Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Permohonan Wan Nor Azlin ditolak
- KL Gangster disabotaj, Syamsul merana!
- Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa
- Remaja mampu nyanyi dalam lapan bahasa
- Rezeki besarkan 18 anak
- Lentera Timur cukup hebat
- Penembak upahan professional tanpa empati
- Motif alam tema Mass Yusof
- Melancong lebih mudah dengan Google Street View
- Aeril Zafrel, Wawa Zainal nafi sudah bernikah
- Zhafran sokong Fouziah
- Aril menangis ketika jadi penyampai radio
- Pelajar AF 2013 terlalu mencuba
- Graduan tulang rapuh dapat kerja
- Remaja lelaki dijel seumur hidup
- Jasad Chin Peng dibakar di Bangkok semalam
- Gabungan burger McDonalds jadi juadah baharu
- Istana Buckingham cari penjaga 1,000 jam diraja
- Jangkitan global HIV catat penurunan ketara
- Platform melahirkan lebih ramai penulis
- Cabaran menerbitkan buku-buku ilmiah
- Olesan gincu yang ideal
- Nilai ketimuran ceongsam moden
- Usah abai kecantikan kaki
- Pesona busana Aisy
Permohonan Wan Nor Azlin ditolak Posted: 24 Sep 2013 11:16 PM PDT
Hakim, Mohamed Fouzi Mokhtar dalam keputusannya berkata, tuntutan Wan Norazlin Wan Mohd Hussin tidak munasabah dan wanita itu tiada hak di sisi undang-undang. Mahkamah juga memerintahkan kes yang difailkan sebelum ini dibatalkan serta kos guaman ditanggung oleh Wan Norazlin. Wan Nor Azlin, 45, diwakili peguamnya, Mahyuddin Md Zahari, sebelum ini memfailkan injunksi terhadap bapanya, Wan Mohd Husin Wan Ibrahim, 76, daripada menjual sebuah rumah di Taman Keramat, Kuala Lumpur. Wan Mohd Husin, yang ditemani peguamnya, Roshdan Sujak Rafie, ditemui selepas prosiding berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah. "Saya tiada duit. Sejak jual rumah saya hidup merata-rata," katanya ringkas. Sementara itu, di lobi mahkamah, Wan Nor Azlin akan mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu. "Saya mahu duit saya kembali. Itu sahaja," katanya. | ||
KL Gangster disabotaj, Syamsul merana! Posted: 24 Sep 2013 11:16 PM PDT
Menurut bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul berhasrat untuk bersara lebih awal ekoran filem arahannya, KL Gangster 2 disabotaj dan disebarkan di internet sebelum tarikh tayangan. Episod malang ini merupakan insiden pertama yang berlaku dalam sejarah perfileman tempatan. Selepas mengetahui filem terbarunya yang bakal ditayangkan pada 3 Oktober ini, sudah menjadi tatapan penonton di dunia maya dua bulan lebih awal, Syamsul bertindak menyepikan diri tanpa memberi apa-apa kenyataan dan penjelasan kepada media. Menurut Yusof, anaknya itu sangat tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku. Malah, dia juga membuat keputusan untuk tidak muncul dalam mana-mana majlis berkaitan filem terbarunya itu, termasuk majlis pra tonton. "Dia (Syamsul) sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya faham perasaan dia dan pastinya sukar berhadapan dengan situasi sebegini. "Satu kehilangan besar buat industri sekiranya dia bersara. Sebagai penerbit filem, saya merasakan tidak munasabah untuk berhenti gara-gara kontroversi ini. "Namun sebagai ayah, saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH untuk pertolongan. Saya tidak akan berdiam diri selagi dalang kejadian ini tidak ditangkap," katanya yang turut memberitahu beberapa pengedar filem antarabangsa dilaporkan berminat untuk mengedarkan filem itu di luar negara. | ||
Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa Posted: 24 Sep 2013 11:14 PM PDT
Permintaan tersebut tentu sekali mengejutkan dan banyak pihak mula menyalahkan Azlin serta menuduhnya sebagai anak derhaka. Tidak mahu terus berdiam diri, Azlin akhirnya tampil menjelaskan perkara sebenar di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam. "Ayah saya yang terlebih dahulu memfailkan saman terhadap saya kerana enggan keluar dari rumah tersebut. Padahal belum pun setahun dia tinggal di situ, saya sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM64,000 untuk memperbaiki kerosakan dan menambah baik peralatan di rumah tersebut "Malah, dia juga ada ajak saya tinggal bersama lima tahun lalu selepas kematian ibu, sementelah lagi saya pula berhadapan masalah rumah tangga. "Namun, tanpa sebarang alasan kukuh ayah menyuruh saya keluar dari rumah sehingga sanggup memotong bekalan air dan elektrik. Bayangkan selama lapan bulan hidup saya ibarat dalam buangan akibat perbuatan bapa sendiri," katanya yang ditemui selepas kes itu dibatalkan mahkamah. Jelasnya lagi, sikap ayahnya itu mula berubah selepas berkahwin baru sehingga adik nberadiknya yang lain turut terkejut dengan perubahan itu. "Saya terkilan dan sedih dengan perbuatan ayah dan mohon dia jangan menganiaya saya kerana saya darah dagingnya sendiri. "Lagipun rumah tersebut sudah dijual dan saya cuma mahu hak saya kembali. Saya berharap ayah dapat pulangkan balik wang saya kerana mahu mulakan hidup baru bersama anak-anak," katanya. Tegas Azlin, dia banyak berdiam diri walaupun masyarakat memandang serong terhadap perbuatannya menyaman bapa sendiri. "Orang luar tidak tahu bahawasanya ayah saya yang memulakannya namun, mereka terus menuding jari bahawa sayalah punca segala-galanya," ujarnya. Nafi pukul bapa Ditebak mengenai tindakannya yang mengasari bapa akibat pergaduhan itu sehingga disaksikan jiran, Azlin menegaskan dia tidak tergamak untuk berbuat sedemikian. "Kami hanya bertikam lidah tetapi tidaklah sampai pukul memukul. Apatah lagi ayah saya sudah uzur, takkan saya sanggup memukul bapa sendiri sematamata mahu menuntut wang. "Apa pun yang berlaku dia tetap ayah saya dan tidak tergamak untuk saya mengasarinya," jelasnya. Azlin berkata, dia berharap masyarakat dapat memberi ruang kepada mereka berdua dan tidak membuat sebarang penilaian berdasarkan khabar angin atau laporan pihak luar. "Pada mulanya saya mahu mendiamkan diri namun ayah mengumumkan perkara ini kepada media. "Hari ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak mencederakan ayah atau mahu dia dipenjarakan seperti yang diuar-uarkan masyarakat! "Malah, saya tidak akan berdendam dengannya sekalipun hati ini terguris dengan perbuatannya," katanya. Periuk nasi terjejas Azlin mengakui sejak perseteruan dengan ayahnya diperkatakan, periuk nasinya mula terjejas apabila tawaran lakonan semakin kurang dan ada kalanya tiada langsung. "Saya akui perkara ini menyebabkan periuk nasi saya terjejas. Buat masa ini saya hanya bergantung kepada tawaran berlakon. "Apatah lagi saya baru sahaja bercerai Mac lalu dan kini bergelar ibu tunggal," jelasnya. Ujar ibu kepada tiga anak ini, dia kini membesarkan anak-anaknya sendirian dan mahu memulakan hidup baru dengan wang yang dituntut daripada ayahnya itu. | ||
Remaja mampu nyanyi dalam lapan bahasa Posted: 24 Sep 2013 11:12 PM PDT
Berbekalkan keazaman dan bakatnya dalam bidang nyanyian, anak muda ini pernah menyertai sebuah pertandingan realiti nyanyian kanak-kanak dikenali Idola Kecil 4 beberapa tahun lalu. Bapanya, Omar Baqi Ahmad berkata, mereka sekeluarga tidak menghalang minat anaknya dalam dunia muzik, sebaliknya sentiasa menyokong dan menggalakkan usaha Iqbal kerana sekurang-kurangnya ia membantu meringankan kesulitannya. "Jadi, kami menghantarnya ke kelas muzik demi memberi peluang kepada Iqbal menambahkan pengalaman dan memantapkan diri melalui teknik menyanyi, mengubah, mencipta mahupun menulis lirik lagu. "Lebih membanggakan, minat mendalam terhadap dunia muzik telah membolehkan dirinya mampu menyanyi lagu asing dalam lapan bahasa seperti Inggeris, Thailand, Hokieen, Mandarin, Kantonis, Jepun mahupun Hindi," katanya. Katanya, walaupun usia anaknya masih muda, namun perjalanan seninya dilihat semakin berkembang melalui permintaan menggalakkan untuk melakukan persembahan di Kedah. Menurutnya, dia juga sering menggunakan kelengkapan alat muzik dimiliki untuk membantu anaknya mencipta mahupun mengubah lagu, yang mana setakat ini sebuah lagu bertajuk 'Teman Setia' dihasilkan. | ||
Posted: 24 Sep 2013 11:10 PM PDT
Bagi Awang Hamad Kamis, 77, dari Kampung Kubang Palas, dekat sini, dia sudah biasa dengan kehidupan dalam hutan. Dia dilahirkan di Kampung Sura dan sehingga hari ini, hutanlah menjadi sumber rezeki bagi membesarkan 18 anaknya. Menurut Awang Hamad atau lebih dikenali dengan nama Tok Mat Janggut, dia mula mencari akar kayu sejak tinggal bersama bapanya, Kamis Dolah. Katanya, semasa muda dia selalu mengikut bapanya mencari akar kayu hingga kadang kalanya terpaksa bermalam di dalam hutan. "Selepas bapa meninggal dunia, saya dan anak lelaki mengambil alih tugas ini bagi mencari akar kayu hingga di Empangan Pedu dan Empangan Ah Ning, malah kadang kalanya hingga ke sempadan Thailand," katanya. Mulut kena jaga Tok Mat Janggut berkata, pekerjaan itu memberi banyak cabaran dan ia memerlukan keberanian. "Apa yang penting bila masuk hutan, mesti menjaga mulut dan niat turun dari rumah kita ialah hendak mencari rezeki yang halal untuk membesarkan anak-anak," katanya. Bagaimanapun, dia juga tidak terlepas dari cubaan terutamanya ketika bermalam di hutan bagi mencari khazanah perubatan Melayu asli itu. "Pernah saya dan seorang kawan terpaksa bermalam kerana letih berjalan kira-kira enam jam dalam hutan selepas turun dan naik bukit. Sebelum tertidur, kami terdengar seperti bunyi perempuan mengilai. "Kemudian terdengar pula seperti perempuan membaca al-Quran yang sungguh sedap didengari dan langsung tidak menimbulkan rasa seram apabila mendengarnya," katanya. Tok Mat Janggut berkata, pernah semasa mencari akar kayu itu dia dan rakan berjalan kaki hingga terjumpa perkampungan komunis di sempadan pada 1970-an dahulu. Bagaimanapun mereka tidak melakukan sebarang tindakan, malah turut memberi tunjuk ajar akar kayu yang boleh digunakan untuk perubatan. Peranan diambil alih anak Oleh kerana usianya semakin tua, peranan mencari akar kayu diambil alih oleh anaknya, Hamzah. Terdapat beratus-ratus akar kayu di dalam hutan ini yang menjadi buruan pengamal perubatan Melayu asli dan di antaranya ialah letup kelambu, akar pembadan minyak, akar kencing gajah, akar gajah beranak dan akar tuba limau. Tok Mat Janggut berkata, segala akar kayu yang diambilnya itu tidak akan dijual dan hanya untuk kegunaannya sendiri, bagi menghasilkan pelbagai jenis ubat untuk orang ramai. "Saya belajar buat ubat ini dari emak kerana dahulunya dia seorang bidan kampung yang tahu tentang khasiat akar kayu untuk perubatan. "Di samping itu juga, saya juga mampu mengurut terutamanya kepada golongan lelaki yang menghadapi masalah rumah tangga dan membekalkan pelbagai ubat berasaskan akar kayu," katanya. | ||
Posted: 24 Sep 2013 11:07 PM PDT
DIALAH mustika hati rakyat Malaysia, pencinta sejati irama tradisional dan dialah Datuk Siti Nurhaliza. Hadir mempersembahkan rendisi irama nusa bangsa berpaksi tradisional dalam olahan segar, Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) suatu kejayaan besar! Overture Sedayung Pak Yong dan Ala Donde membuka tirai persembahan Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza kali ini. Mungkin bagi peminat tegarnya yang mengikuti perkembangan Siti menjelang konsert di laman sosial Instagram dapat melihat beberapa siri latihan bersama kumpulan Makyung yang dipimpin oleh Rosnan Rahman. Ya, benar bagai ditelah, penonton dapat menyaksikan aksi Siti ber'Makyung' pula menyarung persalinan lengkap persembahan teater tradisional itu. Ironi membuka alunan sulung lagu yang pernah menjulang namanya dalam dunia irama tradisional pada tahun 2003, Siti menyusun langkah dari puncak pura lentera seperti mana judul konsert yang dipilihnya kali ini. Sesuai dengan makna Nirmala itu sendiri yang bermakna suci bersih dan tidak ternoda, lagu pertama yang dipetik daripada album Sanggar Mustika itu membawa penonton kali ini melalui fasa demi fasa bersama warna gemilang sehingga penghujung konsert dua jam itu. Sentuhan kenangan Buat penonton yang pernah menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza In Concert At Royal Albert Hall London tahun 2005, persembahan lagu Kurik Kundi, Mahligai Permata dan seleksi Joget Kasih Tak Sudah serta Joget Pahang mampu mengimbau kembali momen indah itu. Cuma kali ini Siti menghadiahkan lebih lagi kepada peminatnya di Malaysia dalam erti kata dinamik vokal dan kemeriahan persembahan yang diiringi Artistana Istana Budaya dan Badan Seni Budaya PDRM. Menerusi lagu Bunga Melur yang dijadikan paduan medley, kata Siti itu lagu bidalan dirinya oleh arwah bapanya, Tarudin Ismail: "Ini lagu kegemaran arwah ayah Siti. Katanya, Bunga Melur adalah diri Siti dan setiap kali menyanyikan lagu ini Siti akan terkenangkan arwah." Melankolika malam Konsert Lentera Timur ditusuk pilu dengan medley Orang Merajuk disusun indah dalam rona lagu Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan yang menurut Siti merupakan kegemaran ibunya sendiri, Siti Salmah Bachik. Konsert kali ini jujur, hadiah daripada hati Siti Nurhaliza kepada peminat yang bersifat peribadi. Lantas kata Siti, pilihan lagu yang dibuat menyemai kenangan yang ingin dikongsikan kepada pendukung karier seninya selama ini. "Siti menyampaikan lagu yang lebih ada kenangan dalam hidup Siti, biarpun banyak lagi rangkaian lagu Melayu asli dan tradisional yang serasi dengan nama saya seperti Seri Mersing tapi inilah 35 buah lagu hadiah Siti kepada peminat," ujarnya. Buluh Perindu Siti selesa berinteraksi dengan peminat. Usai konsertnya beberapa bulan lalu di Dewan Filharmonik Petronas ada mungkin peminat sama yang hadir ketagih dengan pesona dan aura yang dibawa isteri kepada usahawan Datuk Khalid Jiwa itu. Jika ditanya bagaimanakah suara buluh perindu, barangkali Sitilah rujukan paling ideal. Ia tersemat magis serta notasi indah yang bisa meruntun hati pendengar, tambahan pula dialun dalam puitis lirik lagu-lagu irama tradisional yang serba indah. Menarik mengenai konsert ini, Siti menyampaikan tiga buah medley dalam konsep muzikal hasil kreativiti Pengarah Persembahan, Lokman Ghani. Dimulakan dengan medley Masri Manis, Kaparinyo dan Sulam Sembilan, kemudian diiringi medley Jangan Ditanya, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Pahang. Akhir sekali medley Bulan Yang Mesra, Empat Dara dan Hati Kama. Mencuri tumpuan juga kemunculan empat wanita berkebaya nyonya yang tampil dalam rangkaian lagu-lagu medley itu serta lagu yang dipetik daripada album Seri Balas bersama Noraniza Idris, Ketawalah Lagi. Klimaks persembahan barangkali boleh diberikan kepada kemunculan Datuk M. Daud Kilau sekembalinya penonton di tempat duduk usai rehat seketika. Menerusi lagu Cek Mek Molek, penyanyi berusia 74 tahun itu memukau penonton dengan gimik persalinan baju demi baju selang setiap rangkap. Mungkin ada antara penonton yang mahukan Datuk M. Daud Kilau berduet bersama Siti menerusi lagu Anak Seni tapi pemilihan lagu Laksamana Raja Di Laut pun tidak asing dalam kalangan pencinta lagu-lagu Melayu asli. Rendisi baharu Siti terus mengulit penonton. Selain kata-katanya, ada sebuah kejutan yang Siti sajikan kali ini. Biarlah Rahsia, ditulis sendiri liriknya digubah iramanya bersama Melly Goeslow dan dimuatkan dalam salah satu album terbaiknya sepanjang hayat, Transkripsi, Siti menjadikan lagu itu dalam rendisi baharu iaitu tradisional! Satu langkah bijak untuk Siti menangkap deria pendengar yang terlebih lewat mengenalinya dalam muzik pop untuk lebih menghayati petikan dan paluan alat-alat muzik tradisional. Malah, Siti dalam pada itu turut menyanyikan balada patriotisme, Bahtera Merdeka dengan cara tersendiri. Cuma mungkin penonton mahukan penyanyi nombor satu negara itu menyarung persalinan tradisional atau paling tidak pun busana yang diadun sedikit elemen klasik seperti yang dipersembahkan di buku cenderamata. Tidak perlu dress meleret tapi berikan peminat keanggunan dan seri Melayu itu sendiri. Menutup tirai persembahan konsert, medley Balqis dan Ya Maulai antara suntikan puncak terbaik dalam konsert ini. Mengingatkan kembali keunggulan Siti dalam siri Anugerah Juara Lagu tahun 2000 dan 2001 biar dipetik daripada album sama, Sahmura. Sudah pasti Cindai, lagu yang memperkenalkan Siti Nurhaliza secara total kepada seisi Malaysia 16 tahun lalu menjadi juadah manis pencuci mulut terakhir Siti lantaran masih malar segar dan 'berhantu' hingga kini. Popaleh Weh, single terbaharu Siti yang membawa makna terhebat dalam slanga negeri Pahang akhirnya menutup kisah sang lentera timur yang masih berkerdipan kilaunya dalam konsert terbesarnya tahun ini. Tiada kata yang mampu diungkapkan dengan kata-kata, namun bias cinta Siti Nurhaliza akan selamanya kekal menginap ruang hati pemuja muzikaliti beliau. | ||
Penembak upahan professional tanpa empati Posted: 24 Sep 2013 10:45 PM PDT
LAPORAN-laporan muka hadapan akhbar tempatan yang mendedahkan kes mati ditembak mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini khususnya apabila kes-kes tembak ini melibatkan individu berprofil tinggi dan kakitangan awam berjawatan tinggi, misalnya kes Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang mati ditembak ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Dengkil ke pejabat beliau di Putrajaya pada 26 April lalu. Seolah-olah satu musim yang berterusan, kejadian-kejadian tembak secara dekat ini umpama tiada berkesudahan. Pelbagai spekulasi timbul setiap kali kes-kes tersebut mewarnai dada-dada akhbar. Kekerapan kejadian yang dilakukan secara terbuka tanpa mengira persekitaran secara tidak langsung menunjukkan beberapa kelemahan. Antaranya, keupayaan memiliki senjata api yang mudah di negara ini dan penularan sindiket yang dipercayai menjadi pembunuh upahan. Faktor mempengaruhi Menurut Pensyarah Kanan, Bahagian Psikologi, Fakulti Sains Tingkah Laku, Universiti HELP, Dr. J. Anasuya, dari segi kesan sosiologi, mereka yang terlibat dalam jenayah tembak terkesan dengan persekitaran, mahu diberi perhatian, rasa tercabar dengan rakan yang turut terlibat dalam jenayah yang sama dan kemahuan untuk memenuhi sesuatu melalui jenayah. "Kegiatan tembak ini juga dipercayai banyak mempengaruhi generasi masa kini apabila mereka secara mendadak terdedah dengan realiti dunia luar, mudah mengakses kegiatan jenayah sama ada secara langsung atau tidak menerusi internet, filem-filem dan permainan video dengan elemen keganasan, mahupun dan pengaruh rakan sebaya. Kesan pendedahan ini meningkatkan nafsu mereka untuk mencuba," katanya. Walaupun tidak pernah mengendalikan atau membuat penyelidikan berkaitan penembak, Anasuya akui, kumpulan penjenayah ini secara umum mempunyai psikologi yang hampir serupa dengan seorang pembunuh. "Mereka yang terlibat dalam kes tembak ini boleh dibahagi kepada dua kategori. Pertama, penembak upahan yang melakukannya sebagai satu kerjaya. Kedua, ialah penembak berperasaan membunuh mengikut emosi," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Tambah beliau, apabila seseorang itu memilih membunuh seseorang sebagai satu pekerjaan, dia tidak akan terikat dengan sikap empati atau kesan emosi. Ini kerana bagi mereka, sasaran itu hanya untuk wang. "Mereka juga mungkin seorang penembak yang mahir dan teliti dalam merancang agar mudah terlepas daripada pihak berkuasa. Lagipun, mereka sukar dikaitkan dengan jenayah terlibat kerana merupakan orang yang tiada kaitan dengan mangsa," ujar Anasuya lagi. Bagi kategori kedua, iaitu penembak yang mengikut emosi, kumpulan ini melakukannya atas dasar perasaan peribadi, balas dendam atau cemburu. Tindakan mereka lebih mudah dikesan kerana jenayah yang dilakukan tidak dirancang dengan baik dan tanpa memikirkan jalan keluar. "Secara umum, penembak atau pembunuh, mempunyai personaliti seorang yang suka menyendiri, antisosial dan tidak empati kepada sesiapa. Namun demikian, ia berbeza dengan pembunuh upahan yang boleh terdiri daripada seorang yang berpelajaran, berstatus, suka bersosial dan mempunyai kemahiran misalnya dalam mengendalikan senjata," jelasnya. Apabila ditanya tentang rasa bersalah atau kesal, Anusuya berkata, penembak upahan melihat sasaran mereka sebagai satu tuntutan tugas dan tidak lebih daripada itu. Tiada kekesalan Seorang lagi pensyarah, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail, 53, dari Pusat Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyokong kenyataan bahawa pembunuh upahan tidak mempunyai sifat kekesalan kerana minda mereka seolah-olah sudah diaturcara sedemikian. "Daripada penyelidikan saya terhadap banduan-banduan yang melakukan keganasan membunuh, kumpulan ini bersikap tidak kisah akan tindakan mereka. Bagi mereka, sungguhpun mengetahui terdapat kesan mendalam terhadap perlakuan itu, namun ia dianggap sebagai suatu perkara yang telah berlaku dan tidak boleh diubah," katanya. Ujar beliau, sekiranya ada yang sesal, ia mungkin melibatkan banduan yang telah lama dipenjarakan, mendapat bimbingan agama dan dalam proses keinsafan. Khaidzir bagaimanapun tidak menafikan masyarakat umum turut terkesan daripada pembunuh menggunakan senjata api ini. Masyarakat berasa tidak selamat dan takut apabila senjata api diperoleh atau digunakan secara mudah tanpa pengawasan atau kawalan. "Namun, jika diteliti, membunuh menggunakan pisau, parang dan ilmu hitam merupakan antara kaedah membunuh yang digunakan sejak sekian lama. Tetapi pembunuhan menggunakan senjata api seperti pistol dilihat sebagai satu cara baharu dan semakin menonjol. "Ia mungkin kesan daripada keterbukaan untuk mendapatkan senjata itu di pasaran termasuk melalui laman-laman web. Tidak cukup dengan itu, kaedah membuat senjata api juga banyak dikongsi di internet," katanya. Kenal pasti masalah Dalam pada itu, Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. P. Sundramoorthy berkata, kekerapan paparan jenayah menembak di akhbar tidak bermakna angka tersebut meningkat, sebaliknya lebih menonjol berbanding dahulu. "Kekerapan media melapor kes seumpama itu telah menarik perhatian umum secara besar-besaran. Ia turut menyedarkan orang ramai untuk bekerjasama dengan polis dalam menawarkan maklumat," katanya. Bercakap dari sudut krimonologi, katanya, pihak penguat kuasa dan perundangan perlu mengena lpasti masalah akar umbi termasuk penularan kemasukan haram senjata api di Malaysia. "Pengumpulan maklumat dan analisis memainkan peranan penting dalam perancangan jangka panjang untuk mengurang dan mengelakkan senjata diseludup ke dalam negara pada masa hadapan," katanya sebagai salah satu cara menangani masalah ini. Meneliti motif pembunuhan bersenjata terutamanya yang menggunakan pistol, Sundramoorthy memberitahu, ia boleh berlaku di atas pelbagai sebab dan faktor misalnya persaingan dalam perniagaan, sifat cemburu, tamak, penipuan, korupsi, konflik geng dan kebencian. Walaupun demikian, ujarnya, kejadian seperti tembak mati bukan merupakan suatu perkara baharu di arena global dengan kebanyakan kejadian disebabkan faktor-faktor yang hampir serupa. Kajian secara global menunjukkan beberapa negara memegang rekod kes tembak tertinggi. Menurut data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Amerika Syarikat mempunyai rekod kes pembunuhan tembak sebanyak 9,146 kes pada tahun 2009. Tahun yang sama, Colombia dan Venezuela masing-masing merekodkan 12,808 dan 11,115 kes. Tiga negara lain dengan kes bunuh tembak tertinggi adalah Brazil dengan 34,678 (tahun 2008), Mexico (11,309 kes pada tahun 2010) dan Thailand (20,032 kes pada tahun 2000). | ||
Posted: 24 Sep 2013 10:43 PM PDT DINDING rumahnya dihiasi penuh dengan lukisan bermotifkan tumbuh-tumbuhan dalam belukar, ayam, burung dan pemandangan di jeti sungai. Sekali imbas, semua lukisan tersebut persis gambar yang dirakam menggunakan kamera digital. Terbit rasa ingin mengetahui makna di sebalik lukisan-lukisan yang bercirikan alam tersebut. Pemilik lukisan yang dimaksudkan ialah Mohd. Yusof Abdul Wahid, 57, atau lebih dikenali dengan nama Mass Yusof dalam kalangan penggiat seni lukisan tanah air. Suasana desa Rupa-rupanya, setiap lukisan yang dihasilkannya merupakan imbasan nostalgia kepada corat-coret yang dilalui pada zaman kanak-kanaknya. Beliau dibesarkan di Kampung Mentaram, Klang, Selangor dan tinggal jauh dari bandar telah membuatkan persekitaran hutan menjadi medan permainannya dengan kawan-kawan sekampung. "Semasa kecil, saya terjun dalam kawasan paya dan menyorok di sebalik daun keladi ketika bermain dengan kawan-kawan. Kadang-kadang teringat juga zaman nakal melastik burung bersama mereka. "Semua itu membuatkan saya rindu dengan kenangan manis yang ditempuhi semasa alam kanak-kanak," katanya ketika ditemui di rumah beliau di Ampang, Selangor baru-baru ini. Ternyata perasaan yang membuai kenangan terhadap nostalgia lama itu tidak dialami Mass Yusof seorang. Beliau memberitahu, ramai rakan-rakannya di laman sosial Facebook turut gembira melihat gambar-gambar lukisan yang dimuat naik olehnya. Lukisan-lukisan tersebut turut membuatkan mereka mengimbau kenangan lama. Barangkali, rakan-rakannya juga merindukan suasana hidup di desa. Muzik keroncong Lain orang lain caranya. Bagi Mass Yusof untuk mendapatkan mood sewaktu hendak mula memegang berus lukisan cukup unik. Dengan elemen kampung dan tradisi yang sentiasa dekat di hatinya, pelukis itu sering memainkan alunan muzik keroncong tatkala menyiapkan naskhah lukisannya. Kata Mass Yusof, muzik keroncong boleh membuatkan beliau masuk ke alam khayalan bagi mengimbas memori silam yang penuh dengan pemandangan indah alam semulajadi. Figura tersebut mendapat pendidikan formal dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi Mara pada lewat tahun 1970-an. Bagaimanapun, Mass Yusof terpaksa menamatkan pengajian sebelum tiba masanya atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Biarpun begitu, bakat yang ada tidak pernah disia-siakan. Beliau diterima bekerja di Utusan pada tahun 1980 sebagai pembantu pelukis grafik. "Saya melukis pada masa lapang selepas tamat waktu bekerja. Lama-kelamaan, ada orang yang berminat membeli lukisan saya. "Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa melukis di studio mini di rumah ini," ujarnya yang gemar menggunakan teknik pengadunan bahan akrilik dalam lukisan. | ||
Melancong lebih mudah dengan Google Street View Posted: 24 Sep 2013 10:42 PM PDT SELEPAS melakukan pemetaan dan merakamkan ratusan imej ikonik di lebih 50 buah negara di seluruh dunia, syarikat enjin carian internet terkemuka, Google Inc. (Google) akhirnya membawa aplikasi Street View ke Malaysia. Bermula dengan 18 lokasi pelancongan utama di seluruh negara, aplikasi itu dijangka memberi dimensi baharu kepada pelancong untuk melihat kepelbagaian dan keunikan Malaysia dengan lebih dekat. Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, Street View merupakan aplikasi popular di peta Google yang membolehkan orang ramai meneroka secara maya bahagian peta melalui imej panorama 360 darjah pada paras jalanan. Bagi tujuan itu, katanya, Google turut memperkenalkan Street View Trekker, sistem kamera terbaharu dalam barisan Street View dan Street View Trolley, sistem kamera kenderaan beroda tiga ke Malaysia. "Buat permulaan terdapat 18 lokasi pelancongan utama di negara ini yang telah dimuat naik ke peta Google dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa. "Aplikasi ini bukan sahaja mampu mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di negara ini tetapi juga memberi impak ekonomi untuk jangka masa yang panjang," katanya ketika pelancaran aplikasi itu di ibu negara baru-baru ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab. Tambah Sajith, Google berusaha sedaya upaya melindungi privasi pengguna dalam peta Google melalui ciri-ciri khas Street View. Antaranya, teknologi canggih yang dapat mengaburkan wajah manusia dan plat lesen kenderaan pada imej yang dirakam agar ia tidak dapat dikenal pasti. "Google juga sangat responsif terhadap sebarang aduan yang diterima daripada orang ramai pada masa hadapan demi memastikan privasi mereka sentiasa terpelihara," jelasnya. Sementara itu, Mirza berkata, aplikasi terbaharu itu memberi nilai tambah kepada pelancong yang mahu melancong ke negara ini pada masa hadapan. "Melalui imej panorama 360 darjah mereka berupaya gambaran lebih jelas mengenai sesebuah lokasi pelancongan. "Misalnya, mungkin di sekitar imej itu terdapat restoran, kedai runcit dan perhentian teksi dan sebagainya yang memudahkan pelancong merancang perjalanan mereka," katanya. | ||
Aeril Zafrel, Wawa Zainal nafi sudah bernikah Posted: 24 Sep 2013 01:00 AM PDT TIDAK ada angin masakan pokok bergoyang. Begitulah yang terjadi kepada dua pelakon popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang dikatakan sedang hangat bercinta meskipun masing-masing tidak pernah memberi kenyataan yang jelas mengenai status hubungan mereka. Terbaharu, pada Sabtu lalu, sebuah stesen radio swasta mengeluarkan gosip, kononnya seorang pelakon wanita yang sudah lama menghilang sebenarnya telah selamat melahirkan anak dan kini sedang berpantang. Suami kepada pelakon wanita itu pula dikatakan seorang pelakon juga yang cukup popular dengan drama yang ditayangkan pada waktu petang. Berita itu didakwa diperolehi daripada sumber yang boleh dipercayai iaitu keluarga angkat pelakon lelaki itu sendiri. Ramai yang bertanyakan hal itu, adakah pelakon lelaki yang didakwa telah berkahwin itu merupakan pelakon kacak, Aeril Zafrel kerana secara kebetulan drama lakonannya iaitu Cinta Jannah sedang hangat pada waktu petang di TV3. Teka-teki bermain di fikiran ramai, mungkin pelakon wanita yang didakwa menjadi isterinya itu adalah pelakon Wawa Zainal yang kebetulan sedang berehat di kampung halamannya di Sabah sejak empat bulan lalu kerana berubat akibat penyakit misteri atau bahasa mudahnya penyakit berkaitan makhluk halus. Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, ikuti temu bual Kosmo! bersama Aeril dan juga Wawa. Kosmo!: Ada gosip mendakwa seorang pelakon lelaki yang popular dengan drama waktu petang telah bernikah secara sembunyi dengan seorang pelakon wanita. Sekarang drama Cinta Jannah sedang popular dan semua mata tertumpu pada Aeril, ada yang mendakwa pelakon lelaki itu Aeril. Komen? AERIL: Saya tidak tahu hendak kata apa (ketawa). Itu hanyalah kata-kata tanpa sebarang bukti yang sahih, jika saya nafi dan komen lebih-lebih orang memang tidak akan berhenti bercakap. Adakah memang benar anda telah berkahwin? Memang saya tidak berkahwin, saya hanya kahwin dalam drama sahaja (ketawa). Wanita yang didakwa kononnya menjadi isteri anda adalah pelakon Wawa Zainal. Komen? Sekarang status kami berdua hanyalah sahabat baik dan saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan dan tipulah kalau kata kami tidak berjumpa. Jika dia berada di Kuala Lumpur, kami akan keluar makan bersama, tetapi sekarang dia berada di kampungnya di Sabah kerana sedang berubat. Boleh komen cerita yang kononnya Wawa telah hamil? Di sini saya ingin memohon tolong jangan sebarkan cerita jika tidak ada bukti dan akan memburukkan orang lain. Andai ada bukti sekalipun dan cerita itu sahih, jika dikeluarkan menjadi aib kepada tuan punya badan, tidak boleh juga dikeluarkan. Jika tidak benar, lagi berdosa dan harus meminta maaf kepada Wawa. Andai anda berkahwin kelak adakah anda akan menyembunyikan perkahwinan itu? Perkara yang baik saya akan beritahu kepada orang yang wajib tahu terlebih dahulu kerana bimbang akan menjadi fitnah pada kemudian hari. Jika saya kahwin, pasti ada bukti kerana pelbagai perkara harus diselesaikan seperti dokumen, bukan boleh berkahwin secara senyap kerana akhirnya orang akan tahu juga. Sejauh mana keterbukaan anda bersama media dan peminat berhubung hal peribadi anda? Saya lebih suka sembunyikan hal-hal yang tidak ada kaitan dengan kerja contohnya saya berkawan dengan Wawa. Sejujurnya saya tidak pernah sorok pun, lihat sahaja di laman sosial saya. Bagaimanapun, jika hal itu memberi manfaat jika saya kongsi bersama, dipersilakan untuk berkongsi. Tidak kiralah artis atau orang biasa, bukan semua hal kita akan kongsi dengan semua orang. | ||
Posted: 24 Sep 2013 01:00 AM PDT
SERI pengantin dan keterujaan melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri terserlah pada wajah pelakon Fouziah Gous dan suaminya, Md Zhafran Md Yusof ketika majlis akad nikah selesai. Hanya dengan sekali lafaz, Fouziah sah menjadi isteri kepada Zhafran tepat pukul 9.42 malam di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 21 September lepas. Walaupun kelihatan tenang, namun air mata Fouziah mengalir tanda bersyukur dan gembira setelah semuanya berjalan seperti yang dirancang. "Pada awalnya, perasaan saya sangat berdebar, tapi saya cuba untuk kawal perasaan serta banyakkan berselawat di dalam hati. Saya rasa walaupun mungkin sebelum ini saya sudah biasa berada di hadapan khalayak ramai, namun keadaan kali ini berbeza. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dan ia berjalan dengan lancar," jelas Fouziah ringkas ketika ditemu ramah pihak media. Fouziah yang anggun memakai busana putih rekaan Atilia Amani itu memilih musim sejuk Pakistan sebagai konsep majlis pernikahannya itu. Majlis tersebut juga dihadiri kira-kira 200 orang tetamu termasuk ahli keluarga dan teman rapat kedua mempelai. Bicara Zhafran pula, perasaan gementar tetap ada walaupun luaran kelihatan agak tenang. Perasaan bercampur baur memikirkan kini dia telah punya tanggungjawab sebagai seorang suami kepada seorang wanita yang dicintai dan diminatinya. "Sebelum masuk dewan, saya ada hantar pesanan kepada Fouziah. Namun, dia berjaya tenangkan saya dan meminta supaya saya banyak berselawat dan fokus dengan apa yang perlu dilakukan kelak. Doa ibu bapa dan kawan-kawan juga banyak membantu saya untuk bertenang dan syukur semua berjalan dengan lancar," kata Zhafran yang sentiasa mengukir senyuman ketika ditemu ramah.
Usaha Zhafran, gelak Fouziah Bercerita tentang keistimewaan pasangan masing-masing, tutur Fouziah memulakan kisah perkenalan mereka, usaha Zhafran membuatkan dia tertarik dengan ahli perniagaan itu. "Perkenalan pada bulan Jun tahun lepas memulakan perhubungan kami ini. Namun, ketika itu kami hanya berkawan biasa dan pernah tidak berhubunag buat beberapa ketika. Kami mula rapat semula awal ini dan niat di hati hanya ingin berbincang mengenai perniagaan sahaja. "Pada masa itu juga, saya mula buka hati saya, banyak beribadat dan minta petunjuk. Secara kebetulan selepas itu, Zhafran banyak berkomunikasi dengan saya dan membantu saya dalam pelbagai perkara. Saya dapat lihat usahanya untuk benar-benar rapat dengan saya. "Dipendekkan cerita, setelah beberapa perkara yang berlaku secara kebetulan terhadap diri saya dengan Zhafran, ketika itu juga saya sedar mungkin dia merupakan jodoh yang diberi Allah kepada saya," cerita Fouziah mengimbau kisah perkenalan mereka. Cerita Zhafran pula, semenjak mengenali dan rapat dengan Fouziah, hatinya sentiasa berasa gembira dan tenang. Gelak tawa dan kecantikan zahir dan batin Fouziah membuatkan dirinya lebih tertarik terhadap wanita ini. Selain itu, tutur Zhafran, perwatakan Fouziah sendiri pada mulanya telah membuat dia terus melamar Fouziah menjadi isteri walau hanya empat hari berhubungan secara serius. Tahu batas dan tidak kisah Jelas Fouziah, sebelum dia menjadi seorang artis, dia sentiasa menjaga batasnya sebagai seorang anak perempuan dan wanita. Dia pernah berjanji kepada ibunya bahawa akan sentiasa menjaga diri sendiri tidak kira bidang apa pun yang diceburinya. Tambahan kini, setelah mempunyai status sebagai isteri, batasan terhadap karier lakonannya dan pergaulannya juga akan dijaga walaupun tidak diberitahu oleh suaminya. Menurut Zhafran pula, sebagai seorang suami, dia sentiasa inginkan yang terbaik buat si isteri dan tidak mahu menghalang karier Fouziah sebagai seorang model dan pelakon. "Tiada apa-apa yang saya bataskan kepada isteri saya. Saya rasa sebagai isteri Fouziah sudah sedia maklum tanggungjawab dan batasannya. Ini kerana sebelum saya mengenalinya, dia sudah pun bergelar seorang selebriti. Jadi, saya tidak kisah jika dia ingin teruskan kariernya dalam bidang ini," tuturnya yang juga pernah menjadi peminat Fouziah. Ketika ditembak persoalan tentang penambahan bilangan ahli keluarga pula, kelihatan keduanya sudah bersedia untuk bergelar ibu bapa pada bila-bila masa sahaja. "Kami tidak membuat sebarang perancangan untuk mendapatkan cahaya mata dan menyerahkan kesemuanya kepada rezeki Allah kelak. Namun, setakat ini, perancangan berbulan madu belum lagi kami rencanakan kerana ingin beri fokus dahulu terhadap majlis resepsi yang akan berlangsung kelak," tutur Fouziah dan Zhafran sama-sama beri jawapan terhadap soalan yang diajukan. Terima kasih Sibuk berbicara tentang kehidupan dan perancangan setelah bergelar suami isteri, sempat juga Fouziah menyelit beberapa kenyataan tentang sokongan yang diterimanya. "Terima kasih kepada peminat yang telah mendoakan saya dan tidak jemu-jemu menyokong saya sehingga kini. Bangun sahaja dari tidur, perkara pertama ialah membaca laman Twitter saya dan saya rasa bersyukur kerana disayangi peminat. Saya berharap semua orang dapat doakan supaya perhubungan kami ini kekal sehingga ke akhir hayat. Selain itu terima kasih juga kepada keluarga kedua belah pihak serta teman-teman yang sudi menghadiri dan memeriahkan majlis ini," tutur Fouziah mengakhiri bicara. | ||
Aril menangis ketika jadi penyampai radio Posted: 24 Sep 2013 12:58 AM PDT
SETELAH bergelar naib juara Akadami Fantasia 7 (AF7) ia menjadi batu loncatan kepada Khairil Azam Pilus atau Aril untuk mengembangkan lagi karier seninya. Selain bergelar pelakon dan penyanyi, kini Aril melangkah setapak lagi apabila menjadi penyampai radio tetap bersama stesen radio ERA FM sejak bulan Ogos lalu. "Sejak bulan November 2012 saya sudah menyertai Era FM sebagai penyampai radio secara kontrak dan saya menerima tawaran tersebut kerana ingin mencuba sesuatu dalam bidang baharu. "Pada mulanya saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran sehingga pernah menangis kerana gagal mengendalikan beberapa peralatan di konti. Itu antara pengalaman yang sukar untuk saya lupakan," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran single berjudul Tulus. Bagaimanapun, Aril menyatakan dia cukup bernasib baik kerana banyak dibantu oleh rakan-rakan penyampai lain yang lebih senior dan terpaksa mengambil masa selama tiga bulan untuk mahir. Ujarnya, kini dia mampu tersenyum lebar kerana bidang penyampai radio semakin sebati dengan dirinya dan telah dipilih secara tetap serta diberi kepercayaan mengendalikan program Meletop 40 Era dari Isnin hingga Jumaat pukul 8 hingga 12 tengah malam. Mengulas lebih lanjut mengenai tugasnya sekarang ini di konti radio, dia menafikan pembabitannya itu berpunca daripada karier nyanyiannya yang sekarang ini semakin malap. "Sehingga kini saya masih lagi aktif menyanyi dan selalu membuat persembahan di merata-rata tempat serta sudah menghasilkan beberapa buah single. "Selain itu, pada akhir tahun ini juga saya bakal muncul dengan album sulung. Ia mengandungi tujuh buah lagu dan empat daripadanya merupakan lagu baharu, termasuk sebuah lagu duet bersama Ahmad Dhani," jelasnya. Ketika ditanya tentang risiko yang bakal dihadapinya apabila lagu-lagu nyanyiannya tidak akan diputarkan di stesen radio lain memandangkan dia kini menyertai Era FM, Aril menegaskan perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku. Tegasnya, dalam industri nyanyian tempatan yang kecil tindakan sedemikian sudah tentu akan membunuh karier seseorang penyanyi itu dan sepatutnya setiap pihak perlu menyokong antara satu sama lain. "Saya sedar ia memang berlaku dan saya agak hairan dengan keadaan tersebut. Kalau boleh berilah peluang sama rata kepada penyanyi yang menjadi penyampai radio seperti saya dan beberapa rakan lain," ujarnya. Menurut Aril, tugas sebagai penyampai radio juga sebenarnya bukanlah menjadi kelebihan kepada dirinya untuk memutarkan lagu-lagu sendiri seperti tanggapan sesetengah pihak. "Mungkin ramai yang tidak tahu senarai lagu yang dimainkan dipilih oleh seorang eksekutif muzik yang bertugas, malah saya tidak pernah memainkan lagu sendiri ketika ke udara," tegasnya yang dikenali menerusi lagu Ganjil itu. Duet Bercerita tentang perkembangan karier nyanyiannya pula, Aril menyatakan dia kini bakal mempromosikan single baharu berjudul Tulus yang dinyanyikan secara duet bersama penyanyi dari Indonesia iaitu Terry. Ujarnya, single berkenaan sudah mula menjalani promosi di Indonesia sekitar tiga minggu lalu dan sambutan pendengar di sana cukup baik dan memberangsangkan. "Sudah tentu saya gembira kerana lagu ini semakin diterima ramai dan sudah berada di carta beberapa stesen radio di sana. Tidak mustahil dengan pencapaian ini akan menjadi platform untuk mengembangkan karier nyanyian di negara tersebut. "Namun begitu, sesuatu yang agak melucukan apabila ramai yang keliru dan menyangka saya ini adalah Ariel Noah, tetapi sekarang mereka sudah mula mengenali diri saya," ujarnya yang sudah merakamkan lagu tersebut bersama Terry sejak tahun lalu. Sementara itu, Terry yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, sebelum ini dia telah diberi tiga nama penyanyi lelaki Malaysia untuk berduet dengannya. Setelah membuat penilaian sedalam-dalamnya, dia kemudian telah memilih Aril sebagai pasangan duet kerana cukup tertarik dengan suara yang dimiliki penyanyi tersebut. "Apabila mendengar sahaja suara nyanyian Aril, saya dapat merasakan suatu kelainan emosi dengan alunan suaranya itu. Maklum balas yang diterima juga sangat baik dan ramai yang menyatakan paduan suara kami cukup mantap," jelasnya. | ||
Pelajar AF 2013 terlalu mencuba Posted: 24 Sep 2013 12:57 AM PDT SELEPAS Sani, minggu kedua Konsert Akademi Fantasia 2013 bertemakan Inspirasi 15 Ikon Malaysia menyaksikan Darren peserta dari Pulau Pinang tersingkir apabila hanya meraih undian sebanyak empat peratus. Juri tetap, Edry KRU menyifatkan lagu yang didendangkan Darren, Mentera Semerah Padi nyanyian asal Datuk M.Nasir tidak cukup bagus dan dan kelihatan agak aneh apabila dipersembahkan oleh Darren di atas pentas. Bagaimanapun, Darren atau nama sebenarnya, Chin Teik Meng, 21, menerima penyingkirannya dengan hati yang terbuka dan akan meneruskan perjuangannya dalam bidang seni. "Terima kasih kerana mengundi saya sebelum ini. Kegagalan hari ini bukan bermaksud saya akan berputus asa dengan cita-cita saya sebagai penyanyi. "Walaupun perjuangan saya sampai di sini, saya akan terus berusaha dan kita akan jumpa lagi selepas ini," katanya ketika berucap sebelum meninggalkan pentas dengan menarik beg yang menjadi identiti program itu bagi pelajar yang tersingkir. Minggu hadapan, sepuluh peserta yang bakal beraksi ialah Nur Nabila Razali (Nabila), 21, Nur Aisyah Aziz (Aisyah), 19, Siti Ruhailah Hussein (Indah), 23, Rasmawatie Mohd. Thamrin (Nona), 18, Nadia Amira Othman (Amira) 20 dan peserta duo wanita Irsa Sahabuddin, 26, dan Irmiza Sahabuddin, 23, (Irmisa). Selain itu, Muhammad Ikhtiman Che Ismail (Iman), 23, Abdul Suhadah Unding (Suhada), 21, Mohd Faizul Sani (Faizul), 28, peserta duo lelaki, Mohd. Azhar Osman, 25, serta Hal Husaini Razmi, 25 yang menamakan diri mereka Azhael juga akan memberi saingan. Bercakap tentang mutu persembahan pada konsert kedua boleh dikatakan pada tahap biasa, hanya Indah, peserta duo, Irmisa dan Azhael yang memberi suntikan yang berbeza, Pelajar lain dilihat cuba menyanyikan lagu-lagu yang agak besar dan berat untuk mereka, sedangkan kemampuan vokal tidak setanding dengan lagu tersebut meskipun lagu tersebut dinyanyikan mengikut cara mereka sendiri. Paling ketara, Iman yang cuba menyanyikan lagu Yuna, Terukir Di Bintang dengan gayanya sendiri tetapi vokalnya tidak sampai, malah, suara sumbangnya jelas kedengaran. Sejujurnya, tidak tahu bagaimana, Iman boleh terpilih sebagai pelajar kerana piawaian program Akademi Fantasia 20123 (AF2013) begitu tinggi selepas sembilan musim. Begitu juga dengan Faizul yang menyanyikan lagu Pasti dendangan asal Ning Baizura dan Nabila dengan lagu Setiaku Di Sini dendangan asal Ziana Zain. Mungkin pelajar cuba membuktikan kemampuan diri mereka, tetapi diharap mereka harus ukur kemampuan vokal di badan sendiri terlebih dahulu sebelum memilih lagu. Pelajar seperti Suhada, Amira, Aishah dan Nona diakui boleh menyanyi dengan baik tetapi persembahan mereka belum cukup memukau dan dibayangi oleh penyanyi asal lagu yang dipilih. "Saya suka Aishah kerana penampilannya bagus tetapi nyanyi tidak sempurna. Tidak mahulah orang kata muka cantik tetapi nyanyi tidak sedap. Kalau dibetulkan pitching saya yakin awak akan jadi seorang penyanyi yang bagus," komen Roslan Aziz pada Aishah yang mendendangkan lagu Iris dendangan asal penyanyi Awie. Walaupun ramai pelajar memberi persembahan biasa, tetapi penonton dikejutkan kononnya Nona tersingkir. Namun, hakikat sebenarnya pihak produksi AF2013 membenarkannya pulang ke kampung halaman di Sabah selama sehari selepas mendapati ibunya sakit buah pinggang. Secara keseluruhannya, setakat minggu kedua konsert Akademi Fantasia 2013 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya, belum ada persembahan yang memukau daripada pelajar. Sepatutnya dengan pengilham, Faizal Tahir dan tenaga pengajar AF2013 yang cukup berpengalaman seperti Fizz Fairuz, Shafi Sharif, Alam Wakaka dan Suhaili, tiada alasan untuk pelajar tidak memberikan persembahan yang bagus. Selain tenaga pengajar, mereka juga diasuh oleh tiga orang pengilham iaitu Faizal Tahir, Datuk Siti Nurhaliza dan Melly Goeslow. Mungkin perjalanan mereka masih baharu dan diharap pada minggu hadapan tiada lagi kedengaran suara sumbang dalam konsert ketiga AF2013. AF2013 bersiaran secara langsung setiap Sabtu pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Maya (135) dan dihoskan oleh Zizan Razak, manakala Roslan Aziz, Edry KRU serta pelakon Sharifah Amani bertindak sebagai pengkritik tetap. | ||
Graduan tulang rapuh dapat kerja Posted: 24 Sep 2013 12:55 AM PDT
BESUT - Selepas tiga tahun menganggur, siswazah kurang upaya yang memiliki ijazah berkembar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nik Nor Ermiza Rozana Mustaffa, bersyukur dengan tawaran kerja yang diterima daripada kerajaan negeri Terengganu. Wanita berusia 32 tahun yang memiliki Ijazah Undang-Undang dan Syariah itu bakal berkhidmat sebagai Pegawai Eksekutif Teknologi Maklumat di Pusat Bestari.com di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) di sini. Disahkan menghidap kerapuhan tulang sejak lahir, Nik Nor Ermiza Rozana dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila di sini hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter. | ||
Remaja lelaki dijel seumur hidup Posted: 24 Sep 2013 12:54 AM PDT SIBU – Seorang remaja lelaki dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas diperkenan Yang Dipertua Negeri berhubung sabitan membunuh empat sekeluarga dan satu cubaan bunuh pada awal tahun lalu. Pada prosiding 19 Ogos lalu, lelaki berusia 19 tahun itu didapati bersalah membunuh jirannya iaitu ahli perniagaan, Ling Tong Hock, 36; ibunya, Leong Nyuk Lan, 76; anak lelakinya, David Ling Chei Qi, 10, dan anak perempuannya, Amy Ling Zi Jiun, 7, dengan menggunakan tukul. Hakim Supang Lian membuat keputusan itu selepas mengambil kira umur pesalah semasa kejadian berusia 17 tahun tujuh bulan dan berada dalam takrif kanak-kanak mengikut Seksyen 2 Akta Kanak-kanak 2001. | ||
Jasad Chin Peng dibakar di Bangkok semalam Posted: 24 Sep 2013 12:52 AM PDT BANGKOK - Jasad bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibakar petang semalam di Wat That Thong, Jalan Sukhumvit di sini, lapor akhbar Bangkok Post. Dia meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 16 September lalu pada usia 89 tahun akibat sakit tua. Memetik laporan akhbar dalam talian The Star, mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibakar sekitar pukul 6 petang. Bangkok Post juga melaporkan bahawa abu mayatnya mungkin disemadikan di selatan Thailand. Kematian pemimpin yang berasal dari Sitiawan, Perak itu telah mencetuskan kontroversi apabila kerajaan Malaysia menghalang jasad atau abu mayatnya dibawa pulang. Chin Peng tinggal dalam buangan di Thailand selama lebih lima dekad dan dilarang kembali ke Malaysia. Menurut sumber-sumber keluarganya, sebahagian abu mayat Chin Peng mungkin disimpan oleh anak dan cucunya. Sebahagian lagi abu mayatnya dikatakan bakal disemadikan di empat kampung yang didiami rakan seperjuangannya dalam PKM. Empat kampung tersebut terletak di Betong, Kabang dan Tarnto, Yala serta Sukhirin di daerah Narathiwat. | ||
Gabungan burger McDonalds jadi juadah baharu Posted: 24 Sep 2013 12:51 AM PDT
WAUWATOSA - Seorang penulis blog makanan telah mencipta satu juadah baharu dengan menggabungkan semua menu burger yang terdapat di restoran makanan segera McDonalds kelmarin. Nick Chapman yang merupakan seorang peminat makanan segera sanggup berbelanja sebanyak AS$140 (RM442) di sebuah restoran McDonalds di Wauwatosa, Wisconsin bagi menyediakan burger mega yang memiliki 20,000 kalori. Chapman menempah sebanyak 43 biji burger dan menyusunnya sehingga mencecah ketinggian 91 sentimeter. Bagi memegang semua burger itu, Chapman mencucuk beberapa batang lidi buluh ke dalam burger tersebut. "Selepas semua 43 burger habis dibeli dan berada di atas meja, saya perlu menyusun semuanya bersama," tulis penulis laman blog Dude Foods itu. "Pada asalnya, saya menjangkakan ia hanya setinggi beberapa kaki sahaja. Tetapi seperti yang anda lihat dari gambar, ia lebih tinggi daripada apa yang dibayangkan. Selain memastikan semua burger itu tidak terbalik ketika disusun, Chapman menyatakan perkara paling sukar adalah untuk tidak memakan mana-mana bahagian burger sehingga ia selesai. | ||
Istana Buckingham cari penjaga 1,000 jam diraja Posted: 24 Sep 2013 12:50 AM PDT LONDON - Istana Buckingham kini mencari seorang pegawai pemulihara horologi diraja untuk menjaga dan memastikan 1,000 buah jam milik Ratu Elizabeth II sentiasa tepat, lapor akhbar Mirror semalam. Pihak istana itu berharap semua tukang pemerhati jam di London memohon untuk jawatan tersebut yang menawarkan gaji sebanyak AS$49,930 (RM157,878) setahun. Salah satu tugas utama penyandang jawatan itu ialah membantu membetulkan jam yang ada jika ia lebih cepat pada Mac dan kembali lambat pada Oktober setiap tahun. Setiap calon yang berjaya juga turut bertanggungjawab memulihara, membaiki dan menyelenggara setiap jam dalam koleksi diraja Britain. Jam itu merangkumi jam menara kecil sehingga beberapa jam poket di semua kediaman diraja sekitar Britain. "Secara prinsipnya, penyandang jawatan itu akan bekerja di Istana Buckingham. Pemegang jawatan itu juga perlu pergi ke semua istana-istana lain," kata iklan yang dikeluarkan di laman web rasmi Ratu Elizabeth II. Individu tersebut akan memantau jam-jam di Istana St. James dan Rumah Clarence. Beliau juga perlu bertugas di Istana Windsor, Istana Holyroodhouse, Balmoral dan Sandringham. | ||
Jangkitan global HIV catat penurunan ketara Posted: 24 Sep 2013 12:49 AM PDT GENEVA - Jangkitan baharu virus kurang daya tahan penyakit (HIV) berkurangan sebanyak satu pertiga secara keseluruhan sejak 2011, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam. PBB dalam satu kenyataan memberitahu, jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak turut merosot lebih daripada 50 peratus. Di peringkat global, sejumlah 2.3 juta orang dijangkiti HIV pada tahun lalu. Angka tersebut mencatat penurunan 33 peratus sejak tahun 2001. Tahun 2012 turut menyaksikan 260,000 kanak-kanak menghidap HIV di seluruh dunia sekali gus penurunan sebanyak 52 peratus sejak tahun 2001. "Bilangan jangkitan baharu HIV terus merosot dengan penurunan ketara dilihat dalam kalangan kanak-kanak," kata Pengarah Eksekutif Program Bersama PBB untuk HIV/AIDS (UNAIDS). Menurutnya, penurunan itu antara lain didorong kemajuan ubat antivirus yang dapat menghalang jangkitan kuman HIV daripada ibu kepada bayi dalam kandungannya. Dalam laporan tahunannya, UNAIDS menyatakan, ubat-ubatan berkenaan berjaya menghalang lebih 670,000 kanak-kanak daripada dijangkiti virus tersebut. Pada tahun lalu, sejumlah 1.6 juta orang mati akibat penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS), turun daripada 1.8 juta orang pada tahun 2011 dan 2.3 juta pada tahun 2005. Pembawa kuman HIV yang tidak dirawat akan menghidap penyakit AIDS. | ||
Platform melahirkan lebih ramai penulis Posted: 24 Sep 2013 12:48 AM PDT
"DEMI pena, setiap kita adalah penulis." Demikian satu ungkapan motivasi yang mampu meremangkan bulu roma bagi sesiapa yang memahami makna tersirat di sebaliknya. Ia ringkas tetapi padat dengan maksud tersendiri. Dicetuskan oleh Konsultan Idea Nuun Creative Books, Azzah Abdul Rahman, 34, sempena penganjuran Konvensyen Mini Penulisan 2013 yang berlangsung baru-baru ini, slogan tersebut diharap menjadi pembakar semangat untuk para peserta menghasilkan karya terbaik dalam dunia penulisan tanah air. Menurut Azzah, ironinya, slogan itu terbahagi kepada dua. Pertama, 'Demi pena' diambil daripada ayat pertama surah al-Qalam iaitu sumpah Allah di atas pena dan apa yang ditulis iaitu tanggungjawab setiap penulis atas apa yang dituliskan olehnya. "Ayat kedua 'setiap kita adalah penulis' pula dipilih bagi memberi keyakinan bahawa sesiapa sahaja yang menulis adalah seorang penulis walaupun sekadar menghantar pesanan melalui sistem khidmat pesanan ringkas atau luahan rasa di laman sosial Facebook. "Justeru, dua ayat ini digabungkan sebagai galakan supaya semua orang hanya menulis perkara-perkara yang baik kerana kita bertanggungjawab atas setiap dikaryakan terutamanya di akhirat kelak," ujar wanita yang juga merupakan Naib Presiden II Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) kepada Kosmo!. Berlangsung pada 20 Julai lalu di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, konvensyen yang julung-julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan lebih 120 orang peserta yang terdiri daripada kelompok penulis baharu, individu yang berminat untuk menulis dan juga penulis yang telah mempunyai koleksi karya tersendiri. Masing-masing datang dengan tujuan untuk menimba ilmu bagaimana untuk menjadi penulis terbaik yang mampu menyumbang kepada masyarakat, menjana pendapatan di samping meraih 'saham' akhirat. Jelas Azzah, secara peribadi konvensyen itu bermatlamat untuk meraikan penulis tidak kira yang lama atau yang baharu. "Sudah lama saya impikan untuk melihat satu acara khusus untuk meraikan penulis-penulis di Malaysia. Ia sebenarnya bertitik tolak daripada kunjungan saya ke Festival Penulis Singapura tahun lalu. "Sebelum ini saya pernah menyuarakan cadangan untuk menganjurkan program ini tetapi mungkin yang mendengarnya bukan pihak yang tepat. Malah, ada yang bersikap skeptik dan berkata, belum masanya untuk Malaysia. "Saya pula bukan jenis orang yang sabar menunggu. Apa yang orang belum buat, itulah yang saya mahu buat. Apa yang orang tidak berani buat, itulah yang saya tidak takut buat. Dengan bertindak, baru sesuatu itu dapat bergerak," tegasnya yang kemudian bekerjasama dengan sahabat baik beliau, Zamri Mohamad, 32, yang juga merupakan seorang jurulatih terkemuka dunia penulisan bagi menjayakan program tersebut. Tambah Azzah, Pesta Buku Antarabangsa yang dianjurkan setiap tahun sememangnya membantu industri buku negara, namun fokusnya lebih kepada penerbit dan pembaca. Walaupun memang ada slot untuk penulis, tetapi kebanyakannya hanya untuk penulis yang sudah bertapak dalam industri. "Mungkin juga kerana saya ini orang kecil industri yang juga seorang jurulatih penulisan. Justeru, fokus saya memang tertumpu kepada mereka yang masih kerdil seperti penulis baharu, penulis yang hampir putus asa dan individu biasa yang berhasrat mahu menjadi penulis. "Saya ingin melihat kesatuan yang baik dalam kalangan penggiat industri. Kita sama-sama menulis dan industri ini kecil. Saling mendokong, saling mendorong, itu sunah. Itu tuntutan agama dan amalan budaya kita," ungkapnya penuh makna. Tambah Azzah, tidak kira genre, gaya bahasa, teknik dan teori yang digunakan, kita sama-sama menyasarkan anugerah tertinggi yakni syurga di akhirat kelak kerana penulisan adalah satu cabang dakwah yang bukan sebarang. Berkongsi maklumat Sementara itu, Zamri berkata, secara keseluruhan konvensyen ini memberi jawapan kepada setiap persoalan yang bermain di minda peserta. Antaranya, bagaimana seorang penulis dapat bekerjasama dengan penerbit agar karyanya diterbitkan, cara menulis karya yang mesra syariah dan kaedah mencapai kehidupan seorang penulis profesional. Justeru, seramai 10 ahli panel yang terdiri daripada penggiat industri dalam dunia penulisan tanah air telah diundang untuk berkongsi maklumat dan panduan bersama para peserta. Mereka ialah Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharuddin; pendakwah bebas, Ustaz Rohidzir Rais; novelis fiksyen sejarah Islam, Abdul Latip Talib dan Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku, Nor Hayati Razali. Tidak ketinggalan penulis komik berjaya, Nazry Salam Feeqry; penulis buku Mudahnya Menjemput Rezeki, Ustaz Fathuri Sallehudin; pengasas syarikat pakar runding Write To Wealth, Aqif Azizan; usahawan buku, Wahyudi Mohd. Yatim dan Izwan Wahab merangkap penulis buku Internet Marketing untuk Bisnes Kecil. "Antara topik yang dibincangkan ialah Penulisan mesra syariah: Harta berkat, karya bertahan; Mengekstrak al-Quran dan hadis dalam penulisan: Seni dan cara; Karya #Trending: Apa yang kedai buku mahukan daripada penulis?; Tulis sekali, makan berkali-kali; Aura komik positif dan banyak lagi. "Melalui perbincangan dua hala ini, peserta memperoleh maklumat yang tepat dan terkini daripada penggiat sebenar industri buku dan penulisan, di samping berpeluang meluaskan jaringan sesama mereka," terang Zamri merangkap pengasas kursuspenulisan.com yang telah banyak melahirkan penulis kreatif dan berbakat di negara ini. Tambah beliau, para peserta juga berpeluang menghantar manuskrip yang telah disiapkan terus ke tangan penyunting melalui sesi suai-padan. Apa yang penting, konvensyen ini bermatlamat menyatukan penulis serumpun tanpa mengira genre penulisan. Tiga ciri kritikal Dalam pada itu, ahli panel merangkap individu yang menjadi antara pencetus jualan buku elektronik (e-book) di Malaysia, Aqif, 23, memberitahu, terdapat tiga ciri kritikal untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Ia digelar ciri tiga piramid. "Pertama, memahami susuk penulisan diri iaitu mengetahui sasaran penulisan, topik dan isi yang ingin ditulis dan sumber yang hendak digunakan. Kedua, pilih jemaah kumpulan yang dipercayai dan mampu membawa gelombang penulisan ke hadapan. "Ini kerana setiap genre seperti fiksyen, humor atau novel ada kumpulan penulis tersendiri dan yang ketiga adalah penunjuk prestasi penulisan. Sebagai contoh, novelis remaja terkenal, Ain Maisarah, mempunyai matlamat menulis ribuan perkataan setiap hari," ujarnya. Menjelas lanjut, Afiq berkata, penunjuk perkataan ini penting untuk meningkatkan motivasi dan komitmen setiap penulis. Beliau turut menegaskan, setiap penulis juga perlu berfikir seperti seorang ahli perniagaan jika mahukan karya mereka diterima pasaran. Selain sesi ceramah daripada ahli panel, beberapa aktiviti menarik turut diadakan sepanjang konvensyen itu berlangsung. Ia termasuk slot penulis mencari penulis melalui tampalan nama dan nombor telefon penulis di papan putih dan jualan buku serta cenderahati. | ||
Cabaran menerbitkan buku-buku ilmiah Posted: 24 Sep 2013 12:47 AM PDT MELIHAT pada jumlah penerbitan buku dan novel pelbagai genre yang terdapat di pasaran, boleh dikatakan industri penulisan di Malaysia pesat berkembang. Malah, kehadiran ramai penulis yang tampil dengan gaya penulisan tersendiri menjadikan dunia pembukuan bertambah meriah dan menarik. Menurut Pegawai Bahagian Penyelidikan Perpustakaan, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Mohamad Zaki Yusof, statistik penerbitan buku mengikut Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) bagi tahun 2012 menunjukkan sebanyak 19,171 judul buku telah diterbitkan. "Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sebanyak 13,843 judul penerbitan telah diterima. Secara keseluruhan, kumulatif penerimaan penerbitan sejak pelaksanaan Akta 331 ini adalah sebanyak 259,692 judul penerbitan," katanya melalui satu temuramah melalui e-mel dengan Kosmo! baru-baru ini. Bagaimanapun, dalam aspek penerbitan buku-buku ilmiah, negara kita belum mencapai standard yang ditetapkan dan bahan bacaan berkaitan masih kurang di pasaran. Perkara ini diakui oleh Pengarah Unit Penerbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Asiah Sarji, 63. Ujar beliau, Malaysia masih belum mampu memenuhi tahap yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam konteks penerbitan buku-buku ilmiah untuk mencapai tahap negara maju. "Standard UNESCO menetapkan 1,000 judul buku bagi setiap sejuta penduduk. Ini bermakna, setiap tahun Malaysia perlu menghasilkan 27,000 judul bagi bahan bacaan berbentuk ilmiah. "Pada tahun 2008, bilangan judul buku ilmiah yang diterbitkan lebih 16,000 manakala pada tahun 2009 pula sekitar 15,700. Justeru, kita masih ada enam tahun lagi untuk mencapai standard itu menjelang tahun 2020," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! Tambah Asiah, saya percaya kita mampu melakukannya sekiranya ada sokongan padu dalam aspek belanjawan yang diperuntukkan kepada pihak universiti. Ia termasuk menyediakan infrastruktur dan tenaga manusia yang mencukupi. Penyunting Maklumnya, kerja-kerja penerbitan bahan ilmiah memerlukan tenaga mahir yang tinggi dan berkualiti. Sebagai contoh, untuk mendapatkan penyunting yang mahir dalam bahasa Inggeris sangat sukar berbanding penyunting Bahasa Melayu. "Selain itu, setiap penyunting juga bukan sekadar mahir dalam aspek bahasa bahkan haruslah mewakili pakar dalam setiap bidang buku yang diterbitkan. Semua pihak perlu melipatgandakan sokongan mereka untuk membantu Jabatan Pengajian Tinggi memenuhi keperluan itu. "Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh ketinggalan dalam penerbitan buku-buku elektronik (e-book) yang lebih digemari generasi internet masa kini," tuturnya lagi sambil memberitahu beberapa institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia sudah pun memulakan penerbitan e-book. Diterajui oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim), setiap universiti yang mempunyai unit penerbitan masing-masing menjadi nadi penggerak untuk mengembangkan penerbitan buku-buku ilmiah. Dalam pada itu, Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UKM, Datin Saadah Jaffar, 53, memberitahu, kebiasaannya sambutan masyarakat terhadap buku-buku ilmiah kurang memberangsangkan. "Berbanding bahan bacaan berbentuk hiburan seperti novel-novel cinta, buku-buku ilmiah terbitan pihak universiti kurang diminati. Ia mungkin disebabkan persepsi masyarakat yang menganggap buku ilmiah sukar difahami serta harganya yang agak mahal. "Namun, buku-buku berbentuk negarawan dan budaya seperti Biografi Tun Abdul Razak: Negarawan dan Patriot dan Rupa dan Gaya: Busana Melayu berjaya menarik minat penggemarnya. Apa pun tahun lalu di UKM, kami berjaya menerbitkan lebih 100 judul buku berbanding 80 yang ditetapkan," ujar Saadah sambil berharap masyarakat akan lebih bersifat terbuka untuk membeli bahan bacaan ilmiah. Sementara itu, Pengurus Jabatan Pembangunan Industri Buku, Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), Norhayati Razali memberitahu, pihaknya juga memainkan peranan sebagai pusat sehenti kegiatan pembukuan dan menjadi pusat pertemuan antara penulis, penerbit dan pembaca melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti seminar-seminar berkaitan di peringkat dalam dan luar negara. "Selain itu, kami turut menggalakkan penerbitan karya-karya bersifat ilmiah, saintifik dan teknologi, selain memantapkan pembangunan sastera kanak-kanak di Malaysia untuk diangkat ke persada antarabangsa. "Sehingga kini Kota Buku telah pun menerbitkan lebih 100 judul buku kanak-kanak dan ilmiah dalam bentuk e-book," jelasnya. Tambah Norhayati, banyak program telah dilaksanakan oleh Kota Buku untuk menyemarakkan industri pembukuan di negara ini. Antaranya, program latihan penulisan buku bergambar kanak-kanak, menyertai festival sastera kanak-kanak di Singapura dan China, mengadakan jualan buku@but kereta dan penganjuran seminar-seminar berkaitan. | ||
Posted: 24 Sep 2013 12:46 AM PDT
ALAT solek yang sering disapu pada bibir wanita ini boleh dianggap sebagai item wajib ada di dalam beg tangan mereka. Baik gadis remaja mahupun wanita dewasa, sekurang-kurangnya sebatang gincu pasti disimpan dalam beg tangan yang berfungsi meningkatkan keyakinan diri dalam berpenampilan. Bahkan, ramai yang tidak kisah jika tidak memakai maskara, pemerah pipi atau pembayang mata, tetapi ada yang enggan keluar rumah tanpa gincu. Bergantung kepada cita rasa masing-masing, ada yang menggemari warna lembut, warna gelap dan tidak kurang yang memilih warna terang. Gincu merupakan produk kosmetik yang mengandungi pigmen, minyak, lilin dan emolien memberikan warna, tekstur serta perlindungan pada bibir. Pemakaiannya bermula sejak zaman purba. Wanita purba pada zaman Mesopotamia dipercayai merupakan wanita pertama yang mencipta dan memakai gincu dengan menghancurkan batu permata untuk dioles pada bibir. Sepanjang awal abad ke-20, gincu hadir dalam bilangan warna yang terhad. Warna merah gelap merupakan salah satu warna yang popular sepanjang abad ke-19 dan abad ke-20. Warna tersebut juga pernah popular pada tahun 1920-an dan golongan Flappers iaitu wanita muda generasi baharu di Barat memakainya sebagai simbol kebebasan. Pada awal tahun 1930-an, Elizabeth Arden mula memperkenalkan warna-warna gincu berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada syarikat-syarikat lain mengikut jejak langkahnya. Sekitar tahun 1930-an, gincu dilihat sebagai simbol seks dewasa dan remaja perempuan ketika itu percaya bahawa gincu merupakan simbol kewanitaan. Kini, kepelbagaian warna yang ditawarkan membuatkan golongan Hawa rambang mata untuk membuat pilihan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa ada dalam kalangan mereka masih khilaf mengenai warna yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing. "Biasanya dalam dunia perniagaan, kebanyakan syarikat mahu melihat stafnya kelihatan kemas dan cantik, namun warna gincu yang dipakai tidak perlu keterlaluan hingga menenggelamkan personaliti, imej dan bidang tugasan yang dibawa. "Sebagai contoh, bagi mereka yang bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, mereka seharusnya nampak natural dan mesra. Pada waktu pagi biasanya orang Asia khususnya di Malaysia, mengenakan warna merah jambu atau nude," kata Penasihat Kecantikan Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Ruzanna Ismail. Tambahnya, warna nude yang digunakan tetap akan ada warna asas merah jambu. Gincu berasaskan warna pic dan oren lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kulit tidak terlalu gelap. Jika seseorang yang berkulit cerah memakai gincu berwarna oren, dia akan kelihatan pucat dan bagi mengelakkan ia berlaku warna oren boleh dicampurkan dengan warna merah jambu. "Jika mahu nampak manis dan segar pada waktu pagi, oleskan gincu berasaskan warna merah jambu tetapi bukan rona yang terang. Pilihan warna gincu "Warna-warna gincu berasaskan warna natural, merah jambu dan coklat lebih elok dipakai pada siang hari berbanding warna-warna yang terang memandangkan kita aktif dan banyak berkomunikasi," ujarnya sambil memberitahu pemakaian gincu berwarna terang pada siang hari menyebabkan seseorang nampak comot berikutan warna gincu yang pudar. Pada waktu petang dan malam, tiada masalah jika seseorang itu memakai gincu berwarna gelap dan lebih terang kerana cahaya pada ketika itu tidak sekuat cahaya pada waktu pagi. Ramai yang menggunakan kesempatan untuk lebih berani mengenakan warna-warna terang pada waktu malam dan kebiasaannya warna merah terang dan burgundy menjadi pilihan. "Bagi mereka yang mahu mencuba warna-warna terang, dinasihatkan mencuba sampel terlebih dahulu kerana warna pada katalog dan produk sebenar tidak sama. "Seperkara lagi, tiada syarat jika seseorang itu memakai baju merah, harus mengenakan gincu merah dan jangan pernah menyamakan warna baju dengan warna gincu kerana ia dua perkara yang berbeza," Ujar Ili, seseorang itu perlu memilih apa yang mahu ditonjolkan, sama ada baju atau wajahnya. Jika memilih untuk menonjolkan wajah, bahagian mata yang mahu difokuskan, mata, bibir atau pun pipi. Kebiasaannya, seseorang itu cuma memakai warna senada bagi pipi dan bibir supaya nampak lebih berseri serta natural. Bagi mereka yang mahu berpenampilan ceria dan segar, boleh memakai gincu berasaskan warna merah jambu seperti warna natural bibir tetapi lebih terang sedikit iaitu warnanya lebih cair daripada bibir. Mengikut personaliti "Warna kulit juga mempengaruhi gincu yang dipakai. Orang yang berkulit gelap boleh memakai warna terang tetapi bibirnya akan kelihatan lebih besar kerana asasnya gelap. "Andai dia mahu memakai warna merah, gincu merah yang dipakai perlu berasaskan warna biru dan bukannya warna coklat. Warna merah yang terang menunjukkan ia mempunyai warna merah jambu atau biru dalam campurannya," jelasnya. Jika tidak mahu bibir kelihatan besar, pakai gincu berasaskan warna coklat dan bagi mereka yang berkulit cerah, pemakaian gincu warna cerah akan menyebabkan garisan bibir tidak kelihatan.
Warna yang sesuai ialah warna merah yang lebih gelap supaya nampak lebih natural. Ditanya sama ada warna gincu dipengaruhi faktor umur, Ili memberitahu, tiada panduan sedemikian dan sesiapa sahaja bebas memilih warna gincu yang sesuai buat mereka. Warna-warna terang membuatkan si pemakai berasa lebih muda, namun demikian ia terpulang kepada majlis. Jika menghadiri majlis agama, agak kurang manis apabila memakai warna-warna terang. "Pemakaian pengilat bibir tidak wajib dan ia boleh dipakai pada waktu siang dan malam. Penggunaannya membuatkan bibir kelihatan sentiasa basah dan tidak kurang pula yang mahu membuatkan bibir nampak lebih besar. "Cara yang terbaik untuk menentukan gincu yang sesuai adalah terpulang kepada diri sendiri. Jika anda yakin dengan warna gincu yang dipakai menarik, maka teruskan," katanya. | ||
Nilai ketimuran ceongsam moden Posted: 24 Sep 2013 12:45 AM PDT
CEONGSAM merupakan pakaian tradisi kaum Cina yang menonjolkan susuk tubuh dan nilai feminin seorang wanita. Kolar Mandarin pada busana itu pula menyerlahkan leher jinjang si pemakai manakala belahan sisi pada bahagian bawah baju mendedahkan keseksian kaki perempuan. Keagungan busana klasik itu diangkat tiga pereka tempatan dalam hasil kerja terbaharu mereka. Pemilik jenama Shanghai Sun, Sunny Ng; pereka muda, Keith Kee dan pereka prolifik, Bill Keith berkongsi pentas peragaan bagi memaparkan koleksi ceongsam masing-masing. Bertempat di The Weld, Kuala Lumpur, pertunjukan fesyen bertemakan Oriental Rhapsody itu turut diserikan dengan keindahan aksesori daripada Rafflesia seperti batu jed yang melengkapi sempurna sehelai ceongsam. Acara dimulakan dengan paparan tujuh helai ceongsam labuh daripada Shanghai Sun. Supermodel terkenal, Amber Chia mengetuai pentas peragaan dengan persalinan glamor merah jambu. Penggunaan fabrik berkilat dan bergemerlapan meningkatkan ciri eksklusif ceongsam urban tersebut. "Koleksi kali ini mempunyai fungsi yang sama seperti busana petang atau malam. Pemilihan rona terang seperti merah, perak dan emas memberikan keyakinan kepada wanita ketika melangkah. "Ceongsam potongan klasik ini elegan digayakan wanita berusia 20 tahun ke atas meskipun ia sarat dengan perincian. Namun jangan bimbang kerana perincian yang diterapkan tidak kelihatan serabut," jelas Sunny yang turut memaparkan lapan koleksi ceongsam pendek yang digayakan lapan selebriti wanita Melayu. Kolar Mandarin Sementara itu, pereka yang sedang meningkat naik, Keith Kee berjaya memukau pandangan mata hadirin dengan rekaan ceongsam koleksi musim bunga/panas 2014 jenamanya. Tujuh ceongsam labuh yang dipertontonkan sedikit lari daripada asas sehelai ceongsam dan cenderung pada rekaan pakaian moden. Keith sengaja menampilkan rekaan yang sedemikian bagi menyerlahkan nilai couture. "Pada asasnya, ia tetap sehelai ceongsam kerana saya mengekalkan penggunaan kolar Mandarin. Nilai kontemporari yang diterapkan dalam koleksi terbaharu ini boleh digayakan pada waktu siang atau malam, mengikut kesesuaian majlis. "Penggunaan fabrik seperti syantung iaitu sutera tebal yang mempunyai permukaan tidak rata atau berkedut-kedut, sutera Thailand, broked China, tulle, kain net dan renda Perancis menambah elegan pakaian ini. Tidak ketinggalan, saya turut menggabungkan nilai Barat dan Timur dengan sempurna,"tutur Keith. Sementara itu, koleksi ceongsam pendek Keith Kee pula tampak indah digayakan lapan aktres Cina tempatan. Rekaan ceongsam Bill Keith pula diperagakan lapan peserta Miss Chinese Cosmos. | ||
Posted: 24 Sep 2013 12:44 AM PDT KETAHUI cara mudah dan ringkas bagi mendapatkan tumit dan kuku kaki yang bersih serta cantik menerusi enam langkah yang praktikal. 1) Batu pumis Amalkan penggunaan batu pumis iaitu batu gunung berapi yang poros dan ringan. Gosok batu itu pada tumit yang kering dan bahagian yang berkematu. Ia membantu kaki kekal cantik ketika menyarungkan kasut tanpa penutup belakang atau selipar. Sebelum menggosok batu pumis pada permukaan kulit kaki yang bermasalah, rendamkan kaki ke dalam air suam untuk tempoh 10 hingga 15 minit bagi melembutkan tekstur kulit. Selain batu pumis, lulur pelembap kaki yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan juga ideal untuk menyingkirkan sel-sel mati. Selepas proses melulur, sapu krim kaki atau salap yang mengandungi mentega shea atau mentega koko. Cari salap atau krim tumit yang mengandungi asid salisilik atau urea bagi melembutkan kematu. 2) Pelembap Jika tumit kering dan merekah, jumpa pakar kaki atau pakar dermatologi untuk rawatan. Jika masalah itu tidak serius, gunakan produk pelembap yang terdapat di pasaran. Anda mungkin boleh mencuba memakai pelapik tumit yang dilengkapi fungsi melembutkan kematu ketika berjalan. Selepas kematu itu mengelupas, gunakan krim kaki bagi melembutkan permukaan kulit yang kasar pada tumit. Gunakan krim yang mengandungi petrolatum, emolien atau humektan seperti asid laktik yang membantu melembapkan kulit. 3) Perangi kulat Terdapat banyak jenis produk antikulat dijual di pasaran seperti lakuer, krim, losen, cecair, serbuk penyembur dan cecair penyembur. Kesemua produk itu hanya berkesan untuk masalah kaki yang sederhana dan tidak melibatkan jangkitan kulat pada kuku kaki. Cari serbuk atau penyembur yang berfungsi secara klinikal pada kaki yang mudah berpeluh. Serbuk selalunya mengandungi aluminium heksahidrat klorida bagi membantu mengekalkan kulit dalam keadaan kering. Namun untuk kaki kering gunakan losen antikulat. Keringkan kulit anda sebelum mengaplikasi serbuk atau losen tersebut. Bagaimanapun langkah terbaik bagi mencegah masalah kulat ialah dengan menjaga kebersihan kaki. Basuh kaki dengan kerap dan keringkan terutamanya pada celahan jari. Jangan lupa memakai stoking yang bersih. 4) Pakai pelindung matahari Usah meragui kepentingan krim pelindung matahari untuk kaki. Sapukan krim pelindung matahari yang dilengkapi SFP30 ketika berkaki ayam, memakai selipar atau sandal. 5) Sokongan kaki Berdiri terlalu lama boleh melenguhkan kaki. Memakai pelapik kaki boleh memberi keselesaan pada kaki. Gunakan pelapik yang memiliki sarung plastik pada bahagian bawah. Pakar kaki mengatakan, sarung jenis itu menguatkan pelapik yang bertujuan menyokong kaki. 6) Kuku kaki Anda gemar merawat kuku kaki? Teknik yang digunakan amat penting dalam memastikan kebersihan kuku. Potongan kuku yang tidak sekata boleh meninggalkan lebihan kuku dan pertumbuhan kuku kaki yang tidak seragam. Elakkan memotong kutikel kerana ia mengundang kepada jangkitan kuman pada kuku kaki. Sebaliknya, kikis kutikel itu dengan lembut menggunakan penggilap kuku. Kuku mudah patah seiring pertambahan usia. Bahan-bahan dalam pewarna kuku atau pembersih pewarna kuku akan mempercepatkan proses tersebut sekali gus mengeringkan tekstur kuku anda. Bagi melembapkan kulit kaki, anda disaran menggunakan krim untuk kutikel, jeli petroleum atau minyak vitamin E. Sapukan pada keseluruhan kuku kaki termasuk kutikel dan gosok dengan perlahan. | ||
Posted: 24 Sep 2013 12:43 AM PDT
KINI pelbagai fesyen Muslimah berada di pasaran, tidak kira jubah, blaus, skirt mahupun seluar palazo. Bagi anda yang sentiasa mahu berpenampilan segar, menarik dan lain daripada yang lain, aspek potongan dalam pemilihan busana seharusnya dititikberatkan agar sentiasa kelihatan menawan. Ini tidak bermaksud busana potongan biasa tidak menarik, tetapi tidak salah jika anda sesekali bereksperimen dengan busana yang mempunyai potongan berbeza untuk menyerlahkan pesona. Butik Aisy (Aisy) menawarkan blaus dan jubah pelbagai potongan daripada material likra yang sesuai dipakai kasual, ke pejabat mahupun majlis-majlis rasmi. "Semua sedia maklum bahawa ada antara kain jenis likra yang melekat pada tubuh apabila dipakai, namun apa yang ditawarkan di Aisy tidak begitu kerana kami menggunakan kain likra tebal dan berkualiti tinggi. "Antara koleksi yang boleh didapati di butik ini ialah Belleza (jubah), Amour (pasangan baju dan skirt), seluar palazo, Disa (baju peplum), Hijeshi (blaus potongan terbuka di bahagian hadapan), Codisa (sepasang baju peplum bersama kain) dan Riena (baju potongan sendeng)," kata Pemilik Aisy, Hartini Ahmad, 35.
Efek langsing Sebagai contoh, baju peplum ditawarkan di Aisy lebih labuh dan menutup bahagian punggung wanita berbanding yang ditawarkan di pasaran. Koleksi Riena yang mempunyai potongan sendeng labuh pula membuatkan si pemakai tampak lebih langsing. Dalam pada itu, terdapat dua jenis potongan bagi koleksi Belleza iaitu potongan kembang dan berpanel. Anda tidak perlu risau andai kain melekap pada tubuh hingga menampakkan susuk badan kerana ia dapat dielakkan dengan pemilihan saiz pakaian yang sesuai selain mengenakan kain dalam. Efek langsing dalam kesemua koleksi disebabkan oleh penggunaan material likra yang berat. Material jenis itu sengaja dipilih kerana ia bukan sahaja senang dijaga dan ringkas, malah memberikan rasa selesa kepada si pemakai selain tidak perlu digosok. Apa yang pasti koleksi Belleza, Amour, Disa, Hijeshi, Codisa dan Riena sesuai digayakan segenap wanita kerana ia didatangkan dengan saiz XS sehingga XL. "Saiz baju-baju di Aisy lebih besar satu saiz berbanding saiz standard yang dijual di pasaran. "Setiap koleksi sesuai dipakai oleh wanita berusia 20 tahun ke atas, lebih-lebih lagi mereka yang berkerjaya," ujarnya. Hartini turut memaklumkan, setiap satu corak yang dijual terhad kepada 18 hingga 20 helai sahaja bagi menjaga nilai eksklusif busana. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan