sumber :-
Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Adam (AF2) & Fiza (Elite) Sah Bergelar Suami Isteri
- Sidang Media Pertunangan Fizo Omar Dalam Waktu Terdekat
- 'Saya Akan Komen Jika Segalanya Pasti' - Almy Nadia
- Lari Dari Lokasi, Produser Kesal Sikap Fida Ibrahim
Adam (AF2) & Fiza (Elite) Sah Bergelar Suami Isteri Posted: 26 Sep 2013 06:33 AM PDT SHAH ALAM: Dengan sekali lafaz, penyanyi Mohd Aizam Mat Saman atau Adam (Akademi Fantasia 2) dan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza selamat bergelar suami-isteri dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di dewan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di sini, pada pagi Khamis. Akad nikah disempurnakan Pegawai Pendaftar Nikah Daerah Petaling, Suhaimi Ahmad kira-kira pukul 10.30 pagi. Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 32, menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan sepersalinan barangan untuk solat sebagai hantaran. Majlis pernikahan yang dijalankan dalam serba sederhana itu hanya dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan wakil media. Adam, 30, dan Fiza saling kenal mengenali pada pertengahan Julai lalu sebelum kedua-duanya memutuskan untuk berumah tangga. "Kami sebelum ini pernah berjumpa tetapi tiada apa-apa perasaan tapi selepas perubahan dia ke arah menjadi insan yang lebih baik saya mula rasa ingin mendekati dirinya. "Daripada beberapa pertemuan dengan dia, saya semakin suka dan jatuh hati sehingga melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah," kata Adam. Tambah Adam, dia bersyukur majlis berkenaan berjalan lancar selain mengharapkan hubungan itu kekal ke akhir hayat. Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4. Majlis persandingan pasangan itu akan diadakan pada pertengahan Oktober depan di kampung halaman Adam di Kota Kinabalu, Sabah. |
Sidang Media Pertunangan Fizo Omar Dalam Waktu Terdekat Posted: 26 Sep 2013 05:50 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan burger, Fizo Omar bakal mengadakan satu sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pertunangannya dengan Mawar Abdul Karim dalam masa terdekat. Fizo, 28, berkata, setakat ini dia masih belum mempunyai tarikh tertentu untuk melangsungkan majlis pertunangannya dengan wanita berkenaan tetapi mengjangkakan pada awal November depan. "Insya-Allah dalam masa terdekat ini kami akan adakan satu sidang media bagi mengumumkan perkara itu dan kami menjangkakan pertunangan itu akan berlangsung pada awal November ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Keluarga Fizo pada 28 Ogos lalu telah menghantar rombongan merisik Mawar, 24, yang juga anak kepada pengasas tudung Fareeda iaitu Faridah Zakaria. Dalam perkembangan sama, Fizo mengakui dia dan Mawar jarang berjumpa kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing namun sering berhubung untuk bertanya khabar. Malah kata Fizo, persiapan pertunangan mereka hanya dibuat menerusi telefon dan mereka hanya akan berjumpa jika ada kelapangan. "Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan tetap berjalan walaupun kami tidak bertemu," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, dia kini berada di Kelantan bagi mengembangkan perniagaan Hot Burger miliknya dan memberitahu bakal membuka 25 buah gerai di negeri itu menjelang Oktober ini. Malah kata Fizo, dia turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu ibu tunggal di negeri kelahirannya itu agar berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. "Memang Hot Burger ini saya perkenalkan untuk membantu golongan belia tetapi projek di Kelantan ini istimewa sedikit di mana saya dan KPWKM bekerjasama untuk membantu ibu tunggal memulakan perniagaan burger," jelasnya. Tambah Fizo, dia juga teruja dengan sambutan di Kelantan apabila menerima 1,000 penyertaan untuk program berkenaan. Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, selain mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O di TV9, dia bakal muncul dengan filem Cinderella arahan Ahmad Idham pada penghujung tahun ini. Kata Fizo, walaupun sibuk menguruskan perniagaan burger dia tetap akan meluangkan masa untuk memenuhi tawaran berlakon kerana ia adalah minat pertamanya. "Sesibuk mana pun saya tetap akan cari masa untuk berlakon dan walaupun penat tetapi pengorbanan perlu dilakukan namun banyak juga tawaran terpaksa ditolak kerana kekangan masa," katanya. |
'Saya Akan Komen Jika Segalanya Pasti' - Almy Nadia Posted: 26 Sep 2013 05:49 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia hanya akan menjawab segala teka-teki tentang hubungan dia dengan bekas kekasihnya iaitu pelakon Fizz Fairuz selepas semuanya jelas dan pasti. Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, buat masa ini dia memilih untuk berdiam diri dan menyerahkan segalanya kepada Fizz Fairuz. "Saya tidak mahu komen apa-apa tentang hubungan kami kerana saya perlu menjaga hati banyak pihak. "Biar dia sahaja yang buat kenyataan itu kerana dia lelaki, saya hanya akan bercakap bila semuanya sudah jelas sahaja," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu. Almy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Fizz Fairuz yang mengakui kembali menjalinkan hubungan cinta dan akan bernikah dengan wanita itu pada tahun hadapan. Tambah Almy, buat masa ini pihak keluarganya juga belum mengetahui apa-apa tentang perkara itu. Dalam pada itu, Almy yang kini tampil dengan imej berambut pendek mahu memulakan hidup baharu. "Beberapa bulan yang lalu ini memang banyak dugaan dan ujian yang saya hadapi tapi Alhamdulillah semuanya semakin baik dan berjalan lancar. "Sekarang saya cuba imej baru dengan berambut pendek pula sebagai simbolik memulakan kehidupan yang lebih baik," katanya. |
Lari Dari Lokasi, Produser Kesal Sikap Fida Ibrahim Posted: 26 Sep 2013 05:47 AM PDT PETALING JAYA: Penerbit telefilem Kampungku dan Aidiladha iaitu Hazmimi Johar kesal dengan sikap pelakon Fida Ibrahim yang telah menimbulkan masalah termasuklah meninggalkan set penggambaran drama tersebut di Baling, Kedah pada Ahad lalu. Hazmimi yang juga Presiden Persatuan Pertubuhan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (PERKAP) berkata, pelakon itu berbuat demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan adegan akhir telefilem berkenaan apabila terdapat skrip yang dikatakan cuba menyindirnya. "Dia meninggalkan set pada hari terakhir penggambaran drama berkenaan kerana mendakwa terguris hati dengan skrip lakonan Syed Nahar Syed Mokhtar yang didakwa menyindirnya. "Saya tidak faham dengan sikap dia kenapa perlu terasa dengan skrip berkenaan kerana ia hanya lakonan. Perbuatannya telah menyusahkan semua krew produksi," jelasnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Telefilem Kampungku dan Aidiladha itu diarahkan oleh Shuaimi Lua Abdullah dan diterbitkan oleh Langkah Karya Sdn Bhd untuk siaran bersempena Hari Raya Aidiladha di TV3. Selain Fida, drama tersebut turut dilakonkan oleh Zalif Sidek, Razak Ahmad, Syafiq Kyle, Ameera Rusly dan Aidil Aziz. Jelas Hazmimi, Fida sepatutnya tidak merungut apabila penggambaran hampir selesai sedangkan skrip berkenaan sudah diberi lebih awal untuk dibaca dan dibuat kajian. Malah katanya, bukan sahaja skrip tetapi pelakon tersebut turut mempersoalkan lokasi penggambaran selain mendakwa diberi tempat penginapan yang tidak selesa. Dia juga seharusnya sedar, lokasi penggambaran itu diadakan di kawasan pinggir bandar yang tidak mungkin mempunyai hotel bertaraf lima bintang. "Suka atau tidak dia telah menandatangani kontrak untuk berlakon dalam drama berkenaan dan saya percaya, dia seharusnya sudah memahami perjalanan skrip itu. "Apa yang berlaku jelas menunjukkan dia tidak membaca skrip sebelum ini dan cuba menyalahkan orang lain," kata Hazmimi. Malah ujarnya, Fida juga sebenarnya sudah bercadang meninggalkan set pada hari sebelumnya tetapi setelah dipujuk oleh krew produksi dia membatalkan hasrat tersebut. Dalam perkembangan sama, Hazmimi turut berasa pelik apabila Fida merungut tidak boleh bekerja dengan Shuhaimi Lua yang disifatkan sebagai pengarah baharu serta kurang berpengalaman. "Sebagai pelakon, dia tiada hak untuk mempersoalkan kelayakan seseorang pengarah kerana pemilihan itu dilakukan oleh panel terlibat iaitu pihak TV3. "Malah Fida juga harus berterima kasih kerana pada mulanya TV3 telah melarang saya dan Shuhami mengambilnya berlakon kerana bimbang akan timbul masalah tetapi kami berusaha meyakinkan pihak berkenaan," katanya. Dalam pada itu Shuhaimi Lua berkata dia tidak berasa hati apabila wanita itu mempersoalkan kredibiliti dan kemampuannya sebagai pengarah. Namun Shuhaimi berpendapat Fida antara artis yang tidak mengikuti perkembangan dunia seni tanah air apabila mengeluarkan kenyataan sedemikian. "Saya tidak kisah pun dia tidak kenal saya. Tetapi sebelum berlakon dalam karya arahan saya, dia sepatutnya mengkaji dulu siapakah saya dan drama-drama yang pernah saya arahkan. "Bukan susah pun, 'Google' saja nama saya di Internet, bertimbun-timbun cerita saya yang dia boleh rujuk," katanya. Sementara itu usaha mStar Online untuk bercakap dengan Fida gagal apabila tidak diizinkan oleh pengurusnya yang dikenali sebagai Mitho. Bagaimanapun Mitho berkata, perkara berkenaan telah dibawa kepada peguam mereka untuk tindakan lanjut. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan