Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Roh pulang jenguk rumah
- Anak-anak lelaki bujang
- Haiwan khayalan Afrika
- Bot selaju kereta lumba
- Maznah berbuka dengan sardin
- Cara China cipta atlet
- Profesor diperdaya Ratu Bikini
Posted: 04 Aug 2012 02:53 PM PDT SEWAKTU kecil-kecil dahulu, apabila menjelang sahaja 15 Ramadan, kebanyakan rumah di kampung mula dihias dengan pelita minyak tanah, terutamanya di sepanjang jalan masuk ke kawasan halaman rumah. Selain membangkitkan mood raya yang bakal menjelang, pemasangan pelita, jamung mahupun panjut di sesetengah kawasan dikatakan sebagai meraikan kepulangan roh-roh keluarga untuk melihat waris-waris yang ditinggalkan. "Apa yang saya dengar daripada cerita orang tua-tua, apabila tiba sahaja bulan Ramadan, semua roh umat Islam akan berkumpul di Luh Mahfuz. "Roh-roh ini akan memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke dunia namun tidak semuanya mendapat peluang tersebut. Roh yang baik, yang banyak amalan semasa hayatnya, dikatakan dibenarkan pulang manakala roh yang kurang amalan tidak dibenarkan kembali ke dunia. "Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang akan mereka lakukan ialah kembali ke kubur untuk melihat jasad mereka. Kerana itu jugalah, pada bulan puasa, masyarakat Melayu lebih rajin membersihkan kubur. "Malah, pada bulan ini jugalah ramai yang mengambil kesempatan menukar batu nisan, mengecat kepok kubur dan memasang kain putih pada kepala nisan. "Perkara kedua yang dilakukan, mereka dikatakan akan pulang ke rumah pusaka, rumah anak-anak dan rumah orang yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. "Kerana hal ini, rumah-rumah dihias cantik dan banyak majlis tahlil dilakukan sebagai simbol hadiah untuk roh yang pulang. "Perkara ini akan berlanjutan sehingga malam 1 Syawal di mana roh-roh akan meninggalkan dunia dan kembali ke Luh Mahfuz sambil membawa amalan yang disedekahkan oleh waris-warisnya," cerita seorang anak jati Batu Pahat, Johor, Abdul Rahim Sarbani, 56. Biarpun tidak mengetahui kesahihan di sebalik cerita lisan pada bulan Ramadan itu, bapa kepada enam anak ini tetap memasang pelita, membersihkan kubur dan menghadiahkan bacaan tahlil kepada arwah ibu dan bapanya. Dinding "Saya tidak pasti sama ada betul atau tidak roh-roh ini balik ke rumah. Apa yang saya lakukan bukanlah semata-mata untuk meraikan kepulangan mereka, sebaliknya sekadar membangkitkan kemeriahan Ramadan dan menyambut Syawal yang bakal menjelma. "Lagipun dalam bulan puasa kita dituntut menggandakan amalan, baik untuk diri sendiri apatah lagi untuk roh ahli keluarga yang telah meninggal dunia,"katanya. Menjawab persoalan ini, ulama tersohor Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi pernah menyebut, roh tidak akan mencampuri urusan dunia yang sudah tidak lagi berguna kepadanya. Dalam erti kata lain, roh berada di suatu alam lain dinamakan alam barzakh yang kehidupannya jauh beza dengan kehidupan di dunia. "Alam ini adalah jangka waktu antara kematian dengan hari kiamat. Roh orang yang beriman akan menerima balasan yang baik di alam barzakh manakala roh daripada golongan yang gemar membuat maksiat akan diazab. "Dalam satu hadis sahih sudah dinyatakan, hanya ada tiga perkara yang menghubungkan dunia dengan roh iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa-doa daripada anak-anak yang soleh. "Tidak ada gunanya pun jika roh itu boleh kembali ke dunia sekiranya kepulangan mereka itu tidak memberi manfaat untuk roh mereka sendiri," ujarnya. Bertemu roh
Sementara itu, menurut penceramah bebas, Zaharuddin Abd. Rahman, roh tidak akan mampu sama sekali untuk kembali ke alam dunia sama ada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya. "Dakwaan roh pulang ke rumah sempena hari-hari tertentu tidak benar. Jika ada yang pernah melihat makhluk menyerupai si mati dan kedengaran suara menangis, menurut ulama ia bukanlah roh si mati sebaliknya angkara jelmaan jin dan syaitan yang menyerupai si mati. Tidak lebih daripada itu," jelasnya. Hujahnya itu dirujuk kepada firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 99 dan 100 yang bermaksud: "Hingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka (orang kafir) dia berkata: "Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong). Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan." Zaharuddin berkata, ayat ini jelas memberitahu bahawa barzakh adalah tembok yang menghalang roh orang yang telah mati daripada kembali ke dunia. "Begitupun, ada juga ulama yang berpendapat, roh orang yang telah mati boleh bertemu dengan roh orang hidup ketika mereka sedang tidur melalui mimpi," katanya. Sementara itu, menurut seorang tokoh agama, Datuk Dr. Haron Din, roh tidak boleh kembali ke dunia dan manusia juga tidak boleh masuk ke alam barzakh tanpa sebab. "Kalau kita beranggapan roh orang yang telah mati boleh kembali ke dunia dan boleh ke sana ke mari, seolah-olahnya di alam barzakh itu tiada seksaan kubur, tiada balasan dan roh-roh ini hidup bebas keluar masuk ke alam dunia. Anggapan tersebut salah sama sekali. "Disebabkan itu, kita harus yakin dan percaya bahawa roh si mati tidak boleh pulang ke dunia untuk menziarahi keluarga, rumah, kubur dan sebagainya," jelasnya. Tambahnya, hanya pada hari kiamat nanti, jasad akan dijadikan semula dan roh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah. "Alam barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. Roh yang memasukinya akan kekal di dalamnya. "Ibarat bayi yang hidup di alam rahim, apabila lahir ke dunia, bolehkah bayi tersebut kembali ke alam rahim? Sudah tentu tidak," ujarnya. | ||||||
Posted: 04 Aug 2012 02:53 PM PDT OTHMAN AHMAD ialah seorang lelaki biasa. Pemakaian dan cita rasanya sama seperti kaum adam yang lain. Dia masih bujang. Begitupun, lelaki yang berasal dari Taiping, Perak berumur 39 tahun ini telah mempunyai 60 orang anak angkat. Kesemua mereka merupakan anak-anak yatim. Malah, dia sanggup menggunakan wang simpanannya demi anak-anak yang menumpang teduh di Rumah Nur Hikmah, Kajang, Selangor. Rumah kebajikan itu diasaskan Othman pada tahun 2005. Menurut Othman, dia telah terlibat dengan kerja-kerja kebajikan sejak remaja lagi. "Saya aktif dengan aktiviti masjid dan surau bersama penduduk sekitar Taiping dan Kajang. "Sebelum ini, saya bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kajang sebelum mengabdikan diri dan berbakti untuk anak yatim," katanya. Berpindah Cerita Othman, dia memulakan amalan mulia itu selepas sebuah pusat jagaan anak yatim di Cheras, Kuala Lumpur ditutup pada tahun 2003 atas sebab tertentu. Dia yang khuatir dengan nasib 45 orang anak yatim di situ mengambil keputusan berhenti kerja dan menyewa sebuah rumah berhampiran untuk menempatkan kanak-kanak itu. "Ramai rakan yang mengatakan saya gila kerana melakukan kerja sukarela itu. "Biasanya paling ramai orang mengambil anak yatim sebagai anak angkat ialah dua orang tetapi saya 45 orang sekali gus. "Tetapi itu tidak mengapa, jika kita ikhlas membantu, soal kewangan dan pembiayaan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tidak akan menjadi masalah. Ada rezeki yang Allah beri," tutur Othman. Jelasnya, selepas berhenti kerja, dia membuka perniagaan kecil-kecilan seperti kedai runcit, pakaian dan lukisan khat. Perniagaan itu menjadi antara sumber kewangan rumah anak yatim tersebut. Othman bersyukur kerana dua tahun selepas itu, Rumah Nur Hikmah diberikan tanah dan bangunan sendiri di Kajang. Katanya, dia juga menggunakan wang simpanan sebanyak RM30,000 yang merupakan wang persediaan untuk berkahwin, bagi menampung perbelanjaan bulanan rumah kebajikan tersebut.
Telatah "Syukur saya juga mendapat bantuan kewangan dan keperluan harian daripada badan korporat dan orang perseorangan. "Soal wang simpanan itu tidak menjadi masalah kerana wang boleh dicari. Hakikatnya, membantu mereka yang memerlukan adalah satu kewajipan," katanya. Dia juga ditanya tidakkah dia ingin berkahwin dengan wanita pilihannya memandangkan usianya semakin lanjut. Tutur Othman, bohong sekiranya seorang lelaki normal sepertinya enggan berkahwin. "Tapi saya kini ada 60 orang anak lelaki dan perempuan yang berusia antara setahun enam bulan hingga 18 tahun yang perlu dijaga. "Jika ada jodoh adalah. Semua lelaki ingin berkahwin dan mempunyai isteri yang boleh menjaga makan dan minum mereka tetapi masanya belum tiba untuk saya. "Duka dan gembira anak-anak ini telah banyak mengubat hati saya. Merekalah yang telah memberikan saya semangat untuk bekerja lebih keras lagi," tegasnya. Othman berkata, tidak sukar untuk menjaga kesemua anak yatim tersebut kerana dia dibantu oleh 12 orang adik-beradiknya yang lain. "Syukur kerana ada anak yatim jagaan saya yang telah berjaya melanjutkan pelajaran di kolej. Ada juga yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah," ujarnya. Anak yatim Othman juga datang daripada pelbagai negara seperti Thailand, Myanmar, Indonesia, Sudan dan Bangladesh. Bercerita mengenai pengalaman pahitnya pula, dia menyatakan pernah bekalan air ke rumah itu dipotong akibat kekurangan sumber kewangan untuk membayar bil. Adakalanya makanan pun perlu dicatu. "Tetapi anak-anak ini sangat tabah dan menerima keadaan itu seadanya. Yang penting bagi mereka ialah ada individu yang menjaga dan mengambil berat perihal mereka," ujarnya. | ||||||
Posted: 04 Aug 2012 02:52 PM PDT OKAPI pernah dianggap sebagai binatang mitos oleh penduduk di tengah Afrika. Apatah lagi sejak zaman dahulu lagi masyarakat tempatan sering dimomokkan dengan kisah dongeng berkaitan haiwan yang tidak pernah mereka temui itu. Ia turut menjadi cerita rakyat di Eropah apabila orang tempatan kerap bercerita mengenainya hinggakan orang luar turut mempercayai kewujudannya. Lebih menguatkan dakwaan yang ia sejenis haiwan khayalan ialah apabila tubuhnya digambarkan sebagai pelik. Ada juga yang menyangka okapi merupakan jelmaan hantu hutan. Jadi, tidak hairanlah jika okapi pernah dianggap mitos kerana badannya kelihatan seolah-olah seekor keldai manakala dua pasang kakinya persis seekor kuda belang. Ia mempunyai lidah sepanjang kira-kira 35 sentimeter dan wajah seperti seekor zirafah.
Namun pada sekitar tahun 1900-an, persepsi dunia mengenai haiwan mitos itu berubah apabila haiwan yang digelarkan sebagai unikorn Afrika itu buat pertama kalinya ditemui dan dicatatkan. Seorang pengkaji Amerika Syarikat, Henry Morton Stanley menemui haiwan tersebut pada tahun 1887 dan mencatat penemuan itu dalam jurnal peribadinya, The Darkest Africa. Stanley menggelarkan haiwan itu sebagai Atti. "Saintis menemui haiwan misteri itu kurang sedekad sebelum Ekspedisi Congo dilancarkan pada tahun 1909. "Namun begitu, hingga sekarang sejarah hidup dan habitat asal haiwan itu belum difahami sepenuhnya," ujar seorang penulis alam sekitar dan sains, Gordy Slack. Tambah Slack, okapi yang hanya terdapat di kawasan hutan hujan Ituri iaitu bahagian timur laut Republik Demokratik Kongo di bahagian tengah Afrika dikelaskan sebagai haiwan daripada keluarga zirafah. Zirafah Bekas Gabenor British di Uganda, Henry Johnston yang berminat dengan haiwan itu pernah melakukan kajian lebih terperinci tentang kewujudan okapi pada tahun 1901. Pada ketika itu, para saintis di London yang turut serta dalam kajian Johnston mendapati bahawa haiwan misteri itu dikelaskan sebagai kuda belang yang tidak diketahui spesiesnya. Bagaimanapun, selepas kajian lebih terperinci ke atas kulit dan tulang okapi pada tahun 1938, pengkaji mendapati ia menyamai genetik spesies zirafah purba yang ditemui di Greece. Ketika itulah, misteri haiwan yang dikatakan mitos itu dibuktikan benar-benar wujud. Namun, ia bukanlah seekor kuda mahupun kuda belang, sebaliknya dikelaskan sebagai keluarga zirafah. "Walaupun jelas pada kakinya ia adalah seperti seekor kuda belang, hakikatnya okapi dan zirafah adalah daripada keluarga yang sama. "Begitupun, belum ada bukti yang mengesahkan sama ada ia adalah hasil kacukan ataupun wujud sejak azali. "Okapi merupakan mamalia terakhir yang ditemui di dunia pada tahun 1900-an," kata Pengarah Zoo Bronx di New York, Amerika Syarikat, Jim Breheny. Selain di Zoo Bronx, okapi kini popular di beberapa buah zoo di Amerika Utara dan Eropah. Haiwan itu dikatakan sebagai fosil hidup kerana pernah disahkan pupus tetapi kembali ditemui di kawasan tersebut. Kini selain boleh dilihat di beberapa buah zoo terbabit, habitat okapi masih dijumpai di Republik Demokratik Kongo. Menurut fakta, terdapat 154 ekor okapi di 42 buah zoo yang majoritinya di Amerika Utara dan Eropah, manakala masih ada kira-kira 20,000 ekor okapi yang hidup bebas. | ||||||
Posted: 04 Aug 2012 02:51 PM PDT
TEKSI sememangnya sinonim dengan bandar-bandar besar dunia. Pengangkutan awam darat itu dianggap cekap dan selesa. Malah, di kota seperti New York, Amerika Syarikat, teksi berwarna kuning sudah menjadi identiti bandar itu. Bagaimanapun, tidak banyak bandar yang memiliki teksi air seperti yang dirintis oleh Kerajaan Negeri Melaka. Idea itu dicetuskan pada tahun 2009 selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berpendapat teksi air boleh menjadi kenderaan alternatif bagi mengatasi kesesakan jalan raya di sekitar bandar Melaka. Bandar Raya Melaka diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESSCO pada Julai 2008 sekali gus menambah bilangan trafik yang memasuki bandar itu. Melaka memiliki teksi air pertama pada tahun 2010. Perkhidmatan itu diuruskan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) namun, teksi itu buat masa ini lebih banyak digunakan untuk membawa pelancong menyusuri Sungai Melaka dan pulau-pulau di perairan negeri itu. Hadir dengan kelas tersendiri, bot teksi itu dibeli daripada sebuah syarikat pembuat kapal di Manchester, Britain. Berharga RM280,000, bot itu menggunakan dua buah enjin Honda V Tech 2.4 yang boleh menjana pecutan 300 kuasa kuda. Tahap kelajuannya sama seperti anda menaiki sebuah kereta lumba di atas air. Pengurus Melaka River Cruise, Sulaiman Daud yang ditemui Jurnal baru-baru ini dengan nada teruja bercerita tentang Teksi Air Melaka iaitu produk pelancongan atas air kedua selepas perkhidmatan menyusuri Sungai Melaka dengan bot yang juga dikenali Melaka River Cruise. Kedua-dua perkhidmatan itu beroperasi dari Jeti Taman Rempah tetapi berbeza dari segi jenis bot yang digunakan serta destinasi dan perhentian. Melaka River Cruise hanya berlegar di tujuh perhentian di sepanjang Sungai Melaka manakala Teksi Air Melaka akan membawa penumpang sehingga ke laut dan pulau-pulau di negeri ini. Biawak "Walaupun baru dilancarkan pada awal tahun 2010, sambutan yang diterima cukup baik. Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelancong tempatan dan luar negara," beritahu Sulaiman. Teksi air ini juga dimuatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) edisi kelapan sebagai teksi air pertama di negara ini. Bot berwarna kuning itu muat untuk 12 orang. Bayaran bagi satu perjalanan ialah RM600 bagi penumpang berkumpulan. Bagi individu pula, bayaran RM50 seorang dikenakan dengan minimum lima orang. Bayaran RM50 itu sememangnya berbaloi. Tutur Sulaiman, dengan bayaran sebanyak itu, pengunjung dapat melihat keindahan Sungai Melaka yang bersih. "Bermula dari Jeti Taman Rempah, pengunjung boleh melihat Kampung Morten iaitu antara kampung tercantik di negara ini. "Kemudian mereka akan dibawa menyusuri Taman Lanun, Kampung Jawa, Padang Nyiru, Menara Jam, Jonker Walk dan Jeti Muara," ujarnya. Selepas itu, mereka dibawa melihat pulau-pulau di perairan Melaka seperti Pulau Upeh, Undan, Nangka, Hanyut dan Pulau Besar. "Penumpang cuma boleh mendarat di Pulau Besar kerana pulau lain tidak mempunyai kemudahan jeti," jelas Sulaiman. Pengalaman menaiki Teksi Air Melaka memberikan persepsi tersendiri kepada kru Jurnal. Ruang dan tempat duduknya cukup selesa. Bermula dari Jeti Taman Rempah, pemandangan di sepanjang laluan sukar digambarkan dengan perkataan. Sudut pandang di kiri dan kanan sungai membangkitkan keterujaan dengan deretan bangunan bersejarah. Selain itu, lukisan mural di sesetengah bangunan ibarat satu visual sejarah mengenai negeri itu. Penumpang juga dapat melihat biawak bersaiz besar berenang dan berehat di tepi sungai. "Biawak ini dijaga oleh pihak kami dengan memberinya makan sisa ayam. Kos makanan untuk kira-kira 10 ekor haiwan itu mencecah ratusan ringgit sebulan tetapi berbaloi bagi mewujudkan persekitaran semula jadi di sini," cerita Sulaiman. Namun, impian untuk melihat kesemua pulau itu tidak terlaksana kerana cuaca buruk. Bot terpaksa berpatah balik ke Jeti Taman Rempah. Seorang penumpang teksi air, Bernard Kenneth Goody, 50, berkata, dia tidak menyangka ada kemudahan teksi air di sungai dan laut Melaka. Menari "Ini merupakan salah satu produk pelancongan terbaharu yang sepatutnya menjadi ikutan negeri-negeri lain," katanya. Pelancong dari Paris, Perancis, Mandy Moore memberitahu, dia teruja dapat menaiki teksi air yang laju itu. "Seperti menaiki kereta lumba pula, tetapi kenderaan ini dibina dengan konsep terbuka, jadi ruangnya lebih selesa. Angin semula jadi sudah memadai bagi menggantikan kipas atau alat pendingin hawa," katanya. Rakannya, Robert Nail berpendapat, kemudahan teksi itu dapat dibuat di bandar lain yang mempunyai sungai bagi mengelakkan kesesakan jalan raya. "Jalan raya sering sesak dengan kenderaan, jadi sungai boleh menjadi laluan alternatif satu hari nanti sama seperti zaman dahulu," katanya ketawa. Pemandu kenderaan tersebut, Hassan Mohamad turut berkongsi cerita tentang pengalaman menjadi pemandu teksi air itu selama lima tahun. "Biasalah penumpang ada bermacam ragam tetapi pelancong dari Asia Barat dan Afrika agak lucu sedikit. Ini kerana setiap kali menaiki bot mereka tidak boleh duduk diam sebaliknya sering berdiri sambil menyanyi. "Akhirnya saya juga ikut menyanyi," cerita beliau. | ||||||
Posted: 04 Aug 2012 02:44 PM PDT
KENANGAN berpuasa dan menyambut lebaran semasa kecil masih segar dalam ingatan Maznah Muhammad, 40. Berbuka dengan sambal tumis sardin masakan ibu menjadi peristiwa manis yang dijalaninya sejak mula belajar berpuasa. Desakan hidup ketika itu membuatkan Maznah tiada pilihan apatah lagi dia hanya bergantung hidup pada ibu, Zainab Abdullah, 63, setelah kehilangan ayah ketika Maznah masih dalam kandungan. "Keluarga saya amat menitikberatkan soal agama, jadi saya dilatih berpuasa sejak berumur lapan tahun lagi. "Disebabkan faktor kemiskinan, juadah berbuka puasa juga sekadar yang termampu dan selalunya masakan berasaskan sardin kerana harganya yang murah. "Pengalaman pahit pula ialah apabila saya terpaksa menahan kesakitan akibat penyakit gastrik tetapi saya tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak berpuasa," jelas wanita yang mesra disapa Maz oleh rakan-rakannya ini. Berbeza Dia yang menggemari baju kurung moden untuk digayakan pada lebaran memberitahu, kehidupan berpuasa dan berhari raya pada zaman dahulu berbeza daripada sekarang. Jika dahulu Maznah pasti akan berbuka puasa bersama keluarga dan hanya mempunyai sepasang baju raya tetapi keadaan berubah selepas dia berjinak-jinak dalam bidang francais kios burger sejak tahun 2007. Ini kerana banyak masanya dihabiskan untuk memenuhi undangan ke majlis berbuka puasa anjuran agensi kerajaan, persatuan, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan. Ujarnya, setiap kali tiba lebaran pula, pasti ada sahaja destinasi pelancongan yang dikunjungi seperti Indonesia, Thailand, Sabah dan Sarawak bersama anaknya, Nazirul Haziq Azhar, 19, kerana pada masa itu sahaja dia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. "Kami sekeluarga akan pulang ke kampung di Banting, Selangor dua hari sebelum lebaran untuk membuat persiapan dan sembahyang raya di sana diikuti aktiviti mengunjungi rumah saudara terdekat. "Setiap tahun saya akan memperuntukkan perbelanjaan untuk menyambut lebaran sebanyak RM5,000 termasuk pemberian duit raya kepada 13 orang anak saudara dengan RM150 seorang," jelasnya yang menyambut lebaran pada tahun ini di Tanah Suci Mekah kerana menunaikan umrah. Tambah Maznah, dia masih mengingati bagaimana susahnya ibu membesarkannya empat beradik dengan menjual kuih-muih dan nasi lemak di Pasar Besar Banting, Selangor. "Berkat pengalaman yang ada saya memberanikan diri membuka perniagaan yang pada mulanya difokuskan kepada golongan belia tetapi kini turut memberi peluang kepada ibu tunggal dan pesara," ujarnya yang pernah diberhentikan kerja ketika menjawat jawatan pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta akibat tekanan kehilangan anak kedua. Nama kampung Selaku Pengarah Urusan Mat Salai Sdn. Bhd., Maznah memberitahu, dia pernah diperlekehkan apabila menggunakan jenama yang agak kekampungan tetapi kini syarikatnya semakin gah mencipta nama. Sekarang ia mempunyai 25 kakitangan dan 1,500 kios di seluruh Malaysia yang menawarkan lima produk makanan dan sembilan jenis minuman. Tuturnya, risiko menjalankan perniagaan makanan dan minuman lebih rendah berbanding jenis perniagaan lain. "Tiada istilah rugi dalam perniagaan berasaskan makanan dan minuman kecuali jika tersalah menguruskan kewangan. Apa pun terjadi, manusia tetap akan mencari makanan kerana ia keperluan asas untuk hidup. "Selama hampir empat tahun di pasaran, saya pernah berdepan dengan situasi di mana nama syarikat, logo dan produk keluaran syarikat saya ditiru oleh sebuah syarikat bukan Bumiputera yang menyewa berhampiran premis saya," tambahnya yang aktif memberikan ceramah motivasi. Maznah tersipu-sipu apabila mengakui pada usianya itu, dia baru sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan daripada Universiti Centre State of New York di samping tercalon bagi kategori Usahawan Wanita dalam Anugerah Perdana Menteri 2011. Maznah mendirikan rumah tangga pada tahun 1992. Apabila ada waktu terluang, dia sering melakukan aktiviti seperti melancong, membeli-belah dan menonton wayang bersama anaknya. Ketika ditanya adakah dia merasakan dirinya sudah berjaya, Maznah menjawab dia masih meneroka bidang perniagaan dan merancang untuk membuka Kafe Mat Salai. Dia juga mahu terlibat dalam kilang pembuatan kios dan roti. Maznah turut memasang impian untuk memiliki bangunan sendiri yang bakal diberi nama Wisma Mat Salai serta membangunkan Yayasan Mat Salai untuk anak-anak yatim. "Saya bersyukur kerana dikurniakan pekerja yang amat memahami, rajin dan bertolak ansur. "Bagi menghargai usaha mereka, saya akan mengadakan hari keluarga selain membuat 'portluck' dan bacaan tahlil sebulan sekali di pejabat," beritahu Maznah. | ||||||
Posted: 04 Aug 2012 02:41 PM PDT China memiliki 3,000 sekolah sukan untuk kanak-kanak seawal usia enam tahun. PERENANG muda China, Ye Shiwen, 16, yang memecahkan rekod dunia dalam acara 400 meter (m) rampaian individu wanita pada Sukan Olimpik London 2012 mula berenang selepas gurunya melihat dia mempunyai saiz tangan dan kaki yang lebih besar berbanding kanak-kanak seusianya. Dia menjadi sensasi apabila memenangi pingat emas dalam gaya dramatik dengan catatan masanya pada 100m terakhir lebih pantas berbanding juara acara 400m rampaian individu lelaki, Ryan Lochte dari Amerika Syarikat. Shiwen, yang menyertai sukan renang pada tahun 2003, melepasi jangkaan China untuk mengekalkan kejuaraan dalam acara itu. Sebelum bermulanya Sukan Olimpik London 2012, dia pernah menjadi model untuk bulan renang di negara itu selepas juara dunia, Li Zhesi diuji positif dadah dan diharamkan bertanding. Akhbar People's Daily turut memuji populariti gadis yang berasal dari Wilayah Zhejiang itu yang naik mencanak seperti roket. Selepas menyertai pasukan Zhejiang pada tahun 2007, dan pasukan kebangsaan pada tahun 2008, Shiwen telah meraih beberapa kemenangan. "Program latihan saya adalah mencabar tetapi diatur secara saintifik. Saya tidak perlu menghabiskan masa selama berjam-jam di dalam kolam renang setiap hari. Ia juga tidak terlalu mendesak saya," katanya. Nisbah Dia yang mendapat latihan di Australia dengan dilatih oleh dua jurulatih terkenal, Ken Wood dan Cotterell Denis pernah memenangi medley individu dalam acara 200m dan 400m pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou dan 200m medley individu pada Kejohanan Dunia 2011 di Shanghai. Keluar daripada kolam renang, dia juga seperti remaja lain yang gemar membaca novel detektif dan memenuhi masa lapang dengan menonton televisyen. Jurulatihnya, Wood, yang mengendalikan sebuah akademi renang di Brisbane, Autralia, tempat yang banyak melahirkan perenang handalan China, memberitahu, salah satu faktor yang menyumbang kepada kelajuan Shiwen dalam 50m terakhir berenang ialah faktor nisbah tenaga kepada berat tubuh selain rejim latihan serius yang perlu dijalani oleh remaja di China. Sementara itu, Pengarah Sukan di Universiti Bedfordshire dan ahli Persatuan Olimpik British, Prof. John Brewer berkata, pada usia remaja, tubuh sangat aktif mengeluarkan hormon yang merangsang perkembangan otot yang sangat berguna dalam sukan kerana ia membantu meningkatkan tenaga dan daya tahan seseorang atlet. "Dalam masa yang singkat, badan boleh mengalami perubahan secara besar-besaran. "Semasa tempoh ini atlet muda kadang-kadang tertekan, tetapi akhirnya ia dapat menyebabkan tubuh mencapai prestasi yang lebih tinggi," ujarnya. Brewer juga percaya ada sesuatu tentang sifat renang yang menjadikan ia lebih mudah bagi atlet muda mempamerkan aksi cemerlang. "Ia adalah mengenai kuasa dan daya tahan, yang bermaksud perenang muda dapat berlatih dengan lebih kuat," tambah Brewer. Seorang pakar dalam bidang kesihatan dan senaman di Universiti Exeter, Britain, Prof. Craig Williams yang telah bekerja dengan atlet remaja turut bersetuju dengan pendapat Brewer. "Peningkatan dalam prestasi juga berkaitan dengan ketahanan mental dan fizikal. Jelas sekali perubahan dalam badan bukan sahaja dari segi kekuatan dan daya tahan, bahkan aspek psikologi juga penting. "Anda dapat mengendalikan tekanan dan tahu bagaimana untuk melakukannya. Itu boleh membawa perbezaan yang besar," katanya sambil memberitahu, prestasi Shiwen boleh dijelaskan oleh sesuatu yang lebih asas dahulu. "Saiz populasi negara China turut memainkan peranan. China mempunyai bakat yang ramai untuk dipilih. Jadi kita tidak boleh terlalu terkejut apabila ada seseorang individu dengan bakat yang luar biasa muncul," jelas Craig. Populasi
Di China, perenang, ahli gimnastik, peninju, pemain badminton dan atlet lain dilatih melalui satu program yang direka kerajaan khusus untuk mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik. Sememangnya China ingin menjadi nombor satu dalam banyak bidang termasuk sukan. Sejak empat dekad lalu, kanak-kanak seawal usia enam tahun diuji dari segi saiz, kecergasan dan kemahiran sebagai sebahagian daripada program strategi pengenalan bakat negara. Dengan jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion untuk disaring, lebih daripada 400,000 orang dipilih dan dihantar ke 3,000 sekolah sukan atau kem latihan. Di situ, mereka tertakluk kepada latihan harian yang tegas dan diet yang ketat. Kanak-kanak itu dipisahkan daripada keluarga selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk memenangi pingat emas. Bekas Ketua Prestasi Sukan, Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat, Steve Roush, telah melawat China lebih daripada 20 kali pada misi untuk mencari fakta seperti yang didakwa. Menurutnya, China mempunyai bakat muda yang mahir dan sentiasa ada orang lain yang akan memberikan semangat untuk mereka mencapai apa yang diingini. "Anda hanya perlu menjadi lebih baik atau keluar daripada jalan yang anda pilih," katanya. Rejim latihan China yang ketat dan disifatkan sebagai kejam sering disebarkan di internet. Antaranya termasuk gambar seorang kanak-kanak yang menjalani latihan gimnastik menangis kerana terpaksa mengharungi penyeksaan dalam melakukan senaman regangan. Mereka juga berlatih ketahanan tangan selama 30 minit pada satu masa bagi memperbaiki keseimbangan dan kekuatan badan. Kejam
Semua sekolah itu dihias bendera besar China sebagai peringatan bahawa murid-murid adalah harta negara dan simbol yang mengandungi satu perkataan iaitu emas bagi mengukuhkan semangat cintakan negara. Menjelang Sukan Olimpik Beijing 2008, pemerhati asing diberi peluang melawat sekolah-sekolah sukan di China. Begitupun, sepanjang lawatan itu mereka tidak menyaksikan penderaan atau ugutan semasa latihan. Bagaimanapun, legenda Olimpik Britain, Matthew Pinsent, yang membuat dua lawatan ke China menjelang acara sukan itu berkata, dia perlu bersiap sedia dari segi emosi untuk melihat kekejaman rejim latihan yang ditemui semasa lawatan itu. "Saya tidak mengamalkan rejim latihan yang kejam seperti cara jurulatih di sana berurusan dengan murid-murid. Saya berjaya bercakap dengan beberapa kanak-kanak yang berusia antara lima dan 11 tahun yang mengakui mereka dipukul oleh jurulatih. "Selepas mendengar pengakuan itu, saya ada memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan dan diberitahu bahawa perkara itu sebenarnya tidak terjadi kerana di China, latihan yang dijalani atlet muda mereka dikira sebagai sebahagian daripada proses mencipta kejayaan," jelas Pinsent. | ||||||
Profesor diperdaya Ratu Bikini Posted: 04 Aug 2012 02:37 PM PDT Profesor fizik sebuah universiti terkenal di Amerika Syarikat dakwa dijerat menjadi keldai dadah Amerika Selatan selepas jatuh cinta dengan Denise Milani.
SEORANG profesor kanan yang memiliki tiga ijazah, termasuk daripada Universiti Oxford, Paul H. Frampton, 68, kini menjalani hukuman di Penjara Villa Devoto, Argentina atas tuduhan menyeludup dua kilogram kokain di Lapangan Terbang Buenos Aires 23 Januari lalu. Dalam satu temu bual telefon bersama akhbar Britain, DailyMail minggu lalu, Frampton yang menyandang gelaran Profesor Kehormat Fizik dan Astronomi Louis D. Rubin Jr. di Universiti Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS), memberitahu, dia ditahan selepas pihak berkuasa mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan bagasi yang didaftarkan atas namanya. "Januari lalu, saya pergi ke Bolivia atas jemputan dan perbelanjaan Denise Milani, seorang model muda glamor yang juga Miss Bikini World 2007. Saya mengenali Milani, 32, menerusi satu laman sembang internet 11 minggu sebelum ditahan polis. Bertuah "Saya senang berkawan dengannya. Dia sukakan lelaki matang yang boleh membimbing dan menemaninya. Dia juga mengaku sudah letih beraksi di hadapan kamera dan bersedia untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya bersama orang yang tersayang. "Milani sering memberitahu dirinya sangat bertuah bertemu dengan saya. Dia selalu berkata, saya adalah lelaki yang memahami pendirian dan sangat mengambil berat tentang dirinya. "Hampir tiga bulan mengenalinya di laman sembang, kami temui keserasian dan merancang hidup bersama," akui Frampton yang disifatkan oleh bekas isterinya sebagai lelaki yang lurus. Dalam sesi wawancara tersebut, Frampton turut mengakui sepatutnya dia boleh menyedari komplot penipuan ini lebih awal lagi namun kelicikan penyamar memainkan watak Milani mempegaruhinya untuk terus mendekati Milani palsu, jatuh hati padanya dan menurut segala kehendaknya.
"Saya tidak menyangka wujud manusia seperti ini, yang sanggup menggunakan identiti palsu untuk memerangkap orang lain. "Selama ini saya bermati-matian menganggap saya bersembang dengan wanita yang menarik. Namun, selepas sehari ditahan barulah saya sedar saya ditipu," ujar Frampton. Frampton mengakui dia sering bersembang dengan model pakaian dalam yang berasal dari Republik Czech itu, malah bersetuju untuk menjemput Milani bagi memulakan hidup baharu di AS. Pasangan kekasih internet ini merancang untuk bertemu di Bolivia tetapi rancangan berubah pada saat akhir. "Pada hari sepatutnya saya berjumpa dengan Milani, seorang lelaki Bolivia telah bertemu dengan saya di hotel. Dia menyerahkan sebuah beg hitam yang didakwanya milik Milani kepada saya. "Lelaki tersebut meminta saya membawa beg tersebut kepada Milani yang sedang menunggu saya di Buenos Aires. Beg kosong "Saya belek beg itu. Ia hanya sebuah beg kosong. Walaupun timbul tanda tanya, saya tidak memikirkan yang bukan-bukan sebaliknya mengisi pakaian kotor saya di dalam beg tersebut. "Setibanya di Buenos Aires, saya menunggu Milani di lapangan terbang tetapi dia tidak muncul-muncul. Selepas jenuh menunggu, saya akhirnya ambil keputusan untuk mengambil penerbangan pulang ke Carolina Utara.
"Ketika beg milik hitam tersebut melepasi mesin pengimbas, pegawai yang bertugas meminta saya ke tepi. Rupa-rupanya ada satu lapisan palsu di bahagian dalamnya yang diisi dengan kokain. "Pada masa itu, saya langsung tidak mengesyaki apa-apa. Namun, sehari selepas itu, barulah saya sedar yang saya sudah menjadi mangsa komplot penyeludupan dadah," ujarnya yang berasal dari Britain. Profesor itu percaya sindiket penyeludupan dadah tersebut didalangi oleh kumpulan mafia yang menjadikan nama Denise Milani untuk memperdayakannya. Bagaimanapun, polis sehingga kini belum menemui petunjuk tentang rancangan penyeludupan dadah seperti yang didakwa Frampton. Biarpun Frampton bertegas mengakui bahawa dia diperangkap, pihak berkuasa Argentina tidak mempunyai pilihan selain menahan dan menempatkannya di Devoto Villa, sebuah penjara berusia 87 tahun yang dikhaskan untuk tahanan lelaki. "Kehidupan di sini sangat teruk. Saya ditempatkan bersama 80 tahanan dari pelbagai negara asing. Musim sejuk membuatkan badan saya sering menggigil. "Saya mengalami batuk kuat dan selesema, begitupun saya cuba untuk keluar bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Makanan yang disediakan pula sangat teruk dan tidak boleh dimakan. Melihatnya sahaja sudah meloyakan tekak. "Selain itu, di sini juga sering berlaku pergaduhan. Malah, pernah tahanan yang duduk di sebelah saya diserang menggunakan pisau," katanya yang sempat menyiapkan empat kertas laporan ilmiah, termasuk dua yang sudah diterbitkan sepanjang berada dalam tahanan selain memantau perkembangan kajian ilmiah yang dibuat dua siswazah kedotorannya. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan