ads

Jumaat, 13 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pantai Timur diserang Hot FM

Posted: 13 Jan 2012 05:59 PM PST


PENYAMPAI radio Hotfm mendapat sokongan yang memberangsangkan dari pendengar di Kelantan dan Terengganu.


KINI stesen radio swasta di bawah rangkaian radio Media Prima, Hot FM, bukan sahaja boleh didengar di kawasan Pantai Barat, malah mereka telah pun bersiaran di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan (105.1) dan Terengganu (105.0) bermula 2 Januari lepas.

Bagi mendekati para pendengar dan peminat stesen radio Hot FM, baru-baru ini, mereka telah mengadakan siri jelajah ke dua negeri itu dengan mengadakan aktiviti menarik sepanjang yang membabitkan penyampai radio dan pendengar mereka.

Diberi nama Yeah Yeah Tour Hot FM T'ganu dan Yeah Yeah Tour Kelate kehadiran mereka telah disambut meriah oleh para peminat yang selama ini menyokong dan meminati stesen radio tersebut. Buktinya, ramai peminat telah membanjiri lokasi Yeah Yeah Tour yang dijalankan di Mydin Mall, Kelantan dan Tesco, Terengganu bagi menyaksikan telatah penyampai-penyampai radio Hot FM seperti Fara Fauzana, AG, FBI, Leya dan ramai lagi serta penyampai baharu Hot FM pada 6 dan 7 Januari lalu.

Antara acara menarik yang diadakan di dua lokasi tersebut ialah kayuhan Fixie Bike sejauh 12 kilometer bersama penyampai dan peminat serta persembahan daripada artis-artis tempatan seperti Rahmat Mega, Adam & The Vip serta Black.

Apa yang menariknya, penyampai radio baharu Hot FM ini bukanlah daripada kalangan selebriti, namun ia dipilih dari kalangan masyarakat Pantai Timur sendiri yang mempunyai bakat serta boleh berdialek dalam 'bahasa kampung' mereka.

Namun, bagi stesen radio baharu, Hot FM perlu bersaing dengan stesen yang telah sedia ada di kedua negeri tersebut bagi memancing pendengar.


MARI KAYUH! Mungkin itu yang dilaungkan penyampai radio Hot FM kepada pendengar yang turut serta berbasikal dengan mereka sejauh 12 kilometer di Kelantan.


"Bagi saya, persaingan terdapat di mana-mana, biar di Pantai Barat mahupun Pantai Timur. Namun, jika kami mahu lakukan di sini, perlu lebih usaha kerana jika sudah masuk di pasaran tempatan, perlu betul-betul dekat di hati pendengar dan masyarakat.

"Pendekatan kami di sini ialah aktiviti komuniti dan kerana itu kita wujudkan satu jawatan baharu iaitu Eksekutif Komuniti. Ini kerana kami mahu pastikan kami sangat dekat dengan pendengar. Dan jika mahu cakap tentang bersaing, ini adalah suatu persaingan yang sihat dan bagus. Mungkin selepas ini, orang ramai akan lebih menghargai industri radio," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul tentang frekuensi baharu ini.

Tambahnya lagi, oleh sebab itu juga, penyampai yang dipilih adalah daripada kalangan mereka yang memang orang biasa yang dekat dengan masyarakat. Ini kerana supaya mereka lebih releven dengan masyarakat setempat.

Bagi penyampai pula, mereka akan menggunakan bahasa yang kebanyakan masyarakat akan bercakap apabila melepak atau lebih kepada bahasa santai dan bukannya terlalu pekat. Jadi, apabila masyarakat berubah, strategi dan aktiviti Hot FM juga akan berubah mengikut majoriti komuniti di Kelantan dan Terengganu.

Bercakap mengenai pengisian di Kelantan dan Terengganu, ujar Seelan jika diperhatikan dengan lebih dalam, muzik yang didengar oleh masyarakat Kelatan dan Terengganu adalah berbeza.


BERGABUNG. Dari kiri berdiri: Faizal Ismail, Fizie, Renny, Chad, Suraya, Shaz, Fara Fauzana. Duduk dari kiri: Farid, Deen, AG dan Ikhwan.


"Memang warga Kelantan dan Terengganu mempunyai minat muzik yang berbeza. Jadi pengisian muzik kedua negeri ini adalah berbeza. Kami selalu akan berbalik kepada kajian dan bukannya apa yang kami sendiri mahu. Dan kami akan pastikan kajian adalah asas bagi kami dalam membuat keputusan," ujar Seelan yang juga mengatakan kajian akan dijalankan dalam tempoh 6 bulan sekali kerana ingin mengikut selera masyarakat.

Lapan orang penyampai radio telah dipilih melalui ujibakat yang telah diadakan oleh pihak Hot FM tahun lepas.

Penyampai radio di Terengganu ialah Mohd Rafly Rahamat (Rafly), Ahmad Zulhilmie Zainal (Zul), Mohd Hermansani Aminudin (Bell), Muhammad Azri Ismail (Azri) dan Nurul Ain Omar (Ain).

Di Kelantan pula, Shazwani Mohamad Shakeri (Shaz), Syed Mohd Farid Mohd Noor (Farid), Mohamad Hafizie Roslan (Fizie), Wan Zuraini Wan Hasan (Rennie) serta Mohd Izzul Nazmi Mazri (Izzul).

Selain Hot FM, pendengar di Kelantan terlebih dahulu dapat mendengar saluran radio Manis FM, Kelantan FM dan THR Gegar edisi Pantai Timur. Di Terengganu pula Manis FM, Terengganu FM dan THR Gegar Edisi Pantai Timur.

Keunggulan Awie, Ella

Posted: 13 Jan 2012 05:32 PM PST



MEREKA tidak pernah disatukan dalam sebuah persembahan bersama. Tidak pernah, walau ironi Ella dan Awie pernah 'disandingkan' di dalam filem Bayangan Maut pada tahun 1990. Sejak itu, mereka telah bersahabat, namun tidak pernah berjodoh untuk betul-betul berkongsi pentas bersama.

Namun pada malam 12 Januari 2012, ia menjadi satu tanggal bermakna buat Ratu Rock dan Raja Rock negara ini apabila dapat 'bersanding' di dalam sebuah konsert khusus mereka - Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia yang membuka tirai di Istana Budaya pada tarikh keramat itu dan ia bakal berlangsung sehingga 15 Januari ini.

Banyak hal yang menarik mengenai konsert perdana mereka berdua. Ella dan Awie sahaja sudah menjadi faktor utama konsert ini wajib ditonton. Pemilihan lagu yang begitu memicu adrenalin juga menjadi faktor untuk semua peminat mereka berasa bersalah untuk tidak memenuhkan isi Lambang Sari, Istana Budaya. Dan lagi, apabila muzik malar segar mereka dikemas semula susunannya oleh Pengarah Muzik Edrie Hashim, ia membangkit gelora nostalgia yang membuak rasa.

Di atas pentas, dua figura dengan latar karakter berbeza sedang mempamer kredibiliti mereka. Hadir dalam persalinan hitam, Awie dan Ella memukau khalayak dengan vokal mantap dan persembahan yang tidak dibuat sambil lewa. Walau sudah melewati usia 40-an, baik Awie mahupun Ella mempunyai energi luar biasa.

Ella menggeletek hati khalayak dengan telatah manja dan bersahajanya. Begitu juga Awie yang mengikut rentak Ella dan melayan 'kemanjaan' Ella dalam selang-seli persembahan mereka. Namun apabila masing-masing mula melontar vokal, bagai ada satu magis yang membuat seluruh isi dewan terkesima.


REKA bentuk pentas, pencahayaan dan permainan muzik menjadi antara penyumbang besar terhadap kejayaan Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia.


Memulakan tirai konsert dengan memilih berkolaborasi menerusi sedikit bait lagu Baldu Biru, itu sudah cukup mengujakan seluruh isi dewan. Tidak mencuri banyak masa, mereka kemudian membuat persembahan secara berganti dengan Ella mengubat dahaga peminatnya menerusi untaian lagu hit seperti Teruja, Ala Amerika dan Layar Impian. Awie juga tidak mahu kalah, maka tersusun cantik lagu-lagu hitnya seperti Tinggal Satu Peluru, 1570, Iris dan Tragedi Oktober.

Segmen terbaik

Bergabung semula, Ella dan Awie memilih Dua Insan untuk membuat seluruh isi dewan berteriak dan menyanyi sama. Mereka kemudian menyanyi lagu antara satu sama lain. Awie mendendangkan lagu hit Ella, Permata Biru, manakala Ella mendendangkan hit Bernafas Dalam Lumpur.

Beralih kepada segmen medley, ia adalah segmen terbaik yang telah disusun Edrie. Susunan lagu yang dibuat sentiasa memberi momentum dan klimaks yang membuat khalayak tidak sempat bernafas dengan pemilihan untaian 14 buah lagu hit Ella dan Awie.

Dilabelkan sebagai medley paling panjang di dunia, mereka seperti berbalas 'surat cinta' dengan lagu-lagu yang disusun cantik. Dimulakan dengan Dibayang Awan oleh Awie, ia disambut Ella dengan Cinta Selembut Sutera sebelum mereka memuntahkan hit seperti Tiada Rahsia Antara Kita, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Ukiran Jiwa, Tiada Tangis Lagi, Nostalgia Cinta, Pengemis Cinta, Ratuku, Bara dan Gemilang.


