ads

Isnin, 6 Ogos 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Setengah juta tonton Baitul Rahmat

Posted: 06 Aug 2012 07:17 PM PDT

Setengah juta tonton Baitul Rahmat
Antara pelakon yang terlibat dalam drama Baitul Rahmat

Babak Mak Munah (Engku Fridah Ku Shafie) menangis kesedihan apabila anak bongsunya, Husna (Azza Elite) meninggalkannya di rumah orang tua Baitul Rahmat berjaya menyentuh hati penonton TV1.

Bertitik-tolak daripada babak menyedihkan itu, drama 26 episod berjudul Baitul Rahmat berjaya mencatatkan 541, 105 jumlah penonton sejak ditayangkan awal Ramadan lalu, setiap hari, jam 7.30 malam.

Kisah sedih sarat pengajaran Baitul Rahmat kini mula melewati kemuncak konflik apabila Mak Munah berkali-kali ditipu anaknya Husna yang berjanji mahu mengambilnya pulang.

Masa berlalu, tidak pernah sekali Husna atau anak-anaknya yang lain datang melawat Maimunah.

Walaupun sedih, dia mula membiasakan diri tinggal bersama teman-teman senasib dengannya termasuklah Khalijah, Rahmah, Mak Cik Adibah, Hasnah dan juga Wan.

Ramadan semakin berakhir dan Maimunah mula jatuh sakit. Begitu pun, tiada seorang anaknya datang melawat selain Husna yang memaksanya menukarkan nama terhadap harta yang dimilikinya.

Maimunah merana dengan tindakan anak-anaknya. Lalu bagaimanakah penyudah jalan hidupnya?

Saksikan kesudahannya drama yang turut dibintangi Yatt Hamzah, Kismah Johar dan Nor Albaniah ini penghujung Ramadan ini di TV1.

Penonton yang tidak berkesempatan menyaksikan tayangannya boleh mengikuti ulangan siri ini setiap Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 5 pagi.

Hamper jadi pilihan

Posted: 06 Aug 2012 06:47 PM PDT

Hamper jadi pilihan
Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim

Tergambar keceriaan di wajah pasangan ini sewaktu menjalankan sesi fotografi bersama Zass di pejabat mereka yang terletak di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Meski pun baru sahaja menimang cahaya mata kedua, Nur Amna Qeesyara, Jun lalu, namun mereka masih memberikan tumpuan kepada kerjaya dan perniagaan hamper yang dijalankan setiap kali menjelangnya hari raya setiap tahun.

Menurut vokalis kumpulan Kristal, Lan dan isterinya, Nur Sheila Hassim, perniagaan hamper itu bermula secara kecil-kecilan sejak lima tahun lalu.

"Sebenarnya idea untuk menjalankan perniagaan ini datang daripada Sheila sendiri. Mula-mula ada juga terfikir untuk berniaga kuih raya seperti yang dijalankan oleh selebriti lain, tetapi memandangkan agak sukar untuk mendapatkan tapak berniaga di bazar jadi kami pendamkan sahaja.

"Apabila Sheila cadangkan untuk melakukan projek berniaga hamper raya, saya rasa itu cadangan yang sungguh baik. Selain tidak perlu keluar, kami juga boleh menjimatkan kos menyewa tapak bazar.

"Malah, kami juga tidak memerlukan ruang yang besar untuk menjalankan perniagaan ini kerana boleh di lakukan di rumah atau pejabat sahaja," ujar bapa kepada dua cahaya mata ini.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan itu, Lan berkata, mereka menggunakan modal sebanyak RM5,000 sahaja sebagai permulaan. "Bimbang juga tidak cukup, tetapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan mendapat pulangan yang agak lumayan. Biasanya setiap tahun jumlah permintaan semakin meningkat. Selain telah mempunyai pelanggan tetap, ada juga pelanggan baru," katanya yang menjual hamper serendah RM6.

Jelasnya, pelanggan juga boleh meletakkan bajet untuk hamper yang dingini mereka.

"Kami tidak meletakkan harga, sebaliknya kami membuat hamper ini mengikut peruntukan yang diberikan pelanggan.

"Jadi tiada istilah mahal memandangkan hamper yang dijual mengikut kemampuan dan permintaan mereka," katanya.

Kualiti produk

Dalam memastikan setiap hamper yang dijual memberi kepuasan kepada pelanggan, baik Lan mahu pun Sheila sentiasa menitik beratkan kualiti produk mereka.

Ujar Lan, biasanya mereka akan memuatkan barangan seperti kuih tat, biskut, popia mini dan kek lapis dalam hamper yang dijual.

"Kuih, biskut dan kek lapis ini pula kami tidak beli di pasar raya mahu pun kedai-kedai biasa sebaliknya, kami pastikan ia adalah 'home made'.

"Bukan sahaja ia lebih sedap tetapi juga tahan lama. Lagi pun, kami tidak mahu pelanggan merungut dan mengatakan kami hanya mementingkan keuntungan sahaja. Biarlah kualiti dan nama perniagaan kami seiring," katanya yang juga menerima tempahan bagi majlis perkahwinan dan majlis korporat.

Cari rezeki lebih

Mengakui keluarga semakin besar dengan kehadiran Amna, Lan berkata, sebagai bapa, tanggungjawab terhadap keluarga terletak di bahunya.

"Walaupun hanya memiliki dua orang anak tetapi saya perlu bersedia awal. Lagi pun, perbelanjaan kini agak besar berbanding dahulu.

"Jadi, perniagaan ini sedikit sebanyak meringankan bebanan kami. Selain daripada mencari rezeki lebih, kami juga dapat menggunakannya untuk kedatangan Syawal nanti.

"Bagaimanapun, rezeki yang ada perlu dikawal dan digunakan dengan sebaik mungkin, bimbang berlaku pembaziran pula nanti," katanya gembira kehadiran orang baru membawa lebih keberkatan.

Tak cukup rehat

Ditanya bagaimana Lan membahagikan masa antara komitmennya sebagai penyanyi, bidang perniagaan dan keluarga, ujar Lan, dia bertuah kerana Sheila banyak membantu menguruskan perjalanan hariannya.

"Kalau ikutkan memang sibuk. Selain daripada undangan berbuka puasa dan persembahan bersama Kristal di bulan Ramadan, saya juga perlu menguruskan keluarga dan perniagaan.

"Bagaimanapun, Sheila biasanya akan memastikan jadual saya disusun dengan rapi. Jadi, saya tak perlu terkejar-kejar. Kalau ada hal yang penting barulah saya beri keutamaan. Selebihnya, fokus tetap kepada keluarga," katanya.

Jelas Sheila pula, ada kalanya mereka tidak cukup rehat kerana terpaksa menyiapkan hamper yang ditempah.

"Nasib baik keluarga ada membantu menjaga anak-anak. Kalau tidak lagi kelam kabut jadinya.

"Bayangkan, selain menguruskan aktiviti Lan, saya perlu memastikan hamper yang ditempah siap dalam masa yang ditentukan. Kadang-kadang tak tidur malam dibuatnya," jelas Sheila.

Remaja mengaku bersalah rogol kanak-kanak

Posted: 06 Aug 2012 06:42 PM PDT

Remaja mengaku bersalah rogol kanak-kanak
Remaja berkenaan dibawa keluar dari mahkamah semalam selepas pengakuan salahnya.

KOTA BHARU-Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Bemban, Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun 11 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bemban, jam 4 petang, 20 Mei lalu.

Remaja lelaki itu dihadapkan di depan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor dengan ditemani ibunya sebagai penjaga.

Remaja itu yang merupakan pesalah juvana membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nabilah menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 namun Muhamad Hafiz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 selepas ibu tertuduh memohon jaminan dikurangkan dan berjaya meyakinkan mahkamah mereka dapat hadir pada tarikh ditetapkan.

"Saya memohon wang jaminan dapat dikurangkan kerana suami saya hanyalah seorang buruh binaan dengan pendapatan RM1,500 sebulan, manakala saya hanya seorang suri rumah yang tidak bekerja.

"Saya berjanji akan memastikan anak saya hadir setiap kali dikehendaki mahkamah," katanya. Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan kes tersebut.

Hajat Amy Search kesampaian

Posted: 06 Aug 2012 06:41 PM PDT


AMY SEARCH (dua dari kanan) meluangkan masa membaca al-Quran bersama pelajar tahfiz yang dijemput pada majlis berbuka puasa anjurannya di Surau Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Sabtu lalu.


KATA Amy Search, dia sudah lama memendam hasrat untuk mengadakan majlis berbuka puasa, tahlil dan doa selamat bersama pelajar tahfiz dan anak-anak yatim di kampung kelahirannya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.

Niat suci yang tersemat di sanubari itu akhirnya termakbul juga apabila Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman berjaya mengumpulkan 70 pelajar tahfiz dari Madrasah Al-Quran Sinaran Baru Kempas dan 30 orang anak yatim Kampung Bakar Batu Sabtu lalu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi apabila impian saya terlaksana. Sebelum ini saya selalu menganjurkan majlis yang sama di ibu kota, tapi pada tahun ini, saya ingin lakukan di kampung saya," katanya.

Turut mengiringi Amy pada hari berkenaan ialah isterinya Nourish; ibunya, Fatimah Idris, 85, kakak sulungnya Azizah, 55, sanak saudara dan penduduk setempat.

Usai solat Asar secara berjemaah, Amy bersama hadirat yang lain mengalunkan bacaan al-Quran.

Pada majlis yang berlangsung penuh sederhana tetapi terkesan dilimpahi rahmat, Amy turut mengambil peluang menyumbang duit raya dan memberi sumbangan berupa keperluan harian pelajar tahfiz Madrasah Al-Quran Sinaran Baru.


AMY turut menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit yang dikumpul bersama teman-temannya kepada anak yatim dan pelajar tahfiz yang hadir.


"Sumbangan ini sebenarnya bukan datang daripada saya seorang, tetapi dikongsi bersama dengan rakan-rakan saya yang lain," ujarnya dengan wajah penuh kelegaan.

Vokalis Search yang kini berusia 54 tahun itu turut memberitahu, setiap kali Ramadan, benaknya tidak lari daripada memikirkan tentang arwah bapanya yang sudah bertahun pergi menemui Ilahi.

Akuinya, kelunakan dan kesyahduan paduan suara anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz membacakan tahlil membuatkan Amy tersentuh seketika.

Pada majlis yang sama, pelantun lagu Fantasia Bulan Madu itu yang tidak bergiat aktif dalam dunia seni ketika bulan puasa turut dikejutkan dengan sambutan hari jadinya yang ke-54.

Kata isterinya, sepatutnya sambutan diadakan pada minggu lalu iaitu pada tarikh ulang tahunnya, 28 Julai lalu, namun mereka tidak berkesempatan berbuat demikian. Justeru, dia mengambil kesempatan dan berharap berkat majlis keagamaan yang dianjurkan akan menjadi satu momen sambutan ulang tahun yang terbaik buat Amy.

Bagaimanapun, menurut Amy, dia tidak kisah kerana sambutan hari lahirnya disambut pada bulan Ramadan yang mulia ini dengan cara yang lebih diberkati oleh Allah SWT.

Teruja

Rasa keriangan dan keterujaan Amy sebenarnya turut dikongsi bersama seluruh pelajar tahfiz dan anak-anak yatim yang menjadi tetamu khas penyanyi legenda tanah air itu.


SOKONGAN. Amy bersama kaum keluarga, termasuk ibunya, Fatimah Idris (dua dari kanan) bergambar selepas majlis tamat.


Salah seorang tahfiz, Mohd. Ali Khalid, 14, berkata, dia tidak sangka dapat berjumpa dengan selebriti tersohor itu.

"Kami satu madrasah sangat gembira berjumpa dengan abang Amy dan kami bersyukur kepada Allah kerana telah membuka pintu seorang hambanya memberi sumbangan kepada madrasah kami di Kempas, Johor Bahru," katanya yang meminati lagu Isabella.

Malah dalam reaksi ringkas tenaga pengajar madrasah itu, Ustaz Mohd. Ali Mohd. Amin, dia memuji inisiatif penyanyi itu yang tidak lupa melunaskan tanggungjawabnya sebagai umat Islam.

"Ia satu langkah yang baik dan berharap ia mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa," ujarnya.

Sementara itu seorang kanak-kanak dari Kampung Bakar Batu, Amira Mardi, 14, begitu ceria mendapat sumbangan duit raya dan dapat bergambar dengan Amy.

Justeru, kata Amy, jika tiada aral melintang, dia berhasrat untuk memahat majlis seumpama itu dalam kalendar tahunannya.

Ditanya bagaimana sambutan raya artis rock terkenal ini? Kata Amy, segalanya serba-serbi sederhana.

"Saya akan menyambut hari raya dan berada awal di Kampung Bakar Batu sebelum bergerak beraya di rumah keluarga isteri kesayangan saya di utara Semenanjung," katanya.

Mahu lebih dikenali

Posted: 06 Aug 2012 06:39 PM PDT



BERADA di tingkat tertinggi kediaman mewah The Binjai On The Park, KLCC untuk menyaksikan pembikinan klip video single terbaharu Sabhi Saddi, berjudul Waktu sangat mengujakan.

Pembikinan klip video yang berlangsung di dua buah kediaman mewah masing-masing bernilai RM20 juta dan RM50 juta bersama pelakon baharu, Siti Aishah Ilias itu diselangi dengan jenaka Sabhi apabila dia diperlukan menangis untuk menghayati lirik lagu berkenaan.

Dia juga berjenaka apabila namanya sukar disebut oleh beberapa wartawan dan kru penggambaran.

"Panggil sahaja saya Sabhi, memang itu nama betul saya, bukan nama glamor atau buatan untuk jadi artis," jelasnya memberi penerangan.

Sabhi mula dikenali menerusi lagu Nadiku yang pernah menjadi salah sebuah lagu tema drama Tari Tirana menerusi slot Lestari.

Percubaan kedua pula, Sabhi muncul dengan singlenya menerusi lagu Tanpa Mu yang turut dimuatkan sebagai salah satu lagu tema filem Nur Kasih.

Sabhi terus mengukir nama apabila lagu ciptaan Alfred Teo dendangannya, Waktu menjuarai pertandingan juara RTM- AmBank Cipta Lagu. Lagu itu kini menjadi single terbaharunya.

Sayangnya, nama Sabhi masih gagal memikat hati pendengar. Biarpun lagu-lagunya diputarkan di radio, namun tuan punya badan belum begitu dikenali. Sabhi bagaimanapun mengakui dia tidak pernah kesal apabila kurang dikenali peminat seni.

Tambat hati

Ini kerana, berbanding di Malaysia, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini lebih popular di Indonesia.

Dia menjadi popular di sana selepas mengeluarkan dua single dalam satu masa iaitu Seperti Dulu Lagi dan Nadiku yang telah banyak dipromosi di negara seberang itu.

"Lagi pun, kedua-dua lagu itu saya nyanyikan bersama penyanyi Indonesia iaitu Helena untuk lagu Tanpamu dan Vienna Fridiana bagi lagu Seperti Dulu Lagi. Mungkin sebab itu saya lebih dikenali di sana," jelasnya.

Sabhi memberitahu, dia lebih mempromosikan lagu-lagu berkenaan di Indonesia berbanding negara sendiri disebabkan permintaan di sana terlalu tinggi.

"Saya ada banyak jemputan di sana, jadi sukar untuk menolak. Bagi saya peluang itu mungkin datang sekali sahaja dalam hidup sebab itu saya tumpukan promosi lagu di sana sahaja ketika itu," jelasnya.

Disebabkan itu, melalui lagu Waktu, dia berazam untuk menambat hati peminat di tanah air sendiri.

MUNCUL dengan single terkini, Waktu, Sabhi Saddi bernekad untuk lebih menonjolkan diri supaya dapat menambat hati peminat.


"Saya akan lebih menonjol selepas ini. Saya juga rasa saya perlu menghadiri lebih banyak majlis dan memenuhi jemputan yang diberi kepada saya," ujarnya.

Buang sifat pemalu

Penyanyi yang sebenarnya pernah menjadi penari kepada Adam AF ketika program Akademi Fantasia 2, turut mendedahkan bahawa dirinya sebenarnya adalah seorang yang pemalu dan tidak pandai membawa diri.

Disebabkan itu juga, dia kurang menghadiri majlis-majlis bersama wartawan dan tidak menonjolkan diri.

"Sekarang saya sedar bahawa halangan itu yang membuatkan saya kurang dikenali, jadi selepas ini, saya perlu langgar halangan itu untuk lebih maju," jelasnya yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik.

Bagaimanapun, ia bukan lesen buat Sabhi menayangkan muka dalam semua majlis. Katanya ringkas: "Memang saya mahu lebih dikenali selepas ini, tetapi saya juga tidak mahu orang muak melihat muka saya di mana-mana. Jadi, saya akan menghadiri majlis yang memang perlu saya hadiri."

Boy

Sebenarnya, sebelum nama Sabhi Saddi dikomesialkan, segelintir peminat mengenalinya dengan gelaran Boy. Nama itu digunakan sewaktu dia bersama kumpulan lamanya, Esdeco.

Ketika itu muzik yang dibawa Sabhi merupakan lagu rancak dan memerlukan dia menari. Bersama Esdeco, dia sempat merakamkan single berjudul Sayang Giler untuk filem Cicak Man 2.

"Berbanding dahulu, sekarang saya mahu memperjuangkan muzik R&B sebab jiwa saya sebenarnya meminati muzik ini. Jadi saya mahu tumpu kepada genre ini agar peminat tidak keliru dengan haluan muzik saya," jelasnya.

Dia merasakan dirinya lebih serasi dengan irama R&B. Namun, dia tidak akan mengecewakan permintaan peminat yang pernah mengenalinya sebagai Boy satu ketika dulu yang mahu lagu-lagu bercorak tarian.

"Saya kini telah mengumpulkan bahan untuk album penuh nanti, mungkin ada lagu rancak khas untuk peminat yang rindukan Boy," tambah anak kelahiran Sandakan, Sabah ini.

Stacy

Bagi Sabhi, pendapat sesetengah pihak bahawa penyanyi kelahiran Sabah dan Sarawak tidak mendapat tempat di hati peminat Semenanjung Malaysia tidak dapat diterimanya. Menurutnya, penerimaan itu berbeza mengikut pendengar dan dia tidak melihat itu sebagai sebab dia tidak begitu dikenali walaupun telah mengeluarkan beberapa single hit.

SABHI menolak isu diskriminasi penyanyi kelahiran Sabah dan Sarawak dengan penyanyi dari Semenanjung.


"Saya menolak dakwaan tersebut. Lihat sahaja penyanyi seperti Stacy dan Salma yang mendapat tempat di hati peminat. Bagi saya pendapat penyanyi kelahiran negeri Sabah dan Sarawak kurang diminati dan tidak mendapat tempat itu tidak benar," ujarnya.

Tambah Sabhi, bagaimana seseorang artis membawa diri itu penting dan penerimaan pendengar mengenai lagu yang dibawa adalah berbeza.

Katanya: "Kalau Stacy, dia banyak dapat tawaran membuat persembahan di Kuala Lumpur dan Sabah. Berbeza dengan saya, saya banyak dapat jemputan di Kuala Lumpur berbanding di sana."

Berdasarkan itu, dia merasakan tidak wujud masalah diskriminasi terhadap penyanyi kelahiran Sabah atau Sarawak dengan kejayaan dan kemasyhuran yang telah dibawa oleh Stacy.

Putus cinta

Setelah putus cinta hampir setahun lalu dengan penyanyi Indonesia, Vienna Fridiana yang pernah berduet dengannya menerusi lagu Seperti Dulu Lagi, Sabhi kini tidak mahu tergopoh-gapah untuk menemui cinta lagi.

Baginya, buat masa sekarang, dia perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya dan ingin menambat hati peminatnya dengan lagu-lagu yang indah.

"Mungkin kami tiada jodoh, lagi pun bercinta jarak jauh ini susah dan banyak halangannya. Lebih baik sekarang, saya mahu tumpu kepada kerjaya dahulu," jelasnya.

Penyanyi berusia 28 tahun ini meletakkan sasaran dua tahun lagi untuk berumah tangga. Nnamun, jika bertemu jodoh lebih awal juga dia menyerahkan perkara itu kepada takdir.

"Itu hanya sasaran saya, sekarang hendak tumpu kepada karier tetapi jika bertemu jodoh awal, saya terima," katanya.

Obses berkebun, Aamir beli 22 rumah

Posted: 06 Aug 2012 06:34 PM PDT


AAMIR KHAN


OBSESI Aamir Khan untuk menjadi petani seperti memang tak terbendung lagi. Buktinya, dia rela membeli 22 buah rumah sekali gus hanya untuk mewujudkan cita-citanya itu.

Menurut laporan One India, bintang Bollywood tersebut telah membeli 22 buah rumah di kawasan Shahabad, Hardoi. Awalnya, rumah-rumah itu adalah milik pak ciknya, Nassir Hussain.

"Ini (beli rumah) memang keputusan yang sentimental. Saya memang jarang menghabiskan waktu walaupun ramai saudara saya tinggal di Shahabad."

"Jadi, sewaktu mendengar pak cik saya mahu menjual rumah kerana mereka mahu berpindah, saya terus membelinya," ujar Aamir.

Selain membeli rumah tersebut kerana alasan ia mempunyai kaitan keluarga, aktor tersebut menyifatkan Shahabad sebagai kawasan yang sesuai dijadikan lokasi pertanian. Kawasan yang luas dan keadaan tanah yang subur menjadi alasannya.

Ujarnya: "Saya pernah memberitahu dan berjanji bahawa satu masa, saya akan menjadi seorang petani. Kawasan yang saya beli itu memang sangat ideal untuk tujuan bertani."

Budak korban pemujaan keluarga

Posted: 06 Aug 2012 06:31 PM PDT


ENAM suspek wanita dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas direman semalam.


BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati akibat ditindih lapan ahli keluarganya termasuk seorang amah Indonesia ketika melalui satu upacara pemujaan di rumahnya di Taman Bukit Minyak di sini malam kelmarin.

Kejadian tersebut disedari bapa saudara mangsa yang secara kebetulan berkunjung ke rumah itu pada pukul 10 malam.

Saksi yang curiga melihat pintu utama rumah tersebut tidak berkunci segera naik ke tingkat atas rumah yang menempatkan bilik tidur utama.

Apabila lelaki berkenaan mendapati pintu bilik itu berkunci dan penghuni yang berada di dalam enggan membuka pintu dia segera memaklumkan perkara tersebut kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab. Lah berkata, polis yang menerima laporan daripada bapa saudara mangsa yang mengesyaki sesuatu perkara pelik berlaku di rumah dua tingkat yang diduduki keluarga berkenaan terus menghantar pasukan penyiasat.

"Sebaik tiba di rumah berkenaan, polis mendapati keadaan rumah tersebut gelap dan apabila pemeriksaan dilakukan polis menemui lapan individu berada dalam keadaan sudah lemah di bilik utama yang berkunci.

"Pemeriksaan kemudian menemui seorang kanak-kanak perempuan berketurunan Cina yang sedang ditindih oleh kesemua lapan individu berkenaan dan mangsa sudah mati," kata beliau sambil memberitahu mangsa dan lapan individu itu ditemui berada dalam satu selimut besar.

Tempah tiket sebelum 10 Ogos

Posted: 06 Aug 2012 06:29 PM PDT


ORANG ramai dinasihatkan supaya menempah tiket untuk pulang berhari raya lebih awal untuk memudahkan pengusaha menyediakan bas tambahan yang secukupnya.


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) meminta orang ramai yang ingin pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi belum mendapat tiket supaya membuat tempahan di kaunter-kaunter tiket bas ekspres sebelum 10 Ogos ini.

Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, perkhidmatan bas tambahan akan disediakan oleh pengusaha bas ekspres berdasarkan tempahan yang dibuat oleh orang ramai.

"Semua orang boleh balik untuk menyambut hari raya dan mereka yang belum dapat tiket, pergi ke kaunter dan buat tempahan supaya pengusaha dapat menyediakan bas tambahan.

"Berdasarkan tempahan juga, pengusaha bas ekspres masih boleh mengatur semula perjalanan bas mereka dengan menambah bilangan perjalanan ke mana-mana destinasi," katanya ketika dihubungi semalam.

Kambing rosemary beriani Muar

Posted: 06 Aug 2012 06:27 PM PDT

BERIANI kambing menu istimewa yang ditawarkan di JM Bariani.


SEPINGGAN nasi beriani gam ayam dengan ayam masak merah, acar buah dan kambing goreng rosemary melengkapkan iftar pada bulan Ramadan.

JM Bariani House Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Seksyen 18, Subang Jaya dan 17 cawangannya di sekitar Lembah Klang dan Wilayah Perseketuan menawarkan hidangan beriani dengan pelbagai pilihan lauk-pauk seperti kambing, ayam dan daging. Antara menu sampingan yang turut disediakan di setiap cawangan ialah ayam masak merah, sayur, mi bandung, kuih-muih, rojak, tauhu bakar dan minuman air sirap bandung soda.

Beroperasi sejak tahun 1993 di Subang Jaya selaku cawangan pertama JM Bariani, empayar masakan beriani Johor dari Muar ini cukup terkenal dalam kalangan penggemar beriani asli.

Pengarah Urusan JM Bariani, Zulkarnain Mustapa berkata, bersempena bulan Ramadan, JM Bariani memperkenalkan hidangan istimewa iaitu kambing goreng rosemary dengan sos rosemary. "Lazimnya kambing dipanggang atau dimasak kari, tetapi buat pertama kali JM Bariani memperkenalkan resipi baharu iaitu kambing goreng rosemary. Ia merupakan satu lagi resipi menggunakan rempah-ratus asli dan bermutu," kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Harga bagi sepinggan kambing goreng rosemary untuk dimakan empat hingga lima orang dijual pada harga RM18.50 manakala makanan signatur JM Bariani iaitu beriani gam pula antara RM13.70 dan RM18 sepinggan.


ORANG ramai berpeluang menempah makanan berbuka secara bufet di JM Bariani di Subang Jaya.


Bagi memudahkan penjadualan, JM Bariani mengkhususkan hari Rabu untuk beriani gam ayam dan hari Sabtu untuk beriani gam kambing. Di Subang Jaya, JM Bariani turut menyediakan makanan secara ala carte seperti pelbagai jenis nasi goreng dan mi goreng.

Sungguhpun restoran ini berkonsep ala carte, JM Bariani juga menerima tempahan untuk berbuka secara bufet. Harga yang ditawarkan ialah antara RM25 hingga RM40 bergantung kepada jumlah menu hidangan yang ditempah.

Namun, hidangan bufet ini terhad di tingkat atas cawangan ibu pejabat JM Bariani di Subang Jaya sahaja.

Zulkarnain menambah, sempena Aidilfitri, JM Bariani turut menjual biskut raya buatan sendiri. Ia boleh didapati di Subang Jaya.

Biskut tersebut dihasilkan oleh keluarga Zulkarnain di Muar. Antara biskut yang menjadi pilihan pelanggan ialah tat nanas dan semperit. Biskut-biskut raya ini dijual pada harga antara RM18 hingga RM22.

Outlet-outlet JM Bariani beroperasi seperti biasa dari pukul 12 tengah hari hingga 9.30 malam sepanjang bulan Ramadan.

Untuk mengetahui lokasi-lokasi JM Bariani atau membuat tempahan boleh melayari laman web www.jmbariani.com.

Muzium minyak wangi terbaik dunia

Posted: 06 Aug 2012 06:25 PM PDT


KUASA minyak wangi pada zaman dahulu lebih kepada spiritual.


"DI sinilah tersimpannya warisan kebanggaan kami, tempat koleksi haruman chypre dari tahun 1917," ujar Yves Tanguy, pemegang kunci bilik bawah tanah itu sambil mencelup kertas keras ke dalam bebuli minyak wangi yang merupakan satu antara ribuan khazanah unik di muzium minyak wangi di Paris, Perancis itu.

Haruman zaman dahulu ciptaan Francois Coty yang masyhur pada eranya bersama wangian abad ke-14, Water of the Queen of Hungary dan air dakelom (water cologne) yang digunakan Napoleon Bonaparte ketika berada dalam buangan di Saint Helena pada tahun 1815 juga boleh ditemui di Muzium Osmotheque.

Gabungan perkataan Yunani, osme yang bermaksud wangian dan theke bererti dada membentuk Osmotheque yang ditubuhkan oleh Jean Kerleo dan dipengerusikan oleh Patricia de Nicolai. Kerleo merupakan bekas pencipta minyak wangi di Patou, manakala Nicolai ialah waris kepada rumah minyak wangi terkemuka Guerlain.

Hanya individu terpilih mempunyai akses untuk masuk ke bilik persendirian yang memuatkan kira-kira 2,500 minyak wangi paling jarang ditemui.

Setiap minyak wangi di muzium itu dikelaskan mengikut nombor dan jenis. Botol-botol haruman pula disimpan di sebalik pintu bertetulang di dalam bilik bawah tanah berkeluasan beberapa meter persegi. Cahaya buatan dan suhu stabil 13 darjah celsius mengekalkan kualiti minyak wangi tersebut.

"Kesemua haruman ini adalah permata kami. Hampir 400 haruman yang kami lindungi merupakan wangian daripada masa lampau atau yang tidak lagi ada dalam pasaran.

"Kami mencipta semula 175 minyak wangian menggunakan formula asli. Wangian yang dikembalikan termasuk haruman Barat berasaskan alkohol pertama di dunia menggunakan rosemary iaitu Water of the Queen of Hungary. Ia pertama kali dihasilkan pada tahun 1370 menggunakan teknik penyulingan yang dipelajari daripada orang Arab," jelas Tanguy.


ORANG awam berpeluang melihat pameran minyak wangi dan mendengar penerangan mengikut topik yang menarik pada waktu tertentu.


Pada waktu dahulu, minyak wangi dicipta untuk memabukkan si pemakai. Terdapat kisah mengatakan ia memiliki kuasa penawar bagi mengembalikan keremajaan seorang permaisuri sehingga membolehkan beliau dilamar dan berkahwin dengan Raja Poland pada usia 75 tahun.

Napoleon Bonaparte pula dipercayai memerlukan 120 liter minyak wangi setiap bulan. Beliau menggosok haruman pada tubuhnya dan menyimpan botol wangian itu di dalam butnya.

Selepas dibuang negeri ke pulau Atlantik di Saint Helena pada penghujung riwayatnya, Bonaparte memohon preskripsi untuk membuat dakelom menggunakan herba-herba di pulau tersebut. Kesemua ciptaan Bonaparte kini juga dihasilkan semula dan disimpan di Osmotheque.

Minyak wangi di muzium itu bukan untuk dijual dan kesemua 200 bekas sentiasa berisi sampel-sampel yang dibawa Kerleo dan Tanguy dari serata dunia. Ia merupakan hasil pemberian rumah-rumah minyak wangi mewah dan pencipta haruman itu sendiri.

Pada waktu tertentu, Osmotheque dibuka kepada orang awam bagi mengikuti ceramah dan penerangan tentang minyak wangi pada era tertentu yang ditetapkan berdasarkan tema.

Bagi menguruskan muzium tersebut, Kerleo telah mengumpulkan pangkalan data olfaktori bersama-sama sekumpulan pakar minyak wangi. Kumpulan tersebut ditugaskan untuk mengenal pasti formula haruman purba dan ramuan wangian yang jarang ditemui atau kini diharamkan penggunaannya.

Sebagai contoh, bendalir seperti musk yang dihasilkan daripada kelenjar perineum musang Afrika. Esen mamalia seperti kucing yang mula digunakan dalam dunia minyak wangi lebih 2,000 tahun dahulu itu kini tidak lagi dibenarkan.


MINYAK wangi yang telah pupus sejak berabad lama dicipta semula dan disimpan di muzium ini.


Bijian musk Tibet yang diambil daripada kelenjar kijang jantan kasturi (musk deer) juga kini diharamkan selepas diumumkan di persidangan perdagangan antarabangsa dalam kategori spesies terancam.

Menurut Kerleo, tanpa bijian itu tiada minyak wangi hebat Chanel dapat dihasilkan.

Kedua-dua pati bersejarah tersebut disimpan dengan selamat di bilik bawah tanah Osmotheque. Bahagian atas muzium pula menempatkan barisan botol-botol wangian berserta ramuan-ramuan menyerupai bentuk organ (alat muzik).

"Ini merupakan papan kekunci pakar minyak wangi," ujar Kerleo sambil menunjukkan botol-botol yang disimpan sebaris dengan rak berlubang kecil berisi lumut oak, halia, kemenyan harum atau herba pokok nilam.

Novel Barbara inspirasi hidup masyarakat Kelantan

Posted: 06 Aug 2012 06:21 PM PDT



BERCAKAP mengenai wayang kulit, ternyata kebudayaan yang wujud lebih 1,000 tahun dahulu diasimilasi secara berperingkat dari beberapa negara, sebelum ia meresap ke dalam budaya masyarakat Melayu.

Wayang kulit Melayu yang agak popular di Malaysia rata-ratanya adalah dari pantai timur Malaysia dengan kebanyakan mempunyai ciri dan sentuhan Siam.

Antaranya ialah wayang kulit Kelantan atau lebih dikenali sebagai wayang kulit Siam. Ia dikatakan berasal dari Kemboja dan dibawa masuk melalui Patani, selatan Thailand.

Dasarnya, kisah-kisah yang dipersembahkan adalah berdasarkan Hikayat Ramayana dan penglipur lara tempatan dan disampaikan menggunakan loghat Kelantan. Antara watak penting ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.

Sebagai negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, Kelantan mempunyai persamaan dari segi elemen kebudayaan, sosial dan sesetengahnya memiliki loghat serta gaya hidup masyarakatnya.

Kekayaan budaya Kelantan

"Berdiri sebagai sebuah negeri yang khusus, Kelantan kaya dengan kerja kraf, seni, makanan dan bahasa yang sangat unik. Tidak ketinggalan wayang kulit dan lain-lain seni persembahan yang menjadikan warga Kelantan bangga dengan siapa diri mereka," kata seorang penulis buku bersiri misteri Shadow Play, Barbara Ismail dari Brooklyn, New York, Amerika Syarikat.

Wanita berdarah Inggeris itu menjadi saksi kepada beberapa persembahan wayang kulit di Kelantan, khususnya Kota Bahru pada era tahun 1970-an hingga 1980-an.

Tergerak hati untuk membukukan memori tersebut, novel beliau bukan sahaja diolah seperti kisah misteri ala Sherlock Holmes, bahkan menyentuh kehidupan masyarakat Kelantan terutamanya wayang kulit.

Dalam novel itu, Barbara tampil dengan siri penyiasatan penuh misteri membabitkan watak Maryam, seorang penjual kain songket di pasar Kota Bharu.


BARBARA (paling kanan) bersama kedua-dua anak perempuannya, Ariell (tengah) dan Jerushah di New York.


Mungkin agak luar biasa untuk menceritakan bagaimana seorang wanita yang menjual kain di pasar menjadi penyiasat dalam membantu polis menyelesaikan sebuah pembunuhan melibatkan pemain wayang kulit.

Namun, Barbara ternyata bijak menggunakan watak-watak hidup yang ditemuinya di Kota Bahru dan memanipulasi secara bijak. Semua garapan penulisan itu adalah hasil daripada adaptasi diri beliau dalam kalangan penduduk tempatan.

"Saya belajar di Kolej Hamilton di New York dan menerima falsafah kedoktoran di Universiti Yale juga di New York. Pengenalan saya dengan wayang kulit buat pertama kali adalah ketika saya berada di Jawa semasa belajar dulu.

"Profesor saya, Doug Raybeck seorang antropologis yang belajar di Kelantan, mengajar saya bahasa Melayu," kata wanita itu melalui temu bual e-mel yang dilakukan baru-baru ini.

Fasih berbahasa Melayu tetapi dalam loghat Kelantan, Barbara terpengaruh dengan Raybeck dalam melanjutkan pendidikan mengenai wayang kulit Siam di Kelantan.

"Pertama kali saya menonton wayang kulit Siam, saya terus jatuh hati," katanya.

Ibu kepada dua orang anak, Jerushah, 25 dan Arielle, 21, itu amat mendalami penceritaan dan persediaan wayang kulit termasuk mempunyai hubungan rapat dengan tok dalang sehinggalah kepada para penonton tempatan.

Mengimbas pengalaman menonton wayang kulit, masih segar dalam kotak fikiran Barbara mengenai persembahan yang melarut hingga lewat malam itu.

"Ada orang yang melintas ulang-alik di hadapan tabir putih dan urusan jual beli snek serta kopi berlangsung di tepi pentas. Ada yang duduk, merokok, berbual-bual dan makan sewaktu persembahan itu. Ia seperti sebuah majlis keramaian," ujar beliau yang turut mendirikan rumah tangga dengan lelaki Melayu.


BARBARA (kiri) bersama salah seorang daripada jiran rapat yang dikenalinya selama lima tahun tinggal di Kelantan.


Wanita lebih berkuasa

Pemerhatian Barbara di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut berkisar mengenai pengaruh wanita. Wanita tempatan dilihat bukan sahaja cantik pada rupa, malah amat berkuasa. Laksana ketua dalam keluarga, peranan mereka merentasi kemahiran berniaga dan menjaga kebajikan ahli keluarga.

Beliau juga berpendapat, golongan lelaki pula digambarkan sebagai kurang reputasi dalam berniaga lantas lebih suka membantu isteri dan lepak di kedai-kedai kopi selepas bersara.

"Seperti watak utama novel saya, Maryam, wanita di Kelantan sangat berbakat, berani dan mampu berdiri di kaki sendiri tanpa bayang-bayang lelaki.

"Mungkin juga ia menjadi sebab mengapa Kelantan agak mendahului statistik perceraian kerana wanita-wanita tidak perlu bergantung kepada lelaki," katanya lagi sambil menambah bahawa pada tahun 1970-an, Kelantan agak ketinggalan dan terasing daripada bahagian barat Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan.

Keramahan dan kemesraan penduduk di Kelantan juga menambat hati Barbara dan dia berharap pada suatu hari nanti kedua-dua anak perempuannya dapat merasai pengalaman yang sama.

Budaya Melayu

Kisah yang dibawa dalam novel Barbara banyak dibantu oleh rakannya, Ijan Shaari.

"Dia membaca draf novel dan banyak membantu dalam penelitian penggunaan bahasa Melayu serta penerangan tentang budaya.

"Jiran saya di Kota Bharu yang ketika itu berusia 12 tahun, Ashikin Mohd. Ali, turut menawarkan bantuan dalam mendapatkan maklumat mengenai budaya dan orang Kelantan," ujarnya Barbara yang menetap sekitar lima tahun di Kelantan.

Barbara juga amat berterima kasih kepada ramai lagi orang perseorangan, jiran-jiran dan rakan-rakan beliau di Kelantan yang banyak membekalkannya dengan pengalaman yang indah tatkala di Kelantan.

"Bryn Barnard, seorang artis yang saya kenali sejak kami di Kelantan pada tahun 70-an, membaca draf dan memberi komen membina. Pengarang saya, Richard Lord, memberi idea dalam saya menjayakan novel ini, tidak dilupakan adik ipar, Shahmim Dhilawala, yang berkerja keras untuk novel ini," kata Barbara.

Wanita kulit putih yang lebih menyukai kehidupan fasa perlahan Kelantan berbanding New York itu turut menggambarkan kebudayaan orang Melayu khususnya di Kelantan.

"Orang Melayu amat menjaga hati orang lain dalam setiap tindakan dan percakapan. Di New York, kami cakap sahaja apa yang terlintas, tanpa memikirkan impak kepada orang lain. Pengalaman di Kelantan membuatkan saya lebih kemelayuan. Kini saya bercakap, makan, masak, bertindak, semuanya dipengaruhi resam Kelantan," katanya bangga.

Walaupun sudah sekian lama tidak melawat Kelantan, negeri itu menjadi kegemarannya di Malaysia memandangkan, dia masih mempunyai ramai kenalan di situ selain di Melaka dan Kuala Lumpur.

Merindui pemandangan semula jadi Kelantan dan makanannya seperti nasi dagang dan kek Kelantan, Barbara mengakui, rasa cintanya terhadap Kelantan sesuatu yang tidak dapat dipadam begitu sahaja dan akan terus dihidupkan melalui penulisan buku beliau.

"Saya masih ingat apabila balik ke rumah selepas menonton wayang kulit, segala-galanya gelap gelita. Apabila mendongak ke atas, saya dapat lihat awan yang cantik dipenuhi bintang-bintang.

"Tidak mungkin saya mendapat perkara yang sama di New York. Itu adalah kecantikan milik Kelantan," ujarnya.

Gadis Clinique penghias muka depan majalah

Posted: 06 Aug 2012 06:05 PM PDT


DARI kiri: Nina dan Belle diumumkan sebagai pemenang pencarian Gadis Clinique dengan kerjasama majalah Cleo dan Cosmopolitan.


CUACA panas pada tengah hari Sabtu baru-baru ini seperti tidak dipedulikan. Bahang matahari yang membakar tubuh orang ramai di Sunway Surf Beach, Sunway Lagoon, Selangor itu gagal membuat mereka berganjak daripada terus berendam di dalam air.

Menjelang pukul 3 petang, pengunjung kian ramai. Suasana gamat dengan beberapa persembahan pentas melibatkan bekas kumpulan tarian rancangan realiti Showdown, beatboxer ternama Malaysia, Shawn Lee dan penyanyi, Dayang Nurfaizah serta Diddy.

Kesemua persembahan itu adalah sebahagian daripada slot bagi Summer in Clinique 2012. Deretan kios menawarkan pelbagai aktiviti dilihat tidak putus-putus didatangi pengunjung.

Kios yang paling mencuri tumpuan sudah tentu bahagian solekan. Para gadis dirias oleh jurusolek profesional Clinique menggunakan produk-produk jenama kecantikan itu. Selepas wajah siap disolek, mereka dibawa ke kaunter fotografi dan gambar tersebut diberi kepada mereka sebagai cenderahati.

Pakar solekan Clinique, David Ooi, 36, memberitahu, fokus mereka pada hari itu terletak pada penjagaan kulit. Menurut David, kulit bersih memerlukan solekan yang baik.

"Kita memilih tema asli atau natural, warna-warna ceria yang tidak terlalu berkilat dan boleh dipadankan dengan apa jua pakaian.

"Solekan asli ditekankan memandangkan alat solek yang kita gunakan dicipta khusus untuk kulit wanita Asia berdasarkan cuaca dan jenis kulit yang golongan ini miliki," terang David yang sudah empat tahun bersama Clinique.

Gadis Clinique

Perjalanan acara tersebut tidak berakhir di situ. Gadis yang mahu mencuba nasib menjadi penghias kulit (cover girl) bagi majalah Cleo dan Cosmopolitan diminta menjalani sesi temu duga bersama editor dua majalah tersebut.

Berdasarkan temu duga, personaliti dan paras rupa, dua gadis bertuah diumumkan sebagai pemenang pada lewat petang hari berkenaan.

Mencari seorang gadis istimewa dan bukan sekadar sederhana, Cleo tanpa ragu-ragu memilih Belle Loh Mun Jheng, 20, sebagai gadis muka depan majalah mereka.

Kebijaksanaan dan sifat ceria pelajar tahun satu diploma Pengiklanan di Kolej IACT, Petaling Jaya, Selangor itu menjadi kelebihan baginya bersinar berbanding yang lain.


SUMMER in Clinique 2012 diadakan penuh meriah di Sunway Lagoon.


"Saya tidak meletakkan harapan untuk menang kerana ini kali pertama saya menyertai pertandingan sebegini. Maklumat pertandingan ini pun saya tahu daripada seorang teman dan saya memutuskan untuk mencuba sebagai proses pencarian pengalaman," ujar Belle.

Memilih senyuman sebagai anugerah terindah pada paras rupanya, Belle menyatakan untuk menjadi cantik, seseorang itu perlu menjadi diri sendiri dan yakin dengan penampilan yang dibawa.

"Mereka yang masih muda tidak memerlukan solekan tebal untuk menyerlahkan kecantikan. Alat solek boleh menutup cela, namun sekiranya anda tidak memiliki keyakinan, ia tidak berguna," ujar gadis yang amat meminati penyanyi Yuna dan Zee Avi itu.

Saintis ambisi Nina

Pemegang gelaran cover girl Cosmopolitan pula disandang, Nina Azrah Razali, 21.

Dia meluahkan rasa syukur kerana usahanya selama ini berbaloi. Impian menghiasi kulit hadapan majalah tersebut telah tertanam dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi.

Berbekalkan ketinggian 165 sentimeter dan wajah perempuan Melayu asli, tuah yang berpihak kepadanya itu dianggap sebagai pintu utama terjun ke dalam dunia peragaan.

"Saya tidak bercadang untuk menjadi model sepenuh masa dan mahu menjadikannya sebagai lapangan sambilan. Cita-cita saya masih teguh untuk menjadi seorang saintis.

"Tujuan saya mengikuti pertandingan seperti ini adalah untuk mengutip pengalaman dan mencabar diri mencuba sesuatu di luar jangkaan. Alhamdulillah keluarga terutamanya ibu bapa menyokong semangat saya," kongsi pelajar tahun tiga jurusan Sains Alam Sekitar di Universiti Monash, Sunway itu.

Misi kayuhan emas

Posted: 06 Aug 2012 05:47 PM PDT

MOHD. AZIZULHASNI AWANG giat meneruskan latihan di Velodrom Olimpik di London semalam.


LONDON – Selepas Malaysia dikecewakan dengan kegagalan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada perseorangan akhir acara itu kelmarin, kini tanggungjawab membawa pulang emas sulung negara dalam temasya Olimpik digalas oleh Mohd. Azizulhasni Awang.

Pelumba basikal negara itu bakal turun membawa cabaran Malaysia menerusi acara keirin yang juga acara kegemarannya di Velodrom Olimpik hari ini.

Jika memenangi emas, Azizulhasni, 24, bakal menerima ganjaran RM2 juta iaitu wang tunai RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM1 juta dan serta RM1 juta lagi yang disumbangkan oleh sebuah syarikat perabot, 3V Holdings Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, atlet selain acara badminton tidak akan mendapat jongkong emas bernilai RM2 juta yang ditawarkan oleh Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).

Anak kelahiran Terengganu yang lebih terkenal dengan jolokan The Pocketrocketman itu sememangnya dihormati lawan dengan kelebihannya membuat pecutan sebelum garisan penamat.

Sewaktu menyertai temasya Olimpik di Beijing pada tahun 2008, Azizulhasni yang pada waktu itu menjadi pembawa bendera perarakan kontinjen Malaysia sekadar memperoleh tempat kelapan dalam acara pecut dan ke-10 dalam keirin.

"Saya lebih bersedia untuk Olimpik kali ini. Di Beijing, saya hanya berusia 19 tahun, sekarang saya sudah ada lebih banyak pengalaman," katanya.

Hubungan Linda Hashim & Beego Semakin Rapat

Posted: 06 Aug 2012 02:54 AM PDT

Linda Hashim

PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim mengakui mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aktor Beego sejak kebelakangan ini, namun enggan mengulas status sebenar perhubungan mereka.

Linda berkata, persahabatan di antara dia dengan Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, sudah lama terjalin memandangkan mereka kerap bekerjasama dalam drama-drama yang dilakonkan sejak akhir-akhir ini.

"Saya selesa berkawan dengan dia dan kami dah lama kenal serta kerap berlakon bersama.

"Memandangkan dia adalah rakan saya, kami juga pernah keluar sama seperti teman-teman yang lain. Cuma diakui, sejak kebelakangan ini, hubungan kami lebih rapat.

"Bagaimanapun, saya enggan mengulas sama ada kami bercinta atau tidak. Kita lihat sahaja apa yang bakal berlaku nanti," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Pada Ahad, sebuah akhbar mingguan melaporkan bahawa Beego dan Linda dikaitkan menjalin hubungan cinta.

Kedua-dua mereka ditemui berpimpin tangan di sekitar Kota Damansara dekat sini dan gelagat pasangan tersebut dilihat begitu mesra.

Beego

Beego sebelum ini pernah dikaitkan dengan pelakon Rozita Che Wan.

Dalam pada itu, Linda yang baru sahaja selesai penggambaran telefilem Cinta Saedah bagi siaran TV3 itu turut mengakui bahawa hatinya sudah pun dimiliki, namun enggan mendedahkan siapakah lelaki bertuah itu.

Mengenai aktiviti di bulan Ramadan, tahun ini, Linda mengurangkan aktiviti lakonannya agar dapat menikmati ibadat puasa sebaik-baiknya selain dapat memenuhi undangan majlis berbuka.

Selain itu, Linda turut membantu kakaknya di butik "Erins n Erinas Sequiens" yang turut mengambil tempahan baju Hari Raya selain menghasilkan pelbagai rekaan pakaian untuk jenama fesyen sendiri.

"Sudah tiga tahun saya dan kakak menjalankan perniagaan tempahan baju di mana saya akan mereka pakaian yang diinginkan pelanggan dan ia akan dihantar ke tukang jahit kami. Kemudian kami juga akan menjahit manik pada baju yang ditempah tersebut," ujarnya.

Fahami penyakit ‘pembunuh senyap’

Posted: 06 Aug 2012 02:52 AM PDT

KHUSYUK...orang ramai mendengar penerangan mengenai bahaya hepatitis.
KHUSYUK...orang ramai mendengar penerangan mengenai bahaya hepatitis.

APA anda akan lakukan apabila diri selalu keletihan, mengalami gatal-gatal dan kekuningan pada kulit serta mata (jaundis) dan sakit atau kembung perut? Cara paling mudah pasti ke farmasi terdekat dan membeli ubat-ubatan yang disyorkan sesuai dengan masalah kesihatan berkenaan.

Itulah antara sikap yang ada dalam diri kita. Sentiasa mengambil ringan dan beranggapan 'tak apa' terhadap penyakit yang tidak menampakkan kesannya secara luaran.

  • Foto

    DR SHANMUGANTHAN....ramai orang tidak mengetahui mereka menghidap hepatitis.

  • Foto

    SUNTIK...berkongsi jarum suntikan di kalangan penagih dadah menyebabkan mereka berisiko tinggi menghidap hepatitis.

  • Foto

    TERSEBAR...seks rambang antara faktor penyebaran virus hepatitis.

  • Foto

    JAUNDIS...mata kekuningan antara tanda awal anda menghidap hepatitis.

Namun pernahkah anda terfikir masalah yang dianggap kecil itu berkemungkinan besar boleh mengakibatkan satu penyakit yang serius dan sukar dirawat?

Berdasarkan tanda di atas, jangan terkejut jika dinyatakan bahawa anda berisiko tinggi menghidap penyakit hepatitis. Perkataan ini mesti sudah biasa didengar, manakan tidak, menerusi pelbagai kempen dan iklan di media massa serta forum, bahaya penyakit ini banyak diperkatakan.Tetapi persoalannya, sejauh mana pemahaman anda mengenai penyakit yang dikategorikan sebagai pembunuh senyap ini?


Hepatitis adalah sejenis penyakit keradangan hati yang disebabkan oleh jangkitan virus. Setakat ini, terdapat lima jenis hepatitis dan paling lazim didengar dan dihidapi adalah hepatitis A, hepatitis B (HBV) dan hepatitis C (HCV).

Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Ganesananthan Shanmuganthan, berkata penyakit ini boleh hidup di dalam tubuh seseorang selama bertahun-tahun lamanya sebelum menimbulkan petanda atau gejala.

"Hepatitis A ialah jangkitan paling lazim bagi pelancong yang boleh dicegah dengan imunisasi. Selain itu, sebenarnya ramai orang sihat yang dijangkiti virus HBV atau HCV tetapi mereka masih belum dapat dikesan berikutan kesedaran mengenai penyakit ini secara keseluruhannya masih rendah.

"Lebih membahayakan lagi apabila HBV dan HCV boleh menyebabkan komplikasi lain yang serius seperti hepatitis kronik, sirosis serta kanser hati berbanding hepatitis A yang lebih mudah dirawat.

"Virus ini akan mengaktifkan sistem imunisasi anda untuk melancarkan sistem pertahanan dan mengakibatkan hati mengalami keradangan serta kerosakan. Dalam kes kronik, hati membentuk sirosis dan kanser yang boleh membawa maut," katanya pada Forum Hepatitis Made Easy, sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai lalu.

Tambahnya, HBV merebak melalui pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti dan cara jangkitannya yang paling kerap berlaku di Asia Pasifik adalah melalui penularan daripada ibu pembawa virus berkenaan kepada bayi ketika bersalin.

HCV pula berjangkit melalui pendedahan darah tercemar daripada pembawa virus.
Misalnya perkongsian alatan suntikan ubat ataupun dadah. Virus ini jarang merebak melalui bendalir badan yang lain dan sesiapa yang menerima pemindahan darah sebelum 1993 berisiko tinggi dijangkiti HCV kerana ujian saringan darah hanya bermula di seluruh dunia pada 1990.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 600,000 orang maut setiap tahun disebabkan oleh hepatitis B manakala 1.4 juta kes hepatitis A direkodkan berlaku setiap tahun.


Hepatitis B

Hepatitis B atau dikenali sebagai HBV adalah virus yang menyerang hati dan boleh menyebabkan jangkitan akut atau kronik. HBV merebak melalui pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti.

Ia banyak dilaporkan di Asia khususnya di China. Kebanyakan penghidap hepatitis B di rantau ini dijangkiti virus berkenaan ketika kecil dan dianggarkan lapan hingga 10 peratus penduduk dewasa Asia mendapat jangkitan kronik.

Kebanyakan pesakit dewasa yang mengalami kesan kronik mendapat jangkitan ketika kecil dan kebanyakannya meninggal dunia akibat kanser hati atau sirosis.
Virus HBV

adalah 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit daripada HIV namun ia boleh dicegah melalui suntikan vaksin yang sudah diperkenalkan sejak 1989.


Tanda jangkitan hati:

  • Kekuningan pada kulit dan mata (jaundis)
  • Keletihan
  • Kegatalan kulit
  • Air kencing menjadi gelap
  • Sakit atau kembung perut
  • Usus berdarah
  • Ujian darah menunjukkan fungsi hati yang tidak normal

    Virus ini mengambil masa antara beberapa bulan hingga setahun untuk pulih.
    Namun apa yang lebih penting untuk disematkan dalam fikiran, HBV juga menyebabkan jangkitan hati kronik yang boleh berkembang menjadi sirosis atau kanser hati.

    Kanser hati yang disebabkan HBV antara tiga penyebab pertama kematian penghidap kanser di kalangan lelaki manakala menjadi punca utama di kalangan wanita.

    Kemungkinan jangkitan HBV menjadi kronik bergantung kepada umur ketika dijangkiti. Lebih muda umur ketika dijangkiti HBV, lebih tinggi risiko untuk jangkitan menjadi kronik. Risiko inilah yang ditanggung 90 peratus bayi yang mendapat jangkitan pada tahun pertama kelahiran dan 30 hingga 50 peratus kanak-kanak yang dijangkiti HBV pada usia satu hingga empat tahun.


    Hepatitis C

    Hepatitis C adalah sejenis penyakit yang menjejaskan hati. Virus HCV merebak apabila darah seseorang yang dijangkiti virus ini memasuki badan seseorang yang
    sihat.

    Dalam sesetengah kes, hati mampu menghapuskan virus ini dan kesihatannya akan kembali pulih seperti sedia kala dengan sendirinya. Namun, 85 peratus kes mencatatkan hepatitis C adalah satu keadaan kronik sepanjang hayat.

    Hati yang sihat menjalankan banyak tugas yang penting iaitu memproses alkohol dan ubat-ubatan selain mengeluarkan jus pencernaan untuk memproses makanan yang anda makan.

    Ia juga membantu pembekuan darah, melawan jangkitan dan menyahkan bahan toksik serta kumuhan daripada darah. Tetapi, apabila HCV mula memasuki badan, ia menuju ke hati melalui saluran darah.

    Di dalam hati, HCV boleh menimbulkan radang yang menyebabkan tisu hati menjadi bengkak dan merengsa. Tisu yang sudah bengkak itu kemudiannya bertukar menjadi parut tisu (fibrosis). Apabila hati sudah berparut, keberkesanan fungsinya juga turut terjejas. Kerosakan hati yang berlarutan boleh menyebabkan masalah kesihatan serius sehingga membawa maut.

    Kesan hepatitis C berbeza mengikut individu. Sesetengah orang akan mengalami masalah kesihatan yang serius dalam masa lima tahun selepas dijangkiti virus ini.

    Sebaliknya, ramai yang menghidap hepatitis C tidak menunjukkan sebarang tanda meskipun sudah dijangkiti selama 20 tahun atau lebih.

    Inilah yang membuatkan sukar bagi anda mempercayai yang anda sudah dijangkiti kerana anda mungkin berasa sihat walaupun hakikatnya menghidap penyakit ini.


    Terdapat empat peringkat pembentukan parut tisu:

    1. Peringkat pertama
    HCV menyebabkan radang hati dan ia merosakkan sebahagian daripada hati. Parut tisu kecil mula terbentuk tetapi ia di tahap tidak akan menjejaskan fungsi hati.

    2. Peringkat kedua dan ketiga
    Semakin banyak tisu hati akan rosak lalu mengakibatkan parut tisu semakin bertambah. Tisu hati yang masih sihat cukup untuk membolehkan hati menjalankan tugasnya.

    3. Peringkat keempat
    Hati mengalami kerosakan yang teruk dan parut tisu semakin bertambah. Ini disebut sirosis di mana hati mungkin tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna malah ada kemungkinan ia akan berhenti menjalankan tugasnya sama sekali.

    Bagaimana jangkitan berlaku?

  • Penyuntikan dadah, walaupun hanya sekali.

  • Menjalani pemindahan darah atau transplan organ sebelum 1992 atau faktor pembekuan yang dihasilkan sebelum 1987 (kini semua produk berkenaan disaring untuk mengesan HCV).

  • Menjalani dialisis buah pinggang untuk tempoh berpanjangan.

  • Mencacah tubuh atau bertindik.

  • Mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan dengan pasangan yang sudah dijangkiti (jangkitan melalui hubungan seks tanpa perlindungan amat jarang berlaku namun kebarangkalian dijangkiti lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai banyak pasangan

  • Akupuntur.
  • Pemindahan daripada ibu kepada bayi semasa bersalin.


    Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan bahan di dalam darah anda yang dikaitkan dengan hepatitis C. Ini termasuk:

  • Anti HCV (sejenis antibodi)
  • ALT (sejenis enzim hati)
  • HCV RNA (cebisan bahagian virus berkenaan)
  • Genotip (satu strain virus ini)

    Selepas menjalani ujian darah, pastikan anda mengambil tindakan susulan dengan bantuan pakar penjagaan kesihatan kerana semakin lama jangkitan hepatitis C tidak dirawat, semakin tinggi risikonya anda akan mengalami masalah kesihatan kronik yang lain.

    Untuk mengesan HCV, darah yang diambil akan dihantar ke makmal. Anda mungkin terpaksa menunggu beberapa minggu sebelum mendapat hasil ujian itu.

    Selain itu, anda juga mungkin terpaksa menjalani lebih daripada satu ujian darah, bergantung kepada gaya hidup dan hasil ujian terdahulu. Ini bagi membantu pakar penjagaan kesihatan membuat diagnosis.


    Mengesan kerosakan hati:

  • Ujian ultrabunyi. Menggunakan gelombang bunyi yang tidak mendatangkan rasa
    sakit untuk melakarkan gambar hati.

  • Imbasan CT. Sejenis sinaran-x yang menunjukkan secara terperinci gambar
    hati.

  • Biopsi hati. Untuk ujian ini, sebatang jarum digunakan bagi mengambil sedikit sampel tisu hati. Tisu berkenaan akan diperiksa melalui mikroskop untuk mengesan sama ada terdapat keradangan dan parut tisu.

    Rawatan

    Hepatitis C dirawat menggunakan satu atau dua jenis ubat yang membantu badan anda mengatasi HCV. Rawatan ini memerlukan masa dan komitmen. Di kalangan pesakit tertentu, rawatan ini dapat menghapuskan semua HCV daripada badannya.

    Pegylated Interferon adalah sejenis protein yang membantu sistem imun. Ia disuntik ke dalam badan hanya sekali seminggu selama 12 bulan. Kebanyakan pesakit diajar untuk menyuntik diri sendiri di rumah. Ubat ini biasanya diberi bersama ribavirin yang bertindak menyukarkan HCV daripada terus membiak di dalam badan. Tetapi jika pesakit tidak boleh mengambilnya, ia akan diberikan secara bersendirian.


    Golongan terdedah kepada aktiviti di bawah ini berisiko tinggi untuk dijangkiti:

  • Berkongsi alatan suntikan ubat ataupun dadah.

  • Berkongsi pisau cukur, berus gigi dan peralatan lain seperti gunting kuku yang mungkin tercemar dengan darah.

  • Penggemar tatu dan menindik telinga atau badan dengan alatan yang tidak dibasmi kuman.

  • Menerima darah tercemar melalui pemindahan darah sebelum saringan virus hepatitis diperkenalkan.

  • Penularan daripada ibu penghidap HBV kepada bayi ketika bersalin antara cara penyebaran paling kerap.


    Mesej penting yang boleh dijadikan panduan bagi mengelakkan jangkitan virus ini :

  • Pencegahan
    Mengetahui risiko HBV dan HBC adalah langkah penting mencegah jangkitan baru.

  • Diagnosis
    Menjalani ujian darah adalah cepat dan mudah. Sekiranya seseorang berasa mereka berisiko tinggi, mereka perlu menjalani ujian saringan serta-merta.

  • Perlindungan
    Terdapat vaksin untuk HBV dan penyakit ini dapat dicegah melalui imunisasi.

  • Rawatan
    Rawatan untuk kebanyakan virus berkenaan adalah berkesan.


    Kumpulan berisiko tinggi perlu vaksin:

  • Mereka yang gemar melakukan hubungan seksual dengan ramai pasangan.
  • Rakan dan kenalan isi rumah yang dijangkiti HBV.
  • Penagih dadah.
  • Mereka yang sering memerlukan pemindahan darah.
  • Penerima pemindahan organ pepejal.
  • Pekerja yang berisiko mendapat jangkitan misalnya pekerja kesihatan.
  • Pelancong antarabangsa.
  • Harap tuah drama Suri

    Posted: 06 Aug 2012 02:51 AM PDT

    Hanez Suraya Abdul Aziz
    Hanez Suraya Abdul Aziz

    DIA bukanlah orang baru dalam bidang seni tetapi kerana tidak begitu serius mengejar cita-cita, maka dia 'hilang' seketika dari dunia hiburan. Hanez Suraya Abdul Aziz, 27, mula menjadi model dan berjinak-jinak dalam bidang lakonan pada usia 18 tahun dan dengan raut wajah yang menawan pasti tidak sukar untuknya 'menguasai' industri.

    Namun orang muda yang hatinya mudah tertawan dengan perkara lain, lalu nama yang kian dikenali itu tiba-tiba seakan-akan senyap dan sunyi, tiada lagi kelibatnya di layar kaca. Bukan tiada produser dan pengarah yang mahu melamar tetapi Hanez leka dengan perkara lain.

    • Foto

    • Foto

    • Foto

    Bagaimana kedewasaan mengajarnya menjadi manusia yang matang dan mula memikirkan masa depan dengan bertanya kepada diri sendiri apakah selamanya dia mesti tenggelam dalam gelora jiwa mudanya? Perlahan-lahan dengan bantuan rakan-rakannya yang mahu melihat dia berjaya sebagai anak seni, Hanez bangkit semula dengan azam baru.

    "Alhamdulillah saya dipertemukan dengan rakan yang baik. Mereka mahu tengok saya berjaya kerana sebenarnya saya sudah lama terbabit dalam peragaan dan lakonan tetapi saya jauh ketinggalan di belakang artis yang ada sekarang.

    Mereka masih baru tetapi bakat mereka sangat menyerlah dan mempunyai peminat yang ramai.

    "Sekiranya saya terus bekerja keras dari dulu, nescaya saya sudah lebih berjaya daripada mereka kerana hampir 10 tahun saya berada dalam industri. Dulu saya lebih suka bergembira dan mengabaikan kerja. Apabila sudah hampir tenggelam, agak sukar untuk timbul semula. Mujur saya ada ramai kawan yang sudi membantu.

    "Saya berkawan rapat dengan ramai jurusolek artis dan kru yang bekerja di belakang tabir produksi. Merekalah yang 'mempromosikan' nama saya semula kepada produser dan pengarah drama. Syukur, bermula tahun lalu, saya kembali berada di gelanggang seni dengan menerima banyak tawaran berlakon.

    "Dengan bermulanya episod baru dalam hidup saya, sepanjang tahun lalu dan tahun ini saya sentiasa bertukar-tukar lokasi penggambaran. Drama Suri yang baru saja tamat siaran di TV3 yang disiarkan menerusi slot Azalea, memberi sinar baru dalam kerjaya seni saya. Saya tak sangka sama sekali yang stesen televisyen itu sudi mengambil saya sebagai pelakon utama.

    "Peminat sayangkan watak saya sebagai Suri yang dianiaya saudara tiri. Mulanya saya bimbang juga kerana slot itu pada sebelah petang (jam 4.30 petang). Waktu itu orang masih berada di pejabat dan kalau ada yang dalam perjalanan balik ke rumah pun mungkin tersekat dalam kesesakan jalan raya.

    "Sangkaan saya meleset kerana apabila saya melayari facebook dan twitter, ramai yang meminati Suri dan ada yang tidak pernah ketinggalan mengikuti drama itu untuk mengetahui apa yang terjadi pada Suri. Ada juga saya terbaca dalam twitter, ada penonton sanggup ambil cuti kerana tak mahu ketinggalan untuk menonton kemuncak drama itu.

    "Sebelum itu saya muncul dalam drama 3 Janji yang mengetengahkan Liyana Jasmay dan Shahrizal Jaszle sebagai pasangan kekasih. Saya pula diberi watak sebagai Mak Su kepada Liyana. Peminat pun suka melihat watak saya itu dan suasana itu membuatkan saya semakin lega kerana industri dan peminat dapat menerima saya," katanya.

    Sekarang tambah Hanez, sehari tanpa penggambaran drama membuatkan dia rimas.

    "Saya tidak betah duduk di rumah goyang kaki kerana saya kian dapat merasakan nikmat bekerja dan lebih menyeronokkan apabila dapat bayaran daripada hasil penat lelah. Saya lebih rela berada di lokasi daripada duduk termenung di rumah.

    "Tiada lagi istilah 'enjoy' dalam diari hidup saya sekarang kerana saya sudahpun menikmati semua itu. Sekarang adalah masa untuk bekerja dan merancang masa depan yang gemilang. Saya seronok bekerja dengan kru produksi yang 'sporting' dan juga pelakon lain. Apabila kita mencintai kerja yang kita buat dan melakukannya dengan seikhlas hati, segalanya akan jadi mudah.

    "Dulu rezeki yang dapat tidak lama 'lekat' di tangan. Hari ini dapat bayaran, esok lusa dah habis. Mungkin ketika itu niat di hati saya tidak betul. Kini dengan segala rezeki yang Allah berikan, saya mendidik diri tidak mahu menjadi orang yang riak dan bongkak kerana segala yang kita ada adalah milik-Nya yang pada bila-bila masa boleh diambilnya semula.

    "Dalam perjalanan hidup ini juga saya berhati-hati dalam berkawan kerana saya tak mahu mencari musuh. Kalau kita terlampau baik dengan orang, segala rahsia hati mahu dikongsi bersama dan itu mengundang bahaya kerana apabila bergaduh, orang itu boleh menggunakan peluang itu untuk mengenakan kita semula.

    "Jadi lebih baik saya berhati-hati dan jalan terbaik, habis kerja balik rumah.
    Kalau sesekali saya keluar minum dengan kawan-kawan, mesti balik rumah sebelum jam 12 tengah malam," katanya.

    Jelas Hanez, dia juga menyedari yang hubungannya dengan media juga semakin baik.

    "Sebelum ini apabila saya menghadiri sebarang acara, saya lebih suka menyendiri dan rasa serba salah mahu bertegur sapa dengan wartawan. Tetapi sekarang sudah berbeza apabila saya mula bersikap terbuka dan ke mana pergi, kalau saya lambat menyapa mereka, wartawan menegur saya dulu. Syukur sangat kerana keadaan sekarang jauh lebih baik berbanding dulu dan berharap hubungan baik dengan wartawan akan berterusan," katanya.

    Tidak lengkap rasanya kalau tidak bertanyakan cerita cintanya dengan penyanyi popular Awie Rafael.

    "Kami bahagia dan semoga hubungan ini berakhir dalam fasa yang diimpikan setiap wanita iaitu perkahwinan. Dalam usia begini, sudah selayaknya saya berumah tangga. Pun begitu, segala kata putus terletak pada Awie dan saya pula hanya boleh mendoakan yang terbaik saja," katanya yang enggan bercakap panjang lebar mengenai hubungan mereka.

    Keluarga Ibrahim Pendek Dapat Tanah, Rumah Baru

    Posted: 06 Aug 2012 02:50 AM PDT

    Keluarga ibrahim pendek berkongsi rumah usang ini sejak sekian lama.

    MELAKA: Penderitaan keluarga pelakon veteran Allahyarham Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Hassan mendapat pembelaan apabila kerajaan negeri Melaka bersetuju untuk menghadiahkan mereka sebidang tanah dan rumah baru.

    Berita gembira itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Tangga Baru, Datuk Idris Haron melalui setiausaha khasnya iaitu Mohd Yusof Mahathir selepas membaca kesengsaraan mereka di akhbar.

    Mohd Yusof berkata, Idris yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi membincangkan tapak yang sesuai untuk membina rumah keluarga tersebut.

    "Kerajaan negeri berasa kasihan dengan kesusahan keluarga pelawak itu dan mengambil keputusan untuk membantu mereka," katanya kepada The Star pada Isnin.

    Akhbar pada Ahad menyiarkan kesengsaraan keluarga pelawak seangkatan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu yang hidup dalam kesempitan di sebuah rumah usang, di tanah rizab berhampiran kabel elektrik voltan tinggi di Tanjung Kling di sini.

    Anak sulung Ibrahim iaitu Aidid menunukkan gambar arwah ayahnya yang begitu popular dalam era perfileman Melayu.

    Isterinya Asiah Othman, 57, tinggal bersama enam orang anak dan 10 orang cucu di rumah berkenaan yang sempit selepas Ibrahim meninggal dunia pada November 2003 akibat asma.

    Anak keempat Allahyarham iaitu Aidid Ibrahim, 33,berkata, adik-beradiknya yang berusia antara 29 hingga 40 tahun hanya bekerja menjual nasi lemak dan roti canai di Lereh dekat sini sejak sekian lama untuk menampung hidup.

    "Pendapatan kami hanya cukup untuk menyara kehidupan kami sahaja. Empat daripada adik-beradik kami sudah kahwin an mempunyai anak tetapi untuk memiliki rumah baru adalah mustahil," jelasnya yang turut dilahirkan sebagai kerdil bersama tiga adik beradiknya yang lain.

    Sementara itu Aishah yang pada mulanya enggan mendapatkan bantuan kerana malu dengan nasib keluarga memberitahu, suaminya tidak meninggalkan apa-apa harta kepada keluarga sebelum meninggal dunia.

    Katanya, selama ini dia bekerja keras dengan menjual makanan untuk menyara keluarga dan meneruskan hidup.

    Gosip Dapat Gelaran Datuk Mengarut - Ajai

    Posted: 06 Aug 2012 02:49 AM PDT

    Ajai

    PETALING JAYA: Komposer Ajai menyifatkan gosip kononnya dia akan mendapat darjah kebesaran bergelar Datuk dalam waktu terdekat merupakan khabar angin yang mengarut.

    Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 36, berkata, gosip tersebut benar-benar membuatkan dia dan isterinya, Norliza Ilyas, terkejut, apatah lagi dia tidak pernah menerima apa-apa surat bagi memaklumkan hal berkenaan.

    "Kami baru sahaja membaca gosip tersebut dan ia tidak benar sama sekali. Saya terkejut dengan khabar angin ini, kelakar pun ada juga.

    "Saya pun tak tahu daripada mana berita itu diperoleh. Entahlah, mungkin terdapat mana-mana pihak yang tersilap memberi pendapat," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

    Sebuah akhbar mingguan pada Ahad menerusi ruangan pojok melaporkan Ajai kononnya akan menerima penganugerahan yang membawa kepada gelaran seperti rakan seperjuangannya iaitu Datuk M.Nasir dan Datuk Ramli MS.

    Bagaimanapun tambah Ajai, dia tidak ada masalah berhubung dengan gosip tersebut kerana menganggap ia merupakan salah satu rencah normal yang harus ditempuhi bagi seorang artis.

    "Memang gosip ini mengarut, tetapi saya tak ambil pusing pun. Jika nak dibandingkan dengan gosip-gosip yang terkena pada saya dahulu lagi teruk. Saya tak kisah.

    "Namun, gosip seperti ini bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan kerana ia turut akan melibatkan pihak lain," tuturnya.

    Dalam pada itu, ditanya adakah Ajai pernah mengimpikan untuk mendapatkan gelaran tersebut, katanya, dia belum bersedia untuk menerima penganugerahan besar itu.

    "Pada saya, gelaran Datuk adalah satu penghargaan yang sangat besar dan ia diperoleh apabila seseorang itu telah melakukan sesuatu yang besar dan berjasa kepada negara.

    "Dan rasanya tidak terlintas pun di fikiran untuk mengejar gelaran itu. Saya belum bersedia untuk bergelar Datuk. Kalau datuk kepada cucu saya mungkin ya," selorohnya.

    Mengenai perkembangan terbaru, Ajai bakal muncul dengan sebuah album khas berjudul Satu dengan menampilkan penyanyi Ella, Azlan The Typewritter dan Kris Dayanti.

    Zalif Sidek Tidak Terpinggir Kerana Berbadan Besar

    Posted: 06 Aug 2012 02:46 AM PDT

    Zalif Sidek

    PETALING JAYA: Pelakon Zalif Sidek, memberitahu saiz badan seseorang itu bukanlah penyebab untuk golongan berkenaan dipinggirkan dalam dunia lakonan sebaliknya mereka akan disanjung jika mempunyai bakat yang luar biasa.

    Zalif berkata, badannya yang kelihatan "comel" sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk bergelar pelakon berjaya malah dia amat berbangga kerana mendapat banyak tawaran berbanding artis yang mempunyai susuk tubuh menarik.

    "Saya bersyukur dengan anugerah yang saya miliki ini. Saya membuktikan kepada dunia seni keupayaan saya dalam dunia lakonan terletak kepada bakat dan bukannya bentuk badan.

    "Kalau badan kita menarik tetapi bakat kita tak seberapa, ia akan mendatangkan masalah juga," katanya kepada mStar Online.

    Pelakon berusia 27 tahun ini memberitahu pada mulanya dia agak merendah diri apabila melihat bentuk tubuhnya tetapi selepas berjaya menghasilkan mutu lakonan yang dikehendaki oleh pihak produksi, dia semakin yakin untuk terusn bersaing.

    Sejak beberapa tahun melibatkan diri dalam bidang lakonan, dia sudah menerima banyak tawaran berlakon filem yang kebanyakannya diberi peranan penting.

    Katanya, pendapatan segelintir pihak kononnya orang yang berbadan besar sering gagal mendapat peluang adalah tidak benar kerana pelakon Afdlin Shauki sendiri berjaya membuktikan beliau boleh menjadi hero filem walaupun saiz badannya besar.

    Malah Zalif juga sering berusaha menjadikan dirinya seorang pelakon yang serba boleh dengan mempelbagaikan watak yang diberi dalam usaha membuktikan kebolehannya itu.

    "Saya amat bersyukur kerana saya mendapat peluang untuk berlakon dalam pelbagai watak seperti komedi, islamik selain diberi peluang menjadi ayah. Itu semua pencapaian yang bermakna kepada saya yang berbadan besar ini," jelasnya.

    Antara filem lakonan Zalif ialah Bini Biniku Gengster, Papa I Love You, Hantu Dalam Botol Kicap, 7 Petala Cinta serta dua karya terbaharu iaitu Budak Pailang dan Aji Noh Motor.

    Tambahnya, dalam dunia hiburan ketika ini, mereka yang berbadan besar sebenarnya berada pada satu kedudukan dengan pelakon kacak lain kerana kedua-duanya mempunyai kebolehan serta tarikan berbeza.

    ‘Sarang’ kaki ponteng puasa

    Posted: 06 Aug 2012 02:44 AM PDT

    SELAMBA...dua pengunjung lelaki minum di kolam memancing komersial.
    SELAMBA...dua pengunjung lelaki minum di kolam memancing komersial.

    KUALA LUMPUR: Restoran makanan segera, kedai mamak dan kedai serbaneka 24 jam menjadi pilihan segelintir 'kaki ponteng' puasa di ibu kota mendapatkan juadah berbuka awal.

    Tinjauan mendapati antara lokasi tumpuan kalangan kaki ponteng puasa terbabit menjamu selera mereka ialah di sebuah kolam memancing komersial di sini.


    Seorang penduduk berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Razak, 40-an, mendakwa jumlah pengunjung kolam terbabit bertambah setiap kali Ramadan sejak ia beroperasi kira-kira tujuh tahun lalu.

    Katanya, sepanjang tempoh itu, tiada operasi membanteras kegiatan ponteng puasa oleh pihak berkuasa terhadap kalangan kaki pancing termasuk orang awam sehingga ada melabelkan ia sebagai lokasi 'selamat'.


    "Setiap kali bulan puasa bilangan pengunjung kolam berkenaan bertambah khasnya pada waktu siang, tetapi sebahagian besar daripadanya tidak memancing sebaliknya duduk lepak menghisap rokok, minum dan ada lebih berani makan di bangku kolam di kawasan terbuka.


    "Ia sesuatu yang menyedihkan kerana kolam berkenaan terletak berhampiran kawasan perumahan. Justeru, saya meminta pihak berkuasa memantau perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kaki ponteng puasa terbabit," katanya.Sementara itu, wartawan yang menyamar pengunjung terkejut apabila mendapati majoriti pengunjung termasuk kaki pancing selamba menghisap rokok dan minum tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.


    Menurut seorang kaki ponteng puasa, dia mendapat tahu lokasi itu selamat untuk makan dan minum di bulan puasa daripada seorang rakan. Pada mula memang takut-takut, tetapi selepas beberapa tahun, kolam ini menjadi lokasi dia dan rakan-rakan menjamu selera setiap kali bulan puasa.

    "Abang jangan risau, tempat ini selamat. Abang hisap saja rokok, orang tak kisah kerana semua tak puasa," katanya.

    Kaspersky unjur penguasaan 70%

    Posted: 06 Aug 2012 02:40 AM PDT

    PERLINDUNGAN...Fong (kiri) menunjukkan produk Kaspersky Lab dan Tech Titan yang terkini.
    PERLINDUNGAN...Fong (kiri) menunjukkan produk Kaspersky Lab dan Tech Titan yang terkini.

    KASPERSKY Lab, peneraju kandungan selamat dan penyelesaian pengurusan ancaman berada pada landasan tepat untuk terus mengungguli kepentingan pasaran di negara ini kepada 70 peratus dengan pelancaran Kaspersky Internet Security (KIS) dan Kaspersky Anti-Virus (KAV) 2013.

    Pengarah Jualannya (Asean), Jimmy Fong berkata, pihaknya yakin mencapai sasaran itu walaupun tahun ini dijangkakan mencabar.


    "Ketika ini kami menguasai lebih 60 peratus daripada kepentingan pasaran di Malaysia. Kaspersky pada masa ini menerajui pasaran kandungan selamat dan pengurusan ancaman.

    "Bagaimanapun, kami ingin berkembang lebih lanjut. Untuk itu, kami perlu mencari dan meneroka bidang baru.," katanya selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur minggu lalu.


    Versi baru bagi kedua-dua produk berkongsi antara muka canggih dan mudah digunakan selain dilengkapi teknologi baru untuk memberikan perlindungan maksimum daripada semua jenis ancaman.


    "Edisi KIS dan KAV sebelum ini, kerap menunjukkan lebih 99 peratus kadar pengesanan dalam ujian bebas dengan hingga 100 peratus bagi perisian perosak yang paling lazim.

    "Menerusi versi baru ini, Kaspersky bukan saja meletakkan sasaran lebih tinggi, malah berusaha menyekat perisian perosak paling jarang ditemui dan paling cepat menular," katanya selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur.


    KIS dan KAV 2013 yang akan berada dalam pasaran mulai 15 Ogos ini, masing-masing berharga RM100 dan RM70 dengan kedua-dua dipasang pada satu komputer. Sempena pelancaran KIS dan KAV, Kaspersky menandatangani perjanjian perkongsian dengan Tech Titan Ltd, penyedia keselamatan rangkaian, untuk menghasilkan 'Tech Titan T-Drive Pro with USB KAV' (T-Drive Pro).

    T-Drive Pro, penyelesaian Anti-Virus USB mudah pindah pertama di dunia itu direka untuk dipasang dan dilaksanakan dari simpanan USB boleh didapati di pasaran sekarang pada harga RM179 bagi 8GB.

    Membelasah ‘demi tuhan’

    Posted: 06 Aug 2012 02:39 AM PDT

    BENTLEY menunjukkan bagaimana dia menggunakan kaedah aneh 'menyembuhkan' pesakit kanser.
    BENTLEY menunjukkan bagaimana dia menggunakan kaedah aneh 'menyembuhkan' pesakit kanser.

    LONDON: Lawatan seorang ketua kumpulan kerohanian AS ke Britain mencetuskan kontroversi semalam, dengan seorang ahli parlimen menggesa kerajaan menghalang kemasukannya ke negara itu.

    Todd Bentley sebelum ini dilaporkan bersalah melakukan serangan seksual ke atas seorang budak tujuh tahun ketika dia berusia 15 tahun - dijadual melawat Britain akhir bulan ini. Dia menjadi perhatian kerana kononnya mampu menyembuhkan penyakit kanser di kalangan pengikutnya di AS.


    Dengan badannya dipenuhi tatu, Bentley dikenali ramai empat tahun lalu melalui gereja dikendalikannya, Fresh Fire Ministries.

    Ajaran dibawa Bentley mendakwa dia digunakan tuhan untuk menyembuhkan sakit orang ramai.


    Bagaimanapun, kemarahan orang ramai lebih tertumpu kepada cara dia mengendalikan rawatan berkenaan. Dalam satu rakaman video mengenai kaedah perubatannya, Bentley dilihat menghentak perut pesakit kanser kolon menggunakan lututnya.


    Dalam insiden lain, seorang lelaki ditolak dengan kasar sehingga dia tertiarap dan menyebabkan gigi mangsa patah. Melalui satu rakaman di YouTube, Bentley berkata: "Dan saya terfikir mengapa kuasa tuhan tidak berkesan. Dan tuhan berkata, kerana kamu tidak menendang wanita itu di mukanya." Menurut Bentley, ada seorang wanita tua di depan pentas tempat dia berdiri apabila tiba-tiba 'malaikat' berbisik kepadanya.

    Menurut 'malaikat' itu, Bentley disuruh menendang muka wanita terbabit dan sebaik saja kasutnya terkena ke sasaran, wanita itu tumbang "di bawah kuasa tuhan." Ahli parlimen dari Parti Buruh, Malcolm Wicks, meminta Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, menghalang kemasukan Bentley.


    Katanya, lawatan Bentley tidak membawa sebarang faedah, sebaliknya hanya memudaratkan.

    "Saya sangat bersyukur jika ada sebarang langkah diambil bagi menghalang kemasukannya ke Britain," katanya.

    Jalan mudah mahu cari rezeki

    Posted: 06 Aug 2012 02:36 AM PDT

    SIASAT...antara mekanisme boleh digunakan untuk menentukan kesahihan kelayakan ialah dengan mendekati rakan terdekat untuk memperoleh maklumat. - Gambar hiasan
    SIASAT...antara mekanisme boleh digunakan untuk menentukan kesahihan kelayakan ialah dengan mendekati rakan terdekat untuk memperoleh maklumat. - Gambar hiasan

    KETIKA kerajaan berusaha mencapai status cemerlang dan profesional dalam industri pendidikan, imejnya sedikit tercalar dengan isu ijazah dan graduan palsu, baru-baru ini.

    Biarpun dianggap kes terpencil, isu berkenaan masih dianggap besar dan perlu ditangani segera bagi memastikan imej institusi pendidikan tinggi lain tidak terjejas atau dipersoalkan.

    • Foto

      JALAN PINTAS...terlampau girang atau terdesak memperoleh ijazah menjadikan ada pihak yang tidak berfikir panjang mengambil jalan pintas biarpun salah di sisi undang-undang. - Gambar hiasan

    • Foto

      JANGAN TERBURU-BURU...majikan dinasihatkan supaya menyelidik keaslian dan ketulenan latar belakang juga kelayakan calon pekerja sebelum menawarkan pekerjaan supaya tidak tertipu. - Gambar hiasan

    Penipuan itu juga menimbulkan tanggapan lebih memalukan dengan memperlihatkan betapa terdesaknya masyarakat memperoleh status tinggi walaupun melalui jalan salah.

    Mengapa ia berlaku sedangkan pengawalan ketat diberikan tanpa kompromi. Adakah pihak berkenaan hanya memikirkan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata hingga melanggar tatasusila serta undang-undang?


    Timbalan Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persoalan perlu ditekankan ialah soal etika yang menjadi kata kunci terhadap segala tindakan.


    Beliau berkata, jika seseorang mempunyai nilai etika yang tinggi, mereka tidak mungkin tergamak melakukan kesalahan dengan mengambil jalan pintas bagi memperoleh ijazah ataupun menyediakan institusi palsu.

    "Malangnya, mereka yang 'terdesak' ini tidak mahu memikirkan soal itu, sebaliknya bersikap ambil mudah dan sanggup melanggar etika, nilai moral serta melakukan kesalahan undang-undang demi memuaskan kehendak hati.

    "Yang penting, keuntungan, mempunyai kelulusan hebat setara orang lain hingga mampu mengagumkan masyarakat dan dipandang tinggi kerana kelebihan pada diri," katanya.

    Beliau mengakui, fenomena itu ada kaitan dengan persaingan sengit dalam kerjaya sehingga mendorong seseorang itu melakukan apa saja, apatah lagi dengan sikap majikan yang terlalu memilih.

    Kebiasaannya, katanya, ijazah dari luar negara selalu dipandang tinggi menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk menawarkan sesuatu secara mudah.

    "Mereka menggunakan peluang ini untuk meraih keuntungan manakala pihak terdesak pula tidak peduli latar belakang institusi yang dipilih. Asalkan ada bukti kelayakan luar negara sudah memadai.

    "Adanya permintaan dan penawaran ini menyebabkan perkara ini berlaku biarpun apa ditawarkan itu ada kalanya tidak masuk akal, ia salah di sisi undang-undang selain 'mengotorkan' nama industri pendidikan," katanya.

    Enggan mengaitkannya dengan kesalahan pihak tertentu, apa lebih dibimbangi ialah ijazah atau graduan palsu itu boleh memberi kesan tidak terduga terhadap profesionalisme sesuatu institusi.

    Memberi contoh institusi pengajian tinggi, katanya, mereka yang 'palsu' ini boleh menjejaskan kredibiliti, nama baik juga kewibawaan institusi juga warga keseluruhannya terutama mahasiswa.

    "Misalnya, pensyarah palsu biarpun mempunyai kelayakan berjela-jela atau gah, belum tentu mampu menjadi pensyarah berwibawa dan memenuhi standard universiti.

    "Pensyarah palsu biasanya gagal menjalankan tugasan dengan baik tetapi lebih bahaya kesannya kepada pelajar yang mereka didik.

    "Justeru, ia bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana kesannya sangat besar dalam mempengaruhi sistem sedia ada," katanya mengakui kes pemalsuan ijazah atau graduan bukanlah baru di negara ini namun lebih ketara berlaku di negara luar.

    "Di sini, ia boleh dianggap terpencil dan masih dalam kawalan namun di negara luar, keadaannya berbeza terutama jika pemohonnya datang dari negara yang mempunyai universiti tidak dikenali.

    "Bagaimanapun, setiap negara ada polisi sendiri bagaimana menanganinya dan kepekaan itu penting bagi memastikan penipuan dilakukan itu mampu disekat," katanya.

    Katanya, bidang bukan profesional antara berpotensi tinggi melakukan penipuan kerana kurang mempunyai badan profesional yang memantau.

    "Bidang yang mempunyai badan profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan jarang dipalsukan kerana mereka mempunyai polisi ketat dan sentiasa dikawal.

    "Yang sering menjadi mangsa ialah bidang seperti pengurusan dan pentadbiran kerana bukan saja penawaran terhadap program sangat luas, malah membabitkan banyak institusi.

    "Jadi, pemantauan sukar dilakukan dan membolehkan bidang berkenaan 'diceroboh' mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya.

    Bagi memastikan kesahihan dan ketulenan ijazah atau graduan, ada pendekatan tertentu boleh digunakan.

    "Kami sentiasa peka, berhubungan dengan universiti asal, menyertakan sijil kelayakan asli selain mendapatkan maklumat daripada rakan terdekat juga pandangan ahli profesional sealiran.

    "Jika ia dilakukan dengan tegas, saya percaya masalah ini boleh dibendung dan mereka yang bersalah tentu tidak yakin mahu melakukan kesalahan.

    "Masalahnya, bukan semua bersikap seperti itu dan mudah percaya pada kelayakan yang tertera pada sekeping kertas," katanya.

    Pada masa sama, beliau juga berpesan agar majikan tidak terlalu taksub jika disogokkan dengan kelayakan berjela-jela.

    "Jangan ada sikap ambil mudah dan taksub dengan kelebihan calon. Selidik dulu kebenaran terutama jika disertakan dengan kelayakan tidak masuk akal.

    "Jika ada pencegahan dan pengawalan ketat, saya percaya mereka ini juga tidak berani meneruskan langkah sumbang menggunakan ijazah atau menjadi graduan palsu," katanya.

    Jana pendapatan dengan blog

    Posted: 06 Aug 2012 02:35 AM PDT

    NAMA Khairunnisa Mohd. Aminullah atau lebih dikenali sebagai Nisa Kay, 21, bukanlah asing lagi dalam dunia blog.

    Dia yang akan menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada September nanti, begitu meminati warna merah jambu dan ungu.

    Gadis itu mengakui, dompetnya sentiasa menipis gara-gara tidak dapat mengawal perbelanjaan tatkala terlihat barangan solekan, pakaian mahupun kasut yang berwarna merah jambu atau ungu.

    Bagi kamu yang mahu mengenali pemilik blog Saya Suka Menaip ini bolehlah melayari http://www.nisakay.com. - LYNN / MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

    .COM: Bagaimana boleh terjebak dalam dunia blogger?

    NISA KAY: Kira-kira lima tahun lalu menjadikan blog sebagai diari. Pada masa itu, kebanyakan cerita adalah mengenai kehidupan seharian, kawan-kawan, makanan serta tempat-tempat yang saya kunjungi. Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu saya mulai aktif membuat blog komersial tentang gaya hidup. Jadi dalam blog itu, saya banyak menceritakan tentang pelancongan, kecantikan, produk serta majlis-majlis yang saya hadiri sebagai blogger.

    Sikap Nisa Kay yang tidak diketahui pengikut-pengikut di blog...

    Pembaca blog saya mungkin beranggapan saya seorang yang ceria tapi ramai yang tidak tahu saya ni sangat sensitif orangnya. Hanya orang di sekeliling saya sahaja yang tahu bahawa hati saya mudah terusik apabila berbicara mengenai keluarga. Memandangkan saya ni bukan anak orang senang, jadi saya memang sukar untuk menceritakan perihal keluarga saya. Selain itu, saya juga boleh menghadap komputer lebih dari 10 jam dalam sehari tanpa membuat benda lain. Saya juga mempunyai tabiat berbelanja dalam talian kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa.

    Ceritakan mengenai koleksi barangan solekan yang dimiliki Nisa Kay...

    Kalau nak tahu, sejak mengumpul barangan solekan ini saya jadi seorang yang boros sebenarnya. Apa tidaknya, alat solekan yang saya ada sekarang boleh dimuatkan dalam lima kotak kasut dan kalau dikira-kira, mahu dekat RM5,000 jumlahnya. Kebanyakan barangan solekan yang saya beli itu bukan untuk digunakan. Saya beli sebab tertarik dengan lipstik atau pembayang mata warna merah jambu walaupun sebenarnya saya telah memiliki warna tersebut.

    Apa rancangan untuk 10 tahun akan datang?

    Saya membayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya akan menjadi pengacara televisyen atau sekurang-kurangnya mempunyai kerjaya sebagai wartawan penyiaran.

    Bagaimana kamu boleh menjadikan blogger sebagai kerja sambilan?

    Macam yang saya ceritakan pada awal tadi, saya sudah terlibat dalam dunia blog ini sejak lima tahun lalu. Cuma kira-kira tiga tahun lepas, abang yang juga seorang blogger telah menunjukkan cek yang diterima, hasil daripada blognya. Walaupun jumlah tersebut tidak banyak, tapi saya sedar melalui blog saya boleh menjana pendapatan. Memandangkan pada ketika itu saya seorang pelajar di Universiti Selangor, itu sahaja kerja sambilan yang boleh dilakukan tanpa menjejaskan pelajaran.

    Tip kepada blogger yang mahu jadikan blog sebagai sumber pendapatan...

    Paling utama, mereka perlu sedar bahawa blog boleh menjana pendapatan tetapi tidak menjamin dapat membuat wang yang banyak. Selain itu, mereka perlu bersabar kerana untuk sampai ke tahap menjana pendapatan melalui blog akan mengambil masa yang panjang. Jangan segan untuk mendapatkan nasihat daripada blogger-blogger senior tentang cara menjana pendapatan melalui blog.

    Obses tin Coke

    Posted: 06 Aug 2012 02:34 AM PDT

    SELAIN C oca-Cola, Epoi turut memiliki pelbagai koleksi daripada jenama lain seperti Pepsi, Fanta dan Kickapoo.

    SIAPA yang tidak kenal dengan minuman berkarbonat Coca-Cola. Dalam bulan Ramadan ini, pasti ada yang terbayang-bayang kesegaran saat airnya mengalir di tekak.

    Jenama minuman ringan terkenal di seluruh dunia yang mula dikeluarkan pada 1886 itu amat digemari ramai, namun tidak ramai yang terfikir untuk mengumpul tin atau botolnya.

    Berbeza dengan anak muda kelahiran Ipoh, Perak ini. Baginya, tin atau botol yang sering dibuang mahupun dikitar semula selepas habis airnya amat berharga malah lebih berharga daripada air yang diteguk.

    Sanggup berbelanja sehingga mencecah ratusan ringgit, cerita Mior Saiful Azlan Mior Puzi, tin dan botol minuman ringan terutamanya Coca-Cola amat bernilai baginya kerana ada keunikan serta menyimpan sejarah tersendiri.

    Coca-colaMengumpul barangan Coca-Cola sejak mula bekerja sekitar tahun 2000, dia sanggup membina rak khas bagi menempatkan koleksinya itu bersama barangan antik lain.

    "Kalau diperhatikan betul-betul, rekaan botol Coca-Cola berubah setiap tahun malah edisi khas turut dikeluarkan antaranya sempena sesebuah filem.

    "Selain keunikan rekaannya, saya mengagumi Coca-Cola kerana keutuhan jenama tersebut mengharungi pasaran sehingga beratus tahun. Nilai bekas air bergas ini turut meningkat mengikut tahun keluarannya serta rekaan tin atau botol yang sukar didapati tetapi tidak ramai mengetahui harganya," ujarnya yang mesra dipanggil Epoi.

    Koleksi paling disayanginya adalah tin Coca-Cola berwarna kuning yang tertera gambar watak kartun Winnie The Pooh yang dibeli oleh abangnya di Jepun.

    Cerita Epoi, dia pernah mendapatkan sebiji botol Coca-Cola keluaran 1950-an dengan harga RM150 sahaja walhal harga sebenarnya mampu mencecah hingga RM600.

    Antara lokasi pemburuan Epol adalah di pasar Loken, Ipoh. Dia turut mendapatkan tin edisi khas keluaran luar negara seperti yang tertera gambar Harry Potter di Isetan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    "Setakat ini saya belum pernah menjual koleksi saya ini. Memang saya tidak ada niat menjualnya pun. Mungkin sekadar bertukar-tukar koleksi bersama rakan-rakan sehobi," ujarnya.

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

    Copyright 2010 All Rights Reserved