Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Keaslian Gua Kristal Naica
- Melayari keindahan Krabi dan Phuket
- Berpuasa atas kapal
- Tragedi 'Hiroshima'
- Komplot 3 beruk 'culik' bayi tuan rumah gagal
- Ada wang, masih mengemis
- Sepasang kekasih ditahan bersama 2.5kg ganja
- Sarjan didakwa terima rasuah
- Polis 'palsu' rogol remaja
- Leka berurut sambil bogel
- Terkejut nasi kandar RM18.50
- Pasangan kekasih tak sedar gelagat dirakam
- Ramadan Dafi di perantauan
- Kemunculan Prism baharu
- Miyavi, Gitaris Samurai
- UPM menang anugerah emas
- Noryn akui jadi isteri Raja Bahrin
- Kumpulan K-Pop cetus kontroversi
- Topeng muka Chewbacca dilelong
- Ombak besar landa Manila
- Misteri tempat persembunyian Bashar
- China larang pegawai, pelajar berpuasa
- Tahan sehingga 17 jam
- Hab rujukan pada bulan puasa
- Filem Melayu fantasi asing
| Posted: 01 Aug 2012 08:55 PM PDT Pelombong perlu memakai sut khas dan tangki oksigen untuk bertahan lebih lama di dalam gua kristal ekoran suhunya yang tinggi. - AGENSI SEKILAS pandang, gua kristal di kawasan perlombongan Naica di Chihuahua, Mexico kelihatan seperti set penggambaran cerita Superman yang memaparkan watak Clark Kent bertemu dengan bapanya, Jo-El di planet Kripton. Namun, terdapat sedikit perbezaan apabila 'gua kristal' dalam cerita Superman mempunyai suasana putih bercahaya, manakala Naica lebih gelap dan suram. Gua Kristal Naica, terletak 300 meter di bawah tanah dan sepanjang 27 meter. Ia ditemui pada tahun 2000 oleh sekumpulan pelombong ketika melakukan kerja-kerja mengorek terowong dan mengepam air bagi mengelakkan kawasan perlombongan Naica ditenggelami air. Pada mulanya, kumpulan pelombong menemui beberapa batu yang kelihatan seperti kristal sebelum meneruskan operasi menggali dan menemui gua kristal gergasi. Gua istimewa itu turut menyaksikan penemuan kristal yang mempunyai ukuran diameter sebesar empat meter, panjang 12 meter dan berat 55 tan, sekali gus mungkin menjadi kristal terbesar pernah ditemui. Dari 1970 hingga 1990-an, kawasan perlombongan Naica terkenal dengan hasil galian seperti emas dan perak sebelum kemunculan zink dan plumbum yang dilihat lebih bernilai. Jika gambar-gambar yang dirakam diteliti, kesemua kristal yang terdapat dalam gua tersebut kelihatan seperti bongkah ais dan mungkin orang menyangka ia bersuhu sejuk. Namun, tahukah anda, suhu di dalam gua tersebut sebenarnya boleh mencecah sehingga 58 darjah celcius dengan 90 hingga 99 peratus kelembapan. Tanpa perlindungan khas, manusia hanya boleh terdedah pada suhu panas di dalam gua tersebut selama 10 minit. Justeru, kumpulan pelombong mengambil inisiatif mencipta sendiri 'tangki oksigen sejuk' dan sut khas yang membolehkan mereka berada lebih lama di dalam gua untuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan pemantauan. Gua Kristal Naica terletak di gua batu kapur yang mempunyai saliran magma di bawahnya di mana ia bertindak memanaskan air bawah tanah sebelum bertukar menjadi tepu dengan campuran beberapa bahan galian termasuk gipsum. Gipsum merupakan inti pati utama kepada pembentukan kristal dan ruang gua yang dipenuhi dengan air panas itu akan kekal selama kira-kira 500,000 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, suhu air terbabit akan berada pada satu tahap konsisten iaitu melebihi 50 darjah Celcius dan keadaan itu secara tidak langsung membentuk kristal bersaiz besar. Berdasarkan pemerhatian sekumpulan penyelidik, lantai gua tersebut dipenuhi dengan blok-blok kristal berkilat dan keras. Sehingga hari ini, gua berbentuk seperti ladam kuda itu boleh dimasuki bagi membolehkan syarikat perlombongan meneruskan kerja-kerja mengepam air untuk mengekalkan keadaan kering di dalamnya. Pada 2009, sebuah lagi gua kristal yang diberi nama Istana Ais ditemui di kawasan yang sama terletak 150 meter di bawah tanah dan tidak dipenuhi air. Berbeza dengan gua kristal gergasi Naica, Istana Ais atau Ice Palace mempunyai formasi kristal yang lebih kecil dan struktur lebih halus. Sehingga kini, pelbagai pihak tampil untuk melakukan kajian terhadap gua tersebut bagi mencungkil misteri kewujudannya. | |||
| Melayari keindahan Krabi dan Phuket Posted: 01 Aug 2012 08:52 PM PDT pelancong dibawa melawat ladang ternakan ikan yang turut menempatkan keli gergasi sepanjang dua meter. MELANCONG dengan kapal Star Cruise ke negara gajah putih baru-baru ini memberi satu pengalaman yang mengujakan. Superstar Libra memulakan pelayaran dari Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Jeti Swettenham, Pulau Pinang menuju ke dua kawasan pelancongan ternama di Thailand iaitu Krabi dan Phuket. Walaupun mengambil masa seharian untuk tiba ke destinasi, namun penumpang tidak merasa bosan kerana banyak aktiviti dapat dilakukan di atas kapal. Pelbagai kemudahan disediakan antaranya spa dan sauna, kolam renang, gimnasium, kedai dan restoran. Pendek kata, terasa seperti menginap di hotel mewah pula. Layanan kru kapal dari segenap Asia yang begitu ramah mesra menjadikan pelayaran lebih selesa. Menarik mengenai pelayaran Star Cruise, kami dapat menikmati pemandangan laut yang terbentang luas.. Cuaca redup menghidupkan suasana damai dan menyenangkan. Sepanjang empat hari tiga malam, setiap hari ada keraian dan program menarik disajikan untuk menghiburkan penumpang di atas kapal. Hari pertama di KrabiSebelum berlabuh di perairan Krabi, penumpang sudah boleh memilih mana-mana pakej perjalanan yang disediakan dengan kadar berpatutan. Daripada aktiviti lasak hinggalah melawati tempat bersejarah, semuanya terdapat dalam pakej. Bagi yang tidak mahu bergerak dalam kumpulan besar dan mempunyai tempat spesifik ingin ditujui, mereka boleh menyewa tut-tut yang mudah didapati di kawasan jeti. Ikut hati, mahu sahaja penulis menghabiskan masa menikmati pemandangan semula jadi dengan melawat pulau-pulau menarik seperti Phi Phi Island, James Bond Island dan Bamboo Island. Sayangnya penulis ditempatkan dalam satu kumpulan kecil dan mengikuti trip yang diaturkan oleh penaja. Tarikan utama di sini bukan hanya pantai yang jernih, pasir memutih dan aktiviti air seperti kayak dan selam skuba. Banyak aktiviti darat yang menarik seperti melawat Taman Negara Phang Nga, Taman Botani Thanbok Kharani dan menaiki gajah sambil menikmati keindahan alam sekitar. Mula-mula kami melihat sisi eksotik Krabi iaitu persembahan King Cobra tidak jauh dari jeti. Selain menonton penjinak ular mempesonakan pengunjung dengan aksi berbahaya, kami turut dipersembahkan aksi monyet yang mencuit hati. Seterusnya, kami ke ladang ikan keli dengan terbesar sepanjang hampir dua meter. Terdapat juga pelbagai jenis ikan lain seperti pacu, spesies yang mirip ikan piranha. Di pulau ini, cukup mudah untuk mencari restoran makanan halal. Makanan autentik Thailand pula begitu dekat dengan selera dan cita rasa masyarakat Melayu. Perjalanan kami diteruskan dengan melawat antara mercu tanda Krabi iaitu Wat Tham Sua atau Tiger Cave Temple. Tokong di kawasan pergunungan ini tidak putus-putus dikunjungi pelancong lebih-lebih lagi yang beragama Buddha. Anda boleh menikmati panorama indah seluruh pulau setelah mendaki 1,237 anak tangga ke puncak bukit. Destinasi terakhir kami adalah Pantai Ao Nang yang sibuk dengan deretan kedai cendera mata untuk dibawa pulang sebagai tanda kenangan. Sebelum meninggalkan pantai dan Krabi, kami sempat menikmati pemandangan indah matahari terbenam. Setelah tiba di pelabuhan Phuket, kami bergerak ke selatan melawat Promthep Cape - bagi menikmati pemandangan Laut Andaman yang terbentang luas . Selain pemandangan memukau, Promthep turut terkenal kerana arca Buddha bermuka empat yang terletak di atas bukit. Kami kemudian ke Sri Burapa Cashew Nut Factory and Shop, mencuba pelbagai aneka gajus serta jusnya selain produk buah-buahan kering. Rugi jika tidak membeli kerana harganya cukup berpatutan. Perjalanan kami diteruskan ke beberapa tempat membeli-belah seperti Wang Talang, Central Festival Village, Premium Outlet, gedung baju T Phuket, e-Jatujak dan kompleks Jungceylon. Daripada hasil kraf hinggalah ke barangan berjenama, semuanya terdapat di sana. Namun bukan semuanya murah. Pengunjung harus bijak tawar-menawar. Destinasi terakhir di Phuket adalah pantai Patong. Cahaya neon sepanjang jalan menghidupkan suasana dan mood untuk bersuka ria. Sempat juga kami ke Bangla Road untuk menikmati suasana malam sambil melihat ragam manusia. Hujan bagaimanapun menyebabkan suasana tak serancak yang digambarkan rakan-rakan yang pernah ke sini. Kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan), kami menaiki bas pulang ke kapal. Parti selamat tinggal yang diadakan malam itu di atas kapal mengakhiri pelayaran singkat tapi bermakna ke negara gajah putih itu. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 08:50 PM PDT Ahmad Asri Yaacob (tengah) bersama anak-anak kapal membaca doa sebelum berbuka puasa di di atas Kapal KD Indera Sakti. DALAM kita bergembira menyambut kehadiran Ramadan, terdapat golongan yang terpaksa mengorbankan perasaan itu demi menjalankan tanggungjawab kepada negara tanpa mengira masa dan tempat. Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kedatangan bulan Ramadan tidak pernah menghalang mereka untuk menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dengan penuh dedikasi. Bagi mereka, sebagai anggota tentera, selain perlu mempersiapkan diri dari aspek mental dan fizikal. Mereka juga perlu berhadapan dengan situasi termasuk pelbagai perkara perlu dikorbankan bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal. Begitulah yang dialami oleh 159 anak kapal sokongan KD Sri Indera Sakti yang terus komited menjalankan tugas sambil berpuasa walaupun berada di bawah terik matahari dan ribut petir di tengah-tengah samudera. Kapal yang ditauliahkan pada 7 November 1980 itu dibina berdasarkan dua peranan utama iaitu sebagai platform pemerintah dan kapal sokongan yang mengandungi stor, kontena dan bengkel yang membolehkan bantuan diberikan secepat mungkin kepada kapal lain di tengah lautan. Pegawai Memerintah KD Sri Indera Sakti, Kapten Ahmad Asri Yaacob berkata, berpuasa dan menyambut kedatangan Syawal di atas kapal adalah perkara biasa baginya yang telah berkhidmat sebagai tentera sejak 29 tahun lalu. Katanya, sebagai anak kapal, mereka sentiasa terdidik untuk bersedia dalam apa jua keadaan sekiranya diperlukan berlayar kerana tugas kepada negara merupakan keutamaan yang perlu diberi perhatian. ''Sebenarnya puasa di kapal lebih seronok kerana apabila kita sibuk dengan tugas, kita tidak sedar hari sudah beralih dan sedar-sedar Syawal pula menjelma. ''Memang ada kurangnya apabila berpuasa di kapal kerana tiada keluarga tetapi apabila menjadi anak kapal, rakan-rakan adalah keluarga kita dan ia juga sebenarnya menyeronokkan," katanya yang berasal dari Langgar, Kedah. Menurut Ahmad Asri yang lebih 12 kali berpuasa di atas kapal, perasaan sedih kebiasaannya dialami oleh anak kapal baru berbanding anak kapal senior yang telah terbiasa dengan keadaan itu. ''Jika di luar ada tarawih, di sini juga ada. Kesemua anak kapal yang tidak bertugas akan sama-sama mengerjakan solat tarawih selepas berbuka puasa. ''Hidangan berbuka puasa dan bersahur juga sama seperti di luar kerana chef di atas kapal ini sentiasa menyediakan makanan yang menepati cita rasa agar anak kapal berasakan mereka seperti berada di rumah sendiri,'' ujarnya. Sementara itu, Pegawai Waran 1 Ahmad Othman, 40, berkata, bertugas semasa kedatangan Ramadan bukanlah satu masalah besar baginya bahkan berbangga kerana dapat berbakti kepada negara. Dia yang berasal dari Sungkai, Trolak telah tiga kali berpuasa di atas kapal sejak memulakan khidmat 20 tahun lalu. ''Memang ada masa, hati terasa sayu tambah-tambah lagi apabila mengenangkan keluarga. Tetapi apabila bersama rakan-rakan, kesunyian itu hilang kerana di sini merekalah yang menjadi keluarga kita. ''Tentang makanan pula tiada masalah kerana masakan yang disediakan chef sedap dan tiada kurangnya," katanya. Bagi Bintara Kanan Seksyen Kuasa Tinggi, Tajri Ahmad, 37, sikap memahami oleh anak dan isteri menyebabkan dia tidak sukar membiasakan diri menjalani ibadah puasa di tengah lautan. ''Isteri dan anak sangat faham dengan tugas saya. Walaupun ada rasa rindu apabila teringatkan mereka, ia diubati dengan kehadiran rakan-rakan," katanya. Dalam pada itu, Bintara Kanan Peperangan Atas Permukaan, Azizan Osman, 39, berkata, belayar pada bulan puasa mendatangkan sedikit keletihan namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sekiranya diperlukan. ''Alah bisa, tegar biasa. Ini semua cabaran bagi kami sebagai anak kapal TLDM dan ia selaras dengan prinsip TLDM sendiri iaitu 'Sedia Berkorban," katanya. Sementara itu, bagi guru agama Tentera Darat, Koperal Abdul Aziz Muhamad, 35, panggilan telefon menjadi nadi penghubung baginya untuk melepaskan rindu kepada keluarga. Dia yang mesra disapa ustaz dalam kalangan anak kapal juga merupakan 'imam' semasa mengerjakan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah. ''Perasaan berjauhan daripada keluarga memang tidak dapat digambarkan tetapi seperti kata-kata rakan, di sini kami adalah keluarga dan ikatan itu menyebabkan kami tidak berasa sunyi dan keseorangan," ujarnya. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 08:47 PM PDT INSPEKTOR Zolkipli Abu Hassan sedang menyemak fail di pejabatnya di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. BATU-BATA pecah dan berselerak, serpihan kayu dan besi berterbangan. Banyak rumah, bangunan serta kenderaan musnah. Penduduk dan pekerja pula dilihat lari bertempiaran menyelamatkan diri. Itulah rentetan peristiwa yang disaksikan oleh Inspektor Zolkipli Abu Hassan ketika bertugas dalam operasi menyelamat dalam insiden letupan paling kuat dan dahsyat yang berlaku di sebuah kilang mercun, Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor pada 7 Mei 1991. Menurut Zolkipli, 40, meskipun nahas itu sudah 21 tahun berlaku namun ia meninggalkan kesan dan kenangan paling pahit terutama buat mangsa atau ahli keluarga yang terlibat. Tragedi itu digelar 'Hiroshima Sungai Buloh' berikutan ledakan itu diibaratkan seakan-akan peristiwa bom atom dijatuhkan pesawat Amerika ke wilayah Jepun pada Perang Dunia Kedua, seramai 26 maut manakala 83 mangsa pula mengalami kecederaan. "Letupan itu sangat kuat dan menakutkan, seolah-olah kita berada dalam medan perang. Gegarannya turut dirasai sejauh empat kilometer dari kilang tersebut," katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini. Sebelum kejadian, pihak makmal di kilang itu difahamkan sedang melakukan kerja-kerja menguji mercun. "Namun tanpa diduga, tiba-tiba satu letupan yang sangat kuat berlaku di dalam kilang tersebut seterusnya diikuti dengan beberapa lagi letupan," katanya yang kini bertugas di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Berikutan kejadian itu, bangunan dan kenderaan yang berada di sekeliling kilang tersebut turut musnah dalam kebakaran. "Bayangkan, anjing yang ditinggalkan di halaman rumah ketika itu sudah tidak kelihatan dan yang tinggal hanya rantai besi milik haiwan berkenaan," ujarnya. Menurutnya, beberapa jentera bomba dan penyelamat, polis dan ambulans dikejarkan ke lokasi tersebut bagi melakukan operasi menyelamat. Sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba di lokasi, mereka dapat menyaksikan keadaan kelam-kabut kerana semua mangsa cuba menyelamatkan diri dari terkena serpihan kayu, batu dan besi yang berterbangan akibat letupan tersebut. "Jeritan meminta tolong dan raungan kesakitan akibat terkena serpihan mercun yang meletup jelas kedengaran. Lebih menyayat hati apabila melihat ada di kalangan mereka meratapi mayat ahli keluarga," ujarnya. Katanya, pada masa itu pelbagai kesukaran dihadapi pihak berkuasa sama ada untuk memadamkan kebakaran mahupun operasi menyelamat mangsa. Anggota bomba sukar untuk meneruskan gerakan mencari dan menyelamat mangsa dengan segera kerana bimbang letupan akan berulang. Selepas kebakaran dapat dikawal, usaha mencari dan menyelamat mangsa tidak terhenti begitu sahaja malah berlangsung selama beberapa hari. Sebaik selesai menjalankan tugas di bahagian kawalan, Zolkipli bertugas pula di dalam mengambil laporan daripada mangsa dan sanak saudara mereka. Menurutnya, sewaktu bertugas di bahagian kaunter, pelbagai reaksi dan perasaan dapat dilihat daripada wajah setiap mangsa mahupun ahli keluarga yang terlibat. "Suasana pilu dan sedih menyelubungi segenap ruangan balai ketika itu. Keadaan juga agak kelam-kabut kerana ramai yang datang membuat laporan mengenai kehilangan ahli keluarga," katanya yang masih gagal melupakan kejadian itu. | |||
| Komplot 3 beruk 'culik' bayi tuan rumah gagal Posted: 01 Aug 2012 08:45 PM PDT Anggota JPAM meninjau bahagian atas siling rumah mangsa. Esah bersama Waqil Wafi yang terselamat dalam cubaan dilarikan beruk liar. Anggota Perhilitan dan JPAM mengawasi persekitaran rumah Esah. ALOR GAJAH - Tujuh bulan diberi tumpang siling sebuah rumah di Lorong Datuk Megat Alam Melintang, Taboh Naning, di sini, tiga beruk bukan sahaja tidak 'mengenang budi' malah sebaliknya cuba 'menculik' dan melarikan bayi tuan rumah. Ketika itu, hanya mereka berdua di rumah. Anak Esah, Sahrul Sayuti Zainal, 34, keluar bekerja di Rembia manakala menantunya, Norazila Norsobrani, 33, mengajar di Sekolah Kebangsaan Cherana Putih. Rasa cemas Esah semakin kuat apabila mendapati siling rumahnya merekah dan kemudian pecah. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 08:44 PM PDT Pasangan suami isteri ini sanggup mengemis di kali lima walaupun mempunyai simpanan dalam akaun simpanan mereka. KOTA BHARU- Walaupun mempunyai simpanan RM8,000 dalam akaun simpanan mereka, sepasang pengemis warga emas yang cacat penglihatan masih sanggup meneruskan kegiatan mengemis di kaki lima Pasar Siti Khadijah di bandar ini kerana sudah biasa dengan pekerjaan itu sejak 10 tahun lalu. | |||
| Sepasang kekasih ditahan bersama 2.5kg ganja Posted: 01 Aug 2012 08:43 PM PDT Kedua-dua pasangan ini dipercayai mengedar dadah jenis ganja. KUALA MUDA – Tindakan menggelabah sepasang kekasih semasa ditahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) di Taman PKNK, Tikam Batu akibat tidak memakai topi keledar akhirnya terbongkar setelah menemui bungkusan kecil dipercayai dadah yang dibawa bersama. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 08:03 PM PDT Ismail (kiri) bersama seorang kenalan di luar kamar Mahkamah Sesyen Kuantan semalam. KUANTAN- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyan Kuantan semalam atas tuduhan menerima suapan RM800 daripada seorang penagih dadah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan dan menutup kes lelaki terbabit setelah ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. "Saya juga berdepan tindakan tatatertib oleh jabatan dan kemungkinan kehilangan pekerjaan," katanya dalam rayuan itu. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 08:01 PM PDT Mohd Harmozi (kiri) dan Rizal Azlie (kanan) memarahi petugas media merakamkan gambar mereka di Mahkamah Sesyen, semalam. AYER KEROH - Dua sahabat dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan akibat melakukan perbuatan keji dengan merogol seorang remaja sejurus menyamun dan menyamar sebagai anggota polis, dua tahun lalu. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:59 PM PDT Tukang urut wanita dan pelanggan terkedu ketika premis diserbu pihak berkuasa. PUCHONG – Keasyikan beberapa pelanggan diurut tanpa seurat benang di pusat refleksologi Bandar Puteri di sini terbantut apabila premis dikunjungi mereka diserbu pihak berkuasa, lewat malam kelmarin. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:58 PM PDT Terkejut nasi kandar RM18.50 Resit pembelian berkenaan. KULIM - Seorang pemandu bas pekerja industri terkejut apabila dikenakan bayaran RM18.50 bagi sebungkus nasi yang dibelinya dari restoran nasi kandar di sini. | |||
| Pasangan kekasih tak sedar gelagat dirakam Posted: 01 Aug 2012 07:54 PM PDT Gelagat pasangan remaja ini dirakam sekitar jam 3.16 pagi. KULIM - Mungkin terlalu asyik dibuai cinta, sepasang kekasih lingkungan 17 tahun tidak sedar gelagat mereka dirakam lensa Sinar Harian kira-kira jam 3.16 pagi di parkir motosikal sebuah restoran makanan segera, di sini. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:53 PM PDT
TUNTUTAN kerjaya dan impiannya untuk mengembangkan bakat seni ke negara seberang memaksa Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri hidup sendirian di Kota Jakarta, Indonesia. Menurut Dafi, 24, yang sempat menyambut separuh bulan Ramadan di Malaysia, dia mengambil cuti bulan mulia ini daripada mengendalikan program, Selebrita Siang. Bagaimanapun disebabkan kepadatan jadual kariernya di Indonesia, Dafi harus terbang ke Jakarta semula sebelum kembali ke Kuala Lumpur dua hari sebelum sambutan Aidilfitri kali ini. "Buat masa ini saya masih berada di Malaysia tetapi pada 10 Ogos depan saya akan kembali ke Jakarta kerana kerja. "Memang saya sengaja minta cuti sebulan kerana ingin menghabiskan bulan Ramadan bersama keluarga dan juga aktiviti seni di Kuala Lumpur tetapi disebabkan beberapa hal yang harus saya bereskan sebelum raya, mahu tidak mahu saya terpaksa pulang ke Jakarta," ujarnya. Tambah Dafi, budaya dan suasana bulan Ramadan antara Kuala Lumpur dan Jakarta sangat berbeza. Tiada nasi tomato yang merupakan makanan kegemarannya dan yang paling utama tiada keluarga di sisinya. "Apa yang saya tahu di Jakarta tiada bazar khas untuk bulan Ramadan, apa yang ada cuma gerai-gerai tepi jalan yang jual kuih-muih. Saya pula paling suka nasi tomato. Di Jakarta memang tidak jumpa orang jual nasi tomato, jadi saya tukarkan makanan kegemaran saya itu dengan nasi uduk. "Biasanya saya akan buka puasa di restoran bersama rakan-rakan berbeza jika di Kuala Lumpur pastinya dengan keluarga. Jika tidak ada aral melintang, keluarga saya akan terbang sekali ke Jakarta untuk rasa berpuasa di sana sambil melawat saya," ucap Dafi yang merupakan anak kedua daripada empat beradik. Tinggal sendirian di kawasan perumahan yang ramai orang Malaysia mengubat sedikit kerinduan Dafi terhadap tanah air. Namun kata Dafi, sudah tinggal sendirian menyebabkan dapurnya cukup jarang digunakan. "Saya cuba untuk masak terutamanya untuk makan sahur tetapi setakat hari ini belum lagi (ketawa). Maknanya saya memang jarang masak, biasalah orang bujang, sahur saya lebih selesa makan di luar sahaja," luah anak Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu lagi. Bercakap tentang raya, terang Dafi, dia akan bercuti selama dua minggu sebelum kembali ke Jakarta. "Persiapan raya sudah dibuat awal-awal lagi, baju sudah ditempah. Selepas raya saya akan kembali sibuk dan jarang-jarang untuk dapat cuti, jadi saya bercuti selama dua minggu untuk bersama keluarga," jawabnya. Lagu raya Cuti selama sebulan tidak disia-siakan Dafi apabila dia turut merakamkan sebuah lagu raya berjudul, Meriahnya Lebaran yang dicipta sepenuhnya oleh Pak Ngah. Lagu yang dirakamkan pada 16 Julai lalu itu merupakan sebuah lagu raya yang mempunyai elemen tradisional sesuai dengan kehendak Dafi yang menginginkan sebuah lagu raya klasik. "Sebenarnya saya boleh sahaja buat lagu raya dengan sentuhan moden seperti pop, balada dan pelbagai genre lain tetapi saya sendiri rasa sebuah lagu raya itu harus ada elemen tradisional supaya kemeriahan raya itu dapat dirasai," ujarnya.
Memilih Pak Ngah selaku komposer lagu raya itu, kata Dafi, dia percaya lagu-lagu nukilan komposer itu cukup mesra telinga dan sesuai dengan suasana raya. "Karya Pak Ngah tidak perlu dipertikaikan lagi kerana sudah terbukti, dia memang hebat di bidangnya. Tiada orang lain yang berada di fikiran saya ketika perancangan untuk merakamkan lagu raya dibuat. Alhamdulillah, Pak Ngah setuju dan saya sendiri secara peribadi suka dengan lagu raya yang dihasilkannya," jawab Dafi. Selain lagu raya, Dafi juga telah muncul dengan lagu berjudul Bila Cinta Tiada Lagi yang akan mula berkumandang di stesen radio tempatan tidak lama lagi. Selepas lapan bulan menandatangani kontrak sebagai artis naungan Trans Corp yang memiliki stesen televisyen, Trans TV, Dafi menunjukkan perkembangan yang baik apabila dia bakal merakamkan dua buah lagu hasil komposer Indonesia. "Mungkin selepas raya, saya akan merakamkan dua buah lagu baharu. Sebuah lagu rancak dan sebuah lagu balada. Nama komposer masih dirahsiakan tetapi saya sudah dengar lagu itu dan memang sedap didengar. "Sebenarnya saya lebih teruja rakam lagu di Indonesia sebab itu tujuan utama saya berhijrah ke sana tetapi rezeki lain pula yang datang terlebih dulu seperti pengacaraan dan juga lakonan," tuturnya. Membintangi sinetron Ketika mula-mula menapak dalam industri seni Indonesia, Dafi akui perjalanan kerjayanya sedikit kabur, namun lama-kelamaan Dafi mula menyesuaikan diri dengan rencah hiburan dan kehidupan masyarakat di sana. Enam bulan bergelar pengacara program hiburan Selebrita Siang di saluran televisyen Trans 7, penguasaan bahasa Indonesia Dafi semakin baik, malah dirinya juga semakin dikenali. "Rasanya semua tahu sebelum ini ada beberapa isu berbangkit antara Malaysia dan Indonesia yang menimbulkan ketegangan di sana. "Sebagai rakyat Malaysia yang bekerja di Indonesia, pada mulanya saya takut juga tetapi sebenarnya yang menimbulkan kekecohan itu segelintir pihak sahaja. "Saya tidak pernah rasa disisih atau dihentam gara-gara saya berstatus warganegara Malaysia, mereka menerima saya seadanya. Adakalanya mereka bertanya juga isu-isu panas antara dua negara kepada saya tetapi sebolehnya saya akan memberi jawapan yang berunsur diplomasi," katanya. Terbaharu, Dafi telah membintangi drama bersiri atau sinetron berjudul Dara Kahwin Lari yang telah menjalani penggambaran episod pertamanya sebelum bulan Ramadan lalu. Melakonkan watak antagonis bernama Naizal iaitu seorang pemain bola dari Malaysia, Dafi yang pernah berlakon dalam filem Sayang You Can Dance itu mengatakan tiada perbezaan berlakon dalam produksi Malaysia mahupun Indonesia. "Cara kerja mereka sama sahaja dengan orang Malaysia cuma kesukaran buat saya ketika mereka menerangkan perjalanan watak itu kepada saya. "Walaupun bahasa Indonesia dan Malaysia tiada banyak beza dan mudah untuk saya fahami tetapi terdapat istilah-istilah yang digunakan hanya orang Indonesia sahaja yang faham membuatkan saya kadangkala terkeliru," beritahunya. Tegas Dafi, meskipun kerjayanya di Indonesia semakin menampakkan hasil, namun Dafi tetap mengutamakan kerjayanya di Malaysia kerana kerjaya seninya berjalan serentak di kedua-dua negara. "Alhamdulillah, saya semakin diterima di Indonesia tetapi itu tidak bermakna saya melupakan Malaysia, sebaliknya saya akan tetap mengutamakan Malaysia daripada segala segi kerana banyak projek di Malaysia yang telah dirancang sehingga tahun depan," ujarnya menutup bicara. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:52 PM PDT ![]() SEBAHAGIAN daripada 1,306 orang ahli Prism yang menerima royalti mereka bergambar bersama pada majlis penyerahan royalti Prism yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini. BADAN Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn. Bhd. (Prism Sdn. Bhd.) yang ditubuhkan pada tahun 2001 dan sudah dibubarkan secara rasmi yang mana pengumumannya dibuat serentak dengan majlis penyampaian royalti yang dikutip sepanjang tahun lalu berjumlah RM4 juta kepada 1,306 ahli, berlangsung di Restoran Seri Melayu, baru-baru ini. Pembubaran Prism Sdn. Bhd. itu menyaksikan kemunculan Prism Berhad yang ditubuhkan oleh ahli-ahli Prism yang ingin terus bernaung di bawah bumbung Prism yang asal itu, meskipun kini muncul badan kutipan royalti baharu iaitu Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) di bawah pimpinan Datuk Sheila Majid. Menurut bekas pengerusi Prism Sdn. Bhd., Datuk Aziz Bakar pada majlis pengagihan royalti kali kelapan itu, Prism Berhad ditubuhkan untuk memperkemaskan sistem agihan royalti pelaku bersesuaian dengan peredaran semasa. "Pembubaran Prism Sdn. Bhd. mendapat persetujuan ahli-ahli lembaga pengarah kerana sudah sampai masanya untuk Prism Sdn. Bhd. menyerahkan pengurusan kutipan royalti kepada sebuah badan baharu atau entiti bebas yang dipercayai untuk menjaga kepentingan pelaku-pelaku di negara ini. "Walaupun mendapat tentangan ahli, tetapi pihak pengurusan ingin memberi peluang kepada ahli-ahli Prism merangka masa depan mereka sendiri. Saya berharap usaha ini mendapat sokongan pelaku," ujar Aziz Bakar. Meskipun Prism Sdn. Bhd. telah dibubarkan, tegas Aziz Bakar, perjuangan badan itu sebelum ini yang menuntut hak saksama mengikut Artikel 15(1) & (2) WPPT (Perjanjian Persembahan & Rakaman Bunyi WIPO) akan diteruskan supaya pelaku mendapat royalti yang lebih adil daripada apa yang diperuntukkan di bawah undang-undang semasa. "Saya berharap pihak atau badan yang akan mengambil alih tanggungjawab Prism Sdn. Bhd. menerusi Prism Berhad akan terus berjuang menuntut hak saksama dengan menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan untuk meminda hak pelaku dan menerima pakai Artikel 15(1) & (2) WPPT. Sementara itu, pemangku Pengerusi Prism Berhad, Mohamed Anuar Mohd. Dahalan berkata, pihaknya akan terus berjuang untuk pelaku seluruh negara termasuk memperluaskan peranannya daripada mengutip royalti untuk penyanyi dan pemuzik rakaman sahaja kepada pelakon, pelawak, penari, penggiat kumpulan etnik serta pihak berkaitan yang tidak mendapat pembelaan selama ini. "Prism mahu melindungi semua pihak untuk mendapatkan hak mereka, maka sokongan semua pihak amat penting bagi membolehkan usaha ini dilaksanakan secepat mungkin," ujarnya. Menuntut semula hak Mengenai status hak mengutip royalti pelaku bagi 2012, Mohamed Dahlan berkata, pihaknya akan berusaha untuk menuntut semula hak berkenaan yang sudah tujuh bulan terbengkalai susulan keputusan pembubaran Prism Sdn. Bhd. pada awal tahun ini. "Kita akan berusaha untuk mendapatkan semula hak mengutip royalti yang terlepas bagi tujuh bulan pertama tahun ini kerana pembubaran Prism Sdn. Bhd. "Setakat hari ini sebuah lagi badan royalti (RPM) yang baru ditubuhkan sebagai ganti peranan Prism Sdn. Bhd. sebelum ini masih belum layak mengutip royalti kerana kekurangan ahli, malah kredibilitinya juga masih diragui oleh pelaku," tegasnya. Artikel 15 (1) & (2) WPPT akan membenarkan pelaku dan penerbit rakaman bunyi menerima royalti secara saksama apabila persembahan dan rakaman diputarkan di radio atau persembahan terbuka sama ada secara langsung atau tidak langsung. Bagaimanapun pindaan terbaharu, Akta Hak Cipta 2012 hanya menyediakan hak eksklusif kepada penerbit, manakala pelaku masih hanya berhak terhadap saraan saksama dan pelaku harus mengutip bayaran daripada pengguna rakaman. Ia berbeza berbanding undang-undang di negara maju, yang mana pelaku berkongsi pendapatan royalti bersama penerbit dan bukan mengutip sendiri daripada pengguna.i. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:50 PM PDT
MUNGKIN tidak ramai yang mengenali jejaka tinggi lampai berdarah campuran Jepun dan Korea ini. Namun, kepada peminat muzik rock Jepun, pasti mereka teruja untuk bertemu Miyavi atau nama sebenarnya, Takamasa Ishihara. Memulakan kerjaya dalam industri muzik sebagai gitaris sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Dué le Quartz pada tahun 1999, dia kemudian mula bergerak solo sebagai seorang pemuzik dalam arena muzik di Jepun. Sejak itu, kerjaya muzik Miyavi mula berkembang dan genre muzik serta dirinya dikenali di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Bermatlamat ingin bertemu peminatnya di negara Asia, Miyavi telah mengadakan sebuah siri konsert jelajah dunia dan Malaysia merupakan salah satu negara yang dikunjunginya menerusi sebuah showcase yang sangat menghiburkan berlangsung di Stage KL, Avenue K, Kuala Lumpur pada 25 Julai lepas. "Ini merupakan kunjungan sulung saya ke Malaysia dan sememangnya ia sangat mengujakan. Memang sudah lama saya ingin berkunjung ke Malaysia kerana ramai peminat yang menantikan kehadiran saya di sini sejak dari dahulu. "Siri konsert jelajah dunia ini adalah untuk menyajikan muzik saya secara langsung kepada peminat," tutur Miyavi pada sesi temu ramah di The Venue, Pavilion, Bukit Bintang sehari sebelum dia beraksi untuk showcase tersebut. Selain itu, kehadiran Miyavi,31, ke Malaysia juga adalah untuk mempromosi albumnya yang terbaharu berjudul What's My Name? yang sudah berada di pasaran sejak tahun 2010. Menurut bintang rock yang diberi gelaran Gitaris Samurai ini, sebagai warga Jepun dia tidak banyak didedahkan dengan bahasa Inggeris. Namun di Malaysia, kata Miyavi, dia dapat melihat ramai penduduk di Malaysia fasih berbahasa Inggeris. Disebabkan kerjayanya telah berkembang di seluruh dunia, maka Miyavi telah mempelajari bahasa Inggeris dan apa yang menarik walaupun tidak mempunyai asas dalam bahasa tersebut, dia berjaya mempelajari hanya dalam tempoh yang singkat. "Lima tahun lepas, saya telah mengambil kursus bahasa Inggeris di Los Angeles, Amerika Syarikat dan dalam tempoh enam bulan saya mula boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, saya tidaklah terlalu fasih dan sehingga kini masih lagi dalam proses pembelajaran. "Saya kagum dengan rakyat Malaysia kerana mereka bercakap banyak bahasa dan sesuatu yang unik yang tidak terdapat di Jepun. Masyarakat di sini bercakap bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, Tamil dan ada juga yang fasih bertutur dalam bahasa Jepun. "Ini satu perkembangan yang bagus dan progresif kerana penguasaan banyak bahasa membolehkan seseorang lebih difahami," ujar bapa kepada dua anak ini yang sudah mengadakan 150 buah persembahan meliputi 30 buah negara di Amerika, Asia, Australia dan Eropah. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:47 PM PDT ![]() DARI kiri, Mohd. Asraf, Laseken, Chee Hao, Najla Gooda, Tai Boon dan Chang Chew menunjukkan anugerah serta produk vitamin A yang mereka hasilkan di UPM, Serdang semalam. SERDANG - Sekumpulan enam orang siswazah sarjana Sains dan Doktor Falsafah Pengajian Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini berjaya menghasilkan vitamin A menggunakan isi mangga yang dikeringkan. Penemuan menggunakan isi mangga yang dinamakan Vit-A-Go itu berjaya meraih anugerah emas pertandingan Developing Solutions for Developing Countries anjuran Persatuan Pelajar Institut Teknologi Makanan (IFTSA) di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat pada 28 Jun lalu. Ketua kumpulan tersebut, Sew Chang Chew, 25, berkata, projek penyelidikan Vit-A-Go yang dihasilkan daripada produk isi mangga kering itu bertujuan membantu kanak-kanak di Kenya yang berhadapan dengan krisis kekurangan vitamin A. Menurut beliau, hasil penyelidikan itu berjaya mengetepikan saingan 29 pasukan dari seluruh dunia yang turut menyertai pertandingan tersebut. "Produk ini dihasilkan melalui penyelidikan selama enam bulan bermula November 2011 hingga Jun lalu. Ia dibangunkan dengan kos pengeluaran yang lebih murah, cepat dan menggunakan teknologi terkini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. | |||
| Noryn akui jadi isteri Raja Bahrin Posted: 01 Aug 2012 07:43 PM PDT ![]() NORYN bersama Raja Bahrin ketika hadir pada satu majlis pertunjukan fesyen di Kuala Lumpur baru-baru ini. KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Noryn Aziz akhirnya secara terbuka mengakui bahawa sudah lebih dua tahun bergelar isteri kepada arkitek terkenal, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Bahrin. Sebelum ini, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 36, bertindak untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi apatah lagi memberi sebarang kenyataan berhubung desas-desus perkahwinannya. Tegas Noryn, tindakan itu dibuat berdasarkan keputusan untuk menghormati keluarga pihak suami. "Rasanya sudah lebih dua tahun saya mendiamkan diri dalam soal berkenaan. Saya fikir, kemunculan sekarang ini adalah masa yang paling sesuai. "Cerita kahwin dahulu pun sudah tidak panas lagi, rasanya semua orang sudah tahu status saya selama ini," kata Noryn dalam satu pertemuan bersama Kosmo!. Jelas Noryn, dia dan Raja Bahrin berkahwin pada satu majlis tertutup di Terengganu pada 22 Januari 2010. Pernikahan dengan Raja Bahrin menamatkan kehidupan janda Noryn selepas 12 tahun berdepan kegagalan daripada perkahwinan pertamanya. | |||
| Kumpulan K-Pop cetus kontroversi Posted: 01 Aug 2012 07:42 PM PDT ![]() HWA-YOUNG (kiri) bergambar bersama anggota T-ara pada 26 Julai lalu di sebuah lokasi yang tidak didedahkan. SEOUL - Sebuah kumpulan nyanyian Korea Selatan, T-ara mencetuskan kontroversi apabila membuat keputusan mengejut untuk menyingkirkan salah seorang anggotanya. Bagaimanapun, kira-kira 300,000 orang melancarkan kempen di internet bagi membantah pemecatan tersebut. Perbalahan itu bermula apabila lima daripada lapan anggota wanita kumpulan tersebut menghantar mesej dengan mengkritik sikap seorang ahli T-ara, Hwa-Young. Pada Isnin lalu, agensi pengurusan kumpulan tersebut, Core Content Media mengumumkan ia menamatkan kontrak Hwa-Young. Para peminat kumpulan tersebut kemudian mengesyaki bahawa Hwa-Young dibuli oleh anggota-anggota lain kumpulan tersebut. Isu tersebut telah mencetuskan perhatian media di negara berkenaan. Korea Selatan mempunyai peningkatan bilangan belia yang membunuh diri kerana dibuli oleh rakan-rakan. Namun, pihak pengurusan kumpulan tersebut menafikan Hwa-Young dibuli. Sejumlah peminat yang tidak berpuas hati kemudian mewujudkan sebuah laman web yang meminta kebenaran didedahkan berhubung pemecatan Hwa-Young. Laman tersebut berjaya menarik seramai 330,000 pelanggan. Bagaimanapun, Hwa-Yoong mengambil langkah dengan menafikan kontroversi tersebut. "Saya meminta maaf kepada semua peminat kerana mengecewakan anda. Tolonglah berhenti (memberi kritikan)," katanya di akaun Twitternya. Dia turut meminta maaf kepada agensi pengurusan kumpulan tersebut. Pemecatan itu masih menjejaskan kumpulan itu. Kelab peminat T-ara kehilangan 6,000 anggota, lapor agensi berita Yonhap. | |||
| Topeng muka Chewbacca dilelong Posted: 01 Aug 2012 07:42 PM PDT
NEW YORK - Topeng muka untuk watah Chewbacca yang digunakan dalam filem Star Wars dijual pada harga AS$172,000 (RM535,602) dalam satu lelongan yang diadakan pada 28 Julai lalu di Los Angeles. Pelakon Peter Mayhew melakonkan watak Chewbacca dalam filem tersebut. Kostum Edward Scissorhands yang dipakai oleh aktor Johnny Depp turut dilelong pada harga AS$86,100 (RM268,112) dalam lelongan itu. Kostum Superman yang dipakai aktor Christopher Reeve pada tahun 1978 turut dilelong pada harga AS$79,950 (RM248,975). | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:41 PM PDT ![]() BEBERAPA buah kereta melalui sebatang jalan raya yang dilanda banjir di Roxas Boulevard, Manila semalam. MANILA, Filipina - Ombak besar melanda kawasan tepi pantai bandar raya ini sehingga mengakibatkan banjir akibat taufan Saola. Kedutaan Amerika Syarikat di Manila juga dilanda banjir selepas hujan lebat dan angin kencang melanda bandar raya ini. Cuaca buruk melanda Filipina sejak lima hari lalu. Seramai 14 orang mati dan 150,000 lagi terpaksa dipindahkan ekoran kejadian hujan lebat dan angin kencang. Menurut beberapa pegawai, seorang wanita berusia 64 tahun mati kerana tanah runtuh semasa dia memanjat bumbung rumah untuk memperbaiki kebocoran ketika hujan lebat. Kebanyakan yang mati adalah kerana dihempap pokok. Sejumlah penduduk kampung, polis dan pasukan pengawal pantai mencari empat nelayan yang didapati hilang di wilayah Mindoro Occidental, selatan Manila. Pihak berkuasa terpaksa melepaskan air dari dua empangan besar di bahagian utara kerana hujan lebat disebabkan taufan tersebut. Manila mempunyai penduduk seramai 15 juta orang. Ombak besar turut melanda daerah Navotas yang didiami komuniti nelayan di sepanjang Teluk Manila, sekali gus menyebabkan sejumlah pondok musnah. | |||
| Misteri tempat persembunyian Bashar Posted: 01 Aug 2012 07:41 PM PDT
ALEPPO - Presiden Syria, Bashar Al-Assad memberitahu tenteranya semalam bahawa perang menentang pemberontak akan menentukan nasib Syria. Namun, mesejnya tidak memberikan petunjuk berhubung di mana lokasi beliau, dua minggu selepas satu serangan bom mengenai beberapa orang pentingnya termasuk Menteri Pertahanan, Daoud Rajha. Bashar tidak pernah berucap di khalayak ramai sejak tragedi pengeboman di Damysik pada 18 Julai lalu yang meragut nyawa empat pegawai kanan keselamatannya walaupun beliau dilihat muncul di kaca televisyen. Ucapan terbaharu Bashar itu disiarkan di sebuah majalah tentera sempena sambutan hari pasukan keselamatan Syria. Namun, waktu dan lokasi ucapan tersebut dibuat masih tidak diketahui sekali gus menunjukkan kebimbangan berhubung keselamatan Bashar. "Nasib rakyat kita dan negara kita, masa kini dan pada masa hadapan bergantung kepada pertempuran ini," kata Bashar yang merujuk kepada pertempuran sengit yang sedang berlaku di bandar terbesar di negara itu di sini. Sementera itu, pejuang-pejuang pemberontak menawan tiga buah balai polis ketika mereka menentang pihak tentera untuk menguasai sebuah daerah strategik. Beberapa letupan kedengaran semalam dengan sejumlah helikopter berlegar di udara ketika tentera pemerintah cuba mengusir pemberontak dari bandar ini yang merupakan antara pusat pemerintahan Bashar. Sementara itu, para pemberontak kini berusaha untuk merampas cawangan perisikan Syria di bandar Aleppo. Usaha itu dilakukan selepas tiga balai polis ditawan tentera pemberontak di sini. Pertempuran antara tentera pemberontak dengan tentera Bashar telah meragut lebih 19,000 orang. Kebangkitan rakyat itu berlaku sejak Mac tahun lalu. Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan ekoran kegagalan melancarkan pembaharuan dalam pentadbiran selepas kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir. Pertempuran itu turut melibatkan Tentera Pembebasan Syria yang dianggotai penduduk tempatan. | |||
| China larang pegawai, pelajar berpuasa Posted: 01 Aug 2012 07:38 PM PDT
BEIJING - Pihak berkuasa di wilayah Xinjiang, barat daya China melarang para pegawai dan pelajar beragama Islam daripada berpuasa pada bulan Ramadan. Tindakan itu mendorong sebuah kumpulan hak asasi memberi amaran keganasan terbaharu akan berlaku di rantau berkenaan. Pekeliling yang disiarkan di beberapa laman web pemerintah meminta pemimpin Parti Komunis supaya mengehadkan aktiviti keagamaan penduduk Islam sepanjang bulan puasa termasuk berpuasa dan berkunjung ke masjid. "Para pegawai Parti Komunis, kakitangan awam (termasuk mereka yang bersara) dan pelajar dilarang daripada menyertai aktiviti keagamaan pada bulan Ramadan," menurut pekeliling berkenaan. Xinjiang dihuni oleh sembilan juta etnik minoriti Uighur yang beragama Islam. Penduduk Islam sebelum ini mendakwa sering menjadi mangsa penganiayaan pemerintah China. Keganasan etnik terburuk berlaku di Xinjiang pada 2009 apabila penduduk Uighur menyerang bangsa Han di bandar Urumqi yang menyebabkan 200 orang terbunuh. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:37 PM PDT ![]() PERANTI terbaru keluaran Motorola ini mampu mencuri perhatian ramai. MEMPUNYAI ketahanan bateri sehingga 17.6 jam dengan sekali cas, telefon pintar Motorola Razr Maxx pasti mampu mencuri perhatian penggemar gajet canggih di negara ini. Dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 21 Jun lalu, model itu menambahkan lagi koleksi keluarga Razr di Asia Tenggara. Didatangkan dengan Android 2.3 (Gingerbread), Motorola Razr Maxx turut menerima penambahbaikan melalui dalam talian kepada Android 4.0 (Ice Cream Sandwich). Reka bentuk ikonik Razr dengan kerangka aluminium berpotongan berlian menjadikan ia telefon yang menawan dan elegan ketika digunakan. Ia juga tahan lasak apabila menggunakan teknologi gentian Kevlar untuk memberikannya kekuatan selain dilengkapi cermin Corning Gorilla yang kalis calar. Pengguna juga tidak perlu bimbang jika telefon milik mereka ini terkena hujan atau tertumpah kopi. Ini kerana ia mempunyai lapisan keselamatan tahan deburan cecair bagi mengelakkan sistem elektrik di dalam telefon dimasuki air. Lebih menarik, telefon ini mempunyai paparan skrin Super AMOLED Advanced berukuran 4.3 inci yang mempamerkan lebih banyak warna berbanding kebanyakan HDTV LCD. Selain itu, dengan ketebalan hanya 8.99 milimeter, Motorola Razr Maxx masih nipis dan ringan. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:36 PM PDT
PADA tahun-tahun sebelum ini, Asrol Iberahim akan mendengar radio atau membaca surat khabar harian untuk mendapatkan waktu solat terutamanya pada bulan Ramadan untuk berbuka puasa. Apabila teknologi telefon pintar menjadi fenomena, melayari internet ketika berada di luar benar-benar menyenangkan lelaki berusia 29 tahun itu. Dia hanya perlu menaip alamat laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada skrin sesentuh telefon untuk mendapatkan waktu solat yang diyakini. "Mak saya pula gemar memasak jadi, kerap juga saya melayari laman web resipi untuk dicetak. Ayah juga selalu hendak pinjam telefon saya, katanya mahu mendengar ceramah dalam laman YouTube atau membaca artikel berkaitan agama pada bulan puasa," ujar Asrol ketika ditemui di Cheras, Kuala Lumpur. Jika diperhatikan terutamanya di laman-laman sosial Facebook mahupun Twitter, apabila menjelang bulan Ramadan kebanyakan orang berebut-rebut mengemas kini status dan berkongsi pautan yang berbentuk keagamaan. Namun, sejauh mana kebenaran panduan yang diberikan sukar untuk disahkan lebih-lebih lagi yang melibatkan keagamaan dan perkara yang jarang kedengaran, kata Asrol. Pada pendapatnya, jika terdapat sebuah laman web yang menjadi hab merangkumi semua keperluan yang selalu dicari pada bulan Ramadan dan diyakini sahih, ia pasti menyenangkan orang ramai. Sehubungan itu, sempena kedatangan bulan Ramadan 1433 Hijrah yang jatuh pada tarikh 21 Julai lalu, enjin carian yang dikenali ramai, Yahoo! memperkenalkan laman web khusus untuk Ramadan. Dikenali sebagai laman Ramadan Mubarak, ia boleh diakses dengan menaip alamat berikut, http://my.news.yahoo.com/ramadan_mubarak/. ![]() LAMAN Yahoo! Ramadan juga boleh diakses dengan telefon pintar dan tablet. Laman web khas Ramadan Tidak berdiri sebagai sebuah laman web tunggal, ia merupakan salah sebuah seksyen pada laman web Yahoo! Malaysia News. Ramadan Mubarak yang boleh diakses dengan hanya menekan butang itu menambah seksyen-seksyen Yahoo! News sedia ada seperti Malaysia, Olimpic, World, Tech, Entertaiment dan banyak lagi. Seksyen Ramadan menggunakan warna hijau sebagai latar laman muka sejajar dengan rona yang cukup sinonim dengan Islam. Menyasarkan pengunjung internet beragama Islam, ia menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu. Terdapat enam subbahagian iaitu laman utama, artikel Ramadan, resipi Ramadan Chef Wan, galeri imej, waktu solat dan kolum agama. Umum mengetahui bahawa bulan Ramadan merupakan bulan ibadat bagi penganut Islam jadi, waktu solat yang tepat dan sahih amat penting. Bukan sahaja sebagai penanda waktu berbuka puasa, tetapi ia juga amat penting dalam melatih orang ramai supaya lebih serius dalam menepati masa. "Kami melakukan kemas kini masa solat dengan kekerapan sekali sehari pada setiap hari. Rujukan kami ialah laman web Jakim," kata Ketua Pengarang Yahoo! Malaysia, Marc Lourdes pada majlis pelancaran yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor. Dalam bahagian waktu solat itu, Yahoo! hanya memilih waktu Subuh dan Maghrib yang penting pada bulan Ramadan memandangkan jadual penuh waktu solat boleh diperoleh melalui laman web Jakim. Sebagai pengesahan waktu, pihak Yahoo! turut mencatatkan masa dan tarikh kemas kini serta pautan dengan laman web Jakim. Bagi penganut agama Islam yang sentiasa mahu mendidik diri dengan ilmu agama, seksyen kolum agama disediakan khas bawah kelolaan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Menggunakan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW dan ayat al-Quran, ia boleh membimbing orang ramai dengan lebih mudah. Selain itu, petikan daripada hadis Nabi turut diselitkan pada setiap laman subbahagian yang ada pada laman Ramadan Mubarak. ![]() Satu lagi aspek yang sering dikaitkan dengan bulan Ramadan ialah makanan. Justeru, sebuah subbahagian yang dikenali sebagai resipi Ramadan Chef Wan didedikasikan bagi tujuan itu, Duta makanan Malaysia, Chef Wan berkongsi idea dan resipi masakan tradisional seperti ayam masak merah, urap nangka dan opor daging Pekan. "Chef Wan dan Dr. Asri merupakan individu yang cukup mahir dalam bidang masing-masing," ujar Lourdes lagi. Pada laman utama, berita-berita terkini yang berkait rapat dengan umat Islam dipautkan pada laman utama supaya dapat mencapai kelompok sasaran. Bagi menambah pengetahuan pelayar internet, seksyen kolum gambar yang dipautkan dengan Flickr membolehkan orang ramai melihat suasana bulan suci ini di seluruh dunia. Fakta-fakta ringkas berbentuk trivia turut disertakan sekali bersama-sama gambar bagi menambah pemahaman orang ramai. Yahoo! yang juga merupakan pengendali laman Flickr membolehkan pelayar melayari terus ke akaun tersebut di alamat www.flickr.com/groups/ramadan_yahoo/. Pertama kali di Malaysia Pengguna laman sosial paling popular, Facebook dapat berkongsi setiap artikel yang dibaca pada muka depan laman tersebut kerana ia juga dipautkan bersama. "Laman web ini sememangnya ditujukan khas bagi menyambut bulan Ramadan jadi, ia akan dikeluarkan daripada Yahoo! News pada 24 Ogos ini," kata Pengarah Jualan Yahoo! Malaysia, Jon Tjin Kee yang turut sama berada pada majlis tersebut. Laman Ramadan Mubarak yang buat pertama kali diperkenalkan di negara ini pada tahun ini sudah pun dimulakan pada tahun lalu di Indonesia. Di sana, laman web tersebut mendapat sambutan yang sangat baik, malah jumlah pengunjung yang melawat sepanjang bulan puasa tahun lalu melebihi sasaran awal iaitu sekitar 250,000 orang pelawat. "Kami sangat yakin, laman Ramadan Mubarak dalam Yahoo! Malaysia juga akan mencapai angka yang melebihi daripada sasaran yang dibuat," ungkap Lourdes lagi. ![]() MEMBACA al-Quran dan muhasabah diri dengan bahan bacaan agama amat digalakkan sebagai amalan pada bulan puasa. Berdasarkan perangkaan yang diberikan pihak Yahoo! Malaysia, di negara ini, seramai 8.2 juta pengguna unik menggunakan Yahoo! dan ia merangkumi 70 peratus populasi internet. Yahoo! Malaysia memiliki dua bahasa dan telah menjadi tempat pertama pilihan pelayar untuk carian berita, e-mel, kewangan, pesanan pendek dan hiburan. Laman Ramadan Mubarak yang mendapat tajaan produk kumur Listerine perasa teh hijau itu memakan masa yang agak lama untuk dibangunkan. Ketua Pengurus Produk, Uttam Chopra berkata, daripada peringkat menjana idea sehinggakan mengisi kandungan yang dipamerkan memakan masa lebih kurang lima bulan sebelum diaktifkan pada bulan Julai. "Ia merupakan usaha global kerana dalam pasukan tersebut ia terdiri daripada banyak kakitangan mahir dalam pelbagai bidang. Setiap pakar didatangkan daripada pelbagai negara," ujar Uttam. Laman web Yahoo! Ramadan juga boleh dilayari menggunakan tablet dan telefon pintar sama ada menggunakan sistem operasi IOS atau Android. | |||
| Posted: 01 Aug 2012 07:35 PM PDT
PADA tahun ini, dalam tempoh tujuh bulan pertama, sebanyak 37 buah filem sudah ditayangkan daripada pelbagai genre seperti Sumpahan Kum Kum, Bujang Terlajak, Azura 2012, Hantu Dalam Botol Kicap, Adnan Sempit 2, Cinta Kura-Kura, Bunohan, Tujuh Petala Cinta, Jidin Sengal, Tiga Temujanji, Berani Punya Budak, Mantara, Hoore Hoore dan banyak lagi. Sepanjang tahun lepas pula, 42 naskhah filem telah ditayangkan namun hanya dua buah filem yang mendapat kutipan melebihi RM10 juta iaitu filem Ombak Rindu keluaran Astro Shaw Sdn. Bhd. dan KL Gangster terbitan Skop Production. Pertambahan mendadak bilangan filem yang dihasilkan tersebut, khususnya pada tahun ini menunjukkan industri filem menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa filem telah meningkatkan teknologi terkini pembikinan dengan menggunakan teknologi terkini yang hampir menyamai filem luar negara seperti filem Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios. Dianggarkan sebanyak 60 buah filem bakal diterbitkan tahun ini dan ia adalah satu yang luar biasa pernah berlaku dalam industri ini. Namun, jumlah penerbitan filem sepanjang tahun lepas dan tahun ini menimbulkan persoalan tentang sama ada pertambahan dari segi kuantiti adalah sesuatu yang positif. Ini kerana apa yang menimbulkan kebimbangan adalah dari segi kualiti filem-filem tempatan masa kini memandangkan muncul fenomena lambakan produksi yang sering menampilkan elemen-elemen hantu, gengster, mat rempit dan bohsia. Mat rempit umpamanya seolah-oalah diangkat sebagai wira dan menjadi glamor apabila golongan yang banyak mendatangkan masalah dalam masyarakat Malaysia itu kerap kali mengisi layar perak tempatan. "Saya dapati berlaku lambakan filem berkenaan mat rempit, hantu, gengster dan sebagainya apabila ia banyak diketengahkan di layar perak tempatan. Mat rempit misalnya, seolah-olah diangkat sebagai wira dalam sesebuah filem. Itu adalah satu isu yang tidak elok," ujar Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Dr. Hatta Azad Khan. Hatta mengutarakan pandangan kontroversinya itu apabila muncul sebagai salah seorang ahli panel pada satu sesi dialog berjudul, Filem Malaysia: Kualiti Atau Kuantiti yang berlangsung di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Turut dijemput sebagai ahli panel sesi dialog tersebut ialah pengarah filem, Saw Tiong Hin dan Penolong Pengarang akhbar Mingguan Malaysia merangkap pengkritik filem, Ku Seman Ku Hussein. Tambah Hatta, filem di negara ini sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menyediakan filem yang boleh meningkatkan pemikiran penonton dan penerbit filem tidak hanya menerbitkan produk untuk mengaut keuntungan semata-mata. Beliau menegaskan, golongan yang mengangkat filem sebagai satu seni terlalu sedikit dalam industri filem tempatan dan perkara itu tidak dapat meningkatkan kelompok pemikiran penonton. Hatta bimbang kerana senario yang berlaku di negara ini adalah semua orang mahu menjadi penerbit, pengarah dan bintang filem tanpa mempunyai pengetahuan khusus tentang bidang itu. "Saya pernah bertukar-tukar fikiran dengan orang ramai, ada cakap dia mahu menjadi penerbit filem, anak-anak muda pula hendak jadi pengarah filem manakala remaja di kampung pula hendak jadi bintang filem. "Bidang filem di negara ini berlainan dengan seni lain seperti penari yang perlu ada pengkhususan khas. Saya kasihan dengan pelajar-pelajar saya kelak ke mana mereka akan pergi selepas (menamatkan pengajian) ini," luahnya dalam nada penuh kesal. Menurut Hatta lagi, dalam industri filem tempatan, kebanyakan pekerjanya dibayar dengan kos yang rendah yang mana sesiapa yang boleh bekerja dengan gaji yang murah boleh mendapat tempat dalam industri ini. Hatta juga memberitahu, banyak filem diterbitkan dengan tiada hala tujuan walaupun cantik dari segi suntingan dan sebagainya. "Apa yang kita boleh harapkan dengan filem yang bercerita tentang hantu dalam botol misalnya, itu manusia apa, apa perkembangannya. Sama juga dengan filem tentang gengster, walaupun filem itu cantik dari segi suntingan ia tidak menggambarkan persekitaran sebenar dan realiti di Kuala Lumpur. "Saya tanya diri saya, siapa budak yang bergasak itu. Saya pernah belajar (ilmu pengetahuan filem), kalau mahu buat cerita mesti ada sebab dan akibatnya. Malangnya, ia tidak ada pada cerita itu, di Kuala Lumpur tidak pernah saya tengok ada samseng keluar dari lorong dan bergasak, buka baju bergaduh kecuali orang gila sahaja," ujarnya. Beliau menjelaskan lagi, sesebuah filem itu boleh digarap mengenai apa sahaja tetapi cerita tentang manusia adalah terhad dan apa yang penting adalah cara bagaimana untuk mengolah cerita itu. "Contohnya, kalau filem itu menampilkan kisah cinta. Semua kisah cinta adalah sama tetapi bagaimana kisah itu diceritakan atau diolah, bagaimana ia boleh menjadi menarik, contohnya filem Itali berjudul Life Is Beautiful. Ia boleh membuat kita ketawa sampai menangis dan tidak banyak filem boleh berbuat begitu," ujarnya. Wacana bukan cerita ![]() Sumber: Perbadanan Filem Negara (Finas) Ku Seman Ku Hussein pula berhujah bahawa penerbitan filem sebenarnya bukan untuk hiburan semata-mata. Menurutnya, sesuatu produk filem itu seharusnya ada tanggungjawab sosial untuk masyarakat umum dan bukan sekadar untuk kepentingan industri berkenaan. "Sebuah filem yang baik perlu ada empat ciri iaitu intelektual, spiritual, emosi dan menghiburkan. Setakat ini kesemua elemen tersebut hanya ada pada filem karya dan lakonan Tan Sri P. Ramlee iaitu Ibu Mertuaku dan Semerah Padi," ujarnya. Beliau menjelaskan lagi, filem masa kini yang boleh dikategorikan sebagai berkualiti adalah seperti filem Paloh dan Embun tetapi kedua-dua filem berkenaan tidak menghiburkan dan tidak digemari oleh audiens. Ujarnya, filem yang berkualiti adalah filem yang menampilkan isu berat. Namun filem komedi boleh juga menjadi berkualiti tetapi ia sukar dijelmakan dalam filem di Malaysia. "Filem mesti membawa wacana bukan cerita. Cerita dalam filem kita hanya dijadikan alat untuk membawa cerita dalam sesebuah filem," jelasnya. Tambah beliau, kisah gengster dalam filem tempatan negara kita ini ditampilkan secara keterlaluan tetapi ia mendapat sambutan yang luar biasa sehingga tahap pecah panggung. "Filem tempatan yang menampilkan isu gengster hanya mengadaptasi fantasi Hollywood dan Hong Kong dan bukannya kisah realiti di Kuala Lumpur. Persekitaran Hong Kong diletakkan dalam persekitaran negara ini, itu sebabnya ia diminati dan dialog watak-watak dalam filem itu juga digemari oleh masyarakat sekarang," ujarnya. Sementara itu bagi, Tiong Hin yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-18 menerusi filem Puteri Gunung Ledang berkata, ramai pengkarya filem mengabaikan pengisian dalam sesuatu filem Menurutnya jika tiada pengisian tersebut, filem di negara ini adalah kosong dan seolah-olah menjadi trend filem Malaysia hanya mempunyai tema dan barisan pelakon yang sama sehingga penonton sukar membezakan filem itu adalah naskhah yang berbeza. Selaku pengarah filem, Tiong Hin menyatakan adalah sukar untuk mengkategorikan sesuatu filem itu adalah hasil kreativiti seni atau sebaliknya bukan produk seni. "Apabila ramai pelakon berlakon dalam filem yang hampir sama, sukar untuk audiens membezakan diri mereka. Pelakon seolah-olah tiada kepelbagaian," ujarnya. Beliau menegaskan lagi, filem di negara ini telah terlalu dikomersialkan. "Setiap pengkarya filem hanya mahu mengejar keuntungan terlebih dulu sebelum berfikir untuk menghasilkan karya lain yang lebih bermakna," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!














0 ulasan:
Catat Ulasan