ads

Sabtu, 11 Ogos 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Berpuasa dan beraya di Mekah

Posted: 11 Aug 2012 05:19 PM PDT



PENGERUSI Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah tidak asing lagi dengan bumi Mekah, Arab Saudi.

Dia berpengalaman selama berpuluh tahun menguruskan ribuan jemaah umrah dan haji dari negara ini. Malah, beliau sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana pada tahun 2001.

Tutur Mohd. Daud, suasana menyambut 10 malam terakhir bulan Ramadan di Mekah lebih meriah berbanding sambutan Aidilfitri sendiri.

Ini kerana umat Islam dari seluruh dunia mengejar malam Lailatul Qadar yang ganjaran pahalanya lebih baik daripada 1,000 bulan. Lailatul Qadar merupakan satu malam daripada malam-malam bulan Ramadan.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: "Sesiapa yang berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


SELAIN musim haji, kota Mekah yang penuh berkat ini gemar dikunjungi pada bulan Ramadan.MASJIDIL HARAM akan dipenuhi umat Islam sepanjang malam untuk bertarawih dan qiamulail.


Selain itu, baginda juga pernah menceritakan malam al-Qadar adalah malam yang indah, penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin.

Pada keesokan harinya pula sinar matahari kelihatan lemah kemerah-merahan.

Sambut raya

"Biasanya 10 malam terakhir Ramadan sehingga 1 Syawal merupakan cuti umum di Arab Saudi bertujuan menggalakkan umat Islam beribadat dengan bersungguh-sungguh.

"Malah, ada orang Arab yang menyewa bilik hotel selama sebulan khusus untuk tujuan itu," katanya kepada Jurnal.

Mohd. Daud berkata, antara amalan yang dilakukan pada masa itu ialah solat wajib disertai ibadat solat sunat tarawih di Masjidil Haram atau masjid-masjid berhampiran.

"Solat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat bermula pukul 9 malam dan berakhir dua jam kemudian. Tetapi kebiasaan ramai yang menunggu untuk melakukan solat sunat tahajud secara berjemaah.

"Mereka akan membaca al-Quran atau iktikaf di masjid. Keadaannya seperti solat Jumaat," jelasnya.

Mohd. Daud memberitahu, soal makanan untuk berbuka tidak menjadi satu masalah kerana ramai pihak yang mendermakan kurma, manisan serta air zamzam di sekitar masjid di Mekah dan Madinah.

"Makanan sentiasa mencukupi tetapi sebenarnya makanan tidak menjadi isu kerana semua jemaah menumpukan pada ibadat wajib dan sunat semata-mata," ujarnya.


LEBIH sejuta umat Islam menunaikan umrah pada bulan Ramadan bagi merebut ganjaran pahala berganda.


Bercerita mengenai sambutan hari raya di Kota Suci itu, solat sunat Aidilfitri bermula lebih kurang pukul 7 pagi. Waktu Subuh di Rumah Allah itu ialah sekitar pukul 5 pagi.

"Mereka mengadakan solat itu lebih awal bagi mengelakkan bahang panas matahari. Secara praktikal tidak banyak bezanya kerana sebaik sahaja solat sunat selesai umat Islam akan bersalam-salam dan berpelukan antara satu sama lain.

"Kemudian terdapat sesi jamuan makanan dan minuman seperti manisan, karipap dan air zamzam," katanya.

Amalan menziarahi saudara-mara akan dilakukan selepas solat.

Keesokan harinya, sebahagian besar penduduk Arab Saudi akan berpuasa enam.

"Bagi rakyat negara ini yang berkesempatan menyambut Aidilfitri di Mekah, pihak Andalusia akan menyediakan nasi himpit dan sate yang diterbangkan khas dari Malaysia.

"Selain itu, kuih raya seperti tart nanas, semperit dan baulu turut disediakan bagi mengubat kerinduan terhadap makanan tradisi seperti rendang daging, ketupat dan lemang," katanya.

Jemaah Malaysia juga boleh menikmati sajian Arab seperti nasi mandy pada pagi Aidilfitri.

Bayar zakat

Seorang lagi pengendali syarikat yang menawarkan pakej umrah dan haji, Abdul Halim Abdullah memberitahu, kebanyakan jemaah umrah mengambil kesempatan menunaikan zakat fitrah di Mekah.

"Mereka akan memberikan terus kepada orang miskin yang ada di sana berbentuk secupak beras. Soal itu tidak menjadi masalah kerana banyak pekedai yang menawarkan pembelian berbentuk sedemikian," katanya.


MASJIDIL HARAM akan dipenuhi umat Islam sepanjang malam untuk bertarawih dan qiamulail.


Malah, kesempatan bertemu dengan umat Islam seluruh dunia satu peluang yang baik untuk berkenal-kenalan dan bermesra antara satu sama lain.

"Pelbagai cerita yang kita dengar selain maklumat terkini umat Islam yang menderita di seluruh dunia seperti di Afghanistan, Syria dan Myanmar," ujarnya.

Bagi Mariam Abdul pula, kesempatan menunaikan umrah pada tahun 2010 lalu selain menyambut Aidilfitri pasti tidak akan dilupakan.

"Cukup selesa dengan tumpuan semata-mata untuk mengerjakan ibadat. Selain itu, peluang untuk memperoleh pahala dengan bersedekah cukup banyak.

"Kebiasaannya saya akan membeli sejadah untuk disedekahkan kepada jemaah yang bersolat di jalan raya," beritahu Mariam.

Ujarnya, selain itu ramai yang membeli al-Quran untuk diwakaf di beberapa buah masjid.

Panjut tujuh likur

Posted: 11 Aug 2012 05:18 PM PDT


AMALAN memasang panjut masih diteruskan sehingga sekarang di samping penggunaan lampu moden. - Gambar hiasan


TRADISI memasang panjut merupakan amalan biasa di kampung pada malam menjelang hari raya. Ia bertujuan memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri yang datang setahun sekali.

Di bandar pula, penduduk lebih senang menggunakan lampu hiasan berwarna-warni untuk menerangi kediaman mereka.

Penduduk Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak, Fatimah Ashaari, 60, telah menyaksikan pemasangan panjut yang cukup meriah di daerah itu pada awal tahun 1970-an dan 80-an.

Digelar Panjut Kuala Kangsar, pelita raya yang dipasang di bandar diraja itu dikatakan lebih meriah berbanding tempat lain di negara ini.

Fatimah kurang pasti bilakah tradisi itu bermula. Namun, mengikut cerita lisan, bekas yang menggunakan sumbu dan minyak kerosin untuk dinyalakan itu dimulakan oleh penduduk Kota Lama iaitu pusat pemerintahan awal Kesultanan Melayu Perak.

Fatwa

"Suasana menjadi sangat meriah dengan pelita yang begitu banyak. Bagaimanapun, orang zaman dahulu menggunakan pelita untuk menerangi jalan bagi memudahkan mereka menunaikan solat tarawih di surau atau masjid terutamanya pada malam tujuh likur iaitu malam ke-27 Ramadan yang sering dikaitkan dengan malam Lailatul Qadar," tutur Fatimah kepada Jurnal.

Ujarnya, ada yang menyifatkan amalan memasang panjut dipengaruhi elemen Hindu.

Malah, pihak berkuasa agama di Perak pernah mengeluarkan fatwa yang melarang umat Islam meraikan pesta panjut sehingga mengabaikan tuntutan agama yang lebih afdal iaitu bersolat tarawih.

"Mufti kata pertandingan itu bukan sahaja membazir bahkan menggalakkan umat Islam meninggalkan solat tarawih. Sedangkan solat itu lebih dituntut berbanding menghadiri pesta panjut.

"Ini kerana pesta itu diadakan selepas waktu berbuka puasa dan berlarutan hingga tengah malam," kata seorang penduduk asal Kuala Kangsar yang enggan dikenali.

Katanya, sedangkan waktu itu lebih elok dipenuhi dengan solat malam dan memperbanyakkan ibadat lain.


TUJUAN asal pemasangan panjut adalah bagi meraikan 10 malam terakhir Ramadan sehingga ke hari raya.


Namun katanya, penduduk tidak dilarang memasang panjut di sekeliling rumah.

"Saya lihat masih banyak rumah yang membuat panjut dalam pelbagai reka bentuk. Ia sekadar untuk memeriahkan perayaan Aidilfitri khususnya untuk menceriakan anak dan cucu yang pulang berhari raya.

"Tentulah cucu-cucu yang tidak biasa melihat keunikan panjut berasa seronok berada di rumah datuk dan nenek mereka," katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Perak, Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan, tradisi menyalakan lampu panjut bagi menerangi laman rumah semakin dilupakan.

Menurutnya, zaman kegemilangan budaya Melayu itu kini semakin terancam kerana bilangan rumah yang memasang lampu minyak tanah tersebut semakin berkurangan.

"Pada 10 tahun lalu, setiap rumah di kampung akan berlumba-lumba memasang pelita minyak tanah.

"Malah, ada pertandingan panjut bagi memeriahkan lagi suasana lebaran. Tetapi sekarang tradisi itu semakin dilupakan generasi muda," katanya.

Usahawan Muda AVON

Posted: 11 Aug 2012 05:17 PM PDT


PENGALAMAN menggunakan sendiri produk Avon membolehkan Nur Diyana meyakinkan pelanggan dengan lebih mudah.


TIDAK seperti kebanyakan remaja sebayanya yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tumpuan Nur Diyana Azmi, 20, sebaliknya lebih terarah untuk memajukan bidang perniagaan yang diceburi sejurus tamat sekolah menengah.

Menurutnya, minat dalam bidang perniagaan diwarisi daripada keluarga yang sememangnya aktif menjalankan perniagaan. Malah, dia tidak menyesal apabila memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, dia juga mahu mengubah stigma masyarakat yang beranggapan tanpa pendidikan tinggi, seseorang itu tidak akan berjaya. Buktinya ialah kejayaannya sendiri sekarang.

"Saya mempunyai matlamat yang jelas. Tidak semestinya jika kita tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, kita tidak boleh mengecapi kejayaan.

"Stigma sebegitu yang ingin saya buang daripada benak fikiran setiap masyarakat yang menganggap masa depan tidak terjamin sekiranya memiliki sijil SPM sahaja.

Produk remaja

"Bergelar usahawan pada usia muda memberikan saya lebih peluang untuk menerokai bidang yang diminati ini apatah lagi ibu, Aminah Taharim, 48, memberikan sokongan penuh kepada saya," ujarnya yang menggemari rangkaian minyak wangi jenama Haiku dan Far Away keluaran Avon.

Tambahnya, penglibatan dalam Avon banyak dipengaruhi ibunya yang merupakan wakil Avon sejak lima tahun lalu.

Bermula dari situ, potensi dan bakatnya menjual produk keluaran Avon terserlah lebih-lebih lagi selepas mendapat tunjuk ajar mengenai strategi pemasaran daripada ibunya.

Setiap bulan ibunya akan memberikan sasaran jualan produk Avon yang perlu dicapai Nur Diyana.

Setakat ini, dia berjaya mencapai sasaran yang diberikan malah pelanggannya juga bertambah dari sehari ke sehari.

Bagi membuktikan setiap yang dikatakan kepada pelanggan itu benar, gadis ini mengambil inisiatif untuk mencuba sendiri setiap produk baharu Avon kerana padanya pengalaman orang yang menjual adalah testimoni terbaik yang harus diberikan kepada pelanggan.

Selain itu, dia akan memastikan di dalam beg tangannya ada barangan Avon.

"Melalui strategi begitu, saya dapat meyakinkan pelanggan dan dapat menjawab segala pertanyaan mereka kerana saya sendiri sudah mencubanya.

"Saya sering berkongsi produk Avon yang saya pakai bersama pelanggan kerana mereka selalu bertanya produk apa yang saya gunakan.

"Dari situ, saya membina jaringan perhubungan. Saya beruntung kerana jenama Avon tidak perlu diperkenalkan lagi.

"Hampir semua orang mengenali Avon kerana kualiti produknya. Harganya juga berpatutan," tutur anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Dedahnya, dia mendapat banyak permintaan produk keluaran Avon seperti celak, gincu, minyak wangi dan pakaian dalam daripada golongan remaja.

Katanya, kebanyakan pelanggan memberi maklum balas yang positif sekali gus membuatkan dia lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Jelasnya, sepanjang dua tahun bersama Avon, dia berjaya melatih sebanyak 300 downline di sekitar utara tanah air yang kebanyakannya terdiri daripada suri rumah, pelajar dan peniaga dengan menjalankan pelbagai aktiviti seperti kelas solekan dan sesi pengenalan produk baharu.

"Setiap usaha yang dilakukan sepanjang menjadi wakil Avon seakan-akan berbaloi apabila saya diberi peluang untuk melancong ke luar negara dan dihadiahkan sebuah kereta kerana mencapai sasaran syarikat.

Penghargaan

"Saya juga mendapat bonus berupa wang tunai atas penat lelah saya selama ini," beritahunya yang turut menggunakan laman Facebook untuk berinteraksi dengan pelanggan.

Ujarnya, melayani kerenah pelanggan yang pelbagai ragam merupakan satu cabaran. Begitupun, ia tidak dijadikan alasan untuk dia berundur daripada bidang yang diminatinya ini.

Malah, dia akan berusaha sedaya upaya untuk memuaskan hati pelanggan dengan memberikan panduan terperinci berkenaan sesuatu produk.

Bersama Avon, dia pernah meraih Anugerah Sales Executive Sales Leader (SESL) bagi tahun 2011 dan 2012, Anugerah Senior Unit Manager bagi tahun 2011 dan 2012 selain mendapat tempat keempat bagi kategori pendapatan tertinggi Anugerah Sales Leader Terbaik Daerah pada 2011 dan Anugerah Cabaran Konvensyen Antarabangsa Phuket 2012.

"Perancangan saya untuk lima tahun akan datang sudah tentu ingin mengembangkan lagi jaringan perniagaan yang ada sekarang dan mendapatkan lebih ramai pelanggan.

"Saya juga mahu membuka sebuah butik Avon," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Inap desa gaya mewah

Posted: 11 Aug 2012 05:16 PM PDT


PERINCIAN ukiran yang eksklusif dan mewah memberi nilai tambah buat teratak ini.


KAMPUNG Parit Tengah yang terletak dalam kawasan Rengit, Batu Pahat, Johor, bukanlah nama asing bagi para pelancong yang ingin menikmati suasana hidup yang masih mengekalkan 100 peratus tradisi bergotong-royong.

Pernah menyandang gelaran johan Pertandingan Kebersihan, Kemajuan dan Keindahan Kampung peringkat daerah, negeri dan kebangsaan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah antara tahun 1994 hingga 2000, tidak hairanlah kampung yang mengamalkan prinsip hidup bermuafakat atau guyup dalam bahasa Jawa ini cukup dikenali di negeri Johor.

Lantaran itu, Kampung Parit Tengah yang menjadi tumpuan hampir dua dekad lalu mula menawarkan kemudahan inap desa dengan pelbagai pakej menarik yang mampu menggamit ramai pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk berkampung di situ.


JENDELA labuh dengan kemasan ukiran bunga dikemaskan dengan padanan langsir jarang berwarna putih.


Tarikan terbaharu di kampung itu ialah inap desa yang diberi nama Teratak Selari Bonda.

Sekali pandang, rumah kayu dua tingkat yang tersergam indah ini memang sudah cukup untuk menggambarkan kesungguhan pemiliknya untuk memiliki rumah Melayu tradisi.

"Saya memang mengimpikan sebuah rumah kampung yang dibina daripada kayu memandangkan rumah yang diduduki sekarang diperbuat sepenuhnya daripada batu.

"Idea asalnya saya dan isteri hanya mahu bina pondok kecil yang boleh menjadi tempat persinggahan ketika pulang ke kampung pada hujung minggu.

"Namun, selepas melihat pelan pondok, saya berasa luas binaannya kecil dan mula hendak menambah itu ini. Akhirnya, pondok yang dirancang sudah bertukar menjadi teratak," ujar pemiliknya, Yusof Khamis, 58.

Dibangunkan sepenuhnya menggunakan lebih 60 tan kayu cengal dan belian, teratak dua tingkat ini mengambil masa selama dua tahun untuk dibina dan baru dibuka kepada orang awam selepas dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Rengit, Ayub Jamil, 2 Jun lalu.

"Selepas siap dibina, rumah ini ditinggalkan kosong memandangkan saya masih bertugas di Johor Bahru. Hendak balik tiap-tiap minggu pun, ada masanya kami sibuk dengan urusan lain.

"Lantaran sering ditinggalkan, ada jiran dan rakan-rakan yang mengesyorkan supaya ia dijadikan homestay.

"Kami terus bersetuju. Sekurang-kurangnya rumah ini boleh memberi manfaat kepada orang lain selain menyumbang pendapatan sampingan kepada kami," kata isteri Yusof, Ngainon Samiran, 55, yang merupakan anak jati Kampung Parit Tengah.

Hafal ukiran

Ditanya mengenai nama Teratak Selari Bonda, ia sengaja dinamakan begitu memandangkan struktur binaannya yang selari dengan rumah ibunya.


RUANG atas dibiarkan kosong tanpa sebarang perabot memandangkan kebanyakan pengunjung memilih untuk tidur beramai-ramai di luar bilik.


"Rumah ibu saya terletak di seberang parit sana. Kedudukannya betul-betul selari dengan rumah ini, sebab itu ia dinamakan Teratak Selari Bonda," kata Ngainon.

Meninjau rumah yang kaya dengan elemen tradisi dan ukiran ini, rasa kagum memang mudah menjalar di hati setiap pengunjung yang bertandang ke mari.

Mana tidaknya, hampir setiap sudut rumah ini tidak dibiarkan polos. Kemasan ukiran sama ada daripada motif flora mahupun fauna yang memartabatkan estetika warisan rumpun Melayu mudah dilihat di mana-mana.

Dari kekisi tingkap, cucur atap, tebar layar hinggalah ke alang-alang atap, kesemuanya memiliki bentuk ukiran yang berbeza.

"Saya mengupah tukang ukir khas dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia untuk memberi sentuhan ukiran eksklusif untuk teratak ini.

"Mereka memang pengukir profesional, hinggakan hendak mengukir pun mereka tidak perlukan bantuan gambar rajah lukisan sebaliknya terus mengukir di atas kepingan papan," kata Yusof.

Demi mengekalkan warisan rumah tradisi Melayu, Yusof mahukan binaan rumahnya dicantum hanya menggunakan pasak dan skru. Ketukan paku pula tidak dibenarkan sama sekali.

Tidur di beranda

Mempunyai dua bilik di aras bawah, Yusof lebih selesa membiarkan tingkat atas kosong tanpa bilik.

"Hampir kesemua pengunjung lebih selesa tidur berselerak di luar bilik, sama ada di tingkat atas mahupun di bawah. Malah, mereka sanggup mengalihkan perabot ke tepi dan tidur sampai ke beranda luar.

"Di sini, suasana malamnya memang nyaman dan bebas daripada nyamuk. Disebabkan itu, ramai yang lebih gemar membentang tilam dan tidur di beranda luar," katanya yang cuba mengarap konsep Bali dalam rekaan dalaman terataknya itu.


RUMAH ini turut dilengkapi dapur yang luas untuk keselesaan dan kemudahan pengunjungnya.


Waktu siangnya pula, berbelas jendela kayu separa labuh bertindak menjadi liang pengudaraan seterusnya mengawal kemasukan udara panas ke dalam rumah.

Sebagai inap desa mesra alam juga, teratak ini turut menyediakan dua pengatup sinar ultra ungu di tingkat atas rumah bagi menggantikan fungsi lampu pada siang hari.

Menjengah ke bahagian dapur yang dipisahkan dengan pintu gelangsar, ruangannya yang luas memang cukup selesa andainya pengunjung ingin memasak buat keluarga.

Kemasan kabinet bawah dan meja makan yang diperbuat daripada kayu melengkapkan lagi fungsi bahagian tersebut.

Jika ingin bersantai dan mengambil angin, ruang beranda yang luas tersedia di sepanjang binaan rumah.

"Pengunjung boleh duduk di set kerusi taman, bangku perahu ataupun bersila di lantai, semuanya terpulang kepada keselesaan masing-masing.

"Faktor keselamatan pula jangan dirisaukan kerana kawasan rumah ini berpagar dan kedudukannya hampir dengan rumah jiran-jiran yang lain," ujar Ngainon.

Bersahur di hotel

Posted: 11 Aug 2012 05:14 PM PDT


BERSAHUR di hotel lebih selesa dengan kemudahan bilik dan variasi makanan.


JAM di tangan menunjukkan pukul 2 pagi. Jika diikutkan, masih terlalu awal untuk bersahur. Sementara menunggu waktu sahur, kru Jurnal bersiar-siar terlebih dulu di sekitar Petaling Street yang terletak beberapa ratus meter sahaja dari Ancasa Hotel & Spa tempat kami akan bersahur hari itu.

Lokasi itu sesuai bagi individu atau keluarga untuk membeli-belah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana ia memiliki variasi aksesori perhiasan diri seperti kasut, baju dan pakaian.

Suatu ketika dahulu berbuka puasa di hotel kedengaran agak pelik. Tetapi kini ramai warga kota menjadikan amalan itu sebagai satu trend malah tidak kurang pula yang cuba untuk bersahur di hotel pula.

Banyak hotel yang menyediakan perkhidmatan itu sekarang. Sebagai contoh, Ancasa Hotel & Spa menawarkan menu bersahur sejak lebih tiga tahun lalu dengan pakej berharga RM29 untuk dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak.

Kepelbagaian makanan dalam hidangan bufet boleh membuatkan anda kecur air liur termasuk ulam-ulaman, telur dan ikan masin, kari ayam, ikan masak kicap dan sup kambing. Senarai menu ini bertukar setiap hari.

Sebaik sahaja melangkah ke bilik hotel, suasana cukup selesa dirasakan dengan alat pendingin hawa serta tilam yang empuk. Persekitaran sebegitu memang mudah untuk seseorang melelapkan mata.

Pukul 4 pagi, tetamu hotel mula turun untuk mengisi perut sebagai persiapan berpuasa keesokan hari.

Restoran Saffron Brasserie menjadi gelanggang untuk mereka mengambil berkat bersahur sehingga tiba waktu imsak.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Hotel Ancasa, Melinda Marie Ambrose, kebanyakan pelanggan yang bersahur pada hari itu terdiri daripada kakitangan kerajaan yang sedang berseminar di hotel itu.

"Suasana agak meriah kerana mereka dapat berkenalan antara satu sama lain selain merapatkan hubungan sesama Islam.

"Malah, mereka juga mengambil kesempatan bertukar-tukar idea dan berbincang mengenai sesuatu perkara kerana waktu pagi otak dan fikiran masih segar" katanya.


ANEKA juadah memberi peluang kepada pelanggan untuk memilih mengikut cita rasa masing-masing.


Teruja

Jelasnya, ramai pelanggan yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah selepas bersahur.

"Cuma saya tidak dapat turut serta kerana bukan beragama Islam tetapi saya memang teruja dengan pendekatan yang diamalkan.

"Ini kerana bangun pada waktu awal pagi agak sukar. Tidak ramai orang yang boleh melakukan perkara itu," tutur Melinda.

Menurut seorang tetamu, Norsham Sabil, 46, yang berasal dari Shah Alam, Selangor, dia berpeluang bersahur di hotel sejak dua tahun lepas.

"Sebenarnya bersahur di hotel menawarkan pengalaman yang menarik selain tidak perlu terkejar-kejar untuk memasak," katanya.

Barizah Zainal Abidin, 38, pula memberitahu, dia dapat tinggal di bilik yang selesa di samping boleh menikmati pelbagai jenis makanan berkhasiat.

"Pelbagai menu makanan disediakan tetapi selera lidah Melayu saya tetap mengutamakan nasi.

"Bersahur di sini juga lebih praktikal jika kita berhajat membeli-belah di pusat beli-belah berhampiran pada waktu siang atau awal malam," ujarnya.

Bagi Tuan Hilme Khairi Tan Yusoff, 29, ini merupakan kali pertama dia bersahur di hotel bersama isterinya, Nik Nurina Nik Saidina Omar sejak berkahwin enam bulan lepas.

"Biasanya kami bersahur ala kadar sahaja iaitu dengan makan roti atau nasi goreng. Bersahur di hotel ibarat aktiviti bulan madu kami juga," kata Tuan Hilme bergurau.

Selain Hotel Ancasa, Hotel Marriot Putrajaya juga tidak ketinggalan dengan pakej bersahur. Apa yang uniknya, ia terus dihidangkan di bilik anda. Pakej itu ditawarkan daripada 21 Julai hingga 18 Ogos ini.

Menu yang disediakan pula meliputi soto ayam, ayam gulai lemak padang, roti, kuih-muih, telur sambal, sayur lodeh jawa dan telur fung yang pasti membuka selera.

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran dan Komunikasinya, Lydia Mae Hendaroff, pakej bersahur itu bermula pukul 3 pagi hingga sebelum waktu Subuh.

"Pelanggan hanya memesan makanan terlebih dahulu dan menetapkan masa untuk pelayan hotel membawanya ke bilik mereka.

"Makanan akan siap dihidangkan di meja bulat yang disediakan khas di dalam bilik. Selepas selesai bersahur ia akan dikemas semula," cerita Lydia.

Ujarnya, sambutan pakej bersahur itu cukup menggalakkan, begitu juga pakej berbuka puasa.

Bagi chef hotel, Liow Toh Kai, walaupun bukan beragama Islam dia mementingkan soal pemilihan makanan halal.

"Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan. Selain itu, menu juga bertukar setiap hari.

"Sekiranya mereka inginkan menu makanan yang berbeza ia turut boleh disediakan," katanya.

Realitinya bersahur di hotel merupakan satu budaya baharu tetapi tidak salah untuk mencubanya.

Melihat dalam gelap

Posted: 11 Aug 2012 05:13 PM PDT


LOUISE (kanan) dan Andy (kiri) memastikan Harvey tidak ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan sewajarnya.


SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun di Britain, Harvey Webb mengalami masalah penglihatan yang pelik. Dia dapat melihat dengan baik dalam gelap, tetapi 'buta' apabila cerah.

Untuk mengatasi masalah itu, Harvey mengenakan sepasang cermin mata hitam bagi membantu dia melihat terutamanya ketika duduk di tempat bercahaya.

Ibu bapa budak itu terpaksa menutup kesemua langsir rumah mereka sepanjang hari. Sekurang-kurangnya cara itu membolehkan Harvey menatap wajah ibu bapanya.

Masalah penglihatan yang dihidapnya itu dikenali sebagai akromatopsia. Ia bermakna dia juga mengalami buta warna dan melihat dunia dalam dua warna sahaja iaitu hitam dan putih.

Ibunya, Louise memberitahu, Harvey tidak boleh melihat sebarang kecerahan sama ada lampu mahupun cahaya matahari.

"Cahaya normal pada siang hari yang dilihatnya sama seperti kita memandang silau cahaya matahari ketika memandu. Kami perlu menyediakan suasana paling gelap agar dia dapat melihat dengan baik," kata Louise, 35.

Sensitif

Cermin mata hitam yang dipakai Harvey direka bagi mengawal kemasukan cahaya sebanyak 10 peratus sahaja.

Keadaan itu bermakna Harvey mempunyai masalah untuk keluar bermain dan terpaksa berjaga-jaga dengan sinar matahari.

Akromatopsia dihidap oleh kira-kira 35,000 orang di seluruh dunia. Ia berlaku pada bahagian retina mata apabila sel-sel yang bertanggungjawab kepada sensitiviti warna dan cahaya tidak berfungsi sebaiknya.

Harvey dikenal pasti berdepan masalah itu pada tahun 2009 setelah ibu bapanya mengesan kelainan apabila dia berada dalam persekitaran terang.

Pada asalnya, doktor mengesahkan Harvey menghidap masalah nistagmus iaitu anak mata yang bergerak-gerak kiri ke kanan atau atas ke bawah. Namun, semasa berumur tujuh bulan barulah pakar mengesahkan dia menghidap masalah akromatopsia.

Menyedari seorang kanak-kanak memerlukan pendidikan awal sendiri, ibu bapa Harvey tidak mahu anak mereka ketinggalan. Justeru, pelbagai kaedah pendidikan awal yang bersesuaian didedahkan kepadanya.

"Seorang budak perlu belajar mengenai kehidupan melalui alam sekeliling. Mereka perlu keluar dan tengok haiwan di atas pokok atau pesawat di udara.

"Oleh kerana mata Harvey bermasalah, kami mencari kaedah lain untuk mengajarnya iaitu dengan menggunakan buku dan televisyen sebagai medium pembelajaran," kata bapa Harvey, Andy.

Harvey kini dihantar ke sebuah pusat jagaan orang buta untuk mendapat latihan sewajarnya.

Masalah yang dihidapnya itu bermaksud dia tidak boleh memandu pada masa depan dan memerlukan bantuan sewajarnya di dalam kelas apabila mengikuti pembelajaran bersama kanak-kanak normal.

Sekurang-kurangnya dengan menyertai pusat itu, dia boleh menggunakan penglihatan yang terhad itu secara maksimum.


BEGINILAH penghidap akromatopsia melihat dunia iaitu dalam keadaan tanpa warna.


Terhad

Menurut pakar, sehingga kini tiada rawatan untuk mengatasi akromatopsia.

Perunding mata di Hospital Mata Moorfields, London, Dr. Tony Moore, berkata, penglihatan yang terhad akan mengehadkan aktiviti golongan itu.

Penghidap juga berdepan masalah keyakinan diri untuk berada di luar apatah lagi mereka sangat sensitif kepada cahaya.

"Pandangan mereka menjadi lebih teruk dalam keadaan cahaya terus berbanding kita yang akan nampak dengan lebih jelas dalam situasi begitu," kata Moore.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO), Murphy Chan menjelaskan, keadaan seperti yang dialami Harvey perlu dikesan lebih awal oleh ibu bapa agar pembelajaran anak-anak tidak terbantut.

"Masalah itu boleh diketahui melalui pemeriksaan penglihatan oleh pengamal perubatan bertauliah. Seorang ahli optometris akan melakukan beberapa tahap pemeriksaan.

"Tanda paling utama seseorang itu mempunyai masalah ini ialah apabila dia menunjukkan simptom seperti sangat sensitif kepada cahaya dan sukar melihat" katanya kepada Jurnal.

Murphy berkata, masalah tersebut turut dipengaruhi faktor genetik. Anak boleh mewaris masalah itu daripada ibu bapa yang menjadi pembawa gen akromatopsia.

Bagaimanapun, penghidap mampu menjalani kehidupan yang lebih selesa dengan mengenakan alatan yang sesuai terutamanya cermin mata khas.

"Walaupun sehingga kini kaedah rawatan kekal belum ditemui, kanak-kanak yang menghidap masalah itu boleh memakai sepasang kaca mata khas untuk membantunya melihat.

"Selain cermin mata dengan kanta rabun dekat dan jauh, pesakit perlu mengenakan cermin mata dengan kanta merah untuk mengurangkan sensitiviti kepada cahaya.

"Kini sejenis alat terbaharu diperkenalkan iaitu eyeborg yang dikenakan pada mata untuk membantu mereka melihat warna melalui gelombang bunyi," kata Murphy.

Manfaat telur untuk wanita hamil

Posted: 11 Aug 2012 05:12 PM PDT


TELUR membantu wanita hamil mengurangkan tekanan.


TELUR merupakan salah satu makanan alternatif yang baik kepada wanita hamil.Satu kajian di Universiti Cornell, Amerika Syarikat mendapati, kandungan sejenis bahan yang dikenali sebagai kolin dalam telur boleh mengurangkan risiko penyakit kepada bayi dalam kandungan.

Selain itu, ia berupaya meredakan tekanan ibu ketika proses kehamilan. Penemuan itu tambah diyakini apabila kajian sebelum ini menunjukkan hormon kortisol yang dihasilkan semasa hamil boleh menguatkan imunisasi anak.

"Kajian ini menunjukkan pengambilan kolin dapat melawan beberapa kesan buruk akibat tekanan semasa hamil seperti tingkah laku dan gangguan metabolik," kata ketua pengkaji, Marie Caudill.

Kajian tersebut yang disiarkan dalam Journal of Federasi of American Societies for Eksperimental Biology mendedahkan bahawa telur terbukti memainkan peranan penting dalam perkembangan otak bayi terutamanya berkaitan memori dan pembelajaran.

Kajian itu turut mendedahkan, wanita yang dietnya rendah kolin memiliki risiko empat kali ganda untuk mendapat anak yang mempunyai masalah berkaitan saraf.

Menurut Caudill, setiap biji telur mengandungi sebanyak 125 miligram kolin di dalam kuning dan putih telur.

E-mel niat bunuh diri

Posted: 11 Aug 2012 05:11 PM PDT


TERJUN daripada bangunan merupakan cara bunuh diri yang kerap dilakukan.


SETIAP tahun, hampir satu juta orang dilaporkan mati akibat bunuh diri dengan kadar satu kematian setiap 40 saat.

Kadar bunuh diri di seluruh dunia itu juga meningkat sebanyak 60 peratus berbanding data yang direkodkan 45 tahun lepas, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebelum ini kes bunuh diri sering dikaitkan dengan warga tua tetapi kejadian itu dalam kalangan golongan muda dilaporkan semakin meningkat sehingga meletakkan mereka dalam kumpulan berisiko tinggi di negara maju dan membangun.

Kes bunuh diri menjadi tiga penyebab utama kematian dalam kalangan mereka yang berumur 15 hingga 44 tahun di beberapa negara dan penyebab kedua kematian bagi golongan umur 10 hingga 24 tahun.

Angka ini tidak termasuk cubaan membunuh diri yang jumlahnya semakin besar dengan nisbah 20 cubaan berbanding satu kematian.

Bunuh diri membabitkan banyak faktor yang kompleks berkait dengan psikologi, sosial, biologi, budaya dan alam sekitar.

Masalah gangguan emosi, kebiasaannya akibat kemurungan dan alkohol, menjadi faktor seseorang sanggup membunuh diri di Eropah dan Amerika Utara tetapi di negara Asia, gerak hati memainkan peranan.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan, sebanyak 48 peratus daripada 1,156 kes bunuh diri di Malaysia dari tahun 2007 hingga 2012 melibatkan kaum Cina, ia diikuti kaum India sebanyak 21 peratus dan kaum Melayu 13 peratus.

"Golongan lelaki mencatat jumlah lebih tinggi dalam kes bunuh diri iaitu 75 peratus berbanding 25 peratus wanita.

"Mereka yang berumur antara 24 hingga 44 tahun pula merupakan golongan paling ramai terlibat dalam kes bunuh diri.

"Masalah kemurungan menjadi salah satu faktor seseorang itu berniat membunuh diri selain masalah mental. Golongan wanita dilaporkan paling ramai mengalami masalah kemurungan iaitu 2.3 peratus berbanding 1.4 peratus lelaki," tambahnya.

Befrienders

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Befrienders atau Sedia Bersahabat, pihaknya menerima 21,600 aduan yang ada kaitan dengan kemungkinan bunuh diri pada tahun 2011.

Daripada jumlah aduan itu, 92 peratus diterima menerusi panggilan telefon, e-mel (6 peratus) dan secara bersemuka (2 peratus).

Befrienders menawarkan bantuan khidmat persahabatan dan sokongan emosi secara percuma melalui panggilan telefon, e-mel atau temu janji.

Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur, Vincent Pun berkata, pengadu boleh berkongsi apa sahaja perasaan mereka tanpa perlu memberitahu butiran peribadi dan tidak perlu takut dicemuh kerana segala butiran akan dirahsiakan.

"Sebanyak 33 peratus pemanggil terdiri daripada kumpulan berusia 30 tahun ke bawah dengan 60 peratus adalah wanita.

"Kami juga pernah menerima e-mel daripada kanak-kanak berusia 10 tahun," dedah beliau.

Jelas Vincent, terdapat tiga isu utama yang sering diadukan iaitu masalah hubungan sosial sebanyak 24 peratus, kesihatan mental (18 peratus) dan keluarga (12 peratus) manakala selebihnya isu berkaitan kewangan.

"Niat mahu membunuh diri diluahkan menerusi e-mel sebanyak 33 peratus manakala 20 peratus diterima melalui panggilan telefon," tambahnya sambil memberitahu, Befrienders Kuala Lumpur boleh dihubungi melalui talian 24 jam, 03-7956 8145 atau e-mel sam@befrienders.org.my.

Vincent berkata, setakat ini, Befrienders berjaya membantu ramai pengadu selepas mereka meluahkan perasaan takut dan risau kepada seseorang yang tidak dikenali tetapi boleh menyimpan rahsia.


GOLONGAN lelaki dilaporkan cenderung membunuh diri berbanding wanita.


Kemurungan

Sementara itu, Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Aida Syarinaz Ahmad Adlan berkata, kebanyakan kes bunuh diri dikaitkan dengan masalah kemurungan.

"Mereka yang berada dalam kemurungan selalunya akan berdepan dengan masalah kesukaran untuk tidur, tiada selera makan, sering rasa bersalah dan tidak berguna serta merasakan tiada masa depan. Mereka menyangka semua masalah itu dapat diselesaikan dengan membunuh diri.

"Ada juga kes membabitkan mangsa yang menghidap penyakit mental iaitu skizofrenia dan halusinasi.

"Keadaan seperti ini yang membuatkan mereka sukar membezakan antara realiti dan fantasi," jelas Aida Syarinaz.

Menurutnya, seseorang yang berisiko untuk membunuh diri akan menunjukkan tanda kemurungan sama ada melalui perbuatan atau diluahkan sendiri.

Selain itu, mereka juga akan membuat persediaan seperti meninggalkan wasiat dan berbincang dengan ahli keluarga apa yang akan berlaku sekiranya mereka tiada kelak.

"Mereka juga akan memikirkan cara untuk membunuh diri sama ada melalui pengambilan ubat secara berlebihan, menggantung diri, memakan racun, terjun bangunan, tembak diri atau mengelar pergelangan tangan.

"Setakat ini, golongan lelaki dilaporkan lebih cenderung membunuh diri manakala wanita hanya setakat peringkat percubaan membunuh diri sahaja.

"Bagi kategori umur pula, kebanyakan mangsa berusia 19 tahun ke bawah dan 60 tahun ke atas," tambahnya.

Ujarnya, golongan remaja tidak akan menunjukkan tanda yang mereka sebenarnya murung tetapi ia boleh dilihat melalui perubahan sikap mereka.

"Untuk golongan warga emas pula, selain mempunyai penyakit, mereka sering merasakan tiada gunanya untuk terus hidup lagi dan memilih untuk membunuh diri," beritahu beliau.

Aida Syarinaz turut menasihatkan mereka yang berada dalam kemurungan supaya mendapatkan pertolongan daripada orang lain seperti ahli keluarga, sahabat handai dan saudara-mara untuk berkongsi masalah yang dihadapi atau mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar psikologi dan pakar psikiatri.

Mariam menangis dihadiahkan kereta

Posted: 11 Aug 2012 05:07 PM PDT


KERETA jenis Ford Fiesta pemberian anak Mariam kepadanya.


TENAGA Mariam Abdul masih kuat meskipun usianya sudah melebihi 70 tahun. Dia juga bersyukur kerana tidak menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

Lututnya juga sihat, tidak seperti kebanyakan wanita yang seusianya.

"Alhamdulillah saya boleh melakukan urusan harian dan beribadat seperti biasa," ujar beliau.

Kehidupan ibu tunggal ini boleh dikatakan lengkap serba-serbi.

Malah, mungkin ramai yang kagum melihat nenek kepada lapan orang cucu ini memandu sebuah kereta baharu yang sporty.

Kereta jenis Ford Fiesta berwarna merah berharga lebih RM80,000 itu merupakan pemberian anaknya pada awal tahun ini.

"Anak sulung bersungguh-sungguh minta saya datang ke rumahnya.

"Dia mengajak saya untuk makan tengah hari tetapi dia berikan kereta pula.

"Saya menangis dan berasa sangat bersyukur semasa dia memberikan kunci kereta itu kepada saya," cerita Mariam yang ditemui di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor.

Sebelum ini, Mariam menggunakan kereta Proton Wira sahaja.

"Ia memang selesa dan laju berbanding kereta sebelum ini. Jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur memerlukan saya pergi ke beberapa tempat pada kadar segera.

Duniawi

"Selain itu, mudah untuk saya ke surau dan masjid bagi mengikuti kelas pengajian agama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Rasa seperti orang muda pun ada," katanya ketawa.

Kru Jurnal sempat menaiki kereta bergear automatik itu sambil dipandu Mariam.

Ternyata, gaya pemanduan Mariam seperti orang muda yang dapat mengawal stereng dengan kemas. Adakalanya dia memecut melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan penulis kecut perut.

"Orang lama macam saya suka mendengar lagu-lagu lama di stesen radio Klasik Nasional," cerita Mariam.

Sebenarnya, kereta baharu itu tidak pernah diminta oleh Mariam. Pada penghujung usia sekarang, dia menganggap hubungan dan kasih sayang ibu-anak adalah sumber kegembiraan sejati yang melebihi daripada segala kebendaan duniawi.

Daripada pengamatan penulis, wanita ini sememangnya bahagia dengan kehidupannya walaupun dia terpaksa bergelar ibu tunggal selama kira-kira 30 tahun.

Mariam yang berasal dari Sungai Petani, Kedah bercerai dengan suami setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga. Dia berkahwin semasa berumur 25 tahun.

Dia tidak menyalahkan bekas suami atas keruntuhan mahligai perkahwinan mereka sebaliknya menganggap ia dugaan Tuhan untuk menjadikannya lebih matang dan kuat.

Ibu tunggal

"Sebelum bercerai, saya sudah cuba hidup bermadu selama empat tahun tetapi akhirnya saya tidak mampu meneruskannya lagi. Namun begitu, selepas bercerai saya dan bekas suami sepakat dalam soal penjagaan dan pendidikan anak-anak," katanya.

Empat orang anak Mariam kesemuanya boleh dikatakan berjaya dalam kerjaya sekarang termasuk menjadi ahli perniagaan.

"Zuriat yang kita peroleh sebenarnya amanah daripada Allah, begitu juga dengan diri kita sendiri.

"Sementara ada kesempatan kita mesti menjaga dan mendidik mereka secukupnya agar seimbang dunia dan akhirat," ujarnya.

Tidak lama selepas bergelar ibu tunggal, Mariam menubuhkan Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur.

"Setakat ini, kami memperoleh 200 orang ahli yang rapat antara satu sama lain," cerita Mariam.

Kebiasaannya, ahli persatuan ini akan berkumpul di Dewan Flat Pusat Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Danau Kota, Kuala Lumpur untuk aktiviti bersama.

"Kami sering menganjurkan ceramah undang-undang dan perniagaan, kelas memasak dan ceramah motivasi.

"Sebenarnya, nasib ibu tunggal di negara ini telah banyak berubah hasil keprihatinan kerajaan. Malah, ramai yang berjaya termasuk menjadi tukang urut, pembuat kek, peniaga kedai runcit dan bergelar usahawan," ujarnya.

Tegas Mariam, dia tidak ingin ibu tunggal sekadar merayu-rayu bantuan.

"Mereka perlu berusaha sebaik mungkin tanpa perlu meraih simpati orang lain bagi mendapatkan pertolongan," katanya.

Mariam tidak menolak ada dalam kalangan ibu tunggal yang menjadi mangsa perlakuan ganas bekas suami.

"Ada yang disimbah asid di muka kerana meminta cerai. Kemudian, proses mahkamah pula mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

"Tetapi sekiranya terdapat campur tangan pihak media dan orang politik, masalah mereka lebih cepat selesai," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved