sumber :-
Gosip Artis Malaysia |
- Nora Danish dan Rusdi Ramli Beraksi Ranjang
- Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko
- Ingatan Tan Sri Jins Shamsuddin Makin Lemah
- Jangan Jadi Mangsa Macam Akhil Hayy
- Masa Usop Wilcha Bersama Keluarga Terbatas
Nora Danish dan Rusdi Ramli Beraksi Ranjang Posted: 09 Aug 2012 06:30 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish berkongsi pengalaman sukar untuk melakonkan adegan romantik dan ranjang bersama pelakon Rusdi Ramli menerusi filem Mencari Cinta disebabkan sifat lelaki tersebut yang kelakar. Nora, 30, berkata, ketika babak asmara melibatkan mereka dilakonkan dia tidak dapat menahan ketawa apabila melihat wajah Rusdi sehingga penggambaran terpaksa dilakukan berulang kali. "Rusdi adalah seorang pelakon yang kelakar dan ceria ketika berada di set penggambaran. Apabila perlu melakonkan watak romantik dan ranjang bersamanya membuatkan saya ketawa. "Bagaimanapun masalah itu hanya sementara kerana selepas beberapa hari penggambaran, kami mula menjiwai watak masing-masing," katanya. Bagaimanapun kata Nora, dia gembira dapat bergandingan dengan pelakon pengalaman itu yang disifatkan sebagai individu yang hebat. Nora memberitahu, bekerja dengan Rusdi memberikan dia banyak kelebihan disebabkan aktor berusia 42 tahun itu tidak lokek dengan ilmu. "Bukan mudah untuk berlakon adegan romantik dan ranjang tetapi ia banyak dibantu oleh Rusdi yang lebih banyak pengalaman selain kesudiannya memberikan tip supaya tidak kelihatan kekok," ujarnya. Dalam pada itu, Nora memberitahu dia tidak menyangka filem genre romantik sebenarnya sangat sukar dan mencabar walaupun ia kelihatan mudah. Kata Nora, penghayatan mendalam sangat diperlukan bagi menjiwai watak dan mengakui banyak belajar daripada pengarahnya iaitu Shirin Khuzaimie. "Saya lebih dikenali dalam watak sebagai gadis ceria atau pun komedi dan ini adalah kali pertama percubaan saya untuk membawakan watak romantik. "Walaupun disangka mudah tetapi secara dasarnya ia sangat sukar dan memerlukan penghayatan yang teliti," katanya. Mencari Cinta mengisahkan tentang Myra (Nora Danish) yang telah dipaksa oleh ayahnya untuk berkahwin dengan seorang pemuda kampung iaitu Razlan (Rusdi Ramli) yang ditinggalkan kekasihnya. Selain dijayakan oleh Rusdi dan Nora, filem berkenaan juga turut dilakonkan oleh Fouziah Gous, Riezman Khuzaimi, Mahmod Ali Basha, Norlida Ahmad, Daphne Iking dan Natasha Hudson. Ia akan ditayangkan pada Disember depan. - --- |
Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Posted: 09 Aug 2012 06:28 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pemilik sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab. Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan yang menjadi aktivitinya selama ini. "Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya. "Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?" katanya pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu. Jelasnya, selepas kejadian itu, dia berkongsi pengalaman tersebut dengan para peminat menerusi Twitter miliknya serta membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik. Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah. Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet. "Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib. "Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya. "Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya. Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni. - --- |
Ingatan Tan Sri Jins Shamsuddin Makin Lemah Posted: 08 Aug 2012 07:58 PM PDT PETALING JAYA: Keadaan ingatan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin dilaporkan semakin lemah apabila pelakon itu sudah tidak lagi mengenali rakan-rakan yang menziarahinya pada Rabu. Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, Jins sukar untuk mengingati orang sekelilingnya termasuklah mereka yang pernah berurusan dengannya sebelum ini. "Dari segi fizikal beliau sangat cergas dan tidak mempunyai masalah kesihatan namun ingatannya semakin lemah dan beliau sukar mengingati orang di sekeliling," ujarnya ketika dihubungi di sini selepas menziarahi pelakon tersebut di Hulu Klang dekat sini, pada Rabu. Antara yang hadir ialah Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, penggiat seni hiburan Ong Peng Chu, Presiden Profima, Khir Mohd Noor dan beberapa ahli jawatankuasa Gafim. Jurey menjelaskan pada lawatan itu, Jins kelihatan ceria dan menyambut kedatangan mereka dengan baik tetapi sudah tidak mengingati mereka lagi. "Walaupun sudah tidak ingat beliau tetap melayan kami dengan baik seperti tiada apa-apa yang berlaku," ujarnya. Pada lawatan itu, pihaknya sempat menyampaikan sumbangan berbentuk hamper serta sumbangan wang tunai sebagai ingatan sempena kedatangan bulan Ramadan. Dalam pada itu, Jurey memberitahu walaupun keadaan ingatan Jins semakin lemah tetapi memorinya mengenai industri perfileman tidak pernah luntur. Sepanjang pertemuan itu Jins banyak bercerita mengenai sejarah tentang studio Jalan Ampas, peranannya dalam penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Gafim. "Hairannya beliau masih mengingati dengan jelas mengenai kisah lampau beliau sebagai pelakon serta mampu berkongsi dengan kami semua kisahnya dengan baik," ujarnya. Tambah Jurey, Jins turut memberitahu masih ingin berkhidmat dan memberi sumbangan kepada industri selain mahu kembali bekerja seperti biasa. "Sekarang ni memang beliau hanya duduk di rumah dan berehat namun keinginannya untuk kembali bekerja dan berkhidmat kepada negara masih tinggi," katanya. - --- |
Jangan Jadi Mangsa Macam Akhil Hayy Posted: 08 Aug 2012 07:57 PM PDT SELEPAS pelakon Sharifah Aleeya membuat keputusan untuk berubah dengan memakai tudung, terbaru pula anak N.D Lala iaitu Shila Amzah membuat keputusan serupa. Nampaknya semakin ramai artis wanita yang cantik jelita tak kiralah yang anak dara atau mak janda sudah berubah. Ingat satu sahaja! Rezeki Allah itu luas. Jangan anggap apabila dah pakai tudung, rezeki kita akan tersekat. Sesungguhnya sifat kasih Allah itu melebihi kemurkaannya apatah lagi kepada perkara-perkara kebaikan. Yang penting kena jaga mulut dan perbuatan. Kata-kata yang baik apabila keluar daripada mulut kita menyebabkan orang akan menjadi bertambah suka. Saya tertarik dengan kenyataan penyanyi Akhil Hayy dalam mStar Online pada 8 Ogos lalu. Kata suami kepada penyanyi Waheeda ini, mana-mana artis yang sudah berhijrah, hendaklah berhati-hati. Jangan sampai orang politik ambil kesempatan. Yalah... orang politik memang macam itu. Mereka akan lihat mana-mana ada ruang untuk memperkukuhkan kedudukan, di situlah mereka pasang strategi. Artis yang baru sehari dua pakai tudung dan pakai serban akan digunakan oleh ahli politik ini untuk diusung ke sana ke mari. Mereka akan bercerita tentang pengalaman "berhijrah". Mimpi diseksa dalam kubur, dipatuk ular, mimpi melihat hari kiamat dan segala benda. Sambil-sambil diselitkan pengalaman itu, mereka pun terus bercerita memburukkan diri sendiri semasa dalam dunia hiburan. Kononnya hidup menjadi kotor ketika bergelar artis. Jarang nak sembahyang, selalu melompat dan bergedik dalam disko, mabuk dan macam-macam lagi bagi memberi gambaran dunia artis itu jijik. Sebenarnya dunia artis tak kotor pun tetapi mereka yang berada dalam dunia artis itu sendiri yang melemparkan kekotoran tersebut. Tak ada halangan untuk artis melakukan kebajikan, solat lima waktu, bersedekah ataupun beramal di negara Islam yang harmoni macam Malaysia ini. Tetapi dek kerana kedangkalan sesetengah artis yang terlupa mereka dipergunakan oleh parti-parti politik tertentu, mereka pun ikutlah berkempen untuk meraih sokongan. Mereka tidak terfikir, calon wakil rakyat yang ajak mereka naik pentas itu yang sebenarnya akan dapat sokongan. Artis itu menjadi seperti kelapa. Selepas santan habis diperah lalu hampasnya dibuang ke tanah. Semasa Akhil Hayy berubah daripada seorang penyanyi rock berambut panjang dan berseluar ketat kepada pendakwah, beliau mengalami pengalaman itu. Diusung ahli politik untuk berkempen. Ketika memberi ceramah, orang ketawa berdekah-dekah melihat gelagat dia. Ahli politik yang mengusung dia pun turut tersenyum lebar dengan harapan dapat sambung satu penggal lagi. Akhil sendiri mengaku orang politik semangnya gemar ambil kesempatan daripada perubahan artis kerana golongan tersebut mudah mendapat perhatian dalam meraih sokongan orang ramai. Kerana tidak sedar dipergunakan, Akhil secara terlupa semasa ceramahnya dulu pernah mengutuk lagu Sejati nyanyian Wings sehingga Awie nak berang. Dia juga pernah mempersendakan lagu Wassini nyanyian Waheeda yang kini menjadi isterinya. Tetapi Akhil sudah sedar. Syukurlah kerana dia tidak terus diperbodohkan oleh mereka yang berkepentingan. Sekarang ini Akhil gagal diusung oleh ahli-ahli politik yang hendak memerahnya kerana dia sudah tahu taktik-taktik kotor mereka. Cuma yang sedih apabila rakan-rakannya yang baru memakai kopiah dan selendang atas kepala pula menjadi mangsa. - --- |
Masa Usop Wilcha Bersama Keluarga Terbatas Posted: 08 Aug 2012 07:53 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Hot FM, Shy8 (disebut Shy Eight) berasa ralat kerana populariti mendadak yang di kecapinya mengakibatkan waktunya bersama keluarga semakin terbatas. Justeru, Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail berkata, dia perlu membahagikan waktu antara urusan kerja dan peribadi dengan sebaik mungkin. "Saya baru berkahwin tidak sampai lima tahun dan anak lelaki pula sedang membesar, jadi saya tidak mahu terlepas melihat proses pembesarannya kerana kesibukan kerja. "Ralat juga jadinya apabila semakin popular dan sibuk, tidak banyak waktu yang dapat dihabiskan dengan keluarga. Sebab itu, saya mahu imbangi aspek itu sekarang," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Shy8 yang popular menerusi watak Usop Wilcha dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah berkata, pemergian ibunya Tom Ali Khan yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu, memberikan kesedaran untuk dia menghargai insan-insan tersayang di sekelilingnya selagi berkesempatan. "Pemergian ibu pada akhir Jun lalu bagai satu tamparan yang membuatkan saya sedar biar sibuk mana pun kita dengan urusan kerja, waktu bersama keluarga tetap menjadi keutamaan. "Saya bersyukur dengan apa yang diperoleh dalam tempoh yang singkat tetapi populariti, peluang dan wang bukan segala-galanya jika kita tidak banyak masa dengan keluarga," jelasnya. Mengenai perkembangan kerjaya, Shy8 yang masih berkabung kerana kematian ibunya meminta untuk mengurangkan aktiviti di depan khalayak termasuk di studio radio buat sementara waktu. "Saya sudah berbincang dengan pengurusan Hot FM dan mereka faham situasi saya. Memandangkan baru saja kehilangan ibu, saya belum bersedia untuk berjenaka yang keterlaluan. "Kini saya sedang membuat persiapan untuk penggambaran dua filem arahan Mamat Khalid berjudul Zombie Kilang Biskut dan Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh selepas Hari Raya nanti," kongsinya. |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan