sumber :-
Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Nad Zainal Kembali Tumpu Pada Bidang Teater
- Remaja tawar khidmat seks RM50 - RM80
- 2,800 Tentera Darat Jadi Pelakon Drama Arahan Jurey
- Cetak dan rompak KL Gangster
- Gabungan rock dan orkestra
- Pesara tanam sayur gergasi
- Peserta Filipina dinobat Miss World 2013
- Tanah bertuah Janda Baik
- Budak nakal jadi tauke otak-otak
- Nikmatnya tidak berhutang
- 'Kami memang gila berlari'
Nad Zainal Kembali Tumpu Pada Bidang Teater Posted: 29 Sep 2013 03:33 AM PDT PETALING JAYA: Pelako Nad Zainal berhasrat untuk berehat seketika daripada lakonan komersial bagi menumpukan perhatian kepada pentas teater yang telah ditinggalkan selama setahun. Nad atau nama sebenarnya Nadia Zainal berkata, dia mengambil keputusan itu kerana ingin mengasah kembali bakatnya dalam bidang itu selain mengubat rindu untuk beraksi di pentas tersebut. "Saya bermula dengan teater dan selepas memberikan tumpuan kepada lakonan komersial sudah tiba masanya saya kembali mengasah bakat dalam bidang tersebut yang telah lama ditinggalkan," katanya kepada mStar Online. Nad muncul dengan teater terbaharunya arahan Muhammad Azhar Zainal berjudul Maduku Kalut yang dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya bermula 27 September hingga 30 September ini. Turut terlibat dalam teater tersebut adalah Izzue Islam, Jihan Musa, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nasz Sally. Dalam perkembangan sama, Nad berkata, dia mahu kembali berlakon di pentas teater kerana ia memberi kepuasan kepada dirinya sebagai seorang pelakon. Pun begitu kata Nad, itu tidak bererti dia akan meninggalkan terus dunia lakonan komersial sebaliknya ingin memberi tumpuan seketika kepada bidang teater yang mula menaikkan namanya dalam industri. "Saya masih mahu berlakon untuk televisyen dan mahu memberikan tumpuan pula kepada teater yang telah memperkenalkan saya sebagai seorang pelakon," katanya. Dalam pada itu, Nad mengakui berasa gementar dan kekok berlakon dalam Maduku Kalutselepas setahun tidak terlibat dalam sebarang pementasan teater. "Barangkali sudah lama tinggalkan bidang itu perasaan kekok dan gementar itu ada bagaimanapun nasib baik ada rakan-rakan yang banyak membantu," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Nad berkata, selain Maduku Kalut, dia bakal muncul dalam sebuah lagi teater Mak Yong selain program Liga Lawak Superstar yang akan bermula pada Oktober depan. | ||||
Remaja tawar khidmat seks RM50 - RM80 Posted: 29 Sep 2013 03:21 AM PDT
Remaja berkenaan yang ditahan polis dalam rondaan cegah jenayah mengakui, gemar melakukan aktiviti tidak bermoral itu dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM80. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, remaja bawah umur yang berpeleseran di pekan Kulim ditahan kira-kira jam 3.30 pagi semalam ketika sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5. "Remaja ini menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan bagaimanapun apabila ditahan, polis mendapati dia pernah ditahan polis beberapa kali sebelum ini kerana berpeleseran," katanya. Sinar Harian kemudiannya mendekati remaja terbabit dan bertanya sama ada masih bersekolah atau sebaliknya. Remaja ini kemudiannya menyatakan dia tidak ke sekolah kerana tidak berminat dalam pelajaran. Menurutnya, dia tinggal bersama beberapa rakan lain dan melakukan kegiatan pelacuran untuk menampung perbelanjaan. "Ada kalanya saya tinggal di rumah rakan lelaki sehingga beberapa hari. Sepanjang bersama mereka saya akan diberikan makanan dan tempat tidur. "Sebelum ini saya pernah bekerja di Pulau Pinang bagaimanapun berhenti kerana jauh," katanya. Ditanya mengenai pelanggannya, remaja ini menjelaskan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mat motor. "Mereka akan membawa saya balik ke rumah untuk melakukan hubungan seks. "Walaupun terpaksa melayani beberapa lelaki dalam satu masa, saya tetap melakukannya kerana suka dengan layanan ketika melakukan hubungan seks," katanya. Tambahnya, pelajar sekolah juga ada menggunakan khidmat seks daripadanya dan bayaran yang dikenakan lebih murah berbanding pelanggan yang sudah bekerja. Menurutnya, sehingga kini tidak ada mana-mana pihak yang pernah menahannya kerana terlibat dalam kegiatan pelacuran kerana ia dilakukan secara senyap. Katanya, dia senang melakukan kegiatan itu kerana mudah mendapatkan wang. | ||||
2,800 Tentera Darat Jadi Pelakon Drama Arahan Jurey Posted: 29 Sep 2013 03:20 AM PDT KUALA LUMPUR: Pengarah drama Jurey Latiff Rosli bakal mengarahkan sebuah drama kenegaraan berjudul Demi Negara: Darah Merah Melakar Sejarah membabitkan kira-kira 2,800 anggota tentera darat. Jurey berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya apabila bersama barisan tentera yang disifatkan cukup berdisiplin dalam melaksanakan sesebuah kerja dan yakin kerja pengarahannya akan menjadi lebih mudah. "Seramai 2,800 orang tentera darat akan terlibat dalam drama berepisod ini di mana setiap episod akan dilakonkan oleh anggota tentera yang berbeza "Walaupun mereka tiada pengalaman berlakon, saya percaya mereka dapat memberikan komitmen sepenuhnya," katanya. Jurey ditemui pada majlis pelancaran drama berkenaan di Wisma Transit, Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini pada Jumaat. Tambah Jurey, penggambaran yang mengambil masa selama 52 hari itu sekali gus akan mengajar krew produksi serta pelakon mengenai disiplin masa di mana para tentera cukup dikenali dengan sifat kerja yang teratur. Drama yang mengisahkan tentang perjuangan perajurit Tentera Darat menentang komunis tersebut turut melibatkan pelakon antaranya Isma Daniel, Norman Hakim dan Shajiri. Ia bakal menjalani penggambaran bermula 3 Oktober depan. Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mihamed Noor berkata, karya tersebut merupakan penerbitan keempat di bawah kerjasama Tentera Darat selepas drama Insurgensi, Kemboja Di Laman Chin Peng dan filem Leftenan Adnan. Tujuan penerbitan drama ini adalah untuk mengimbas semula sejarah pengorbanan Tentera Darat yang berjuang menentang komunis demi mengekalkan keamanan negara. "Memandangkan drama ini sarat dengan sejarah, Kolonel Mohd Radzi Abdul Hamid selaku penulis skrip berjaya menulis semula 13 peristiwa pertempuran Tentera Darat di mana ia mengambil masa selama lapan bulan untuk mengumpulkan data dan fakta. "Malah, bagi menentukan ketetapan skrip, pihak kami turut mengadakan bengkel khas selama lapan hari untuk meneliti dan memperbaiki skrip tersebut," ujarnya. Dalam pada itu, penggambaran bakal diadakan di Kem Tapah, Perak memandangkan lokasi berkenaan mempunyai keperluan penggambaran drama daripada segi suasana dan persekitaran hutan selain bantuan logistik sepanjang penggambaran dijalankan. Selain itu, drama tersebut turut melibatkan penggunaan helikopter Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri yang sinonim dengan operasi-operasi Tentera Darat. Demi Negara: Darah Merah Melakar Sejarah bakal ditayangkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) | ||||
Posted: 29 Sep 2013 03:18 AM PDT
UNDANG-UNDANG gengster mentakrifkan bahawa siapa kuat, dialah raja. Di layar perak ataupun dalam dunia realiti, adat gengster ghairah merebut kuasa ada di mana-mana. Undang-undang hiburan pula, siapa yang popular, itulah yang terbaik kerana ramai orang akan teruja. Ada ketikanya, ranum yang dipuja memungkinkan kerosakan pada kemudian hari, ada masanya, barang yang baik diketepikan mentah-mentah tanpa belas simpati. Mungkin, nasib yang menimpa seniman filem KL Gangster 2 belum boleh ditaksir semata-mata atas dasar kezaliman siber yang telah mereka alami. Kecewa, cedera jiwa sehingga parahnya mematahkan seluruh rasa, sang pengarah KL Gangster 2 yang dirompak karyanya bertindak tidak menunjukkan muka. Bukan malu, tetapi sakit yang dirasai barangkali tidak tertanggung untuk tubuh Syamsul Yusof bertemu khalayak yang mencuri karyanya dalam senyum tanpa rasa bersalah. "Apa yang hendak dirasai oleh Syamsul, itu hak dia. Dia berhak berasa kecewa tetapi sebagai pelakon yang bersama-sama dengannya, kami membayar kekecewaan itu dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Inilah masanya untuk kami menunjukkan sokongan kepada Syamsul dan memperjuangkan maruah industri filem tempatan," tegak Rosyam mendepani prinsip mewakili seluruh karyawan yang terlibat dalam filem yang akan ditayangkan kepada umum pada 3 Oktober ini. Jahat terpuji Rosyam Tidak memerlukan analisis terperinci tetapi cukup hanya boleh dilihat dari pandangan mata kasar, sebagai pelakon, Rosyam tidak pernah gagal dalam apa jua karakter yang dipersembahkan. Kepada khalayak yang terlepas pandang, sebenarnya, sudah dua tahun Rosyam berehat seketika daripada bidang lakonan. Tujuannya, dia mencari posisi baharu yang bakal memberikan laluan berterusan untuk kekal dalam industri. Filem Libas yang ditayangkan pada tahun 2011 merupakan filem terakhir yang mempertaruhkan dirinya di layar perak. Kemunculan terkini yang meletakkan Rosyam selaku ketua gengster bernama Tailong dalam KL Gangster 2 mungkin anjakan paling agresif yang sedang berlaku ke atas dirinya. Sudah kerap berlakon watak jahat misalnya dalam Castello, Bara, Lenjan dan Anak Halal, Tailong juga barangkali klimaks sisi jahat Rosyam sehingga dipuji ramai. "Pujian itu harus diberikan kepada Syamsul yang telah berjaya mencipta karakter Tailong supaya kerja saya nampak hebat. Saya sendiri mahukan kelainan setiap kali hendak muncul dalam filem. Syamsul kata, Tailong teras tercetusnya huru-hara sehingga plot dikembangkan dalam KL Gangster yang pertama. Gagalnya Tailong bermakna gagalnya KL Gangster 2. Tanpa Tailong, semua gengster dalam filem itu boleh hidup aman damai," ucap Rosyam memperincikan Tailong sebagai watak yang terbentuk daripada metod dan teknikal yang diberi imej komersial.
Kata Rosyam, Tailong dijelmakan sebagai manusia yang bersifat binatang. Tindak-tanduknya harus tiada perikemanusiaan. Keberanian Tailong pula mengatasi maut kerana hidupnya berada di bawah pengaruh dadah. "Dari segi metod, kerakusan Tailong itu saya umpamakan seperti sifat rakus reptilia ganas macam biawak dan buaya. Matanya meliar dan lidah terjilat-jilat. Secara teknikal, sudut kamera juga penting, saya juga minta untuk naik ke bumbung kereta agar aksi kejar-mengejar antara Tailong dan Malik nampak hebat. "Masuk ke elemen komersial, gaya kemas berkemeja, hidup mewah dengan jip Hummer, motosikal besar serta ada helikopter sendiri menjadikan Tailong nampak besar. Selebihnya, saya serahkan bakat lakonan anugerah Allah kepada saya. Memanglah semua orang tengok filem aksi dari luar tetapi, apa yang ada dari dalam diri kita, kejujuran itu yang paling penting. Saya pula tertarik dengan imej penjenayah yang sering jadi bahan berita, penjenayah yang tidak takut mati biasanya terlibat dengan dadah," hujahnya panjang lebar memberi asas pemikat Tailong yang menyerlah setanding hero dalam filem berkenaan. Sambil menolak kenyataan hero tua yang selalu dikaitkan dengan dirinya, kata Rosyam, jawapan itu mungkin boleh diperoleh dalam filem berkenaan. "Saya berusaha untuk menjawab kritikan itu menerusi KL Gangster 2. Dalam filem, hero tetap hero tidak kira tua atau muda, tak kira baik atau jahat," jelas Rosyam tanpa malu mengaku bahawa dia sedang menumpang populariti Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Razak, Syamsul Yusof serta seluruh produksi filem berkenaan untuk terus hidup di mata peminat generasi baharu. Soffi Jikan sedar ruang Kemunculan pelakon yang penuh rasa dan gerak tubuh ini sentiasa dinanti-nantikan khalayak dalam setiap produk yang tersenarai namanya. Umum semakin sedar melihat hasil kerja Soffi Jikan yang sentiasa terbit lebih 100 peratus daripada kudrat dan kemampuan berfikirnya. Dalam filem kali ini dengan membawakan nama Ajeeb, Soffi kelihatan lebih banyak berkata-kata. Ruang dia berbicara digunakan dengan pantun sebagai dialog yang diciptanya sendiri sekali gus menampilkan gaya lain dalam persembahan seorang gengster.
"Saya sentiasa berpegang kepada metod kontra atau songsang dalam mempamerkan persembahan. Saya yakin bahawa metod ini akan memberikan keberkesanan kepada watak," jelas Soffi. Kontra yang dimaksudkan Soffi bertujuan untuk menyeimbangkan watak dalam sesebuah filem terutamanya yang mempunyai karakter yang penting seperti KL Gangster 2. "Buat Ajeeb dalam KL Gangster 2, dia tidak perlu pamerkan kehebatannya seperti gengster lain yang gemar berlawan. Begitu juga di luar filem, saya rasa semua pelakon tidak berlawanan dalam kehebatan kerana ini semua tentang filem itu sendiri," kata Soffi yang menganggap Syamsul sebagai seorang yang genius dalam memanipulasi watak para pelakon. "Saya anggap watak Ajeeb itu sebagai satu kanvas kosong. Kemudian saya isi dengan permainan psikologi kerana dalam filem prekuel ini, dia lebih muda dan bereksperimentasi. Ada ruang untuk saya ke belakang dan melihat perjalanan hidup Ajeeb sebagai gengster. Dia banyak berselindung di sebalik percakapannya. Di situlah muslihat dan ketidakjujuran, khalayak boleh lihat banyak lapis wataknya," tambahnya. Banyak karakter dipegang pelakon-pelakon terkenal dalam filem prekuel ini. Soffi turut ditanya tentang impak setiap watak itu. "Memang banyak karakter dalam filem ini. Jadi, setiap pelakon harus sedar ruang, peranan dan motif yang dibawakan. Pelakon yang bijak akan mengetahui ruang itu. Saya juga cuma memberikan peranan tersebut. Kalau ada yang rasa jengkel dengan watak Ajeeb, itulah tujuannya dengan ditampilkan banyak dialog," tutur lelaki berkulit hitam manis dan tinggi lampai ini. "Memang watak hitam atau antagonis itu lebih bebas perginya kerana tidak ada hukum atau sivik. Tetapi, pelakon harus ingat bahawa pelaksanaan watak itu tidak boleh berlebih-lebihan. Perlu ada sempadan serta rasionalnya," terang Soffi yang gemar mendapat tip lakonan daripada pelakon-pelakon senior. Sambil tersenyum dan membetulkan rambutnya yang sekali-sekala jatuh, Soffi menyampaikan berita yang menggembirakan hatinya. Dia akan muncul dengan sebuah single yang terinspirasi daripada filem berkenaan. "Saya akan muncul dengan sebuah single bertajuk Madu, bergenre slow rock. Saya menyanyi dan diiringi oleh pemuzik daripada grup Aisunam," katanya mempromosikan single yang tidak lama lagi akan menjengah pendengaran khalayak. Antagonis bukan klise - Corrie "Nama saya Dragon, dalam bahasa Melayu dragon ialah naga. Naga tahu di mana harus diam dan bila harus bertindak," bicara Adam Corrie Lee Abdullah tentang wataknya. Telah sekian banyak tersaksi dalam filem-filem terdahulu, Corrie yang juga pereka tari itu selayaknya bergelar pembelasah watak antagonis yang meyakinkan.
Berlakon dalam lebih 10 buah filem yang kebanyakannya menyarungkan wajah penjahat ataupun gengster Cina, Corrie juga salah seorang gengster yang dipertaruhkan dalam KL Gangster 2. Melanjurkan sisi awal bagaimana ketuanan Dragon dalam KL Gangster pertama menjadi kepala samseng besar, ujar Corrie apa yang disajikan kepada penonton kali ini bukan sekadar pelengkap kronologi. "Dragon bukan geng Tailong, mereka sama-sama cari makan tetapi dia tahu dengan siapa dia boleh buat kerja. Dalam prekuel KL Gangster ini, Dragon tak banyak pertarungan solo, tak macam dalam KL Gangster yang pertama," katanya sambil menegakkan kewujudan watak antagonis bukanlah persoalan klise yang harus dibangkitkan. "Hero juga boleh jadi stereotaip, jadi kenapa watak jahat yang selalu dikatakan stereotaip. Sebenarnya, terjemahan watak sangat subjektif," kata Corrie. Bercerita lagi tentang Dragon, watak itu disifatkan Corrie sebagai watak jahat yang memiliki disiplin. "Dragon ialah samseng sebenar, dia tidak main dadah dan tidak main perempuan. Sebab itu apabila Tailong sudah keterlaluan, Dragon putuskan untuk tidak masuk campur," beritahu Corrie sambil merujuk KL Gangster sebagai sebuah filem gengster yang hampir sempurna 'undang-undang' gengsternya. Kata Corrie: "Situasi itu tidak nampak secara langsung tetapi sebagai pelakon gengster, kami kena sedar pangkat dan kedudukan. Jangan ada perasaan cemburu, masa diam, kita diam, orang bawah tidak boleh lawan orang atas, kena tunjuk hormat. Jahat pun ada banyak peringkat. "Sebagai Dragon, saya cuba bawa sifat naga. Macam King, dialah raja dan naga harus jadi naga, dia harus dihormati sebagai Dragon. Dalam soal itu, saya tabik spring kepada Syamsul, dia pandai susun watak dan bagi ruang sama rata kepada setiap pelakon. Itu juga kenapa Dragon dalam KL Gangster yang pertama menyerlah dan ramai boleh ingat dialognya walaupun bukan watak utama." | ||||
Posted: 29 Sep 2013 03:17 AM PDT BUKAN pertama kali rock dan orkestra 'dikahwinkan' di atas satu pentas. Sebelum ini, grup Deep Purple pernah tampil dengan konsep yang sama pada tahun 1969 untuk album Concerto for Group and Orchestra. Grup Metallica, Portishead dan Radiohead juga tidak ketinggalan menggunakan konsep seperti itu. Beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa grup rock termasuk di tanah air membuat kolaborasi hebat dengan orkestra. Grup-grup itu menyerikan suasana dengan penampilan menggunakan gitar elektrik, selo, sut hitam, seluar kulit dan rambut panjang yang tidak berserabut. Kali ini, di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, sebuah festival diadakan dengan kolaborasi antara simfoni bunyi orkestra dan muzik rock untuk diperdengarkan di khalayak ramai baru-baru ini. Dalam rangkaian salah satu acara DFP Senifest 2013, festival rock ini dibawakan oleh Mus May, Ella dan Man Kidal. Perdampingan atau yang lebih tepat disebut jukstaposisi itu tadi dipamerkan kepada penonton. 'Otai' gitar rock, Man Kidal dalam senyum yang selalunya dilemparkan dengan tenang menyebabkan penonton berasa kagum dengan petikan-petikan gitarnya. Petikan gitarnya yang tersusun itu tidak seperti yang dipamerkan dalam konsert-konsert rock. Lebih tepat lagi, lagu-lagu seperti Seruan, Godfather dan Sentuhan Kidal dibawakan dengan penuh disiplin bersama anggota-anggota orkestra. Set seterusnya masuk ke dalam mood orkestra tetapi disatukan dengan jeritan terkawal dan berkuasa daripada penyanyi rock terkenal, Mus May.
Penyanyi yang selalu tampil berjenaka dan bersahaja di atas pentas itu menyanyi dengan iringan muzik orkestra yang rumit. Dua elemen ini bersantun hebat manakala vokal Mus dikawalnya dengan sebaik mungkin. Mus yang merupakan vokalis kumpulan May itu membawakan lagu Pelayaran, Srikandi Cintaku, Hakikat Perjuangan, Sinar, Sendiri dan Staiway to Heaven dengan bertenaga. Tidak dinafikan bahawa kemunculan Ratu Rock, Ella merupakan elemen yang paling dinantikan-nantikan penonton. Gaya Ella dengan memakai busana yang cukup mempesona membuatkan penonton terpesona dengan gaya dan suaranya. Dia muncul dengan membawakan lagu-lagu pemberi semangat sebagai persembahan awal iaitu Standing in the Eyes of the World. Ella turut tampil dengan menyanyi lagu Layar Impian, Dua Insan Bercinta dan medley lagu-lagu seperti Sembilu, Rindu serta Sepi Sekuntum Mawar Merah. Penyanyi itu memang dikenali ramai mempunyai suaranya yang unik. Kemunculan Ella dalam tujuh buah lagu itu sebenarnya meninggalkan resah buat khalayak. Pujian juga ditujukan kepada Datuk Ramli MS selaku Pengarah Artistik dan barisan pemuzik lain iaitu Mohd Firdaus Abd. Wahab (bes), Ihzwan Omar (gitar), Shah Nizam Abdul Halim (gitar), Acis@Hashridz Murshim Hassim (keyboard) dan Mohd. Fitri Misran (dram) yang menjadikan pentas rock pada malam Sabtu lepas bertenaga dan berada dalam kelasnya yang tersendiri. | ||||
Posted: 29 Sep 2013 03:10 AM PDT LONDON - Seorang pesara memecahkan dua rekod perkebunan semalam apabila dia mendedahkan lobak swede terbesar di dunia dan lobak merah paling besar di Britain. Ian Neale memecah rekodnya sendiri dengan menanam lobak swede seberat 54 kilogram (kg) dan mengatasi satu lagi rekod apabila lobak merahnya mencatat berat 8.35 kg. Semua sayuran itu ditanam di kebun belakang rumahnya di Langstone, selatan Wales. Neale, 70, menggunakan baja buatan sendiri dengan ramuan yang disempurnakan sejak lebih 30 tahun lalu untuk menghasilkan tanaman yang segar dan besar. "Namun, jika cuaca tidak terlalu pelik pada tahun ini seperti musim panas yang ekstrem, saya rasa saya dapat menanam sayuran lebih besar," katanya. Dia mempamerkan produk pertanian itu menjelang pameran tanaman musim luruh di Worcestershire. Pameran tersebut menarik kehadiran sekitar 50,000 pengunjung pada setiap tahun. Dalam pada itu, seorang pekerja pasar raya, Richard Smith, 48, mempamerkan sebiji labu gergasi seberat 100 kg. | ||||
Peserta Filipina dinobat Miss World 2013 Posted: 29 Sep 2013 03:08 AM PDT
NUSA DUA, Bali - Peserta Filipina, Megan Young dinobat sebagai Miss World dalam pertandingan ratu cantik berkenan yang berlangsung di sini semalam. Young mengenepikan lima finalis lain termasuk peserta Perancis dan Brazil. Acara berprestij itu disiarkan secara langsung di lebih 180 negara. Kemenangannya diumumkan ketika kawalan keselamatan dipertingkatkan ekoran siri bantahan oleh kumpulan radikal Islam di Indonesia sejak beberapa minggu lalu. Terdahulu, beratus-ratus orang Islam mengadakan solat hajat semalam sebagai memprotes pertandingan ratu cantik antarabangsa itu Solat hajat itu disertai oleh beratus-ratus anggota Barisan Pembela Islam (FPI) yang berhimpun di sebuah masjid di Sentul, pinggir bandar raya Jakarta. "Indonesia jelas tentang pendiriannya berhubung pertandingan Miss World, kami menolaknya di negara ini atau di mana sahaja," kata seorang anggota FPI, Ustad Maman. Pertandingan akhir Miss World kali ini menampilkan 129 peserta dari seluruh dunia. Sejak beberapa minggu lalu ribuan penduduk Islam mengadakan protes jalanan di seluruh Indonesia untuk mengecam acara itu yang dilabel sebagai 'pertandingan jalang' dan 'pornografi'. Terdahulu, beberapa kedutaan asing di Indonesia memberi amaran acara berkenaan berisiko menjadi sasaran serangan pengganas. | ||||
Posted: 29 Sep 2013 03:06 AM PDT
PERJALANAN ke Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang hanya mengambil masa kurang sejam dari Kuala Lumpur. Walaupun penulis cuba untuk melelapkan mata, usaha itu ternyata gagal kerana tempoh perjalanannya yang singkat. Namun, timbul persoalan di minda mengapakah perkampungan yang terletak 600 hingga 800 meter dari aras laut ini diberi nama Janda Baik? Maklumat setakat 2006 memberikan butiran bahawa terdapat 34 ibu tunggal menetap di perkampungan yang mula didiami sejak awal tahun 1920-an ini. Sebenarnya, nama kampung ini digarap sempena pertemuan semula sepasang suami isteri yang merupakan Orang Asli yang telah lama terpisah. Menurut cerita seorang penduduk asal, Mat Sabri Malek, nama kampung ini diambil sempena pertemuan semula sepasang suami isteri Orang Asli yang telah lama terpisah itu. "Orang Asli di kawasan berkenaan termasuk Tok Batin dan isterinya bekerja di sawah padi huma yang diusahakan oleh tiga peneroka awal kawasan itu yang hanya dikenali sebagai Haji Rahman, Haji Kadir dan Haji Ismail selepas banjir besar melanda pada tahun 1926. "Namun, berlaku pertengkaran antara pasangan suami isteri itu. "Tok Batin yang merupakan si suami merajuk sebelum membawa diri ke Selangor. Isterinya pula berhijrah ke Negeri Sembilan," katanya.
Tambahnya, selepas beberapa tahun, pasangan itu terpisah, mereka kembali semula ke kampung berkenaan. "Kemudian, penduduk bercadang untuk menamakan kampung mereka sempena peristiwa 'janda berbalik' itu. "Namun, pegawai daerah ketika itu, seorang Inggeris memberikan nama 'Janda Baik' bagi menggambarkan keharmonian rumah tangga penduduk kampung tersebut," jelas Mat Sabri. Sebenarnya, perkampungan ini bukan sahaja sarat dengan aura alam semula jadi yang menggamit hati bukan sahaja kepada penggemar alam semula jadi malah kepada mereka yang ingin lari daripada kebisingan kota. Sebaik sahaja melalui pintu gerbang, kedatangan para pengunjung akan disambut dengan sebuah kedai buah dan kedai makan yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Juhaini Abdullah serta Halimah Ahmad. Tanah subur Mereka telah menjalankan perniagaan itu selama lima tahun. Kata mereka, tanah Janda Baik cukup subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian kerana parasnya yang agak tinggi dari aras laut selain faktor kimia tanahnya. "Pokok durian, manggis, langsat dan pisang berbuah hampir pada setiap masa malah durian tiada musimnya. "Boleh dikatakan pada setiap bulan, ada sahaja durian yang berbuah. Jadi, kami sebenarnya tidak pernah putus dengan bekalan 'raja buah itu," kata Halimah sambil tersenyum. Kru Jurnal turut berpeluang merasai buah durian jenama Kampung Janda Baik dan ternyata memang sedap. Tarikan perkampungan yang mempunyai 2,800 orang penduduk ini bukan sahaja buah-buahan tetapi juga sayur-sayuran yang segar dan bebas kimia. Menurut seorang pemandu pelancong, Rozi Sarip, sayur-sayuran di Janda Baik hampir setanding dengan yang terdapat di Cameron Highlands, Pahang. "Cuma di sini (Janda Baik) tidak sesuai untuk tanaman strawberi dan teh tetapi sayur-sayuran seperti kacang panjang, botol, tomato serta terung adalah bebas daripada penggunaan racun perosak. "Malah, sumber pengairan daripada air bukit adalah bersih," katanya. Gunung Nuang Rozi yang berpengalaman selama 13 tahun membawa pendaki Gunung Nuang menambah, tidak ramai yang mengetahui gunung itu boleh didaki melalui Janda Baik. "Pada kebiasaannya, ramai pendaki tegar mendaki Gunung Nuang dari Hulu Langat, Selangor. Namun, melalui Janda Baik lebih mencabar. "Anda perlu melalui rimbunan pokok buluh yang rendang sehingga perlu tunduk dan mendaki bukit yang agak curam," katanya. Rozi menjelaskan, perjalanan sepanjang lima kilometer akan menemukan para pendaki dengan Air Terjun Janda Baik yang airnya sejuk dan tidak tercemar. Kru Jurnal berpeluang mendaki sebelum sampai ke kawasan air terjun itu. Namun, uniknya, bagi penduduk Orang Asli di Janda Baik, mereka hanya menggunakan laluan yang sempit sebagai medium untuk memungut hasil hutan seperti ulam, rebung dan buluh. Motosikal digunakan untuk mengambil hasil hutan itu pada radius ketinggian 1,000 meter dari aras laut. Walaupun ekologi alam semula jadi perkampungan ini masih terjaga, Janda Baik pernah digemparkan dengan penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian tidak terkawal. Situasi itu turut didorong pembinaan calet dan resort secara drastik menyebabkan suhunya tidak lagi sesejuk seperti awal 90-an. Menurut seorang penduduk, Roslan Ismail, pada awal 1990-an,suhu Janda Baik terlalu sejuk. "Sampai menggigil. Biasanya pada waktu 5 petang sudah mandi. Bayangkan sehingga pukul 12 tengah hari, kami perlu memakai jaket tebal untuk memanaskan badan. "Tetapi kini agak panas sedikit kerana penerokaan haram hutan tidak terkawal untuk aktiviti pertanian berlaku pada empat tahun lalu" katanya. Tambahnya, dahulu minyak kelapa yang digunakan untuk memasak perlu dipanaskan terlebih dulu kerana beku. Menurut seorang lagi penduduk, Nazer Kamaruddin, dia pernah melihat bongkah ais di sungai. "Malah, tidak perlu meletakkan ais pada air minuman kerana ia cepat sejuk," ujarnya. Ketua kampung, Zahari Ayop mengaku berlakunya aktiviti pembalakan haram secara tidak terkawal untuk penanaman sayur-sayuran yang berlaku empat tahun lalu. "Beratus-ratus hektar tanah telah diterokai. Malangnya, kayu balak yang bersaiz besar dibiarkan reput. Selain itu, pokok balak yang berusia beratus-ratus tahun habis musnah. "Malah, ketika itu, jika dilihat secara kasar, bukit-bukit di Janda Baik seakan-akan habis digondol," katanya. Zahari menjelaskan, sungai-sungai turut tercemar kerana para petani haram menyembur racun pada tanaman mereka. "Sungai-sungai tercemar dan penduduk kampung yang bermandi-manda akan berasa gatal di seluruh badan," ujarnya. Namun, tindakan pantas kerajaan negeri terutamanya jabatan perhutanan berjaya menghalang aktiviti itu daripada berlaku secara berterusan. "Syukurlah, kerajaan negeri memantau secara serius dan terdapat tanaman semula pokok kayu jati dan cengal untuk menghijaukan semula kawasan bukit. "Sungai-sungai yang dahulunya tercemar kini bersih seperti sediakala," cerita Zahari. Menurutnya, mereka juga bekerjasama dengan para pengusaha calet dan resort supaya tidak menebang pokok secara sewenang-wenangnya. "Ada hadnya untuk penebangan pokok selain perlu menjaga kebersihan sungai," katanya. | ||||
Budak nakal jadi tauke otak-otak Posted: 29 Sep 2013 03:05 AM PDT PERTEMUAN dengan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan otak-otak di Asia Cafe yang terletak di SS15, Subang Jaya, Selangor membuatkan kru Jurnal berasa kagum apabila melihat dia berjaya pada usia muda. Jika rakan-rakanya memilih untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian sebelum berfikir mengenai pekerjaan, Muhammad Fikri Mohd. Yunus, 22, mempunyai pandangan yang berbeza. Dia sanggup melakukan dua perkara secara serentak iaitu berniaga dan belajar pada masa yang sama. "Walaupun berasal dari keluarga berada, saya lebih selesa berdikari kerana berniaga merupakan pilihan saya. "Sebenarnya, saya seorang yang agak nakal dahulu. Tetapi, saya bertekad untuk berubah kerana tidak mahu terus dilabel nakal oleh masyarakat. "Sejak itu, saya mula berjinak-jinak di dalam bidang perniagaan. "Seawal usia 17 tahun, saya sudah memulakan perniagaan sendiri iaitu menjual shisha," jelasnya yang mempunyai tiga orang adik-beradik. Muhammad Fikri yang menubuhkan syarikat Kcik Resources pada tahun 2009 memberitahu, idea untuk menjalankan perniagaan itu diperoleh ketika membantu seorang rakannya berniaga otak-otak di Petaling Jaya. Justeru, pemuda itu melihat potensi perniagaan otak-otak yang boleh menjamin masa depannya jika dia mempunyai kesungguhan yang tinggi ditambah lagi dengan modalnya yang kecil. "Menjalankan perniagaan menjual shisha menyasarkan pelanggan dalam kalangan remaja. "Namun, berbeza pula dengan perniagaan otak-otak kerana sasaran pelanggannya adalah lebih meluas. "Sebenarnya, saya memang tercari-cari cabang perniagaan yang melibatkan semua peringkat umur. Apabila bercakap mengenai otak-otak, boleh dikatakan semua peringkat umur tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa pun menyukainya," ujar pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Pengurusan Sains di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Pengorbanan Usahanya untuk mendapatkan tapak gerai yang didominasi oleh peniaga-peniaga Cina di Asia Cafe itu sebenarnya mengagumkan apatah lagi dia menjadi peniaga Bumiputera pertama yang menjalankan perniagaan di situ. "Hampir empat bulan saya cuba meyakinkan pihak pengurusan kafe itu. "Rezeki akhirnya berpihak kepada saya apabila pemilik kafe tersebut membenarkan saya berniaga. "Saya diberi masa untuk memulakan perniagaan dalam tempoh seminggu. "Alhamdulillah, saya berjaya membuka gerai otak-otak ini pada hari kelima," katanya yang menggunakan slogan Mr. Small's Otak-Otak, The Best Taste In Town. Katanya, pengorbanan besar diperlukan apabila memilih untuk belajar sambil bekerja kerana dia perlu bijak untuk membahagikan masa. "Saya terpaksa berkorban kerana berniaga sudah menjadi pilihan saya. Kereta menjadi rumah kedua saya ketika saya mula menjalankan perniagaan ini. "Ada ketikanya, saya tidak tidur kerana perlu menghadiri kuliah selepas menjalankan perniagaan yang memulakan operasi sekitar pukul 5 dan berakhir pada pukul 5 pagi ini," jelasnya yang pernah bekerja sebagai penarik kereta.
Usahawan muda itu mula menjalankan perniagaan berbekalkan modal permulaan yang diperoleh sebagai penarik kereta sebanyak RM1,000. "Alhamdulillah, pendapatan bulanan saya kini mencecah lima angka dengan pembukaan 26 cawangan di sekitar Lembah Klang. "Saya memperoleh bahan mentah daripada pembekal otak-otak dari Kampung Parit Kuda di Batu Pahat, Johor kerana rasanya yang cukup istimewa selain menepati cita rasa pelanggan. "Sebenarnya, warna asal otak-otak itu berwarna putih. "Namun, penggunaan pewarna merah ketika otak-otak pertama kali diperkenalkan menyebabkan masyarakat sudah biasa dengan warna itu," tambahnya sambil memberitahu, dia kini mampu menjual sebanyak 15,000 keping otak-otak sehari. Promosi Memilih perniagaan otak-otak sebagai sumber pendapatan, kesungguhan dan kerajinan amat diperlukan untuk mempromosikan produknya itu. "Para-peniaga otak-otak mencari pelanggan dengan meletakkan makanan ini dari meja ke meja makan," katanya. Dia juga bercerita tentang ketahanan makanan itu. "Otak-otak boleh bertahan selama lapan bulan sekiranya berada di dalam peti sejuk. "Ia juga masih baik selepas 16 jam dikeluarkan (dari peti sejuk dan belum dibakar). "Otak-otak yang sudah siap dibakar boleh bertahan selama dua hari," katanya yang mempunyai seramai 34 orang kakitangan di semua cawangannya. Bagi meluaskan lagi jaringan perniagaan yang dimilikinya, Muhammad Fikri merancang untuk mengeksport produknya itu ke luar negara seperti Indonesia dan Thailand. Malah, dia juga meletakkan sasaran untuk membuka 50 buah lagi cawangan sebagai perancangan untuk masa depannya. "Saya juga bercadang mahu membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen dengan modal serendah RM1,000. Syarikatnya juga ada menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis-majlis seperti parti hari jadi dan rumah terbuka dengan tempahan minimum sebanyak 300 keping ke atas. Selain otak-otak, syarikatnya turut menjual pulut panggang resipi Kelantan dan satar pedas dari Terengganu. | ||||
Posted: 29 Sep 2013 03:03 AM PDT PERKAHWINAN memang menjadi idaman untuk setiap manusia dengan tujuan memiliki zuriat keturunan dan hidup dalam kebahagiaan. Maksiat juga dapat dielakkan jika seorang lelaki itu mendirikan rumah tangga. Situasi yang sama turut dialami oleh Nizam (nama samaran) yang telah berusia 40 tahun dan bekerja sebagai seorang eksekutif sebuah syarikat swasta. Dia telah berkenalan dengan Siti (nama samaran di tempat kerja yang sama) selama dua tahun. Nizam bersyukur dengan pekerjaannya itu kerana dia juga dapat mengamalkan sifat berjimat-cermat. Lelaki yang kini mempunyai tiga orang anak itu dapat membeli sebuah kereta Proton Wira secara tunai dan sebuah rumah murah bernilai RM30,000 di Puchong, Selangor. "Saya makan tidak bermewah-mewah. "Saya tidak gemar bersosial seperti menonton wayang, melancong dan bermain boling. Kebanyakan pakaian yang saya beli adalah yang terpakai," katanya ketika di temui di sebuah kedai makan di Puchong baru-baru ini. Selain tidak merokok, dia juga tidak teruja untuk membeli kereta mahal. "Gaji bulanannya hanya untuk membayar sewa bilik dan makan. Sejumlah lagi wang daripada gajinya dihantar kepada keluarga di kampung. Selebihnya, saya simpan. "Syukur hasil amalan berjimat-cermat itu, dalam tempoh sepuluh tahun sahaja, saya mampu membeli sebuah kereta dan rumah. "Pada waktu malam, saya berniaga burger di flat yang disewa," katanya. Kahwin Disebabkan dia sudah lama mengenali Siti (bukan nama sebenar), Nizam merancang untuk menamatkan zaman bujangnya. Dia kemudian berjumpa dengan keluarga Siti untuk meluahkan hasratnya. "Terkejut saya, kerana keluarganya meminta wang hantaran sebanyak RM20,000. Itu belum termasuk kos kenduri dan makanan untuk para tetamu. "Perkara itu ternyata merunsingkan saya kerana saya tidak mahu membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk berkahwin," katanya. Menurut Nizam, dia tidak suka berhutang. "Hutang itu tidak perlu kerana sebaik sahaja perkahwinan, pelbagai perbelanjaan lain yang perlu kita sediakan. "Lagi pun keperluan seperti rumah dan kereta telah dipenuhi sekali gus tidak mendatangkan masalah buat saya apabila berkeluarga kelak," katanya. Nizam terfikir untuk tidak menjadikan Siti sebagai isterinya kerana kos perkahwinan itu. "Ada masanya, saya terfikir untuk meninggalkan Siti. Tetapi, masih sayangkan dia. Lagi pun, saya tidak pernah melakukan perkara yang tidak baik dengannya," ujar lelaki tersebut. Namun, selepas menghadiri satu ceramah di sebuah masjid di Puchong, dia mempunyai pandangan yang berbeza tentang alam perkahwinan. "Ustaz itu memberitahu, perkahwinan yang paling penting ialah pernikahan selain mengadakan majlis makan hanya sekadar untuk memberitahu jiran-jiran dan keluarga tentang perkahwinan. "Selain itu, ustaz tersebut juga memuji sikap saya yang tidak membuat pinjaman peribadi yang bakal menyusahkan saya kelak. "Dia juga meminta saya berbincang dengan keluarga mertua dan menjelaskan kepada mereka tentang tujuan saya untuk berkahwin," jelas Nizam. Terima Menurut lelaki itu, pada mulanya, agak berat untuk ibu mertuanya menerima cadangannya kerana kakak dan abang Siti melangsungkan perkahwinan secara besar-besaran. Menurutnya, langkah yang dilakukannya adalah dengan membawa keluarga mertuanya ke kedai makan selain membelikan hadiah kepada mereka. "Semasa itu, saya cucuk jarum dan menerangkan kepada mereka tujuan saya berkahwin dengan Siti. Saya juga memberitahu, tidak akan mempersia-siakan anak mereka. "Saya juga memberitahu, saya tidak mahu kehidupan saya dibebani dengan hutang. Syukurlah, selepas beberapa bulan, mereka bersetuju untuk tidak mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran ," katanya. Majlis perkahwinan Nizam dan Siti diadakan serba ringkas dengan hantaran hanya RM1,000. Kini, setelah 15 tahun berkahwin, lelaki itu bersyukur kerana dia telah mempunyai tiga orang anak selain tidak mempunyai bebanan hutang. "Saya juga dapat menumpukan perhatian untuk membesarkan anak-anak selain dapat mengubah suai rumah. "Saya juga dapat membeli kereta tanpa berhutang. Sebenarnya, tidak berhutang membuatkan kehidupan kita lebih selesa," katanya. | ||||
Posted: 29 Sep 2013 03:01 AM PDT
FAZLIANA HANIM AB. HAMID, 35, mahu sentiasa kelihatan awet muda manakala Aznita Ariffin, 31, mahu menguruskan badan selepas melahirkan anak keempat. Sementara itu, Marlina Ibrahim, 38, dan Wan Qobatian Wan Johan, 34, pula mencari aktiviti yang membolehkan mereka kekal sihat, cergas dan bertenaga dan pada masa yang sama mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Menariknya, mempunyai objektif dan keinginan berbeza namun mereka satu persamaan iaitu obses terhadap acara larian jarak jauh seperti maraton. Di bawah nama Krazirunners, sebuah komuniti sosial yang dibentuk sejak setahun lalu, mereka sanggup menjelajah ke seluruh pelosok negara semata-mata memenuhi keghairahan untuk berlari. Dianggotai 12 ahli yang terdiri daripada golongan wanita profesional tempatan, Krazirunners menggabungkan elemen riadah dan sukan sebagai teras utamanya. Di bawah platform itu, setiap ahlinya tidak sekadar berkongsi minat dan idea mengenai acara kegemaran mereka itu malah berpeluang mempromosikannya kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang diadakan. Fazliana yang juga merupakan salah seorang pengasas Krazirunners berkata, idea membentuk komuniti sosial itu timbul selepas mereka sering bertemu dalam beberapa acara larian yang dianjurkan pelbagai pihak. "Biarpun sering bertemu, namun hubungan kami tidak rapat. Disebabkan itu saya dan adik, Farhana Noor, 32, mengasaskan komuniti ini dengan tujuan mencari kenalan baharu yang mempunyai minat yang sama. "Secara tidak langsung, kami berpeluang bertukar-tukar pengalaman di samping kerap berjumpa untuk menjalani latihan bersama," katanya yang menetap di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Tambah Fazliana, seperti dirinya, kesemua ahli komuniti itu sememangnya aktif dalam acara larian jarak jauh sebelum ini. "Kami semua memang 'gila' berlari. Tidak kira daripada kategori larian biasa seperti lima kilometer (km), 10 km, 15 km sehingga separuh maraton (21 km) dan maraton (41 km) masing-masing pernah melaluinya," ujarwanita yang bertugas sebagai juruaudit dalaman di sebuah syarikat swasta di ibu negara. Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, dia tidak menyangka penyertaan pertamanya dalam satu acara larian di Sepang kira-kira tiga tahun lalu berjaya menyerlahkan potensinya dalam sukan tersebut. Katanya, biarpun terikat dengan komitmen sebagai isteri, ibu dan pekerja, namun dia sering mencari masa yang sesuai bagi menjalani latihan. "Saya bukannya mengejar kemenangan atau pingat, sebaliknya sekadar kepuasan peribadi terutamanya setiap kali berjaya memperbaiki catatan masa yang pernah dilakukan sebelum itu. "Lagipun sukan ini baik untuk kesihatan mental dan fizikal, meningkatkan kecergasan dan stamina," katanya. Menurut Fazliana, tumpuannya dan rakan-rakan Krazirunners lain kini adalah bagi acara Standard Chartered KL Marathon 2013 (SCKLM 2013) yang akan berlangsung esok di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. "Saya tidak sabar untuk bersaing biarpun pernah dua kali menyertainya sebelum ini. "Melalui latihan intensif yang dilakukan sejak dua minggu lalu, saya yakin mampu mencatatkan masa terbaik," katanya yang bakal menyertai acara separuh maraton itu. Bagi Aznita, biarpun masih baharu dalam Krazirunners, namun dia berasa seronok kerana dikelilingi rakan-rakan yang sentiasa memahami dan tidak lokek berkongsi ilmu. "Apabila berlari dalam satu kumpulan begini secara tidak langsung kami berpeluang bersaing sesama sendiri dan memperbaiki catatan peribadi masing-masing.
"Pada masa sama acara larian seperti ini semakin popular dan sering mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat," ujarnya yang bekerja sebagai jurutera komputer. Jelas Aznita, dia memilih larian sebagai rejim harian untuk membentuk personaliti yang positif di samping mengekalkan bentuk badan. Katanya, pengalaman berhadapan masalah pertambahan berat badan selepas melahirkan anak keempat sebelum ini menjadi pengajaran berharga buat dirinya. "Bayangkan ketika itu berat mencecah sehingga 62 kilogram (kg) berbanding berat asal 50 kg. "Tidak seperti ketika melahirkan anak pertama hingga ketiga, berat badan saya sukar untuk turun menyebabkan saya mula melakukan aktiviti joging dan berdiet," ceritanya. Jelas Aznita, kerana terdesak mahu mendapatkan bentuk tubuh seperti sebelum itu, dia mula berjinak-jinak dalam acara larian jarak jauh selepas dipelawa seorang rakan. "Keseronokan berlari dan menyertai pelbagai acara larian di sana sini menyebabkan saya terlupa menimbang berat badan. Sedar tak sedar dalam tempoh lapan bulan, berat badan sudah turun sehingga 14 kg," ujarnya. Katanya, bagi mengekalkan stamina, dia sentiasa menitikberatkan aspek latihan dan pemakanan. "Saya gemar berlatih pada waktu pagi di sekitar taman rekreasi kawasan kediaman saya selepas menghantar anak-anak ke sekolah. "Jika berkempatan, saya akan turut serta menjalani latihan bersama rakan-rakan Krazirunners di lokasi yang ditetapkan," katanya. Sementara itu, Marlina memberitahu, dia memilih larian kerana ia murah dan paling berkesan untuk mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Katanya, sebelum berjinak-jinak dalam sukan itu tiga tahun lalu, dia sering ke gimnasium bagi tujuan yang sama. Namun, sering terbeban dengan kadar yuran tinggi setiap bulan di samping dihimpit kesuntukan masa untuk bersenam di sana. "Daripada membazir begitu sahaja, lebih baik saya berhenti menjadi ahli. Lagipun berlari tidak memerlukan belanja besar kecuali untuk membeli kasut sukan yang mungkin mencecah harga antara RM200 sehingga RM300 sepasang," ujarnya. Bekerja sebagai pegawai tadbir, Marlina berkata, minatnya dalam acara larian turut dikongsi bersama suami, Huzaini Zainal, 37 dan anak lelaki mereka, Muhammad Raimie, 11. "Mereka merupakan penyokong kuat saya dan sentiasa memberi sokongan sama ada ketika menjalani latihan atau menyertai acara. "Adakalanya, suami dan anak juga turut serta dalam acara larian yang saya sertai. Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kami," ujarnya yang menjadikan pelari maraton wanita dari Norway, Grete Waitz sebagai idolanya. Berasal dari Raub, Pahang, Marlina berkata, usia tidak pernah menjadi penghalang untuknya terus melibatkan diri dalam aktiviti kegemarannya itu. "Apa yang penting, kehidupan kini telah berubah sebanyak 360 darjah. Dahulu saya tidak peka mengenai kepentingan makanan berkhasiat namun sejak melibatkan diri dalam sukan ini, saya lebih berhati-hati dalam memilih makanan. "Pergaulan dengan peserta-peserta lain juga membantu menajamkan corak latihan saya. Ini sekali gus memperbaiki catatan masa yang pernah dicapai sebelum ini," katanya. Bagi Wan Qobatian, dia terpaksa melupakan hasrat menyertai SCKLM 2013 kerana sedang mengandung empat bulan. Ujarnya, dia hanya mengetahui perkara itu kira-kira dua bulan lalu biarpun telah mendaftar bagi kategori separuh maraton. "Sebelum itu saya sempat bertanding dalam Mizuno Wave Run 2013 di Putrajaya sejauh 16 km, ketika itu saya tidak tahu kandungan sudah berusia dua bulan. "Kali ini, saya tidak mahu mengambil risiko. Apa yang saya mampu lakukan hanyalah mendoakan kejayaan rakan-rakan Krazirunners," katanya sedikit kecewa. Lebih mesra dengan panggilan Betty, ibu kepada dua cahaya mata itu memberitahu dia tidak kekok menyertai aktiviti larian walaupun dalam keadaan berhijab. "Biarpun aktif bersukan, aurat tetap perlu dijaga. Lagipun terdapat banyak tudung dan pakaian muslimah yang sesuai untuk atlet di pasaran," katanya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan