ads

Isnin, 16 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Isteri ditangkap khalwat

Posted: 16 Jan 2012 08:18 PM PST

isteri ditangkap khalwat

LEDANG - Seorang wanita yang masih berstatus isteri dicekup khalwat bersama teman lelakinya di sebuah rumah di Serom, Sungai Mati dekat sini, semalam.

Ketika ditahan kira-kira jam 1.20 pagi oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang, anak kedua wanita terbabit yang berusia lingkungan dua tahun turut berada di rumah berkenaan.

Pada awalnya, pasangan itu cuba menyembunyikan hubungan mereka tetapi akhirnya mengaku mereka adalah pasangan kekasih selepas disoal siasat oleh pihak penguat kuasa.

Wanita berusia 31 tahun itu mendakwa dalam proses bercerai dengan suaminya selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

"Tetapi kami sudah berpisah sejak dua tahun lalu kerana tiada persefahaman dan sehingga kini, saya tidak tahu di mana suami berada.

"Ini menyebabkan proses perceraian kami tertangguh begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota penguat kuasa agama datang memeriksa rumah berkenaan.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki tidak berbaju dan hanya berseluar panjang membuka pintu.

"Pihak penguat kuasa hanya menunggu kurang lima minit sebelum lelaki berkenaan membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.

"Selain lelaki yang membuka pintu, pemeriksaan lanjut menemui dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki dalam rumah ini," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, wanita berusia 21 tahun yang merupakan adik kepada lelaki terlibat turut ditahan kerana bersubahat.

"Pasangan ini kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing," katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Terjun bangunan elak ditangkap

Posted: 16 Jan 2012 08:17 PM PST

Terjun bangunan elak ditangkap

PORT DICKSON - Gara-gara melarikan diri dari operasi polis, seorang wanita berusia 36 tahun sanggup menggadaikan nyawa de­ngan terjun dari tingkap bahagian dapur rumahnya di tingkat empat bangunan Blok A Taman Sri Bandar, Port Dickson, jam 11.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superin­tendan Baljeet Singh berkata, wanita terbabit adalah pesalah yang dikenakan sekatan di Bagan Serai, Perak atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pence­gahan Khas).
Menurutnya, wanita yang cedera di bahagian kaki kiri, pinggang dan leher itu didapati melanggar syarat dengan pulang semula ke Port Dick­son.

"Ketika operasi yang dijalankan untuk menyiasat kes itu, suspek berada di rumah bersama ibu dan dua anaknya.

"Bagaimanapun siasatan terperinci akan dilakukan bagi menyiasat kejadian sebenar," katanya kepada pemberita.

Baljeet berkata, suspek terbabit dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Operasi itu dilakukan anggota unit Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson diketuai Inspektor Norsaiful Ahmad Najib bersama lima anggota.

Difahamkan, ketika operasi dilakukan, gril rumah suspek dalam keadaan berkunci dan pintunya sedikit terbuka.

Suspek yang enggan memberi kerjasama kemudian cuba melarikan diri kira-kira 20 minit selepas polis mengetuk pintu.

Seorang penduduk, A Krishnan, 58, berkata, ketika kejadian, dia berada di bahagian ruang tamu rumah dan terdengar bunyi sesuatu berat terhempas.

"Isteri saya yang kebetulan sedang memasak di dapur segera melihat di bahagian luar dan ternampak seorang wanita sudah terbaring serta mengerang kesakitan.

"Wanita berkenaan jatuh berhampiran belakang rumah saya dan dia baru sahaja beberapa bulan pindah di blok ini di mana sebelum ini, dia bersama keluarganya menyewa di Blok A hampir setahun lalu," katanya.

Suspek pada awalnya dilihat cuba berpaut pada sebatang paip yang terdapat di dinding bangunan sebelum tersangkut pada besi ampaian dan terjatuh.

Duda, ibu mengandung khalwat

Posted: 16 Jan 2012 08:10 PM PST

Duda, ibu mengandung khalwat

AMPANG - Seorang duda dan pasangannya yang sarat mengandung 7 bulan ditahan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Penguat kuasa agama mendapati lelaki berusia 35 tahun itu berseluar pendek tanpa baju, bersama pasangannya berusia 25 tahun memakai kemeja dan berseluar panjang ketika serbuan dijalankan di rumah sewa mereka di Pandan Indah dekat sini, kira-kira jam 3 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, pasangan berkenaan tidak mempunyai pekerjaan.

"Duda itu pernah dicekup sebelum ini dan tidak hadir ke mahkamah syariah dan waran tangkap telah dikeluarkan untuknya," katanya.

Sementara itu, menurutnya, dalam operasi sama, tindakan seorang gadis menyorok di belakang pintu bagi mengelak daripada dicekup pegawai penguat kuasa agama gagal.

"Gadis berusia 25 tahun itu masih menuntut di salah sebuah institut pengajian tinggi awam, manakala pasangannya juga berusia 25 tahun, hanya berseluar pendek tanpa memakai baju manakala pasangannya berpakaian lengkap," katanya.

Kapten kapal ingkar arahan

Posted: 16 Jan 2012 08:09 PM PST

SEORANG wanita melihat kapal mewah Costa Concordia yang terbalik di Pulau Giglio. Itali kelmarin.


ROM - Ketua Eksekutif pemilik sebuah kapal mewah yang terbalik di Pulau Giglio, Itali menyatakan kapten kapal berkenaan membuat keputusan yang tidak disahkan semasa dia cuba mengubah haluan.

Menurut ketua eksekutif itu, Pier Luigi Foshi semalam, pihaknya tidak bersekutu dengan kapten tersebut, Francesco Schettino ekoran perbuatannya itu.

Namun, kata Foshi, pihaknya akan menyediakan bantuan perundangan buat kapten kapal tersebut yang telah ditangkap pihak berkuasa.

Menurutnya, kapal berkenaan yang terbalik pada Jumaat lalu mempunyai laluan perkapalannya yang telah diprogram.

Dia berkata, alat penggera akan berbunyi jika ia berubah haluan.

"Laluan itu telah ditetapkan dengan betul. Secara faktanya, ia terkeluar dari laluan kerana satu sikap muslihat daripada komander (kapten kapal tersebut) yang tidak diluluskan," katanya.

Setakat ini lima orang telah disahkan mati manakala 15 mangsa lagi masih hilang semasa ia membawa 4,200 orang pada malam Jumaat lalu.

Kapal Costa Concordia itu terbalik selepas ia melanggar batu di pulau tersebut.

Kerja-kerja mencari mangsa dihentikan buat sementara semalam ekoran laut bergelora.

Bahan letupan ditemuidi selatan Bangkok

Posted: 16 Jan 2012 08:08 PM PST


SEBUAH bekas mengandungi bahan letupan diangkat oleh beberapa anggota forensik ke sebuah lori di sebuah bangunan di wilayah Samut Sakhon, pinggir Bangkok semalam. -


BANGKOK - Pengakuan seorang suspek pengganas telah membawa polis kepada penemuan lebih daripada empat tan bahan letupan di wilayah Samut Sakhon.

Ketua Polis, Jeneral Priewpan Damapong semalam berkata, 4,380 kg baja urea dan 10 gelen cecair ammonia nitrat dijumpai di sebuah bangunan komersial di Tambon Kalong, daerah Mueng, wilayah Samut Sakhon, 36 kilometer di selatan Bangkok, pagi semalam.

Kira-kira 200 anggota polis memeriksa bangunan awal pagi berikutan pengakuan suspek, warga Lebanon berumur 48 tahun itu, katanya.

Beliau berkata, suspek itu menyewa premis itu sejak Januari 2010 dengan kadar sewaan 15,000 Baht (RM1,500) sebulan dan bahan letupan itu telah lama disimpan di situ.

"Bagaimanapun, suspek itu mengaku bahawa bahan-bahan itu hendak diseludup ke negara lain dan bukan digunakan di negara ini," kata Priewpan.

Ibu negara ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan Kedutaan Amerika Syarikat di Thailand, melalui laman webnya Jumaat lepas, memberi amaran kepada rakyat Amerika di Thailand bahawa pengganas asing mungkin sedang mencari peluang untuk melakukan serangan di kawasan pelancongan di ibu kota ini pada masa depan.

Beberapa negara lain juga mengikut jejak Amerika dengan mengeluarkan mesej amaran itu kepada rakyat mereka.

Sebelum amaran itu dikeluarkan, pihak berkuasa Thailand menangkap seorang suspek pengganas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini, pada Khamis lalu semasa cuba meninggalkan negara ini.

Sebelum itu, Priewpan menyebut lelaki itu adalah anggota kumpulan Hezbollah yang berpangkalan di Lebanon, mengaku kepada polis Thailand bahawa serangan yang dirancang itu dibatalkan kerana pihak berkuasa Thai telah dapat menghidu rancangan itu.

Seorang lagi suspek telah meninggalkan Thailand.

Timbalannya, Pansiri Prapawat berkata, polis akan mendapatkan perintah mahkamah esok untuk penahanan lanjut suspek pengganas itu.

"Polis berharap dapat membuat rumusan mengenai siasatan mereka menjelang esok," katanya. Kegiatan pengganas asing sentiasa dipantau pihak berkuasa Thai sejak pertengahan bulan lepas berikutan maklumat dari Mossad, badan perisikan Israel, bimbang mereka mungkin menyerang rakyat Israel di negara ini.

Semalam, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra memberi jaminan semua kawasan awam dan pelancongan di sini adalah selamat.

The Artist menang lagi filem terbaik

Posted: 16 Jan 2012 08:07 PM PST


MARTIN SCORSESE


BEVERLY HILLS, Amerika Syarikat (AS) - Selepas dinobat filem terbaik Anugerah Pilihan Pengkritik Hollywood minggu lalu, filem komedi The Artist sekali lagi menyerlah kali ini pada Anugerah Golden Globes kelmarin.

Pertama kali diadakan pada tahun 1944, The Artist menang tiga kategori dalam anugerah anjuran Persatuan Media Asing Hollywood (HFPA) itu.

Ia memenangi filem terbaik, muzikal atau komedi terbaik, aktor terbaik untuk pelakon utamanya, Jean Dujardin selain skor terbaik.

Diarahkan oleh pengarah filem Perancis, Michel Hazanavicius dan menampilkan barisan pelakon kurang ternama seperti Jean Dujardin, Bérénice Bejo dan John Goodman, The Artist mencatat sejarah sebagai filem bisu hitam putih pertama memenangi anugerah utama Hollywood sejak zaman awal industri perfileman itu sekitar tahun 1920-an.

Turut menyerlah pada anugerah berprestij berkenaan yang berlangsung di Dewan Tarian Antarabangsa Hotel Beverly Hilton di sini pada Ahad lalu ialah filem The Descendants lakonan aktor veteran Hollywood, George Clooney.

The Descendants mengungguli anugerah filem drama terbaik manakala Clooney, 50, pula dinobatkan sebagai aktor drama terbaik.

Perkembangan tersebut bakal menyaksikan filem The Artist dan The Descendants berentap sekali lagi pada Anugerah Academy bulan depan.

Martin Scorsese memenangi anugerah pengarah terbaik menerusi filem Hugo.

Meryl Streep, 62, memenangi aktres drama terbaik menerusi penampilannya sebagai Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher dalam filem The Iron Lady.

Seorang lagi pengarah tersohor Hollywood, Woody Allen memenangi lakon layar terbaik melalui filem Midnight In Paris yang diadaptasi daripada komik popular.

Filem The Adventures of Tintin arahan Steven Spielberg turut memenangi kategori animasi terbaik. Aktres Kate Winslet memenangi kategori pelakon mini siri terbaik.

Ibu tekan butang letupkan bangunan

Posted: 16 Jan 2012 08:07 PM PST


Bangunan syarikat makanan Campbell's Soup diruntuhkan menerusi alat kawalan letupan di King's Lynn, Britain kelmarin.


KING"S LYNN, Britain - Seorang ibu dua anak, Sarah Griffiths diberi penghormatan untuk menekan butang letupan bagi meruntuhkan sebuah bangunan syarikat makanan Campbell's Soup di sini kelmarin.

Griffiths yang berusia 41 tahun menyatakan dia berasa lega diberikan penghormatan itu kerana bapanya pernah meninggal dunia di dalam kilang tersebut kerana satu kemalangan industri.

Wanita itu menang dalam satu pertandingan untuk mengetuai operasi memusnahkan bangunan tersebut yang dimiliki oleh pengeluar makanan sup Campbell's.

Bangunan diruntuhkan menerusi satu siri letupan menerusi alat kewalan.

Bapa Griffiths, Mick Locke mati kerana tubuhnya melecur pada tahun 1995 dalam satu kemalangan wap.

Cairkan salji untuk jadikan bekalan air

Posted: 16 Jan 2012 08:05 PM PST


VICTOR GAVENKO dan isterinya mencairkan salji di rumah mereka di kampung Pravy, Rusia semalam.


KRASNOYARSK, Rusia - Satu pasangan suami isteri, Victor Gavenko dan isterinya, Nina menggunakan salji untuk dijadikan bekalan air bersih di rumah mereka di kampung Pravy, daerah Taiga, Rusia.

Gavenko, 76, dan isterinya, Nina tidak memperoleh bekalan air bersih menyebabkan mereka mencairkan salji.

Salji merupakan sumber mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan sendiri dan haiwan ternakan.

Wanita Arab keluar kepompong

Posted: 16 Jan 2012 08:04 PM PST



BAGI pelanggan kedai pakaian dalam La Senza yang terletak di salah satu gedung beli-belah mewah di Riyadh, Arab Saudi, kemasukan pembantu jualan wanita minggu ini menamatkan rasa malu yang ditanggung selama bertahun-tahun lamanya.

Tiada lagi situasi pelanggan wanita yang terpaksa menebalkan muka kerana berdepan dengan pembantu kedai lelaki yang cuba mengukur saiz pakaian dalam mereka melalui pandangan mata.

Bagi wanita yang masih dalam penantian, kerajaan Arab Saudi tahun lalu memutuskan untuk menjadikan premis menjual pakaian dalam wanita sebagai kawasan khusus kaum Hawa. Secara tidak langsung, ia menjadi pennada aras anjakan sosial iaitu pengambilan tenaga kerja perempuan.

"Saya rasa gembira dan bebas. Tidak perlu lagi mengharap sokongan kewangan daripada sesiapa, malah kerja ini menjadikan saya kuat," kata Amani, wanita muda yang memakai niqab semasa melayan pelanggan di La Senza.

Menurut statistik tahun 2009, hanya tujuh peratus wanita di Arab Saudi bekerja dengan sektor swasta walaupun peratusan mencari kerja mengikut jantina adalah sama.

Di negara Islam konservatif itu, pengasingan mengikut jantina dikuatkuasa dengan ketat dan ruang pekerjaan dimonopoli oleh lelaki sejak sekian lama. Kehadiran kaum Adam sebagai pekerja di kedai menjual pakaian dalam wanita sejak dulu lagi dilihat sebagai satu kejanggalan.

Di Arab Saudi, wanita dilarang menyertai sebarang bentuk pekerjaan kerana ia dilihat sebagai ruang interaksi yang tidak bermoral antara lelaki dan wanita. Larangan itu dikuatkuasakan dengan ketat oleh polis agama dan ulama, tetapi dalam kes ini, wanita pula terpaksa mendedahkan perincian ukuran tubuh mereka kepada lelaki asing bukan mahram.

"Segala-galanyanya selesa sekarang, kedai ini penuh dengan wanita dan kami dapat bergerak bebas dan bertanya apa saja tanpa rasa malu," kata Heba, seorang pelanggan setia La Senza.

Ruang pekerjaan untuk wanita sebenarnya adalah gelanggang tempur antara mereka yang berfahaman dan kumpulan yang mahu perubahan.

Arab Saudi melarang golongan wanitanya memandu dan memerlukan izin saudara lelaki terdekat untuk bekerja, bergerak ke mana-mana atau menjalani pembedahan.

Beri sokongan


HARI ini, kerajaan Arab Saudi semakin berpihak kepada wanita meskipun mendapat tentangan daripada majlis ulama.


Walaupun keluarga al-Saud yang memerintah mempunyai hubungan rapat dengan ulama Wahhabi yang berpengaruh dan sangat konservatif, kerajaan tetap menekankan pembaharuan yang memberikan lebih banyak hak kepada wanita.

"Hampir 99 peratus masyarakat sekeliling menerima keadaan ini. Keluarga saya memberikan sokongan dan mahu saya melakukan apa saja yang saya suka dalam kehidupan ini," kata Amani yang masih diselubungi kebimbangan dan enggan memberikan nama penuhnya demi menjaga nama keluarga.

Bagaimanapun, majlis ulama kekal dengan keputusannya apabila Mufti Besar selaku pegawai agama tertinggi Arab Saudi dalam ceramahnya baru-baru ini menyifatkan membuka peluang pekerjaan kepada wanita sebagai melanggar undang-undang Islam.

Pemantau politik tempatan berpendapat Raja Abdullah cuba melaksanakan perubahan secara berhati-hati namun konservatif yang berkuasa meletakkan baginda tersepit di antara kedua-dua pihak.

Baginda mungkin menimbulkan kekecewaan aktivis hak asasi wanita tahun lalu dengan tidak meluluskan kebenaran memandu tetapi menyatakan akan membenarkan penyertaan wanita untuk turun mengundi. Bahkan, baginda juga membenarkan wanita bertanding dalam pemilihan majlis perbandaran dan berkhidmat dalam Majlis Shura yang menasihatkannya.

"Saya rasa tahun 2012 adalah tahun lanjutan usaha kerajaan memperkasa wanita dan meningkatkan lagi usaha ke arah itu," kata Puteri Amirah al-Taweel, isteri kepada bilionair Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal kepada Reuters bulan lalu.

Situasi sukar

Penentangan sosial bukan satu-satunya halangan kepada wanita Arab Saudi yang mahu bekerja kerana mereka perlu meminta izin bapa, abang sulung atau suami.

Bagi pekerja, ia adalah situasi yang sukar kerana mereka perlu mematuhi syarat pengasingan gender yang diwujudkan atas tujuan mengelakkan lelaki dan wanita belum bernikah berada dalam keadaan yang terlalu hampir.


PEMBELI lebih selesa untuk berinteraksi dengan penjual di butik pakaian dalam.


Keperluan fasiliti dengan pengasingan ini menjelaskan perbezaan besar iaitu 56,000 wanita mencari pekerjaan di syarikat swasta, manakala 295,000 memohon jawatan di sektor kerajaan.

"Syarikat swasta sendiri sebenarnya lebih berminat mengambil wanita bekerja walaupun membabitkan pelbagai kesukaran kerana mereka dilihat sebagai golongan yang kuat bekerja," kata Khaled al-Khudair, pengasas kepada agensi pekerjaan dalam talian wanita yang dimulakan tahun lalu.

Syarikatnya, Glowork, mengiklankan hampir 2,000 kekosongan untuk wanita. Setakat ini katanya, seramai 7,500 permohonan membanjiri laman web pencarian kerja tersebut.

Lebih ramai pemohon wanita berbanding lelaki lulusan universiti tahun lalu namun pasaran kerja masih ketinggalan di belakang.

Ketua pakar ekonomi National Commercial Bank di Jeddah, Jarmo Kotilaine berkata, Barat pernah melalui perkara yang sama sekitar tahun 1960-an. Permasalahan itu berlaku kerana ramai wanita terpelajar berputus asa untuk untuk mendapatkan kerjaya.

"Namun, keperluan ekonomi mengubah semua ini," katanya meskipun perubahan itu agak perlahan.

"Keluarga saya tidak menerima idea saya bekerja di kedai. Suami memberi sokongan tetapi dengan syarat ia mesti bersifat sementara sehinggalah saya mendapat kerjaya yang lebih baik dalam persekitaran yang semuanya wanita seperti di sekolah," kata Sarah kerani jualan di sebuah premis pakaian dalam wanita yang lain di Riyadh.

Undang-undang mengharamkan lelaki bekerja di premis menjual pakaian wanita dan kosmetik tidak dikuat kuasa setelah diluluskan pada tahun 2006, sebahagiannya disebabkan pandangan keras yang menentang apa jua yang melibatkan percampuran antara lelaki dan perempuan.

Wanita Arab Saudi yang bosan kerana terpaksa berurusan dengan lelaki sewaktu membeli pakaian dalam, telah memboikot premis jualan bagi mewujudkan tekanan agar wanita diambil bekerja. Usaha kerajaan menguatkuasakan undang-undang itu bermula baru-baru ini.

Isi kekosongan


LARANGAN memandu kereta ke atas wanita di Arab Saudi juga menyukarkan golongan tersebut untuk keluar bekerja. - Gambar hiasan


Polis agama di bawah Suruhanjaya Promosi Kesucian dan Pencegahan Maksiat, melaksanakan interpretasi ketat Islam di Arab Saudi bahawa lelaki dan wanita perlu diasingkan.

Pemisahan ini tidaklah sepenuhnya kerana ada juga wanita diberi kelonggaran bekerja sebagai jurutera, doktor, jururawat dan pelbagai lagi jawatan lain.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa wanita mula bekerja di premis-premis ini. Walaupun ia menjejaskan karier ribuan lelaki, Kementerian Buruh menyatakan lebih 28,000 wanita yang kebanyakannya pendatang dari Asia Selatan sanggup mengisi kekosongan yang ada.

Ulama paling kanan Arab Saudi, Sheik Abdul-Aziz Al Sheikh, bangkit dengan lantang menentang keputusan Kementerian Buruh dalam satu ceramah terbaharunya dan menyifatkan ia sebagai melanggar undang-undang Islam.

"Pengambilan wanita sebagai pekerja di kedai yang menjual pakaian wanita dan perempuan yang berdiri bersemuka dengan lelaki yang membuat jualan tanpa rasa malu atau menjaga kehormatan akan menjurus kepada dosa dan ia akan dipertanggungjawabkan kepada pemilik kedai itu sendiri," katanya yang meminta pemilik-pemilik premis agar takut kepada Allah serta tidak melanggar larangan.

Ceongsam Tahun Baru Cina

Posted: 16 Jan 2012 08:03 PM PST

CEONGSAM merah sudah menjadi signatur wanita Cina setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.


SELAKU pusat borong terbesar di Malaysia, Kenanga Wholesale City (KWC) menawarkan pelbagai pilihan pakaian buat semua golongan sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Lebih 800 buah kedai di KWC menyediakan pakaian dan aksesori untuk wanita, lelaki serta kanak-kanak. Tidak ketinggalan, rangkaian pakaian Muslimah termasuk beg dan kasut juga boleh didapati di KWC.

Mula beroperasi Oktober lalu, KWC memperkenalkan konsep pembelian borong dan jualan barangan pada harga rendah. Semakin banyak item yang dibeli, semakin murah harga yang perlu dibayar pelanggan.

"Kita cuba menyediakan aneka jenis pakaian dan aksesori kepada pengunjung yang datang ke KWC. Mereka akan mendapati harga yang ditawarkan di sini jauh lebih murah berbanding pusat beli-belah lain.

"Disebabkan KWC menekankan konsep borong, kami menggalakkan orang ramai membeli barangan dalam kuantiti yang banyak.

"Mereka juga boleh membeli dalam kuantiti kecil mengikut keperluan seperti biasa tanpa harga borong," jelas Pengurus Bahagian Pengiklanan dan Promosi KWC, Mak Soon Peng.

Pada majlis pelancaran sambutan Tahun Baru Cina di KWC itu, lima jenama yang beroperasi di KWC telah menjayakan pertunjukan fesyen dengan menampilkan koleksi terbaharu mereka.

Membuka tirai pada hari itu ialah koleksi Gu Zhi Qi Yuan yang mempamerkan rekaan baju tradisional wanita Cina iaitu ceongsam. Istimewa untuk penggemar fesyen masa kini, rekaan ceongsam jenama itu diubah suai agar kelihatan lebih moden dan sesuai dengan peredaran zaman.

Nilai tradisional ceongsam itu, bagaimanapun, masih dikekalkan. Berbeza dengan ceongsam asli yang lebih ringkas, koleksi Gu Zhi Qi Yuan ditambah sedikit perincian batu hiasan di bahagian leher.

Perincian manik


BLAUS labuh, seluar kembang dan skaf mewujudkan ciri-ciri wanita klasik Korea.


Mencuri tumpuan pada hari itu ialah rekaan yang diperagakan oleh jenama Yan's Creation. Seleksi pakaian jenama itu difokuskan kepada baju kaftan labuh dengan perincian manik dan batu.

Walaupun baju kaftan mirip jubah itu sering digayakan wanita Muslim, tetapi ia tetap tampak cantik pada tubuh badan wanita Tionghua. Ia mewujudkan satu persepsi berbeza dan tidak mustahil sekiranya busana seperti itu menjadi trend popular wanita Cina tidak lama lagi.

Turut mengetengahkan rekaan terbaharu untuk menyerikan Tahun Naga kali ini ialah koleksi West Mill yang memberi tafsiran terkini buat golongan lelaki. Seperti biasa, konsep rekaannya banyak dipengaruhi elemen Korea dengan perincian sarat.

Berdasarkan pendapat ramai, tidak semua orang mampu menggayakan rekaan sarat jenama itu kerana ia lebih kelihatan segak pada tubuh jejaka yang tinggi dan berbadan sasa atau berisi. Begitupun, lelaki kurus dan rendah boleh memilih rekaan berpotongan ringkas yang turut disediakan jenama itu.

Begitu juga dengan label We 2 yang turut mempamerkan koleksi baharu buat si jejaka. Tidak dilupakan, pakaian kanak-kanak rekaan Fine Star Trading yang sememangnya comel buat si kecil meraikan hari istimewa nanti.

Seiring kemeriahan Tahun Baru Cina akan datang, pelbagai acara dijalankan bermula 7 Januari lalu sehingga 6 Februari depan di KWC.

Sambil membeli-belah, pengunjung akan berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen dengan penglibatan beberapa artis Cina tempatan seperti Nick Chung, Crystal Ong dan Angeline Khoo.

Selain itu, persembahan tarian singa yang mengisi slot acara di KWC, persembahan kebudayaan tradisional Cina dan pertunjukan akrobatik juga bakal menghiburkan pengunjung.

Bagi yang berbelanja dengan jumlah minimum RM80 di KWC dalam satu resit, mereka berhak mendapatkan paket angpau edisi terhad secara percuma iaitu dengan menebus pemberian percuma itu di kaunter khidmat pelanggan, tingkat bawah bangunan itu.

Menambat selera penghidap diabetes

Posted: 16 Jan 2012 08:02 PM PST


DARI kiri depan : Rahimah,Chef Amy Beh dan Sue Yee pada majlis pelancaran Raikan-Buku Masakan Gaya Hidup di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SELAMA ini pelbagai pantang dan larangan yang wajib dipatuhi oleh pesakit diabetes bagi mengawal paras gula dalam darah sehingga ia memberi kesan kepada selera makan mereka.

Bagaimanapun, usaha menambat selera makan pesakit diabetes jarang diberi perhatian.

Justeru, bagi menambat selera pesakit diabetes, syarikat farmaseutikal MSD dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) melancarkan buku masakan gaya hidup pertama iaitu Raikan-Buku Masakan Gaya Hidup khususnya untuk pesakit diabetes jenis 2 di bawah kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes yang dilancarkan pada tahun 2007.

Raikan-Buku Masakan Gaya Hidup menawarkan 12 resipi yang lazat dan berkhasiat berdasarkan pelbagai perayaan di Malaysia dan di seluruh dunia dari bulan Januari hingga Disember.

Resipinya merangkumi hidangan savouri yang disajikan sempena Tahun Baru Cina, daging panggang istimewa yang dinikmati pada perayaan Krismas dan juadah utama. Tidak lupa juga pencuci mulut yang diubah suai oleh Chef Amy Beh dengan kandungan pemakanan yang diawasi oleh pakar pemakanan, Tan Sue Yee.

Makanan berkhasiat

Pengarah Urusan MSD, Ewe Kheng Huat menjelaskan bahawa Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup ini bertujuan menghebahkan bahawa makanan berkhasiat yang rendah kandungan gula bukan sahaja sesuai untuk pesakit diabetes bahkan rasanya yang enak.

"Ramai orang menyangka makanan yang berkhasiat tidak sedap dimakan.

"Malah, dengan kreativiti dan pengetahuan, anda juga boleh mencipta resipi sendiri bagi hidangan yang berkhasiat lagi lazat seperti yang dilakukan oleh Chef Amy Beh dan Tan Sue Yee," katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Setiausaha Agung PDM, Datuk Rahimah Datuk Ahmad juga bersependapat dengan Kheng Huat tentang usaha MSD dan PDM itu.

"Statistik telah menunjukkan bahawa bilangan pesakit diabetes di rantau ini dan di seluruh dunia agak membimbangkan.

"Perubahan gaya hidup moden yang mendadak, rakyat Malaysia perlu memahami bahawa diabetes adalah masalah kesihatan yang besar dan kita perlu mengawalnya sekarang sebelum terlambat," ujarnya.

Lebih daripada 220 juta orang menghidap diabetes di seluruh dunia, manakala 80 peratus daripada penghidap diabetes tinggal di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana tinggi.

Kebanyakan penghidap diabetes di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana tinggi dalam lingkungan separuh umur iaitu 45 hingga 64 tahun dan bukannya warga emas iaitu 65 tahun ke atas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2030, Malaysia bakal mempunyai 2.48 juta penghidap diabetes.

"Menyedari hal ini, Kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes dilancarkan pada tahun 2007 untuk menggalakkan pendidikan dan pengurusan penyakit diabetes.

"Dalam tempoh dua tahun lalu, pelbagai aktiviti awam telah dijalankan untuk menghebahkan Hidup Sihat Dengan Diabetes," ujarnya sambil memberitahu tumpuan pada tahun ini lebih kepada aspek pemakanan dalam pengurusan diabetes.


PENGHIDAP diabetes dinasihatkan sentiasa memantau paras gula dalam darah dan mengawal pemakanan mereka.


Cara memasak

Dalam pada itu, Chef Amy Beh menyediakan hidangan menggunakan resipi buku tersebut.

Antara resipinya ialah kari sayur dan salad sayur segar yang kemudiannya dijamu kepada rakan-rakan media.

Pada demonstrasi masakan itu, Chef Amy Beh menjelaskan, cara memasak yang pelbagai juga penting supaya hidangan tersebut kekal berkhasiat baik pesakit diabetes mahupun mereka yang sihat.

"Rakyat Malaysia amat menggemari makanan bergoreng. Sungguhpun makanan bergoreng boleh dimakan sekali-sekala, namun mentega dan minyak yang digunakan untuk menggoreng itu tidak berkhasiat.

"Mengukus atau memanggang ikan akan mengekalkan perisa dan aroma semula jadi ikan. Sebenarnya inilah cara memasak yang lebih sihat," jelasnya.

Pada majlis tersebut, para hadirin juga berpeluang mendengar ceramah kesihatan oleh pakar pemakanan, Tan Sue Yee.

Sue Yee bekerjasama dengan Chef Amy Beh dalam menyesuaikan resipi masakan Malaysia dan antarabangsa yang popular untuk menghasilkan sesuatu yang lebih sihat.

"Diabetes Jenis 2 ialah jenis diabetes yang paling lazim dihidapi dan WHO menganggarkan, menjelang tahun 2020, Malaysia bakal mempunyai 2.48 juta penghidap diabetes.

Menurut Kheng Huat, pihaknya berbangga kerana 1,000 naskhah buku masakan gaya hidup ini akan disediakan secara percuma di beberapa pusat diabetes dan hospital seluruh negara.

"Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan senaskhah buku ini dari pusat-pusat kesihatan terdekat.

"Senarai lengkap pusat yang turut serta boleh didapati di laman web rasmi Persatuan Diabetes Malaysia iaitu www.diabetes.org.my," katanya.

Pelancaran buku masakan gaya hidup ini juga disokong oleh mYoga, Juiceworks, Original Bootcamp, The Salad Bar, VISTA Eye Specialist, My Roti Shop, Zazen Health Solutions, BOH Plantations, Yeo's Malaysia, Jacobs dan Naturel Oil.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved