ads

Selasa, 22 Mei 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Yuna nafi sudah tamak

Posted: 22 May 2012 06:08 PM PDT



KEMUNCULAN Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 26, pada majlis Inspirasi Selebriti bersama Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Petaling Jaya, baru-baru ini membuatkan semua mata tertumpu ke arah dirinya. Cantik mengenakan turban warna kegemarannya ungu dipadankan dengan kemeja biru, aura penyanyi lagu Penakut itu begitu ketara apabila dia tidak putus-putus diminta untuk bergambar oleh peminat-peminatnya.

Biarpun sibuk mempromosikan album baharunya yang berjudul Yuna di Amerika Syarikat serta sedang merancang untuk mengadakan konsert jelajahnya di seluruh negara itu selama 30 hari bermula Jun depan, dia masih sempat pulang ke Malaysia untuk mengikat kontrak bersama butik hiasan rumah, Macy dan produk kecantikan Follow Me.

Menolak tanggapan dirinya kini sudah tamak, jelas Yuna, dia menerima tawaran sebagai duta untuk beberapa produk seperti Canon, Macy dan Follow Me bukan disebabkan duit, tetapi kerana syarikat tersebut menghargai karier muziknya.

Malah akui Yuna, semua produk yang diwakilinya tidak langsung mengalih perhatiannya terhadap karier nyanyiannya di Amerika mahupun di Malaysia.

"Saya tak ada masalah untuk menjadi duta mana-mana produk. Bukan sebab saya tamak menerima semua tawaran, tetapi syarikat-syarikat tersebut menghargai dan percaya dengan karier muzik saya.

"Sebagai contoh menjadi duta produk Canon, memberi peluang kepada saya untuk merakamkan perkara menarik dalam hidup kerana saya sendiri meminati bidang fotografi. Macy pula sebaliknya, memberi saya peluang untuk mereka bilik tidur sendiri seterusnya memberi inspirasi kepada peminat dan masyarakat keseluruhan," jelasnya yang turut memberitahu pihak pengurusannya di Amerika Syarikat tidak membantah penglibatannya menjadi duta produk di negara ini.

Tegas

Sejak daripada awal lagi Yuna menegaskan kepada pihak pengurusannya di Amerika Syarikat iaitu Fader Label untuk tidak mencampuri urusan serta aktivitinya di Malaysia.

"Jika ia berkaitan dengan kerjaya saya di Amerika mereka berhak untuk masuk campur tetapi tidak untuk aktiviti saya di Malaysia. Ia sudah dipersetujui sejak awal lagi.

"Jadi, tidak timbul sebarang masalah jika saya mewakili sesuatu produk atau ingin mengeluarkan album di negara saya sendiri," tuturnya.

Mengulas mengenai albumnya di Amerika, walaupun penat kerana perlu kerap berulang alik dari Amerika ke Malaysia, Yuna akui sangat gembira apabila album pertamanya di negara berkenaan akhirnya dilancarkan.

Malah, Yuna cukup terharu dengan sambutan yang menggalakkan daripada peminat di sana.

"Buat masa ini memang saya sibuk sangat untuk mempromosikan album terbaharu saya. Bayangkan setiap negeri di Amerika ada 10 stesen radio berbeza dan rangka promosi yang diaturkan sangat padat tetapi saya gembira melakukannya," ujarnya.

Album baharu Yuna itu telah dilancarkan pada 24 April lalu di kota New York.

Yuna yang turut menghasilkan single keduanya iaitu Lullabies akan sibuk dengan konsert jelajah ke seluruh negara itu bermula bulan Jun ini selama 30 hari.

"Selama tempoh tersebut saya akan mengadakan sebanyak 30 persembahan di pelbagai tempat. Saya tidak pernah membuat persembahan selama 30 hari berturut-turut tetapi saya akan menyahut cabaran ini dan begitu teruja untuk menjelajah ke seluruh Amerika," katanya mengenai percaturan syarikat rakamannya untuk album baharunya di sana.

Gementar


YUNA sedang mendendangkan lagu terbaharunya, Sparkle.


Bercerita mengenai kemunculannya dalam program temu bual popular di Amerika Syarikat, Conan yang dikendalikan oleh Conan O'Brien pada 2 April lalu, akui Yuna, pada mulanya dia sangat gementar namun dia berjaya mengatasi perasaan gementarnya apabila memikirkan keluarga dan peminatnya di tanah air.

Tambahnya, dia tahu keluarga dan peminatnya akan menonton dan mahu membuat semua orang di Malaysia bangga.

Yuna memberikan persembahan bertenaga dengan lagu Live Your Life yang mendapat sentuhan penerbit muzik terkenal, Pharrell Williams.

"Peluang seperti ini bukan datang selalu, walaupun gementar saya cuba lakukan yang terbaik. Saya juga amat berharap album saya di Amerika akan dilancarkan di Malaysia untuk peminat saya," katanya.

Aaron tunai umrah lagi

Posted: 22 May 2012 06:04 PM PDT


AARON bakal membintangi filem Cicakman 3.


SELEPAS bergelar bintang paling popular baru-baru ini, aktor Aaron Aziz kini menunaikan umrah buat kali kedua bersama isterinya, Diyana Halik pada 18 Mei lalu.

Menurut Aaron yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Yourgurt di Kuala Lumpur sehari sebelum berangkat ke Mekah, pemergiannya selama 12 hari ke sana juga disebabkan penggambaran drama Adam & Hawa di sana.

"Saya dan kru penggambaran akan menunaikan umrah terlebih dahulu, selepas itu kami akan memulakan penggambaran di luar kota Mekah," ujarnya.

Jika umrah yang dilakukan tahun lalu Aaron berdoa supaya segala urusan pertukaran status penduduk tetap di Malaysia dipermudahkan, umrah kali ini pula, katanya, dia ingin berdoa dan mengucapkan tanda syukur atas kejayaan yang dinikmatinya hari ini.

"Sebenarnya selepas umrah yang pertama, saya dan isteri merancang untuk menunaikan umrah setiap tahun. Namun, jadual saya tahun ini sangat sibuk, Alhamdulillah tidak sangka akan menunaikan umrah sekali lagi walaupun terikat dengan kerja.

"Tujuan saya menunaikan umrah kerana saya ingin berterima kasih dengan Allah atas rezeki, kerjaya dan keluarga yang membuatkan saya bahagia," katanya yang akan membintangi filem Cicakman 3.

Selepas selesai dengan penggambaran drama Adam & Hawa sebanyak 80 episod pada pertengahan bulan Jun depan, Aaron akan sibuk di set penggambaran drama aksi berjudul Dampak.

Dira tinggalkan Melodi

Posted: 22 May 2012 06:01 PM PDT


DIRA tidak kecewa posisinya sebagai hos Melodi kini diganti oleh Awal Ashaari.


Kontroversi bergaduh dengan seorang wanita di sebuah pusat hiburan terkemuka, kemudian didakwa pula meminum peluntur sehingga dikejarkan ke hospital sekitar April lalu telah membuatkan nama aktres dan pengacara, Khaidhirah Abu Zahar, 28, atau Dira semakin panas.

Impaknya, Dira direhatkan daripada program sensasi Melodi bermula 8 April lalu. Dia juga direhatkan daripada mengikuti sebarang promosi filem terbaharu lakonannya, Chow Kit.

Mengejutkan apabila pihak penerbitan Melodi menerusi penerbitnya Azman Abd. Ghafar mengesahkan Dira kini secara rasmi tidak lagi bersama Melodi dan tempatnya digantikan oleh pengacara Awal Ashaari bergandingan dengan Zizan Razak sebagai pengacara tetap program hiburan itu bermula Jun depan.

Dira yang dihubungi Kosmo! turut mengesahkan berita tersebut dan memberitahu dia secara sukarela menarik diri daripada program itu selepas setahun menimba pengalaman. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Dira baru-baru ini.

Kosmo!: Posisi Dira sebagai pengacara Melodi, kini secara rasmi menjadi milik Awal Ashaari. Boleh komen?

Dira: Saya telah dimaklumkan awal berhubung perkara tersebut oleh pihak penerbitan kira-kira dua bulan yang lalu. Sebenarnya mereka ingin mencari seorang lagi pengacara sebagai gandingan supaya kami boleh bertukar-tukar pasangan setiap minggu tetapi saya mengambil keputusan untuk mengundur diri secara sukarela.

Adakah anda undur diri kerana kontroversi yang melanda?

Tidak. Saya undur diri kerana ingin beri fokus kepada keluarga, perniagaan dan bermula bulan April lalu saya telah menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Lim Kok Wing dalam bidang filem digital dan televisyen. Jadi, saya bimbang tidak boleh beri komitmen sebab itu saya undur diri.

Bila membuat perancangan untuk menyambung pengajian?

Sebenarnya sejak tahun lalu, saya ada buat perancangan untuk mengambil kursus jangka pendek di Akademi Filem New York. Tidak jangka pula, saya akan bertemu jodoh sekali lagi dan dilamar menjadi pengacara Melodi. Selepas berkahwin, saya memutuskan untuk sambung pelajaran di dalam negara sahaja.

Kontroversi datang secara kebetulan dengan waktu anda mahu undur diri daripada Melodi. Secara tidak langsung kelihatan seperti anda dipecat daripada Melodi. Komen?

Kontroversi merupakan rencah industri hiburan, saya tidak ada sebarang masalah dengan kontroversi yang melanda. Saya tidak salahkan sesiapa termasuk pihak media yang membuat laporan. Perkara ini terjadi akibat salah faham, jika saya mahu terangkan satu persatu kepada semua orang, takut kontroversi jadi lebih besar. Jadi lebih baik saya diam sahaja, saya manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan, setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah sebaliknya.

Kehadiran anda dalam program Melodi dikatakan tidak membawa sebarang perubahan daripada segi rating. Komen?

Kalau bercakap soal rating sejak mula saya bersama Melodi, banyak pihak persoalkan kenapa saya yang jadi pilihan. Bukan populariti yang saya kejar sebaliknya mampukah saya mengendalikan sebuah program yang mempunyai nama besar itu. Memang saya akui saya tidak sempurna dan harus perbaiki lagi selaku pengacara. Sepanjang setahun saya bersama Melodi, banyak pengalaman baharu yang saya terima.

Kecewa apabila tempat anda digantikan oleh Awal?

Tidak kecewa dengan apa yang terjadi. Ini soal rezeki yang diberi Allah. Jujur, memang saya tidak kecewa dengan sesiapa pun kerana kekecewaan itu beri impak yang negatif. Saya hanya buat kerja saya untuk mencari rezeki yang halal.

Andai pada masa hadapan anda ditawarkan menjadi pengacara program gosip, mahu terima atau tidak?

Rasanya saya tidak akan terima, bukan takut gosip terkena batang hidung sendiri tetapi saya tidak mahu dikenali sebagai pengacara program gosip sahaja. Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pengacara yang versatil. Bagi saya sudah cukup dengan apa yang saya lakukan bersama Melodi.

Anda menyambung pengajian dan memperlahankan aktiviti lakonan. Merajuk dengan apa yang terjadi?

Tiada istilah merajuk pun. Saya masih berlakon, cuma memilih drama yang benar-benar sesuai. Drama terakhir saya adalah bersama Remy Ishak iaitu Cinta Dalam Hati. Sebenarnya sejak anak sulung saya lahir sehingga kini dia sudah berusia lima tahun, saya selalu sibuk. Sekarang saya mahu beri perhatian kepadanya dan tingkatkan kesihatan diri kerana saya merancang untuk menambah bilangan anak lagi (ketawa).

Roket swasta berlepas ke ISS

Posted: 22 May 2012 06:01 PM PDT


ROKET Falcon 9 berlepas dari sebuah pusat pelancaran di Cape Canaveral, Florida semalam.


CAPE CANAVERAL, Florida - Sebuah roket keluaran syarikat swasta berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam.

Ia merupakan penerbangan komersial pertama yang dilancarkan oleh sebuah syarikat swasta ke ISS.

Roket itu dikenali sebagai Falcon 9 membawa kapsul Dragon berisi muatan makanan.

Ia dilancarkan dari sebuah pusat pelancaran di sini pada pukul 3.44 pagi waktu tempatan.

Roket sepanjang 54 meter dan tanpa juruterbang itu akan berlabuh di ISS dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pelancaran roket itu bertujuan untuk menunjukkan bahawa pihak swasta mampu memulihkan industri penerbangan angkasa lepas Amerika Syarikat ke ISS.

Sebelum ini Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah menghentikan operasi penerbangan ke angkasa lepas pada tahun lalu.

Roket itu sepatutnya dilancarkan pada Sabtu lalu.

Namun, ia ditangguhkan ekoran masalah tekanan tinggi pada enjin roket tersebut.

Syarikat SpaceX yang mengeluarkan roket itu dimiliki oleh bilionair Elon Musk.

Beliau juga merupakan pengasas bersama Paypal.

"Falcon terbang dengan sempurna," kata Musk di laman Twitter.

Syarikat itu mempunyai kontrak sebanyak AS$6.6 bilion (RM20.60 bilion) dengan NASA untuk misi menghantar bekalan ke ISS.

Saham Facebook jatuh

Posted: 22 May 2012 05:28 PM PDT

GAMBAR fail pada 18 Mei lalu menunjukkan Zuckerberg (memegang mikrofon) berdiri di ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California.


NEW YORK - Harga saham Facebook jatuh lebih lima peratus semalam selepas ia menjuman 11 peratus kelmarin.Dalam dagangan semalam, harga saham itu ialah pada AS$31.92 (RM) merosot berbanding AS$34.03 (RM) kelmarin.

Saham Facebook sebelum ini dibuka pada harga AS$38 (RM118.63) seunit yang merupakan tawaran awam permulaan (IPO) kedua terbesar di AS.

Kejatuhan tersebut berlaku selepas sesi dagangan bergelora pada Jumaat lalu yang menyaksikan saham Facebook meningkat pada awal dagangan sebelum kembali merudum pada hari yang sama.

"Pelabur runcit takut untuk membeli saham Facebook. Kebanyakan orang sebelum ini menyangka ia satu pelaburan yang amat menguntungkan.

"Justeru apabila situasi sebaliknya berlaku, tiada siapa tahu sejauh mana saham ini akan merudum," kata Eksekutif Dana Internet Sosial, Lou Kerner.

Menurutnya, situasi tersebut didorong sentimen negatif sebahagian pelabur yang sangsi sama ada Facebook dapat terus berkembang dan mencatat lebih banyak keuntungan pada masa depan.

Salah seorang pengasas Facebook ialah Mark Zuckerberg.

Pada Sabtu lalu, beliau melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Priscilla Chan.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 tetamu di kediaman Zuckerberg di Palo Alto, California.

Ia berlangsung sehari selepas Facebook membuat IPO bagi menjual sahamnya di pasaran terbuka.

Puluhan ribu kunjungi Tokyo Sky Tree

Posted: 22 May 2012 05:27 PM PDT




TOKYO - Menara penyiaran paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree yang setinggi 634 meter di sini mula dibuka kepada orang ramai semalam.

Berpuluh-puluh ribu orang beratur untuk memasuki menara itu semasa hujan.

Kompleks beli-belah dan taman hiburan yang terletak bersebelahan dengan menara itu turut sama dibuka.

Namun, mereka yang berada di dek pemerhati pada ketinggian 350 meter di menara tersebut kecewa kerana tidak dapat melihat pemandangan yang menakjubkan ekoran cuaca mendung.

"Saya sudah lama berhasrat untuk berkunjung ke menara itu," kata seorang wanita, Ayumi Nakazawa yang memenangi tiket ke majlis pembukaan bangunan tersebut.

Tokyo Sky Tree merupakan struktur kedua tertinggi di dunia selepas bangunan Burj Khalifa di Dubai yang memiliki ketinggian 828 meter.

Penjaga zoo paling tua di Bulgaria

Posted: 22 May 2012 05:26 PM PDT


BEHCET bermain dengan seekor anak singa berusia lapan bulan di sebuah zoo di Razgard, Bulgaria pada 12 Mei lalu.


SOFIA - Seorang lelaki berusia 82 tahun, Behcet Ali merupakan penjaga zoo yang paling tua di Bulgaria.

Dia bertugas di sebuah zoo di bandar Razgard, kira-kira 350 kilometer ke timur laut bandar raya ini.

Behcet terkenal kerana dia membesarkan 15 ekor anak singa semasa bertugas selama 33 tahun di zoo tersebut.

Dia pernah bekerja di sebuah klinik haiwan sebelum bertugas menjadi penjaga zoo itu pada tahun 1979.

Behcet juga pernah dicakar singa dan beruang tetapi ia tidak menghalangnya daripada meneruskan tugas sebagai penjaga zoo.

Pondok telefon unik di Sao Paulo

Posted: 22 May 2012 05:25 PM PDT


SEORANG lelaki menggunakan pondok telefon awam yang dihiasi dengan lukisan otak manusia di Sao Paulo kelmarin.


SAO PAULO, Brazil - Sebanyak 100 pondok telefon awam di bandar raya ini dihiasi dengan lukisan yang menarik seperti otak manusia.

Terdapat juga pondok telefon itu yang mempunyai hiasan yang unik seperti replika kincir angin.

Hiasan lukisan itu dibiayai oleh sebuah syarikat telefon tempatan.

Beberapa penduduk turut mengambil kesempatan dengan bergambar beramai-ramai di pondok tersebut.

Produk makanan daripada pokok gaharu

Posted: 22 May 2012 05:24 PM PDT



GAHARU dikenali di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan seperti chen xiang di China, jin-ko di Jepun dan oud di negara Arab.

Selain digunakan secara meluas dalam industri pembuatan produk wangian, tidak ramai yang mengetahui bahawa pokok gaharu mempunyai pelbagai kelebihan lain, malah mampu dikomersialkan.

Menurut Pengurus Besar Gaharu Technologies Sdn. Bhd., Nicklaus Ho, daun-daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau dan mempunyai keistimewaan lebih berbanding teh biasa kerana baunya yang wangi dan menyegarkan selain rasanya yang lazat.

"Teh gaharu yang harum secara tradisinya dikatakan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit seperti gout, kencing manis dan darah tinggi.

"Gaharu juga membantu peredaran darah dan menguatkan hati serta sistem saraf dalam badan," katanya kepada peserta rombongan Kembara Cuti-cuti 1Malaysia (KCC1M) 2012 - Jom Terokai Perak, Gopeng, Perak yang mengunjungi ladang berkenaan baru-baru ini.

Nicklaus memberitahu, teh gaharu diminati ramai kerana ia juga dipercayai mempunyai ejen antipenuaan dan membantu seseorang mendapatkan tidur yang lena.

"Teh gaharu dihasilkan dengan menggunakan 100 peratus daun pokok gaharu, tiada bahan pengawet, tiada perasa tiruan, bebas kafein secara semula jadi dan tiada pewarna," jelasnya.

Selain itu, minyak kayu gaharu pula dijadikan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan kosmetik kecantikan, manakala akar-akar gaharu pula digunakan dalam industri ubat-ubatan.

Berdasarkan sejarah, gaharu digunakan sejak 2,000 tahun lalu di negara Asia Barat, China dan Jepun.

"Di beberapa negara lain seperti di Arab Saudi, ia merupakan bahan berharga yang digunakan dalam bidang keagamaan serta menjadi persembahan kepada raja-raja sempena majlis-majlis tertentu," katanya.

Ladang skala besar

Tambah Nicklaus, Ladang Gaharu Tea Valley Gopeng menghasilkan 80 peratus daripada hasil pengeluaran kayu gaharu negara ini. Pembangunannya mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia melalui Jabatan Pertanian dan Perhutanan.

"Ladang gaharu di sini mula diusahakan sejak 20 tahun lalu melalui sokongan Envirotech Management Sdn. Bhd. (EMBS) yang telah memacu kejayaan Gaharu Technologies Sdn. Bhd. pada hari ini.

"EMBS mempunyai kepakaran dalam membangunkan ladang berskala besar dan skil pengurusan, manakala Gaharu Technologies Sdn. Bhd. mempunyai makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan kualiti pokok gaharu yang ditanam," katanya.


BISKUT gaharu ini bukan sahaja enak, malah berkhasiat kerana mengandungi kebaikan daun gaharu.


Justeru, sebahagian pokok gaharu di Gaharu Tea Valley sudah berusia sekitar 20 tahun dan menjadi tarikan ramai pengunjung terutamanya dalam kalangan kaum Cina.

"Orang Cina percaya dengan memeluk pokok gaharu, ia akan membawa tuah kepada si pemeluk. Mereka percaya bahawa bau wangi pokok gaharu adalah bau dari syurga dan akan membawa mereka lebih dekat kepada tuhan.

"Orang Islam juga menggunakan wangian minyak atar yang dihasilkan menggunakan minyak daripada kayu gaharu untuk beribadat," ujarnya.

Jika dahulu, minyak gaharu hanya digunakan oleh maharaja dan keluarga bangsawan, tetapi kini ia mampu dimiliki dan digunakan semua orang.

"Di dalam perubatan Islam juga, kayu gaharu dikatakan mampu mengubati banyak penyakit seperti sakit kerongkong, demam campak, penyakit kuning dan sebagainya," katanya yang banyak membuat rujukan.

Nicklaus menjelaskan, pokok gaharu merupakan spesies pokok terancam dan sebab itulah penebangan pokok tersebut dalam hutan semula jadi adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Oleh yang demikian, untuk tujuan komersial, ia perlu ditanam. Mereka yang berminat juga boleh menanam pokok ini di rumah masing-masing sebagai hobi kerana pokok gaharu mudah tumbuh di negara yang beriklim panas atau tropika," katanya.

Kedai runcit gaharu

Sejak Gaharu Technologies Sdn. Bhd. dibangunkan pada tahun 2008 untuk tujuan komersial, pelbagai produk makanan baharu menggunakan daun dan kayu gaharu sebagai bahan mentah dihasilkan.

Selain dibeli di ladang berkenaan, ia juga dijual secara dalam talian di laman webnya iaitu www.gaharu.com.my.

"Produk-produk yang dihasilkan di sini antaranya ialah teh gaharu, minyak gaharu, sup gaharu, cip kayu gaharu, biskut gaharu dan nougat.

"Kesemua produk ini mempunyai kebaikan semula jadi kayu gaharu dan amat baik untuk kesihatan sekiranya diamalkan dalam pemakanan seharian," ujarnya.

Nicklaus memberitahu, produk-produk berkenaan dijamin selamat dan enak kerana pokok-pokok gaharu di situ ditanam secara organik.

"Kami tidak menggunakan bahan kimia sebagai baja, sebaliknya menggunakan baja kompos daripada cacing tanah yang dapat menyuburkan tanah secara semula jadi.

"Sebanyak 19 peratus daripada hasil kayu gaharu juga dieksport ke negara-negara Asia Barat, Taiwan, Jepun, Hong Kong dan Korea. Kami juga sedang dalam perancangan untuk menembusi pasaran China," katanya.

Lawatan ke ladang

Keindahan panorama yang hijau dan menyejukkan merupakan pengalaman tidak boleh dilepaskan setiap kali berkunjung ke Gaharu Tea Valley Gopeng itu yang berkeluasan 120 hektar dan mempunyai kira-kira 200,000 batang pokok gaharu.


PELBAGAI produk gaharu yang boleh dibeli secara online di laman web rasmi Gaharu Technologies Sdn. Bhd.


Menurut jurucakap Jabatan Pemasarannya, Rohana Mat Zaini, Gaharu Tea Valley kini menerima kunjungan ratusan pelancong setiap hujung minggu. Mereka datang bukan sahaja untuk menikmati hidangan berkhasiat berasaskan gaharu, malah untuk menikmati pemandangan indah ladang berkenaan.

"Ladang ini dibuka setiap hari untuk lawatan. Pengunjung berpeluang membeli produk-produk makanan dan aiskrim yang antara lain menggunakan gaharu sebagai salah satu bahan utamanya.

"Ada juga pengunjung yang datang kerana mahu memeluk batang pokok ibu gaharu iaitu pokok gaharu tertua di sini kerana dipercayai mampu membawa tuah kepada mereka," katanya.

Bercerita lanjut, Rohana meminta supaya pengunjung yang datang tidak merosakkan batang pokok gaharu dengan menoreh nama atau perkataan pada batang pokok gaharu.

"Pengunjung yang berbuat demikian sekiranya ditangkap boleh didenda sehingga RM10,000. Kami amat mementingkan pemeliharaan pokok-pokok gaharu di sini kerana ia amat bernilai tinggi," katanya.

Menurut Ronana, cip kayu gaharu mampu dijual pada harga RM25,000 sekilogram dan harganya meningkat kira-kira 30 peratus setiap tahun.

"Daun teh gaharu boleh dituai bagi pokok-pokok yang sudah mencapai umur tiga tahun, manakala cip kayu gaharu yang terdapat dalam batang pokok gaharu boleh dituai apabila pokok mencapai umur matang iaitu lapan tahun," katanya.

Tambah Rohana, sebelum dikomersialkan, sampel-sampel daun gaharu berkenaan dihantar ke makmal Universiti Sains Malaysia (USM) untuk penyelidikan dan memastikan khasiatnya.

"Keputusan menunjukkan ia memberikan reaksi hampir sama dengan kesan ubat dalam pil kencing manis," jelasnya.

Berlatih bersama legenda bola sepak

Posted: 22 May 2012 05:19 PM PDT

BINTANG bola sepak (duduk dari kiri) Phil Neal, Viv Anderson dan John Barnes berjenaka bersama seorang kanak-kanak yang mahu mendapatkan autograf.


HAMPIR 100 orang kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 16 tahun berkumpul di Stadium Malawati, Shah Alam untuk bertemu dengan pemain bola sepak Liverpool Football Club, John Barnes dan Phil Neal bulan lalu.

Bukan mereka berdua sahaja yang hadir, malah kumpulan kanak-kanak itu turut dapat beramah-mesra dengan bekas bintang bola sepak Manchester United, Viv Anderson.

Acara klinik bola sepak yang dianjurkan oleh Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Standard Chartered) memberi pendedahan kepada kanak-kanak daripada pasukan yang berjaya mempertahankan kejuaraan.

"Tajaan kelab dan peluang membawa mereka ke sini untuk memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak merupakan detik yang terbaik bagi menghidupkan semangat kesukanan," kata Ketua Perhubungan Korporat Standard Chartered, Norliza Kamaruddin.

Kanak-kanak yang hadir pada hari itu terdiri daripada anak-anak klien bank, kakitangan kerajaan dan pengamal media.

Boleh disifatkan sebagai pengalaman sekali seumur hidup, mereka berpeluang mendapat tunjuk ajar secara terus daripada pemain legenda mengenai asas-asas bermain bola sepak, skil dan mengelecek.

Kanak-kanak yang hadir menzahirkan perasaan gembira, malah sudahpun teruja sebaik diberitahu bakal menyertai bengkel bola sepak itu.

Rata-rata daripada mereka terpesona dengan sifat humor yang ada pada pemain kelab bola sepak Eropah itu selain gembira kerana dapat mempelajari kemahiran bermain bola daripada bintang legenda.

"Kanak-kanak sangat bersemangat dan bersifat terbuka. Mereka sangat bagus dan saya kagum dengan kemahiran bermain bola sepak yang dimiliki mereka," kata Barnes.

Anderson yang turut bergembira sepanjang sesi bengkel dijalankan, menyifatkan bengkel tersebut sebagai sebuah memori indah untuk semua orang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved