ads

Isnin, 9 Januari 2012

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


sumber :-

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Khalwat: Salim, Diayana didenda RM3,000

Posted: 09 Jan 2012 09:34 PM PST


SALIM ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam setelah mengaku bersalah berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini April tahun lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dan pasangannya yang berusia 30 tahun selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Dalam penghakimannya, Nik Bukhari berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan secara sukarela yang dibuat kedua-dua tertuduh, namun perlu juga menitikberatkan masa dan kos yang dibazirkan sepanjang tempoh pertuduhan dijalankan.

"Kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam. Salim yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam perlu menunjukkan teladan yang baik dan bukannya mencemar imej jabatan masing-masing.

"Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk memberi hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat luar agar tidak melakukan perkara yang sama dengan masing-masing dikenakan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda," katanya.

Pelatih PLKN gemuk ada program khas

Posted: 09 Jan 2012 09:34 PM PST


PELATIH Program Latihan Khidmat Negara melakukan aktiviti kembara halangan di Rimba Templer, Rawang, Selangor semalam.


KUALA LUMPUR - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan merangka sebuah program baharu bagi membantu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mempunyai masalah obesiti.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program bagi menurunkan berat badan itu antara penambahbaikan yang bakal dilakukan ke atas modul latihan fizikal JLKN pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya melantik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuat kajian bagi tujuan berkenaan.

"Modul bagi membantu pelatih PLKN yang menghadapi masalah obesiti akan dilaksanakan tahun ini sekali gus menjadikannya ia relevan dengan perubahan semasa," katanya.

Sorok dadah 11.55kg dalam kotak Garfield

Posted: 09 Jan 2012 09:32 PM PST


ZULKIFLI (kanan) menunjukkan dadah yang disembunyikan di dalam kotak di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH - Cubaan seorang lelaki untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah di dalam lima buah kotak yang mempunyai pelekat watak kartun Garfield akhirnya berjaya dibongkar.

Lelaki tempatan itu yang membawa kotak berkenaan di dalam bagasinya telah ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Baru dekat sini malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya berkata, lelaki berusia 40-an tersebut tiba di lapangan terbang itu setelah menaiki pesawat dari Guang Zhou, China kira-kira pukul 10.30 malam.

"Pasukan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang yang melakukan imbasan pada bagasi milik lelaki berkenaan mengesan imej yang meragukan di dalamnya.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui lima kotak kayu yang tertera gambar kartun Garfield mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Lagi cubaan seludup gading gajah tumpas

Posted: 09 Jan 2012 09:10 PM PST


AZIS (tengah) menunjukkan gading gajah yang dirampas pada sidang akhbar di Pelabuhan Klang semalam.


PELABUHAN KLANG - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor berjaya menumpaskan cubaan satu sindiket menyeludup 492.4 kilogram gading gajah bernilai RM2.4 juta dari Afrika Selatan melalui Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat lalu.

Rampasan terbaharu itu adalah hasil daripada pemeriksaan rapi Unit Pemantauan Kontena Bahagian Penguatkuasaan Selangor ke atas sebuah kontena yang ditahan pada pukul 11 pagi.

Pengarahnya, Datuk Azis Yacub berkata, sindiket terbabit cuba mengelirukan pihaknya dengan mengisytihar dagangan di dalam kontena sebagai bahan diperbuat daripada gentian dan nilon.

Bagaimanapun, menurutnya, pemeriksaan rapi pihaknya menemui gading gajah yang disorok di dalam kotak dan diletakkan di bahagian belakang kontena bersama tayar terpakai.

"Pada mulanya, kita sangka kontena ini tidak mengandungi barangan terlarang kerana apabila pintu kontena dibuka, hanya kelihatan barangan yang diikrar seperti tikar, bantal dan tayar.

"Pemeriksaan menyeluruh akhirnya menemui gading gajah disorok di bahagian belakang kontena bersama tayar terpakai," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tahun mencabar penjawat awam

Posted: 09 Jan 2012 09:09 PM PST


PEGAWAI dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri tekun mendengar amanat Muhyiddin di Dataran Perdana, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Tahun 2012 bakal menjadi tahun lebih mencabar buat penjawat awam dalam memastikan segala peruntukan, program serta dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, penjawat awam perlu menentukan peruntukan besar yang diputuskan dalam belanjawan negara tahun ini dapat diurus tadbir dengan baik.

"Dalam situasi tidak menentu, maka tugas dan tanggungjawab penjawat awam menjadi lebih utama dan penting. Tahun lepas penting juga tetapi tahun ini lebih penting," katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

Anwar syukur, Saiful reda

Posted: 09 Jan 2012 09:08 PM PST


Asap daripada letupan kuat di kawasan Pusat Penjaja Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam menyifatkan keputusan itu adalah adil serta membersihkan namanya dan keluarga.

Anwar yang ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya kerana bersungguh- sungguh sepanjang perbicaraan dan bersyukur kerana keluarga sentiasa menyokongnya.

"Sekarang masih awal untuk menyatakan apa-apa kerana ruang untuk pendakwa meneruskan (membuat rayuan) masih ada. Saya hanya bersyukur dengan apa yang didengar hari ini (semalam)," katanya.

Isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut ditanya perasaannya hanya berkata: "Syukur, Alhamdulillah."

Anwar dibebas tuduhan liwat

Posted: 09 Jan 2012 09:07 PM PST

PENYOKONG Anwar berhimpun di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam bagi mendengar keputusan kes liwat membabitkan Anwar.


KUALA LUMPUR – Integriti teknikal pada bukti Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui dalam dubur Mohd. Saiful Bukhari Azlan ternyata memberi kelegaan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila semalam dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu di sebuah kondominium di ibu negara empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah ketika membacakan penghakiman selama lima minit berkata, mahkamah tidak mempunyai bukti secukupnya untuk mensabitkan Anwar, 65, bersalah terhadap tuduhan dia meliwat Mohd. Saiful, 27.

"Selepas meneliti sepenuhnya bukti keterangan, mahkamah tidak boleh seratus peratus yakin berhubung integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu (Mohd. Saiful) tidak pernah terusik.

"Sehubungan itu, mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut," tegas beliau.

Anak diugut ah long kerana hutang bapa

Posted: 09 Jan 2012 09:06 PM PST


SEE TECK menunjukkan gambar bapanya dan ugutan yang dibuat ah long di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang jurujual dan dua adik-beradiknya terpaksa hidup dalam ketakutan sejak lebih enam bulan lalu selepas diancam ah long ekoran hutang bapanya yang berjumlah kira-kira RM10,000.

Su See Teck, 28, yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu mendakwa bapanya berhutang dengan lebih daripada lima ah long sejak awal tahun lalu ekoran tabiatnya yang suka berjudi.

"Selama ini kami tidak tahu yang dia berhutang dengan ah long sehinggalah dia menghilangkan diri pada Mei tahun lalu," katanya di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini baru-baru ini.

Penduduk seram melalui Bandar Armada Putra

Posted: 09 Jan 2012 09:05 PM PST


SEBAHAGIAN bangunan kosong yang tidak dihuni di Bandar Armada Putra di Pelabuhan Klang.


PELABUHAN KLANG - Kewujudan ratusan unit rumah kedai dan pejabat yang terbiar kosong di Bandar Armada Putra di Pulau Indah di sini sejak hampir 10 tahun lalu menakutkan penduduk setempat apabila suasana di kawasan itu kini menjadi seolah-olah sebuah bandar tinggal.

Lebih membimbangkan penduduk apabila premis yang kosong tersebut turut dijadikan tempat melakukan kegiatan maksiat dan jenayah selain sarang nyamuk Aedes.

Tinjauan Kosmo! di lokasi tersebut semalam mendapati hanya beberapa unit kedai runcit dan makanan yang terletak berdekatan kediaman penduduk di Flat Sri Bahtera yang beroperasi.

Enam tahun tagih janji pemaju

Posted: 09 Jan 2012 09:04 PM PST


PENDUDUK bergotong-royong membina sebuah gelanggang badminton dan sepak takraw sendiri di Taman Bayu Permai, Rawang semalam.


RAWANG - Lebih 2,000 penduduk Taman Bayu Permai di sini kecewa dengan janji manis pemaju untuk membina beberapa kemudahan asas tetapi tidak ditunaikan selama enam tahun.

Antara kemudahan yang dijanjikan sejak taman berkenaan siap dibina pada tahun 2005 ialah surau, gelanggang sukan dan pembinaan jalan utama.

Setiausaha Agung persatuan penduduknya, Shahril Mohd. Idris, 46,berkata, sudah banyak kali aduan dibuat kepada pemaju, namun ia tidak ubah seperti 'mencurah air ke daun keladi'.

"Sebelum kami membeli rumah di sini, pemaju menjanjikan pelbagai kemudahan dan landskap yang menarik sehingga kami terpedaya membelinya.

"Bertahun-tahun kami menunggu. Kini kami terpaksa bina gelanggang sepak takraw sendiri untuk beriadah dengan kutipan dari penduduk di atas tanah rizab TNB (Tenaga Nasional Berhad)," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mahu kuasai segmen kurier

Posted: 09 Jan 2012 09:03 PM PST


MOHD. KHAMIL mencuba salah satu muzik tradisional Orang Asli pada program lawatan media ke Hutan Belum di Gerik, Perak baru-baru ini.


GERIK - Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) mampu menjadi pelengkap kepada perniagaan DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) terutamanya untuk capaian pelanggan yang lebih meluas melalui kekuatan rangkaian 700 cawangannya di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil berkata, jika selama ini DRB-HICOM lebih dikenali dalam industri automotif kini kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada segmen hartanah dan Pos Malaysia bakal menjadi cabang utama dalam operasi segmen perkhidmatan kumpulan pada masa depan.

"Pejabat pos bakal menyediakan perkhidmatan penyelesaian pengguna sepenuhnya pada masa akan datang dan ia akan menjadi tapak asas buat kami untuk mencapai pelanggan.

"Pada masa itu, perkhidmatan Pos Malaysia tidak terhad hanya kepada mel semata-mata," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan media ke Hutan Belum di sini baru-baru ini.

Bapa hutang hospital punca tiada sijil lahir

Posted: 09 Jan 2012 09:02 PM PST


Anuar (kiri) dan isterinya Narsabah (kanan) bersama 12 orang anak mereka di Pengkalan Rama Pantai, Melaka semalam.


MELAKA – Kegagalan sepasang suami isteri, Anuar Abdul Latiff, 44, dan Narsabah Alias, 44, membayar kos perubatan kira-kira RM2,000 semasa isterinya melahirkan lima anak mereka di sebuah hospital kerajaan di sini menyebabkan kanak-kanak berkenaan berhadapan dengan kesukaran mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Berikutan itu juga, kelima-lima anak pasangan tersebut iaitu Muhammad Khairul, 13; Siti Amira, 12; Siti Umaira, 8; Ahmad Isaad, 6; dan Siti Noor Farhana, 4, menghadapi masalah persekolahan apabila surat pengesahan sijil lahir mereka sehingga hari ini ditahan oleh pihak hospital.

Penambah seri Radio Era

Posted: 09 Jan 2012 09:02 PM PST



SEBAGAI sebuah stesen radio swasta, adalah penting untuk mengekalkan rating yang tinggi dengan mengadakan program-program menarik mahupun menampilkan penyampai radio yang mampu membuatkan pendengar tidak beralih siaran.

Bagi merealisasikan perkara tersebut, Era FM yang merupakan stesen radio milik AMP Radio Networks di bawah Astro All Asia Networks telah mengambil inisiatif untuk menyajikan yang terkini dan terbaik kepada pendengar mereka sempena tahun baharu 2012 ini.

Oleh itu, dua orang jejaka telah dipertanggungjawabkan bersama penyampai radio yang sedia ada untuk memberi impak yang lebih menarik kepada peminat setia radio Era FM. Nama yang dikenali dan artis kelahiran Astro sendiri menjadi pilihan Era FM.

Siapa tidak kenal dengan dua nama besar dari program realiti televisyen iaitu Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz dari program Raja Lawak musim pertama dan Zahid atau Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid iaitu juara Akademi Fantasia musim kedua.

Johan bukan ganti Aznil

Mahu mencuba cabaran baharu adalah sebab mengapa jejaka berumur 28 tahun ini menerima tawaran untuk menjadi seorang penyampai radio. Walaupun punya tawaran lain, Johan memilih untuk bersama Era kerana faktor jarak kediamannya yang berdekatan kawasan Bukit Jalil dan kemudahan untuk menyusun jadual hariannya yang padat.

"Saya ambil ia sebagai cabaran buat diri saya kerana menjadi penyampai radio, saya perlu bijak bermain dengan karakter dan mood diri supaya orang akan ingat dan tahu membezakan karakter yang ada pada setiap penyampai.

"Saya juga akan cuba eksklusifkan diri saya iaitu dengan tidak mengeluarkan semua apa yang saya ada. Saya akan keluarkan sedikit demi sedikit supaya pendengar ternanti-nanti apa yang akan saya lakukan seterusnya," tutur Johan yang tidak pernah lekang dari membuat lawak semasa ditemu ramah.

Tambahnya, ini kerana menjadi seorang penyampai radio dan pengacara mahupun pelakon yang muncul di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza. Jika di dalam televisyen, aksi dan mimik muka dapat dilihat dan itu memudahkan kerja. Jika di radio, mood dan dialog yang dipertuturkan merupakan perkara yang sangat penting.


JOHAN akan berganding dengan Haniff dan Ray untuk segmen pagi yang diberi nama baharu, JoHaRa Pagi Era.


Jika sebelum ini program pagi dipanggil Riuh Pagi Era dan antara penyampai yang meriuhkan konti dan pendengar setiap pagi merupakan Aznil Nawawi, Ray dan Haniff. Namun, setelah sebulan menjadi penyampai sambilan di Era FM, kini giliran Johan bersama Haniff dan Ray bakal menggamatkan program yang kini diberi nama baharu, JoHaRa Pagi Era.

Namun, ia menjadi persoalan adakah kehadiran Johan adalah untuk menggantikan tempat Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil untuk mengendalikan program pagi tersebut.

"Saya tidak fikir begitu kerana sememangnya saya tidak menggantikan sesiapa terutama sekali Pak Nil.

"Ini kerana, Pak Nil tetap Pak Nil dan saya ialah saya. Walaupun tidak dinafikan memang mungkin orang akan mengatakan saya menggantikan tempat Pak Nil.

"Namun saya merasakan Pak Nil merupakan seorang yang berprofil tinggi dan belum lagi sampai tahap saya untuk menggantikannya," jelas Johan yang mengatakan dia kini perlu pandai mengatur jadual kariernya.

Zahid teruja

Jika Johan pernah menjadi penyampai sambilan dan mempunyai pengalaman berada di dalam konti, lain pula ceritanya dengan Zahid, selebriti kelahiran program realiti Astro sendiri iaitu Akademi Fantasia yang baru pertama kali merasa memikul tanggunjawab sebagai penyampai radio.

Zahid telah dipertanggungjawab untuk memikul tugas menjadi penyampai program atau segmen Petang Era bersama Adifashla dari pukul 4 petang sehingga 8 malam.

Selain masih aktif di dalam bidang nyanyian, ujar jejaka berusia 31 tahun ini, apabila diberi peluang menjadi sebahagian dari keluarga besar Era FM, dia merasakan ia peluang emas yang tidak harus dilepaskan.

"Pertamanya, saya menjadi penyampai radio juga di dalam bidang yang sama iaitu dalam bidang hiburan. Namun, bezanya, menjadi penyampai radio, saya perlu lebih banyak bercakap. Saya juga tahu radio Era merupakan radio stesen swasta yang telah lama membina nama dalam industri hiburan iaitu sejak tahun 1998 dan hingga kini masih lagi bertahan dan menjadi pilihan pendengar.

"Itulah yang membuatkan saya teruja untuk terlibat sama dan saya rasa ini juga masanya untuk saya mencuba bidang lain selain bidang nyanyian," kata Zahid menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Selain itu, tidak menafikannya juga, Zahid menjelaskan bahawa peluang ini merupakan comeback buat empunya diri yang agak lama menyepi dari sebarang aktiviti seni.

Tambahnya, menyesuaikan diri dengan jadual karier nyanyian dan menjadi penyampai radio tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada Zahid memandangkan perbincangan awal telah dibuat dan pihak Era sendiri memberi kelonggaran kepadanya.


SEDIA! Mungkin itu yang ditanam dalam hati setiap penyampai Era FM untuk menaikkan rating radio tersebut pada tahun ini.


Cerita jejaka ini, dia telah diberi tempoh selama dua minggu latihan bersama Riuh Petang Era untuk menyesuaikan diri bekerja di dalam konti dan menjadi penyampai radio. Namun, katanya, bagi pendatang baharu sepertinya, tempoh tersebut tidak memadai dan memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk mahir.

"Saya berharap supaya penyampai-penyampai lain dapat memberi tunjuk ajar kepada saya, terutamanya Adi yang akan bergandingan bersama saya dalam program Riuh Petang Era," akhirinya.

Pop Yeh Yeh kembali

Posted: 09 Jan 2012 09:01 PM PST


SUDAH BERSEDIA. Barisan penyanyi terkenal irama Pop Yeh Yeh akan mengimbau nostalgia muzik mereka di Istana Budaya pada 20 hingga 22 Januari dalam Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh.


BUAT julung-julung kalinya, setelah 44 tahun, irama Pop Yeh Yeh akan kembali mencuit jiwa penonton setianya apabila Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh akan dijayakan di Istana Budaya pada 20 hingga 22 Januari ini.

Jika kegemilangan konsert Pop Yeh Yeh ketika tahun 1967 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur masih lagi diingati sehingga kini, memori itu sekali lagi akan dipersembahkan di hadapan peminat Pop Yeh Yeh apabila nama-nama besar irama itu seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramlie, J. Sham, A. Halim dan ramai lagi akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka.

"Konsert Pop Yeh Yeh ini sudah dirancang lama. Saya lahirkan idea ini kepada Jeffrydin dan berbincang dengan dia untuk kumpulkan semua penyanyi dan mencari tempat untuk menjayakannya. Akhirnya setelah dua tahun saya berjaya kumpulkan semua penyanyi dan memilih Istana Budaya (IB) sebagai tempat untuk menjayakan konsert ini," ujar penganjur Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh, Ghazali Ismail yang juga merupakan Pengarah Urusan Gombak Serumpun Sdn. Bhd.

Lebih mengujakan, kata Ghazali, penyanyi-penyanyi irama Pop Yeh Yeh itu nanti akan mendendangkan lagu-lagu hit mereka bersama dengan ahli-ahli kugiran masing-masing.

Ungkap Ghazali yang sudah melakukan perancangan rapi bagi menjayakan konsert tersebut, Datuk A. Rahman Hassan bersama isterinya, Datin Azizah Muhammad akan mendendangkan empat buah lagu hit mereka seperti Tak Mengapa, Perpaduan Hidup, Semoga Berjaya dan Jejaka Idaman bersama dengan kumpulan Orkes Nirwana.

"Begitu juga dengan Datuk L. Ramlie yang akan tampil bersama kumpulan kugirannya, Orkes Teruna Ria bagi menyampaikan lagu-lagu popularnya seperti Ayahku Kahwin Lagi, Dara Pujaan, Siapa Bilang Aku Tak Sayang dan Seruling Bambu.

"Bukan itu sahaja, melengkapkan lagi konsert itu nanti adalah rangkaian lagu-lagu popular A. Halim bersama dengan D'Fiction, J.Sham bersama dengan The Wanderers, A. Rahman Onn bersama dengan kumpulan The Strangers dan lagu-lagu milik penyanyi Jeffrydin,"katanya teruja menanti debaran konsert itu dilaksanakan kelak.

Harga tiket persembahan dijual dari harga serendah RM40 hingga RM350. Tiket-tiket boleh didapati di Ticket2u.biz atau hubungi talian 03-4147 8600 atau telefon bimbit di talian 012 369 5230.

Ditanya mengenai harga tiket yang dikatakan agak mahal iaitu RM350, menurut Ghazali dia hanya mengikut kadar harga yang telah ditetapkan oleh IB.

"Jika ikutkan kadar sebenar IB ialah harga terendah adalah sebanyak RM60 tetapi atas budi bicara Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani konsert ini tidak terlalu mengikut kadar harga sebenar pentas berprestij itu,"tutur Ghazali lagi.

Sementara itu, menurut Datuk A. Rahman Hassan, irama Pop Yeh Yeh pernah mati suatu ketika dulu apabila lagu era 70-an yang membariskan penyanyi seperti Hail Amir, Uji Rashid dan DJ Dave hadir ke persada seni.

Malah, matinya bukan seketika apabila ia dikatakan selama 15 tahun.

"Saya tidak pernah menyalahkan media apabila irama Pop Yeh Yeh jatuh ketika itu. Sebabnya, pernah suatu ketika media datang membantu kami menghasilkan artikel setiap penyanyi era Pop Yeh Yeh. Saya berterima kasih dan berharap sokongan seperti itu dapat diteruskan lagi," tuturnya mengharap agar irama Pop Yeh Yeh sentiasa di hati peminat.

Mengulas lanjut, ujar A. Rahman, irama Pop Yeh Yeh yang dibawanya adalah berlainan sama sekali dengan iraman 60-an.

Katanya, irama Pop Yeh Yeh lebih rancak dan bertenaga berbanding irama 60-an yang dibawa oleh artis-artis seperti Allahyarhamah Rafeah Buang dan Datuk Ahmad Jais.

Bercerita mengenai persembahannya pada konsert kugiran itu nanti, kata A. Rahman, dia akan menyanyi bersama isterinya, Datin Azizah Muhammad bersama dengan ahli-ahli kugirannya Orkes Nirwana.

"Mungkin akan ada beberapa kejutan dan pastinya lagu-lagu yang dipilih merupakan lagu popular yang menjadi pilihan peminat Pop Yeh Yeh," ujarnya lagi.

Vidya dapat kondo mewah

Posted: 09 Jan 2012 09:00 PM PST


VIDYA BALAN


VIDYA BALAN kini diselubungi bahagia bukan sahaja kerana filem lakonannya, The Dirty Picture meraih kutipan pecah panggung, tetapi juga kerana dia telah mendapat hadiah yang cukup lumayan sempena kemunculan Tahun Baru 2012.

Teman lelaki Vidya, ahli perniagaan Siddharth Roy Kapur dilaporkan telah membeli sebuah kondominium mewah yang terletak di tepi laut di Juhu, Mumbai khas buat Vidya.

Bukan itu sahaja, menurut sumber, Vidya dan teman lelakinya merancang untuk tinggal bersama di kondo tersebut pada Mac ini.

Ujar sumber kepada Bollywood Mantra: "Pada Mac ini, Vidya dan Siddharth bercadang untuk tinggal bersama di kondo tepi laut yang sudah ditempah untuk dibeli oleh Siddharth, khusus sebagai hadiah sempena Tahun Baru. Ia terletak di Juhu Tara Road di bangunan yang dikenali sebagai Parineeta."

Tambahnya: "Sudah lama Siddharth mencari lokasi yang sesuai untuk membeli kondo buat Vidya dan dia akhirnya gembira kerana akhirnya berkenan dengan kondo Parineeta tersebut.

"Dia mengambil tempoh satu setengah bulan untuk menyelesaikan urusan pembelian kondo tersebut."

Menurut sumber lagi, proses pengubahsuaian kondo tersebut belum lagi bermula. "Vidya ada memberitahu pihak sekuriti kondo tersebut, dia akan berpindah ke situ pada Mac ini," ujar sumber.

Penduduk bantah harga petrol naik

Posted: 09 Jan 2012 09:00 PM PST


AFP BEBERAPA orang menjerit dekat tayar yang dibakar pada satu tunjuk perasaan menentang kenaikan harga petrol di Lagos semalam.


LAGOS - Satu tunjuk perasaan tercetus di seluruh Nigeria bagi membantah kenaikan harga petrol di negara Afrika berkenaan.

Ketika matahari terbit di Nigeria semalam, ibu kota negara ini yang biasanya sesak dengan kenderaan bertukar sepi. Kesatuan-kesatuan sekerja pula mula mengadakan sekatan jalan raya.

Anggota kumpulan samseng tempatan menumbuk tingkap kenderaan yang berada di jalan raya manakala ratusan penunjuk perasaan berkumpul di sini menjelang satu perhimpunan besar-besaran yang dijadual diadakan di ibu kota Nigeria itu.

Mereka membantah kenaikan harga minyak daripada AS$0.45 (RM1.40) seliter kepada AS$0.94 (RM2.95) seliter yang mula berkuat kuasa sejak subsidi petrol di negara berkenaan berakhir pada 1 Januari lalu atas arahan pentadbiran Presiden Goodluck Jonathan.

"Saya belum pernah mendapat manfaat daripada pentadbiran Jonathan. Kami akan menentang kenaikan harga minyak ini sehingga ke titisan darah terakhir," kata seorang kakitangan awam berusia 35 tahun, Fatai Adepoju.

Namun, pemerintah menyatakan penarikan subsidi tersebut terpaksa dilakukan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan negara dan menggalakkan pelaburan luar dalam sektor penapisan minyak.

Hawking minta manusia takluk planet lain

Posted: 09 Jan 2012 08:59 PM PST


AFP GAMBAR fail menunjukkan Stephen Hawking di pejabatnya di Universiti Cambridge pada 14 Disember tahun lalu.


CAMBRIDGE, England - Ahli fizik tersohor, Stephen Hawking jatuh sakit dan terlalu lemah untuk menghadiri persidangan bagi meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-70 kelmarin tetapi dalam satu rakaman mesej, beliau mengulangi gesaan agar manusia menjelajah dan menakluki planet lain.

Naib Canselor Universiti Cambridge, Leszek Borysiewicz memberitahu hadirin bahawa Hawking yang hampir lumpuh sepenuhnya kerana menghidap penyakit saraf Lou Gehrig, telah dibenarkan keluar dari sebuah hospital kerana menghidap penyakit yang tidak didedahkan.

Namun, dalam ucapan beliau yang dirakam, Hawking merayu agar manusia menjelajah planet lain kerana percaya mereka berdepan masa depan yang suram di Bumi.

"Saya tidak fikir kita (manusia sejagat) akan dapat terus hidup untuk 1,000 tahun akan datang tanpa menjelajah keluar dari planet Bumi yang rapuh ini," katanya.

Ucapan beliau mempesonakan para pelajar dan saintis yang berhimpun di Dewan Lady Mitchell, Universiti Cambridge di sini.

Rakan-rakan saintis yang berada di dewan berkenaan termasuk pemenang Hadiah Nobel, Saul Perlmutter dan ahli astronomi terkenal Martin Rees menyifatkan Hawking sebagai antara ahli fizik paling utama selepas mendiang Albert Einstein.

"Hawking mengubah pemahaman kita tentang ruang dana masa, lubang hitam dan asal-usul cakerawala," kata Borysiewicz.

Buku A Brief History of Time tentang teori astrofizik yang ditulis oleh Hawking dan diterbitkan pada 1988 telah dijual berjuta-juta naskhah setakat ini.

Wanita terjatuhke sarang buaya

Posted: 09 Jan 2012 08:58 PM PST


LUKA yang dialami oleh Erin Langworthy.


SYDNEY - Seorang wanita Australia, Erin Langworthy terselamat selepas terjatuh ke dalam Sungai Zambezi yang dipenuhi buaya setelah tali yang mengikat kakinya putus semasa dia melakukan terjun bungee pada ketinggian 111 meter dari atas Jambatan Jeram Victoria di Zambia, Afrika.

Menurut akhbar Australia, Sydney Morning Herald, wanita berkenaan Erin Langworthy cuma mengalami luka kecil dan sedikit calar dalam kemalangan pada petang menjelang Tahun Baru.

Jambatan tersebut terletak di sempadan Zambia dengan Zimbabwe.

"Saya merasakan seperti seluruh badan saya telah ditampar," kata wanita berusia 22 tahun itu yang berasal dari Perth dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Channel Nine.

Rakaman video menunjukkan tali yang mengikat kakinya putus pada akhir terjunan tersebut dengan menyebabkan dia terjatuh ke dalam sungai.

"Saya terpaksa menyelam dan membuka tali yang mengikat kaki saya sebelum dapat berenang ke permukaan sungai," kata Langworthy.

"Ya, saya yakin satu keajaiban berlaku kerana saya terselamat dalam kemalangan ini," tambahnya.

Langworthy dirawat di sebuah klinik berdekatan sebelum dibawa keluar ke Afrika Selatan.

Penyanyi ditenangkan konduktor

Posted: 09 Jan 2012 08:57 PM PST


MATA Katherine Jenkins menunjukkan dia sebak semasa menyanyikan lagu pertama di panggung New Oxford, Oxford pada Sabtu lalu.


LONDON - Penyanyi terkenal Britain, Katherine Jenkins tidak dapat menahan tangisannya semasa dia menyanyi sebuah lagu pertamanya di panggung New Oxford, Oxford pada Sabtu lalu.

Selepas nyanyiannya berakhir, penyanyi kelahiran Wales itu berundur ke belakang untuk menenangkan dirinya.

Seorang konduktor orkestra yang berada dekat dengannya juga bertindak menenangkan penyanyi yang berusia 31 tahun itu.

Jenkins, yang terkenal dengan lagu Secret Love meneruskan persembahan dengan lagu daripada album baharu dan lamanya di dalam panggung tersebut.

Ketika persembahan, Jenkins mengenakan gaun putih dengan jarinya tidak menyarung cincin pertunangan.

Dia menangis kerana rumah tangganya runtuh selepas dia berpisah dengan tunangnya yang merupakan seorang pengacara televisyen, Gethin Jones, 33, pada 30 Disember tahun lalu.

Pasangan itu mula berkenalan pada lewat 2007 selepas bertemu di set program pertandingan tarian di televisyen, Strictly Come Dancing.

Ketika itu, Jones menyertai pertandingan menari dalam program tersebut manakala Jenkins merupakan seorang penghibur undangan.

Latihan untuk pengawal peribadi wanita

Posted: 09 Jan 2012 08:56 PM PST


Reuters SEBATANG kayu diangkat oleh para pelatih pengawal peribadi wanita di Sanya kelmarin.


SANYA, China - Seramai 20 wanita yang kebanyakannya lulusan kolej menyertai sesi latihan untuk pengawal peribadi wanita.

Latihan itu dianjurkan oleh firma Tianjiao Special Guard/Security Consultant Ltd. Co. di Sanya.

Firma itu menganjurkan latihan untuk para pengawal peribadi wanita buat kali pertama.

Semua pelatih perlu menjalani latihan selama lapan hingga sepuluh bulan untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk keperluan pelanggan mereka.

Firma itu menawarkan seorang pelatih yang terbaik peluang untuk menghadiri pengajian lanjutan di Akademi Keselamatan di Israel.

Isteri untuk disayang bukan disepak terajang

Posted: 09 Jan 2012 08:54 PM PST



KEBAHAGIAAN dalam rumah tangga sudah menjadi impian setiap pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan.

Namun, timbulnya pertelingkahan dalam hubungan merupakan asam garam kehidupan berumah tangga.

Mahu tidak mahu itulah harga yang harus dibayar apabila mereka mengambil keputusan melayari bahtera bersama.

Tidak terkecuali Julia (bukan nama sebenar) yang turut mengimpikan mempunyai sebuah keluarga yang bahagia di samping suami yang dikahwini atas dasar cinta.

Dia yang mula mengenali suaminya itu pada usia 16 tahun menyulam cinta selama dua tahun sebelum disunting buah hatinya itu.

Setelah setahun mendirikan rumah tangga, suami yang dikasihinya itu dilihat semakin berubah sikap. Daripada seorang yang penyayang, suaminya sering bersikap panas baran.

Tidur bawah jambatan

"Dengan apa yang saya alami ini, memang benarlah kata orang masa bercinta, semuanya indah. Bagi saya perubahan ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan usia perkahwinan kami masih muda," ujarnya.

Ketika diajak mengimbau perjalanan hidupnya itu, air mata Julia mula bergenang apabila bercerita tentang keperitan yang pernah dilalui dalam hidupnya.

Tiada apa yang lebih menghayat hati Julia apabila dia bersama anak kecilnya itu pernah merempat di bawah jambatan Sungai Klang berdekatan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Damai, Kuala Lumpur selama satu hari.

Semuanya kerana suaminya itu tidak mampu menyewa rumah sehingga memaksa mereka berteduh di bawah jambatan. Suami Julia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan syarikat swasta hanya mampu memperoleh pendapatan RM800 sebulan.


RUMAH Wirda terletak di Ampang Jaya yang menerima pelbagai kes wanita berdepan dengan krisis rumah tangga.


"Masa itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Sudahlah tidak mandi kami terpaksa tidur hanya beralaskan kotak dan surat khabar. Lebih menyayat hati saya kerana anak kami waktu itu baru berusia lima bulan," ujarnya sambil memberitahu perkara itu tidak akan dilupai sepanjang hayatnya.

Kesempitan hidup telah mengubah sikap suami Julia. Jika dulu sewaktu berkasih sayang, belaian dan pelukan menjadi penambat hati tetapi, selepas setahun berumah tangga ia bertukar dengan sepak terajang tanpa belas ihsan.

Tidak tahan didera suami, Julia pernah beberapa kali membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.

Namun, selepas dipujuk beberapa kali oleh suaminya, dia menarik semula laporan polis tersebut kerana terlalu sayangkan suami.

"Dia berjanji akan berubah setiap kali saya membuat laporan. Mungkin kerana percayakan kata-katanya itu, saya memaafkannya," tutur Julia yang turut bekerja mencuci pinggan untuk menambah pendapatan keluarga ketika itu.

Janji tinggal janji, perlakuan ganas dan kegagalan si suami mengawal sikap panas barannya langsung tidak berubah bahkan, semakin menjadi.

Akhirnya kerana sudah tidak tahan lagi membiarkan tubuhnya menjadi seperti beg tinju Julia nekad melarikan diri.

"Kalau dulu mula-mula saya larikan diri saya tidur di bawah jambatan, kali ini saya memilih untuk berlindung di masjid. Mujur saya menemui seorang imam yang akhirnya membawa saya ke rumah Pertubuhan Inisiatif Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita Selangor dan Kuala Lumpur (Wirda) yang terletak di Ampang Jaya.

"Di sini, saya mendapat perlindungan termasuk makan minum yang turut ditanggung pihak Wirda. Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya saya mendapat tempat perlindungan," ujar anak yatim piatu itu.

Bagaimanapun, Julia bertekad untuk mencari peluang pekerjaan demi menyara kos perubatan anaknya yang menghidap penyakit sawan.

Nasib sama

Nurul (bukan nama sebenar), 30, terpaksa menahan derita lebih 10 tahun kerana campur tangan ibu mertua dan jiran.


NURUL (dua dari kiri) menceritakan semula peristiwa hitam yang pernah dilalui dalam hidupnya kepada wartawan Kosmo.


Dia yang berkahwin atas dasar cinta ketika berusia 18 tahun tidak menyangka campur tangan kedua-dua pihak tersebut menyebabkan dia diceraikan talak tiga.

Nurul yang merupakan pekerja kilang mengakui, kesabaran dia memuncak kerana ditohmah dengan pelbagai fitnah.

"Cuba bayangkan, pagi keluar bekerja dan malam baru balik rumah tetapi, timbul cerita saya suka membomoh penduduk di sekitar kawasan itu.

"Bukan sahaja pelik tetapi, saya sendiri tidak mengetahui motif sebenar jiran termasuk ibu mertua saya mengada-adakan cerita-cerita sedemikian. Walaupun dikata macam-macam saya pekakkan telinga, tutup mata dengan gelagat mereka sebab sayangkan rumah tangga.

"Keadaan bertambah teruk apabila ibu mertua menyampaikan cerita-cerita terbabit kepada suami. Apabila sampai ke telinga suami, apa lagi kalau bukan sepak terajang yang saya dapat," tuturnya menahan sebak.

Bagaimanapun, episod malang itu tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya dugaan dan fitnah yang datang semakin bertimpa-timpa.

Tohmahan semakin menjadi-jadi sehingga memaksa suami terus menjatuhkan talak tiga disebabkan terlalu marah.

"Ekoran kehilangan tempat berteduh, saya menghubungi abang untuk membantu saya mencari tempat perlindungan. Kemudian dia membawa saya ke Wirda," katanya.

Bagaimanapun, Nurul tidak pernah menyesal atas nasibnya yang berkahwin muda, wanita ini reda ketentuan Ilahi untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Nasihat saya, jangan terlalu bergantung harap kepada lelaki kerana zaman bercinta dan berumah tangga amat berbeza dan sukar diramal," ujarnya.

Bagi pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, seseorang wanita yang dikahwini itu bukan untuk dikasari.

"Mereka perlu diberi kasih sayang sepenuhnya kerana golongan wanita memberikan lebih daripada itu untuk suami dan keluarga. Contohnya mereka sanggup berkorban menahan kesakitan demi melahirkan zuriat buat suami," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang perlu diambil seseorang wanita yang didera beliau menyarankan, golongan tersebut mesti berani bertindak dengan melaporkan perkara itu kepada ahli keluarga terdekat seterusnya pihak berkuasa.


FARIDAH (kanan) bermesra dengan anak salah seorang penghuni Wirda.


"Dengan cara itu, mereka boleh membantu diri sendiri dan menyelamatkan diri untuk keluar daripada belenggu itu.

"Jadi, jangan hanya berdiam dan melayan kesengsaraan itu seorang diri," jelasnya lagi.

Sementara itu, Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, kebiasaannya seorang wanita tidak sanggup membuat aduan laporan polis terhadap penderaan yang dilaluinya.

"Ia kerana mereka khuatir akan ditinggalkan si suami. Walau bagaimanapun, mereka perlu sedar sekiranya penderaan itu sudah mencapai pada tahap kritikal iaitu boleh membawa risiko maut jadi sudah tiba masanya untuk mereka berani tampil untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa," jelasnya.

CIC lahirkan pelajar holistik

Posted: 09 Jan 2012 08:54 PM PST

NILAI spiritual perlu diberi perhatian dalam usaha menjadikan kanak-kanak ini mendapat ciri pendidikan menyeluruh dalam fasa awal kehidupan mereka.


SEBAGAI ibu, Qutren Nada Ahmad, 40, sentiasa mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anaknya. Dia mahu mereka ditempatkan di pusat pendidikan yang bukan sahaja mempunyai suasana yang baik dan Islamik malah, mempunyai kekuatan dalam pengajaran bahasa Inggeris.

Namun ketika itu, dia mendapati sukar mencari pusat pendidikan pra-sekolah yang berciri Islam. Jika ada pun, ia tidak diuruskan secara profesional.

"Bagi saya nilai spiritual amat penting kerana itu saya berusaha memastikan anak saya berada dalam didikan guru-guru yang beragama Islam.

"Kesukaran mendapat sebuah institusi pendidikan seumpama itu menyebabkan saya membuat keputusan untuk mewujudkan Children Islamic Centre (CIC) dengan penekanan program pembangunan berkualiti dan berkesan," katanya pada Malam Penghargaan dan Makan Malam CIC 2011 di Hotel Marriot Putrajaya baru-baru ini.

Peluang perniagaan

Kini selepas 10 tahun penubuhan CIC, Qutren memberitahu CIC kini berstatuskan Malaysian francaisor yang mampu mewujudkan peluang perniagaan kepada ramai usahawan di dalam dan luar negara.

"CIC kini mempunyai 38 cawangan di seluruh negara iaitu 32 di Lembah Klang, sebuah di Negeri Sembilan, Melaka, Johor Bahru dan Kedah serta dua di Kelantan.

"CIC juga sudah bertapak di Jakarta dan di Arab Saudi. Secara keseluruhannya CIC mempunyai lebih kurang 4,000 orang pelajar berumur tiga hingga 12 tahun," jelasnya.

Qutren memberitahu, keistimewaan CIC adalah pendidikan menyeluruh melalui tiga kategori utama iaitu Playschool, Preschool dan After School.

"Di CIC, kanak-kanak didedahkan kepada pelbagai aktiviti yang mempunyai tema yang berlainan setiap hari. Ia bertujuan memberikan pendedahan yang lebih kepada mereka berbanding rakan sebaya.

"CIC juga amat mementingkan kualiti pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris dengan menggunakan buku-buku bertaraf antarabangsa yang kebanyakannya adalah eksklusif serta tidak terdapat di pasaran tempatan," katanya yang mempunyai visi untuk mendidik bakal pemimpin masa akan datang.

Contoh lain katanya ialah Program New Maths dalam kategori After School. Ia adalah program matematik yang ditawarkan pada hari Sabtu kepada kanak-kanak berumur tiga hingga 10 tahun.

Kaedah baharu


PERKEMBANGAN kanak-kanak yang baik boleh dicapai melalui teknik pengajaran segar dan baharu serta dibimbing tenaga pendidik yang berpengalaman.


"Program ini telah berjaya di Taiwan dengan sekurang-kurangnya 300,000 pelajar setiap tahun. Ia merupakan kaedah baharu bagi mengembangkan IQ pelajar dan memberikan asas yang kukuh kepada pembangunan otak matematik dan logik seseorang kanak-kanak itu.

"Secara keseluruhan, CIC menyemai nilai-nilai keislaman, menanam sifat-sifat gigih dan mendidik kanak-kanak menjadi lebih kompetitif," ujarnya.

Menyentuh aktiviti tahunan pelajar, Qutren memberitahu, mereka menganjurkan aktiviti bersifat tempatan dan nasional yang melibatkan sama ada kanak-kanak sahaja atau memerlukan sokongan ibu bapa seperti hari sukan, malam penghargaan dan makan malam serta majlis konvokesyen.

"Secara relatifnya CIC mempunyai jumlah pelajar yang tinggi dengan prestasi dan kebolehan yang lebih tinggi berbanding rakan sebaya di luar sana dan merupakan pemimpin di dalam industri serta menjadi inspirasi kepada ramai usahawan di luar sana.

"CIC juga menjadi jenama kebanggaan rakyat Malaysia yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa dengan didokong oleh pasukan anak muda yang beragama Islam yang mempunyai komitmen tinggi untuk memberikan perkhidmatan terbaik," ulasnya mengenai kejayaan CIC.

Percutian Safi bersama Shila

Posted: 09 Jan 2012 08:48 PM PST


SHILA (tengah) bersama juara pertandingan Safi Kliq, kumpulan Kliq 2intim8.


USAI pemilihan peserta-peserta Safi Kliq yang berlangsung pada Oktober dan November lalu, empat kumpulan terbaik telah dibawa ke peringkat akhir.

Setiap kumpulan yang disertai seramai empat orang gadis itu dibawa Safi bercuti ke Gold Coast, Sepang, Selangor selama dua hari tiga malam.

Pemilihan kesemua peserta akhir itu adalah berdasarkan kreativiti memuat naik gambar mereka sekumpulan di laman sosial Facebook milik Safi Balqis dan turut dinilai mengikut nama kumpulan paling kreatif.

Sepanjang percutian yang turut diserta duta jenama kosmetik tersebut, Shila Amzah, kesemua 16 gadis itu melalui pelbagai cabaran serta aktiviti menarik.

Pada hari pertama, para peserta menyertai bengkel kecantikan Cerah Sempurna yang mendidik mereka berkenaan teknik-teknik pembersihan wajah.

Mereka diajar cara membersihkan kulit wajah dengan betul selain mengetahui manfaat yang diperoleh menerusi penggunaan produk Safi Balqis Perfect 10.

Malam Balqis pula menuntut para peserta tampil dalam busana rona biru muda dan putih. Menariknya, kesemua mereka turut beradu suara bagi merebut gelaran Balqis Idol yang diadili Shila Amzah dan wakil daripada Safi sendiri.

Kumpulan Kliq 2intim8 yang dianggotai Fauzana Ismail, Siti Rodhiah Abdul Aziz, Faizatul Falysa Anuar dan Nurafliana Zulkafli dipilih sebagai juara pertandingan tersebut.

Selain menerima pengalaman percutian yang menyeronokkan, setiap ahli Kliq 2intim8 juga dihadiahkan i-Pad setiap seorang.

Tiga lagi kumpulan lain iaitu Kliq S4Safi, Kliq Quartet dan Kliq 4GP pula menerima hadiah sagu hati berupa i-Pod.

Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman memberitahu, percutian tersebut merupakan satu penghargaan buat pengguna setia produk mereka yang tidak putus-putus menyokong produk Safi.

"Sebagai duta Safi Balqis Perfect 10, saya dapat merasakan percutian sebegini sebagai langkah terbaik buat saya dan pengguna produk ini sendiri berkenalan serta berkongsi pengalaman.

"Jenama ini bukan sahaja membuatkan wajah cerah dan sempurna, malah ia mewujudkan keyakinan mereka yang menggunakannya," jelas Shila pula.

Ulama: Berdosa jadi ahli Facebook!

Posted: 09 Jan 2012 04:27 AM PST

image

Seorang ulama Iran menetapkan web media rangkaian sosial popular di seluruh dunia, Facebook bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan peri laku tidak bermoral.

Ulama kanan itu, Ayatollah Lotfollah Safi-Golpaygani memberi pandangannya mengenai Facebook dan keahlian warga negaranya dalam web berkenaan ketika sesi soal jawab dengan agensi berita ISNA, semalam.

"Pada asasnya, perbuatan melayari mana-mana laman web yang menggalakkan peri laku tidak bermoral dan melemahkan pegangan agama bercanggah dengan Islam dan tidak dibenarkan selain menjadi ahli adalah haram.
"Hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang peri laku atau etika tidak bermoral, tiada masalah," katanya.

Di Iran, biasa bagi ulama kanannya ditanya mengenai dasar isu sosial sama ada ia sejajar dengan nilai Islam. Jawapan mereka akan dianggap sebagai satu peraturan.

Meskipun kerajaan mengenakan banyak sekatan terhadap internet, seramai 17 juta penduduk Iran ahli Facebook, lapor perangkaan rasmi pada 17 Oktober lalu.
Oleh kerana Facebook popular di kalangan generasi muda, pemerhati percaya bilangan penduduk Islam yang mempunyai akaun Facebook lebih tinggi daripada angka itu.
Iran mempunyai 70 juta penduduk, 60 peratus daripada mereka berusia di bawah 30 tahun.

Lebih lima juta laman web dikenakan sekatan di Iran tetapi warga negara itu masih mendapatkan akses menggunakan perisian proksi dan rangkaian persendirian maya (VPN).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

TV AL HIJRAH ONLINE STREAMING

Copyright 2010 All Rights Reserved