GABUNGAN pertama kali antara Awie dan Ella terjalin harmoni dengan kredibiliti mereka sebagai 'orang lama'.


Konsert kemudian ditutup dengan lagu Baldu Biru dan Terima Kasih yang menerima sorakan gemuruh daripada pencinta-pencinta mereka.

Bagi Awie yang ditemui semasa sidang akhbar usai persembahan selama dua jam mereka, kolaborasi bersama Ella adalah satu penghormatan buatnya. Mengaku merupakan peminat tegar Ella, biar tidak pernah satu pentas sebelum ini, namun mereka pantas beradaptasi bersama. Sementelah, Ella terlalu hebat dan 'manis' untuk dipersiakan.

Malah dia juga mengaku bahawa konsert tersebut mengimbau permulaan perjalanannya sebagai penyanyi solo pada tahun 1994. "Selain bersama Wings, saya juga mempunyai banyak lagu solo. Malam ini, saya telah dapat menyanyikan banyak lagu solo saya dengan susunan muzik yang baik dari Edrie," ujarnya.

Ella juga seiring rasa teruja kerana berkolaborasi dengan Awie, yang antara dakwaannya secara humor di atas pentas, pernah mengajak dia keluar dating menaiki motor besar penyanyi dan pelakon itu ke Bukit Belacan, Ampang, Selangor sewaktu awal perkenalan mereka.

Sukses

Secara kasar, Konsert Awie & Ella, Raja & Ratu Rock Malaysia telah berjalan dengan sukses. Ia juga boleh dilabelkan sebagai sebuah konsert pembuka tahun 2012 yang penuh integriti.


TARIK vokal. Aksi Awie sewaktu mendendangkan duet Baldu Biru.


Menyaksikan Ella dan Awie menyanyi, ia memberi sejuta rasa bangga terhadap bakat luar biasa yang dimiliki penyanyi tempatan.

Tanyalah kepada peminat mereka yang hadir pada malam tersebut, tidak seorang pun pulang hampa dengan persembahan yang dipertontonkan. Kedua-dua penyanyi kesayangan ramai ini telah memberi komitmen dan membuktikan orang lama seperti mereka memang mampu menawan khalayak dengan berbekalkan karisma dan untaian lagu indah yang dicipta buat mereka.

Biar lahir seribu penyanyi baharu, tidak akan ada yang dapat menandingi personaliti dan bakat seperti Ella dan Awie. Hanya ada seorang Ella - si ratu rock yang tampak manja dan nakal di pentas, namun mempunyai personaliti yang cukup pemalu. Hanya akan ada seorang sahaja Awie - si rockers yang tampak ganas dan kasar namun mempunyai sisi hati yang cukup baik di dalam.

Untuk Tall Order Productions, syarikat milik Hans Isaac yang berani mempertaruh konsert rock dengan pelaburan yang agak besar, syabas diucapkan kerana yakin dengan bakat tempatan. Untuk Istana Budaya pula, terima kasih kerana sentiasa membuka pintu buat apa juga kasta persembahan waima ia rock atau teater berprestij demi menyokong industri tempatan.

Cerai, Hattan tak mahu berlakon

Posted: 13 Jan 2012 05:31 PM PST


HATTAN begitu realistik dengan jalan kehidupannya. Dia tidak mahu menjadi manusia yang hipokrit.


PENYANYI Hattan dan isterinya, Farah Asyikin bercerai! Kali ini, ia adalah berita sahih. Bukan gosip kononnya dia bercerai talak tiga hanya selepas tiga minggu berkahwin yang pernah membuat dia menempelak media kerana mengucar-kacirkan keharmonian rumah tangga yang baru dibina.

Berbicara menerusi telefon bersama Hattan yang bercerai secara rasmi dengan Farah pada 12 Januari selepas genap dua bulan berkahwin di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli di Mahkamah Syariah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, penyanyi berusia 48 tahun itu memberitahu penceraian tersebut adalah persetujuan mereka bersama selepas berbincang secara matang. Dia juga mengaku menunaikan solat Ishtikarah sebanyak tiga kali sebelum menjatuhkan talak terhadap Farah.

Kosmo!: Apa cerita Hattan, gosip yang mengatakan anda bercerai beberapa bulan lalu kini akhirnya menjadi kenyataan. Boleh komen sedikit?

HATTAN: Ini soal jodoh. Memang benar kami sudah bercerai. Hal ini saya akui kerana ia benar-benar terjadi. Hal yang dahulu (gosip) memang buat saya marah sebab perkara itu (cerai) tidak terjadi. Menuduh kami bercerai talak tiga pula itu. Itu adalah satu fitnah besar, sebab itu saya marah. Yang ini (penceraian), baru terjadi semalam selepas saya dan Farah sebulat suara mengambil keputusan untuk berpisah. Kami juga tidak mahu mengatakan perkahwinan kami ini satu kesilapan kerana sebagai orang dewasa dan matang, kami sedar dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang kami lakukan.

Sebelum ini anda ada kata akan berusaha untuk menjalani kehidupan berumah tangga buat kali kedua dengan sebaik mungkin?

Betul, Saya pernah cakap saya tak kahwin main-main dan mahu kekal ke syurga. Saya juga pernah kata saya bukan lelaki zalim nak cerai sampai talak tiga. Saya bercerai dengan talak satu. Saya tahu penceraian adalah hal halal yang dikutuk Rasulullah, namun sebagai individu yang sudah pernah mempunyai pengalaman berkahwin sebelum ini, kami sepakat untuk berpisah kerana kami sedar perbezaan yang wujud antara kami agak sukar untuk disetarakan. Bukan kami tak berusaha, tapi ia memang sukar. Akhirnya kami memilih berpisah. Paling penting kami tak mahu pura-pura bahagia dan meneruskan perkahwinan kami hanya sebab takut dan malu dengan pandangan masyarakat. Kehidupan kami, kami yang lalu dan kami yang tanggung, jadi kami bertanggungjawab untuk kembali menjalani kehidupan solo.

Apa masalah antara anda dan Farah sebenarnya sampai perlu bercerai?

Masalah antara kami, biar kami simpan sahaja sebab kami sudah berjanji di mahkamah untuk tidak mengaibkan atau menuduh siapa yang benar dan siapa yang salah dalam pelayaran rumah tangga kami. Saya pun harap bila sudah sahih saya bercerai, tak perlulah semua orang nak korek cerita kenapa kami bercerai. Nak cari salah saya atau salah Farah. Apa yang penting saya bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang telah saya ambil.

Jadi sekarang bagaimana dengan hubungan anda berdua?

Hubungan kami masih baik. Kami bukan bergaduh yang menjadi punca penceraian. Kami menyelesaikan masalah ini secara matang dan rasional untuk masa hadapan masing-masing.

Takut dengan soal jodoh lagi?

Saya tak fikir pun. Dahulu sebelum bernikah semula, saya fikir ini jodoh dan kami pun bernikah serta mencuba yang terbaik untuk satu sama lain. Bila berpisah, saya pun tak rancang nak berpisah dan hidup duda semula. Tapi saya terima dengan reda.

Iran tuduh Mossad, CIA

Posted: 13 Jan 2012 05:29 PM PST

SEJUMLAH orang membawa keranda dan poster Mostafa Ahamadi Roshan semasa perarakan jenazah saintis Iran itu di Teheran semalam.


TEHERAN - Iran semalam menuduh Israel dan Amerika Syarikat (AS) membunuh seorang saintis nuklearnya dalam komplot untuk menghalang program nuklear negara berkenaan.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan pembunuhan saintis terbabit, Mostafa Ahmadi Roshan sebagai keji dan perbuatan pengecut.

Menurutnya, ia dilakukan dengan perancangan dan bantuan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan perkhidmatan risikan Israel, Mossad.

Mostafa yang juga timbalan pengarah loji pengayaan uranium utama Iran, dibunuh pada Rabu lepas apabila dua lelaki menaiki motosikal melekatkan bom magnet pada kereta yang dinaikinya semasa kenderaan tersebut terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sini.

Jenayah saintis berkenaan dikebumikan selepas solat Jumaat di sini.

Beberapa media mendesak supaya satu tindak balas dilakukan ke atas beberapa pegawai Israel.

Pemerintah Iran menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk pembunuhan tersebut.

Mahmoud temui Fidel Castro

Posted: 13 Jan 2012 05:28 PM PST


MAHMOUD AHMADINEJAD berdiri di sebelah Fidel Castro di Havana pada Rabu lalu.


HAVANA, Cuba - Dua seteru utama Amerika Syarikat, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan bekas pemimpin Cuba Fidel Castro berbincang tentang isu dunia selama dua jam dalam satu pertemuan di sini.

Pada pertemuan mereka, Mahmoud kelmarin menyifatkan bekas pemimpin Cuba yang berusia 85 tahun itu sebagai sihat.

Mahmoud turut mengisytiharkan Iran dan Cuba sebagai dua negara bersekutu yang berjuang di medan sama.

"Saya amat gembira melihat komandan Cuba (Castro) dalam keadaan sihat dan cergas," katanya.

Mahmoud yang dalam rangka lawatan ke empat buah negara Amerika Latin, singgah di Cuba Rabu lepas.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Ecuador sebelum pulang ke Iran.

Pejabat baharu Facebook

Posted: 13 Jan 2012 05:27 PM PST


BANGUNAN baharu Facebook di Taman Menlo, California yang dirakamkan pada Rabu lalu.


TAMAN MENLO, Amerika Syarikat (AS) - Ibu pejabat baharu laman sosial popular Facebook telah dibuka di Taman Menlo, California.

Ia terletak di kawasan seluas 23.06 hektar yang merupakan bekas ibu pejabat syarikat Sun Microsystem.

Hampir 2,000 pekerja Facebook bekerja di ruang seluas satu juta meter persegi itu.

Ruang dalam ibu pejabat Facebook itu kelihatan santai dan dipenuhi dengan cita rasa golongan muda seperti dinding yang diconteng dengan grafiti.

Pelbagai bendera pelbagai negara juga dipamerkan di dalam pejabat tersebut.

Para pekerja juga boleh memilih untuk bekerja secara berdiri atau duduk.

Sementara itu, di New Delhi, India Mahkamah Tinggi Delhi mengancam menyekat beberapa laman web termasuk Facebook dan Google melainkan pihak berkenaan mengambil langkah untuk membuang kandungan yang menyinggung perasaan dan tidak menyenangkan.

"Kamu perlu melakukan pengawasan ketat. Jika tidak, kami akan meluluskan arahan untuk menyekat semua laman web seperti di China," kata seorang hakim semasa satu perbicaraan bersama beberapa perwakilan undang-undang Facebook dan Google India di sini kelmarin.

Hakim Suresh Kait menyatakan: "Facebook dan Google perlu membina mekanisme untuk memeriksa dan membuang bahan yang boleh menyinggung perasaan dan tidak menyenangkan."

Pada bulan lalu, Menteri Komunikasi, Kapil Sibal berikrar untuk membasmi kandungan Internet yang disifatkan pemerintah sebagai "tidak boleh diterima".

Kandungan seperti itu, katanya, termasuk gambar bogel palsu pemimpin-pemimpin politik India dan imej agama yang dianggap sensitif.

Facebook diasaskan bersama oleh Mark Zuckerberg yang dilancarkan pada Februari 2004.

The Artist dipilih filem terbaik

Posted: 13 Jan 2012 05:26 PM PST


MICHEL HAZANAVICIUS (dua dari kiri) penerbit filem The Artist, Thomas Langmann (kiri), Jean Dujardin (dua dari kanan) dan Berenice Bejo (tiga dari kiri) bergambar meraikan kemenangan filem itu di Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Filem romantik Perancis arahan Michel Hazanavicius, The Artist dinobatkan filem terbaik pada Anugerah Pilihan Pengkritik yang berlangsung di sini kelmarin.

The Artist yang menampilkan teraju kurang ternama iaitu aktor Jean Dujardin dan aktres Berenice Bejo turut merangkul tiga lagi anugerah termasuk Pengarah Filem Terbaik.

Pelakon veteran Hollywood, George Clooney pula merangkul anugerah Aktor Terbaik manakala Aktres Terbaik pula dimenangi oleh Viola Davis masing-masing menerusi filem The Descendants dan The Help.

Dianjurkan Persatuan Penyiaran dan Pengkritik Filem Amerika (BFCA), anugerah tahunan itu bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian terbaik di layar perak.

Pelakon filem Beginners, Christopher Plummer memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala kategori wanita pula menjadi milik Octavia Spencer menerusi filem The Help.

Filem bajet besar Hollywood, Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2 pula gagal menyerlah pada apabila ia cuma merangkul dua anugerah iaitu Mekap Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.

Syahamah mengaji al-Quran setiap hari

Posted: 13 Jan 2012 05:17 PM PST



SYAHDU dan mententeramkan. Dua perasaan itu pasti terbit daripada lubuk jiwa sesiapa sahaja yang mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu.

Raut wajahnya cukup tenang, tiada sekelumit resah timbul tatkala melagukan ayat-ayat al-Quran yang dibacanya. Bagi mencapai tahap tersebut, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi perlu akur bahawa zaman kanak-kanaknya tidak pernah serupa dengan sahabat-sahabatnya yang lain.

Sejak berumur empat tahun, dia yang selesa dipanggil Syahamah diasuh mengenali huruf-huruf dalam kitab al-Quran. Pada usia enam tahun, Syahamah berjaya khatam al-Quran secara bertajwid.

Menguasai teknik berlagu pada umur lapan tahun, Syahamah tidak pernah rasa terpaksa sepanjang tempoh pembelajaran al-Quran yang kini telah meletakkannya sebagai qariah muda kebanggaan negara.

"Saya mengaji hari-hari dan pada waktu cuti sekolah, saya akan mengaji sebanyak dua atau tiga kali sehari. Bagi saya, mengaji al-Quran tidak susah jika kita benar-benar menjiwainya,'' kata Syahamah ketika ditemui baru-baru ini.

Syahamah juga tidak lokek berkongsi tip untuk menjadi qariah yang baik. Seseorang itu katanya, perlu tahan dengan cabaran dan perlu belajar bersungguh-sungguh. Pada peringkat awal belajar al-Quran, dia juga pernah menangis sebab dimarahi bapanya kerana tidak dapat membaca dengan betul. Bapanya merupakan seorang guru mengajinya.

Kebolehan Syahamah sebagai qariah terbit selepas dia berjaya menjadi johan untuk pertandingan tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu pada tahun 2007 dan 2008.

Detik itu menjadi permulaan buat anak kedua daripada empat beradik itu untuk terus menempa nama sehingga berjaya mendapat gelaran naib johan pada pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun 2010.

Kemuncak karisma Syahamah selaku qariah muda terlihat apabila beliau menjadi wakil tunggal negara ke Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar, pada Ogos tahun lalu.

Daripada 63 peserta di seluruh dunia, Syahamah terpilih dalam kelompok tiga terbaik bagi bersaing pada peringkat akhir. Pertandingan itu dianjurkan oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dengan kerjasama saluran kanak-kanak stesen televisyen, Al-Jazeera.

Walaupun memenangi tempat ketiga, Malaysia perlu berbangga kerana Syahamah menjadi satu-satunya peserta perempuan pada peringkat akhir tersebut.

Sebelum terbang ke Doha, Syahamah terlebih dahulu melancarkan bacaan al-Qurannya dengan bergurukan johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud di Kota Bharu, Kelantan.


ANAK kedua daripada empat beradik ini bercita-cita menjadi seorang doktor.


Dalam kesibukan masyarakat bercerita kejayaan Syahamah, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, Terengganu itu bercita-cita menjadi seorang doktor.

"Saya mahu membantu orang ramai sekiranya suatu hari nanti saya berjaya bergelar seorang doktor," ujarnya yang kelihatan sedikit malu saat ditemu ramah.

Walaupun Syahamah tidak seperti kanak-kanak lain yang memenuhi masa lapang mereka untuk bermain, beliau mempunyai alternatif tersendiri bagi menghiburkan dirinya.

"Membaca buku cerita dan berenang merupakan aktiviti kegemaran saya. Selain itu, jika ada kelapangan, saya suka melayari internet dan berhubung dengan rakan-rakan di laman sosial Facebook serta menonton video-video menarik di YouTube," jelasnya yang juga merupakan salah seorang peserta program Adik-Adikku yang akan disiarkan di TV1.

Tidak banyak kerenah dan mudah diuruskan, bapa Syahamah, Nurunnajmi Yaacob, 40, memberitahu, anaknya itu sangat mendengar kata dan mempunyai karakter yang sedikit berbeza berbanding anak-anaknya yang lain.

"Syahamah agak pendiam dan pemalu, tetapi dia bukan jenis pendiam tidak bertempat. Sekiranya dia ada sebarang masalah, dia akan berterus-terang cuma dia tidak petah bercakap.

"Biarpun pendiam, dia tidak segan mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato dan apabila berada di atas pentas, dia seperti menjadi orang lain," kata guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Seri Payung, Besut, Terengganu itu.

Dulu pendiam

Tambah Nurunnajmi, personaliti Syahamah yang dahulunya lebih suka berdiam diri kini berubah sedikit demi sedikit selepas penglibatannya dalam program Adik-Adikku anjuran RTM.

Dalam program tersebut, Syahamah banyak didedahkan dengan teknik-teknik berkomunikasi dengan betul dan mendedahkan dirinya untuk bergaul dengan orang ramai.

Ibu kepada Syahamah, Sauzan Ibrahim, 39, pula menyifatkan anaknya itu seorang yang sangat bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menguruskan diri.


KETUA UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) melawat Syahamah di kediaman keluarganya selepas pulang dari Qatar.


Menurut Sauzan, Syahamah tahu tugasnya sebagai pelajar. Walaupun letih selepas memenuhi jemputan tilawah, dia pastikan melunaskan kerja-kerja sekolahnya sebelum ke sekolah keesokan harinya.

Buktinya, jika Syahamah benar-benar letih dan tahu kerja sekolahnya masih belum disiapkan, dia akan berpesan kepada ibu dan bapanya supaya mengejutkannya pada pukul 3 atau 4 pagi untuk menyudahkan tugasannya.

"Begitu juga dengan kelas tambahan, kadang-kadang kami beri dia kebenaran untuk dia tidak pergi ke kelas tersebut jika dia terlalu letih, tapi dia tetap ingin pergi.

"Syahamah bijak mengimbangi hidupnya sebagai pelajar sekolah dan memenuhi jemputan tilawah walaupun dia masih muda," ujar guru Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, Besut itu.

Bakat pidato Syahamah juga tidak menghampakan biarpun dia baru sahaja berjinak-jinak dalam lapangan itu ketika berada di Tahun Enam.

"Pada masa itu, cikgu mencari sukarelawan yang mahu mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, saya dengan rela hati menawarkan diri," jelasnya yang memiliki kehendak kuat terhadap sesuatu yang digemarinya dan akan bersungguh-sungguh melakukannya.

MPV serba ada

Posted: 13 Jan 2012 05:17 PM PST

TAMPIL sporty dengan bampar hadapan baharu dan skirting di sekeliling tubuhnya.


RASA-RASANYA, tiada satu pun produk Proton Holdings Berhad (Proton) yang tidak pernah mendapat perhatian meluas. Selaku pemegang status pengeluar kereta nasional, Proton sentiasa mendapat penilaian kritikal daripada pengguna Malaysia.

Pasti semua masih ingat ketika Proton mengeluarkan kenderaan serba guna (MPV) pertamanya pada tahun 2009. Pada masa itu, ramai 'pakar' automotif yang tampil beri pandangan. Dalam blog, di kedai kopi, malah di dalam bilik pameran Proton, macam-macam komen diberikan tentang MPV tersebut.

Kutukan paling keras pastinya terhadap kemampuan enjin Campro CPS 1.6 liter itu. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin itu memang kurang berkuasa. Kalau hendak berlumba dengan kereta lain di lampu isyarat, baik lupakan sahaja. Tetapi, kalau sudah meluncur di atas lebuh raya, kuasanya boleh tahan juga sebenarnya.

Masalahnya, ada juga MPV lain yang kurang kuasa dan guna plastik murah untuk bahagian dalamannya, tetapi tidak pula kita kecoh lebih-lebih.

Pertengahan Disember lalu, Proton memperkenalkan dua varian terbaharu Exora. Dikenali sebagai Exora Bold Premium dan Exora Prime, ada banyak perkara yang membuatkan saya menyatakan inilah MPV terbaik untuk takat harga di bawah RM100,000.

Kedua-dua Exora itu bukan sekadar varian tambahan saja-saja dengan sedikit pembaharuan. Sebaliknya, ia menjadi model pertama Proton yang menerima unit enjin Campro turbo atau CFE (Charge Fuel Efficiency). Enjin turbo itu sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu. Semua orang mahu tahu sejauh mana berkuasanya enjin turbo buatan Proton.

Sebelum anda menjadi teruja tidak tentu pasal, harus saya ingatkan bahawa Campro CFE ialah unit enjin dengan sistem soft turbo. Maksudnya, turbo bertekanan rendah. Turbo sebegini biasanya menggunakan unit pendesak turbo yang kecil. Kuasa kuda yang dihasilkannya juga rendah. Namun, apa yang penting ialah teknologi itu digunakan untuk mendapatkan tork lebih tinggi.


PAPAN pemuka yang kemas dan tempat duduk dibalut kulit untuk keselesaan semua.


Harus tahu juga bahawa enjin CFE bukannya unit enjin CPS yang ditambah dengan turbo. Sebaliknya, 70 peratus komponen yang membentuk CFE adalah baharu. Hasilnya, enjin itu mampu menjana kuasa sehingga 138hp @ 5,000rpm dan tork puncak 205nm pada putaran enjin serendah 2,000rpm - 4,000rpm.

"Menerusi enjin 1.6 liter CFE yang lebih cekap, pelanggan akan rasa lebih prestasi seperti enjin bersesaran 2.0 liter tetapi pengguhaan bahan api menjimatkan.

"Varian ini juga menawarkan gayaan yang eksklusif dan elegan, disertakan bersama kualiti pengendalian Lotus. Malah, ia dipakejkan pada harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan kenderaan sekelas dengannya," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Selepas sesi uji pandu yang diadakan oleh pihak Proton ke Tanjung Jara, Dungun di Terengganu baru-baru ini, boleh disimpulkan bahawa matlamat itu dapat dijayakan dengan baik. Hantaran kuasa yang ditawarkan oleh Campro CFE terasa lebih cepat dan tidak membuatkan enjin mengaum secara berlebihan.

Kalau enjin Campro CPS boleh membuatkan sesetengah orang sakit jiwa dengan low end torque yang dihasilkannya, Campro CFE seakan-akan sudah menyelesaikan masalah itu dengan agak cemerlang.

Kotak gear CVT


ENJIN Campro CFE bersesaran 1.6 liter ini nyata tidak mengecewakan.


Campro CFE digandingkan bersama kotak gear CVT. Transmisi CVT itu bukannya yang sama dengan kotak gear CVT pada model Saga FLX. Tetapi ia merupakan kotak gear CVT baru yang dikenali sebagai CVT3 yang dibina khas buat model Exora Bold Premium dan Prime.

Jadi, seperti biasa ia menawarkan pertukaran gear yang lancar dan tanpa senggukan. Tetapi kalau kelancaran itu tidak memuaskan hati anda, jangan lupa tekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission) yang ada pada perumah tuil gear. SAT berfungsi memberikan sedikit rasa gear ditukar untuk pemanduan lebih sporty.

Kualiti kawalan Exora boleh dianggap bagus. Dengan tubuh yang besar, tinggi dan tayar bersaiz 16 inci, ia masih berupaya tidak membuatkan pemandu serta penumpang berasa kecut perut ketika mengambil selekoh dengan laju.

Berada di tempat duduk pemandu, saya berpuas hati dengan rasa stereng dan tombol gear yang dibalut kulit. Konsol tengah yang menempatkan unit audio dan butang kawalan pendingin hawa itu juga tidak nampak murah. Untuk kelihatan lebih mewah, panel sisi dan tempat duduknya juga dibalut kulit.


RUANG kaki tempat duduk belakang yang luas dan selesa.


Jika anda duduk di tempat duduk belakang, tidak perlu bimbang tentang keselesaan. Selain boleh mengawal sendiri butang pendingin hawa, penumpang juga tidak kebosanan dengan adanya skrin LCD dan pemain multimedia yang boleh memainkan filem daripada kad SD, USB atau DVD.

Sebagai seorang yang kurang gemar memandu kenderaan besar seperti MPV, saya sangat menghargai kewujudan kamera undur pada Exora.

Sebaik sahaja gear undur dimasukkan, paparan berwarna lengkap dengan garisan sudut berwarna hijau dan oren akan terpapar pada cermin pandang belakang. Garisan sudut itu sememangnya banyak membantu pemandu untuk memarkir Exora dengan lebih mudah dan tepat.

Melihat dari luarannya, varian terbaharu Exora itu memang lebih menarik. Di samping perumah lampu hadapan dan belakang yang digelapkan, MPV itu turut menerima bampar hadapan dengan rekaan baharu. Di sekeliling tubuhnya juga dipasang dengan skirting. Jadi, MPV itu tidaklah nampak pakcik-pakcik sangat.

Kalau dahulu anda memberi alasan Exora CPS tidak laju, kurang kuasa, tidak ada TV dan macam-macam lagi sehinggakan tidak jadi membelinya, sekarang semua itu sudah ada. Jadi, mahu apa lagi?

Hyundai i10 Kecil dan stabil

Posted: 13 Jan 2012 05:16 PM PST




GIMIK yang dilakukan oleh pengedar kenderaan jenama Hyundai untuk pasaran tempatan, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) ketika memperkenalkan model kompaknya cukup mengujakan.

Pada ketika itu, orang ramai berpeluang untuk memiliki Hyundai i10 dengan hanya bergantung kepada tuah semata-mata. Individu terpilih perlu memilih anak kunci di dalam satu bekas, sebelum cuba membuka mangga yang mengunci sebuah kotak besar dan diletak di hadapan sebuah pusat beli-belah terkenal di Damansara Utama, Selangor.

Sekiranya mangga itu boleh dibuka, sebuah Hyundai i10 yang ada di dalam kotak besar itu akan menjadi milik anda.

Melalui gimik sebegitu, ditambah dengan laporan meluas media, HSDM sedikit sebanyak berjaya menimbulkan kesedaran pengguna terhadap model kompak yang kemudiannya menggantikan model Hyundai atau Inokom Atos.

Kini, i10 bukan lagi model asing bagi pengguna. Walaupun jumlahnya tidak akan dapat menandingi bilangan model Perodua Viva di atas jalan raya, namun jentera kompak itu masih mampu menarik minat segelintir mereka yang mahukan kelainan.

Biarpun masih berada dalam generasi pertama, i10 sudah menerima banyak penambahbaikan dan ditawarkan dalam beberapa varian. Bermula dengan enjin 1.1 liter Epsilon, kereta kompak itu kemudian dipasang pula dengan enjin Kappa bersesaran 1.25 liter.

Tiga varian i10


GABUNGAN paparan meter analog dan digital yang mudah dibaca.


Demi meningkatkan tahap penjimatan bahan api dan memenuhi spesifikasi emisi pasaran Barat yang ketat, enjin Kappa tersebut digantikan dengan enjin yang dilengkapi sistem CVVT bermula pada tahun lalu. Buat masa sekarang, HSDM menawarkan tiga varian i10 iaitu model 1.1 liter standard, 1.25 liter CVVT standard dan 1.25 liter CVVT berspesifikasi penuh.

Saya menghabiskan hujung minggu lalu memandu i10 1.25 liter Kappa dengan spesifikasi penuh. Perbezaan dengan varian standard boleh dilihat pada penampilan luarannya dan aspek mekanikalnya.

Paling jelas pastinya pada lampu kabus baharu yang berbentuk empat segi bujur. Sebelum ini, lampu kabus itu adalah berbentuk bulat. Gril radiatornya juga ditukar, kali ini nampak lebih lebar dan garang. Pada bahagian belakang pula, i10 cuba untuk kelihatan sporty menerusi spoiler yang dipasang padanya. Pendek kata, penampilan i10 sememangnya kemas dan menarik.

Pemandu dan penumpang akan menghargai ruang dalaman i10 yang luas. Kelegaan pada ruang kepala dan kaki pastinya dihargai oleh mereka yang bertubuh besar. Bukan itu sahaja, tempat duduknya juga besar, membolehkan anda duduk dengan selesa.


UNIT audio yang ada pada i10 mudah dioperasi.


Memahami keperluan ruang penyimpanan barang yang banyak, i10 cuba sedaya upaya untuk memenuhi ekspektasi itu. Selain tempat meletak botol minuman pada ruang tengah dan poket sisi di bahagian pintu, anda boleh menyimpan barang-barang kecil di dalam bekas di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Kereta itu menawarkan paparan papan pemuka yang ringkas. Jadi, sesiapa pun akan mudah untuk membiasakan diri dengan semua butang kawalan yang ada. Sistem audio yang boleh memainkan muzik dalam format cakera padat, MP3, USB dan sambungan AUX itu juga tidak sukar untuk dioperasi.

Secara peribadinya, harga RM54,988 saya rasa agak mahal jika dibandingkan dengan apa yang dipasang pada ruang kabin i10. Untuk harga sebegitu, saya mengharapkan sekurang-kurangnya stereng dan tuil gear itu dibalut kulit serta sedap dipegang. Stereng sedia ada juga kosong tanpa sebarang butang kawalan unit audio.

Namun, kelemahan itu diganti dengan kualiti pemanduan dan pengendalian yang memuaskan. Biarpun enjin 1.25 liter Kappa itu mungkin bukan yang paling berkuasa dalam kelasnya, tujahan kuasanya dapat dirasa dengan agak ketara.

Saya suka apabila melihat jarum rpm naik dengan pantas apabila pedal minyak ditekan dan bunyi enjin mula dapat didengar agak jelas.


UNIT enjin 1.25 liter Kappa dengan sistem CVVT menjanjikan hantaran kuasa yang lancar.


Kuasa yang dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik empat kelajuan itu terasa lancar. Percaya atau tidak, anda boleh memandu i10 pada kelajuan sewajarnya dengan penuh yakin. Malah, ia terasa lebih stabil dan meyakinkan berbanding mana-mana kereta sekelasnya.

Kawalan sterengnya bagus dan tidak terasa terlalu ringan walaupun ia menggunakan stereng kuasa (motor-driven power steering, EPS). Tubuhnya juga kurang membuang ketika mengambil selekoh. Aplikasi brek ABS dengan sistem EBD pula ternyata membuatkan tugas membrek lebih jitu. Varian itu juga lebih selamat dengan kehadiran dua beg udara SRS.

Kepada mereka yang ragu-ragu dengan kebolehpercayaan jenama Hyundai, tawaran jaminannya mungkin boleh mengurangkan sedikit perasaan tersebut. Untuk i10, ia hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sehingga 300,000 kilometer.

Audi A1 Quattro Badan kompak enjin besar!

Posted: 13 Jan 2012 05:15 PM PST


AUDI mendakwa A1 edisi terhad ini ialah kereta kompak paling berkuasa dan pantas dalam kelasnya.


SIFIR nisbah kuasa kepada berat (power to weight ratio) tidak pernah salah dalam menghasilkan kereta berkuasa tinggi. Terkini, segmen kereta kompak bakal bergegar dengan lahirnya edisi terhad Audi A1.

Kereta itu didakwa oleh pengeluarnya sebagai kereta paling berkuasa dan pantas dalam kelasnya yang pernah dibina. Audi A1 dilengkapi dengan sistem pacuan kesemua roda (all-wheel-drive) quattro dan merupakan kereta kecil pertama yang dimuatkan dengan enjin petrol berkapasiti besar dengan kuasa sehingga 256PS.

Terhad hanya kepada 333 unit sahaja, model A1 quattro dilengkapi dengan enjin turbo bersesaran 2.0 liter empat silinder pancitan terus dengan kuasa maksimum 256ps pada 6,000rpm.

Tujahan puncaknya juga besar iaitu 350Nm di antara 2,500rpm hingga 4,500rpm. Angka-angka tersebut menjadikan pecutan dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 5.7 saat dengan kelajuan maksimum 280km/j. Harus tahu, A1 bersaiz kompak sahaja, lebih kurang saiz Suzuki Swift.

Peralatan atau 'toyol' – ayat yang selalu digunakan oleh peminat modifikasi kereta yang dimasukkan pada enjin A1 quattro ialah cam shaft masukan boleh laras dan dua shaft pengimbang yang memastikan operasi lancar. Selain sistem common rail injection bertekanan tinggi dan pengecas turbo dengan pendingin-antara (intercooler).

Pam minyak terlaras pula memastikan enjin tersebut bukan sahaja berkuasa tinggi, malah pada yang sama masih ekonomikal. Kuasa enjin dialihkan melalui transmisi manual enam kelajuan kepada sistem pacuan kesemua roda quattro yang sememangnya sinonim dengan jenama Audi.

Sewaktu pemanduan biasa, klac menghantar majoriti kuasa enjin kepada roda hadapan. Jika tarikan (traction) berkurangan, kuasa akan dihantar pula ke gandar belakang hanya dalam tempoh beberapa milisaat (satu per seribu saat).

Andainya satu daripada roda mula tergelincir, ia akan dihentikan oleh electronic differential lock (EDL).


VARIAN berkuasa ini hanya hadir dengan pilihan pemanduan sebelah kiri sahaja.


Sistem ESP (electronic stability program) turut dilengkapi dengan mode sport yang boleh dipadamkan jika pemandu berhasrat untuk memandunya di litar lumba.

Casis Audi A1 quattro dibina untuk disesuaikan dengan pakej enjin kuasa tinggi, bersama klac multi-plate diletakkan di gandar belakang bagi mendapatkan pembahagian berat yang optimum. Suspensi depan ialah jenis McPherson, manakala setup belakang pula adalah jenis four-link.

Diliputi dengan warna eksklusif Glacier White metalik, bumbung berwarna hitam berkilat (high gloss) dan ciri lain seperti rim aloi 18 inci rekaan turbin dengan warna sedondon badan kereta, Audi A1 quattro sangat terampil serta menonjol, sesuai dengan edisi terhadnya.

Lencana quattro

Tidak terhad dengan itu, Audi A1 quattro membezakan dirinya dengan model A1 biasa menerusi beberapa ciri unik lain seperti rekaan bampar hadapan dan belakang, gril dan bingkainya, sayap berwarna merah dalam lampu utama, spoiler belakang besar dwi warna serta dua paip ekor (tail pipe) ekzos.

Sentuhan penyudah lain ialah seperti lampu belakang LED dan cermin belakang yang digelapkan, but dan peresap berwarna hitam. Paling mahal ialah lencana quattro pada gril, arca bumbung dan bonet belakang yang pastinya hanya layak dilekatkan pada 333 unit model itu.

Dengan panjang 3,987mm, A1 quattro 33mm lebih panjang berbanding model A1 standard. Ukuran lain adalah sama.


TEMPAT duduk dibalut kulit hitam dan jahitan benang berwarna merah yang sporty.


Kapasiti bagasi pula adalah 210 liter dan meningkat kepada 860 liter apabila kerusi dilipat. Bahagian dalaman A1 quattro, sesuai dengan imej prestasinya dirias dengan warna gelap bermula dari sebahagian seksyen konsol tengah hinggalah kepada perehat lengan dan kerusi yang dibaluti dengan kulit Silk Nappa yang dikontrakan dengan sulaman benang merah.

Lebih cantik dan menambah eksklusif, kerusi depan disulam dengan tulisan quattro. Kluster meter pula mempunyai beberapa ciri kosmetik seperti jarum berwana putih, meter kelajuan dengan latar belakang merah, logo quattro dan DIS (Driver's Information System).

Dengan spesifikasi dan prestasi Audi A1 quattro itu, saya percaya ia akan membuat sesetengah daripada kita meleleh air liur. Tetapi, ia akan lebih bercucuran kerana untuk pengetahuan anda, 333 unit yang dipasarkan hanyalah dalam bentuk pemanduan sebelah kiri dan bagi sesetengah pasaran Eropah sahaja.

Di Malaysia, kereta apa jenis atau setara mana mahal pun ada yang diimport masuk, tetapi kereta kompak sebegini dan ditambah dengan pemanduan sebelah kiri, cuma satu soalan yang boleh ditanya iaitu, ada berani? Ini barulah benar-benar eksklusif walaupun ia bukan Ferrari, Lamborghini atau Pagani Zonda.

Kia Optima K5

Posted: 13 Jan 2012 05:15 PM PST


JIKA anda sedang mencari sebuah sedan eksekutif, Kia Optima K5 perlu anda pandu uji.


MASIH mencari sebuah kereta sedan eksekutif (segmen D)? Apa kata anda kunjungi bilik pameran Naza Kia. Di sana sudah ada model baharu menanti yang harus diberi penilaian sebelum membuat pembelian. Itulah Optima K5 serba baharu. Jentera yang dinobatkan sebagai Best of the Best 2011 oleh Red Dot Design Award.

Model itu memiliki tiga elemen utama untuk menarik perhatian pembeli iaitu spesifikasi tinggi, rekabentuk sporty dan harga berpatutan. Ia diedarkan oleh Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Naza Kia) dalam pasaran tempatan. Di sebalik pengenalannya pada 27 Disember lalu, model itu menggalas tugas penting untuk melonjakkan jenama Kia ke tahap lebih tinggi.

Sekali pandang, Optima K5 kelihatan agresif. Gril radiator harimau kelihatan menyerlah di antara lampu hadapan HID Xenon yang diselaraskan secara automatik. Turut dipasang ialah lampu kabus dan LED DRL (daytime running lights). Garisan pada hud dan bampar melengkapkan paras rupanya yang mantap.

Bahagian sisi memaparkan profail dinamik dan sporty menerusi cermin sisi gullwing, fender, pembuka pintu krom dan rim aloi bersaiz 18 inci. Bahagian belakang pula dihiasi spoiler belakang dan bampar dua tona. Tidak lupa juga kombinasi lampu belakang LED, lampu belakang ketiga LED dan pemantul pada bahagian bampar.


STERENG dilengkapi dengan pelbagai butang kawalan.


Duduk sahaja di kerusi pemandu, anda dapat melihat kekemasan susun atur pelbagai butang pada stereng dan papan pemuka. Tukaran gear boleh dibuat menerusi paddle shifter di belakang stereng. Gugusan meter kelihatan mewah, di samping skrin berwarna LCD TFT 3.5 inci yang memaparkan pelbagai maklumat untuk pemandu.

Cermin pandang belakang Kia Optima K5 pula dilengkapi skrin paparan kamera mengundur. Dongakkan kepala ke atas, ada dua bumbung panaromik. Tempat duduknya dibalut material kulit. Lebih menarik lagi, tempat duduk pemandu boleh dilaras dengan hanya menekan butang. Kereta itu juga sarat dengan ruang simpanan barang-barang kecil.

Enjin petrol DCVVT Theta II 2.0 MPI bersesaran 1,998cc yang diberi padanan kotak gear automatik enam kelajuan berupaya menjana kuasa maksimum 165PS @ 6,200rpm dan tork maksimum 198Nm @ 4,600rpm. Masa yang diperlukan bagi pecutan 0 kilometer (km) ke 100km cuma 10.9 saat.




Model itu turut sarat dengan pelbagai aspek keselamatan termasuk enam beg udara, cermin hadapan UV, program kestabilan elektronik (ESP), ABS, EBD, BAS dan TCS+GAC.

Kia Optima K5 yang didatangkan dalam tiga pilihan warna ditawarkan pada harga jualan RM143,888 seunit. Jaminan diberikan ialah selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.

Pek aksesori Suzuki V-Strom

Posted: 13 Jan 2012 05:13 PM PST




SELEPAS melancarkan V-Strom 650 ABS pada awal tahun ini, Suzuki kini menawarkan tiga pek aksesori baharu untuk jentera adventure itu bagi kegunaan harian, mingguan atau aktiviti kembara.

Bagi kegunaan yang praktikal, Tourer Pack ditawarkan pada harga £499 (RM2,430). Ia meliputi aksesori pemasangan dan VAT. Pek kedua ialah set Knuckle Guard yang merangkumi elemen keselamatan, beg tangki magnetik 14 liter, pelindung tangki, Under Cowling, bar aksesori dan pelindung rantai.

Bagi perjalanan jauh, pek adventure dengan harga £999 (RM4,864) ditawarkan. Set itu terdiri daripada aksesori pemasangan, VAT pilihan pembeli dan set Tourer Pack (tidak termasuk beng tangki), Vario Touring Screen, Centre Stand dan kargo 42 liter.


TERDAPAT tiga pek aksesori untuk model Suzuki Strom yang ditawarkan iaitu Tourer Pack, Knuckle Guard dan GT Pack.


GT Pack pula menepati keperluan beg yang lebih besar. Ia merangkumi keseluruhan komponen daripada pek Adventure dan beg kargo tepi seluas 70 liter. Harganya ialah £1,299 (RM6,321), termasuk aksesori pemasangan dan VAT.

Ketiga-tiga pek aksesori V-Strom boleh didapati daripada pengedar rasmi Suzuki. Maklumat lanjut, sila layari www.suzuki-gb.co.uk/promo/000377/.

Menawan Tapis pada musim monsun

Posted: 13 Jan 2012 05:13 PM PST


PENULIS (empat dari kiri) dan rakan-rakan bergambar kenangan selepas berjaya menawan puncak Gunung Tapis setinggi 1,512 meter.


GUNUNG Tapis berketinggian 1,512 meter dari aras laut terletak kira-kira 16 kilometer dari pekan Sungai Lembing, Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Maka, tidak hairanlah saban tahun, gunung itu sering menjadi tumpuan pencinta alam khususnya kepada mereka yang menggemari aktiviti lasak dan mencabar.

Penghujung Disember yang lalu, penulis berkesempatan menyertai ekspedisi ke Gunung Tapis bersama gabungan 15 orang pendaki pelbagai organisasi rekreasi dari sekitar Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Kelantan .

Ikuti catatan pengembaraan penulis sepanjang ekspedisi ini yang berlangsung selama tiga hari dua malam.

Hari pertama - hampir dihanyut arus

Kami memulakan perjalanan sekitar pukul 1 pagi. Diketuai oleh Qayyum Ahmad, kumpulan ekspedisi yang disertai 15 pendaki itu bergerak secara konvoi menaiki kereta menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menuju ke Sungai Lembing, Pahang.

Ketibaan kami di lokasi yang terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah satu ketika dahulu itu disambut oleh jurupandu arah, Muhammad Noh atau lebih mesra dengan panggilan Aya Mat, 54.

Setelah mengalas perut dan membeli juadah makan tengah hari di sebuah warung di Sungai Lembing, kami menuju ke Balai Polis Sungai Lembing untuk memaklumkan aktiviti pendakian.

Sebuah lori satu tan disewa khas bagi membawa peserta menuju ke lokasi permulaan pendakian ke gunung Tapis iaitu di Kem 1.


LORI satu tan yang disewa khas untuk membawa semua pendaki ke lokasi permulaan pendakian di Kem 1.


Setelah satu jam setengah perjalanan, kami tiba di sebuah kawasan resort tinggal, tidak jauh dari Kem 1.

Bagaimanapun, lori yang membawa kami terhenti di pertengahan jalan. Kejadian ribut beberapa hari sebelumnya menyebabkan sebahagian laluan terhalang dek batang pokok yang tumbang.

Akibatnya, kesemua pendaki terpaksa berjalan kaki selama hampir sejam sebelum tiba di Kem 1.

Usai membaca doa, kami diberi taklimat ringkas sebelum memulakan pendakian dengan merentasi Sungai Kuantan.

Bagaimanapun, hujan lebat pada malam hari menyebabkan berlakunya fenomena kepala air. Paras air sungai yang naik mendadak serta arus kuat menyukarkan ia dilalui.

Seutas tali keselamatan terpaksa dipasang bagi memudahkan kami menyeberanginya.

Selang beberapa minit kemudian, berlaku sesuatu yang tidak diingini apabila seorang rakan kami hampir lemas dihanyutkan arus deras.

Mujurlah, kecekapan Aya Mat yang menyedari kejadian itu berjaya menyelamatkannya sekali gus berjaya mengelakkan insiden buruk daripada berlaku.

Selepas dua jam meredah sungai, kami meneruskan perjalanan ke Kem Cabang Dua. Sepanjang perjalanan, kami diiringi bunyian unggas dan burung yang mendamaikan jiwa. Malah, kami juga terpesona melihat keindahan alam semula jadi dan air terjun yang mengalir tenang di sekitarnya.

Dalam jejak perjalanan, kami menemui jejak najis gajah di denai yang kami lalui. Menurut Aya Mat, hutan di sekitar banjaran Gunung Tapis yang bersambung ke Taman Negara Pahang itu menjadi tempat tinggal pelbagai jenis hidupan liar. Selain gajah, ia juga menjadi habitat bagi kijang, rusa, tapir, kancil dan sebagainya.

Selepas beberapa jam berjalan, kami akhirnya tiba di Kem Cabang Dua.


KEPENATAN mendaki membuatkan semua peserta berselera tatkala menikmati hidangan.


"Ok, kita berhenti rehat seketika di sini untuk makan tengah hari dan solat Zuhur", kata Aya Mat.

Tepat jam 2 petang kami meneruskan pendakian ke Kem 2. Perjalanan agak sukar berikutan terdapat pokok tumbang dan denai yang ditumbuhi semak-samun.

Kami akhirnya tiba di Kem 2 dan berehat seketika sebelum mendaki sebuah bukit dikenali sebagai Bukit Tobat.

Tanpa disangka, hujan mula turun dengan lebatnya menyebabkan trek yang kering bertukar menjadi agak licin dan berlumpur.

Bagaimanapun, itu semua tidak mematahkan semangat pendaki, langkah terus diatur sehingga tiba di Kem 3.

Menariknya, di situ terdapat sebuah batu peringatan tulisan Cina. Menurut Aya Mat, batu peringatan itu dibina bagi mengingati salah seorang pendaki dari Singapura yang meninggal dunia di situ beberapa tahun lalu.

Hari semakin gelap menyebabkan khemah segera didirikan. Segala persiapan memasak juadah makan malam mula diatur, ada juga peserta yang mengambil kesempatan membersihkan diri di sungai berhampiran.

Setelah menikmati juadah makan malam, kami mengisi masa yang ada dengan aktiviti suai kenal bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim antara pendaki.

Sesekali tubuh menggigil kesejukan ditiup deruan angin bayu malam membuatkan segelintir pendaki sudah mula mengantuk dan meminta diri untuk tidur.

Hari kedua - menawan puncak

Selesai sarapan dan berkemas, kami meneruskan perjalanan untuk misi menawan puncak Gunung Tapis.

Semakin tinggi jarak pendakian, semakin mencabar laluan yang perlu dilalui. Paling mencabar tatkala melalui cerun berbatu yang curam dan licin sehingga memaksa kami berpaut pada tali dan akar-akar pokok berhampiran.

Namun, segala kepayahan itu hilang sebaik sahaja kami tiba di Kem Permatang. Panorama tumbuhan gunung yang menghijau serta diselaputi lumut membuatkan kami bersyukur di atas kebesaran Ilahi.

Seterusnya, kami tiba di satu kawasan yang dipanggil Taman Bonsai. Kehadiran pokok bonsai dan pokok oak yang tumbuh subur mengingatkan saya akan filem Lord of The Ring yang pernah ditonton suatu ketika dahulu.

Kepuasan jelas terpancar di wajah setiap pendaki apabila berjaya melihat puncak Gunung Tapis di depan mata. Cuaca agak berkabus dan suhu sejuk mencecah 19 darjah Celcius.

Penulis sendiri menggigil kesejukan apabila ditiup angin monsun yang merentasi puncak gunung itu. Di atasnya, terdapat sebuah objek dikenali sebagai Beirut, dimiliki oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia yang digunapakai untuk kerja-kerja pemetaan.


MENYUSURI Sungai Pahang antara cabaran yang perlu dilalui setiap pendaki untuk ke puncak Gunung Tapis.


Sesudah berehat, menikmati hidangan dan mengambil gambar, kami turun kembali ke Kem 3 dan menuju ke Kem Cabang Dua yang secara keseluruhannya memakan masa lima jam perjalanan.

Malam yang menjelma menyebabkan kami terpaksa bergantung kepada lampu suluh dan lampu kepala untuk memudahkan pergerakan.

"Kamu semua perlu berhati-hati, jangan berpecah antara satu sama lain. Dah malam-malam ini, macam-macam boleh jadi," pesan Aya Mat menyebabkan kami semua akur.

Kami akhirnya selamat tiba di Kem Chabang Dua sekitar pukul 11 malam sebelum mendirikan khemah. Bagaimanapun disebabkan malam yang semakin lewat, kami hanya memasak ala kadar sahaja untuk mengalas perut yang kelaparan.

Hari ketiga -

Kami meneruskan perjalanan pulang ke Kem 1. Alhamdulillah, cuaca pada hari ketiga agak baik tidak seperti hari-hari sebelumnya.

Paras air Sungai Kuantan kembali surut dan tidak lagi deras sekali gus memudahkan kami mengharunginya tanpa bantuan tali keselamatan.

Tepat pukul 1 petang, lori yang ditugaskan menjemput kami pun sedia menanti. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan pulang ke pekan Sungai Lembing.

Kepuasan dan keceriaan jelas terukir di wajah setiap pendaki setelah berjaya menamatkan ekspedisi itu.

Falsafah seni bina Opera Sydney

Posted: 13 Jan 2012 05:12 PM PST


RUMAH OPERA SYDNEY menjadi lokasi penganjuran pelbagai acara dan majlis bertaraf dunia.


SESUAI dengan statusnya sebagai sebuah kota metropolitan di Australia, Sydney mempunyai pelbagai keunikan yang tersendiri.

Terdapat pelbagai destinasi yang boleh dilawati sepanjang berada di sini antaranya Sydney Harbour Bridge, Akuarium Sydney, Pantai Bondi, Masjid Gallipoli, The Rocks Market, Paddy's Market, The Australia Reptile Park dan Taman Marks.

Bagaimanapun, kunjungan ke Sydney seakan tidak sah sekiranya tidak melawat salah satu mercu tanda negara itu iaitu Rumah Opera Sydney yang terletak berdekatan dengan Sydney Harbour Bridge.

Diiktiraf antara ikon seni bina terunggul pada abad ke-20, rumah opera itu memiliki daya tarikan yang mengagumkan sehingga menarik jutaan pengunjung saban tahun.

Reka bentuk futuristik dan bentuk geometri unik umpama cengkerang laut merupakan ilham arkitek terkenal yang berasal dari Denmark, Jorn Utzon.

Menariknya, hasil rekaan Utzon sebenarnya dipilih semula pada saat akhir daripada fail rekaan peserta yang ditolak. Ini kerana reka bentuknya dianggap sesuatu yang mustahil untuk dibina.


RUANG dalam dewan yang direka penuh sofistikated.


Utzon memulakan kerja pembinaannya pada tahun 1957 tetapi, berhenti daripada projek tersebut pada tahun 1966 berikutan kontroversi mengenai bajet berlebihan untuk pembinaan itu.

Sebelum dibuka pada tahun 1973, masih terdapat kritikan mengenai bangunan itu yang dikatakan tidak menarik dan membosankan.

Sesuai dengan namanya, rumah opera itu juga menjadi tempat untuk pelbagai pertunjukan teater muzikal, opera, balet dan lain-lain seni teater.

Ruang yang paling besar ialah di Concert Hall yang mampu memuatkan 2,679 penonton, manakala Opera Theatre pula mampu menampung kapasiti sehingga 1,507 penonton.

Di samping itu, terdapat juga beberapa ruang lain yang sesuai untuk persembahan berskala kecil. Antaranya ialah Drama Theatre, Playhouse, The Studio, Utzon Room dan ruang terbuka, Forecourt.

Setiap tahun, Rumah Opera Sydney mengendalikan lebih 1,500 acara dan pentas seni yang dihadiri kira-kira 1.2 juta penonton, sekali gus menjadikannya yang tersibuk di dunia.

Di samping itu terdapat beberapa kemudahan lain yang disediakan seperti studio rakaman, kafe, restoran, bar dan ruang perniagaan.

Popularitinya, menyebabkan ia dikunjungi kira-kira tujuh juta pelawat saban tahun. Bagaimanapun, terdapat khidmat pemandu pelancong yang disediakan bagi tujuan lawatan di keseluruhan bangunan itu.

Pada tahun 2007, Rumah Opera Sydney telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Telatah kera Uluwatu

Posted: 13 Jan 2012 05:09 PM PST


SUDUT pandangan menarik du Uluwatu.


BALI ialah syurga istirehat bagi mana-mana pelancong dalam tarikan utamanya iaitu suasana persekitaran semula jadi dan cara hidup penduduk tempatan.

Bagaimanapun, satu lawatan baru-baru ini ke kuil Uluwatu (Pura Uluwatu) yang terletak 25 kilometer (km) ke selatan Denpasar mendedahkan satu tarikan yang boleh dikatakan agak luar biasa – telatah aneh kera Uluwatu.

Pura Uluwatu adalah sebuah kuil silam yang dibina oleh seorang pendeta Hindu Jawa pada kurun ke-11. Kuil yang terdiri daripada siri bangunan batu yang terletak di tepi cenuram tinggi itu menawarkan pemandangan indah Lautan Hindi bersama gelora badai di bawahnya. Pemandu pelancong kami, I Wayan Sedana, membawa kami ke situ untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam dan tarian kecak yang mengiringinya.

Bayaran masuk sebanyak 6,000 Rupiah (kira-kira RM2.20) dikenakan bagi setiap pelawat dan mereka perlu mengikat selempang kuning di pinggang atau memakai sarung berwarna ungu sebelum melangkah ke pintu masuk.

Kera peragut

Kami disambut oleh kehadiran kera, daripada jenis long tailed macaque. Oleh kerana kami telah diingatkan terlebih dahulu oleh I Wayan akan telatah aneh kera-kera itu, kami cuba sedaya menjauhi kera-kera tersebut tetapi, mereka tetap mahu mendekati kami!

Dalam beberapa minit sahaja kami sendiri menyaksikan mengapa para pelawat perlu berwaspada semasa berada di situ. Kera-kera itu meragut apa sahaja daripada pelawat termasuk beg, topi, kamera dan yang lain.

Namun, paling aneh adalah perbuatan yang nampaknya menjadi kegemaran mereka – merampas kaca mata!

Ketika itu kami melihat seorang warga asing dalam keadaan terdesak merayu seekor kera di atas bumbung sebuah daripada bangunan kuil meminta kaca matanya dipulangkan. Begitupun, kera itu langsung tidak mengendahkannya. Sebaliknya kami tertawa pula melihat telatah kera yang mencuba kaca mata itu di mukanya!


BAGI yang ingin mengabadikan momen matahari terbenam, lokasi ini paling ideal untuk berbuat demikian.


Ramai penjaga ditempatkan di situ untuk menghalang kera mendekati pelawat tetapi haiwan bijak itu mempunyai caranya tersendiri untuk menyerang hendap dan mengenal pasti sasarannya.

Gerak pantas

Seekor daripada kera di situ dilihat telah merampas kaca mata hitam seorang pelancong Eropah. Seorang lagi warga emas Asia yang duduk bersama kumpulannya kehilangan kaca mata apabila seekor daripada kera datang merampasnya dari belakang dalam satu gerakan teratur yang pantas.

Kemudian, berlaku pula satu senario berbahaya. Seorang pelancong warga Korea yang sibuk merakamkan matahari terbenam di ufuk menggunakan tripod di tepi cenuram hampir terjatuh ke bawah apabila seekor kera melompat ke atasnya dan meragut kaca mata beliau.

Kumpulan pelancong lain yang berada di belakang penghadang konkrit segera meluru ke depan untuk melihat nasib pelancong malang itu. Dia bagaimanapun ditemui dalam keadaan selamat tetapi terkejut.

Seorang penjaga kuil berjaya mendapatkan cermin mata daripada kera itu, namun yang tinggal hanyalah bingkai yang herot.

Sehingga matahari terbenam, lebih sedozen pelawat telah kehilangan kaca mata mereka.

Haiwan bijak


PELANCONG yang memakai pakaian kasual akan disarungkan dengan kain ungu ini ketika melawat sekitar kawasan kuil di Uluwatu.


Daripada pemerhatian, setiap kali kera-kera itu merampas sesuatu, penjaga akan mengejar mereka dan menawarkan kepada mereka buah, biasanya buah rambutan, untuk ditukar dengan barangan yang diragut itu.

Oleh itu, kera-kera ini tahu bahawa ia boleh mencari makan dengan meragut barangan milik pelawat dan akhirnya bakal ditukar dengan makanan. Nampaknya ini satu 'modus operandi' yang lazim di situ.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan pelawat, khasnya yang tidak berkaca mata, haiwan itu adalah watak menawan yang terdapat di tapak kuil tersebut.

Kehadirannya menghiburkan para pelawat dengan telatah aneh dan bayangan mereka di sebalik latar matahari terbenam menawarkan peluang penggambaran yang hebat.

Di sebalik telatah kera itu, Uluwatu masih menjadi satu tempat yang mesti dilawati.

Sukarelawan melalui K1M

Posted: 13 Jan 2012 05:07 PM PST

MELALUI modul yang diperkenalkan dalam program Rakan Usahawan, mereka yang terlibat boleh menimba pengalaman untuk memperbaiki taraf sosioekonomi.


KOMUNITI 1Malaysia (K1M), sebuah pertubuhan sukarelawan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak pada 6 Januari lepas adalah satu wadah yang dapat meluaskan lagi perkongsian maklumat dan kefahaman atas inisiatif untuk membantu masyarakat.

K1M bergiat aktif dengan penyertaan masyarakat setempat menerusi aktiviti sukarelawan dalam pelbagai program termasuk yang berunsurkan seni budaya tempatan dan produk K1M.

Sejak diwujudkan pada Jun tahun lalu, 1,200 unit K1M berjaya didaftarkan di seluruh negara dan kini bergiat aktif menjalankan tugas-tugas sukarelawan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, K1M yang diselia Jabatan Penerangan bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia selain mewujudkan masyarakat celik maklumat, selari dengan aspirasi 1Malaysia.

"Bersama-sama dengan unit ini, termasuk agensi di bawah kementerian, kita akan memupuk rangkaian untuk membantu kerajaan menjalankan tugas dengan prihatin, adil dan berkesan," katanya pada Pelancaran Komuniti 1Malaysia.

Lima ikon

K1M adalah transformasi daripada Komuniti Bestari yang kini diberi penambahbaikan oleh Jabatan Penerangan. Tiga program Komuniti Bestari masih dikekalkan dengan tambahan dua program baharu.

Segala aktiviti dilaksanakan menerusi lima bidang iaitu aktiviti perpaduan nasional yang disebut Rakan Padu, pembangunan sosioekonomi melalui Rakan Usahawan dan perkongsian maklumat menerusi Rakan IT.

Dua bidang baharu ialah kebudayaan dan kesenian digelar Rakan Budaya dan interaksi sosial, Rakan Harmoni.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman, lima ikon program K1M mempunyai peranan dan pendekatan masing-masing.

Sebagai sebuah pertubuhan sukarela, K1M diwujudkan di setiap kawasan Parlimen dengan jumlah sukarelawan sekurang-kurangnya seramai 10 orang di setiap kawasan. Masing-masing mempunyai pelbagai kemahiran bagi membantu golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.


KONSEP gaya hidup sihat dan harmoni K1M memberi banyak manfaat kepada komuniti setempat dan juga generasi pelapis di negara ini.


Antara yang patut dikongsi bersama pembaca ialah beberapa program kemasyarakatan yang telah dilaksanakan oleh sukarelawan Rakan Harmoni.

Menurut Ibrahim, beberapa komuniti telah berjaya menjalankan fungsi mereka sebagai penyumbang bakti kepada masyarakat.

"Mereka (sukarelawan) mengenal pasti individu atau pihak yang tidak bernasib baik dan bergotong-royong membaiki rumah golongan berkenaan.

"Walaupun nampak kecil, tetapi kami di Jabatan Penerangan berasa sangat berbesar hati kerana itulah kepakaran kami. Secara tidak langsung, kita dapat membimbing Rakan IT untuk menyalurkan kemahiran dan sumbangan mereka kepada masyarakat," jelas Ibrahim.

Jelas beliau, program K1M yang telahpun dijalankan sejak Jun lepas bakal diteruskan dengan empat pendekatan.

Skala besar

Pertama, program berskala besar yang akan dilaksanakan di peringkat negeri seperti festival, ekspo dan karnival K1M selama dua hari yang mensasarkan 10,000 rakyat pelbagai kaum. Program berskala sederhana pula di peringkat daerah (gabungan K1M dalam daerah) dengan sasaran 2,000 rakyat pelbagai kaum selama satu hingga dua hari dengan ekspo, pameran dan festival.

Turut dirancang ialah program berskala kecil dengan sasaran 200 hingga 500 penglibatan pelbagai kaum dan dilaksanakan oleh setiap K1M. Antara aktivitinya ialah pameran, sukan rakyat, kenduri kampung dan persembahan kebudayaan.

Sahari Hussin, 51, seorang daripada sukarelawan K1M berpendapat penyertaannya dalam K1M membolehkan beliau memberi sumbangan kepada masyarakat.

Beliau yang juga Setiausaha K1M, DUN Sungai Rambai, Melaka aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

"Banyak pengalaman yang saya dapat menerusi program ini. Selain dapat bercampur dengan masyarakat berbilang kaum, saya dan rakan sukarelawan lain juga mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai program yang dijalankan oleh kerajaan,"

Bagi dua sukarelawan K1M dari Banggol Sena, Chuping Perlis, Rosni Mohd Jelanan, 22, dan Rafidah Ismail, 24, penyertaan mereka sebagai sukarelawan lebih daripada sekadar memberi khidmat kepada masyarakat.

Menerusi Rakan Usahawan, kedua-duanya yang turut menjalankan perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kuih tradisional dan sos cili dapat mengembangkan lagi jaringan perniagaan mereka.

"Tak rugi menyertai program ini. Penyertaan sewaktu Festival dan Ekspo yang berskala besar juga dapat membantu kami melaksanakan aktiviti seumpama ini di peringkat daerah," jelas Rafidah.

Bagi mana-mana pihak atau komuniti yang ingin menyertai sebagai sukarelawan, mereka boleh menghubungi Jabatan Penerangan di setiap negeri untuk mendapatkan borang pendaftaran dan maklumat lanjut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved