Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Neelofa Jadi Penyanyi Bukan Kerana Tamak
- Sambutan Luar Biasa Keluarga Isteri Buat Nabil Segan
- Atur kerjaya seni
- Shera Aiyob Bersedia Dapat Cahaya Mata
- Nora Danish & Bekas Suami Baik Kerana Anak
- Aaron Aziz Sudah Lama Jadi Pengarah Drama
- Telefon Bimbit:Risiko Pejalan Kaki
- Cip cegah ponteng
- Lori punca rezeki
- Buluh untuk gaya hidup hijau
- Tradisi lempar makanan suku Tengger
- Anak angkat jadi kekasih
- Santai di Trio
- Rendang Minang
- Arfidah bela wanita terpinggir
- Elak bazir makanan
- Dana untuk anak istimewa
- Sisi gelap Aizat
- Mariatie lasak + feminin
- Rahsia usahawan muda
- Raya remaja lebih santai
- Penyumbang ekonomi
- Singkir roma halus
- Kamera untuk kaki upload
- Makanan segera punca autisme?
Neelofa Jadi Penyanyi Bukan Kerana Tamak Posted: 26 Aug 2012 09:35 PM PDT KUALA LUMPUR: Tindakan aktres Neelofa melebarkan sayap ke bidang nyanyian bukan kerana dia bersikap tamak dan gelojoh untuk mencuba pelbagai bidang dalam tempoh yang singkat. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 23, berkata, sebagai pendatang baru yang masih mengenal pasti kekuatannya dalam bidang seni, dia menganggap tawaran daripada Tune Music itu peluang baik untuk mengembangkan kerjayanya. "Dalam usaha saya meningkatkan kemahiran dalam lakonan dan pengacaraan, muncul pula tawaran nyanyian daripada Tune Music yang rugi jika dilepaskan. "Perancangan untuk bergelar penyanyi bukan atas dasar tamak tetapi adalah peluang untuk meluaskan jaringan hubungan dan mencari di mana kekuatan sebenar saya dalam bidang seni," katanya. Selain Neelofa, label muzik di bawah syarikat penerbangan AirAsia itu difahamkan turut membariskan Maya Karin dan Aizat Amdan. Neelofa berkata, dia mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan tawaran itu dan bersetuju untuk memeterai perjanjian selepas melihat ruang dan potensi yang menantinya kelak. "Orang di luar perlu faham saya menerima peluang ini bukan kerana soal nyanyian semata-mata. Tune Music adalah syarikat di bawah AirAsia yang memiliki jaringan perniagaan yang luas di rantau Asia. "Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk mengembangkan nama dan profil di rantau ini," katanya yang masih belum dimaklumkan mengenai butiran konsep muzik yang bakal dipertaruhkan nanti. Mengenai Lebaran tahun ini, pengacara Nona ini berkata, dia pulang berhari raya di Pasir Mas, Kelantan selama 10 hari sejak 17 Ogos lalu. "Mulai hari ini (Isnin) saya akan menyambung semula penggambaran bagi menghabiskan baki drama bersiri Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima yang kini disiarkan di TV3. "Pada bulan depan, saya akan sibuk dengan komitmen pengacaraan dan siri jelajah selepas menjadi duta beberapa produk," katanya yang akan membintangi filem adaptasi novel Ahadiat Akashah berjudul Pilot Cafe bermula Oktober depan. |
Sambutan Luar Biasa Keluarga Isteri Buat Nabil Segan Posted: 26 Aug 2012 09:34 PM PDT PETALING JAYA: Status pelawak popular yang digalas Ahmad Nabil Ahmad (Raja Lawak) menyebabkan dia menerima sambutan luar biasa ketika menyambut Aidilfitri buat kali pertama bersama keluarga isterinya di Ipoh, Perak. Nabil, 29, berkata, keterujaan ahli keluarga isterinya, Nazirah Ayub, 24, meraikan hari lebaran bersamanya menyebabkan dia berasa janggal dan segan. "Ini adalah tahun pertama saya menyertai keluarga besar isteri saya di Ipoh, Perak. Sebelum ini, saya pernah berjumpa mereka pada Hari Raya Haji lalu tetapi tidak kesemuanya ada. "Saudara-mara isteri terutama neneknya sangat teruja dengan kepulangan kami. Yang lucunya, habis satu kampung dia canang bahawa saya adalah suami kepada cucunya," kata Nabil. Mengenai sambutan Aidilfitri, juara Raja Lawak musim kedua ini berkata, dia berbelanja secara sederhana kerana mahu menyimpan wang untuk persiapan kelahiran anaknya pada Disember depan. "Saya dan isteri berbelanja ala kadar kerana mahu mengetepikan sedikit simpanan untuk persiapan kelahiran anak saya pada Disember depan. "Bagaimanapun, sempat juga saya berkongsi rezeki dengan memberikan duit raya kepada anak-anak buah daripada kedua-dua belah keluarga," katanya. Nabil berkata, dia kini hanya menumpukan perhatian terhadap sebagai penyampai segmen pagi Breakfast @ Suria di Suria FM, selain undangan menjadi pengacara majlis. "Saya sudah kurangkan berlakon dan mahu tumpukan pada tugas penyampai radio, selain undangan sebagai pengacara pada hujung minggu," katanya. |
Posted: 26 Aug 2012 09:31 PM PDT MESRA...bersahabat baik selepas digandingkan dalam Friday I'm In Love. JADUAL penggambaran bagi pelakon memang tidak mengenal masa. Biarpun berada pada bulan Ramadan, mereka juga tidak terlepas daripada sebarang projek. Semestinya cabaran melaksanakan tanggungjawab itu lebih besar, apatah lagi penggambaran tidak mengenal panas terik dan diadakan dalam jangka masa yang panjang. Bagi dua pelakon berbakat yang pernah bergandingan dalam siri hit, Friday I'm In Love di TV9, Ryzal Jaafar, 30, dan Bella Dally, 21, memilih untuk tidak menerima tawaran sepanjang bulan puasa tahun ini. Bertemu dua sahabat baik ini dalam satu sesi fotografi sempena lebaran, baru-baru ini, ternyata kedua-duanya gembira dengan keputusan yang diambil.
"Sejak menceburi bidang seni, sebenarnya inilah kali pertama saya menolak sebarang tawaran sepanjang bulan puasa. Bukan tiada tawaran, tetapi ini kemahuan saya sendiri untuk mengurangkan bebanan di samping ingin beramal lebih pada bulan mulia ini. "Namun tidak bermaksud saya cuma goyang kaki saja di rumah kerana hampir setiap hari ada saja undangan untuk berbuka puasa terutama membabitkan anak yatim. Asal saja masa mengizinkan, saya tidak teragak-agak untuk memenuhi jemputan itu kerana saya terfikir bila lagi hendak meluangkan masa bersama mereka. "Saya sedar, sudah tiba masanya untuk saya menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan dengan cara ini saya temui kepuasan. Tidak sangka, bertemu dan menyelami hati insan kurang bertuah ini menjadi satu pengalaman yang cukup membuatkan saya lebih sedar mengenai kehidupan mereka," katanya. Merancang untuk kembali ke set penggambaran seminggu selepas raya, Ryzal bakal menggalas satu lagi watak yang pastinya tidak kurang mencabar untuk sebuah telemovie nanti. "Bagaimanapun, saya belum lagi mendapat butiran mengenai pelakon lain yang bakal bergandingan dengan saya dalam telemovie berkenaan. Judulnya pun masih lagi dalam perbincangan, tetapi saya akui agak mencabar juga watak diberikan itu. "Walaupun sebelum ini saya pernah memegang watak sebagai seorang suami, tetapi kali ini karakternya berbeza kerana saya perlu menjadi lelaki psiko. Gementar rasanya kerana untuk mencipta karakter itu bukan senang, apatah lagi saya perlu membuatkan penonton merasai sendiri tahap 'psiko' saya nanti," kata pemegang watak Adam dalam siri Naziha di TV3 itu. Ryzal juga menyambut raya bersama keluarganya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah. "Bercerita mengenai raya tahun ini, tiada apa yang berbeza, namun sudah pastilah rasa teruja itu tetap meluap-luap maklumlah inilah masanya berjumpa sanak saudara. Sebagai anak sulung, saya juga kena mempersiapkan banyak perkara dengan dibantu ibu. "Saya memang jenis yang mengutamakan keluarga dalam banyak hal dan untuk raya saja, sampai barang untuk diri sendiri terlupa beli kerana sibuk membelikan pakaian baru buat adik serta peralatan rumah," katanya. Tidak ketinggalan sempena lebaran kali ini, beberapa telemovie raya lakonannya ditayangkan termasuklah Hantu Susu 2 di Astro, Sejadah Dari Makkah (TV3) dan Meriahnya Raya (RTM). Bagi pelakon jelita ini pula, dia bertindak menukar nama komersialnya daripada Nabilah kepada Bella Dally awal tahun ini sebagai penjenamaan semula dirinya. Impak daripada itu, bagaikan ada hikmahnya, tawaran berlakon cukup banyak diterimanya sepanjang tahun ini. Semakin popular dengan siri drama terbarunya, Miss Octopus di TV3 yang mendapat sambutan baik penonton, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu kini mengorak langkah demi memperkukuhkan lagi namanya di persada lakonan. "Saya bersyukur kerana tawaran berlakon tidak pernah putus hingga saya terpaksa berehat seketika dalam bidang lakonan pada Ramadan lalu. "Tetapi selepas berakhirnya raya, saya terus ke lokasi kerana ada penggambaran yang sudah sedia menanti," katanya. Sudah berada dalam industri selama tiga tahun sejak menyertai program realiti Pilih Kasih (PK) musim pertama, Bella mengakui, memang sukar untuk mengukir nama dalam bidang ini, apatah lagi dia bermula sebagai seorang yang langsung tidak ada asas dalam lakonan. Namun, kesukaran itulah yang membuatkannya terus percaya walau dalam bidang apapun, usaha mesti didahulukan. Biarlah apa orang cakap mengenai kekurangan dirinya, itu baginya lumrah. "Keputusan untuk menyertai program PK dulu pun hanyalah sekadar mencuba nasib. Tidak pernah pula saya membayangkan akan sampai ke tahap ini dan nampaknya usaha setakat ini membuahkan hasil. "Bagi saya, apa yang penting, kita kenalah mengikut rentak dan perkembangan industri di samping sentiasa memperbaiki segala kelemahan. Dari situ, barulah sedikit sebanyak orang akan mula menyedari kebolehan serta kesungguhan kita untuk berada terus dalam industri ini," katanya. Tidak terkecuali mengimpikan untuk berlakon filem pula, Bella yang sudah membuat kemunculan dalam filem Seru dan Gila-Gila Remaja 2 berharap akan ditawarkan watak utama suatu hari nanti. Ditanya sama ada dia sudah yakin untuk melakonkan watak utama dalam filem, dia berfikir sejenak sebelum mengangguk. "Tiada apa yang mustahil sekiranya seorang pelakon itu sentiasa percaya pada dirinya sendiri. Memanglah berlakon filem lebih susah berbanding drama, namun jika diberikan peluang, masa itulah saya kena tunjukkan sesuatu. "Saya seorang yang sentiasa optimis dan berfikiran positif. Jadi untuk diberikan watak yang lebih berat dalam filem, saya tidak gentar untuk menggalas apa jua peranan," katanya. Mengamalkan sikap bersederhana setiap kali berhari raya, Bella belum ada perancangan untuk mengadakan rumah terbuka secara besar-besaran pada tahun ini. "Selalunya, sambutan hari raya kami di Sabah biasa saja. Tiada apa yang istimewa dan persediaan pun tidaklah besar-besaran. Kami sekeluarga memang sudah terbiasa dengan cara sebegini. "Apa yang penting, bertemu saudara-mara. Saya paling suka apabila ramai yang datang bertandang terutama sekali rakan lama. Memang meriah seisi rumah pada waktu itu dan saya juga tidak ketinggalan untuk bertandang ke rumah yang lain pula," katanya |
Shera Aiyob Bersedia Dapat Cahaya Mata Posted: 26 Aug 2012 09:30 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon jelita Shera Aiyob mengakui sudah bersedia memikul tanggungjawab untuk bergelar ibu namun mengharapkan rezeki itu tiba selepas kerja-kerja lakonannya selesai. Shera berkata, keinginan itu sudah pun wujud selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon Zahiril Adzim pada November tahun lalu dan sedang menunggu sekiranya dikurniakan Allah rezeki sebagai pengikat cintanya dengan suami. "Sebenarnya saya sudah lama bersedia untuk timang anak dan tidak kisah bila-bila sahaja untuk menerima anugerah Allah itu. "Bagaimanapun, kalau boleh, biarlah kerja-kerja lakonan yang sedia ada selesai, baru mudah untuk saya menguruskan diri," katanya. Tambah Shera, sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan menerusi filem Karak terbitan KRU, tawaran berlakon yang diterimanya tidak pernah putus membuatkan dia kini lebih memberi fokus dalam bidang tersebut. "Alhamdulillah, banyak rezeki yang saya terima datang daripada tawaran berlakon. Untuk tahun ini sahaja, saya akan muncul dalam filem "Juvana" dan "Psiko". "Malah saya turut dipanggil dari sebuah majalah di Indonesia untuk menjadi penghias muka depan majalah itu. Mungkin juga ia satu peluang untuk saya melebarkan sayap kerjaya seni di negara seberang pula," ujarnya. Bertanyakan mengenai pengalamannya pertama kali beraya di samping suami, Shera akui statusnya sebagai isteri memberi sedikit kelainan dalam sambutan hari lebaran itu. "Mujurlah kami bukannya jenis yang berebut nak kena balik rumah siapa dahulu. "Pada raya pertama lalu, kami menyambutnya di rumah keluarga saya di Shah Alam dan pada sebelah petang, kami terus bertolak ke Ipoh, Perak, keluarga sebelah suami. "Mula-mula risau juga jika keluarga suami minta saya masak macam-macam, kerana saya bukannya pandai masak pun. Tetapi apa yang dibayangkan itu tak ada pun," selorohnya. |
Nora Danish & Bekas Suami Baik Kerana Anak Posted: 26 Aug 2012 09:29 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish menjelaskan hubungannya dengan bekas suami iaitu Rizal Ashram Ramli masih baik demi anak lelaki tunggal mereka. Nora berkata, sebagai seorang bapa, Rizal atau Jejai telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap Putra Rayqal Ramli. "Tiada apa-apa masalah antara kami kerana apa yang penting Rayqal mendapat kasih sayang yang cukup daripada kedua ibu-bapanya," ujarnya kepada mStar Online. Malah Nora berkata, Jejai sangat bertoleransi dengannya jika ada apa-apa perkara mengenai anak mereka itu. Dalam pada itu, Nora memberitahu dia menyambut Hari Raya pertama di rumah bekas keluarga mertuanya seperti kebiasaan kerana telah menjadi amalan mereka untuk berkumpul. Katanya, walaupun bukan lagi menjadi ahli keluarga Jejai, tetapi kehadirannya itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan anaknya dengan datuk dan neneknya. "Bekas ibu dan bapa mertua tidak pernah berkira untuk menjaga Rayqal ketika ketiadaan saya dan sebab itu saya juga tidak kisah jika mereka mahu Rayqal berhari raya di rumah mereka. "Malah Rayqal sangat rapat dan manja dengan datuknya iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib," ujarnya. Bakal muncul dengan filem Mencari Cinta bersama Rusdi Ramli, Nora memberitahu dia akan kembali sibuk dengan tawaran berlakon selepas Hari Raya nanti. |
Aaron Aziz Sudah Lama Jadi Pengarah Drama Posted: 26 Aug 2012 09:27 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon kacak Aaron Aziz berkata pembabitan sebagai seorang pengarah drama bukan perkara baru kerana dia sudah lama melakukan tugas tersebut sejak beberapa tahun lalu di Singapura. Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 36, berkata cabang pengarahan hanya sekadar hobi yang diminatinya dan ia adalah perkara baru bagi kalangan peminat di negara ini. "Peminat di Malaysia baru mengetahui saya boleh mengarah selepas menghasilkan klip video lagu Untuk Dia nyanyian kumpulan Sleeq dan Najwa Latif beberapa bulan lalu. "Sebenarnya saya sudah lama terlibat dalam bidang pengarahan. Sejak berlakon di Singapura lagi saya sudah mengarahkan beberapa projek drama dan klip video," katanya. Aaron berkata, dia membuat keputusan untuk mengarahkan klip video lagu itu kerana Sleeq merupakan artis naungan di bawah syarikat miliknya, Aaron Aziz Production. "Sudah kebetulan mereka (Sleeq) adalah artis yang bernaung di bawah syarikat saya, jadi apa salahnya saya mengarahkan klip video lagu itu. "Saya hanya mengambil sesuatu tugas pengarahan jika berkelapangan. Buat masa ini, saya tumpukan pada komitmen lakonan dulu," katanya. Mengenai sambutan Hari Raya, bapa kepada tiga anak ini berkata, mereka sekeluarga sempat menghabiskan masa selama seminggu di Singapura. Terbaru, drama bersiri 80 episod lakonan Aaron berjudul Adam dan Hawa akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 10 malam ini di Astro Mustika HD (saluran 134 ). |
Telefon Bimbit:Risiko Pejalan Kaki Posted: 26 Aug 2012 09:22 PM PDT PETALING JAYA: Risiko akibat gangguan semasa memandu sering diperkatakan namun golongan pakar memberi amaran terbaru mengenai gangguan yang dialami oleh pejalan kaki di Malaysia. Mereka berkata individu yang melintas jalan, menaiki tangga atau berjalan di kawasan terpencil sambil melihat telefon bimbit mereka terdedah kepada bahaya. Selain berdepan risiko terjatuh, mereka mungkin menjadi sasaran perompak atau perogol. Ahli neuropsikologi Dr Nivashinie Mohan berkata, kebanyakan orang tidak boleh melakukan pelbagai tugas dalam satu masa terutamanya jika aktiviti itu memerlukan seseorang untuk berfikir. "Kapasiti perhatian otak amat terhad," katanya. Pihak berkuasa trafik baru-baru ini memberi amaran terhadap trend berbahaya di kalangan pemandu ketika menggunakan Facebook, Twitter atau memuat turun gambar ketika memandu. Di bawah Seksyen 17A (1) Akta Pengangkutan Jalan, pemandu boleh didenda RM300 jika didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu. "Walaupun agak mustahil untuk menghantar emel atau teks semasa berjalan, tahap kesedaran dan perhatian seseorang terhadap persekitaran akan terjejas," katanya. Beliau berkata, golongan tersebut terutamanya wanita terdedah kepada serangan apabila terganggu. "Terlalu sibuk dengan perkara lain bermaksud minda kita berada di tempat lain dan inilah yang ditunggu oleh perompak," katanya. Associated Press baru-baru ini melaporkan bahawa beberapa negeri di Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan undang-undang untuk menyekat pejalan kaki daripada menggunakan telefon bimbit, fon kepala atau alat elektronik lain yang akan mengganggu ketika melintas jalan selepas 1,152 orang cedera pada tahun lalu ketika menggunakan alat elektronik. Kes tersebut melibatkan seorang wanita berusia 24 tahun yang melanggar tiang telefon ketika bermesej manakala seorang lelaki berusia 28 tahun terjatuh ketika sedang berbual menggunakan telefon bimbit. Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dilanggar sebuah trak ketika sedang leka bermain permainan video dan seorang wanita berusia 53 tahun terjatuh sehingga menyebabkan luka di bahagian mukanya ketika berjalan sambil bermesej. Bagaimanapun, cadangan itu menerima bantahan keras di negara tersebut. Kajian yang dilakukan Universiti Maryland menemui 116 kes di mana pejalan kaki terbunuh atau mengalami kecederaan parah ketika memakai fon kepala sepanjang tempoh enam tahun. Kajian selama dua tahun yang dikendalikan di Queensland, Australia oleh sebuah firma insurans mengetengahkan bagaimana penggunaan alat elektronik boleh mengganggu fokus seseorang. Ia mendedahkan bahawa 80% individu berusia di antara 18 dan 29 tahun menghantar mesej teks ketika sedang berjalan. Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ahmad Nasir Abdul Ghani berkata, pejalan kaki yang berasa terganggu oleh telefon bimbit mereka berdepan risiko kemalangan sama seperti mereka yang menggunakan peralatan itu ketika memandu. "Risiko adalah sama. Sama ada anda menggunakan telefon bimbit ketika memandu, melintas jalan atau berjalan kaki, anda perlu fokus sepenuhnya terhadap kawasan persekitaran," katanya. Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali berkata, terdapat beberapa kes pengguna komuter yang mengadu bahawa telefon bimbit mereka terjatuh ke trek kereta api ketika sedang memasuki pengangkutan awam itu. "Apabila perkara ini berlaku, kita tidak boleh membantu mereka mendapatkan semula peranti tersebut. Kebanyakan pengguna bergegas masuk ke dalam komuter sambil memegang telefon bimbit," katanya. |
Posted: 26 Aug 2012 09:17 PM PDT Sekolah dan ibu bapa kini tidak perlu bimbang pelajar ponteng sekolah jika menggunakan produk Schooltrac yang akan mengirim maklumat pergerakan murid dan anak mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel. Sistem dalam talian Kad Schooltrac mengandungi cip dan disambungkan serta dipantau terus ke pusat data sekolah untuk memaklumkan guru dan penjaga mengenai status kehadiran pelajar menerusi emel atau SMS. Produk itu diperkenalkan di negara ini oleh sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan, ABRA Corp Sdn Bhd yang menggunakan sistem dalam talian. Ia dapat memantau status kehadiran pelajar,selain merekodkan kehadiran pelajar di sekolah. Pengarah Projek ABRA Corp, Mohd Shahril Mahmud, berkata ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel daripada pusat data setiap kali pelajar memasuki atau keluar dari sekolah pada masa sebenar dalam tempoh satu atau dua saat. Katanya, ibu bapa hanya perlu membayar yuran bulanan RM10 bagi mendapatkan perkhidmatan itu di sekolah yang melanggan aplikasi berkenaan. Setakat ini, 20 sekolah sekitar Lembah Klang bekerjasama dengan ABRA Corp untuk menggunakan peranti SchoolTrac. "SchoolTrac juga alat yang boleh mengurangkan penggunaan kertas kerana semua maklumat kehadiran dicatatkan secara automatik dalam komputer menerusi pancaran sistem produk berkenaan. "Ia menggunakan teknologi Korea tetapi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan di Malaysia oleh ABRA Corp sendiri," katanya. Mohd Shahril berkata, pada masa ini pihaknya sedang berunding dengan Kementerian Pelajaran untuk menggunakan SchoolTrac di semua sekolah di seluruh negara. "Kami mengharapkan SchoolTrac akan terus berkembang menerusi kerjasama dengan kementerian," katanya. ABRA Corp menetapkan sasaran langganan di sebanyak 200 sekolah di Lembah Klang dalam tempoh setahun. INFO Schooltrac |
Posted: 26 Aug 2012 09:16 PM PDT DI tepi jalan besar dari Ulu Yam ke Batu Caves, Selangor sebuah lori berwarna putih tersergam gagah di pesisir kirinya. Di dalam lori, penuh dengan muatan buah-buah cempedak. Juga kelihatan kelibat seorang lelaki yang menyediakan keperluan. Dia mengangkat dapur dan kuali, periuk berisi isi cempedak dan sebagainya. Sekali imbas, tiada siapa menyangka bahawa umurnya sudah menginjak hampir 60 tahun. Namun, itulah batang tubuh milik Zainal Abidin Ghani, 59, yang bakal mengisi ruangan Jejak Asnaf kali ini. Seorang lelaki yang tidak mensesiakan peluang dan ruang yang diberi oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), untuk merubah kehidupan menjadi lebih bererti. "Saya memang sudah lama berniaga. Dahulu, sebelum saya mendapat lori zakat ini, saya menjual nasi lemak. Kala itu, pendapatan tidaklah seberapa. "Maklumlah, saya tidak mampu pergi jauh tanpa adanya kenderaan. Kadang kala, baru buka perniagaan, hari pula hujan. "Rugilah jawabnya. Pernah saya dilanda hujan ribut, habis terpelanting segala persiapan jualan. Sedih rasanya, modal sudah keluar, wang satu sen pun belum dapat," kata Zainal menceritakan liku-liku perniagaannya. Mengenangkan kisah lama, Zainal asalnya bekerja sebagai buruh kontrak di tapak-tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur. "Saya sudah ada di Kuala Lumpur pada awal tahun 1970-an. Saya bekerja kontrak dengan gaji ketika itu, hanya RM85 sebulan. Pernah juga saya menerima gaji harian, dengan nilai RM5.50 ketika itu. Pelbagai jenis bangunan saya bina, sama ada perumahan, bangunan kerajaan dan sebagainya. Bahkan, Universiti Malaya itupun, ada bangunan lamanya telah dibina oleh saya dan rakan-rakan," begitulah menunjukkan lamanya Zainal berkecimpung dalam dunia pembinaan. Dia menamatkan zaman sebagai pekerja kontrak pembinaan pada 2008 dan gaji kala itu RM55 sehari. Sepanjang bekerja sebagai buruh kontrak, tiga kali Allah panjangkan usianya. "Dua kali saya jatuh bangunan setinggi dua tingkat dan sekali saya ditimpa kayu-kayu penyangga tetulang bangunan. Jika tidak, mungkin saya sudah meninggal dunia," cerita Zainal. Apabila ditanya mengenai keseluruhan keadaan kehidupannya selama menjadi pekerja kontrak, Zainal menyatakan bahawa ia amat memeritkan. "Cuba bayangkan, dengan usia makin tua, kudrat makin kurang, gaji yang kecil, dibayar mengikut hari dan paling tinggi saya boleh bekerja 18 hari sebulan, berapa sangatlah pendapatan saya. "Tetapi, waktu itu saya tidak tergamak meminta bantuan zakat. Saya nekad mengusahakan sendiri keperluan setakat mana yang terdaya," ujar Zainal yang berasal dari Sekinchan, Selangor. Ketika ditanya tentang perkenalannya dengan LZS, Zainal memberitahu semuanya berkat kesungguhan seorang amil kariah yang memintanya mengisi borang bancian zakat. "Saya ini, usia sudah 50-an tetapi tanggungan pun ramai juga. Saya berkahwin kali kedua setelah isteri pertama meninggal dunia. Dengan isteri pertama saya mempunyai empat orang anak yang kini sudah pun dewasa. "Manakala, isteri kedua saya, kami dikurniakan seorang anak. Namun begitu, saya turut memelihara dua orang anak tiri dan juga seorang anak angkat," ujar Zainal. Katanya, sudahlah tanggungan ramai, pendapatan pula tidak menentu, jualan nasi lemak pula ada kalanya baik ada kalanya tidak dan biasanya mendapat keuntungan kasar RM70 sehari. "Semua keperluan keluarga tergantung kepada nasi lemak. Akhirnya, amil kariah yang tahu tentang keadaan saya, meminta saya mengisi borang bancian dan kemudiannya saya diterima sebagai asnaf pada 2010," tambah Zainal. |
Posted: 26 Aug 2012 09:14 PM PDT SUDAH puas Pengasas dan Pengerusi Yayasan Inovasi dan Keusahawanan Global (GIEF) ini berkecimpung dalam bidang inovasi, dia kini beralih kepada usaha memelihara kehijauan alam sekitar pula. Cerita Datuk Ghazi Sheikh Ramli, hijau itu luas dan dia memilih buluh untuk diterapkan dalam perjuangannya sejak tiga tahun lalu. Bila menyebut tentang buluh, selalunya hanya beberapa produk yang bermain dalam fikiran seperti bahan kraftangan dan lemang sedangkan pelbagai lagi yang boleh dicipta daripada spesies rumput itu. Di Barat, penghargaan serta inovasi mereka berasaskan buluh sudah jauh ke hadapan walaupun bahan itu sukar didapati berbanding negara-negara di Asia. Ujarnya, atas sebab itu jugalah dia mula mengumpul pelbagai barangan yang diperbuat daripada buluh bagi memberi kesedaran tentang potensi buluh berasaskan kekreatifan dan inovasi. "Setiap apa yang kita lakukan perlu ada erti, kepuasan serta manfaat kepada semua dan sebagai individu, kita juga perlu ada tanggungjawab sosial terhadap alam. "Saya memilih buluh bagi mempromosi gaya hidup hijau untuk negara kerana pelbagai barangan sebenarnya boleh dicipta daripada buluh selain yang biasa kita lihat. "Bagi saya, koleksi barangan daripada buluh milik saya ini sedikit sebanyak dapat memberi ilham serta berkongsi ilmu supaya orang lain boleh memanfaatkan malah menaik taraf ekonomi dan kesejahteraan masyarakat secara umum. "Apa yang kita boleh lakukan, menumpukan kepada gaya hidup hijau kerana penduduk di dunia semakin padat dan alam sekitar kita mula tercemar akibat karbon dioksida," ujar bekas Senator ini. Siapa sangka daripada buluh, pelbagai barangan harian dapat dihasilkan seperti sarung iPad, iPhone, komputer riba, kalkulator, tetikus dan bekas pemanas air melihatkan simpanan koleksi kesayangannya itu. Kebanyakan produk yang dimilikinya itu dibeli dari luar negara dan Ghazi yakin penduduk tempatan juga mampu mencipta barangan sedemikian asalkan diberi bimbingan yang betul. Koleksi kesayangannya sebuah gambus prototaip yang ditempah khas dari Sabah memandangkan dia juga amat gemar bermain alat muzik tradisional itu. "Saya berharap kerajaan dapat menjadikan buluh sebagai bahan ikonik untuk perubahan yang dapat memberi faedah kepada seluruh Malaysia," ujarnya yang sebelum ini pernah menganjurkan pertandingan mencipta kereta hibrid daripada buluh. |
Tradisi lempar makanan suku Tengger Posted: 26 Aug 2012 09:13 PM PDT MANUSIA dahulu kala mempercayai dewa-dewi menguasai semua aspek hidup mereka terutama dalam memberi kehidupan yang baik. Justeru, ada yang sanggup mengorbankan nyawa manusia dalam upacara pemujaan untuk membolehkan mereka mencapai kehidupan yang diingini itu. Peredaran zaman bagaimanapun menyaksikan kebanyakan kepercayaan dan upacara berkenaan tidak lagi diamalkan. Bagaimanapun, suku Tengger beragama Hindu yang tinggal di Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia, masih mengamalkan kepercayaan tradisional yang dikatakan boleh membawa tuah dalam kehidupan mereka. Menganggap Gunung Berapi Bromo yang terletak berhampiran sebagai suci, suku Tengger akan mengadakan Festival Yadnya Kasada atau Kasodo setahun sekali, iaitu sekitar 14 atau 15 dalam bulan Kasodo (ke-10) menurut kalendar Jawa. Upacara ini bertempat di sebuah pura atau candi di bawah kaki Bromo utara dan dilanjutkan ke puncaknya. Semasa upacara berlangsung bermula awal pagi, beratus-ratus penduduk suku Tengger akan mendaki Bromo yang setinggi 2,328 meter. Mereka akan membawa bersama pelbagai jenis barangan seperti beras, haiwan ternakan, sayur-sayuran, buah-buahan dan wang sebagai 'hadiah' untuk dewa-dewi. Dalam upacara berkenaan, suku Tengger akan memasuki kawah Bromo dan mengambil kedudukan masing-masing. Mereka kemudian akan melemparkan barangan yang dibawa tersebut ke bawah gunung tersebut. Lebih menarik perhatian, sekumpulan lagi penduduk akan berada di kawasan cerun gunung tersebut dengan memegang jaring. Walaupun berbahaya, mereka sanggup menunggu untuk menangkap barangan yang dilemparkan kerana ia dikatakan boleh membawa tuah. Berdasarkan legenda, ritual yang diamalkan sejak kurun ke-15 itu bermula apabila seorang puteri bernama Roro Anteng mengasaskan kepercayaan suku Tengger tersebut dengan suaminya, Joko Seger. Pasangan suami isteri itu yang tidak mempunyai anak, meminta dewa gunung membantu dan mereka dikurniakan 24 orang anak. Anak ke-25 bernama Kesuma perlu dikorbankan untuk Gunung Berapi Bromo lalu Roro dan Joko telah melakukan pengorbanan tersebut. Walaupun amalan itu masih dilakukan, suku Tengger kini tidak lagi menggunakan manusia sebagai korban, sebaliknya beralih kepada haiwan dan makanan. |
Posted: 26 Aug 2012 09:11 PM PDT "HAMPIR setahun lamanya saya memendam rasa, menyimpan perasaan geram, dendam dan marah terhadap diri sendiri. Tetapi sebaik saja terbaca curahan hati Nur Aquila 12 Ogos lalu, saya beranikan diri menulis di ruangan ini dan menghubungi puan. Semuanya berpunca kerana kecurangan isteri saya Khaty. ''Kalau selama ini saya mendengar rintihan wanita yang kecewa kerana suami curang, kini baru saya rasakan betapa pedihnya hati mereka. Tetapi kepada kaum lelaki penderitaannya lebih teruk lagi kerana mereka rasa tercabar,'' itu cerita Nazary ketika kami berbual di telefon setelah mendapat nota dan e-melnya minggu lalu. ''Saya benar-benar tak sangka isteri yang amat saya sayang, cinta dan setia dengannya, setelah lebih 20 tahun berkahwin, sanggup main cinta dengan lelaki lain sehingga terlanjur tanpa rasa berdosa. ''Malu sungguh, anak-anak dah besar panjang, dah masuk kolej, malangnya Khaty sanggup main cinta dengan jantan yang hampir sebaya dengan anak sulung kami. Mana muka saya nak letak kalau cerita buruk ini terbongkar. Bukan setakat Khaty saja malu, saya lebih lagi. ''Semuanya bermula apabila jiran saya buat rumah baru. Oleh kerana kawasan rumah kami bertentangan, adalah seorang pekerja kontrak Indonesia, Anto yang amat peramah menegur Khaty. Mula-mula minta air nak sejukkan tekak, lepas tu pandai-pandai tumpang berteduh di belakang rumah kami. Saya pernah ternampak dia menegur Khaty dan berbual. ''Fikirkan sesekali Anto minta air, saya diam sahaja, rupanya selalu, saya tak nampak. Mula-mula minta air sejuk kosong, kemudian Khaty tambah perisa siraplah, manggalah, laici dan entah apa-apa saya tak tahu. Yang saya sedar seminggu sekali Khaty akan beli bahan minuman tersebut atau minta saya belikan. Pelik juga kerana kami sekeluarga tak berapa suka minuman manis. ''Begitulah hubungan mereka lebih tiga bulan, lama-lama tentulah jadi mesra. Sudah tidak ada segan silu lagi. Malah Anto boleh berbual hingga ke tingkap belakang rumah tanpa hormatkan saya yang ada di dalam. Bila-bila suka dia panggil Khaty minta bawakan air. Macam Khaty kuli dia. ''Saya pernah tegur dan nasihatkan Khaty supaya jangan terlalu baik dengan pekerja tersebut, bukan apa takut sesuatu yang buruk berlaku, maklum kami ada anak gadis. Lagipun saya dah baca banyak berita tentang anak-anak gadis dibawa lari atau kahwin lari dengan lelaki seberang. Jadi lebih baik kita cegah sebelum terjadi. ''Namun Khaty kata saya tak perlu risau, Anto sudah dianggap seperti anak angkatnya. Dia kesian tengok Anto bekerja keras cari wang untuk dikirim kepada ibunya di kampung. Konon Anto seorang anak baik budi bahasa, hormat orang tua dan memanggil Khaty 'mama'. ''Walau apa pun cerita Khaty membela Anto, saya tetap tidak setuju dan nasihatkannya jangan terlalu rapat. Lepas rumah itu siap dibina, Anto berpindah ke tempat kerja lain. Sejak itu cerita baru timbul. Khaty sering telefon Anto, katanya tanya khabar, nasihatkan dia supaya rajin solat, jaga kesihatan supaya tidak sakit. ''Cara Khaty ambil berat tentang Anto amat berlebihan. Nasib Khaty bekerja, jika tidak tentu dia sanggup hantarkan nasi untuk Anto makan, begitulah sayangnya Khaty pada Anto. Diam tak diam saya dapati Khaty sering belikan top-up telefon Anto. Awalnya saya tak perasan hinggalah saya lihat Khaty berjalan kaki ke kedai depan rumah kami untuk beli top-up. Ini sudah lebih! ''Melihat eratnya hubungan antara emak dan anak angkat ini hati saya mula timbul syak. Nak jadikan cerita, satu hari Khaty minta belikan telefon baru, nak yang canggih katanya. Saya belikan dan saya sertakan software spy call. Dari situlah saya dapat kesan perbualan dan hubungan mereka. ''Dari apa yang dirakamkan itu juga saya dapat tahu Khaty telah keluarkan sejumlah duit yang banyak kepada Anto. Tapi tak pernah bayar. Bab tolong bayarkan top-up sudah jadi perkara biasa. Boleh dikatakan selang sehari Khaty belikan top-up RM20. ''Hasil siasatan saya, Khaty telefon Anto dalam sehari dua tiga kali. Ada bual kosong, ada juga manja-manja. 'Pernah satu ketika melalui spy call, terkejut saya dengar perbualan mereka. Bukan bunyi antara emak dan anak angkat tetapi macam kekasih. ''Saya mula syak benda tak baik bila Anto kata dia rindu kehangatan tubuh Khaty dan kemesraan layanannya. Apa benda ni? Ini dah jadi lain? Apa lagi bila semua bukti sudah dalam tangan, saya tanya Khaty. Pastilah dia nafikan. Tapi bila saya suruh dia dengar suaranya memadu asmara melalui rakaman komputer, dia terkejut. Barulah menangis, menyesal dan minta ampun. Khaty janji akan putuskan hubungan dengan Anto. ''Khaty nafikan mereka terlanjur tetapi saya tanya berkali-kali dan suruh dia bersumpah, kalau tipu maka gugurlah talak ke atasnya. Barulah Khaty mengaku. Apa lagi untuk lepaskan geram, saya pukul Khaty di dalam bilik supaya tidak diketahui oleh anak-anak. ''Bila saya tanya berapa kali dan di mana dia buat projek, katanya cuma sekali di hotel. Saya tak percaya dan tanya lagi, Khaty mengaku dua kali. Saya masih tak percaya. Saya minta nasihat pegawai kaunseling di Mahkamah Syariah. Kalau ikutkan hati mahu saya ceraikan Khaty tetapi fikirkan anak-anak yang masih belajar, saya terpaksa telan. Akibatnya jiwa saya terus menderita kerana tak mahu anak-anak sedih dan malu dengan perangai buruk emak mereka yang dah tua tak sedar diri ini. ''Kini walaupun peristiwa keji ini sudah berlalu hampir setahun tapi saya tak boleh kawal perasaan marah saya. Mangsanya pastilah Khaty. Bila angin amarah saya datang, tangan saya cepat singgah ke badan Khaty. Saya pukul dia tetapi rasa marah ini tidak pernah surut apa lagi padam. ''Saya pernah ugut kahwin lagi, Khaty tak marah, katanya kahwinlah jika itu boleh menebus dosanya terhadap saya. Saya bukan kejam, apa lagi kaki perempuan tapi mengapa Khaty sanggup curang terhadap saya. ''Saya tak tahu berapa lama mesti sabar tapi saya terpaksa telan demi anak-anak,'' luah Nazary dengan suara tersekat-sekat. |
Posted: 26 Aug 2012 09:10 PM PDT SAUJANA mata memandang. Kedudukan Trio Restoran di Jalan Liew Weng Chee, Off Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur ini menarik perhatian pengunjung yang gemarkan suasana tenang. Disember 2011 merupakan permulaan buat Trio Restoran mengembangkan perniagaan di Malaysia yang berkonsepkan santai dan lebih eksklusif. Menurut pemiliknya, Syed Omid Aman Pour, yang berasal dari Iran, beliau amat mengagumi Malaysia yang mempunyai variasi etnik dan budaya. Justeru, pelbagai makanan yang berbeza mudah didapati di negara ini. "Oleh sebab itu, saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi budaya masakan dari negara saya dengan orang Malaysia. "Nama restoran, Trio merujuk kepada tiga jenis konsep masakan yang terdapat di restoran ini iaitu Barat, Arab dan tempatan. "Sempena Ramadan lalu, kami mengadakan pakej bufet dengan lebih daripada lima jenis manisan dan pencuci mulut. Pakej ini dilanjutkan sehingga dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya. Antara menu istimewa yang menjadi tarikan pelanggan ialah spegeti daging Itali, ayam sayuran, ayam Kabsah dan kebab daging. Menariknya lagi, restoran ini turut menyajikan persembahan silap mata dan kugiran untuk pelanggan. Sementara itu, nasi lemak, rendang daging, beriani dan lamb chop turut menjadi menu utama di restoran tersebut. |
Posted: 26 Aug 2012 08:50 PM PDT WALAUPUN Syawal sudah memasuki hari keenam, belum terlambat rasanya saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua pembaca ruangan ini. Saya yakin, seperti tahun-tahun sebelumnya, hari raya kali ini disambut penuh meriah. Antara hidangan keluarga saya yang wajib disediakan adalah rendang Negeri Sembilan atau juga dikenali dengan rendang Minang untuk dimakan bersama ketupat dan lemang. Inilah Istimewanya jika beraya di kampung saya di Nilai, Negeri Sembilan. Orang kata jika tiada rendang Minang tidak lengkaplah raya kami sekeluarga. Ia berlainan dari rendang biasa dari segi cara memasak, rasa dan warnanya. Untuk membuat rendang ini, anda boleh menggunakan ayam, itik, daging lembu atau kambing. Kebiasaannya untuk membuat rendang gunakan daging yang pejal dan tidak mudah hancur seperti ayam kampung atau ayam pencen, itik dan lembu kerana tekstur daging yang keras dan tidak mudah hancur ketika dimasak lama. Jika anda ingin menggunakan ayam biasa anda perlu memasukkan daging ketika kuah rendang telah kering dan dikacau sehingga menjadi rendang supaya ia tidak hancur. Rendang ini menggunakan banyak cili api atau cili padi. Sebab itu ia sedikit pedas. Bahan lain yang digunakan lebih kurang sama dengan bahan rendang biasa. Selain daging ia menggunakan organ dalaman seperti hati, limpa dan paru. Teknik merendangnya pula anda tidak perlu menumis bahan-bahan kisar. Tetapi semuanya dicampurkan sekali dan dimasak dengan api perlahan sehingga rendang kering. Santan yang dimasak akan mengeluarkan minyak setelah ia masak. Daging perlu dimasak dahulu bersama-sama rempah yang telah dikisar sehingga menjadi kecut dan mesra dengan rempah-rempahnya. Ini akan membuatkan daging dapat meresap semua rempah yang dikisar. Kemudian barulah dimasukkan santan dan direndang sehingga kering. Sebaik-baiknya gunakan santan asli agar rendang lebih sedap. Gunakan api yang sederhana agar daging menjadi empuk dan semua rasa meresap dalam daging. Sentiasa dikacau supaya rendang tidak berkerak dan hangit. Proses akhir adalah masukkan kerisik bagi memberikan rasa lebih lemak di samping ia dapat memekatkan kuah rendang dan memberikan warna yang lebih gelap pada rendang ini. |
Arfidah bela wanita terpinggir Posted: 26 Aug 2012 08:49 PM PDT JIKA disingkap perjalanan hidup wanita ini di masa lalu, lebih banyak pahit daripada manisnya. Pengalaman hidup bergelumang dengan najis dadah menjadikan Arfidah Abdul Latif, 58, wanita keras hati. Siapa sangka, Pengasas Rumah Sinar Salam ini menghabiskan separuh usia mudanya menghambakan diri kepada dadah yang menjadikan kehidupannya terumbang-ambing. Berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur, anak keenam daripada 12 adik-beradik ini terbabit dengan dadah ketika di peringkat remaja. "Usia muda saya sangat sukar, tidak terurus. Sakitnya waktu itu Tuhan saja yang tahu. Saya hidup tanpa pedoman. "Waktu itu saya sudah berumah tangga kemudian bercerai dengan tiga orang anak. Dek kerana enggan meneruskan kehidupan yang semakin sukar, saya benar-benar berazam kembali ke pangkal jalan. "Tetapi waktu itu saya tidak tahu bagaimana caranya. Tiada tempat untuk mendapatkan bimbingan. Ibu membantu mencari jalan agar saya boleh berhenti menghisap dadah," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Kata Arfidah, akhirnya pada usia 38 tahun, dia secara sukarela memasuki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Bachok, Kelantan, pada tahun 1994 dan setahun kemudian dibebaskan. Seumpama mendapat kehidupan baru, kira-kira dua tahun, Arfidah cuba menyesuaikan diri dengan pandangan masyarakat terhadap bekas penagih dadah sepertinya yang tiada pekerjaan. "Masa itu baru saya rasa segala perbuatan yang saya buat selama ini sia-sia dan bermula dari situ saya berniat membantu insan yang senasib dengan saya keluar dari belenggu najis dadah agar mereka tidak terus terjebak dengan gejala sosial lain. "Saya mula menyediakan diri dengan melakukan kerja-kerja amal di P.T Foundation pada tahun 2001, Pusat Aktiviti Kanak-kanak di Chow Kit di bawah Jabatan Kebajikan masyarakat pada tahun 2003, menjadi Pembimbing Rakan Sebaya 2004 dan pernah menerima Anugerah Wanita Bebas Dadah pada tahun 2004 oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya. Arfidah juga menjadikan rumahnya di Kampung Baru sebagai rumah perlindungan kepada bekas atau penagih dadah, masyarakat gelandangan dan bekas pelacur yang dinamakan Pondok Harapan pada tahun 1998. "Masa itu saya membantu mereka tanpa dana dan peruntukan daripada mana-mana pihak. Saya menyediakan kelengkapan dan makanan apa yang termampu dengan duit hasil kerja-kerja kebajikan yang saya lakukan. "Sudah tentulah apabila saya menjadikan rumah sebagai pusat perlindungan, bila balik kerja saya dapati banyak barang saya hilang," katanya. Namun kerana ingin melihat golongan ini semakin pulih dalam kehidupan, Arfidah berusaha sedaya upaya membimbing mereka. Jelasnya, masa itu dia mula menjejakkan kaki ke masjid. Oleh kerana ingin menebus dosanya yang lalu, dia membasuh tandas atau menyapu sampah di Masjid Kampung Baru tanpa meminta upah. "Orang kata saya gila, tapi lama-kelamaan apabila saya membawa bersama 'jemaah' saya dari Pondok Harapan, ramai yang melihat saya benar-benar berazam membimbing rakan-rakan lain," katanya. Kehidupan Arfidah semakin lengkap, apabila pada tahun 2004, dia berkahwin dengan Raja Azizan Suhaimi Raja Abdul Latiff, 53, seorang sukarelawan di Yayasan Salam pada masa itu yang sebelumnya juga merupakan penagih dadah tegar. Kini, perjalanan Arfidah untuk mengadakan temu seru (outreach) dengan golongan sasaran dibantu suaminya dengan cara mereka sendiri. Pada tahun 2005, Arfidah kemudian dipertemukan dengan saya yang kemudian melaporkan pendedahan demi pendedahan kisah persundalan yang berlaku di sekitar Chow Kit, Lorong Haji Taib, kisah anak-anak lorong, anak-anak Chow Kit, wanita dan HIV, gelandangan dan sebagainya yang diterbitkan di dalam Utusan Malaysia, seterusnya diikuti media-media lain. Kuasa media memang terbukti, selepas pelbagai pendedahan yang membuka mata masyarakat, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) akhirnya tampil memberikan bantuan dan geran sehingga tertubuhnya Rumah Sinar Salam di Lorong Haji Taib 3, Kuala Lumpur, pada tahun 2008. Pihak AADK turut menawarkan bantuan memberikan geran kepada setiap program yang bakal dijalankan oleh rumah perlindungan ini. Selain itu, banyak pihak kini turut menyumbang termasuk orang-orang perseorangan. Rumah Sinar Salam dibuka khusus menempatkan penagih dadah tegar yang mahu kembali ke pangkal jalan, memberi bantuan kepada masyarakat gelandangan, bekas pelacur dan HIV dengan mengadakan outreach, menyelamatkan anak-anak lorong dan cuba membendung masalah sosial yang berlaku di persekitarannya. "Jika dahulu rumah perlindungan ini dibuka satu tingkat kini bertambah jadi tiga tingkat kerana pertambahan penghuni. Hakikatnya, peruntukan yang ada perlu ditambah untuk menampung kos . Rumah ini juga perlu mempunyai van sendiri untuk menghantar penghuni yang sakit atau mahu bersalin ke hospital," katanya yang sering dijemput sebagai penceramah di bengkel-bengkel anjuran AADK di seluruh negara. Arfidah juga katanya, berminat dengan bantuan dana 1 Malaysia For Youth (1M4U) dari kerajaan untuk digunakan Rumah Sinar Salam kerana rumah berkenaan memberi tumpuan terhadap permasalahan wanita, kanak-kanak serta remaja. Selepas beberapa tahun penglibatannya, Arfidah kini mampu berpuas hati dengan penurunan kadar jenayah sosial di sekitar Chow Kit. "Kita dapati, aktiviti dadah berkurangan sehingga 65 peratus, masalah anak-anak lorong juga sudah terbela, yang tiada kad pengenalan dan surat beranak serta tidak bersekolah sudah diuruskan. Masalah persundalan menurun sehingga 80 peratus, kalau yang ada sekarang golongan pondan masyarakat pendatang. "Masalah sekarang aktiviti jenayah dan persundalan dilakukan orang-orang luar, sedangkan aktiviti berkenaan memang sudah sedia ada di sini," katanya. Jelasnya, bukan mudah melakukan aktiviti sukarela seperti ini selain memerlukan kesabaran, berhabis duit dan masa, ramai daripada golongan sasaran menganggapnya 'penyibuk'. Apabila ditanya mengapa perlunya rumah-rumah seperti ini, dia berkata, jika tiada rumah seperti Rumah Sinar Salam ini, mungkin masalah sosial terus berkembang kerana golongan seperti ini memerlukan tempat rujukan untuk hala tuju mereka. Biarpun masih mencari pelapis untuk meneruskan usaha-usahanya, Arfidah yang kini tidak berapa sihat, masih bergiat aktif biarpun terpaksa melakukan outreach secara bertatih. Wajahnya sering terpapar di kaca televisyen dan dada akhbar sebagai insan yang amat komited membantu masyarakat terpinggir. |
Posted: 26 Aug 2012 08:48 PM PDT HENDAK buat atau tidak rumah terbuka tahun ini? Saudara mara pula sudah asyik bertanya untuk bertandang beramai-ramai waktu hari raya nanti." Itu antara persoalan yang seringkali timbul terutamanya semasa dalam bulan Syawal. Runsing apabila memikirkan jumlah tetamu yang akan dijemput, kuantiti makanan yang hendak dimasak dan yang paling penting ialah bajet untuk menampung keseluruhan kos rumah terbuka. Sepanjang bulan Syawal, kita disarankan untuk mengeratkan ukhuwah di antara umat Islam dengan saling kunjung-mengunjungi, bermaafan dan beramah mesra serta memuliakan para tetamu yang datang ke rumah. Begitu juga bagi mereka yang ingin mengadakan majlis rumah terbuka dengan mengelakkan sebarang unsur pembaziran ketika mengadakan jamuan keraian berkenaan. Menurut Pengurus Hidayah Maju Catering, Lela Zamzam, 53, menyenaraikan jumlah tetamu yang akan hadir sangat penting untuk mengetahui jumlah makanan yang akan disediakan. Tambahan pula katanya, ketika bulan itu ramai di kalangan kita yang mengadakan jamuan yang sama dan sudah tentu jemputan yang datang tidak akan dapat makan dengan banyak ataupun tidak datang memenuhi jemputan. "Sekiranya tuan rumah mengambil pendekatan bersederhana, makanan yang dihidangkan walaupun banyak dapat dikurangkan bajetnya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini. Selain itu katanya, bagi suri rumah yang baru pertama kali mahu mengadakan majlis rumah terbuka, paling penting sekali mereka harus menetapkan jumlah menu yang kecil merangkumi dua hidangan berat dan satu hidangan ringan. Contohnya menjamu tetamu dengan set nasi beriani atau nasi ayam. Manakala bagi hidangan ringan pula pencuci mulut seperti puding, kuih karipap, donat atau buah-buahan boleh dihidangkan. "Nasi beriani dan nasi ayam adalah lebih mudah kerana ia ada set sendiri dan tidak memerlukan banyak lauk. Satu lauk dan sayur (acar) sudah cukup melengkapkan set hidangan tersebut," kata Lela. Bagaimanapun, Lela menasihatkan tuan rumah supaya tidak menyediakan menu yang terlalu berlebih-lebihan. Cukuplah sekadar dapat mengenyangkan tetamu, memeriahkan suasana dan menyerikan meja. ''Paling penting menu yang disediakan mampu menaikkan selera para tetamu. Tidak dinafikan bahawa sesetengah individu mahu menyediakan pelbagai menu sampingan seperti lemang, ketupat dan sebagainya. "Namun begitu, faktor menganggarkan jumlah makanan wajib dipandang 'serius' untuk mengelakkan pembaziran yang melampau," katanya. Tambah Lela lagi, menu-menu yang dipilih tidak perlu menggunakan bahan-bahan yang mahal malah disarankan untuk menggunakan bahan-bahan tempatan yang lebih murah. "Jika ada bahan yang mahal dalam resipi sajian, anda boleh mengubah suai resipi tersebut mengikut kreativiti sendiri dengan bahan yang lebih murah," katanya. Seterusnya Lela menambah, mengenai pemilihan kualiti bahan mentah dia meminta pengguna tidak mudah tertipu dengan muslihat sesetengah peniaga yang menipu pelanggan menjual barangan dengan kualiti yang rendah. Ini untuk mengelakkan daripada bahan-bahan yang dimasak tadi tidak akan mudah rosak, menyebabkan ia tidak dijamah oleh tetamu. |
Posted: 26 Aug 2012 08:47 PM PDT GOLONGAN kurang bernasib baik di negara ini sememangnya tidak pernah dilupakan apatah lagi jika ia membabitkan kanak-kanak dan pendidikan. Berkongsi semangat tersebut Procter & Gamble (P&G) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diberi nama Open Minds baru-baru ini telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada golongan kurang upaya. Dana tersebut dikumpul melalui kempen Sumbangan Ilmu yang dilakukan dengan kerjasama pasar raya besar Giant dan Guardian. Dana itu diagihkan kepada lapan pusat kanak-kanak iaitu Persatuan Kanak-kanak Istimewa Ampang; Tasputra Perkim; Persatuan Kanak-kanak Istimewa Kajang; Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang; Persatuan untuk Insan Bermasalah Intelektual Perak; Persatuan bagi Kanak-kanak Kerencatan Akal Johor; Pusat Seri Mengasih Sabah dan Pusat Autisme Kuching. Masing-masing menerima RM25,000 yang bakal digunakan untuk latihan dan terapi kanak-kanak istimewa terbabit. Sumbangan disampaikan kepada wakil rumah-rumah kebajikan berkenaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif P&G, Malaysia & Singapura, Ellie Xie dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Ho Mun Ha dan Pengurus Besar Merchandising Guardian Pharmacy, Soon Ai Lan. Sementara itu Presiden Tasputra Perkim, Elahe Norman gembira dengan sumbangan tersebut yang boleh dimanfaatkan untuk kanak-kanak istimewa. "Dengan bantuan daripada syarikat korporat ini, kita boleh memajukan program terapi percakapan yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anak," katanya. Menurut Elahe, biarpun keadaan diri kanak-kanak terbabit serba kurang, tetapi ia tidak mematahkan semangat mereka untuk belajar. "Mereka mempunyai jiwa yang kental untuk mempelajari sesuatu yang baru walaupun dalam keadaan fizikal terbatas," katanya. Presiden Persatuan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang, Ng Fook On berkata, usaha bersepadu itu dapat membantu meringankan beban kewangan pusat terbabit. "Saya sangat menghargai usaha ini kerana ia memberikan harapan dan kegembiraan kepada kanak-kanak dengan istimewa ini," katanya. |
Posted: 26 Aug 2012 08:45 PM PDT Dahulu sebelum dipenjara Aizat (bukan nama sebenar), 28, adalah seorang lelaki yang panas baran dan mempunyai sisi hidup yang cukup gelap. Namun, selepas dia ditahan dan disumbat ke penjara ternyata tersimpan seribu hikmah yang tersembunyi. Hanya dia yang dapat merasai perubahan pada dirinya kala ini. Katanya, dia kini lebih tenang dan gembira menjalani kehidupan biasa. Dia juga kini membantu abangnya bekerja sebagai penghantar barangan runcit kepada pasar raya di sekitar Kuala Lumpur. Ketika ini Aizat sedang menjalani parol yang masih berbaki tiga bulan lebih sebelum dia dibebaskan sepenuhnya. Dia mula ditahan pada tahun 2010 atas kesalahan memiliki senjata api iaitu pistol jenis Bronze semi automatik 8 milimiter. Dia akan bebas sepenuhnya pada November tahun ini. Pastinya Ramadan dan Syawal tahun ini lebih bermakna pada kerana berpeluang menyambutnya bersama keluarga tercinta. Dia yang ditemui baru-baru ini mengakui gembira dan bersyukur kerana diberi kesempatan menyambut Ramadan dan beraya bersama keluarga. "Pengalaman berpuasa dan beraya selama dua tahun di penjara tanpa keluarga banyak menginsafkan saya. "Saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana suasananya sangat berbeza dan akan menjadikan Ramadan kali ini paling bermakna dalam hidup," katanya. Bercerita lanjut tentang kesalahan yang dilakukannya dua tahun lepas, dia mengakui apa yang terjadi disebabkan dirinya terlalu mengikut kata hati. "Sebelum terlibat dengan kumpulan gangster, saya pernah bekerja dengan agensi kerajaan. Namun, kerja di situ tidak bertahan lama. "Kerana tertekan apabila sering ditindas dan dibuli, saya akhirnya berhenti kerja dan menganggur seketika," katanya. Ketika sedang mencari-cari pekerjaan, dia telah bertemu dengan seorang kenalan lama yang menawarkan pekerjaan sebagai penjaga kelab malam. "Tanpa berfikir panjang saya menerima tawaran tersebut. Lagipun ketika itu saya amat memerlukan pekerjaan untuk menampung kehidupan. "Bekerja sebagai penjaga kelab malam, saya mula kenal dengan pelbagai jenis manusia. Di situ juga saya sudah pandai meminum arak dan sering mabuk," katanya. Tambahnya, sepanjang bekerja di situ, keselamatannya sentiasa terjamin kerana kawan-kawan di sekelilingnya adalah di kalangan gangster yang terkenal dan digeruni. "Apabila timbul masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan cara baik, saya akan meminta bantuan mereka. "Pernah berlaku satu kemalangan yang menyebabkan kereta saya dilanggar dari belakang. Kerosakan tidaklah teruk sangat. Apabila meminta dibayar ganti rugi, pemilik kenderaan tersebut enggan membayar. "Selepas meminta bantuan dari kawan-kawan gangster tersebut, barulah masalah dapat diselesaikan dengan mudah," ujarnya. Apabila melihat kawan-kawannya sentiasa terlepas daripada hukuman dan nampak berani apabila memiliki sendiri senjata api, dia juga tidak teragak-agak memiliki pistol. "Ketika memiliki pistol tersebut, saya langsung tidak memikirkan kesannya. Apa yang saya inginkan adalah keseronokan dan ketika itu pistol diibaratkan sebagai senjata pertahanan diri. "Saya juga tahu pistol tidak boleh disimpan sebagai milik peribadi oleh individu jika tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan dari pihak berkuasa," katanya. Tambahnya, hidupnya telah berubah apabila ditahan ketika berada di sempadan antara negara Thailand dan Malaysia. "Saya dan beberapa orang rakan ke sana untuk bercuti. Ketika melalui pemeriksaan kastam, saya telah ditahan dan hidup saya telah berubah mulai saat itu. "Selepas ditahan beberapa bulan, saya diuji apabila ibu yang disayangi meninggal dunia. Ketika itu perasaan sedih tidak dapat digambarkan kerana tidak sempat berjumpa dengannya," katanya. Ujarnya, dia sangat terkilan ketika itu kerana hanya diberitahu tentang pemergian ibu tersayang setelah sebulan ibunya meninggal. "Keluarga cuba merahsiakan dari pengetahuan saya kerana tidak mahu menambah lagi tekanan pada saya ketika itu. "Selepas pemergian ibu, saya rasa sangat bersalah kerana membuat dia merasa sedih di saat-saat ajalnya tiba. Namun apapun yang berlaku saya reda dengan semua ketentuan ini," katanya. Tambahnya lagi, selepas dibebaskan nanti dia akan meneruskan hidup baru dan berusaha memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik. "Ketika berada di penjara banyak ilmu yang saya pelajari. Saya lebih mengenal dan mendekati Allah berbanding dahulu," katanya. |
Posted: 26 Aug 2012 08:44 PM PDT JADUAL waktu wanita tinggi lampai ini cukup padat. Usai saja waktu kerja, dia terus bergegas menukar pakaian sukan dan beraksi sama ada di gelanggang futsal, bola jaring, lorong boling mahupun kolam renang. Di hujung minggu pula, awal-awal pagi lagi dia sudah membakar lemak dengan berjoging di trek joging bersama rakan-rakan. Cerita pemilik nama Mariatie Mohd. Noor, dia menjadikan sukan sebagai gaya hidupnya kerana mahukan pengisian yang sihat. "Sukan ternyata baik untuk kesihatan. Dalam masa yang sama ia juga sebenarnya baik untuk kecantikan. "Apabila kita berpeluh, segala toksin di dalam badan keluar melalui peluh lalu membuatkan wajah kita kembali segar. "Memang bersukan memenatkan. Tetapi apabila sudah biasa dan dapat momentum, anda pasti seronok dan ketagih untuk berpeluh," ujarnya yang aktif bersukan mewakili pejabatnya. Terangnya lagi, apa yang penting adalah penjagaan wajah sebelum dan selepas bersukan. Krim penghadang matahari merupakan kawan baiknya bagi memastikan warna kulitnya kekal sekata di sebalik sinar matahari. Dia turut menafikan wanita yang aktif bersukan hilang sifat femininnya. "Apabila bersukan sememangnya kita akan nampak lasak. Namun selepas itu, saya juga seperti wanita lain, suka bergaya dan mengenakan solekan agar tampak ayu," ujarnya. |
Posted: 26 Aug 2012 08:42 PM PDT SUDAH lama penulis mahu mengaturkan sesi fotografi bersama usahawan muda ini tetapi ketika itu wanita ini sedang sarat mengandung. Usai saja tempoh berpantang, penulis terus mendapatkan pemilik nama Nur Furyna Azmir - pengasas produk kecantikan Nano-V-Skincare untuk ruangan Diari Panca. Penulis bersama jurugambar, Abdul Razak Latif disambut mesra oleh Furyna setibanya di pekarangan rumahnya di Kajang, Selangor. Melihat wajahnya yang ceria dan tubuhnya yang ramping, siapa sangka dia baru saja selamat melahirkan bayi lelaki yang sihat, Adam Darish sebulan yang lalu. Tambahan, si kecil itu bukanlah anak pertamanya kerana Furyna sudah pun mempunyai seorang puteri, Amanda Delysha yang kini berusia tiga tahun. Tertanya-tanya juga apakah rahsianya dapat mengekalkan kejelitaan wajah dan tubuh badan. Badan tak ubah seperti anak dara, wajahnya tidak kusam walaupun berjaga malam menjaga anak-anak kecil. "Tiada apa rahsia. Selain berpantang cara tradisional, saya kini mengamalkan pengambilan produk minuman kesihatan terbaru saya, Gluta V + Stem Sel Epal. "Selain stem sel Epal, terdapat 15 ramuan lain seperti kolagen, sarang burung layang-layang, delima, manggis, kacip fatimah, stem sel roselle dan pueraria mirifica yang baik untuk luaran dan dalaman wanita. "Ia juga mengembalikan keremajaan dengan mencerahkan serta menganjalkan kulit," ujarnya. Jadual waktu hariannya yang sibuk dengan menguruskan rumah tangga dan dalam masa sama memantau perniagaannya walaupun baru saja habis berpantang membuatkan minuman jus kesihatan amat diperlukan untuk menambahkan tenaga. Akuinya, tidak mudah membahagikan masa antara keluarga dan perniagaannya yang kini kian rancak namun apapun keluarga tetap menjadi keutamaannya. Moden klasik Menjenguk ruang dalam rumahnya yang baru diduduki itu, timbul perasaan kagum atas citarasa wanita berusia 27 tahun ini.. Sentuhan moden klasik dengan warna-warna neutral seperti krim mendominasi keseluruhan rumahnya membuatkan ruang rumah dua tingkat itu tampak kemas dan luas. Kelihatan dinding utama ruang tamunya yang diletakkan sebuah rak dicat dengan warna yang lebih gelap dan dihiasi dengan bingkai kerawang berwarna putih yang mengapit sebuah lukisan abstrak bagi memberikan kelainan kepada rumahnya. Citarasa Furyna yang menyintai sesuatu yang elegan terus dapat dibaca melalui hiasan kristal yang disusun rapi di ruang tamu, tempat dia menghabiskan masa bersama keluarga. "Saya sememangnya menyukai gaya yang elegan dan kemas tetapi masih menitikberatkan sentuhan kewanitaan dengan hiasan bunga-bungaan yang sederhana. "Bagi saya, hiasan rumah perlulah sederhana dan menenangkan kerana setelah seharian kita penat bekerja, rumahlah tempat kita menghilangkan tekanan serta merehatkan minda. "Tidak perlu hiasan yang sarat, sekadar memenuhi citarasa kita dan skema warna yang betul bagi memberi ilusi luas sesebuah ruang," ujarnya yang mengambil masa selama dua bulan untuk mengubah suai rumahnya. Wajah emas Bertanya tentang rahsia penjagaan wajah pula, ujar Furyna, dia menggunakan produk penjagaan kulit wajah yang berasaskan emas. Ceritanya, sejak zaman Cleopatara dan dinasti China lagi, permaisuri mereka mengamalkan penggunaan masker emas ketika tidur kerana ia sangat baik untuk kulit wajah. "Produk berserta emas tulen dapat menyingkirkan toksin di dalam kulit, melancarkan peredaran darah, anti penuaan, menegangkan kulit serta mengurangkan parut dan jerawat. "Lagipun produk Nano-V-Skincare menggunakan teknologi nano yang membuatkan keberkesanannya 1,000 kali lebih cepat. "Bahan kimia seperti steroid dan merkuri turut tiada di dalam produk," ujarnya. Sesuai untuk pelbagai jenis kulit, antara produk Nano-V-Skincare yang berasaskan emas adalah pencuci muka, masker, penyegar muka, serum dan krim asas. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk, layari www.nanovbeauty.com atau hubungi 017-5055528. |
Posted: 26 Aug 2012 08:41 PM PDT SETIAP kali tibanya Aidilfitri, busana baru pasti tidak dilupakan. Tidak kira berhari raya di kampung atau bandar, muda atau tua, semuanya tidak ketinggalan membeli busana baru. Ia lambang keceriaan dan keseronokan menyambut lebaran setahun sekali. Bagi remaja perempuan, baju kurung moden atau kebaya menjadi pilihan untuk menyambut raya. Tetapi ada sesetengah remaja lebih suka memakai baju raya tahun-tahun sudah. Mungkin lebih jimat dan tidak mahu membazir. Bagi Nur Mayzaitul Aqhma Ibrahim, 19, dia lebih gemarkan membeli baju raya baru setiap kali menjelang Syawal. Bukan untuk bermegah-megah jauh sekali menunjuk-nunjuk tetapi itu adalah salah satu trend dan kepuasan baginya ketika menyambut hari raya. "Bagi saya busana baru dapat melambangkan imej sekali gus mempamerkan keceriaan pada diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Cerita Mayzaitul lagi, dia sanggup mengumpul wang saku sendiri demi mendapatkan busana yang diidamkan. Lain pula cerita Nur Azlin Zohari, 18, yang lebih suka memakai pakaian raya tahun-tahun sudah. Dia yang nampak sangat bersederhana berkata, hari raya baginya lebih bermakna jika berada di samping keluarga tercinta. Contohnya, membantu ibu memasak sajian untuk tetamu, mengemas dan menghias rumah dan sebagainya. Erni Alwani Aman, 19, pelajar jurusan perniagaan di Institut Profesional Baitulmal berkata, lebaran tahun ini baginya sangat bermakna kerana dapat menyambut bersama-sama anak buahnya. Katanya, walaupun sudah menginjak usia remaja, amalan bertandang ke rumah-rumah jiran untuk mengumpul duit raya masih dilakukannya bersama kawan-kawan. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran ketiga-tiga anak buahnya yang pasti kelihatan gembira jika di bawa bersiar-siar. Sementara itu, Nur Ain Mohd. Ali, 18, berkata, dia tidak seperti remaja-remaja lain yang lebih suka berjalan-jalan pada hari raya. Katanya, hari raya hanya meriah pada hari pertama sahaja. Amalan bermaafan bersama keluarga dapat mencerminkan kekuatan dalam dirinya. Tambahnya, jika keluarga tidak keluar menziarahi saudara-mara dia lebih suka duduk di rumah menonton televisyen. "Bukan saya tidak ada kawan-kawan, tetapi ini adalah gaya yang saya lakukan sejak dahulu lagi," kata anak bongsu daripada empat beradik itu. Nur Sabrina Azmin, 18, pula berkata, setiap kali Aidilfitri menjelma, dia yang paling gembira. Kata anak sulung daripada tiga beradik itu, hari raya baginya sangat seronok untuk diraikan bersama keluarga, kawan-kawan dan saudara-mara. Dia yang sangat gemarkan ketupat dan lemang akan memilih dua sajian itu tanpa jemu walaupun dihidangkan di setiap rumah yang beliau datang berhari raya. "Hari raya datang setahun sekali dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk sama-sama mengumpul duit raya bersama kawan-kawan dan adik-adik saya," katanya. Bagi si kecil molek, Nur Hasanah Aman, 17, dia lebih suka mengikut rakan-rakan menziarahi rumah ke rumah di taman perumahannya. Jika tiada yang mengajak, dia bersantai di rumah adalah pilihannya. Mengenai menu kegemaran pada hari raya, dia dengan pantas menjawab rendang ayam ibu menjadi pilihan. |
Posted: 26 Aug 2012 06:12 PM PDT MERUJUK kepada satu laporan khas berkenaan wanita dan perniagaan pada tahun 2009 iaitu The Female Economy oleh Micheal J. Silverstien dan Kate Sayre, golongan wanita memiliki peluang pasaran terbesar di dunia dan sedang memandu ekonomi dunia. Berdasarkan laman web Walmartstores pula, wanita mengawal kira-kira AS$20 trillion (RM62 trillion) dalam perbelanjaan tahunan pengguna global dan dijangka mencapai AS$28 trillion (RM86.9 trillion) pada tahun 2014. Salah satu daripada peruncit terbesar di Amerika Syarikat (AS), Walmart, pula menjamin sebanyak AS$20 billion (RM62 billion) sumber daripada perniagaan milik wanita akan dipasarkan oleh mereka. Itulah matlamat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita Malaysia (WENA) untuk menjadikan perniagaan di Malaysia memberikan sokongan yang sama khususnya kepada usahawan wanita. Pengerusinya, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, WENA percaya dalam pembinaan rangkaian perniagaan dan menyeru para usahawan wanita bumiputera yang berpengalaman dan baru untuk berkumpul bagi membina sebuah perniagaan yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa. "Dengan idea WENA itu, usahawan wanita yang bergerak secara berkumpulan mampu meningkatkan kredibiliti dan kualiti sesebuah perniagaan kerana idea dan tenaga yang disumbangkan boleh mencapai keputusan atau keuntungan yang terbaik. "Justeru, WENA melancarkan Program Kumpulan Fokus yang memberi tumpuan kepada lima industri iaitu runcit dan perkhidmatan, makanan, pendidikan, ICT dan kesihatan serta kecantikan dan kesihatan. "Konsep kumpulan fokus adalah untuk menggalakkan wanita dalam industri perniagaan yang sama untuk bersama menangani keperluan dan cabaran industri masing-masing. " WENA turut berpeluang bekerjasama dengan agensi-agensi korporat, kerajaan dan media untuk meuar-uarkan kejayaan dan pencapaian global ahli-ahli mereka," katanya ketika merasmikan Hari Menyambut Ahli Baru Wena, di Taman Tun Dr. Ismail, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut Nuraizah, di sektor-sektor tertentu seperti industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan wanita sudah mula mendominasi sektor yang diceburi dengan bantuan kewangan dan insentif-insentif yang diperkenalkan agensi-agensi kerajaan. "Kumpulan usahawan wanita yang menjadi ahli WENA bukan sahaja berpeluang meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat, malah dapat membantu memperkasakan wanita dan membuka mata masyarakat untuk menilai kebolehan wanita daripada sudut yang lebih luas. "Perancangan WENA adalah untuk mengukuhkan kekuatan ahli wanita menerusi program-program usahawan yang akan dijalankan supaya dapat menjadi suara untuk memberi kesedaran kepada usahawan wanita yang masih mencari tempat yang sesuai untuk menjalankan perniagaan ke peringkat lebih tinggi," katanya. Menurut Nuraizah, bagi usaha memasarkan perniagaan usahawan wanita, WENA akan membawa masuk pelabur dari luar untuk memilih sendiri produk kumpulan usahawan wanita seterusnya dipadankan dengan permintaan daripada negara yang diwakili pelabur. Tidak akan timbul masalah produk tidak laku kerana setiap pelabur mempunyai permintaan produk yang berbeza-beza. "Penyertaan lebih ramai wanita Malaysia dalam bidang usahawan dilihat amat baik dan tidak mendatangkan persaingan antara satu sama lain kerana bidang yang diceburi berlainan. "Kumpulan fokus yang dibentuk akan melihat cabaran industri dan mengenal pasti pelan tindakan untuk kepentingan bersama. Ini juga akan menjadi pemangkin utama WENA serta platform pengambilan ahli baru yang akan mencapai tahap pengetahuan secukupnya yang diperlukan dalam dunia perniagaan," katanya. Nuraizah berkata, ahli WENA juga berpeluang berurusan dengan pihak pengurusan yang terdiri daripada kerajaan dan agensi keusahawanan jika terdapat sebarang pertanyaan berkenaan perniagaan yang diceburi. "Peluang untuk mengambil bahagian dalam forum-forum perniagaan, seminar, latihan dan bengkel yang dikendalikan oleh usahawan berjaya bertaraf dunia juga dibuka luas untuk semua ahli WENA yang berdaftar," ujarnya. Pada masa sama, kumpulan usahawan wanita juga harus bersiap sedia dengan strategi-strategi perniagaan yang lebih kukuh termasuklah mencari peluang perniagaan baru, menghasilkan produk-produk lebih inovatif dan meningkatkan kemahiran bagi menghadapi situasi pergolakan ekonomi. Katanya lagi, hasrat kerajaan untuk menambahkan lebih ramai penyertaan usahawan wanita menjelang 2012 bukanlah mustahil untuk dicapai. Pada masa kini WENA sudah ada kira-kira 300 ahli dan dijangka akan meningkat dua kali ganda dalam masa terdekat. |
Posted: 26 Aug 2012 06:09 PM PDT RAMA-RAMA sering dijelmakan dalam hikayat lama sebagai lambang kecantikan, keanggunan dan kelembutan. Pergerakannya yang lemah gemalai turut mengilhamkan teknik rawatan kecantikan kuno yang dinamakan bebenang rama-rama. Mengikut sejarahnya, teknik rawatan membuang bulu roma pada wajah ini telah menjadi amalan di kalangan wanita Cina sejak zaman dahulu lagi. Kekal sehingga ke hari ini, ia kini diangkat sebagai salah satu rawatan kecantikan terbaru ditawarkan oleh rangkaian Herbaline Beauty & Spa. Menurut pemilik Herbaline Beauty & Spa, C.K.Low, teknik bebenang rama-rama merupakan rawatan kecantikan kuno yang cukup terkenal di tanah besar China, Taiwan mahupun India. "Malah di sana rawatan ini boleh dilihat di tepi-tepi jalan," katanya. Menurut Low, teknik bebenang rama-rama yang secara tradisinya dilakukan dengan menggunakan gigi dan tangan itu masih kekal sebagai satu profesion biasa. Bagaimanapun, ia seolah dilupakan dan tidak lagi dianggap penting apabila muncul salon atau pusat rawatan kecantikan moden yang lebih canggih. "Apa pun teknik bebenang rama-rama ini kekal sebagai satu daripada ilmu persolekan inovatif dari amalan purba yang diwarisi daripada nenek moyang," katanya. Seunik namanya, teknik mungkin dilihat mudah tetapi sebenarnya ia merupakan hasil gabungan gerakan tangan dan benang seumpama sayap rama-rama yang sedang berterbangan. Antara kebaikan rawatan bebenang rama-rama ini ialah berkesan menyingkirkan kulit mati, jerawat, memperbaiki metabolisme kulit dan meningkatkan keupayaan penyerapan kulit. Selepas rawatan kulit kelihatan lebih licin, cerah, gebu dan membolehkan mekap tahan lebih lama. "Rawatan ini juga dapat mengecilkan liang roma, melancarkan peredaran darah di muka dan mencantikkan kontur wajah secara semula jadi," kata Low. Katanya, teknik bebenang rama-rama sangat berkesan dan penting bagi setiap wanita yang ingin melangsungkan perkahwinan. Mengikut tradisi rawatan, kejayaan teknik itu terletak dalam jarak titik tumpuan benang yang menyingkir rambut halus di wajah dengan lebih berkesan. |
Posted: 26 Aug 2012 06:08 PM PDT KAMU malas mahu mencari wayar tiap kali ingin memindahkan gambar dan video dari kamera. Bagi penggemar fotografi atau juga mereka yang suka mengambil gambar, memindahkan gambar merupakan salah satu kerja yang mengambil masa yang lama serta leceh. Ada yang menggunakan pembaca kad memori dan ada juga yang menggunakan kabel pindahan data. Namun kini, masalah itu telah selesai dengan pengenalan kamera kompak baru daripada Canon yang menggunakan ciri WiFi. Ia bukan sahaja dapat melakukan pemindahan data tanpa wayar bahkan juga dapat melakukan perkongsian dengan laman sosial yang kamu suka dengan telefon pintar. Ia didatangkan dengan dua model iaitu IXUS 510 HS dan juga IXUS 240 dengan masing-masing dengan harga runcit RM1299.00 dan RM999.00. Jadi apa tunggu lagi, tambahan kepada mereka yang suka bergambar dan memuat turun di laman sosial. Ini adalah senjata kamu. Mari kita lihat spefikasi kedua-dua kamera ini. - MIRUL IXUS 240 HS 16.1 megapixels CMOS sensor Wi-Fi Skrin sentuh LCD 3.2 inci Pemprosesan pengambaran DIGIC 5 Fungsi rakaman video 58 Rakaman Pintar Automatik & pengenal wajah. 5x optical zoom Shutter Speed Range 15 - 1/2000sec IXUS 510 HS 10.1 megapixels dengan sensor sensitiviti tinggi CMOS 12x fungsi optical zoom Wi-Fi Skrin sentuh LCD 3.2 inci Pemprosesan pengambaran DIGIC 5 Kelajuan shutter 15 - 1/4000sec |
Posted: 26 Aug 2012 06:06 PM PDT SOALAN 1 * Su, Johor Bahru, Johor. Jawapan: Terima kasih Puan Su. Makanan yang tidak sihat atau makanan segera semasa hamil bukanlah punca utama kepada masalah autisme dalam kalangan kanak-kanak. Namun begitu, ia mungkin mempunyai sedikit assosiasi kepada masalah autisme. Oleh sebab itu, mungkin elok kita ketahui dengan lebih lanjut berkenaan autisme yang membawa maksud keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Autisme adalah kategori ketidakupayaan yang dicirikan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi sosial, gangguan deria, pola bermain dan perilaku emosi. Gejala autisme mula kelihatan sebelum kanak-kanak berumur tiga tahun. Keadaan ini dialami di sepanjang kehidupan kanak-kanak itu. Kanak-kanak autisme sering menimbulkan kekeliruan bagi penjaganya kerana mereka kelihatan normal tetapi memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Pemahaman dan tanggapan yang salah terhadap keadaan kecacatan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang terutamanya dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi. Kebanyakan kanak-kanak autisme juga mengalami terencat akal tetapi dalam pelbagai tahap. Dalam kemahiran koordinasi mata-tangan, sama ada mereka menghadapi masalah ataupun mereka lebih maju dalam aspek itu dan kemahiran lain. Mereka mungkin tidak dapat bertutur, hanya mengeluarkan bunyi-bunyi ataupun meniru apa yang diperkatakan orang lain. Mereka juga tidak suka disentuh, berhubung dengan orang lain ataupun mungkin selalu berpaut pada sesiapa sahaja. Punca sebenar autisme tidak diketahui tetapi beberapa teori terakhir mengatakan faktor genetik memainkan peranan penting yang menyebabkan berlakunya keadaan austistik pada kanak-kanak. Selain itu pengaruh virus yang dihidapi oleh si ibu semasa hamil seperti rubella, toksoplasmosis, herpes, pemakanan yang tidak berzat, keracunan makanan, juga mempengaruhi pertumbuhan sel otak yang dapat menyebabkan fungsi otak bayi yang dikandung terganggu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi. Pencernaan Malah kini, turut dikenal pasti dalam punca berlakunya autistik adalah akibat pencernaan. Lebih daripada 60 peratus kanak-kanak autistik mempunyai sistem pencernaan yang kurang baik. Makanan seperti susu berasaskan haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik dan ini menyebabkan protein daripada makanan ini tidak berubah menjadi asid amino ataupun pepton, iaitu bentuk rantaian yang mana akhirnya dibuang melalui kencing. Kanak-kanak autisme kurang berinteraksi dengan rakan-rakan dan biasanya memaparkan tingkah laku yang negatif seperti menjerit ataupun merosakkan harta benda orang lain. Kebanyakan masalah yang timbul adalah akibat gangguan terhadap interaksi sosial yang normal. Masalah disiplin ketara bagi kanak-kanak kategori ini malah mereka kurang terpengaruh dengan puji-pujian ataupun peneguhan sosial yang lain. Oleh sebab itu, janganlah puan gusar. Walaupun pemakanan bukanlah punca utama masalah ini, seseorang ibu yang ingin hamil sepatutnya sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hamil, semasa sedang hamil dan juga semasa dalam pantang. Paling penting wanita hamil perlu mengambil asid folik yang dibekalkan doktor. Ini kerana terdapat banyak kajian menunjukkan kepentingan asid folik untuk perkembangan saraf dan otak bayi dalam kandungan. Namun begitu, ramai wanita tidak tahu penambahan pengambilan asid folik perlu dilakukan tiga bulan sebelum hamil. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan