Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Remy Ishak Tidak Bimbang Kecederaan Di Dahi
- Linda Onn Bahagia Ditemani 1.5 Juta Pendengar
- Adele Tidak Kemaruk Populariti
- Kristen Stewart Gemar Memandu Kereta
- Erra bahagia
- Kamkorder lasak
- Anang, Ashanty Sah Bergelar Suami Isteri
- UPM Anjur Ekspo Kerjaya 2012
- Beraksi ghairah: Nora Danish dikritik!
- Eric Depp tawan hati Nurul
- Sharnaaz: Saya manusia biasa
- Suria FM catat 2.9 juta pendengar
- Jason Mraz gegar Stadium Merdeka 19 Jun ini!
- Perangi Sihir kongsi ilmu perangi anasir jahat
- Sam dan Mon saling mengagumi
- Sanggup kongsi duit beli dadah
- Janda dicekup khalwat
- Dira sudah bersedia
- Dayang Nurfaizah sukar cari lagu balada
- Kaki Ji-hyun berotot
- Penantian 11 tahun No Doubt
- Ekpektasi Dark Shadows
- Artis dedah rahsia dalam bilik
- Saham sensasi Rusdi Ramli
- Anis jelmaan Saloma
Remy Ishak Tidak Bimbang Kecederaan Di Dahi Posted: 12 May 2012 06:50 PM PDT ![]() PETALING JAYA: Aktor Remy Ishak berkata dia tidak berasa bimbang atau mengambil serius kecederaan di bahagian dahi yang dialaminya ketika penggambaran filem Bravo 5 pada malam Jumaat. Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, ia bukan alasan untuk membatalkan komitmen kerja walaupun luka itu kelihatan dalam akibat tujahan senapang ketika babak kejar-mengejar yang dirakamkan di Tapah, Perak itu. "Ramai yang kata luka pada dahi saya agak serius dan dalam tetapi saya tidak mahu ia menjadi alasan untuk tangguhkan penggambaran dan kerja lain. "Saya tidak bimbang dan tiada apa yang serius. Selepas ia berlaku, kami berehat kira-kira 10 minit untuk menghentikan pendarahan dan hanya menampal dengan plaster sebelum menyambung penggambaran," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Sabtu. Bercerita mengenai kejadian itu, Remy berkata ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa (timing) ketika penggambaran babak yang membabitkannya dan Beto Kusyairy. "Perkara sudah hendak jadi, saya tidak salahkan sesiapa pun. Kami pun tidak sangka ia berlaku kerana ketika sesi latihan, semuanya berjalan dengan lancar. "Ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa di mana, muncung senapang Beto telah tercucuk ke arah dahi saya secara tidak sengaja," hurainya. ![]() Bagaimanapun, kata Remy, demi filem itu dia sanggup menggagahkan diri dan meneruskan penggambaran sehingga selesai. "Saya tidak mahu batalkan penggambaran kerana ia akan membabitkan banyak pihak. Kebetulan pula, babak itu adalah yang terakhir untuk penggambaran bagi hari itu (Jumaat). "Hanya selepas semuanya selesai kira-kira pada pukul 2 pagi, baru saya mendapatkan rawatan di hospital askar di sana tetapi masih tidak dapat melakukan jahitan kerana ketiadaan pakar," katanya. Ujar Remy, walaupun luka itu belum dijahit dia tetap menghadiri sebuah program konvoi bermotosikal pada pagi Sabtu dan hanya mendapatkan rawatan susulan pada sebelah petang. "Saya terpaksa tangguhkan rawatan kerana temu janji dengan doktor hanya akan berlangsung pada sebelah petang (petang Sabtu). "Malah, saya sempat menyertai program konvoi bersama Dira Abu Zahar & Red Garage pagi tadi. Saya akan ke hospital pakar di Kuala Lumpur pada petang ini untuk mendapatkan rawatan lengkap," ceritanya. Bravo 5 yang diarahkan Yeop Hitler itu berkisar mengenai perjuangan askar Melayu dalam menentang kemaraan Komunis. Filem epik peperangan itu dijangka menamatkan penggambaran dalam masa terdekat. | |||
Linda Onn Bahagia Ditemani 1.5 Juta Pendengar Posted: 12 May 2012 06:48 PM PDT ![]() PETALING JAYA: Penyampai radio Linda Onn mengakui dia berasa bahagia kerana dapat membawa perubahan dan peningkatan kepada stesen radio Suria FM selepas hampir tiga tahun menyertainya. Pemilik nama sebenar Rozlindah Onn, 34, berkata peningkatan jumlah pendengar keseluruhan secara mendadak iaitu 2.9 juta pendengar berbanding 2.3 juta pada tahun lalu, membuktikan kerja keras mereka semakin membuahkan hasil. "Saya bangga dan gembira dengan pencapaian yang dikecapi Suria FM. Segala usaha dan kerja keras kami untuk menarik lebih ramai pendengar semakin membuahkan hasil," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Keputusan liputan pertama 2012 bagi pengukuran pendengar radio Nielson yang dikeluarkan baru-baru ini, mendapati segmen Ceria Petang di Suria kendalian Linda mengungguli slot petang di kalangan stesen radio swasta dengan peningkatan sebanyak 25 peratus iaitu 1.5 juta pendengar. Linda berkata, sejak peningkatan jumlah pendengar itu dia dapat merasai semula pengalaman ketika bertugas di stesen-stesen radio sebelum ini. "Ketika menyertai Suria FM kira-kira tiga tahun lalu, pendengarnya tidak begitu ramai, kira-kira 690 ribu saja. Namun, ia tidak melemahkan semangat saya untuk berusaha menarik pendengar seramai yang mungkin. "Alhamdulillah, kini kami semakin meningkat dan mencecah 1.5 juta pendengar bagi segmen petang. Saya dapat merasai semula kemeriahan berada di konti seperti di stesen-stesen radio sebelum ini," kongsinya. Ditanya mengenai perkembangan kerjayanya di Suria FM, Linda berkata sokongan dan kepercayaan warga kerja stesen itu membuatkan dia sudah lupa pada kisah pahit yang dialami di beberapa stesen radio sebelum ini. "Keluarga Suria FM membuatkan saya bahagia dan gembira di sini. Saya dapat melupakan memori hitam yang saya lalui ketika berada di stesen-stesen radio sebelum ini. "Mereka (Suria FM) sentiasa memberikan kepercayaan dan kebebasan kepada saya untuk menarik lebih ramai pendengar," ujarnya. Sebelum ini, pada Disember 2008 Linda pernah dipindahkan ke radio Sinar FM daripada Era FM tanpa alasan yang kukuh sehingga menyebabkan penyampai itu berasa tawar hati dan terkilan dengan pengurusan radio Airtime Management & Programming (AMP). Susulan itu, Linda menerima lamaran Suria FM dan mula berkhidmat untuk slot petang bermula Januari 2010. | |||
Adele Tidak Kemaruk Populariti Posted: 12 May 2012 06:48 PM PDT ![]() LOS ANGELES: Penyanyi dan pemenang anugerah Grammy, Adele menegaskan dia tidak peduli atau kemaruk mengenai aspek populariti dirinya. Penyanyi berusia 24 tahun itu mengakui, dia tidak berminat untuk terlibat dalam sebarang acara yang bertujuan meraikan kejayaannya dalam bidang muzik. "Saya tidak mahu menjadi selebriti... Saya tidak mahu menjadi kegilaan orang ramai," katanya seperti dipetik laman usmagazine.com. | |||
Kristen Stewart Gemar Memandu Kereta Posted: 12 May 2012 06:46 PM PDT ![]() LOS ANGELES: Aktres filem Twilight, Kristen Stewart, 22, berkata dia gemar memandu kereta. "Bila waktunya saya akan gembira? Apabila saya bersama dengan kawan rapat di dalam kereta. Saya suka memandu dan sangat bahagia berada di Los Angeles. "Saya berasa sangat seronok apabila lagu yang sedap didengar berkumandang ketika sedang memandu. Kegembiraan itu sukar digambarkan," katanya seperti dipetik laman showbiszspy.com. | |||
Posted: 12 May 2012 06:44 PM PDT Hingga kini, Erra akui hidup mereka seperti pasangan lain, bahagia dan tenang walaupun diuji dengan gosip liar yang tidak berkesudahan. "Dulu, jantung saya sering berdegup kencang apabila terpalit dengan gosip liar dan nakal, tapi kini saya tidak ambil kisah lagi. Alah bisa, tegal biasa. Saya sudah lali melaluinya hingga tidak terasa apa-apa lagi. Diam tak diam, hampir 20 tahun saya membina hidup sebagai anak seni. Dugaannya sejak dulu bukannya sedikit, tapi sampai satu masa, saya biarkan saja bak angin berlalu. "Diakui kadangkala gosip yang dilalui begitu mengaibkan saya dan keluarga, tapi inilah bayaran yang perlu diterima apabila memilih hidup sebagai public figure. Suka atau tidak, bahagia atau derita, saya kena tempuh. Hidup saya juga tidak seperti dulu lagi, saya tenang melalui apa juga badai yang melanda. "Saya tahu orang luar suka bercakap soal rumah tangga saya, macam-macam versi cerita yang saya dengar tapi hakikatnya, suami masih di depan mata saya. Emran masih suami saya dan bapa kepada Aleesya. Emran juga menjaga Aleesya ketika saya keluar bekerja di luar Kuala Lumpur kerana kami tidak mengharapkan pembantu rumah. "Mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia bagaimana? Biarlah mereka bercakap selagi boleh... Jika menafikan, ada pula cakap saya cuba berselindung atau `cover line'. Nak `cover line' apa, jika tidak benar! Saya tidak suka membebankan fikiran, soalnya orang luar lebih mengetahui soal isi rumah tangga saya. "Bagi saya, suami dan anak menjadi keutamaan, kerjaya pula sudah jatuh nombor dua selepas saya berkahwin," katanya yang akan muncul dengan filem Ngorat arahan Prof Madya A Razak Mohaideen bersama Aaron Aziz pada 5 Julai ini. Di sebalik gosip yang bagai tiada penghujungnya itu, Erra melalui kehidupan seperti biasa. Sempena sambutan Hari Ibu, bekas Miss Malaysia/World 1992 itu tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai anak. Tahun lalu, Erra menghadiahkan ibunya, Azizah Zaik, sebuah kereta Honda CRV bagi menghargai kasih sayang seorang ibu. "Sudah menjadi kebiasaan sejak dulu, saya meraikan Hari Ibu bersama ibu tersayang, sama ada membawanya keluar makan malam atau menghadiahkan sesuatu yang istimewa. Sesibuk mana sekalipun, pasti ada kirim SMS tanda saya mengingatinya. "Sebenarnya, sama ada dengan ibu atau Aleesya, perkataan `I Love U' tidak pernah lekang dari mulut saya. Bagi saya, Hari Ibu tidak hanya diraikan pada 13 Mei setiap tahun, tapi setiap hari adalah hari istimewa untuk ibu. Saya mahu menggembirakan hati ibu saya. "Alhamdullilah, selepas sekian lama menggumpul duit akhirnya saya dapat menghadiahkan ibu saya kereta idamannya, tahun lalu. Selalunya, jika ibu meminta hadiah yang mahal, saya tidak terus memberikannya, kena tunggu saya kumpul duit dulu (berseloroh). Saya bekerja kuat lebih setahun untuk memenuhi hasrat ibu saya, tapi puas, bukan rasa terbeban. "Melihat senyuman dan kegembiraan ibu, hilang rasa penat saya bekerja. Tahun ini, saya belum merancang apa-apa lagi, tapi ibu minta dibawa bercuti. Buat masa ini, jadual saya sentiasa terisi, mungkin selepas habis penggambaran drama bersiri Mencari Juita dan filem KL Meroyan," katanya yang melakonkan watak bekas wanita pertama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada pementasan teater Tun Siti Hasmah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 8 September ini. | |||
Posted: 12 May 2012 06:41 PM PDT Menerusi model HX-WA20, kamkorder diperkenalkan bagi membolehkan pengguna menikmati rakaman di luar walau dalam apa jua keadaan. Umpamanya, ketika dalam suasana tertentu dan kurang cahaya rakaman visual dilaksanakan pada resolusi Definisi Tinggi (HD) 1920 x 1080 yang menarik. Penggunaan sistem sudut luas 28 milimeter dan zoom pintar 15 kali memberikan tambahan terhadap kepelbagaian aspek rakaman. Selain itu, ciri terbaru Mod Pergerakan Perlahan yang diperkenalkan pada kamkorder terbabit menawarkan rakaman visual lebih kreatif kepada pemiliknya. Malah, bagi memastikan rakaman visual yang dihasilkan berbeza dengan produk pengeluar lain, Panasonic meningkatkan sistem penstabilan kameranya menerusi teknologi unik serta moden. Ia dipertingkatkan menerusi kepada sistem empat garisan berbanding dua yang digunakan sebelumnya dalam memastikan imej yang dihasilkan tepat serta jelas. Sekiranya WA20 hendak digunakan bagi rakaman acara sukan, pelbagai ciri sokongan disediakan bagi tujuan rakaman visual berkualiti tinggi. Rekaan yang memberi tumpuan kepada penempatan butang navigasi mudah digunakan diketengahkan bagi memastikan ia lebih stabil walaupun dengan hanya menggunakan satu tangan. | |||
Anang, Ashanty Sah Bergelar Suami Isteri Posted: 12 May 2012 06:40 PM PDT ![]() JAKARTA: Selepas melalui proses persiapan yang panjang, penyanyi dan komposer Anang Hermansyah dan Ashanty akhirnya sah bergelar pasangan suami isteri. Dengan sekali lafaz, bekas suami kepada penyanyi Krisdayanti itu bernikah dengan Ashanty di Masjid Albina, Senayan di sini pada petang Sabtu. Majlis akad nikah itu disaksikan keluarga kedua belah pihak. Bapa kepada Aurel dan Azriel itu menyunting Ashanty dengan mas kawin berupa sepersalinan pakaian solat, dua set perhiasan dan wang hantaran yang hanya sebanyak RM4.187 (Rp12.512), melambangkan hari jadi mereka. "Dia (Ashanty) sekarang sah menjadi isteriku," ujar Anang dalam nada bahagia sebelum memeluk dan mencium Ashanty di hadapan media. | |||
Posted: 12 May 2012 06:38 PM PDT ![]() SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Ekspo Kerjaya 2012 pada 15 Mei ini. Faktor utama penganjuran eskpo ini adalah bagi memudahkan pelajarnya mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja mereka tamat pengajian. Bukan itu sahaja, UPM turut menubuhkan Pusat Kerjaya pada 2010 sebagai satu inisiatif untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar. Unit ini diketuai oleh Dr Che An Abdul Ghani. Beliau turut menganjurkan Eskpo Kerjaya 2011 dan ia telah berjaya menarik kira-kira 3,000 pengunjung serta 60 syarikat menyertainya. ![]() Menurut Dr Che An, karnival ini akan menjadi satu platform kepada industri mengenalpasti graduan UPM yang serba boleh dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi. "Kita harap ketika majlis ini berlangsung, syarikat-syarikat yang menyertai karnival ini akan mencari graduan yang berpotensi dengan cara bersua muka berbanding dengan hanya membaca resume mereka dalam portal pekerjaan. "Dengan bersua muka, pihak majikan dapat membuat keputusan yang rasional tanpa membuat penilaian secara sambil lewa terhadap permohonan yang dikemukakan secara online," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Setakat ini sebanyak 50 syarikat akan turut serta dalam ekspo kali ini. Antaranya adalah, Sapura Kencana, Kumpulan Bursa Saham dan Maybank. "Kebanyakan syarikat tidak sabar-sabar untuk mencari graduan UPM yang berkebolehan dalam pelbagai bidang. Pihka penganjur juga sedang menjemput lebih ramai syarikat korporat untuk menyertai karnival kali ini. "Graduan yang menyertai ekspo ini boleh mula bekerja sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan semester akhir, Jun ini," katanya. ![]() Jelasnya, mempunyai graduan pelbagai bidang kerana universiti berkenaan mempunyai 16 fakulti dalam bidang sains dan kemanusiaan. "Tidak lama lagi UPM akan menjadi 'universiti pilihan majikan'," katanya. | |||
Beraksi ghairah: Nora Danish dikritik! Posted: 12 May 2012 06:37 PM PDT ![]() Nora Danish HAMPIR dua minggu berada di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah, akhirnya aktres jelita, Nora Danish selamat tiba di tanah air, 10 Mei lalu. Rasanya ramai yang mencari Nora kerana sepanjang pemergiannya di Tanah Suci, gambar pelakon drama Tentang Dhiya ini beraksi seksi di sebuah majalah menjadi perbualan hangat. Penampilan Nora mengejutkan peminatnya kerana biarpun sering tampil dengan imej seksi, namun Nora kelihatan lebih 'berani' dalam majalah itu. Zass cuba menghubungi Nora bagi mendapatkan kenyataannya berkenaan perkara itu tetapi gagal. Mungkin Nora masih mahu berehat selepas pulang ke tanah air. Apa pun, sama-samalah kita tunggu Nora memberikan kenyataannya dalam masa terdekat. | |||
Posted: 12 May 2012 06:36 PM PDT ![]() Nurul SETELAH lima tahun bersendirian, akhirnya pintu hati penyanyi bersuara lunak, Noorul Huda Abdul Wahab, 35, atau lebih dikenali sebagai Nurul bakal menamatkan zaman jandanya pada 6 Jun ini bersama lelaki pilihan, Eric Daniel Depp, 47, yang berasal dari Perancis. Bagaimanapun, Nurul memilih Dutchess, Jalan Ampang sebagai lokasi majlis perkahwinan kerana menepati cita rasanya yang mengimpikan konsep perkahwinan dalam taman. "Saya memilih tempat ini kerana ia nampak simple tetapi eksklusif. Tema perkahwinan ini telah dirancang bersama-sama Eric sendiri," katanya lagi. Majlis perkahwinan ini, Nurul hanya menjemput 200 orang yang terdiri daripada kaum keluarga, kawan terdekat, rakan media dan peminat. Majlis resepsi akan diadakan sebaik sahaja majlis akad nikah berakhir pada hari yang sama. Kedua-dua pasang baju bakal pengantin ini mendapat tajaan Jakel Trading dan mendapat sentuhan rekaan Rizman Ruzaini bagi baju Nurul manakala Bon Zainal mereka khas baju Depp. Selain itu, majlis bagi pihak lelaki akan diadakan di Bali, Indonesia pada 14 Jun, yang juga hanya menjemput keluarga dan teman rapat. | |||
Posted: 12 May 2012 06:35 PM PDT ![]() Sharnaaz dan Shila BELUM pun setahun menjalinkan hubungan cinta, Sharnaaz Ahmad, 27, dan Shila Amzah, 22 terpaksa menelan kata nista yang tidak suka akan gelagat mereka. Malah, ada pihak mendakwa Sharnaaz seorang yang kuat cemburu sehingga hubungan mereka pernah beberapa kali berantakan. Tidak cukup dengan itu, Sharnaaz juga dikatakan tidak tahu menghormati ibu bapa Shila apabila tanpa segan silu menunjukkan kemesraan mereka. Tidak berdiam diri dengan cemuhan dan dakwaan tidak berasas sesetengah pihak, Sharnaaz menjelaskan perkara sebenar kepada Zass. "Secara jujurnya saya tidak tertekan bila dicemuh dan di tuduh macam-macam. Bila orang ambil tahu mengenai hubungan kami, saya rasa ia satu penghargaan. "Jika dahulu dunia saya adalah kawan-kawan dan keluarga saya, tetapi kini selepas berkawan dengan Shila, keluarga dia juga adalah keluarga saya. Saya juga sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan keluarga dia. "Cuma lebih banyak cerita yang tak benar dikeluarkan berbanding cerita sebenar. Saya juga manusia biasa, bila orang cuit mengenai hal keluarga saya, tentulah saya marah. "Saya akui, kadangkala kami ada bergaduh, biasanya pergaduhan itu cuma salah faham dan kami akan okey selepas itu, tetapi bukanlah sampai Shila mencampak telefon bimbit ke dinding. Saya cabar pihak yang mendakwa kami bergaduh di belakang pentas itu, bawa bukti tersebut ke depan," katanya. Menjelaskan dengan lebih terperinci, Sharnaaz berkata percintaannya dengan Shila bukan satu eksperimen atau sekadar suka-suka, sebaliknya mereka berdua telah melakukan perancangan dalam perhubungan tersebut. "Saya dan Shila memang ada perancangan untuk bertunang dan berkahwin, tetapi kami akan berkahwin bukan kerana paksaan orang luar. Perkahwinan ini perkara besar dan memerlukan perancangan yang sewajarnya. "Jika sudah tiba masanya kami akan berkongsi berita gembira ini dengan semua," katanya. Bukan panas baran Apabila dilihat lantang meluahkan perasaan mengenai tohmahan orang menerusi laman sosial Twitter miliknya, ada peminat telah melabelkan aktor yang berasal dari Pulau Pinang ini sebagai seorang yang panas baran. Namun, bagi Sharnaaz sendiri, jika seseorang peminat itu pernah berjumpa dengannya atau pun mengenalinya dengan lebih dekat, istilah panas baran itu tidak pernah wujud. "Macam saya katakan tadi, saya bukan seorang yang panas baran, cuma bila ada orang cuit kita, sesiapa pun akan marah. "Tapi bila peminat kenal saya dan pernah jumpa saya secara dekat, mereka tahu saya macam mana. Hanya mereka yang melihat saya melalui Twitter saja yang melabelkan saya panas baran," katanya. Tidak merasakan hubungan cintanya telah merosakkan karier seninya, Sharnaaz berkata, perjalanan kariernya bergerak dengan baik dan dia juga tidak putus-putus menerima tawaran buat masa ini. "Mungkin hujung tahun ini filem lakonan saya akan menemui penonton di pawagam. Dalam filem tersebut saya memegang watak sebagai seorang samseng yang psiko dan mungkin orang akan lagi membenci saya selepas menonton filem itu (ketawa). "Selain itu, bulan ini drama lakonan saya Suri akan disiarkan di TV3 dan juga drama Bukan Bidadariku. Tidak lama lagi saya akan memasuki set penggambaran Dendam Sarakit bersama Fasha Sandha," katanya. Shila akui terkilan Sementara itu, Zass juga turut mendapat pandangan Shila bagi mengulas dakwaan liar sesetengah pihak mengenai hubungan mereka. Sama seperti Sharnaaz, Shila tidak merasa tertekan dengan tohmahan orang luar, namun mengakui terkilan dengan pihak yang kononnya lebih mengenali mereka. "Kadang kala Shila akui terkilan bila ada pihak membuat pelbagai spekulasi yang tidak berasas mengenai hubungan kami. Tapi Shila lebih senang mengambil cerita negatif ini dari sudut yang positif. "Shila akui tak semua yang kita buat mendapat sokongan orang lain, tapi Shila masih bersyukur kerana masih ada pihak lain yang mendoakan yang terbaik untuk hubungan kami. "Bila orang kata Sharnaaz kuat cemburu, bagi Shila normallah bila pasangan kita ada perasaan cemburu. Malah ayah Shila sendiri kadangkala masih cemburu bila orang melihat mama, walaupun mereka telah berkahwin," katanya. Walaupun baru berusia 21 tahun, Shila berkata, dia bersyukur kerana melalui dugaan ini pada usia muda dan boleh dijadikan sebagai panduan buatnya selepas ini. "Ada yang kata, Shila ambil masa bertahun untuk berada di tempat Shila berdiri sekarang tetapi kini ramai pula yang mahu menjatuhkan Shila. "Tapi bagi Shila sendiri, Shila bersyukur melalui pengalaman ini pada usia muda kerana mental Shila masih kuat untuk melaluinya. Malah ini juga adalah harga yang perlu Shila bayar bila menceburi bidang ini. "Shila terima dengan hati dan tangan yang terbuka. Shila bersyukur kerana keluarga dan Sharnaaz sendiri banyak memberi sokongan," katanya yang bersedia untuk menamatkan zaman bujang pada usia muda jika sudah ditakdirkan berkahwin awal. | |||
Suria FM catat 2.9 juta pendengar Posted: 12 May 2012 06:34 PM PDT ![]() Yusry Abu Samah menyampaikan cenderahati pada majlis kesyukuran sempena kejayaan stesen radio itu di Restoran Puteri,Sungai Penchala, malam tadi. KUALA LUMPUR – Stesen radio Suria FM mencatatkan peningkatan jumlah pendengar seramai 2.9 juta berbanding 2.3 juta pada tahun lalu walaupun baru bersiaran selama lima tahun. | |||
Jason Mraz gegar Stadium Merdeka 19 Jun ini! Posted: 12 May 2012 06:33 PM PDT ![]() Jason Mraz ![]() Jason Mraz Album terbaru Jason Mraz yang berjudul Love is a Four Letter Word berjaya menduduki tangga kedua dalam SoundScan Billboard 200 dengan jualan melebihi 100,000 unit. | |||
Perangi Sihir kongsi ilmu perangi anasir jahat Posted: 12 May 2012 06:31 PM PDT ![]() Pak Engku bersama tetamu jemputan yang membincangkan permasalahan sihir dalam masyarakat. Amalan sihir yang mempunyai kaitan dengan jin dan syaitan dilarang dalam agama kerana boleh merosakan akidah. | |||
Posted: 12 May 2012 06:28 PM PDT ![]() Shaheizy Sam dan Mon Ryanti Saban tahun, Metrowealth International Group (MIG) sentiasa memperkenalkan bakat baru sehingga ada di antara artis naungan mereka sudah menjadi bintang paling popular. Tidak sekadar mengetengahkan rupa, artis-artis yang digilap MIG, turut mementingkan bakat dan pesona untuk bergelar pelakon. Nama Shaheizy Sam, barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni. Apatah lagi, bakat adik kepada Zizie Ezzete ini sudah terbukti kehebatannya dan pernah menjulang trofi Bintang Paling Popular 2010. | |||
Sanggup kongsi duit beli dadah Posted: 12 May 2012 06:23 PM PDT ![]() Ketiga-tiga pelajar terbabit ditahan untuk siasatan lanjut
KULIM - Dua pelajar lelaki yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) dan seorang pelajar tingkatan lima ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di sini dalam satu serbuan jam 4 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, seorang daripada suspek memaklumkan rumah terbabit adalah milik keluarganya. "Keluarganya di Pulau Pinang. Disebabkan itulah dia mengambil peluang menjadikan kediaman berkenaan sebagai port ambil dadah," katanya. Menurutnya, sementara itu pelajar tingkatan lima berkenaan memaklumkan, masih ramai dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan yang terlibat dalam penagihan dadah. "Selain pelajar itu, ada kira-kira 10 pelajar lain yang terlibat. Pelajar itu juga mengaku sanggup berkongsi duit dengan kawan-kawan lain untuk membeli dadah. "Ibu bapa juga tidak tahu kegiatannya selama ini kerana sering balik rumah lewat pagi dan ada kalanya tidak balik ke rumah langsung," katanya. Ghuzlan berkata, walaupun Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ada membuat pemeriksaan rambang dengan mengadakan ujian saringan air kencing kepada pelajar bermasalah tetapi ia masih gagal ditangani. "Saya minta ibu bapa jika ternampak perubahan yang berlaku kepada anak mereka supaya bertindak tegas dengan melaporkannya kepada AADK dengan segera. "Rugi sekiranya dalam usia terlalu muda anak-anak mereka sudah mula menagih dadah, bayangkan apa akan berlaku apabila mereka meningkat dewasa," katanya kepada Sinar Harian. | |||
Posted: 12 May 2012 06:19 PM PDT ![]() Ahmad Nawi menyoal siasat janda dan pasangannya AMPANG - Seorang janda dicekup khalwat dengan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Taman Muda, di sini, awal pagi semalam. Janda anak satu yang bercerai dengan suaminya sejak sembilan bulan lalu memberi alasan dia tidak ada tempat tinggal apabila datang dari Nilai, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan diri di salah sebuah universiti di ibu kota hari ini. Pasangan itu dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel pada jam 4 pagi oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah. Pegawai Masjid Al-Azim Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pihaknya mengetuk pintu beberapa kali, seorang lelaki berpakaian lengkap terkejut melihat kehadiran penguatkuasa sebelum membenarkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan. "Kami menemui seorang wanita yang hanya berseluar pendek keluar dari tandas, mereka mengaku pasangan kekasih selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram," katanya. Ahmad Nawi berkata, lelaki berusia 27 tahun itu bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu sanggup mengambil pasangannya yang berusia 27 tahun itu dari Nilai kemudian bawa ke hotel berkenaan. Dalam serbuan sama di bilik berasingan, seorang penuntut universiti dicekup khalwat bersama pasangannya. Beliau berkata, perempuan berusia 23 tahun itu memberi alasan mahu berkahwin dengan teman lelakinya. "Perempuan itu memberitahu keluarganya tidak merestui perhubungan mereka kerana pasangannya yang berusia 24 tahun itu bekerja sebagai kontraktor," katanya. Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah. | |||
Posted: 12 May 2012 06:19 PM PDT ![]() SECARA fizikalnya si pengacara dan pelakon itu nampak lasak. Menggemari motosikal berkuasa besar sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia bukan seorang wanita yang penakut kepada cabaran. Apabila diteliti pada dalamannya pula, Dira Abu Zahar nampak kuat. Banyak kontroversi yang melanda dirinya, tetapi ditelannya bulat-bulat. Biarpun dihambat cerita-cerita negatif, Dira tetap tegar percaya bahawa pahit manis merupakan asam garam yang harus dilaluinya sejurus bergelar orang popular. "Biarpun cerita baik dan buruk keluar tentang diri ini, saya tidak takut dan sudah lama bersedia. Saya terima segala perkara (kontroversi) kerana percaya bahawa ia sudah termaktub dalam 'kontrak' setelah bergelar selebriti. "Apabila cerita kontroversi melanda saya tidak pernah lari daripada wartawan kerana faham akan situasi seperti ini," katanya yang baru-baru ini tampil dengan filem Chow Kit. Sebelum ini nama Dira masih samar, namun setelah menjadi pengacara rancangan hiburan popular, Melodi, namanya tiba-tiba meletup. Tidak cukup dengan itu, nama Dira bertambah popular setelah tersebar cerita kes pergaduhannya di pusat hiburan saat setahun bergelar pengacara rancangan itu. Kini nama Dira sudah dikenali. Kontroversi yang terpalit membuatkan namanya lebih melekat. Sayangnya, dek cerita negatif itu dia direhatkan daripada mengacara rancangan tersebut. Bahkan, kontroversi itu turut dikaitkan dengan keengganan pihak produksi menyenaraikan Dira untuk mempromosikan filem Chow Kit yang membariskannya sebagai bintang utama. | |||
Dayang Nurfaizah sukar cari lagu balada Posted: 12 May 2012 06:16 PM PDT
SUASANA dingin menyelubungi sesi fotografi yang diadakan di persekitaran luncur ais bertempat di Hotel Royale Bintang, Damansara. Ternyata sang penyanyi, Dayang Nurfaizah menggemari suhu beku malah dia tidak sedikit pun menggigil kesejukan. Ketika ditanya kedinginannya dari dunia seni, bibir Dayang hanya melirik senyum. Tidak mudah panas hati orangnya. Malah dia sedar, khalayak menganggap sebegitu terhadap kemunculannya. Dibelek jadualnya untuk bulan ini, rupanya Dayang berhadapan kesesakan jadual. Perlu menyusun baik-baik agak tak tergelincir. "Orang nampak perlahan dan steady. Jujurnya, Alhamdulillah jadual penuh dan kadangkala tak menang tangan. Ini kerana saya lebih banyak terlibat dengan persembahan korporat dan peribadi," ujarnya yang sudah menyusun jadual hingga bulan Julai kelak. Duet Anuar Zain Paling terdekat, dia bakal beradu suara dengan penyanyi lelaki kegilaan ramai, Anuar Zain di ruangan eksklusif dan mewah, Dewan Philharmonik Petronas (DFP), KLCC. Konsert istimewa yang dibawakan Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas (KSRP) ini diadakan untuk badan-badan kebajikan, rumah orang tua dan rumah anak yatim terpilih. Antaranya Dana Asy-Syakirin, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas (Puchong) dan Rumah Kasih Harmoni. Ruang dewan bakal berlagu dendangan suara harmoni Dayang dan Anuar pada Selasa ini pada pukul 8.30 malam. Sedap telinga mendengar apabila semua tiket yang berharga RM500, RM350, RM250 dan RM150 sudah habis terjual. Begitu kuasa kedua penyanyi yang diberi jolokan prince and princess of pop ini terus berbisa. Berkongsi rasa geruh dan gembira, Dayang mengaku persediaannya terbentuk ekstra. Bukan sahaja kerana rakan duetnya bernama Anuar Zain tetapi faktor duet itu membuatkan dirinya terlebih peduli. "Jujurnya, saya membuat latihan yang lebih. Kalau solo, senang sedikit tetapi kerana kami akan muncul secara berduet, jadi perlu tahu bahagian masing-masing. Perlu juga tahu lagu yang sesuai diduetkan. Saya sangat-sangat berharap agar semuanya berjalan lancar," ujar Dayang yang pernah berkolaborasi bersama Anuar Zain dalam program Sunday Night Live di Planet Hollywood pada 2004. "Sebenarnya mahu pilih lagu juga sedikit memeningkan kerana perlu fikir lagu apa yang penonton mahu dengar dan sesuai untuk dinyanyikan. Lagi pun saya sudah pernah ada album live, jadi perlu pamerkan sesuatu yang berlainan," senyumnya yang tidak mahu persembahannya mudah ditebak umum. ![]() DAYANG juga akan berduet bersama Datuk DJ Dave di Istana Budaya dengan membawakan lagu bertajuk Sebenarnya. Bekerja dengan Anuar Zain menyenangkan, itu kata Dayang. Walaupun berdepan cabaran kerana mempunyai range vokal yang berlainan, namun keserasian itu akan dibuktikan di DFP kelak. "Mungkin orang ingat senang sebab kami pernah berduet tetapi tidak. Bagaimanapun kami sama-sama tahu kelebihan dan kekurangan vokal masing-masing, jadi saling membantu dan menyokong," luah Dayang yang belum mempunyai perancangan untuk muncul dalam sebuah album duet bersama Anuar. Sukar cari lagu balada Masih dalam rangka mempromosikan album Sayang dan Cahaya yang dilancarkan pada Jun tahun lalu, dalam masa yang sama, Dayang sedang membuat persiapan untuk mengumpul material baharu untuk dirinya. "Memang sukar untuk mencari lagu balada yang sedap pada masa sekarang. Saya cari lagu-lagu balada yang ada magis seperti lagu balada tahun 1990-an. Melodi yang sedap itu yang sukar ditemui dan saya masih mencari. Buat saya, tidak kisah siapa komposernya, jika ada yang rasa berminat, boleh e-melkan kepada saya," luahnya yang berkehendakkan sebuah lagu balada yang benar-benar menyentuh jiwa. "Kalau jumpa sebuah lagu balada pun bagus tetapi saya tidak terlalu mengejar album baharu. Masih dalam proses mencari," katanya yang menamakan lagu-lagu balada nyanyian Whiteny Houston mempunyai melodi yang enak dan segar. Selain sibuk dengan program nyanyian, kudrat dan jiwanya turut disumbangkan kepada aktiviti yang mahu disebarkan kepada umum. Sejak tahun 2009, Dayang telah diiktiraf sebagai Selebriti Sokongan 'Red Ribbon' oleh Majlis AIDS Malaysia untuk mencipta kesedaran mengenai transmisi gejala HIV/AIDS dan juga kesedaran mengenai hak orang ramai untuk memartabatkan kehidupan harian mereka, tidak kira siapa. Jalan anak Sarawak Merintis kembali jalan seninya di negeri Bumi Kenyalang sempena edaran Kosmo! di tanah kelahirannya, Dayang berkongsi cerita tentang jalan seninya sebagai sebuah perkongsian. Sarawak kata Dayang, merupakan sebuah negeri yang mempunyai landskap muzik yang tersendiri. Malah penduduk negeri kelahirannya itu mempunyai label rakaman tempatan. "Jualan album mereka lebih banyak daripada album Dayang sendiri," ujar Dayang yang bangga dengan perkembangan tersebut. Lalu pengaruh muzik yang besar di Sarawak sedikit sebanyak mendorong dirinya bergelar penyanyi.
"Dulu, saya mula dengan pertandingan menyanyi sewaktu umur 12 tahun. Jiran saya nama Mak Kiah yang daftarkan nama saya. Saya ni pemalu tetapi atas dorongan, saya masuk dan menang. Itu permulaannya dan usia 15 tahun saya masuk pertandingan nyanyian anjuran RTM untuk mewakili Sarawak ke Kuala Lumpur. Lalu saya bertemu Adnan Abu Hassan yang membantu saya masuk ke dalam industri," kenangnya tentang awal kehidupannya sebagai selebriti. "Dulu, awal-awal menjadi artis saya ikut jelajah radio Cats FM yang membawa saya menjejak dan mengenali daerah seperti Mukah dan beberapa kawasan pedalaman," senyumnya yang seronok belajar tentang makanan dan budaya yang pelbagai di Sarawak. "Saya tidak pandai berbahasa Sarawak yang lain kecuali bahasa Melayu Sarawak. Ada beberapa perkataan yang saya faham. Tapi ada juga keinginan untuk membawakan lagu bahasa etnik ini kelak, " ujar Dayang yang lahir di Kuching, Sarawak ini. "Saya berharap agar saya dapat memperbanyakkan aktiviti di Sarawak. Ingin berbakti untuk negeri sendiri," luahnya mengakhiri perbualan petang Khamis lalu. | |||
Posted: 12 May 2012 06:16 PM PDT ![]() JI-HYUN BIARPUN perkahwinannya masih belum mencapai usia sebulan, pelakon Jun Ji-hyun telah pun terbang ke Jerman untuk penggambaran filem terbaharunya, Berlin. Sebelum berlepas ke Jerman pada minggu lalu, Ji-hyun sempat bertemu peminatnya dan wartawan di lapangan terbang. Dia yang sentiasa tampil cantik mengejutkan ramai orang apabila bahagian kakinya yang kelihatan berotot terdedah secara tidak sengaja. Pada ketika itu, Ji-hyun mengenakan sehelai baju putih, seluar pendek paras paha dan sepasang kasut sneaker. Bahagian betisnya yang kelihatan berotot itu menjadi bahan perbualan peminatnya apabila sekeping gambar yang memaparkan bahagian tersebut tersebar. Daripada beberapa komen peminatnya, ramai yang tidak percaya bahawa wanita secantik Ji-hyun mempunyai kaki yang berotot. | |||
Posted: 12 May 2012 06:15 PM PDT ![]() NO DOUBT mengumumkan bahawa kumpulan itu bakal keluar dengan album baharu pada 26 September ini. PENANTIAN peminat tegar grup No Doubt selama 11 tahun bakal berakhir. Grup yang menampilkan vokalis wanita, Gwen Stegani tersebut bakal muncul dengan album keenam pada 26 September ini. Sebuah video yang memaparkan kegiatan No Doubt melalui rakaman studio itu dinaik muat ke laman rasmi kumpulan tersebut. "Kami harap kalian menyukai video ini dan ia berita besar daripada kami. Kumpulan No Doubt tidak sabar memberi muzik terbaharu kami kepada semua. Bersiaplah, No Doubt akan datang!" kata kumpulan itu dalam klip video mereka. Tambah No Doubt, sebagai penghargaan terhadap peminat, kumpulan itu sangat berterima kasih atas sokongan mereka selama 25 tahun. "Kami sangat bangga dengan album baharu ini. Kami harap kalian menyukainya. Kami sudah mempunyai rancangan untuk membuat klip video dan berlatih di studio dengan membawakan lagu-lagu baharu kami," ujar No Doubt. Pada awal tahun 2011, kumpulan dari California, Amerika Syarikat itu mengumumkan penggarapan album keenam tetapi ia tertunda hingga September tahun ini. | |||
Posted: 12 May 2012 06:14 PM PDT ![]() DARK SHADOWS dilakonkan oleh para pelakon terkenal antaranya Johnny Depp, Eva Green dan Michelle Pfeifer. FILEM Dark Shadows merupakan filem kerjasama kelapan antara Tim Burton dan Johnny Depp. Filem itu diangkat daripada program soap opera yang berpentas pada tahun 1966 hingga 1971. Filem ini bermula dengan keazaman seorang gadis meninggalkan New York untuk bekerja dengan keluarga Collins. Victoria lakonan Bella Heathcote kemudian muncul di tengah-tengah keluarga Collins yang berhadapan dengan masalah kewangan namun masih berazam untuk meneruskan legasi keluarga yang membuka pekan Collinswood. Di rumah agam Collins, Victoria bertemu keluarga tersebut dan berhadapan dengan pelbagai peristiwa. Kemunculan aktres Bella tenggelam timbul dalam filem ini namun kecantikan klasiknya sangat tepat membawakan dua watak iaitu Vicky dan Jossette. Johnny Depp terus memberi kelainan dalam karakter yang unik, itu sesuatu yang pasti dalam filem ini. Walaupun sudah terbiasa dengan karakter yang pelik, tetapi dia antara aktor yang berjaya membawakannya tanpa rasa jelak. Kali ini Johnny membawakan watak Barnabas, anak hartawan yang disumpah. Dia kemudian muncul sebagai puntianak, salah satu karakter atau genre yang diperakui Johnny sebagai kegemarannya. Ada kelucuan dalam karakter yang dibawanya, tampak naif kerana Barnabas tiba-tiba bangkit setelah dua dekad ditanam di dalam keranda. Eva Green tampil memukau dalam gaya ahli sihir. Kadangkala wataknya sebagai Anjelique menutup kehadiran pelakon lain seperti Michelle Pfeifer atau Helena Bonham Carter. Cinta yang wujud dalam diri Anjelique buat Barnabas membuatkan dirinya bertindak kejam Menariknya bagi Helena kali ini, dia membawakan karakter Dr. Hoffman yang normal. Jarang-jarang sekali untuk Helena tampil sebegini namun dalam filem suaminya yang ini, aktres ini tampil bersahaja dengan berfesyen 1970-an. Dark Shadows merupakan sebuah corak filem yang ringan dengan latar belakang dan set yang menarik. Membawa khalayak ke tahun lampau dan kemudian kembali ke tahun 1970-an, pakaian dan set serta pemilihan lagu membuatkan kita seperti berada di era itu. Kemunculan Alice Cooper dalam filem ini menambahkan lagi seri, begitu juga Karen Carpenter di kaca televisyen memberi kesan khas terhadap tahun 70-an dalam filem ini. Untuk peminat tegar Johnny Depp dan khalayak yang sukakan kolaborasinya dengan Tim Burton, filem ini akan menyemarakkan kecintaan kalian terhadap kerjasama ini. Komen Sofia: Sangat sukakan set dan lagu-lagu yang dipilih untuk filem ini. Begitu juga dengan kemunculan Alice Cooper. | |||
Artis dedah rahsia dalam bilik Posted: 12 May 2012 06:12 PM PDT ![]() SEBAHAGIAN kru penerbit rancangan hiburan ntv7 yang menerbitkan program Bilik 7 di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini. BUKAN mudah bagi seseorang untuk membuka mulut dan mendedahkan sesuatu yang sudah menjadi perbualan umum. Namun apabila disediakan platform yang tepat, para selebriti khususnya tampak bersedia untuk sesuatu yang dinamakan pengakuan. Sebuah program yang dinamakan Bilik 7 menyediakan ruang tersebut. Pendedahan rahsia dan pengakuan selebriti penuh dramatik dan kejutan, bikin panas, itu antara yang mahu digali dan dikeluarkan oleh bilik tersebut. Rancangan sensasi Bilik 7 menggunakan format temu bual. Ia seperti proses soal siasat dapat mengorek keluar segala rintihan dan rahsia yang terbuku daripada diari tetamu selebriti. Rancangan yang sudah bersiaran sejak 5 April setiap hari Khamis pada pukul 9 malam di ntv7. Menariknya, set Bilik 7 direka menyerupai bilik soal siasat polis dengan sebuah meja yang mengasingkan suspek dan penyiasat. Memainkan tugas sebagai penyiasat dalam Bilik 7 ialah Richie Rachman. "Paling saya suka mengenai rancangan ini adalah kerana tiada lagi stesen televisyen yang pernah melakukannya sebelum ini dan mereka juga memberikan saya kebebasan untuk mengutarakan soalan kepada tetamu jemputan daripada pelbagai latar belakang," kata Richie yang menggunakan pelbagai skil untuk membuka mulut selebriti. Kata Richie, turut dalam soal siasat nanti ialah rakan penerbitnya, Engku Azmin Engku Zaini yang berperanan sebagai 'inspektor' Bilik 7. Walaupun dipisahkan melalui cermin bilik soal siasat, Richie tetap mendapat arahan dari semasa ke semasa daripada Azmin melalui alat dengar. "Saya pernah bekerjasama dengan Richie untuk beberapa projek sebelum ini dan kami sememangnya serasi dan pastinya dapat membentuk sebuah pasukan yang baik," kata Azmin. Bilik 7 yang bersiaran selama 13 episod ini membawa penonton berhadapan dengan artis tanah air yang penuh kontroversi antaranya Zarina Anjoulie, Radhi OAG, Lisdawati, Melia Aimelia, Johan Asari, Abby Abadi, Raja Azmi dan Adira. Para selebriti disoal bertalu-talu sehingga membuat mereka panas dan tersentak tatkala diajukan soalan-soalan sensasi. Walaupun Bilik 7 ialah sebuah rancangan yang lantang dan bakal menimbulkan kontroversi, namun ia membuka ruang kepada selebriti untuk menyelesaikan kekusutan dan berkongsi perkara sebenar mengenai isu yang menyelubungi mereka. "Mungkin ada antara kita berpendapat rancangan ini mengetengahkan elemen negatif tetapi sebenarnya rancangan ini berbeza. Bilik 7 ialah sebuah rancangan selebriti yang dilanda kontroversi. Mereka diberikan ruang untuk berkongsi pendapat dan perasaan masing-masing di samping memberikan penjelasan atau mengakui kesilapan silam mereka. Saya berharap penonton bakal menontonnya daripada sudut positif dan turut belajar melalui testimoni dan kisah mereka," kata Richie. "Acap kali saya ingin mengajukan soalan panas, namun adakalanya saya tidak perlu bertindak sedemikian kerana mereka sudah pun bersedia dan bersifat terbuka untuk berkongsi. Saya memuji akan keberanian dan kesudian mereka disoal siasat," tambahnya. Sementara itu, Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama ntv7, Emilya Ab. Rahim berkata, Bilik 7 menawarkan penonton sebuah rancangan yang lebih segar dan memberi nafas baru kepada penonton Malaysia. | |||
Posted: 12 May 2012 06:11 PM PDT
WAJAH Rusdi Ramli jarang menjadi penghias majalah dan surat khabar mahupun bahan sensasi dalam portal hiburan. Namun itu bukan petanda bahawa pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 itu sudah semakin suram. Tergolong dalam angkatan pelakon senior, namanya masih kekal dalam liga tersendiri. Sebagai alasan paling kukuh, Rusdi, 42, masih menjadi taruhan kepada tiga buah filem yang masih menunggu tarikh tayangan. Salah sebuah filem lakonannya yang ditunggu-tunggu ialah Tanda Putera, begitu juga dengan Awan Dania The Movie. Sebuah lagi filem lakonannya Mencari Cinta pula, baru selesai menjalani penggambaran. "Rasanya saya dinilai menerusi hasil kerja. Saya akui bukan jenis pelakon yang suka melayan dan menjual produk kepada peminat di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Nasib baik peminat boleh tengok saya di kaca televisyen. "Lakonan satu-satunya cara saya berkomunikasi dengan peminat," katanya yang kini berada di lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Mis Cinta untuk RTM. Alang-alang bercerita tentang saham Rusdi yang terpampang di mata pengarah dan penerbit filem, anak dramatis hebat Norlia Ghani itu ditanya tentang lakonan beraninya bersama janda jelita, Nora Danish yang hangat diperkatakan. Beraksi sebagai pasangan suami isteri, Rusdi dan Nora diminta untuk memberikan nilai sensasi. "Itu kira filem paling romantik yang pernah saya lakonkan. Pengarah ada dalil tersendiri kenapa perlu babak-babak sedemikian. Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan justifikasi sebab filem masih dalam suntingan. "Apa yang dipaparkan dalam treler yang ditayangkan semasa majlis pelancaran baru-baru ini hanyalah pengenalan kepada filem berkenaan," kata Rusdi yang berasa pelakon bukanlah faktor utama pelaris filem sebaliknya pembinaan karakter serta jalan cerita yang ampuh. Sedang muncul menerusi Lara Hati menerusi slot Ratu di TV9, Rusdi menjayakan watak Hadeef, pemuda yang terlalu menyintai Roseida lakonan Noorkhiriah. Kata Rusdi, meskipun watak Hadeef mungkin bukan satu kesukaran buatnya tetapi sebagai seorang aktor, dia diminta menyatukan emosi dengan watak yang dilakonkan. "Saya rasa Hadeef sangat jujur dengan perasaannya sehinggakan dia sanggup melakukan perkara yang bodoh hanya kerana terlalu menyintai Roseida. Hasil pengamatan, saya percaya lelaki sebegitu memang wujud," katanya menyimpan suspen agar penonton menghayati sendiri konflik kisah yang disiarkan setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam itu. Dalam perkembangan lain, Rusdi kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata ketiga. Isterinya, Sharon kini hamil lima bulan. Hasil perkahwinan pertama, Rusdi mempunyai seorang anak lelaki bernama Efiezal Ridza, 22, manakala perkahwinan dengan Sharon dikurniakan seorang anak lelaki, Rio Ridza yang mencecah usia tiga tahun. | |||
Posted: 12 May 2012 06:10 PM PDT
BERDANDAN cara orang lama dengan kebaya potongan klasik kemas tersarung di tubuh gadis belasan tahun itu. Pengakuannya tentang minat dan kecenderungan menyanyikan irama klasik tambah membuatkan si manis yang memperkenalkan dirinya, Riana Anis itu seorang yang unik. "Sebenarnya saya juga meminati rentak muzik kontemporari, lagu-lagu balada, rock dan dangdut. Tapi untuk mula-mula memperkenalkan diri ke dalam industri muzik, saya pilih irama klasik. Rasanya tak salah sebab saya masih muda. Saya ada banyak masa untuk tampil dengan irama-irama lain selepas ini," katanya yang baru sahaja muncul dengan album sulungnya, Pengembara. Mempertaruhkan 16 buah lagu-lagu klasik yang dinyanyikan semula, album terbitan Dream Music itu sudah dilancarkan pada 27 Mac lalu. "Saya jatuh cinta dengan lagu-lagu klasik. Bagi saya, tidak semestinya lagu-lagu klasik hanya dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi berusia. Jika ia dinyanyikan oleh penyanyi muda, rasanya irama itu akan menghimpun semula peminat baharu. Peminat hari ini akan lebih seronok jika ada penyanyi baharu yang menyanyikan lagu-lagu klasik seperti Hati Muda atau Daku Menunggu," kata Riana Anis berkeyakinan. Mudah dibahasakan Anis, pemilik nama Nuriana Anis Jamlul Abidin itu bukan sehari dua muncul di pentas nyanyian. Sebaliknya, dia bersama dua abang kandungnya merupakan anggota kumpulan Sentuhan Brothers sejak lima tahun lalu. Mereka sudah biasa mendapat undangan menyanyi di majlis-majlis korporat bahkan turut popular di Singapura. "Di Singapura, ramai orang panggil saya Anis Saloma, kalau dipromosikan pun, nama Anis Saloma yang akan terpampang di poster-poster. Saya sendiri selesa dengan gelaran itu, ia satu penghormatan apabila saya diterima sebagai versi baharu kepada seorang biduanita legenda bernama Saloma," ujarnya yang turut berkebolehan menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa Jepun dan Mandarin. Memilih irama klasik tidak bermakna menjauhi trend muzik semasa. Kata Anis, selain sedang mengikuti kelas muzik bersama Chew Paul Wah, dia bersama Sentuhan Brothers juga sering dijemput sebagai band penutup tirai setiap kali berlangsungnya gig muzik indie anjuran Kelab Budak-Budak Malaya. Bercerita tentang kemunculannya untuk menyertai muzik arus perdana, kata Anis, semuanya berlaku secara kebetulan. "Saya ditemui oleh seorang penerbit album dari Singapura, namanya Yazzit. Dia melihat saya menerusi YouTube pada Februari 2011 dan pada Mac tahun yang sama, saya dijemput ke Singapura untuk membuat rakaman album. "Saya anggap album ini sebagai buah tangan pertama saya. Bawah pengurusan Media Inspirasi, saya kini dalam proses untuk menyiapkan album kedua pula. Ramadan nanti, saya juga akan tampil dengan sebuah album lagu-lagu ketuhanan yang dipetik daripada sinetron popular dari Indonesia. Untuk album sinetron itu, saya bekerjasama dengan seorang komposer dari Jakarta," katanya yang turut diundang untuk persembahan pembukaan sambutan Hari Ibu bersama Anuar Zain di Bandar Utama, semalam. |
You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan