Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Penyanyi Senior Terbuka Sertai Muzik-Muzik Tahun Ini
- Nana Mahazan Tiada Niat Tunjuk Kebahagiaan Di Instagram
- Rumah Dilanda Banjir, Stacy Habiskan RM10,000
- Ramai tak faham tanda 'MC' pada mainan kanak-kanak
- 10 tahun rindukan anak
- Ellie Suriaty terus berkarya
- Sekolah tidak benarkan rambut palsu merah jambu
- HLYM kukuhkan saingan motosikal kuasa tinggi
- Ducati Diavel edisi 2015
- Mengkasi kucing untuk kebaikan
- Potret kanak-kanak Orang Asli
- Percutian santai di bumi Perlis
- Benam diri di dalam pasir panas
- Grand Lexis bukan sekadar resort
- Puting Beliung Landa Alor Setar
- Tindakan Tegas Terhadap Pemilik Kenderaan Pasang Lampu HID, Ubah Suai Nombor Plat
- Prinsip Farrah Adeeba
- Pian (Cecupak) Alami Gangguan Mental Kerana Gelaran Datuk
- Yusof Haslam Tunggu 23 Tahun Terbitkan Drama 'Bercakap Dengan Jin'
- Mahkamah tolak bayar ganti rugi pada Johan
- Tengkorak, serpihan tulang siapa?
- Minta alih kubur bawah surau
- Ibu 9 anak mahir baiki motosikal
- Tidak Boleh Berniaga Jika Tidak Bertudung
Penyanyi Senior Terbuka Sertai Muzik-Muzik Tahun Ini Posted: 31 Oct 2014 10:00 PM PDT | |||
Nana Mahazan Tiada Niat Tunjuk Kebahagiaan Di Instagram Posted: 31 Oct 2014 09:59 PM PDT | |||
Rumah Dilanda Banjir, Stacy Habiskan RM10,000 Posted: 31 Oct 2014 09:57 PM PDT | |||
Ramai tak faham tanda 'MC' pada mainan kanak-kanak Posted: 31 Oct 2014 09:47 PM PDT PETALING JAYA - Sebanyak 65 peratus pengguna di negara ini tidak mengetahui tentang wujudnya tanda keselamatan 'Malaysian Conformity' (MC) pada barangan permainan kanak-kanak, demikian menurut kajian Persatuan Pengguna Standard Malaysia (PPSM). Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPSM, Ratna Devi Nadarajan, pengguna tidak menjadikan tanda keselamatan MC sebagai salah satu kriteria untuk membeli peralatan mainan kepada anak-anak mereka. "Malahan kebanyakan pengguna juga tidak tahu membezakan antara tanda keselamatan yang asli dan yang tiruan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini. Beliau berkata, tanda MC pada barangan permainan kanak-kanak telah diperkenalkan Kememterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) sejak 2010 dengan tujuan melindungi pengguna daripada membeli barangan permainan yang mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum. Ratna berkata, sungguhpun pelbagai bentuk hebahan telah dilakukan oleh pihak KPDNKK mengenai tanda itu, namun masih banyak pengguna yang masih belum memahami tentang pentingnya tanda itu pada barangan permainan. Sehubungan itu beliau berkata, pihak berkuasa terutama KPDNKK perlu meningkatkan pengawasan terhadap penjualan permainan kanak-kanak bagi membanteras penjualan barangan mainan yang tidak selamat atau yang menggunakan tanda MC palsu. Katanya ini kerana tinjauan pihak persatuan itu mendapati terdapat gerai dalam pusat beli belah yang masih menjual barangan permainan yang tidak mempunyai tanda keselamatan itu. | |||
Posted: 31 Oct 2014 09:43 PM PDT SERING dilabelkan kaki perempuan dek acap kali bertukar ganti teman wanita dan sering pula terpalit kisah kontroversi melibatkan wanita, pelakon dan pelawak popular, Tauke Jambu sebenarnya menyimpan satu sisi yang berat dan terpaksa ditempuhinya selama ini. Mungkin ramai yang tidak tahu, Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria, 38, itu mempunyai enam orang anak hasil dua perkahwinannya terdahulu. Luaran nampak gembira, namun dalamannya, Tauke mengakui kerinduan terhadap anak-anak tidak pernah luntur selama ini. Bergelar duda sejak lebih tiga tahun lalu, peserta Raja Lawak musim pertama itu mendedahkan, dia telah terpisah dengan tiga orang anak hasil perkahwinan bersama bekas isteri pertamanya untuk tempoh yang cukup lama iaitu 10 tahun. Perihal kerinduan dan duka sepi seorang bapa itu antara yang diluahkan Tauke kepada Kosmo! dalam satu pertemuan baru-baru ini. Pelakon yang bakal muncul dengan filem Mana Mahu Lari itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua bekas isteri dan anak-anaknya. Kosmo!: Boleh anda kongsikan apa sebenarnya yang terjadi dalam hubungan anda bersama anak-anak dan bekas isteri pertama? Tauke: Sebenarnya, sejak 2004 lagi saya sudah terputus hubungan dengan anak-anak, malah, bekas isteri juga tidak dapat dihubungi selama tempoh itu. Sebagai seorang ayah dan mereka pula anak-anak saya, bohong jika saya katakan tidak merindui mereka. Mereka ialah anak saya sendiri, darah daging saya. Memang saya benar-benar rindu dengan anak-anak tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk berhubung dengan mereka. Sejak masuk Raja Lawak pada tahun 2007, saya pernah terjumpa laman akaun Facebook anak pertama (perempuan) yang kini berusia 15 tahun. Saya cuba hubungi dia tetapi tiba-tiba akaun saya disekat. Saya seperti dihalang untuk berhubung dengan anak-anak. Namun, saya sangat berharap agar satu hari nanti, saya dapat kembali berhubung dengan mereka atas dasar sebagai seorang ayah dan anak. Kadang-kadang apabila perasaan rindu itu timbul membuak-buak, saya cuba luahkan di laman sosial seperti Facebook dan sebagainya. Mana mungkin saya boleh lupakan mereka, tetapi saya sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk menghubungi mereka. Saya cuma berhubung dengan anak-anak hasil perkahwinan kedua saya. Mengenai kes anda yang didakwa telah menghamun peminat gara-gara sekeping gambar bersama seorang wanita di laman Instagram baru-baru ini, boleh anda jelaskan apa yang terjadi? Sebenarnya, wanita tersebut salah seorang salah kenalan saya. Kami sekadar kawan. Tidak sangka pula gambar tersebut telah mengundang persepsi yang buruk sehingga dilabelkan sebagai kaki perempuan. Perkara itu tidak benar dan individu yang menyerang saya itu sebenarnya ialah 'keyboard warrior' yang sering melakukan serangan tanpa usul periksa kepada para artis termasuklah saya. Tindakan saya memaki hamun tersebut kerana mahu memberi pengajaran kepada individu yang tidak bertanggungjawab seperti itu. Sebelum ini pun sudah ramai rakan artis pernah mengalami situasi yang sama. Sebab itu, jika mereka itu dibiarkan, situasi akan jadi lebih teruk. Mereka hanya menggunakan laman akaun palsu yang diwujudkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menimbulkan kekacauan. Selepas kejadian itu, sebagai seorang artis dan dikenali ramai, apakah langkah yang diambil oleh anda dalam mengekang sikap segelintir orang luar yang cuba mengganggu hidup anda? Saya sedar, bila seseorang itu sudah ada nama dan dikenali ramai, kami tidak akan terlepas daripada unsur tohmahan seperti itu. Perkara seperti itu juga merupakan antara cabaran untuk anak seni seperti saya. Saya pun tidak lari daripada melakukan kesalahan sama seperti orang lain. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam apa jua tindakan. Selepas dihentam teruk di laman sosial, saya mengambil pendekatan untuk menyekat mana-mana akaun yang tidak bertanggungjawab. | |||
Posted: 31 Oct 2014 09:41 PM PDT SEKALIPUN diduga dengan pelbagai ujian sepanjang membikin filem seram pertamanya Penanggal, pengarah filem tersebut, Ellie Suriaty menghela nafas lega apabila dinobatkan sebagai Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) tahun ini. Kata Ellie, 43, pengorbanan, keringat dan dugaannya berbaloi dengan pencapaian yang diraih oleh filem pertama arahannya itu. Pendukung trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM16 itu semakin sedar tentang melihat hikmah di sebalik peristiwa yang berlaku pada hujung tahun 2011 ketika pembikinan filem Penanggal ketika itu. "Alhamdulillah pengorbanan saya berbalas dan saya percayakan kuasa kerjasama sepasukan. Itu prioriti yang saya terapkan antara satu sama lain supaya tiada halangan ketika bekerja. Jadi, kejayaan ini bukan kerana saya seorang sebaliknya sebagai nakhoda, paling penting ialah kepercayaan anak kapal kepada saya," ujarnya yang ditemui usai Majlis Perasmian FFM26 di Hotel Empire Subang, Rabu lalu. Menerusi filem Penanggal, Ellie telah menumpaskan empat pencabar lain seperti Nam Ron (Psiko Pencuri Hati), Syed Hussein (Langgar), Nik Amir Mustapha (KIL) dan Esma Daniel (Zaiton Ceritaku). Galang ganti Tambah Ellie, kekuatan filem Penanggal bergantung pada konsep dan subteks yang cuba diketengahkan secara melodramatik dalam filem bergenre seram. Paling utama dedikasi filem tersebut yang berkisarkan kepercayaan dan cinta kepada Pencipta. "Kuatnya filem ini kerana isi kandungannya. Saya bukan mahu bercerita mengenai hantu sebaliknya isu ketuhanan dan ini merupakan sebuah dedikasi seorang hamba kepada Tuhannya. Memang saya mendapat kritikan pedas namun itu tidak mengapa kerana itulah lumrah setiap orang berkarya. "Yang indahnya, kita mengangkat filem ini bersama-sama dan produser juga meletakkan kepercayaan serta keterbukaan terhadap filem ini. Sekali gus menerima idea konseptual dengan baik, malah setiap helaian skrip dibaca dengan teliti," katanya yang mahu menyaksikan semarak semangat daripada pengkarya lain untuk menghasilkan filem yang lebih baik berbandingan karya arahannya. Ellie menjelaskan, dia tidak terbeban dengan pencapaian yang diraih pada FFM26. Katanya, filem Penanggal boleh berdiri sendiri dan dia tidak akan membandingkan filem arahannya yang seterusnya dengan naskhah itu kerana Penanggal telah mengisi ruang istimewa dalam hatinya. "Saya sangat beruntung kerana arwah Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini menerima pelawaan saya untuk melakonkan watak Sharifah Aminah dalam Penanggal. Siapalah saya untuk meminta dia berlakon di bawah arahan saya tapi kami dipertemukan dan berbicara daripada hati ke hati. Saya nyatakan keperluan untuk adanya beliau dalam filem ini. "Saya melihat beliau sebagai Sharifah Aminah, seorang wanita berketurunan Arab yang punyai aura dan pesona yang besar. Jujur saya nyatakan, dia (Sharifah Ani) sangat terbuka, berbesar hati, menerima pelawaan saya dan tidak menyukarkan kerja pengarahan saya. "Mengenai insiden saya keguguran ketika penggambaran filem ini, saya berbalik kepada kuasa Allah. Perkara itu berlaku kerana dedikasi cinta kita kepada Allah, jadi Dia menguji kita. Sebagai seorang manusia, saya rasa sedih kerana itu percubaan terakhir saya untuk mendapatkan cahaya mata. Allah tidak kejam, Dia mengambil anak saya dan meletakkan dia di syurga," jelas Ellie. Kontroversi Anugerah Filem Pendek Sementara itu, penganjuran FFM26 tahun ini masih dilingkari kontroversi yang berlanjutan. Selain daripada beberapa kali penundaan malam anugerah FFM26 sebelum ini, Malam Perasmian FFM26 yang menyaksikan penganugerahan 11 kategori kepada calon yang bertanding tahun ini secara tidak langsung membunuh semangat karyawan dalam bidang filem animasi apabila tiada sebarang finalis diumumkan layak memenangi Anugerah Filem Pendek Terbaik. Pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dr. Megat Al-Imrah Yasin menjelaskan, terdapat hanya tiga pencalonan kategori yang dihantar tahun ini. Ketiga-tiga karya itu pula hasil tiga produksi iaitu daripada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK (Universiti Malaysia Kelantan), Thumbs Up Team dan El Videographics. "Kami meletakkan standard tinggi untuk setiap pencalonan dan finalis yang bertanding untuk FFM. Kalau setakat festival video pelajar mungkin kami boleh menerima filem-filem animasi yang dihantar. Ada antara universiti yang menghasilkan filem animasi tidak mencapai tahap profesional. Kebanyakannya seperti filem pendek pelajar dan lebih cenderung bersifat eksperimental. "Anugerah yang diberikan akan menjadi sebahagian daripada sejarah dan kami enggan dipandang rendah oleh produksi luar sekiranya mengiktiraf karya-karya yang tidak menepati standard yang ditetapkan. Mungkin masih banyak filem animasi yang tidak menghantar penyertaan tahun ini, bagaimanapun, kami masih mengekalkan kategori ini pada tahun akan datang," katanya Dr. Megat. Dalam pada itu, Pengarah FFM26, Mohd. Zulkifli Abdul Wahab pula menegaskan, di sebalik siri kontroversi yang berlarutan sepanjang penganjuran acara berkenaan tahun ini, pihaknya menjanjikan kepuasan maksimum menjelang Malam Anugerah FFM26 yang akan berlangsung malam ini. "Selain isu penundaan acara ini bagi menghormati tragedi yang menimpa negara serta isu penganjuran yang membabitkan Gafim (Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia) dan Finas, malam ini diharapkan menjadi penamat segala yang telah terjadi. Kami juga mendapat sokongan daripada Gafim untuk hadir sama meraikan malam penganugerahan kepada penggiat seni filem tempatan. "Kami menjanjikan persembahan yang terbaik khusus kepada penonton yang akan hadir di Negeri Sembilan. Antara artis yang akan terbabit ialah Datuk M. Nasir, Hafiz Suip, Adira, Tomok dan persembahan khas daripada pelakon filem Kami Histeria serta The Journey," katanya. Kemuncak Malam Anugerah FFM26 tahun ini memilih Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban, Negeri Sembilan sebagai saksi bahawa industri filem Melayu belum mati, bahkan terus dibawa ke lokasi luar dari Kuala Lumpur untuk disaksikan khalayak lebih terbuka. Bertemakan Transformasi Sinema Malaysia, majlis yang bakal menampilkan Fahrin Ahmad selaku hos itu turut disiarkan secara langsung di saluran TVi, Astro Ria (104) dan Maya HD (135) pada pukul 9 malam nanti. | |||
Sekolah tidak benarkan rambut palsu merah jambu Posted: 31 Oct 2014 09:38 PM PDT SUSSEX, England – Seorang kanak-kanak yang dijangka tidak dapat hidup lama kecewa selepas seorang guru mengarahkannya supaya menanggalkan rambut palsunya yang berwarna merah jambu, lapor MailOnline semalam. Pihak sekolah khuatir tindakan kanak-kanak itu, Ashanti Elliott-Smith, 11, yang menghidap sejenis penyakit penuaan yang jarang berlaku dan dikenali sebagai Hutchinson Gilford Progeria boleh menyebabkan pelajar lain akan turut mewarnakan rambut mereka. Kanak-kanak itu yang kini kelihatan seperti seorang warga emas yang berusia 80 tahun dijangka tidak dapat meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-15. Ibu kanak-kanak itu, Smith, 29, berkata, anaknya amat sedih apabila guru-guru di sekolahnya tidak membenarkan dia memakai rambut palsu. "Warna rambut itu memang terang tetapi dia mempunyai hak untuk memakai apa sahaja warna rambut memandangkan dia tidak dapat hidup lama. Pihak sekolah menyuruhnya membuka rambut itu. Dia malu kerana keadaannya yang botak," katanya. Sementara itu, Pengetua Kolej Komuniti Oakmeeds, Colin Taylor berkata, pihaknya membenarkan kanak-kanak itu memakai topi atau rambut palsu pada musim sejuk tetapi cuma menggunakan warna semulajadi. | |||
HLYM kukuhkan saingan motosikal kuasa tinggi Posted: 31 Oct 2014 09:33 PM PDT JIKA sebelum ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kelihatan seolah-olah lebih selesa bermain dalam liga kapcai namun, situasi itu mula menampakkan perubahan sekitar tahun 2011. Mungkin sudah benar-benar yakin dengan potensi pasaran domestik, syarikat pemasang dan pengedar motosikal jenama Jepun itu akhirnya memberanikan diri untuk menceburi segmen pasaran motosikal berkuasa tinggi. Penerokaan bermula dengan pengenalan produk pemasangan tempatan (CKD) iaitu Yamaha XJ6 Diversion dan XJ6 ke dalam segmen motosikal kembara dan naked kelas 600cc. Jika dilihat pada situasi semasa, jenama Yamaha berdepan saingan sengit daripada pesaing-pesaing utama lain khususnya Kawasaki dan Ducati. Biarpun begitu, Yamaha masih ada sokongan daripada peminat tempatan. Setelah meneroka pasaran motosikal kuasa tinggi selama tiga tahun, HLYM memperbaharui saingan menerusi pelancaran salah sebuah produk baharu yang menjadi buah mulut dalam industri global. Apa lagi jika bukannya Yamaha MT-09. Sebagai permulaan, pasaran Malaysia ditawarkan dengan 100 unit model MT-09 yang diimport terus daripada Jepun (CBU). Setakat ini, hanya 80 peratus motosikal itu sudah dijual kepada orang ramai. Pengurus Kanan Perniagaan Motosikal Kuasa Besar HLYM, GS Tan berkata, pihaknya optimis mampu menyelesaikan pendaftaran 100 peratus model CBU itu menjelang akhir tahun ini. Lebih tepat, HLYM mahu menjual semua stok model import MT-09 yang ada di rangkaian pengedarnya sebelum menjual versi CKD kepada orang ramai. HLYM juga enggan memberi sebarang bayangan harga untuk jentera versi CKD itu. Apa yang menariknya, pasaran motosikal berkapasiti 250cc ke atas menunjukkan trend penurunan sebanyak satu peratus bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini jika dibandingkan dengan tempoh sebelumnya. Jumlah motosikal berkapasiti 250cc ke atas yang didaftarkan bagi tempoh itu adalah sebanyak 9,255 unit sahaja. Statistik terkumpul untuk tempoh sama 2013 ialah 9,326 buah. Faktor yang menyumbang kepada kemerosotan jualan motosikal berkuasa tinggi berkait pada beberapa faktor termasuk kesukaran mendapat kelulusan pinjaman bagi pembiayaan pembelian motosikal. Bagaimanapun, trend penurunan itu bukannya penghalang untuk HLYM menghentikan atau memperlahankan saingan dalam pasaran domestik. Mereka sebenarnya sudah mengatur langkah untuk memperkenalkan beberapa model motosikal berkapasiti 250cc ke atas dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Model terbaharu diperkenalkan ialah Yamaha MT-07. Sebagai permulaan, GS Tan berkata, HLYM menggunakan strategi sama seperti pelancaran MT-09 beberapa bulan lalu. Strateginya ialah menawarkan kira-kira 100 unit MT-07 CBU itu ke pasaran Malaysia dan kemudiannya menawarkan varian CKD kepada orang ramai. Motosikal CBU itu dijual pada harga asas RM42,000 seunit (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran). Motosikal itu disasarkan kepada mereka yang mahu sebuah jentera naked yang menawarkan keseronokan tunggangan di jalan raya dengan tag harga mampu milik. Sebanyak dua warna pilihan disediakan kepada orang ramai iaitu biru dan merah. HLYM juga akan mengukuhkan barisan Yamaha XJ6 menerusi pengenalan satu varian baharu iaitu XJ6 F (fairing penuh) dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Model itu pernah ditayangkan di ruang pameran HLYM sempena MotoGP baru-baru ini. Buat masa ini, HLYM memilik dua model XJ6 iaitu varian naked (XJ6) dan semi fairing (XJ6 Diversion). Ada kemungkinan HLYM hanya akan mengekalkan jualan model XJ6 F dan XJ6 pada masa hadapan. Model XJ6 Diversion mungkin akan dihentikan jualan jika gagal mendapat sambutan daripada pasaran. Berhubung status motosikal sport Yamaha R25, Pengarah Urusan HLYM, CH Ng berkata, model itu akan ditawarkan kepada orang ramai menjelang bulan Mac hadapan. Buat masa ini, motosikal itu masih dalam proses ujian dan akan menemui barisan pengeluaran tidak lama lagi. Perkara itu disahkan oleh CH Ng pada majlis pelancaran Yamaha MT-07 di Litar Antarabangsa Sepang di Selangor baru-baru ini. Nampak gayanya, HLYM mula memberi fokus kepada pasaran motosikal berkuasa tinggi dan mahu menerokanya dengan lebih agresif mulai tahun hadapan. Akhirnya, HLYM sudah ada keberanian untuk bersaing secara langsung dengan pengeluar motosikal lain dalam liga 250cc ke atas. Tahniah. | |||
Posted: 31 Oct 2014 09:31 PM PDT SEMPENA pembukaan Asia Ducati Week 2014 baru-baru ini, Next Bike Sdn. Bhd. (Ducati Malaysia) mengambil kesempatan untuk memperkenalkan model terbaharu Ducati Diavel ke pasaran tempatan. Produk generasi kedua itu disasarkan kepada mereka yang mahu menikmati pengalaman tunggangan santai sebuah jentera kembara sport dan sesuai digunakan setiap hari. Model edisi 2015 didakwa menerima sentuhan kejuruteraan semula rangkaian kuasa termasuk bahagian sistem ekzos. Jurutera Ducati telah melaksanakan talaan itu bagi memastikan motosikal itu mampu menjana kuasa berprestasi dan kadar tarikan yang lebih memberangsangkan. Enjin Testastretta berkapasiti 1198cc itu mampu menjana kuasa kuda sebanyak 162hp pada 9,250rpm. Antara kejuruteraan semula dilakukan melibatkan aturan semula sistem kemasukan campuran bahan api, komponen ekzos, pemasaan sesondol dan penambahbaikan pemetaan enjin bagi menjayakan ledakan kuasa tarikan pada julat pusingan RPM rendah. Model itu juga dikatakan menawarkan kadar pengemudian yang lebih tepat berbanding model sebelumnya. Ergonomik binaan motosikal itu mengetengahkan posisi tunggangan santai hasil rekaan pelana dan kedudukan bar hendal yang sengaja dibelakangkan. Padanan profail tayar lebar melengkapkan imejnya sebagai sebuah motosikal kembara sport. Model baharu itu didatangkan dengan instrumen meter terpisah yang dipasang pada bar hendal dan tangki simpanan bahan api. Instrumen meter LCD pada bahagian hendal menayangkan maklumat semasa tunggangan. Meter instrumen TFT berwarna pada tangki minyak pula memaparkan mod tunggangan, kedudukan gear, tetapan DTC, jarak tunggangan semasa dan lampu amaran untuk tongkat sisi. Model Diavel 2015 dilengkapi set lampu hadapan LED untuk memadankannya dengan set lampu belakang (jenis LED). Langkah itu menjadikan motosikal Diavel kelihatan anggun sewaktu tunggangan malam. Keselesaan tunggangan turut dilakukan dengan memasang pelana kembar dengan jahitan corak kusyen melintang. Kedudukan perehat kaki dan subbingkai memastikan tahap keselesaan optimum dapat dinikmati penunggang dan pembonceng. Varian Ducati Diavel didominasi oleh warna gelap manakala varian Diavel Carbon diberi padanan tona merah pada beberapa komponen khususnya kerangka motosikal. Ducati Diavel dijual pada harga asas RM109,888 seunit manakala varian Ducati Carbon dikenakan harga sebanyak RM126,888 sebuah. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.ducati.com.my. | |||
Mengkasi kucing untuk kebaikan Posted: 31 Oct 2014 09:25 PM PDT SETIAP hari, pihak berkuasa tempatan banyak menerima aduan dan membuat tangkapan berkaitan kucing terbiar. Sebelum mengambil tindakan lanjut, haiwan-haiwan yang ditangkap ini biasanya diletakkan di pusat perlindungan. Justeru itu, pengkasian atau pemandulan adalah langkah terbaik untuk mengurangkan pembuangan kucing, secara tidak langsung mengelakkan haiwan-haiwan ini menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan. Menurut fatwa yang dikeluarkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2002 berkaitan pemandulan dan pengembirian kucing dan anjing, hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu demi menjaga kemaslahatan ummah seperti faktor kesihatan dan menjaga kebajikan haiwan tersebut dan masyarakat. Berdasarkan hujah anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Al-Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin yang bermaksud: "Adapun mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahat bagaimanapun, mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut." (Liqa al-Bab al-Maftuh 15/37) Beliau juga menyentuh tentang pengkasian kucing yang bermaksud: "Jika kucing itu banyak dan menyusahkan manakala proses mengkasi tidak memudaratkan, ia tidak mengapa kerana mengkasi dalam keadaan ini lebih baik daripada membunuh haiwan itu selepas ia diciptakan oleh Allah, adapun jika jumlah kucing itu tidak banyak dan tidak menyusahkan, mudah-mudahan membiarkan ia berkembang adalah lebih baik." (Fatwa Islamiyah 4/448). Selain itu, pelaksanaan pemandulan juga mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tersendiri antaranya: 1 - Membantu mengawal sifat si comel: Kucing jantan tidak sibuk mencari kucing betina dan si betina pun tidak memanggil-manggil si jantan untuk mengawan. Ada kemungkinan besar, si jantan akan mula menanda kawasan dengan air kencing, sekiranya pemandulan tidak dilaksanakan. Sesetengah kucing mungkin ada sedikit perubahan perlakuan iaitu daripada agresif menjadi lebih manja. Tidak dinafikan ada juga kucing yang bertambah garang. Cuma peratus perubahan daripada manja kepada garang adalah sangat rendah. 2 - Mengawal populasi: Khas untuk kucing betina. Mengelakkan daripada pembiakan luar kawalan dan mengurangkan risiko anak-anak yang baru lahir dibuang ke pasar atau restoran yang mampu mengakibatkan penderaan, kecederaan, kemalangan dan kematian. 3 - Mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbahaya: Kucing jantan yang belum dimandulkan lebih cenderung untuk merayau mencari pasangan. Pertembungan antara dua ekor jantan bakal mengakibatkan pergaduhan. Kecederaan akibat pergaduhan mampu membawa jangkitan yang serius pada kucing jantan atau boleh dijangkiti penyakit yang bersifat zoonosis iaitu berjangkit pada manusia atau haiwan lain. Ia juga mengurangkan risiko jangkitan pada pundi kencing. Bagi kucing betina, pemandulan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam rahim, masalah keradangan pada puting susu dan kanser yang melibatkan anggota peranakan. 4 - Menjimatkan kos: Setelah dimandulkan, si comel cenderung untuk berada di sekitar kawasan rumah. Ia membantu pengurangan risiko jangkitan akibat pergaduhan sekali gus membantu menjimatkan kos rawatan dan penjagaan. Sebelum melakukan pemandulan, sebaik-baiknya si comel diberi suntikan imunisasi. Ia membantu meningkat imuniti si comel dan menghalang jangkitan virus berbahaya. Selepas pemandulan, si comel biasanya berada dalam keadaan stres. Ketika itu, sistem imunisasi akan menurun dan memudahkan jangkitan berlaku sekiranya tiada perlindungan daripada suntikan imunisasi. | |||
Posted: 31 Oct 2014 09:23 PM PDT MENYUSURI perjalanan ke perkampungan Orang Asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang dari Kuala Lumpur mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam. Ekspedisi bersama kumpulan Adventure Team 4x4 itu bertujuan mengunjungi dua buah keluarga Islam Orang Asli di samping mendekatkan diri dengan komuniti masyarakat Orang Asli dari suku kaum Semai di situ. Kumpulan kami yang datang melalui Tapah, Perak tiba di Brinchang, Cameron Highlands sebelum meneruskan perjalanan yang memakan masa satu jam setengah untuk ke penempatan Orang Asli Semai yang dihuni kira-kira 200 orang itu. Gelagat kanak-kanak Orang Asli di perkampungan tersebut dirakamkan untuk melihat perbezaan dunia mereka berbanding kanak-kanak di bandar. Telatah dan gelagat kanak-kanak Orang Asli Pos Lemoi sebenarnya tidak banyak beza dengan kanak-kanak bandar. Cuma, mereka lebih aktif, lasak dan selesa berjalan berkumpulan bersama rakan-rakan sebaya tanpa ditemani oleh ibu bapa atau orang dewasa. Mereka tidaklah ditafsirkan seperti zaman lampau yang bercawat dan berbogel, namun sifat-sifat tradisi seperti berkaki ayam sudah menggambarkan sifat kekebalan imunisasi mereka. Walaupun menghuni nun jauh di pedalaman, mereka mudah menerima tetamu luar. Mungkin kerana telah terbiasa dikunjungi sebelum ini ditambah dengan kemudahan asas yang cukup seperti sekolah dan tadika. Bagi masyarakat luar yang berhasrat mengunjungi mereka, gula, beras, rokok dan pakaian manakala gula-gula dan coklat untuk kanak-kanak antara buah tangan yang sesuai untuk mendekati mereka. | |||
Percutian santai di bumi Perlis Posted: 31 Oct 2014 09:20 PM PDT WANGIAN harum semerbak melatari ruang kecil yang dibina ringkas menggunakan kayu dan lapisan kanvas jenis getah sebagai pintu masuk. Keadaan sedikit panas tidak menyebabkan tubuh terus berpeluh tetapi terasa tenang menghirup udara yang mengandungi tujuh jenis herba tempatan. Terletak di kawasan hutan seluas 12 hektar, Sauna Herba di Rimba Herba Perlis itu memberi impak positif kepada pengunjung kerana setiap satu ramuan tersebut mempunyai kebaikan kepada tubuh hakiki manusia. Deria bau pantas menangkap haruman mengkudu kecil yang dipercayai secara tradisional mampu menyegarkan dan menghilangkan bau badan ditambah dengan serai wangi bagi mengurangkan lemak badan dan herba sembung sebagai agen antipenuaan. Ia turut dilengkapi dengan herba lain termasuk tuba limau, larak, mendang kewangi dan pandan wangi. Bagaimanapun, menurut Pegawai Jabatan Perhutanan Perlis, Hashim Saad, pengunjung dinasihatkan tidak berada lama di Sauna Herba, cukup sekadar dua hingga tiga minit sahaja. "Ia sebagai satu persinggahan awal untuk perjalanan yang lebih menenangkan di sepanjang laluan Rimba Herba Perlis," ujarnya ketika memberi penerangan kepada sekumpulan media yang mengikuti Program Sahabat Media anjuran majalah Santai Travel dengan kerjasama Tourism Malaysia baru-baru ini. Ketenangan yang dikatakan Hashim itu adalah 1,000 spesies tumbuhan herba yang mengelilingi kawasan yang dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Perlis itu. Terletak 12.6 kilometer (km) dari bandar Kangar, ia dipecahkan kepada tiga seksyen utama yang terdiri daripada herba-herba bagi tujuan perubatan dan pendidikan. Tidak hairan jika dikatakan, pengunjung yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Dibuka kepada umum pada tahun 1998, Rimba Herba Perlis tidak hanya menjadi lokasi hujung minggu bersama keluarga tetapi ia turut dilawati individu yang mendapatkan rawatan alternatif menggunakan perubatan tradisional herba. "Banyak tumbuhan yang terdapat di sini boleh digunakan dalam merawat pesakit seperti diabetes, darah tinggi, sakit tulang dan kanser. "Disebabkan itu, ada kumpulan pelawat yang datang dari luar Perlis semata-mata ingin mendapatkan tumbuhan herba bagi merawat penyakit mereka," ujar Hashim. Antara jenis herba yang terdapat di situ ialah jentik nyamuk, akar dani, paku sarang burung, bayam batu dan bogak perlis. Orang ramai dibenarkan untuk membawa pulang herba mengikut kapasiti yang dihadkan oleh pihak jabatan. Rawatan Malah, rawatan rendaman minyak herba disediakan kepada pengunjung di Spa Rawatan Tradisional Herba dengan bayaran RM6 untuk 20 minit bagi membantu kelancaran aliran darah, sakit sendi dan sakit urat. Herba Perlis merupakan antara destinasi tarikan pelancong terkenal di negeri paling utara dan terkecil di Malaysia itu. Dengan keluasan 81,060 hektar, negeri yang terkenal dengan jolokan Indera Kayangan itu masih mampu memberikan pengalaman percutian yang menghiburkan kepada setiap pelancong. Selesai 'mengubati' tubuh secara tradisi, cabar pula keyakinan diri dengan berkunjung ke Taman Ular dan Reptilia Perlis yang terletak 3.5km dari Rimba Herba Perlis. Dikomersialkan pada tahun 1995, ia menempatkan lebih 150 ekor ular berbisa dan tidak berbisa dari dalam dan luar negara. Menurut pengurusnya, Samsul Wadi Md. Salleh, Rimba Herba Perlis tidak hanya sebagai lokasi pelancongan, malah turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan perlindungan kepada 34 spesies ular yang terdapat di situ. "Disebabkan itu, Taman Ular dan Reptilia Perlis menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai taman ular terbesar di negara kita," ujarnya. Pada awalnya, taman tersebut merupakan institusi penyelidikan perubatan yang ditubuhkan bagi menghasilkan penawar terbaik untuk merawat kesan patukan ular. Ia diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan sebelum dimajukan sebagai lokasi tarikan pelancongan di Perlis, 17 tahun selepas itu. Pengunjung yang datang disajikan dengan persembahan ular dan kepada yang berani, mereka berpeluang untuk mendekati reptilia berdarah sejuk itu. Samsul berkata, ular paling berat adalah daripada spesies sawa seberat 80 kilogram dengan panjang tujuh meter yang ditangkap pada tahun 2005 di Sik, Kedah. "Ia ditangkap ketika cuba memasuki sebuah rumah penduduk Kampung Tikam Batu sebelum dihantar ke Taman Ular dan Reptilia. "Ular tersebut sekarang ditempatkan di sangkar nombor 13 dan dijaga rapi sebagai salah satu tarikan di sini," ujarnya. Tarikan terbaharu Antara tarikan terbaharu yang terdapat di Perlis ialah Agro-Lancong yang terletak di Jalan Padang Besar Utara. Dengan berkeluasan 2,023.43 meter persegi, Agro-Lancong menyediakan pelbagai aktiviti lasak dan ringan kepada pengunjung seperti memanah, menunggang Kenderaan Pelbagai Permukaan (ATV) dan melawat ladang burung unta serta kuda. Dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Veterinar Perlis, destinasi tersebut bakal menjadi tumpuan baharu terutama kepada golongan muda dan berkeluarga. "Bayaran yang dikenakan kepada pengunjung adalah berpatutan sebagai satu rangka promosi di Agro-Lancong," ujar penyelia, Mohd. Nizam Sawal. Bagi mencuba ATV, bayaran sebanyak RM50 untuk 45 minit dikenakan manakala aktiviti memanah hanya RM10 untuk 12 batang anak panah. Pengunjung boleh menunggang ATV di sekeliling Agro-Lancong sambil menikmati pemandangan hijau dan haiwan yang terdapat di situ. Sebanyak lima ekor burung unta yang boleh ditunggangi untuk perlumbaan antara pengunjung, selain 30 ekor kuda terdapat di Agro-Lancong. Dilancarkan pada bulan Ogos lepas, Agro-Lancong bakal menambah beberapa lagi aktiviti dan tarikan baharu seperti permainan paintball, belon panas dan membawa masuk tiga ekor gajah. Sepasang gajah betina dan jantan bersama seekor anak yang dibawa dari negara jiran, Thailand itu bakal menjadi tarikan utama di Agro-Lancong. Setibanya gajah-gajah tersebut pada awal bulan November ini, pengunjung berpeluang untuk mendekati dan menunggang haiwan itu. "Permainan paintball dan belon panas pula akan diperkenalkan pada tahun depan di kawasan yang sama," jelas Mohd. Nizam. | |||
Benam diri di dalam pasir panas Posted: 31 Oct 2014 09:18 PM PDT APABILA matahari terbit di kaki bukit padang pasir Erg Chebbi, Sahara, penduduk nomad mula sibuk menggali lubang-lubang untuk pelancong yang ingin membenamkan diri di dalam pasir panas. Padang pasir Sahara terletak di utara Arika meliputi sebahagian Algeria, Republik Chad, Mesir, Libya, Mali, Republik Mauritania, Maghribi, Sudan dan Tunisia. Mereka yang menjalani kehidupan nomad sejak 100 tahun lalu, kini mengalami transformasi apabila terbabit dalam aktiviti pelancongan yang kian popular di kawasan tersebut. Antara komuniti nomad tersebut ialah puak Berber Ait Atta yang tinggal di Merzouga, selatan Maghribi yang kini telah beberapa tahun terbabit dalam aktiviti perhotelan dan restoran. Merzouga kini menjadi perhentian utama para pelancong di Maghribi di penghujung lautan padang pasir. Para pelancong akan membenamkan diri dalam pasir panas hingga paras leher selama 10 minit. Ia dikatakan baik untuk terapi diri bagi membantu mengubati penyakit yang berkaitan saraf dan tulang belakang seperti reumatism, lumbago, poliartritis dan beberapa penyakit kulit yang lain. Menurut Abdessalam Sadoq, seorang penduduk nomad yang bekerja dalam sektor pelancongan kesihatan, terapi pasir panas itu mempunyai kesan yang sama seperti terapi sauna yang membantu pengeluaran toksin di dalam badan. "Kami menawarkan pelbagai tarikan pelancongan di sini khususnya berkaitan kesihatan," katanya. Perjalanan kehidupan bagi golongan Ait Atta bukanlah sentiasa mudah. Situasi ini berlaku sejak beberapa dekad lalu kerana golongan muda dibesarkan dengan menunggang unta tetapi kini perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan moden. Suatu ketika dahulu, Ait Atta mempunyai kekayaan terkumpul hasil perdagangan Trans-Sahara. Namun, apa yang tinggal kini hanyalah petunjuk jalan ke arah Timbuktu, perjalanan yang memakan masa selama 52 hari dengan menaiki unta. Kehidupan asal mereka terjejas apabila Maghribi menjadi negeri naungan Perancis pada tahun 1912. Sejak itu, pelbagai pembangunan dari segi perlombongan dan pusat-pusat bandar berdekatan dengan sempadan Algeria. Ekoran itu, sejak 50 tahun lalu, penduduk tersebut terpaksa mencari kehidupan baharu seperti bercucuk tanam dan fokus kepada pelancongan. Pengunjung yang mencari terapi pasir panas ini bukan sahaja dalam kalangan pelancong dari luar negara, bahkan penduduk tempatan yang percaya terhadap kuasa terapi pasir panas itu. Semakin sihat Seorang penghidap penyakit skiatiks dari bandar Beni Mellal, Ali Kallamouche memberitahu, setiap tahun dia sering berkunjung ke Merzouga untuk terapi pasir. "Saya akan meluangkan masa selama seminggu menjalani terapi dan saya berasa semakin sihat," ujarnya. Skiatiks merupakan sejenis penyakit saraf yang dikaitkan dengan tulang belakang. Apabila pesakit selesai membenamkan diri dalam pasir panas itu, badan mereka akan dibalut dengan tuala panas supaya tidak mengalami kesejukan secara mengejut. Harga bagi terapi pasir panas ialah 10 euro (RM41.30) selama 10 minit. Pengunjung yang menjalani sesi terapi bukan sahaja dapat menyembuhkan penyakit, bahkan dapat menikmati suasana matahari terbenam di padang pasir Merzouga. Safari-safari unta dan penduduk nomad Berber dan Arab masih lagi kekal menjadi salah satu tarikan pelancong, namun dengan keadaan ekonomi yang tidak berapa stabil, pekerja-pekerja dalam industri itu terpaksa keluar mencari sumber pendapatan lain. Menurut Sadoq, para pengunjung yang hadir juga ingin menikmati makanan-makanan tempatan yang disediakan daripada pelbagai jenis tumbuhan dan herba. Bidang pelancongan juga merupakan sumber penting dalam ekonomi Maghribi, sekali gus menyumbang sebanyak 10 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar. Menurut pandangan pakar-pakar industri berkenaan, bidang tersebut semakin berkembang sejajar dengan pemba- ngunan pelancongan kesihatan. Selain itu, pada Persidangan Spa dan Kesihatan Global di Perancis pada September lalu, pakar-pakar industri tersebut menyatakan, sektor pelancongan kesihatan berkembang di seluruh dunia sebanyak 12.5 peratus pada tahun lalu dengan menyumbang pendapatan sebanyak AS$500 bilion (RM1,625 bilion). Maghribi merupakan tuan rumah persidangan tersebut. Maghribi berada di kedudukan teratas di Asia Barat dan Afrika Utara dalam pelancongan kesihatan, malah industri itu berkembang lebih 67 peratus sejak tahun 2007. Sementara itu, di Merzouga semakin ramai yang berminat menjalani terapi pasir panas yang menyebabkan perniagaan lain turut berkembang. Antaranya termasuklah penjua- lan susu unta yang dikatakan mempunyai keupayaan untuk merawat penyakit diabetes, anemia dan masalah penghadaman. | |||
Grand Lexis bukan sekadar resort Posted: 31 Oct 2014 09:16 PM PDT SETIAP kali diberitahu mengenai percutian keluarga, Muhammad Azmeer Shamshaharudin akan melonjak kegembiraan. Di fikirannya terbayang hotel bertaraf lima bintang di pantai peranginan yang terkenal dan mempunyai landskap paling menarik terutama kolam renang. Namun, percutian kali ini pasti meninggalkan kenangan yang cukup manis buat Azmeer, 18, meskipun hanya berkunjung ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Selain merasai pengalaman mandi di kolam renang peribadi, dia turut berpeluang mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan. Detik-detik menunggang basikal, menaiki basikal roda tiga, memancing, bermain bola sepak pantai, bola tampar, memanah dan skuba bersama ahli keluarganya terlalu sukar untuk dilupakan. "Bercuti di resort ini tidak membosankan. Pengalaman paling menarik adalah mandi di kolam renang dalam bilik. Saya boleh mandi bila-bila masa sambil melayari internet dan menikmati juadah yang dibawa keluarga. "Selain itu, saya juga berpeluang mencuba pelbagai aktiviti termasuk bersuka ria di bilik permainan yang disediakan di tingkat dua bangunan utama," kata Azmeer yang berasal dari Kuala Lumpur baru-baru ini. Sementara itu, Pengurus Besar Grand Lexis Port Dickson, Chan Hon Ming berkata, resort tersebut menawarkan penginapan berkonsep mewah, sekali gus mendapat pengiktirafan Outstanding Hotel Partner bagi Kategori Hotel 5 Bintang daripada Booking.com dan anugerah cemerlang bagi ulasan pelanggan (Top Rated 2014) daripada AsiaRoom.com pada tahun ini. "Sebelum ini, kami turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai resort paling banyak mempunyai kolam renang. "Kolam renang peribadi di kesemua 317 bilik itu cukup sinonim sebagai daya tarikan bagi mereka yang mahukan ketenangan beristirehat tanpa sebarang gangguan," katanya. Hiasan dalaman Hon Ming berkata, ruang bilik seluas kondominium mewah 1,312 kaki persegi (121 meter persegi) itu mempunyai hiasan dalaman yang mempesonakan. Selain aturan ruang tidur, ia turut dilengkapi dengan kemudahan internet dan ruang dapur. Namun, apa yang paling penting bagi pasangan yang memiliki anak ialah tidak perlu lagi memikirkan soal keselamatan anak-anak yang ingin bermain atau berenang di kolam renang luar bilik seperti kebiasaan bercuti di hotel. Kolam renang peribadi pada paras kedalaman empat kaki itu mampu menjamin keselamatan anak-anak yang diawasi ibu bapa di depan mata. Grand Lexis yang terletak hanya dua kilometer dari bandar Port Dickson turut menawar pelbagai jenis tempat penginapan mengikut cita rasa pengunjung iaitu ruang bilik di bangunan utama, vila taman, vila taman berlandskap dan vila atas air yang mengunjur ke laut. Kemudahan lain di kawasan resort seluas 10 hektar itu termasuk karaoke, sauna, perpustakaan mini, gimnasium dan restoran. Bagi pengunjung yang mahu menjamu selera, mereka boleh mendapatkan servis pesanan dan penghantaran makanan ke bilik atau berkunjung ke Restoran Duyung, Pool Cafe, Lanun Bar dan Restoran Genn Japanese. Pelbagai seleksi masakan seperti tradisional, hidangan barbeku, sajian Barat dan Jepun disediakan. Semua kemudahan yang disediakan itu bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara. Meskipun menyediakan percutian berkonsep mewah, Hon Ming berkata, resort itu masih menawarkan tempat penginapan pada harga yang berpatutan kepada pengunjung. | |||
Puting Beliung Landa Alor Setar Posted: 31 Oct 2014 06:20 PM PDT | |||
Tindakan Tegas Terhadap Pemilik Kenderaan Pasang Lampu HID, Ubah Suai Nombor Plat Posted: 31 Oct 2014 06:18 PM PDT | |||
Posted: 31 Oct 2014 12:59 AM PDT
BENARLAH kata pujangga, reda ibu bapa sangat penting dalam kehidupan anak-anak. Itulah prinsip yang dipegang 'kuat' oleh personaliti TV AlHijrah, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf. Dek prinsip itu juga, pengacara Assalamualaikum itu sanggup mengetepikan seketika minatnya terhadap dunia fesyen bagi meneruskan pengajian peringkat tertingginya dalam bidang undang-undang. "Keluarga saya sangat tradisional dan lebih mengutamakan ke arah bidang profesional. "Saya sebagai anak, sudah tentu mahu menjadi seorang anak yang mendengar kata agar hidup lebih diberkati kelak. "Saya sentiasa percaya jika kita hendak berjaya, kita perlu mendapatkan keredaan ibu bapa. Itu sangat penting dalam hidup," tegasnya kepada Zass. Bagaimanapun, peluangnya mencuba nasib dalam bidang penyiaran menerusi pertandingan realiti, Pengacara Jemputan Nona (PJN) pada 2002 memberi laluan untuknya kembali aktif dalam bidang yang diminatinya itu. "Selepas mendapat tempat kelima dalam PJN, jadual saya mulai sibuk sementelah banyak peluang pengacaraan yang saya terima seperti Wanita Hari Ini, Akademi al-Quran dan Cari Menantu. "Minat saya dalam fesyen tidak pernah padam. "Tugasan sebagai pengacara serta wartawan secara tidak langsung memberi laluan untuk saya mengukuhkan hubungan sesama pereka luar dan tempatan, di samping menambah kenalan yang turut terbabit dalam dunia fesyen," katanya. Tambahnya, walaupun dia melalui proses yang panjang, perkara itu semua menjadikannya matang sekali gus membuka minda. Atas kesabarannya itu, Farrah Adeeba kini mampu tersenyum lebar kerana sudah mempunyai butiknya sendiri. "Saya kini lebih berfokus pada bisnes butik saya yang dikongsi dengan beberapa teman iaitu Najjah dan Falah Abiyana. "Semua produk atas dua jenama ini direka sendiri dan sehingga kini kami sudah mempunyai lima cawangan di Kota Damansara, Mutiara Damansara Wangsa Maju, Puchong dan Shah Alam," katanya. Selain butik tersebut, Farrah Adeeba juga adalah salah seorang pengasas kepada Women Of Jannah (WOJ) iaitu butik yang menghimpunkan pelbagai jenama Muslimah di bawah satu bumbung. "Tujuan utama WOJ adalah untuk menjadi pusat sehenti kepada jenama Muslimah itu sendiri," katanya. Tidak abai keluarga Biarpun sibuk dengan pelbagai urusan, fokus utama Farrah Adeeba tetap kepada keluarga kecilnya. Kata isteri kepada Muhammad Rafique Rashid Ali dan ibu kepada anak angkatnya, Mohammad Razique Abdullah, dia tetap akan cuba mencari masa bagi meluangkan lebih masa dengan mereka. "Tidak dinafikan, saya sememangnya sentiasa sibuk dengan pelbagai perkara. "Tetapi itulah, hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih," katanya. Katanya, hidup berkeluarga ini bagaikan bekerja dalam satu syarikat yang memerlukan kerjasama yang erat di antara pekerja-pekerjanya. "Sebagai satu keluarga, kita perlu saling percaya-mempercayai dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur. "Perkahwinan itu bukan sekadar pengorbanan sebaliknya perlu ada keseronokan dan usik mengusik, barulah akan bertahan lama selain sama-sama mendekatkan diri kepada-NYA," akhirinya. | |||
Pian (Cecupak) Alami Gangguan Mental Kerana Gelaran Datuk Posted: 31 Oct 2014 12:58 AM PDT | |||
Yusof Haslam Tunggu 23 Tahun Terbitkan Drama 'Bercakap Dengan Jin' Posted: 31 Oct 2014 12:57 AM PDT | |||
Mahkamah tolak bayar ganti rugi pada Johan Posted: 31 Oct 2014 12:55 AM PDT
MAHKAMAH Tinggi menolak permohonan seorang pengarah drama dan filem serta syarikatnya untuk menggantung perintah membayar ganti rugi RM170,100 kepada Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz atau 'Johan Raja Lawak' dan isterinya. Pembayaran itu berkaitan kes saman yang difailkan pelawak dan pelakon berkenaan bagi kecederaan yang dialaminya empat tahun lepas. Hakim Su Geok Yiam membuat keputusan itu dalam kamar. Hadir pada prosiding itu ialah peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan, dan peguam Baljit Singh bagi Mohd Javed Mohd Nizar serta Juara Filem Production Sdn Bhd. Suhaimi, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah menolak permohonan itu dengan kos RM5,000 serta memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya membayar ganti rugi dalam tempoh 31 hari bermula hari ini. Pada 7 Julai lepas, Su memerintahkan Mohd Javed dan syarikat penerbitannya membayar ganti rugi RM100,000 serta kos perubatan RM100 kepada Johan selain faedah lima peratus kepada Johan bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tempoh penyelesaian. Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri Johan iaitu Rozlinawaty Ismail serta faedah lima peratus bermula dari tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian. Mohd Javed dan Juara Filem Production Sdn Bhd juga diperintah membayar kos guaman RM50,000 kepada pasangan itu. Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed mengasari serta membaling gelas kaca sehingga menyebabkan dahi kiri pelawak itu cedera ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada 11 Mei 2010. Pernyataan tuntutan Johan mendakwa Mohd Javed turut bertindak menterbalikkan meja di depan beliau dan isterinya dan pelawak berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan, yang didakwa akibat ditumbuk seorang kru penggambaran dikenali sebagai 'Halim'. Johan, yang juga seorang pengacara, mendakwa Mohd Javed dan Halim terus memukul serta menyepaknya, dan apabila perbuatan mereka dihalang Ozlynn, wanita itu turut dipukul. | |||
Tengkorak, serpihan tulang siapa? Posted: 31 Oct 2014 12:47 AM PDT
KUALA LUMPUR - Satu tengkorak kepala dan serpihan tulang ditemui di tapak projek pembinaan makmal dan gimnasium di Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jalan Temerloh, di sini semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, tengkorak tersebut ditemui oleh pekerja binaan ketika sedang menjalankan kerja menggali kira-kira jam 12 tengah hari. Menurutnya, ketika kedalaman empat kaki, kemudian menemui serpihan tulang dan kepala. "Berdasarkan maklumat daripada pekerja, tapak binaan itu dahulunya merupakan kawasan kongsi lama. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak forensik," katanya. Beliau berkata, pemeriksaan awal forensik mendapati tengkorak berusia lebih lima tahun. Katanya lagi, setakat ini, pihaknya masih menunggu laporan lengkap untuk mengetahui identiti serta sebab kematian. "Orang awam sekiranya ada yang kehilangan ahli keluarga, boleh tampil memberi maklumat. Ini dapat bantu mengesan DNA dan boleh tentukan sama ada itu betul ahli keluarga yang hilang atau bukan," katanya. | |||
Posted: 31 Oct 2014 12:45 AM PDT
KUALA DUNGUN – Ramai warga komuniti tidak tahu Surau kampung Tengah atau dahulunya dikenali sebagai Masjid Kampung Tengah merupakan pusat pengajian agama di kalangan penduduk tempatan yang terkenal pada tahun 50 dan 60an dahulu. Namun apa yang lebih misteri, di bawah surau berdinding papan itu terdapat satu makam bersejarah dikenali sebagai Makam Panglima Hitam. Menurut Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Shamsudin Jusoh, Panglima Hitam merupakan seorang pendekar tersohor yang menjadi orang paling kanan kepada Pak Hitam Tambun yang juga seorang pahlawan Dungun yang terbilang. Shamsudin berkata, kedudukan makam Panglima Hitam yang mempunyai kaitan dengan sejarah Dungun ini yang terletak di bawah lantai surau menimbulkan pelbagai tanda tanya selain persepsi negatif di kalangan masyarakat setempat yang mungkin berfikiran sempit. Beliau berkata, dahulunya, makam ini terletak di kawasan berdekatan dengan surau, namun selepas bangunan surau ini dipindahkan beberapa meter ke arah daratan, maka secara tidak langsung makam ini berada di bawah surau yang dahulunya menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk belajar agama sekitar tahun 50an dan 60an. "Kalau boleh kita minta pihak berkaitan dapat pindahkan segera makam ini ke lokasi lain yang lebih praktikal. "Lagipun ia memberi kesukaran kepada pengkaji sejarah untuk menziarahi makam ini yang terletak di bawah bangunan," kata Shamsudin. Shamsudin yang juga seorang pesara guru berpandangan, jika proses memindahkan makam ini dapat dilakukan, beliau mahu makam ini dibaik pulih dan diletakkan dengan papan tanda sebagai maklumat kepada pelawat yang mungkin tidak mengetahui sejarah Pahlawan Hitam. Katanya, usaha ini perlu bagi memastikan sejarah Dungun tidak pupus dan dapat diingati oleh generasi akan datang. "Jika kita tidak bertindak sekarang, mungkin sebahagian monumen sejarah yang menjadi khazanah kita akan hilang. "Ia sesuatu yang amat merugikan bangsa kita sendiri kerana sejarah orang kita akan dilupakan begitu sahaja," katanya. | |||
Ibu 9 anak mahir baiki motosikal Posted: 31 Oct 2014 12:42 AM PDT
BACHOK - Lazimnya kita melihat kerjaya mekanik didominasi oleh kaum lelaki tidak kira sama ada kecil-kecilan dengan membaiki basikal di kampung atau mekanik motosikal dan kereta. Di Kampung Sungai, ibu sembilan anak, Jalina Mat Daud, 49, memiliki kemahiran mengendalikan kerosakan motosikal daripada suaminya, Ismail Daud, 56, sejak 31 tahun lalu. Jalina atau lebih dikenali sebagai Kak Na berkata, dengan menyewa di sebuah bengkel kecil, dia mencari rezeki dan memberikan ilmu kemahiran yang sama kepada anak-anaknya. Daripada sembilan anak, empat anak lelakinya mempunyai kemahiran sebagai mekanik termasuk seorang anak perempuannya, Noraliza, 27. "Sejak dari dulu saya suka tengok suami buat kerja baiki motor. Dari situ saya belajar sikit-sikit dan boleh buat pembaikian luaran motosikal. "Anak-anak lelaki pun semuanya tahu baiki motosikal. Anak kedua, Maizan, 30, dapat pendidikan formal di politeknik dan kini jadi mekanik kereta di Sungai Pas, Kuala Krai. "Anak sulung saya, Mazlan, juga tahu kemahiran ini kini bekerja sebagai juruteknik komputer," katanya. Berbeza dengan mekanik biasa yang berseluar jeans lusuh, Jalina tidak kekok membaiki motosikal dengan blaus dan berkain batik, rutin pakaian sebagai seorang suri rumah. Disebabkan keunikannya itu, bengkel kecil Jalina yang terletak berdekatan jambatan Pengkalan Baru sering menjadi tumpuan ramai walaupun kini jambatan itu ditutup untuk kerja-kerja pembaikan. | |||
Tidak Boleh Berniaga Jika Tidak Bertudung Posted: 31 Oct 2014 12:37 AM PDT |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
0 ulasan:
Catat Ulasan