Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! |
- Spiderman panjat bangunan tertinggi Perancis
- Wanita kelihatan tua jalani rawatan
- Catatan baharu astronomi kaum Maya ditemui
- Meninjau alam ajaib Mulu
- Dicabar arus deras Sungai Kampar
- Kemeriahan di kaki Gunung Santubong
- Lambaian tiga pulau unik
- Temasya di 'sarang burung'
- Program perintis Nissan LEAF
- Prius c kereta bandar yang ideal Kereta bandar yang ideal
- Mazda CX-5 pengubah permainan untuk Mazda
- Mercedes-Benz C 63 AMG Coupe
- Enjin eSP untuk skuter Honda PCX125
- Habuan berkongsi tempoh bual
| Spiderman panjat bangunan tertinggi Perancis Posted: 11 May 2012 06:50 PM PDT ![]() AKSI Robert sewaktu memanjat bangunan tertinggi Perancis, First Tower di Paris kelmarin. PARIS - Pemanjat bangunan pencakar langit, Alain Robert memanjat sebuah bangunan tertinggi di Perancis, First Tower kelmarin. Dia memanjat bangunan setinggi 231 meter itu selepas mendapat kelulusan daripada pemilik bangunan berkenaan. Beratus-ratus orang melihat aksi warga Perancis itu. Robert tidak menggunakan sebarang alat bantuan memanjat menyebabkan dia digelar Spiderman. Dia telah memanjat lebih 100 bangunan pencakar langit di seluruh dunia sejak 15 tahun lalu. "Saya tiada masa untuk berasa takut kerana banyak perkara lain yang saya perlu lakukan," katanya. | |||
| Wanita kelihatan tua jalani rawatan Posted: 11 May 2012 06:49 PM PDT
TAIPEI - Seorang wanita muda Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Mai yang kelihatan seperti berumur 70 tahun walaupun usianya baru 28 tahun kini menjalani rawatan perubatan di Taiwan, kata beberapa doktor semalam. Mai mula menghidap sindrom Werner yang menyebabkan dia kelihatan tua sejak berumur 10 tahun. Dia sebelum ini tidak mampu menjalani rawatan kerana mengalami masalah kewangan. Menurut beberapa doktor di Hospital Universiti Perubatan China, dia sukar berjalan dan mengalami masalah kesihatan sebelum datang ke Taiwan pada April lalu. Mai menjalani pembedahan plastik dan beberapa pembedahan lain bagi mempermudakan penampilannya, kata mereka. Dia turut menjalani rawatan kulit dan paru-paru. Doktor-doktor menyatakan, dia merupakan pesakit pertama sindrom tersebut di negara ini. Wanita itu akan mengambil ubat-ubatan dan mengelak diri daripada terkena cahaya matahari. "Saya seperti dilahirkan semula dan terdapat harapan dalam kehidupan saya," katanya menerusi jurubahasa di sini. Semasa dia bergambar dengan adik lelakinya dan doktor pembedahan plastik, Hung-Chi Chen di sini semalam, wajahnya kelihatan semakin muda selepas dia menjalani rawatan. | |||
| Catatan baharu astronomi kaum Maya ditemui Posted: 11 May 2012 06:48 PM PDT ![]() GAMBAR menunjukkan lukisan yang terdapat di dinding sebuah bilik peninggalan kaum Maya di hutan Xultun, Guatemala. NEW YORK - Sekumpulan arkeologi menemui sebuah bilik kecil peninggalan kaum Maya di hutan hujan Xultun di Guatemala. Dinding bilik berkenaan terdapat catatan mengenai ilmu astronomi dan kalendar Maya yang berusia sekitar 1,200 tahun. Ia merupakan rekod astronomi Maya yang tertua. Rekod itu 600 tahun lebih tua daripada penemuan sebelum ini. Dinding itu turut mempunyai pelbagai bentuk lukisan. Beberapa pakar berkata, rekod itu tidak mempunyai ramalan tentang kiamat. Beberapa kalendar Maya lain menyatakan dunia akan kiamat pada Disember depan. Kalendar dinding itu mengandungi kiraan tarikh melebihi tempoh 6,000 tahun sekali gus melangkaui tahun 2012. "Mengapa kaum Maya bersusah payah untuk melakukan pengiraan itu jika mereka tahu bahawa dunia akan kiamat pada tahun ini?" kata seorang pakar astronomi Maya daripada Universiti Colgate di New York, Anthony Aveni. Aveni bersama seorang ahli arkeologi Universiti Boston, William Saturno dan beberapa pakar lain melaporkan penemuan tersebut dalam jurnal Science yang disiarkan semalam. | |||
| Posted: 11 May 2012 06:43 PM PDT
CUBA diam seketika dalam ruang yang gelap hakiki. Padamkan juga semua sumber cahaya lampu suluh, kamera mahupun gajet komunikasi. Di dalam perut gua, ternyata segalanya nampak hitam pekat. Tiada guna membuntangkan mata untuk cuba melihat atau meneka 'siapa' dan 'apa' yang berada dekat dengan tubuh sendiri. Dalam situasi seumpama hilang nikmat penglihatan itu, kepekaan deria pendengaran mengambil alih. Titisan air dari rekahan lelangit gua dan hujung stalaktit ke atas tanah, bongkah batu atau takungan air pun jadi jelas serta bergema. Sesekali, angin yang berhembus dingin adakalanya kedengaran seperti bunyi lolongan makhluk yang tidak ingin dibayangkan. Mungkin juga bunyi itu menambah kencangnya cungapan nafas mereka yang akluofobia. "Rasakan apa yang dirasai oleh penghuni-penghuni gua ini. Bukan sekadar anda mengenal habitat ular, kelawar, serangga dan mamalia kecil lain. Bayangkan pada suatu masa dahulu, manusia juga pernah menjadikan tempat ini sebagai pelindung mereka," terlantun suara seorang wanita yang dalam nadanya, bagaikan sengaja mencetus mood seram. Usai lima minit disuruh bergelap sebegitu, arahan diberi kepada para peserta untuk menghidupkan semula lampu suluh masing-masing. Arahan itu sebenarnya datang daripada Syria Lejau, seorang jurupandu gua berpengalaman di Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak. "Itu hanya secebis daripada nilai kehidupan di dalam gua. Semakin jauh anda masuk ke dalam, makin banyak cerita yang anda akan ketahui," ujarnya sebagai mukadimah ekspedisi. Eksplorasi gua yang disertai kumpulan Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia (SKUM) itu adalah sebahagian daripada pengisian memperkenalkan program galakan akademik, NatCom: Reaching The Grassroots di Bumi Kenyalang.
Kosmo! yang secara eksklusif dijemput menyertai program tersebut dibawa menyusuri rangkaian gua hidup yang kompleks di situ. Aktiviti ilmiah di Tapak Warisan Dunia UNESCO itu dibahagikan kepada dua hari. Para peserta berkesempatan melawat ke beberapa buah gua seperti Gua Rusa, Gua Lang, Gua Lagang, Gua Angin dan Gua Clearwater. Sejarah gua hidup Bermula dengan rasa kagum terhadap formasi unik jutaan kelawar yang terbang keluar dari pintu gua pada lewat petang, Syria mempesonakan kami dengan sejarah geologi Borneo sewaktu membawa kami menyusuri Gua Lagang. "Pulau Borneo pada mulanya tidak wujud. Puluhan juta tahun lalu, plat bumi bergerak dan bergeser di dasar laut lalu menghasilkan lapisan batu pasir. Seiring peredaran masa, lapisan tersebut semakin meninggi lantas membentuk perairan cetek yang mencetus evolusi pelbagai hidupan. "Tindak balas mineral di perairan cetek seperti pembentukan kalsium karbonat terus terjadi," ujarnya. Syria turut bercerita panjang lebar tentang aturan semula jadi yang akhirnya mewujudkan lapisan batu kapur, batu lumpur dan batu syal. Lapisan-lapisan itu lama-kelamaan tertolak ke permukaan laut lalu membentuk daratan. Gua juga, menurut Syria, menyimpan pelbagai rekod kejadian alam. Sebagai contoh, kehadiran fosil cangkerang marin yang terenap pada batu dinding Gua Lagang membuktikan teori bahawa Borneo suatu ketika dahulu merupakan lantai samudera. Di gua yang sama juga, terdapat bongkah batu yang mempunyai pelbagai lapisan berbeza warna, tekstur dan kepadatan. Syria mencuri tumpuan peserta dengan menunjukkan lapisan berwarna kelabu setebal dua ruas jari pada segmen tengah bongkah itu. "Lapisan ini dipercayai debu daripada letusan gunung berapi Krakatau, Indonesia pada tahun 1883. Selain laharnya yang mendap di laut, debunya turut dibawa arus air bawah tanah lantas membentuk sebahagian daripada fizikal gua ini," terangnya yang dibalas riak wajah takjub para peserta. Jangan sentuh Setiap gua mempunyai tarikan tersendiri. Bagaikan masuk ke sebuah alam ajaib, suasana remang dan mistik itu dilatari landskap jurang, tebing, rongga, juntaian stalaktit, stalagmit yang tumbuh bercerancang, menara (apabila stalaktit bercantum dengan stalagmit) serta heliktit yang tumbuh mengufuk. Pengerasan mineral yang membentuk pelbagai dimensi begitu mempesonakan. Cuma awas kalau Syria ternampak ada tangan-tangan yang 'gatal' mahu menyentuhnya! "Saya boleh menjerit, memarahi atau menghalau seseorang itu keluar dari gua jika larangan itu tidak diendahkan. Tahukah, anda sebenarnya boleh 'membunuh' gua ini sekiranya menyentuhnya?" katanya. Jelasnya, jari manusia mempunyai minyak atau bahan kimia yang boleh menghalang unsur mineral daripada melekat, misalnya yang dibawa dalam titisan air dari stalaktit ke atas stalagmit. "Di banyak lokasi gua lain di Malaysia, saya dapati formasi hidup itu menjadi warna hitam dan 'mati'. Ia gara-gara disentuh, apatah lagi kalau dirosakkan dengan sengaja. ![]() WALAU disambut bau amonia kuat daripada najis kelawar, eksplorasi gua nyata meninggalkan banyak kenangan istimewa. "Di Taman Negara Gunung Mulu ini, hal seperti itu tidak dibenarkan berlaku sewenang-wenangnya," tegas Syria. Susur laluan Selain menghargai landskap gua yang mencetus rasa ajaib dan mistik, ada seperkara lagi yang mengundang kagum serta tanda tanya. Bagaimanakah agaknya kerja-kerja pemasangan susur laluan dijalankan di dalam gua-gua itu? Kesemua platform tempat berpijak dibina dengan kukuh namun perlu diadaptasi mengikut rupa fizikal sesuatu zon yang hendak direntasi. Dengan cabaran tebing curam, batu licin, lorong berliku, ruang sempit dan pola kedudukan batuan hidup yang berselerak, ia bukan kerja mudah. "Menarik bukan? Kontraktor yang bertanggungjawab membuatnya perlu mengikuti kursus etika dan tanggungjawab pemuliharaan serta keselamatan. "Bukan sekadar memasak kayu dan besi tanpa menjejaskan struktur gua, mereka juga bekerja dengan ketelitian maksimum agar kerosakan serta pencemaran dapat dielakkan. "Pihak konsultansi taman negara juga memantau penuh sewaktu kerja-kerja pemasangan dijalankan," jelas seorang lagi jurupandu eksplorasi, Jenny Malang, yang menunjuk arah dalam ekspedisi Gua Rusa. Sungai bawah tanah Lawatan terakhir kami adalah ke lokasi gua paling hujung dalam kompleks gua di taman negara tersebut iaitu Clearwater Cave. Mendengar namanya sahaja sudah mencetuskan bayangan tentang sebuah tempat takungan air yang indah. Namun, ganjaran pemandangan sebegitu tidak mudah dikecapi. Menurut salah seorang peserta eksplorasi yang juga mantan Setiausaha Eksekutif SKUM, Mohd. Zulkifli Hashim, 32, dia amat teruja mengikuti aktiviti treking ke gua berkenaan walaupun menempuh jerih payah di laluan yang jauh, tinggi dan curam.
"Treking ke Clearwater Cave tidak akan lengkap jika tidak mandi di kolam yang jernih airnya. Rasa letih serta-merta hilang sejurus tiba di situ," ujarnya yang tidak melepaskan peluang beraksi di dalam air untuk lensa kamera. Menarik mengenai kolam yang juga kepala sungai itu ialah sifat lembut airnya yang membias warna hijau firus. Air kolam itu sebenarnya muncul dari sistem air bawah tanah yang mengalir melalui celah-celah batu dari kaki bukit. Di sebalik bukit batu itu pula tersembunyi sebuah terowong gua dengan sistem aliran sungai bawah tanah. Dengan penemuan laluan air yang bersambung dengan sistem gua lain, ia merupakan sungai bawah tanah yang terpanjang di bahagian Asia Selatan iaitu melebihi 150 kilometer! Segala yang ditemukan di dalam kompleks gua di Taman Negara Gunung Mulu adalah warisan negara yang tidak tertanding kehebatannya. Sememangnya tanggungjawab mengekalkan khazanah itu terletak pada bahu setiap daripada kita yang menghargai kejadian ciptaan Tuhan. Plat bumi akan terus bergerak. Air akan terus mengalir dan menitis di atas batu. Hujan asid dan bencana gempa di rantau ini juga akan terus meninggalkan kesan terhadap nasib fizikal gua-gua di Mulu. Semua itu tidak seharusnya mengubah apresiasi kita terhadapnya. Bak kata Syria: "Andainya saya ditakdirkan mati di dalam gua dan sukar untuk ditemui atau dikeluarkan, tinggalkan saja saya. Biarkan mayat saya bersemadi di sini kerana inilah dunia saya". | |||
| Dicabar arus deras Sungai Kampar Posted: 11 May 2012 06:42 PM PDT
PERJALANAN menaiki lori yang mengambil masa kira-kira 20 minit melalui laluan berliku sejauh 10 kilometer menjadi titik mula keseronokan kunjungan ke My Gopeng Resort, Perak pada minggu lalu. Seramai kira-kira 50 peserta dalam kalangan petugas media dan blogger kelihatan begitu teruja. Bukan sahaja kerana pertama kali menaiki lori dan melalui kawasan perkampungan yang mendamaikan, malah rata-rata peserta begitu berdebar untuk mencuba untuk aktiviti white water rafting atau mengharung jeram Dari Gaharu Technologies Sdn. Bhd. atau turut dikenali sebagai Gaharu Tea Valley, kesemua peserta dibawa ke My Gopeng Resort menaiki dua buah lori yang diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Kunjungan tersebut adalah bersempena Kembara Cuti-cuti Satu Malaysia (KCC1M) Jom Terokai Perak! anjuran Tourism Perak dan majalah Gaya Travel. Sebaik sahaja tiba di My Gopeng Resort, rombongan disambut Pengarahnya, Oii Beng Yeaw dan Pengurus Resort, Shawn Low. Menurut Beng Yeaw, aktiviti mengharung jeram di My Gopeng Resort menuntut para peserta menyusuri Sungai Kampar sejauh 10 kilometer (km) yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah. "Paras air ketika ini adalah sederhana dan tidak membahayakan iaitu di paras dua. Lebih tinggi paras air, lebih mencabar sebenarnya," katanya. Beng Yeaw memberitahu, sepanjang 10km berkenaan, peserta akan mengharungi 10 hingga 15 gred jeram yang mendebarkan dan kerjasama setiap peserta diperlukan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. "Perjalanan yang mencabar ini tidak membahayakan peserta sekiranya mereka mematuhi peraturan sebagaimana yang telah diajar oleh jurupandu sungai sebelum aktiviti dimulakan. "Ia penting bagi memastikan setiap peserta bersedia bertindak terhadap sebarang kemungkinan, daripada cara mendayung dengan betul, latihan terbalik, arahan berkayuh, kaedah menyelamat dan banyak lagi teknik mengikut situasi," jelasnya. Jurupandu berpengalaman ![]() PARA peserta aktiviti ekstrem sempat merakamkan gambar kenangan di atas lori. Menurut Beng Yeaw, jurupandu sungai yang disediakan bagi setiap rakit angin adalah mereka yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan dan pernah melalui aktiviti harung jeram pada paras bahaya. "Kesemua jurupandu kami yang dibawa khas dari Sabah berpengalaman mengendalikan aktiviti ini pada paras air merbahaya iaitu paras lima. "Bagaimanapun, sejak My Gopeng Resort ditubuhkan, belum pernah sebarang kemalangan dicatatkan," katanya yang mahu rekod itu kekal sedemikian. Sementara itu, Shawn pula memberitahu, setiap peserta yang mengikuti aktiviti arung jeram mestilah meletakkan kepercayaan penuh kepada jurupandu terutama apabila berlaku kejadian seperti rakit terbalik atau hanyut di jeram. "Peserta juga boleh bertanya apa sahaja mengenai sukan ekstrem ini kepada jurupandu sepanjang aktiviti ini berlangsung. "Jurupandu akan sentiasa mengutamakan keselamatan peserta dan memastikan peserta bersedia sebelum cabaran diteruskan," katanya. Dalam pada itu, sebaik sahaja sesi taklimat dengan para peserta berakhir, peserta dibawa ke lokasi permulaan yang terletak dalam jarak berjalan kaki kira-kira lima minit sahaja. Peserta yang lengkap dengan jaket dan topi keselamatan dihanyutkan mengikut arus sejauh kira-kira 20 meter terlebih dahulu bagi menguji kepekaan mereka dengan teknik menyelamat menggunakan tali. Bagaimanapun, dalam latihan cabaran tersebut, terdapat peserta yang menarik diri kerana tidak yakin dengan kebolehan meredah jeram. Kira-kira 20 orang peserta meneruskan aktiviti itu, manakala selebihnya dibawa menaiki lori ke lokasi air terjun berhampiran. Suka aktiviti air ![]() PAKAIAN yang sesuai dan kelengkapan yang sempurna menjadi syarat utama sukan air ini. Selepas berjaya menempuh jarak 10km yang paling seronok dan mendebarkan, para peserta harung jeram kembali ke resort kira-kira dua jam kemudian untuk menikmati makan tengah hari yang disediakan pihak resort. Salah seorang peserta yang juga penulis blog pengembaraan sixthseal.com, Poh Huai Bin, 31, memberitahu, sebab utamanya menyertai KCC1M adalah kerana teruja untuk mengikuti aktiviti harung jeram di My Gopeng Resort. "Saya sangat menggemari aktiviti sukan air yang mendebarkan. Antara pengalaman saya adalah berkayak di laut di Australia dan berkayak di jeram di Palagus, Sarawak. "Para jurupandu sungai di sini amat mementingkan keselamatan peserta. Peserta perlu merasai pengalaman dibawa arus deras terlebih dahulu sebagai persediaan mengikuti aktiviti ini," katanya. Dalam aktiviti berkenaan katanya, dia duduk di bahagian hadapan rakit dan berasa amat teruja apabila ia bergerak laju mengikut arus. "Saya juga belajar memusingkan pendayung dengan tangan seperti watak Darth Maul dalam filem Star Wars. Saya belajar melakukannya daripada salah seorang jurupandu sungai. "Bagaimanapun, saya telah terjatuh sekali tetapi berjaya naik semula ke dalam rakit tanpa bantuan sesiapa. Ia pengalaman yang amat menyeronokkan," katanya penuh semangat. ![]() TAKLIMAT mengenai aktiviti menyelamat disampaikan oleh jurupandu berpengalaman yang dibawakan khas dari Sabah. Menarik tentang aktiviti itu katanya, ia sesuai untuk semua lapisan umur termasuk mereka yang tidak tahu berenang. "Semua peserta memakai jaket keselamatan yang akan memastikan mereka timbul di permukaan air dan tidak akan lemas. "Aktiviti ini dijalankan pada waktu tengah hari. Saya difahamkan, kalau dilakukan pada waktu petang, arusnya lebih deras dan lebih mencabar," katanya yang bercadang untuk membawa rakan-rakannya datang ke My Gopeng Resort pada masa akan datang. | |||
| Kemeriahan di kaki Gunung Santubong Posted: 11 May 2012 06:41 PM PDT ![]() KUNJUNGAN ke KBS dapat memberikan banyak pengetahuan mengenai budaya dan adat suku kaum di Sarawak. TEMPOH percutian yang singkat pastinya tidak cukup untuk menjelajah ke seluruh negeri Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian nilai warisan budaya. Agak mustahil bagi seseorang untuk menjelajah ke seluruh pelosok negeri seluas 124,000 kilometer persegi itu. Maka, satu-satunya cara untuk mengenali isi negeri tersebut secara pantas adalah dengan berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak (KBS). Terletak di Santubong iaitu sejauh 35 kilometer dari Kuching, kunjungan sehari ke lokasi itu bakal membawa pengunjung menyerap kekayaan budaya suku-suku kaum utama negeri Sarawak iaitu Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Melanau, Melayu dan Cina. Kediaman-kediaman unik bagi setiap kaum dibina di atas taman alam seluas 4.25 hektar itu. Bukan sekadar pameran seni bina fizikal, setiap satunya 'dihidupkan' dengan aksi dan keunikan cara hidup penghuninya yang berbeza-beza. Berlatarbelakangkan pemandangan indah di kaki Gunung Santubong, tapak kawasan KBS sebenarnya adalah bekas kawasan perkampungan nelayan dan hutan belantara. Di pintu masuk, tetamu akan disambut dengan beberapa patung ukiran yang menggambarkan kepercayaan warisan pelbagai suku kaum yang diketengahkan di KBS. Setiap rumah di kampung budaya yang berstatus muzium hidup itu, elemen seni bina tradisional begitu kuat menarik perhatian pengunjung. Rumah Bidayuh misalnya, menampilkan struktur yang unik iaitu seperti sebuah pondok besar berbentuk bulat atau dipanggil 'baruk'. Menurut sejarah, kaum yang asalnya menetap di tebing Sungai Sadong dan Sungai Sarawak itu gemar membuat rumah di lereng bukit sehingga kelihatan seperti binaan tangga gergasi. Selain mengurangkan risiko serangan musuh, corak binaan sedemikian memberi kelebihan buat mereka mengumpulkan air dari bukit. Empangan kecil pula dibina untuk menyalurkan air ke kawasan kampung menggunakan pancang-pancang buluh. Rumah panjang ![]() BERTEMPAT di panggung KBS, pelbagai persembahan tradisi suku kaum negeri dapat disaksikan malah penonton turut berpeluang menari bersama mereka. Kaum Iban atau nama lainnya Dayak Laut membina rumah panjang yang boleh bertahan antara 15 hingga 20 tahun. Mereka hanya berpindah apabila tanah di sekeliling rumah panjang mereka mula mendap atau kurang subur. Menggunakan kayu balak sebagai kerangka rumah dan susunan pada atapnya, rumah yang lazimnya dibina berhampiran sungai itu memiliki koridor atau 'ruai' panjang di bawah satu bumbung. Koridor tersebut menjadi tempat pertemuan antara penghuninya. pasti disambut demonstrasi menenun tekstil warisan mereka, pua kumbu. Rumah Melanau adalah antara kediaman peribumi Sarawak yang paling menyerlah kerana ia dibina setinggi 40 kaki (12 meter) dari tanah. Tujuan utama adalah untuk menghalang serangan musuh dan mengelak banjir. Menariknya, kaum yang asalnya menetap berhampiran kawasan pinggir pantai ini menjadikan sagu sebagai makanan utama berbanding nasi. Pertukangan pedang 'Nu denge?' Itulah sapaan Orang Ulu yang dikatakan gemar membina penempatan berselerak di kawasan tanah tinggi dan di tebing sungai. Bagaimanapun, kaum yang menjadikan pertanian sebagai sumber makanan itu membina rumah panjang mereka supaya dapat diduduki untuk tempoh yang lama. Orang Ulu juga amat terkenal dengan kemahiran seni pertukangan pedang. Tarikan utama yang tidak boleh dilepaskan pengunjung KBS ialah persembahan kebudayaan di panggungnya yang berlangsung sebanyak dua sesi sehari. Di situ, pengunjung dapat melihat keunikan tarian masyarakatnya seperti Ngajat Lesong dan Ngajat Pahlawan. ![]() DALAM beberapa buah rumah suku kaum di KBS, terdapat pelbagai aktiviti kraf dijalankan seperti menenun dan memasak kuih-muih tradisi. Menurut seorang pengunjung KBS, Adam Amirul, 25, kunjungannya ke kampung istimewa itu pada tahun lalu adalah kerana tertarik dengan kekayaan budaya suku kaum di Sarawak. "Selain keunikan rumah-rumah suku kaum di Sarawak yang dipamerkan di sini, pengunjung dapat mengetahui banyak maklumat mengenai kebudayaan Sarawak melalui kakitangan dan pegawai yang ditempatkan di setiap rumah. "Maklumat dan komunikasi diterima secara diterima secara interaktif terutamanya ketika persembahan kebudayaan di panggung KBS dilangsungkan. Para penari kebudayaan bijak menarik perhatian penonton dengan gelagat mereka," katanya. Tambahnya, dalam persembahan kebudayaan berkenaan juga, penonton diberi peluang merasai pengalaman membabitkan aktiviti gaya hidup dan kebudayaan tempatan seperti menari dan menyumpit. "Penonton terpilih berpeluang melakukan aksi menyumpit di atas pentas, manakala di akhir persembahan, penonton diajak menari bersama-sama dengan penari-penari kebudayaan," katanya. | |||
| Posted: 11 May 2012 06:41 PM PDT ![]() PULAU MANUKAN menawarkan suasana gaya hidup pulau yang menyeronokkan. KEDUDUKANNYA yang saling berdekatan dan menawarkan keindahan pantai yang memutih serta dikelilingi lautan membiru menjadi tarikan utama bagi tiga buah pulau iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik serta Pulau Sapi di perairan Sabah. Hanya kira-kira 15 minit dari Jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu, pengunjung akan disambut oleh ramai operator pelancongan yang menawarkan perkhidmatan jelajah pulau dengan bot, sukan pantai dan rekreasi marin. Terletak di dalam zon Taman Marin Tunku Abdul Rahman, pelbagai aktiviti gaya hidup pulau bioleh disertai. Selain di tiga buah pulau itu, terdapat juga pilihan pulau lain seperti Pulau Gaya dan Pulau Sulug. Di Pulau Manukan, walaupun ia kurang popular berbanding Pulau Sapi, ia tetap kaya dengan variasi hidupan marin yang berwarna-warni. Tarikan alam lautan itu mudah ditemui melalui aktiviti snorkeling atau ketika aktiviti memberi ikan makan di jeti pulau. Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang membawa roti kerana ikan-ikan karang di sekitar kawasan tersebut tidak takut untuk mendekati manusia. Di pulau itu juga, terdapat beberapa gerai makanan yang menjual masakan tempatan dan mi segera untuk mereka yang tidak sempat membawa makanan sendiri. Kemudahan pengunjung ![]() KEINDAHAN panorama yang serba indah di Pulau Sapi. Meja dan tempat duduk kayu yang selesa turut disediakan di sepanjang pantai bagi kemudahan pengunjung yang datang bagi tujuan perkelahan bersama keluarga atau untuk berehat sebentar selepas penat bermain air. Sementara itu, Pulau Mamutik juga mempunyai tarikan yang tidak kurang hebatnya. Dahulu, ia kurang popular ekoran kekurangan kemudahan dan kelengkapan aktiviti sukan tetapi kini persediaannya menarik perhatian pengunjung dilihat semakin mendahului Pulau Manukan dan Sapi. Ruang berehat, tandas, kedai cenderamata dan kafe kecil mudah ditemui di sekitar Pulau Mamutik bagi memenuhi keperluan pengunjung. Uniknya, reka bentuk bangunan dan kemudahan itu kelihatan agak serupa dengan yang terdapat di Pulau Sapi. Persamaan itu sebenarnya menjadi kelebihan setiap kali tiba musim puncak kerana kesesakan di sesebuah pulau dapat dielakkan dengan adanya tarikan serupa di pulau-pulau berhampiran. Untuk menghabiskan detik santai, lokasi yang wajib dilawati ialah kafe-kafe berkonsep terbuka. Sambil dibuai bayu laut, harga hidangan yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak seperti kebanyakan pulau peranginan yang cenderung mengenakan harga tinggi. Keindahan pantai juga menjadi pertaruhan di Pulau Mamutik. landskap hijau dari pokok daun hiasan dan pokok sena banyak melatari pemandangan pulau lantas mencipta suasana yang redup dan damai. Tumpuan utama ![]() SEBARANG pertanyaan tentang aktiviti di pulau boleh didapatkan di pejabat urusan Taman Marin Tunku Abdul Rahman. Dalam pada itu, Pulau Sapi pula sememangnya menjadi tarikan utama di Taman Marin Tunku Abdul Rahman. Kejernihan airnya seolah-olah tiada tandingan di situ. Berdasarkan pendapat umum, Pulau Sapi dianggap sebagai pulau terbaik di situ namun keluasannya yang terhad sudah tentu tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang ramai pada satu-satu masa. Justeru, sekiranya ingin berkunjung ke situ, dapatkan maklumat trafik daripada operator-operator pelancongan yang banyak terdapat di jeti. Pada waktu siang di Pulau Sapi, aktiviti pantai seperti snorkeling menjadi tarikan utamanya. Kontur pantainya yang landai untuk aktiviti renang menambahkan kelebihannya sebagai salah sebuah lokasi pantai tercantik di rantau ini. Begitupun, variasi kehidupan marinnya tidak 'semeriah' Pulau Manukan. Justeru, ramai pengunjung yang datang ke Pulau Sapi adalah untuk menikmati aktiviti yang lebih relaks seperti berjemur di tepian pantaidan menyaksikan keajaiban suasana ketika matahari terbenam. Terdapat juga kumpulan pelancong yang berkunjung ke sini sekadar untuk mengadakan aktiviti barbeku bersama keluarga dan rakan-rakan. Semua pakej barbeku yang seronok dan menyelerakan turut disediakan oleh operator pelancongan. | |||
| Posted: 11 May 2012 06:40 PM PDT ![]() STRUKTUR Stadium Nasional Beijing yang disokong keluli-keluli padu mampu menahan impak gegaran sehingga 8.0 pada skala Richter. KETIKA temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 yang lalu, dunia menyaksikan salah satu mercu tanda baharu yang begitu menakjubkan di Beijing. Stadium Nasional Beijing atau 'Stadium Sarang Burung' yang mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan itu menjadi lokasi acara pembukaan dan penutup Sukan Olimpik di samping kejohanan olahraga dan perlawanan akhir bola sepak lelaki. Direka oleh firma arkitek dari Switzerland, Jacques Herzog dan Pierre de Meuron, stadium berharga RM1.6 bilion itu dibina melangkaui imaginasi dan teknologi kejuruteraan moden pada hari ini. Kedua-duanya tampil dengan idea kembali ke zaman silam iaitu jauh daripada unsur moden. Dengan formasi asimetri, mereka mencabar diri untuk mereka bentuk sebuah stadium yang penuh dengan ciri estetika. Stadium itu dibina dengan menggunakan 42,000 tan keluli, sekali gus menjadikannya struktur keluli terbesar di dunia selepas Menara Effel di Paris, Perancis. Binaan mega itu didakwa mampu bertahan sehingga 100 tahun dan impak gegaran 8.0 pada skala Richter. Rahsia kekukuhannya terletak pada struktur tiangnya yang dihasilkan daripada keluli tahan lasak sesuai dengan iklim cuaca di Beijing. Berukuran 330 meter panjang, 220 meter lebar dan 69.2 meter tinggi, struktur stadium itu disokong 24 kekuda bertiang yang dipasang di sekelilingnya di mana setiap satunya seberat 1,000 tan. Kekuda bertiang itu kemudiannya dipateri antara satu sama lain dengan tiang-tiang rasuk kecil yang bertujuan mengukuhkan strukturnya seumpama ilusi sebuah sarang burung gergasi. Rekaan Jacques Herzog dan Pierre de Meuron itu turut menitikberatkan aspek seni bina yang bersifat kemanusiaan. Setiap barisan kerusi penonton direka secara saintifik. Tidak kira di manapun penonton duduk, mereka masih boleh menyaksikan keseluruhan permainan atau acara yang diadakan tanpa sebarang halangan atau objek. Kapasitinya yang besar sehingga mampu memuatkan kira-kira 91,000 penonton menyebabkan ia turut dilengkapi sistem audio visual yang canggih dan mampu memberikan kepuasan menyeluruh. Stadium Nasional Beijing juga mempunyai sebuah hotel bertaraf empat bintang yang mampu memuatkan kira-kira 80 pengunjung, sebuah restoran yang menawarkan panorama trek dan balapan, pusat beli-belah berkembar yang terletak di aras bawah. Arkiteknya juga mendakwa, stadium itu memiliki ciri mesra alam. Paip air panas bawah tanah digunakan untuk memanaskan ruang stadium ketika musim sejuk manakala air hujan pula dikumpulkan dan disimpan di dalam tangki bawah tanah untuk dikitar semula. | |||
| Posted: 11 May 2012 06:38 PM PDT
MENJELANG tahun 2020, jalan raya di Malaysia dijangka dihuni oleh 10 hingga 15 peratus kenderaan elektrik atau EV. Tidak mengeluarkan sebarang emisi karbon dioksida (CO2), EV dilihat sebagai mode mobiliti masa depan yang lebih mesra alam berbanding kenderaan-kenderaan lain termasuklah hibrid. Kalau diikutkan, kenderaan yang digerakkan oleh motor elektrik bukanlah baru. Inovasi itu sudah wujud sekitar tahun 1900 lagi. Namun, disebabkan oleh isu bateri mahal, perlahan, berat dan jarak yang mampu dicapainya tidak jauh, idea itu digantikan dengan enjin pembakaran dalaman menggunakan bahan api petrol atau diesel. Kini, idea itu kembali dikutip bersama pelbagai teknologi tercanggih. Situasi itu terbukti apabila kebanyakan pengeluar kenderaan di dunia, sama ada berskala kecil atau besar kembali ligat membina jentera EV masing-masing. Dalam banyak-banyak pengeluar, cuma Nissan yang menghasilkan EV secara massa. Diberi nama LEAF, EV itu mendapat sambutan memberangsangkan sebaik sahaja ia diperkenalkan ke pasaran pada Disember 2010. Sehingga kini, sebanyak 27,000 unit berjaya dijual dengan majoritinya di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Jepun. Di Asia Tenggara, Nissan LEAF terlebih dulu sampai di Singapura pada Disember 2011. Sebanyak 25 unit Nissan LEAF digunakan dalam program ujian selama tiga tahun bagi mengetahui kesesuaian penggunaan EV itu di republik terbabit. Malaysia nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam mempromosikan penggunaan kenderaan berteknologi hijau. Bukti paling jelas dapat dilihat melalui inisiatif yang digariskan dalam Polisi Teknologi Hijau Kebangsaan. ![]() KETUA Pemasaran ETCM, Anthony Tan (kiri) bersama Ang ketika majlis pengenalan model Nissan LEAF dan pelancaran program Journey to Zero Emission di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai 2009, ia bermatlamat memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, selain mengurangkan emisi CO2 yang menyumbang kepada pemanasan global. Inisiatif itu disokong oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) yang baru-baru melancarkan Program Perintis Nissan LEAF. Ia merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia dan dikenali sebagai Journey to Zero Emission. Dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed Journey to Zero Emission menjadi medan buat ETCM meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai EV ciptaan Nissan di samping melaksanakan kajian kebolehlaksaan EV di jalan raya Malaysia. Sokongan kerajaan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng menyatakan cabaran paling besar buat EV berkait rapat dengan infrastruktur (stesen pengecas), selain polisi atau persetujuan daripada kerajaan. Namun begitu, Bon Beng memberitahu, pihaknya ada berbincang dengan pemilik pusat beli-belah, pengendali stesen minyak dan pengedar kenderaan Nissan untuk menyediakan tempat pengecasan. Bukan itu sahaja, pelanggan yang memiliki Nissan LEAF juga boleh mengecas kenderaan mereka menggunakan poin elektrik yang akan dipasang oleh juruteknik ETCM. Harganya pun murah, kurang RM500. Setiap kali cas penuh selama lapan jam, anda hanya dikenakan bil sebanyak RM7.90 oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pendek kata, andai semua pihak boleh memberi kerjasama, maka secara logiknya, pelaksanaan EV di Malaysia tidaklah sesukar yang kita fikirkan. "Betul, tetapi harus tahu bahawa pembinaan infrastruktur ini bukannya murah. Jadi, ETCM tetap memerlukan sokongan kerajaan bagi membolehkan pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan realistik," kata Ang. Program Journey to Zero Emission akan berlangsung sehingga hujung tahun ini. Sepanjang tempoh itu, sebanyak sepuluh unit LEAF akan digunakan oleh agensi-agensi kerajaan, pihak media dan orang awam. ![]() RUANG kargo yang cukup luas untuk mengisi dua beg golf atau barang-barang keperluan lain. Berapa harga Nissan LEAF? Setakat ini, ETCM masih belum merancang untuk menjualnya. Fokus kini lebih tertumpu kepada kesedaran mengenai EV, kelebihannya dan mendapat maklum balas daripada orang ramai. Maklumat itu kemudian akan dikongsi dengan Nissan Motor Jepun bagi memastikan Nissan LEAF benar-benar sesuai dengan kondisi pemanduan dan keperluan pengguna tempatan pada masa depan. Program Perintis Nissan LEAF akan dilangsungkan di Lembah Kelang yang memiliki populasi kenderaan paling besar, selain menjadi pusat tumpuan di Malaysia. Selain siri jelajah, anda berpeluang untuk memandu uji Nissan LEAF di lokasi-lokasi terpilih. ETCM juga akan memilih beberapa orang rakyat Malaysia untuk menjadi Duta LEAF. Mereka akan 'hidup' bersama EV berkenaan dalam tempoh tertentu. Duta LEAF bukan terdiri daripada selebriti. Jadi, anda boleh memohon untuk menjadi salah seorang dutanya, tetapi mestilah menepati kriteria yang telah ditetapkan. Saya sempat memandu uji Nissan LEAF bermula dari bilik pameran ETCM di Jalan Kemajuan, Petaling Jaya, memasuki Lebuh Raya Sprint sebelum membuat pusingan di simpang menuju ke Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC). Walaupun jarak dan tempoh pandu uji tersebut cukup singkat, Nissan LEAF mengagumkan saya. Karekter pemanduannya tidak jauh bezanya dengan kereta konvensional, malah motor elektrik itu memberikan kuasa dan tork serta-merta sebaik sahaja pedal ditekan. ![]() KONSOL tengah dihuni oleh unit audio dan paparan maklumat pemanduan yang kelihatan seperti sebuah komputer tablet. Ketika bateri penuh, Nissan LEAF mampu bergerak sejauh 160 kilometer, tetapi masih bergantung kepada cara anda memandu. Secara tidak langsung ia dilihat sebagai mode pengangkutan paling ideal buat mereka yang bergerak tidak melebihi 100 kilometer sehari. Nissan LEAF memiliki tahap pengendalian seperti sebuah hatchback biasa. Ruang kabinnya juga senyap dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi canggih yang pastinya membuatkan pemilik kereta lain cemburu jika anda memilikinya. Bila boleh beli Nissan LEAF? Kita tunggu dan lihat. Mungkin ia tidak lama sebagaimana yang kita anggarkan. | |||
| Prius c kereta bandar yang ideal Kereta bandar yang ideal Posted: 11 May 2012 06:37 PM PDT ![]() REKA bentuk luaran Prius menekankan aspek aerodinamik. KENDERAAN hibrid tidak lagi asing di Malaysia. Walaupun jumlahnya tidaklah banyak, namun peningkatan jualan jelas menunjukkan bahawa pengguna sudah boleh mengadaptasi teknologi tersebut dalam kehidupan harian mereka. Populariti kereta hibrid juga disumbang oleh ketidaktentuan harga bahan bakar, peningkatan kos sara hidup dan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar. Justeru, situasi itu dilihat sebagai masa paling tepat buat pengeluar kereta untuk memperkenalkan kenderaan hibrid masing-masing. Turut membantu merancakkan pengenalan kereta hibrid di pasaran tempatan pastinya insentif pengecualian cukai yang diumumkan oleh kerajaan. Di Malaysia, kereta hibrid terlebih dulu diperkenalkan oleh Honda Malaysia menerusi model Civic Hybrid. Tawaran tidak terhenti di situ apabila satu demi satu model hibrid memasuki pasaran. Di pasaran tempatan, persaingan model hibrid tertumpu kepada dua gergasi automotif dari Jepun, Toyota dan Honda. Honda membariskan model-model seperti Insight dan Jazz Hybrid. Sementara Toyota pula menyahut cabaran menerusi model Prius dan Prius c. Berada dalam pasaran yang amat sensitif terhadap harga, Toyota dan Honda nampaknya cuba mengumpan pelanggan dengan cara menawarkan harga yang mampu milik. Hasilnya, majoriti model-model yang disebutkan tadi berada di takat bawah RM100,000. Baru-baru ini, saya memandu uji Prius c yang menjadi pesaing buat model Honda Insight dan Jazz Hybrid. Di pasaran Jepun, ia dipanggil Aqua dan memiliki tubuh lebih kecil dan ringan berbanding model hibrid penting Toyota iaitu Prius. Prestasi Prius c ![]() REKAAN bahagian belakang yang ringkas dan sporty. C itu merujuk kepada perkataan 'City' (bandar), lokasi paling sesuai untuk memandu jentera tersebut. Prius c dikuasakan oleh sistem Hybrid Synergy Drive (HSD) yang terdiri daripada enjin petrol dan motor elektrik. Seperti biasa, sistem itu menawarkan pemanduan yang senyap, lancar, jimat bahan api dan tidak menghampakan dari segi tujahan kuasa. Secara jujurnya, saya terkejut dengan prestasi Prius c. Tipikal kereta sebegini, kuasa tork diberi perhatian. Petanda awal yang diberikan, ia bukan sebuah kereta yang lembap. Jadi, memandu di kawasan bandar yang kerap berhenti dan berkelajuan sederhana memang memuaskan hati. Apabila masuk ke lebuh raya, karekternya sedikit berubah. Masih menawarkan pemanduan yang lancar, enjin Prius c bagaimanapun mengaum agak kuat apabila pedal ditekan keras untuk mendapatkan kuasa tambahan ketika memotong. Namun, nisbah berat dan kuasa enjin yang boleh dianggap ideal membuatkan jentera itu mampu memberikan prestasi sewajarnya. Saya pernah memandu model Prius sebelum ini. Perkara paling diingati dan tidak disukai ialah respon breknya yang terlalu responsif dan tidak natural. Mujur keadaan sama tidak berlaku pada Prius c. Ia bertindak seperti brek konvensional, biarpun proses pengecasan bateri berlaku apabila brek ditekan. Dibina di atas kerangka Yaris, jentera itu menawarkan ruang kabin yang memuaskan. Hatchback itu mampu menempatkan empat orang dewasa dengan selesa. Ruang kokpit Prius c tidaklah secantik atau secanggih model Prius. Malah papan pemukanya dipenuhi plastik berwarna hitam dan kelabu yang sekali pandang nampak macam murah. Harus faham bahawa ia terpaksa jadi begitu untuk mengurangkan kos. Namun, butang kawalan dan fungsi setiap butang yang ada tidak memerlukan masa lama untuk difahami serta dioperasi. ![]() PAPARAN diagram mengenai aliran tenaga yang dihasil dan digunakan ketika memandu. Menjadi sebuah model yang dijual di pasaran global, Prius c boleh diharap jika dilihat dari aspek keselamatannya. Jentera kecil itu dipasang dengan pelbagai sistem keselamatan pasif dan aktif. Antara yang tertera dalam brosurnya ialah sistem brek ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control (VSC) serta Traction Control (TRC). Ia juga dilengkapi tujuh beg udara dan ISOFIX. Dari segi pengendalian, saya tiada isu dengannya. Prius c masih boleh menyusuri selekoh tanpa banyak soal dan kurang olengan tubuh, dengan syarat ia dipandu pada kelajuan sewajarnya. Ditawarkan menerusi lima warna iaitu merah, jingga, hitam, putih serta hitam, hatchback itu kelihatan sporty dan muda. Mahu memilikinya? Anda mungkin perlu menunggu agak lama berikutan sambutan hangat yang diterimanya. Tetapi saya boleh jamin bahawa penantian itu cukup berbaloi. | |||
| Mazda CX-5 pengubah permainan untuk Mazda Posted: 11 May 2012 06:37 PM PDT ![]() TEKNOLOGI SKYACTIV membolehkan CX-5 mencapai tahap penggunaan minyak yang cukup menjimatkan. ENAMA Mazda di negara kita masih tidak berapa popular. Jika ditanya bakal pembeli kereta, entah tersenarai atau tidak jenama itu dalam senarai pendek mereka. Pada hal Mazda mempunyai produk untuk hampir semua segmen. Produk mereka juga bukanlah teruk sangat, malah boleh dikategorikan sebagai cemerlang. Mazda2 misalnya pernah memenangi anugerah World Car of the Year 2008. Mazda6, Mazda5 dan Mazda3 pula mempunyai reka bentuk tersendiri berbanding pesaing dalam segmennya. Mungkin jika dikira dari segi harga, produk Mazda sedikit mahal berbanding jenama Jepun lain. Namun, harus tahu semua produknya kecuali Mazda3 (CKD) dan Mazda2 (Thailand) adalah diimport sepenuhnya dari Jepun. Bahkan ada laporan menyatakan bahawa Mazda hanya mempunyai satu standard sahaja dalam pengilangan produk. Semuanya mengikut standard Jepun. Boleh jadi Mazda kurang popular di pasaran tempatan kerana promosi yang tidak berapa kuat. Seterusnya menyingkirkan terus jenama itu daripada senarai pendek bakal pembeli kereta. Namun senario itu dijangka berubah dengan pengenalan model CX-5 di pasaran tempatan nanti. Ini kerana Mazda CX-5 2.0 liter FWD menawarkan penggunaan minyak hanya enam liter untuk 100km perjalanan (kitaran gabungan EU). Jika dikira secara rambang, model itu hanya memerlukan RM12 untuk berulang-alik dari Ampang ke Bandar Baru Nilai. Jika fakta itu betul, Bermaz selaku pengedar Mazda hanya memerlukan sedikit sahaja usaha untuk memperkenalkan CX-5 kepada umum. Selebihnya pasti akan dihebahkan dari mulut ke mulut. Barang baik pasti orang cari. Tiga variasi enjin Di tanah kelahiran CX-5 itu sendiri di Jepun, tempahan yang diterima untuk bulan pertama adalah sebanyak 8,000 unit, lapan kali ganda berbanding sasaran awal Mazda. Di United Kingdom (UK) pula, sasarannya adalah sebanyak 4,000 unit untuk tahun pertama jualan. Apa yang menjadi tarikan utama kepada CX-5 adalah teknologi SKYACTIV dan bahasa rekabentuk baharu Mazda iaitu KODO Soul of Motion Design. "Kenderaan pertama Mazda dengan teknologi inovatif SKYACTIV ini bakal mengubah segmen SUV kompak di Britain. Teknologi SKYACTIV mempunyai pembahagian sendiri pada setiap elemen kereta yang membolehkan Mazda menghasilkan SUV kompak yang menerajui kelas emisi dan penggunaan minyak. "Semua itu ditawarkan tanpa mengorbankan ciri pemanduan dinamik atau harga. Tidak seperti jenama lain dengan label eco (ekologi) atau kenderaan hibrid dan elektrik," kata Pengarah Jualan Mazda UK, Peter Allibon. Teknologi SKYACTIV tertumpu kepada tiga bahagian utama iaitu teknologi kerangka ringan, enjin dengan nisbah mampatan tinggi dan transmisi enam kelajuan manual dan automatik yang efisyen. Di UK, CX-5 bakal ditawarkan menerusi tiga varian enjin iaitu 2.0 liter SKYACTIV-G petrol 165PS, 2.2 liter SKYACTIV-D turbo diesel berkuasa 150PS atau 175PS. Opsyen transmisi yang ditawarkan pula ialah enam kelajuan manual SKYACTIV-MT dan SKYACTIV automatik. Kedua-dua transmisi itu direka dan dibangunkan dari awal untuk memaksimumkan potensi enjin SKYACTIV-D dan SKYACTIV-G. ![]() SEPERTI biasa, Mazda menggunakan tona hitam untuk kabin SUV kompak keluarannya ini. Transmisi SKYACTIV-Drive automatik menggabungkan ciri-ciri transmisi automatik konvensional, continuously variable transmissions (CVT) dan transmisi klac berkembar dalam pakej yang kompak dan ringan. Hasilnya, penggunaan minyak lebih efisyen, rasa gear lebih engage serta pertukaran gear yang lancar dan cepat. Transmisi SKYACTIV-MT pula direka bentuk supaya pemandu merasa setiap pertukaran gear lebih kemas seperti yang dirasai oleh pemandu model sporty iaitu MX-5. Kotak gear enam kelajuan itu dibina dengan teliti dan inovatif supaya pergerakan alat dalaman dikurangkan secara signifikan. Ini sekali gus menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan kepada tiga kilogram dan satu peratus dalam penggunaan minyak. Harus tahu juga bahawa setiap Mazda CX-5 didatangkan dengan Smart City Brake Support (SCBS). Ia berfungsi apabila kenderaan bergerak pada kelajuan rendah, brek akan diaktifkan secara automatik dan kuasa enjin dikurangkan jika sistem mengesan kereta akan berlanggar dengan objek di hadapan. Dalam bahasa mudah, kereta akan berhenti sendiri jika hendak terlibat di dalam kemalangan!. Suka juga untuk saya kongsi, dengar khabar Mazda CX-5 bakal dilancarkan pada minggu depan di pasaran Malaysia. Model yang mungkin ditawarkan ialah SKYACTIV-G petrol versi AWD dan FWD. Harganya pula bermula dari RM165,000 dan diimport sepenuhnya dari Jepun. Mungkin mahal sedikit, tetapi ini adalah teknologi baharu dan justifikasi lain sudah saya terangkan di awal perenggan tadi. Zoom-zoom Mazda!. | |||
| Posted: 11 May 2012 06:36 PM PDT ![]() COUPE ini mampu memecut ke kelajuan 100/kmj dalam tempoh 4.3 saat sahaja. MERCEDES-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (Mercedes-Benz Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan model berprestasi tinggi terbaharunya, C 63 AMG Coupe. Pengenalan sedan dua pintu itu ditempatkan bersama dua varian sedia ada iaitu CLS 63 AMG dan CL 63 AMG. Jentera C 63 AMG Coupe ditawarkan dalam pasaran Malaysia bersama pakej prestasi AMG. Ia dikuasakan oleh unit enjin V8 bersesaran 6.208cc yang dipadankan bersama transmisi sport AMG Speedshift MCT tujuh kelajuan. Enjin tersebut mampu meledakkan kuasa sebanyak 487hp @ 6,800rpm dan tork maksimum 600Nm @ 5,000rpm. Kelajuan maksimum jentera jenama mewah Jerman itu dihadkan secara elektronik pada 280 kilometer sejam (km/j). Pecutan daripada titik pegun ke 100km/j cuma 4.3 saat. Untuk setiap 100km, model baharu tersebut menggunakan sebanyak 12.01 liter petrol. Kadar emisinya pula sebanyak 280 gram bagi setiap km. Model tersebut memiliki ciri rekaan spesifik AMG yang diadun bersama perkadaran Coupe klasik. Reka bentuk bahagian hadapan C 63 AMG Coupe dilengkapi apron baharu yang disalut warna hitam, lampu DRL (Daytime Running Lights) diod pemancar cahaya (LED), alur keluar udara pada bahagian sisi dan gril radiator. Lambang bintang Mercedes-Benz menyerlahkan lagi wajah maskulinnya. ![]() PAPAN pemuka dan stereng yang sarat dengan butang kawalan. Pandangan sisi diserlahkan dengan adanya lencana 6.3 AMG, cermin sisi gentian karbon dan rim aloi ringan AMG bersaiz 19 inci berwarna hitam. Bahagian belakang pula dipasang peresap hitam tiga sirip dengan ekzos berkembar pada kiri dan kanan jentera. Rekaan dalaman membabitkan panel instrumen diintegrasi dengan skrin, tiga kluster meter, skrin berwarna TFT dan stereng dengan butang kawalan. Tempat duduk AMG sport jentera itu turut disaluti upholsteri kulit. Ciri keselamatan C 63 AMG Coupe membabitkan teknologi seperti sistem brek ABS, Adaptive Highbeam Assist, Attention Assist, Headlamp Assist, ESP, ILS, Parktronic dengan Parking Guidance, Pre-Safe, Lane Keeping Assist, kawalan jelajah dan Blind Spot Assist. Mercedes-Benz C 63 AMG Coupe bersama pakej prestasi AMG ditawarkan pada harga RM781,888 seunit. Harga itu tidak termasuk insurans. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.mercedes-benz.com.my. | |||
| Enjin eSP untuk skuter Honda PCX125 Posted: 11 May 2012 06:36 PM PDT ![]() ENJIN eSP dilihat bakal membuatkan skuter Honda PCX125 bertambah popular. MENJADI skuter paling laris di pasaran Eropah pada tahun 2011, Honda PCX125 menggabungkan ciri penggayaan skuter lebih besar, mudah dikendalikan, stabil dan reka bentuk yang mementingkan fungsi. Bagi tahun 2012 pula, Honda PCX125 menggunakan enjin eSP (enhanced Smart Power) baharu. Enjin satu silinder dengan sistem penyejukan udara itu direka untuk lebih tahan lasak, jimat minyak, berkuasa dan senyap. Pada tahun 2006, Honda merupakan pengeluar kenderaan pertama yang mengumumkan sasaran pengurangan emisi untuk semua produk dan kilang pengeluarannya. Honda PCX125 mencipta penanda aras bagi sebuah skuter berkapasiti kecil iaitu praktikaliti, bergaya dan menyeronokkan. Jentera itu dijangka dijual di pasaran United Kingdom mulai musim panas tahun ini. | |||
| Posted: 11 May 2012 06:31 PM PDT
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Kata-kata keramat itu sesuai diberikan kepada seorang suri rumah, Afiza Azmi, 21, yang memenangi hadiah utama peraduan kempen Celcom Airtime Share anjuran syarikat telekomunikasi gergasi negara, Celcom Axiata Berhad. Suri rumah yang berasal dari Kampung Debak Laut, Sri Aman, Sarawak itu membawa pulang sebuah Proton Saga 1.3 FLX dalam satu majlis penyerahan hadiah baru-baru ini. "Saya merupakan pengguna setia rangkaian Celcom sejak lebih tiga tahun lalu dan terkejut setelah diumumkan sebagai pemenang menerusi peraduan tersebut. "Saya tidak menyangka dengan hanya menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual bersama saudara-mara dan sahabat-handai, saya dipilih sebagai pemenang hadiah utama," katanya. Menurutnya, dia juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Celcom kerana memilihnya sebagai pemenang utama peraduan tersebut. Penyerahan hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Operasi, Data Terkini Celcom, Afizulazha Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor. Peraduan yang dianjurkan oleh syarikat telekomunikasi berkenaan berlangsung selama lima minggu dan berakhir pada awal tahun ini. Sebanyak 35 buah Samsung Galaxy Tab 7 Plus diberikan kepada setiap pemenang harian yang menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual dipilih menerusi peraduan tersebut. Dalam pada itu, Afizulazha turut berkata, Celcom sentiasa memberi peluang kepada pengguna rangkaian tersebut untuk menerima ganjaran pada setiap peraduan yang ditawarkan. ![]() AFIZA (tengah) meraikan kemenangan sambil diapit oleh Azrin (kiri) dan Afizulazha pada majlis penyerahan hadiah baru-baru ini di Kuala Lumpur. "Selain daripada tawaran ganjaran, kami juga menawarkan kemudahan perkongsian tempoh bual prabayar bersama keluarga dan rakan-rakan pada bila-bila masa. "Kami juga bercadang untuk terus mengadakan peraduan bagi kempen tersebut pada tahun ini untuk disertai oleh pengguna-pengguna rangkaian Celcom, " katanya. Celcom turut mengadakan promosi melalui kempen Celcom Airtime Share yang bermula pada 5 Februari sehingga 12 Mei 2012. Pengguna Celcom berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti, televisyen LCD dan telefon BlackBerry dan pelbagai hadiah dengan hanya menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual sebanyak tiga kali seminggu. Pengguna prabayar dan pascabayar rangkaian Celcom boleh menggunakan perkhidmatan perkongsian tempoh bual serendah RM1 bersama keluarga dan rakan-rakan dengan hanya menaip RM Sementara itu, kepada pengguna Celcom yang ingin membuat permintaan tempoh bual, taip RQ |
| You are subscribed to email updates from Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi! To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

























0 ulasan:
Catat Ulasan