagi. Kini, beliau meneruskan tradisi tersebut dengan menawarkan perkhidmatan rawatan kepada masyarakat secara lebih meluas.
"Di sini, kami menggunakan pendekatan rawatan secara holistik yang menggabungkan jenis rawatan tradisional, moden serta kerohanian untuk kesan yang terbaik. Paling utama, kami akan mencari punca masalah penyakit dan merawatnya dengan kaedah yang betul dari semasa ke semasa.
"Matlamat saya adalah untuk memartabatkan perubatan tradisional Melayu agar setanding dengan perubatan moden alopati dalam menjaga kesihatan masyarakat," ujar Ustaz Sheikh yang juga merupakan Timbalan Presiden Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (Gapera).
Apa yang menarik, pusat rawatan ini turut menyediakan perkhidmatan klinik dengan bantuan pegawai perubatan dan jururawat bertauliah untuk merawat pesakit yang datang.
Malah, kerjasama dengan pihak makmal hospital juga dilakukan dalam aspek pemeriksaan darah bagi mengetahui keadaan semasa seseorang pesakit menerusi laporan ujian darah.
Antara rawatan yang disediakan adalah urutan tradisional, refleksologi, resdung, bekam, pakej wad dan rawatan selepas bersalin. Tidak ketinggalan, pusat ini juga menyediakan khidmat kaunseling kepada pesakit di samping mempunyai rawatan khusus untuk wanita menopaus atau putus haid.

SALAH seorang pesakit yang mengalami lumpuh satu badan akibat serangan strok mendapatkan rawatan di pusat ini.


Kesan negatif
"Ramai wanita tidak menyedari bahawa apabila menopaus, saki baki darah haid sebenarnya masih ada dalam badan. Justeru, mereka perlu menjalani rawatan bagi memastikan darah tersebut keluar sepenuhnya. Jika tidak, ia boleh membawa kesan negatif pada kesihatan diri," jelas Ustaz Sheikh.
Sementara itu, menurut seorang pelanggan, Suhaimi Abu, 42, berkata, dia mengetahui tentang kewujudan pusat rawatan ini daripada pakciknya sewaktu mahu mencari tempat untuk mengubati penyakit ibunya.
Ketika itu, ibunya, Nyonya Ibrahim, 70, berada dalam keadaan yang sangat uzur hingga tidak mampu bangun tetapi sejak dihantar mendapatkan rawatan di sini, kesihatan wanita warga emas itu semakin beransur baik.
"Alhamdulillah, dengan rawatan yang komprehensif dan penjagaan di wad yang selesa, ibu kembali sembuh.
"Semua petugas di sini memainkan peranan masing-masing untuk memastikan pesakit yang dirawat mengalami perubahan kesihatan ke arah yang positif," ungkap Suhaimi yang tidak keberatan mempromosikan pusat rawatan tersebut kepada saudara dan sahabat handai.
Bagi Nurul Syafiqah Yaakub, 22, pula, sebagai jururawat dia bertanggungjawab menjaga kebajikan pesakit yang mendapatkan rawatan di sana. Walaupun masih baru menjalankan tugas sebaik menamatkan pengajian di sebuah kolej perubatan tempatan, gadis itu berazam untuk menjadi pekerja yang komited.
"Apabila merawat pesakit yang kebanyakan sudah berusia, saya bayangkan mereka seperti ibu dan bapa saya sendiri. Maka, sudah pasti saya akan melayan mereka dengan baik dan penuh berhemah kerana saya menghormati mereka sebagai orang tua.
"Kadang-kadang kasihan melihat mereka yang berjuang melawan penyakit yang dihadapi termasuk strok, kanser dan sebagainya," tutur Nurul Syafiqah.


Pusat sehenti aksesori wanita

Posted: 14 Nov 2014 02:32 AM PST

NOOR INORA PUTRI menunjukkan salah satu rekaan tudung bawal eksklusif keluaran Butik Sincerelybyus.


MENYEDIAKAN kelengkapan wanita di bawah satu bumbung, Butik Sincerelybyus yang beroperasi di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi, Selangor menjadi tumpuan golongan remaja khususnya pelajar dan eksekutif muda untuk mendapatkan keperluan fesyen harian.
Bermula dengan perniagaan secara online sejak tahun 2011, butik itu dikenali ramai hasil rekaan tudung bawal dan selendang yang eksklusif, ringkas serta berpatutan.
"Konsep yang kami tampilkan dalam butik ini ialah semua aksesori wanita dari hujung rambut hingga hujung kaki termasuk alat solek serta kelengkapan berkaitan teknologi seperti fon telinga, sarung telefon bimbit dan kabel USB boleh didapati di sini.
"Kami dikenali dalam kalangan pelanggan tetap menerusi rekaan signatur tudung bawal yang menampilkan corak bunga mawar dan burung pipit dengan tona warna menarik," tutur Pengarah Urusan Butik Sincerelybyus, Noor Inora Putri Noorzainy.
Selain aksesori wanita, butik tersebut turut menawarkan makanan ringan seperti biskut, snek dan pastri yang boleh dinikmati para pelanggan sama ada di sudut cafe butik cawangan Shah Alam atau di bawa pulang ke rumah setelah puas membelek-belek tudung dan baju.
Menggunakan sistem vendor, pembekal bagi barangan yang dijual di butik tersebut dipilih sendiri oleh Noor Inora Putri demi menjamin kualiti barangan di samping memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Material
Sementara itu, material yang digunakan dalam menghasilkan tudung bawal keluaran butik itu didatangkan khas dari luar negara seperti Indonesia dan India.
"Sudah merata-rata tempat saya kunjungi untuk mencari material dan idea rekaan terkini yang boleh kami gunakan untuk keluaran tudung-tudung baharu.
"Hampir setiap bulan kami akan mengeluarkan rekaan-rekaan baharu untuk memberikan banyak pilihan kepada pelanggan dan secara kebiasaannya tudung rekaan signatur yang akan cepat habis.
"Para vendor kami juga berpuas hati dengan hasil jualan yang ditunjukkan sehingga hampir setiap minggu mereka akan menghantar stok baharu," kata bekas pelajar Diploma Pengurusan Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Pelanggan yang datang membeli-belah di butik tersebut bukan sahaja terdiri daripada penduduk di sekitar Lembah Klang, malah dari luar Kuala Lumpur dan Selangor seperti Pulau Pinang dan Sarawak. Mereka datang semata-mata untuk mendapatkan rekaan tudung eksklusif di butik tersebut.
Tertarik dengan rekaan tudung bawal yang ringkas, Nur Sabrina Rahmat, 25, sering berkunjung ke butik itu untuk mendapatkan rekaan-rekaan baharu di samping harga yang berpatutan.
"Saya mula menjadi pelanggan tetap butik ini sejak 2011 iaitu ketika mereka belum mempunyai kedai tetap dan hanya membuka gerai pameran sementara di kampus UiTM Shah Alam.

BUTIK Sincerelybyus menawarkan semua kelengkapan wanita di bawah satu bumbung.


Layanan
"Rekaan tudung-tudung di sini memang cantik dan sangat sesuai untuk pelajar seperti saya kerana harganya yang mampu dimiliki serta tidak terlalu mahal berbanding di tempat-tempat lain.
"Layanan yang mereka beri kepada pelanggan juga sangat mesra sehingga kakitangan di sini boleh dianggap seperti kawan," katanya.
Jenis kain yang senang diurus dan tidak mudah kedut antara pilihan orang ramai untuk membeli tudung bawal dan selendang keluaran butik itu.
Menurut Manaal Sabry, 26, dia yang mendapat tahu mengenai kewujudan butik tersebut melalui rakannya. Dia memberitahu bahawa tudung yang dijual di butik itu sangat selesa dipakai dan tidak terasa panas.
"Material yang digunakan sangat berkualiti dan senang hendak diuruskan kerana tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menggosok.
"Saiznya juga agak besar dan saya memang penggemar tudung yang mempunyai saiz seperti itu. Tambahan pula, rekaannya yang mengikut peredaran zaman," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tidak terhad kepada pelanggan dalam negara, Butik Sincerelybyus turut menerima kunjungan daripada warga Singapura yang datang untuk mendapatkan tudung rekaan eksklusif itu.
Noor Inora Putri turut merancang untuk melebarkan sayap perniagaan dengan menambah satu lagi cawangan di Johor Bahru bagi memenuhi permintaan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia sekali gus menarik pelanggan dari Singapura.


Mahar wajib dalam perkahwinan

Posted: 14 Nov 2014 02:31 AM PST


DULANG hantaran boleh menentukan kedudukan ekonomi, sosial, moral dan intelektual pasangan pengantin. – Gambar hiasan


PERBINCANGAN secara ilmiah mengenai mahar jarang diperkatakan kerana peruntukan undang-undang Islam telah jelas tentang kewajipan membayar mahar mengikut jumlah yang ditentukan atau dipersetujui oleh pihak lelaki dan perempuan.
Bagaimanapun, amalan sekarang yang meletakkan kadar mahar yang tinggi menjadi antara punca kepada kejadian anak muda berkahwin di Thailand. Bayarannya lebih murah dan majlis juga cukup ringkas.
Kitaran sosial ini boleh mengundang banyak masalah terutamanya apabila pasangan tersebut tidak berusaha untuk mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan dengan institusi agama yang berkaitan.
Situasi itu disalah guna sindiket yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tertentu untuk memudahkan urusan pasangan berkahwin khususnya di selatan Thailand.
Ramai wanita yang menjadi mangsa perkahwinan segera ini tidak menyedari tentang masalah yang bakal dihadapi jika suami yang dikahwininya tidak bertanggungjawab menguruskan proses yang sepatutnya dilakukan.
Ada yang terpaksa menghadapi prosiding mahkamah yang sangat panjang dan belum tahu kesudahannya jika perkahwinan tersebut tidak kekal lama, menjadi retak serta mengundang perceraian.
Rukun perkahwinan
Hukum Islam tidak menjadikan mahar sebagai rukun perkahwinan walaupun ada ulama yang menjadikan syarat kepada sahnya sesuatu perkahwinan.
Bagaimanapun, pandangan yang menjadikan mahar sebagai bayaran wajib bertepatan dengan peruntukan undang-undang yang terpakai berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah.
Bayaran ini dibuat sebagai menghargai hubungan insaniah dan penghargaan terhadap kesediaan pasangan untuk menjadi pasangan suami isteri. Wanita juga seharusnya lebih arif tentang perkara ini dan mengambil kesempatan untuk membuat simpanan atau pelaburan yang boleh menjamin masa hadapan.
Dalam kebanyakan kes yang melibatkan perceraian, faktor kewangan merupakan masalah yang paling banyak dihadapi oleh pasangan suami isteri.
Allah berfirman: "Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikah) sebagai pemberian yang penuh rela. Kemudian jika mereka menyerahkan mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedaya lagi baik." (al Nisa:4)
Ayat di atas menjadikan mahar sebagai hak isteri yang mutlak kecuali pihak wanita itu membenarkan dengan rela hati. Perkara ini selalunya tidak difahami oleh masyarakat umum kerana lebih menekankan kepada perbelanjaan menguruskan majlis perkahwinan melibatkan kos yang besar.

SUAMI atau wakilnya perlu membayar mas kahwin kepada isteri di hadapan orang yang melakukan akad dan disaksikan sekurang-kurangnya dua orang. – Gambar hiasan


Simpanan
Mahar yang sepatutnya menjadi simpanan isteri terpaksa digunakan untuk tujuan membayar hutang lain.
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda: "Berilah (isterimu itu) sekalipun hanya dengan sebentuk cincin besi."
Semua mazhab dalam Undang-Undang Islam berpendapat, setiap sesuatu yang mempunyai nilai boleh dinamakan sebagai mahar. Namun, Rasulullah mengehadkan jumlah mahar tidak kurang daripada 10 dirham dan tidak lebih 500 dirham (jumlah yang ditetapkan oleh Rasulullah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuannya.
Apabila jumlah mahar tidak disebut dalam akad perkahwinan, isteri berhak mendapat mahar mithil iaitu jumlah mahar kakak atau ibu saudara sebelah bapa bersesuaian dengan kedudukannya.
Setengah ulama Islam menegaskan, seseorang perlu mengambil kira kedudukan ekonomi isteri, sosial, moral dan intelektual dalam menentukan jumlah mahar.
Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mas kahwin hendaklah dibayar oleh suami atau wakilnya kepada isteri di hadapan orang yang melakukan akad dan disaksikan juga oleh sekurang-kurangnya dua orang saksi.
Biasanya jumlah mas kahwin dibayar mengikut status, kedudukan dan pangkat pengantin perempuan. Namun, ia bukan satu bentuk ukuran yang mesti diikut sehingga menyusahkan pihak lelaki untuk meneruskan ikatan perkahwinan.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved