ads

Selasa, 8 Oktober 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Guru Ada Peluang Jadi Isteri Fahrin Ahmad

Posted: 08 Oct 2013 05:58 PM PDT


Fahrin mahu mencari calon isteri yang bergelar guru.
PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad membuat keputusan mencari wanita yang bekerja sebagai seorang guru untuk dijadikan calon isteri berbanding memilih mereka di kalangan selebriti.
Fahrin, 34, berkata, dia membuat keputusan itu kerana merasakan lebih sesuai untuk mendampingi wanita golongan berkenaan apatah lagi ahli keluarganya yang lain turut bergelar pendidik.
"Saya bukan serik untuk bercinta dengan golongan artis tetapi wanita dalam kerjaya tersebut tidak sesuai dengan saya dan saya ingin mencari calon isteri di kalangan orang biasa sahaja.
"Saya ingin mencari wanita yang bergelar guru kerana lebih mudah saya menyesuaikan diri tambahan pula ibu, bapa dan kakak saya turut bergelar pendidik sebelum ini, jadi ia lebih praktikal," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam perkembangan sama, kata Fahrin dia kini masih sendirian dan selesa dengan kehidupan itu selepas keinginan untuk berkahwin semakin terhakis.
"Saya sarankan sesiapa yang masih solo supaya segera berkahwin dan jangan tunggu usia sudah mencecah 30-an baru hendak fikir tentang soal berumah tangga.
"Apabila usia semakin lanjut, kita mula rasa selesa dengan kedudukan kita dan keinginan untuk berkahwin semakin terhakis," jelasnya.
Bagaimanapun kata Fahrin, itu bukan bererti dia tidak mahu berkahwin sebaliknya sudah berusaha mencari calon isteri namun jodoh masih belum menyebelahinya buat masa ini.
"Apa-apa pun saya tetap akan berkahwin dan usaha pun telah saya lakukan tetapi tinggal lagi jodoh masih belum sampai," katanya.
Sementara itu, Fahrin memberitahu, ibu bapanya ingin mencari calon isteri untuknya namun dia menolak kerana lebih selesa menemui buah hati atas pilihan sendiri.
"Keluarga ada beritahu ingin memperkenalkan saya seseorang tapi saya menolak kerana ingin pilih sendiri teman hidup dan bukannya atas kehendak orang lain.
"Saya faham mereka risau dengan faktor umur saya yang semakin meningkat tetapi mereka faham cinta itu tidak boleh dipaksa," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Fahrin berkata, dia bakal berangkat ke Cardiff, Wales, United Kingdom pada 20 November depan untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Kelab Cardiff City menentang Manchaster United yang akan berlangsung pada 25 November 2013.
Selain Fahrin, tiga lagi artis lelaki iaitu Fizo Omar, Fizz Fairuz dan Iqram Dinzly akan turut menyertai rombongan itu.

Kontroversi Kahwin Aeril Zafrel Tiada Kaitan Isu Agama

Posted: 08 Oct 2013 05:57 PM PDT


Aeril Zafrel
KUALA LUMPUR: Pelakon Aeril Zafrel memberitahu, kenyataannya selama ini yang menggunakan agama bukan untuk dilihat seperti 'budak baik' semata-mata untuk menyembunyikan isu perkahwinan rahsianya dengan aktres Wawa Zainal.
Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari, 25, berkata, menjadi perkara normal untuk dia menyelitkan unsur-unsur keagamaan dalam kehidupan seharian dan berharap tiada pihak yang salah sangka.
"Saya tidak pernah menggunakan agama atau ayat suci al-Quran untuk mempertahankan diri dalam satu-satu hal. Bagaimanapun menjadi perkara normal untuk mengaitkan hal agama dalam perbualan kita.
"Kadang-kadang apabila berborak dengan kawan-kawan pun saya bercakap mengaitkan agama," tegasnya yang ditemui di set penggambaran telefilem Kecoh Kuih Semperit di Tasik Ampang Hilir di sini pada Selasa.
Pada Ahad lalu sebuah akhbar menyiarkan laporan eksklusif kononnya Aeril sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal, 22, pada 4 Februari lalu secara senyap.
Wawa Zainal
Hasil perkahwinan itu, mereka dikatakan telah mendapat anak iaitu Ahmad Fakharuddin Attar yang lahir pada 24 Ogos lalu. Sebelum ini Wawa dikatakan pulang ke negeri kelahirannya di Sabah untuk berubat kononnya terkena buatan orang.
Ketika ditemui media pada Selasa, Aeril bersikap terbuka memberi kerjasama untuk menjawab pelbagai soalan selepas gagal dihubungi sebelum ini.
Sementara itu, Aeril mendakwa kontroversi berkenaan merupakan satu strategi yang dilakukan pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkannya namun dia enggan mendedahkan siapakah individu berkenaan.
"Perkara ini timbul kerana ia adalah satu strategi untuk menjatuhkan saya dan sekarang ini saya ada hak untuk berdiam diri. Perkara ini impaknya besar kerana ia menjatuhkan maruah saya.
"Tiada istilah saya mahu lari daripada semua. Kata Imam Syafie; Berkatalah apabila kamu yakin dan jika kamu ragu-ragu maka kau berdiamlah.
"Biarlah saya bersedia sepenuhnya untuk menjawab segala persoalan dengan tenang pada Jumaat ini," tuturnya.
Ditanya adakah sesebuah perkahwinan itu terlalu peribadi untuk disahkan Aeril berkata, Tuhan mahu menguji imannya sama ada dia seorang yang reda ataupun pemarah.
"Untuk beberapa hari ini biarlah semua orang tertanya-tanya. Sama ada orang mahu mencaci dan membenci, biarlah saya hadapinya. Mungkin ada hikmah di sebaliknya," ujar Aeril.

Zizan Razak Ada Cara Promosi 'KL Gangster 2'

Posted: 08 Oct 2013 05:56 PM PDT


Zizan dan Aaron Aziz dalam satu babak KL Gangster
PETALING JAYA: Pelawak Zizan Razak mempunyai cara promosi tersendiri untuk menarik orang ramai ke pawagam bagi menonton filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof.
Zizan, 28, berkata, biarpun tidak berpeluang menyertai rangka promosi filem yang dijalankan sepanjang tayangan bermula pada 3 Oktober lalu, namun dia masih memberi sokongan melalui laman-laman sosial miliknya seperti Twitter, Facebook dan Instagram.
"Saya akan beritahu terlebih dahulu dan minta maaf jika tidak dapat hadir promosi yang dijalankan kerana ada komitmen lain tapi saya masih mengambil berat dan sentiasa mendapatkan maklumat tentang filem tersebut.
"Walaupun belum berkesempatan menonton di panggung wayang tetapi kelab peminat saya sudah menganjurkan aktiviti menonton KL Gangster 2 bersama-sama," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa.
Zizan Razak
Zizan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar Ahad lalu tentang komitmennya dan Aaron yang tidak muncul pada setiap majlis yang dianjurkan untuk promosi filem tersebut.
Bagaimanapun, Zizan meminta maaf jika ada pihak atau pelakon lain yang berkecil hati dengan tindakannya itu.
"Saya hanya buat apa yang termampu sahaja, kita tidak boleh puaskan hati semua pihak dan yang penting pihak produksi termasuk Datuk Yusof Haslam memahami situasi saya," katanya.
Zizan yang memegang watak Fadil dalam filem tersebut turut kecewa apabila filem tersebut disabotaj dengan aktiviti cetak rompak sebelum tarikh tayangan.

10 Penerbit Beli 5,000 Tiket, Sokong 'KL Gangster 2'

Posted: 08 Oct 2013 05:54 PM PDT


Yusof Haslam (tengah) mendapat sokongan para penerbit selepas filemnya, KL Gangster2dicetak rompak.
KUALA LUMPUR: Seramai 10 penerbit filem bumiputera mengambil inisiatif dengan membeli sebanyak 5,000 keping tiket filem arahan Syamsul Yusof iaitu KL Gangster 2 sebagai tanda sokongan terhadap karya berkenaan yang telah dicetak rompak sebelum ia ditayangkan di pawagam.
Penerbit Eksekutif Nusa Bakti, Isma Liza atau Isma AF berkata, tiket-tiket tersebut akan diedarkan di empat buah pawagam iaitu Tanjung Golden Village (TGV), Golden Screen Cinemas (GSC), MBO Cinemas dan Cathay bermula Khamis ini untuk pembeli tiket bertuah di seluruh Malaysia.
"Setiap penerbit telah membeli 500 keping tiket dan secara keseluruhannya kami berjaya mengumpul 5,000 tiket dan ia akan diberikan kepada penonton bertuah.
"Jika mereka ingin dapatkan sekeping tiket percuma mereka perlu membeli dua tiket filem KL Gangster 2, " katanya pada sidang media yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Selasa.
Antara penerbit filem yang terlibat adalah Datuk Yusof Haslam selaku penerbit KL Gangster 2,Afdlin Shauki, Aziz M. Osman, Rosyam Nor, Othman Hafsham, Jurey Latiff Rosley, Norman Abdul Halim dan Mohd Nor Kadir.
Isma Liza
Setakat Selasa lalu, filem berkenaan telah berjaya mengutip RM3.5 juta hanya selepas lima hari ditayangkan.
Dalam pada itu, Yusof berkata, sokongan yang diberikan rakan-rakan terhadapnya disifatkan sebagai penyatuan mereka untuk menentang cetak rompak yang semakin berleluasa.
Malah kata Yusof, ia adalah sebagai satu suara untuk memastikan kerajaan mengambil tindakan segera terhadap isu tersebut.
"Isu cetak rompak bukan sesuatu yang baharu tetapi respons daripada kerajaan agak perlahan dalam isu ini.
"Ia mungkin terjadi kepada filem saya sekarang tetapi adakah perkara ini tidak akan berulang kepada penerbit lain," ujarnya.
Bagaimanapun kata Yusof, beliau terharu dengan sokongan yang diberikan rakan-rakannya dan ia menandakan semua penerbit di negara ini bersatu hati.
"Ia bukan sekadar sokongan tetapi kami akan lebih aktif dalam merancang pelbagai aktiviti bagi memperluaskan suara kami sebagai penerbit.
"Malah kami akan sedaya upaya untuk mengesan dalang yang menyebarkan filem berkenaan secara haram," jelasnya.
Sementara itu, Norman yang mewakili KRU Studios berkata, pihaknya akan membantu Skop Production dalam menjual filem berkenaan di peringkat antarabangsa selepas melihat filem itu berpotensi untuk dipasarkan ke pasaran global.
Malah kata Norman, pihaknya akan membawa filem berkenaan ke beberapa festival filem seperti di Berlin, Cannes dan Los Angeles.
"Ini bukan pengakhiran kepada KL Gangster 2 kerana ia baru bermula dan filem ini berpotensi di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Kumpulan Tiga Tidak Tiru The Fabulous Cats

Posted: 08 Oct 2013 05:53 PM PDT


Kumpulan Tiga. 
KUALA LUMPUR: Kumpulan Tiga tidak meniru ataupun menjadi klon mana-mana kumpulan muzik yang sedia ada termasuk The Fabulous Cats biarpun membawa genre muzik hampir sama.
Ketua kumpulannya Arween atau nama sebenar Mohd Qhairol Ighssan, 28, berkata, kumpulan tersebut lebih menekan konsep vokal secara harmoni berbanding The Fabulous Cats.
"Kami bukan klon atau mempunyai persamaan dengan kumpulan The Fabulous Cats iaitu terdapat seorang wanita dan seorang penyanyi rap.
"Single pertama berjudul Pengakuan pula dicipta oleh penyanyi Alyah yang pernah menyertai kumpulan ini suatu ketika dahulu. Lagu ini dibuatnya semasa dia masih dalam kumpulan ini," katanya pada sidang media pelancaran single berkenaan.
Tiga turut dianggotai Alfie (Syed Alfrizal), Maya (Maya Haryanto) dan Zack Marican.
Alyah bersama kumpulan Tiga pada sidang media pelancaran single pertama kumpulan itu berjudul Pengakuan.
Tambah Arween, kumpulan berkenaan memperjuangkan genre muzik yang pelbagai termasuk 'world music', pop RNB dan pop rock.
Bercakap tentang lagu Pengakuan katanya, karya itu mampu menambat hati pendengar dan mesra radio.
"Kami dapat rasakan lagu ini bakal menjadi perhatian kerana berentak rancak dan sesuai dengan genre kumpulan kami," katanya.
Bagaimanapun, dia menolak langkah kumpulan itu melakukan kerjasama dengan Alyah adalah untuk menumpang popularitinya.
Sementara itu, Alyah berkata, Pengakuan diciptanya sekitar tahun 2005 yang mendapat pengaruh muzik kumpulan The Fabulous Cats.
"Saya buat lagu tersebut ketika saya masih lagi ahli kumpulan ini dan saya akui sedikit sebanyak ada pengaruh muzik The Fabulous Cats.
"Namun disebabkan ramai ahli kumpulan ini yang boleh mengubah lagu, maka lagu saya disimpan sahaja dan tidak sangka sekarang baru ada yang meminta untuk menyanyikannya," kata Alyah.

Faizal, pasca FFM dan Longkai

Posted: 08 Oct 2013 05:43 PM PDT



SEPERTIMANA janjinya usai meraih kemenangan dalam Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), Faizal Hussein kini sedang melunaskan kata-katanya.
Terbaharu, bapa kepada dua cahaya mata itu bakal tampil sekali lagi di pawagam bersama buah tangan terbaharu di bawah Metrowealth berjudul Longkai.
Isi padu kata-kata Faizal seolah- olah mahu menyatakan pilihannya untuk membintangi filem Longkai bukan silap percaturan.
"Longkai banyak bermain perasaan. Walaupun nampak watak saya sebagai Bada itu kasar, ganas dan banyak aksi tetapi pada masa sama turut beremosi. Kerana itulah saya menyahut tawaran ini," kata Faizal yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Longkai di Cineleisure e@Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menambah usulnya, Faizal memberitahu, setelah lebih 40 tahun bergelumang dalam dunia seni, baru kali ini dia digandingkan bersama Erra Fazira sebagai tunjang utama filem.
"Daripada filem Bunohan, saya mula mengkaji apa lagi yang peminat mahukan daripada Faizal Hussein. Ini kerana dalam filem itu mereka sebenarnya mahu melihat saya beraksi lebih kerap.
"Kerana itu dalam Longkai, saya memainkan peranan hero yang ganas, kurang bercakap, penuh adegan aksi dan perlu bercinta. Siapa yang tidak mahu digandingkan dengan Erra Fazira? Setelah sekian lama akhirnya kami disatukan sebagai pasangan.
"Erra seorang pelakon yang profesional. Apabila sampai di set penggambaran dia sudah pun siap solekan, hafal semua dialognya dan untuk membina hubungan pun tiada masalah.
"Jujur saya cakap, Erra seorang pelakon yang matang," ujarnya yang turut bergandingan dengan pelakon baharu, Niezam Zaidi dalam Longkai.

BABAK cemas filem Longkai membabitkan Faizal Hussein dan Zul Suphiaan.


Watak wanita
Selain itu, kata Faizal, Longkai dibikin khas untuk melihatnya beraksi di layar perak, namun pada masa sama cuba mencari prospek untuk mengimbangi hero lama dan baharu.
"Cara ini saya lihat satu langkah sihat untuk menarik golongan muda kerana tidak semata-mata bercerita tentang diri saya.
"Bekerja dengan pelakon baharu pula tiada masalah bagi saya. Sepan- jang penggambaran saya akan memaksa Niezam Zaidi untuk duduk bersama saya sepanjang masa untuk membina hubungan sebagai adik- beradik," tambah Faizal.
Ditanya kepuasan Faizal beraksi di layar perak atau layar kaca sepanjang tempoh kariernya, apa lagi yang Faizal mahukan selepas ini?
"Saya teringin untuk melakonkan watak wanita! Pernah dahulu saya ditawarkan untuk berlakon watak sebegitu tapi sekadar watak tambahan dan lelaki lembut sahaja.
"Maka, saya ketepikan dulu. Saya simpan niat ini untuk menantikan tawaran sebagai watak utama dan Alhamdulillah saya sudah ditawarkan peluang ini untuk sebuah super telefilem yang akan memulakan penggambaran pada bulan April tahun 2014.
"Menerusi naskhah itu saya akan berlakon sebagai seorang penari hadrah yang popular di negeri Perlis.
"Pada sebelah malam saya akan menjadi wanita dan siang hari akan menjadi lelaki lembut," katanya yang mencabar dirinya untuk melakonkan watak-watak sukar selepas kejayaan filem Bunohan.
Ditanya kenapa memilih untuk melakonkan watak wanita, jawab Faizal berseloroh: "Saya rasa saya kurus dan mesti akan jadi perempuan lawa kalau disolek."
Go with flow
Perjalanan karier anak bongsu pasangan pelakon legenda Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail itu tidak pernah direncanakan langkah demi langkah.
Kata Faizal, kejayaan atau pemilihan watak kini dan selepas ini mengikut aturan Allah dan prinsip azali sebagai seorang manusia yang mahukan sesuatu yang berbeza dalam hidup.
"Saya ikut aliran dan tidak berusaha untuk mencapai apa-apa tapi hanya berpandu pada ketentuan yang sudah Allah tetapkan dan Alhamdulillah ia berlaku sebaik mungkin.
"Dari segi watak untuk berjaya, saya tidak pernah menetapkan untuk menjadi sebegitu atau sebegini," getusnya.
DIRA ABU ZAHAR memantapkan lagi daya lakonan filem Longkai.


Bagaimanapun, kata suami kepada pelakon Suhaila Sulaiman itu, usai kemenangannya pada FFM25, rezekinya dalam dunia seni kian bercambah.
"Saya bersyukur atas kemenangan itu yang telah mengubah banyak susun atur hidup saya dalam dunia seni. Tawaran yang datang lebih banyak dan berlakon watak-watak yang sudah lama saya idamkan, masanya sudah tiba," tambah Faizal.
Atas dasar itu juga, Faizal enggan dirinya dimanipulasi atas ketamakan untuk cemerlang dalam semua bidang.
"Saya mencuba untuk elakkan menjadi yang terbaik dalam semua bidang dan cukuplah sekadar menjadi pelakon yang berjaya dan hanya berlakon, bukannya mengarah atau menerbit.
"Saya takut apabila saya terjun ke bidang lain, ia tidak mampu bertahan lama. Saya tidak mahu tamak dalam semua bidang kerana saya mengejar peningkatan.
"Apa guna jadi produser kalau berlakon pun masih terhuyung-hayang? Saya tidak malu untuk mengaku usia saya kini sudah 46 tahun dan saya mahu buktikan pada peringkat ini saya mampu menjadi seorang hero," simpul kata Faizal kemas.


Tunggu Jumaat ini! - Ariel Zafrel

Posted: 08 Oct 2013 05:42 PM PDT


AERIL (kiri) dan Zulhasmi (tengah) dikerumuni pihak media yang mahu mendapatkan pengesahan mengenai status dirinya dengan Wawa Zainal yang didakwa telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.


KONTROVERSI mengenai dua pelakon muda, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang didakwa telah berkahwin secara rahsia dan mempunyai cahaya mata merupakan cerita panas yang kini sedang meniti di bibir masyarakat.
Mengikut kronologinya, Aeril, 26, mahupun Wawa, 22, telah menafi- kan kepada Kosmo! spekulasi bahawa mereka sudah berkahwin, menerusi artikel yang disiarkan pada 24 September lepas.
Isu menjadi semakin panas apabil muncul sebuah artikel yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan pada Ahad lepas.
Artikel itu melaporkan bahawa Aeril dan Wawa dipercayai sudah bernikah pada 4 Februari lalu sebelum dikurniakan anak sulung pada 24 Ogos lalu.
Ekoran itu, Aeril mahupun Wawa mengambil langkah berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan.
Namun semalam, Aeril telah diserbu oleh pihak media di lokasi drama Cinta Mat Semperit di Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengesahan tentang isu tersebut.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aeril serta peguamnya, Zulhasmi Zakaria dan pengurusnya, Shahriman Wahab.
Kosmo!: Minggu lalu kecoh di internet yang mengatakan Aeril sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Ada pihak yang mendakwa mempunyai bukti bahawa Aeril dan Wawa sebenarnya memang benar-benar berkahwin. Boleh komen?
AERIL: Saya rasa buat masa sekarang ini, saya tidak dapat memberi sebarang komen tentang diri saya kerana hari ini kehadiran saya adalah untuk membuat promosi terhadap telefilem lakonan saya ini, Cinta Mat Semperit. Agak kurang enak bagi saya jika saya bercerita lebih tentang hal peribadi berbanding mempromosi telefilem.
Bagaimanapun, saya akan membuat satu sidang akhbar pada hari Jumaat ini. Di mana lokasi dan masa akan saya umumkan kelak.
Saya akan luahkan semua dan Wawa Zainal juga turut berada di sana. Ini kerana saya tidak mahu beri kenyataan banyak kali, jadi di sidang akhbar tersebut, saya akan jawab persoalan kalian semua.
Adakah Aeril telah bersedia menghadapi risiko untuk tampilkan bukti di hadapan pihak media?
Insya-Allah, saya rasa setakat ini saya sudah bersedia dengan jawapan kepada semua persoalan yang akan diajukan kelak.
Ketika kontroversi tersebut muncul dalam artikel di sebuah akhbar pada hari Ahad lepas, kenapa Aeril tidak membalas panggilan telefon mahupun khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar? Adakah anda sengaja melarikan diri?
Mengapa saya perlu lari. Istilah melarikan diri tidak pernah wujud dalam diri saya kerana saya sedia maklum status saya sebagai selebriti. Walau bagaimana saya sembunyi sekalipun kelak akan menjadi tanda tanya semua orang. Ada sebab mengapa saya mendiamkan diri.
Apabila berdiam diri, ramai yang mempunyai persepsi terhadap diri anda, adakah perkara tersebut benar mahupun tidak?
ZULHASMI: Bagi kes ini, Aeril sudah serahkan kepada saya untuk mengkaji kes ini secara keseluruhannya. Saya risau apa yang dicakap kelak akan menjadi prejudis terhadap kes ini.
Kenapa Aeril mengambil tindakan mahkamah, tidakkah ia terlalu rumit kelak?
AERIL: Itu semua akan terjawab pada Jumaat nanti.
AERIL menafikan menggunakan sentimen agama bagi menangani kontroversi yang sedang dialaminya saat ini.


Dalam Twitter anda telah mengatakan, senjata telah digunakan untuk menjatuhkan Ariel. Apakah maksudnya?
Jika kepada sesiapa yang ikuti Twitter saya, ayat-ayat saya biasanya memerlukan seseorang itu berfikir. Saya tidak gunakan ayat yang semua orang faham dan ia punya makna tersirat.
Ariel tidak ingin memberi kenyataan kepada media, namun status Twitter anda seolah- olah memberi kenyataan dari situ. Boleh komen?
Bagi saya, biarlah ia menjadi tanda tanya kerana tidak guna saya selalu sangat meluahkan isi hati saya. Biarlah ada sesi khas untuk saya jawab semua persoalan yang ingin diberi kepada saya.
Adakah tindakan undang-undang telah diambil atau masih dalam proses?
ZULHASMI: Belum lagi kerana saya sedang mengkaji kes ini.
Jika kerana ingin promosi telefilem, apakah keperluan untuk membawa peguam bersama Aeril?
AERIL: Saya telah tahu daripada pihak produksi mengatakan ada media yang hadir dan selain itu juga, peguam saya ingin berbincang tentang kes ini. Selepas kes itu, peguam saya memang selalu bersama.
Adakah ia sebagai langkah berhati-hati?
Ya.
Tindakan undang-undang itu untuk siapa dan kenapa?
Itu belum boleh didedahkan lagi.
Adakah Ariel rasa ada pihak yang ingin menjatuhkan anda?
Jatuh bangun manusia semua di tangan Allah dan begitu juga diri saya. Jadi, saya harap kalian semua menghormati promosi saya mengenai telefilem ini.
Adakah Aeril sedar semua perkara ini berpunca daripada diri anda kerana tidak berterus terang tentang perkara ini?
Oleh kerana itulah saya ingin lakukan sidang akhbar (pada Jumaat ini). Bagi saya, sebarang cerita buruk tentang diri saya, itu antara dia dan Tuhan. Jika saya ingin tutup mulut semua orang untuk tidak bercakap tentang saya, itu memang perkara yang mustahil. Terpulang kepada sesiapa yang ingin bercakap tentang saya kerana kelak kebenaran pasti terjawab.
Adakah pada sidang akhbar tersebut kelak, segala persoalan akan dijawab. Atau mungkin pihak media masih akan mendapat jawapan yang tidak pasti?
Memang ia hari untuk diri saya dan Wawa menjawab persoalan kalian semua.
Aeril seperti menggunakan agama untuk melarikan diri daripada disabitkan dengan perkara yang terjadi?
Saya tidak pernah menggunakan istilah agama untuk mempertahankan diri saya daripada perkara ini. Itu memang cara saya bercakap. Begitu juga jika saya bersembang dengan rakan-rakan .

TERSIRAT di sebalik yang tersirat. Wajah-wajah Aeril yang dirakam ketika dia diserbu pihak media di lokasi penggambaran telefilem Cinta Mat Semperit di Ampang, Selangor semalam.


Apabila dituduh tentang sesuatu perkara yang kita lakukan, maka secara semula jadi kita akan menafikan mahupun mengiyakan perkara tersebut. Namun, antara salah satu jawapan tersebut tidak pernah terpacul dari mulut anda. Boleh komen?
Saya akan jawab persoalan tersebut pada Jumaat kelak. Saya sendiri masih dalam keadaan terkejut kerana tidak pernah dikerumuni pihak media seramai ini. Berdiam diri tidak bermakna ia benar atau salah. Saya rasa biarlah saya tenang dan justeru dapat menjawab segala persoalan yang diberi.
Saya juga punya hak untuk berdiam diri. Kelak hari Jumaat, biarlah Wawa juga terangkan tentang dirinya.
ZULHASMI: Kami akan bentangkan kesemuanya pada Jumaat kelak.
Adakah Aeril berjumpa Wawa dan berbincang dengannya tentang kontroversi ini?
AERIL: Dia ada menelefon saya dan beritahu saya ketika cerita ini keluar.
Mengapa Aeril tidak berterus terang dan ceritakan kesemuanya awal-awal. Mengapa perlu menunggu Wawa jika perkara ini tidak benar. Mengapa perlu tunggu lama?
Sidang akhbar tersebut akan direkod untuk kegunaan mahkamah. Oleh kerana itu sidang akhbar diadakan di tempat khas kelak. Apa yang datang dari mulut seseorang itu, akan dijadikan bahan bukti.
SHAHRIMAN: Kami cabar kepada pihak berkenaan, sesiapa yang punya bukti dokumen atau sebagainya pada hari tersebut, sila bawa. Bukan mencabar Aeril tidak bersalah. Ada pihak yang menyusun strategi untuk menjatuhkan mereka.


Hujan nafi bermasalah, bersiap sedia ke DFP

Posted: 08 Oct 2013 05:41 PM PDT


SELAKU ketua, Noh menafikan yang Hujan sedang bergolak dengan isu dalaman.


BAND Hujan tidak pernah kering daripada kontroversi. Terbaharu dalam ruangan pojok sebuah akhbar mingguan, band popular itu dikatakan sedang dilanda masalah dalaman.
Benar atau tidak, hanya anggota kumpulan itu yang terdiri daripada Noh (vokal), Dimas (keyboard), AG Coco (gitar), Izzat Uzaini (bass) dan Ambobzeela (dram) mampu menjawabnya.
Noh yang kini menubuhkan band baharu yang diberi nama Da Vagabons menafikan Hujan sedang dilanda ribut. Meskipun masing-masing mempunyai projek sampingan, kembara Hujan masih berjalan seperti biasa.
"Saya tidak tahu nak beri komen apa sebab kami memang tidak ada masalah seperti yang dikatakan. Kalau saya ada masalah, kenapa kami masih ada persembahan pentas bersama," kata Noh ketika dihubungi.
Tegasnya, sebagai pemuzik bukan satu perkara baharu untuk setiap anggota kumpulan melibatkan diri dengan projek berasingan daripada band yang asal.
"Bukan saya seorang sahaja yang ada projek sampingan, semua orang pun ada. Cuma apabila kami berkumpul sebagai Hujan, kreativiti yang dikeluarkan secara berlima.
"Kami berlima mempunyai ciri yang tersendiri sebab itu bila dengar muzik Hujan kadangkala seperti lagu balada dan ada kalanya rock," jelasnya.
Tambahnya, sesuatu yang mengarut apabila cerita band Hujan bermasalah disebarkan, walhal mereka merupakan band rock pertama yang akan menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas pada 2 Disember depan.

HUJAN akan menjadi band rock pertama yang diundang beraksi di pentas berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada 2 Disember depan.


"Kalau kami bermasalah, kami tidak akan mengadakan persembahan yang bagi saya cukup besar di sebuah tempat yang amat berprestij.
"Tidak lama lagi kami akan mula mengadakan latihan untuk konsert. Apa yang saya boleh katakan, konsert ini merupakan acara terbesar untuk Hujan tahun ini. Harap peminat semua akan turun padang memberi sokongan," katanya.
Seorang lagi anggota Hujan, AG Coco juga menafikan kumpulan mereka sedang dilanda masalah. Bagaimanapun, dia tidak menafikan anggota Hujan kini sudah jarang bertemu kerana terikat dengan komitmen masing-masing.
"Kami tidak ada masalah, masih bersama apabila ada persembahan. Cuma sekarang, Dimas pulang ke Indonesia untuk menguruskan syarikatnya di sana.
"Noh sibuk dengan band baharunya, jadi kami beri ruang kepadanya berekspresi diri bersama Da Vagabons. Saya pula sibuk dengan penerbitan album beberapa orang penyanyi. Sebab itu, kami jarang berjumpa tetapi itu bukan bermakna kami ada masalah, cuma terlalu sibuk," akuinya.
Beritahu AG, dalam bulan ini, Hujan akan memulakan produksi untuk album terbaharu mereka yang berkonsep akustik jazz atas permintaan peminat.
"Bulan ini akan mula sibuk dengan album baharu, kemudian kami akan mula dengan latihan konsert di Dewan Filharmonik Petronas yang akan diadakan pada Disember depan.
"Kesibukan kerja kami membuatkan kami tidak ada ruang bertemu tetapi Hujan masih dan akan terus bersatu sebagai sebuah band," terang AG.


Kes rompak staf AirAsia ditangguh

Posted: 08 Oct 2013 05:38 PM PDT


AZIZEE dan Mohamad Faiz Amirol berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang semalam.


AMPANG - Mahkamah Sesyen di sini semalam menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes seorang pemandu bas sekolah dan rakannya yang dituduh merompak eksekutif syarikat penerbangan AirAsia yang maut akibat dilanggar secara tidak sengaja oleh orang awam.
Hakim Manira Mohd. Nor menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi memohon satu tarikh lain bagi mendapatkan laporan analisis rakaman televisyen litar tertutup.
Noor Fadzlin juga memaklumkan, semua dokumen berkaitan kes termasuk gambar kecederaan mangsa, keterangan tertuduh serta gambar rajah tempat kejadian telah diserahkan kepada pihak pembelaan.


Lelaki hadapi lima tuduhan jenayah seksual

Posted: 08 Oct 2013 05:37 PM PDT

MALEK


IPOH - Seorang bekas mekanik didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini semalam atas lima pertuduhan melakukan jenayah seksual membabitkan empat mangsa pada bulan lepas.
Malek Ridzuan Isroll, 27, dari Batu Gajah, yang berdepan dua pertuduhan cuba merogol, satu pertuduhan cuba meliwat serta masing-masing satu pertuduhan merogol dan meliwat, mengaku tidak bersalah.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa cuba merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di tepi jalan tanah adat Mendaling di belakang Kelab Golf Clearwater Sanctuary, Batu Gajah dekat sini pada pukul 9.50 malam 11 September lepas.
Hakim Noor Hayati Mat membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes itu.


Curi RM2, dijel dua tahun

Posted: 08 Oct 2013 05:24 PM PDT



KOTA BHARU – Gara-gara mencuri wang RM2 daripada tabung masjid, seorang penganggur terpaksa meringkuk di penjara selama dua tahun dan denda RM5,000 selepas mengaku salah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Hadi Hamzah (gambar), 36, selepas tertuduh mengaku mencuri wang tabung dengan menggunakan lidi.
Sekiranya gagal membayar denda, hukuman penjara Mohd. Hadi akan ditambah enam bulan lagi.


KL Gangster 2 kutip RM3.3 juta dalam masa lima hari

Posted: 08 Oct 2013 05:23 PM PDT


YUSOF (tengah) bergambar bersama 10 penerbit filem yang memberi sokongan kepada filem KL Gangster 2 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof meraih kutipan melebihi RM3.3 juta selepas lima hari ditayangkan di pawagam.
Penerbit filem itu, Datuk Yusof Haslam berkata, beliau bersyukur kerana ia membuktikan penonton masih memberi sokongan kepada filem-filem terbitan syarikatnya, Skop Productions Sdn. Bhd.
"Saya yakin ini akan membakar semangat saya dan Syamsul untuk menghasilkan filem pada masa akan datang," katanya.


Harga rumah semakin tidak masuk akal

Posted: 08 Oct 2013 03:45 PM PDT



RATA-RATA pelajar lepasan institusi pengajian tinggi yang berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian pasti menyasarkan untuk membeli kereta terlebih dahulu.
Ada antara mereka yang memasang angan-angan untuk menukar kenderaan baharu selang beberapa tahun tanpa ada perancangan untuk melaburkan wang simpanan ke atas pembelian hartanah.
Jika adapun lebihan wang simpanan, kebanyakan mereka menghabiskan wang tersebut untuk perbelanjaan perkahwinan bagi memulakan fasa baharu dalam kehidupan.
Pembelian aset seperti rumah terpaksa diletakkan di tangga bawah kerana harganya yang semakin melonjak dari tahun ke tahun. Bayangkan, nilai bagi seunit apartmen tiga bilik tidur dan dua bilik air berdekatan pusat bandar adalah sekitar RM245,000.
Nilai tersebut dianggap amat membebankan bagi bagi pelajar lepasan diploma dan ijazah yang kebiasaannya memperoleh bayaran gaji antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan. Walhal, dengan gaji sebanyak itu, mereka hanya layak memiliki rumah berharga di bawah RM150,000 seunit.
Realiti kehidupan
Hakikat memedihkan itu membuatkan golongan tersebut tidak memasang angan-angan untuk memiliki rumah pertama mereka sendiri. Perkara tersebut diakui oleh pasangan muda, Mohd. Abhar Haniff Jaafar, 24, dan isterinya, Eyzzatul Eylia Yunos, 24.
"Bukannya kami tidak mahu tinggal di rumah yang lebih besar tetapi melihat kepada harga rumah teres yang tidak masuk akal, kami pendamkan sahaja impian tersebut.
"Kalau begini harga rumah di Kuala Lumpur, 15 tahun lagi pun belum tentu kami mampu membelinya," ujar Mohd. Abhar Haniff yang kini menetap bersama isterinya di Ukay Perdana, Selangor.
Pasangan tersebut sebenarnya bertuah kerana rumah yang didiami merupakan pemberian orang tua mereka.
KOS sara hidup yang meningkat memaksa Mohd. Abhar Haniff dan Eyzzatul Eylia memastikan perbelanjaan bulanan diurus dengan bijak.


Kos sara diri yang tinggi di Kuala Lumpur memaksa pasangan berkenaan mencari alternatif lain untuk meneruskan hidup. Eyzzatul Eylia yang merupakan graduan dalam bidang seni bina landskap, berjinak-jinak dengan dunia perniagaan kek yang kini menjadi punca pendapatan utamanya.
Bagi mereka berdua, untuk mendapatkan rumah daripada hasil titik peluh sendiri di lokasi yang strategik iaitu di sekitar Lembah Klang merupakan satu cabaran besar yang perlu ditangani.
"Kami berdua ada meninjau beberapa unit rumah di sekitar Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Agak memeranjatkan apabila mengetahui harga bagi sebuah rumah jenis apartmen studio yang mempunyai satu bilik bernilai RM100,000," kata Mohd. Abhar Haniff yang juga mengambil jurusan sama dengan isterinya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tambahnya, bagi pasangan muda yang baru habis belajar seperti kami, harga rumah yang mampu dibeli mungkin tidak melebihi RM200,000.
Rumah mampu milik secara mudahnya disifatkan sebagai rumah yang mampu dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana dan pada masa sama pendapatan tersebut mencukupi untuk perbelanjaan kos sara diri yang lain.
Kedudukan Malaysia
Menurut laman web Panduan Hartanah Antarabangsa (Global Property Guide), harga rumah di Kuala Lumpur dikelaskan sebagai yang termahal di Malaysia dengan purata harga sebuah rumah bernilai RM497,535. Ia diikuti oleh Sabah dan Selangor dengan harga purata masing-masing bernilai RM382,414 dan RM372,499 seunit.
Nilai tersebut membuatkan Malaysia berada di tangga ke-10 bagi rumah termahal di Asia selepas Filipina. Menurut laporan tersebut, harga purata seunit rumah di Malaysia mencecah RM8,360 bagi setiap satu meter persegi pada tahun lalu.
Sementara itu, laporan laman web Numbeo yang dibuat dari tahun 2009 hingga 2013 menunjukkan Kuala Lumpur sebagai bandar ke-188 daripada 362 bandar utama dunia yang mampu didiami.
Numbeo merupakan laman web yang menyimpan data mengenai negara di seluruh dunia meliputi aspek kos sara hidup, penjagaan kesihatan, keadaan lalu lintas, kadar jenayah dan pencemaran alam sekitar.
Prosedur ketat
Seorang pekerja swasta, Mohd. Syukri Yusof, 28, berkata, definisi rumah mampu milik bagi beliau adalah rumah yang mampu dimiliki oleh golongan muda ataupun golongan mempunyai pendapatan tetap.
"Rumah mampu milik sama ada daripada jenis pangsapuri, kondominium atau rumah teres yang mempunyai ciri-ciri asas seperti tiga bilik tidur haruslah tidak melebihi harga RM150,000 seunit.
"Namun, agak mustahil untuk mendapatkan rumah dengan harga tersebut lebih-lebih lagi di lokasi yang berhampiran dengan pusat bandar. Jika ada, ia mungkin terletak di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai kemudahan dan akses yang baik," katanya yang berasal dari Kemaman, Terengganu.

PROJEK pembinaan kediaman di kawasan bandar terus pesat membangun tetapi tidak memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.


Mohd. Syukri sempat berkongsi pengalamannya membeli rumah pada awal tahun ini. Menurut beliau, proses untuk membeli rumah diakui sukar kerana terpaksa memenuhi beberapa prosedur pinjaman bank yang agak merumitkan.
Ia termasuk menyediakan dokumentasi lengkap mengenai jawatan dan pendapatan bulanan, penyata bank dan komitmen bulanan seperti pembiayaan kenderaan dan pinjaman pendidikan.
Baginya, pendapatan yang diperoleh disifatkan sekadar cukup-cukup makan ditambah dengan komitmen bulanan yang lain.
"Alhamdulillah, ahli keluarga sangat membantu dalam proses pembelian rumah kerana pihak bank membenarkan pinjaman dibuat dengan menggunakan dua nama, yang mana saya terpaksa menggunakan nama saya dan kakak.
"Kondominium yang dibeli berkeluasan 137 meter persegi dengan nilai RM416,850 dan terletak di Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur," katanya yang mengakui terasa terbeban dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM700 sebulan buat masa ini.
Mohd. Syukri berkata beliau tiada pilihan lain selain terpaksa membayar pinjaman sebanyak RM1,700 sebulan apabila rumah idamannya siap sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan.
Ujarnya, pelbagai kaedah digunakan bagi mengurangkan beban hutang yang ditanggung setiap bulan seperti terpaksa menggunakan wang simpanan.
"Kos sara hidup yang semakin meningkat juga menjadi salah satu punca golongan berpendapatan rendah tidak dapat membeli rumah sendiri.
"Itu yang menyebabkan ada antara rakyat terpaksa menyewa rumah secara berterusan atau menanggung hutang rumah sehingga akhir hayat," Mohd. Syukri berkongsi pendapat.


Tikus besar ejen forensik

Posted: 08 Oct 2013 03:45 PM PDT


SALAH satu kelemahan rodensia ialah sifat pemalunya menyebabkan ia sukar menyesuaikan diri di tempat baharu dan asing.


PASUKAN polis Belanda mempunyai kaedah tersendiri dalam mengurangkan kadar jenayah di negara itu. Ia termasuk melatih haiwan rodensia untuk dijadikan agen forensik pasukan itu terutama dalam mengesan sebarang aktiviti jenayah yang mencurigakan.
Derrick, Thomson dan Thompson, Magnum dan Poirot, antara nama-nama yang diberikan terhadap detektif 'istimewa' itu bukan sekadar membantu pihak polis untuk membanteras jenayah jalanan malah ia turut menjimatkan masa dan wang.
"Kami merupakan pasukan polis pertama di dunia yang melatih rodensia untuk membantu penyiasatan," kata Mark Wiebes, yang mengetuai pusat inovasi pasukan polis Belanda.
Setiap seekor rodensia itu berharga sekitar AS$13 (RM41) dan secara teorinya ia boleh diajar untuk mengesan bau dadah dan serbuk letupan. Dibandingkan membeli dan melatih seekor anjing pengesan, kosnya mencecah sehingga AS$13,650 (RM43,647).
Tempoh untuk melatih anjing pengesan juga agak panjang iaitu sehingga lapan bulan, biarpun kemampuannya jauh lebih baik berbanding rodensia.
Haiwan-haiwan itu dikurung dalam sangkar di sebuah bilik gelap dan kecil di Rotterdam sejak 2011 berbanding beberapa bangunan lain berhampirannya yang dijadikan tempat latihan anjing pengesan dan kuda polis.
Rodensia belajar lebih pantas dalam gelap, sesuai dengan sifatnya yang aktif pada waktu malam.
"Mereka perlu dilatih antara 10 hingga 15 hari untuk mengesan bau-bauan tertentu," kata Monique Hamerslag, salah seorang anggota polis wanita yang bertanggungjawab terhadap projek itu kepada AFP.
Lebih cekap
Tangannya pantas mengeluarkan rodensia yang digelarnya Derrick dari sebuah sangkar besar ke sangkar kecil yang menjadi tempat binatang itu bertugas.
"Lebih bosan kehidupan seekor rodensia, lebih cekap ia menjalankan tugasnya," kata Hamerslag, yang mendapati rodensia jantan lebih baik melakukan tugas-tugas itu berbanding rodensia betina.
Terdapat empat bola penapis teh digantung pada bahagian sangkar berkenaan, satu daripadanya mengandungi serbuk letupan. Derrick, seekor rodensia berwarna perang gelap memerlukan masa sekitar dua saat sebelum berjaya mengesannya melalui muncungnya.
Sebaik sahaja selesai melakukannya, ia akan dipanggil melalui bunyi 'klik' dan biji bunga matahari sebagai ganjaran.

KOS melatih seekor rodensia sebagai haiwan pengesan jauh lebih murah berbanding seekor anjing.


Mengesan serbuk letupan sangat penting bagi ahli forensik mencari bukti dan suspek yang terlibat dalam sesuatu kejadian tembak-menembak.
Ujian makmal untuk mengenal pasti kesan serbuk letupan melibatkan kos tinggi dan adakalanya sehingga dua jam terutama apabila melibatkan ramai suspek.
Biarpun bukti yang ditunjukkan rodensia tidak boleh dibawa ke mahkamah, namun ia memberi ahli forensik petunjuk tentang pakaian yang perlu diuji terlebih dulu.
Umumnya, pasukan polis Belanda hanya boleh menahan seseorang suspek dalam tempoh beberapa jam sahaja, oleh yang demikian haiwan itu dapat menghalang mereka daripada melepaskan suspek yang disyaki terlibat.
Hamerslag mengembangkan idea itu dalam tesisnya ketika menyertai akademi pasukan polis yang diinspirasikan daripada sekumpulan pekerja bantuan yang menggunakan rodensia untuk mengesan periuk api di Tanzania.
Pelbagai ujian yang dilakukan membuktikan haiwan itu sangat membantu bidang forensik.
Wiebes berharap ia mampu melakukan tugas lebih besar seperti menghidu lokasi jenayah sebenar pada tahun hadapan, biarpun dia mengakui ia agak mustahil untuk dicapai dalam tempoh berkenaan.
Masalah utama
Salah satu masalah utama haiwan itu ialah sifat pemalunya. Ia enggan diletakkan di dalam situasi baharu dan asing seperti lokasi jenayah yang memerlukannya mencari mayat atau dadah yang disorokkan.
"Cara terbaik ialah membawa bau kepada rodensia dan bukan sebaliknya," kata Hamerslag. "Ini bermakna kita perlu mengambil bahan bukti dan membawanya ke sini."
Rodensia tidak mungkin mengambil peranan anjing polis, tegasnya, tetapi haiwan tersebut mempunyai kemahiran dan teknik yang tersendiri.
"Anjing adalah pemangsa semula jadi dan tidak takut untuk meneroka tempat yang asing baginya," kata Wiebes.
"Bagaimanapun, anjing tidak boleh hidup seperti tikus, menghabiskan sepanjang masa dalam ruang kecil dan tertutup menyebabkan ia cepat bosan."


Cetusan emosi dalam karya seni

Posted: 08 Oct 2013 03:43 PM PDT

DEDIKASI Husin kepada arwah bapanya jelas dilihat dalam lukisan Nota dan Yasin Untukmu.


BULAN Mac lalu, negara digemparkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas-pengganas dari Kepulauan Sulu, Filipina. Peristiwa berdarah itu telah mengorbankan nyawa 10 orang anggota keselamatan Malaysia sehingga memaksa campur tangan daripada kerajaan Malaysia dan Filipina.
Ia sedikit sebanyak telah mengganggu ketenteraman masyarakat Kampung Tanduo yang selama ini hidup dalam harmoni dan aman tanpa sebarang kekacauan. Memori itu meninggalkan trauma kepada mereka yang terlibat lantas memaksa kawalan rapi dan terperinci terus dilakukan bagi mengelakkan ia berulang sekali lagi.
Peristiwa itu telah mencetus ilham kepada pelukis kontemporari tempatan, Ali Nurazmal Yusoff bagi menzahirkannya dalam sebuah lukisan minyak yang bertajuk Kanak-kanak Perempuan dan Harimau Dalam Air.
Beliau terbang ke Semporna, Sabah bagi melihat sendiri kehidupan selepas berlakunya pencerobohan tersebut. Ali Nurazmal terkesima dengan keindahan dan keramahan penduduk yang hidup secara sederhana dan tidak terkejar-kejar dengan arus kemajuan seperti yang biasa dilihat di kawasan bandar.
Masyarakat kampung masih menggunakan telefon awam sebagai satu alat komunikasi dan ia menarik perhatian Ali Nurazmal lantas mengabadikannya dalam karya seni itu. Satu lagi subjek lukisan itu ialah seekor harimau yang berada dalam posisi sedia untuk menerkam mangsanya.
"Harimau tersebut sebagai perlambangan kepada kewujudan anasir-anasir luar yang cuba mengganggu ketenteraman penduduk kampung. Ia menimbulkan persoalan bagaimana kita masih tidak berasa selamat walaupun berada dalam tempat sendiri," ujarnya ketika ditemui di Expo Seni Malaysia 2013 yang berlangsung di Menara Matrade baru-baru ini.
Ali Nurazmal yang merupakan pelukis di bawah Galeri Core Design, Subang Jaya mempamerkan karya bersama beberapa rakan-rakannya seperti Husin Hourmain, Suhaimi Fadzir dan Mohd. Noor Mahmud.
Nota dan Yasin Untukmu merupakan karya yang menjadi dedikasi sang pengkarya kepada ayahanda tercinta. Husin Hourmain yang terkenal sebagai pelukis kaligrafi kontemporari, menjadikan huruf Ya dan Sin sebagai subjek kepada lukisannya.
"Surah Yasin mempunyai pertalian yang erat dalam budaya kita. Ia merupakan antara surah penting dalam al-Quran dan sering dijadikan pengantara kepada orang yang telah pergi atau dibacakan ketika seseorang dalam keadaan nazak," ujarnya.

KONFLIK yang berlaku di Lahad Datu, Sabah menjadi inspirasi kepada pelukis muda, Ali Nurazmal.


Berukuran 365 x 213 sentimeter, lukisan itu turut menggunakan cop imigresen yang diambil daripada pasport milik arwah bapanya, yang sering ke luar negara atas tuntutan kerja sebagai seorang wartawan. Cop tersebut masih menggunakan nama Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1960-an.
Menurutnya, penggunaan cop tersebut sebagai perlambangan kepada keadaan beberapa isu semasa yang berlaku pada hari ini. Dia cuba menyentuh isu-isu seperti hak orang Melayu, kontrak sosial dan kuasa kolonial. Beliau cuba menimbulkan persoalan bagaimana populasi Melayu boleh terkesan jika berlakunya pembubaran dalam kontrak tersebut.
Suhaimi Fadzir pula mempamerkan kerja seni daripada siri Merdekanya, Harimau. Beliau cuba membawa persoalan tentang kepentingan maruah kebangsaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Harimau menjadi fokus utama dalam karyanya di samping beberapa terapan kecil haiwan tersebut di sekeliling subjek. Pisau cukur dilekat sekitar lukisan bersama patung-patung kecil askar. Lampu neon melingkari lukisan harimau utama yang digunakan sebagai palet warna.
Suhaimi, yang baru membuat pameran di galeri berprestij, Galeri Saatchi, London, England, menggambarkan harimau sebagai satu persamaan kepada masyarakat Orang Asli di Timur Malaysia. Beliau telah melakukan beberapa kajian mengenai kehidupan pribumi itu dan mendapati mereka berasa telah dicerobohi oleh elemen-elemen luar.
Habitat mereka telah terjejas melalui pembangunan, masalah pembalakan dan pemburuan haram. Situasi itu juga memberi kesan kepada haiwan-haiwan hutan seperti harimau sehingga mengganggu kawasan hidupan mereka. Ia mengakibatkan harimau-harimau tersebut menyerang penempatan Orang Asli dan mengancam kehidupan seharian mereka.


Softlan tingkat kesedaran kanser payudara

Posted: 08 Oct 2013 03:42 PM PDT


HAZLIN (dua dari kanan) bersama tetamu jemputan membuat gimik pelancaran kempen amal kanser payudara Softlan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.


UMUM mengetahui kanser payudara merupakan pembunuh nombor satu wanita di negara ini.
Justeru, kempen-kempen kesedaran mengenai penyakit itu penting dalam memberi maklumat untuk melakukan pemeriksaan payudara, sekali gus mengurangkan risiko menghidapinya.
Jenama pelembut fabrik terkenal, Softlan juga tidak terkecuali memainkan peranan dalam memupuk kesedaran ramai mengenai perkara itu menerusi penganjuran kempen amal kanser payudara Softlan sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia.
Bertemakan Because Caring Counts, kempen amal ini bertujuan mengumpulkan sejuta ikrar dan sumbangan RM100,000 sebagai tanda sokongan kepada promosi kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan awal kanser payudara.
Setiap sumbangan terkumpul akan disalurkan kepada beberapa organisasi terlibat seperti Majlis Kanser Nasional, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia bagi menyokong inisiatif menggalakkan pemeriksaan awal mengesan penyakit berkenaan.
Pengurus Besar Colgate-Palmolive Malaysia, Singapura dan Brunei, John Hazlin berkata, kempen itu memberi tumpuan terhadap menyatukan kepentingan sokongan, sikap mengambil berat dan perkongsian pengalaman dalam menyebarkan kepentingan pengesanan awal kanser payudara.
Pada masa yang sama, katanya, ia turut menggalakkan kaum wanita daripada segenap usia untuk melakukan pemeriksaan sama ada secara sendiri atau berjumpa doktor.
"Sejak dari dahulu sehingga sekarang, wanita memainkan peranan penting dalam masyarakat. Sumbangan mereka tidak ternilai dalam sektor pekerjaan, kekeluargaan, pendidikan tanpa sempadan dan sebagainya.
"Justeru, melalui kempen ini kami berharap masyarakat lebih prihatin terhadap permasalahan ini dan sentiasa menyokong golongan wanita yang melalui ujian pengesanan atau rawatan kanser payudara," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Video khas
Selari dengan kempen itu, jelas Hazlin, Softlan turut memperkenalkan sebuah video khas yang memaparkan kesan penyakit itu terhadap individu, keluarga dan sahabat handai.
"Ia secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka untuk berkongsi kasih sayang, sokongan dan kata-kata semangat kepada wanita-wanita paling penting dalam kehidupan setiap individu," ujarnya.
Untuk membantu menggalakkan pengumpulan ikrar, Softlan mengetengahkan beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan orang ramai bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap kempen amal ini.
Antaranya, membuat pembelian mana-mana pek Softlan sepanjang bulan Oktober dan November ini, mengunjungi laman Facebook Softlan, www.facebook.com/SoftlanBCC, menonton video dan berkongsi video tersebut dengan rakan-rakan ataupun memuat naik gambar.
Selain itu, sokongan ikrar juga boleh dilakukan melalui 'Tweet' mesej kempen di laman Twitter, #SoftlanBCC dan menandakan infografik mengenai teknik pemeriksaan sendiri di laman Pinterest.
"Softlan ingin menyebarkan mesej tentang keprihatinan melalui pengumpulan ikrar tersebut. Kami ingin membuktikan bagaimana satu tindakan berkongsi yang mudah mampu sampai kepada jutaan orang, justeru, menyelamatkan jutaan nyawa," katanya.


Aeril Zafrel Jawab Kontroversi Nikah Wawa Zainal Jumaat Ini

Posted: 07 Oct 2013 11:35 PM PDT


Aeril akan membuat sidang media khas pada Jumaat ini selepas solat Jumaat bagi meleraikan segala persoalan mengenai hubungannya dengan Wawa.
KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai perkahwinan rahsia Aeril Zafrel dan Wawa Zainal masih lagi menjadi teka-teki apabila aktor itu enggan mengesahkan mengenai isu tersebut.
Aeril, yang ditemui di set penggambaran telefilem Kecoh Kuih Semperit di Tasik Ampang Hilir di sini pada Selasa berkata, dia akan membuat sidang media khas pada Jumaat ini selepas solat Jumaat bagi meleraikan segala persoalan mengenai hubungannya dengan Wawa.
"Saya tidak boleh komen buat masa ini dan akan membuat sidang media khas pada Jumaat ini bersama Wawa.
"Dan segala persoalan akan dijelaskan pada masa itu, tetapi bukan sekarang. Sidang media dibuat supaya sebarang kenyataan tidak bercanggah," katanya kepada wartawan.
Pada Ahad lalu sebuah akhbar menyiarkan laporan eksklusif kononnya Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari, 25, sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Wawa Zainal, 22, pada 4 Februari lalu secara senyap.
Pihak media menyerbu Aeril yang turut ditemani oleh pengurus dan peguamnya semasa penggambaran telefilem Kecoh Kuih Semperit di Tasik Ampang Hilir pada Selasa.
Hasil perkahwinan itu mereka dikatakan telah mendapat anak pada 24 Ogos lalu yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
Sebelum ini Wawa dikatakan pulang ke negeri kelahirannya di Sabah untuk berubat kononnya akibat terkena buatan orang.
Ketika ditemui media pada Selasa Aeril bersikap terbuka memberi kerjasama untuk berhadapan dengan media selepas gagal dihubungi sebelum ini.
Malah ketika pelbagai persoalan diterjah, Aeril yang ditemani pengurusnya, Shahirman Wahab dan peguam, Zulhasmi Zakaria tetap menjawab soalan dengan tenang.
Aeril memberitahu dia menggunakan khidmat peguam untuk mendapat nasihat mengenai isu tersebut.
Dalam pada itu Shahirman berkata pada sidang media itu nanti pihaknya akan merakam segala sesi soal jawab untuk dijadikan bahan bukti bagi memudahkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung kontroversi itu.
"Kami percaya, isu ini ditimbulkan kerana ada pihak lain sengaja mahu mengenakan kami. Jadi, kami akan rakamkan segala yang akan berlaku pada sidang media itu nanti," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved