ads

Khamis, 2 Ogos 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Ramadan satukan Norman, Abby dan Memey

Posted: 02 Aug 2012 02:18 PM PDT

Ramadan satukan Norman, Abby dan Memey
Abby dan Memey mesra bergambar bersama
Ramadan satukan Norman, Abby dan Memey
Norman, Abby, Memey dan tiga anak mereka berbuka puasa bersama-sama

SHAH ALAM – Jika sebelum ini heboh mengenai hubungan kurang baik antara Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama Abby Abadi, tetapi gambar Abby bersama Memey dalam persalinan telekung, yang dikongsi dengan peminat mereka menerusi laman twitter semalam, menjawab segala persoalan berkaitan selama ini.

Bulan Ramadan mulia namapknya telah menyatukan keluarga ini.

Norman yang dihubungi Sinar Harian Online hari ini berkata, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu dan menyifatkan Ramadan tahun ini adalah yang paling manis buatnya keluarganya.

"Sekarang hubungan kedua Abby dan Memey sudah baik dan menjadi semakin mesra sejak 7 Ramadan lalu. Seperti ramai sedia maklum sebelum ini, hubungan kami tidak begitu baik dan jikalau bertemu pun hanya untuk tujuan mengambil dan menghantar anak dan komunikasi terbatas di antara kami bertiga.

"Tetapi mungkin disebabkan berkat bulan Ramadan serta doa yang selama ini tidak putus-putus saya dan masyarakat sekeliling mendoakan, akhirnya tercapai juga impian itu," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Abby pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 2008.

Norman menambah: "Saya sendiri tidak menyangka perkara ini berlaku secara tiba-tiba dan kebetulan hari itu hari Jumaat, kami bertemu di sekitar Masjid (Negeri) Shah Alam kerana Abby ada program di sana sebelum saya bawa anak-anak balik ke Kuantan untuk berpuasa di kampung dan dengan tidak semena-mena Abby menarik Memey ke tepi lantas terus berpelukan dalam tempoh yang agak lama."

"Saya dan anak-anak hanya memerhati dari tepi kereta. Tentunya perasaan saya dan anak-anak sangat gembira kerana mereka kini telah berbaik, malah anak-anak turut bersorak mengatakan 'yeay, mama dan mummy dah berkawan'!" kata Norman lagi.

Norman, 36, turut memberitahu sebagai seorang Muslim, dia tidak pernah berhenti dan berputus asa daripada berdoa demi kesejahteraan keluarganya dan sekarang segala doa itu sudah dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T. dan berharap perkara ini akan berkekalan buat selama-lamanya.

Semalam, Abby, 35, telah memuatnaikkan dua gambar terbarunya menerusi akaun twitter menunjukkan dia dan Memey, 24, bergambar dalam keadaan mesra beserta mesej "doakan yang terbaik untuk kehidupan kami berdua dunia dan akhirat" dan satu gambar mereka sekeluarga berbuka bersama.

Selain itu, Abby, pelakon drama Gerak Khas turut memberitahu dia juga sempat bersembahyang Maghrib bersama berimamkan bekas suaminya itu.

Sementera itu, ketika diminta mengulas mengenai kisah politik Abby yang semakin serius menceburi bidang itu kebelakangan ini, Norman berkata, dia tidak pernah mencampuri hal itu dan berkata perkara itu adalah hak dan kebebasan seseorang individu untuk menentukan hala tujunya sendiri.

"Jika kami bertemu, tidak pernah sesekali saya bertanyakan mengenai perkara itu. Kami hanya banyak berkomunikasi mengenai masa depan dan perkembangan pendidikan anak-anak kami, Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania, 7, dan Maria Danisha, 4.

"Saya sangat menghargai Abby menjadi ibu yang baik kepada anak-anak saya dan lain-lain hal mengenai dia saya tidak mahu masuk campur kerana itu adalah hak dia," kata Norman.

"Kami berdua juga masih dalam perbincangan untuk menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz dan mengerjakan umrah bersama mungkin selepas Memey bersalin nanti," katanya.

Memey yang kini tiga bulan hamil dijangka melahirkan anak Februari depan.

"Anak sulung, Danish sangat teruja mengenai rancangan umrah ini dan tidak sabar-sabar untuk pergi ke sana bersama kedua-dua mama dan mummynya turut serta," tambah Norman.

Sementara itu, Memey yang dihubungi Fara Fauzana, deejay Hot FM, menyatakan memang benar mereka berdua sudah berbaik dan semalam mereka berbuka puasa bersama di rumah Abby.

Norman dan Abby sebelum ini disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur pada 2008 selepas bercerai buat kali pertama pada 5 Mei 2006.

Norman berkahwin dengan Memey pada 24 September lalu.

Cuepacs cadang imbuhan tetap perumahan diselaras

Posted: 02 Aug 2012 01:54 PM PDT

logo cuepacs
Cuepacs

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya.

Waris akan peroleh rangka penjenayah paling kejam

Posted: 02 Aug 2012 01:26 PM PDT


GAMBAR fail menunjukkan rangka tulang Ned Kelly di Rumah Mayat Institut Perubatan Forensik Victoria di Victoria pada 1 September 2011.


SYDNEY - Rangka penjenayah yang paling kejam di Australia akan dikembalikan kepada keluarganya selepas 132 tahun dia dihukum mati.

Pegawai kerajaan negeri Victoria semalam berkata, rangka penjenayah itu, Ned Kelly akan diberikan kepada waris keturunannya.

Kelly mengetuai sekumpulan perompak bank di Victoria pada abad ke-19 dan dia telah dihukum gantung pada tahun 1880.

Lokasi mayatnya tidak diketahui sejak beberapa dekad lalu namun tengkoraknya dilaporkan hilang dicuri.

Namun, pada tahun lepas beberapa saintis forensik mengenal pasti rangka itu milik Kelly selepas ia ditemui di dalam sebuah kubur besar di sebuah penjara yang telah ditutup pada 1929.

Waris-waris keturunan Kelly mahu rangka itu dikembalikan kepada mereka supaya satu upacara pengebumian yang teratur boleh dilakukan.

Ikan yu paus terdampar di pantai Jawa

Posted: 02 Aug 2012 01:25 PM PDT


DUA penduduk memeriksa ikan yu paus yang mati di pantai Pandan Simo Baru.


BANTUL, Indonesia - Seekor ikan yu paus yang terdampar kelmarin di pantai Pandan Simo Baru, Yogyakarta akhirnya mati, lapor akhbar Jakarta Post semalam.

Ikan sepanjang 13 meter itu mati selepas satu pasukan penyelamat yang terdiri daripada nelayan tempatan gagal untuk menariknya ke laut.

Pada minggu lalu, seekor ikan paus sperma turut terdampar di laluan cetek di pantai Pakis Jaya, Karawang, Jawa Barat.

Namun, ikan sepanjang 11 meter itu juga mati selepas sehari ia ditarik dengan beberapa buah bot ke kawasan laut dalam.

"Ia masih hidup semasa kami menemuinya pada pukul 6 petang kelmarin," kata seorang nelayan, Gambos.

Menurut seorang anggota penyelamat, ikan tersebut mati kerana kelemasan selepas ia cuba untuk kembali ke laut.

Dia berkata, anggota-anggota pasukan penyelamat cuba untuk memindahkan ikan tersebut kembali ke laut dengan menggunakan sebuah bot.

Namun, katanya, bot tersebut terlalu kecil untuk menarik ikan seberat empat tan itu.

"Selain saiz yang besar, ikan itu masih muda. Panjangnya mungkin mencecah 20 meter (dalam tempoh beberapa tahun)," katanya.

Menurut Bandis yang merupakan seorang penyelaras pertubuhan Rakan-Rakan Haiwan Yogyakarta, ikan tersebut mendekati pantai kerana ia mencari makanan.

Ikan itu makan ikan-ikan dan sotong kecil, plankton, kerang-kerangan kecil dan alga.

Bandis berkata, ikan tersebut berhijrah dari perairan Australia dan melalui perairan Indonesia," kata Bandis.

Beliau menjelaskan, ikan itu berpisah daripada kumpulannya.

Menurutnya, beliau telah melihat tujuh ekor ikan yu paus yang mendekati kawasan pantai.

"Namun, ikan-ikan tersebut boleh mencari arah ke laut dalam," tambahnya.

Bandis menyatakan pihaknya telah berunding dengan penduduk tempatan tentang cara untuk menanam bangkai ikan tersebut.

Bangkai ikan itu menjadi tumpuan ramai penduduk tempatan yang mahu melihat haiwan tersebut.

"Bukannya setiap hari kami melihat ikan gergasi itu," kata seorang penduduk tempatan Santoso.

Pindah rumah dengan baj

Posted: 02 Aug 2012 01:24 PM PDT


TIGA buah rumah diangkut dengan menggunakan sebuah baj yang bergerak di Sungai Fraser, Richmond kelmarin.


RICHMOND - Sebuah baj digunakan untuk mengangkut tiga buah rumah yang dibina pada tahun 1915 ke Teluk Union dekat Comox di Pulau Vancouver, Kanada kelmarin.

Rumah tersebut dibeli oleh Ben Ford dan isterinya bagi mengelak ia dirobohkan oleh sebuah syarikat hartanah di 37th Avenue, Vancouver.

Ia dihantar ke Sungai Fraser dengan menggunakan sebuah trak sebelum diangkut dengan menggunakan baj.

Pembelian dan pemindahan rumah itu melibatkan kos sebanyak K$150,000. (466,073.91).

Daging bangkai ikan paus dipotong

Posted: 02 Aug 2012 01:23 PM PDT


JENGKAUT digunakan untuk mengangkut daging ikan paus itu semalam.


SYDNEY - Anggota-anggota agensi Hidupan Liar dan Taman Negara Australia semalam menggunakan sebuah jengkaut untuk memindahkan daging seekor ikan paus yang ditemui di dalam sebuah kolam buatan manusia di sini.

Ikan paus humpback itu yang seberat 20 tan dan sepanjang 13 meter terdampar di dalam kolam tersebut selepas dihanyutkan ombak kuat kelmarin.

Anggota-anggota agensi itu yang memakai pakaian perlindungan kuman menggunakan gergaji rantai untuk memotong daging ikan tersebut.

Bangkai ikan tersebut itu turut disembur dengan bahan pembasmi kuman.

Daging ikan tersebut akan ditanam di sebuah tapak pelupusan.

Cari makan dengan menari hip hop

Posted: 02 Aug 2012 01:21 PM PDT


CARLOS menari hip hop di sebatang laluan di Lisbon kelmarin.


LISBON - Seorang pemuda, Elizeu Carlos menari hip hop di jalanan untuk mendapatkan wang di sini.

Carlos, 22, terpaksa 'mencari makan' di jalanan selepas bilangan anak muridnya untuk mempelajari tarian tersebut semakin merosot sejak dua tahun lalu.

Bilangan tempahan untuk mendapatkan khidmatnya menari dalam beberapa festival juga kian merosot ketika Eropah dilanda krisis kewangan.

Justeru, dia terpaksa menari di jalanan untuk mendapatkan sumbangan orang ramai bagi menyara kehidupannya.

Berakhirnya legasi lombong arang batu 153 tahun

Posted: 02 Aug 2012 01:21 PM PDT



DI kaki pergunungan Carpathian yang berdiri megah, lombong arang batu tertua di Romania, Petrila hanya menunggu masa untuk ditutup. Ironinya, lombong tersebut pernah menjadi tenaga kehidupan bagi survival bandar itu.

"Kami sudah pun menjadi lembah air mata, namun kami tidak pula mahu bertukar kepada lembah kematian," kata seorang penduduk merujuk kepada Lembah Jiu, lokasi terletaknya Petrila iaitu lombong arang batu utama di Romania.

Namun, jumlah pelombong di sana yang semakin berkurangan sememangnya sudah menjadi petunjuk besar betapa riwayat lombong itu akan ditamatkan pada bila-bila masa.

Lombong Petrila yang sudah berusia 153 tahun bukan sekadar menjadi bandar kehidupan, tetapi mempunyai identiti tersendiri. Penduduk tempatan mengatakan, Petrila tanpa lombong akan menjadi seperti Bordeaux tanpa ladang anggur atau Lembah Silikon tanpa firma-firma teknologi maklumat (IT).

Bagaimanapun terdapat tekanan daripada Suruhanjaya Eropah dan eksekutif Kesatuan Eropah (EU) kepada ahli-ahli kerajaan untuk mengurangkan subsidi kepada lombong yang kerugian termasuk di Petrila.

Dua lagi lombong di Romania bakal menerima nasib yang sama.

Selain itu, puluhan lombong lain di kesemua 27 buah negara yang menganggotai EU turut akan ditutup menjelang 2018. Malah, kerja-kerja pemusnahan telah pun bermula.

"Ia satu kisah tragis terhadap penamat kepada era industri di Eropah," kata David Schwartz, pengarah teater dari Bucharest yang baru-baru ini menarik perhatian Eropah kerana teaternya bertajuk Underground.

Melalui teater itu, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelombong dan keluarga mereka untuk bersuara tentang syarikat lombong arang batu yang pernah memakmurkan bandar Petrila.

Perancangan EU adalah untuk mengalih pemberian subsidi daripada lombong kepada tenaga yang boleh diperbaharui. Mengikut statistik hampir 30,000 daripada jumlah keseluruhan 100,000 pekerjaan dalam sektor perlombongan EU boleh hilang disebabkan rancangan tersebut.


BEBERAPA pekerja keluar dari lombong dengan keadaan muka yang hitam dek terkena palitan arang batu.


Di Sepanyol, pelombong yang berang dengan rancangan tersebut telah mengadakan protes dan bertempur dengan pihak polis bagi menunjukkan rasa marah.

Bagaimanapun penduduk di Romania nampaknya terpaksa mengalah, lantaran masih kecewa dengan protes keganasan pada tahun 1990 yang dirasakan lebih membawa petaka.

Pada tahun itu, Presiden Romania, Ion Iliescu telah menggesa kira-kira 10,000 pelombong Lembah Jiu ke Bucharest untuk mengakhiri protes ke atas kerajaannya.

Kerajaannya itu merupakan yang pertama dipilih selepas kejatuhan rejim komunis. Namun, mereka yang membentuk kerajaan baharu itu terdiri daripada bekas anggota komunis termasuk dirinya sendiri.

Para pelombong telah dikecam kerana menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan tetapi hari ini, ramai mengatakan bahawa mereka yang mengambil bahagian telah dimanipulasi.

Mozek era komunis yang terdapat di lombong Petrila merupakan tugu peringatan masa lalu. Lombong itulah yang pernah memberikan rezeki melimpah-ruah buat penduduk sebelum kemerosotan ekonomi berlaku lebih dua dekad yang lalu.

Pada tahun 1988, bandar tersebut mempunyai kira-kira 4,000 pelombong. Kini yang tinggal hanya 688 pelombong.

"Pada tahun 1997, gelombang rezeki berlebihan menyebabkan ramai yang memperoleh banyak wang. Cuma, ketika itu mereka tiada sebarang persediaan.

"Sebaliknya wang yang ada dibelanjakan bagi tujuan perniagaan. Akhirnya mereka terlibat dalam hutang dan lebih teruk tiada rumah atau apa-apa harta yang dapat dimiliki," jelas pemilik restoran tempatan, Elena Chelba sambil memberitahu suami dan ayahnya merupakan pelombong di Petrila.

Masa depan gelap

Hari ini, kadar pengangguran di bandar tersebut mencecah lebih 40 peratus. Kedai-kedai barangan murah yang menawarkan baju, pinggan mangkuk dan permainan terpakai menjadi testimoni kepada masa-masa yang sukar.

"Saya tidak tahu jika keadaan boleh menjadi lebih teruk. Tetapi, jika lombong itu ditutup, pasti masa depan kami bertambah gelap kerana ramai penduduk yang bergantung hidup dengannya," tutur Chelba.

Setiap hari, tanpa menghiraukan bahaya, berpuluh-puluh penduduk tempatan melompat ke atas kereta api yang membawa arang batu ke Petrila untuk mencuri beberapa ketulan. Mereka mencurinya sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual.


SEORANG lelaki yang mahu dikenali sebagai Traian terpaksa mengumpul arang batu yang ditemui di landasan kereta api untuk dijual bagi menyara kehidupan.


Salah seorang daripadanya ialah lelaki yang mahu dikenali sebagai Traian. Dia mengumpul arang batu yang ditemui di landasan dalam baldi merah. Ini kerana tidak mungkin dengan duit pencen yang diterima sebanyak 200 euro (RM773) sebulan mampu untuk membayar kos pemanasan.

Anak lelaki Traian telah meninggalkan Romania dan berhijrah ke Jerman, manakala anak perempuannya akan mengikutnya selama dua bulan ketika musim bekerja.

Seperti orang lain, Traian tidak merungut akan dirinya, namun dia bimbang tentang anaknya. Penghijrahan ke negara lain seringkali dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian pada masalah mereka.

"Masa depan anak saya bukan di sini," luah seorang pelombong yang baru sahaja keluar dari lombong selepas menamatkan sesi kerja malam.

Sementara itu, Florin Popescu yang mengendalikan cawangan tempatan pertubuhan Save The Children memberitahu, sesetengah keluarga sudah tidak mampu lagi membayar bil elektrik dan gas.

"Justeru, kami memberi mereka pakaian supaya anak-anak ini tidak malu untuk pergi ke sekolah," kata Popescu.

Pusat tersebut memastikan sekitar 100 kanak-kanak mendapat makanan panas, bantuan pendidikan dan psikologi.

"Kami tahu bahawa kami terpaksa meninggalkan Petrila kerana tiada lagi kerja di sini.

"Ia amat menyedihkan kerana inilah tempat saya membesar bersama rakan-rakan," ungkap Cristinel Homoc, remaja berusia 15 tahun yang bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak dan peguam.

Bersahur banyak berkatnya

Posted: 02 Aug 2012 12:55 PM PDT



JAM baru menunjukkan pukul 12 tengah hari, tetapi keadaan badan Farish Ahmad, 25, lesu dan sangat letih seraya perutnya berlagu minta diisi. Sejak kebelakangan ini, dia tidak betah bangun sahur gara-gara tidur lewat. Walaupun dikejutkan oleh teman-teman, dia menolak untuk bersahur. Disebabkan itu, dia mudah hilang fokus kerana mengantuk sehingga banyak kerja yang sepatutnya disiapkan tertangguh.

Apa yang dilalui Farish mungkin pernah anda alami sendiri apabila tidak bangun sahur sebelum menjalankan ibadah puasa keesokan harinya.

Ya, mungkin anda boleh bertahan dan tidak akan mati kelaparan, tetapi keadaan tersebut akan membuatkan anda lesu, penat dan tidak bermaya. Malah, ia boleh menyebabkan gangguan konsentrasi dalam masa yang sama mempengaruhi produktiviti kerja.

Jika anda tidak bernasib baik, mungkin anda akan pengsan kerana terlalu penat dan lemah. Ramai dalam kalangan kita jarang bangun sahur sedangkan ia merupakan amalan yang penting semasa berpuasa.

"Bersahur boleh mengurangkan keletihan dan kehilangan tenaga sewaktu berpuasa. Bersahur juga memastikan kita dapat mengamalkan pemakanan secara sihat dan mengurangkan simptom akibat kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk ketika berpuasa.

"Sekiranya anda merancang untuk menurunkan berat badan pada bulan puasa, bersahur merupakan satu langkah permulaan yang bijak dalam mengurangkan berat badan," kata Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Norlaily Md. Nasir.

Tambahnya, Islam turut menggalakkan umatnya bersahur dalam menjalani ibadah puasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu bersahur sesungguhnya dalam bersahur itu ada keberkatannya."

Ini menjelaskan betapa hebatnya dan untungnya orang yang bersahur. Waktu sahur yang paling sesuai ialah lebih kurang setengah jam sebelum masuk waktu imsak.

Apa yang akan berlaku kepada seseorang yang tidak mengambil sahur? Menurut Norlaily, bersahur memberikan tenaga kepada tubuh untuk melakukan kerja seharian. Tenaga diperoleh daripada makanan yang terdiri daripada kumpulan karbohidrat, protein dan lemak.

Pengambilan makanan secara sihat dan seimbang berdasarkan piramid makanan sangat digalakkan.

"Jika seseorang tidak bersahur, badan akan mudah menjadi lemah dan lesu. Ini disebabkan kekurangan tenaga dalam badan.


JUADAH sahur perlu ringan dan ringkas kerana ramai yang kurang berselera makan ketika bersahur. - Gambar hiasan.


"Bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetes, ia akan menyebab berlakunya hipoglisemia. Ia akan menyebabkan seseorang pesakit akan berasa menggeletar atau menggigil, pening dan pitam," ujarnya.

Katanya lagi, bagi pesakit gastrik pula, sahur dapat mengurangkan kadar rembesan asid hidroklorik di dalam perut. Jadi, tiada alasan bagi pesakit tersebut untuk tidak menjalani ibadah puasa jika amalan bersahur dijadikan perkara utama sepanjang bulan Ramadan.

Sahur makanan tinggi serat

Norlaily memberitahu, juadah bersahur hendaklah ringan dan ringkas. Ini kerana ramai antara kita tidak mempunyai selera makan ketika sahur. Memandangkan tempoh puasa agak panjang iaitu 14 jam, umat Islam digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks yang kaya dengan serat kerana ia mampu melambatkan proses lapar.

"Makanan seperti ini lambat dicerna tubuh dan ia membolehkan kita bertahan di samping melakukan aktiviti harian sepanjang melakukan ibadah puasa. Contoh makanan yang tinggi kandungan serat ialah roti tinggi serat atau roti mil penuh, bijirin tinggi serat, biji-bijian, kekacang dan sayur-sayuran.

"Elakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan gula dan lemak kerana ia cepat dicerna dan menyebabkan kita mudah berasa lapar. Buah-buahan dan air yang juga perlu diambil dengan mencukupi sewaktu bersahur," katanya.

Ketika ditanya sama ada jenis makanan yang diambil ketika sahur berbeza mengikut kerja yang dilakukan seseorang, Norlaily menjelaskan secara amnya, pengambilan makanan semasa bersahur ialah sekitar 500 hingga 600 kilo kalori sahaja.

"Bagi mereka yang bekerja menggunakan banyak tenaga seperti buruh kasar atau buruh binaan, mereka disarankan supaya bersahur dengan mengutamakan pengambilan makanan yang berkarbohidrat dan tinggi serat. Ini kerana makanan daripada kumpulan karbohidrat dapat membekalkan tenaga kepada tubuh mereka dalam melakukan kerja.


PEKERJA buruh disarankan bersahur dengan makanan yang berkarbohidrat dan tinggi serat kerana ia mampu membekalkan tenaga kepada mereka.


"Makanan yang mengandungi serat pula dapat melambatkan proses lapar (yang mana pengambilan makanan lain hanya boleh bertahan untuk 3 hingga 4 jam, sebaliknya makanan berserat boleh bertahan sehingga 8 jam). Ia juga dapat membantu melancarkan proses perkumuhan. Makanan seperti ini amat perlu diutamakan bagi memastikan amalan berpuasa dapat dijalankan dengan sihat dan penuh barakah," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa, amalan pemakanan yang seimbang dan sihat penting dalam melatih kanak-kanak berpuasa.

Makanan yang seimbang dan sihat dapat membantu memberi tenaga kepada kanak-kanak menjalani ibadah puasa sekali gus memberi kesihatan yang baik kepada mereka.

Berpuasa juga merupakan satu keadaan yang baharu bagi kanak-kanak yang kali pertama berlatih berpuasa. Mungkin ada antara mereka yang sukar untuk bangun sahur dan begitu teruja untuk makan semasa waktu berbuka ditambah pula dengan pelbagai hidangan yang bermacam-macam warna dan rasa.

"Ibu bapa perlu memastikan pengambilan makanan anak-anak mereka seimbang, sihat dan tidak berlebihan. Pengambilan makanan perlulah berpandukan Piramid Makanan. Pastikan kanak-kanak bersahur dengan makanan yang kaya dengan serat seperti nasi, mi, roti dan bijirin," sarannya.

Norlaily memberitahu pada hari biasa umumnya, seseorang itu akan makan sebanyak tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Apabila tiba Ramadan, secara automatik waktu makan berubah menjadi dua kali sehari iaitu ketika sahur dan berbuka. Jadi, bulan Ramadan merupakan platform yang baik dalam menguruskan diet dan mendisiplinkan diri.

Berbuka mengikut sunah

Posted: 02 Aug 2012 12:54 PM PDT

Alangkah indahnya puasa yang kita tunaikan, apabila tatkala berbuka kita turut mengikut sunah Rasulullah.


BANYAK khasiat terdapat pada buah kurma yang menjadikannya sunah sewaktu berbuka puasa.


DALAM kesibukan harian pada bulan Ramadan ini mari kita saling mengingati antara kita tentang perihal berbuka. Teringat tentang kata-kata Imam Ghazali. "Ramai manusia yang berpuasa tetapi rosak puasanya ketika berbuka."

Aduhai, ruginya jika itu terjadi kepada kita. Namun, yang pasti masih ada peluang dan ruang lagi untuk kita memperbaiki ibadah puasa kita.

Dalam berbuka puasa ada banyak perkara yang mesti diikuti, apatah lagi telah termaktub hadis-hadis tentang cara Rasulullah berbuka puasa.

Berbuka puasa adalah ibadah bukan sekadar menjamu selera atau membalas makan kerana tidak makan pada siang harinya. Berbuka puasa juga menunjukkan tanda syukur kepada Allah kerana telah memberi kita nikmat berpuasa.

Hakikat puasa itu ialah nikmat bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Oleh itu, sebelum kita berdiskusi tentang adab dan sunah berbuka puasa, sama-samalah kita mendalami hakikat sebenar puasa.

Puasa seperti yang termaktub dalam Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa."

Puasa ialah nikmat, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Nikmat kerana apabila kita berbuka puasa dan apabila kita meneguk seteguk air apakah yang kita rasai? Nikmatnya bukan, ketika itu tiada yang lain kita ucapkan melainkan Alhamdulillah syukur atas nikmat yang kita kecapi.

Oleh itu, Rasulullah berbuka dengan cara yang terlalu ringan dan adakalanya hanya dengan segelas air sebagai hidangan berbuka Baginda kerana hakikat puasa telah Baginda kecapi. Di sini kita perhatikan adab dan sunah berbuka puasa dari sudut fiqhnya. Rasulullah SAW berbuka sebelum melaksanakan solat Maghrib.

Ini kerana perbuatan menyegerakan berbuka puasa termasuk akhlaknya para nabi. Daripada Abu Darda: "Tiga perkara yang merupakan akhlak kenabian ialah menyegerakan berbuka, mengakhirkan (melewatkan) sahur dan meletakkan tangan di atas tangan kiri ketika dalam solat (ketika qiyam)." (Hadis Riwayat ath-Thabrani).

Rasulullah telah memerintahkan untuk berbuka dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka dengan air. Ini termasuk dalam kesempurnaan kasih sayang dan betapa prihatinnya Baginda kepada umatnya.

Ini kerana memberikan sesuatu yang manis kepada tubuh yang kosong berupaya untuk membangkitkan selera, tenaga dan sangat bermanfaat bagi badan.

Tubuh akan menjadi segar dengannya (kurma). Begitu juga dengan air, kerana ketika berpuasa tubuh kekurangan air, maka jika dibekalkan dengan air ia akan membantu menyegarkan badan serta membantu penghadaman makanan.

Sebenarnya kurma mengandungi berkat dan keistimewaan (begitu juga air) dalam pengaruhnya terhadap hati dan menyucikannya. Tidak ada yang mengetahui kecuali orang yang beritiba' (mengikuti sunah).

Doa-doa ketika berbuka

Timbul kekeliruan dalam kalangan umat tentang doa ketika berbuka puasa. Di sini kita rungkaikan bagaimana dan apakah doanya. Ketika azan berkumandang menandakan masuk waktu berbuka puasa maka doa makanlah yang sepatutnya dibaca kerana kita baru sahaja mahu memulakan makan dan belum lagi makan.

Selepas kita telah memakan atau membatalkan puasa barulah kita membaca doa berbuka puasa kerana dalam doa tersebut kita ucapkan, "Ya Allah, kepadaMu kami berpuasa dan kepadaMu kami beriman dan dengan rezekiMu kami telah berbuka puasa."

Mungkin ramai antara kita yang membaca doa ini sebelum berbuka. Tidak salah cuma ia menyalahi adabnya. Mari kita betulkan, insya-Allah.

Antara sebab kenapa kita digalakkan berdoa kerana terdapat tiga orang yang tidak akan ditolak doanya iaitu orang yang berpuasa ketika dia berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi.

Jadi, janganlah kita mensia-siakan peluang yang ada ini. Berdoalah.

Pesan penulis buat diri dan sekalian pembaca Kosmo! yang dihormati, janganlah terlalu ikut nafsu sehingga berbuka dengan juadah yang penuh meja dan akhirnya akan membazir.

Musibah dan kebahagiaan itu ujian

Posted: 02 Aug 2012 12:53 PM PDT

UJIAN Allah datang dalam pelbagai bentuk adakalanya kesakitan atau kemiskinan, namun jangan lupa kemewahan juga satu ujian Allah. - Gambar hiasan


PUASA merupakan ujian untuk kita. Kita diuji dengan banyak perkara. Kita diuji agar tidak menurut hawa nafsu dan perasaan kita.

Kita dihalang daripada melakukan apa yang kita suka. Kita diminta untuk berkorban. Sepatutnya, puasa ini juga menjadi medan untuk kita bermuhasabah diri bahawa kehidupan kita ini adalah satu ujian.

Dalam kehidupan kita, adakah setiap hari yang dilalui membahagiakan? Atau mungkin juga kita merasakan diri kita terlalu malang apabila ditimpa musibah yang tak kunjung padam.

Hakikatnya, hidup kita mungkin membahagiakan. Bagaimanapun, kerana ada sesekali kita ditimpa kecewa, kita merasakan bahawa kita satu-satunya individu yang dipilih untuk menanggung ujian yang teruk.

Malah, kita memadamkan semua cerita bahagia yang berlaku sepanjang hidup kita.

Orang yang lambat berkahwin misalnya, merasakan bahawa merekalah manusia paling kecewa. Mereka yang tidak mampu memiliki kebahagiaan berkeluarga seperti orang lain.

Ini membuatkan kita jarang memerhatikan bahawa mereka yang berkeluarga juga adakalanya sedang ditimpa dengan banyak musibah, misalnya perceraian atau keluarga yang berpecah-belah.

Sebenarnya, inilah yang selalu berlaku dalam kehidupan manusia. Kita membandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih baik. Jarang kita merenung ke dalam diri melihat kelebihan yang kita miliki.

Ini telah menyebabkan kita melupakan kebahagiaan yang dimiliki. Pemikiran kita mencari alasan untuk menyatakan bahawa kitalah manusia yang paling mengecewakan.

Puasa sepatutnya mampu membuka ruang untuk kita berfikir bahawa setiap hari kita sebenarnya sedang diuji.

Ujian dalam bentuk nikmat

Tidak semestinya dalam bentuk musibah kerana ujian juga adakalanya dalam bentuk nikmat yang membahagiakan. Ia mungkin ujian yang lebih berat kerana kita mungkin tidak menyedarinya.

Katakan kita dianugerahkan dengan kebahagiaan yang besar. Pernahkah kita merasa bahawa kita juga sedang diuji?

Ada segelintir orang kaya yang terlupa haknya kepada orang miskin kerana mereka terlupa bahawa mereka juga sedang diuji.

Ada yang berjaya dalam hidup selalu melihat bahawa mereka yang gagal ialah mereka yang malas dan tidak berusaha. Mereka yang berjaya dalam akademik pula adakalanya melihat orang lain sebagai tidak rajin berusaha seperti mereka.


MANUSIA yang berpegang kepada konsep dunia ini adil, selalu beranggapan musibah yang berlaku ke atas seseorang disebabkan kesalahan diri individu itu sendiri. - Gambar hiasan


Hakikat yang jarang diambil tahu bahawa kejayaan mereka itu mungkin satu ujian yang didatangkan dalam bentuk yang lain.

Semua itu berlaku kerana manusia selalu menganggap bahawa apa sahaja kejadian yang berlaku dalam diri manusia ialah bersebab dengan konsep 'dunia ini adil'. Dalam kata lain, orang yang baik akan diberikan kebaikan dan orang yang teruk akan dibalas seadanya.

Dalam psikologi, ada sekelompok pengkaji berminat dengan topik beliefs in a just world. Kajian-kajian mendapati, tatkala ada orang yang tidak percaya bahawa dunia ini adil, ada pula yang mempercayai bahawa dunia ini adil.

Mereka yang percaya bahawa dunia ini adil biasanya cenderung memberi alasan bahawa kegagalan seseorang itu disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Sebab itu, apabila ada yang yang ditimpa dengan musibah contohnya diragut atau dirogol, kategori manusia yang berpandangan bahawa dunia ini adil biasanya menyalahkan mangsa. Misalnya mangsa telah membawa beg tangan yang mahal atau memakai pakaian yang seksi.

Sekiranya ada orang lain yang sakit, mereka akan berpandangan bahawa mereka itu telah tidak menjaga kesihatan.

Mereka jarang memikirkan bahawa keburukan yang berlaku ke atas seseorang tidak semestinya kerana mereka telah membuat perkara yang tidak betul.

Konsep dunia ini selalunya adil telah menyebabkan manusia lambat memberi pertolongan kepada orang lain. Mereka beranggapan musibah yang berlaku ke atas diri manusia semuanya perlu bersebab dengan tindakan buruk individu itu sendiri.

Inilah hakikat dunia. Ada yang diuji dengan musibah. Ada yang diduga dengan kebahagiaan.

Moga puasa ini membuka pintu hati kita bermuhasabah dengan diri dan tidak selalu melihat orang lain daripada sudut pandangan negatif.

Sajian herba di Riverstone Eco Resort

Posted: 02 Aug 2012 12:51 PM PDT


HAMIDAH mengalu-alukan kehadiran pengunjung untuk menikmati iftar di Riverstone Eco Resort.


RAMADAN bulan yang paling dinanti-nanti ketibaannya bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia sinonim dengan bulan melakukan ibadah di samping mewah dengan pelbagai sajian untuk dinikmati ketika berbuka.

Restoran Riverstone Eco Resort (RER) di Ulu Yam, Selangor juga tidak ketinggalan menawarkan seleksi hidangan bufet Ramadan yang pasti menggamit selera.

Dianjurkan buat tahun kelapan berturut-turut, menu tahun ini menampilkan sedikit kelainan dengan mengetengahkan masakan paling istimewa dari dapur RER.

Diilhamkan sendiri oleh Pengurus Besar RER, Hamidah Asararuddin, para pengunjung berpeluang menikmati keenakan sajian kambing masak kencur, rendang arnab dan bebek masak ketumbar.

Selain itu, masakan popular RER seperti patin masak tempoyak, ayam panggang Riverstone dan wedang serey akan tetap menjadi penyeri bufet tahun ini.

Masih mengekalkan konsep masakan Jawa, pengunjung juga disajikan dengan tiwol, pisang dan ubi godog serta pecal Riverstone di samping urap kecipir dan tempe goreng bawang putih. Hidangan pemanis mulut pula terdiri daripada bubur kacang hijau, bubur pulut hitam, cendol dan kuih-muih.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved