Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Penyanyi 90-an berentap
- Pinggang biola
- 10 makanan termahal di dunia
- Firman tunai nazar
- Tandas terbiar jadi tempat berteduh
- Sesalan Beego
- Tuah #Awak Kat Mana, Taufik Batisah
- Lelaki dakwa rakam imej raksasa Loch Ness
- Pecah rekod dunia angkat berat dalam air
- Tabiat kanak-kanak berhutang membimbangkan
- Kolej, Universiti Tempatan Lubuk Ganja
- Rahsia kejayaan Ac Mizal
- Mi Rebus Pak Din sejak 1962
Posted: 10 Nov 2014 11:20 PM PST DEMI mengembalikan kegemilangan muzik era 90-an, Astro memperkenalkan sebuah lagi program realiti, Gegar Vaganza yang menampilkan penyertaan daripada 12 penyanyi tempatan yang pernah mencipta nama di persada seni sekali gus menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu. Mereka ialah Mamat Exist, Rahmat Mega, Hasnol, Fazli Zainal, Sam Innuendo, Ayai Ilusi, Haleeda, Nadia, Shima, Sharifah Zarina, Ifa Raziah dan Adilla. Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad memberitahu Gegar Vaganza diwujudkan demi memperlihatkan kembali kehebatan vokal dan persembahan barisan artis profesional ini. "Sudah tiba masanya, kami menyediakan platform seperti ini kepada penyanyi profesional. "Di samping berhibur, mereka juga boleh menggunakan platform ini bagi meningkatkan daya keyakinan, kesungguhan serta keazaman," katanya kepada Zass ketika ditemui pada pelancaran program itu, baru-baru ini. Tidak seperti program realiti lain, Gegar Vaganza tidak mengamalkan sistem undian melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada juri tetap dalam menentukan keputusan. "Juri tetap yang terlibat ialah Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim. "Selain itu, program ini turut membawa tiga juri jemputan iaitu Mamat Khalid, Salih Yaacob dan Nash (Lefthanded)," katanya. Tidak merendahkan taraf artis Jelas Raqim, penyertaan barisan artis profesional dalam program realiti ini bukanlah bertujuan merendah-rendahkan kredibiliti. "Kami mengakui kehebatan mereka tetapi mengenai soal merendahkan taraf artis profesional, perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana program ini tidak langsung melibatkan undian SMS. "Dua juri tetap pula terdiri daripada mereka yang juga profesional dalam bidang muzik dan akan menilai persembahan peserta mengikut format dan kriteria yang ditetapkan," katanya. Katanya lagi, pemilihan penyanyi-penyanyi ini berdasarkan kemampuan mereka masih hebat dalam persembahan nyanyian. "Kami perlu mengikut masa mereka yang kebanyakannya ada kerjaya masing-masing. "Jangan terkejut apabila menyaksikan program ini kerana mereka masih lagi menyengat," ujarnya. Juara Gegar Vaganza membawa pulang wang tunai RM100,000 dan naib juara menerima RM30,000, manakala tempat ketiga dan keempat menerima RM15,000 dan RM5,000. Gegar Vaganza akan bersiaran 16 November ini setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Maya HD (135). Program ini dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse. | ||
Posted: 10 Nov 2014 11:18 PM PST BAGI kebanyakan orang, cara terbaik untuk mendapatkan pinggang yang ramping bak kerengga adalah dengan mengamalkan diet seimbang dan melakukan senaman secara kerap. Tetapi, bagi Michele Kobke, 24, dari Jerman dia hanya perlu memakai korset selama tiga tahun. Hasilnya, Kobke kini memiliki pinggang seperti biola berukuran 40 sentimeter (sm) berbanding 64 sm sebelum ini. "Saya berasa lebih cantik kerana memiliki pinggang sebegini ramping. Ia sememangnya unik kerana pergerakan saya menjadi lebih feminin," katanya lagi. Bagaimanapun, ketaksubannya telah memberi kesan buruk kepada kesihatannya. Wanita itu tidak lagi boleh berdiri tegak tanpa memakai korset selain tidak dapat bernafas dengan betul. Kobke juga tidak boleh menjamah makanan seperti biasa dan hanya mengambil kuantiti yang kecil pada setiap hari menurut laporan Daily Mail. | ||
Posted: 10 Nov 2014 11:16 PM PST
SESETENGAH orang mungkin sanggup berhabisan ribuan ringgit kerana hobi, namun ada segelintir pencinta makanan tidak kisah menghabiskan wang semata-mata untuk menikmati hidangan mewah yang sukar didapati di restoran biasa. Berikut adalah 10 makanan termahal di dunia. 1.Trufel Putih (trifola d'Alba)– $160,406 (RM536,760) Kulat yang boleh dimakan dan berasal dari Itali ini adalah yang termahal di pasaran. Kesukaran untuk menanam trufel putih ini secara komersial menyebabkan harga untuk kira-kira 1 kilogram boleh mencecah ratusan ribu ringgit. 2.Almas beluga kaviar - AS$28,000 (RM93,701) Kaviar termahal ini terhasil daripada telur sturgeon albino yang hanya ditemui di Laut Kaspia. Bungkusan hidangan mewah dan istimewa yang diimport dari Iran ini diperbuat daripada emas 24 karat. 3.Tembikai Yubari – AS$22,872 (RM76,522) Ia dianggap sebagai 'raja buah' kerana rasanya yang manis dan sempurna. Buah ini dihasilkan daripada kacukan dua jenis tembikai eksotik dari daerah Yubari di Jepun. 4.Tembikai Hitam Densuke - AS$6,100 (RM20,407) Buah ini sukar diperoleh kerana ia hanya ditanam di Hokkaido, Jepun. Rasanya juga manis dan agak rangup berbanding tembikai biasa. 5.Pizza Royale 007' - AS$4,200 (RM14,051) Piza yang dihasilkan daripada pelbagai bahan mewah termasuk ikan salmon Scotland dan daging rusa. Lapisan atasnya pula diperbuat daripada kepingan emas 24 karat yang juga boleh dimakan. 6.Samundari Khazana Curry – AS$3,200 (RM10,712) Hidangan digelar 'khazanah makanan laut' berasal dari Bombay Brasserie ini mengandungi pelbagai bahan mewah termasuk trufel putih, udang kara bersalut emas, abalone dan ketam devon. 7.Wagyu Steak - AS$2,800 (RM9,374) Stik ini merupakan sajian golongan atasan di Jepun dan kelompok elit di seluruh dunia. Rasanya juga jauh lebih enak serta lembut berbanding daging lembu biasa. Bukan calang-calang orang boleh menikmati hidangan ini kerana harga sepinggan stik wagyu boleh mencecah ribuan ringgit. 8.Zillion Dollar Lobster Frittata – AS$1,000 (RM3,347) Telur dadar biasanya mudah untuk disediakan, namun hidangan serupa di Restoran Norma, Hotel Le Parker Meridien bernilai ribuan ringgit. Frittata tersebut mengandungi kaviar, udang kara dan turut dihidangkan bersama kentang goreng. 9.Westin Hotel Bagel – AS$1,000 (RM3,347) Roti yang menyerupai donat ini menjadi menu istimewa di Hostel Westin, New York. Ia dihidangkan bersama krim keju trufel putih dan jeli Riesling dengan daun emas. 10.Cendawan Mattake (Matsutake) – AS$1,000 (RM3,347) Ia sukar didapati dan hanya boleh ditemui di hutan Asia, Amerika Utara dan Eropah. Cendawan termahal di dunia merupakan antara bahan terpenting dalam masakan Jepun. SUMBER: www.therichest.com | ||
Posted: 10 Nov 2014 11:06 PM PST KONSERT akhir Akademi Fantasia 2014 (AF2014) menyaksikan anak kelahiran Sabah menjadi juara rancangan realiti TV popular itu, malam Ahad lalu. Bertempat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Firman,25, atau nama penuhnya Mhd Firman Bansir mengikuti jejak langkah juara AF sebelum ini, Faizul (AF2013). Berjaya memukau juri dan penonton dengan lagu Kejoraku Bersatu (Search) serta Di Pintu Mu ciptaan lagu kedua ciptaan M. Nasir sepenuhnya, Firman mengungguli carta undian SMS dengan 39.5 peratus, dikuti peserta lain; Aman (15.9%), Ewal (15.5%), Nuha (14.7%) dan Adel (14.5%). Berkongsi kegembiraannya, Firman menyatakan dia akan menunaikan hasratnya untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah dalam masa terdekat. "Alhamdulillah... Sangat bersyukur dengan kemenangan ini kerana saya dapat tunai janji dari awal lagi sekiranya berjaya menjadi juara AF. Dan, tak sangka ianya menjadi kenyataan. "Insya-ALLAH, saya akan membawa ibu dan bapa ke Mekah tidak lama lagi. Namun semuanya masih dalam perancangan," ujarnya yang masih terkejut dengan kemenangan tersebut. Selaku juara, Firman membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 berserta sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Osaka, Jepun, tajaan HNH Tours dan trofi sumbangan Astro. Dengan wang kemenangan itu, Firman turut meluahkan hasratnya untuk mendermakan sebahagian duit itu kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat peperangan. Ujarnya, kesusahan yang dialami sebelum ini banyak mengajarnya untuk bersyukur dan berkongsi 'hadiah' tersebut kepada golongan yang memerlukan. "Saya pernah lalui kepayahan dan kesusahan dalam kehidupan ini. Jadi, saya sedar bagaimana sukar pun hidup saya, ada lagi yang lebih susah dari saya," katanya pernah bergelar 'busker' atau penyanyi jalanan secara sambilan selama setahun lebih. Kekal imej rock! Biarpun lagu ciptaan M.Nasir, Di Pintu Mu bergenre Balada, Firman memberitahu, dia sebenarnya lebih selesa dengan lagu-lagu Rock. "Ianya bertepatan dengan jiwa saya dari awal menyanyi sehingga sekarang. Apabila ditawarkan untuk menyanyi lagu ini saya agak sangsi mulanya. "Risau tidak dapat membawa lagu ini dengan baik di pentas akhir nanti. Selepas persembahan ini, saya lebih yakin bahawa Rock tetap kekal di hati saya selamanya," katanya. Tambahnya, lagu-lagunya akan datang juga bergenre Rock kerana bimbang tidak dapat nyanyi dengan baik. "Sekali bergelar Rocker, selamanya saya akan jadi Rockers," katanya yang meminati lagu-lagu daripada kumpulan Search. | ||
Tandas terbiar jadi tempat berteduh Posted: 10 Nov 2014 11:04 PM PST
BIJANGGA - "Saya tak pernah termimpi suatu hari saya sekeluarga akan tidur di dalam tandas.. inilah hakikat kehidupan, saya tiada pilihan sebab sudah hilang tempat berteduh selepas rumah saya dirobohkan," luah Hadi Al Hafiz Musa, 30. Bapa kepada lima anak itu terpaksa menjadikan tandas awam terbiar sebagai tempat berlindung keluarganya dari panas dan hujan. Tindakan itu dilakukan Hadi dan isterinya, Nazayana Mat Rudi, 35, sebagai jalan terakhir selepas rumah yang diduduki mereka terpaksa dirobohkan berikutan pemilik tanah ingin mengambil semula tapak rumah yang difahamkan diduduki secara haram sejak lebih 20 tahun lalu. "Sebagai seorang ayah, pastinya saya pilu lihat lima anak saya terpaksa tidur dalam tandas, mana pernah orang buat sebelum ini. "Bayangkan tiga anak saya yang masih kecil (Mohd Hazriq Haiqal, 6, Mohd Azwan Rayan, 5, dan Mohd Kalis Hakiki, 2) terpaksa tidur di atas lantai tandas dengan banyak nyamuk dan persekitaran yang kotor," katanya. Hadi berkata, dia tidak mampu menyediakan rumah lebih selesa kerana kebanyakan rumah yang ditemui sewanya mahal, sedangkan dia tidak berkemampuan. Nama tidak tersenarai Dakwa Hadi, sebelum ini, pihak berkaitan berjanji mahu menempatkan penduduk termasuk dirinya berpindah ke kawasan penempatan khas yang sudah dikenal pasti. Bagaimanapun dia kecewa kerana namanya tidak tersenarai menyebabkan dia buntu sehinggalah saat-saat akhir dia terpaksa keluar dari rumahnya setelah mendapat perintah mahkamah. "Saya sudah mencari di kawasan sekitar, tapi tak jumpa rumah yang saya mampu sewa. "Akhirnya kami terpaksa berlindung di sini buat sementara, kalau tak ada rumah juga, maka di sinilah rumah kami sebagai pilihan terakhir," katanya. Kata Hadi, dia sepatutnya mendapat penempatan baharu kerana sudah tinggal di situ sejak puluhan tahun lalu, namun kecewa kerana namanya tidak disenaraikan pada saat-saat akhir, mungkin disebabkan kerenah birokrasi politik. Lebih menyedihkan, dua anaknya, Nurul Alia Natasha, 11, yang bersekolah di SK Gong Pasir dan Puteri Shahida Amalin, 9, bersekolah di SK Kuala Dungun tidak dapat mengulang kaji pelajaran seperti mana biasa berikutan keadaan persekitaran yang menjijikkan. "Selagi saya tidak dapat rumah, selagi itulah saya akan tinggal di sini. Mungkin inilah rumah saya, sudah dua malam saya bermalam di sini dan mungkin sampai bila-bila," katanya. Adun kesal Sementara itu, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang mengunjungi keluarga malang itu selepas menerima maklumat berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku terhadap keluarga Hadi. Menurutnya, pihak yang bertanggungjawab dengan urusan penempatan semula penduduk sepatutnya lebih prihatin kerana ia membabitkan soal kehidupan rakyat yang kehilangan tempat berlindung. "Sebagai wakil rakyat, saya sedih melihat perkara sebegini boleh berlaku dalam masyarakat kita orang Melayu. "Jika keluarga ini masih tinggal di sini juga, mungkin kita akan cari jalan untuk bantu mereka agar anak-anaknya tidak tidur di tandas lagi," katanya. Hadi antara lebih 20 penduduk yang terpaksa berpindah selepas tanah diduduki diambil semula pemilik asal. Sebahagian daripada penduduk terlibat sudah ditempatkan di perumahan kos rendah di Bukit Tebuk manakala sebahagiannya di Flat Desa Bijangga. Sinar Harian semalam melaporkan, kira-kira 10 keluarga kini dalam kebimbangan selepas mereka diarahkan mengosongkan kediaman erta-merta, sedangkan mereka masih belum mendapat rumah lain untuk berpindah. | ||
Posted: 10 Nov 2014 10:38 PM PST SEKITAR sembilan tahun lalu, wajah pelakon dan penyanyi Beego sering muncul di kaca televisyen menghiasi telefilem atau drama rantaian popular. Telefilem seperti Gitar Tua dan Gitar Tua 2 arahan pengarah terkemuka, Rashid Sibir merupakan antara naskhah awal yang berjaya menaikkan nama anak kelahiran negeri Johor itu sebagai pelakon. Ketika itu, Beego masih mentah dalam bidang lakonan, tetapi pemilik nama sebenar, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 34, sering digandingkan dengan pelakon senior yang berbakat besar. Antara pelakon yang selalu digandingkan dengannya termasuklah Fasha Sandha, Ellie Suriaty dan Fauziah Nawi. Pencapaian bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz itu dalam bidang lakonan bagaimanapun tidak kekal lama. Terpalit kontroversi demi kontroversi, pelakon sitkom Puteri itu menggemparkan negara apabila pernikahan pertamanya bersama Intan Shahira Mohd. Shahru yang berlangsung pada 28 Disember 2008 hanya mampu bertahan selama sepuluh hari. Selang dua tahun kemudian, Beego sekali lagi mengejutkan khalayak. Dia ditangkap khalwat bersama empat lagi kenalannya termasuk dua lelaki dan dua wanita pada 23 Februari 2011 di sebuah kediaman di Kondominum Oakleaf, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Masa berlalu, Beego yang kini berkongsi hidup dengan pelakon Linda Hashim itu meluahkan banyak kekesalan yang terbuku di hati. Jarang muncul di acara-acara hiburan, bapa kepada Jelita Clarissa, tujuh bulan itu, mengakui sedang bahagia dengan kehidupan, namun, pada masa yang sama, karier lakonannya semakin menjunam. Bertemu Beego pada majlis penyampaian hadiah pertandingan kuiz terkumpul drama Mencintaimu di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon filem Libas itu memberitahu, tawaran lakonan untuknya semakin berkurang dan perkara itu berlaku impak daripada onar yang dibikin sendiri sewaktu sedang popular dahulu. Dia pernah diberikan peluang, tetapi akibat tidak berfikir panjang dan mengikut darah muda, peluang tersebut disia-siakan begitu sahaja. Kosmo!: Beego seolah-olah menyepikan diri daripada bidang lakonan. Adakah anda kurang menerima tawaran berlakon atau lebih selektif memilih watak? BEEGO: Saya tidak pernah memilih watak, saya hilang daripada dunia lakonan disebabkan perangai buruk saya sendiri. Apakah yang anda maksudkan dengan kenyataan tersebut? Selepas dilanda kontroversi, hidup saya menjadi tidak menentu. Saya tidak fokus terhadap kerjaya dan sering mengikut perasaan. Apabila mendapat tawaran berlakon, saya sekadar tunaikan seperti melepaskan batuk di tangga. Adakah itu melibatkan masalah disiplin? Ya. Ketika itu, saya tidak ambil serius dengan pekerjaan saya. Saya sering tiba lewat di set penggambaran dan tidak komited dengan tanggungjawab yang diberikan. Jadi, kurangnya tawaran lakonan dan hilangnya anda di mata karyawan drama tempatan sejak akhir-akhir ini adalah berpunca daripada sikap negatif anda sendiri? Saya rasa ada benarnya. Walaupun saya tidak disenarai hitam oleh mana-mana stesen televisyen, tetapi, saya tetap merasakan bahawa sikap acuh tak acuh saya suatu ketika dahulu telah menjadi bahan bualan pihak produksi lain. Akibatnya, saya tidak lagi menerima tawaran lakonan seperti dahulu. Sudah berapa lamakah anda tidak menerima tawaran berlakon? Rasanya sudah hampir setahun setengah saya tidak berlakon. Keadaan genting itu berlaku selepas saya berkahwin. Sepanjang waktu itu, saya terpaksa berniaga untuk mencari rezeki. Macam-macam saya kerja saya lakukan termasuklah menjual baju di pasar malam, di kampung halaman saya di Johor. Pada waktu itu, baru timbul rasa menyesal. Adakah anda bertekad untuk kembali berlakon? Saya memang mahu berlakon, tetapi, agak sukar untuk kembali mencipta nama sebagaimana dahulu memandangkan sekarang terlalu banyak persaingan. Pelakon baharu juga semakin mendapat tempat. Saya pula semakin tua, (sambil tertawa). Tetapi, saya akan berusaha secara perlahan-lahan, sama seperti sewaktu saya mula-mula bergelar pelakon dahulu. Bagaimanakah kehidupan anda sebagai seorang bapa? Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehadiran Jelita. Dahulu, mungkin saya mencari rezeki untuk diri sendiri, tetapi setelah berkeluarga dan dikurniakan cahaya mata, keutamaan saya ialah anak dan isteri. Apakah perkembangan terbaharu anda? Buat masa ini, drama bersiri lakonan saya yang berjudul Pulang Sayang sedang disiarkan di TV2 pada hari Selasa hingga Khamis. Dalam drama bersiri ini, saya memegang watak sebagai Firdaus. Selain itu, saya juga bakal muncul dengan sebuah lagi drama bersiri bertajuk Keluarga Karaoke di saluran Maya HD (Astro 134) tidak lama lagi. Adakah anda tidak mahu kembali menyanyi? Saya dan tiga ahli Phyne Ballerz sedang membentuk sebuah reunion. Kami dalam proses perbincangan mengenai konsep baharu dan mungkin juga menggunakan nama baharu untuk lagu baharu yang akan dihasilkan. BEEGO ternyata menyesal memikirkan sikap sambil lewanya dalam kerjaya sehingga menyebabkan sudah setahun setengah dia tidak menerima tawaran lakonan. BEEGO nekad untuk kembali dan melupakan kisah lama yang pernah menghimpit dirinya. | ||
Tuah #Awak Kat Mana, Taufik Batisah Posted: 10 Nov 2014 10:37 PM PST Profil penyanyi Singapura, Taufik Batisah, 33, cukup cemerlang. Bergelar juara program Singapore Idol musim pertama pada usia 23 tahun, sehingga hari ini, Taufik telah menghasilkan lima buah album termasuk sebuah album berbahasa Inggeris. Terkini, penyanyi yang sudah menggenggam 32 buah anugerah itu sedang popular dengan single terbaharu bertajuk #Awak Kat Mana. Walaupun meraih kejayaan di Singapura, Taufik sebenarnya masih belum berpuas hati kerana karier masih kurang menyerlah di Malaysia. Katanya yang baharu sahaja melancarkan album terbaharu berjudul Fique pada hujung September lalu di Singapura, dia amat berharap, album itu mampu mengharumkan namanya di Malaysia. "Lagu #Awak Kat Mana itu bermula secara suka-suka sahaja di Instagram. Tidak sangka pula ia menjadi viral dan seterusnya memberi idea kepada saya untuk membikin sebuah lagu. Alhamdulilah, lagu itu diterima ramai peminat di Singapura dan berharap perkara yang sama berlaku di Malaysia," jelasnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar drama Kasih Berbisik di Singapura baru-baru ini. Bukan itu sahaja, lagu Menakluk Cinta yang terdapat dalam album tersebut juga, dipilih menjadi lagu tema drama bersiri Kasih Berbisik yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV tempatan. "Dua tahun lalu, lagu saya yang berjudul Ikrar Kasih pernah menjadi lagu tema sebuah drama di TV9, kemudian lagu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain yang merupakan ciptaan saya bersama Imran juga popular di Malaysia. "Malangnya, nama saya kurang dikenali sebagai pencipta lagu, sebaliknya hanya penyanyi. Bahkan kerjaya nyanyian saya juga tidak begitu kukuh di Malaysia," akui Taufik. Tidak berputus asa, Taufik sedar kesilapan itu datangnya daripada dirinya sendiri. Ujar Taufik, album terdahulunya yang berjudul Suara Hatiku (2008), tidak begitu kuat untuk memikat hati peminat muzik di Malaysia. "Sebenarnya, saya sedar diri bahawa album Suara Hatiku kurang menyengat daripada segi melodi dan susunan muzik. Tiada lagu yang benar-benar kuat untuk dipromosikan di Malaysia. "Sebab itu, untuk album Fique, saya mengambil masa selama enam tahun kerana ingin memperbaiki mutu muzik. Bukan merajuk, tetapi ingin memberi yang terbaik supaya hasilnya memuaskan hati peminat dan juga saya sendiri. "Saya berharap, apabila lagu saya menjadi lagu tema drama bersiri Kasih Berbisik, lagu itu akan popular di carta radio dan seterusnya membuka peluang untuk saya meluaskan kerjaya nyanyian di Malaysia," balasnya yang mencipta kesemua 13 buah lagu dalam album Fique. Disoal, apakah perasaannya melihat selebriti Singapura lain yang berjaya membina nama di Malaysia seperti Aaron Aziz, Sleeq dan Imran Ajmain, Taufik mengakui cemburu. "Cemburu itu ada tetapi cemburu yang positif. Kejayaan mereka membuatkan saya ingin berusaha lebih kuat. "Pada masa yang sama, saya tumpang berbangga atas pencapaian anak Singapura yang berjaya melakar nama di Malaysia. Mungkin belum rezeki saya lagi, harap saya juga dapat menjadi seperti mereka," luah Taufik. Terjun dunia lakonan Enam tahun tanpa sebarang album tidak bermakna Taufik beralih arah kerjaya ke bidang yang lain. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk membikin lagu buat penyanyi lain serta mengasah bakat lakonannya. "Jika tidak keluarkan album, tidak bermakna kerjaya seni sudah berakhir. Saya sibuk memenuhi undangan pentas, membikin lagu serta berlakon," katanya yang pernah bekerja sebagai penghantar pizza sebelum bergelar penyanyi. Menerusi drama pertama lakonannya yang berjudul Demi Adriana, Taufik memegang watak sebagai Dr. Khairul. Dia bergandingan dengan pelakon lain antaranya, Fiza Nizam, Junaidi Sally dan Hisyam Hamid. Pada awal pembabitan dalam lakonan, Taufik berasa sedikit kekok. Lama-kelamaan, kenangan itu menjadi pengalaman yang paling berharga buat dirinya. "Sudah lama saya mengidam untuk melakonkan watak seorang doktor. Impian itu kedengaran lucu, tetapi sejak kecil lagi, saya menyimpan cita-cita untuk bergelar doktor. "Apakan daya, saya hanya menjadi penyanyi. Walaupun hanya memegang watak sampingan sebagai doktor dalam drama, itu sudah memadai buat saya," tuturnya yang ingin meneruskan kerjaya lakonan andai watak yang ditawarkan bersesuaian dengannya. | ||
Lelaki dakwa rakam imej raksasa Loch Ness Posted: 10 Nov 2014 10:34 PM PST LEWISTON, Scotland – Seorang lelaki di sini mendakwa berjaya merakamkan video dan gambar satu objek yang dipercayai seekor raksasa misteri yang mendiami Tasik Loch Ness berhampiran Drumnadrochit dekat sini. Lelaki tersebut, Richard Collis, 58, berkata, dia melihat satu objek pelik sedang berenang di permukaan tasik berkenaan ketika sedang memandu berhampiran kawasan itu pada minggu lalu. "Saya melihat seperti ada seekor haiwan berleher panjang sedang berenang di permukaan tasik dan saya terus mengambil telefon bimbit untuk merakamkan gambar serta video. "Saya yakin objek berkenaan adalah raksasa yang mendiami tasik ini sejak beratus-ratus tahun lalu," katanya. Tasik tersebut terkenal dengan legenda raksasa Loch Ness selepas seorang lelaki, Christian Spurling merakamkan gambar objek menyerupai seekor raksasa berleher panjang sedang berenang pada tahun 1993. Sejak itu beberapa individu juga mengaku berjaya merakamkan imej raksasa misteri tersebut di tasik berkenaan. | ||
Pecah rekod dunia angkat berat dalam air Posted: 10 Nov 2014 10:32 PM PST PARIS – Seorang lelaki berjaya memecah rekod dunia apabila mengangkat satu bebanan seberat 50 kilogram sebanyak 36 kali ketika berada di dalam air. Lelaki tersebut, Gerald Rioual mengangkat bebanan berkenaan dalam tempoh 90 saat ketika menyelam di dalam air tanpa memakai sebarang alat bantuan pernafasan. Rioual berkata, dia mendapat idea untuk memecah rekod berkenaan selepas membaca Buku Rekod Dunia Guinness bersama dua anaknya. "Dalam buku itu ada menyatakan bahawa rekod dunia mengangkat bebanan dalam air dipegang oleh lelaki Itali, Marcello Paredi yang berjaya mengangkat bebanan sebanyak 20 kali pada tahun 2010. "Saya memberitahu anak saya bahawa saya mampu untuk memecahkan rekod yang dipegang oleh Paredi itu," katanya. Rioual turut merakamkan aksinya memecahkan rekod dunia tersebut dan memuat naik video berkenaan di laman perkongsian video YouTube. | ||
Tabiat kanak-kanak berhutang membimbangkan Posted: 10 Nov 2014 06:44 PM PST sesuatu yang mengejutkan apabila Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2013 mendapati nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi paras 86.8 peratus. Peratusan itu secara tidak langsung menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai kadar hutang isi rumah tertinggi di rantau Asia Pasifik bagi tahun tersebut. Biar apapun tujuannya, tidak dinafikan bahawa berhutang bukan menjadi satu kesalahan. Dalam konteks kehidupan hari ini, sesuatu yang mustahil bagi seseorang individu membeli barang tertentu secara tunai. "Bagaimanapun, masalahnya apabila ada yang terlupa mengukur baju di badan sendiri sehingga berbelanja melebihi kemampuan," kata Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohamad Fazli Sabri. Akibat tersalah percaturan, boleh dikatakan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang sehingga ada yang akhirnya diisytihar muflis. Lebih membimbangkan, hasil kajian Mohamad Fazli mendapati tabiat itu kini merebak dalam kalangan kanak-kanak. Kajian yang mengambil masa selama dua tahun itu mendapati 80 peratus kanak-kanak berusia bawah 12 tahun terjebak dengan budaya memberi hutang dan berhutang. Meminjam Kajian yang dijalankan pada Ogos 2012 itu membabitkan 800 responden dalam kalangan pelajar tahun empat dan lima meliputi lima buah negeri. Dipilih mengikut zon, kajian itu melibatkan dua buah sekolah di setiap negeri iaitu Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah bertujuan mengkaji tahap literasi, kompetensi dan sosialisasi murid sekolah rendah mengenai kewangan. "Jumlah 80 peratus itu termasuk mereka yang pernah meminjamkan wang kepada rakan ataupun meminjam wang daripada rakan. "Menjadi persoalan, bagaimana kanak-kanak ini sudah pandai berhutang? Saya rasa, ini membimbangkan dan perlu diambil perhatian," katanya. Situasi itu dianggap sebagai satu keadaan yang serius sekiranya tidak dibendung segera kerana ia akan menyebabkan kanak-kanak itu membesar dan mengadaptasikan budaya hutang dalam kehidupan seharian. Ada kemungkinan besar, ia menyumbang kepada peningkatan jumlah golongan diisytiharkan muflis. Rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis bagi tahun 2007 hingga tahun lepas berdasarkan kepada rekod Jabatan Insolvensi Malaysia ialah 122,169 orang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri baru-baru ini menyuarakan kebimbangannya berhubung peningkatan dalam bilangan belia yang diisytiharkan muflis. Seramai 579 daripada 12,381 orang yang diisytiharkan muflis dalam enam bulan pertama 2014 terdiri daripada golongan belia. "Ini baru sekolah rendah. Jika mereka hendak meminjam, sepatutnya timbul rasa malu tetapi mereka sudah tidak rasa apa-apa pun. Jadi, saya rasa ada sesuatu tidak kena di sini. "Kita tidak menganggap ia sebagai satu kesalahan tetapi mereka masih muda. Pada usia seperti itu, mereka sepatutnya memperbanyakkan simpanan," katanya. Biarpun kajian itu mendapati majoriti kanak-kanak itu mempunyai akaun simpanan, amalan menyimpan dalam kalangan responden adalah tidak memuaskan. Ini kerana, hanya 11.7 peratus didedahkan dengan kebaikan menyimpan pada usia bawah tiga tahun. Kebanyakannya, mula diberi pendedahan menyimpan pada usia lebih tujuh tahun selain tidak mempunyai tabiat simpanan yang tetap. Mengapa mereka berhutang? Apakah puncanya? Apakah yang menarik perhatian mereka sehingga perlu berhutang? Mengulas persoalan ini, beliau berkata, semuanya berpunca daripada sikap 'boros berbelanja'. Telefon bimbit Tahap pengetahuan kewangan kanak-kanak yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak. Kajian itu mendapati lebih satu pertiga responden mengklasifikasi telefon bimbit sebagai satu daripada keperluan yang wajib mereka miliki. Malahan, hampir 60 peratus responden sudah memiliki telefon bimbit. Walhal, dalam umur sedemikian, telefon bimbit bukanlah satu keperluan. "Disebabkan mereka tidak dapat membezakan keperluan dan kehendak, ada yang mempunyai matlamat menyimpan untuk membeli telefon bimbit dan pelbagai jenis gajet. "Memiliki gajet seperti ini boleh menyumbang kepada sikap boros kerana dia mungkin menghabiskan wang sakunya untuk menambah nilai kad prabayar," katanya. Mereka sanggup meminjam wang rakan untuk tambah nilai kerana takut meminta daripada ibu bapa. Keseronokan mengakses internet selain terpengaruh mengundi talian, pemberian gajet adalah sesuatu bahaya sekiranya tidak dikawal, kata beliau. Selain itu, beliau melihat penjualan makanan dan minuman di luar perkarangan sekolah antara punca kanak-kanak ini boros berbelanja. Mereka cenderung membeli aiskrim, jeruk, makanan ringan, nuget goreng dan burger yang mudah didapati di luar sekolah. Ada juga yang tertarik membeli sesuatu makanan ringan itu semata-mata ingin memiliki permainan. "Menyedihkan, apabila kanak-kanak sanggup tidak makan masa rehat kerana ingin berbelanja di luar pagar sekolah. Makanan seperti nuget, aiskrim bukannya murah. Jadi, tidak mustahil ada berhutang kawan," katanya. Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan ibu bapa dalam permasalahan ini tetapi adalah sewajarnya mereka mula mendidik anak dengan pengetahuan kewangan yang mudah. Ibu bapa juga, seharusnya menyelidiki ke mana wang saku anak mereka dan sekiranya ada lebihan budaya menyimpan perlu digalakkan. "Tidak ramai ibu bapa yang bertanya kepada anak mereka ke mana perginya wang saku sekolah. Sedangkan ia sangat mudah dan paling asas tetapi tidak diaplikasikan dalam kehidupan seharian. "Ini kerana, dari situ kita dapat menilai apa yang dilakukan anak. Jika membeli sesuatu peralatan sekolah, suruh mereka tunjukkan. Ini bagi mengelakkan mereka daripada berbohong dan berhutang," katanya. | ||
Kolej, Universiti Tempatan Lubuk Ganja Posted: 10 Nov 2014 06:31 PM PST | ||
Posted: 09 Nov 2014 11:52 PM PST
SESUAI dengan jolokan 'Mr. Worldwide' yang diberikan kepadanya, penghibur versatil ini ternyata memiliki kelasnya yang tersendiri. Bagi memastikan tugasannya dapat disempurnakan dengan baik, Datuk Ac Mizal mengakui dirinya seorang yang sangat teliti terhadap semua aspek. Bagaimanapun, Ac menafikan dirinya sentiasa mahukan layanan yang bertaraf VVIP atau kelas A seperti didakwa beberapa pihak. "Saya tidak seperti itu cuma bila saya buat sesuatu tugasan, saya akan serius dan pastikan terlibat dalam semua aspek. Contohnya, kalau saya diberi tugasan sebagai pengacara, saya mahu terlibat sama dengan kandungan setiap program supaya semuanya dapat berjalan dengan baik. "Saya tidak pernah meminta layanan yang istimewa seperti yang dikatakan. Sebelum ini saya pernah susah mendapatkan tawaran mengacara, jadi bila sudah ada peluang, saya mahu kendalikannya sebaik mungkin," katanya. Bagaimanapun pengacara Maharaja Lawak ini tidak menolak kemungkinan sikap tegasnya dalam bekerja membuatkan beberapa pihak tidak selesa dengannya sehingga timbul cerita kurang enak ini. "Saya bukan penghibur semata-mata, saya juga seorang usahawan jadi mungkin pemikiran saya berbeza daripada pihak yang terlibat dengan produksi. "Kita perlu fikir apa kemungkinan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, tambahan pula saya sebagai pengacara yang perlu berhadapan dengan situasi itu. Jadi tidak salah kalau saya teliti dengan perkara seperti ini kerana ia juga beri kebaikan untuk sesuatu tugasan. "Isu mahukan layanan istimewa itu memang tidak pernah timbul dan saya masih sama seperti selebriti yang lain," tegasnya. Impian jadi kenyataan Semakin agresif menjalani karier nyanyiannya, figura 42 tahun ini gigih mencapai hasratnya untuk berkolaborasi dengan penyanyi rap antarabangsa, Pitbull menerusi projek terbaharunya bersama syarikat rakaman Sony Music Entertainment Sdn Bhd. Bagi merealisasikan projek itu, Ac perlu memenuhi syarat mendapatkan jumlah catatan muat turun sebanyak satu juta. "Sekarang ini kami dalam usaha untuk penuhi syarat itu dengan mempromosikan single terbaru saya 'Paranoid' hasil kolaborasi bersama Luna Maya. InsyaAllah, saya yakin ia akan membuahkan hasil. "Lagi pun saya diberitahu pihak Sony bahawa Pitbull sendiri menyambut baik hasrat saya untuk berkolaborasi dengannya. "Selepas 22 tahun berada dalam industri mungkin inilah peluang yang terbaik pernah saya dapat dan kalau ada rezeki harap semuanya dapat berjalan seperti yang dirancang," ujarnya teruja. Pada masa yang sama, Ac memberitahu Paranoid akan dipromosikan ke Indonesia pada penghujung November ini. Selain terlibat dengan bidang perniagaan dan karier seni, Ac dan isterinya, Datin Emylia Rosnaida juga diberi kepercayaan dilantik sebagai duta produk L'rose keluaran syarikat RMZ Health & Beauty Products Marketing. "Produk ini baru sahaja dilancarkan sejak Julai lalu dan mengapa kami bersetuju untuk menjadi dutanya kerana ia benar-benar berkesan. "Kami telah mencuba produk ini sejak dua bulan lalu dan saya sendiri berjaya menurunkan 12 kilogram dan sekarang berat ideal saya 83 kilogram," katanya. | ||
Posted: 09 Nov 2014 11:50 PM PST
MI Rebus Pak Din bersebelahan bangunan Mara berdepan dengan Menara Condong Teluk Intan antara mi rebus masih murah. Dengan harga RM3 tanpa telur rebus dan RM3.50 bagi satu hidangan lengkap dengan telur rebus menjadi pilihan masyarakat setempat dan pelancong domestik, singgah untuk menikmati keenakan mi resipi turun temurun keluarga Pak Din itu. Anak pengasas kedai mi itu, Abd Rahman Kamaruddin, 50, berkata, Mi Rebus Pak Din dibuka sejak 1962 dan sehingga 1969 harga satu hidangan mi rebus hanya 30 sen bagi mi tanpa telur rebus dan 40 jika ada telur rebus. Katanya, namun pada 1970, harganya naik 50 sen bagi mi rebus kosong dan 70 sen dengan telur rebus. "Harga tersebut kekal sehingga 1989 sehinggalah pada 1990, harganya naik 20 sen bagi setiap hidangan. "Walaupun harga satu hidangan mi rebus naik dari tahun ke tahun sehingga tahun ini, bilangan pelanggan tidak berkurangan malahan bertambah dari semasa ke semasa disebabkan keenakan mi rebus kami," katanya. Lebih menarik kata Abd Rahman, masyarakat tempatan juga menggelar kedainya sebagai mi dinding atau mi sempit. Apapun, khabarnya keenakan sepiring Mi Rebus Pak Din boleh membuat pelanggan datang berulang kali. Katanya, resipi mi rebus itu merupakan resipi turun temurun daripada arwah ayahnya. "Mi Rebus Pak Din masih menjadi pilihan pelanggan di kawasan ini malahan orang luar yang datang ke Teluk Intan yang mendengar mengenai keenakan mi rebus kami, pasti akan datang ke kedai ini untuk mencubanya," ujar Abd Rahman. Kepada penggemar mi rebus, jika ke Teluk Intan, jangan lepaskan peluang mencuba mi resipi turun temurun yang sudah berusia 42 tahun ini. Selain terkenal enak, harganya juga agak murah. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
0 ulasan:
Catat Ulasan