ads

Ahad, 15 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


‘Saya naik slow & steady’

Posted: 15 Jan 2012 08:40 PM PST

MAYA....tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2011.
MAYA....tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2011.

BUKAN saja penonton berendam air mata di pawagam dan kutipan filem melebihi RM10 juta, watak Izzah dalam filem Ombak Rindu arahan Osman Ali juga meninggalkan kesan cukup mendalam pada jiwa aktres popular, Maya Karin.

Ternyata, watak Izzah dilakonkan itu masih sebati dalam diri pelakon kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman itu sampai saat ini. Malah, kerana kekuatan watak Izzah dalam filem adaptasi novel terlaris, karya Fauziah Ashari jugalah nama Maya tercalon dalam Top 5, kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH 2011).

  • Foto

    LARIS...Maya banyak dapat tawaran duta produk.

  • Foto

    BAKAT...watak Izzah sebati dalam jiwa Maya.

Begitulah hebatnya penangan watak Izzah di hati penonton. Dalam kategori itu, Maya bersaing secara sengit dengan empat lagi pelakon lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Eja (filem Janin), Diana Danielle (....Dalam Botol), Lisa Surihani (Ombak Rindu) dan Yana Samsudin (Bini-Biniku Gangster dan Kongsi).

Secara peribadi, Maya sangat bersyukur kerana tercalon dalam kategori berkenaan."Saya juga tidak fikir sangat soal kalah atau menang. Apa yang penting buat saya ialah 'Izzah' tersenarai antara lima yang terbaik dalam ABPBH kali ini dan nama saya masih bertakhta di hati peminat.


"Maklumlah, saya sudah tercalon dalam kategori sama, sejak 2003 dan menang sebanyak dua kali iaitu pada 2005 dan 2008. Sebenarnya, soal siapa yang akan menang ini susah nak cakap kerana setiap artis mempunyai kelebihan tersendiri.

"Saya juga tidak berani cakap atau ramal siapa yang akan menang kerana lebih suka melihat semua calon bertanding secara sama rata. Kalah atau menang, saya lebih suka serahkan pada peminat untuk menilainya kerana ia bergantung pada undian mereka," katanya.

Bagaimanapun, akui Maya, dia sangat gembira melihat pencalonan pelakon senior seperti Eja dan pelakon muda Yana dalam tersenarai dalam kategori Top 5, ABPBH 2011.

"Melihat pencalonan Eja, saya berasa gembira kerana ada artis berpengalaman tercalon sama. Saya memang sokong dengan pencalonan artis senior dan duduk sebaris dalam kelompok artis yang popular kerana tidak semestinya, artis muda saja yang popular.

"Selain itu, saya juga sudah kenal Yana sejak usianya belasan tahun lagi. Pada pandangan saya, Yana, artis yang berbakat besar dan pencalonan itu bagus buatnya berpengalaman berada dalam kelompok kami," katanya.

Apapun, Maya mengakui sangat bertuah kerana produser filem Ombak Rindu, Sharad Sharan yang memberi kepercayaan dan peluang padanya untuk memegang watak Izzah berkenaan.

"Pada peringkat awal pemilihan saya dulu, ramai pihak yang komen dan pertikai pemilihan saya bawa watak Izzah kerana mereka fikir watak itu layak buat Lisa Surihani.

"Bila timbul cerita seperti itu, saya beritahu Osman untuk pertimbangkan semula kerana saya tak mahu filem itu rugi nanti. Saya pun ragu-ragu nak bawa watak Izzah ketika itu dan saya tak kisah kalau bawa watak yang dipegang Lisa pun. Tetapi Sharad tetap tegas dengan keputusannya itu dan sangat berterima kasih pada produser," katanya.

Walaupun filem Ombak Rindu sudah masuk Astro First, Maya sukar untuk melupakan watak Izzah itu.

"Watak Izzah adalah wanita naif yang berjiwa kental. Di sebalik kelembutan wajahnya tersembunyi kekuatan yang luar biasa.

"Saya tetap tidak dapat lupakan watak Izzah sampai bila-bila walaupun berlakon dalam filem lain selepas ini. Saya dapat tahu, filem Ombak Rindu hangat diperkatakan di Astro First ketika ini," katanya.

Filem Ombak Rindu terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) dan Tarantela Pictures Sdn Bhd menggandingkan Maya bersama pelakon kacak Aaron Aziz dan Lisa. Selain itu, ia dijayakan Bront Palarae, Zaidi Omar, Julia Ziegler, Normah Damanhuri, Nadia Nisaa dan Kamarool Yusof.

Selepas Ombak Rindu, Maya kini menanti filem lakonannya, Lagenda Budak Setan 2 pula ditayangkan di pawagam tahun ini. Selain itu, dia sibuk menjayakan tiga projek iklan dan duta produk iaitu Inner Shine, L'Oreal dan projek khas dengan kerajaan iaitu iklan 3D yang pertama seumpamanya di Asia.

Berkongsi pencapaiannya lebih sedekad dalam bidang seni, penyanyi, pengacara dan duta produk ini sendiri tidak menyangka masih bertahan sampai hari ini.

Sepanjang berkecimpung dalam bidang seni, pelbagai anugerah sudah diraihnya iaitu Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH2005) dan Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.

"Saya masih ingat lagi, mula-mula berlakon dulu, ada orang cakap, saya hanya boleh berada dalam bidang seni tidak lebih dari lima tahun saja. Namun, ia sebaliknya bila saya masih diterima peminat sampai hari ini. Saya juga melihat perjalanan karier saya naik secara perlahan-lahan 'slow and steady'.

"Bagi mengembangkan lagi karier seni, saya juga ingin kurangkan cerita peribadi tahun ini kerana ingin lebih fokus pada bidang seni. Bukannya saya takut dengan gosip atau kontroversi kerana sudah lali dengan semua itu sejak berkecimpung dalam bidang seni. Selain itu, saya juga ingin kembali gigih bekerja kerana banyak berehat pada tahun lalu," katanya.



7 perkara mengenai Maya Karin

Filem terakhir yang buat anda menangis
Seabiscuits

Sifat lelaki yang tak disukai
Lelaki yang sombong

Kereta mewah idaman
Audi Q7

Aktor Hollywood yang menjadi idola
Leonardo Dicaprio

Warna yang tidak disukai
Hijau pucuk pisang

Haiwan yang paling ditakuti
Cicak

Destinasi percutian idaman
Mesir.

Tiz Zaqyah Ingin Lebih Banyak Peranan Sesuai Dengan Usia

Posted: 15 Jan 2012 08:39 PM PST

Tiz Zaqyah.

PUTRAJAYA: Pelakon jelita, Tiz Zaqyah menjelaskan dia ingin membawa lebih banyak peranan sesuai dengan usianya yang baru mencecah 25 tahun.

Tiz berkata, sebelum ini dia banyak terikat dengan watak-watak yang jauh lebih matang sehingga ada yang menyangka dia lebih berusia daripada umur sebenarnya.

"Kadang-kadang sedih juga kerana sering disalah anggap lebih berusia daripada umur sebenar tetapi tidak pernah merungut dengan watak ditawarkan kepada saya.

"Tahun ini saya ingin lebih banyak membawa watak yang lebih sesuai dengan usia sekarang," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Tiz berkata, filem terbaru lakonannya, Cinta Kura-Kura adalah sebuah naskah menonjolkan sifatnya sebagai seorang remaja.

Tiz memberitahu, filem arahan Nizam Zakaria itu bakal menyaksikannya mempamerkan perbezaan daripada segi lakonan yang sebelum ini agak stereotaip sebagai gadis kampung dan baik kepada remaja yang ceria dan lincah selain beberapa sisi lain dirinya sebgai pelakon.

"Walaupun ia sebuah filem ringan tetapi ia memberi cabaran kepada saya kerana sebelum ini telah terbiasa dengan watak berat dan jauh lebih berusia.

"Tetapi melalui Cinta Kura-Kura saya dapat mempamerkan sifat keremajaan saya yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini," ujarnya.

Selain Tiz, Cinta Kura-Kura yang bakal ditayangkan pada 1 Mac depan turut menampilkan Aeril Zafril, Bob (AF2), Zizan Razak dan Farah Fauzana.

Sementara itu, Tiz berkata, tahun ini dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon filem kerana telah terikat dengan pelbagai projek drama bersiri dan telefilem.

Ujarnya, walaupun kecewa tidak dapat beraksi dalam layak perak, dia bagaimanapun menganggap ia bukan rezekinya pada tahun ini.

"Tawaran berlakon filem cukup banyak tetapi saya terpaksa menolak kerana jadual saya sudah padat pada tahun ini dengan pelbagai projek telefilem dan drama rantaian yang telah terlebih dahulu diberikan kepada saya.

"Mungkin rezeki untuk berlakon filem tidak ada untuk tahun ini," ujarnya.

Elfira Loy Tak Ambil Hati Dikutuk Kerana Randid Pangalila

Posted: 15 Jan 2012 08:37 PM PST

Elfira Loy

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat besar, Elfira Loy menjelaskan dia tidak berkecil hati apabila ramai peminat pelakon popular Indonesia, Randid Pangalila mengutuknya menerusi laman sosial seperti Twitter dan Facebook gara-gara gandingan mereka dalam drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang yang disiarkan baru-baru ini.

Elfira, 17, berkata, dia tidak melenting dengan perkara itu kerana telah menjangkakan ia akan berlaku kerana Randid adalah pelakon popular dan ramai peminat.

"Saya hanya ketawa apabila mengetahui ramai peminat Randid mengutuk saya di laman sosial dan sudah mengagak perkara tersebut akan terjadi.

"Kami hanya berlakon dalam satu drama dan tidak ada apa-apa berlaku di antara kami," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Elfira berkata, perkara tersebut berlaku kerana lakonan mereka dalam drama arahan Michael Ang itu mendapat sambutan hangat sehingga diulang tayang sebanyak beberapa kali di saluran Astro Ria.

Tambahnya, adegan romantik antara mereka juga mungkin menyebabkan peminat pelakon yang popular dengan siri Nada Cinta itu berang terhadapnya.

"Saya memandang positif terhadap apa-apa juga perkara negatif yang diperkatakan mengenai saya dan tidak mahu mengambil serius mengenai perkara itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Elfira berkata, perhatian yang diberikan oleh peminat Randid terhadapnya adalah sebagai tanda kehadirannya sebagai pelakon telah disedari oleh masyarakat.

Selain Elfira dan Randid, telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang turut dibintangi oleh Sharifah Shahora, Didie Alias dan Sharikah Sakinah.

Dipijak enggan lunas RM5,000

Posted: 15 Jan 2012 08:35 PM PST

RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan dua suspek sebelum menculik mangsa.
RAKAM...rakaman CCTV menunjukkan dua suspek sebelum menculik mangsa.
SAKIT...Mohd Akhtar menunjukkan luka pada lengannya.
SAKIT...Mohd Akhtar menunjukkan luka pada lengannya.

KUALA LUMPUR: "Kepala saya dipijak bertubi-tubi, badan saya dipukul dan tangan kanan digores dengan pisau," kata pekerja restoran, Mohd Akhtar, 20 yang diculik sekumpulan gengster selama tiga jam kerana majikannya enggan membayar wang perlindungan RM5,000.

Detik ngeri Mohd Akhtar bermula jam 3 pagi Sabtu lalu selepas terpedaya helah dua ahli kumpulan gengster terbabit yang meminta pertolongannya, kononnya kenderaan pacuan empat roda milik mereka yang diletakkan depan restoran di Jalan Ipoh, di sini, rosak.


"Saya mengekori mereka ke kereta, tapi sebaik sampai, saya ditolak masuk ke dalam kereta. Ada seorang wanita dalam kereta itu dan mungkin dia ketua mereka.

"Mereka mengacukan pisau dan memberitahu mahu membunuh saya jika majikan tidak mahu membayar wang perlindungan," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, dia diarah menghubungi majikannya yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Ramzan, 35, selain diberi tempoh lima minit untuk menyerahkan wang. "Sekiranya gagal mereka akan membunuh saya, tapi majikan enggan memberikan wang menyebabkan mereka memecut kereta dan membawa saya ke sebuah rumah.


"Selepas lebih tiga jam diseksa, mereka menarik saya masuk ke dalam kereta sebelum mencampak saya di depan sebuah pusat beli-belah di Kepong pada jam 6 pagi," katanya. Mohd Akhtar meminta bantuan seorang lelaki yang berada di kawasan berhampiran menghubungi Mohd Ramzan.Sementara itu, Mohd Ramzan berkata, kumpulan terbabit datang ke restorannya pada petang Jumaat dan memeras ugut supaya dia membayar wang perlindungan.


"Bagaimanapun, saya enggan menyebabkan berlaku pertengkaran antara kami sebelum mereka beredar. Sangkaan saya perkara itu selesai namun tidak menyangka mereka datang lagi dan menculik pekerja saya.

"Bimbang mereka mengapa-apakan Mohd Akhtar, saya bersama isteri membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi," katanya.


Mohd Ramzan berkata, tidak lama selepas itu, kumpulan terbabit sekali lagi menghubunginya.


"Saya berkeras dan memberitahu sudah membuat laporan polis, malah memberitahu wajah mereka sudah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mereka mematikan talian," katanya.

Britney tampil lebih langsing

Posted: 15 Jan 2012 08:33 PM PST

GEMAR BERPARTI...Ke$ha dan krunya yang gila-gila.
GEMAR BERPARTI...Ke$ha dan krunya yang gila-gila.

KEBANYAKAN pengantin akan menurunkan beberapa kilogram untuk hari bersejarah mereka, tetapi nampaknya Britney Spears sudah kehilangan berat badan yang agak ketara menjelang perkahwinannya.

Penyanyi superstar itu muncul langsing dalam sesi fotografi untuk majalah V yang bakal diterbitkan.

  • Foto

    LANGSING...Britney menunjukkan tubuhnya yang langsing.

  • Foto

    BAKAL pengantin...Britney dan Trawick pada Krismas lalu.

Penyanyi berusia 30 tahun itu dilihat memakai skirt hitam dan baju berbelang merah jambu yang berbelah di bahagian hadapan hingga ke pinggangnya.

Dia juga memakai sandal tumit tinggi mempamerkan kakinya yang kelihatan keperangan Baju mengikut susuk tubuh yang dipakainya itu seakan-akan sama dengan bentuk badannya ketika dia mula-mula menceburi dunia muzik pada usia 15 tahun dengan lagu popularnya Baby One More Time.


Dia mungkin sedar dia perlu menurunkan berat badan sebelum majlis perkahwinannya dengan bekas pengurusnya Jason Trawick.

Atau mungkin dia mengalami tekanan ketika membuat perancanganan untuk majlis perkahwinannya yang bakal menjelang hingga membuatkan bintang itu turun beberapa kilogram.

Walau apa pun, dia memang sering bersenam dalam usaha memperoleh tubuh yang sihat dan langsing.

Britney muncul dalam sesi fotografi dan wawancara majalah V bersama pemuzik lain seperti Katy Perry, Ke$ha and Drake.

Semua mereka bergaya di atas pentas untuk sesi fotografi bersama keluarga kedua mereka dan kru majalah membantu mereka beraksi.

Britney naik ke pentas untuk sesi fotografi pada hari pertama konsert Femme Fatale bersama kumpulan pengurusnya.

Dia bergaya bersama pengurus perniagaannya Lou M Taylor dan Robin Greenhill serta pengurusnya Adam Leber dan Larry Rudolph.

Turut hadir untuk sesi itu ialah pembantu eksekutif Brett Miller, pengawal keselamatan Jimmy "Sugar" Kane, pengarah Edan Yemin dan jurulatih senaman Derek DeGrazio.

Britney berkata mengenai keluarga keduanya : "Saya sudah bekerja bersama mereka semua sejak dulu, jadi memang seronok melihat mereka semua bersama
pada hari pertama konsert.

"Semua orang memberitahu kisah gembira mereka sejak dulu, ketawa dan menikmati masa yang indah."

Selebriti lain yang turut menjalani sesi fotografi sama turut bergaya
dengan keluarga kedua mereka.

Katy Perry diangkat ke udara oleh pasukannya, manakala Drake dan kakitangannya bergaya di atas bumbung.

Ke$ha memutuskan melakukan perkara lebih mencabar dan membuatkan semua krunya memakai pakaian yang luar biasa sebelum bergaya untuk sesi fotografi.

Usah abai buang air besar

Posted: 15 Jan 2012 08:31 PM PST

LEBIHKAN...pemakanan harus dijaga terutama lebihkan sayuran dan buah-buahan.
LEBIHKAN...pemakanan harus dijaga terutama lebihkan sayuran dan buah-buahan.

JIKA di kawasan perumahan anda ada tertampal poster yang mengajak menjalani saringan kanser usus secara percuma, janganlah memandangnya sebelah mata. Ia adalah peluang baik untuk membawa ibu bapa yang sudah berumur menjalani pemeriksaan awal tanpa perlu bersusah payah ke hospital.

Meskipun kanser usus lebih kerap berlaku pada warga senior (berumur 50 tahun ke atas) kaum Cina, tidak bermakna kita yang berbangsa lain terlepas daripada kemungkinan menghidap penyakit ini kerana serangan kanser tidak mengenal batasan keturunan dan kedudukan.

  • Foto

    PELIHARA KESIHATAN...usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa.

  • Foto

    GAYA HIDUP SIHAT...tingkatkan aktiviti fizikal untuk kurangkan risiko penyakit.

Anda tidak perlu risau menyertai program saringan kanser usus atau kolon anjuran Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Empowered! kerana ia dikendalikan doktor pakar dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan perubatan. Malah anda juga tidak perlu beratur panjang di hospital kerana kumpulan sukarelawan ini yang akan datang ke kawasan perumahan terpilih untuk memberikan perkhidmatan mereka secara percuma.

Menurut Presiden dan Pengasas Empowered!, Dr Christina Ng, saringan ini diadakan khas untuk golongan berpendapatan rendah supaya jika ada kanser bahaya ini dapat dikesan awal. Semua orang tahu rawatan untuk kanser bukan murah, justeru lebih baik jika ia dapat dikesan awal kerana rawatannya akan lebih mudah (dan pastinya agak murah).Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.


Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.

Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

Tanda-tanda

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

  • Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.

  • Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.

  • Najis bercampur dengan darah.

  • Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).

  • Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).

  • Perut rasa memulas.

  • Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).

  • Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).

  • Muntah.

  • Hilang selera makan.

  • Berat badan turun tanpa sebab.

  • Kerap penat.

  • Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.


    Faktor risiko

    Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:

  • Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.

  • Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.

  • Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.

  • Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.

  • Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.

  • Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.

  • Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.

  • Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.

  • Kurang bersenam.


    Saringan dan pengesanan

    Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap 'pembawa maut', ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

    Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

    Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, iaitu antara 85 hingga 95 peratus, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.

    Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan. Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).

    Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun, peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.

    Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda antara 26 hingga 29 bulan.

    Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang.

    Menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan kanser yang mahal, Dr Christina memulakan program saringan sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

    "Cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser usus ialah dengan menjalani ujian saringan terutama bagi individu berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai sejarah kanser atau penyakit keradangan usus yang lain. Pengesanan awal dan pembuangan polip sebelum ia bertukar menjadi kanser adalah cara terbaik mencegah penyakit ini.

    "Pesakit kanser usus peringkat awal sebenarnya mempunyai peluang sembuh yang tinggi jika ia dikesan awal dan diberikan rawatan sewajarnya. Apa yang penting ialah datang ke hospital menjalani ujian saringan atau menyertai program Empowered! bagi yang berkelayakan," kata perunding onkologi itu.

    Apa yang pasukan sukarelawan Empowered! lakukan? Mereka akan mengagihkan risalah ke setiap rumah untuk memberitahu mengenai kanser usus. Selain itu di kawasan terpilih, sukarelawan ini akan menampal poster dan kain rentang mengajak penduduk menyertai program saringan berkenaan.

    Sasaran Empowered! ialah golongan berpendapatan rendah yang kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai kanser usus, serta tidak mempunyai masa menjalani saringan kesihatan mahu pun menyertai ceramah kesihatan. Ini kerana setiap kes kanser usus menunjukkan peningkatan dengan purata 3,500 kes setahun dan program ini menjadi lebih penting kerana Malaysia kini menuju ke arah masyarakat berumur-yang bermakna setiap orang berisiko mendapat kanser usus.

    "Program ini sangat berkesan dan bermanfaat. Tahun lalu, kami mendapat 600 penyertaan, lebih tinggi berbanding tahun pertama program ini diperkenalkan. Setiap peserta akan diberikan penerangan mengenai kanser usus dan kit untuk mengambil sampel najis masing-masing. Peserta akan diajar bagaimana cara mengambil sampel najis mereka dan kit ini akan dipungut oleh sukarelawan yang datang ke rumah peserta sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

    "Empowered! bukan saja menyediakan buku panduan malah ada perkhidmatan bas untuk membawa penduduk mendengar ceramah dan penerangan mengenai kanser usus. Saya rasa susah payah sukarelawan yang bersengkang mata melaksanakan program kemasyarakatan ini termasuk bermesyuarat, mengorbankan cuti hujung minggu dan mengetuk 20,000 pintu rumah penduduk adalah sangat berbaloi, apatah lagi apabila melihat penduduk mula sedar dan faham mengenai penyakit," katanya. Penduduk yang menyertai program ini bukan saja mendapat saringan awal kanser usus percuma tetapi turut diberikan sekampit beras!

    Namun cabaran sebenar dihadapi 240 sukarelawan yang terdiri daripada pakar pemakanan, pakar fisioterapi, kaunselor, pelajar perubatan dan rakan yang menemani peserta ke hospital ialah apabila peserta disahkan menghidap kanser. Dalam keadaan ini mereka (peserta) sangat memerlukan sokongan daripada keluarga, rakan dan anggota kesihatan supaya mereka tabah serta segera menjalani rawatan. Inilah sebabnya ada sukarelawan yang dikhususkan bertugas menemani pesakit ke hospital.

    Biasanya apabila ada acara kesihatan, rata-rata pesertanya adalah wanita tetapi berbeza dengan Empowered! kerana 60 peratus peserta terdiri daripada lelaki. Ini dianggap satu perkembangan yang memberangsangkan kerana semakin ramai ketua keluarga mulai sedar kepentingan menjaga kesihatan. Bahkan pasukan sukarelawan menggalakkan seisi keluarga untuk menyertai program yang diadakan di tempat mereka.

    Berdasarkan pemeriksaan makmal untuk saringan tahun pertama didapati dua peratus peserta mempunyai keputusan tidak normal iaitu najis mereka mengandungi darah. Peserta ini kemudiannya dihubungi untuk menjalani ujian susulan bagi memastikan sama ada kandungan darah dalam najis mereka disebabkan kanser atau masalah kesihatan lain dan diberikan rawatan sewajarnya.

    Pakar kesihatan menganggarkan 70 peratus kes kanser usus boleh dicegah melalui perubahan tabiat pemakanan dan bersenam. Malah, melakukan aktiviti yang kurang menggunakan tenaga selama dua jam seperti membersihkan rumah juga didapati boleh memberi banyak perubahan kepada kesihatan seseorang.

    Melalui program yang sama, penduduk diajar cara untuk mengurangkan risiko mendapat kanser iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti:

  • Mengambil pemakanan seimbang

  • Mengekalkan berat badan normal

  • Meningkatkan aktiviti fizikal

  • Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Usah bertindak di luar batasan

    Posted: 15 Jan 2012 08:30 PM PST

    pix_middle

    USIA masih mentah dan tiada pengalaman hidup, namun segelintir mahasiswa sanggup menggadai masa depan dan pengajian belum tamat semata-mata terlalu taksub mengikut kata hati.

    Mengetepikan akal waras dan matang untuk membuat pertimbangan, mereka lantang bersuara menyatakan hasrat melakukan perubahan biarpun hakikatnya ia tidak semudah memetik jari.

    • Foto

      SUDAH BERJANJI...berpeganglah janji yang sudah dibuat sewaktu mula-mula menjejakkan kaki di menara gading iaitu ingin mencipta kecemerlangan dalam pelajaran. - Gambar hiasan.

    • Foto

      KEKALKAN KEAMANAN...jangan gadaikan masa depan negara semata-mata untuk melunaskan kehendak perjuangan peribadi yang masih samar. - Gambar hiasan.

    • Foto

      GUGAT...berpandangan jauh dan jangan sesekali mencabar kedaulatan undang-undang negara kelak ia merugikan diri sendiri. - Gambar hiasan.

    • Foto

      ASET...mahasiswa adalah aset masa depan, justeru tamatkan pengajian terlebih dulu sebelum memasuki gelanggang kehidupan yang dikehendaki. - Gambar hiasan

    • Foto

      LEBIH BAIK...daripada terbabit perbuatan sia-sia, lebih baik tumpukan perhatian pada pengajian sekali gus mencapai cita-cita yang diidamkan. - Gambar hiasan.

    Lebih berani, mereka cuba bermain api dengan membuat tuntutan tidak masuk akal sehingga memberi persepsi negatif, apakah golongan itu mudah diperguna atau dipengaruhi orang lain?

    Apakah perjuangan dan perubahan dikehendaki itu lebih penting daripada melunaskan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar?Apakah selama ini institusi terlalu tegas dan langsung tidak berkompromi hingga golongan terbabit perlu melanggar undang-undang?


    Atau adakah mereka hanya mengikut membuta tuli dan sanggup bertindak agresif kerana berasakan diri cukup hebat bergelar mahasiswa?

    Presiden Kolej Poly-tech Mara, Datuk Yusoff Harun, berkata mahasiswa perlu menjadi golongan yang boleh dibanggakan dengan kecemerlangan dan kematangannya bukan yang mudah diperkotak-katik sesuka hati pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

    Menurutnya, amat malang dan memalukan apabila mereka bertindak melampau dan di luar batasan kerana bukan saja boleh digambarkan sebagai golongan cetek akal malah senang dimanipulasi.

    "Mahasiswa adalah golongan terpilih dan perlu mempunyai prinsip yang tidak boleh digugat orang lain hanya dengan isu remeh.

    "Mereka ada karisma tersendiri dan masyarakat juga memberi sanjungan dan pengiktirafan. Malangnya, itu tidak berlaku pada segelintir mahasiswa yang berasakan diri hebat dan tidak boleh dicabar.

    "Hakikatnya, mereka masih teraba-raba mencari masa depan. Atas maksud tertentu, mereka berjuang dengan alasan mahu membuat perubahan sedangkan perjuangan perlu berpaksikan pada tujuan asal dan jangan dicampur-aduk dengan perkara lain," katanya.

    Akhir-akhir ini negara terkejut dengan aksi demokrasi liar segelintir mahasiswa yang 'memberontak' inginkan hak kebebasan biarpun permintaan itu tidak munasabah.

    Mereka mengandaikan diri tertindas dan menjadi mangsa birokrasi selain mengutarakan kemahuan diberi lebih kebebasan akademik.

    Persoalannya, kebebasan akademik bagaimanakah yang diingini hingga sanggup berdemonstrasi, mengganggu ketenteraman awam dan mencemarkan nama golongan intelektual.

    Sekali gus memberi persepsi tidak baik dengan tanggapan mereka golongan ekstremis yang mahu menggugat keamanan negara selain begitu mudah melatah biarpun hanya dijolok dengan isu remeh.

    Mengulas tindakan itu, beliau menggambarkannya sebagai satu 'drama' yang harus ditamatkan segera kerana bakal merugikan masa depan mahasiswa.

    "Sejak dulu, mahasiswa memegang gelaran 'mereka yang dihormati', mengapa mesti mencalarkan identiti itu dengan perjuangan belum pasti? Buka minda dan berfikir dengan matang setiap masalah ada penyelesaiannya.

    "Setiap perbuatan perlu selari dengan taraf pendidikan, daya intelektual, penerimaan masyarakat dan sebagainya. Tindakan melulu bukan saja merugikan malah menyebabkan masalah baru timbul hingga membabitkan isu lain.

    "Janganlah kerana terlalu mengikut kata hati, segalanya tergadai dan menjadi sia-sia. Perjuangan menuntut ilmu itu lebih penting dengan imej mahasiswa berbanding tindakan radikal," katanya mengakui antara punca golongan itu bertindak agresif kerana kurang mendapat fakta jelas mengenai sesuatu perkara atau diprovokasi pihak lain.

    "Secara amnya, mahasiswa biasa dan tiada kepentingan tidak akan bertindak sedemikian. Mungkin mereka yang mudah 'melatah' ini ada faktor di sebaliknya hingga berani melanggar undang-undang.

    "Pihak pengurusan institusi perlu memberi penjelasan jelas, mudah dan telus kepada mereka supaya dapat gambaran jelas.

    "Dalam usia muda, mereka gemar bertindak mengikut emosi berbanding rasional akal," katanya.

    Agresif mahasiswa, akuinya juga adalah sifat semula jadi terutama jika permintaan mereka ditolak atau diperlekehkan namun bukan semua mahu menggadaikan masa depan hanya kerana mengikut emosi.

    "Hanya segelintir saja yang beremosi dan mahu menunjukkan diri mereka hebat sedangkan sebahagian besarnya masih berfikir waras.

    "Bayangkan, jika mempunyai senarai 'rekod' yang tidak elok, apakah masyarakat, industri atau majikan mahu menerima mereka?

    "Justeru sebelum bertindak, berfikir panjang, jangan mudah terpengaruh atau mengikut darah muda kerana belum tentu perjuangan itu berhasil," katanya.

    Ditanya adakah kebangkitan itu juga disebabkan peristiwa yang melanda beberapa negara di dunia, beliau berkata, mahasiswa di negara ini tidak boleh disamakan dengan negara luar.

    "Perjuangan di sana lebih tertumpu pada kehendak perubahan drastik atas faktor tertentu namun di negara ini keadaannya berbeza.

    "Jika berpandangan jauh, mereka akan mengelak diri terbabit aktiviti ini kerana ia merugikan. Paling penting, selesaikan pengajian dulu sebelum membabitkan diri dalam aktiviti bersifat peribadi.

    "Keseronokan atau kehebatan sementara tidak boleh menjamin kesenangan pada masa depan," katanya.

    Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, mereka hanya berdiri atas identiti mahasiswa dan tidak diperalatkan seperti didakwa.

    "Kami berjuang untuk membela nasib mahasiswa dan mengubah kesukaran yang sering dihadapi akibat birokrasi, bukan alat parti yang berdiri atas kapasiti diri sendiri.

    "Adakah salah jika kami ingin menyuarakan pendapat dan memperjuangkan nasib rakan lain yang tertindas?

    "Tindakan seperti itu terpaksa diambil kerana kami sudah muak dengan apa yang dijanjikan namun tidak dilaksanakan dengan telus," katanya.

    Mengenai pandangan masyarakat mengatakan mereka mudah diperalat, beliau menafikannya kerana mahasiswa mempunyai privasi sendiri untuk membuat pilihan.

    "Mereka mengiktiraf kami sebagai golongan terpelajar, jadi mengapa mesti mempertikaikan tindakan itu?

    "Mengapa dipandang serong hanya kerana mahu memberi teguran dan memperbetulkan keadaan salah?," katanya

    Katanya, sebagai mahasiswa, mereka tahu tanggungjawab utama ialah belajar tapi pada masa sama menjadi pengimbang tara kepada semua pihak selain ejen perubahan kepada masyarakat.

    "Kami tidak kesal memperjuangkan tuntutan ini kerana idealisme kami hanyalah untuk membantu mahasiswa bukan menjadi tunggangan orang lain seperti tanggapan masyarakat. Betulkan persepsi salah itu," katanya.

    Bob Terima Hakikat Kurang Menyerlah

    Posted: 15 Jan 2012 08:29 PM PST

    Bob.

    PUTRAJAYA: Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Terhalang, Yusrizan Usop atau Bob enggan menyalahkan mana-mana pihak ekoran namanya sebagai penyanyi kurang mendapat perhatian peminat.

    Bob, 30, berkata, sebagai seorang penyanyi dia telah berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan yang terbaik untuk para peminatnya dan tidak akan berputus asa dalam mengejar impiannya sebagai seorang anak seni.

    "Saya tidak pernah kecewa atau menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan menyerlah dalam bidang nyanyian kerana saya sudah mencuba yang terbaik untuk peminat," ujarnya ketika ditemui mStar Online.

    Tambahnya, walaupun pernah muncul dengan beberapa buah lagu baru tetapi ia jarang diputarkan di corong-corong radio akibat tidak mencapai standard dua buah lagu hitnya, Cinta Seorang Teman dan Cinta Terhalang.

    Bob berkata, dia tidak kecewa dengan tindakan beberapa stesen radio tersebut enggan memutarkan lagunya kerana mungkin apa yang dikatakan mereka mempunyai kebenaran.

    "Mereka mahukan sesuatu yang lebih 'besar' daripada dua hit single saya sebelum ini dan mungkin lagu yang dihantar tidak mencapai tahap dimahukan.

    "Saya tidak sedih atau berkecil hati kerana mereka lebih tahu apa yang pendengar mahukan malah sebelum ini pun mereka putar lagu-lagu saya kerana ia adalah bagus," ujarnya.

    Katanya, dia juga sedang dalam proses pembikinan album terbarunya dan mengambil setiap kritikan daripada pelbagai pihak sebelum ini untuk memperbaiki mutu album itu nanti sekaligus mendapat perhatian peminat.

    Bob juga memberitahu, dia juga ada mencipta beberapa buah lagu dan lirik untuk album terbaru itu nanti dan tidak sabar untuk diperdengarkan kepada peminat.

    "Seperti yang saya katakan, ada hikmah disebalik semua yang berlaku. Saya menganggap semua kritikan sebelum ini adalah untuk kebaikan diri saya untuk terus lebih maju," ujarnya.

    Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam filem terbitan KRU Studios, Cinta Kura-Kura, Bob memberitahu dia telah dilamar oleh pihak syarikat itu kerana pernah terlibat dalam drama bersiri muzikal, Hotel Mania sebelum ini.

    Bob berkata, dia teruja berlakon dalam filem arahan Nizam Zakaria ini kerana dia dapat menyanyi dan berlakon pada masa sama.

    "Watak Amin iaitu abang kepada Nani (Tiz Zaqyah) adalah seorang penyanyi nasyid yang kemudiannya bertukar menjadi penyanyi dalam kumpulan indie.

    "Filem ini juga mencabar kerana memerlukan saya bercakap dengan kura-kura yang menggunakan suara Zizan Razak," ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Bob memberitahu selain bakal muncul dengan single terbaru iaitu Jangan Jangan ciptaan Audi Mok dan Omar K dalam masa terdekat, dia juga baru selesai menjalani penggambaran drama Anak Iban United selain sibuk dengan aktiviti sebagai Selebriti Sokongan Riben Merah bersama Majlis AIDS Malaysia.

    "Walaupun nama kurang menyerlah dan jarang-jarang muncul di dada akhbar tetapi Alhamdulilah rezeki saya masih ada," katanya.

    Kurang Menyerlah Dalam Nyanyian, Syawal Tumpu Pada Lakonan

    Posted: 15 Jan 2012 08:27 PM PST

    Syawal.

    SHAH ALAM: Penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia 5 (AF5), Mohd Syawal Ruslan atau Syawal memberitahu ingin lebih serius sebagai pelakon selepas gagal menyerlah dalam bidang nyanyian.

    Syawal berkata, dia bukannya terus melupakan karier nyanyian tetapi tawaran berlakon yang mencurah tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.

    "Alhamdulilah walaupun rezeki dalam bidang nyanyian tidak begitu menyerlah tetapi dalam lakonan amat memberangsangkan. Oleh sebab itu juga saya ingin menumpukan perhatian kepada dunia lakonan," ujarnya ketika ditemui mStar Online.

    Tambahnya, dia sebelum ini tidak tahu mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan bersyukur beberapa percubaannya sebelum ini menerusi beberapa buah drama dan filem Karipap-Karipap Cinta telah membuka mata ramai penerbit drama dan filem untuk mengambilnya berlakon.

    Syawal berkata, penghargaan juga perlu diberi kepada semua tenaga pengajar di Akademi Fantasia kerana segala input yang diberikan kepada mereka nyata memberi faedah besar kepada mereka.

    "Mungkin sebelum ini orang tidak nampak apa sebab pihak AF mengadakan pelbagai kelas kepada pelajar walaupun ia sebuah pertandingan nyanyian.

    "Nyata ini semua ada hikmah tersendiri yang pada akhirnya telah membuka pelbagai cabang rezeki buat kami sebagai bekas pelajar," ujarnya.

    Dalam pada itu, Syawal yang sedang berada di set lokasi penggambaran filem keduanya, Pak Pung arahan Fauzi Nawawi berkata, dia tidak terus melupakan karier nyanyian sebaliknya ia masih berjalan seperti biasa malah bertindak sebagai artis residen di Afti Events.

    Syawal berkata, dia telah menyertai syarikat pengurusan acara itu lebih tiga tahun dan sering mengadakan persembahan di pelbagai tempat.

    "Mungkin tidak begitu menyerlah kerana kebanyakan persembahan itu bukan untuk siaran televisyen tetapi lebih kepada persembahan tertutup," katanya.

    Pun begitu, Syawal berkata, dia bakal muncul dengan single terbaru bagi mengubat kerinduaannya pada bidang nyanyian dan menjangkakan bakal dilancarkan selewat-leawatnya pertengahan tahun ini.

    Sementara itu, bercakap mengenai filem Pak Pung, Syawal berkata sebelum ke set penggambaran dia aktif menjalani latihan silat bagi memenuhi kehendak wataknya yang memerlukan dia beraksi dalam seni mempertahankan diri itu.

    Syawal berkata, dia seronok dapat berlakon di bawah arahan Fauzi kerana pelakon itu banyak mengajarnya teknik lakonan terutamanya dalam babak-babak cemas.

    "Abang Fauzi pernah beberapa kali memenangi anugerah sebagai ahli lagak ngeri dan banyak terlibat mengarahkan aksi-aksi cemas dalam beberapa filem.

    "Saya ambil kesempatan ini untuk belajar daripadanya supaya dapat memberikan persembahan baik dalam Pak Pung," ujarnya.

    'Homeland' Drama Bersiri Terbaik Anugerah Golden Globes Ke-69

    Posted: 15 Jan 2012 08:25 PM PST

    Michelle Williams memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Muzikal atau Komedi menerusi lakonannya dalam My Week With Marilyn.

    PELAKON veteran dan pendatang baru mewarnai majlis Anugerah Golden Globes ke 69 dengan menobatkan Christopher Plummer, Michelle Williams, Octavia Spencer dan drama bersiri Homeland yang mendapat pengiktirafan pada majlis yang berlangsung pada Ahad.

    Christopher, 82, memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonannya dalam Beginners dan Spencer dalam kategori wanita hasil lakonannya dalam drama The Help.

    Dalam pada itu, drama popular Homeland dinobatkan sebagai drama televisyen terbaik mengalahkan beberapa siri pilihan lain seperti Game of Thrones, American Horror Story dan Broadwalk Empire.

    Manakala Michelle membawa pulang trofi aktres terbaik dalam muzikal atau komedi menerusi lakonan mantapnya melalui My Week with Marilyn yang melakonkan watak sebagai Marilyn Monroe.

    Pelakon drama bersiri The Artist bergambar bersama selepas memenangi anugerah Drama bersiri Muzikal, Komedi terbaik.

    Berikut adalah senarai penuh pemenang Anugerah golden Globes ke 69.

    Pelakon Wanita dalam Siri TV, Drama: Claire Danes, Homeland

    Filem Bahasa Asing Terbaik: A Separation, Iran

    Pelakon Pembantu Wanita dalam Siri, Mini Siri atau Filem TV: Jessica Lange, American Horror Story

    Lakon Layar Terbaik: Woody Allen, Midnight in Paris

    Filem Animasi Terbaik: The Adventures of Tintin

    Pelakon Pembantu Lelaki dalam Siri, Mini Siri atau Filem TV: Peter Dinklage, Game of Thrones

    Pelakon Wanita Terbaik dalam Muzikal atau Komedi: Michelle Williams, My Week With Marilyn

    Pelakon Lelaki Terbaik: Idris Elba, Luther

    Siri TV, Drama Terbaik: Homeland

    Lagu Asal Terbaik: "Masterpiece," Madonna, Julie Frost and Jimmy Harry

    Pelakon Lelaki Terbaik Siri TV, Drama: Kelsey Grammer, Boss

    Pelakon Wanita Terbaik dalam Mini Siri, Filem TV: Kate Winslet, Mildred Pierce

    Filem TV atau Mini Siri Terbaik: Downton Abbey

    Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri TV, Komedi: Laura Dern, Enlightened

    Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Christopher Plummer, Beginners

    Katy Perry Usir Suami Dari Rumah

    Posted: 15 Jan 2012 08:23 PM PST

    Russell Brand.

    MISTERI kedatangan van pengangkut barang ke rumah pasangan Russell Brand dan Katy Perry beberapa hari lalau akhirnya terjawab apabila Russell telah diusir daripada kediaman mewah mereka di Hollywood Hills.

    DailyMail melaporkan, Russell kelihatan muram ketika mengangkat barang-barangnya keluar daripada rumah tersebut.

    Pelawak berusia 36 tahun itu juga dikhabarkan akan kembali ke London selepas memutuskan untuk menceraikan isterinya.

    Sementara itu, bekas isterinya, Katy pula kelihatan ceria apabila mempamerkan rambut barunya yang berwarna biru selepas mengumumkan perpisahan dengan Russell.

    Khabar angin turut mengatakan ibu bapa Katy ingin menjodohkannya dengan pemain bola keranjang terkenal, Tim Tebow.

    Appalam menang filem Tamil terbaik

    Posted: 15 Jan 2012 08:22 PM PST

    Afdlin Shauki
    Afdlin Shauki
    FILEM Tamil sulung keluaran Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), Appalam, dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Tamil Malaysia yang berlangsung di Chennai, India, dari 9 hingga 12 Januari lalu.

    Filem arahan Afdlin Shauki terbabit mengetepikan saingan sembilan lagi filem Tamil keluaran negara ini yang diterbitkan dari 2001 hingga 2011.
    Appalam yang dihasilkan berdasar kepada filem Melayu berjudul Papadom (2009), juga arahan Afdlin, menemui penonton pada November 2010. Ia membariskan pelakon seperti Gana Pragasam, Raja Ilya, Jaclyn Victor, Haanii Shivraj, Shashi Tharan, Sharifah Amani, Vassantha Kumaran, Iman Wan, Sathia, Gunseh, Maimon Mutalib dan Afdlin sendiri.
    Menurut Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran TUSB, Ira Fazir Che Ishak, kejayaan filem terbabit tentu saja menyemarakkan lagi semangat syarikat perfileman berkenaan untuk menghasilkan lebih banyak filem Tamil bermutu untuk hiburan penonton, terutama masyarakat India di negara ini.

    Selain Filem Terbaik, kategori lain yang dipertandingkan pada festival anjuran sayap belia Kongres India Malaysia (MIC) itu ialah Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi Shashi menerusi filem Aathma, Pelakon Wanita Terbaik (Jasmine Michael/Yantra), Sinematografi Terbaik (Ganesh/Uttracha Kali), Pengarah Terbaik (Nagaraj/Aathma, Uruvan, Under Cover Rascals) dan Lakon Layar Terbaik - Anugerah Khas Juri (Sandosh Kesavan/Aandal; Mansher Singh/Uttracha Kali).

    Sementara itu, Pancha pula diumumkan penerima anugerah Penerbit Filem Perintis.
    Festival julung kali dianjurkan itu memilih Chennai sebagai lokasi dengan matlamat memperkenalkan filem Tamil negara ini kepada peminat filem India, di samping mencari peluang buat filem berbahasa Tamil keluaran tempatan untuk dipasarkan di negara terbabit.
    Selain majlis anugerah yang berlangsung pada 10 Januari lalu, festival yang dihadiri kedua-dua penggiat filem Tamil Malaysia dan India itu turut diisi acara tayangan filem dan forum.

    Daripada 80 filem Tamil yang diterbitkan di negara ini sejak 1960-an, hanya 26 judul berjaya menemui penonton di pawagam dan daripada jumlah berkenaan, 10 judul disenaraikan untuk festival terbabit.

    Salji landa Kabul dianggap petanda tuah

    Posted: 15 Jan 2012 08:20 PM PST

    SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan yang dipenuhi salji di Kabul, semalam. - Foto AFP
    SEORANG penduduk mengayuh basikal di satu kawasan yang dipenuhi salji di Kabul, semalam.
    KABUL: Jika telahan rakyat Afghanistan benar dan salji membawa tuah, negara bergolak itu dijangka menerima berita baik di tengah langkah yang masih belum muktamad ke arah perjanjian damai dengan anggota Taliban berikutan salji yang turun mengubah landskap kering dan berdebu Kabul kepada seni indah berwarna putih bersih.

    Pokok di sepanjang jalan dan tembok dengan kesan letupan dihiasi warna putih, dengan lelaki di ruang pejalan kaki dan pengawal yang bersenjatakan raifal berbual, tersenyum kepada orang ramai yang lalu lalang.
    Laman web sosial Twitter, yang digunakan secara meluas di Afghanistan untuk mengesan keganasan terbaru dalam perang selama 10 tahun itu, menyatakan kegembiraan.
    "Salji lebat turun di Kabul sejak 24 jam lalu. Kelihatan cantik," kata Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF), yang mempunyai kira-kira 130,000 anggota tentera diketuai Amerika Syarikat di negara itu dalam Twitter.

    "Polis Kabul meninggalkan senjata AK47 mereka dan bermain orang salji di Kabul," kata seorang penduduk.

    Bank susu ibu haram

    Posted: 15 Jan 2012 08:17 PM PST

    Majlis Fatwa memutuskan penubuhan membawa kemudaratan keturunan

    PUTRAJAYA: Persoalan mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

    Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.
    Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya rakyat Malaysia.
    Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.

    Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan secara lebih mudah.

    Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan.

    "Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.
    "Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

    Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

    Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

    Menurut muzakarah itu, tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan dan perbuatan membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi perkara yang dilarang dan berdosa.

    "Bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

    "Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan mengesahkan pesakit tiada harapan sembuh dan pesakit dibenar pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan diteruskan adalah dibenar Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing," katanya.

    Muzakarah juga memutuskan dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian apabila disahkan pakar dan adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat.

    Orang kafir hanya mimpi syurga

    Posted: 15 Jan 2012 08:15 PM PST

    ALLAH SWT menjanjikan kepada orang mukmin dengan syurga yang penuh dengan segala kenikmatan, kehormatan dan kemuliaan.

    Seterusnya Dia menyebut pula keadaan orang kafir bersama Rasulullah SAW dengan menjelaskan kesalahan mereka jika mengharapkan syurga yang penuh dengan kenikmatan itu kerana keadaan mereka yang kafir dan ingkar.

    Kemudian Allah SWT memberi ancaman dengan kebinasaan itu daripada mereka. Lalu Dia memerintahkan kepada rasul-Nya supaya membiarkan keadaan mereka sehingga hari kebangkitan.

    Iaitu pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seolah-olah hendak menghadap sembahan (berhala dan patung) mereka yang batil itu.

    Pada hari itu, pandangan mereka tertunduk dan wajah mereka diliputi kemuraman kerana mereka pasti menerima seksaan Allah SWT tanpa ada jalan lain untuk selamat kerana seksaan itu telah diancam kepada mereka di dunia lagi.

    Firman Allah SWT: Mengapakah orang-orang kafir itu bersegera datang ke arahmu. Dari kanan dan dari kiri dengan berkelompok-kelompok. (al-Ma'arij: 36-37)

    Ibn al-Jauzi berkata: Ayat ini diturunkan kepada sekumpulan orang kafir yang duduk di sekeliling Rasulullah SAW sambil mengejek al-Quran dan mendustakannya.

    Al-Farra' berkata: Mereka membuat beberapa halaqah atau kumpulan yang mana antara kenyataan biadap mereka kalaulah para sahabat dapat masuk syurga seperti kata Muhammad SAW nescaya kami lebih mendahului mereka.

    Syed Qutub berkata: Ayat ini secara mengejek menyatakan kehairanan terhadap pergerakan dan perhimpunan mereka yang sedemikian rupa sambil mempersoalkan tujuannya.

    Mereka datang dengan langkah yang cepat menuju ke tempat Rasulullah SAW bukan untuk mendengar dan mencari kebenaran tetapi semata-mata menonton dengan perasaan pelik dan aneh.

    Selepas itu, mereka bersurai dan berkumpul di pelbagai tempat sambil berbisik dan merancang tindakan jahat untuk menjawab bidasan al-Quran yang didengari mereka.

    Firman Allah SWT: Adakah setiap orang dari orang-orang kafir itu ingin masuk ke dalam syurga yang penuh kenikmatan? Sekali-kali tidak! Sesungguhnya kami ciptakan mereka dari apa yang mereka ketahui (air mani). (al-Ma'arij: 38-39)

    Al-Sobuni berkata: Persoalan di sini berbentuk pengingkaran berserta menghina dan memalukan mereka. Bagaimana mungkin mereka loba untuk masuk syurga Allah sedangkan mereka kafir dan mendustakan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tidak akan masuk selama-lamanya.

    Al-Maghari berkata: Apakah mereka yang lari daripada Rasulullah SAW tanpa mengikut kebenaran itu mahu masuk ke dalam syurga-Ku, seperti keadaan orang yang beriman dan takut serta berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh harapan dan cemas? Tidak! Sekali-kali tidak ada harapan malahan mereka ini akan menerima balasan seperti orang yang beriman.

    Firman Allah SWT: Maka aku bersumpah dengan Tuhan yang memiliki timur dan barat, sesungguhnya Kami benar-benar Maha Kuasa. Untuk mengganti (mereka) dengan kaum yang lebih baik dari mereka, dan Kami sekali-kali tidak dapat dikalahkan. (al-Ma'arij: 40-41)

    Ibn Kathir berkata: Allah ciptakan segala langit dan bumi, menjadikan timur dan barat, begitu juga dengan penciptaan orbit dan bintang yang muncul pada sebelah timurnya dan tenggelam sebelah baratnya.

    Kalam ini memberi maksud bukan seperti sangkaan orang kafir yang tiada di sana hari dibangkitkan dan dihimpunkan serta hisab dan pembalasan sebaliknya semua perkara tersebut pasti berlaku dan bukan mustahil.

    Al-Maghari berkata: Sesungguhnya orang musyrik itu mempunyai pendapat yang celaru dan bertentangan. Sungguh pelik bilamana mereka mengingkari hari kebangkitan, tetap bercita-cita masuk syurga?

    Mengingkari Pencipta

    Mereka juga mengingkari al-Khaliq, padahal al-Khaliq itulah yang mencipta mereka pada permulaannya tetapi mereka tidak mengetahui. Dia juga berkuasa untuk menciptakan lagi makhluk yang sama seperti mereka.

    Di sini terdapat penghinaan terhadap mereka dan peringatan berhubung dengan perbicaraan mereka yang mengandungi unsur pertentangan.

    Ini kerana mereka telah mengejek tentang kedatangan hari kiamat dan cita-cita mereka yang ingin masuk ke syurga merupakan perkara yang tidak diterima akal.

    Kemudian Allah menghiburkan hati rasul-Nya terhadap kata-kata dan perbuatan mereka menerusi firman-Nya.

    Firman Allah SWT: Maka biarkanlah mereka tenggelam (dalam kebatilan) dan bermain-main sampai mereka menjumpai hari yang diancam kepada mereka. (al-Ma'arij: 42)

    Ibn Kathir berkata: Biarkan mereka hai Muhammad yang kafir dalam pendustaan kekufuran dan pengingkaran mereka sehingga datang hari kiamat yang dijanjikan ketika itu mereka akan tahu akibat ingkar mereka dan merasai balasannya.

    Al-Maghari berkata: Biarkanlah mereka tenggelam dalam pendustaan dan keingkaran tentang kedatangan hari kebangkitan.

    Ini kerana saat itu mereka akan mengetahui kesudahan perbuatan mereka dan akan mengalami seksaan amat dahsyat ketika dihadapkan kepada Allah SWT untuk hisab dan diberi pembalasan.

    Dengan kata lain pada hari itu, tanpa memberi syafaat dan penolong. Pada saat itu juga harta dan anak-anak tidak lagi mendatangkan manfaat kecuali orang yang kembali menemui Allah SWT dengan hati yang selamat.

    Firman Allah SWT: (iaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia). Dalam keadaan mereka menekurkan pandangannya (serta) diliputi kehinaan. Itulah hari yang dahulunya diancam kepada mereka. (al-Ma'arij: 43-44)

    Al-Sobuni berkata: Mereka keluar daripada kubur menuju ke mahsyar dengan begitu pantas.

    Syed Qutub berkata: Ayat ini memperkecilkan keadaan mereka dan mengancam mereka dengan azab dan keseksaan yang menimbulkan ketakutan.

    Mengerikan

    Pemandangan pergerakan dan keadaan mereka pada hari itu memang mengerikan. Gaya ungkapan ayat itu sendiri mengandungi ejekan dan penghinaan yang setimpal dengan sifat mereka yang angkuh dan sombong dengan pangkat dan kedudukan mereka.

    Mereka yang keluar dari kubur masing-masing berjalan dengan langkah yang cepat seolah-olah hendak pergi ke tempat berhala yang disembah oleh mereka.

    Ungkapan ini merupakan suatu ejekan yang sesuai dengan keadaan mereka dalam kehidupan dunia, di mana mereka segera keluar menuju tempat-tempat berhala pada hari kebesaran untuk berkumpul di sekelilingnya.

    Pada hari kiamat, mereka akan keluar tergesa-gesa tetapi perbezaan pada hari tersebut sangat jauh berbeza. Insaflah!

    Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan gambaran hari kiamat dan peristiwa ngeri yang terdapat di sana. Begitu juga gambaran tentang keadaan neraka dan azabnya.

    Ciri-ciri manusia yang melayakkan mereka masuk ke neraka Jahim dan bagaimana manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menghilangkan kelemahan yang melingkungi dirinya agar dia dapat menaiki tangga tersebut dan keluar dari alam kebendaannya.

    Ancaman buruk terhadap orang kafir yang akan dihadapi oleh mereka pada hari tersebut.

    Semoga Allah selamatkan kita daripada kekufuran sehingga melayakkan kita menjadi hamba yang soleh seterusnya dapat menghuni syurga Allah dan selamat daripada neraka-Nya.

    Mengqada zakat pendapatan

    Posted: 15 Jan 2012 08:14 PM PST


    Hasil kutipan zakat termasuk zakat pendapatan banyak membantu meringankan beban golongan asnaf di negara ini. - Gambar hiasan


    SAYA bekerja sejak tahun 2005. Malangnya, saya tidak pernah menunaikan zakat pendapatan. Apakah yang perlu saya lakukan, adakah boleh saya terlepas daripada zakat pendapatan yang telah berlalu itu?

    Jika perlu saya membayarnya juga, apakah kaedah yang paling sesuai untuk saya gunakan? Harap penjelasan daripada pihak ustaz.

    JAWAPAN:

    Hukum zakat pendapatan adalah wajib dan inilah yang diputuskan sama ada oleh kebanyakan Jawatankuasa Fatwa Negeri mahu pun Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

    Maka, umat Islam yang melalaikan hukum yang wajib, hendaklah mereka menunaikannya kembali tatkala mereka tersedar daripada kealpaannya dan ia dinamakan qada.

    Inilah yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2006, yang menyatakan: "Mengenai hukum qada zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya". (Rujuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-76, 23 November 2006)

    Maka, bagi seorang mukalaf yang telah cukup semua syarat wajib zakatnya, maka hendaklah mereka mengqada semua zakat hartanya yang telah mereka abaikan.

    Melainkan pada tahun-tahun berkenaan, berlakunya keciciran salah satu syarat wajib zakat.

    Misalnya hartanya terkurang daripada paras nisab, maka tidaklah wajib dia menzakatkannya dan terlepaslah qada zakat ke atasnya bagi tahun yang berkenaan.

    Maka, bagaimanakah kaedah mengqada zakat pendapatan ini? Maka, langkah pertama, hendaklah ditaksirkan kesemua pendapatan yang diperolehi bagi setiap tahun yang telah berlalu itu, sama ada 10 tahun atau beberapa tahun.

    Hendaklah difahami, maksud pendapatan di sini, bukan sekadar pendapatan bergaji, tetapi merangkumi semua jenis sumber pendapatan, sama ada berkala, tidak berkala, sumber bukan pekerjaan dan juga daripada sumber sewaan.

    Semua ini adalah pendapatan sampingan yang dinisbahkan sebagai al-mal al-mustafad dan wajib dizakatkan. Misalnya, si A menjadi guru sekolah, beliau mendapat gaji. Beliau juga membuka kelas tambahan, sering memberikan ceramah motivasi, rajin menulis artikel dan menghasilkan buku.

    Si A juga ada menerima hibah wang daripada bapanya dan menerima hasil sewaan daripada tiga rumah sewanya. Semua ini adalah pendapatan yang wajib dihitung untuk dikeluarkan zakatnya bagi setiap tahun berkenaan.

    Kemudian, setelah memperolehi jumlah pendapatan keseluruhan, hendaklah pula dibuat tolakan berasaskan kaedah yang telah ditetapkan oleh institusi zakat.

    Lazimnya kaedah tolakan yang diaplikasikan adalah kaedah kedua yang berasaskan perbelanjaan minimum seseorang bagi setiap tahun berkenaan (jika di Selangor, ia dikenali sebagai tolakan berasaskan had al-kifayah). Setelah itu, darablah 2.5 peratus sebagai zakat. Inilah jumlah zakatnya yang wajib dibayar sebagai qada zakat.

    Seandainya jumlah qada zakat yang diperolehi itu amat besar dan di luar kemampuan melangsaikannya sekali gus, seseorang itu boleh membuat ansuran terhadap qada zakatnya.

    Misalnya, katakanlah qada zakatnya adalah RM10,000; maka bahagikan jumlah itu dengan 12 bulan, 24 bulan atau 36 bulan mengikut keadaan kewangan yang termampu.

    Kemudiannya, seseorang itu boleh memasukkan qada zakat yang dibuat secara ansuran itu ke dalam potongan gaji bulanannya yang disekalikan dengan zakat pendapatan bulanan. Hal ini tidak menjadi satu kesalahan.

    Contohnya:

    Qada zakat: RM10,000

    Ansuran:

    RM10,000 /12 bulan> RM833.33

    sebulan

    RM10,000 /24 bulan> RM416.66

    sebulan

    RM10,000 /36 bulan> RM277.77

    sebulan

    Katakanlah potongan zakat pendapatan secara bulanan bagi tahun 2012 pula adalah RM200, maka campurkanlah mana-mana jumlah di atas dan tunaikanlah ia secara ansuran.

    Apabila berubah ke tahun hadapan, kekalkan jumlah qada dan yang berubah hanyalah zakat pendapatan semasa sahaja.

    Namun, satu perkara yang wajib diambil ingatan adalah, seseorang itu perlu memastikan waris mengetahui bahawa mereka masih mempunyai hutang zakat.

    Oleh itu, hendaklah dibuat wasiat bertulis atau menggunakan apa-apa kaedah demi memastikan orang yang mewarisi harta kita, tahu bahawa di sebalik harta pusaka yang diwariskan, ada hutang zakat yang masih wajib dilunaskan.

    Ini kerana, menurut kitab Mustika Hadis jilid ke-3: "Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya".

    Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Daripada Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah bersabda: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

    Di samping itu, adalah amat dianjurkan agar mereka yang berkenaan, bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT, di atas kealpaan menunaikan zakat tersebut.

    Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat dan menerima qada zakat yang dilakukan dan menyediakan keberkatan hidup bagi mereka yang mahu membetulkan kesilapan. Wallahu a'lam.

    APD 2011 untuk maslahah umat

    Posted: 15 Jan 2012 08:13 PM PST


    Penyeragaman logo halal memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan dilakukan untuk kebaikan umat Islam di Malaysia. - Gambar hiasan


    TIDAK dinafikan, ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan mempertikai keputusan parlimen meluluskan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

    Lebih-lebih lagi bagi peniaga kecil yang terpaksa melalui proses permohonan untuk mendapatkan sijil halal yang dikatakan rumit dan membebankan.

    Akta tersebut dianggap menyusahkan kerana bermula tarikh berkuatkuasa, hanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sah digunapakai oleh semua premis perniagaan dan pengusaha produk di negara ini.

    Hanya Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dilantik sebagai badan berwibawa untuk memperakukan pengesahan status halal tersebut.

    Oleh itu, tiada lagi penggunaan logo halal lain dikeluarkan oleh pihak swasta digunakan selepas penguatkuasaan akta itu dan peniaga perlu memperbaharui logo lama kepada logo halal Jakim.

    Mereka beranggapan, proses pembaharuan itu sebagai sistem birokrasi terlampau yang hanya menyusahkan serta membazir wang, masa dan tenaga peniaga untuk mendapatkan kelulusan sijil halal baru.

    Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, APD 2011 sebenarnya lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan.

    Katanya, peniaga memang perlu mematuhi prosedur dan memenuhi standard yang ditetapkan untuk mendapatkan pengesahan sijil halal. Tetapi keperluan itu mengambil kira kepentingan masyarakat dan umat Islam khususnya di negara ini.

    Secara umumnya, kata beliau, penguatkuasaan APD 2011 boleh dibahagikan kepada dua sudut berbeza iaitu pihak berkuasa dan peniaga serta pengguna.

    "Daripada aspek pihak berkuasa atau kerajaan, ia menunjukkan usaha dalam menjalankan tanggungjawab memastikan produk yang digunakan di negara ini adalah dijamin halal.

    "Dalam aspek peniaga pula, ia seperti nilai tambah yang membantu syarikat mempromosikan produk buatannya sama ada di dalam dan luar negara," jelas beliau kepada dihubungi Mega, baru-baru ini.

    Menurut Zaharuddin, sudah pasti pengguna akan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada produk yang tertera logo halal.

    "Ia bukan sahaja membantu meyakinkan masyarakat malah meningkatkan nilai tambah dalam mempromosikan produk tersebut," katanya.

    Zaharuddin menambah, sebelum ini negara dipenuhi pelbagai jenis logo halal daripada pelbagai pihak dan agensi swasta.

    Ini membuka ruang kepada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan membuat perniagaan mengeluarkan sijil halal.

    Hal itu katanya, membuatkan pengguna berasa ragu-ragu dan kurang kepercayaan terhadap sijil dan logo halal yang dipamerkan.

    "Tetapi dengan termaktubnya akta dan penguatkuasaan penyelarasan logo halal ini dapat menjamin produk yang disahkan halal oleh Jakim dijamin halal.

    "Bagi syarikat besar dari luar negara pula, logo halal yang disahkan oleh Jakim boleh digunakan untuk menarik kepercayaan dan memasarkan produk mereka kepada negara Islam lain," jelasnya.

    Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, berkata, pihaknya menyambut baik pembubaran akta lama dan mewujudkan APD 2011.

    "APD 2011 adalah usaha bijak yang diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan produk tidak halal dari berleluasa dan digunakan oleh umat Islam.

    "Kini, terpulang kepada pengguna itu sendiri untuk memilih produk yang mereka gunakan daripada sumber apa," jelasnya.

    Bagaimanapun, Nadzim mencadangkan lebih kuasa perlu diberi kepada kementerian yang bertanggungjawab supaya tindakannya lebih efektif dan berkesan .

    Katanya, ini perlu kerana kementerian yang bertanggungjawab lebih mengetahui keperluan sebenar perihal yang berlaku di bawah bidang kuasanya.

    "Setiap kementerian mempunyai bidang kuasa tersendiri. Oleh itu, jika kuasa penuh diberi kepada menteri yang dipertanggungjawabkan, maka ia boleh meneliti segala perkara daripada akar umbi, lebih-lebih lagi apabila berlaku sebarang isu," katanya.

    Satu logo halal hapus keraguan

    Posted: 15 Jan 2012 08:11 PM PST


    Daging lembu import juga tertakluk kepada penggunaan logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim.


    FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekelian manusia! makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

    Pelbagai bentuk logo halal yang terdapat di negara ini bukan sahaja mengelirukan tetapi turut mengundang keraguan tentang status yang mana diiktiraf halal dan mana pula sebaliknya.

    Namun, mulai Januari 2012 semuanya telah diselaraskan. Hanya satu logo halal diperakui untuk kegunaan di seluruh negara. Satu pihak sahaja yang bertanggungjawab mengeluarkan logo halal itu, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    Pada masa yang sama, Majlis Agama Islam Negeri juga boleh mengeluarkan sijil dan logo halal melalui Jakim.

    Ini adalah antara kejayaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diluluskan oleh Parlimen. Ia diharap memberi transformasi terhadap sektor industri halal negara. Sekali gus mengurangkan kebimbangan umat Islam mendapat produk yang halal.

    Akta itu memberi kekuatan baru kepada Jakim kerana ia memberi kuasa penuh kepada badan penguatkuasa agama tertinggi itu menguatkuasakan penggunaan dan mengeluarkan logo halal.

    Ia juga membolehkan Jakim memantau dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu, syarikat swasta atau syarikat luar yang memalsukan pengeluaran sijil dan logo halal.

    Tentunya, langkah tersebut melegakan umat Islam. Sebabnya, barang halal menguntungkan semua pihak kerana pasarannya sangat luas sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam.

    Isu halal tidak pernah selesai daripada menjadi topik perbualan orang ramai terutama pengguna Islam sejak dahulu lagi. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal makanan.

    Selain dimurkai Allah SWT, makanan haram yang dimakan akan menjadi darah daging dalam tubuh manusia. Ia mempengaruhi keperibadian seseorang muslim serta membawa pelbagai kesan negatif lain.

    Namun, apa yang dikhuatiri adalah terdapat premis perniagaan dan syarikat pengusaha makanan yang cuba mengaburi mata pengguna Islam.

    Mereka menggunakan logo halal palsu untuk menarik perhatian orang Islam tanpa kita sedari.

    Ada juga yang menggantung atau mempamerkan ayat-ayat al-Quran dengan berlatarbelakang Islam pada produk mereka untuk mengabui mata penguna Islam yang merupakan penganut agama majoriti di negara ini.

    Hal sama turut dilakukan oleh sesetengah premis perniagaan yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan pengiktirafan status halal dengan mendapatkan logo halal daripada pihak atau badan yang tidak berkelayakan.

    Keadaan itu bukan sahaja memudaratkan umat Islam, malah memberi kesan buruk kepada masa depan negara sekiranya dipimpin oleh generasi muda yang membesar daripada makanan yang haram.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penguatkuasaan itu bukan bertujuan membebankan pembekal produk tetapi mampu meningkatkan kredibiliti produk yang dibekalkan.

    Katanya, penyelarasan logo halal secara tidak langsung dapat menambah kebolehpasaran produk pembekal yang telah mendapat kelulusan halal Jakim kerana ia dijamin status halalnya.

    "Pengguna Islam tidak perlu ragu-ragu lagi memilih sesuatu produk tersebut setelah dilabelkan dengan logo halal Jakim," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kesedaran Halal APD 2011 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha; Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin.

    Kempen yang bermula Khamis lalu memfokuskan masjid seluruh negara menerusi program seminar, khutbah solat Jumaat dan iklan.

    Kata Jamil Khir, penguatkuasaan itu bukan bermotifkan perniagaan atau keuntungan tetapi bagi memastikan produk syarikat yang mempunyai kelulusan halal benar-benar terjamin kualiti dan status halalnya.

    "Kita bukan mahukan kelulusan sijil halal yang banyak. Tetapi apa yang dititikberatkan adalah kualiti pembekal produk yang terjamin halal.

    "Jakim menggunakan kemudahan penyelidikan saintifik yang terbaik dan lengkap dalam memastikan produk tersebut benar-benar memenuhi tuntutan halal," jelasnya.

    Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik 62 pegawai Jakim yang telah dilatih untuk menguatkuasa dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

    Operasi pemantauan diadakan pada setiap hari bermula tarikh penguatkuasaan akta APD 2011 dan jumlah penguatkuasa akan ditingkatkan dari masa ke masa mengikut keperluan.

    Pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya tidak melebihi RM10 juta.

    Individu pula boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Jika melakukan kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

    Nikmati udang galah segar

    Posted: 15 Jan 2012 08:10 PM PST


    SALLEH Abdullah menunjukkan udang galah yang baru ditangguk dari kolam gentian kaca untuk dimasak mengikut cita rasa pelanggan.


    Pilihlah sendiri udang galah segar yang anda ingin dimasak dan menghiasi hidangan mi yang dipesan di warung milik Salleh Abdullah, 62, atau lebih dikenali dengan panggilan Pok Jak.

    Sajian di depan mata yang kelihatan ringkas ternyata cukup memecah liur para pengunjung di warung yang dinamakan Kedai Makan Mee Udang Galah Pok Jak di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

    Udang galah yang masih hidup boleh dipilih sendiri oleh pelanggan dan ditangguk dari kolam gentian kaca sebelum dibawa ke dapur untuk dimasak.

    Hanya menyajikan yang segar dan berkualiti kepada pengunjung, ia sememangnya dapat memenuhi selera penggemar udang galah yang sukar diperoleh di pasaran.

    Menurut Salleh, sejak beroperasi pada Januari 2010, warungnya mulai menjadi sebutan setelah masakan berasaskan udang galah diperkenalkan empat bulan selepas itu.

    Dengan dibantu isterinya, Fatimah Hussin, 40, sebagai tukang masak, mereka hanya menyediakan mi kari, mi rebus dan mi goreng serta masakan panas berasaskan udang galah.

    Ini membuatkan warung kecil yang memuatkan 40 tempat duduk itu sering menjadi tumpuan pengunjung dari jauh dan dekat.

    "Kami menyediakan hidangan berasaskan udang galah yang kebanyakannya dibeli daripada pemancing, hasil tangkapan dari Sungai Nerus dan Sungai Terengganu," katanya kepada S2.

    Memandangkan udang galah menjadi menu utama di warungnya, dia sentiasa memastikan udang yang diperoleh daripada hampir 30 orang kaki pancing sekitarnya segar.

    Bekas pemandu kontrak jabatan kerajaan dan bapa kepada 10 orang anak itu berkata, pelanggan boleh memilih udang mengikut saiz sama ada kecil, sederhana dan besar.

    ''Sudah pasti harga yang ditawarkan juga mengikut harga pasaran semasa. Harga udang galah hari ini adalah RM60 sekilogram.

    ''Pelanggan terlebih dahulu memilih udang mengikut saiz dan bilangan yang mereka inginkan sebelum ditimbang dan ditentukan harga sebelum dimasak.

    "Ada hidangan mencecah harga RM35 semangkuk dan ada serendah RM10. Biasanya pelanggan tidak mempersoalkan harga kerana berpuas hati dapat menikmati udang yang besar dan segar," katanya.

    Dibuka setiap hari kecuali Jumaat, Kedai Makan Mee Udang Galah Pok Jak beroperasi dari pukul 3 petang hingga lewat tengah malam amat menitikberatkan kepuasan pelanggan.

    Sebab itulah kata Salleh, warung yang terletak di tepi Masjid Tanjung Sabtu itu turut disinggahi orang kenamaan termasuk para pemimpin negeri.

    "Ramai pelanggan datang ambil peluang untuk bergambar sebelum menjamu selera. Saya diberitahu pelanggan bahawa mereka dapat tahu mengenai warung ini melalui blog dan laman sosial seperti Facebook," jelasnya.

    Katanya, dengan sambutan yang semakin menggalakkan, masalah putus bekalan tidak boleh dielakkan.

    "Memandangkan udang galah ini diperoleh dari sungai berdekatan, maka musim tengkujuh dan banjir menyebabkan bekalan terputus dan pernah satu ketika berlaku sehingga dua minggu.

    "Pada musim tengkujuh sebegini, kebanyakan pelanggan menelefon terlebih dahulu sebelum datang kerana mereka hanya mahu menikmati udang galah segar. Selepas musim tengkujuh tiada masalah," ujarnya.

    Warisi kebolehan turun-temurun

    Posted: 15 Jan 2012 08:09 PM PST


    Ahmad Zuraimi Abdul Rahim bersama salah sebuah karya seninya yang dipamerkan di Galeri Chandan, Bukit Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


    Walaupun ada yang kehairanan melihat peralatan seperti pemutar skru, penukul dan gergaji dijadikan medium menghasilkan karya seni, namun susun atur karya-karya tersebut nyata unik untuk diperhatikan.

    Bagi Ahmad Zuraimi Abdul Rahim, karya-karya bersifat autobiografi yang dihasilkan itu merekodkan kebolehan beliau yang diwarisi daripada bapanya.

    Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Amy berkata, idea penghasilan kerja seninya itu dihasilkan dari objek peralatan yang biasa digunakan oleh tukang rumah.

    Istimewanya, setiap objek tersebut seolah-olah diberi nafas baru dalam melahirkan sebuah karya artistik berdasarkan kebolehan turun-temurun.

    Dalam karya beliau, Amy menggambarkan pantulan berdasarkan pengalaman arwah bapanya yang bekerja sebagai seorang tukang rumah terkenal di Lenggong, Perak.

    Seperti bapanya, Amy yang turut mewarisi kebolehan bertukang, menghidupkan kembali nostalgia lama untuk dikongsi bersama peminat seni.

    "Kerja seni berdasarkan pengalaman biasanya terikat dengan objek tertentu dan saya inginkan kelainan dengan menghasilkan sebuah pameran yang memerlukan penafsiran ramai.

    "Proses kerja penghasilan karya ini agak sukar terutama dari segi pemilihan bahan dan proses menerokai kaedah memproses bentuk (processing form)," katanya.

    Menurutnya, karya ini juga umpama menceritakan kisah-kisah kehidupannya pada zaman kanak-kanak.

    "Setiap daripada karya ini menceritakan kisah mengenai sebuah ikatan seorang bapa dengan anak lelakinya.

    "Ibarat kisah kehidupan saya. Dalam karya ini juga, saya berkongsi kemahiran bapa saya menggunakan setiap peralatan tersebut.

    "Selain itu, saya turut menyentuh tentang kesusahan keluarga dan pengorbanan dalam menghasilkan karya tersebut serta dalam masa yang sama, ia membawa saya kembali untuk mengingati pengalaman yang dikongsi bersama arwah bapa saya," jelasnya.

    Hidangan Naga Air Tahun Baru Cina

    Posted: 15 Jan 2012 08:08 PM PST


    Yee Sang digubah seperti seekor naga sempena sambutan Tahun Naga Air pada tahun ini.


    Dari sudut pandangan Feng Shui, tahun 2012 yang merupakan tahun Naga Air membawa banyak kebaikan dan rezeki kepada manusia.

    Seperti yang diketahui ramai, air merupakan sumber paling penting buat manusia, malah dua pertiga isi kandungan bumi juga merupakan air, manakala 95 peratus kandungan badan manusia terdiri daripada air.

    Dalam teori unsur Cina, air menghasilkan kayu, yang menandakan pertumbuhan dan naga mewakili elemen semula jadi.

    Kebiasaannya apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina, pelbagai hidangan istimewa disajikan bagi menyambut kedatangan perayaan tersebut.

    Antaranya hidangan 'Yee Sang' yang dijadikan simbolik keagungan dan kehebatan sesebuah institusi kekeluargaan.

    Diiringi oleh tahun naga bertuah, Restoran Masakan Cina Toh Yuen yang terletak di Hotel Hilton Petaling Jaya menyediakan pelbagai jenis Yee Sang bermula dari 9 Januari hingga 6 Februari 2012.

    Namun Yee Sang ukiran naga yang merupakan antara masakan utama, Ketua Chef Masakan Cina, Chef Lee Kok Siong pastinya memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina bersama keluarga.

    Chef Lee berkata, Tahun Baru Cina juga dikenali sebagai Tahun Baru Lunar menandakan permulaan musim bunga.

    "Individu berbangsa Cina di seluruh dunia akan pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

    "Sebab itu, masyarakat Cina pastinya turut menghidangkan pelbagai hidangan enak untuk dinikmati bersama keluarga kerana ia merupakan lambang tuah, kesihatan dan kemakmuran," jelasnya.

    Beliau berkata, antara sajian paling istimewa adalah hidangan Yee Sang yang dinikmati pada hari perayaan tersebut.

    "Hidangan Yee Sang sangat terkenal di Malaysia dan Singapura. Yee Sang terdiri daripada pelbagai bahan perasa yang pastinya membawa tuah kepada mereka yang menikmatinya.

    "Antara bahan tersebut ialah keropok yang mewakili kebahagiaan, kacang tanah dan bijan melambangkan tuah, minyak mewakili kekayaan dan limau bali membawa nasib yang baik.

    "Selain itu, hidangan ini juga disajikan bersama pilihan sashimi (makanan laut segar) yang melambangkan usia yang panjang," katanya.

    Menurutnya, ritual atau cara-cara untuk menikmati hidangan ini bersama keluarga atau rakan-taulan amat mudah.

    "Untuk menikmati hidangan ini amat mudah kerana setiap individu perlu menggaul hidangan tersebut dengan penyepit.

    "Orang Cina percaya jika mereka menggaul hidangan tersebut lebih tinggi maka pada tahun akan datang nasib mereka akan lebih baik," ujarnya.

    Tambah Chef Lee, selain Yee Sang Naga bersama abalon dan salmon, pengunjung juga boleh menikmati empat pilihan Yee Sang unik dan menyelerakan yang boleh didapati dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.

    Lebih 100 menu sehari

    Posted: 15 Jan 2012 08:07 PM PST


    PELBAGAI pilihan sambal dan ulam dihidangkan di Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam.


    TAHUN 2012 baru saja bermula dan ibu bapa yang paling sibuk dalam merancang masa menghantar serta mengambil anak-anak yang bersekolah.

    Bagi mereka yang kesuntukan masa terutama dalam menyediakan hidangan tengah hari, restoran yang menghidangkan pelbagai jenis lauk-pauk menjadi pilihan dan Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam pasti tidak akan menghampakan anda.

    Menyajikan lebih 100 jenis lauk dan menu ala-carte lain, restoran yang terletak di Bandar Baru Selayang, Selangor ini menjadi antara pilihan bagi mereka yang mencari pelbagai jenis lauk menyerupai masakan di rumah untuk santapan keluarga.

    Daripada gulai kawah, otak lembu masak lemak, sotong masala, keli goreng cili hingga ke ketam masak lemak cili api, Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam menyediakan pelbagai jenis menu istimewa yang kebanyakannya merupakan masakan ala kampung.

    Menurut pemilik restoran yang berhadapan dengan Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Ruslin Ibrahim, restorannya sentiasa menyediakan pelbagai pilihan lauk-pauk daripada masakan ala kampung, Indonesia, India, Cina malah masakan cara Thailand.

    "Pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dan ada lauk yang kami sediakan sukar didapati di restoran-restoran lain sebagai contoh peria goreng dan otak lembu masak lemak.

    "Selain lauk pauk, kami turut menyajikan pelbagai hidangan lain seperti nasi lemak, lontong, roti canai, kuih-muih dan mi untuk sarapan pagi dan banyak lagi.

    "Hidangan panas seperti masakan Thailand pula boleh dinikmati pada waktu malam dan kami turut menyediakan pelbagai pilihan stimbot dan nasi lemak

    "Mi rebus, mihun sup, rojak pasembor dan nasi beriyani pula merupakan hidangan istimewa restoran ini dan ia ada disediakan sepanjang restoran beroperasi," ujarnya yang selesa dipanggil Pak Tam.

    Terangnya lagi, dia menjaga kualiti makanan sebagai contoh restoran itu hanya menggunakan daging tempatan bagi memastikan kesegarannya dan tempoyak yang disediakan diambil dari Batu Gajah, Perak bagi mengekalkan keasliannya.

    Dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 malam, restoran yang bermula dengan gerai kecil bawah pokok di bulatan Selayang Baru pada 1994 kini memiliki 10 cawangan antaranya di kawasan rawat dan rehat (R&R) Ayer Keroh, Ulu Bernam dan Tapah, Hospital Seremban, Hospital Putrajaya dan Hospital Besar Kuala Lumpur.

    Restoran Tuuu.. Dia Pak Tam yang ada menyediakan perkhidmatan katering itu turut berada di Bangunan Nusantara dan Bangunan Ambank di Jalan Raja Chulan serta Bangunan MARA di Jalan Raja Laut.

    Gubahan unik Q Jelly

    Posted: 15 Jan 2012 08:06 PM PST


    Selain enak sebagai pencuci mulut jeli juga nampak cantik digubah mengikut acuan.


    MENCARI sesuatu yang lain untuk menggantikan kek di majlis istimewa? Mengapa tidak menggantikannya dengan jeli atau agar-agar yang juga boleh digubah cantik setanding kek.

    Sifatnya yang lembut, licin dan boleh dibentuk mengikut apa juga bentuk membuatkan kerja-kerja mengubah jeli jadi lebih kreatif.

    Ini dapat disaksikan apabila sesekali menjejakkan kaki di Q Jelly Bakery Shop yang terletak di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

    Diasaskan oleh seorang surirumah, menariknya tentang jeli atau agar-agar ini ialah ia diperbuat daripada rumpai laut hijau yang diimport dari Jepun dan mendapat pengiktirafan halal oleh Jakim.

    Menurut pengurus cawangannya, Michelle Yong, Q Jelly kini mendapat sambutan ramai pembeli yang mahukannya untuk dijadikan hantaran perkahwinan, hadiah dan sambutan hari lahir menggantikan kek.

    Malah Q Jelly juga memiliki lesen yang sah untuk menghasilkan jeli mengikut karakter kartun Disney seperti Mickey, Winnie The Pooh, Thomas & Friends, Doraemon, Barney, Ben 10 dan banyak lagi.

    "Ramai penggemar kek yang mula memilih jeli ini kerana kandungan gula yang lebih rendah berbanding kek.

    "Jeli ini juga mengandungi khasiat kerana ia diperbuat daripada rumpai laut hijau dan bahan segar lain. Lebih utama, penggunaan warna telah disahkan selamat untuk dimakan oleh The Food and Drug Administration (FDA) dari Amerika Syarikat," ujarnya.

    Michelle berkata, terdapat empat perasa utama jeli yang dihasilkan seperti pandan, tiramisu, buah-buahan manis dan masam mengikut cita rasa pelanggan.

    Kesemuanya dihasilkan dari kilang mereka yang terletak di Bandar Puteri Puchong dan dibawa ke outlet ini segar setiap hari.

    "Kenapa Q Jelly menjadi pilihan ialah kerana bentuk yang dihasilkan memang comel dan kreatif. Ia juga merupakan satu jenis pencuci mulut yang sedap, ringkas dan juga berkhasiat," ujar Michelle lagi.

    Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Q Jelly boleh layari laman web www.qjelly.com.

    Darth Vader kegilaan Aziz M.Osman

    Posted: 15 Jan 2012 08:05 PM PST


    AZIZ bergaya dengan pedang `lightsaber' miliknya.


    KALI pertama menonton filem pertama Star Wars pada 1977, pengarah filem tersohor ini merasakan ada persamaan antara dia dan watak dalam filem sains fiksyen itu.

    Uniknya, bukan watak adiwira yang dapat dikaitkan dengan dirinya, tetapi watak hitam yang memberikan kegerunan kepada penonton iaitu Darth Vader.

    Sejak itu, Aziz M. Osman yang terpesona dengan watak tersebut mula menjejaki apa saja barangan yang berkaitan untuk dijadikan koleksi peribadinya.

    "Koleksi saya kebanyakannya tertumpu kepada golongan Sith iaitu kumpulan orang jahat dalam filem Star Wars yang menjadi musuh kepada golongan Jedi.

    "Saya paling gemar watak Darth Vader kerana di sebalik baju hitamnya yang gah dengan aura menggerunkan penuh misteri, watak itu sebenarnya mempunyai pelbagai konflik yang tidak disangka-sangka.

    "Sama seperti saya. Orang ramai mungkin kenal luaran Aziz M. Osman, tetapi mereka tidak tahu bagaimana diri saya yang sebenar," katanya ketika ditemui di pejabatnya, Ace Motion Pictures yang menyimpan separuh daripada koleksi Star Wars miliknya.

    Bermula dengan barangan biasa, dia pertama kali memiliki koleksi istimewa pengumpul barangan Star Wars sekitar hujung 1980-an iaitu sebuah patung Jabba The Hut yang hanya dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja.

    Sejak itu jelasnya, dia seakan-akan ketagih dengan barangan Star Wars daripada figura aksi, topeng, patung, pedang lightsaber, pakaian, kasut, buku malah poster sekalipun. Koleksinya kini berjumlah beratus-ratus.

    Setiap kali bertugas di luar negara, Aziz yang sering mendapat hadiah barangan Star Wars ketika hari jadinya daripada keluarga dan rakan-rakan pasti akan mencari apa sahaja barangan berkaitan filem kegilaannya itu.

    "Antara koleksi paling berharga sebuah pedang lightsaber yang menjadi prop sebenar filem Star Wars.

    "Saya mendapatkannya daripada seorang peminat Star Wars di Singapura. Saya tidak pasti bagaimana dia memperoleh pedang itu tetapi ia memang tulen," katanya yang mengidam untuk memiliki patung Darth Vader saiz sebenar bernilai RM20,000.

    Keterujaannya bertambah apabila Aziz mengetahui dia tidak berseorangan setelah bertemu dengan penggila-penggila Star Wars yang lain menerusi Star Wars Malaysia Fan Club.

    Menurutnya, kelab yang baru disertainya tahun lalu itu sering mengadakan pelbagai aktiviti seperti menganjurkan tayangan semula filem Star Wars: The Phantom Menace dalam bentuk 3D pada Februari ini.

    Emak pilih kasih

    Posted: 15 Jan 2012 08:02 PM PST

    SAYA ingin menarik perhatian pembaca tentang masalah pembahagian harta pusaka yang banyak berlaku dalam kalangan orang kita.

    ''Biasa kita dengar masalah harta pusaka boleh membuat adik beradik bergaduh, saudara mara tak bertegur sapa, malah ada anak merajuk hati atau lebih teruk lagi berparang kerananya,'' cerita Rosameera dalam surat yang dihantar kepada penulis setelah kami berbicara di telefon.

    Pepatah orang tua menyebut 'Kasih ibu membawa ke syurga' tetapi malangnya ada ibu yang bersikap berat sebelah dengan melebihkan anak tertentu sehingga anak lain kecewa, patah hati dan akhirnya membawa diri.

    ''Bila si anak tak balik kampung, dia dituduh durhaka tetapi pernahkah si ibu tadi berfikir mengapa anaknya bersikap sedemikian. Memang sukar memuaskan hati setiap anak tetapi tidak salah kalau si ibu bertanya khabar atau merisik mengapa si anak berubah hati?

    ''Inilah yang terjadi kepada ayah saya dan adik lelakinya, saya yang telah dewasa ini dapat merasakan nenek lebih menyangi anak-anak perempuannya berbanding anak-anak lelaki. Alasan nenek kerana anak lelaki boleh mencari rezeki sendiri tambahan pula isteri mereka bekerja. Padahal suami anak-anak perempuan pun bekerja," katanya.

    Menurut Rosmeera, segalanya bermula kira-kira 20 tahun lalu, selepas datuknya meninggal dunia. Walaupun datuk mewasiatkan kepada nenek agar memberi harta miliknya kepada anak-anak mengikut budi bicara, sayangnya nenek memberikan hak secara bebas kepada anak-anak perempuan sahaja. Sementara hak atau harta dua orang anak lelaki masih di bawah jagaan nenek.

    "Nenek tak mahu lepaskan, sebaliknya mahu mengusahakan sendiri. Kini nenek berusia 80 tahun bermakna sudah 20 tahun nenek makan hasil kebun getah yang diwariskan kepada ayah saya dan adiknya. Kata nenek dia nak makan hasil kebun sehingga dia meninggal dunia. Nenek upah orang menoreh dan hasilnya nenek ambil dan jual.

    ''Mungkin dulu semasa ayah masih sihat dan bekerja, ayah tak ambil kisah kerana untuk emaknya juga, tetapi kini ayah sudah berhenti kerja, hospital dan IJN jadi rumah keduanya dan perlu berbelanja banyak untuk rawatan. Ayah perlukan bantuan daripada sumber yang ayah tahu ada, tetapi nenek tak mahu beri. Kata nenek dia hendak makan hingga akhir hayatnya.

    hutang

    ''Untuk mencukupkan belanja, kami dua beradik yang baru setahun dua bekerja terpaksa membantu ayah semampu kami. Pendapatan kami tak banyak di samping perlu menjelaskan hutang pembelajaran dan sebagainya.

    ''Sebenarnya arwah datuk bukan sahaja ada kebun getah malah banyak kebun lain, dusun dan sebagainya, yang diberikan kepada anak-anaknya dan nenek.

    ''Masalahnya sekarang ayah tak sihat, sementara adik ayah lebih teruk. Dia bukan orang senang, terpaksa berhutang untuk membiayai perbelanjaan sekolah anak-anaknya kerana tidak ada pekerjaan tetap. Memang isterinya bekerja tetapi pendapatannya tak sebesar mana.

    ''Apa yang menyedihkan kami adik-beradik, nenek ada hobi bersedekah dan setiap bulan buat kenduri di masjid.

    ''Pada pandangan saya, kalau nenek hendak lebih berkat, bantulah atau bersedekahlah kepada keluarga sendiri dahulu, kepada cucu dan anak-anak yang susah. Itu lebih baik dan afdal seperti dituntut oleh agama kita.

    ''Nenek cuba kawal harta anak lelaki sedangkan anak perempuan nenek berikan secara bebas. Sedihnya salah seorang anak perempuan nenek telah menjual tanah pusaka yang diperolehinya.

    ''Baru-baru ini lebih dua minggu ayah terlantar di hospital, nenek datang melawat dan menangis sedih lihat anaknya sakit. Malangnya tangisan nenek hanya sementara, ketika lihat wajah ayah sahaja. Setelah balik hingga kini nenek masih tak pedulikan ayah apa lagi mahu memberi bantuan.

    ''Apa yang menghairankan kami adik-beradik, tak terfikirkah oleh nenek selama 20 tahun nenek telah makan hasil harta pusaka ayah? Tidakkah nenek rasa sedikit bersalah?

    "Beberapa tahun lalu ayah pernah meminta izin nenek untuk mengusahakan tanah kebun getah itu sendiri, tetapi nenek buat tak dengar.

    ''Kadang-kala saya bersyukur nenek telah tua, dah 80 tahun, kalau nenek muda berusia 50an dan ditakdirkan berkahwin lagi, mungkin nenek tukar nama harta tersebut kepada suami barunya .

    ''Saya pernah bertanya kepada seorang ustaz tentang masalah harta pusaka ayah saya dan dia memberitahu ibu tidak boleh mengambil atau makan hasil harta pusaka tanpa izin anaknya yang berhak.

    ''Kepada orang kampung yang tahu hukum-hakam, tolonglah nasihatkan nenek jangan hanya leka dan seronok makan kenduri setiap bulan.'' Demikian kata Rosmeera menutup sikap pilih kasih neneknya dalam pembahagian harta pusaka.

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

    Copyright 2010 All Rights Reserved