ads

Khamis, 3 Oktober 2013

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Elfira Loy Bukan Lagi Artis Eksklusif Astro

Posted: 03 Oct 2013 08:13 PM PDT


Elfira Loy
PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy bukan lagi artis eksklusif stesen televisyen Astro selepas kontraknya tamat pada Disember tahun lalu.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy, 19, berkata, dia telah bernaung di bawah stesen itu sejak dua tahun lalu dan merasakan sudah tiba masanya untuk berdikari dengan menguruskan kerjaya sendiri.
"Saya dah nak masuk umur 20 tahun dan sudah tiba masanya saya menguruskan kerjaya sendiri.
"Lagipun kontrak saya sudah tamat pada hujung tahun lalu di mana pihak Astro memberikan saya buat pilihan sama ada mahu sambung atau tidak," katanya kepadamStar Online.
Elfira ditemui pada majlis pelancaran produk syampu anti kelemumur terbaharu jenama Sunsilk Hair Fall Solution di Sunway Piramid di sini pada Khamis.
Tambah Elfira, dia juga bersyukur, walaupun tidak menyambung kontrak dengan Astro, dia masih lagi menerima pelbagai tawaran drama daripada stesen berkenaan.
Sementara itu, Elfira menghadiri majlis pelancaran Sunsilk itu sebagai tanda sokongan terhadap produk terbabit.
Lebih-lebih lagi kata Elfira, dia seorang penggemar produk berkenaan sejak dulu kerana ia dapat mengatasi masalah keguguran rambut.
"Saya seorang yang sangat peka berkaitan kecantikan diri terutamanya rambut. Sebelum ini saya sering mengamalkan penjagaan rambut cara tradisional dengan menggunakan santan dan bunga raya.
"Bagaimanapun, apabila dah dewasa dan sibuk dengan kerja-kerja lakonan, saya akan ke salon untuk mendapatkan rawatan rambut sekurang-kurangnya sekali salam tiga hari dan selebihnya saya menggunakan syampu Sunsilk di rumah," tuturnya.
Selain Elfira, aktres Liyana Jasmay turut hadir ke palancaran produk syampu berkenaan.
Dalam pada itu, pengurus jenama Sunsilk iaitu Phoenix Ho berkata, pihaknya turut mengadakan peraduan buat pengguna jenama itu dengan menghantar sekeping gambar bersama kapsyen yang menarik ke laman sosial 'Facebook Sunsilk Malaysia'.
"Seramai 25 orang akan dipilih melalui sistem undian di Facebook untuk memenangi sebuah Ipad Mini serta menghadiri parti akhir tahun Sunsilk.
"Peraduan akan bermula pada Oktober dan saya percaya di zaman teknologi ini, pelbagai gambar dan kapsyen menarik boleh dilakukan dan semestinya saingan pasti akan sengit," kata Phoenix.

'Designer DD Naik Haji' Lakonan Pertama Didie Alias Bersama RTM

Posted: 03 Oct 2013 08:12 PM PDT


Didie Alias
KUALA LUMPUR: Telefilem Designer DD Naik Haji merupakan lakonan pertama Didie Alias, 40, bersama produksi terbitan RTM biarpun sudah lama berada dalam industri seni tanah air.
Penerbit Eksekutif RTM, Ibrahim Ismail berkata, perkara tersebut disebabkan sebelum ini pihaknya tidak mempunyai watak yang bersesuaian dengan pelakon wanita tersebut.
"Telefilem ini merupakan drama pertama lakonan Didie Alias bersama RTM. Sebelum ini nama dia tidak pernah tersenarai untuk berlakon bawah pihak kami. Mungkin kerana tiada watak yang sesuai," katanya pada sidang media telefilem di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri, di sini, Khamis.
Tambahnya, pemilihan Didie sebagai pemegang watak utama dalam drama khas sempena Hari Raya Aidiladha itu adalah berikutan karakternya sebagai 'Lady Gaga Malaysia'.
"Kita mencari seorang yang berkarakter seperti Lady Gaga dan hanya seorang sahaja di Malaysia iaitu Didie Alias dan kita juga menggunakan nama asalnya sebagai tajuk drama ini.
Barisan tenaga kerja yang terlibat dalam telefilem 'Designer DD Naik Haji'.
"Alhamdulillah dia terima tawaran ini dan menjayakan drama ini dengan baik," katanya.
Sementara itu, Didie atau nama sebenar Fadzilah Muhd Ali mengakui teruja dapat bekerjasama dengan pihak RTM buat pertama kali sepanjang kerjayanya sebagai pelakon.
"Sebelum ini ada beberapa tawaran drama tapi terpaksa ditolak kerana bertindih dengan penggambaran lain. Namun begitu saya banyak terlibat sebagai pengacara dengan pihak RTM," katanya.
Drama ini mengisahkan mengenai seorang pereka fesyen yang berhasrat untuk mendekatkan diri dengan agama dan ingin menunaikan ibadah Haji namun mendapat tentangan keluarga.
Ia turut dibarisi pelakon popular Amar Asyraf, Chacha Maembong dan Maimunah Ahmad.
Designer DD Naik Haji bakal disiarkan pada 15 Oktober ini pada pukul 10 malam di TV1.

Ayu Damit & Suami Tanam Nanas, Kelapa

Posted: 03 Oct 2013 08:10 PM PDT


Ayu mengakui semakin selesa bergerak sendiri tanpa diuruskan oleh pihak pengurusan.
PETALING JAYA: Ketika ramai artis beralih kepada bidang perniagaan seperti membuka restoran, penyanyi Ayu Damit pula sebaliknya apabila melibatkan diri dalam pertanian dengan menanam nanas dan kelapa.
Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, 24, berkata, aktiviti pertanian itu sudah dijalankan sejak beberapa bulan lalu yang dilakukan atas sebidang tanah di kampung suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 26, yang terletak di Kuala Kangsar, Perak.
"Kami memilih untuk memulakan perniagaan itu di Kuala Kangsar kerana senang untuk kami berulang-alik bagi memantau tanaman yang baharu sahaja dimulakan.
"Potensi bidang pertanian sangat besar sebenarnya dan permintaan terhadap nenas dan kelapa juga tinggi. Perkara itu membuatkan kami yakin ia akan berjaya," jelasnya kepadamStar Online
Tambah Ayu, sejak memulakan tanaman tersebut mereka sering menghabiskan masa di kampung bagi memantau perkembangan tanaman itu di kebun selain mengambil kesempatan untuk bertemu keluarga dan sanak-saudara.
Dalam perkembangan lain, Ayu tidak menyangka keputusannya untuk tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone hampir setahun lalu banyak mengubah kerjayanya.
Katanya, sejak menguruskan sendiri kerjaya nyanyian, undangan yang diterima semakin banyak sehingga kadang-kala terpaksa menolak permintaan pihak penganjur.
"Sebelum ini pihak penganjur sukar untuk mendapatkan saya kerana perlu menerusi pihak pengurusan dan bayaran yang dikenakan juga agak tinggi.
"Apabila saya menguruskan sendiri kerjaya, ia lebih mudah dan bayaran yang saya minta juga berpatutan dan Alhamdulillah tawaran semakin banyak," katanya.
Ujar Ayu, walaupun sebelum ini dia tidak begitu yakin dapat menguruskan kerjaya sendiri namun dia optimis dapat belajar selok-belok mengenai bidang muzik dan berurusan dengan orang lain.
Sementara itu Ayu kini sibuk untuk merakamkan single ciptaan Aubrey Suwito tidak lama lagi.

Tikus gergasi ditangkap

Posted: 03 Oct 2013 08:05 PM PDT

  • Tikus gergasi ditangkapTikus menjadi hidangan penduduk di Hunan.

HUNAN - CHINA.Seekor tikus gergasi seberat lebih lima kilogram ditangkap petani Cina di Shaoyang, Hunan, China.

Tikus seberat 10 kali ganda daripada tikus biasa itu pertama kali dikesan selepas memakan ikan seberat tiga kilogram dari sebuah kolam di kampung Shaoyang yang selama ini mengganggu ketenteraman penduduk kampung.

Menurut media tempatan, selepas dibunuh petani menghadapi kesukaran untuk menyiangnya kerana kulit dan tulang yang tebal.

"Dua bilah pisau patah semasa mereka cuba memasaknya," menurut laporan itu kepada Daily Mail.

Tikus merupakan makanan tradisional di Guangdong, selatan China dan dipercayai tiga kali lebih berkhasiat berbanding ayam.

Diserbu ketika memadu asmara

Posted: 03 Oct 2013 08:04 PM PDT

  • Diserbu ketika memadu asmaraAnggota Imigresen (tengah) menahan seorang warga tempatan dan seorang wanita yang dipercayai memberikan khidmat seks di sebuaah hotel murah.

TELUK INTAN - Seorang lelaki tempatan yang asyik memadu asmara bersama seorang wanita di sebuah hotel murah di Jalan Raja terkejut apabila diserbu sekumpulan anggota  Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, dalam satu operasi,  malam kelmarin.

Bahkan wanita berkenaan juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Imigresen yang menyertai Ops 6P Bersepadu di hotel murah tersebut.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, operasi yang diketuai beliau turut disertai 12 anggotanya dan dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Teluk Intan.

Menurutnya, sebanyak enam lokasi diserbu dalam masa dua jam dan pihaknya berjaya menahan dua wanita di premis berasingan.

"Dua wanita berusia lingkungan 30-an itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di  hotel murah di sini dan salah seorang daripada mereka  dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.

"Hasil risikan dibuat mendapati, hotel murah berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 bagi satu sesi, malahan pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke lokasi lain namun dikenakan caj," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan bagi tujuan siasatan.

Katanya, JPN turut memeriksa wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan namun, MyKad salah seorang daripadanya diragui.

"Dalam kes ini, JPN turut menyiasat kes tersebut bagi mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh wanita warga Indonesia tersebut.

"Wanita warga Indonesia berkenaan disiasat di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini  ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut," katanya.

Debaran menanti cahaya mata sulung

Posted: 03 Oct 2013 08:02 PM PDT



TIDAK pernah merancang sama ada memperoleh cahaya mata dalam tempoh yang cepat atau lambat, rezeki telah memihak kepada pasangan romantik, pelakon Beego dan Linda Hashim.
Setelah berumah tangga pada bulan Jun lalu, akhirnya pelakon yang baru sahaja tampil dalam filem Tanda Putera itu disahkan mengandung tujuh minggu.
Yang nyata, jelas terpancar riak wajah gembira kedua-dua pelakon berkenaan sewaktu ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini terutama sekali Beego memandangkan ini merupakan perkahwinan kali kedua buat dirinya.
"Apabila doktor mengesahkan yang Linda hamil, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira kerana bakal bergelar bapa.
"Ia merupakan perkara yang tidak dijangka sama sekali, meskipun kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata," ujar pemilik nama sebenar Md. Aszerul Nizam Abdullah itu.
Meneruskan perbualan mengenai detik-detik awal sebelum mengetahui isteri tersayang hamil, Beego memberitahu, dia selalu berasa kurang sihat dan tidak sedap badan.
Beranggapan bahawa keadaan yang dilaluinya itu sebagai perkara biasa akibat keletihan kerana sibuk dengan aktiviti lakonan, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja tanpa memikirkan bahawa ia merupakan tanda awal yang dia bakal bergelar seorang bapa.
"Beberapa hari sebelum isteri membuat pemeriksaan di hospital, saya lihat keadaan isteri pula yang selalu letih. Selain itu, dia juga sudah mula menunjukkan simptom seperti wanita mengandung.
"Setelah pemeriksaan dijalankan, Linda didapati hamil oleh doktor dan akibat terlalu gembira saya terus melompat kerana teruja dengan berita gembira yang disampaikan kepada kami," ujarnya.

SELEPAS lebih tiga bulan bernikah, Linda dan Beego kini mempersiapkan diri untuk bergelar ibu dan bapa kepada anak yang dikandung Linda.


Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya setelah isterinya hamil, pelakon itu menyatakan, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan seperti kebanyakan lelaki lain.
"Pada peringkat awal kehamilan pastinya merupakan cabaran yang paling besar buat pasangan suami isteri.
Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk isteri agar kandungannya berada dalam keadaan sihat.
"Meskipun usia kehamilan isteri saya masih lagi di peringkat awal, namun perasaan berdebar itu tetap ada menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini. Ia merupakan satu anugerah yang tidak terhingga dan merupakan pelengkap kepada kehidupan kami," luahnya.
Mengalah
Biarpun pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini tetapi ia merupakan pengalaman baharu buat Beego untuk menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang bakal bergelar bapa.
Beego mengakui, kehidupan yang dilaluinya sekarang ini pastinya agak berbeza berbanding ketika mula-mula berkahwin dahulu.
"Sebagai suami saya perlu bersedia dari awal, terutamanya mental dan fizikal. Pastinya bukan mudah untuk menjaga isteri yang baru kali pertama mengandung.
"Misalnya, kalau dia tidak dapat menjaga makan dan minum saya dengan baik, sudah tentu saya perlu mengalah kerana memahami keadaan yang harus dilaluinya sekarang. Sikap tolak ansur itu penting supaya isteri dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama bayi yang sedang dikandung," jelasnya.
Berkenaan dengan jantina bayi pula, pelakon berkenaan menyatakan, dia dan isteri tidak kisah mengenainya kerana dikurniakan cahaya mata juga merupakan satu kurniaan yang tidak terhingga.
"Buat masa ini tumpuan saya pastinya lebih terarah kepada isteri tetapi ia langsung tidak mengganggu kerjaya lakonan saya. Lagipun saya perlu lebih berusaha keras memandangkan perlu membuat persediaan untuk menyambut kelahiran anak kami nanti," ujarnya.
PASANGAN ini tidak kisah mengenai jantina anak yang bakal diperoleh nanti.


Tiada halangan
Ketika sesi temu bual berlangsung, Linda Hashim yang turut berada di samping suaminya itu menyatakan, dia agak terkejut dan tidak menyangka hamil dalam tempoh yang cepat selepas mendirikan rumah tangga.
Mengakui tidak merasakan sebarang perubahan yang besar sebelum mengetahui dirinya disahkan hamil oleh doktor, Linda masih meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa.
"Sudah tentu perasaan terkejut itu ada ketika menjalani pemeriksaan, namun pada masa yang sama tetap gembira dan bersyukur kerana ia sememangnya amat dinantikan kami berdua.
"Lagipun tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan saya hamil, kecuali badan cepat letih. Bagaimanapun, saya anggap ia satu perkara yang normal dengan jadual aktiviti yang tidak menentu," jelasnya.
Meskipun kini usia kandungannya sudah menginjak 10 minggu, Linda menyatakan, dia masih lagi terus berlakon buat masa ini dan Beego sendiri tidak kisah untuknya berbuat demikian.
"Ada ahli keluarga yang menasihatkan saya supaya kurangkan aktiviti lakonan setelah didapati hamil. Namun begitu, selagi mampu saya mahu teruskan juga tetapi terpaksa lebih selektif supaya tidak membebankan diri.
"Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan suami dan dia merestui serta memberi keizinan kepada saya untuk terus berlakon, asalkan saya pandai menjaga diri," jelasnya.
Ujar Linda, dia bersedia menerima sebarang tawaran lakonan tetapi drama atau telemovie yang tidak memerlukannya tampil dalam banyak babak atau penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.


Nama Izzue Islam dimanipulasi

Posted: 03 Oct 2013 08:01 PM PDT

FIGURA kacak ini mengakui dirinya tidak terlepas daripada membuat kesilapan.


NAMA Izzue Islam sememangnya popular dan kebanyakan peminatnya dalam kalangan wanita. Mengambil kesempatan yang ada, baru-baru ini wujud sebuah akaun palsu yang menggunakan nama Izzue Islam.
Apa yang tidak sedap didengar, si penipu tersebut telah membuat urus niaga jual beli telefon bimbit kepada peminat melalui laman akaun Instagram palsu yang diberi nama izzue_4teen. Bagaimanapun, perkara tersebut disedari Izzue sendiri setelah salah seorang pembeli membuat aduan dan memarahinya dalam Instagram sebenar milik Izzue.
Selain kes tersebut, wujud isu Izzue tidak berdisiplin dan kurang komitmen terhadap lakonan. Masalah tersebut timbul selepas Izzue dikatakan terlalu banyak mengambil tawaran selain telah berkahwin, Izzue didakwa tidak bersungguh sewaktu bekerja.
Ikuti temu bual dengan Izzue yang ditemui pada sidang akhbar filem terbaharu lakonannya, Hantu Tok Mudim di KRU Studios, Cyberjaya berkaitan kedua-dua isu yang kini melanda dirinya itu.
Kosmo!: Apakah perkembangan terkini tentang isu penipuan yang menggunakan nama Izzue untuk menjual telefon bimbit yang hangat diperkatakan baru-baru ini?
IZZUE: Saya juga sebenarnya tidak tahu dan terkejut dengan komen yang dibuat oleh seorang peminat di laman Instagram milik saya. Dia berurusan dengan orang lain tapi datang untuk meminta saya memulangkan wangnya sekitar bulan September lalu.
Sudahkah anda membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut?
Saya masih lagi belum membuat laporan polis tentang kejadian tersebut kerana masih sibuk dengan teater Maduku... Kalut di Istana Budaya. Bagaimanapun, saya sudah minta peminat yang ditipu itu untuk melakukan laporan polis. Kami juga sudah berbincang dan berbicara dengan salah seorang wanita yang ditipu itu.
Apakah nama akaun yang digunakan oleh si penipu?
Dia gunakan nama akaun instagram izzue_4teen yang mana menerusi akaun tersebut, dia membuat urus niaga jual beli telefon bimbit dengan harga RM300. Apabila si pembeli telah membuat bayaran, akaun si pembeli akan terus disekat olehnya. Akaun saya juga telah disekat oleh orang itu.
Selain itu, nombor akaun yang diberi pula, nombor akaun rakan isteri saya. Namun ramai yang ditipunya, terdiri daripada wanita dan remaja perempuan. Menambah lagi penipuannya, dia hanya boleh berhubung melalui Whatsapp sahaja. Antara nombor yang digunakan termasuklah 011-3151 6018 dan 011-2624 5773.
IZZUE meminta peminat yang menjadi mangsa penipuan pembelian telefon bimbit dengannya supaya membuat laporan polis.


Apakah saranan kepada peminatanda di luar sana?
RM300 itu bukannya jumlah yang sedikit. Perkara tersebut sebenarnya boleh mengganggu periuk nasi orang lain. Saya harap peminat tidak tertipu dengan perkara begini dan perlu berurusan dengan orang yang betul.
Jangan mudah mempercayai perniagaan sebegini. Mereka semua perlu berhati-hati. Jika fikirkan, takkan pula saya minta untuk masukkan wang ke akaun orang lain jika perniagaan itu saya yang buat. Sesiapa yang terkena, harap buat laporan polis dan ini sebenarnya akaun palsu yang meggunakan nama saya.
Izzue, bagaimana pula anda memberi respons terhadap dakwaan anda kini sudah mula semakin kurang berdisiplin dalam kerjaya seni selepas berkahwin?
Bagi saya sendiri, mungkin ada kesilapan yang saya lakukan secara sedar mahupun tidak. Namun setakat ini, saya tidak pernah lagi mendengar aduan daripada pihak produksi lain. Saya akui, mungkin juga saya pernah terlewat untuk sampai ke set penggambaran, tapi saya telah memaklumkan kepada pihak yang sewajarnya.
Adakah hal ini berlakukerana anda mengambil terlalu banyak tawaran sehingga tidak mampu mengawal jadual?
Saya tidak ambil banyak tawaran sebenarnya. Saya memang sudah susun jadual saya bersama pengurus saya. Saya tidak ambil tawaran yang bertindih kerana kami faham ia akan menyukarkan komitmen yang diberi kelak.
Berkemungkinan hal ini berlaku kerana saya terkejar- kejar ingin seimbangkan nyanyian serta lakonan. Namun bagi pihak produksi memang tiada masalah. Kami sudah bincang awal tentang jadual saya bersama pihak produksi.
Apakah tindakan yang mungkin akan anda lakukan?
Apa yang saya boleh katakan, mungkin sebelum ini saya tidak sedar akan kesilapan yang dilakukan. Saya mahu lama dalam industri ini. Justeru, kalau boleh saya tidak mahu melakukan kesilapan untuk mematikan karier saya sendiri.


Cerita jodoh Yus, Tauke

Posted: 03 Oct 2013 07:59 PM PDT

PADA usia 37 tahun, Tauke (kiri) masih mencari kekasih sejati manakala Yus kini merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya yang merupakan seorang setiausaha dan model sambilan.


MENGAKUI telah melangkau usia sebenar untuk berkahwin, kumpulan lawak duo, Jambu memberitahu telah mempunyai pasangan masing-masing dan akan menamatkan zaman bujang kelak.
Begitu, pengakuan Yus dan Tauke ketika bertemu pada majlis sidang akhbar program terbaharu berjudul Antabax Lat-Tali-Lat.
Yus yang kini sudah mencecah usia 37 tahun membuka bicara tentang perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.
"Insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun depan kerana ingin memberi peluang kepada bakal isteri untuk menyambung pelajaran pada peringkat ijazah sarjana.
"Dia merupakan seorang setiausaha di sebuah syarikat dan berasal dari Taiping, Perak. Mungkin sudah tiba masanya saya untuk berkahwin dan telah jumpa orang yang sesuai.
"Dia juga faham kerja saya dan mampu menjaga saya kelak sebagai seorang isteri kepada saya," cerita Yus yang mengenali bakal isterinya melalui laman sosial Facebook.
Tambahnya, wanita yang juga bekerja sebagai peragawati separuh masa itu dilihat calon yang paling sesuai buat dirinya.
Menunjukkan dirinya serius terhadap perhubungan tersebut, mereka telah berkenalan dengan keluarga masing-masing.
"Saya tertarik kepadanya bukan kerana paras rupa, sebaliknya saya tertarik kerana keperibadiannya yang sesuai dengan diri saya sendiri.
"Apa yang penting, pada umur saya yang sudah mencecah 37 tahun ini, kefahaman dalam perhubungan adalah sangat penting bagi saya," jelas pemilik nama sebenar Yussry Edoo ini.
Namun, bagi pasangan lawaknya, Zamatul Amri Zakaria atau lebih mesra disapa sebagai Tauke, dia pernah dilabel oleh masyarakat sebagai seorang 'kaki wanita'.
Ini kerana sejak namanya mula dikenali, Tauke sering saja dilihat bertukar pasangan melalui foto-foto yang dimuat naik dalam laman sosial seperti Instagram dan Facebook.
Namun, lelaki yang berusia 37 tahun ini punya jawapan tersendiri terhadap tohmahan yang acap kali dilemparkan kepadanya.
"Saya mempunyai masalah setiap kali menjalin hubungan dengan seseorang. Setiap kali saya sudah serasi dengan seseorang, pasti ada yang mengganggu hubungan itu. Sejujurnya, kerana perkara-perkara begini, saya hanya mampu bertahan dengan pasangan selama enam bulan sahaja.
"Jadi, biarlah selepas ini, jika saya sudah betul-betul membuat keputusan untuk berkahwin, baru saya akan uar-uarkan berita tersebut. Saya sebenarnya sayangkan pasangan saya dan serius dengannya.
"Oleh kerana itu, saya muat naik gambar kami di laman sosial. Namun, ia telah dirosakkan oleh segelintir orang yang hitam hatinya," luah Tauke yang kecewa dengan sikap segelintir masyarakat.
Selesa sebagai Jambu
Sejak bergabung, duo pelawak Jambu ini sering memberikan persembahan terbaik. Apabila bersama, keserasian mereka jelas terserlah ketika mengadakan persembahan di atas pentas.
Itu juga yang diakui oleh kedua rakan baik ini yang lebih selesa untuk beraksi berdua apabila di atas pentas, kaca televisyen mahupun di layar perak.
"Kadangkala, apabila saya lihat tawaran yang diberi bukan bersama Tauke, saya mungkin akan menolak tawaran tersebut.
"Saya sudah selesa dengan Tauke dan senang bergerak atau membuat kerja bersama," jelas Yus ringkas tentang Jambu.
Bicara Tauke memberi pendapat yang sama: "Apa yang membuatkan kami selesa bersama ialah tentang jadual. Contohnya, jika ada pihak yang inginkan Jambu, namun Yus punya tawaran lain secara individu, jadi itu akan menyukarkan kami untuk menerima tawaran bersama."
Justeru, kini mereka akan lebih mengutamakan tawaran untuk Jambu dahulu. Jika tiada tawaran bagi duo Jambu, maka tawaran secara individu akan dipertimbangkan.
Bercerita mengenai Antabax Lat-Tali-Lat, katanya, program tersebut akan disiarkan pada setiap Ahad, bermula 6 Oktober pukul 6.30 petang.
"Ia menampilkan 24 orang peserta dari sekolah-sekolah rendah yang akan beradu kecekapan dalam permainan tradisional Malaysia yang unik seperti Baling Tin, Konda Kondi, Tarik Upih, Galah Panjang, Tuju Tin dan Keting Ting," ujar Tauke.


Rosyam 'sailang' watak lain

Posted: 03 Oct 2013 07:57 PM PDT


KL Gangster 2 diolah lebih baik berbanding KL Gangster.


TERBABIT dengan kumpulan samseng bukan pilihan terbaik dalam hidup. Bagi menyelesai- kan masalah sama ada perlu membunuh atau dibunuh, mengkhianati atau dikhianati, dunia kegelapan itu tidak menuntut secebis perasaan belas kasihan.
Pengajaran yang ingin disampaikan menerusi filem prekuel KL Gangster 2 dipersembahkan jelas dan dijalin kemas dalam rentetan plot demi plot bersama aksi padat yang luar biasa kesannya kepada penonton tempatan.
Bagi sebuah filem aksi, KL Gangster 2 wajar diberikan pujian. Tidak hairanlah kos mencecah RM4.5 juta yang dilaburkan oleh pengarahnya, Syamsul Yusof, antaranya disalurkan untuk menjahanamkan beberapa buah kenderaan dan kesan khas letupan yang luar biasa.
KL Gangster 2 berdepan pelbagai halangan getir terutama kontroversi kebocoran versi penuh beberapa bulan sebelum tiba tarikh tayangan.
Namun, filem itu kekal bertahan dengan pengaruh peminat daripada filem terdahulu, KL Gangster.
Produksi KL Gangster 2 tidak betah dirodok dengan isu lanun cetak rompak yang menjadikan filem yang telah tiris disebar lebih meluas tapi tetap memilih tarikh asal 3 Oktober untuk ditayangkan, sedangkan ramai yang berpendapat ia seharusnya diawalkan tayangannya.
Dijalin kemas menerusi penceritaan mengenai pasangan adik-beradik yang berpecah berlandaskan prinsip hidup masing-masing tapi mengikut haluan sama iaitu korupsi, pengkhianatan dan pembunuhan.
Susur penceritaan dimulakan dengan krisis kehidupan Malek (Aaron Aziz) yang berdepan dengan tiga situasi genting – adiknya, Jai (Adi Putra) yang berhutang dengan kumpulan gengster, penyakit ibunya dan pelawaan ketua kumpulan samseng King (Ridzuan Ha- shim) yang mahu dia membantu menumpaskan kumpulan yang diketuai samseng psiko, Tailong (Rosyam Nor).
Situasi menjadi genting apabila kumpulan samseng menyerang ibu dan adik perempuannya, Zati (Sheera Iskandar) dan pada masa yang sama, ibunya disahkan menghidap barah otak.
Terdesak untuk mendapatkan wang bagi mengubati penyakit ibunya, Malek bersetuju untuk menganggotai kumpu- lan King.
Tindakan itu menyebabkan Tailong mula panas punggung dan mula berdendam dengan Malek.
Selangkah di hadapan, Syamsul terlebih dahulu memikirkan plot filem-filemnya kali ini.
KL Gangster 2 menjadi prekuel yang menjelaskan kejadian yang berlaku dua tahun lalu menerusi KL Gangster.
Ia termasuklah praperkembangan watak Malek sebelum dia dipenjarakan, kehidupan liar Zeti, kehidupan asal Shark (lakonan Syamsul Yusof) sebelum menjadi ketua gengster dan asal usul kemunculan karakter Tailong.
Mencuri perhatian, selain plot yang disusun kemas adalah babak pertarungan antara dua puak samseng yang jelas sukses dalam menduga adrenalin penonton.
Tanpa henti, diberikan bertubi-tubi serta memberikan ketidakselesaan sebagaimana kehendak penggemar filem aksi.
Dek kerana aksi filem itu yang digarap sarat, Syamsul sebenarnya membiarkan penonton mengalami sendiri permainan aksi tersebut.
Skrip klise tidak mengapa kerana ia telah dibayangi oleh beberapa aksi menarik serta efek letupan yang cukup hidup – tidak dibuat-buat. Koreografi kemas babak-babak pertarungan antara puak-puak samseng di beberapa lokasi menambah kredit filem itu.
Fakta menarik yang perlu dikongsikan, antara babak yang paling mencabar untuk dirakamkan adalah adegan aksi 10 minit pergaduhan tiga penjuru antara Malek, Jai dan Taikong yang memakan tempoh 16 hari penggamba- ran.
Dari segi daya lakonan, paling menyerlah sudah tentu Rosyam. Tailong yang direalisasikan Rosyam nyata lebih jahat, psiko dan liar berbanding watak-watak lakonannya yang terdahulu, baik Castello menerusi filem Castello, mahu pun Zain (Lenjan).
Ironinya, Rosyam berjaya mencuri fokus utama (atau dalam bahasa pasar dunia gengster ia dikenali dengan istilah sailang) daripada watak-watak utama KL Gangster 2 – Aaron Aziz, Adi Putra mahu pun Syamsul Yusof.
Kemunculan kembali bintang-bintang 1990-an, khususnya Angeline Tan turut mencuri perhatian menerusi watak Suzanne, isteri kepada King – wanita yang sarat pengkhianatan dan ketamakan.
Bagaimanapun, untuk penonton memahami lebih jelas perkembangan plot, sarikata berbahasa Inggeris sekurang-kurangnya mampu menyalurkan kefahaman memandangkan dialog bahasa pasar dunia gengsterisme bukan serasi dalam semua kelompok penonton.
Dalam pada itu, skrip kaedah ritma yang diungkapkan oleh karakter Ajib (Soffi Jikan) yang terlalu kerap dan diulang-ulang dalam beberapa babak menjejaskan sedikit fokus penonton.
Secara puratanya, KL Gangster 2 diolah lebih baik berbanding KL Gangster dan dikupas mendalam mengenai sisi gelap alam samseng tetapi pada masa sama menyampaikan mesej serta pengajaran bernilai dalam kehidupan sehari-hari.


Tingkat kemampuan berbahasa Inggeris

Posted: 03 Oct 2013 07:47 PM PDT



BAK peribahasa Melayu, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya', begitu juga dalam usaha menguasai sesuatu bahasa. Pendidikan bahasa itu perlu dimulakan sejak awal iaitu ketika anak masih kecil.
Di negara kita, penggunaan meluas bahasa Inggeris memerlukan ibu bapa mengambil pendekatan tambahan untuk meningkatkan kemahiran anak-anak berbahasa Inggeris. Inisiatif tersebut dapat membantu kanak-kanak membentuk rangkaian yang kukuh dalam mendalami kemahiran itu.
"Kami hanya menggunakan bahasa Melayu semasa berkomunikasi di rumah. Kelemahan kami berbahasa Inggeris turut memberi kesan kepada anak-anak. Di sekolah, anak-anak saya berkawan dengan kanak-kanak Melayu yang rata-rata latar belakang mereka serupa seperti kami," keluh Zailahwati Mohd. Misbah, 37, dari Meru, Klang.
Oleh yang demikian, dia dan suaminya, Sahabudin Saharudin, 37, menghantar anak mereka ke kelas bahasa Inggeris di Cambridge English For Life (CEFL) di Shah Alam.
"Pendedahan bahasa Inggeris yang profesional di pusat ini telah memberi kesan positif terhadap kemampuan anak-anak saya bertutur dalam bahasa berkenaan," ujar Zailahwati.
Menurutnya, kini, kesemua anaknya yang berusia 10, tujuh dan lima tahun bukan sahaja mula membaca buku berbahasa Inggeris malah keyakinan diri mereka turut meningkat. Sejak itu, mereka mula menyertai pelbagai pertandingan bahasa Inggeris di sekolah seperti bercerita dan mengarang.

GURU-GURU dilatih secara profesional oleh CEFL sebelum diserap sebagai tenaga pengajar.


Dalam pada itu, seorang pensyarah di sebuah kolej swasta, Yasotha Devi, 44, memberitahu, dia berasa sedih apabila mendapati tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajarnya begitu lemah.
Pelaburan
Keadaan itu umpama satu "amaran" kepadanya agar menitikberatkan pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris kepada anak-anaknya.
"Saya menghantar anak-anak ke kelas tambahan, membeli buku-buku yang menarik dan melibatkan mereka dengan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa Inggeris. Walaupun memakan masa, tenaga dan faktor kewangan, saya lihat ia sebagai satu pelaburan pada masa hadapan," kata ibu kepada dua orang anak berusia 13 dan 11 tahun itu.
Bahasa Inggeris merupakan bahasa natif bagi lebih 350 juta orang. Kajian oleh Pakar Kamus, Susie Dent dari Universiti Oxford, United Kingdom, menunjukkan bahawa seorang yang berbahasa Inggeris menggunakan 20,000 perkataan daripada 500,000 hingga sejuta perkataan yang ditemui dalam bahasa itu.
Persoalannya, berapa banyakkah perkataan yang kita atau anak gunakan menunjukkan kemampuan dan perkembangan bahasa itu?
"Saya sendiri tidak pernah menyedari kepentingan untuk mendedahkan anak-anak ke kelas bahasa Inggeris selain di sekolah. Antara sebab utama ialah kos dan sejauh mana ia berkesan?" itu persoalan yang berlegar di pemikiran Adnan Yassin, 47, bapa kepada tiga orang anak.
Bermanfaat
Selepas dinasihati beberapa orang rakan, dia menghantar anak ke kelas tambahan.
Dia juga turut meluangkan masa membuat aktiviti dalam bahasa Inggeris di rumah. Cara tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anaknya malah kepada dirinya sendiri.

IBU BAPA di negara ini masih ramai yang kurang sedar kepentingan anak-anak menguasai bahasa Inggeris.


"Sebelum ini, anak-anak saya tidak meminati bahasa Inggeris, namun kini mereka menunjukkan perkembangan yang positif. Mereka juga seronok apabila saya turut serta melakukan aktiviti dalam bahasa Inggeris bersama mereka.
Bagi Mohd. Din Mohd. Layer, 46, yang merupakan seorang pegawai bank percaya minat terhadap bahasa Inggeris boleh dipupuk dengan amalan berkomunikasi secara konsisten.
"Anak saya, Mohd. Amiruddin, yang belajar di sekolah agama, pada mulanya enggan bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi kini, dia menunjukkan kemajuan yang baik.
"Dia yang berada di semester ketiga tahap Flyers di CEFL tidak lagi malu berinteraksi dalam bahasa itu malah minatnya membaca buku dalam bahasa Inggeris juga semakin meningkat tanpa perlu dipaksa-paksa," ujar Din.
Pada pendapatnya, usahanya menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan selain di sekolah merupakan satu tindakan yang betul meskipun memerlukan kos tambahan.


Rasa hebat lakukan jenayah

Posted: 03 Oct 2013 07:44 PM PDT

ADA penjenayah sanggup membunuh diri kerana tidak tahan menanggung perasaan bersalah. - Gambar hiasan


MUTAKHIR ini, kita dikejutkan dengan begitu banyak berita berkaitan jenayah termasuk pembunuh upahan dan kumpulan kongsi gelap.
Ia menimbulkan tanda tanya kepada kita mengapa manusia cenderung melakukan jenayah? Adakah jenayah merupakan satu cara baharu untuk manusia mendapatkan keseronokan?
Itulah antara persoalan yang belum dapat dirungkaikan dalam kajian-kajian psikologi. Sekiranya salah laku jenayah atau keganasan mampu memuaskan hati manusia, ia mungkin hanyalah ilusi.
Kita selalu mendapati bahawa penjenayah yang dimomokkan sebagai bengis dan kejam, biasanya terpaksa menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika hukuman dijatuhkan ke atas mereka oleh mahkamah.
Malah, walaupun ada yang sanggup membunuh orang lain, pada akhirnya mereka rela membunuh diri kerana tidak lagi mampu menanggung perasaan bersalah.
Semua ini jelas menunjukkan bahawa penjenayah yang ganas sekali pun hanyalah manusia biasa.
Umumnya, kajian-kajian psikologi mendapati bahawa penjenayah selalunya datang daripada kelompok yang mempunyai 'penghargaan kendiri' yang rendah.
Bagi meningkatkan keyakinan diri, mereka menyertai kumpulan tertentu atau terlibat dengan jenayah yang membolehkan mereka dinilai sebagai manusia hebat dan luar biasa.
Kelemahan
Berdasarkan tanggapan ini, cubaan menutup kelemahan itulah yang menjebakkan diri mereka dengan jenayah. Sekiranya mereka lemah, mengapa mereka mampu melakukan keganasan dan kekerasan?
Seolah-olah mereka yakin terhadap perkara yang dilakukan, sedangkan bagi majoriti lain, mereka sangat takut untuk melanggar undang-undang. Apatah lagi untuk merompak atau membunuh orang tanpa rasa kasihan.
Dalam konteks ini, ahli psikologi menganggapnya sebagai satu bentuk 'ego diri'. Penjenayah ini perlu menunjukkan kekuatan mereka bagi memberitahu orang lain bahawa mereka bukanlah individu lemah, sebaliknya mereka adalah manusia unik.
Tekanan hidup turut mendorong seseorang melakukan jenayah. - Gambar hiasan


Mereka mahu menunjukkan bahawa mereka mampu melakukan apa yang tidak boleh dilakukan orang lain, walaupun tindakan itu mungkin bertentangan dengan norma dan peraturan hidup manusia.
Penyertaan dalam kumpulan jenayah tertentu juga mungkin ada kaitan dengan pengiktirafan psikologi ini. Semakin besar dan terkenal satu-satu kumpulan itu menyebabkan mereka berasa memiliki kehebatan tersendiri.
Sebab itulah, kita dapati aktiviti jenayah banyak berlaku dalam kelompok masyarakat minoriti, kumpulan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi.
Kelemahan diri telah ditukar kepada bentuk lain bagi membolehkan mereka mendapat pengiktirafan. Adakah undang-undang sedia ada tidak cukup untuk menakutkan manusia?
Hukuman
Sebenarnya, inilah juga antara isu yang sering dibahaskan dalam kajian-kajian psikologi. Umumnya, kajian mendapati ramai penjenayah tidak menghiraukan bentuk undang-undang atau hukuman bagi tindakan mereka.
Mereka juga tidak melakukan pertimbangan untung rugi dalam setiap tindakan jenayah, khususnya hukuman yang bakal diterima.
Mereka hanya mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh sekarang dan bukannya musibah pada masa hadapan.
Bagi sesetengah penjenayah, mereka cuma mempertimbangkan sama ada mereka akan ditangkap ketika melakukan jenayah atau berjaya menghindarkan diri daripada dihidu oleh pihak berkuasa.
Ego diri memperteguhkan perlakuan mereka tadi. Bagi segelintir penjenayah, mereka dikatakan mempunyai personaliti yang sukakan risiko. Semakin besar hukuman, semakin 'seronok' mereka melakukan jenayah terbabit.
Ini bukanlah bermakna undang-undang tidak diperlukan. Undang-undang diperlukan bagi mengawal perilaku mereka yang tidak mempunyai personaliti mudah melakukan jenayah.
Undang-undang diperlukan bagi membolehkan majoriti masyarakat yang tidak terlibat dengan jenayah berasa gerun dan menghindarkan mereka daripada terjebak.
Sebab itulah, penjenayah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dihukum setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Sekalipun mereka tidak takut atau menyesal, sekurang-kurangnya mereka menerima balasan atas perbuatan tersebut.
Kecenderungan segelintir ahli masyarakat menganggap penjenayah sebagai wira dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat.
Ia hanya akan meninggikan ego diri penjenayah untuk terus melakukan jenayah yang mengancam nyawa dan keselamatan negara.


Mengelilingi dunia di Intermark Mall

Posted: 03 Oct 2013 07:43 PM PDT


KANAK-KANAK yang menyertai peraduan mewarna peti harta karun di Intermark Mall berpeluang memenangi percutian menyeronokkan di taman-taman tema terkemuka seperti Sunway Lagoon (kiri) dan Universal Studios.


BAGI anda yang mempunyai anak-anak kecil, jangan ketinggalan membawa mereka menyertai peraduan mewarna peti harta karun di Intermark Mall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Oktober ini.
Pelbagai hadiah menarik seperti tiket masuk dan penginapan untuk empat orang ke Taman Tema Universal Studios di Singapura, Legoland di Johor dan Sunway Lagoon di Selangor sedia untuk dimenangi.
Pengarah The Intermark, Patrick Liau berkata, peraduan tersebut merupakan sebahagian daripada promosi Mengelilingi Dunia pusat beli-belah tersebut yang berlangsung pada 3 hingga 6 Oktober ini.
"Promosi ini bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian barangan dan cita rasa antarabangsa dari kedai, restoran dan rangkaian kesihatan dan gaya hidup yang disediakan The Intermark," katanya.
Dengan perbelanjaan serendah RM10, pengunjung boleh menikmati hidangan restoran-restoran dan kafe terkenal di podium melalui gerai-gerai promosi mereka di tingkat bawah dan tingkat satu. Para pengunjung juga berpeluang merasa pelbagai jenis keju di gerai-gerai tersebut.
Selain itu, pengunjung berpeluang mendapat baucar bernilai RM50 untuk dibelanjakan di Intermark Mall jika "pasport" mereka dicop sebanyak enam kali di gerai-gerai promosi yang disediakan. "Pasport" ini boleh didapati di kaunter penerangan di tingkat bawah.
Mereka yang menjamu selera di sana juga diberi potongan harga antara 20 sehingga 50 peratus bagi hidangan terkenal di restoran dan kafe yang mengambil bahagian.
Selaras dengan tema mengelilingi dunia, para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuklah samurai Jepun, nyanyian tenor; dendangan lagu-lagu klasik Cina dari Shanghai; pukulan kompang; tarian kipas Korea dan Flamenco dari Sepanyol.
Intermark Mall merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu The Intermark yang turut merangkumi Menara Integra, Menara Vista dan Hotel Double-Tree by Hilton.


Kejutan khas Fizo Omar

Posted: 03 Oct 2013 06:08 AM PDT

FIZO bakal mengadakan sidang akhbar mengenai perkahwinannya dengan Mawar pada hujung bulan ini.


PELAKON Fizo Omar yang bakal bertunang dengan model tudung Fareeda pada awal November depan memberitahu, dia bakal memberi kejutan khas pada sesi sidang akhbar mengenai perkahwinannya yang dirancang sekitar hujung bulan ini.
Menurutnya yang ditemui pada majlis Usahanita Hot Burger di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Kuala Lumpur baru-baru ini, kejutan itu sudah lama dirancangnya. Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan butiran kejutan itu secara terperinci.
"Apa yang boleh saya katakan, bakal ada kejutan, untuk siapa dan apa kejutannya, nantikan pada majlis sidang akhbar pengumuman pertunangan dan perkahwinan yang akan diadakan tidak lama lagi. Nama pun kejutan, jika saya beritahu sekarang bukanlah kejutan namanya. Harap semua dapat bersabar," katanya.
Tambahnya yang bakal bergelar suami kepada Mawar Abdul Karim iatu anak kepada pemilik tudung Fareeda, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan hubungannya dengan gadis berusia 24 tahun itu.
Sudah menjadi prinsipnya sejak bergelar pelakon, dia hanya berkongsi kisah kerjayanya sahaja bersama peminat.
"Saya tidak sorok, apa lagi kami akan bertunang kerana itu perkara baik. Cuma saya lebih selesa berkongsi kisah kerjaya dan kisah yang boleh memberi inspirasi kepada orang lain.
"Namun, apabila ramai yang sudah tahu, saya kongsikan sahaja mana yang termampu," ujarnya yang teruja dengan hari bahagianya.
MAWAR bakal disunting oleh Fizo untuk menjadi teman hidup pelakon itu.


Disoal tentang persiapan pertunangan, jelas Fizo, kesibukan kerjanya serta Mawar membataskan perjumpaan untuk persiapan pertunangan.
"Cincin sudah dibeli, cuma kami berdua terlalu sibuk. Jumpa pun tidak sempat, semuanya berbincang menerusi telefon sahaja.
"Kadang-kadang sebagai lelaki, saya rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa untuk memilih barang hantaran dan persiapan yang lain bersama. Mawar seorang yang sangat memahami, jadi tidak timbul sebarang masalah di situ," katanya.
Pakar motivasi
Dalam pada itu, Fizo mengakui yang dia sudah lama mengidamkan untuk bergelar seorang pakar motivasi pada masa hadapan.
Bahkan, Fizo yang hangat dengan perniagaan Hot Burger juga bakal mengeluarkan buku autobiografi yang ditulisnya sendiri pada penghujung tahun ini.
"Selepas saya menjalankan perniagaan Hot Burger dan membantu orang lain, secara automatik saya rasa berminat untuk menjadi pakar motivasi dan penulis.
"Saya bukanlah pakar motivasi yang mempunyai ijazah kedoktoran tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam hidup saya sendiri.
"Mungkin pada masa hadapan saya akan sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mempertingkatkan ilmu sebagai pakar motivasi kerana saya seronok dapat memberi inspirasi dan semangat kepada orang lain," ucapnya.
Jelas Fizo, selain buku, dia juga kini ligat menulis di blognya, www.fizoomar.blogspot.com sebagai medan untuknya berkongsi pengalaman bersama peminat dan orang ramai.
"Saya tidak tahu kenapa sekarang saya suka menulis. Walaupun sibuk, saya tetap luangkan masa menulis buku autobiografi kerana saya ingin kongsi apa yang saya lalui sehingga saya berada di tahap hari ini.
"Blog pula tempat saya mengemas kini aktiviti serta apa yang berlaku di sekeliling saya. Kiranya, blog tempat saya mengasah kemahiran menulis," terangnya yang semakin kurang berlakon.

BANTU WANITA... Fizo menjalinkan kerjasama dengan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita bagi memilih 10 ibu tunggal di setiap negeri di Malaysia bagi mengusahakan bisnes Hot Burger yang diasaskannya.


Bantu ibu tunggal
Perniagaan Hot Burger yang diasaskan Fizo bersama tiga rakan kongsi yang lain kini mendapat sambutan yang luar biasa. Biarpun hanya setahun lebih beroperasi, Hot Burger telah memiliki 60 cawangan gerai di seluruh negara.
Menariknya, selain membantu belia untuk berniaga, Hot Burger juga membantu ibu-ibu tunggal untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka.
Menerusi program Usahanita Hot Burger dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita dan disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, seramai 10 ibu tunggal di setiap negeri dipilih untuk memiliki gerai Hot Burger mereka sendiri secara percuma.
"Pihak Jabatan Pembangunan Wanita akan mengenal pasti ibu-ibu tunggal yang layak dan kami akan mengadakan sesi temu ramah terlebih dahulu sebelum mereka terpilih.
"Kami akan memberi latihan, kelengkapan gerai dan juga wang saku sebanyak RM500 ketika latihan sebagai bantuan untuk ibu tunggal yang layak," katanya.
Beritahu Fizo, setakat hari ini, bantuan Hot Burger untuk ibu tunggal baru sahaja bermula di Kuala Lumpur dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.
"Contoh di Kelantan, kami menerima 1,000 permohonan tetapi kami harus saring dan membantu mereka yang benar-benar susah sahaja.
"Saya rasa bangga dan gembira melihat orang yang dibantu telah berjaya dan mendapat pulangan pendapatan yang lumayan," ujarnya.


Fizz bersumpah bakal kahwini Almy

Posted: 03 Oct 2013 06:07 AM PDT

KURANG dilihat aktif berlakon sejak akhir-akhir ini, Fizz menegaskan, antaranya disebabkan watak yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan dirinya.


PELAKON Fizz Fairuz sekali lagi mengejutkan industri hiburan apabila membuat kenyataan bakal berkahwin dengan bekas kekasihnya, pelakon Almy Nadia pada tahun hadapan.
Sebelum ini, Fizz pernah bercinta dan membuat kenyataan ingin mengahwini Almy.
Bagaimanapun, tiba-tiba pelakon drama popular Nur Kasih itu kemudiannya bertunang dengan wanita lain.
Malangnya, wanita itu didapati merupakan isteri orang dan pertunangan mereka kemudiannya putus.
Terbaharu, Fizz sekali lagi membuat pengumuman ingin mengahwini Almy. Apakah 'drama' yang cuba dicipta lagi pelakon berusia 34 tahun itu? Adakah benar Fizz bakal berkahwin dengan Almy?
Kepada Kosmo! Fizz melanjutkan kenyataannya itu ketika ditemui pada majlis pengumuman empat selebriti iaitu Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Iqram Dinzly dan Fizz yang mendapat tajaan daripada butik mutiara terkenal, Rafflesia untuk melancong ke Cardiff City, Britain sambil menonton perlawanan bola sepak kelab Cardiff City menentang Manchester United di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Boleh Fizz ulas mengenai hasrat anda untuk berkahwin dengan Almy tahun depan?
FIZZ: Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana saya baru merancang. Saya belum lagi berjumpa dengan keluarganya. Bila keluar mengenai cerita saya ingin berkahwin dengannya ramai yang bertanya sedangkan saya hanya baru merancang.
Adakah Almy mengetahui hasrat anda ini kerana apabila bertanyakan hal ini kepadanya, dia seolah-olah tidak tahu-menahu. Almy juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Boleh komen?
Saya sendiri yang beritahu Almy jangan buka mulut selagi saya belum berjumpa keluarganya untuk berbincang mengenai hasrat saya untuk berkahwin dengannya.
Kenapakah Fizz menghalang Almy daripada membuka mulut tentang perkara tersebut?
Saya tidak mahu orang nampak salah dia jika perkahwinan ini tidak jadi. Biar orang nampak salah saya sahaja. Saya boleh kawal lagi tetapi dia tidak boleh. Nanti dia menangis lagi.
Jadi bilakah Fizz ingin berjumpa dengan keluarga Almy?
Kemungkinan saya akan berjumpa keluarga dia dalam masa terdekat ini untuk membincangkan mengenai perkahwinan kami.
FIZZ FAIRUZ mengakui yang dia bakal berjumpa keluarga Almy Nadia berkaitan urusan pernikahan mereka.


Adakah kenyataan Fizz untuk berkahwin dengan Almy kali ini benar? Ini kerana sebelum ini anda pernah berhasrat untuk berkahwin dengan Almy tetapi akhirnya bertunang dengan orang lain.
Demi Allah, saya bersumpah akan berkahwin dengannya.
Kenapakah anda berhasrat untuk berkahwin dengan Almy? Tidak segankah selepas apa yang anda lakukan terhadap dirinya?
Kenapa hendak segan. Dialah calon terbaik untuk saya jadikan isteri. Sudah tujuh tahun saya mengenalinya. Kami juga sudah mengharungi susah dan senang bersama. Saya berhasrat untuk berkahwin dengan Almy juga disebabkan ibu. Dia minta saya berkahwin sebelum dia menutup mata.
Khabarnya Fizz akan terus berkahwin dan enggan terlebih bertunang dahulu? Kenapa?
Saya sudah kenal dia lama, untuk apa lagi kami bertunang. Lebih baik segera berkahwin sahaja.
Fizz dilihat semakin kurang berlakon. Adakah disebabkan kontroversi yang melanda?
Ramai artis lelaki baharu yang muncul. Lagipun tawaran yang datang juga menawarkan watak yang tidak bersesuaian dengan saya.
Apakah projek baharu Fizz selepas ini?
Sekarang saya terlibat dengan Liga Lawak Superstar untuk siaran TV3. Saya juga baru habis penggambaran cerekarama juga untuk TV3.


Rahsia kecantikan Nad Zainal

Posted: 03 Oct 2013 06:06 AM PDT

  • Nad ZainalNad Zainal

Kehadiran figura bernama Nad Zainal dalam lapangan seni barang kali tidak perlu diperkenalkan lagi.

Biarpun menceburi bidang seni pada tahun 2007, namun bakat lakonan Nad mula mendapat perhatian selepas membintangi drama bersiri Bukan Bidadari  di samping Sharnaaz dan Azlee Khairi tahun lalu.

Bagaimanapun apabila bergelar pelakon, bukan sahaja bakat lakonannya yang menjadi perhatian, bahkan setiap gerak geri, cara berpakaian dan penjagaan diri juga turut menjadi perhatian dan ikutan.

Menyedari perkara itu, jelas gadis bermata bundar berusia 23 tahun ini, dia tidak mengamalkan rahsia khusus untuk menjaga penampilan dan kecantikan. Ikuti cerita Nad Zainal mengenai penjagaan kecantikan dan kesihatan yang diamalkannya.


Wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Bagaimana dengan anda?

Bagi saya cantik itu adalah satu perkara yang universal. Namun apa yang penting kita perlulah sentiasa nampak kemas, bersih dan mempunyai hati yang baik. Secara tidak langsung ia akan menampakkan kecantikan kita secara semula jadi. Kalau cantik muka sahaja tidak guna juga jika dalaman tidak cantik.


Sebagai selebriti pastinya anda sentiasa menjadi perhatian, jadi bagaimana anda menjaga kecantikan dan penampilan supaya sentiasa kelihatan menarik?

Sejujurnya saya tiada rahsia khusus untuk menjaga kecantikan tetapi saya amalkan tidur yang cukup untuk diri sendiri. Kalau tidur tak cukup, mata kita akan sembap dan ia akan menampakkan kita tua sebelum umur. Selain itu pemakanan yang seimbang juga amat penting, jika anda sedang berdiet pastikan berdisiplin dan jangan diet seperti yo-yo (ada naik dan turun). Tentang penampilan pula, saya tak suka terlalu menonjol. Biarlah ringkas dan kemas.


Pernah alami masalah berat badan?

Ya, pernah. Ketika saya berumur 17 tahun, berat saya naik sehingga 55 kilogram (kg) kerana selepas sekolah saya tidak buat banyak aktiviti. Memandangkan saya rendah, jadi memang tidak sesuai berat tersebut dengan tubuh saya. Sehinggalah saya berusia 19 tahun, saya nekad untuk mengurangkan berat badan saya sebanyak 15 kg dan kini saya masih mengekalkan berat badan ideal saya.


Bagaimanakah cara anda mengatasi masalah itu?

Saya tinggalkan nasi untuk seketika tetapi selalunya saya akan ambil makanan yang berat pada waktu tengah hari. Kebetulan ketika itu saya sibuk dengan pementasan teater, dan sebelum sesi latihan kami akan buat senaman ringan dan ia banyak membantu mengurangkan berat badan saya. Sekarang pun, kalau ada masa saya akan cuba luangkan masa untuk berjoging. Tapi saya jarang ke gimnasium kerana kekangan masa bekerja.


Bagaimana pula dengan penjagaan wajah?

Saya ada cara yang kurang betul menjaga wajah dan kalau boleh jangan ikutlah (ketawa). Kulit muka saya sangat sensitif dan saya tak boleh guna produk yang mahal. Jadi semua produk saya cuba kerana saya mahu lihat ia sesuai dengan kulit saya atau tidak.


Jika ramai selebriti gemar mengunjungi spa dan salun, anda pula bagaimana ?

Saya lebih gemar urut badan. Jadi dalam sebulan saya akan ke spa untuk urut dan rehatkan badan. Saya juga kerap ke salun untuk memastikan rambut saya sihat selepas menjalani banyak dandanan rambut ketika dalam penggambaran.

Namun saya tak suka melakukan facial kerana wajah saya sangat sensitif. Pernah cuba sekali dan sampai sekarang saya tak percaya dengan rawatan tersebut.


Berapa pula kos yang anda peruntukan untuk penjagaan tubuh dan wajah dalam sebulan?

Saya hanya belanjakan RM500-RM700 sebulan untuk produk wajah, rambut dan beberapa suplemen untuk penjagaan dalaman.


Jika berhadapan dengan tekanan, bagaimana anda mengatasinya?

Bila saya tertekan, saya akan pergi buat sesuatu yang saya suka seperti menonton wayang, pergi ke salun dan makan makanan manis seperti aiskrim dan 'ice blended'. Selain itu saya juga gemar melayari Internet dan meluangkan masa bermain dengan kucing dan biasanya selepas itu tekanan saya akan reda sedikit demi sedikit.


Akhir sekali, apa perkembangan anda sekarang?

Saya baru sahaja selesai menjalani pementasan Maduku.. Kalut. Selepas ini saya akan berehat seketika sebelum menerima apa-apa tawaran. Saya ini jenis fokus pada satu kerja pada satu masa sahaja.


5 PERKARA MENGENAI NAD ZAINAL

1. Peminat setia Shahrukh Khan.
2. Membela lima ekor kucing.
3. Ketinggian Nad hanya 155cm.
4. Anak tunggal.
5. Mengimpikan ke New York untuk membeli-belah.

Diana Rafar Tepis Rumah Tangga Bergoyang

Posted: 03 Oct 2013 06:05 AM PDT


Diana dan Zamarul masih lagi bahagia dalam rumah tangga mereka.
PETALING JAYA: Pelakon Diana Rafar menepis tuduhan rumah tangga yang dibinanya bersama aktor Zamarul Hsiham, 42, menghadapi krisis sehingga menyebabkan mereka jarang dilihat keluar bersama.
Diana atau nama sebenarnya Adriana Abd. Rafar, 31, berkata, hubungan mereka tidak menghadapi sebarang masalah sebaliknya Zamarul terlalu sibuk di lokasi penggambaran mengakibatkan pelbagai andaian timbul.
"Hubungan kami memang 'renggang' kerana kesibukan Zamarul di mana jadualnya penuh dengan penggambaran drama.
"Saya pun tak tahu bila masanya tidak sibuk tetapi macam mana pun kami masih lagi bersama," katanya yang dihubungi mStar Online.
Diana mengakui ada kalanya dia berasa hati terhadap Zamarul yang jarang mempunyai masa untuk bersama dan mereka pernah membincangkan perkara tersebut.
Bagaimanapun kata Diana, dia harus memahami kesibukan suaminya itu merupakan satu pengorbanan terhadap keluarga.
"Biasalah bila pergi ke majlis tanpa suami, orang mulalah bertanya dan memberi pelbagai andaian. Malah wajah Zamarul tiada dalam Instagram saya pun orang tertanya-tanya kenapa?
"Tapi nak buat macam mana, nak ambil gambar bersama pun tak sempat," tuturnya.
Hasil perkahwinan Diana dan Zamarul pada 16 Mei 2009, pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki iaitu Kashfi Haikal yang kini berusia tiga tahun.
Zamarul pula mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Izzat Haikal, 14.
Dalam pada itu Diana berkata dia berhasrat untuk membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan selepas spa yang dimilikinya di Shah Alam sejak tujuh tahun lalu ditutup kerana kekurangan pelanggan.
"Sekarang ini saya sibuk dengan mempromosikan produk kecantikan saya Maixara selain menjadi duta kepada produk Sumber Ayu," jelasnya.

Masa untuk berubah

Posted: 03 Oct 2013 06:04 AM PDT

  • Masa untuk berubah

SEMPENA menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-32, pelakon, model dan pengacara, Iqram Dinzly atau nama sebenar Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, berazam melakukan perubahan pada diri khasnya dari sudut lakonan.

Walaupun sudah berada dalam kelasnya sendiri, namun pelakon Dunia Baru dan Cinta Medik ini nekad menggilap lagi mutu lakonan agar sebaris bintang handalan seperti Eman Manan, Rosyam Nor dan Faizal Hussien.

"Sempena hari kelahiran, banyak perubahan yang mahu dilakukan, terutama yang melibatkan lakonan saya.

"Saya kosong dari segi pengisian. Namun, saya dapat satu kesedaran dan saya melihat dengan permulaan ini ia merupakan satu langkah kematangan saya," katanya.

Menurut Iqram, dia kini tidak mahu lagi terikat dengan watak kebiasaan dengan meneliti setiap tawaran lakonan yang mampu memberikan kepuasan untuknya. Dulu saya agak takut untuk menerima watak-watak antagonis, namun, sejak genap usia 32 tahun ini, saya sudah bersedia mencabar diri untuk menerima watak antagonis.

"Watak sedemikian akan menjadikan saya sebagai seorang artis yang versatil," ujarnya yang sudah tujuh tahun bergiat dalam bidang lakonan.

Menurut Iqram, dia kini sedang menghayati naskhah terbaik dan bakal muncul melalui drama terbaru yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

"Sekarang, saya sedang dalam 'mood' menghayati watak dari naskhah yang diberi. Tunggu sahaja apa yang bakal saya lakukan.Saya berharap peminat dapat menerima dan berpuas hati dengan hasil kerja keras saya.

"Sudah tiba masanya pelakon senior seperti saya membawa karakter yang berbeza untuk kekal dalam dunia seni," katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama 13 episod iaitu 'Lara Ameera' arahan Nurhalim.

Tunggu calon sesuai

Mengulas mengenai hal percintaannya, Iqram mengakui sejak beberapa bulan lalu dia menyendiri dan menegaskan dia kini lebih berhati-hati dalam perkara itu.

"Jika tanya saya dengan siapa saya berkawan, saya hanya dapat menjawab saya berkawan dengan ramai orang. Tapi belum ada yang dapat membuka pintu hati saya," ujar pelakon yang pernah dikaitkan dengan Fouziah Gous ini.

Katanya, sekiranya sudah bertemu calon yang sesuai, dia tidak menolak bahkan mahu terus mengahwini gadis yang berjaya menawan hatinya.

Zizan Razak Nafi Masam Muka Dengan Johan

Posted: 03 Oct 2013 06:02 AM PDT


Gambar Johan (kiri) dan Zizan ketika pertandingan Maharaja Lawak.
PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon Zizan Razak menafikan mempunyai masalah dalaman ataupun bermasam muka dengan pasangan gandingannya dalam kumpulan Jozan iaitu Johan.
Namun, Zizan, 29, mengakui agak sukar berjumpa dengan rakannya itu kerana kedua-dua mereka mempunyai komitmen kerja masing-masing.
"Kami tiada apa-apa masalah cuma sekarang masing-masing sibuk dengan kerja, waktu kerja pula berbeza, kebiasaannya masa dia tidur, saya baru bangun.
"Tapi kami sering berhubung dan bertanya perkembangan cuma akhir-akhir ini mungkin kurang digandingkan di televisyen," katanya kepada mStar Online.
Zizan berkata demikian ketika ditanya tentang khabar angin kononnya dia dan Johan sukar untuk ditemukan.
Bagaimanapun, Zizan berkata, dia sering mencari kesempatan untuk bertemu dengan Johan di studio radio jika mempunyai tugasan di Astro.
"Kalau ada promosi di radio atau televisyen di Astro saya akan ambil kesempatan untuk bertemu dia.
"Saya sanggup tukar masa tidur saya untuk datang bertemu dia terlebih dahulu," katanya.

'Drama' CN Blue lawan Crying Nut

Posted: 03 Oct 2013 06:02 AM PDT

CRYING NUT


KES saman menyaman antara dua band popular Korea Selatan iaitu CN Blue dan Crying Nut memasuki episod baharu apabila Mahkamah Daerah Tengah Seoul telah menolak saman tersebut.
CN Blue sebelum ini memfailkan saman dalam usaha mereka menghalang anggota Crying Nut yang didakwa telah menyebarkan gosip negatif tentang ahli CN Blue,
Ujar sumber: "Pada 25 September lalu, Hakim Kang Hyung-joo telah mengumumkan bahawa mahkamah telah menolak permohonan CN Blue dan agensi yang menaungi mereka, FNC Entertainment untuk menyaman dan menghalang Crying Nut yang didakwa menyebarkan gosip negatif tentang CN Blue."
Konflik antara dua CN Blue dan Crying Nut mula tercetus pada Jun 2010 apabila CN Blue membuat persembahan di stesen TV, Pilsal Offside dengan Crying Nut bertindak sebagai band pengiring.
Bagaimanapun, video cakera digital (DVD) persembahan kolaborasi kedua-dua band tersebut dengan lagu oleh Crying Nut turut diselitkan telah dijual di Jepun.
CN Blue bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tindakan Crying Nut itu. Mereka mendakwa, Pilsal Offside sebelum ini telah menetapkan bahawa DVD tersebut seharusnya hanya menggunakan lagu Crying Nut.
Ekoran dakwaan CN Blue itu, Crying Nut lalu mengambil tindakan menyaman CN Blue pada Februari tahun ini.
CN Blue pula membuat saman balas terhadap Crying Nut dengan mendakwa Crying Nut telah menyebarkan dakwaan palsu terhadap mereka.


Empat Artis Lelaki Ditaja Tonton Kelab Cardiff City lwn MU

Posted: 03 Oct 2013 06:01 AM PDT


Dari kiri Iqram Dinzly, Fahrin Ahmad, Vincent Tan, Fizz Fairuz dan Fizo Omar.
KUALA LUMPUR: Empat artis lelaki terkenal iaitu Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Fizz Fairuz dan Iqram Dinzly telah dipilih untuk menyaksikan perlawanan Liga Inggeris di antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) di Cardiff, Wales, United Kingdom pada 25 November depan.
Pengarah Urusan Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin, berkata, pihaknya akan menaja empat artis tersebut sepanjang lima hari berada di negara itu bagi membolehkan mereka mengenali pasukan yang dimiliki oleh ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
"Program ini adalah sebagai tanda sokongan kami kepada Kelab Cardiff City yang semakin kukuh namanya di Liga Inggeris.
"Selain berpeluang menyaksikan perlawanan di Stadium Cardiff City rombongan juga berpeluang bertemu dengan pemain-pemain selain melawat di beberapa kawasan menarik di sana," katanya pada sidang media yang diadakan di Butik Rafflesia The Pearl Centre, Hotel Park Royal di sini, Rabu.
Selain empat selebriti tersebut dan Vincent Tan, turut hadir pada majlis itu adalah pereka kasut terkenal, Datuk Jimmy Choo.
Vincent (tiga dari kiri) teruja untuk membawa para artis menyaksikan perlawanan Cardiff City menentang MU.
Rombongan akan berangkat ke Cardiff City pada 20 sehingga 26 November depan.
Dalam perkembangan sama, Winnie berkata, pemilihan keempat-empat selebriti itu adalah berdasarkan populariti mereka dan impak yang dapat diberikan kepada peminat masing-masing.
Jelas Winnie, sepanjang berada di sana, kesemua selebriti akan melakukan "live update" di laman sosial mereka seperti Facebook, Twitter dan Instagram tentang pengalaman dan sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak kelab itu.
"Secara keseluruhannya mereka mempunyai 1.5 juta peminat yang mengikuti mereka di Twitter dan status mereka di laman sosial dapat memberikan input tentang Cardiff City kepada peminat mereka," jelasnya.
Dalam pada itu, Vincent berkata, pengaruh yang ada pada selebriti akan memperluaskan lagi nama kelab tersebut di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau juga bangga dengan semangat dan usaha yang dibuat oleh pihak Rafflesia dan keempat-empat selebriti terlibat dalam memberi sokongan kepada kelab itu.
Sementara itu, Fahrin ketika ditemui berkata, walaupun bukan peminat tegar kelab tersebut namun dia merasakan tidak salah untuk menyokong pasukan berkenaan kerana berpeluang membawa nama Malaysia.
"Dulu Cardiff City hanya main untuk liga-liga biasa namun sekarang mereka telah memasuki liga Inggeris dan pencapaian itu sangat besar.
"Inisiatif dari Rafflesia untuk membawa kami ke sana bagi merasai sendiri kehangatan perlawanan bola sepak itu merupakan satu pengalaman berharga," katanya.

Johan, Aishah tidak tayang tubuh

Posted: 03 Oct 2013 06:00 AM PDT



Biarpun filem seram, Paku belum ditayangkan buat khalayak, barisan pelakon utamanya, Johan As'ari dan Aishah Ilias sudah panas punggung gara-gara adegan panas yang diperkatakan dalam filem tersebut.
Semuanya gara-gara pengarah P. Ramesh membocorkan tentang adegan panas yang terdapat dalam filem tersebut pada sesi sidang akhbar selepas tayangan trailer filem terbitan Nusantara Seni Karya itu.
Terserlah kebimbangan pada mata Johan kerana dia tidak mahu penonton salah sangka sebelum menonton keseluruhan filem seram pertama lakonannya.
"Memang saya bimbang apabila pengarah menyentuh tentang adegan panas kerana takut penonton salah anggap.
"Sebenarnya selepas dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem Negara, hanya terdapat satu adegan panas sahaja. Adegan itu dilakonkan ketika wajah Aishah bertukar menjadi hantu, jadi tidak ada elemen ghairah melampau seperti yang difikirkan," kata Johan.
Tambahnya, dia telah mengetahui tentang kewujudan adegan panas itu sejak menerima skrip filem dan agak berat hati untuk melakonkannya.
Bagaimanapun, selepas diyakinkan oleh pengarah tentang keperluan babak tersebut dan teknik pembuatannya, akhirnya Johan, 26, memberi persetujuan.
"Ikutkan skrip asal filem ini dari Indonesia terlalu banyak adegan yang melampau tetapi selepas skrip diolah dan disesuaikan dengan sentimen masyarakat tempatan, adegan itu dikurangkan.
"Saya setuju melakonkan adegan panas itu kerana keperluan jalan cerita dan saya serta Aishah berada dalam keadaan berpakaian," jelasnya panjang lebar.
PROFESIONAL... Johan dan Aisyah memberikan sepenuh jiwa bagi memantapkan tenaga dan aura lakonan bagi merealisasikan perjalanan cerita filem Paku.


Syarat ketat Aishah
Berbicara lanjut tentang adegan tersebut, Aishah, 26, mengakui yang dia rasa malu, bahkan ketika adegan panas itu dirakamkan, Aishah telah meletakkan syarat pada pihak produksi.
Syaratnya, ketika adegan panas itu menjalani proses penggambaran, dia enggan terlalu banyak mata yang memandangnya.
Justeru, hanya terdapat sekitar tujuh orang penting yang menyaksikannya secara langsung.
"Ini kali pertama saya membawakan adegan seperti ini. Bagi saya, adegan itu sangat susah kerana saya belum berkahwin dan tidak tahu bagaimana untuk melontarkan perasaan yang dikehendaki pengarah.
"Selepas berbincang, hanya ada tujuh orang kru penting sahaja sewaktu penggambaran dan mereka semua tidak dibenarkan langsung membawa sebarang kamera atau telefon.
"Saya bukannya berbogel kerana masih mengenakan tube tetapi saya akui waktu itu memang saya malu," balasnya yang juga bakal muncul dengan filem Pilot Cafe dan Usin UFO.
Johan, syarat ketat itu dikenakan kepada produksi kerana bimbang fitnah dan impak negatif pada kemudian hari.
"Dalam adegan itu kami berpelukan, jika ada yang mengambil gambar dan tidak tahu hujung pangkalnya, pasti akan timbul fitnah.
"Sebab itu hanya orang penting sahaja dibenarkan berada di lokasi ketika penggambaran dilakukan," jelasnya.
Kisah benar
Ketepikan sebentar kisah adegan panas, hanya menerusi trailer yang ditayangkan kepada pihak media, filem ini kelihatan agak seram dan sarat dengan teknik janaan komputer (CGI) sebanyak 30 peratus.
Walaupun filem seram ini tentang hantu pontianak tetapi pengarahnya menyelitkan kisah benar iaitu tragedi Highland Towers sebagai latar filem yang mengejutkan rakyat Malaysia pada 11 Disember 1993.
JOHAN dan Aisyah mengakui perlu berpelukan dalam satu adegan filem Paku.


"Saya setuju berlakon dalam filem ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan kreatif. Bayangkan, kami melakukan penggambaran di tempat 'keras' seperti di runtuhan bangunan Highland Towers dan saya juga terpaksa membayangkan bangunan itu runtuh di depan mata.
"Memang sukar tetapi bagi saya, terlibat dalam filem Paku satu pengalaman yang cukup berbaloi. Semua orang memberi komitmen yang tinggi dan pengarahnya tahu apa yang diinginkan," kata Johan.
Menariknya, sepanjang penggambaran berlangsung, semua aksi babak ngeri dilakonkan sendiri oleh pelakonnya terutama Aishah yang memegang watak Riana dan pada masa yang sama sebagai puntianak.
Aishah yang melakukan aksi lagak ngeri sebanyak 50 peratus dalam filem ini terpaksa disolek sehingga enam jam untuk mendapatkan wajah hantu yang sebenar.
"Setiap kali jadi hantu, saya akan melakukan aksi lagak ngeri sendiri seperti terbang dari atas bumbung dan bangunan.
"Pada mulanya takut juga sebab saya gayat tetapi lama-lama jadi seronok kerana saya seorang yang lasak dan sukakan cabaran.
"Paku merupakan filem pertama saya dan semuanya saya dapat lakukan dalam satu filem," katanya yang mula berlakon pada tahun 2011.


Fizz Fairuz Sudah Bincang Hasrat Nikah Almy Nadia

Posted: 03 Oct 2013 05:59 AM PDT


Fizz Fairuz
KUALA LUMPUR: Pelakon Fizz Fairuz sudah berbincang dengan aktres Almy Nadia mengenai hasratnya untuk memperisterikan wanita itu pada tahun hadapan.
Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 34, bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu sehingga dia bertemu dengan keluarga Almy secara rasmi.
"Almy memang tidak mengetahui hasrat itu dan jangan salahkan dia. Namun selepas tersiar satu laporan yang menyatakan saya mahu menikahinya, kami telah duduk berbincang.
"Insya-Allah saya akan bertemu dengan keluarganya pula untuk menyatakan hasrat saya itu dalam masa terdekat ini," jelasnya ketika ditemui pada majlis bersama Rafflesia The Pearl Centre Hotel Park Royal di sini pada Rabu.
Fizz diminta mengulas mengenai kedudukan sebenar hasratnya untuk memperisterikan Almy, 27, selepas wanita itu mengakui tidak tahu-menahu keinginan bekas kekasihnya itu.
Fizz sebelum itu dilaporkan kembali menjalinkan hubungan cinta dan akan bernikah dengan wanita itu pada tahun hadapan.
Almy Nadia
Dalam pada itu, Fizz turut mengakui tidak membenarkan Almy memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media berhubung hubungan mereka kerana enggan wanita tersebut terbeban dengan hal terbabit.
"Saya ada menyuruh dia untuk berdiam diri kerana tidak mahu kenyataan yang dikeluarkan bercanggah.
"Baik atau buruk biarlah saya yang tanggung dan saya tidak mahu Almy terpaksa menanggung beban atas kekecohan yang berlaku," jelasnya.
Sementara itu, Fizz berkata, walaupun pernah meninggalkan Almy sehingga berhasrat menikahi wanita lain namun dia menyedari Almy adalah pilihan tepat buatnya.
"Semua manusia ada membuat kesalahan dan saya juga tidak terlepas daripada perkara itu. Hasrat untuk berkahwin dengannya wujud kerana saya sedar Almy sentiasa berada bersama saya ketika susah dan senang sepanjang tujuh tahun kami bercinta," tuturnya.
Tambah Fizz, ibunya adalah insan paling gembira selepas dia memaklumkan hasrat tersebut
Terdahulu Fizz telah menimbulkan kontroversi apabila bertunang dalam diam dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang, pada 10 Februari lalu.
Peristiwa itu menjadi kecoh apabila wanita itu dikatakan isteri orang.

Ida Nerina Jadi Juri 'Liga Lawak Superstar' TV3

Posted: 03 Oct 2013 05:58 AM PDT


Ida Nerina
SUBANG JAYA: Selepas lama mendiamkan diri, pelakon Ida Nerina bakal muncul menerusi program Liga Lawak Superstar (LLS) yang bakal disiarkan secara langsung di TV3 bermula Ahad ini.
Pengarah dan penerbitnya, Afdlin Shauki berkata, Ida akan bergandingan bersama Vanida Imran dan Adlin Aman Ramlie sebagai juri bagi program yang melibatkan 16 selebriti ini.
"Kita tahu, Ida sudah lama tidak melibatkan diri dalam televisyen dan rasanya pasti ramai peminat merindui dia.
"Alhamdulillah, pada mulanya Ida seperti berfikir panjang untuk menerima tawaran ini tetapi akhirnya dia bersetuju untuk beri kerjasama," katanya.
Afdlin ditemui pada majlis pelancaran program LLS di Hotel Empire di sini pada Rabu.
Tambah Afdlin, memandangkan Ida kini berkerusi roda, pihak produksi akan membantu pelakon itu daripada segi pergerakannya.
Antara peserta Liga Lawak Superstar dari kiri; Bell Ngasri, Ropie dan Sathiya.
Mengenai program LLS, selama 16 selebriti akan dibahagikan kepada lapan kumpulan antaranya Kamal Adli, Iqram Dinzly, Syafiq Kyle, Akim Ahmad, Mikael Andre, Sheera Iskandar, Riezman Khuzaimi, Qazeem Nor, Idzham Ismail, Aidil Aziz, Anas Ridzuan, Aman Nassim dan Zalif Sidek.
Selain itu, pelawak seperti Azlee (Senario), Bell Ngasri, Aziz M. Osman, Ilya, Hamdan, Sathiya, Ropie, Didie Alias dan Farouk Hussein terlibat sebagai mentor kepada peserta.
"Ini merupakan sebuah program baharu yang memberikan sedikit kelainan kepada penonton dan juga artis. Banyak permainan yang memerlukan artis itu menggunakan mental dan fizikal untuk menyelesaikan sesebuah tugasan," ujarnya.
Sebelum itu, para peserta telah diberikan latihan fizikal selama dua hari pada 23 dan 24 September lalu di Lembah Pangsun, Pusat Eko dan Rekreasi, Hulu Langat, sebagai persediaan beraksi pada hari pertandingan nanti.
LLS yang bakal dihoskan sendiri oleh Afdlin Shauki dan Adibah Noor bersiaran bermula pukul 9 malam.

Calon PMR ambil periksa dalam wad selepas bersalin

Posted: 03 Oct 2013 05:54 AM PDT

  • Calon PMR ambil periksa dalam wad selepas bersalinNor duduk di katil, ketika menjalani peperiksaan PMR di wad sebuah hospital.

KOTA BHARU - Seorang calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sini, terpaksa menduduki peperiksaan terbabit di wad sebuah hospital...

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Nor,15, berkata, akibat hubungan terlarang bersama kekasihnya yang dikenali dua tahun lalu, dia disahkan mengandung setelah perutnya terus membesar.

Remaja terbabit yang bersalin secara normal Ahad lalu, masih dalam keadaan lemah namun tetap bersemangat untuk menduduki peperiksaan.

Menceritakan detik hitam itu, dia terpedaya  dengan pujuk rayu lelaki itu, setelah kekasihnya berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga dirinya.

"Akibat termakan pujuk kerana kasihkan si dia, saya rela dan tidak sangka hubungan saya bersamanya menyebabkan saya semakin jauh terlanjur sehingga melahirkan anak.

"Ibu dan ayah begitu marah dengan perbuatan saya ini  memandangkan saya masih bersekolah dan mereka dapat tahu selepas melihat keadaan perut saya yang semakin hari semakin membesar," katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, setakat ini kini kes berkenan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Nor berkata, dia kini menyesal dengan perbuatannya itu dan mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik daripada peperiksaan percubaan sebelum ini yang hanya memperolehi 2A.

"Saya nak berjaya dalam peperiksaan ini dan harap dapat sekurang-kurangnya 4A dalam enam mata pelajaran yang diambil supaya saya dapat buktikan bahawa saya masih mampu meneruskan pelajaran untuk ke tingkatan 4 nanti serta dapat menebus kesalahan lalu," katanya.

Nor berharap, selepas ini dia dapat meneruskan persekolahan dan menumpukan perhatian dalam pelajaran walaupun pernah terlanjur dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

Harga ais kiub naik 50 sen

Posted: 03 Oct 2013 05:49 AM PDT

  • Harga ais kiub naik 50 senMohd Nazri menunjukkan persetujuan yang dicapai semua pengilang untuk menaikkan harga ais kiub kepada RM3.

PASIR PUTEH - Sebanyak 16 kilang memproses ais kiub, termasuk satu di Besut bersetuju menaikkan harga ais kiub dari RM2.50 kepada RM3 satu beg berkuat kuasa 5 Oktober nanti.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Persatuan Pengilang Ais Kiub Kelantan (PPAKK) di sebuah hotel, Kota Bharu, kelmarin, selepas mengambil kira beberapa faktor.

Ahli Jawatankuasa Pemantau Harga PPAKK, Masuki @ Mohd Nazri Baniyamin, 45, berkata, pihaknya menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyemak semula tarif elektrik di kilang mereka berikutan peningkatan mendadak jumlah bil bulanan sebaik meter dinaik taraf sejak awal tahun ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengilang menanggung kos tinggi, selain berdepan kenaikan harga bahan api, perlaksanaan gaji minima dan kenaikan barangan keperluan kilang.

"Melalui mesyuarat sama lima tahun lalu, PPAKK sebenarnya sudah menetapkan RM3 satu beg tetapi terpaksa diturunkan kepada RM2.50 apabila ramai tidak berpuas hati dengan kadar itu.

"Namun, disebabkan ramai pengilang perlu menanggung kos terlalu tinggi sejak kebelakangan ini, terutama dari segi peningkatan tarif elektrik di luar dugaan itu, pihaknya terpaksa menaikkan semula harga ais kiub bagi menampung kos pengeluaran," katanya ketika ditemui di kilangnya di Padang Pak Amat, dekat sini, semalam.

Mohd Nazri berkata, dua kilang di negeri ini terpaksa 'gulung tikar' dan ada pengusaha menjual premis perniagaan mereka kerana tidak mampu menampung kos tinggi.

Menurutnya, sebelum ini, kilangnya hanya menanggung kos elektrik sekitar RM40,000 sebulan tetapi, terpaksa membayar sehingga RM60,000 sebulan sebaik sahaja meter baru ditukar pihak TNB kira-kira lapan bulan lalu.

"Saya dan pengilang lain menghasilkan pengeluaran ais kiub dalam kuantiti sama dan statik setiap bulan dan tidak wajar sama sekali bil melonjak terlalu mendadak.

"PPAKK bukan berniat mempertikaikan pihak berkenaan tetapi kami merayu kepada mereka supaya menyemak semula tarif elektrik itu kerana tidak mahu ada lagi pengilang lain yang bakal gulung tikar," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved