ads

Isnin, 7 Oktober 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Syafiq Kyle Jelaskan Hubungan Dengan Jue Aziz

Posted: 07 Oct 2013 08:55 PM PDT


Syafiq menjelaskan hubungannya dengan pelakon Jue Aziz sekadar teman rapat.
PETALING JAYA: Pelakon baharu Syafiq Kyle mengaku mempunyai hubungan rapat dengan aktres Jue Aziz dan tidak menolak gosip mereka pernah dilihat keluar bersama.
Bagaimanapun Syafiq atau nama sebenarnya Syafiq Shamim Abdul Razak, 21, berkata, hubungan berkenaan tidak lebih daripada seorang sahabat.
"Saya dengan dia (Jue) memang berkawan. Benar kami pernah keluar bersama dan perkenalan kami bermula selepas saya berkawan dengan pengurus peribadinya.
"Saya rasa tidak ada apa-apa masalah pun dengan hubungan itu kerana kami hanyalah teman rapat," katanya kepada mStar Online.
Baru-baru ini, Syafiq dikatakan sering keluar dengan Jue atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz, 30.
Malah kedua-dua mereka saling memuatkan beberapa foto di dalam laman sosial Instagram.
Foto Syafiq dan Jue yang dimuatkan dalam Instagram milik aktor itu.
Dalam pada itu Syafiq berharap para peminatnya tidak memberi pandangan negatif terhadap pengakuannya itu walaupun melihat mereka keluar bersama selepas ini.
Selain itu, Syafiq juga meminta agar diberi sedikit ruang untuk tidak terlalu berkongsi kisah peribadinya kepada umum sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti seni.
Dalam perkembangan lain, Syafiq kini masih sibuk dengan penggambaran drama Tanah Kubur selain menanti untuk tatangan telefilem untuk sambutan Hari Raya Aidiladha iaituKampungku Aidiladha.
Dia juga sibuk dengan rancangan Liga Lawak Superstar yang disiarkan setiap Ahad, pukul 9 malam di TV3.
Masih lagi baharu dalam industri lakonan, Syafiq gembira apabila penerbit drama amat menyenanginya dan sehingga kini dia sering menerima pelbagai tawaran lakonan.
"Alhamdulillah, saya masih lagi baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Terus terang, saya memang tidak dikenali tetapi tawaran lakonan ada saja yang datang.
"Dan saya ambil peluang tawaran berlakon itu dengan mengasah bakat saya untuk menjadi lebih baik. Insya-Allah lakonan saya dapat diterima ramai," tuturnya.

'Saya Tiada Masalah Dengan Wartawan' - Iqram Dinzly

Posted: 07 Oct 2013 08:55 PM PDT


Iqram mengakui tidak pernah mempunyai masalah dengan mana-mana wartawan sepanjang terlibat sebagai artis.
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan pihak media dan menyifatkan hubungannya dengan para wartawan sebagai baik sepanjang bergelar artis.
Iqram, 32, berkata, walaupun menyedari ada segelintir wartawan yang tidak senang dengannya, namun dia sentiasa bersikap profesional ketika bertemu di majlis-majlis hiburan.
"Setakat ini saya tidak mempunyai masalah dengan mana-mana wartawan dan saya sentiasa menghormati mereka yang banyak membantu memperkenalkan saya dalam bidang ini.
"Malah jika bertemu di majlis-majlis hiburan saya akan memastikan akan menegur dan bersalaman dengan wartawan tidak kira saya kenal atau pun tidak," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Iqram melalui laman Instagram miliknya pada Ahad lalu meluahkan rasa kecewa terhadap penulis gosip sebuah akhbar yang menyelar sikapnya menegur penulisan sebuah akhbar pada minggu sebelum itu mengenai perilaku seorang artis wanita.
Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden berkenaan, Iqram berkata, status tersebut bukan ditujukan kepada mana-mana wartawan sebaliknya hanya kepada penulis ruangan pojok itu sahaja.
Jelas Iqram, sebagai seorang manusia dia mengakui terguris hati dengan kenyataan penulis tersebut kerana isu yang dibangkitkan hanya perkara kecil.
"Menegur itu tidak salah tetapi biarlah dengan cara yang betul dan saya rasa sesiapa pun akan terasa hati apabila diselar begitu dan tulisan penulis itu secara terang-terangan menghentam saya tanpa mengetahui situasi sebenar.
"Apakah maksud penulis itu artis perlu 'tunduk' dengan wartawan kerana bimbang kena 'carut' dan kata-kata begitu tidak sepatutnya ditulis. Siapakah dia untuk menentukan rezeki saya dan artis lain selain Allah?," soalnya.
Tambah Iqram, penulis ruangan gosip itu sengaja memperbesar-besarkan isu tersebut sedangkan ia hanya perkara remeh sahaja.
Sementara itu, mengulas mengenai status tersebut yang mendapat perhatian daripada para peminatnya, Iqram berkata, dia tidak berhak untuk menghalang mereka bersuara untuk meluahkan pendapat mengenai insiden itu.

Yusof Haslam Tidak Pertikai Zizan & Aaron Enggan Promosi Filem

Posted: 07 Oct 2013 08:54 PM PDT


Syamsul Yusof, Yusof Haslam dan Syafiq Yusof.
PETALING JAYA: Pihak produksi tidak pernah mempertikaikan komitmen yang diberikan oleh dua pelakon utama filem KL Gangster 2 iaitu Zizan Razak dan Aaron Aziz dalam mempromosikan karya itu.
Produsernya Datuk Yusof Haslam berkata, kedua-dua pelakon tersebut telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sepanjang proses pembikinan filem berkenaan.
"Tiada masalah bagi pihak kami jika mereka tidak turun promosi kerana kami faham komitmen mereka berdua.
"Lagi pula Zizan kini sibuk dengan mengacara program Akademi Fantasia 2013 dan Aaron kini berada di Afrika Selatan. Mereka sudah beritahu saya awal-awal tentang jadual kerja mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Yusof berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar Ahad lalu tentang komitmen Zizan dan Aaron Aziz yang tidak muncul dalam setiap kali majlis yang dianjurkan untuk promosi filem tersebut.
Antara babak dalam KL Gangster 2 yang melibatkan Zizan Razak dan Aaron Aziz.
Dia tidak pernah terasa hati dengan kedua-dua aktor itu dan memahami tanggungjawab mereka dengan kerja dan produksi lain.
"Saya faham tugas artis seperti mereka dan langsung tidak berkecil hati jika mereka tidak turun dalam rangka promosi.
"Cerita ini tersebar mungkin ada kru atau pelakon lain yang menganggap ia tidak adil bagi mereka untuk mengadakan promosi tetapi dua artis itu tidak ikut sama. Bagi saya ia tidak menjadi masalah," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang Syamsul selaku pengarah filem itu, Yusof berkata, anaknya sering berhubung dengan ibunya untuk mendapatkan maklumat tentang filem tersebut.
"Dia sekarang tinggal dengan ibu saudaranya dan sering juga balik ke rumah untuk bertemu saya dan ibunya. Saya selalu ingatkan dia berapa juga kutipan yang dapat tidak sama dengan nilai kasih sayang kami sekeluarga terhadapnya," kata Yusof.

Maizurah Hamzah Jadi Penulis Buku Kanak-Kanak

Posted: 07 Oct 2013 08:53 PM PDT


Maizurah sudah menyimpan hasrat untuk bergelar penulis buku sejak 10 tahun lalu.
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Maizurah Hamzah tidak pernah melupakan bidang seni walaupun dia jarang dilihat muncul di mana-mana drama ataupun program televisyen.
Maizurah, 40, berkata, dia kini sedang memberikan tumpuan terhadap bidang penulisan yang mengkhususkan kepada buku pendidikan agama untuk kanak-kanak.
"Rindu juga hendak kembali menyanyi dan berlakon tetapi buat masa ini saya lebih selesa bergelar penulis buku dan minat itu telah lama saya pendamkan sejak 10 tahun lalu.
"Buku yang saya tulis lebih berbentuk pendidikan untuk kanak-kanak dari umur empat hingga 14 tahun tentang pemahaman hubungan dengan Allah dan Rasulullah dalam kehidupan seharian," katanya kepada mStar Online.
Maizurah memberitahu dia juga sudah melancarkan buku pertamanya bertajuk Super Zickruntuk kanak-kanak di dalam bahasa Inggeris.
Dalam perkembangan sama, Maizurah walaupun tidak aktif sebagai pelakon dan penyanyi namun itu bukan bermakna bidang hiburan telah dilupakan sebaliknya dia tetap mencari keseimbangan antara pendidikan dan hiburan.
Katanya, dua bidang tersebut mempunyai banyak hubung kait dan hiburan diperlukan dalam menggalakkan kanak-kanak minat membaca.
"Anak saya penggemar komik superhero dan saya terfikir mengapa elemen itu tidak diterapkan dalam konsep Islam seperti ucapan Bismillah dan zikir yang sudah tentu mempunyai kuasa lebih hebat berbanding superhero barat.
"Pendekatan itu juga yang saya gunakan untuk buku pertama kerana ingin memberi kanak-kanak di negara ini sebuah buku yang bercirikan Islam dan mesej baik selain ia dapat menari perhatian mereka," katanya.
Selain menulis dia kini sibuk menguruskan keluarga dan empat anak-anaknya iaitu Zikri Adib Kurnia, 16, Nadira Azra Kurnia, 11, Izz Ilham Kurnia, 6 dan Maira Zahra Kurnia, 3 tahun.
Pelakon yang terkenal dengan filem Jimi Asmara ini berkata, dia berpuas dapat menguruskan sendiri rumah tangganya dan mereka adalah keutamaannya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Maizurah bakal terlibat dalam Festival Kanak-Kanak Islam Malaysia (MICF) pada November depan yang bertujuan untuk memberi penekanan terhadap pendidikan Islam kepada golongan berkenaan.

Aniotek muncul dengan Lagenda Santubong

Posted: 07 Oct 2013 08:51 PM PDT

  • Aniotek muncul dengan Lagenda Santubong

BIDANG animasi mungkin satu bidang yang baharu di Malaysia. Realitinya, animasi sudah bertapak di negara kita sejak tahun 1946.
Bermula dengan penubuhan Unit Filem Malaya (sekarang dikenali sebagai Filem Negara), animasi terus berkembang namun pada skala yang agak kecil.

Sedikit mengenai sejarah penerbitan animasi di negara ini, Hikayat Sang Kancil, merupakan filem pendek pertama yang dihidangkan kepada penonton, pada tahun 1983.

Kemudiannya kita disogok dengan animasi dongeng popular, seperti Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong, Singa Yang Haloba dan bermacam lagi animasi yang disifatkan lebih dekat dengan jiwa masyarakat ketika itu.

Seiring perkembangan teknologi, lahirlah beberapa siri animasi yang semakin popular dan punyai penjenamaan tersendiri seperti Upin & Ipin, Kampung Lat, Boboiboy dan Bola Kampung.

Bukan hanya memenuhi permintaan semata-mata, penerbitan grafik dan animasi juga boleh dijadikan sebagai satu bidang yang cukup lumayan.

Malah ramai anak Melayu terutamanya, menjadikan ia sebagai satu peluang kerjaya yang menjamin masa depan yang cerah.

Begitu juga dengan misi syarikat anak tempatan, Aniotek Sdn Bhd yang merupakan sebuah lagi produksi yang mengeluarkan animasi bermutu seperti Kancil, Rimba Jimba, Jungle Jitters dan banyak lagi.

Bermula dengan minat

Ditubuhkan sejak enam tahun lalu, Aniotek bertanggungjawab untuk mereka web dan juga pembangunan  multimedia.

Beroperasi di Kajang, Selangor, syarikat tersebut diterajui Zahrin Zamzuri bersama tiga rakannya.

Selaku pengarah syarikat, Zahrin atau lebih dikenali sebagai Jakall,33, berkata, dia mula menceburi bidang animasi secara serius apabila melihat potensi yang ada pada bidang tersebut.

"Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk memulakannya. Tapi dengan sokongan teman dan keluarga, perasaan itu dibuang supaya tidak mempengaruhi sebarang keputusan untuk syarikat.

"Tanpa disangka, syarikat ini berjaya berdiri setanding dengan syarikat lain walaupun kami tidak sepopular Upin dan Ipin atau Boboiboy," katanya yang merupakan bekas kartunis majalah tersohor, Ujang.

Tambah Jakall, tidak sia-sia mereka berani untuk mencuba sesuatu yang baru selain bergelar kartunis.

"Lagipun melukis minat kami, ternyata ia bukan penghalang untuk kami berjaya.
"Animasi bukan lagi bidang picisan sebaliknya, ia mampu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa seperti filem tersohor, Life of Pi yang menggunakan khidmat syarikat Malaysia," katanya yang berharap agar syarikatnya turut  dikenali di mata dunia dengan
animasi buatan mereka.

Beri pendapatan lumayan

Jelas Jakall, industri animasi sebenarnya mampu memberi keuntungan malah mampu melangkah lebih jauh dalam bidang tersebut.

Namun jika tersilap langkah, boleh tersungkur dalam hanya sekelip mata.
"Jadi, setiap apa yang kita lakukan harus ada asas dan pengetahuan yang luas.

"Dalam bidang ini pula, kami memulakannya dari bawah baru dapat berdiri dengan kukuh.

"Saya banyak melakukan motivasi atau ceramah dalam bidang animasi agar graduan grafik dapat mempelajari selok-belok bidang ini," katanya.

Sebagai salah seorang perintis dunia animasi, dia mahu generasi akan datang dapat memartabatkan bidang tersebut.

Perkara paling penting, Jakall berkata peluang yang ada seharusnya dihargai sebaik mungkin supaya bidang itu menjadi pilihan generasi muda masa kini.

"Saya berpegang kepada kualiti dan kepuasan hati. Wang bukan perkara utama, sebaliknya perkara yang kita buat harus lakukan dengan sepenuh hati.

"Barulah kita dapat menuai hasil yang terbaik," ujarnya.

Angkat kisah mitos

Bagi memperluaskan empayar syarikat, Aniotek mempertaruhkan animasi terbaru mereka, Lagenda Santubong, yang memberikan kelainan terhadap konsep dan jalan cerita.

Mengangkat mitos dari negeri Sarawak, animasi tersebut mengisahkan mengenai dua puteri kayangan yang sering kali menimbulkan masalah sehingga mereka di buang ke bumi. Mereka cuba membiasakan hidup sebagai manusia biasa, namun konflik yang timbul turut
menguji persaudaraan mereka.

Menurut Jakall, kisah mitos di Bumi Kenyalang itu dipilih bagi menghidupkan semula kisah rakyat itu buat generasi muda, selain mempromosikan Sarawak yang penuh dengan khazanah alam.

"Kami ingin mengembalikan kisah-kisah rakyat yang begitu sinonim dengan masyarakat kita.

"Ia juga sebagai satu tauladan dan teladan buat generasi kini.

"Sejarah dan mitos negara kita semakin dilupai, saya rasa ia merupakan tanggungjawab kami untuk menaikkan semula kisah rakyat," katanya.

Bukan hiburan semata-mata

Berkongsi mengenai proses pembikinan Lagenda Santubong, Jakall berkata, animasi tersebut tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan.

"Biasanya perjalanan proses untuk sesuatu animasi mengambil masa yang agak lama.
"Ada kalanya ia mencecah hingga setahun, mungkin lebih lagi.

"Tetapi bagi Lagenda Santubong, ia disiapkan dalam tempoh 10 bulan sahaja dengan 12 orang tenaga kerja.

"Ia merupakan satu pencapaian yang agak membanggakan bagi kami," katanya.

Bukan sekadar hiburan semata-mata, Jakall berkata, Lagenda Santubong turut diterapkan dengan mesej positif untuk dijadikan pengajaran buat penonton.

"Kami terapkan nilai-nilai murni yang dapat menyentuh perasaan dan sesuai ditonton golongan remaja.

"Begitu juga elemen cinta dan persahabatan supaya dapat beri pengajaran kepada penonton.

"Selain itu kami turut selitkan elemen komedi dan emosi agar ia memberi kesan terhadap sesiapa saja yang menontonnya," ujar Jakall.

Bersiaran sebanyak 13 episod, Lagenda Santubong, dapat disaksikan menerusi saluran TVi (180 Astro) sejak 29 September lalu.

Kopi luwak, musang jadi mangsa

Posted: 07 Oct 2013 08:50 PM PDT

  • Kopi luwak, musang jadi mangsaMusang dipaksa makan biji kopi pada jumlah yang banyak setiap hari bagi memastikan kapasiti najis untuk menghasilkan pengeluaran kopi luwak dapat ditampung.

PENGEMAR  kopi pastinya mengetahui asal usul kopi luwak. Kopi paling mahal itu dikatakan mampu mencecah harga sehingga 60 pound (RM307) secawan atau 300 pound (RM1,500) sekilo di Harrods, London.
Namun, ramai tidak mengetahui bagaimana kopi itu dihasilkan.

Kopi luwak dihasilkan melalui najis musang Asia yang banyak terdapat di Indonesia dan Filipina. Najis dan biji itu kemudiannya, diasingkan dan kopi tadi dipanggang bagi menghasilkan aroma menarik, tidak berasid dan rasanya lebih lembut. 

Seorang pengusaha kopi luwak di Indonesia menjelaskan, musang biasanya disimpan dalam sangkar selama kira-kira tiga tahun bagi menggelakkan terdedah kepada asap rokok dan diberi nutrisi serta vitamin terbaik.

Siaran BBC baru-baru ini mendedahkan, musang-musang itu dikurung dalam kandang kotor dengan ruangan terhad.

"Musang-musang ini bakal mengalami tekanan mental akibat dikurung selama tiga tahun. Dalam usaha mengekalkan permintaan kopi di pasaran antarabangsa, sedarkah kita bahawa musang-musang ini menjadi mangsa," menurut laporan berkenaan.

Jurucakap pengedar kopi Sari Makmur berkata, mereka tidak boleh membebaskan musang-musang itu kerana tidak boleh melanggar polisi syarikat.

"Kami perlu memastikan musang terjaga demi mengekalkan hasil permintaan kopi di pasaran Britain dan Eropah," katanya dipetik Daily Mail

Aktivis haiwan Britain,  Mimi Bekhechi menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan serta kejam.

"Kami sarankan Harrods selaku mengimport utama perlu memboikot syarikat pengeluar yang tidak menyediakan tempat selesa untuk musang-musang ini.

Jangan hanya kerana ingin mengaut keuntungan, nasib haiwan-haiwan ini tergadai," katanya.

Restoran caj sarapan VVIP RM6,000

Posted: 07 Oct 2013 08:42 PM PDT

  • Restoran caj sarapan VVIP RM6,000

KOTA BHARU - [Dikemaskini] Gara-gara mengenakan bayaran RM6,000 kepada kumpulan VVIP untuk sarapan pagi kelmarin, sebuah restoran di Pengkalan Chepa, di sini, diserbu penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK).

Rombongan 50 orang itu, termasuk mereka yang datang dari luar Kelantan untuk menghadiri satu majlis rasmi di bandar ini.

Timbalan Pengarah PDNKK negeri, Ab Ghani Harun berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya menyerbu restoran yang terletak di Taman Uda Murni, pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita dapati peniaga kedai terbabit menutup papan tanda harga yang sedia ada dengan pita pelekat.

"Kita mengesyaki peniaga berkenaan mempunyai niat untuk menipu dan mengenakan caj harga sesuka hati ke atas pelanggan.

"Atas kesalahan itu, kita kenakan kompaun ke atas pihak terbabit," katanya kepada pemberita, selepas serbuan ke atas restoran terbabit.

Dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas lauk pauk dan makanan bernilai hampir RM6000.

Ab Ghani berkata, jika sabit kesalahan pengusaha itu boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah 3 (1) Akta Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 dengan penalti RM250,000 dan kompaun maksimum RM175,000.

"Ini bagi memberi pengajaran terhadap kesalahan yang mereka lakukan. Diharap peniaga-peniaga lain turut berwaspada. Jika dikesan melakukan penipuan mereka juga akan dikenakan kompaun.

"Saya menasihatkan semua peniaga di negeri ini supaya meletakkan tanda harga yang jelas untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan pelanggan, terutama mereka yang datang dari luar Kelantan," katanya.

Sementara itu, bayaran makanan yang dicaj hingga mencecah RM6,000 oleh restoran itu menyebabkan ramai dalam kumpulan VVIP itu meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan sikap peniaga berkenaan.

Seorang pelanggan yang enggan dikenali berkata, anggota-anggota rombongan VVIP terbabit berhenti makan pagi di restoran itu sebelum menghadiri satu majlis rasmi di bandar ini.

"Kami mula memesan makanan mengikut kehendak masing-masing dan makanan itu disediakan dalam beberapa hidangan di setiap meja makan.

"Antara yang dihidangkan ialah ayam goreng kampung dan gulai itik serati, di samping sayuran-sayuran dan beberapa lauk-pauk lagi," katanya.

Menurutnya, selepas semua selesai makan dan salah seorang daripada mereka bangun untuk membuat pembayaran, peniaga terbabit mengatakan jumlah keseluruhan sarapan itu adalah RM6,000.

"Kami semua yang ada di situ terkejut. Ada yang menggeleng seperti tidak percaya dengan apa yang kami dengar daripada peniaga itu. Langsung tidak masuk akal.

"Walaupun terkedu, bayaran tetap dibuat selepas ada sedikit tawar menawar dengan peniaga itu.

"Kami tidak setuju dengan harga cekik darah itu, tetapi disebabkan kami terpaksa bergegas untuk menghadiri majlis rasmi tersebut, seorang daripada anggota kumpulan itu membayarnya," katanya.

Wan Sharmila kunci mulut

Posted: 07 Oct 2013 08:25 PM PDT



WAN SHARMILA melemparkan senyuman mesra pada pertemuan kami sewaktu dia sibuk menjalani penggambaran telefilem sempena Aidiladha di Kuang, Kuala Selangor, Pelita Tanpa Sumbu.
Polos tanpa sebarang calitan solekan dan manis berbaju kurung, ia bagai melampias rasa hatinya yang kini dihuni rasa bahagia tak terperi.
Kisah pelakon itu kini bercinta bukan lagi rahsia. Namun, apa yang masih digali ialah tentang identiti si pencuri hati pelakon yang senang disapa Lala ini.
Walau didesak berkali-kali, pelakon cantik ini tetap tidak mahu berkongsi banyak tentang perihal kisah cintanya dengan orang ramai.
Katanya yang sering membisu sambil diselangi ketawa kecil, dia tidak mahu terlalu banyak berkongsi kisah cintanya.
Mungkin pengalaman bercerai sebelum ini telah membuat Wan Sharmila, atau nama sebenarnya, Wan Sharmila Wan Mohamed mengambil keputusan untuk mengunci mulut daripada bercerita, namun dirinya tidak menyangkal sudah punya teman istimewa yang hanya diketahui sebagai D.
"Memang saya akui, saya kini sudah bertemu kekasih hati dan saya tidak ingin bercerita lebih tentang dirinya. Namun, semuanya belum lagi ditetapkan dan kami masih lagi dalam proses perkenalan.
"Dia juga tidak mahu membuat penampilan di hadapan orang ramai dan sentiasa memahami karier saya. Saya tidak mahu terlalu mendedah perihal peribadi kerana biarlah orang mengenali saya dengan perkara lakonan atau pengacaraan saya.
"Biarlah saya bekerja secara profesional," bicaranya.
PADA usia 32 tahun, Wan Sharmila tidak mahu menyogok khalayak dengan cerita peribadi yang dibimbangi tidak berakhir dengan baik.


Tambahnya yang menggalas status janda sejak hampir empat tahun lalu, jika benar-benar punya jodoh bersama jejaka tersebut, dia akan mengakhiri zaman solonya.
Akui aktres bertubuh genit ini, kini dia memang sedang bahagia, namun tidak mahu terlalu memikir kerana khuatir diri akan merana jika terlalu mengharap.
"Biarlah perhubungan ini mengikut perjalanan yang sepatutnya dan saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa membuat keputusan. Saya ingin menjadi seorang yang profesional dan tidak mahu campurkan urusan kerja dan peribadi," tuturnya ringkas.
Masih ada tawaran
Dua atau tiga tahun lepas, nama Wan Sharmila sentiasa meniti di bibir peminat drama tempatan dek watak antagonis yang kebanyakan dilakonkannya.
Bagaimanapun, kini nama Wan Sharmila seperti telah sunyi daripada lakonan yang telah menjadi periuk nasi bagi empunya diri sejak lima tahun lalu.
Ungkapnya, walaupun seperti jarang kelihatan muncul dalam drama mahupun telefilem yang popular, namun pada hakikatnya, dia masih punya rezeki dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah, tawaran berlakon memang masih ada, namun kini, tidak dinafikan memang agak kurang. Bagaimanapun, tidaklah sampai saya ingin berhenti daripada karier ini.
"Ia terpulang kepada program yang saya libatkan diri. Jika ramai yang tonton serta rancangan tersebut popular, maka ia kelihatan seperti saya banyak tawaran," tutur wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini.
Bagaimanapun, ketika ditebak persoalan tentang kesunyian dirinya dalam lakonan, wanita berusia 32 tahun ini tidak menyangkal dakwaan dirinya semakin kurang diberi tawaran.
"Mungkin juga percambahan pelakon baharu menyebabkan saya kurang dilihat tampil dalam drama atau telefilem popular. Saya menyedari perkara itu dan telah bersedia serta perlu untuk terima keadaan tersebut dengan seadanya.
"Oleh kerana itu juga saya kurang menyertai program atau karnival untuk bertemu peminat kerana tiada produk yang hendak saya promosikan. Mungkin kini jika ada masa terluang, saya mampu penuhi majlis-majlis mungkin untuk mempromosi drama contohnya kerana punyai masa," tuturnya yang hanya membuat aktiviti biasa yang berfaedah jika tiada tawaran.

WAN SHARMILA juga meluaskan kariernya sebagai pengacara.


Pengacaraan
Ceritanya, selain lakonan, dia juga kini memberi fokus terhadap bidang pengacaraan yang pernah diceburinya sejak tiga tahun lalu dengan mengendalikan beberapa program seperti Klik Klik Asia dan Dialek di RTM.
"Kini saya sedang memberi fokus mengendalikan program berkonsepkan permainan (gameshow) iaitu Seiring Sejalan bersama pelakon Fizz Fairuz yang telah pun memasuki musim kedua.
"Saya terima rezeki yang datang kerana bagi saya jika ada peluang tidak salah untuk mencuba. Selagi kita sayang pada sesuatu pekerjaan yang dilakukan, maka akan hadir rezeki di situ kelak," ceritanya yang mengakui masih banyak perlu dipelajarinya dalam bidang pengacaraan
Tambahnya lagi, bidang pengacaraan juga merupakan satu pengalaman yang berbeza buat diri. Ini kerana sebelum ini dia banyak ambil tawaran berlakon, jadi bidang pengacaraan merupakan satu pengalaman yang baharu yang sangat menarik.
Ungkapnya lagi, dia mendapat kepuasan yang berbeza daripada lakonan dan pengacaraan. Walaupun begitu, dia akui masih lemah dalam bidang ini dan masih dalam proses pembelajaran.


Hafiz harap peminat mengundinya

Posted: 07 Oct 2013 08:24 PM PDT

HAFIZ memerlukan undian peminat untuk melayakkan dia menerima anugerah Best Southeast Asia Act dalam MTV Europe Music Awards (2013 MTV EMA) yang dijadual berlangsung pada 10 November depan di Amsterdam, Belanda.


KEJAYAAN demi kejayaan yang diraih oleh anak muda kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang bernama Hafiz Suip ini. Walaupun mengakui masih baharu dalam industri seni tempatan, namun pencapaian anak muda ini berada pada tahap yang boleh dibanggakan.
Apa yang lebih membanggakan, baru-baru ini Hafiz telah dikejutkan dengan satu berita gembira buat dirinya. Jika sebelum ini, Yuna pernah dicalonkan menerusi kategori yang sama, kini giliran Hafiz pula.
Hafiz akan mewakili Malaysia dalam pencalonan Best Southeast Asia Act dalam MTV Europe Music Awards (2013 MTV EMA) yang dijadual berlangsung pada 10 November depan di Amsterdam, Belanda.
Justeru, Hafiz perlu bersaing dengan artis dari lima negara iaitu NOAH (Indonesia), Olivia Ong (Singapura), Sarah Geronimo (Filipina), Slot Machine (Thailand) dan My Tam (Vietnam).
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hafiz Suip tentang perasaannya tercalon untuk anugerah antarabangsa itu.
Kosmo!: Boleh cerita sedikit tentang pencalonan anda dalam MTV European Music Award (MTV EMA) baru-baru ini?
HAFIZ: Saya sendiri dapat tahu melalui Twitter dan sebenarnya saya agak terkejut kerana ramai peminat yang mengucapkan tahniah kepada saya atas pencalonan tersebut. Saya kemudian mencari sumber yang sahih tentang berita itu dan setelah sahih, saya bersyukur kerana tercalon dalam kategori Best Southeast Asia Act.
Secara jujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana pencalonan itu berlaku. Mungkin mereka lihat pencapaian saya sepanjang menjadi artis. Bagi peminat yang mahu mengundi saya, boleh layari laman web www.asia.mtvema.com.
Apa perasaan anda apabila tercalon dalam anugerah antarabangsa seperti ini?
Memang saya terkejut kerana pengalaman saya yang masih lagi baharu dalam industri seni. Bila dapat tahu, saya rasa berbesar hati dan susah bagi saya untuk mencapai tahap tersebut. Itu rezeki yang Tuhan beri, Alhamdulillah. Selain ia merupakan pencapaian peribadi, saya melihat saya membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
HAFIZ berjanji tidak akan menyorokkan berita gembira sekiranya dia sudah bersedia untuk berkahwin.


Tinggalkan berita tersebut, boleh jelaskan tentang kisah cinta anda? Ada yang mengatakan anda sudah bertunang?
Tidak benar sama sekali. Masih tiada perancangan ke arah itu (bertunang). Jika boleh apabila saya ingin membina masjid, maka akan saya umumkan. Buat masa sekarang, saya masih ingin mencukupkan keperluan diri sendiri dan keluarga. Saya ingin fokus terhadap karier.
Jadi, apa status anda kini kerana sebelum ini anda dikatakan sedang bercinta dengan seseorang?
Saya kini masih bujang dan tiada teman istimewa. Apa yang boleh saya katakan, saya masih muda dan mencari calon yang sesuai. Mungkin tiada jodoh saya dengan yang sebelum ini. Saya tidak mahu terlalu cerita tentang perkara ini. Mak saya juga pernah pesan, jika mahu mencari jodoh, biar yang mampu menjadi isteri yang baik.
Adakah pengalaman sedih dalam percintaan diaplikasikan dalam nyanyian anda supaya emosi itu lebih kelihatan?
Sebenarnya, saya juga ada guna pengalaman hidup sendiri untuk memberi emosi kepada persembahan saya. Jika berbuat demikian, ia kelihatan lebih realistik daripada hanya melakonkan emosi tersebut.
Apakah perkembangan terkini anda?
Saya kini masih lagi memberi fokus untuk mempromosi single saya yang berjudul Bahagiamu Deritaku dan kemungkinan single seterusnya yang berjudul Kesimpulan akan dilancarkan dalam masa terdekat.


Lisa, Aaron kembali bersatu

Posted: 07 Oct 2013 08:23 PM PDT

LISA dan Aaron kini bergabung untuk sebuah lagi naskhah adaptasi dari novel, Suamiku, Encik Perfect 10!


JIKA sebelum ini peminat dapat melihat gabungan pertama Lisa Surihani dan Aaron Aziz menerusi filem adaptasi novel Ombak Rindu, kali ini dua bintang terkenal itu bergabung semula dalam supertelefilem yang berjudul Suamiku, Encik Perfect 10! di bawah arahan pengarah Feroz Kader.
Apa yang menariknya tentang supertelefilem ini, ia juga merupakan sebuah karya yang diadaptasi daripada sebuah novel nukilan Syamnuriezmil yang mempunyai judul sama.
Ketika bertemu di lokasi supertelefilem terbitan Global Station Sdn. Bhd. itu baru-baru ini, Lisa memberitahu, tidak sukar untuk dia mendapatkan keserasian bersama Aaron memandangkan ini kali kedua dia berganding dengan aktor tersebut.
"Sebelum ini kami pernah berlakon bersama, jadi kali ini tiada masalah untuk mendapatkan keserasian itu. Saya juga setuju untuk mengambil watak ini kerana akan bergandingan bersama Aaron.
"Selain itu, apa yang saya lihat, walaupun mungkin ceritanya diadaptasi daripada sebuah novel, namun jalan cerita yang ditampilkan berbeza," jelas Lisa.
Tambah isteri kepada Yusry KRU ini lagi, antara punca dia bersetuju dengan tawaran yang diberikan kerana dia menyukai perjalanan watak miliknya yang seperti bertukar karakter dalam setiap babak.
"Saya sukakan peralihan emosi yang perlu saya beri pada setiap babak, itu antara sebab saya bersetuju terbabit di dalam naskhah ini," ujarnya yang memegang watak sebagai Aleeya Azmeen.
Tambahnya lagi, mungkin watak Aleeya tidak jauh berbeza daripada yang pernah dilakonkannya, namun apa yang menjadi cabaran baginya ialah proses perubahan emosi yang perlu dilakonkan olehnya.
"Pada mulanya, Aleeya merupakan seorang pelajar perubatan yang sangat riang dan ceria, namun setelah dirogol oleh teman lelakinya, dia berubah menjadi seorang yang pasif dan kusut memikirkan kejadian yang telah menimpa dirinya," tutur Lisa yang agak sukar untuk melakonkan watak menangis.

ANTARA babak menarik dalam supertelefilem Suamiku, Encik Perfect 10!.


Tak kisah watak stereotaip - Aaron
Bagi Aaron pula, walaupun sering dipilih untuk watak yang dianggap agak stereotaip, namun lelaki ini tidak kisah untuk menerima tawaran tersebut.
"Saya bukan berlakon watak baik sahaja, ada juga watak antagonis yang pernah saya lakonkan. Namun, perlu lihat juga kehendak masyarakat bagaimana mereka mahu lihat lakonan saya. Apa yang patut saya lakukan ialah terima tawaran dan jalankan tanggungjawab saya sebagai pelakon untuk menjayakan watak yang diberi.
"Ini kerana bagi saya, pihak penerbit tahu apa yang mereka lakukan, dan pastinya watak tersebut diberi kepada pelakon setelah membuat kajian apa yang penonton mahukan," jelas Aaron yang memegang watak Zarief Daniel yang berasal dari Kedah.
Bercerita tentang wataknya pula, bicara Aaron, antara cabaran buat dirinya adalah untuk bercakap dalam dialek utara. Walaupun agak sukar, namun, tutur Aaron, dia berusaha untuk melakukan yang terbaik dan cuba untuk tidak kelihatan terlalu kekok.
Selain Lisa dan Aaron, pelakon lain yang terlibat dalam supertelefilem ini ialah Raja Ilya, Syazwan Zulkifly, JAsmin Hamid dan Normah Damanhuri.
Ia juga bakal ditayangkan di saluran Astro manakala tarikh dan waktu tayangan belum ditetapkan lagi. Selain di Malaysia, supertelefilem ini juga menjalani penggambaran di London, United Kingdom.


Orang Minyak menyerah kalah

Posted: 07 Oct 2013 08:21 PM PDT

GAMBAR SEMALAM... Rabidin (kiri) kelihatan tenang selepas mengaku bersalah atas tiga lagi tuduhan rogol di Mahkamah Sesyen Raub, Pahang.


RAUB - Seorang perogol bersiri dikenali sebagai Orang Minyak berasal dari Sabah yang sedang menjalani hukuman penjara 133 tahun dan sebatan 50 kali bakal berdepan hukuman tambahan apabila dia mengaku salah terhadap tiga lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Rabidin Satir, 42, mengaku salah atas tuduhan melakukan rompakan dan merogol seorang wanita berusia 28 tahun yang juga isteri seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Bentong sehingga boleh menyebabkan kematian mangsa.
Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut ke atas mangsa berkenaan pada 3 November tahun lalu.
Tertuduh membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Shahrizat Ismail.


Putera Harry kahwini kekasih tahun depan

Posted: 07 Oct 2013 08:14 PM PDT


TERDAPAT khabar angin Putera Harry dan kekasihnya, Cressida Bonas bakal mendirikan rumah tangga.


LONDON - Pewaris takhta diraja Britain, Putera Harry dilaporkan bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya, lapor portal hiburan, eonline. com kelmarin.
Harry dikatakan akan mengahwini kekasihnya, Cressida Bonas tahun depan berdasarkan laporan akhbar Daily Telegraph yang dipetik laman hiburan itu.
Perkara itu didedahkan kepada Daily Telegraph oleh seorang sahabat karib Cressida.
Harry sebelum ini tidak berahsia tentang keinginannya untuk berumah tangga.
"Saya meminati kanak-kanak sejak dari kecil. Saya hanya menunggu seorang wanita yang sesuai untuk saya berkeluarga," katanya dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Harry dan Cressida dilihat keluar bersama untuk menyaksikan konsert penyanyi terkenal, James Blunt yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Cressida yang kini menceburi dunia peragaan merupakan bekas graduan sebuah akademi seni tarian di sini.


Berlian putih dilelong RM87 juta di Hong Kong

Posted: 07 Oct 2013 08:13 PM PDT


BERLIAN putih yang berjaya dibida oleh seorang pembeli dari Afrika semalam.


HONG KONG - Sebutir berlian putih seberat 118 karat yang mempunyai saiz sebesar sebiji telur ayam dijual pada harga AS$27.3 juta (RM87 juta) dalam satu acara lelong di sini.
Berlian itu berjaya dibida oleh seorang pembeli dari Afrika menerusi panggilan telefon pada malam semalam.
Nilai tersebut mengatasi rekod lelongan berlian putih yang dijual pada Mei lalu oleh firma lelongan Christie di Geneva dengan harga AS$26.7 juta (RM85.2 juta).
Kemuncak acara lelong di Hong Kong itu turut tertumpu kepada berlian biru seberat 7.6 karat yang dijual pada harga AS$16.1 juta (RM51.4 juta).
Bagaimanapun, kedua- dua permata tersebut dijual kurang daripada nilai anggaran asal.


Budak 9 tahun lolos naik kapal terbang

Posted: 07 Oct 2013 08:11 PM PDT


PENUMPANG beratur untuk menjalani pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St. Paul di Minneapolis.


MINNEAPOLIS - Seorang budak lelaki berusia 9 tahun melepasi kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St.Paul di sini untuk menaiki penerbangan ke Las Vegas, kata pihak berkuasa semalam.
Kanak-kanak berkenaan menaiki pesawat milik penerbangan Delta Airlines bersendirian tanpa disedari oleh pengawal keselamatan lapangan terbang berkenaan.
Punca kejadian pada Khamis lalu itu masih disiasat tetapi insiden tersebut menimbulkan persoalan berhubung tahap kawalan keselamatan lapangan terbang tersebut.
"Insiden ini berakhir dengan baik apabila kanak-kanak itu dipulangkan kepada keluarganya dalam keadaan selamat," kata jurucakap lapangan terbang Minneapolis, Pat Hogan.
"Kami masih menyiasat bagaimana dia boleh melepasi proses pemeriksaan keselamatan dan menaiki pesawat tersebut tanpa tiket," tambahnya.
Dalam pada itu, jurucakap Delta Airlines, Leslie Scott menolak untuk mengulas lanjut dan mengatakan kes itu masih dalam siasatan.
"Pita sistem rakaman litar tertutup menunjukkan kanak-kanak itu berada di lapangan terbang ini sejak Rabu lalu," kata Hogan.
Budak lelaki itu tiba di lapangan terbang dengan menaiki kereta api dari pusat bandar raya ini.
Dia kemudian mengambil sebuah beg di tempat bagasi dan membawanya ke sebuah restoran sebelum menuju ke tempat pemeriksaan keselamatan untuk menaiki pesawat. "kanak-kanak itu meninggalkan beg itu di dalam restoran dan beredar," jelas Hogan.
Beg tersebut kemudian dipulangkan kepada pemilik asalnya.


Al-Sa'adah kompleks bersepadu saudara baharu

Posted: 07 Oct 2013 08:07 PM PDT



PENULIS dan jurugambar Wahidin Salim berpusing-pusing di sekitar Jalan Rahang, Seremban, Negeri Sembilan mencari sebuah bangunan yang kini menjadi buah mulut dalam kalangan komuniti mualaf Cina di seluruh Malaysia.
Berpandukan foto bangunan yang dirujuk daripada internet, kami berdepan sedikit kesulitan mencari tempat tersebut. Selepas bertanya kepada beberapa penduduk sekitar, barulah kami tiba di lokasi tersebut.
Bangunan itu terletak betul-betul di pinggir jalan yang sunyi, redup dipayungi pohon-pohon besar. Papan tandanya tertera jelas, Kompleks Al-Sa'adah. Ya, itulah bangunan yang kami ingin kunjungi untuk eksplorasi murni kali ini.
Kedatangan kami disambut seorang lelaki berkopiah. Janggutnya sederhana panjang, mengingatkan saya kepada watak dalam drama Cina klasik ditambah pula dengan alis kening tebal dan mata sepetnya. "Tidak susah bukan mencari tempat ini?" ajunya kepada kami yang masih keliru dengan reka bentuk kompleks tersebut.
Lelaki itu, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah, 33, kemudiannya menuntun kami ke bahagian atas kompleks berusia dua tahun tersebut. Sebelum tiba di ruang utama solat, pengunjung perlu melewati taman mini bangunan tersebut.
Pandangan dijamu dengan kehijauan pokok-pokok hiasan yang sinonim dalam komuniti Cina. Sejenis bonsai daripada kumpulan ficus diletakkan di setiap penjuru empat taman kecil itu dan di tengahnya terletak indah pasu-pasu dengan ukiran tulisan Cina berisi pohon fir China.

KELAS agama yang dijalankan di kompleks ini bertujuan membimbing saudara baharu dalam Islam dan diadakan secara percuma.


"Secara asas, kompleks ini didirikan berteraskan nilai-nilai kesenian masyarakat Cina. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Besar Xian di wilayah Shaanxi, China manakala reka bentuknya menerapkan ciri-ciri bangunan di Uzbekistan.
"Kesemua hiasan dinding dan kebanyakan bahagian bangunan yang berunsur kesenian Cina dibawa khas dari China," jelas Ridzuan yang memeluk Islam pada tahun 2001.
Fungsi
Kompleks berkeluasan 0.7 hektar itu juga mempunyai sebuah pagoda, menara bertingkat yang dikelilingi bumbung hiasan pada setiap tingkat yang juga lambang konseptual agama Buddha. Bahagian utama kompleks itu termasuk sambungan kecil juga ketara kelihatan seperti rumah ibadat agama tersebut.
"Memang pernah beberapa kali orang Cina beragama Buddha datang ke sini kerana menyangka kompleks ini tokong untuk sembahyang. Namun selepas dijelaskan, mereka terkejut dan mengagumi penerapan budaya Cina pada keseluruhan kompleks ini yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan utama Cina Muslim di Negeri Sembilan.
"Pada awalnya, orang awam keliru dan kami tidak ralat terhadap persepsi tersebut. Kompleks ini menjadi bukti bahawa kebudayaan asal sesuatu bangsa itu bukanlah pemilikan mutlak sesebuah agama dan jika orang Cina, khususnya, memeluk Islam sekalipun, kami masih bebas mengagungkan kesenian bangsa kami," penuh isi penerangan Ridzuan yang menetap di salah sebuah kuarters di kompleks tersebut.
Kompleks Al-Sa'adah yang mula beroperasi pada tahun 2011 dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Januari tahun lalu.
Cadangan pembinaan kompleks itu pada asalnya adalah bagi mewujudkan sebuah masjid khas untuk komuniti Cina Muslim di Negeri Sembilan.
Kamal Amran Kamarudin, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memberitahu, ketika itu, orang Melayu, India Muslim, Pakistan, India Malabar, komuniti berbahasa Tamil, Urdu dan sebagainya telah mempunyai masjid atau madrasah masing-masing.

KOMPLEKS Al-Sa'adah merupakan pusat perlindungan kepada mualaf Cina yang pertama di Malaysia menggunakan konsep penerapan budaya kaum Cina pada bangunannya.


"Kompleks Al-Sa'adah diwujudkan sebagai tempat untuk masyarakat Cina Muslim berkumpul dan menjalankan aktiviti mereka.
"Peruntukan operasi kompleks dan pembiayaan saudara baharu yang mendapatkan perlindungan di sini dibiayai sepenuhnya oleh MAINS melalui dana zakat (asnaf mualaf)," jelas Kamal Amran ketika dihubungi Kosmo!.
Kelas agama
Sementara itu, kompleks itu turut menyediakan kelas fardu ain dan al-Quran sepanjang minggu pada sebelah malam untuk saudara-saudara baharu di kompleks tersebut dan kawasan sekitar. Kesemua tenaga pengajar yang mengendalikan kelas tersebut datangnya daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan berpengalaman dalam mengajar kelompok mualaf.
Ketika kunjungan kami ke kompleks itu, kebetulan sedang berlangsung satu kelas agama yang dihadiri sebilangan kecil saudara baharu Islam. Seorang wanita berusia 63 tahun, Fatimah Ng Abdullah antara mualaf Cina yang sempat saya temui.
Jika diamati secara kasar, wajah warga emas itu tiada bezanya seperti wanita Muslimah lain. Siapa sangka, di sebalik tudung yang meliputi penuh kepalanya, Fatimah ialah mualaf yang sudah lima tahun setengah mendalami ajaran Islam.
Dia yang ditemani anak keduanya, Usman Hew Abdullah, 41, juga seorang mualaf dahulunya berpegang kepada kepercayaan Kristian.
"Segalanya bermula apabila seorang daripada tiga anak lelaki saya memeluk Islam dan mengahwini seorang perempuan Melayu. Kami sekeluarga menerima pilihannya dengan hati yang terbuka dan selepas itu kami mula belajar tentang Islam.
"Bagaimana solat membantu kerohanian seseorang dan keluhuran akhlak dan pekerti murni yang diterapkan Islam akhirnya membentuk dimensi berbeza kami terhadap agama ini. Arwah suami saya telah meluahkan hasratnya menganut Islam dan secara berperingkat, kami sekeluarga selamat diislamkan," kongsi Fatimah yang hampir dua tahun mengikuti kelas agama di kompleks tersebut.
Islam di China
Menyempurnakan keistimewaan Al-Sa'adah sebagai serambi dakwah mualaf Cina di negara ini adalah dengan pelantikan imam tetap kompleks itu, Abu Bakar as-Siddiq atau nama Cinanya Yu Xiao Long, 36, yang berasal dari Gansu, China.
Jangka masa empat tahun di Malaysia pada mulanya meletakkan Abu Bakar di Sarawak. Dua tahun setengah menabur bakti selaku mubaligh ajaran Islam di sana, pemilik ijazah dalam hadis, tauhid dan pengajian Islam itu kemudiannya dipanggil Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Negeri Sembilan untuk berkhidmat di As-Sa'adah sejak dua tahun lalu.

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) turut sama memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di kompleks ini.


Abu Bakar memang dilahirkan sebagai Islam dan menguasai bahasa Arab dengan sempurna. Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, proses dakwah di Malaysia kini melalui perkembangan positif.
"Konsep penyebaran agama Islam di China dan Malaysia tidak banyak beza cuma di sini bahasa menjadi antara cabaran utama. Kaum Cina di sini kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan tinggi terhadap Islam.
"Malaysia perlu memperbanyakkan pendakwah berketurunan Cina bagi melancarkan kerja-kerja dakwah. Berdasarkan pengalaman saya, ramai orang Cina di sini ingin mengenali Islam tetapi tidak menemui rujukan yang terbaik.
"Jika diimbas semula, zaman Tunku Abdul Rahman merupakan waktu kegemilangan dakwah Islam kepada orang Cina di negara ini. Ketika itu, Malaysia dan China menjalinkan hubungan dakwah Islam.
"Seorang tokoh agama Islam terkenal dari China pada masa itu juga bertanggungjawab membawa masuk imam-imam dari China ke Malaysia untuk berdakwah kepada kaum Cina di sini," ujar Abu Bakar yang dilahirkan dalam etnik Hui, suku ketiga terbesar di China dengan majoritinya beragama Islam.


Muzium Memorial 11 September 2001

Posted: 07 Oct 2013 08:06 PM PDT


DINDING usang pada bahagian kiri ini merupakan dinding asas yang asal kepada bangunan Pusat Dagangan Dunia dan item terakhir yang dikeluarkan dari tapak runtuhan.


SABAN tahun, setiap kali ulang tahun tragedi 11 September 2001 diraikan, dunia pasti mengenang bencana tersebut sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.
Lokasi tragedi di Ground Zero, New York, Amerika Syarikat (AS) itu menjadi saksi kepada keruntuhan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas ia dirempuh dua pesawat penumpang dalam siri serangan pengganas Al-Qaeda.
Kini, selepas 12 tahun bencana itu terjadi, kawasan itu dibangunkan semula sebagai mercu tanda peringatan. Di tengah-tengah tapak Ground Zero itu, terletak Plaza Memorial yang menempatkan dua kolam besar. Setiap kolam mempunyai lowong di tengahnya, menjadi saluran air yang mengalir tenang, setenang suasana di kawasan tersebut.
Setiap kolam dikelilingi dengan ukiran 2,983 nama mangsa yang terkorban dalam bencana dahsyat itu. Kesunyian tempat itu bertambah apabila emosi lebih 10 juta pengunjung bersatu dengan kepiluan mereka yang menangisi pemergian insan yang tersayang.
Itu gambaran yang dapat dilihat di kawasan memorial, jauh berbeza dengan apa yang berlaku di bawah tanah tempat tersebut. Bunyi bising kerja-kerja gerudi dan percikan api daripada kimpalan kian jelas didengari dan dilihat apabila memasuki tapak pembangunan yang terletak di dalam perut Ground Zero.
"Kami menyediakan ruang khas di bawah tanah Plaza Memorial ini. Jadi pengunjung di sini sedang berjalan di atas bumbung sebuah muzium," ujar Pengarah Muzium & Memorial Negara 11 September yang kini berada pada fasa akhir pembangunan.

KOLAM di Plaza Memorial secara amnya merupakan bumbung kepada muzium memorial yang terletak di bawah tanah kawasan Ground Zero.


Memori
Muzium yang dibangunkan di bawah tanah dengan ketinggian tujuh tingkat itu pernah berdepan beberapa kali penundaan. Dana dan banjir akibat taufan Sandy antara cabaran yang dilalui sepanjang projek itu berlangsung.
Namun dua masalah itu agak kecil jika dibandingkan dengan cabaran bagi menghentikan mimpi ngeri tragedi 11 September. Seperti yang diketahui umum, fungsi utama muzium itu adalah bagi mengenang memori yang mahu dilupakan semua rakyat AS.
"Kebanyakan muzium merupakan bangunan yang mengandungi artifak. Muzium ini pula terkandung dalam artifak," tambah Greenwald.
Semua artifak besar daripada tragedi tersebut seperti dua serpihan besi bengkok, impak pelanggaran pesawat yang merempuh menara utara WTC dan tiang besi yang remuk yang menyerupai bebola benang gergasi telah siap diletakkan di dalam muzium tersebut.
"Kami memperoleh momentum yang tinggi bagi menyiapkan muzium ini menjelang hujung tahun ini dan ia sesuatu yang mengagumkan," luah Ketua Pegawai Operasi muzium, Joseph Daniels.
Tahun lalu, kerja-kerja pembinaan terpaksa ditangguhkan kira-kira 12 bulan akibat perselisihan pendapat antara pihak muzium dan pemilik tapak, Port Authority of New York and Jersey. Sejurus pergeseran itu diselesaikan, taufan Sandy pula melanda AS dan membanjiri tapak pembinaan.
Bayaran masuk
Terdapat juga kontroversi lain, misalnya, pada awal tahun ini, lembaga muzium memutuskan untuk meletakkan bayaran masuk muzium itu pada harga AS$20 hingga AS$25 (RM65 hingga RM82). Keputusan itu menimbulkan kemarahan kepada kumpulan yang mahukan kemasukan diberikan secara percuma.
Ironinya, operasi tahunan muzium yang dibina pada kos RM2.3 bilion itu dianggarkan bakal mencecah RM197 juta. Setakat ini, ia berjaya meraih RM1.4 bilion dan menerima RM1.2 bilion daripada pemerintahan pusat.
"Kami membuka sebuah tempat suci, jadi standardnya perlu tinggi dan keselamatannya mesti diutamakan. Untuk itu, kami memerlukan dana yang tinggi," ujar Daniels.
Katanya, keluarga mangsa bencana itu tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan diberi potongan bayaran masuk khusus untuk beberapa kumpulan. Daniels turut menambah: "Muzium akan dibuka secara percuma selama beberapa jam untuk setiap minggu."
Ujar Daniels, bayaran masuk akan ditetapkan sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan tiketnya dijual seawal tahun 2014.
Artifak pertama yang akan disaksikan pelawat apabila mereka melintasi astaka kaca di aras bawah muzium itu ialah dua besi trisula yang pernah menjadi sokongan kepada dua menara WTC.
Para pelawat juga berpeluang melihat foto-foto bandar Manhattan beberapa minit sebelum pesawat merempuh WTC. Ketika melalui ruangan peta dunia, mereka akan mendengar rakaman masyarakat di seluruh dunia tentang kejadian tersebut.
SERPIHAN besi dari menara utara Pusat Dagangan Dunia turut dipamerkan di muzium memorial ini.


Dua bahagian
Mereka turut dibawa merentasi dinding usang, konkrit bertulang yang pada asalnya dibina bagi mengekang kemasukan air Sungai Hudson ke dalam WTC dan berjalan pada tangga mangsa terselamat yang dianjurkan dari Plaza WTC ke Vessey Street, yang menjadi laluan keluar kepada ratusan mereka yang terselamat.
Di tengah-tengah Foundation Hall pula, terletaknya kepingan besi terakhir yang dialihkan dari tapak kejadian pada upacara yang berlangsung pada Mei 2002. Ia dipenuhi dengan nota, mesej dan tanda kenangan pekerja yang terselamat dan saksi utama kejadian.
Muzium itu dipecahkan kepada dua bahagian. Zon pertama didedikasikan kepada 2,983 mangsa yang terkorban di tempat kejadian, termasuk enam individu yang dibunuh pada serangan 1993.
Terletak di tapak asal menara selatan WTC, ia akan mempamerkan sebahagian barangan mangsa termasuk rakaman mesej tentang mereka daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Zon kedua pula yang terletak di tapak asal menara utara, dikhaskan untuk penceritaan sejarah kejadian tersebut. Maklumat berkenaan perancang tragedi itu, Osama bin Laden dan ahli kumpulan Al-Qaeda, turut diletakkan di dalam seksyen sejarah, namun jauh daripada kawasan pameran untuk ahli-ahli keluarga mangsa.


Keunikan corak berunsur motif etnik

Posted: 07 Oct 2013 08:04 PM PDT



DUNIA batik kini semakin meluas di seluruh dunia dengan sajian pelbagai motif yang khas dan unik. Melengkapkan keunikan itu apabila batik yang dahulu hanya menghiasi kehidupan masyarakat desa, kini telah diterima pakai sebagai antara corak berkelas dunia.
Hakikatnya, apabila berbicara soal batik ia secara tidak langsung membawa minda ke negeri Pantai Timur. Ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu dan Kelantan adalah pelopor utama kepada batik di negara ini.
Berbeza dengan Sabah, perkembangan batik di negeri ini mungkin agak asing. Ia lebih dikenali sebagai pengeluar barang kraf berasaskan laut dan rotan selain seni pembuatan peralatan muzik tradisional.
"Setiap negeri ada keunikannya sendiri. Begitu juga Sabah yang mempunyai pelbagai motif corak dan ukiran lebih 30 suku kaum.
"Bagi saya apa sahaja dari dasar laut sehingga ke langit di bumi Sabah ini sebenarnya merupakan motif dan kelainan yang patut ditonjolkan dalam memastikan identiti batik dari Sabah terus gemilang," demikian pendapat peribadi pemilik perusahaan Rothman Batik, Rothman A. Buntar.
Berpengalaman selama 32 tahun, Rothman menjelaskan setiap corak dihasilkan oleh penggiat seni ini akan sentiasa berulang dalam beberapa tahun.
Ujar beliau, kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.
"Sebab itu, elemen pelancongan seperti Orang Utan di Sepilok, pulau-pulau dan bencana ombak tsunami selain unsur paku-pakis merupakan trademark dalam setiap batik yang saya hasilkan.
"Kemudian ia digarap dan disesuaikan dengan corak-corak unik Sabah sebagai nilai tambah berbanding batik dari negeri-negeri lain," tegasnya yang mempunyai koleksi 5,000 corak eksklusif sepanjang pembabitannya dalam seni batik.

CORAK Linaubsilad antara corak dari kaum Murut di Sabah boleh diaplikasikan pada rekaan penghasilan batik sebagai identiti Sabah.


Berkelana ke Pantai Timur
Bapa kepada tujuh anak ini mengakui, penglibatannya dalam dunia batik sejak 1981 sebenarnya penuh berliku memandangkan dia tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik. Justeru dia belajar berdasarkan pengamatan dan kerajinan sendiri.
Malah, beliau tanpa segan silu mengakui terpaksa membuat sijil dan surat perakuan palsu daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membolehkannya memahami selok-belok penghasilan batik secara mendalam.
Tambah Rothman, semuanya bermula apabila permohonan untuk mempelajari seni tersebut ditolak mentah-mentah oleh beberapa perusahaan batik di Kelantan dan Terengganu yang merupakan lubuk kepada industri batik tanah air.
"Minat terhadap batik ini mula timbul apabila saya yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik kereta di Greenwood, Gombak melihat keunikan batik di Pasar Seni.
"Kemudian saya berkelana hingga ke dua negeri di Pantai Timur itu untuk memohon bekerja di sana tetapi ditolak. Tindakan itu menyebabkan saya membuat surat palsu dengan menyatakan bahawa saya merupakan pelajar di sebuah IPTA dan ingin melakukan praktikal," ulasnya yang mengagumi karya Khalid Shamsuddin Arshad.
Selama tiga tahun mendalami teknik dan jenis-jenis batik seperti batik blok, canting dan skrin, akhirnya Rothman memberanikan diri membuka mulakan perniagaan nya sendiri.
Rothman memberitahu, batik yang dihasilkan pada awalnya mendapat ulasan dan pandangan negatif ramai penggiat seni kerana lebih menekankan warna jingga berbanding unsur warna lain seperti biru, merah, kuning dan putih.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa warna pilihannya itu merupakan satu seni dan sesiapa sahaja ada hak untuk menentukan corak pilihan sendiri.
Kombinasi warna
Kepulangannya ke Sabah pada 1989 bagaikan satu rahmat kepada golongan belia apabila beliau memperluaskan ilmu yang diperoleh secara berterusan dengan percuma. Ini termasuklah kepada pekerja di hampir 18 buah resort dari Tuaran ke Weston, Beaufort.
"Mula-mula, memang dapat cacian dan makian apabila ada pihak yang memerli dengan mengatakan batik ciptaan saya lebih sesuai dijadikan pelapik meja.
"Ia mungkin disebabkan corak dan batik ciptaan saya tidak mempunyai sebarang konsep, namun mereka perlu tahu setiap batik yang saya hasilkan perlu ada elemen-elemen Sabah.
"Hasil kajian dan penyelidikan saya sendiri mendapati masyarakat luar negara seperti di Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom yang datang ke sini bukan mahu melihat batik etnik sahaja, tetapi keseluruhan yang ada di Sabah diasimilasi di dalam corak tersebut," jelasnya.
Rothman yang pernah memenangi Anugerah Emas pertandingan Myskills 2010 anjuran Jabatan
Pembangunan Keusahawanan, Kementerian Sumber Manusia di Selangor memberitahu, aspek tona warna memainkan peranan penting selain bentuk corak itu sendiri seperti dilakukan oleh penggiat di Kelantan dan Terengganu yang lebih kepada flora dan fauna.
"Apabila kita bermain dengan warna, ia dapat memastikan sesuatu baju atau kain batik dihasilkan sesuai dengan pemakainya.

SETIAP pekerja akan memastikan batik yang dicanting dan diwarnakan bebas daripada sebarang kesilapan dalam aspek teknikal.


"Cara bagi melihat dan menilai hasil batik dilakukan adalah mudah dengan melipat sehingga kecil kain batik yang diperagakan atau dijual peniaga bagi membolehkan kita melihat bahagian tepi dan kanan kain tersebut dari segi corak dihasilkan.
"Ini kerana, bahagian tepi sesuatu kain batik adalah kawasan 'hot spot' setiap corak dihasilkan berbanding di bahagian tengah yang lebih banyak kosong," terangnya yang juga pengumpul barangan antik.
Disanjung orang luar
Berbeza dengan Rothman, seorang lagi penggiat seni batik di Sabah, Mustapa Laba Ibrahim, 50, cukup mengagumi keunikan batik dari negeri di bawah bayu ini.
Beliau yang berasal dari Setiawan, Perak berkata, setiap corak dalam suku kaum di Sabah sebenarnya membawa maksud tersendiri seperti corak yang amat disukainya iaitu Nantuapan dari bangsa Murut.
Beliau memberitahu Nantuapan membawa maksud pertemuan dan motif itu menggambarkan dua lelaki dan dua wanita yang sedang tidur dengan hanya satu bantal atau sedang minum tapai dari tajau secara serentak.
"Begitu juga kaum lain seperti Bajau dari ukiran parang, Brunei melalui tudung saji serta Rungus dari ukiran pakaian dan kraftangannya yang berwarna-warni.
"Antara warna yang lebih banyak ditonjolkan adalah biru dan kuning selain merah yang kemudiannya diadunkan menjadi lebih berkilat," katanya yang menerima purata tempahan sehingga 15,000 unit sebulan.
Mustapa yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Hiasan Dalaman dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam itu, kini mengusahakan perniagaannya dengan nama Batik Sabah.

SETIAP etnik di negeri Sabah mempunyai keistimewaan yang tersendiri mengikut sosio budaya dan daerah.


Ujarnya lagi, penekanan dalam aspek warna terang juga merupakan identiti kerana kebanyakan masyarakat Sabah lebih menyukai warna terang.
"Dahulu ramai yang bercakap-cakap dan membuat persepsi bahawa adakah seni batik terdapat di Sabah? Persoalan ini diajukan lantaran tidak ramai penggiat seni yang serius mengembangkannya.
"Namun tidak dinafikan, lebih ramai peminat dan pengguna batik dari Semenanjung kini mencari kelainan dengan memiliki dan memakai batik Sabah dalam urusan harian sebagai kelainan daripada batik-batik yang ada di Semenanjung," jelasnya yang pernah menjual sepasang kain batik dengan harga lebih RM1,000.


Ratu Cantik Dunia 'panggilan sebenar' Young

Posted: 07 Oct 2013 08:02 PM PDT



PENDEDAHAN dalam dunia pengacaraan, lakonan dan peragaan menjadi tiket mudah bagi Ratu Cantik Dunia 2013, Megan Lynne Young memenangi anugerah kejelitaan berprestij itu. Pengalaman di hadapan kamera, kepetahan berbicara dan kelicikan berhadapan pelbagai situasi ternyata memberikan kelebihan bagi wanita berusia 23 tahun ini.
Sungguhpun berhadapan kecaman golongan Muslim konservatif terhadap penganjuran pertandingan yang didakwa bertentangan dengan ajaran Islam dan terlalu mendedahkan, destinasi peranginan popular, Bali, Indonesia menjadi saksi penganugerahan ratu cantik pertama dari Filipina. Ia juga merupakan kali pertama peserta republik berkenaan mengungguli anugerah berusia 63 tahun yang turut disertai 126 peserta dari seluruh dunia.
Mewarisi takhta yang pernah disandang Ratu Cantik Dunia 2012 dari China, Yu Wenxia, Young yang berjanji untuk menjadi 'Ratu Cantik Dunia terbaik' telah berjaya mengalahkan peserta dari Perancis, Marine Lorphelin dan Ghana, Carranzar Naa Okailey Shooter yang masing-masing memenangi tempat naib johan dan tempat ketiga pertandingan.
Satu nama yang tidak asing di Filipina, khususnya kepada penggemar filem dan rancangan televisyen, perwatakan dan imej wanita ini sudahpun lekat di hati rakyat negara itu. Malah, penyertaannya dalam pertandingan itu telah meningkatkan keyakinan rakyat Filipina yang sememangnya menaruh harapan tinggi agar wakil negara itu dapat dimahkotakan gelaran ratu pertandingan global berkenaan.
Paling hampir wakil Filipina menjuarai pertandingan itu sebelum ini adalah melalui Gwendoline Ruais dan Evangeline Pascual yang masing-masing meraih gelaran naib juara pada pertandingan yang dianjurkan pada tahun 2011 dan 1973.
Selain itu, Queenierich Rehman berjaya menduduki tangga 15 peserta terbaik pada edisi pertandingan itu pada tahun 2012, sama seperti Carlene Aguilar (2005) dan Ruffa Gutierrez yang dinobatkan pemenang tempat ketiga (1993).
Penyertaan Young dalam acara Ratu Cantik Dunia ini dilihat sebagai 'panggilan sebenar' untuk membuktikan siapa dirinya di arena antarabangsa.
Ternyata, pada 28 September lalu, apabila namanya dilaungkan sebagai pemenang sekali gus membawa gelaran wanita paling cantik dunia untuk tahun 2013, Young hanya tersenyum lebar sambil memaparkan diri yang tenang dan terkawal.
Katanya di hadapan penonton pertandingan itu tanda berterima kasih atas pemilihannya sebagai pemenang:, "Saya akan kekal seperti diri saya dalam segala perkara yang dilakukan, berkongsi apa yang saya ketahui dan mendidik orang ramai."

YOUNG (tengah) mengetepikan dua pencabar terdekatnya iaitu Lorphelin dari Perancis dan Okailey Shooter dari Ghana, masing-masing mengisi tempat naib juara dan ketiga.


Latar belakang
Young dilahirkan pada 27 Februari 1990 di Alexandria, Virginia, Amerika dan menetap di sana sehingga mencapai usia 10 tahun. Selepas itu, wanita yang berdarah kacukan Amerika-Filipina ini kembali ke republik berkenaan dan berkecimpung dalam dunia seni hiburan seawal usia 15 tahun. Dia terlibat dalam pelbagai program hiburan sama ada sebagai pengacara, pelakon dan peserta program realiti, di samping aktif dalam bidang peragaan.
Young pernah melafazkan cita-citanya untuk bertugas di belakang tabir selepas benar-benar mahir dalam bidang pengarahan.
"Saya mahu menjadi pengarah. Hanya selepas saya dapat belajar segala selok-belok dunia pengarahan dan dianggap layak," katanya yang kini menuntut jurusan Pembikinan Filem Digital di Kolej De La Salle di Saint Benilde.
Penglibatan jelitawan bermata perang yang setinggi 1.7 meter menerusi rancangan pencarian bakat realiti, StarStruck, telah berjaya melonjakkan namanya dalam arena hiburan tempatan. Walaubagaimanapun, dia tidak mendapat peluang yang baik untuk menonjolkan imej dirinya dalam bidang lakonan. Selepas dua tahun bersama Pusat Artis GMA, dia mengambil keputusan berpindah ke ABS-CBN, stesen televisyen pesaing GMA.
Di sana, dia muncul dalam pelbagai rancangan dan menempa nama menerusi watak Shane dalam siri sains fiksyen Kokey. Dia juga dikenali secara meluas selepas tampil dalam rancangan realiti Pinoy Big Brother: Edisi Selebriti 2.
Tidak ketinggalan, beberapa rancangan lain yang menggunakan khidmatnya sebagai pengacara seperti Channel [V] Philippines dan berlakon dalam siri televisyen seperti Hiyas, Never Say Goodbye dan Misibis Bay serta filem The Reunion.
Penampilan pertandingan
Kemunculan wanita serba berbakat di hadapan kamera ini seakan-akan sudah diduga akan mengukir imej dan personaliti tersendiri di pentas peragaan Ratu Cantik Dunia 2013.
Memakai sehelai gaun berwarna merah jambu lembut yang direka khas memberi nilai tambah kepada personaliti Megan. Tenunan penuh ketelitian dan kesempurnaan bertatahkan kristal itu adalah hasil rekaan pereka fesyen antarabangsa dari Filipina, Francis Libiran.
BUSANA perak rekaan Puteri Ayu Mirah ini membawa tuah kepada Young yang turut memenangi pusingan Top Model.


Dres potongan ikan duyung menggunakan material tulle dengan tampalan batu jemeki itu juga merupakan antara gaun petang yang mendapat perhatian sebagai rekaan terbaik. Sepasang anting-anting berlian yang sederhana besar menjadi pelengkap penampilan yang ringkas tetapi penuh elegan itu.
Tarikan Young terhadap barisan juri profesional tidak terhenti pada penampilan fizikal, tetapi juga dari segi pekertinya apabila memberikan jawapan bernas dalam sesi soal jawab acara kemuncak pertandingan itu, yang mana kesemua enam finalis ditanya: "Mengapa anda harus menjadi Ratu Cantik Dunia?"
Mengetengahkan nilai-nilai teras seorang ratu cantik dan bagaimana beliau berharap ia dapat membantu masyarakat, Young menjawab : "Saya sangat menghargai nilai kemanusiaan dan bagaimana ia memimpin manusia untuk bertindak. Saya akan menggunakan nilai ini sebagai contoh bagaimana manusia boleh memahami antara satu sama lain."
"Apabila bersatu, kita dapat membantu masyarakat," ujarnya lagi.
Selain pakaian yang diperagakan pada malam kemuncak ratu cantik, Young juga mengenakan rekaan pereka fesyen Indonesia, Puteri Ayu Mirah Suardhana, dalam pusingan Top Model. Gaun songket sutera Bali berbenang perak yang dilengkapi dengan perhiasan Bali ternyata memberikan tuah kepadanya apabila dinobatkan sebagai juara pusingan yang juga merupakan salah satu pengisian penting lain dalam pertandingan ratu cantik itu.
Pengarah Nasional Ratu Cantik Filipina, Cory Quirino memberitahu, juri-juri ratu cantik dunia sememangnya mengagumi kecantikan unik yang dimiliki Young selepas pertama kali mereka melihatnya di Bali.
"Mereka sangat kagum dan mahu mengenali lebih dekat tentang dirinya," katanya mengenai sifat menawan semula jadi pada Young.


Provokasi gaya metropolitan

Posted: 07 Oct 2013 08:01 PM PDT

WAK DOYOK mencuri tumpuan dalam persalinan rekaan Rizal Latif.


ACARA Men's Fashion Runway 2013 yang berlangsung di Actor Studio, Lot10, Kuala Lumpur baru-baru ini seperti dilaksanakan tanpa perancangan rapi.
Sebelum pertunjukan fesyen busana lelaki oleh lapan pereka tempatan dimulakan, keadaan di dalam ruangan acara itu hampir sepi gara-gara kekosongan tempat duduk yang sangat ketara.
Ketika itulah tanggapan negatif terhadap kelancaran acara itu terbentuk dan hadirin mula mempersoalkan, adakah ia sebuah acara fesyen yang bagus? Lantas, apabila lampu dimalapkan membiarkan tumpuan difokuskan kepada pentas utama, ketidakselesaan penonton perlahan-lahan terlebur saat model-model jejaka menguasai pentas dalam persalinan rekaan Hazzerwan Hazley.
Graduan Universiti Heriot-Watt, Edinburgh, United Kingdom itu bijak mengimbangi paduan rona asas hitam dan putih. Pinjaman ideologi Jepun dalam koleksinya tampak indah terutamanya apabila dia memilih untuk memaparkan motif-motif flora.
Keterujaan hadirin untuk terus menyaksikan rekaan pereka seterusnya terbunuh apabila penganjur menyelitkan persembahan nyanyian pada setiap selang pertunjukan fesyen. Terus terang, acara yang sepatutnya menjadi medan pereka tempatan berkongsi karya kreatif mereka, terjejas teruk dek kesilapan susun atur cara yang meleret.
Memikat mata
Slot pertunjukan fesyen diteruskan dengan koleksi jenama lokal, Kitschen yang mempersembahkan rekaan bertemakan fesyen jalanan. Secara jujur, ia satu-satunya koleksi pakaian paling logik untuk digayakan masyarakat umum yang dipersembahkan pada malam itu.
Bagaimanapun, kemeja batik tangan rona hitam putih di bawah koleksi Andy Sulaiman juga memikat mata. Bersahaja dan berjiwa fusion, sesuai untuk pencinta gaya etnik urban.
SOROTAN pakaian bertemakan cetakan tangan blok batik tempatan menjadi pilihan Roslan Wilkinson.


Hasil kerja Rizal Latif yang menonjolkan gaya bersut kasual kemudiannya mempesona hadirin. Rizal juga berjaya memancing penonton apabila menjadikan ikon fesyen lelaki tempatan, Wak Doyok sebagai muse utama. Sut butang berganda nada biru elektrik terletak sempurna pada tubuh Wak Doyok sekali gus memberi petanda bahawa Rizal ingin terus serius menghasilkan rekaan berkonsep sedemikian.
Lari daripada nilai fungsional, signatur pencetus gelombang fesyen avant garde di Malaysia terlihat jelas pada koleksi musim luruh dan sejuk terkini daripada Joe Chia. Rentetan pakaian berona gelap pada malam itu mengekalkan nama Joe Chia dalam kelas eksklusif yang tersendiri.
Koleksi musim bunga/panas 2013 William Liew kemudiannya mengambil alih. Sarat dengan motif flora, rekaan William mudah dihadam hadirin sebagai pakaian santai yang tidak keterlaluan.
Elemen flora turut diaplikasikan pereka senior, Roslan Wilkinson. Ujarnya: "Trend musim bunga dan panas 2014 saya memaparkan kemeja cetakan tangan yang mengetengahkan cetakan blok batik warisan Malaysia. Ia merangkumi pakaian daripada warna lembut sehingga rona gelap dan nada tegas."
Menutup pentas peragaan malam itu ialah koleksi pakaian resort cetusan Melvin Shah. Seleksi rekaan berani daripada material likra menggamatkan suasana acara terutama ketika supermodel lelaki negara, Wilson Tan melangkah penuh karisma dalam persalinan stailo yang sempurna digayakan sang jejaka ketika berlibur.


Ekspresi kecantikan bulu mata

Posted: 07 Oct 2013 08:00 PM PDT


BULU mata yang dijaga dan dirias dengan baik akan menyempurnakan kejelitaan wajah seorang wanita.


SATU aspek yang mungkin kurang diberi perhatian dalam penjagaan kesihatan kecantikan ialah bulu mata.
Berbicara mengenai kecantikan bulu mata, kita mempunyai opsyen sama ada untuk mengaplikasi maskara atau memakai bulu mata palsu.
Penjagaan bulu mata amat penting supaya ia kekal memberi nilai kepada kecantikan mata secara menyeluruh walaupun pada hari tanpa solekan.
Bulu mata yang panjang, tebal, lentik dan hitam pasti menjadi idaman setiap wanita.
Bulu mata yang memenuhi kriteria itu, akan memberi kelainan dan menyerlahkan ekspresi, terutama sekali bersifat menggoda, manja dan penuh emosi.
"Bulu mata memainkan peranan penting dalam melindungi mata daripada elemen luar," kata perunding klinikal College of Optometrists, London, Dr. Susan Blakeney.
Bulu mata mampu bertahan selama tiga bulan sebelum gugur dan ia mengambil masa selama dua bulan atau lebih untuk tumbuh sempurna.
Walaupun berlaku keguguran bulu mata, kita tetap memiliki jumlah bulu mata yang sama sepanjang hayat.
Faktor keguguran
Pertama sekali penggunaan kosmetik yang kerap dan tabiat kita sendiri yang menyebabkan keguguran bulu mata. "Sama seperti rambut, bulu mata gugur selepas tamat kitaran hidup mereka," jelas Blakeney.
Faktor lain termasuk jangkitan dan kemeoterapi. Amalan menggosok mata, penggunaan maskara untuk tempoh lama dan maskara kalis air juga memudaratkan bulu mata. Ia boleh menyebabkan bulu mata kering dan mudah patah.
Penjagaan
Amalan diet sihat dan penjagaan kesihatan mata, asas untuk kesihatan penjagaan bulu mata. Namun, berikut disediakan beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menjaga bulu mata.
n Gunakan pembersih mata yang mesra pada mata. Jangan gosok mata tetapi bersihkan dengan lembut.
n Jangan tarik bulu mata anda, kerana akar bulu mata sangat sensitif.
n Jika anda menggunakan pelentik bulu, pastikan anda tidak menarik bulu mata.
n Jika anda mahu menggunakan sikat bulu mata maskara, pastikan ia dilakukan sementara bulu mata anda masih basah.
n Jangan gunakan maskara atau krim mata yang sudah lama. Ia mungkin terdedah kepada bakteria yang boleh merosakkan bulu mata dan mata secara keseluruhan.

MINYAK badam sesuai dijadikan perapi bagi melembut dan memperkuatkan bulu mata.


Penggunaan perapi
Sapukan jeli petroleum atau Vaseline pada bulu mata. Ia boleh berfungsi sebagai perapi dan melembut serta menampakkan bulu mata yang sempurna serta sihat.
Anda juga boleh membeli perapi bulu mata yang kaya dengan protein seperti keratin atau biotin untuk melembut, memperkuat dan menghidrasi bulu mata.
Perapi bulu mata juga membantu mengelak bulu mata putus.
Kaedah lain untuk menghidrasi bulu mata ialah menggunakan minyak badam, minyak zaiton atau minyak jarak.
Urut lembut bahagian bulu mata dengan minyak tersebut sebelum tidur. Ia akan menyerap masuk dan dalam beberapa hari sahaja, anda akan dapat lihat bezanya.
Bulu mata palsu
Lebih baik mengelak daripada menggunakan bulu mata palsu. Ini kerana penggunaan gam untuk bulu mata boleh mencederakan bulu mata sebenar anda. Apabila anda menarik keluar bulu mata palsu, bulu mata sebenar mungkin tercabut.
Nutrisi diet
Pakar diet bertauliah dari New York dan juga kolumnis kecantikan untuk Guardian, Carlene Thomas mendedahkan beberapa nutrisi diet banyak membantu penjagaan bulu mata. "Vitamin B, khususnya biotin menggalakkan pertumbuhan bulu mata. Kekurangan biotin pula memberi kesan yang sebaliknya."
Cara mengambil nutrisi itu adalah memakan makanan yang kaya dengan biotin atau mengambil suplemen. Antara makanan yang kaya dengan biotin ialah yis, hati, kobis bunga, ikan salmon, pisang, lobak merah, kuning telur dan cendawan.


Barisan pinggan bersih terpanjang di dunia

Posted: 07 Oct 2013 07:58 PM PDT

FITZWILLIAM (kanan sekali) memerhatikan proses mengukur panjang jarak pinggan yang dicuci.


SEKUMPULAN kakitangan syarikat pengeluar cecair pencuci pinggan mangkuk terulung di 31 buah negara, Joy, mencipta sejarah apabila memecahkan Guinness World Records bagi barisan pinggan bersih terpanjang di dunia.
Sebanyak 26,213 pinggan berjaya dicuci menggunakan Joy disusun mengelilingi trek olahraga Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan jarak sejauh 6.8 kilometer pada 14 September lalu.
Rekod dunia terbaharu itu dicapai dengan hanya sebotol Joy 800 mililiter. Setelah selesai, masih ada cecair Joy di dalam botol!
Procter & Gamble, syarikat pencuci pinggan mangkuk itu turut menyatukan rakyat Malaysia menerusi hidangan nasi lemak percuma yang diberikan kepada mereka yang hadir di stadium tersebut.
Sebelum itu, pinggan-pinggan turut dikumpul daripada beberapa buah universiti di sekitar Lembah Klang.
Ia kemudiannya, dicuci oleh 16 orang staf Joy menggunakan sebotol Joy sebelum diatur oleh 200 sukarelawan di sepanjang trek olahraga itu.
Masa mencuci kesemua pinggan itu mengambil masa selama sembilan jam bermula 7 pagi hingga 4 petang.
"Saya sungguh gembira kerana Joy berjaya memecahkan Guinness World Records untuk barisan pinggan bersih terpanjang di dunia.
"Ini membuktikan bahawa Joy mampu mencuci jumlah pinggan yang banyak iaitu lima kali lebih berkesan berbanding cecair pencuci pinggan mangkuk biasa. Botol Joy bersaiz kecil tetapi berkuasa ini telah membanggakan Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Negara, P&G Malaysia dan Singapura, Nicolas de La Giroday.
Kejayaan itu disahkan oleh Pegawai Guinness World Records, Blythe Fitzwilliam.
Tambahnya, kejayaan pecah rekod Joy adalah hasil gabungan usaha rakyat Malaysia yang hadir pada majlis tersebut.
"Acara ini merupakan laluan terbaik untuk melancarkan Joy ke pasaran Malaysia.
"Saya berharap selepas ini, Joy akan menjadi cecair pencuci pinggan mangkuk yang wajib ada di dalam setiap dapur di Malaysia," ujarnya.

PROSES mencuci pinggan menggunakan cecair pencuci pinggan, Joy.


Bangga
Usaha memecahkan rekod dunia tersebut menjadi lebih bermakna dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, yang mengetuai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Kebangsaan.
"Acara ini secara tidak langsung mempamerkan kerjasama antara rakyat dalam mencipta sejarah dunia. Semua yang hadir hari ini boleh menyatakan dengan bangga bahawa mereka telah membantu menempatkan nama Malaysia di peta dunia.
"Ribuan tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya menyempurnakan usaha ini bersempena Hari Malaysia," kata Joseph.
Rahsia di sebalik kejayaan produk inovatif Joy terkandung di dalam setiap titis cecairnya.
Kuasa penanggalan minyak lima kali lebih hebat berbanding jenama-jenama lain, Joy mampu menghapuskan 100 peratus minyak degil sekali gus menjadikan tugas mencuci pinggan jauh lebih mudah.
Duta-duta jenama Joy, pelakon Sharifah Shahirah dan pengacara, Chui Ling turut mengumpulkan rakan-rakan selebriti mereka untuk menyertai cabaran mencuci pinggan dan menghiburkan para hadirin.
"Kepada wanita-wanita di luar sana, usah risau pasal tugas membasuh kerana Joy menjadikannya sungguh mudah.
"Kami yakin selepas sekali mencuba pasti anda terpesona! Buihnya yang tahan lama membuatkan kerja mencuci amat memuaskan. Walaupun produk ini berkuasa, ia mesra pada tangan," ujar Sharifah Shahirah dan Chui Ling.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Chong Poh Yen tidak sabar untuk mendapatkan sebotol Joy.
"Apa yang saya saksikan hari ini sungguh menakjubkan dan Joy telah membuktikan ia merupakan satu produk yang hebat," katanya.
Joy boleh didapati dalam tiga jenis iaitu Refreshing Lemon, Sparkling Lime dan AntiBac pada harga cadangan runcit RM4.95 untuk botol 250 mililiter (ml), RM13.95 untuk botol 800ml dan pek isian semula pada harga RM3.50 untuk 200ml dan RM9.95 untuk 600ml.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved