ads

Khamis, 5 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Cinta Hafiz & Adira Akhirnya Berkecai

Posted: 05 Jan 2012 07:51 PM PST

Hafiz

PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, akhirnya membuka mulut menjelaskan hubungan cintanya dengan Adira (AF8) sudah berakhir.

Hafiz berkata, hubungan cinta yang dibina hampir setahun itu retak disebabkan isu kontroversi yang membabitkan mereka sebelum ini yang turu mengganggu kerjaya masing-masing.

"Walaupun tidak lagi berhubungan, kami masih lagi berkawan. Keputusan ini dibuat kerana kami ingin memberi fokus kepada kerjaya yang baru beberapa tahun kami bina.

"Disebabkan banyak kontroversi yang melanda kami selama ini, keadaan tersebut telah memberi kesan kepada perhubungan yang kami bina. Ia tiada kaitan dengan orang ketiga.

"Emak saya pernah berkata, sebelum menyayangi orang lain, sayangi diri sendiri dahulu. Dan itulah yang saya lakukan, di mana saya mahu kerjaya saya sebagai penyanyi stabil terlebih dahulu," katanya.

Adira

Hafiz ditemui pada sidang media Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) di Bentley Music Auditorium, Wisma Bentley Music, di sini, Khamis.

Tambah Hafiz, dia berharap agar tiada lagi kontroversi yang membabitkannya dengan penyanyi jelita itu pada masa akan datang.

Pada pertengahan tahun lalu, Hafiz dikatakan telah bertindak kasar terhadap seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus pentas dengan menolaknya sehingga mengakibatkan kecederaan ketika rakaman sebuah program hiburan.

Insiden berkenaan dikatakan berpunca daripada sikap cemburu Hafiz apabila wanita tersebut dipercayai cuba menjalinkan hubungan sejenis dengan Adira.

Sementara itu, Hafiz yang bakal muncul dengan lagu terbaru tidak lama lagi kini sedang sibuk dengan persiapan AJL26. Dia akan membawakan lagu Awan Nano yang akan berlangsung pada 29 Januari ini.

Katanya, persaingan sengit barisan penyanyi yang akan bertanding pada malam anugerah tersebut seperti Yuna, faizal Tahir, Tiga Suara, Projek Pistol dan Aizat ternyata mendebarkan dirinya.

"Setakat ini, saya masih lagi sibuk mengubah sedikit susunan muzik Awan Nano agar ia kedengaran berbeza dengan lagu yang ada pada album.

"Semoga saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada semua nanti," ujarnya yang pernah memenangi vokal terbaik dalam AJL25 pada tahun lalu menerusi lagu Noktah Cinta.

Iqa seksi di kolam

Posted: 05 Jan 2012 07:49 PM PST


UJAR Iqa, dia bukan seorang wanita yang suka berpakaian seksi tak kena tempat.


SEMENJAK muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam rancangan realiti Mentor pada bulan Mei tahun lalu, nama Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Iqa Mentor kurang menjadi sebutan.

Bagaimanapun, penyanyi yang pernah protege kepada Edry Abdul Halim ini mula diperkatakan ramai gara-gara gambarnya sekadar memakai baju berwarna putih di kolam renang sehingga menampakkan sosok tubuhnya tersebar di sebuah laman blog hiburan tempatan.

Menerusi gambar yang tersebar itu, pelbagai reaksi yang diterima oleh pelantun lagu Di Penghujungnya itu sehingga ada yang beranggapan dia sengaja mahu mencari publisiti murahan.

Sama ada benar atau tidak penyanyi tersebut sengaja mahu mencipta kontroversi untuk menaikan namanya, Iqa yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini menjelaskan perkara sebenar terhadap masalah yang melanda dirinya itu.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaru anda?

IQA: Setelah menghasilkan single pertama yang berjudul Di Penghujungnya pada pertengahan tahun lalu, kini saya sedang menanti merakamkan single yang kedua pula. Ia adalah sebuah lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh abang Edry, cuma belum ada tajuk lagi dan hanya menunggu masa untuk sesi rakaman.

Baru-baru ini ada beberapa keping gambar awak kelihatan agak seksi telah tersebar menerusi sebuah laman blog hiburan. Boleh Iqa jelaskan?

Saya telah diundang ke parti yang dianjurkan oleh sebuah majalah hiburan bersama pembaca. Namun, saya tidak diberitahu langsung tentang tema parti berkenaan dan penganjur hanya berpesan supaya membawa pakaian lebih.

Kemudian apabila saya datang barulah saya tahu ia adalah parti yang acaranya dilakukan di kolam renang. Kalau saya tahu lebih awal, tidaklah saya pakai baju yang berwana putih semasa parti tersebut.

Lagipun pada masa itu saya seorang sahaja artis wanita yang hadir dan turut disertai oleh beberapa orang artis lelaki. Malah, apa yang saya lihat ada juga beberapa orang pembaca yang berpakaian lebih seksi pada masa itu.

Bagaimana Iqa boleh bersetuju untuk bergambar sebegitu?

Tujuan saya hadir adalah sekadar untuk memeriahkan lagi parti. Kemudian pihak penganjur mengadakan sesi bergambar bersama artis-artis yang hadir dan sebagai salah seorang artis yang diundang, saya perlu menghormati permintaan mereka. Ketika sesi bergambar itu turut ada bersama-sama adalah jurugambar sebuah laman blog yang turut diundang ke parti itu.

Selepas sesi bergambar itu berakhir, saya ada melihat gambar-gambar yang diambil oleh jurugambar laman blog itu dan sedar ia kelihatan seksi. Bimbang tidak mahu tercetus sebarang kontroversi, saya ada berpesan supaya gambar berkenaan tidak disiarkan di blog mereka. Namun, apa yang mengecewakan apabila ia telah disiarkan pada keesokan harinya.

Apakah reaksi peminat Iqa bila melihat gambar-gambar tersebut?

Boleh dikatakan ramai peminat yang terus memberikan sokongan kerana mereka tahu tentang diri saya sepenuhnya. Bagi saya orang yang mengkritik dan menghina saya itu adalah mereka yang tidak mengenali diri saya yang sebenar.

Untuk pengetahuan semua, saya ni memang jenis yang tidak gemar untuk berpakaian seksi dan sukar untuk melihat saya memakai skirt pendek atau memakai baju yang tiada lengan. Saya seorang yang sangat berhati-hati dalam menjaga penampilan dan menafikan sekeras-kerasnya kalau ada yang menuduh saya sengaja mahu mencari publisiti murahan.

Bagaimana pula dengan reaksi pihak pengurusan Iqa, KRU Studios tentang isu gambar itu?

Saya bersyukur kerana pihak KRU Studios sangat memahami tentang kontroversi yang melanda itu. Malah, mereka turut memberi nasihat supaya lebih berhati-hati lagi selepas ini supaya perkara yang sama tidak lagi berulang.

Adakah Iqa rasa kontroversi sebegini wajar diperbesar-besarkan?

Sudah tentu tidak kerana dalam perkara ini saya bukanlah memakai pakaian yang terlampau seksi sangat. Hanya disebabkan baju yang saya pakai itu berwarna putih dan basah, mungkin ia kelihatan sedikit seksi pada pandangan sesetengah orang. Bagaimanapun, saya anggap kontroversi yang berlaku terhadap diri saya ini menjadi satu pengajaran yang paling berguna buat diri saya untuk terus berkecimpung dalam dunia seni.

Jamal Enggan Krisis Dengan Pengasih Tambah Rumit

Posted: 05 Jan 2012 07:47 PM PST

Jamal Abdillah

PETALING JAYA: Penyanyi Jamal Abdillah meminta semua pihak tidak lagi bertanya hal yang membabitkan dirinya dengan rumah perlindungan Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), kerana enggan krisis yang berlaku di antara dia dengan pihak berkenaan bertambah rumit.

Jamal berkata, dia mahu mengambil pendekatan berdiam diri dan meminta semua pihak melihat kepada perkara yang lebih positif daripada menilai sesuatu yang negatif terhadap apa yang berlaku.

"Saya belajar daripada pengalaman lalu. Apabila kita bercerita perkara seperti ini, ia lebih besar mendapat liputan berbanding apa yang hendak disampaikan di sesebuah sidang akhbar," katanya kepada pemberita di sini, Khamis sempena Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 yang akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh Perak pada 28 Januari depan.

Jamal menambah, walaupun pihak tersebut ada memberi komen negatif kepadanya tetapi beliau amat bersyukur kerana rumah perlindungan tersebut berjaya mengubah kehidupannya menjadi lebih sempurna.

"Saya bersyukur kerana Rumah Pengasih telah mengubah kehidupan saya," katanya yang enggan bercerita lanjut mengenai hal berkenaan.

Awal November lalu Jamal membuat keputusan meninggalkan Rumah Pengasih selepas lima tahun menjadi penghuninya kerana dipercayai menghadapi krisis dengan pihak pengurusan rumah perlindungan tersebut.

Konsert Solo Pertama Di Perak

Jamal (tengah) bersama para penganjur Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 yang akan berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 28 Januari 2012.

Sementara itu bercerita mengenai Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012, Jamal memberitahu ia merupakan konsert solo pertamanya di negeri Perak sejak bergelar artis.

Konsert anjuran Bombay Worldwide Sdn Bhd dan Budak Bas Stand Ipoh (BBSI) itu bakal menampilkan sebuah persembahan berbeza selama dua jam setengah dengan iringan 28 buah lagu.

"Saya akan membuat persembahan yang agak berlainan kerana konsert di Ipoh ini adalah gabungan daripada konsert-konsert yang pernah saya adakan sebelum ini iaitu di Istana Budaya dan di Singapura," jelasnya.

Dalam pada itu Pengarah Urusan Bombay Worldwide Sdn Bhd yang dikenali sebagai Bombay berkata, pemilihan Jamal untuk acara tersebut kerana penyanyi berkenaan mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana lagu-lagu nyanyiannya menjadi pilihan peminat pelbagai peringkat.

Jelasnya, konsert tersebut mampu memberi peluang kepada para peminat di negeri Perak yang selama ini mendambakan persembahan luar biasa daripada beliau.

"Selama ini ada peminat yang kecewa tidak dapat berjumpa Jamal dan ramai yang menantikan kemunculannya di Perak. Sebab itulah kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan konsert ini," jelasnya.

Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert tersebut bolehlah mendapatkan tiket yang berharga RM80, RM140 dan RM300.

Bagi mereka yang membeli tiket paling mahal berpeluang untuk bersama Jamal dalam majlis minum petang yang akan diadakan sehari selepas konsert.

Tempahan tiket boleh dilakukan dengan melayari www.tiket2u.biz.

Shahz Jaszle Mahu Dipanggil Shahrizal

Posted: 05 Jan 2012 07:46 PM PST

PETALING JAYA: Pelakon popular Shahz Jaszle mencipta satu lagi kontroversi mengenai namanya apabila memilih untuk dipanggil Shahrizal bermula tahun 2012.

Bintang filem Azura 2012 ini berkata keputusan untuk menggunakan nama berkenaan dibuat selepas salah seorang ahli keluarganya meminta dia melakukan perkara tersebut yang dilihat lebih serasi.

"Mereka (keluarga) berkata, menggunakan nama sendiri dalam kerjaya kita akan lebih kuat auranya dan diakui saya dapat rasa perbezaan semangat selepas menukarkan kepada nama tersebut.

"Sejak menggunakan nama ini, kehidupan saya lebih stabil dari segi kewangan, kerjaya dan peribadi. Semoga penggunaan nama Shahrizal dapat mengukuhkan lagi karier saya di masa akan datang nanti," katanya kepada mStar Online.

Pelakon ini mencipta kontroversi di awal kemunculannya apabila meminta orang ramai memanggil namanya dalam sebutan Bahasa Inggeris "Shahz Jazle" (disebut Shahz Jazel) dan bukannya berbunyi "Shahz Jazli".

Selain mengenai nama, dia turut terpalit dengan kontroversi kerana beraksi keterlaluan dalam klip video Prema Yin berjudul Marilah arahan Gambit.

Pengumuman pertukaran nama itu turut dibuatnya menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia pada Ahad lalu.

Tambahnya tahap keyakinan diri dia juga semakin tinggi sejak menggunakan nama tersebut.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana para peminat memberikan respons yang positif tentang penukaran nama itu.

"Alhamdulillah peminat-peminat memberi respons yang baik. Apa-apa pun saya tidak menyesal dengan keputusan ini walaupun saya telah menggunakan nama Shahz Jaszle sepanjang lima tahun dalam industri seni tempatan," kata pemilik nama penuh Mohd Shahrizal Jazle Jasmin ini.

Sementara itu, dia kini sedang berada di Australia untuk penggambaran drama Atas Nama Cinta terbitan Zeel Production selama dua minggu.

Pelakon lain yang terlibat dalam drama tersebut ialah Fiza (Elite), Tasha Shila dan Shah Iskandar.

Diddy Hirdy Dapat Tujuh Anugerah Pelajar Cemerlang

Posted: 05 Jan 2012 07:46 PM PST

Diddy Hirdy cemerlang dalam pelajaran.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Diddy Hirdy, 29, menunjukkan prestasi cemerlang apabila mendapat Anugerah Kecemerlangan Akademik sebanyak tujuh kali dalam pengajiannya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Diddy yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) dengan Kepujian secara sambilan daripada universiti itu berkata, dia bersyukur dengan anugerah itu selain menjadikannya sebagai motivasi untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.

"Saya kini berada di semester tujuh dan masih mempunyai baki tujuh semester lagi sebelum dapat mengegam segulung ijazah. Saya lakukan ini semua demi masa depan keluarga dan paling penting untuk isteri dan anak yang sentiasa menjadi pendorong saya," ujarnya.

Diddy ditemui mStar Online selepas majlis sidang media drama muzikal Kampus di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini pada Khamis.

Diddy menyambung pelajaran bersama-sama rakan artis seperti Emelda Rosmila, Akim (AF), Zehra Zambri dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh dalam program kerjasama antara Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan UUM yang ingin menggalakkan artis mempunyai pendidikan.

Dalam pada itu, Diddy akui puas dengan pencapaian itu walaupun agak penat kerana turut aktif dalam bidang seni selain perlu menumpukan perhatian kepada rumah tangga terutama terhadap anak kesayangannya, Nadra Aryssa Jauza yang baru mencapai usia setahun.

"Saya perlu bertahan sehingga tahun 2013 dan selepas itu dapatlah menarik nafas lega kerana telah tamat pengajian," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Diddy memberitahu gembira berlakon dalam muzikal Kampus arahan Yusmal Ghazali kerana dapat menyumbangkan suara untuk drama 26 episod itu.

Diddy berkata, walaupun agak gementar di set penggambaran kerana sudah lama tidak berlakon, dia teruja dapat menyanyikan pelbagai lagu termasuk lagunya sendiri seperti Lena dan Hilang.

"Cinta saya terhadap nyanyian masih kuat dan ia adalah keutamaan tetapi menerusi Kampus saya dapat melakukan kedua-duanya. Ia juga sebagai promosi kepada saya yang jarang-jarang muncul di televisyen," ujarnya.

Kampus bakal disiarkan pada Ia akan pada pukul 8.30 malam menerusi saluran iTV (Astro 180) bermula Sabtu ini.

Juri AJL26 Ditambah Elak Kontroversi

Posted: 05 Jan 2012 07:44 PM PST

Seramai 22 orang juri mengadili 12 lagu yang dipertandingkan.

PETALING JAYA: Seramai 15 orang juri ditambah bagi mengadili pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) yang akan berlangsung pada 29 Januari depan bagi mengelakkan sebarang kontroversi pada acara tahunan itu nanti.

Penerbitnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, secara keseluruhannya, seramai 22 orang juri akan mengadili 12 lagu dipertandingkan di mana 15 juri pada pra-produksi manakala tujuh lagi pada malam AJL26.

"Pada tahun lalu, hanya tujuh orang juri sahaja yang membuat pengadilan sehingga kontroversi tercetus gara-gara juri tidak bijak memilih juara AJL25 yang dimenangi oleh Ana Raffali dengan lagu Tolong Ingatkan Aku pada ketika itu.

"Justeru itu, kami perlu memperketat lagi sistem pengadilan sehingga membuat keputusan untuk menambah 15 orang juri lagi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau kontroversi," katanya pada sidang akhbar AJL26 di Bentley Music Auditorium, Wisma Bentley Music, di sini, Khamis.

Yuna

Tambah Sufian, dia juga berharap dengan penambahan juri, keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak termasuklah pihak produksi, media dan penonton.

Bagaimanapun, pihaknya masih lagi mengekalkan konsep pengadilan yang menggunakan khidmat penggiat muzik tempatan pada anugerah tahunan yang bertemakan elemen air itu.

"Saya rasa, lebih baik lagu-lagu yang bertanding diadili oleh juri tempatan. Saya juga berharap agar juri-juri yang dipilih itu menilai sesebuah lagu secara profesional dan bukannya bersifat pilih kasih.

"Tema AJL26 kali ini juga agak menarik apabila pihak produksi bersetuju memilih konsep air dan ia pastinya akan memberi satu kelainan sepanjang acara ini dianjurkan," katanya.

Tiga Suara terdiri daripada Shila Amzah, Ning Baizura dan Jaclyn Victor.

Pada AJL26 nanti, sebanyak 12 buah lagu yang dipertandingkan iaitu Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna), Sedetik Lebih (Jaclyn Victor) dan Awan Nano (Hafiz).

Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).

Dalam pada itu, Shiela Majid, Awie, Jamal Abdillah, Azlan (The Typewritter), Black dan Hazama akan menjadi penyanyi undangan pada acara tersebut.

Osman Ali Akui Terdapat Kemelut Dalam Drama 'Bicara Hati'

Posted: 05 Jan 2012 07:43 PM PST

Osman Ali.

PETALING JAYA: Pengarah drama, Osman Ali mengakui berlaku kemelut di antara pihak produksi dengan produser drama arahannya Bicara Hati tetapi masalah berkenaan dapat diatasi tidak seperti yang digambarkan.

Osman berkata, masalah yang berlaku dalam sesebuah produksi adalah perkara biasa dan ia dialami oleh semua pihak termasuklah di kalangan pengarah, krew dan pelakon.

"Saya tidak nafikan memang ada masalah dalam "team" produksi Bicara Hati tetapi ia tidaklah serumit seperti yang digembar-gemburkan," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Terdahulu, sebuah blog hiburan melaporkan pihak produksi Bicara Hati mengalami masalah apabila jadual penggambaran drama itu menjadi kelam kabut sehingga menimbulkan banyak masalah kepada artis dan krew.

Selain itu, penerbit drama berkenaan, Tarantella Pictures Sdn Bhd didakwa mempunyai masalah kewangan sehingga terdapat krew mengambil tindakan menarik diri daripada terlinat dengan pembikinan drama tersebut kerana tidak tahan dengan kemelut yang timbul.

Dalam pada itu, Osman berkata, walaupun dia tidak ada kena mengena dengan isu berkenaan kerana hanya dibayar oleh pihak penerbit sebagai pengarah, namun masalah yang timbul tidak menggagu perjalanan penggambaran drama bersiri itu.

Ujarnya, penggambaran sentiasa mengikut jadual dan dia menjangkakan baki empat hari di lokasi bakal berakhir seperti yang dirancang tanpa sebarang penundaan.

"Masalah yang timbul tidak seteruk yang didakwa kerana penggambaran masih mengikut jadual dan tiada sebarang penangguhan yang menyebabkan semua terlibat perlu menambah masa bagi menyiapkan drama ini," ujarnya.

Osman berkata, masalah mungkin disebabkan Bicara Hati adalah sebuah drama yang panjang dan persediaan pra-produksi juga mungkin dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Tambahnya, isu itu dibangkitkan mungkin kerana ia telah menyusahkan kerja krew terlibat dan secara tidak langsung mencetuskan kemarahan.

"Mereka berhak menyuarakan apa yang mereka rasa akibat rasa tidak puas hati itu. Bagaimanapun saya merasakan adalah lebih baik mereka berjumpa sendiri dengan pihak penerbit kerana itu adalah tindakan paling bijak.

"Bercerita kepada media tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan," ujarnya.

Menjawab dakwaan kononnya penerbit tidak mahu membayar wang lokasi penggambaran Osman menjelaskan perkara itu berlaku kerana Bicara Hati mempunyai bajet yang terhad dan pihak penerbit perlu bijak menggunakan wang yang dibelanjakan supaya tidak tersasar.

Osman berkata, kos penerbitan drama adalah lebih kecil berbanding filem dan sebagai pengarah dia memahami perkara itu dan telah cuba memberikan yang terbaik dalam menyiapkan projek berkenaan.

"Jika ikutkan saya sendiri tidak puas hati dengan beberapa hasil drama ini akibat bajet yang diberikan tidak sebesar seperti mana kebanyakan drama atau filem lain.

"Tetapi ini adalah tanggungjawab saya untuk melunaskan amanah diberi oleh pihak penerbit dan Alhamdulillahlah walaupun banyak timbul masalah kita boleh dikatakan berjaya menghasilkan sebuah produk yang baik," ujarnya.

Mengulas mengenai pengarah fotografi drama itu, Malek Marwi meletak jawatan gara-gara berang dengan sikap tidak profesional pihak penerbit, Osman memberitahu, dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Katanya, masalah yang dihadapi oleh Malek dan penerbit adalah bersifat peribadi dan bukan menjadi urusannya untuk campur tangan.

"Apa yang boleh saya katakan adalah Malek tidak mempunyai masalah bekerja dengan saya atau produksi dan dia keluar pun secara baik tanpa ada apa-apa pergaduhan dengan mana-mana pihak," katanya.

Bicara Hati lakonan Sharnaaz bersama pelakon Christina Suzanne, Marsha Londoh dan Lash Mokhtar mengisahkan tentang cinta yang terjalin kerana wang dan kuasa di mana Tengku Shahran, lakonan Sharnaaz terpaksa berkahwin secara kontrak dengan Zahlia (Christina).

Drama sebanyak 26 episod itu bersiaran setiap Selasa, pukul 9 malam, bermula 3 Januari lalu menerusi saluran Astro Prima (105).

Lady Gaga Ingin Jadi Pelakon Bollywood

Posted: 05 Jan 2012 07:42 PM PST

Lady Gaga.

PENYANYI dengan imej pelik, Lady Gaga memberitahu ingin menjadi seorang pelakon di Bollywood bagi memulakan kerjaya lakonannya.

Gaga berkata, dia tertarik dengan tarian dan pakaian yang digayakan dalam filem-filem Bollywood selain merasakan produksi mereka lebih hebat daripada industri filem Hollywood.

"Saya tidak berminat untuk menjadi pelakon di Hollywood sebaliknya ingin menjadi pelakon di Bollywood kerana produksi mereka lebih gah," ujar penyanyi Born This Way itu.

Gaga pernah dilaporkan melawat India pada Oktober lalu dan kunjungannya ke negara tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan projek lakonan.

Malah dia dikatakan turut keluar bersama pelakon terkenal, Shah Rukh Khan dan Arjun Rampal.

"Saya sendiri sempat menyaksikan pertunjukan Bollywood di Paris dan semakin tertarik dengan muzik dan tarian India. Saya ingin berlakon di Bollywood," ungkapnya kepada ContactMusic.com.

Tarikan Bollywood bukan baru di kalangan selebriti Hollywood kerana sebelum ini pelakon seperti Hugh Jackman, Paris Hilton dan Kim Kardashian pernah cuba untuk mencipta nama di negara tersebut.

Kylie Minogue Bakal Berduet Dengan Madonna

Posted: 05 Jan 2012 07:39 PM PST

BINTANG pop Australia, Kylie Minogue dikhabarkan sedang merancang sebuah duet bersama ikon pop Amerika Syarikat, Madonna.

Pelantun lagu Can't Get You Out My Head itu bagaimanapun memberitahu duet itu adalah hanya dalam sebuah program televisyen bersempena meraikan 25 tahun penglibatannya dalam dunia seni.

"Selain Madonna ada banyak lagi penampilan istimewa daripada rakan artis lain seperti Nick Cave, Jason Donovan serta adiknya, penyanyi Danni Minogue," ujar sumber terdekat penyanyi itu.

Dalam perkembangan lain, Kylie bakal melancarkan album kompilasi dalam masa terdekat bersempena ulang tahun tersebut.

Menariknya mengenai album itu, semua lagu popularnya akan digubah semula dalam bentuk akustik dan orkestra.

RM4j dalam akaun keluarga

Posted: 05 Jan 2012 07:29 PM PST

BERTIMBUN...pegawai SPRM mengira wang hasil suapan yang dirampas, semalam.
BERTIMBUN...pegawai SPRM mengira wang hasil suapan yang dirampas, semalam.

IPOH: Seorang pegawai Jabatan Perhutanan Perak dikesan menyembunyikan wang tunai lebih RM700,000 disyaki hasil suapan diterimanya di merata lokasi di kediamannya termasuk dalam kain telekung, selain di bilik tidur, ruang tamu dan dapur.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an dikatakan turut mengagihkan wang suapan yang keseluruhannya dipercayai melebihi RM4 juta di dalam beberapa akaun bank milik anggota keluarganya, berdasarkan buku bank yang turut ditemui di rumahnya.

Perbuatan jijik suspek terbongkar apabila sepasukan lebih 10 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melakukan serbuan mengejut di kediaman anggota perkhidmatan awam itu di Gerik, awal pagi semalam.

Sumber berkata, suspek yang bekerja di Jabatan Perhutanan Perak, ditahan ketika berada di rumahnya bersama isteri dan anak-anaknya.


"Hasil pemeriksaan, pegawai SPRM menemui sejumlah wang yang disembunyikan suspek di dalam bilik, dapur dan ruang tamu rumahnya, selain dalam telekung.

‘Saya bukan Nur Amalina’

Posted: 05 Jan 2012 07:27 PM PST

PALSU...akaun facebook menggunakan nama Nur Amalina.
PALSU...akaun facebook menggunakan nama Nur Amalina.

JOHOR BAHRU: Belum pun reda isu penulisan blog memfitnah dan memburukkan pelajar genius, Nur Amalina Che Bakri, 23, kini timbul pula individu menyamar sebagai gadis itu di laman sosial facebook hingga mengelirukan pengguna lain.

Selain menggunakan nama dan biodata sama, individu berkenaan dilihat menggunakan gambar Nur Amalina sebagai profil gambar akaun itu hingga menarik perhatian pelayar Internet lain yang menyangka laman itu milik pelajar terbabit.

Bagaimanapun, ketika ditanya individu yang curiga dengan kesahihan akaun berkenaan, pengendali akaun palsu itu berterus terang dan berani mengaku dia bukan Nur Amalina dan mendaftar akaun berkenaan hanya untuk suka-suka.

Antara persoalan pengguna kepada pengendali itu termasuklah 'Gara-gara keluar berita kau berubah, ramai nak add kau sebab nak tahu cerita sebenar, ini Amalina real (tulen) ke Fake (tidak tulen) ni?


Bagaimanapun, pengendali akaun itu dengan selamba menjawab 'trully fake' (sah tidak tulen) terhadap soalan individu terbabit.

Diandra ibarat protege Yuna

Posted: 05 Jan 2012 07:25 PM PST

pix_middle

GELOMBANG arus muzik indie bagaikan mencanak apabila pemuzik yang bergerak sendiri bangkit sekitar beberapa tahun terdahulu. Walaupun terpaksa bergelut dengan pelbagai halangan, demi merealisasikan kecintaan serta memperjuangkan muzik pilihan, mereka menapak laluan sukar itu tanpa berputus harapan.

Peluang mendekati seorang lagi artis indie baru yang selesa membawakan aliran muzik bersifat santai, Diandra Arjunaidi, baru-baru ini pada sesi pelancaran album terbarunya, menepis tanggapan dengan mempertaruhkan muzik sedemikian, pasti ia bertemu jalan buntu.

Diandra Arjunaidi?

Ya, namanya masih samar-samar dalam kalangan kita, namun ada sesuatu dalam dirinya yang tidak terungkap, cukup keemasan iaitu bakat seninya.


Siapa sangka, tuah dirinya selepas mengerah keringat menulis dan menghasilkan lagu bertahun-tahun lamanya mendapat perhatian dengan mendapat lamaran sebuah syarikat rakaman, Yuna Room Records, milik siapa lagi kalau bukan Yunalis Zaraai.


Pada usia 20 tahun, rezeki ternyata memihak pada Diandra yang juga cucu kepada Datuk Jamil Sulong dan seniwati Rosnani Jamil apabila album yang menggunakan namanya sebagai tajuk, Diandra Arjunaidi, akhirnya dilancarkan Rabu lalu bertempat di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serentak dengan pelancaran album kedua Yuna.

Memegang Diploma Seni Persembahan daripada Kolej Sunway, Diandra menyedari kecenderungannya dalam bidang ini sejak di bangku sekolah lagi. Pada usia 13 tahun, dia sudah mula mengambil kelas vokal dan setahun kemudian, dia belajar sendiri memetik gitar sambil menulis lagu.

Menjadikan Amy Winehouse, Kate Nash, Lily Allen dan Yuna sendiri sebagai inspirasinya, dia bagaimanapun berhenti daripada kelas vokal apabila memasuki usia 15 tahun dan mula menyanyi sendirian. Demi menilai sejauh mana nyanyiannya mampu memikat pendengar, dia bertindak berani memuat turun rakaman videonya di YouTube sebelum mendapat pelbagai reaksi menerusi komen yang diberikan pelawat.

Kuasa media, seorang penghibur antarabangsa, Arabyrd terpesona dengan kebolehan Diandra serta melihat potensi yang amat besar padanya, menyebut mengenainya menerusi laman twitter. Maka, dari situlah titik tolaknya Diandra dikenali apatah lagi sejurus 'tweet' itu ditulis, penyanyi dan pemuzik yang tidak asing lagi, Reza Salleh menghubunginya bertanyakan seandainya dia sedia untuk beraksi dan membuat persembahan secara langsung di khalayak ramai.

"Pada 2008, umpama mimpi jadi kenyataan, saya menerima tawaran Reza dan membuat persembahan buat pertama kalinya untuk Moonshine, acara muzik yang mengetengahkan bakat tempatan.

"Sejak itu, saya mula dihujani tawaran persembahan daripada pelbagai pihak termasuk menjadi artis pembuka tirai untuk Konsert Secondhand Serenade 2011, Miri Jazz Festival 2009, Borneo Rainforest 2010, Malaysia Hari Ini (MHI), Karnival Suara Kami 2011, dan Konsert Earth Hour 2011 selain sering menghiburkan khalayak di kelab Laundry Bar dan No Black Tie.

"Perkenalan saya dengan Yuna juga bermula pada acara Moonshine dan kami menjadi rapat sehinggalah pada November lalu, dia menawarkan jika saya berminat bernaung di bawah syarikat rakamannya.

"Lantas saya setuju kerana bohonglah kalau katakan tidak mahu, walhal inilah peluang yang saya intai-intai dan akhirnya tiba jua," katanya.

Dengan termeterainya kontrak syarikat itu, album Diandra bakal memasuki pasaran dalam masa terdekat yang memuatkan tujuh lagu termasuk Things We Don't Say, Remember, Happy, Untitled White Lines serta lagu Melayu tunggalnya, Angkasa.

Bagaikan mentor kepada Diandra, Yuna yang tidak perlu diperkenalkan lagi, mengakui tidak teragak-agak mengambil Diandra menjadi artis naungannya walaupun mungkin terpaksa berhadapan risiko kerana kepercayaannya terhadap bakat Diandra sangat tinggi.

Akuinya, dia melihat situasi Diandra ada persamaan dengan kisahnya ketika pada awal kemunculan apabila dia langsung tidak tahu selok-belok industri dan kepada siapa perlu dirujuk untuk memasarkan karyanya. Oleh itu, gusar andai bakat yang ada padanya terabai, Yuna 'memudahkan' laluan Diandra dengan memberikan platform itu.

"Saya bukan mengambil keputusan ini tergesa-gesa, saya mengenalinya, saya menyelami usahanya dan saya sedari potensinya teramat besar tambahan pula dia seorang yang berdikari, bersungguh-sungguh, bijak serta berwawasan jauh.

"Walaupun ada juga peminat yang menyamakan kami, saya optimis mereka sudah bijak menilai sendiri kelainan serta kekuatan masing-masing," katanya.

Bercerita mengenai album keduanya berjudul Terukir Di Bintang, yang turut menjadikan Terukir Di Bintang sebagai taruhan utamanya, Yuna menyifatkan lagu dalam album berkenaan menunjukkan sisi lain sebelum ini.

Di sebalik kesibukan yang menerpanya, pemenang anugerah Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) itu menyatakan keyakinan album itu mampu diterima baik seperti album Decorate.

"Kali ini saya banyak mengetengahkan elemen rancak dalam setiap lagu dan ada sesetengahnya berkonsepkan klasik, kerana saya memang meminati lagu klasik.

"Lagu Terukir Di Bintang misalnya, diinspirasi daripada sebuah lagu lama berjudul Bulan Ditutup Awan yang pernah saya nyanyikan untuk 'cover version'," ulas pelantun lagu Dan Sebenarnya ini.

Menerusi album kedua ini, Yuna masih melebihkan lagu inggeris iaitu enam karya termasuk Sparkle, Photo of You, Memo, Someone Out Of Town dan Fears And Frustrations manakala dua lagi lagu Melayu -Terukir Di Bintang serta KL Kita.

Menjelang Februari atau Mac ini pula, album Live Your Life untuk pasaran Amerika Syarikat pula akan dilancarkan. Menurut Yuna, bagi rangka promosi album itu, dia juga sudah membuat jelajah di beberapa tempat di sana termasuk Philadelphia, Virginia, Chicago dan menerima sambutan yang amat menggalakkan.

Kesibukan bergandanya bagaimanapun tidak menghalang dia meluangkan sedikit waktu bersama keluarga bercuti di Eropah, baru-baru ini. Sekian lama menyimpan hasrat, saat keemasan itu dimanfaatkannya meneroka beberapa lokasi popular seperti Rom.

Sementara itu, mengulas persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu pada 29 Januari ini, Yuna belum menetapkan konsep persembahannya, cuma berharap lagu Penakut dan Gadis Semasa akan berjaya di mata juri.


7 perkara mengenai Diandra

Pereka fesyen kegemaran: Alexander McQueen, Stella McCartney.
Tabiat buruk sukar dikikis: Online sampai tak boleh tidur! Minuman manis.
Haiwan jinak yang disukai: Tak berapa minat haiwan tapi di rumah ada banyak ikan koi yang gemuk-gemuk, dalam 10-15 ekor.
Kenangan pahit: Berdepan dengan kawan yang berubah perangai selepas saya jadi pemuzik.
Tempat percutian paling digemari: London!
Gadget kegemaran: iPhone, BlackBerry, iPod dan Sony Vaio.
Pewangi kegemaran: Flora by Gucci dan Miss Dior Cherie by Dior.

Aksi berani makan diri

Posted: 05 Jan 2012 07:24 PM PST

PERIKSA...anggota JPJ memeriksa kenderaan yang diubah suai.
PERIKSA...anggota JPJ memeriksa kenderaan yang diubah suai.

KUALA LUMPUR: Layan drift depan anggota kereta peronda. Begitulah lagak berani seorang pemilik Nissan Silvia yang sepatutnya digunakan untuk pameran kereta seperti seolah-olah mencabar peronda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang melakukan rondaan di Bandar Tasik Selatan, Cheras.

Bagaimanapun, pemilik kenderaan berusia 24 tahun itu terlupa penguat kuasa JPJ mampu menjejaki kenderaannya berdasarkan nombor pendaftaran digunakan.


Hasil intipan Unit Risikan Operasi JPJ Kuala Lumpur, pemandu kenderaan berkenaan dicekup bersama keretanya itu di rumahnya di Taman Connaught, Cheras kelmarin.

Pengarah JPJ Wilayah, Mohd Nadzri Osman berkata, ketika sepasukan anggota peronda JPJ sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan, mereka ternampak sebuah kereta jenis Nissan Silvia berwarna hijau yang diubah suai dan ketika cuba ditahan, pemandu kereta berkenaan sengaja memecut laju.


"Pasukan peronda yang mencurigai mengekori kenderaan berkenaan bagaimanapun pemandu terbabit menunjukkan keangkuhannya dengan mempamerkan aksi drift di hadapan kereta peronda sebelum melarikan diri.


"Bagaimanapun, melalui nombor pendaftaran kenderaan itu, Unit Risikan Operasi berjaya menjejaki kereta itu dan mencekup pemiliknya selain menyita kenderaan itu," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati keretanya itu kebiasaannya dipamerkan ketika pameran kereta di ibu kota bagaimanapun cara badan kereta dan ekzos itu tidak diubah suai tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.


Beliau berkata, cara pemanduan drift di jalan biasa adalah kesalahan berat kerana ia bukan saja membahayakan pemandu itu sendiri malah pengguna jalan raya lain.

Gelombang Hijau Kuning

Posted: 05 Jan 2012 07:22 PM PST

ATUR STRATEGI...pemain import Kedah, Barenno (kiri) dan Danillo ketika menjalani latihan di Jitra.
ATUR STRATEGI...pemain import Kedah, Barenno (kiri) dan Danillo ketika menjalani latihan di Jitra.

ZAMAN kegemilangan pasukan Kedah yang pernah mencapai kejayaan treble pada 2007 bakal menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain skuad Hijau Kuning menjelang sepak mula Liga Super pada 10 Januari ini.

Cuma yang membezakan, ketika itu Kedah dikatakan mempunyai gandingan pemain import mantap iaitu Marlon Alex James dan Nelson Sam Martin.

Namun, pada saingan Liga Super 2012 ini, pasukan yang diberi jolokan skuad Kenari akan mempertaruhkan khidmat dua pemain Brazil iaitu Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Danilo) dan Daniel Soares Neves (Baroni).

Tugas berat itu pasti dirasai kedua pemain import berkenaan dan boleh dikatakan seluruh penyokong skuad Kenari pasti menaruh kepercayaan tinggi kepada pemain berkenaan bagi mengulangi kejayaan treble yang pernah menjulang nama pasukan negeri itu.


Namun, ketiadaan tonggak utama, Baddrol Bakhtiar, akibat mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan pasti dirasai barisan kesebelasan utama kerana khidmat pemain muda itu amat ditagih bagi terutama di barisan tengah.


Mana tidaknya, untuk empat perlawanan pertama saingan Liga Super 2012, pasukan Kenari akan berdepan ujian getir termasuk pertemuan dengan Singapura yang kembali beraksi di dalam kancah liga tempatan selepas kali terakhir pasukan itu beraksi pada 1994.

Tugas berat itu terpaksa dilalui melalui garapan pemain tempatan dan import demi mengembalikan zaman kegemilangan pasukan negeri itu sekali gus menjadikan skuad Hijau Kuning digeruni oleh pasukan lawan.

Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof turut mengakui tugas berat terpaksa dipikul oleh barisan pemainnya pada saingan awal Liga Super, namun beliau menegaskan persediaan rapi sudah dilakukan termasuk perkembangan positif beberapa pemain muda.

Menurutnya, pasukan kendaliannya memang memerlukan khidmat pemain import supaya dapat memberi impak kepada mutu permainan, namun harapan menggunung turut disandarkan kepada gandingan pemain tempatan yang mampu memberi kelainan kepada corak permainan.

Katanya, selain Baddrol Bakhtiar, pemain lain yang bakal menggalas misi pasukan itu adalah Mohd Khyril Muhymeen, Amar Rohidan, Mohd Fauzie Nan dan Azmizi Azmi.

"Sebenarnya, dalam permainan bola sepak, kita tidak boleh mengharapkan kepada beberapa pemain saja untuk mencipta kemenangan sebaliknya perlu bekerja sebagai satu pasukan dan dalam erti kata lain saling memerlukan bagi mencipta kemenangan.

"Pada peringkat pra musim ini, saya dapat melihat semua barisan pemain tidak kira tempatan atau import mempunyai semangat tinggi dan saya sering menasihatkan supaya mengekalkan keazaman itu bagi membolehkan kami membawa pulang piala ke Kedah," katanya ketika ditemui selepas tamat latihan pasukan itu, di sini, semalam.

Bagi Mohd Nidzam, pihaknya meletakkan beberapa sasaran tertentu dan mengingatkan kepada pemain supaya meraih kejayaan lebih baik berbanding musim lalu termasuk menjadikan skuad Kenari sebagai pasukan elit di dalam saingan Liga Super.

Selain itu, katanya, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh pemain import melalui beberapa perlawanan persahabatan termasuk sesi latihan bakal menjadi batu loncatan kepada pasukan negeri itu untuk menguasai saingan liga.

"Secara dasarnya, saya dapat menjangkakan saingan Liga Super pada musim ini agak sengit apabila melihat setiap pasukan yang bertanding masing-masing mempunyai kelebihan sendiri tambahan pula pada saingan tahun ini, khidmat pemain import kembali dibenarkan.

"Walaupun begitu, keazaman barisan pemain tetap tinggi untuk menjulang piala sekali gus mengungguli semula takhta Liga Super kerana itu adalah antara misi skuad Hijau Kuning pada musim ini," katanya.

Namun, biarpun laungan semangat sudah disuarakan bagi setiap pasukan yang bertanding, semuanya akan ditentukan pada 90 minit apabila Kedah bakal berkunjung ke Kuala Terengganu untuk bertemu pasukan T-Team pada Selasa ini.

PM yakin projek Iskandar Malaysia maju ikut jadual

Posted: 05 Jan 2012 07:21 PM PST

MODEL...Najib bersama rakan sejawatnya Lee (tiga dari kiri) mendengar penjelasan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar (kiri) mengenai pelan pembangunan Iskandar Malaysia, semalam.
MODEL...Najib bersama rakan sejawatnya Lee (tiga dari kiri) mendengar penjelasan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar (kiri) mengenai pelan pembangunan Iskandar Malaysia, semalam.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin Iskandar Malaysia terus berkembang dan projek itu akan disiapkan mengikut jadual walaupun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global.

Menjawab soalan sama ada penguncupan ekonomi di Singapura dan ketidaktentuan ekonomi global akan memberi kesan terhadap perkembangan keseluruhan projek usaha sama itu, Najib berkata, tiada petanda menunjukkan perkembangan keseluruhan Iskandar semakin perlahan. "Malah, pelaburan sebenarnya bergerak mengikut jadual," katanya, sambil menyatakan keadaan ekonomi semasa di Malaysia dan Singapura akan berterusan pada paras kondusif bagi sektor swasta untuk terus melabur di Iskandar Malaysia.


Najib berkata demikian pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya semalam.

Wanita bertudung pun boleh tampil ranggi

Posted: 05 Jan 2012 07:19 PM PST

pix_middle

KEPESATAN dalam industri fesyen busana Muslimah turut merancakkan lagi kehadiran peragawati bertudung yang tentunya memberi impak kepada bidang peragaan yang rata-rata dikuasai model kelas atasan atau model 'mat salih'.

Malah model antarabangsa ini turut mengambil alih tempat peragaan pakaian Muslimah walaupun sebenarnya mereka tidak bertudung.

Daripada satu segi, alasan diberikan penganjur kerana mereka bijak bergaya serta sesuai mengenakan apa saja busana disebabkan memiliki ketinggian selain cantik dan langsing. Daripada segi yang lain, tidakkah ini menutup peluang model Muslimah yang rata-rata memiliki kelebihan tersendiri selain cantik dan berbakat?

Bertemu tiga model bertudung yang kerap menghiasi ruangan fesyen majalah dan akhbar tempatan serta pentas peragaan, Dina Kasmarani Aprianty Kasmaruddin, 34, Jasrina Jasni, 26, dan Siti Mastura Mohd Saleh, 25, sememangnya mereka mempunyai alasan tersendiri menceburi bidang peragaan walaupun sebenarnya kerjaya ini tidak menjanjikan keindahan seperti yang disangka.


Bagi Dina Kasmarani yang mesra disapa Dina, walaupun kerjaya peragaan disertai agak lewat iaitu selepas melahirkan anak pertama ketika berusia 29 tahun, dia bersyukur kerana rezeki tidak pernah putus sehingga mampu bertahan selama lima tahun.


"Kerjaya saya bermula selepas menyertai pertandingan pencarian kulit hadapan sebuah majalah Muslimah tempatan dan berjaya memenangi tempat kedua. Daripada situ, baru saya percaya yang saya berbakat dalam bidang peragaan dan mula menerima tawaran memperagakan fesyen majalah serta pentas peragaan. Antaranya pertunjukan fesyen Minggu Fesyen Islam (IFF) dan fesyen pengantin," katanya.

Memiliki ketinggian 168 sentimeter dan berat 49 kilogram, nyata Dina mempunyai bakat semula jadi apabila tidak kekok beraksi di hadapan kamera malah wajah fotogeniknya senang berubah apabila disalut solekan.

Dina mengakui, model tidak bertudung beruntung kerana menyertai agensi peragaan yang boleh membantu mengasah bakat selain mencarikan peluang memperkenalkan diri kepada media. Ini berbeza dengan model Muslimah kerana semuanya terletak pada bakat selain usaha memajukan diri supaya setanding dengan model terkenal yang lain.

"Apa yang saya lakukan adalah bergaul dengan semua orang. Misalnya saya bersahabat baik dengan peragawati Tini jadi saya gunakan peluang untuk mendapatkan pandangannya serta menghadiri pertunjukan fesyen yang disertainya.
Daripada segi penggayaan walaupun berbeza, cara mereka beraksi dapat saya gunakan apabila memperagakan pakaian dengan cara lebih sopan dan tertib bersesuaian dengan pakaian yang saya bawakan," jelasnya.

Selain itu supaya sentiasa dihormati, peragawati perlu mempunyai disiplin serta bersungguh-sungguh melakukannya. Jangan hanya menjadikan kerjaya ini sebagai batu loncatan untuk glamor semata-mata kerana ia tidak akan kekal lama, sebaliknya berusaha memberikan yang terbaik, sentiasa merendah diri dan belajar daripada kesilapan.

Berbicara mengenai fesyen Muslimah di Malaysia, Dina menyifatkan wanita bertudung kini berpeluang tampil ranggi dan moden dengan tercetusnya gelombang fesyen Muslimah yang dilihat semakin positif.

"Sebelum ini saya melihat pasaran fesyen tempatan bagaikan berat sebelah.
Kebanyakan konsep pakaian yang trendy, urban dan chic hanya buat wanita yang tidak bertudung. Tetapi kini wanita bertudung boleh tampil lebih moden dengan pelbagai fesyen menarik tanpa melupakan ciri wanita Muslimah. Ini tentunya membuka lebih banyak peluang kepada model Muslimah untuk memperagakan pakaian," katanya yang mempunyai seorang anak, Adam Darwisy Iskandar Adi Azrai, 5, yang dijaga sejak tiga tahun lalu selepas berpisah dengan suaminya.

Dina yang turut bekerja sebagai Eksekutif Kewangan Perumahan di Bank Al Rajhi mengakui setakat ini dia belum berhasrat menjadikan peragaan sebagai kerjaya utama. Ini kerana dia mempunyai anak yang perlu disara dan memerlukannya mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.

"Saya bersyukur kerana majikan sangat memahami dan memberikan peluang kepada saya bergerak dalam bidang ini, pada masa sama menguruskan kerja di pejabat.
Dengan pendapatan sampingan sebagai model saya gunakan sebaiknya untuk memenuhi keperluan anak," katanya.

Walaupun ada masyarakat memandang serong dengan kerjaya ini ditambah pula dengan status ibu tunggal, sebagai manusia Dina tidak mampu menutup mulut mereka. Apa yang boleh dilakukannya adalah bersabar kerana dia mencari rezeki yang halal. Dina juga mengakui tidak lama di dalam bidang ini dan memberi tempoh masa tiga tahun lagi sebelum bersara.

"Ini kerana model datang silih berganti dan sudah pasti peluang lebih terbuka kepada model lebih muda dan cantik," katanya.

Namun sebelum bersara Dina ingin menubuhkan agensi peragaan Muslimah yang memberikan latihan khusus kepada model baru selain menyediakan peluang untuk mereka memperagakan pakaian sama ada menerusi media cetak atau di pentas peragaan. Besar harapan Dina supaya dengan tertubuhnya agensi ini, model Muslimah berbakat dapat dibentuk seterusnya menyediakan flatform kepada mereka bagi mengetengahkan bakat dalam bidang peragaan.

"Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan lagi profesionalisme model Muslimah di mata orang ramai sekali gus menjadikan kerjaya ini lebih sistematik, berkualiti serta diterima ramai," katanya.

Si gadis manis bermata galak dan cantik, Jasrina Jasni mula dikenali selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan pencarian kulit hadapan sebuah majalah tempatan pada 2007/2008. Sejak itu rezekinya murah dalam bidang peragaan dan sering menghiasi ruangan fesyen busana Muslimah.

Menurut Jasrina, hari ini lambakan fesyen Muslimah semakin berkembang dan secara tidak langsung ia mengajak wanita bertudung supaya berani bereksperimen dengan penampilan peribadi.

"Bagi model bertudung pula selain membuka peluang peragaan, kami menjadi individu pertama yang memperkenalkan pakaian Muslimah kepada wanita sekali gus menjadi ikon fesyen mereka. Tidak dinafikan, segelintir wanita bertudung masih ragu-ragu untuk bergaya dengan koleksi fesyen moden kerana bimbang ia bertentangan dengan fesyen Muslimah.

"Di sinilah peranan model mengambil tempat. Golongan model mampu membantu menggayakan dan 'menjual' pakaian yang diperagakan sebaik mungkin. Secara tidak langsung, ia memberi idea fesyen kepada pembaca agar mereka melangkah dengan penuh yakin," katanya yang berharap wanita hari ini tidak menjadi hamba fesyen serta mengekalkan asas utama iaitu menutup aurat.

"Empat tahun bergelar model sepenuh masa, Jasrina bijak mencari peluang bagi mengukuhkan namanya dalam industri. Dia percaya model datang dan pergi serta tidak selamanya mampu bertahan, justeru dia mempersiapkan diri dengan ilmu agar dapat disampaikan kepada model baru akan datang.

"Sejak empat tahun lalu saya menjadikan bidang ini sebagai kerjaya sepenuh masa. Siapa kata kerjaya ini tidak boleh 'cari makan'? Apa yang penting model perlu bijak menggunakan peluang yang ada. Pada masa lapang saya mengadakan bengkel latihan dengan menyediakan asas kepada model baru yang ingin berkecimpung dalam bidang ini.

"Apa yang penting selain ketinggian dan rupa paras yang dianggap satu bonus, model harus berbakat dan mempunyai kebolehan semula jadi memperagakan pakaian dan inilah yang membezakan seorang model dengan model yang lain," katanya.

Gadis kelahiran Sabah ini berharap pada masa depan dia mampu mengumpulkan model Muslimah berbakat di bawah satu bumbung bagi memberikan ilmu serta latihan kepada mereka mengenai cara menjadi model berjaya.

Penuntut jurusan Seni Rekaan Fesyen daripada Universiti Lim Kok Wing, Siti Mastura Mohd Salleh, mengakui pendedahan dalam bidang peragaan berlaku secara tidak sengaja apabila dia diminta menjadi model 'segera' bagi menggantikan model yang tidak dapat hadir ketika pertunjukan fesyen.

"Ketika itu gementar rasanya kerana sebelum ini saya tidak pernah beraksi di hadapan kamera. Namun peluang kali pertama menyebabkan saya mempunyai keyakinan diri untuk mencuba beberapa pertandingan selepas itu tambahan pula saya mendapat galakan keluarga serta rakan," ujar gadis kelahiran Pahang ini.

Bakat semula jadi serta kecantikan asli yang dimilikinya tidak sia-sia apabila Mastura menjuarai pertandingan kulit hadapan salah sebuah majalah tempatan serta menjadi peserta akhir Pertandingan Gadis Melayu 3 terbitan TV9 pada 2010.
Sejak itu rezekinya murah dan menerima tawaran memperagakan pakaian Muslimah di media cetak dan juga pentas peragaan.

Bagi Mastura niatnya bukanlah untuk menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan utama sebaliknya sebagai mengisi masa lapang.

"Sebagai pereka fesyen saya harus tahu apa yang cantik pada tubuh wanita, jadi dengan berpeluang memperagakan pakaian saya tahu apa yang akan membuatkan seseorang wanita itu nampak cantik. Adakah pada potongan, perincian manik atau penggayaan seseorang? Ini kerana fesyen dan model saling berkait rapat dan saling memerlukan," nyatanya.

Anak keempat daripada lima beradik ini mengakui untuk menjadi model berjaya serta mempunyai kredibiliti mereka bukan saja harus cantik dan memiliki ketinggian tetapi perlu bijak berfesyen. Dalam apa juga keadaan kesederhanaan itu sangat penting. Ini kerana model bertudung harus menjaga keperibadian mereka dan tidak boleh terlalu taksub memperagakan pakaian sehingga hilang nilai kesopanan.

"Ada sesetengah model menerima apa saja pakaian tanpa menimbangkan sama ada pakaian itu memenuhi tuntutan dalam Islam. Sebaliknya mereka boleh bersuara sekiranya kurang selesa misalnya terlalu ketat, jarang atau pendek sehingga menampakkan susuk tubuh. Inilah yang dikatakan model harus bijak dan tidak dipergunakan supaya mereka tidak ditipu.

"Paling penting sebelum memulakan sesi fotografi model perlu bersedia membawa semua kelengkapan seperti alas baju, legging, kasut dan pin tudung supaya tidak menyusahkan penganjur selain menampakkan nilai profesional dalam kerjaya," katanya.

Menjadikan Wardina Safiyyah serta Farah Adeeba Mohd Ashraf sebagai idola, Mastura yang mempunyai ketinggian 165 sentimeter dan berat 48 kilogram mengagumi penampilan serta keperibadian kedua-dua personaliti ini yang tampil sopan dan anggun dalam apa juga keadaan.

"Selain itu mereka bukan saja cantik malah bijak serta anggun bergaya. Sebagai pelajar jurusan fesyen saya berbangga kerana Farah mampu mempunyai label pakaian Muslimah sendiri dan sedikit sebanyak ini memberikan semangat kepada saya untuk menjadi seperti Farah," katanya.

Lady Gaga mandi darah

Posted: 05 Jan 2012 07:18 PM PST

KEBIMBANGAN diganggu roh jahat dipercayai mendorong Lady Gaga memilih ritual sihir untuk menjaga keselamatannya.
KEBIMBANGAN diganggu roh jahat dipercayai mendorong Lady Gaga memilih ritual sihir untuk menjaga keselamatannya.

LONDON: Sejak sekian lama dikenali dengan perangai pelik, rupa-rupanya ada lagi kejutan lebih besar Lady Gaga untuk peminatnya.

Terbaru, penyanyi Bad Romance itu didakwa menginap di bilik hotel di London dengan tab mandinya berlumuran darah.


Khabar angin mula terbesar luar di Internet dengan mendakwa penyanyi yang gemar berpakaian aneh itu mula melakukan ritual sihir.

Difahamkan, Lady Gaga, 25, mengambil jalan itu sebagai langkah menjaga keselamatannya daripada gangguan hantu.


Sementara itu, sumber berkata, kakitangan Hotel Intercontinental di London terkejut apabila mendapati tab mandi di bilik sewaan Lady Gaga dipenuhi darah.


Penemuan itu, kata sumber berkenaan, terdedah ketika kakitangan hotel berkenaan mengemas bilik Lady Gaga.

"Bagaimanapun, cecair merah yang didakwa darah itu belum dikenal pasti," katanya.


Seorang kakitangan hotel mewah itu mendakwa, Lady Gaga "mandi darah" sebagai sebahagian daripada ritual ilmu hitamnya.

Menurut pekerja itu, Lady Gaga meninggalkan sejumlah besar darah ketika menginap di hotel berkenaan musim panas lalu.


"Insiden itu dimaklumkan kepada pekerja berkenaan dan dinasihatkan supaya jangan mengungkitnya lagi," katanya.


Sementara itu, sumber berkata, Lady Gaga dipercayai takut diganggu roh jahat.


Ketakutan itu mendorong penyanyi terbabit menggunakan khidmat penyiasat paranormal untuk memeriksa setiap bilik yang bakal dihuninya.


"Dia membelanjakan 30,000 (RM146,110) untuk membeli meter pengesan medan elektromagnet sebagai langkah keselamatan," katanya.

Megah Terukir Di Bintang

Posted: 05 Jan 2012 07:16 PM PST

pix_gal0
Lebar profil kerjaya seni perkenal bakat muda

SEGALA-GALANYA tampak sempurna buat Yuna untuk permulaan 2012 apabila tampil bersama album kedua, Terukir Di Bintang selain melebarkan profil kerjaya seni dengan memperkenalkan bakat muda berpotensi besar, Diandra Arjuanaidi di bawah label Yuna Room Records (YRR).
Mac nanti edaran buah tangan sulung yang sepenuhnya dirakam di Amerika Syarikat pula menyusul sekali gus menjadi pemangkin untuk penyanyi, merangkap komposer ini menembusi pasaran luar.
Sepanjang tahun lalu juga tiada siapa dapat menafikan dia kekal cemerlang dengan satu persatu tawaran sebagai duta produk, persembahan pentas silih berganti, pengiktirafan terhadap karyanya dan terbaru diberi penghormatan menjayakan persembahan MTV Iggy's Best New Band Concert di Times Square, New York.

Jika ada pun, kontroversi membabitkan dirinya hanya disebabkan kesilapan teknikal pihak lain, namun sedikit pun tidak mencalarkan reputasi atau menggugat semangatnya untuk cekal melangkah termasuk membantu Diandra yang juga teman seperjuangan 'masuk' ke arus perdana.

Akuinya sebaik menyaksikan persembahan langsung gadis itu di gig Moonshine kendalian Reza Salleh, dia nampak keistimewaan gadis itu, sekali gus bagai melihat dirinya sendiri lima tahun lalu - merakamkan lagu tetapi tidak mengetahui kaedah pemasaran.

"Apabila melihat Diandra, saya nampak diri saya lima tahun lalu, bersemangat namun belum bertemu cara perkenalkan karya kepada umum. Selepas berbincang, kenapa tidak dia menyertai YRR yang pada dasarnya hanya bertindak untuk pengurusan kerana produknya sudah dirakamkan sendiri.
"Mendengar dia mengadakan persembahan langsung, saya yakin dia mampu pergi jauh bersandarkan vokal yang bagus selain kemampuan menulis lagu yang baik. Dia juga bersungguh terhadap muzik.

"Bagi saya, YRR hanya menjadi pembuka jalan. Diandra sudah ada pendengar yang mengikuti lagu-lagunya daripada YouTube dan gig, jadi tiada masalah dari segi edaran," katanya pada majlis pelancaran kedua-dua album.

Menganggap kehadiran penyanyi sulung yang bernaung di bawah label syarikatnya sebagai permulaan, pada masa akan datang Yuna masih mempertimbangkan hasrat menambahkan lagi penyertaan bakat lain.

Pada masa sama, anak seni berusia 25 tahun itu berharap pendengar tidak membuat perbandingan antara lagunya dengan Diandra kerana masing-masing mempunyai konsep muzik yang berbeza.

"Apabila melihat penyanyi wanita menulis lagu sendiri dan memetik gitar, pasti mereka disamakan dengan saya. Ia sekadar persepsi kerana selepas mendengar album Diandra, pasti peminat dapat merasakan perbezaannya," katanya mengenai album yang bakal diedarkan FMC itu.

Berbalik kepada pembikinan album keduanya untuk edaran tempatan, senyuman Yuna terus berbunga apatah lagi selepas lama menunggu akhirnya lapan lagu yang sudah dirakamkan sejak awal tahun lalu dapat dikongsi peminat.

Melihat kulit muka depan, akui penyanyi tinggi lampai itu pasti peminat menganggap ia sekadar tangkap muat apabila ia tidak seperti album lain - kelihatan sangat ringkas.

"Sebagai syarikat kecil, kami cuba meminimumkan kos tetapi tidak bermakna isinya kurang bermutu. Saya sendiri tidak akan berkompromi soal kualiti malah sepanjang merakamkan setiap lagu, prosesnya mengambil masa.

"Pengisiannya daripada Yuna, begitu juga muziknya. Walau saya akan melancarkan album Inggeris sepenuhnya untuk pasaran luar, saya tetap mahu berkongsi lagu Melayu dan beberapa dendangan Inggeris untuk peminat di sini apatah lagi selepas kemunculan Decorate pada 2010, peminat tertanya-tanya album kedua.

"Segala-galanya masih seperti dulu cuma mungkin album kali ini menonjolkan kelainan sekali gus kematangan saya. Jika album sulung lebih kepada alternatif dengan kisah jiwa lara, kali ini lebih santai," kongsinya lagi yang enggan mengiya atau menafikan lagu Terukir Di Bintang melambangkan aura bahagia yang dikecapi kini.

Hanya tersenyum apabila diusik mengenai kaitan lagu itu dengan hubungannya bersama hos popular, Qi, Yuna yang baru dua hari kembali ke tanah air selepas bercuti bersama ibu bapa, pengurus dan kekasihnya itu dari Eropah.

Jika selama ini penyanyi yang turut mempertaruhkan dua lagu Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL 26) menutup mulut berhubung kisah cintanya, sedikit sebanyak dia semakin terbuka namun masih cuba berselindung dengan memaklumkan kekasihnya itu menggemari lagu Fears and Frustration, bukannya Terukir Di Bintang.

"Sebenarnya Qi belum mendengar keseluruhan lagu ini cuma dia lebih menyukai Fears and Frustration kerana ia punya melodi ala 90-an. Mana tidaknya dia memang membesar pada zaman itu. Ia juga paling eksperimental.

"Untuk lagu Terukir Di Bintang pula, saya mengambil inspirasi daripada lagu lama. Melodinya juga kedengaran klasik tetapi secara keseluruhan album ini santai didengar," tambahnya.

Menyentuh persediaan AJL 26, Yuna yang mempertaruhkan Gadis Semasa serta Penakut baru 20 peratus melakukan persiapan dan baru masuk studio dua hari lalu.

"Setakat ini saya dan anggota band baru jamming untuk lagu Gadis Semasa terutama susunan muziknya. Saya berpuashati melihat hasilnya tetapi untuk Penakut, kami masih mencari-cari yang terbaik, tunggu saja malam kemuncak nanti.

"Soal lagu mana yang saya utamakan, saya memberi fokus sama rata. Saya juga tidak mahu menaruh harapan terlampau tinggi kerana dalam setiap pertandingan ada kalah dan menang tetapi yang pasti saya memang ternanti-nantikan AJL.

"Saya suka menyertai AJL ia acara muzik yang membuka peluang kepada saya bertemu rakan sealiran malah lebih penting dapat bertukar fikiran dengan penggiat industri berpengalaman," katanya.

Suka tidak bermakna meniru Yuna

PEMBABITAN gadis ini dalam dunia muzik perdana mungkin kurang disedari oleh masyarakat umum.

Begitupun, dia cukup aktif mengembangkan bakat nyanyiannya menerusi media sosial seperti YouTube seperti mana yang dilakukan oleh Yuna kerana menerusi cara ini bukan saja boleh memberikan semangat serta keyakinan tetapi juga dapat mengetahui sejauh mana kemampuannya diterima peminat.

Mewarisi darah seni daripada keluarganya mungkin memberi kelebihan kepada penyanyi muda berbakat besar ini. Namun, kejayaan dikecapi menerusi usaha sendiri, dia tidak memperbesar-besarkan pengaruh keluarga dalam kerjaya seninya.

Diandra, 20, yang juga cucu kepada Datuk Rosnani Jamil dan Datuk Jamil Sulong mengakui ruang yang dibuka Yuna melebarkan lagi langkahnya selepas menimba pengalaman menerusi gig.

Mula diperkenalkan di arena hiburan oleh Reza Salleh yang menonton video klip lagunya di YouTube kira-kira dua tahun lalu, lepasan Kolej Sunway dalam jurusan Seni Persembahan itu memaklumkan muzik Yuna turut memberi inspirasi kepadanya dalam menghasilkan muzik sendiri.

"Saya akui membesar dengan muzik Yuna tetapi tidak bermakna saya menirunya. Cuma kebetulan apabila menyanyi ada kalanya saya memetik gitar. Kami ada identiti sendiri dan saya sendiri kagum dengan kemampuan Yuna yang mampu pergi jauh dalam arena ini.

"Sebenarnya kelapan-lapan lagu sudah saya rakamkan selama setahun pada 2011. Saya sendiri tidak menyangka akan bergerak sejauh ini namun inilah bidang yang saya cintai," katanya yang mula menghasilkan lagu pada usia 14 tahun dengan ciptaan pertama You yang turut dimuatkan dalam album berkenaan.

Hanya memuatkan sebuah lagu Melayu berjudul Angkasa, dedah gadis tinggi lampai yang pernah membintangi drama bersiri Gemilang dan Sakura itu katanya ia percubaan pertama memandangkan kebanyakan ciptaannya menggunakan bahasa Inggeris.

"Di rumah kami berbahasa Inggeris untuk berinteraksi tetapi bukan bermakna saya enggan bercakap Melayu cuma kosa kata yang masih terhad membuatkan saya sukar menulis seni kata kerana menulis lirik dan bercakap tidak sama," kata anak bongsu daripada dua bersaudara yang punya darah Cina di sebelah ibu.

Adam memang gempak!

Posted: 05 Jan 2012 07:15 PM PST

Adam
Adam
Insiatif anjur persembahan sendiri dapat sambutan amat menggalakkan

LAGAKNYA tak ubah seperti Raja Pop dunia, Michael Jackson ketika tampil pada Adam X-Clusive Showcase.
Auranya juga mengingatkan kepada bintang ternama itu apabila peminat yang hadir menjerit-jerit sebaik melihat kelibat Adam yang tampil menerusi layar projektor. Gimik yang menjadi apabila susuk tubuh Adam kelihatan di atas pentas dalam suasana yang agak suram membuatkan peminatnya semakin mengila menjerit dengan laungan Adam..Adam..Adam!
Persembahan mini atau Showcase Adam yang dianjurkan Aico Empire Group adalah inisiatifnya sendiri untuk memberi penghargaan kepada peminat yang mula menyokong karier seninya sejak tujuh tahun yang lalu.

Dianggarkan 200 peminat kepada anak muda kelahiran Sabah ini mula berhimpun di hadapan The Actors Studio, Roof Top Lot 10 sejam lebih awal kerana dibimbangi tidak mendapat tempat yang strategik untuk menyaksikan showcase yang julung kali diadakan khas untuk mereka.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Matsaman bintang yang lahir dari program realiti pada 2004 memang memiliki kelebihan tersendiri berbanding penyanyi lain yang juga lahir dari program realiti.

Kelincahannya beraksi di atas pentas menyanyi sambil menari menjadi antara kelebihannya sehingga setiap persembahan yang dilakukan pasti mendapat tepukan dan sorakan daripada penonton.
Boleh dikatakan penonton yang hadir menyaksikan persembahan Adam mencapai kepuasan. Mana tidaknya dalam masa dua jam, penyanyi ini menyanyikan hampir 25 lagu, itu tidak termasuk lagu daripada beberapa penyanyi jemputannya seperti kumpulannya sendiri V.I.P dan Baby Shima.

"Showcase ini adalah tanda terima kasih yang tidak terhingga buat peminat khususnya yang masih setia menyokong kerjaya seni saya dalam industri ini. Saya memilih 25 lagu terbaik dari album Adam, Adam II, Adam III dan Adam 4 istimewa buat peminat.

"Dengan sambutan yang diberikan peminat pada showcase ini sudah tentu ia bukan menjadi showcase terakhir kerana saya merancang akan mengadakannya lagi pada tahun depan dan jika ada rezeki saya teringin mengadakan konsert pada skala yang lebih besar," katanya.

Antara lagu hits yang dinyanyikan Adam seperti Tension, Seri Satu Sama, Sana Sini, Potret Lama, Tak Seiring Bibir, Ellena..Pergilah, Jika Tak Kerana Kami, Terpesona, Lagu Sedih (V.I.P), Hai, Robot, Joget Lambak Tak Tahu dan banyak lagi.

Lima lagu pertama yang dinyanyikan, Adam tampil dengan berjaket merah sambil diiringi empat penari. Selepas peluhnya mula membasahi seluruh tubuh dan pentas, Adam terpaksa membuka jaketnya, itupun menjadi modal kepada peminat untuk menjerit dengan melaungkan namanya.

Biarpun showcase yang dianjurkan pada skala yang agak kecil namun tetap menitikberatkan mutu bunyi dan sistem pencahayaan yang menarik dan menepati setiap lagu.

Sebagai bukti betapa dia menghargai peminatnya, Adam juga turut menyediakan sebakul kuntuman bunga Ros untuk diberikan kepada peminat ketika dia menyampaikan lagu Jika Tak Kerna Kamu. Lebih istimewa Adam turut memilih seorang peminat bertuah untuk tampil di pentas ketika dia sedang menyanyi.

Peminat itu diibaratkan sebagai gadis istimewanya yang begitu dikagumi dan dicintai. Sambil menyanyi Adam mengeluarkan sebentuk cincin dan menyarungkan ke jari peminat bertuah itu.

Ketika itu, bukannya gadis itu yang menjerit riang tetapi peminat di bawah yang tidak senang duduk melihat situasi romantik itu mula menjerit-jerit kerana cemburu.

Lagu Sedih yang kini semakin kerap dimainkan di setiap stesen radio tanah air tidak ketinggalan menjadi lagu yang dinanti-nantikan peminat. Pantang dihulurkan mikrofon, peminat tanpa segan silu turut menyanyi bersama seolah mereka sudah dikhayalkan oleh aura Adam.

Bezanya ketika Baby Shima menyanyi menerusi lagi Tak Sabar, tidak sampai separuh daripada mereka bersorak walaupun lagu itu rancak dan bertenaga.
Bukannya peminat tidak menghargai bakat yang dimiliki gadis yang lahir daripada Bintang Idola Berita Harian (BIBH) ini tetapi mereka lebih teruja kerana fokus mereka hadir ke showcase itu untuk berhibur bersama Adam.

Showcase yang berlanjutan lebih dua jam itu diakhiri dengan sesi fotografi Adam bersama peminatnya yang juga ahli Adam Fan Club Malaysia.

Semua kerana minat

Posted: 05 Jan 2012 07:14 PM PST

 Amy melayan peminat kecil ketika muncul mengadakan persembahan pada Karnival Sijil Simpanan Premium baru-baru ini.
Amy melayan peminat kecil ketika muncul mengadakan persembahan pada Karnival Sijil Simpanan Premium baru-baru ini.
Aura Amy masih membara walaupun tiga dekad di arena seni

SABTU lalu, dia berada di Kuching, Sarawak, menyempurnakan penutup Konsert Fenomena 30 Tahun Search. Seawal jam 4 pagi keesokan harinya, Amy dan isteri, Norish, sudah bersiap-siap ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana ada tugas yang harus disempurnakan.
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia dan isteri cuma pulang seketika ke rumah sebelum menuju ke pusat beli-belah Sunway Pyramid kerana memenuhi undangan Karnival Sijil Simpanan Premium anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN).
Ketika ditanya, dari mana dia mengumpul segala kekuatan pada usia sudah melebihi setengah abad, bergegas ke sana sini tetapi masih lagi bertenaga? Jawab bapa kepada lima cahaya mata ini, formulanya mudah, iaitu tidak menganggap pekerjaan sebagai beban.

Sebaliknya semua itu dilakukan kerana minat.

"Alhamdulillah saya masih lagi boleh menyanyi dan tidak pernah penat dengan profesion ini. Setiap kali mengadakan persembahan, saya tidak pernah anggap ia satu tugas sebaliknya saya hanya memikirkan mengenai keseronokan.

"Bagi saya, apabila melakukan sesuatu perkara kerana didorong minat, secara tidak langsung segala kepenatan walaupun terpaksa berkejar ke sana-sini tidak terasa. Lagipun, menyanyi ialah perkara yang amat saya minati. Selagi kudrat masih ada saya akan meneruskan kerjaya ini," kata penyanyi berusia 54 tahun ini.
Apa yang diperkatakan Amy ternyata ada benarnya. Keikhlasan melayani 30 pelajar dari Rumah Anak-Anak Yatim Al Nasuha Taman Pinggiran Gombak, Batu Caves, jelas terpancar pada wajah penyanyi yang tidak dimakan usia ini.

Selain anak yatim, kemunculan Amy di ruang legar pusat beli-belah itu turut menggamit perhatian pengunjung. Ternyata aura Amy Search masih kuat, seperti tidak akan pudar.

Pengunjung pusat berkenaan sememangnya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan percuma dihidangkan petang itu. Siapa yang mahu terlepas peluang keemasan dihiburkan seorang penyanyi legenda tanah air?

Walaupun hanya persembahan percuma, Amy ikhlas serta bersungguh-sungguh menghiburkan mereka. Dua lagu, Isabella dan Kerja Gila, menjadi pilihan untuk dihadiahkan buat pengunjung pada petang itu.

Kelihatan ramai yang menguntum senyum puas melihat persembahan lelaki ini, barangkali mereka sendiri tidak menyangka kerana menjadi insan bertuah apabila berpeluang bertemu dengan seorang penyanyi rock hebat negara.

Serik empat kali ditipu

KEBETULAN majlis dihadiri berkaitan dengan wang simpanan, soalan yang mempunyai hubung kait dengan topik menabung demi masa depan turut diajukan.

Pantas jawabnya, dia menyimpan demi masa depan anak-anak yang sedang membesar. Apatah lagi dia sendiri bukanlah orang yang gemar membeli-belah, sebaliknya aktiviti itu dilakukan apabila dirasakan perlu.

Kata Amy lagi, andai satu hari nanti dia perlu menjalani rawatan di hospital, dia berhak duduk di wad kelas pertama atas usahanya berkerja bertungkus-lumus selama ini.

"Saya menyimpan demi anak-anak. Segala rezeki yang saya dapat sekarang, semuanya untuk mereka. Untuk diri saya tidak begitu penting. Sekarang ini saya lebih selesa menyimpan sendiri dan tidak mahu lagi mempercayai sebarang skim pelaburan selepas ditipu sebanyak empat kali.

"Selepas ditipu, saya menjadi lebih berhati-hati. Saya tidak pernah ada pengalaman dalam dunia pelaburan, yang saya tahu hanyalah bidang nyanyian. Apabila ada tawaran yang menjanjikan pulangan menarik, hati saya terpikat. Tanpa mahu bersikap skeptikal dengan orang yang menawarkan skim itu, saya bersetuju menyertainya.

"Lagipun mereka ini ialah peminat saya. Jadi saya mudah percaya mereka tidak akan sesekali menipu saya. Sepatutnya saya tidak boleh terlalu mempercayai mereka kerana akhirnya saya juga yang ditipu. Bukan sedikit kerugian saya alami, tetapi habis bersih mereka tipu saya," katanya yang serik dengan pengalaman hitam itu.

Dengarnya...: Beli Simple Plan, dapat Avril Lavigne

Posted: 05 Jan 2012 07:12 PM PST

Avril Lavigne
Avril Lavigne
NAMPAKNYA, 2011 memang tahun yang membanggakan buat syarikat penganjur konsert, JS Concert Productions, apabila mereka berjaya membawakan nama besar ke hadapan peminat negara ini, seperti Justin Bieber, Westlife, Whitesnake dan Pitbull.

Cik Normah sendiri sempat menyaksikan dua daripada konsert anjuran mereka itu.
Konsert Whitesnake yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil memang rock habis. Cik Normah kagum sangat dengan bakat dan keupayaan anggota kumpulan terbabit. Pitbull pula usah disangkal lagi popularitinya. Banyak sungguh lagu hit dendangan rapper ini yang disiarkan radio. Cik Normah yang bukan remaja lagi ini pun boleh bergoyang sakan menyaksikan persembahannya tempoh hari.

Bagi penggemar muzik, syarikat itu terus menjanjikan beberapa konsert hebat sepanjang tahun ini. Cik Normah dengar cerita, pada suku pertama 2012 ini saja, empat konsert artis terkemuka antarabangsa akan dianjurkan mereka.

Bermula 14 Januari ini dengan kumpulan Simple Plan di KL Live, Jalan Sultan Ismail, persembahan diteruskan dengan kemunculan Avril Lavigne pula pada 18 Februari di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Kumpulan Evanescence akan menghiburkan peminat pada 23 Februari, juga di KL Live, diikuti konsert penyanyi yang kini meletup-letup namanya, Jessie J, pada 16 Mac di Surf Beach, Sunway Lagoon.

Bagi menunjukkan tanda penghargaan kepada sokongan peminat terhadap konsert anjuran mereka, JS Concert khabarnya menawarkan peminat habuan yang bukan main menarik lagi untuk konsert mereka nanti.
Dengan setiap pembelian dua tiket menonton persembahan Simple Plan, peminat akan mendapat sekeping tiket konsert Avril Lavigne berharga RM198. Peminat hanya perlu membawa dua tiket terbabit pada hari konsert kumpulan rock itu nanti untuk menukarkannya dengan tiket percuma ini.

Wah, nampaknya tawaran itu cukup menarik dan tidak mampu dilepaskan penggemar muzik rock sebelah sini.

GRO warga asing lagak samseng

Posted: 05 Jan 2012 07:08 PM PST

SEORANG GRO cuba melawan penguat kuasa yang cuba menahannya pada operasi di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
SEORANG GRO cuba melawan penguat kuasa yang cuba menahannya pada operasi di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Wanita terbabit cuba tendang jurugambar, lawan polis ketika ditahan

PETALING JAYA: Seorang pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand cuba menendang jurukamera yang merakam gambarnya selepas dia ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Plaza Crystal Ville, Desa Sri Hartamas di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 12 malam itu, wanita terbabit yang ditahan bersama 12 wanita senegara serta dua warga Filipina, dipercayai berang dengan tindakan jurukamera merakam wajahnya ketika dia diarahkan menaiki trak polis selain melemparkan kata-kata kesat.
Bagaimanapun, jurukamera berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua 15 GRO berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan kerana menyalah gunakan pas lawatan sosial dibawa ke Balai Polis Travers untuk disoal siasat.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Deputi Superintendan Azman Mohd Isa, berkata sejak awal lagi beberapa GRO yang diperiksa dalam serbuan itu bertindak agresif dengan cuba melawan anggota polis yang menjalankan tugas.

"Ketika serbuan dilakukan, kesemua GRO berkenaan sedang sibuk melayan lebih 40 pelanggan dan ketika anggota kita hendak melakukan pemeriksaan, ada di antara mereka cuba bertindak agresif untuk mengelak dari ditangkap.

"Mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sebenarnya melakukan kesalahan dengan menyalah guna pas lawatan sosial dengan bekerja di negara ini," kata Azman kepada pemberita di sini, semalam.
Azman memberitahu, premis berkenaan yang mempunyai lesen serta permit pusat hiburan dan sudah beroperasi sejak setahun lalu pernah beberapa kali diserbu kerana menggunakan khidmat GRO warga asing untuk menarik perhatian pelanggan.

Rasa lemak keju

Posted: 05 Jan 2012 07:07 PM PST


Burger ayam mini


MAKANAN yang berkeju memang sudah biasa dengan selera kita meskipun ia bukan makanan tempatan. Sebut sahaja makanan seperti piza dan pasta pasti tidak akan lari dengan kejunya.

Hidangan yang diletakkan dengan keju memang sungguh enak kerana rasanya yang berlemak dan disukai ramai.

Tapi tahukah anda bagaimana keju dihasilkan? Jadi apa kata kali ini kita ketahui bagaimana keju ini dihasilkan.

Keju sebenarnya adalah suatu produk tenusu iaitu dihasilkan daripada susu. Keju yang dihasilkan daripada susu ini mempunyai pelbagai jenis, tekstur dan rasa.

Keju boleh dibuat daripada pelbagai jenis susu seperti susu lembu, kambing dan kerbau. Ia mengandungi sumber lemak dan protein.

Sebuah cerita legenda mengatakan keju telah ditemui secara tidak sengaja oleh seorang Arab nomad yang tidak dikenali.

Dia dikatakan telah terisi satu beg pelana dengan susu untuk menyeberangi padang pasir dengan kuda.

Selepas beberapa jam menunggang dia berhenti untuk menghilangkan kehausan tetapi mendapati susu yang dibawa dalam beg pelana telah dipisahkan menjadi cecair berair bersama dengan ketulan-ketulan pepejal putih.

Beg pelana, yang digunakan untuk mengisi susu itu telah dibuat daripada perut seekor anak haiwan yang mengandungi satu enzim yang dikenali sebagai rennet.

Oleh itu susu itu telah menjadi dadih (membeku) disebabkan oleh rennet, ditambah pula dengan suhu panas matahari dan goncangan akibat kuda yang ditunggangi.

Dalam pembuatan keju, susu didadihkan dahulu iaitu pepejal susu (curd) perlu diasingkan dengan cecair susu (whey). Pemisahan ini boleh dilakukan dengan cara pengasidan (pemasaman) atau menambahkan rennet di dalam susu.

Untuk pengasidan anda boleh meletakkan bahan seperti cuka tetapi selalunya bakteria pemula akan digunakan. Bakteria pemula ini akan menukarkan gula susu kepada asid laktik.

Bakteria yang digunakan dan enzim-enzim yang dihasilkan memainkan peranan utama untuk memberikan rasa dalam pembuatan keju.

Kebanyakan keju dibuat dengan menggunakan bakteria seperti Lactococci, Lactobacilli atau keluarga-keluarga Streptococci.

Bakteria yang digunakan bukan sahaja memberikan rasa pada keju tetapi membentuk tekstur keju contohnya bakteria pemula Swiss seperti Propionibacter Shermani akan melepaskan gas karbon dioksida semasa proses pemeraman keju Swiss dan Emmenthal yang membentuk lubang pada keju ini.

Selain menggunakan bakteria pemula terdapat banyak keju yang ada dipasaran menggunakan rennet yang menjadikan keju lebih anjal seperti gel yang kuat dan bergetah dan keju dapat dihasilkan walaupun pH susu dalam berasid rendah.

Selepas proses mendadih menggunakan bakteria atau rennet pada ketika ini keju yang terhasil masih dalam keadaan satu gel yang sangat lembap dan keju yang lembut akan terhasil dimana ia telah ditapis airnya , dimasinkan dan dibungkus.

Beberapa keju keras yang dihasilkan akan melalui proses pengeringan kepada suhu-suhu dalam lingkungan 35-55 darjah celsius. Ini memaksa lebih banyak air yang tersejat dari keju lembut tadi.

Ia turut merubah rasa keju, di samping rasanya turut dipengaruhi oleh kedua-dua kultur bakteria dan daripada kimia susu.

Selain pemanasan ada teknik lain yang digunakan untuk mendapatkan tekstur keju yang berbeza seperti menegang, membasuh dan menekan keju lembut tadi.

Kebanyakan keju-keju mencapai bentuk akhir apabila dadih (pepejal susu) ditekan ke dalam acuan atau bentuk. Oleh itu lebih keras keju itu, lebih banyak tekanan diberikan.

Tekanan membuang lembapan sebenarnya adalah daripada acuan yang direka bentuknya untuk membenarkan air dikeluarkan dan membentuk dadih menjadi satu bentuk yang padat.

Proses terakhir keju adalah ia akan dimatangkan dengan memeramnya. Semasa peroses mematangkan keju ini mikrob dan enzim-enzim akan mengubah tekstur dan rasa keju menjadi lebih sedap.

Hidangan asli Australia di Fontana Cafe

Posted: 05 Jan 2012 06:59 PM PST


STEAK ini menggunakan minyak bunga matahari dan diperap dengan jus anggur sparkling yang tidak mengandungi alkohol.


SEBAIK menjejakkan kaki ke Fontana Cafe umpama berada di negara Australia. Mana tidaknya, di setiap sudut ada bendera negara yang terkenal dengan beruang koala tersebut.

Bukan itu sahaja, televisyen yang diletakkan di tengah-tengah kafe juga sentiasa menayangkan perlawanan bola sepak Australia menyebabkan pengunjung seolah berada di negara tersebut.

Kemudian mata tertumpu pula ke satu sudut yang terdapat begitu banyak hadiah dengan setiap satunya dilekatkan nombor umpama menunggu untuk dicabut oleh sesiapa yang bertuah.

Lalu terus bertanya kepada kepada pemilik kafe tujuan lambakan hadiah-hadiah menarik tersebut.

"Memang ia salah satu tarikan untuk pelanggan yang menikmati makanan di kafe ini," ujar Idzauriza Idrus, selaku pemilik Fontana Cafe ini.

Sambungnya, idea untuk melakukan cabutan bertuah kepada pelanggan bukanlah sesuatu yang asing di mana-mana restoran di Australia.

Bukan sekadar cabutan bertuah, bahkan pemilik restoran di sana turut mengadakan persembahan persembahan dam aktiviti, serta melengkapkan pelayannya dengan pelbagai aksesori semata-mata untuk menarik pelanggan.

"Cabutan hadiah ini dilakukan sebanyak tiga kali setiap hari, pada pukul 6.30 petang, 8.30 dan 10.30 malam. Selain seronok dengan hadiah yang didapati, ini juga salah satu cara untuk memupuk kemesraan di kalangan ahli keluarga dan sahabat yang datang makan di sini," jelasnya.

Menurut Idzauriza lagi, kebanyakan pelanggan di Australia akan menjadi pelanggan setia di satu-satu kafe atau restoran kerana tarikan ini.

Pelayan pula diajar untuk menganggap pelanggan seperti sahabat dan memahami menu yang pelanggan mahukan.

"Memang tidak menjadi masalah jika pelanggan mahukan makanan mengikut cita rasa mereka sendiri seperti kurang manis, kurang garam dan sebagainya, kerana mereka bersedia memenuhi apa saja permintaan mengikut kehendak pelanggan," jelasnya sambil dipersetujui suami, Steven Barry Fontana, seorang warga Australia.

Menceritakan tentang sejarah penubuhan Fontana Cafe, Idzauriza berkata, idea tersebut datang secara tidak sengaja.

"Pada November 2009, saya telah diminta oleh keluarga suami untuk membantu rakan karib keluarga menyiapkan juadah bagi majlis pengkebumian isterinya.

"Saya bersetuju dan terus menyediakan makanan ringan Barat dan Malaysia untuk upacara tersebut.

"Tahun berikutnya saya menerima satu lagi tempahan dan kali ini untuk persatuan pula, lalu saya terus mendaftarkan perniagaan katering yang diberi nama Ajahar Catering di Australia," ujar Idzauriza yang telah menetap di Australia selama lapan tahun.

Menurut ibu kepada tujuh cahaya mata ini, apabila suaminya menyatakan hasrat untuk menetap di Malaysia, idea untuk menubuhkan kafe berkonsepkan Australia ini pun timbul.

"Menggabungkan pengalaman dan pengajian saya dulu pun dalam bidang hotel dan katering, justeru saya memang yakin dengan penubuhan kafe ini yang terletak di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

"Menu istimewa di sini adalah oz burger yang amat diminati rakyat Australia, selain itu Norwegian salmon salad, lamb chop, roast beff, sirloin steak dan Fontana burger," katanya yang memasak menggunakan minyak bunga matahari, canola dan minyak zaitun sahaja.

Selain itu Fontana Cafe juga menjual dan mempamerkan barang-barang dari Australia dan Malaysia untuk tatapan para pelanggan di sini.

Dan untuk memeriahkan lagi suasana, kafe ini juga kan mengadakan pertunjukkan kebudayaan.

"Pelanggan juga boleh mencuba alat muzik masyarakat asli Australia yang diberi nama Didgeridoo. Ini satu pengalaman yang unik yang tidak boleh didapati di mana-mana selain Australia," jelasnya.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Riza di talian 016-3468594.

Kembar empat 'hadiah' tidak ternilai

Posted: 05 Jan 2012 06:58 PM PST


Dr. Afida Mohamad Ali dan suaminya, Ghazi Mohd. Ghazali memangku bayi kembar empat sambil diperhatikan anak sulong mereka, Sofie Aleeya.


ANDA adalah super mum. Untungnya sekali beranak dapat empat sekali gus.'' Itu adalah antara kata-kata pujian yang diberikan kepada Dr. Afida Mohamad Ali, 36, yang melahirkan anak kembar empat pada 2 Disember lalu.

Memanglah tidak dapat digambarkan bagaimana gembira, seronok, bangga dan bersyukurnya Afida dengan anugerah Allah tersebut.

Afida sendiri adalah anak kembar (kembarnya, Afiza), namun dia sedikit pun tidak pernah menyangka bahawa akan mempunyai anak kembar apatah lagi empat sekali gus.

Doa suaminya, Ghazi Mohd. Ghazali, 40, seorang jurutera supaya dikurniakan anak kembar dimakbulkan dan 'hadiah' yang tidak ternilai ini diterima dengan penuh kesyukuran.

Sebelum kehamilan kembar empat ini, Ghazi dan Afida telah pun dikurniakan anak sulung, Sofie Aleeya yang kini berusia empat tahun.

Menceritakan detik awal sebelum kehamilan kembar empatnya, pensyarah kanan bahasa Inggeris di Universiti Putra Malaysia itu berkata, mulanya dia menjalani rawatan sindrom pcos di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Katanya yang ditemui di rumahnya di Seri Kembangan, Selangor, ramai wanita sekarang yang mengalami sindrom pcos di mana ovari tidak cukup matang dan apabila benih disenyawa, benih akan hilang begitu sahaja.

''Mulanya saya diberi makan ubat bagi mematangkan dan menguatkan ovari supaya benih boleh disenyawakan. Apabila usaha ini tidak mendatangkan kesan, saya menjalani rawatan IUI (Intra Uterine Insemination) pula dan ternyata menjadi.

"Selepas sebulan menjalani rawatan IUI ini, saya disahkan hamil dan doktor mendapati saya kembar empat. Anak sulung saya juga diperoleh melalui cara ini.

''Proses ini tidak menyakitkan dan bayaran yang dikenakan amat minimum sekali,'' ujar Afida yang nampak sedikit letih kerana kurang tidur menjaga bayi-bayinya.

Menceritakan bagaimana dia melalui proses sepanjang kehamilan, tambah Afida lagi, tiga bulan pertama dia mengalami alahan hamil yang begitu teruk sekali di mana dia muntah sebanyak sembilan kali sehari dan badan berasa kurang selesa.

Pada bulan kelima, katanya, keadaannya kembali pulih dan pada kehamilan enam bulan ke atas, keadaannya kembali tidak selesa.

''Pergerakan saya begitu terbatas kerana tidak boleh bergerak cergas seperti biasa, tidur pun susah kerana terpaksa terlentang sahaja dan tidak selesa walaupun berbaring atas tiga lapis tilam.

''Doktor memberikan saya multivitamin untuk selera makan. Menurut doktor, saya perlu makan banyak supaya berat badan bayi bertambah agar bayi kuat semasa dilahirkan.

''Bayangkan berat badan saya ketika itu sebanyak 92 kg ( kilogram) sedangkan sebelum hamil berat saya 55 kg sahaja.

"Oleh kerana perut saya besar, jadi apabila duduk, perut saya berada di atas paha. Hendak berjalan pun tak terdaya. Bersolat pun dengan terbaring sahaja di atas katil.

''Saya juga perlu mengambil suntikan anti coangulant setiap hari bagi mengelakkan darah beku. Suntikan ini saya buat sendiri sebab tidak larat hendak berjumpa doktor setiap hari,'' jelasnya yang banyak mendapat bantuan fizikal dan mental daripada suami dan keluarga.

Pada bulan ke tujuh dan ke lapan pula kata Afida, dia terpaksa terlantar di hospital untuk pemantauan doktor sementara menunggu kehamilan matang pada tempoh 34 minggu.

''Semasa tinggal di hospital, pelbagai cabaran yang saya hadapi.

"Emosi sedikit terganggu dengan keadaan badan yang besar, anak sulung yang dijaga sepenuhnya oleh suami, bapa mentua pula meninggal dunia dan sebagainya," katanya.

Ketika menceritakan saat-saat dibedah, Afida seperti dapat mengingati kembali proses yang mencemaskan dan menakutkannya sehingga dia menjadi panik di meja bedah.

''Saya mengambil suntikan epidural pada tulang belakang dan ramai jururawat yang memegang saya kerana bimbang saya terjatuh ke bawah dengan keadaan badan saya yang besar.

" Ini yang membuatkan saya ketakutan dan dengan bius separa, saya dapat melihat segala proses daripada mula hingga akhir yang mengambil masa selama dua jam.

''Syaza Ameena dilahirkan dahulu diikuti Hafiz Arif, Haziq Arif yang setiap seorang seberat 1.9 kilogram dan akhir sekali Syaura Adeela 1.5 kilogram

''Syaza Ameena dan Haziq Arif boleh dibawa balik ke rumah sementara Hafiz Arif balik seminggu kemudian dan Syaura Adeela dua minggu selepas itu kerana daya hisapan botol susu yang tidak kuat,'' kata Afida yang berat badannya kini telah turun ke 70 kg.

Afida berkata, dia memberikan susu ibu dan susu formula kepada keempat-empat bayi kembarnya itu dan setiap kali penyusuan mengambil masa selama satu setengah jam.

Selepas menyusu, mereka akan tidur selama tiga jam dan waktu inilah Afida boleh berehat seketika sementara menunggu waktu menyusu lain.

Afida tidak menafikan perbelanjaan untuk mereka memang besar bagi menyediakan susu, lampin pakai buang, kapas muka (bagi membersihkan muka dan mata bayi) dan kertas tisu.

Dia bernasib baik kerana kembarnya, Afiza yang juga mempunyai bayi sanggup memerah susunya dan menjadi ibu susuan kepada kembar empat tersebut.

Selain itu, dua lagi wanita yang memberikan susu badan yang diperah dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dibekukan di dalam peti sejuk.

''Kembar empat ini masih dalam jagaan rapi daripada segi kebersihan seperti semasa di dalam unit jagaan rapi neonatal.

" Sebelum memegang mereka, tangan perlu dibasuh bersih bagi mengelakkan sebarang masalah penyakit atau jangkitan.

''Saudara-mara pun masih belum dibenarkan melawat dan terpaksa menunggu sehingga usia mereka dua bulan,'' ujar Afida yang tidak berkesempatan menjalani rawatan pantang seperti wanita lain kerana kesibukan menjaga kembar empatnya itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved