Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Rahsia biskut Rozita lebih sedap
- Paru-paru bernanah
- Ladang sawit bekas penagih dadah
- Cilla bukan kaki kikis
- Standard Chartered Malaysia tempat ke-3
- Aksi comel sami cilik
- Cahaya tak banyak kerenah
- Anzalna Ditawar Watak Heroin Dalam 2 Filem
Rahsia biskut Rozita lebih sedap Posted: 26 May 2012 07:25 PM PDT
SIAPA sangka hobi membantu ibu membuat kuih ketika saman kanak-kanak kini menjadi sumber pendapatan pemilik Ita's Delight, Rozita Abd. Kader, 35. Beliau mula menjalankan perniagaan kek dan biskut secara sambilan dari rumah pada tahun 1997 disebabkan terikat dengan kerjaya sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta. "Pada masa itu, saya mencari kembali resipi kuih warisan ibu dan ternyata kebanyakan pelanggan khususnya rakan serta keluarga terdekat menyukainya," kata ibu kepada dua orang anak ini. Disebabkan perniagaan yang semakin berkembang, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2007. "Sejak itu, saya serius menjalankan perniagaan secara sepenuh masa. Saya beroperasi dari rumah selama setahun sebelum membuka kedai di Klang, Selangor. "Dengan bermodalkan RM50,000 saya membangunkan sebuah kedai untuk memudahkan saya menjalankan perniagaan," jelasnya yang mempunyai ejen jualan di seluruh negara. Bagi menambah pengetahuan dalam bidang tersebut, Rozita sering mengikuti kelas masakan kek dan biskut. Jelas isteri kepada Aznan Abu Hassan, 45, itu, setakat ini beliau sudah mempunyai koleksi tujuh buah buku resipi. "Idola saya dalam bidang ini ialah Chef Liza Zainol. Saya ada menyimpan angan-angan untuk menjadi seperti beliau suatu hari nanti. "Setiap rancangan masakannya akan saya ikuti bagi dijadikan rujukan untuk saya mengendalikan bengkel masakan kek, biskut, kuih tradisional dan puding yang diadakan setiap hujung minggu," beritahu beliau. Rozita berkata, beliau selalu mencuba resipi kuih yang dihasilkan chef selebriti itu. Salah satunya ialah biskut daisy yang menggunakan minyak jagung Daisy sebagai bahan penyedap. Beliau memberitahu, itulah kali pertama beliau menggunakan minyak jagung Daisy untuk menghasilkan biskut dan ternyata percaturannya tidak sia-sia apabila hasilnya amat memberangsangkan. "Selalunya untuk membuat biskut, bahan utama yang digunakan ialah marjerin atau mentega tetapi berbeza pula apabila menggunakan minyak jagung Daisy kerana biskut akan menjadi lebih sedap dari segi rasa dan tekstur, begitu juga penampilannya. Mufin "Biskut daisy yang dihasilkan dengan minyak jagung Daisy serta campuran oat dan kelapa itu menjadi rangup selain adunan tidak mengembang dan mengikut bentuk asal," ujarnya. Tambah beliau, perbezaan amat ketara antara biskut daisy dengan biskut kacang yang lain. "Kesemua bahan campuran di dalam biskut daisy seperti serasi bersama," celoteh Rozita. Beliau yang menggunakan produk keluaran Daisy sejak tiga tahun lalu itu memberitahu, produk Daisy turut digunakan dalam bengkel masakan kendaliannya untuk membuat mufin dan kek. "Pada saya kualiti produk Daisy amat bagus. Saya sarankan mereka mencuba sendiri minyak jagung Daisy dalam resipi biskut sedia ada bagi menghasilkan satu kelainan," katanya. Tuturnya, keunikan kuih dan biskut keluarannya adalah dari segi penggunaan hiasan bagi setiap biskut selain penggunaan warna yang pelbagai. Ketika ditanya mengenai pantang larang dalam menghasilkan biskut yang enak, beliau berkata, tiada pantang larang tertentu tetapi beliau akan memastikan dirinya ceria semasa mengadun kuih dan biskut untuk menjadikannya sedap. "Itu sudah menjadi lumrah kerana apabila kita mengadun dalam keadaan marah, semua benda pasti tidak akan menjadi," katanya yang gemar menonton televisyen. Menurutnya, setiap perniagaan pasti ada cabaran. Beliau menganggap persaingan dalam perniagaan adalah lumrah. Baginya, setiap kerja yang dilakukan memerlukan komitmen dan fokus yang tinggi demi mencapai sasaran yang ditetapkan. "Tipulah jika tiada persaingan dalam setiap perniagaan tetapi saya tidak menjadikan itu sebagai halangan demi mencapai cita-cita yang belum tercapai iaitu untuk memiliki bangunan sendiri. "Selain itu, saya akan berusaha mengembangkan lagi jaringan perniagaan yang dimiliki," jelasnya lagi. Beliau merupakan antara peserta yang terpilih dalam program Usahawan Daisy sempena Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 yang bakal membuka tirai pada 10 Jun ini bertempat di Plaza Angsana Johor Bahru, diikuti pusat beli-belah Aeon AU2 (Jusco) Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 17 Jun ini dan berakhir di Pacific Hypermarket, Alor Setar Kedah 23 Jun ini. Untuk Cabaran Peringkat Akhir pula ia akan diadakan pada 1 Julai depan bertempat di pusat beli-belah Aeon AU2 (Jusco) Setiawangsa, Kuala Lumpur. | ||||
Posted: 26 May 2012 07:21 PM PDT PELAWAK terkenal, Allahyarham Bob Kuman atau Husni Mohd. Rawi, 41, meninggal dunia baru-baru ini kerana dipercayai menghidap masalah paru-paru berair. Pakar Perunding Perubatan Pernafasan dan Perubatan Am, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Sundari K. Ampikaipakan menjelaskan, penyakit paru-paru berair atau pneumonia boleh menyebabkan batuk, demam dan kesukaran bernafas. Tambahnya, punca utama jangkitan penyakit pneumonia dalam kalangan masyarakat adalah disebabkan bakteria yang dikenali sebagai Klebsiella pneumonia atau Streptococcus pneumonia. Sundari menjelaskan, pesakit yang dijangkiti pneumonia peringkat sederhana akan bertambah baik dan pulih dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas dirawat dengan antibiotik. "Keletihan dan batuk ringan boleh berkekalan selama enam minggu tetapi pesakit boleh memulakan aktiviti harian seperti biasa dalam tempoh seminggu. "Begitupun, pesakit yang memerlukan rawatan hospital selalunya akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih," ujarnya. Tambah Sundari, pneumonia boleh menjadi semakin buruk bagi pesakit yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi. Antara risiko tersebut ialah pengumpulan cecair pada paru-paru dan lapisan dalam dinding dada yang boleh dijangkiti. Selain itu, katanya, pengumpulan nanah di kawasan paru-paru yang dijangkiti pneumonia selalunya memerlukan rawatan antibiotik berterusan manakala pembedahan membuang nanah merupakan langkah terakhir. Dalam pada itu, Sundari berkata, jangkitan paru-paru juga mampu merebak kepada organ dalaman yang lain. Ditanya apakah seseorang pesakit pneumonia berisiko untuk menemui ajal, Sundari menjelaskan, kebanyakan pesakit akan sembuh daripada radang paru-paru. Begitupun, antara 5 hingga 10 peratus mangsa mempunyai risiko maut khususnya bagi golongan yang berusia lebih 65 tahun. "Golongan ini selalunya kekurangan gizi disebabkan faktor usia atau kurang akses pada makanan. "Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit paru-paru seperti asma, kuat merokok, bronkitis kronik atau emfisema, sejarah diabetes dan penyakit jantung juga mempengaruhi jangkitan pneumonia," ujarnya. Tambah beliau, kebanyakan pesakit akan pulih sepenuhnya tetapi mereka selalunya akan mengalami kepenatan serta keletihan untuk beberapa bulan. Jangkitan itu turut meninggalkan parut kekal dalam paru-paru yang mungkin memberi kesan jangka panjang seperti hilang keupayaan fungsi paru-paru. Sundari menambah, antibiotik menjadi kunci rawatan pneumonia dan kebanyakan pesakit boleh dirawat dari rumah dengan antibiotik jenis tablet. Beliau menjelaskan, walaupun menghidap penyakit paru-paru berair, pesakit selalunya tidak ditegah untuk meminum air dalam jumlah yang banyak. "Susah untuk mencegah jangkitan pneumonia tetapi amalan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau pencuci tangan berasaskan alkohol boleh membantu mengurangkan serangan pneumonia . "Sentuhan turut menyumbang jangkitan pneumonia, justeru menutup mulut dan hidung setiap kali batuk atau bersin boleh membantu mengekang penularan pneumonia," katanya. Beliau menambah, pneumonia tidak hanya menyasarkan warga tua. "Ia sebenarnya boleh menjejaskan mana-mana kumpulan umur," katanya. | ||||
Ladang sawit bekas penagih dadah Posted: 26 May 2012 07:20 PM PDT BANYAK cerita unik yang boleh ditemui di ladang kelapa sawit milik Sime Darby Plantation di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor. Pengunjung bukan sekadar menempuh perjalanan yang diisi dengan pemandangan ribuan pokok kelapa sawit bahkan keramahan kakitangan serta pekerja ladang yang tidak lokek dengan senyuman serta membantu apabila diminta pertolongan. Keadaan sekeliling pasti membuatkan hati menjadi damai, terasa sisi keindahan ladang yang menghijau dan diselubungi kesunyian ini. Hasilnya, hati menjadi tenteram. Malah, ketenangan itu ibarat simbolik yang menjurus kepada penubuhan Rumah Ikhtiar yang menjadi hab kepada bekas penagih dadah untuk hidup berdikari. Uniknya, Sime Darby bukan sekadar bermurah hati menyediakan 10 buah rumah, surau dan sebuah rumah tetamu untuk penghuninya malah memberikan mereka kerja sebagai pemotong rumput di ladang. Kunjungan kru Jurnal baru-baru ini disambut mesra oleh salah seorang bekas penagih dadah yang juga antara pengasas pusat pemulihan itu iaitu Md. Hanapiah Abu Shahir, 58. Dia berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Bicaranya disulami ayat-ayat yang merendah diri. Katanya, dia tidak bersekolah tinggi, sekadar tamat tingkatan tiga. Namun, cara pemakaiannya semasa ditemu bual begitu segak iaitu lengkap berpakaian baju kemeja dan seluar slack. Hanapiah memulakan cerita gelapnya bergelumang dengan najis dadah yang seharusnya menjadi iktibar kepada orang lain. Dia mengakui hidupnya selama 35 tahun musnah gara-gara menjadi hamba dadah jenis heroin. Titik perubahan hidupnya bermula semasa berumur 51 tahun, selain baru memperoleh dua anak yang kini berumur tiga tahun dan setahun. Dugaan yang dihadapinya bukan calang-calang. Setiap kali membawa anaknya makan di restoran atau ke klinik bagi mendapatkan rawatan, ramai orang yang menyangka kedua-dua budak itu ialah cucunya. "Tetapi apabila saya menjelaskan keadaan sebenar ramai yang terkejut besar dan meminta saya mengesahkan sekali lagi fakta itu. Kerja hotel "Saya sudah lali dengan tanggapan sebegitu kerana saya telah berubah walaupun mengambil masa yang lama," tuturnya. Hanapiah ternyata bijak merancang masa depan keluarganya dengan membuat simpanan secara tetap ke dalam akaun simpanan anaknya selain membeli aset dalam bentuk kenderaan dan rumah. "Kematian ialah perkara yang pasti dialami manusia tetapi sekiranya kita menyediakan bekalan terlebih dahulu, kehidupan keluarga kelak menjadi lebih baik. "Saya seorang suami yang bertanggungjawab terhadap keluarga," katanya. Bercerita bagaimana dia terjebak dengan najis dadah, air mata lelaki ini mula mengalir. Ceritanya secara skeptikal, pengaruh rakan-rakan dan ingin mencuba menjadi titik pencetus dia terlibat dengan dadah. "Saya bekerja di hotel sejak berumur 18 tahun. Gaji dan bayaran tip diterima cukup lumayan hingga membolehkan saya membeli dadah setiap hari. "Hanya dengan membawa beg pelanggan hotel ke bilik, saya boleh memperoleh RM40, nilai yang lumayan pada zaman 70-an," katanya. Dia menghisap heroin sekurang-kurangnya tiga kali sehari. "Tetapi saya tidak pernah dibuang kerja walaupun telah menerima 17 kali surat amaran kecuali semasa ditangkap pihak berkuasa kerana membeli dadah. "Ujian air kencing saya positif. Sebaik sahaja keluar dari lokap, saya terus dibuang kerja," ujarnya. Tutur Hanapiah, pelbagai pekerjaan dilakukannya selepas itu seperti mencuci kereta, bekerja kontrak dan menjadi pekerja am di pasar raya. "Namun saya masih menghisap heroin. Saya mengambil keputusan menyertai program Rumah Ikhtiar pada tahun 2002. "Ia hasil ajakan rakan saya yang juga pengasas rumah ini, Mohd. Haffney Abd. Rahman. Saya menemuinya semasa saya mendapat rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur," jelasnya. Ujarnya sejak menetap di Rumah Ikhtiar, dia berhasil membuang ketagihan dadah sepenuhnya. "Saya mendapat kerja kontrak daripada Sime Darby untuk memotong rumput. Syukur pendapatan yang diperoleh agak baik. "Ia lebih daripada cukup asalkan diri sendiri ingin berubah," katanya dengan penuh yakin. Hazli Iskandar Wahib, 31, yang duduk bersebelahan dengan Hanapiah di kerusi sofa empuk seakan-akan tidak sabar menceritakan kisah hidupnya. Dia pernah bekerja sebagai pembantu makmal, kerani dan peneroka tetapi masih sukar melepaskan diri daripada ketagihan dadah. "Ketagihan ganja menyebabkan saya tidak mampu membeli beras dan susu anak walaupun pendapatan bulanan pada masa itu mencecah ribuan ringgit. Takut kahwin "Saya terpaksa meminjam daripada jiran untuk mendapatkan bekalan itu. Baju dan pakaian keluarga hanya ditukar setahun sekali, itu pun semasa Hari Raya Aidilfitri," katanya. Dia juga beberapa kali ditangkap pihak berkuasa sebelum dijamin. Bagaimanapun, semua itu tidak membawa sebarang erti kepadanya. "Sampaikan semasa datang ke rumah saudara-mara sekali pun, perkara utama yang mereka lakukan ialah menyorokkan dan menyimpan beg duit kerana khuatir akan dikebas oleh saya. "Tetapi sejak berada di rumah ini pada tahun 2008, banyak perubahan yang saya alami menyebabkan saya rintang dengan dadah," ceritanya. Kisah salah seorang penghuni, Zainudin Abdul Rahim, 48, agak berbeza kerana dia bertekad tidak akan berkahwin selagi tidak pulih sepenuhnya. Ternyata, kisah silamnya bukan calang-calang kerana pernah bekerja sebagai pelukis pelan dengan gaji yang bagus tetapi najis dadah membuatkan Zainuddin tewas. Walaupun beberapa kali keluar masuk pusat serenti, pusat pemulihan dadah persendirian malah sekolah pondok selama tujuh tahun, ia belum cukup bagi lelaki yang tidak lekang dengan senyuman ini.
"Setiap kali mendapatkan rawatan dan pemulihan saya berhenti menghisap dadah. Tetapi sebaik sahaja keluar, 'benda' itu yang dicari dahulu. "Akhirnya pihak keluarga dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menasihatkan saya menyertai Rumah Ikhtiar pada tahun 2004. Hasilnya, saya tidak pernah menyentuh najis dadah lagi. "Saya takut keluar dari rumah ini kerana khuatir akan menagih dadah semula," ujarnya. Bercerita mengenai pendiriannya yang tidak ingin berkahwin di sebalik usia yang semakin lanjut Zainuddin memberitahu, dia takut tidak dapat berlaku adil kepada keluarganya kelak. "Saya bimbang akan mengabaikan isteri dan anak. Bohonglah jika lelaki tidak ingin mempunyai teman hidup, tetapi ramai rakan penagih dadah yang gagal dalam perkahwinan dan perkara itu sentiasa berlegar-legar dalam fikiran. "Saya lemah apabila berada dalam keadaan tertekan, jadi lebih baik tidak berkahwin dahulu," katanya. | ||||
Posted: 26 May 2012 07:18 PM PDT
PADA Sabtu 19 Mei 2012, pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 28, berkahwin dengan kekasihnya Priscilla Chan setelah sembilan tahun hidup bersama. Pasangan ini disatukan dalam satu majlis sederhana di belakang rumah mereka di Palo Alto, California, Amerika Syarikat (AS). Kira-kira 100 orang tetamu yang hadir terkejut kerana hadirin menyangka majlis tersebut sempena meraikan wanita yang menambat hati lelaki genius itu lulus dalam bidang perubatan daripada Universiti California. Mungkin ramai yang jarang mendengar nama Chan akan tertanya-tanya siapakah wanita yang mampu merebut hati lelaki dengan kekayaan bernilai RM52 bilion itu? Jauh daripada imej seorang perempuan kaki kikis, Chan yang manja dipanggil Cilla oleh Zuckerberg ternyata memiliki pencapaiannya sendiri. Berusia 27 tahun, dia ialah pemegang Sarjana Biologi dari Universiti Harvard pada tahun 2007. Cinta Zuckerberg pada wanita itu menyebabkan dia melancarkan kempen menderma organ di laman Facebook. Dalam tempoh yang singkat sahaja ribuan penderma dari seluruh dunia telah mendaftar. "Cilla akan menjadi seorang doktor pediatrik. Setiap kali makan malam perbualan kami berkisar mengenai Facebook dan kanak-kanak yang dia jumpa," cerita Zuckerberg kepada ABC News. Namun, ada beberapa sisi kelainan wanita keturunan Cina dari Massachussetts itu yang menyebabkan juwatan muda itu terpikat. Cilla memberitahu akhbar The New Yorker, walaupun berkahwin dengan pemuda terkaya di dunia, dia cuba untuk hidup seperti keluarga biasa. "Kami berpegang teguh dengan tujuan hidup, apa yang kami yakini serta apa yang kami berdua sukai," katanya. Terdapat banyak gambar yang diambil oleh jurugambar paparazi yang menunjukkan hobi pasangan ini besiar-siar di taman, bermain boling atau bermain kad terup. Cilla juga fasih berbahasa Inggeris, Sepanyol, dan tentunya Cina. Zuckerberg sendiri belajar bahasa Cina dengan Cilla sebelum melancong ke China pada tahun 2010. Ironi, pertemuan mereka bermula semasa Cilla belajar dalam bidang biologi di Universiti Harvard. "Saya sedang menunggu giliran untuk masuk ke sebuah bilik air semasa menghadiri sebuah parti anjuran rakan-rakan. "Dia (Zuckerberg) seorang jejaka yang lurus. Tidak ramai lelaki yang bersikap sepertinya," jelas Cilla. Peraturan
Sebaik sahaja menamatkan pengajian pada tahun 2007, dia berpindah ke San Jose, California. Di situ dia bertugas selama setahun sebagai guru Sains kepada pelajar gred empat dan lima. Dia mengajar di The Harker School. Mereka masih berhubung biarpun selepas Zuckerberg tidak lagi menyambung pengajiannya dan bekerja dengan syarikat yang dikenali sebagai The Facebook. Zuckerberg pernah memberitahu ABC News bahawa perbincangannya dengan Cilla menimbulkan inspirasi untuk menggalakkan pendermaan organ menerusi Facebook. Ketika berdepan keadaan yang memerlukan keputusan besar, Cilla dan Zuckerberg akan berbincang secara serius sehingga mereka mencapai keputusan yang dikehendaki. Kisah perniagaan turut mendekatkan mereka. Cilla pernah membantu Zuckerberg menyelamatkan Facebook ketika Yahoo! berusaha membeli syarikat tersebut pada harga RM4 bilion. "Saya masih ingat bagaimana kami berdebat tentang tawaran Yahoo! itu. "Namun, kami berusaha untuk mendekatkan diri dengan matlamat dan apa yang kami gemar lakukan dalam hidup," ujar Cilla. Dalam perhubungan, Cilla juga seorang yang lurus. Dia seolah-olah meletakkan peraturan yang perlu dipatuhi agar hubungan romantik tersebut berkekalan. Dalam usaha untuk mengurangkan sikap gila bekerja Zuckerberg, Cilla memberikan syarat agar mereka keluar makan malam sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Mereka tidak boleh bertemu di apartmen tempat Zuckerberg tinggal mahupun pejabat Facebook. Lebih 'menyesakkan' Zuckerberg apabila pada September 2010 wanita itu mengambil keputusan untuk tinggal bersamanya. | ||||
Standard Chartered Malaysia tempat ke-3 Posted: 26 May 2012 07:18 PM PDT
SEJAK berusia tujuh tahun lagi, Sashi Kumar a/l Thanasegaran sudah jatuh cinta dengan sukan bola sepak. Bermain di padang Sekolah La Salle, Kuala Lumpur, ketika itu selain pasukan negeri Selangor yang menjadi kesayangan Sashi, sebuah lagi pasukan antarabangsa yang meniti bibirnya ialah Liverpool. Pada tahun 1970-an dan 1980-an, pasukan Liverpool sememangnya berada di puncak prestasi lantaran menjuarai pelbagai gelaran daripada Liga Perdana England, Piala Liga, Piala FA dan Piala Eropah. Bapa saudaranya, yang juga peminat fanatik Liverpool menambahkan lagi tempias pengaruh kepada Sashi yang ketika itu baru berada di bangku sekolah rendah. Hampir 30 tahun, menyanjung pasukan itu mengatasi pasukan Inggeris atau Eropah yang lain, tidak hairanlah setiap kali ada saja perlawanan melibatkan pasukan yang ditubuhkan pada tahun 1892 itu, Sashi, 35, pasti setia menanti siaran langsung biarpun pada awal pagi. Namun, petang tanggal 10 Mei lalu ialah hari yang tidak boleh dilupakan Sashi. Selama hampir 30 tahun menyaksikan Stadium Anfield menerusi kaca TV, hari itu stadium keramat tersebut betul-betul berada di depan matanya. Bak pemain Liverpool Menambahkan lagi momen magis dalam hidupnya itu, apabila Sashi bakal melalui detik-detik bak seorang pemain Liverpool sebenar. Dia bukan sahaja akan menggunakan bilik persalinan dan melalui terowong laluan pemain di Anfield, bahkan lebih manis dapat bermain bola di padang yang sama di mana pemain Liverpool beraksi. "Ia adalah pengalaman seumur hidup yang tidak mungkin dilupakan," demikian ungkap peminat tegar Liverpool itu mengenai pengalamannya. Saat but bolanya memijak padang rumput Anfield, Sashi menyedut nafas panjang. Tidak berlari terus ke tengah padang, Sashi melihat sekeliling padang Anfield memikirkan itulah stadium yang menjadi kekagumannya sejak tiga dekad lalu. Bahkan, itulah rumput hijau yang menjadi 'karpet' setiap kali pemain kesayangannya Steven Gerrad beraksi. "Saya telah mendapat peluang menonton perlawanan Liverpool dan Chelsea malam tadi. Tetapi apa yang saya nikmati hari ini (bermain di padang Anfield) adalah luar biasa. Bukan semua orang sewenang-wenang boleh masuk memijak dan bermain bola di padang Anfield," luah Sashi. Beliau yang bertindak sebagai jurulatih dan juga pemain bersama lima lagi rakan pasukannya terbang ke Liverpool, United Kingdom bagi mewakili Standard Chartered Malaysia ke pertandingan bola sepak lima sebelah merebut Piala Standard Chartered 2012. Pasukan Standard Chartered Malaysia turut diwakili oleh Muhammad Nazrien Faizal Azmi, 22; Nuraznizam Mazelan, 24; Muhamad Azri Mat Aris, 25; Mohd. Azmir Yahaya, 24 dan Muhammad Iqbal Roselan, 23. Mereka terpilih mewakili Standard Chartered Malaysia selepas menjuarai pertandingan di tanah air melibatkan kakitangan syarikat perbankan itu. Persaingan 10 buah negara Piala Standard Chartered 2012 merupakan kejohanan sulung yang diadakan oleh Standard Chartered dengan kerjasama Liverpool Football Club (LFC). Ia keistimewaan khas yang diberikan oleh LFC untuk Standard Chartered sebagai penaja rasminya yang kini sudah memasuki tahun kedua. Dalam kejohanan itu sembilan pasukan lain yang turut bertanding termasuklah dari United Kingdom (UK), Thailand, Botswana, Nigeria, Singapura, Hong Kong, Bahrain, Indonesia dan India. Apa yang membanggakan, biarpun menampilkan pemain-pemain yang bertubuh kecil, namun ia bukan penghalang untuk pasukan Standard Chartered Malaysia mencipta kejayaan. Mereka berjaya mendapat tempat ketiga apabila menewaskan pasukan Standard Chartered United Kingdom dengan keputusan 2-1 dalam penentuan tempat ketiga/keempat. "Pada mulanya kami memang agak berdebar, malah ada pemain yang gementar melihat pemain pasukan lawan yang bersaiz dua kali ganda daripada mereka. "Namun, saya beri keyakinan kepada mereka agar menggunakan saiz tubuh yang kecil sebagai satu kelebihan," ujar Sashi yang mengakui dengan tubuh genit itu, pemainnya dapat bergerak lebih pantas dan mudah melolos diri daripada pertahanan lawan. Sebelum itu di peringkat kumpulan B, Malaysia berjaya menjadi naib juara kumpulan apabila membenam Nigeria 2-1, menewaskan Thailand 1-0, seri 1-1 dengan Indonesia sebelum tewas 0-1 kepada Singapura. Bagaimanapun, mereka ditunjuk jalan keluar daripada pentas final oleh Bostwana apabila tewas 1-3 melalui masa tambahan. Seperti terbang ke bulan Dalam pada itu, peserta Bostwana, Simon Rasetshwan, 40, pula tidak menyangka, dia dan rakan-rakannya akan diterbangkan ke Liverpool selepas memenangi kejohanan di peringkat negaranya. "Saya menyangka kami ditipu atau lebih tepat lagi, penganjur di Bostwana hanya bergurau mengenai hadiah kejohanan. "Rupa-rupanya kami bukan sahaja dibawa ke bumi Liverpool, bahkan diberi peluang berlatih selama dua jam dengan jurulatih Akademi Bola Sepak Liverpool dan menonton perlawanan Liverpool menentang Chelsea. "Kalau anda tanya apa perasaan saya, ia seperti terbang ke bulan apabila diberi hadiah sebesar ini," kata Simon yang bertugas sebagai pegawai tentera Bostwana. Dalam pada itu, Kapten pasukan Standard Chartered United Kingdom, James Perkins, 37, pula mengakui teruja menjadi tuan rumah menerima kunjungan sembilan lagi pasukan negara lain ke Liverpool. "Kejohanan ini bukan sekadar memberi peluang kepada kakitangan Standard Chartered merasai atmosfera Anfield semata-mata, bahkan menjadi platform menjalinkan persahabatan. "Jarang kami mendapat peluang seperti ini kerana biasanya bertemu dengan rakan dari negara lain dalam persidangan atau mesyuarat, tetapi pertemuan kali ini lebih santai," ujar Perkins yang bertugas di Jabatan Perbankan Korporat di London. | ||||
Posted: 26 May 2012 07:12 PM PDT KUIL Buddha Jogye di Korea Selatan menyambut ulang tahun kelahiran Buddha pada 28 Mei setiap tahun. Penglibatan sami cilik selama tiga minggu di kuil itu sempena sambutan ulang tahun itu turut memeriahkan suasana kuil tersebut yang terletak di Seoul. Selain daripada berdoa dan bertafakur, pihak kuil juga menyediakan pelbagai aktiviti kepada kanak-kanak itu sebagai langkah untuk menanam kecintaan mereka kepada Buddha. Lebih menarik, kuil Jogye mengadakan satu perlawanan bola sepak yang melibatkan sami cilik itu. Aksi, laungan dan sorakan mereka semasa perlawanan bola sepak berlangsung turut menggamatkan suasana persekitaran kuil tersebut. Sami-sami kecil itu kelihatan gembira dan merasakan seolah-olah jantung dan semangat Buddha berada di dalam diri mereka ketika perlawanan berlangsung. Dalam tempoh tiga minggu mereka berada di kuil Jogye, anak-anak comel dengan fesyen rambut kepala dicukur habis itu turut dibawa melawat ke Muzium Telekom Korea Selatan dan Taman Tema Everland yang terletak di barat Seoul. Peratusan populasi penduduk negara tersebut yang memeluk agama Buddha dianggarkan sebanyak lima peratus daripada kira-kira sepuluh juta penduduk Korea Selatan dan sambutan ulang tahun di sambut pada tarikh 8 April setiap tahun dalam Kalendar Lunar. | ||||
Posted: 26 May 2012 06:32 AM PDT TIADA ayat yang mampu menggambarkan betapa bersyukur dan gembiranya pasangan ini saat menerima khabar berita mereka bergelar ibu selepas tiga tahun menanti. Berbaloi penantian itu dirasakan apabila pada tanggal 28 Februari lalu, wajah zuriat comel mereka itu dapat ditatap buat pertama kalinya. Dinamakan dengan sepotong nama yang cukup indah, diam tak diam Cahaya Malaika kini sudah pun berusia tiga bulan. Baik suami yang juga penyanyi popular, Asmawi Ani (Mawi), 31, mahupun isterinya, Nora'Ashikin Rahman (Ekin), 33, kedua-dua menyifatkan kehadiran puteri kesayangan itu sebagai pelengkap rumah tangga mereka yang dibina sejak 20 Disember 2008. | ||||
Anzalna Ditawar Watak Heroin Dalam 2 Filem Posted: 26 May 2012 06:31 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon seksi Nur Anzalna Nasir yakin watak heroin yang bakal dibawanya dalam dua buah filem baru iaitu "Sepah The Movie" dan "Dr K Kahwin Lima" akan mendapat perhatian ramai danmeletakkan namanya setaraf dengan aktres-aktres utama yang lain. Kata Anzalna, dia kini semakin berani untuk menerima tawaran bagi membawa watak utama dalam drama televisyen mahu pun filem selepas hampir setahun bergelar pelakon. Anzalna, 24, berkata kepercayaan penggiat industri dan rakan-rakan artis terhadap potensi bakatnya itu memberikan keyakinan kepadanya untuk terus memperbaiki mutu lakonannya. "Saya semakin berani untuk menerima tawaran bagi watak utama dalam drama dan filem pada tahun ini. "Sebelum ini, saya tidak yakin dan belum bersedia tetapi beberapa penerbit dan pengarah menaruh keyakinan yang tinggi kepada saya untuk membawa watak utama sebagai heroin dan saya tidak akan menghampakan peluang itu," katanya kepada mStar Online, portal berita BahasaMalaysia The Star. Aktres yang kini muncul dengan drama aksi bersiri Indera Joned (TV3) menambah, dia melihat perubahan itu sebagai satu platform yang baik untuk perkembangan kerjayanya. "Baru-baru ini, saya ditawarkan watak utama dalam drama Mahabbah untuk TV3, drama Adam & Hawa (Astro) bersama Aaron Aziz dan filem terbaru Dr K Kahwin Lima (KRU Studios) tidak lama lagi," katanya. Bekas finalis pertandingan Dewi Remaja 2010 ini juga bakal muncul dalam filem pertamanya berjudul Sepah The Movie (arahan MP Roslin) pada hujung tahun ini. Dia menggalas watak heroin bernama Ayu Sofia di samping kumpulan pelawak popular tanah air Sepah dan Jehan Miskin dalam filem komedi itu. Ditanya mengenai filem baru bersama KRU Studios itu, Anzalna berkata, jalan cerita filem itu masih dirahsiakan kerana pengambaran belum bermula. Bagaimanapun dia memberi jaminan, filem itu sangat menarik dan lain daripada yang lain. Ditanya mengenai kekerapannya membawa teman lelaki, Hanif Zaki, 24, pada majlis-majlis hiburan dan penggambaran drama dan filem, Anzalna enggan mengambil serius perkara itu. "Walaupun ia bukan isu besar bagi saya atau keluarga tetapi terdetik juga perasaan kecewa kerana orang mudah untuk bercakap apa saja tanpa mengetahui dengan mendalam mengenai sesuatu perkara. "Saya selesa ditemani oleh dia kerana saya percayakan dia selain keluarga sendiri. Malah, dia juga sanggup berkorban masa dan bertolak ansur demi untuk menemani saya," tambahnya yang sudah hampir setahunmenjalin hubungan dengan lelaki itu. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan