Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Belajar masak rendang, kuah kacang
- UPM Perkenal Inovasi Ratakan Batang Buluh Pertama Di Dunia
- Beri galakan melalui ganjaran
- Irma Hasmie Mangandung, Suami Pula Kuat Makan
- Legenda badminton Punch Gunalan meninggal dunia
- Daphne jahit baju raya sendiri
- Fara Fauzana tak kisah kerja di hari raya
- Ular terbesar Florida ditangkap
- Rama-rama cacat di Fukushima
- 'Ladang' di atas bumbung
- Pembunuh bersiri ditembak mati di China
- Cuba penuhi permintaan pelanggan
- Mendiang isteri pesan melalui mimpi buru konco Bujang Sebelak
Belajar masak rendang, kuah kacang Posted: 15 Aug 2012 02:21 AM PDT CIUMAN SUAMI...Zila dijangka bersalin pada Disember ini. SELAIN meraikan kemeriahan Aidilfitri buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri, apa yang lebih menggembirakan Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 29, dan isteri, Nazirah Ayub (Zira), 24, adalah debaran menunggu kelahiran zuriat sulung mereka, Disember ini. Bahkan Nabil turut mengharapkan anak sulungnya lahir pada tanggal 12.12.2012 walau pun doktor menjangkakan kelahiran tanggal 13 Disember nanti. Justeru, penyampai radio Suria FM itu berkata, segala persiapan sebenarnya lebih tertumpu pada persediaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka tidak lama lagi.
| ||
UPM Perkenal Inovasi Ratakan Batang Buluh Pertama Di Dunia Posted: 15 Aug 2012 02:19 AM PDT SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan kaedah baru untuk mengubah batang buluh dari bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuatan papan buluh laminasi dan inovasi baru itu merupakan yang pertama seumpamanya di dunia. Penyelidik Jabatan Pengeluaran Prof Madya Dr Edi Suhaimi Bakar berkata, teknologi itu dinamakan sebagai 'V-Grooving' (Pengaluran bentuk V) yang merupakan alternatif bagi menangani masalah bekalan kayu dalam industri kayu di negara ini. "Saya yakin bahawa buluh mempunyai ciri-ciri yang sama, atau kadang-kadang lebih baik daripada kayu. Buluh dijadikan sebagai bahan alternatif kepada kayu. "Biasanya papan buluh laminasi menggunakan kaedah 'splitting-squaring' (membahagikan kepada empat segi) tetapi ia tidak praktikal dan melibatkan 13 proses yang mengambil masa. "Namun kaedah V-Grooving hanya melibatkan antara tujuh dan lapan proses sahaja menjadikannya sebagai kaedah yang lebih efisien untuk memudahkan operasi," katanya pada sidang media sempena Putra Cipta Siri Tujuh 2012 di Fakulti Perhutanan, UPM di sini, Selasa. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Dekan Fakulti Perhutanan, Prof Datin Dr Faridah Hanum Ibrahim dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi, Penyelidikan dan Inovasi Putra Science Park, Prof Madya Dr Samsilah Roslan. Dr Edi berkata, buluh dijadikan bahan alternatif kayu kerana ia cepat tumbuh, mesra alam, kuat dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. "Antara kelebihan lain bagi kaedah V-Grooving ialah ia menjimatkan kos pengeluaran dan bahan mentah serta menghasilkan produk berkualiti dan bahan hijau. "Inovasi baru ini juga meningkatkan pulangan bagi isi padu buluh yang telah diratakan dari 65 peratus ke 85 hingga 90 peratus," katanya. Menurut Dr Edi, kaedah V-Grooving dapat menghasilkan mesin pemprosesan ringkas untuk operator separuh mahir serta usahawan kecil dan sederhana. "Pengenalan mesin ini bukan sahaja memberikan peluang pekerjaan tetapi juga menjana pendapatan baru untuk masyarakat," katanya. Sementara itu, Dr Mohd Saleh berkata, sebenarnya banyak teknologi yang berkaitan dengan perkayuan dan salah satu daripadanya ialah 'V-Grooving'. "Kami melakukan penyelidikan-penyelidikan yang berimpak tinggi dan UPM meneraju pembangunan dan penyelidikan dalam perkayuan. "Produk 'V-Grooving' merupakan sesuatu yang unik. Jika tidak, ia tidak dipatenkan pada awal tahun," katanya. Mengenai mengkormersialkan teknologi itu ke peringkat antarabangsa berikutan ia merupakan yang pertama seumpamanya di dunia, Dr Mohd Saleh berkata, "Itulah hasrat kita sebenarnya tetapi kita sebagai sebuah universiti tidak boleh beroperasi sebagai entiti perniagaan. "Bagaimanapun, kita amat berharap agar produk ini disasarkan untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa," kata beliau. Menurut Dr Mohd Saleh, setakat ini lebih 10 pihak yang berminat untuk mengadakan kerjasama dengan UPM melibatkan teknologi 'V-Grooving'. "Pada masa ini, ia masih dalam peringkat perbincangan untuk pelesenan. Ia (pelesenan) merupakan langkah yang penting dalam teknologi yang dihasilkan sebelum ia boleh dibangunkan sebagai produk berskala yang sebenar," katanya. Mengenai buluh sebagai bahan alternatif kayu, Dr Mohd Salleh berkata, ia merupakan aspek yang amat penting berdasarkan kemapanan dalam industri perkayuan. "Produk-produk yang berpotensi untuk kemapanan dalam industri harus diketengahkan. Ini yang kita dapat lihat pada potensi buluh. "Kita perlu menambah nilai kepada sesuatu produk. Salah satu kemampuan produk (V-Grooving) adalah menambah nilai buluh," katanya. Beliau menambah, buluh mempunyai ketahanan yang sesuai untuk digunakan dalam pembinaan bangunan selain untuk bahan membuat perabot dan perhiasan. Selain Dr Edi, teknologi 'V-Grooving' dilakukan oleh sekumpulan penyelidik iaitu Prof Madya Dr Zaidon Ashaari, Prof Madya Mohd Zin Jusoh dan Dzafarin Saharani, masing-masing daripada Fakulti Perhutanan UPM. Inovasi V-Grooving mendapat pengiktirafan Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012. | ||
Posted: 15 Aug 2012 02:18 AM PDT COMEL...watak kartun digemari kanak-kanak, Upin & Ipin boleh menjadi pemangkin untuk menabung. PENGURUSAN kewangan yang baik harus diterapkan oleh ibu bapa dalam diri anak-anak mereka sejak usia kecil lagi supaya ia dapat dipupuk menjadi tabiat positif demi masa depan yang lebih terjamin bagi meningkatkan tahap ekonomi diri sendiri. Ibu bapa perlu membimbing anak-anak mereka dalam memahami kepentingan berjimat-cermat dan berbelanja yang perlu saja menerusi pengurusan kewangan peribadi bagi mengelak amalan pembaziran. Tabiat menyimpan kanak-kanak berakar umbi daripada didikan yang diterap ibu bapa mereka. Sekiranya tiada bimbingan, anak-anak lazimnya akan berbelanja mengikut pemahaman mereka dan dikhuatiri sikap boros menjadi tabiat yang sudah pasti merugikan diri mereka sendiri.
| ||
Irma Hasmie Mangandung, Suami Pula Kuat Makan Posted: 15 Aug 2012 01:26 AM PDT KUALA LUMPUR: Isteri yang mengandung, suami pula mengidam. Begitulah yang berlaku buat suami kepada pelakon dan pengacara Irma Hasmie iaitu Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan yang melalui tabiat pelik selepas isterinya itu disahkan berbadan dua. Redza berkata, apabila mendapat tahu isterinya hamil lima minggu, dia menjadi seorang yang kuat makan tetapi Irma hanya mengalami alahan biasa seperti mana yang dilalui kebanyakan wanita mengandung lain. "Isteri tidak mengidam apa-apa lagi setakat ini tetapi sebaliknya saya pula yang mengidam nak makan macam-macam sehingga menjadikan saya seorang yang kuat makan," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Redza berkata buat sementara ini dia akan menemani isterinya untuk menghadiri majlis-majlis tertentu kerana bimbang keadaan isterinya yang mengalami alahan akibat mengandung. "Jika terjadi apa-apa susah pula. Lebih baik saya menemani dia ke mana-mana selepas ini tambahan pula dengan cara itu ia boleh mengeratkan lagi hubungan kami suami-isteri," ujarnya. Redza turut menambah walaupun masih pada peringkat awal tetapi dia sangat teruja untuk bergelar seorang bapa. Sementara itu, Irma memberitahu kandungannya berada di dalam keadaan baik cuma dia tidak boleh menikmati makanan dan sentiasa mengalami muntah-muntah. "Syukur Alhamdulillah dengan kurniaan ini dan saya berharap semua mendoakan yang terbaik buat diri saya," katanya. | ||
Legenda badminton Punch Gunalan meninggal dunia Posted: 15 Aug 2012 01:20 AM PDT KUALA LUMPUR - Bekas jaguh badminton negara Datuk Punch Gunalan meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya dekat sini pagi ini akibat barah. | ||
Daphne jahit baju raya sendiri Posted: 15 Aug 2012 01:19 AM PDT
KEDATANGAN Aidilfitri tahun ini sungguh bermakna buat Daphne Eleanor Mozes Iking atau nama Islamnya Dahlia Daphne Eleanor M Iking. Tiada istilah kekok untuk meraikan hari kebesaran umat Islam itu meskipun tahun ini merupakan tahun kedua dia menyambut Aidilfitri sebagai seorang Muslim selepas memeluk agama Islam pada Disember 2010. Memeluk agama Islam dan berkahwin dengan pengurus dan juga rakan perniagaannya, Azmi Abdul Rahman pada 8 Januari tahun lalu, ibu kepada Isobel Daniella, 5, anak hasil daripada perkahwinannya sebelum ini dan juga Iman Daniella Iking Azmi, tujuh bulan, buah cintanya bersama Azmi membuatkan Aidilfitri Daphne lebih bermakna. "Tahun ini sangat istimewa. Tahun lalu saya meraikan Aidilfitri di Bangkok kerana urusan kerja bersama suami dan ketika itu saya sedang mengandungkan Iman. "Jadi, tahun ini kali pertama saya akan meraikan Aidilfitri bersama Iman walaupun saya berkemungkinan besar hanya akan pulang ke Malaysia pada hari raya pertama kerana urusan kerja di Vietnam," ujarnya yang mungkin pulang ke kampung halaman suaminya, di Kuala Kangsar, Perak. Walaupun sibuk bekerja, kata Daphne, 34, dia tidak sabar menanti kedatangan Aidilfitri kerana pengalaman menunaikan solat tarawih bersama suami dan berpuasa sungguh indah. "Sebenarnya tahun lalu saya tidak merasai sangat suasana raya kerana mengandungkan Iman dan banyak hari tidak boleh berpuasa kerana alahan. "Berbeza dengan tahun ini, saya dapat merasai sepenuhnya nikmat berpuasa dan menunaikan solat tarawih bersama suami. "Malah, anak sulung saya, Isobel juga sudah mula belajar berpuasa dan bersolat secara perlahan-lahan, perkembangannya membuatkan saya cukup gembira," tuturnya. Sedondon Sungguhpun sibuk dengan kerja, pelakon filem Belukar itu tetap ligat membuat persiapan raya. Membuat tinjauan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) mencari pakaian raya untuk dirinya dan keluarga menjadi agendanya tahun ini. Bagaimanapun, disebabkan tiada pakaian yang berjaya memikat hatinya dan sukar untuk mencari warna mustard Afrika yang merupakan warna tema buat Daphne sekeluarga, pengacara program Bella itu nekad menjahit pakaiannya sendiri. "Saya dan suami sudah ronda satu Jalan TAR, tiada satu yang sesuai dan mengikut warna tema kami sekeluarga tahun ini. Jadi, saya beli kain dan jahit sendiri. "Setiap malam sebelum tidur, saya akan jahit perlahan-lahan, kecuali baju suami saya, dia akan menghantarnya kepada tukang jahitnya sendiri. "Memang nampak klise memilih pakaian sedondon, tetapi saya inginkan sebuah gambar keluarga yang cantik. Seronok juga sekali-sekala berpakaian sedondon," katanya. Akui Daphne, anak sulungnya cukup menghargai jika ibunya menjahitkan sendiri pakaiannya. "Isobel berbeza dengan saya, dia cukup suka jika saya jahitkan pakaiannya, baginya ibunya seorang yang cukup hebat sebab pandai menjahit. "Berbeza pula dengan saya sewaktu kecil, kehidupan susah membuatkan ibu saya menjahitkan pakaian saya sendiri, tetapi saya selalu sangkakan ibu saya kedekut kerana tidak mahu membeli pakaian di kedai. "Selepas menjadi seorang ibu, baru saya tahu perasaan ibu saya ketika menjahitkan pakaian untuk anaknya sendiri. Walaupun penat, tetapi saya cukup bahagia apabila melihat hasil tangan saya tersarung di badan Isobel dan dia memuji pakaian itu cantik," luah wanita berketurunan Kadazan Dusun itu. Beza budaya Daphne sebenarnya sering meraikan Aidilfitri di kampung halamannya di Penampang, Sabah, sebelum dia memeluk agama Islam lagi. Meskipun ketika itu, Daphne masih seorang yang beragama Kristian Katolik, beritahunya, ramai saudara-mara di kampung halamannya beragama Islam dan mereka sering meraikan Aidilfitri bersama. "Aidilfitri bukan perayaan yang asing untuk saya sejak dahulu lagi. Saudara-mara dan rakan-rakan saya ramai yang beragama Islam. "Jadi, saya selalu sambut raya setiap tahun. Cuma apabila memeluk agama Islam, sambutan itu lebih bermakna kerana saya lebih memahami erti sambutan Aidilfitri itu sendiri," ucapnya. Tambahnya, jika pulang ke kampung halamannya apa sahaja perayaan akan diraikan bersama, cuma terdapat meja yang akan membezakan hidangan keluarga yang beragama Islam dan mereka yang bukan beragama Islam. "Sejak daripada kecil lagi, keluarga saya cukup menghormati agama dan budaya lain. Kami selalu meraikan setiap perayaan bersama, jadi apabila saya memeluk agama Islam bukan satu masalah untuk mereka meraikan Aidilfitri bersama saya sekeluarga," luahnya. Bercakap mengenai rumah terbuka, kata Daphne, dia mungkin membuat rumah terbuka, tetapi hanya untuk keluarga dan teman rapatnya sahaja. "Mungkin buat rumah terbuka untuk keluarga dan rakan-rakan rapat yang berkumpul di Kuala Lumpur. Bab masakan saya akan serahkan kepada suami sebab dia lebih handal memasak daripada saya," kata Daphne sambil tersenyum memandang suaminya. | ||
Fara Fauzana tak kisah kerja di hari raya Posted: 15 Aug 2012 01:13 AM PDT
BERTUGAS pada hari lebaran bukan sahaja ujian yang perlu dilalui anggota pengaman yang berjuang di perbatasan atau mengawal keselamatan negara, tapi juga hakikat yang sama turut dilalui sebilangan selebriti. Selain petugas media, selebriti seperti penyampai radio dan pembaca berita juga tidak ketinggalan meraikan 1 Syawal sambil bertugas memberikan maklumat atau menghiburkan pendengar. Hal yang sama pernah dilalui Fara Fauzana Mohd Fadzil, 32, ketika menyambut pagi 1 Syawal di konti radio Hot FM sejak di awal usia penubuhan stesen radio swasta itu lebih kurang enam tahun lalu. Ujarnya, rutin pagi raya yang sama telah dilaluinya beberapa tahun sebelum ini selaku perintis perjalanan sulung stesen radio terkenal itu. Usai tugasan pagi raya pertama di konti, kata Fara dia akan meluangkan masa bersama keluarga di Shah Alam dan sesi menziarah sanak saudara pada sebelah petang. Tidak menjadi hal bagi seorang selebriti yang sangat dikenali kerana keletah bersahaja dan melucukan, namun bagi Fara selagi statusnya sebagai wanita bujang dia tidak berkira. "Saya bukan jenis seorang yang beria-ia sangat setiap kali tibanya Syawal, semua persiapan saya serahkan kepada ibu saya. "Tahun ini kemungkinan besar saya cuma bercuti selama tiga hari saja dan itu bukan masalah besar bagi saya sementara saya masih bujang. Malah, kalau kena kerja pada malam raya pun saya tak kisah," katanya yang gemarkan biskut nescafe sempena juadah hari raya selain kuih loyang yang menjadi kewajipan setiap kali kemunculan Aidilfitri. Rutin yang bermula seawal pukul 4 pagi setiap hari tidak menghalang pengacara rancangan Nona itu untuk kekal aktif melakukan tugas seharian terutamanya bulan Ramadan. "Pukul 4 pagi hingga 2 petang tugas saya di konti Hot FM, setelah berbuka bersama keluarga saya akan luangkan masa bersolat tarawih di masjid dan kadang-kala sahur dengan pendengar," katanya yang lebih mempunyai ruang peribadi semenjak kedatangan bulan Ramadan tahun ini. Memandangkan rancangan Nona khas Ramadan pada tahun ini menyajikan rakaman rutin harian masyarakat di beberapa buah negara telah siap dan kini menanti tempoh tayangan, Fara mengakui dia boleh menarik nafas lega buat seketika. Fara juga berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang berkunjung ke beberapa buah negara untuk mengacarakan rancangan itu sempena edisi khas Ramadan. "Saya berpeluang menjejakkan kaki ke Kemboja buat pertama kali dan berkesempatan ke lokasi yang diberi jolokan Killing Tree. "Suasana ketika itu sunyi sepi dan keadaan tiba-tiba menjadi pilu, ketika itu saya menangis. Itu diri saya sebenarnya saya jika ramai yang belum tahu," katanya yang berjiwa sensitif. Bagaimanapun, Fara menegaskan dia belum bersedia untuk menggalas peranan mengacarakan rancangan berbentuk penderitaan masyarakat atau menyedihkan. "Sejujurnya, jika ada peluang yang datang, saya suka untuk melakukannya. Tapi buat masa ini, saya belum bersedia. Saya bukan tak nak buat, tapi saya perlu betul-betul bersedia dan yakin dengan skil mengacara saya. "Sepanjang diberi peluang selama lapan bulan menjadi pengacara, saya masih belum jadi yang terbaik, tapi apa yang boleh saya katakan saya faham apa yang dikehendaki penonton dan apa yang patut saya berikan," ulasnya. Sementara itu, bertanya kepadanya tentang penghijrahan teman sekonti, Sharifah Aleya, serapuh hatinya yang sebenarnya senang mengalirkan air mata, Fara juga menangis ketika pertama kali melihat Aleya mengenakan hijab pada penghujung bulan Julai lalu. "Saya menyokong perubahan positif kawan baik saya dan kami umpama adik-beradik, perubahan itu berkat doa semua orang begitu juga untuk diri saya sendiri. "Saya menangis kerana terlalu gembira dan dia sudah mendapat seru untuk mengenakan hijab seperti yang dituntut syarak," tambah Fara. | ||
Ular terbesar Florida ditangkap Posted: 15 Aug 2012 01:12 AM PDT WEST PALM BEACH, Florida - Seekor ular sawa Burma sepanjang 5.18 meter dengan berat 74.4 kilogram ditemui di Taman Negara Everglades, kata pihak Universiti Florida kelmarin. Ular tersebut adalah ular sawa Burma terbesar pernah ditangkap di negeri Florida, Amerika Syarikat. Haiwan berkenaan bunting dengan 87 biji telur yang merupakan satu lagi rekod di negeri berkenaan. Mengulas tentang penemuan tersebut, beberapa saintis berkata, ukuran ular tersebut menunjukkan spesies yang berasal dari Asia Tenggara itu dapat membiak dengan banyaknya di rantau Florida Selatan. "Ini bermakna ular ini dapat hidup untuk satu tempoh yang lama di hutan," kata pakar ular Muzium Sejarah Semula Jadi Florida, Kenneth Krysko.
Haiwan tersebut yang telah dibunuh kini disimpan di muzium berkenaan. "Tiada apa yang dapat menghentikan ular ini daripada mengancam hidupan liar tempatan," tambahnya. Terdapat sejumlah bulu binatang ditemui di dalam perut ular sawa itu. Beberapa saintis kini menggunakan sampel tersebut untuk mengenal pasti jenis hidupan liar yang dibaham reptilia itu. "Seekor ular sepanjang 5.18 meter boleh memakan apa sahaja," ujar Krysko. Puluhan ribu ular sawa Burma dipercayai hidup di taman negara berkenaan dengan spesies tersebut membiak dengan cepat dalam iklim panas lembap. | ||
Posted: 15 Aug 2012 01:10 AM PDT TOKYO - Beberapa mutasi genetik ditemui pada tiga generasi rama-rama dekat loji nuklear Fukushima yang tidak lagi beroperasi, kata beberapa saintis semalam. Penemuan tersebut meningkatkan kebimbangan penduduk setempat bahawa radiasi akibat kebocoran loji nuklear akan memberi kesan ke atas spesies lain. Beberapa saintis berkata, kira-kira 12 peratus larva rama-rama pale grass blue yang terdedah kepada radiasi nuklear selepas bencana tsunami melanda timur laut Jepun pada Mac 2011 didapati mengalami keganjilan seperti mempunyai kepak kecil dan mata yang rosak. Seorang saintis berkenaan, Joji Otaki yang merupakan profesor madya di Universiti Ryukyu, Okinawa memberitahu, semua serangga tersebut dibiakkan di dalam sebuah makmal di luar zon radioaktif dengan 18 peratus anak rama-rama berkenaan memiliki masalah yang sama. Bagaimanapun, angka tersebut meningkat kepada 34 peratus apabila melibatkan generasi ketiga spesies berkenaan. Kumpulan penyelidik tersebut turut mengumpulkan sebanyak 240 ekor rama-rama di Fukushima pada September tahun lalu iaitu enam bulan selepas bencana tsunami tersebut berlaku. Otaki berkata, sebanyak 52 peratus serangga itu mempunyai sifat abnormal sekali gus merupakan satu nisbah yang tinggi. | ||
Posted: 15 Aug 2012 01:09 AM PDT HONG KONG - Bumbung sebuah bangunan 14 tingkat di sini menjadi 'ladang' untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran, lapor agensi berita AFP semalam. Ladang itu dimiliki oleh Osbert Lam yang menyewakan tempat untuk menanam sayur-sayuran di kawasan seluas 930 meter persegi. Antara sayur-sayuran yang ditanam itu ialah timun dan ubi kentang. Lam yang merupakan seorang usahawan tempatan menyewa kepada orang ramai untuk menanam sayur-sayuran pada harga antara AS$20 (RM62.33) hingga AS$25 (RM77.92) sebulan. "Saya berpendapat ladang di bandar raya menjadi semakin popular. "Orang ramai yang datang ke ladang ini berasa amat gembira. Ia umpama ketenangan dan satu jalan keluar," kata Lam. Seorang jururawat, Melanie Lam yang menanam sayur-sayuran di atas bumbung itu berkata: "Saya berasa gembira memakan sayur-sayuran yang saya tanam berbanding makanan yang saya beli di pasar raya." | ||
Pembunuh bersiri ditembak mati di China Posted: 15 Aug 2012 01:07 AM PDT BEIJING - Polis di bandar Chongqing semalam menembak mati seorang pembunuh bersiri dan perompak bersenjata selepas operasi memburunya dilancarkan. Pembunuh bersiri itu, Zhou Kehua, 42, bertanggungjawab dalam sembilan kematian di beberapa wilayah. Menurut agensi berita Xinhua, dia mati ditembak di sebuah kilang kasut di Chongqing menjelang subuh. Kehua terlibat dalam rompakan dan pembunuhan yang berlaku pada tahun 2004. Menurut Xinhua, dia muncul semula pada minggu lalu untuk menembak mati seorang wanita di luar sebuah bank di Chongqing. Pihak berkuasa menganggap Kehua menjadikan orang yang mengeluarkan wang dari bank sebagai sasaran serangan. | ||
Cuba penuhi permintaan pelanggan Posted: 15 Aug 2012 01:05 AM PDT
SELEPAS seminggu umat Islam menunaikan ibadah puasa, juara kategori biskut Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012, Zurliyanti Mohd. Abdul Aziz, 36, sudah menutup tempahan biskut raya. Menurut anak jati Sungai Petani, Kedah itu walaupun tidak menang tangan menerima tempahan, beliau terpaksa mengambil keputusan untuk menolak tempahan para pelanggannya demi menjaga kualiti biskut. Tambahan pula, beliau yang merupakan pasangan kembar mengakui kerja-kerja membuat biskut bukanlah satu tugas yang mudah kerana kesemua kerja-kerja berkenaan dilakukan tanpa mengupah pekerja. Menurut Zurliyanti, beliau tidak mengupah pekerja kerana perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan sahaja. Perniagaan itu dijalankan di rumah. Katanya, setiap tahun masuk sahaja minggu pertama Ramadan, beliau tidak lagi mengambil tempahan. "Bimbang tak sempat nak siapkan. Lagipun, sebagai peniaga saya perlu ukur kemampuan sendiri sebelum mengambil tempahan," katanya yang menetap di Subang Perdana, Subang. Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, beliau telah menyiapkan lebih 150 kotak biskut Sanggul Mak Dara yang dijual pada harga RM35 setiap sekotak. Rata-rata pelanggannya yang membuat tempahan terdiri daripada penduduk Kuala Lumpur, Kedah dan Johor. "Mereka ini semuanya kenalan, saudara-mara yang terdekat dan ada juga kalangan yang hadir ketika pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 yang berlangsung pada 17 Jun lalu di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur,"ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Demi tuntutan rezeki, Zurliyanti bangun seawal 6 pagi setiap hari untuk menyediakan bahan-bahan membuat biskut berkenaan. Selepas solat Subuh beliau akan mula menyediakan adunan biskut seperti tepung dan telur yang akan berakhir sekitar pukul 11 malam termasuk menguli, membakar dan mengukir bentuk di atas biskut berkenan. Dalam sehari, Zurliyanti menghabiskan sebanyak tiga paket tepung gandum, satu paket tepung jagung, gula satu kilogram (kg), kelapa kering 500 gram(g) dan satu botol minyak jagung Daisy untuk menyediakan untuk menyediakan kira-kira 250 keping biskut. Rahsia biskut sedap Berbekalkan berpengalaman hampir sedekad dalam pembuatan biskut dan kek, beliau mengakui rahsia biskut menjadi sedap kerana menggunakan minyak jagung Daisy. "Selalunya untuk membuat biskut, bahan utama yang digunakan ialah marjerin atau mentega tetapi berbeza pula apabila menggunakan minyak jagung Daisy. Biskut akan cair di mulut selain gebu dan rangup. "Sejak sedekad lalu, saya tidak pernah menggunakan minyak dalam pembuatan biskut tetapi setelah menyertai pertandingan Daisy, barulah saya mengetahui tekstur biskut menjadi lebih sedap jika menggunakan minyak Daisy," jelasnya yang turut mempraktikkan segala tip dan petua yang ditimba bersama Chef Liza Zainol. Selain itu, ulian tepung perlu digaul dengan teliti. Jika tidak kena gayanya, ia akan mengakibatkan ulian tersebut tidak menjadi. Menyingkap pengalaman seminggu sebelum menyertai pertandingan Daisy, Zurliyanti mengakui berhadapan dengan tekanan setiap kali menguli tepung dengan minyak. "Dengan menggunakan minyak, saya memang berasa tertekan kerana biskut seringkali tidak menjadi sekali gus menyebabkan beberapa dulang biskut terpaksa dibuang begitu sahaja. "Namun, mujur saya berminat membuat biskut, jadi tidak mudah berputus asa sebaliknya melakukan beberapa kali sehingga berjaya," katanya sambil memberitahu suaminya, Ahmad Lamhali, 39, sentiasa memberi dorongan. Dalam pada itu, anak kepada guru masakan itu mengakui menceburi bidang pembuatan biskut mahupun kek menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi. Cabaran hias biskut Salah satu cabaran membuat biskut ialah ketika membuat hiasan. "Ia nampak mudah untuk melukis garisan empat segi di atas inti nanas, hakikatnya ia amat sukar kerana garisan tersebut susah untuk dibentuk supaya kelihatan sama rata,"ungkapnya. Bagi mengelakkan perkara itu, beliau melakukan garisan secara dekat agar ia tidak mencacatkan bentuk biskutnya itu. Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau merancang untuk membuka tapak di bazar Ramadan untuk menjual biskut-biskut ciptaannya itu. Justeru, beliau akan mengupah beberapa pekerja untuk menghias biskut sahaja memandangkan Zurliyanti sendiri akan melakukan kerja-kerja mengadun tepung. "Jika tiada apa-apa halangan, saya dan suami akan menjalankan perniagaan itu nanti. Ia akan mudah dengan bantuan pekerja dan boleh menerima tempahan yang banyak," katanya yang membuka kelas membuat biskut. Sehubungan itu, kepada yang berminat mengikuti kelas membuat biskut dan kek, boleh menghubungi Zurliyanti di talian 016-268 9094. Sementara itu, Rosni Johari, 36, yang aktif dalam perniagaan kek sejak lima tahun lalu berjinak-jinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual muruku yang dihasilkan oleh ibunya, Fatimah Junuh, 57.
Guru mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Bukti Mertajam Pulau Pinang itu menjual kuih berkenaan kepada rakan-rakan dan guru di sekolah. "Selalunya apabila tiba musim perayaan, tempahan akan meningkat mendadak sehinggakan ibu saya terpaksa membuatnya hampir setiap hari bagi memenuhi permintaan. "Apa yang lebih menggembirakan, muruku yang dihasilkan ibu saya ini turut mendapat permintaan daripada para pelajar Malaysia yang belajar di Amerika Syarikat," kata Rosni ketika ditemui di rumahnya di Lunas, Kedah baru-baru ini. Menurut Rosni, muruku yang dijual pada harga RM8.50 bagi setiap 500 gram itu turut mendapat permintaan yang tinggi di Sabah dan Sarawak hasil inisiatif rakannya yang membawa maruku tersebut untuk dijual sejak beberapa tahun lalu. Apakah keistimewaan muruku ibunya? Rosni memberitahu, ibunya menggunakan rempah ratus yang dihasilkan sendiri dalam menghasilkan kuih berkenaan. "Dengan menggunakan rempah yang dihasilkan sendiri, muruku akan menjadi lebih sedap dan warnanya juga menjadi lebih menarik," kata juara kategori kek pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 itu. Walaupun muruku yang dihasilkan oleh ibunya itu masih dalam kuantiti yang sedikit, namun beliau juga ada perancangan untuk memperbesarkan perniagaan tersebut. "Saya bercita-cita untuk memasarkan muruku tersebut ke kedai-kedai dan pasar raya di dalam negara. "Namun, disebabkan masalah modal, kami menangguhkan hasrat tersebut dan apa yang kami mampu buat setakat ini hanyalah menghasilkan maruku berdasarkan tempahan sahaja," katanya. | ||
Mendiang isteri pesan melalui mimpi buru konco Bujang Sebelak Posted: 15 Aug 2012 01:03 AM PDT
SARATOK - Selepas mewarisi ilmu 'selembur buaya' daripada pawang terbilang, ketua rumah panjang Sungai Anak di Roban, Embol Asum, 48, berjaya menangkap dan membunuh seekor reptilia sepanjang tiga meter di Sungai Sebelak dekat sini semalam. Suami kepada mangsa Bujang Sebelak itu memberitahu, dia kembali memburu buaya di sungai berkenaan selepas mendapat pesanan mendiang isterinya, Siah Munsong, 42, menerusi mimpi supaya memburu dan menghapuskan generasi Bujang Sebelak. Menurut Embol, meskipun hanya tiga minggu menuntut ilmu daripada gurunya iaitu pawang terkenal dari Betong, Indet Sanabong, 49, dia sudah mampu menjinak, menangkap serta membunuh enam ekor buaya dipercayai konco-konco Bujang Sebelak sejak dua minggu lalu. "Saya mendapat mimpi didatangi isteri saya dan mendiang meninggalkan pesanan untuk membunuh konco-konco Bujang Sebelak menyebabkan dendam kesumat terhadap reptilia ganas itu kembali membuak-buak. "Menerusi ilmu yang dipelajari daripada Pawang Indet, saya berjaya menangkap dan membunuh beberapa ekor buaya termasuk seekor yang panjangnya tiga meter semalam sebelum haiwan itu dibakar dan dimakan dagingnya," katanya ketika ditemui di kediamannya dekat sini semalam. Kosmo! difahamkan kesemua buaya tembaga yang ditangkap itu puratanya sepanjang kira-kira dua hingga empat meter. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan