ads

Ahad, 13 Mei 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Mentor 6: Ana Tersingkir, Anas & Tisha Ke Peringkat Separuh Akhir

Posted: 13 May 2012 09:49 PM PDT

Ana tidak kecewa disingkirkan kerana yakin telah memberikan persembahan yang terbaik.

SHAH ALAM: Protege Ana Syuhada tersingkir pada konsert Mentor musim keenam yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam Ahad.

Ana yang berada di bawah mentornya iaitu penyanyi Ramlah Ram itu terpaksa akur apabila dia gagal menambat hati juri dan penonton apabila hanya mampu memperoleh markah keseluruhan sebanyak 201 sekaligus membuatkan dia gagal mara ke peringkat separuh akhir.

Peserta dari Shah Alam itu menjadi peserta pertama dalam kumpulan A tewas kepada protege Faizal Tahir, iaitu Anaz Ridzuan, 23, yang memperoleh markah keseluruhan tertinggi sepanjang empat minggu iaitu 260.

Manakala protege Ferhad, Tisha, 26, pula mendapat markah sebanyak 220.

Ana ketika ditemui selepas konsert memberitahu dia telah melakukan yang terbaik untuk persembahannya itu namun redha apabila rezeki tidak berpihak kepadanya.

Anas yang berada dikedudukan selesa turut memberikan persaingan sengit kepada dua peserta lain.

"Tiada apa yang perlu saya kesalkan kerana telah memberi persembahan yang terbaik cuma sedih apabila tidak dapat bersama rakan-rakan lain dalam program ini.

"Bagaimanapun ini bukan pengakhiran buat diri saya kerana penyingkiran ini adalah satu pemangkin semangat buat saya untuk terus mengejar cita-cita," katanya kepada mStar Online.

Pada malam itu Ana mempersembahkan dua buah lagu iaitu Ingkar daripada Bunga Cinta Lestari dan Tentang Rasa nyanyian Astrid.

Dalam pada itu, juri tetap Mentor 6, Datuk Ramli MS berkata, secara keseluruhannya persembahan ketiga-tiga protege pada malam itu ada menunjukkan peningkatan namun mereka perlu lebih berusaha keras pada pertandingan seterusnya.

Ramli berkata, faktor pemilihan lagu yang sesuai adalah penting dan ia memberi impak kepada persembahan seserang peserta dan meminta protege dan mentor mengambil serius terhadap perkara itu.

"Seperti Ana suaranya bagus tetapi pemilihan lagu telah memberi kesan kepada persembahannya," katanya.

Juri tetap menyifatkan persembahan Tisha adalah yang terbaik pada malam itu.

Sementara itu, Ramlah berkata, sebagai mentor dia sentiasa yakin dengan protege pilihannya dan berjanji akan terus mendidik dan membantu Ana pada masa hadapan.

"Dia adalah seorang penyanyi yang baik dan lain daripada yang lain dan jika bakatnya tidak dibimbing adalah satu kerugian," katanya.

Sistem pemarkahan terbahagi kepada tiga iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus lagi daripada juri awam.

Selain Ramli, Datuk Sharifah Aini turut bertindak sebagai juri tetap.

Tawaran Berlakon Ieda (Moin) Semakin Kurang Gara Gara Kurus

Posted: 13 May 2012 09:17 PM PDT

Ieda memberitahu menyasarkan untuk mendapatkan kembali berat asalnya iaitu 42 kilogram.

KUALA LUMPUR: Pelakon komedi Siti Haida Abd Moin atau Ieda Moin mengakui kurang mendapat tawaran berlakon gara-gara menurunkan berat badan sebanyak 25 kilogram daripada 75 kilogram sebelum ini.

Ieda berkata, dia hairan dengan situasi tersebut namun menganggap mungkin pihak produksi tidak lagi melihat dirinya mempunyai unsur komedi apabila badannya sudah kurus.

"Saya pun agak hairan kenapa tawaran berlakon sudah kurang selepas berjaya menguruskan badan kerana sepatutnya ia lebih membuka ruang kepada saya sebagai pelakon.

"Mungkin mereka melihat saya tidak lagi sesuai untuk membawa watak komedi," ujarnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Ieda, dia tetap optimis dengan situasi tersebut dan menganggap ia bukan rezekinya buat masa ini.

Dalam pada itu Ieda memberitahu dia nekad untuk menguruskan badan bukan sahaja ingin kelihatan cantik tetapi memandang serius terhadap faktor kesihatan.

"Dulu sebelum kahwin saya berat badan saya hanya 42 kilogram dan selepas kahwin naik mendadak kepada 75 kilogram dan macam-macam penyakit timbul sejak itu.

"Alhamdulilah selepas turun 25 kilogram penyakit seperti darah tinggi dan saraf yang saya hidapi telah hilang dan saya jadi lebih bertenaga," katanya.

Ieda berazam untuk mengurangkan berat badannya sebanyak 10 kilogram lagi bagi mendapatkan bentuk asal fizikalnya seperti sebelum ini.

Dalam perkembangan lain dia sedang merancang untuk membuat kemunculan semula bersama adiknya iaitu Eddie Moin menerusi kumpulan Moin yang pernah dianggotai mereka suatu ketika dahulu.

Ieda bagaimanapun berkata, setakat ini hasrat itu hanyalah perancangannya dan berharap ia akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Gadai harta RM3j bayar ceti haram

Posted: 13 May 2012 09:15 PM PDT

ADU...Ghani membuat aduan kepada Yati.
ADU...Ghani membuat aduan kepada Yati.

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan hartanah kini pasrah apabila hilang projek bernilai RM11 juta sehingga terpaksa pula menggadaikan harta bernilai lebih RM3 juta gara-gara membuat pinjaman dengan along dan kini masih dikejar 58 along setiap hari bagi menuntut baki pinjaman berserta faedah sebanyak RM3 juta.

Itu pengajaran paling besar yang diterima usahawan berkenaan selepas memperjudikan nasib keluarga dengan meminjam sejumlah besar wang daripada ceti haram.

Lebih malang, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ghani, 47, itu turut berdepan kerenah melampau kumpulan terbabit yang meminta bayaran harian RM80,000 dengan nilai faedah mencecah 40 peratus sehari.

"Saya mula terjebak dengan along tiga tahun lalu apabila syarikat gagal memperoleh pinjaman bank untuk melaksanakan beberapa projek.


"Jumlah pinjaman ketika itu RM50,000 dan saya tidak pernah gagal melunaskan bayaran bulanan seperti di tetapkan along," katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Ganjaran RM10,000 tahan pembunuh ejen hartanah

Posted: 13 May 2012 09:14 PM PDT

KUALA LUMPUR: Wang tunai RM10,000 ditawarkan kepada mana-mana individu yang boleh menyalurkan maklumat tepat hingga tertangkapnya pembunuh seorang ejen hartanah wanita, Cheng Choi Mooi.

Ketua Pasukan Petugas MCA Kepong, Tan Kok Eng berkata, tawaran itu bagi menyatakan rasa simpati dan marah dengan kematian tragis yang menimpa wanita berusia 39 tahun itu dan berharap polis menjalankan siasatan terperinci hingga menemui pembunuh mangsa.


"Kami amat marah apa yang berlaku terhadap mangsa dan menawarkan RM10,000 kepada mana-mana individu yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pembunuh wanita itu," katanya.

Sementara itu, Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memberitahu setakat ini tiada sebarang perkembangan mengenai kes itu dan belum ada individu tampil menyalurkan maklumat.


Rabu lalu, seorang ejen hartanah wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar menemui pelanggan di Jinjang, di sini, ditemui mati dengan kesan jerut di leher serta kecederaan di badan dalam sebuah empangan di Hulu Yam, Gombak.


Mayat Cheng Choi Mooi, 39, ditemui orang awam jam 9 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dalam empangan terbabit.

Wanita kena jual

Posted: 13 May 2012 09:13 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tertipu dengan ajakan teman baru untuk berkenalan dengan sepasang suami isteri dari negara asal, seorang wanita warga India bukan saja dirogol, malah turut dijual kepada pasangan berkenaan untuk dijadikan hamba seks.

Difahamkan, teman baru mangsa adalah seorang lelaki rakyat tempatan berusia 30-an yang dikenali sejak Februari lalu.

Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 24 tahun dan berasal dari India dibawa lelaki terbabit berjumpa sepasang suami isteri yang berasal dari negara sama di Puchong pada Februari lalu kerana tidak mengenali sesiapa di Malaysia sebelum dibawa ke hotel di ibu kota untuk mandi.

Menurutnya, ketika berada di hotel, mangsa dipercayai diberikan sejenis minuman dipercayai dicampur dengan dadah yang menyebabkannya khayal sebelum dirogol lelaki itu.


"Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut merakam gambar bogel mangsa ketika dalam keadaan khayal. Mangsa kemudian dijual kepada pasangan suami isteri berkenaan kononnya untuk bekerja di salun rambut milik mereka.


"Bagaimanapun, pasangan itu tidak memberikan pekerjaan di salun rambut, sebaliknya diminta menjadi hamba seks di rumah pasangan itu," katanya.

Ning terus pujuk mama

Posted: 13 May 2012 09:10 PM PDT

pix_middle

KETABAHAN dan kepayahan hidup dialami wanita bergelar ibu tunggal, bukan asing buat pelantun vokal soprano ini meskipun tidak pernah merasai pengalaman itu.

Namun serpihan derita ibunya, Satila Abdullah, yang bergelar ibu tunggal lebih kurang 19 tahun lalu sudah cukup buatnya memahami pengorbanan wanita yang takdir hidup mereka sama seperti mana ibunya.

  • Foto

    BAHAGIA...Ning bersama ibunya, Satila yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada Ning.

  • Foto

    TEKUN...Ning diajar teknik menjahit tudung oleh cikgu menjahit yang diundang untuk mengajar ibu tunggal.

  • Foto

    PRIHATIN...Ning beramah mesra dengan Presiden Persatuan Ibu Tunggal Mas Merah, Kamariah.

"Emak saya selalu cakap: "Ma dah tiada siapa dah dan Ma dedikasikan hidup Ma ini untuk kamu," kata Ning dengan genangan air mata.

Akui Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Hamzah, 37, pengorbanan ibunya untuk membesarkan dia berkongsi saat suka dan duka, sampai bila pun tidak termampu dibalas. Yang hanya mampu dilakukan Ning untuk membuktikan kasihnya terhadap ibu adalah menghormati dan cuba untuk tidak melukakan hati ibunya.


"Saya sentiasa menjaga tutur kata dengan emak saya dan sangat bimbang jika dia terluka. Sepanjang hidup saya tidak pernah terlintas untuk memarahi emak.


"Misalnya, dua tiga hari lepas, emak saya terlupa di mana dia letakkan satu barang ini. Barang itu agak penting dan berharga juga tapi saya fikir tak payahlah setakat hilang barang-barang, sampai kita hendak marahkan emak.

"Mereka sudah tua kadang-kadang cepat terlupa. Barang yang hilang boleh dicari atau diganti tetapi kasih sayang ibu beri amat besar dan tidak ternilai. Jadi anak-anak hormatilah ibu juga bapa, bahagiakan mereka selagi ada hayat," katanya.

Rabu lalu, Ning membuat lawatan ke Rumah Ibu Tunggal Mas Merah beralamatkan No.2, Jalan SS1/43B, Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. Persatuan ibu tunggal itu diterajui oleh Sharifah Kamariah Syed Ibrahim, 74, selaku presiden.

Kunjungan itu adalah sebahagian aktiviti yang diaturkan pihak penganjur sebelum menjelangnya sempena Ratu Hatiku Mother's Day High-Tea, bakal berlangsung pada 20 Mei 2012 nanti di Hotel The Royale Bintang Damansara.

Ternyata, Ning begitu mengagumi kehalusan seni tangan ibu-ibu tunggal menjahit manik pada tudung serta hiasan bunga tangan yang dihasilkan mereka. Malah, dia sempat mempelajari teknik sulaman itu.

"Melihat ibu-ibu tunggal yang berada di sini mengingatkan saya kepada emak saya. Sepatutnya emak saya ada bersama pada hari ini tetapi dia ada urusan lain. Jika tidak, dia pasti gembira bertemu dengan mereka senasib dengannya.

"Memikirkan kepayahan yang dilalui emak, memang saya tidak sangka dia boleh setabah seperti hari ini. Seorang mualaf digantung tidak bertali untuk beberapa tahun dan status isteri kedua, bukan situasi mudah dilalui. Kalau saya barangkali boleh jadi gila.

"Namun, itulah kehebatan seorang wanita. Mampu membesarkan anak tanpa bergantung harap pada sesiapa, hanya berbekalkan kesabaran dan kecekalan.

"Setiap ibu terutamanya ibu tunggal layak ditempatkan di syurga. Saya pasti akan datang lagi ke sini bersama ibu," katanya.

Bukan sekadar satu lawatan, kunjungan itu juga turut dimanfaatkan dengan pemberian sumbangan tunai RM1,000 serta meja bernilai RM5,000 untuk dihadiri ahli persatuan berkenaan oleh ahli perniagaan, Datuk Nor Hasnal Hashmi.

Beralih pada persembahan berdurasi 45 minit yang bakal dijayakan, Ning akan mempersembahkan lagu malar segar seperti Ibu, dendangan asal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Kasihnya Ibu dan lagu-lagu hitnya yang menepati tema.

Ning turut meluahkan impian untuk berduet dengan ibunya kerana selama 19 tahun bergelar anak seni, ini adalah kali pertama dia berpeluang membuat persembahan di Hari Ibu dan mahukan ibunya meraikan bahagia itu di pentas bersamanya.

"Saya masih memujuk 'Ma' dan harap dia tidak menolak. Pada acara itu nanti saya juga mahu ibu-ibu yang lain menyanyi bersama saya," katanya.

Kepada peminat penyanyi popular dengan lagu Curiga, Awan Yang Terpilu dan Selagi Ada itu, tiket persembahan dijual pada harga RM180 (gangsa), RM280 (perak), RM500 (emas) dan VIP Platinum, bolehlah membuat tempahan dengan melayari www.tickethotline.com.my.

Selain Ning, majlis itu turut menampilkan khas Maulana dan Azrul Raja Lawak selaku pengacara.

Mengemaskini aktiviti seninya yang lain, pada 22 dan 23 Mei ini Ning akan membuat persembahan di Alexis Bistro, Great Eastern Mall, di hadapan jumlah peminat yang terhad. Manakala Jun nanti, vokal hebatnya bakal menggegarkan Hard Rock Cafe, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, dengan sebuah showcase istimewa.

"Perbincangan mengadakan showcase di Hard Rock Cafe itu masih dalam perbincangan namun, ia menunjukkan tanda-tanda positif untuk dilaksanakan. Saya memang menantikan peluang seperti ini kerana persembahan berskala kecil sebegitu mewujudkan keintiman antara saya dengan peminat," katanya.

Memahami, masa depan tidak boleh bergantung dengan menyanyi saja Ning membuat pelaburan dengan menjadi rakan kongsi sekali gus bertindak selaku duta kepada tiga produk iaitu Neubodi, Medishape dan Dr Backbone.

"Neubodi adalah produk pakaian dalaman wanita yang beroperasi di tingkat satu, Bangsar Village 2. Manakala Medishape pula, pusat penjagaan badan, sementara Dr Backbone, produk kesihatan untuk menjaga tulang belakang.

"Saya ingin berterima kasih kepada Chris (suami) di atas usahanya mencari peluang perniagaan buat saya selain menguruskan aktiviti nyanyian. Tanpa pengurus sukar sebenarnya untuk bergerak.

"Selain sibuk memenuhi undangan nyanyian sehingga penghujung Jun nanti sebelum berehat bagi menghormati Ramadan, tahun ini saya juga merancang untuk mempunyai anak tahun ini," katanya.

Tiket jam 2.30 gerak 4 petang

Posted: 13 May 2012 09:08 PM PDT

OPERASI...empat lelaki dipercayai ulat tiket berurusan dengan orang ramai di sekitar Hentian Puduraya.
OPERASI...empat lelaki dipercayai ulat tiket berurusan dengan orang ramai di sekitar Hentian Puduraya.

KUALA LUMPUR: Walaupun pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengatasi sepenuhnya kegiatan ulat tiket selepas projek menaik taraf Hentian Puduraya yang kini dikenali sebagai Pudu Sentral, di sini, namun ia belum menjadi kenyataan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kegiatan ulat tiket di situ bergerak aktif, tetapi dengan modus operandi lebih berhati-hati dan mendapati lebih enam ulat tiket lengkap dengan walkie-talkie cuba berurusan dengan orang ramai.


Kakitangan swasta, Razali Mokhtar, 43, berkata, beliau pernah 'terpedaya' dengan tawaran ulat tiket ketika ingin pulang ke Johor, baru-baru ini, menyebabkan terpaksa menunggu sehingga jam 4 petang walaupun bas dijanjikan untuk bergerak ke destinasi pada jam 2.30 petang.

Razali berkata, beliau tertarik membeli tiket selepas mengetahui tidak perlu ke TBS yang dikhususkan bagi pelepasan bas ke selatan, sebaliknya boleh menaiki bas ditawarkan ulat di Jalan Pudu.


"Mereka terlalu ramai di kawasan ini, walaupun pelbagai tindakan dilakukan pihak berkuasa, namun mereka tetap menjalankan kegiatan seperti biasa. "Selepas diperdaya ulat tiket itu, saya bertekad tidak mahu lagi berurusan dengan mereka," katanya.


Bagi seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Danial, 24, mendakwa dia pernah ditarik secara kasar oleh ulat tiket gara-gara enggan melayannya membeli tiket.

Pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awasta (IPTS) itu berkata, kebiasaannya dia terus menuju ke kaunter jualan tiket di situ, namun entah bagaimana dia melayan desakan ulat terbabit.


"Sebaik menolak secara baik, ulat terbabit terus berkelakuan agresif dengan menarik baju saya, namun mujur beberapa orang awam yang berada berdekatan memerhatikan perbuatan itu menyebabkan ulat itu melepaskan saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, usaha dilaksana pihaknya tidak mampu membasmi aktiviti haram ulat tiket jika tiada kerjasama semua pihak terutama syarikat bas dan penumpang.


"Kami hanya boleh mengekang dengan melaksana operasi penguatkuasaan secara berterusan, tetapi itu tidak langsung boleh membasmi kegiatan ini kerana selagi ada permintaan daripada penumpang, maka ulat terus menawarkan tiket untuk mereka," katanya.

Akhiri badi 20 tahun

Posted: 13 May 2012 09:06 PM PDT

LINCAH...pemain negara,  Nazli Shazril Irwan (depan) diasak pemain Pakistan, Javed Muhammad Aleem pada perlawanan akhir malam tadi.
LINCAH...pemain negara, Nazli Shazril Irwan (depan) diasak pemain Pakistan, Javed Muhammad Aleem pada perlawanan akhir malam tadi.

MALAYSIA mengesahkan status sebagai jaguh Asia selepas menang 2-1 ke atas Pakistan pada aksi sengit final Hoki Remaja Asia di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, malam tadi.

Sejarah baru dilakar skuad bimbingan Muhamad Dharmaraj Abdullah memecah badi 20 tahun selepas kali terakhir mara ke final pada 1992 dengan meraikan malam gemilang disaksikan lebih 8,000 peminat yang dianggap kehadiran luar biasa sejak kejohanan itu berlangsung 3 Mei lalu.


Faizal Saari mengesahkan dia bintang baru bertaraf dunia selepas melepaskan ledakan menarik untuk gol pertama negara seawal minit kedua.

Bagaimanapun Pakistan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-12 namun percubaan Muhamad Irfan berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Hazrul Faiz Ahmad Sobri.


Beraksi tanpa tekanan, skuad muda negara hampir menambah jaringan pada m-16 namun gerakan Mohamad Firhan Asaari yang hanya berdepan penjaga gol Mazhar Abbas gagal melakukan pukulan tepat ke muka gawang lawan.


Dendam dua kali kecewa termasuk final edisi 1992 dan kejohanan remaja Asia bawah 18 tahun pada 2009 nyata berbalas kali ini selepas Mohd Syamim Mohd Yusof menghadiahkan jaringan kedua negara pada m-17 perlawanan.

Jaringan itu membuatkan Pakistan, juara tiga kali, tersentak dan melakukan serangan balas mengejut namun mereka gagal melepasi benteng pertahanan negara.


Bagaimanapun anak buah Rana Mujahid hampir merapatkan jurang pada m-35 menerusi Muhamad Tousiq namun tolakannya melepasi palang gol ketika hanya berdepan Mohamad Hazrul Faiz.

Sebaliknya kegagalan lawan menyuntik semangat pemain negara yang hampir menambah jaringan pada m-38 namun percubaan Syamim berjaya ditepis Mazhar manakala susulan Faizal melambung tinggi.


Pakistan akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi Muhamad Irfan pada m-42 untuk menyuntik semangat menafikan juara milik Malaysia.


Sementara itu India berjaya meraih tangga ketiga selepas mengatasi Korea 2-1 menerusi aksi perlawanan sengit pada sebelah petang.


Lebih manis aksi 13 Mei kemunculan pemain negara mendominasi kecemerlangan kejohanan selepas penjaring terbanyak milik Faizal dan Yang Ji Hun (Korea) dengan enam gol manakala pemain terbaik perlawanan akhir Kavin Kartik (Malaysia), penjaga gol terbaik dan pemain terbaik juga milik Mohamad Hazrul Faiz.

Chloe, Emma makin dewasa

Posted: 13 May 2012 09:02 PM PDT

CANTIK...Chloe dan Emma kelihatan sama menawan.
CANTIK...Chloe dan Emma kelihatan sama menawan.
AKRAB...Chloe bersama Culkin, pelakon yang turut membintangi Hick.
AKRAB...Chloe bersama Culkin, pelakon yang turut membintangi Hick.

MEREKA sama-sama aktres muda yang menikmati kejayaan yang hanya dapat diimpikan oleh kebanyakan orang dewasa.

Bintang Kick-Ass, Chloe Moretz dan aktres Wild Child, Emma Roberts kelihatan semakin dewasa ketika ditemui dalam acara tayangan perdana filem Hick arahan Derick Martini di Hotel Crosby Street di New York.

Chloe, 15, yang melakonkan watak Luli, remaja berusia 13 tahun yang lari dari rumah dalam Hick nampak elegan berbanding usia sebenarnya dengan gaun vintaj bermotif bunga.

Emma, 21, pula tampil bergaya dengan gaun hitam berenda di pinggang dan hujung lengan.


Bintang lain Hick, Rory Culkin juga tidak ketinggalan muncul kasual dengan jeans, kemeja-T merah dan kemeja.


Chloe melakonkan watak Luli, remaja bermasalah yang melarikan diri dari kediaman treler ibu dan teman lelaki ibunya di Nebraska untuk pergi ke Las Vegas.

Di sana, dia menemui seorang penipu yang ramah dilakonkan oleh Blake Lively dan koboi lakonan Eddie Redmayne.

Bagaimanapun, perbezaan usia nampaknya mewujudkan masalah lain apabila terdapat khabar angin menyatakan keserasian antara Chloe dan Redmayne mungkin menimbulkan rasa tidak selesa sesetengah pihak.

Bercakap mengenai pemilihan watak filem, Chloe yang baru-baru ini mengesahkan akan mengambil watak utama dalam pembikinan semula filem Carrie menjelaskan bagaimana wataknya berubah daripada karakter sebenar dirinya.

"Ya, saya ada buat perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak, tetapi maksud saya, saya terdorong untuk melakukan perkara yang tidak akan saya lakukan selama ini.

"Saya perlu berbincang dengan pengarah dan menyemak tiga halaman nota mengenai psikologi karakter itu dan

pemikiran serta masa lampaunya. Rasanya ia serumit mempelajari mengenai genetik," katanya.

Berpacaran adalah perkara sensitif buat Chloe yang masih mentah dan masih mendapat perlindungan keluarga.

Dia memberitahu majalah Seventeen: "Memandangkan saya mempunyai empat abang, ia tidak mudah.

"Saya mempunyai ramai teman dan kawan lelaki yang comel, tetapi keluarga saya tidak menggalakkan saya berpacaran. Keluarga saya ramai dan mereka amat melindungi saya," katanya.

Chloe juga mengakui ibunya merampas telefon bimbit miliknya kerana dia ketagih bermain permainan video lebih teruk daripada budak lelaki.

Dia yang menjelaskan ibunya baru memberikan semula telefon bimbitnya berkata: "Ibu saya menyimpannya selama dua hari. Saya disuruh membaca buku, tetapi saya benar-benar mahu bermain Call of Duty.

"Bukannya saya membaca kisah panas dalam Cosmo...Tidak, saya ditangkap kerana bermain permainan video," katanya berseloroh.

Sementara itu, Emma Roberts yang berusia 21 tahun tentunya lebih banyak memperoleh kebebasan apabila menyentuh soal berpacaran. Dia dilaporkan menjalin hubungan dengan bintang Glee, Chord Overstreet.

Satu sumber sebelum ini memberitahu JustJared: "Mereka berada dalam haluan berbeza dalam kehidupan. Mereka semakin menjauh dan memutuskan untuk membawa haluan masing-masing."

Bagaimanapun, kedua-duanya menyedari mereka masih saling merindui antara satu sama lain dan memutuskan untuk memberi peluang sekali lagi kepada hubungan mereka.

100 produk PKS masuk Shanghai

Posted: 13 May 2012 09:01 PM PDT

PROMOSI...Saripuddin (dua dari kiri) memasak makanan Malaysia yang dijual di Tesco Shanghai.
PROMOSI...Saripuddin (dua dari kiri) memasak makanan Malaysia yang dijual di Tesco Shanghai.

SEBANYAK 100 jenis produk makanan dan minuman keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kini menembusi pasar raya besar Tesco di Shanghai, China menerusi program 'Taste of Malaysia' berikutan mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan di Tesco Beijing, tahun lalu.

Menerusi program berkenaan, 40 jenis produk PKS dari Malaysia dibawa masuk, manakala 60 lagi akan menyusul secara berperingkat dalam tempoh tiga bulan di rangkaian pasar raya besar Tesco di negeri itu.


Antara jenama Malaysia melepasi tapisan ketat pihak berkuasa tempatan di China itu termasuk Hang Tuah, Agromas, Pertima, Madura Industries dan Nevgel membabitkan penyertaan 25 pengeluar tempatan.

Program 'Taste of Malaysia' anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu adalah yang ke-13 diadakan sejak ia diperkenalkan pada 2005.


Menerusi program berkenaan, 2,220 jenama produk PKS tempatan kini dijual di pasar raya besar beberapa bandar raya utama dunia iaitu Singapura, Jakarta, London, Paris, Hong Kong dan Dubai.


Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Saripuddin Kasim berkata, matlamat utama program itu adalah untuk meningkatkan tahap sokongan kerajaan dalam mempromosi dan memasarkan produk keluaran tempatan di pasar raya luar negara.

Katanya, tiga lagi program sedemikian akan diperkenalkan tahun ini iaitu di Tokyo, Hong Kong dan China.


"Malah, saya difahamkan kejayaan jenama Malaysia di Tesco Beijing amat ketara apabila produk PKS bertambah kepada 144 jenis berbanding 100 produk sejak dilancarkan tahun lalu.

"Manakala jualan produk PKS di Tesco berkenaan turut meningkat sebanyak 224 peratus dengan purata jualan bulanan kira-kira RM6,000 tahun lalu," katanya pada sidang media selepas melancarkan program itu di Tesco Dahua, Shanghai.


Hadir sama, Konsulat Malaysia ke Shanghai, Hendy Assan; Timbalan Presiden Eksekutif Rantau China Timur Tesco (China), Raymond Su dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Sunghwan Do.

Senam tari inspirasi DNA

Posted: 13 May 2012 09:00 PM PDT

RANCAK...selain menari, DNA mencetuskan fenomena baru dalam senaman.
RANCAK...selain menari, DNA mencetuskan fenomena baru dalam senaman.
ASYIK...goyangan badan serta pergerakan tubuh dalam tarian memberi banyak kebaikan kepada peserta.
ASYIK...goyangan badan serta pergerakan tubuh dalam tarian memberi banyak kebaikan kepada peserta.

BERSAMA alunan muzik segar, sekumpulan anak muda menari mengikut langkah jurulatih tari di hadapan. Adakala perlahan, lama-kelamaan semakin rancak mengikut irama. Pelbagai jenis muzik ditampilkan termasuk hip hop, salsa dan jazz. Setiap langkah berbeza namun mampu diikuti peserta.

Pada wajah mereka tergambar keseronokan kerana mempamerkan aksi menarik. Walaupun ia hanya tarian, terdapat banyak manfaat diperoleh menerusi setiap liuk-lintuk pergerakan tubuh antaranya mengembalikan kelangsingan badan dan meningkatkan stamina.

Kini senaman tarian bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Celebrity Fitness yang mempunyai lebih 100,000 ahli di 30 cawangan di Indonesia, India termasuk Malaysia memperkenalkan cara baru mendapatkan bentuk tubuh menggiurkan.

Program dikenali sebagai Dance N' Attitude (DNA) adalah konsep senaman tarian yang membawa satu pengalaman berbeza dan menyeronokkan kepada peserta.


Menurut Pengarah Urusan Celebrity Fitness, Choi Kwang Ho, inspirasi DNA datang daripada pemerhatian kehidupan seharian dan gaya hidup yang bukan menjurus kepada senaman semata-mata tetapi gabungan unsur lain sesuai dengan kehidupan moden masyarakat kota.


"Konsep senaman DNA menawarkan empat jenis tarian berbeza iaitu Seduce, Raw, Insanity dan Flavor. Keempat-empat ini membabitkan gerakan tarian rancak dan perlahan seperti salsa, tango, flamenco, jazz dan hip hop," katanya pada majlis pelancaran DNA di Pusat Gimnasium Celebrity Fitness di kompleks beli-belah 1 Utama.

Ujarnya lagi, senaman tari ini boleh diikuti sesiapa saja terutama bagi mereka yang baru mula bersenam. Ini kerana dalam setiap sesi terdapat jurulatih berbeza yang akan menerangkan mengenai kebaikan setiap tarian.

Bagi jurulatih tari, Gillian Lee, tarian Seduce adalah pergerakan tarian yang diambil daripada penari latar penyanyi popular seperti J Lo, Beyonce, Lady Gaga dan Shakira. Sebab itu gerakannya lebih mengghairahkan kerana menonjolkan kesan seksi dan gerak menggoda.

"Kebanyakan peserta tampil malu-malu pada mulanya namun selepas dua atau tiga sesi barulah mereka menerima dan seronok dengan setiap goyangan badan serta senaman yang mampu mengembalikan bentuk tubuh.

"Kelebihan Seduce ialah pada goyangan perut kerana tarian ini bermula pada bahagian ini," katanya yang mendapat idea menghasilkan gerak tari menerusi Internet dan menggabungkannya dengan pengalaman sendiri.

Gerakan tari hip hop yang biasa dimainkan oleh pencinta sukan papan luncur ini pula diaplikasikan dalam kategori Raw termasuk R&B, House remix dan funk.

Menurut jurulatih tari, Sunny Cheong, pengalaman menetap di Melbourne, Australia memberi kelebihan kepadanya untuk mempelbagaikan pergerakan mengikut acuan semasa. Dia tidak hanya meniru seratus peratus tetapi menciptanya supaya menjadi lebih praktikal dan mudah diikuti.

"Bukan semua orang mampu menari dengan baik. Jadi apabila menghasilkan pergerakan mengikut alunan muzik saya akan pastikan ia mudah diikuti, paling penting setiap peserta seronok dan ingin datang lagi ke sini," jelasnya.

Cheung menambah, tarian rancak dan cepat ini mempunyai banyak kelebihan antaranya mampu membakar kalori serta menghilangkan tekanan selepas penat bekerja. Dalam masa 30 hingga 40 minit menari, peserta akan bereksperimen untuk mendapatkan mood sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

Kelincahan serta kemolekan gerakan salsa sehingga gerakan tarian latin seperti mambo, meringue, flamenco, tango dan cha cha pula mewakili kategori Flavor. Gerak tari yang ringkas, mudah dan menyeronokkan ini menjadi pilihan pelbagai peringkat usia untuk mencuba.

Insanity pula adalah gerakan rancak inspirasi daripada pergerakan pesta atau kelab malam. Tarian ini menggabungkan muzik pop moden dan kontemporari untuk rentak gaya bebas. Ia lebih ekspresif dan relaks.

Meskipun gerakan dalam setiap kategori sangat menghiburkan namun, ia tetap membakar sehingga 1,000 kalori pada satu-satu masa. Ini bererti jika dilakukan secara konsisten setiap kali berdansa DNA mampu membakar lemak hingga satu kilogram.

Kelas DNA boleh diikuti di semua cawangan Celebrity Fitness bergantung kepada jadual. Bagi mereka yang mendaftar sebagai ahli mendapat keistimewaan dengan menyertai kelas DNA secara percuma mengikut jadual yang sudah ditetapkan.

Usah bimbang sekiranya anda bukan seorang penari profesional kerana jurulatih bertauliah dan mesra akan melatih mengikut setiap tarian. Kepada yang berminat, boleh melayari www.celebrityfitness.com atau di www.facebook.com/CelebrityFitnessMalaysia untuk maklumat lanjut.

Cuba tanam anak hidup-hidup

Posted: 13 May 2012 08:57 PM PDT

KELUARGA Radhika yang miskin.
KELUARGA Radhika yang miskin.

NEW DELHI: Bapa seorang bayi perempuan berusia enam minggu, ditahan bersama bapa saudara bayi itu kerana dikatakan cuba menanamnya hidup-hidup.

Mereka dikatakan percaya dengan berbuat demikian akan dapat melindungi anaknya yang lain daripada penyakit.

Seorang pekerja di kawasan perkuburan di Pilkhuwa, 100 kilometer dari Delhi, membuat laporan polis apabila ternampak kedua-dua lelaki itu cuba menanam bayi itu, Radhika.

Dinesh Kumar, bapa Radhika dan adiknya mendakwa seorang guru agama mengarahkan mereka melakukan perbuatan itu sebagai usaha mengelak nasib malang keluarga itu selepas anak mereka meninggal dunia akibat sakit, tahun lalu.


Radhika, kini berusia dua bulan, dirawat di hospital kerana kekurangan air dan zat.


Dalam kes yang mungkin menjadi kes ketiga bulan lalu, seorang wartawan mengatakan ia berlaku kerana kemiskinan dan buta huruf, menjadikan orang ramai percaya kepada kepercayaan karut.

Ibu Radhika, Bharati Rani, menafikan terlibat dalam kejadian itu dan berkata: "Beritahu saya ibu mana yang sanggup membunuh anaknya sendiri?"

Penjaga kubur, Sriram Kore berkata: "Anda lihat sendiri bukti kubur digali."

Katanya bapa dan bapa saudara Radhika menggali kubur itu dan membuat upacara keagamaan.

"Mereka membawa bungkusan kecil, bayi perempuan yang sudah mati dan mahu menanamnya. Tapi, saya dapat lihat dia masih hidup, jadi saya cepat-cepat menelefon polis," katanya.

Setakat ini, polis masih belum menjejaki guru agama yang terlibat.

Di India, kanak-kanak perempuan masih dianggap sebagai beban kerana perkahwinan tradisi memerlukan hantaran yang besar dibayar kepada pihak lelaki apabila berkahwin.

Negara itu mempunyai kadar kematian kanak-kanak perempuan tertinggi di dunia.

Medan ekstrem

Posted: 13 May 2012 08:55 PM PDT

MENCABAR...tembok mendaki di TSLSA, Seksyen 13, Shah Alam.
MENCABAR...tembok mendaki di TSLSA, Seksyen 13, Shah Alam.

SHAH ALAM: Kewujudan Taman Sukan Lasak Shah Alam (TSLSA) di Seksyen 13, di sini, sejak lima tahun lalu bukan saja mencapai matlamatnya untuk menjadi medan kepada peminat sukan lasak menjalankan aktiviti mereka, tetapi secara tidak langsung ia turut menyuburkan perkembangan sukan itu di Selangor.

TSLSA yang dibuka pada 2007 hasil kerjasama Hikers Climber Adventure Team, Worldwide Holdings dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pelbagai aktiviti sukan lasak termasuk permainan papan selaju, memanjat dinding, litar permainan basikal BMX dan go-kart.


Pengurus Hikers Climber Adventure Team, Ahmad Nazri Ismail berkata, pihaknya dengan kerjasama Worldwide Holdings dan MBSA terpanggil untuk membuka TSLSA selepas menyedari warga kota memerlukan kelainan untuk bersukan.

  • Foto

    PANJAT...seorang pengunjung wanita mencuba aktiviti memanjat dinding di TSLSA.

  • Foto

    LUMBA...litar go-kart di Seksyen 13, Shah Alam.

"Sebelum membuka TSLSA, saya pernah membuka permainan memanjat dinding di Kompleks Muhibbah berdekatan Uptown Shah Alam," katanya ketika ditemui di TSLSA, baru-baru ini.


Ahmad Nazri berkata, tujuan pembukaan TSLSA ialah menggalakkan masyarakat khususnya generasi muda di Shah Alam menikmati keseronokan bermain sukan lasak.


Selain itu, katanya, penubuhan TSLSA selari dengan hasrat untuk memupuk remaja menceburi bidang sukan baru, sekali gus menjauhkan mereka daripada membuang masa melakukan perkara tidak berfaedah.

Di TSLSA, terdapat pelbagai permainan sukan lasak seperti permainan papan luncur, memanjat dinding, litar basikal BMX dan medan permainan kasut roda.


"Kami menyediakan pakej menarik kepada orang ramai untuk mencuba permainan lasak seperti memanjat dinding dan sambutan amat menggalakkan.

"Pada hujung minggu, anggaran pengunjung yang datang ke taman lasak itu 500 hingga 600 orang dan dalam tempoh sebulan menunjukkan lebih 2,000 pengunjung dan meningkat apabila musim cuti sekolah," katanya.


Menurutnya, permainan papan selaju yang mencabar dan menguji kemahiran adalah permainan popular di TSLSA.


"Ramai remaja bermain papan luncur di sini kerana kemudahan dibina menyajikan bentuk cabaran hebat," katanya.


Ditanya perancangan masa depan, katanya, pihak TSLSA akan memperkenalkan permainan paintball yang kini amat digemari.


Menurutnya, pihak TSLSA bercadang membuka lapangan permainan paintball dalam masa terdekat kepada pengunjung dengan harga berpatutan.


Sementara itu, Pengurus Bahagian Pemasaran City Karting Event Management, Muhammad Redhzuan berkata, permainan lumba go-kart di Shah Alam juga mendapat sambutan menggalakkan.


"Litar go-kart Shah Alam yang dibuka sejak 17 tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama peminat sukan ekstrem permotoran.


"Mereka mengambil masa hujung minggu untuk melepaskan penat lelah dengan bermain go-kart. Selain itu, ada juga kanak-kanak bermain go-kart.


"Kanak-kanak juga boleh bermain go-kart asalkan mereka mendapat izin dan pemantauan daripada keluarga selain pemantauan daripada kami," katanya.

Tugas sampingan hilang fokus guru

Posted: 13 May 2012 08:50 PM PDT

NOSTALGIA...tanpa mengira zaman, jasa guru dalam memberi pendidikan tidak pernah terbatas dan hilang.
NOSTALGIA...tanpa mengira zaman, jasa guru dalam memberi pendidikan tidak pernah terbatas dan hilang.

SAMBUTAN Hari Guru 16 Mei setiap tahun menjadi simbolik pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik yang tidak jemu melahirkan insan berjaya dan terbilang.

Sama ada pengetua, pensyarah atau guru semuanya berjasa biarpun zaman sudah menjengah alaf baru dengan pelbagai tanggung jawab yang kian sukar serta mencabar.

  • Foto

    TERIMA KASIH...kejayaan guru dalam melahirkan insan terbilang sukar dipertikaikan.

  • Foto

    JANJI KAMI...jadikan ikrar guru sebagai pemangkin semangat dalam melaksanakan tanggungjawab.

  • Foto

    GIGIH...guru mendidik dengan penuh sabar, justeru jangan sewenangnya melabelkan guru dengan tanggapan negatif.

  • Foto

    GEMBIRA...kegembiraan guru cukup telus apabila melihat pelajarnya berjaya.

  • Foto

    KAMI BERJAYA...di sebalik kejayaan pelajar, guru antara golongan yang bertanggungjawab membentuk kecemerlangan ilmu.

Malangnya, di tengah kelelahan golongan terbabit mendidik anak bangsa, masih ramai yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru hingga mencemarkan imej mereka.

Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman millennium.


Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan terbabit mengharungi dunia pendidikan era baru?


Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman millennium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan.

Beliau berkata, itulah cabaran utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai kerenah tidak terjangka dunia pendidikan global.

"Sebagai guru alaf baru, kerenah bukan saja merangkumi aspek pematuhan tugas dan dasar malah mengawal selia pelajar selain memastikan standard ditetapkan tercapai.

"Aspek itu bukan mudah kerana penanda arasnya sentiasa berubah selain menguji sejauh mana ketahanan guru.

"Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal," katanya.

Tahun ini, tema 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara' menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan guru menjana transformasi pendidikan selari tuntutan semasa.

Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini juga terpalit dengan isu luar jangkaan.

Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas menyebabkan ada menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan semata-mata tanpa sokongan komitmen tinggi.

Beliau berkata, biar apapun tohmahan dilemparkan, guru perlu meletakkan rasa tanggungjawab di tangga tertinggi selain memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.

"Ini membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus, pembentuk, pengajar dan pendidik kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara idola yang baik dan sering menjadi rujukan?

"Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan sabar menangani keadaan.

"Kebijaksanaan dalam berfikir dan menentukan tindakan perlu kerana masyarakat masa kini sangat peka," katanya.

Guru, katanya ada pelbagai kategori. Pertama, memang mahu menjadi guru dan mampu memberikan komitmen diri yang baik terhadap tugasan. Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan tidak mengharapkan balasan.

"Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat awal namun tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan profesion ini sebagai pilihan terakhir," katanya.

Pendapatan guru di negara ini juga, akuinya, tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di negara maju.

"Ini juga salah satu sebab mengapa ada kurang bermotivasi menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di luar negara, mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang profesional.

"Bagaimanapun jangan jadikan ia alasan bertugas sambil lewa. Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan jujur dan ikhlas," katanya.

Guru juga, akuinya, tidak boleh membandingkan kegemilangan zaman pendidikan dulu dan masa kini.

Menurutnya, setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan pengisian peristiwa serta cabaran berbeza.

" Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih baik berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan mengikut kesesuaian.

"Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza ialah bentuk cabaran perlu dihadapi.

"Setiap cabaran itu pula memerlukan formula dan pendekatan berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang sentiasa berkembang sekali gus membantu pelajar berjaya," katanya.

Mantan pengetua SMK Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun Mohd Hashim, bersetuju peranan guru hari ini semakin mencabar dan memerlukan kudrat tinggi untuk melaksanakan setiap tugas.

Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan peraturan sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur tangan masyarakat juga ibu bapa.

"Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses pendidikan dijalankan.

"Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar menjadi insan baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala hubungan juga mesra.

"Kini sudah berbeza dan menyedihkan. Guru, pelajar dan masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri," katanya.

Manakala mantan pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman (SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman millennium sangat mencabar kerana turut terpaksa memikul beban sampingan.

"Dulu guru hanya mengajar dan memantau masalah pelajar, tapi hari ini terpaksa berdepan 'permintaan lain seperti kerja perkeranian, kursus dan sebagainya.

"Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki akan terjejas sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati. Ini lari dari konsep pendidikan dan tanggungjawab guru.

"Sekali gus semakin menyukarkan usaha menjadi guru yang baik dan berkaliber," katanya.

Tam (Spider) Terkejut Klip Video Dituduh Tiru Filem Pendek

Posted: 13 May 2012 08:49 PM PDT

Tam akui terkejut klip video terbaru kumpulan Spider mirip sebuah filem pendek berjudul Signs.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Spider, Tam mengakui terkejut apabila konsep klip video terbaru kumpulan itu berjudul Tapi Bagaimana mirip sebuah filem pendek berjudul Signs.

Tam berkata, persamaan itu disedari apabila dia membuat perbandingan selepas ramai mendakwa mereka meniru konsep filem pendek berkenaan.

"Masa mula-mula tengok hasil klip video tersebut ingat ia adalah adaptasi daripada filem pendek berkenaan tetapi ia sebenarnya memang sama.

"Sebagai artis saya memang rasa terkilan sedikit dengan persamaan itu kerana saya mengharapkan sebuah hasil yang asli daripada pihak produksi," ujarnya kepada mStar Online pada Ahad.

Tam diminta mengulas apabila klip video terbaru mereka itu dikatakan meniru konsep dan jalan cerita filem pendek tersebut yang diarahkan oleh Patrick Hughes pada 2009.

Dalam pada itu, Tam berkata, pada awalnya dia tidak menyukai idea dan jalan cerita klip video berkenaan semasa ia dibentangkan oleh syarikat produksi Rotikaya Entertainment dan Universal Music Malaysia.

Antara babak dalam klip video Tapi Bagaimana yang didakwa meniru filem pendek tersebut.

Tam berkata, dia bagaimanapun memberikan kebebasan penuh kepada pengarahnya iaitu Khairul Hazwan untuk menentukan jalan cerita dan konsep yang mahu ditampilkan.

"Mereka adalah sekumpulan anak muda yang pertama kali ingin mengarahkan klip video dan saya teruja dengan kesungguhan mereka.

"Walaupun kurang menggemari dengan idea asalnya saya bersetuju kerana yakin dengan semangat mereka. Namun tidak sangka pula idea Tapi Bagaimana adalah persamaan sebuah filem pendek," katanya.

Bagaimanapun Tam tidak menafikan persamaan yang terdapat terhadap kedua-dua karya itu telah memberikan publisiti percuma kepada klip video berkenaan.

"Setakat tiga hari ia dilancarkan telah mendapat lebih 30,000 penonton dan itu adalah satu perkara baik walaupun lagu berkenaan telah lama dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangunan dan Strategi Perniagaan Rotikaya Entertainment iaitu Nor Hamzie Hambali ketika dihubungi menyifatkan persamaan Tapi Bagaimana dan Signs adalah satu kebetulan.

Signs diarahkan oleh Patrick Hughes pada 2009.

"Pada asasnya pihak kami tidak menyedari pun tentang kewujudan filem pendek tersebut yang didakwa sama dengan Tapi Bagaimana dan ia hanya kebetulan," ujarnya.

Nor Hamzie berkata, jalan cerita klip video itu dihasilkan berdasarkan lirik lagu tersebut tanpa menciplak mana-mana karya sedia ada.

Tambah Nor Hamzie, pihaknya bagaimanapun tidak terkilan dengan dakwaan tersebut namun akan memastikan mereka akan lebih berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karya supaya tidak dikatakan meniru produk sedia ada.

"Dalam jalan cerita klip video itu bukannya semua nampak seperti diciplak cuma sebahagian sahaja yang nampak seperti filem pendek berkenaan tanpa disangka dan ia hanya kebetulan," katanya.

Zizan Razak Dapat Iktibar Selepas Jatuh Sakit

Posted: 13 May 2012 08:48 PM PDT

Zizan akui lebih menitikberatkan kesihatan selepas insiden dia dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zizan Abdul Razak atau Zizan (Raja Lawak) baru terfikir dia tidak seharusnya terlalu kuat bekerja sehingga menyebabkan dirinya jatuh sakit.

Zizan berkata, kejadian dia dimasukkan ke hospital akibat keradangan pada otot baru-baru ini telah menyedarkan dirinya tentang kepentingan menjaga kesihatan.

"Kerja dan wang bukan segala-galanya kerana tanpa kesihatan yang baik kita langsung tidak mampu melakukan apa-apa.

"Saya terlalu seronok bekerja sehingga tidak memikirkan tentang kesihatan diri namun ia adalah pengajaran terbaik buat diri saya selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Zizan pada 29 April lalu telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai dekat sini akibat keradangan otot semasa bersiap untuk bertolak ke Ipoh bagi menyertai Karnival Jom Heboh.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tahap kesihatannya kini, Zizan berkata dia berasa lebih sihat selepas dapat berehat selama dua minggu dan doktor ada menasihatkannya supaya mengehadkan masa bekerja.

Malah akibat masalah itu pengurusnya Marina Juki telah menapis beberapa tawaran bagi memastikan Zizan mempunyai masa untuk berehat sebelum menerima tawaran baru.

"Alhamdulilah sekarang berasa lebih sihat dan segar tetapi perlu lebih prihatin terhadap kesihatan dan masa berehat yang lebih berkualiti," ujarnya.

Tambah Zizan, dia juga amat terharu dengan sokongan dan perhatian yang telah diberikan oleh rakan-rakanya sepanjang dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, Zizan berkata dia bakal kembali ke lokasi penggambaran filem Tokan yang sedang menjalani penggambaran di Melaka selain akan mengacarakan program Melodi seperti biasa selepas ini.

Album Baru Diharap Dapat Naikkan Nama Nurul Wahab

Posted: 13 May 2012 08:48 PM PDT

Nurul optimis album terbarunya bakal mendapat perhatian daripada peminat.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab berharap kemunculan album mini terbaru nanti akan melonjakkan kembali namanya.

Nurul, 35, berkata, dia sangat teruja dengan kemunculan album tersebut dan yakin peminat akan menyukai selepas kecewa dengan penerimaan album Tika Cinta yang diterbitkan pada 2009.

"Album ini dihasilkan dengan lebih teliti berbanding album terdahulu kerana saya ingin pastikan ia dapat diterima oleh peminat setia dan pendengar secara keseluruhan.

"Saya memastikan bukan sahaja produksi album tersebut dibuat dengan baik tetapi juga promosi dan pemasaran dilakukan dengan menggunakan landasan betul supaya ia tidak menerima nasib seperti Tika Cinta," ujarnya kepada mStar Online.

Memuatkan lima buah lagu iaitu Mari, Cinta Nurul, Selamat Jalan, Kerana kau Ada dan Takut Paranoia, album mini tersebut bakal dilancarkan pada hari pernikahannya bersama Eric Daniel Depp, 47, pada 6 Jun depan.

Dalam pada itu, Nurul memberitahu, album barunya itu diterbitkan sesuai dengan usianya kini selain mengikut perkembangan muzik semasa.

Dia menyuntik pelbagai elemen baru dalam album tersebut supaya peminat tidak mendapat karya sama seperti yang pernah diterbitkan sebelum ini.

"Keutamaan saya ketika menerbitkan album ini adalah saya mahukan melodi yang berbeza dan bukannya sama seperti yang pernah saya rakamkan 18 tahun lalu," katanya.

Mendapat kerjasama daripada Andi Merican, Nadia Aquila dan Don Mukri, Nurul berkata, komposer muda itu berjaya menghasilkan lagu yang dikehendakinya.

"Walaupun tidak menulis lirik lagu-lagu dalam album itu nanti tetapi penulis seperti Shah Shamsiri, Eenaz Mokhtar dan Sulu Sarawak telah berjaya menghasilkan karya yang sesuai dengan perjalanan hidup saya seperti mana dimahukan," ujarnya.

Sementara itu, Nurul berkata, album berkenaan diterbitkan sendiri olehnya dibawah syarikat NHW Productions Sdn Bhd menggunakan kos sendiri.

Dia juga turut merancang untuk menerbitkan album artis lain dibawah syarikat produksinya itu pada masa hadapan.

"Ini adalah permulaan yang baik selepas pelbagai rintangan dilalui sebelum ini dan Insya Allah semuanya akan berjalan seperti dirancang," katanya.

Ibu lambang kebahagiaan

Posted: 13 May 2012 08:44 PM PDT

pix_gal0
TERSENYUM lebar ibu Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011), Noor Haizan Jantan, 65, apabila anak tersayang, Fizz Fairuz membawanya ke kedai emas, Habib Jewel Sdn Bhd untuk melihat koleksi barang kemas terbaru.

Ibu mana tidak gembira apabila anak tersayang membuat kejutan sedemikian rupa. Dua beranak ini ketika ditemui leka membelek dan melihat barang kemas yang dipamerkan.
Namun yang berkenaan di hati sudah terlebih dulu dipilih Fizz, bagaimanapun dia enggan memberitahu koleksi mana menjadi pilihan kerana mahu membuat kejutan kepada ibunya pada Hari Ibu.
Dalam sibuk ditemu bual, sesekali sempat Fizz mengusik ibunya hingga tersipu malu 'orang tua' itu.

Kata Fizz, ibunya cukup popular dalam kalangan teman surau di kampung mereka di Raub, Pahang.

"Emak memang dikenali dalam kalangan penduduk kampung. Nanti apabila artikel ini keluar, mesti kawankawan emak akan mengusiknya bila dapat tahu cerita barang kemas," kata Fizz yang menjadi kebanggaan keluarga di atas kejayaannya meraih anugerah baru-baru ini.

Hadiah istimewa itu diberikan kepada Noor Haizan pada majlis makan malam sempena Hari Ibu. Memang sudah menjadi rutin mereka sembilan beradik meraikan Hari Ibu saban tahun.
Biasanya setiap kali Hari Ibu, mereka sembilan beradik termasuk ipar duai dan 16 cucu akan berkumpul beramai-ramai meraikan ibu tercinta. Jika sebelum ini, ibu hanya diraikan dengan makan malam saja, tetapi tahun ini lebih istimewa kerana hadiah misteri sudah pun menanti.

"Memang setiap tahun saya akan bawa seluruh ahli keluarga makan besar di hotel. Tidak ada seorang pun yang akan tinggal, semua dipaksa turun untuk bersama-sama meraikan emak," kata Fizz.

Sementara itu, senyuman Noor Haizan yang melebar tiba-tiba bertukar saat mengimbau kembali kemanisan tatkala anak tersayang diumum sebagai pemenang pada malam kemuncak ABPBH tanggal 8 April lalu.

Dia yang ketika itu sedang ralit menggosok pakaian, tidak menyangka penantian Fizz yang dipanggil Fairuz oleh ahli keluarga selama sedekad berhasil.

Ucapan syukur tidak henti meniti di bibir, manakala air mata menjadi peneman kala sendirian di rumah memandangkan semua anaknya yang lain berada di Genting Highlands memberikan sokongan kepada Fizz.

"Tahun ini Mak Cik tidak turut serta sebab tidak larat. Kalau tidak, sejak Fairuz dicalonkan memang Mak Cik pergi memberikan sokongan.

Mak Cik memang tak sangka dia akan menang kerana calon lain semuanya hebat belaka.

"Waktu dia popular dengan drama Nur Kasih dulu, Mak Cik sangkakan ketika itu dia menang. Selepas beberapa kali tewas, Mak Cik langsung tidak letak harapan lebih-lebih melihat persaingan tahun ini kuat. Jadi apabila namanya diumumkan, Mak Cik sangat terharu.

"Sebaik saja menang, Fairuz terus hubungi Mak Cik. Waktu itu Mak Cik tidak boleh berkata-kata langsung, sebaliknya kami berdua hanya menangis sebab ini adalah harapan ayah dia untuk melihat kejayaannya," kata Noor Haizan sambil menyeka air mata.

Fizz berkata, trofi itu tidak akan menjadi miliknya seandainya tidak didorong oleh perasaan sabar.

Paling penting, kata anak muda berusia 33 tahun ini, jangan mudah berputus asa.

Kata Fizz, walaupun melalui perjalanan yang sangat panjang dan sukar, tidak pernah sekali dia berputus asa. Formula ini mungkin boleh dijadikan contoh kepada generasi muda yang lain supaya tidak bersikap memilih.

"Kalah atau menang, saya tetap teruskan kerjaya.

Tidak pernah sekalipun saya berhasrat mengundur diri walaupun laluan saya dalam industri ini sangat mencabar. Saya juga tidak memilih watak. Walaupun watak kecil hanya tiga babak, saya tetap terima kerana di situlah saya dapat tunjukkan kebolehan untuk memikat penonton.

"Kalau tidak menang pula, kita kena tahu apa yang tidak cukup lagi pada saya sehingga peminat tidak memilih saya. Mungkin ada kesilapan pada lakonan yang peminat tidak puas hati. Semua itulah yang memotivasikan saya untuk perbaiki lagi diri.

"Selepas ini sasaran saya mahu menjadi pelakon terbaik pula. Siapa tahu rezeki saya untuk julang pula trofi Festival Filem Malaysia (FFM) dan Anugerah Skrin pula," katanya.

10 pasangan rebut gelaran juara

Posted: 13 May 2012 07:46 PM PDT

Berasa bertuah kerana terpilih sebagai 10 finalis Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3, kesemua pasangan muda ini sudah tentu mengharapkan kejayaan yang lebih besar.

Sasaran mereka sudah tentunya ganjaran lumayan yang keseluruhannya bernilai lebih RM300,000 termasuk sebuah kereta, pakej perkahwinan lengkap, barang kemas, barang elektrik, set sofa, rawatan spa dan pakej bulan madu.

Apa yang pasti pemilihan dilakukan dengan teliti agar hanya pasangan yang benar-benar layak memperoleh hadiah yang cukup lumayan itu.

Peraduan Gerbang Cinta Musim Ke-3 menyaksikan penyertaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai penaja utama bersama Dios Astana Bridal (busana dan cenderamata), Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Precious Moments (pelamin), D Sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi) dan Afidah Khamis Makeup & Stuff (jurusolek).

Turut menaja Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan), Suri Permai Spa (rawatan spa) dan Utusan Online.

1. BAGI pasangan yang kedua-duanya berasal dari Melaka ini, cerita perkenalan mereka sungguh unik.

Ini kerana perhubungan mereka telah dieratkan oleh resipi kek batik yang menurut Anis Sabrina Azman, 24, yang dibuat oleh Samsul Kahirul Samsuddin, 25, itu cukup sedap.

Menurut Anis, yang sememangnya seorang penggemar kek batik, kejadian tersebut berlaku pada hari raya pertama pada tahun 2010.

Sebaik sahaja menjamah kek batik yang dihidangkan, dia terus bertanyakan kepada emak Samsul resipi kek tersebut kerana rasanya yang sedap dan sedikit lain.

"Bermula daripada situlah saya sering berbual dengan Samsul kerana resipi kek batik itu saya peroleh daripada dia.

"Mungkin secara kebetulan, Samsul juga gemar makan kek batik. Malah dia sanggup belajar cara-cara membuatnya dan setiap kali raya, Samsul akan membuatnya sendiri," ujarnya.

Bercerita lanjut tentang hubungan mereka, Samsul mencelah, mereka sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan pada 18 Februari lalu.

Yang pasti pasangan ini terpaut antara satu sama lain disebabkan kejujuran dan juga keserasian dalam perhubungan mereka.

2. WALAUPUN terpaksa menanti hampir tujuh bulan untuk mendapatkan persetujuan menjalin hubungan dengan serius, sedikit pun tidak mematahkan semangat Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27.

Selain hati sudah terpaut, anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan, ini tidak dapat menafikan keinginan untuk mengenali dengan lebih rapat wanita yang bernama Nor Syafiqah Mohmed, 25.

Bagi Mohd. Firdaus, Nor Syafiqah memiliki ciri-ciri wanita idamannya.

Kerana itu juga dia tidak putus asa untuk memikat hati gadis kelahiran Batu Pahat, Johor itu.

Menurut Mohd. Firdaus, untuk memiliki sekeping hati kepunyaan Nor Syafiqah bukanlah mudah kerana 'permohonan' pertama untuk menjalinkan hubungan dengan lebih serius telah ditolak begitu sahaja.

Maka tidak hairanlah apabila dia sanggup menunggu sehingga enam tahun untuk mengikat tali pertunangan.

"Selain pemalu, Nur Syafiqah juga merupakan seorang wanita yang bukan mudah untuk didekati.

"Ini dapat dilihat melalui balasan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima, semua jawapannya ringkas sahaja.

"Yang pasti, saya tetap meneruskan keinginan untuk mencuba nasib walaupun tidak semudah yang disangkakan," katanya.

Bagi Nor Syafiqah pula, hatinya terbuka untuk menerima Mohd. Firdaus apabila melihat sisi lelaki itu berbeza jika dibandingkan dengan lelaki lain yang pernah dikenali.

Katanya, kejujuran yang ditunjukkan dalam perhubungan meyakinkan dirinya untuk menerima lamaran Mohd. Firdaus.

3. "KAMI memang dikenali sebagai pasangan sahabat yang akrab tetapi ketika itu hati saya belum terbuka untuk menerima salam persahabatan yang lebih serius daripada Zaidi," ulas Kapten Zazalina Ghazali, 26, ketika ditanya bagaimana perhubungannya bersama Lt. Mohd. Zaidi Mohd. Bishan, 26, bermula.

Menurut Zazalina, dia dan Zaidi saling mengenali sejak mereka sama-sama menyambung pelajaran di Akademi Tentera Malaysia (ATMA), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, hubungan persahabatan mereka hanya kekal sebagai sahabat hinggalah kali keempat Zaidi 'melamarnya'.

"Walaupun kami berkawan baik, tidak pernah sekalipun menyangka Zaidi ada menyimpan perasaan pada saya.

"Selepas tiga tahun menjalin persahabatan, Zaidi memberanikan diri buat kali keempat 'melamar' saya dan akhirnya atas restu keluarga, kami bertunang pada 4 Februari lalu.

"Sifatnya yang tidak mudah putus asa, memahami, berdikari dan cukup setia terutama ketika bersahabat menguatkan lagi kasih-sayang saya padanya," kata Zazalina lagi.

Bagi Zaidi, sifat tanggungjawab yang ada dalam diri Zazalina terhadap diri sendiri dan dirinya membuatkan dia jatuh cinta dan berusaha mendapatkannya.

4. "APA yang boleh dikatakan, saya sememangnya jatuh cinta pandang pertama sebaik sahaja melihat Wani," kata Amir Hashim (tentera), 26, menyingkap cerita awal perkenalan dengan tunangnya, Norsyazwani Md. Johari, (pelajar), 25.

Menyambung cerita, Amir yang berasal dari Muar, Johor berkata, walaupun sebelum ini belajar di sekolah yang sama, mereka berdua tidak pernah bertegur sapa dan hanya sekadar mengenali Wani adalah adik kepada rakan karibnya.

Bagaimanapun, tanpa diduga, perjumpaan semula pada tahun 2008 telah membuka ruang untuk dirinya mengenali dengan lebih dekat siapa Norsyazwani.

Jelas Amir, walaupun Norsyazwani dilihat seperti merpati yang kelihatan jinak tetapi hakikatnya dia merupakan seorang wanita yang begitu berhati-hati untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.

"Norsyazwani bukanlah wanita yang mudah didekati malah dia tidak terus memberikan persetujuan untuk menjalinkan perhubungan yang lebih serius.

"Walaupun begitu, ia sedikit tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan usaha malah ia membuatkan saya lebih bersemangat," tambahnya.

Ketika diajukan soalan kenapa terlalu susah untuk memberikan persetujuan, Norsyazwani berkata, dia harus berhati-hati agar tidak tersalah pilih pasangan hidup.

Pada masa yang sama, dia juga harus menilai sejauh mana kejujuran serta kesungguhan Amir dalam usaha menambat hatinya.

5. PERKENALAN sebagai rakan sekolah sejak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kemudian disusuli dengan rakan setugas di sebuah kolej swasta di ibu negara akhirnya menyatukan Anwar Abdullah, 26, dan Noor Amiera Alias, 24, dalam ikatan pertunangan.

Bagi pasangan ini, walaupun mereka sudah mengenali antara satu sama lain dalam tempoh yang agak lama, percaya atau tidak mereka tidak pernah menyimpan perasaan sehinggalah usikan rakan-rakan menjadikan ia kenyataan.

Baik Noor Amiera mahupun Anwar, perasaan sayang antara mereka wujud secara semula jadi tanpa mengetahui waktu sebenar ia berputik.

Bercerita lanjut, Noor Amiera berkata, perasaan sayang yang wujud meyakinkan dirinya dan Anwar untuk menjalin hubungan serius sejak dua tahun lalu sebelum mengambil keputusan bertunang pada Januari lalu.

"Persahabatan menjadi lebih akrab sejak kami bekerja di bawah satu bumbung dan kami juga boleh diibaratkan seperti belangkas kerana apa jua yang dilakukan pasti bersama hinggalah kawan-kawan sekerja yang lain mengusik.

"Awalnya saya sendiri tidak pasti bilakah perasaan sayang wujud. Namun memandangkan kami pasangan yang boleh 'ngam' dalam apa jua yang dilakukan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bersatu.

"Sudah pasti saya menerimanya sepenuh hati dan seadanya. Dalam masa sama saya tahu dia boleh menjadi suami yang baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya merapatkan lagi hubungan mereka dan secara tidak langsung mereka semakin mengenali hati budi masing-masing.

6. ANAK kelahiran Kedah ini tidak menyangka pertemuan mereka sewaktu belajar melahirkan perasaan suka antara satu sama lain.

Khairul Zulhimi Abu Bakar, 26, telah mengikat tali pertunangan bersama Raudhah Ismail, 25, pada 4 Februari lalu,

Sama-sama menyertai ko-kurikulum kursus Brass Band pada tahun pertama sewaktu belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dulu, menjadi detik permulaan perkenalan mereka.

Menurut Zulhimi yang sekarang berniaga sendiri, salah satu program dalam kursus tersebut membabitkan kerja berkumpulan dan dari situ mereka bertukar nombor telefon.

"Bermula di situlah saya mula berSMS dengan dia untuk cuba berkenalan. Tetapi hampa kerana mesej saya tidak berbalas. Akan tetapi, kehampaan itu hanya dalam dua tiga hari saja, perasaan saya kembali berbunga apabila dia membalas SMS saya.

"Rupa-rupanya dia kehabisan kredit untuk membalas mesej saya. Saya ingat dia memang tak nak berkenalan dengan saya," jelas anak ke lima dari tujuh adik beradik itu.

Bagi Raudhah yang berasal dari Muar, Johor, mereka jarang keluar bersama di saat perkenalan tetapi hubungan tetap erat kerana sifat saling bantu-membantu sewaktu susah dan senang.

"Sewaktu belajar Zulhimi yang banyak membantu saya, walaupun kami berlainan kursus di universiti, kami sentiasa bersama membantu mengulang kaji pelajaran saat menjelang hari peperiksaan.

"Masih ingat lagi hadiah pertama hari lahir saya, Zulhimi berikan patung 'totoru' yang sememangnya saya sangat suka.

"Dia seorang yang memahami apa yang saya rasa. Tempoh perkenalan kami selama empat tahun ini telah mematangkan diri masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai penyertaan dalam Peraduan Gerbang Cinta, mereka berkata, ia disarankan oleh ibu bapa Raudhah.

Mereka juga berharap dengan menyertai peraduan ini memberikan kenangan manis bersama dalam menempuh alam perkahwinan akan datang.

7. TERASA diri disayangi apabila saat terlantar di hospital dalam kesakitan mendapat kunjungan daripada individu yang tidak disangka-sangka sehingga membuatkan hati terpaut kasih.

Itu yang diceritakan Mohd. Afizal Aziz, 25, ketika ditanya bila pertama kali jatuh hati pada tunangnya, Noraini Abdul Karim, 25.

Berbeza pula bagi Noraini yang menganggap pertemuan itu sekadar lawatan biasa seorang rakan apatah lagi waktu itu dia sedang mengenali jejaka lain.

"Sebenarnya emak yang menyuruh dan ditemani seorang teman saya pergi melawat Afizal di hospital kerana menghidap demam denggi.

"Waktu itu saya masih tidak mempunyai apa-apa perasaan pada dia. Tak sangka pula dia ada hati pada saya," ujar Noraini sambil tersenyum.

Sejak kunjungan di hospital hubungan mula terjalin dan mendapat restu kedua-dua keluarga yang sememangnya sejak dari awal hidup berjiran.

Selain berjiran, pasangan ini merupakan rakan sepermainan dan pernah belajar di sekolah yang sama.

"Di sekolah dulu saya selalu mengusiknya. Tidak sangka pula sekarang kami sudah bertunang dan akan melangkah ke alam perkahwinan," kata Mohd. Afizal yang bertunang pada 20 November lalu.

Ditanya keistimewaan Mohd. Afizal yang memikat hati, Noraini berkata, jejaka tersebut pandai mengambil hati selain bertanggungjawab dalam apa jua tindakan yang dilakukan.

"Selain itu, dia selalu memberi kejutan. Sebenarnya, dia juga yang mengesyorkan untuk masuk Peraduan Gerbang Cinta ini," ujarnya.

Biarpun menyedari saingan sengit, pasangan ini tetap menaruh harapan untuk meraih kemenangan sekali gus dapat merealisasikan impian perkahwinan mereka.

"Terpilih sebagai 10 finalis pun sudah dianggap bernasib baik tetapi. Insya-Allah kalau ada rezeki tak ke mana ," kata Mohd. Afizal.

Apam bintik-bintik

Posted: 13 May 2012 07:42 PM PDT

SAYA ada satu pertanyaan. Dalam blog chef, ada resipi kek coklat bakar. Dalam resipi kek coklat bakar salah satu bahan yang chef sebut ialah krim (cream). Saya kurang faham pasal krim yang chef maksudkan. Adakah krim putar (whipping cream) atau krim lain? Harap chef sudi bagi penjelasan.

Ctzue

Jawapan

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis krim yang kita guna dalam masakan. Krim yang biasa digunakan dalam makanan adalah krim putar, krim topping dan krim masam.

Ini adalah krim yang biasa terdapat di pasar raya di negara kita.

Jika di luar negara terdapat krim yang dijual mengikut peratus kandungan lemaknya. Krim topping krim biasa digunakan untuk mengaising kek.

Untuk menggunakannya anda hanya perlu memukul krim itu sahaja sehingga ia menjadi kental dan selepas itu ia bolehlah disapa di atas kek.

Krim putar krim pula selalunya digunakan untuk memberi rasa lemak pada makanan yang kita buat. Makanan yang biasanya digunakan adalah seperti sup dan sos.

Krim putar juga digunakan untuk membuat sos manis dan aising untuk kek seperti chocolate ganache yang biasa disapu atas kek coklat.

Untuk pengetahuan puan krim yang saya gunakan dalam resipi aising untuk kek bakar di blog saya itu saya menggunakan krim putar.

Krim masam pula sering juga digunakan untuk membuat kek atau dituang ke atas kentang bakar (jacket potato). Anda boleh menggunakan krim putar dengan hanya memerah jus lemon atau cuka dan biarkan ia kental.

Soalan

Apa khabar chef saya ingin meminta chef berkongsi resipi apam polkadot (bintik) kerana saya suka makannya tetapi tidak tahu bagaimana ingin membuat apam ini. Harap chef dapat berkongsi. Terima kasih.

Jamilah Abd Rahman

Jawapan

Baiklah sebenarnya membuat apam polkadot tidaklah sukar tetapi apa yang anda perlukan adalah teknik yang betul dan memerlukan kesabaran apabila membuatnya.

Teknik membuat apam ini yang paling penting dan perlu diberi perhatian adalah ketika anda memukulnya.

Pukul semua adunan sehingga betul-betul kental. Gunakan mesin pemukul kek dan pukul semua bahan-bahan dengan kelajuan yang maksimum selama 8-10 minit.

Jika anda memukul dengan kelajuan sederhana anda memerlukan lebih masa. Keduanya adalah untuk mendapatkan apam polkadot yang cantik bintik-bintiknya.

Bahagikan adunan dan campurkan pewarna. Campurkan lebih sedikit pewarna agar warnanya terang dan menarik jika tidak apam anda akan kelihatan pudar.

Anda perlu gunakan beg plastik khas supaya mudah memaipkan apam polkadot yang telah anda bahagikan itu.

Tuangkan apam dalam acuan kertas sehingga tiga suku penuh sahaja. Bagi mengelakkan ia comot paiplah dengan cermat dan berhati-hati.

Teknik terakhir adalah apabila anda mengukus nya pastikan air itu dibiarkan mendidih dengan sederhana.

Perlahankan api kukusan dan jika anda menggunakan api yang besar wap yang keterlaluan akan menyebabkan apam yang anda kukus itu akan pecah dan tidak cantik. Diharap tip-tip ini dapat memberi sedikit panduan pada puan untuk membuat apam polkadot.

Tugasan akhir penuh penghayatan

Posted: 13 May 2012 07:41 PM PDT

Dinie Fitri Ridzwan dan pasangannya, Nurhafizah Mohd Noor membentangkan logo kumpulan mereka.

Meluahkan perasaan cinta pada insan yang disayangi di hadapan khalayak ramai sesuatu yang jarang dilakukan tetapi itulah pengalaman yang perlu dilalui oleh 10 pasangan finalis Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia Musim Ke-3.

Meminggirkan rasa malu, setiap pasangan berusaha setulus hati meluahkan perasaan sayang pada pasangan masing-masing dengan disaksikan berpuluh pasang mata lain.

Biarpun bukan sebahagian daripada tugasan khas sebaliknya acara spontan yang diberikan oleh penganjur, ia disahut dengan begitu sporting oleh para peserta.

Sesi tugasan akhir 10 pasangan finalis yang berlangsung pada hujung minggu lalu sememangnya padat dengan program-program ilmu dan amal.

Selain ceramah undang-undang dan rumah tangga, sebelah siangnya dipenuhi dengan program kunjungan amal ke dua rumah kebajikan iaitu Rumah Kanak-Kanak Tunku Budriah dan rumah orang-orang tua Rumah Seri Kenangan Cheras.

Di Rumah Kanak-kanak Tunku Budriah setiap pasangan diberi dua 'orang angkat' di mana mereka dikehendaki melakukan aktiviti bersama sepanjang berada di situ.

Selain beramah mesra, para peserta turut melakukan gotong-royong membersihkan kawasan rumah tersebut.

Ini diikuti sesi pembentukan kumpulan, mereka dikehendaki mencipta nama dan logo kumpulan serta bercerita mengenai tempat percutian impian 'keluarga' masing-masing.

Sebelah petangnya peserta dibawa melawat warga emas di Rumah Seri Kenangan, Cheras, Kajang, Selangor, untuk beramah mesra dengan 'ibu dan ayah' angkat yang terdiri daripada penghuni warga emas di situ.

Biarpun hanya beberapa jam berkenalan, kemesraan nyata begitu cepat terjalin antara anak dan ibu bapa angkat sehinggakan ramai yang menitiskan air mata tatkala saat perpisahan menjelma dengan iringan lagu Ayah dan Ibu secara beramai-ramai.

Herul Azrul Shafi, 28 dan pasangannya Nurul Hanim Abdul Malek, 28, mengakui banyak pengalaman baru tercipta sepanjang sehari mengikuti aktiviti di rumah kanak-kanak dan rumah warga emas.

"Di rumah kanak-kanak kami teruji kerana kanak-kanak di sini terdiri daripada mereka yang kurang perhatian dan kasih sayang selain latar belakang yang berbeza.

"Kami cuba mencari keserasian dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka melalui aktiviti yang dilakukan. Lagipun kami tiada masalah untuk mengawal mereka kerana sudah biasa dengan kerenah anak buah masing-masing," kata Herul Azrul.

Jelasnya, sama ada kanak-kanak mahupun warga emas apa yang penting semua akan berasa gembira apabila mendapat perhatian dan kasih sayang walaupun bukan daripada keluarga sendiri.

Sementara itu bagi, Mohd Firdaus Mohd Fauzi, 27, dan pasangannya Nor Syafiqah Syahirah Mohamed, 25, pengalaman melakukan aktiviti bersama kanak-kanak dan warga emas memberi banyak ilmu kepada mereka.

"Kanak-kanak di sini datang dari pelbagai latar belakang keluarga yang berbeza.

"Sedikit cabaran kepada kami untuk memahami dan memenangi hati mereka pada peringkat awal.

"Tetapi kesungguhan dan perhatian kami berikan kepada mereka berjaya membuat mereka rasa selesa dan timbul perasaan ingin lebih bermesra dan bersembang bersama.

"Seperti melakukan aktiviti berkumpulan kami lebih utamakan pendapat dan keinginan mereka supaya mereka rasa lebih dihargai," kata Mohd Firdaus.

Tambah mereka, ilmu yang diperolehi seperti melakukan aktiviti bersama kanak-kanak adalah gambaran sebenar yang akan dilalui apabila berkahwin dan mempunyai anak kelak.

Selain itu, ketika bersama warga emas terdetik rasa simpati dan kasihan dengan dugaan hidup yang terpaksa mereka tempuhi di usia sebegitu.

Bagi Dinie Fitri Ridzwan, 26, dan pasangannya Nurhafizah Mohd Noor, 24 mengakui kenangan meluahkan perasaan di khalayak ramai buat pertama kali akan sentiasa diingati oleh mereka berdua.

Ujar mereka berdua, walaupun pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa dilaluinya semasa mengendalikan warga emas dan kanak-kanak di rumah kebajikan merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

"Berinteraksi dengan warga emas agak mencabar kerana mereka kurang pendengaran dan perlu bertutur secara jelas dan sopan supaya tidak berkecil hati," kata Nurhafizah.

Tambah,sepanjang aktiviti yang dijalankan, banyak ilmu yang diperoleh dan boleh digunakan untuk menempuhi alam rumah tangga nanti.

Tip meraikan ibu Chef Zairul

Posted: 13 May 2012 07:40 PM PDT

CHEF Zairul Effendi menunjukkan sebahagian daripada hidangan 1Malaysia yang ditawarkan Hotel Swiss-Garden & Residences Kuala Lumpur sempena meraikan sambutan Hari Ibu tahun ini.

Sama ada anda meraikan hari tersebut dengan menghantar kad ucapan, bunga atau lebih terperinci dengan membeli hadiah, ibu pastinya cukup gembira biarpun sekadar menerima ucapan 'Selamat Hari Ibu' melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun, agak sukar untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menggembirakan ibu anda lebih-lebih lagi buat mereka yang pendiam.

Oleh itu, bagi mereka yang berpeluang meraikan hari tersebut, apa kata anda mencuba tip yang diberikan oleh Chef De Cuisine, Zairul Effendi Mohd. Nor, 38.

Ketika S3 bertemu dengannya di T@ste6, Chef Zairul sempat berkongsi pendapatnya mengenai sambutan Hari Ibu tanpa bunga, kad dan hadiah yang memerlukan belanja yang mahal.

Bagi Chef Zairul, kaedah terbaik untuk meluahkan rasa kasih dan sayang anda kepada ibu boleh disampaikan dengan mudah melalui masakan.

Walaupun kebanyakan keluarga meraikan hari istimewa ini dengan membawa ibu mereka keluar untuk jamuan makan malam, namun hidangan di rumah membolehkan anda membalas kasih sayang ibu yang pernah menyediakan ribuan juadah dari anda kecil hingga dewasa.

Bagi merancang hidangan sempurna, anak-anak terlebih dahulu perlu mengetahui jenis makanan kegemaran ibu anda.

"Contohnya, adakah ibu anda suka makan makanan laut, daging atau sayur-sayuran dan hidangan apa yang sesuai dihidangkan kepada ibu anda," katanya.

Beliau berkata, walaupun anak-anak sekadar menyediakan hidangan ringkas, menu yang dimasak penuh kasih sayang pasti menyelerakan seisi keluarga ketika menikmati hidangan tersebut.

Ditambah dengan suasana gembira, pastinya jamuan bersama ibu tersayang akan memberikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Berasal dari Ipoh, Perak Darul Ridzuan, Chef Zairul bersyukur mempunyai ibu yang gigih membesarkannya tanpa lelah, hanya demi anak-anaknya yang tercinta.

Insan yang dimaksudkan ialah Maimum Adnan, 58.

Katanya, air tangan ibu merupakan ubat paling mujarab tetapi apabila anak-anak hendak menyediakan masakan untuk ibu pastinya agak sukar.

"Saya juga berhadapan dengan masalah ini tetapi bagi pendapat saya resipi seperti Sea Bass with Lemon and Caper amat sesuai dihidangkan kepada ibu.

"Resipi ini dihasilkan berdasarkan makanan kegemaran ibu saya yang suka makan sesuatu yang ringkas seperti nasi dengan ikan.

"Hidangan seperti ini enak dimakan malah ia juga membolehkan anak-anak menjaga kesihatan ibu mereka kerana hidangan ini menggunakan kaedah panggang yang tidak berminyak," jelasnya.

Chef Zairul berkata, sambutan hari tersebut dilihat sebagai hari terbaik buat anak-anak meluahkan perasaan sayang kepada para ibu.

"Saya rasa Hari Ibu merupakan hari yang amat istimewa dan terkedu juga kalau tidak berpeluang menyambut hari ini.

"Sempena Hari Ibu 2012, saya berharap agar ibu-ibu di negara ini sentiasa menjaga kesihatan dan berada dalam keadaan sihat sejahtera.

"Jaga makan minum untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan kalau boleh jangan amalkan makan makanan yang berminyak dan berlemak.

"Saya percaya ramai ibu-ibu telah gantikan makanan mereka daripada makanan segera ke makanan organik yang lebih sihat," ujarnya.

Tambahnya, makanan terbaik untuk para ibu ialah amalkan makanan berulam dan sayur-sayuran hijau untuk merendahkan kandungan kolestrol dalam badan.

Kesempatan yang ada, Gaya Chef mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu di Malaysia.

Semoga mereka diberkati dan lebih tabah dalam mengharungi onak duri kehidupan mendidik anak-anak ke jalan yang benar dan diredhai-Nya.

Manakala kepada anak-anak pula, ingatlah jasa seorang ibu dan sentiasa mendoakannya.

Imej haiwan serlah sifat kemanusiaan

Posted: 13 May 2012 07:39 PM PDT

Karya Abandoned mengupas isu-isu pembuangan bayi dan ia dihasilkan menggunakan media cat akrilik di atas papan.

KARYA lukisan mementingkan unsur garisan untuk membentuk imej sesuatu subjek seperti tubuh manusia atau haiwan.

Melihatkan hal yang demikian Najib Ahmad Bamadhaj, 25, menghasilkan karya haiwan yang hampir pupus sebagai gambaran utama kepada lukisannya.

Beliau yang senang dipanggil, Najib bijak menggabungkan isu realiti ke dalam sesebuah karya dengan prinsip bergaya seni jalanan (street art).

Malah secara tidak langsung, Najib turut berjaya mencipta sebuah siri kerja berdasarkan identiti tersendiri.

Menjadi kebiasaan bagi seniman berkarya di atas kanvas, Najib mencuba kaedah lain dengan mencalitkan hasil tangannya ke atas papan yang disusun mengikut saiz yang dikehendaki.

Keringkasan karya-karyanya itu biarpun dilihat mudah dihayati, ketika berbual dengannya barulah penulis mengetahui maksud tersirat yang ingin disampaikannya kepada pengunjung Galeri Chandan.

Najib berkata, kandungan karya ini membawa maksud yang tersendiri, bergantung kepada mereka yang menilainya.

Namun keberaniannya untuk mengetengahkan karya tersebut meletakkan artis yang baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia seni ini mencipta nama di persada seni tanah air.

Teknik-teknik lukisan berus seni kontemporari yang dihasilkannya itu berkonsep artistik. Bagaimanapun, pada pendapatnya kelainan yang ingin diketengahkannya bukan semata-mata terletak pada haiwan tersebut tetapi isu-isu yang ingin dikupasnya secara sinis.

"Haiwan-haiwan yang hampir pupus ini bukanlah haiwan yang sering dibela manusia seperti kucing, sebaliknya ia adalah beruang panda, harimau dan badak Sumatera.

"Saya cuba menghasilkan sebuah karya berfigura haiwan yang kontras dengan isu-isu seperti pembuangan bayi.

"Mereka yang buang bayi tidak ada sifat perikemanusiaan, sebab itu saya gunakan imej haiwan untuk menyelar golongan tersebut," jelasnya.

Sebagai sumber inspirasi yang dilukis dalam kebanyakan karyanya, ia sebenarnya diilhamkan sejak beliau berada di alam pengajian lagi.

"Ketika masih belajar, saya telah menghasilkan karya-karya seperti ini sejak empat tahun yang lalu.

"Selain itu, saya gemar berkarya menggunakan bahan-bahan medium campuran, bergantung kepada gambaran haiwan yang saya kaitkan dengan isu-isu negatif," Najib.

Di samping itu, beliau berharap agar masyarakat di negara ini lebih peka terhadap isu-isu sedemikian, selain menyayangi haiwan-haiwan yang hampir pupus agar generasi akan datang berpeluang melihatnya.

Sajian stik pelbagai potongan

Posted: 13 May 2012 07:39 PM PDT

MELANGKAH saja kaki ke El Toro Butchery and Grill yang terletak di Subang Avenue, terasa santai dengan dekorasi berwarna merah diselang-seli papan hitam yang memberikan penerangan mengenai bahagian badan lembu.

Sesuai dengan nama El Toro yang bermaksud lembu jantan, restoran yang mula beroperasi Julai tahun lalu menghidangkan makanan Barat berasaskan daging sebagai menu utama.

Kedatangan penulis yang disambut dengan hidangan Soup of the day bersama-sama dengan kepingan roti sememangnya membangkitkan selera dengan aromanya yang memikat.

Supnya yang pekat dengan rasa unik, enak apabila dicicah dengan kepingan roti memberikan kelainan.

Lebih menarik, sebelum membuat pesanan, pelanggan boleh memilih daging segar yang dipamerkan dalam peti sejuk sebelum dimasak oleh chef dan dihidangkan.

Pemiliknya Adrian Sani berkata, dengan memilih sendiri pelbagai jenis daging yang ditawarkan seperti wagyu, black angus, grain fed beef, rib-eye, sirloin dan tenderloin, pelanggan akan lebih puas hati.

"Ia khusus untuk stik yang dimasak sama ada rare, medium rare, medium, medium well atau well done.

"Semua daging saya beli segar daripada pembekal yang membekalkan daging yang dibungkus secara vakum dari Australia dan New Zealand.

"Di sini pelanggan bukan saja boleh memilih daging untuk dimasak dan dimakan terus tetapi juga boleh membeli daging segar untuk dimasak di rumah," katanya yang lebih 10 tahun berkecimpung dalam industri berkenaan.

Jelas Andrian, pelanggan boleh memilih stik yang dihidangkan dengan kentang goreng dan salad yang ditabur dengan hirisan keju.

Jika pelanggan mahukan sesuatu yang yang lebih ringan, mereka boleh mencuba beef roll iaitu kepingan nipis daging dengan inti keju, hirisan asparagus dan lobak merah yang digoreng menggunakan marjerin atau minyak zaitun.

"Baunya yang harum hasil adunan daging goreng dan keju menjadikannya antara hidangan yang diminati pelanggan," katanya yang sebelum ini membantu rakannya membuka restoran konsep Barat di Kuala Lumpur.

Selain stik, pelanggan juga boleh memilih hidangan lain seperti burger kambing, hotdog dan grilled chicken chop selain menu sampingan seperti meatballs with fries.

Malah bagi mereka tidak makan daging, El Toro juga menyediakan makanan laut seperti pan fried salmon in teriyaki sauce.

"Pelanggan boleh memilih pelbagai hidangan dengan harga bermula RM15 hingga lebih RM150," katanya.

Mereka yang ingin merasai pilihan jenis daging daripada wagyu sehingga ke tenderloin untuk stik, apa kata berkunjung ke El Toro untuk merasai perbezaannya.

Safari buru pembuka penutup

Posted: 13 May 2012 07:38 PM PDT

KOLEKSINYA turut terdiri daripada jenama air minuman popular seperti Coca Cola, Pepsi, F&N dan Yeo's.

WALAUPUN memiliki sebuah kedai menjual barangan antik yang diusahakan keluarganya, Mohd. Safari Yusof bertegas tiada siapa yang boleh mengusik koleksi kesayangannya, pembuka penutup botol.

Berbanding barangan antik lain yang berada dalam kedainya, Ipoh Loken yang terletak di Anggerik Mall, Shah Alam, koleksi kesayangannya itu mempunyai fungsi yang ringkas iaitu sekadar membuka penutup botol tetapi tetap dianggap paling berharga baginya.

Mengagumkan, Safari masih ingat setiap koleksinya yang berjumlah hampir 400 buah yang pelbagai bentuk iaitu bagaimana serta bila dia memperolehinya.

Kegilaan mengumpul pembuka penutup botol yang berasal dari kira-kira 40 buah negara berbeza itu, cerita Safari, semuanya bermula secara tidak sengaja pada 1985.

"Saya membeli pembuka penutup botol yang pertama ketika itu untuk kegunaan sendiri di rumah kerana pada zaman itu banyak air minuman dalam botol yang dijual berbanding sekarang yang berbentuk tin.

"Kemudian, saya menemui penutup pembuka botol yang lebih cantik daripada yang telah saya beli ketika berjalan-jalan lalu terus mendapatkannya.

"Semakin banyak saya berjalan, makin banyak pembuka penutup botol yang unik dan cantik saya temui membuatkan saya seronok untuk mengumpulnya," cerita Safari ketika ditemui di Garage Sale di Anggerik Mall, Shah Alam yang diadakan setiap Ahad.

Terang Safari yang berasal dari Ipoh, pemburuan koleksinya itu semakin rancak apabila dia kerap ke luar negara untuk bercuti mahupun kerana urusan kerja iaitu di Korea, Hawai, Los Angeles, Australia, Jepun, Indonesia, Thailand dan banyak lagi.

Rakan-rakan dan keluarga terutama isterinya bekas pramugari amat menyokong hobinya itu dengan mendapatkan pembuka penutup botol untuknya setiap kali mereka ke luar negara.

Ada antara pembuka penutup botol simpanan Safari boleh dikatakan antik dan diperolehinya di pasar-pasar barangan antik seperti di Loken, Ipoh malah ada dari kedai Cash Converter.

Safari turut memiliki pembuka penutup botol yang mempunyai logo produk minuman F&N yang kini telah berkarat kerana dimamah usia daripada bapanya dan ia meninggalkan memori tersendiri kerana ketika kecil, dia sering melihat pembuka penutup botol itu digunakan di rumahnya.

Antara koleksi yang paling disayanginya pembuka penutup botol berupa replika penyodok yang disadur emas dari New Zealand kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.

Pembuka penutup botol yang ditemuinya di pasar Loken, Ipoh itu adalah replika penyodok yang digunakan ketika misi pencarian emas di Coromandel, New Zealand pada 1852.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved